11 Ogos 26 Pagi (Hari Ke-6)
π Masa membaca: 63 minit
π Bilangan kata: 12,758 kata
(Mesyuarat mula bersidang pada pukul 9.30 pagi)
Yang Mulia Jurutulisβ
Bismillahir Rahmanir Rahim. Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara bersidang pada hari keenam pada hari ini, Selasa, 27 Safar 1448 bersamaan 11 Ogos 2026 dan didahului dengan bacaan Doa Selamat.
DOA SELAMATβ
(Doa selamat dibacakan oleh Yang Mulia Begawan Mudim Awang Haji Tamin bin Haji Puting)
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah, rahmat dan izin-Nya jua, maka kita dapat hadir pada pagi ini bagi hari keenam di Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara.
Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, kaum kerabat, para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita akan memulakan hari ini dengan urusan mesyuarat seterusnya.
Yang Mulia Jurutulisβ
Waktu Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya sekarang membuka ruang bagi waktu pertanyaan, sebagaimana lazim waktu pertanyaan selama satu jam. Saya mulakan dengan soalan pertama yang diterima daripada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia Dan Sukan.
Silakan.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukanβ
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola terlebih dahulu mengucapkan terima kasih kerana memberi kaola peluang bagi menjawab soalan-soalan yang ditujukan kepada kaola.
Dalam hubungan ini, kaola memohon izin dan kebenaran Yang Berhormat Yang Di-Pertua untuk kaola sekiranya dapat menjawab soalan bilangan 1, PL223 daripada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof dan juga soalan bilangan 6, PL213 yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Zainal Abidin memandangkan kedua-dua soalan berkaitan dengan pembasmian kemiskinan khususnya berhubung dengan penilaian keberkesanan mekanisme dan juga pembasmian kemiskinan secara menyeluruh. Terima kasih.
Bermula dengan soalan PL223 yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof mengenai tahap keberkesanan peranan Jawatankuasa Khas Isu Kemiskinan dalam memastikan tiada keciciran dalam kalangan rakyat dan penduduk yang memerlukan bantuan serta program-program yang telah diungkayahkan.
Sepertimana yang kita dengar daripada beberapa Ahli Yang Berhormat semasa pembahasan Usul mengenai Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 sebelum ini, sering disebut-sebut bahawa ukuran kejayaan dalam menangani isu kemiskinan tidak seharusnya pada jumlah penerima bantuan atau jumlah bantuan kewangan yang telah disalurkan semata-mata. Tetapi juga melalui jenis bantuan yang mampu mengubah kehidupan penerima dan membantu mereka keluar daripada kitaran kemiskinan.
Dalam hubungan ini, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan termasuk kaola sendiri, seiringan dengan pandangan tersebut. Mengenai tahap keberkesanan peranan Jawatankuasa Khas Isu Kemiskinan, Pelan Tindakan Pembasmian Kemiskinan dan program yang diungkayahkan, kementerian menilai keberkesanan usaha pembasmian kemiskinan berdasarkan keberhasilan dan impak bukan semata-mata berdasarkan jumlah bantuan atau program yang dilaksanakan.
Ke arah ini, fokus strategik kementerian adalah untuk memperkukuh penyelarasan, memastikan pemadanan intervensi lebih bersasar dan bersepadu serta mempertingkatkan pemantauan berasaskan hasil bagi mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan dan meningkatkan kemandirian sosioekonomi penerima secara berterusan.
Sehubungan dengan itu, kementerian ini memperkukuhkan keberkesanan usaha mengurangkan kemiskinan dan kebergantungan kepada kerajaan melalui tiga pendekatan utama seperti berikut:
Pertama, memperkukuh pengintegrasian dasar dan pelan tindakan serta pelaksanaan intervensi agar ia selaras dan saling melengkapi melalui Jawatankuasa Khas Isu Kemiskinan di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial, MKIS. Jawatankuasa ini berperanan sebagai penyelaras, pemantau dan penilai utama pembasmian kemiskinan secara inklusif dan komprehensif di peringkat kebangsaan.
Ini termasuk melalui penyelarasan dengan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia serta Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri bagi mengurangi silo, memastikan peranan setiap agensi lebih jelas dan setiap inisiatif menghasilkan impak yang nyata dan boleh diukur sewajarnya.
Pendekatan kementerian ini adalah selaras dengan apa yang telah dibentangkan dalam perbahasan Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 pada 3 Ogos yang lalu oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri iaitu untuk menangani isu kemiskinan yang bersifat multidimensi sebagai agenda nasional yang bertanggungjawab bersama;
Kedua, memastikan kesinambungan pelaksanaan Pelan Tindakan Pembasmian Kemiskinan 2020-2024 bagi memperkukuh ekosistem masyarakat progresif melalui kerjasama kementerian dan agensi peneraju dalam bidang pekerjaan, latihan kemahiran, keusahawanan, pendidikan pembangunan keluarga serta penyediaan ekosistem sokongan bagi membantu penerima bantuan meningkatkan keupayaan dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan sahaja.
Sehubungan dengan itu, beberapa pencapaian cumulative terkini dari tahun 2016 telah direkodkan dari aspek pelaksanaan dan penyertaan intervensi di bawah Pelan Tindakan Pembasmian Kemiskinan seperti Pelan Pekerjaan yang telah membantu 1,037 penerima bantuan dan ahli keluarga memperoleh pekerjaan melalui pemadanan pekerjaan dan kerjasama dengan majikan; Program Keusahawanan bersama Darussalam Enterprise, DARE dan LiveWIRE yang telah disertai oleh 643 penerima bantuan; Program Latihan Kemahiran melalui Pusat Pembangunan Belia, LiveWIRE Brunei dan juga Darussalam Enterprise dan BIBD SEED yang telah memberi manfaat kepada 180 peserta; Program Inovasi Belia Berwawasan, PIBB yang memberi laluan pembangunan kepada anak-anak penerima bantuan dengan 86 penyertaan dan 49 daripadanya berjaya memperoleh pekerjaan.
Juga melalui Program Tuisyen Percuma kepada anak-anak penerima bantuan yang telah menerima manfaat kepada 246 pelajar sebagai pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan; selain itu, Program Komuniti bersama Majlis Perundingan Kampung juga dilaksanakan bagi memberikan latihan, bimbingan dan sokongan pembangunan perusahaan di peringkat komuniti;
Ketiga, memaksimumkan penggunaan Sistem Kebajikan Negara, SKN sebagai mekanisme pemberian sokongan pengumpulan data dan maklumat serta menganalisis data welfare mapping yang teratur dan sistematik dalam merancang dan memberikan intervensi yang lebih bersasar, tepat dan inklusif.
Berdasarkan analisis data daripada SKN jua, perkembangan sosioekonomi semasa serta amalan terbaik serantau dan penilaian pelan tindakan terdahulu akan digunakan dalam memuktamadkan penyediaan Pelan Tindakan Pembasmian Kemiskinan 2026-2029.
Di sini tumpuan diberikan kepada intervensi yang lebih bersasar, pengukuhan transition pathways ke arah pekerjaan dan keusahawanan, pemerkasaan institusi keluarga serta mekanisme pemantauan yang lebih berasaskan hasil, outcome-based monitoring.
Perkara ini menyentuh kepada soalan Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin, mengenai sejauh manakah kementerian mempertimbangkan pendekatan social contract bagi penerima yang berkeupayaan, able-bodied untuk memperkukuh keberkesanan bantuan kebajikan.
Dari apa yang dikongsikan di atas, jelas bahawa dasar dan pelaksanaan bantuan kebajikan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bukan sekadar bertujuan untuk memenuhi keperluan asas penerima tetapi juga menjadi pemangkin bagi memperkasa mereka agar mampu berdikari, meningkatkan taraf kehidupan dan akhirnya keluar daripada kebergantungan kepada bantuan kerajaan.
Prinsip ini adalah selaras dengan pendekatan social contract yang menekankan tanggungjawab bersama antara kerajaan dan penerima bantuan dalam mencapai kesejahteraan yang lebih mampan.
Setakat ini seramai 14,677 orang masih menerima bantuan kebajikan secara aktif. Daripada jumlah tersebut 14,079 orang atau 95.9 peratus merupakan penerima yang dikategorikan sebagai able-bodied and able to work.
Bagi kumpulan ini, pendekatan kementerian bukan hanya tertumpu kepada pemberian bantuan malah turut memberi penekanan kepada pembangunan keupayaan, peningkatan kemahiran dan penyediaan laluan peralihan, transition pathways ke arah pekerjaan, keusahawanan dan kehidupan yang lebih berdikari.
Walaupun pada masa ini pendekatan tersebut belum dilaksanakan sebagai satu syarat mandatori atau perjanjian formal kepada semua penerima bantuan, memandangkan setiap penerima mempunyai latar belakang, tanggungjawab, keluarga dan tahap keupayaan yang berbeza, JAPEM secara berterusan menggalakkan serta membimbing penerima yang berkeupayaan untuk menyertai pelbagai program pemerkasaan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.
Sebagai langkah ke hadapan dalam menangani isu kemiskinan yang bersifat multidimensi, kementerian akan terus meneliti bagaimana pendekatan social contract ini boleh diperkukuhkan secara lebih sistematik dan seimbang termasuk memperkukuhkan laluan peralihan bagi penerima bantuan yang berkeupayaan melalui kerjasama yang lebih erat dengan agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan organisasi masyarakat.
Pada masa yang sama, kementerian sedang dan terus memperkukuh mekanisme, pemantauan, pengurusan jurang pelaksanaan secara lebih strategik dan berasaskan hasil dan keperluan bagi menilai keberkesanan intervensi secara lebih menyeluruh khususnya dari segi peningkatan keupayaan, penyertaan ekonomi, pengurangan kebergantungan kepada bantuan serta menghasilkan laluan dan perubahan sosioekonomi yang lebih mampan kepada golongan sasaran.
Insya Allah, dengan pendekatan yang lebih bersepadu antaranya penggunaan kaedah Kerangka Keselamatan Sosial Berfasa Kehidupan atau Life Stage Social Security Framework bagi memastikan tiada keciciran dan intervensi awal dengan berasaskan data dan berorientasikan hasil. Kementerian yakin usaha pembasmian kemiskinan akan terus diperkukuhkan selaras dengan aspirasi Social Blueprint dan Wawasan Brunei 2035.
Sekian sahaja yang dapat diulaskan bagi menjawab soalan Ahli-Ahli Yang Berhormat berkenaan. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub yang juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukanβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Pada menjawab soalan Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub mengenai Indeks Keupayaan Masyarakat yakni Community Capability Index.
Pada dasarnya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan setuju bahawa pengukuran keupayaan dan kesejahteraan masyarakat berasaskan data merupakan elemen penting dalam memastikan dasar dan program sosial sentiasa relevan, bersasar dan memberi impak.
Walau bagaimanapun, pendekatan kementerian pada masa ini adalah untuk meneliti dan memanfaatkan indeks data dan indikator yang sedia ada yang relevan sebagai rujukan untuk digunapakai serta menumpukan kepada penyelesaian isu-isu keutamaan tanpa perlu membangunkan satu indeks kebangsaan yang berasingan.
Oleh yang demikian, dikongsikan setakat ini, kerajaan tidak menggunakan satu Indeks Keupayaan Masyarakat yakni Community Capability Index yang tunggal. Sebaliknya, mengguna pakai beberapa sistem pangkalan data dan indikator mengikut bidang serta fungsi kementerian dan agensi masing-masing. Pendekatan ini membolehkan setiap dimensi kesejahteraan kepada masyarakat dinilai secara lebih mendalam dan berdasarkan kepakaran sektor masing-masing.
Sementara itu, pihak kementerian dalam Kaji Selidik Belia Kebangsaan ada menggunakan kaedah indeks yang menggabungkan pelbagai titik data untuk menjadi satu nombor komposit atau rujukan semakan untuk menunjukkan trend umum Indeks Pembangunan Belia yang merentasi lapan domain utama iaitu peluang pekerjaan, isu sosial, kesihatan, pembangunan diri, potensi diri, pengintegrasian masyarakat, pengintegrasian politik dan aktiviti riadah.
Dari perspektif sektor kemasyarakatan, antara instrumen utama yang digunakan ialah Sistem Kebajikan Negara yakni SKN. SKN merupakan platform pengurusan maklumat penerima bantuan kebajikan yang mengumpul data ukuran sebenar sosioekonomi isi rumah termasuk profil pendidikan, pekerjaan, pendapatan, jenis kediaman, akses kepada pengangkutan serta faktor-faktor lain yang mempengaruhi kesejahteraan mereka.
Data daripada SKN kemudiannya dianalisis bagi menghasilkan welfare mapping yang membantu mengenal pasti tahap kerentanan taburan penerima bantuan mengikut mukim dan kampung, jurang intervensi serta keperluan sokongan yang bersesuaian. Analisis ini menjadi asas kepada perancangan Program Penyelarasan Intervensi Rentas Agensi dan penggubalan dasar sosial yang lebih berasaskan bukti yakni evidence-based policy making.
Selain itu, aspek pembangunan masyarakat turut diukur melalui pelbagai indicator lain di bawah program dan inisiatif kementerian termasuk penyertaan belia dan kesukarelawanan, pembangunan kepimpinan komuniti, pengukuhan institusi keluarga serta tahap penyertaan masyarakat dalam program-program pembangunan komuniti. Kesemua indikator ini saling melengkapi dalam memberikan gambaran mengenai tahap keupayaan dan daya tahan masyarakat.
Yang Berhormat, pendekatan kerajaan pada masa ini adalah untuk terus memperkukuh penggunaan dan integrasi data merentas kementerian dan agensi supaya setiap keputusan dasar dibuat berdasarkan analisis yang lebih komprehensif. Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengenal pasti keutamaan intervensi dan pengagihan sumber secara lebih bersasar malah membolehkan keberkesanan dasar dinilai secara lebih objektif dan berterusan.
Sehubungan dengan itu, kementerian akan terus mengikuti perkembangan amalan terbaik di peringkat serantau dan antarabangsa dalam bidang pengukuran kesejahteraan masyarakat. Sekiranya terdapat keperluan pada masa hadapan, kerajaan sentiasa terbuka untuk meneliti pendekatan atau instrumen baharu yang dapat melengkapkan sistem yang sedia ada dan terus memperkukuh perancangan pembangunan sosial negara.
Sekian yang dapat diulas, Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Soalan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman yang ditujukannya kepada Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
Yang Berhormat Menteri Pembangunanβ
Bismillahir rahmanir rahim. Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih juga kepada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman atas soalan mengenai dengan usaha penyelarasan bagi mengatasi kelambatan pelaksanaan sesuatu projek pembangunan.
Kelancaran sesuatu projek memerlukan penyelarasan yang awal dan penyelarasan berterusan antara agensi pelaksana, agensi teknikal dan agensi utiliti termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Perkhidmatan Air, UNN dan agensi-agensi berkaitan. Penyelarasan ini dilaksanakan dari peringkat perancangan ke peringkat reka bentuk, peringkat pembinaan sehingga pemeriksaan akhir dan pengeluaran sijil penyiapan.
Bagi projek kerajaan, Project Implementation Manual, PIM digunakan sebagai rujukan standard dalam pengurusan dan pelaksanaan projek. Pemantauan dilaksanakan melalui Mesyuarat Kemajuan Projek dan pemeriksaan secara berperingkat bagi mengenal pasti dan menyelesaikan isu-isu lebih awal, iaitu isu yang menjadi penyebab kelulusan menjadi lambat. Antara faktor penyebab ialah perubahan skop, perubahan design, kerja tambahan yang memerlukan kelulusan serta keperluan teknikal yang masih belum dipenuhi.
Oleh itu, pendekatan kementerian adalah untuk memperkukuhkan penyelarasan lebih awal supaya isu-isu tersebut diatasi lebih awal dan bukannya diselesaikan pada penghujung projek sehingga menjejaskan pengeluaran Certificate of Completion and Compliance, CCC.
Mengenai dengan kelewatan pembayaran, tuntutan-tuntutan kontraktor dan perunding dipantau supaya diproses mengikut TPOR dan tatacara kewangan yang berkuat kuasa. Antara punca kelewatan yang dikenal pasti ialah tuntutan yang tidak lengkap atau tidak betul dan memerlukan pembetulan serta tempoh yang diperlukan untuk mengesahkan kerja sebelum pembayaran dapat diperakukan.
Penyelarasan antara pegawai projek, perunding dan kontraktor perlu ditingkatkan terutama competency pegawai dalam pemprosesan tuntutan dan penggunaan TAFIS 2.0 serta memastikan kontraktor mengemukakan tuntutan yang lengkap dan teratur.
Insya Allah, usaha ini terus dipertingkatkan bagi memastikan kelulusan pelaksanaan dan penyiapan projek serta proses pembayaran dapat dilaksanakan dengan lebih teratur tanpa menjejaskan pematuhan kepada keperluan teknikal, kontrak dan tatacara kewangan kerajaan.
Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Seterusnya soalan Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan dan juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
Yang Berhormat Menteri Pembangunanβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan terima kasih kepada Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan iaitu soalan berkenaan dengan rumah cekap tenaga dan mesra alam, khususnya bagi perancangan perumahan negara.
Dari aspek kaedah pembinaan, projek-projek perumahan negara kini telah mengguna pakai kaedah Industrialised Building System, IBS, sebagai salah satu keperluan dalam Employers' Requirements. Kaedah ini menggunakan teknologi pembinaan moden, termasuk sistem hibrid yang menggabungkan aluminium formwork system dan precast components bagi elemen tertentu bangunan.
Selain meningkatkan kualiti dan mempercepatkan tempoh pembinaan, penggunaan IBS juga membantu mengurangkan pembaziran bahan binaan, penggunaan sumber di tapak serta pelepasan karbon semasa proses pembinaan.
Pihak Jabatan Kemajuan Perumahan akan terus menjalankan kajian terhadap penggunaan teknologi pembinaan moden seperti modular atau pre-fabricated houses, termasuk sistem Panel Polyurethane, PU daripada pembekal tempatan, sistem Prefabricated Monolithic Hybrid beam-column frame structure, PHF Building System, daripada pembekal luar negara. Teknologi-teknologi ini berpotensi mengurangkan pelepasan karbon, meningkatkan kecekapan pembinaan serta menghasilkan rumah yang lebih mampan dalam jangka panjang.
Bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan kos utiliti, rumah-rumah di bawah projek perumahan negara yang baru juga dilengkapi dengan lampu LED yang lebih cekap tenaga.
Di samping itu, pihak Jabatan Kemajuan Perumahan turut mengkaji pelaksanaan ciri-ciri tambahan yang menyokong kecekapan sumber, seperti penggunaan kelengkapan paip yang menjimatkan penggunaan air, water saving fittings, sistem rainwater harvesting bagi setiap rumah serta penggunaan lampu luar dan lampu jalan berkuasa solar di kawasan perumahan, tertakluk kepada kesesuaian teknikal dan peruntukan kewangan.
Selain itu, bagi memperkukuhkan amalan pembangunan mampan, projek-projek di bawah Jabatan Kemajuan Perumahan juga sedang diusahakan untuk memenuhi penarafan bangunan hijau, termasuk memperoleh penarafan Gold di bawah sistem penilaian bangunan hijau yang berkaitan sebagai langkah ke hadapan.
Kementerian akan terus menilai kesesuaian pelaksanaan dasar, piawaian dan teknologi baru yang dapat menggalakkan pembinaan rumah yang lebih cekap tenaga, mesra alam dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi pembangunan mampan Negara Brunei Darussalam serta peruntukan kewangan kerajaan dan juga kemampuan pemilik-pemilik rumah.
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Soalan Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub juga yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukanβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub atas soalan dan cadangan mengenai Petunjuk Prestasi yakni KPI yang digunakan oleh kementerian untuk mengukur kejayaan sebenar reintegrasi di Kompleks Rumah Kebajikan dan peratus yang benar-benar berjaya menjadi individu berdikari, mempunyai pekerjaan tetap, membina keluarga yang stabil dan tidak kembali kepada masalah sosial.
Bagi kementerian ini, kejayaan proses reintegrasi bukan sekadar diukur apabila seorang residen dibebaskan daripada Kompleks Rumah Kebajikan, tetapi melalui sejauh mana mereka mampu membina kehidupan yang stabil berdikari dan terus berfungsi sebagai anggota masyarakat yang produktif.
Untuk makluman, Kompleks Rumah Kebajikan Belimbing telah ditubuhkan sebagai institusi pemulihan dan perlindungan bagi menempatkan kanak-kanak di bawah 18 tahun dan perempuan melalui Perintah Mahkamah atau Perintah Pesuruhjaya iaitu Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Pembangunan Masyarakat melaksanakan Program Aftercare, iaitu program susulan yang menyediakan pemantauan, bimbingan dan intervensi selepas seseorang residen meninggalkan KRK. Program ini dilaksanakan sekurang-kurangnya sehingga tiga tahun selepas pembebasan atau sehingga residen mencapai umur 21 tahun sahaja, tertakluk kepada keperluan sesuatu kes.
Bagi menilai keberkesanan program ini, kementerian menggunakan Petunjuk Prestasi Utama yakni outcome-based KPI, yang memberi tumpuan kepada beberapa aspek utama. Di antaranya adalah kejayaan penempatan semula dalam persekitaran keluarga atau komuniti yang selamat, penyertaan dalam pekerjaan, pendidikan, latihan kemahiran atau keusahawanan, keupayaan hidup berdikari dan mengurus kehidupan secara positif, kestabilan hubungan kekeluargaan dan jaringan sokongan sosial dan juga ketiadaan penglibatan semula dalam gejala sosial atau kesalahan berulang yakni recidivism dan penglibatan aktif dalam masyarakat sepanjang tempoh pemantauan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Pada masa ini, tempoh pemantauan rasmi Program Aftercare adalah sehingga tiga tahun selepas pembebasan. Oleh itu, kementerian belum mempunyai data yang lengkap bagi tempoh lima sehingga sepuluh tahun sebagaimana yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub. Walau bagaimanapun, cadangan tersebut merupakan satu perkara yang akan diteliti dalam usaha memperkukuh sistem pemantauan berasaskan hasil yakni long-term outcome monitoring pada masa hadapan.
Namun, sukacita dikongsikan bahawa bagi tempoh 2022 hingga 2026, seramai 16 orang bekas residen pemulihan telah menamatkan tempoh perintah di KRK dan daripada jumlah tersebut, 10 orang yakni 63 peratus, telah berjaya memperolehi pekerjaan, seorang meneruskan pengajian, tiga orang masih dalam proses mendapatkan pekerjaan dan dua orang dikenal pasti mengulangi penglibatan dalam masalah sosial atau kesalahan jenayah. Dapatan ini menunjukkan bahawa sebahagian besar bekas residen berjaya meneruskan kehidupan dalam masyarakat melalui pekerjaan atau pendidikan, manakala sebilangan kecil masih memerlukan intervensi dan sokongan susulan.
Selain petunjuk kuantitatif tersebut, kementerian turut melihat kejayaan reintegrasi melalui perubahan kehidupan yang lebih menyeluruh. Antaranya ialah, bekas residen yang berjaya menamatkan pengajian di institusi pendidikan teknikal dan kini bekerja di sektor swasta serta beberapa kes kanak-kanak yang berjaya disatukan semula dengan keluarga atau penjaga yang sesuai dan terus mengikuti pendidikan dalam persekitaran yang selamat dan stabil.
Pengalaman ini menunjukkan bahawa kejayaan reintegrasi bukan hanya bergantung kepada institusi, tetapi dipengaruhi oleh sokongan keluarga, komuniti dan kerjasama pelbagai agensi. Selaras dengan itu, kementerian terus mengamalkan pendekatan family first approach, di samping memperkukuh kerjasama rentas agensi bagi memastikan setiap bekas residen menerima sokongan yang bersesuaian mengikut keperluan masing-masing.
Ke hadapan, kementerian akan terus memperkukuh pendekatan berasaskan hasil dengan meneliti mekanisme pemantauan jangka panjang yang lebih sistematik supaya keberkesanan program reintegrasi dapat dinilai bukan sahaja dari aspek pelindungan tetapi juga dari segi pembangunan potensi, kestabilan kehidupan dan penyertaan sosial bekas residen dalam jangka masa yang lebih panjang.
Sekian, Yang Berhormat Yang Di-Pertua jawapan kaola.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Soalan Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
Yang Berhormat Menteri Pembangunanβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman mengenai dengan soalan usaha untuk mengurangkan non-revenue water. Isu air tidak terhasil atau non-revenue water, serta kestabilan bekalan air adalah satu keutamaan Kementerian Pembangunan menerusi usaha Jabatan Kerja Raya.
Non-revenue water bukan sahaja melibatkan kehilangan hasil malah ia membazirkan sumber air terawat atau treated water dan meningkatkan kos operasi. Sebagai strategi utama, JKR telah memulakan Projek Pengurusan Non-Revenue Water Fasa 3 pada 2 September 2025 dan ini dijadualkan siap pada 1 September 2029.
Projek ini adalah kesinambungan kejayaan Fasa 2 di mana kadar non-revenue water telah berjaya diturunkan daripada 45 peratus pada tahun 2020 kepada 32 peratus pada tahun 2022, di kawasan perintis projek ini seperti Lambak Kanan, Tungku, Kilanas, Dadap dan Gadong.
Dalam menguruskan isu non-revenue water ini, Kementerian Pembangunan menggunakan 4 pendekatan guna pakai strategik.
Pertama, menerusi Projek Non-Revenue Water Fasa 3. Fokus utama diberikan khusus kepada pembinaan infrastruktur rangkaian pintar iaitu membentuk zon kawalan tekanan, district metered areas bagi mengumpul dan mengawal aliran air secara real time;
Kedua, kerja-kerja penggantian paip usang dilaksanakan menerusi Program Peruntukan Jabatan dan Rancangan Kemajuan Negara mengikut keutamaan;
Ketiga, pengesanan kebocoran bawah tanah dilaksanakan menggunakan teknologi penderia akustik digital, acoustic sensors untuk mengesan kebocoran tersembunyi bawah tanah; dan Keempat, penukaran meter air lama dijalankan menerusi pelaksanaan Sistem Pengurusan Tenaga dan Air Pintar Kebangsaan, USMS bagi memastikan ketepatan bacaan dan mengelakkan kehilangan air yang tidak dapat diakaunkan.
Jabatan Perkhidmatan Air juga giat melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di loji rawatan air dan pembinaan rumah booster pump untuk memastikan tekanan air mencukupi bagi seluruh negara termasuk kawasan di luar bandar dan pendalaman.
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Soalan Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin yang juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
Yang Berhormat Menteri Pembangunanβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan terima kasih di atas soalan Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin mengenai pelupusan sisa elektronik.
Sisa elektronik adalah perkakas elektrik dan elektronik yang tidak lagi boleh atau ingin digunakan dan perlu dilupuskan seperti set televisyen yang lama, peti sejuk, telefon bimbit, komputer riba, pendingin hawa, mesin basuh, pemain VCD dan DVD, komputer, pengering rambut, projektor dan sebagainya. Kebanyakan e-sisa ini mengandungi bahan yang toksik dan ada kesannya. Bukan sahaja kepada alam sekitar, tetapi juga kepada kesihatan.
Membuangnya ke dalam tong sampah adalah berisiko kerana banyak barangan elektronik dan elektrik yang mengandungi bahan seperti sulfur, raksa dan telurium oksida. Logam berat dan berbahaya lain seperti kadmium, kromium dan plumbum juga mungkin wujud. Inilah sebabnya e-sisa perlu dilupuskan dengan mengikut peraturan. Pembuangan e-sisa dengan sewenang-sewenangnya juga membawa kepada pemenuhan tapak pelupusan sampah selain daripada pencemaran toksik.
Satu lagi sebab e-sisa perlu dilupuskan dengan baik adalah komponen-komponen kecil di dalam barangan elektronik dan elektrik perlu diselamatkan dan digunakan semula di dalam peranti atau projek baru.
Mengambil kira akan perkara ini, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi telah menyediakan tempat pengumpulan sisa elektronik, iaitu di tempat pengumpulan di Sungai Paku dan di Sungai Akar bagi orang ramai menghantar sisa-sisa elektronik mereka. Setelah dikumpul, pihak JASTRE melalui kontraktor yang dilantik akan membuat pengasingan komponen seperti tembaga, emas dan aluminium untuk diekstrak semula melalui proses kitar semula yang selamat. Proses sedemikian juga diurus secara betul, yang bukan sahaja mengurangkan pencemaran, malah menyokong ekonomi kitaran dan membuka peluang pekerjaan.
Menurut maklumat yang dikongsikan oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, dianggarkan sejumlah 68.2 tan e-sisa yang telah dihantar ke Pusat Pengumpulan Sisa Elektronik di Sungai Paku dan Sungai Akar pada tahun 2025 untuk dilupuskan dan dikitar semula.
Dalam pada itu, di peringkat dunia global, E-waste Monitor Report menunjukkan bahawa hanya 22.3 peratus daripada 62 juta metrik tan sisa peralatan elektrik dan elektronik yang dijana setiap tahun berjaya dikitar semula secara rasmi. Keadaan ini mencerminkan cabaran global dalam mengurus e-sisa di samping menuntut pendekatan yang lebih bersepadu bagi memperkukuh amalan pengurangan penggunaan semula dan kitar semula.
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Soalan Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan kepada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukanβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan atas soalan mengenai pelan tindakan dan inisiatif jangka panjang kementerian dalam menjana pengusaha belia brunei yang celik Kecerdasan Buatan yakni AI.
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menyedari bahawa perkembangan AI membuka peluang yang signifikan dalam memperkasa golongan belia, khususnya dalam mempersiapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan untuk menghadapi keperluan pada masa hadapan, di samping membuka peluang pekerjaan baharu, mendorong inovasi dan keusahawanan serta meningkatkan keupayaan belia untuk menjadi pencipta peluang pekerjaan dan penyumbang aktif kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Sehubungan dengan itu, adalah penting bagi golongan belia untuk dipersiap dan diperkasa dengan pengetahuan, kemahiran serta keupayaan yang relevan agar mereka bukan sahaja mampu menyesuaikan diri dengan perubahan ini tetapi juga berupaya memanfaatkan teknologi dan AI sebagai peluang untuk berinovasi, mencipta nilai dan menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara.
Usaha melahirkan generasi belia yang celik AI dan berkemahiran digital memerlukan pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu melalui penglibatan serta kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk sektor kerajaan dan swasta, institusi pendidikan, industri, pertubuhan bukan kerajaan serta komuniti belia.
Keupayaan dan potensi belia kita dalam bidang Kecerdasan Buatan, teknologi dan inovasi digital semakin menyerlah dan ini terbukti melalui beberapa kejayaan yang telah dicapai di peringkat nasional dan antarabangsa.
Antaranya termasuk pencapaian dalam pertandingan dan platform berprestij seperti APICTA, BICTA, The Crown Prince CIPTA Award dan AI Ready ASEAN Youth Challenge yang melibatkan penyertaan belia daripada pelbagai institusi pendidikan termasuk sekolah-sekolah, Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei dan institusi-institusi lain.
Pencapaian ini mencerminkan bakat kreativiti dan keupayaan generasi muda negara untuk bersaing serta menghasilkan inovasi dalam bidang teknologi yang semakin berkembang.
Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035 turut menyelaraskan agenda pendigitalisasian dalam pembangunan belia. Dasar Belia Negara dan Strategi tersebut merupakan living document yang sentiasa disesuaikan dengan kehendak dan persekitaran semasa termasuk keperluan kemahiran digital dan AI selaras dengan Pelan Digital Brunei 2030.
Di samping itu, pembangunan keupayaan digital belia turut dilaksanakan oleh pelbagai pihak melalui pelbagai strategi dan program yang memastikan belia kekal relevan serta dilengkapi dengan kemahiran yang sejajar dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.
Contohnya, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan kurikulum STEAM dan AI di sekolah, Institusi Pengajian Tinggi dan universiti tempatan misalnya melaksanakan Projek Capstone dan perantisan iaitu Program Laluan Keprantasan di Universiti Teknologi Brunei dan kerjasama antara industri dan Universiti Brunei Darussalam bagi memastikan graduan memiliki kemahiran teknikal yang relevan dengan ekonomi semasa.
UBD juga telah memperkukuh pendidikan dan pembangunan bakat digital melalui penerapan teknologi dan AI melalui Program Ijazah Sarjana Muda Sains Digital Dalam Kecerdasan Buatan Gunaan, Bachelor of Digital Science in Applied Artificial Intelligence.
Darusalam Enterprise melalui Youth Apprenticeship Program menyediakan latihan dan sokongan dalam bidang keusahawanan digital. Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi, AITI telah menjalankan Startup673 National Hackathon yang diterajui oleh Brunei Innovation Lab dengan kerjasama AITI, BEDB dan LiveWIRE.
Ianya merupakan usaha sama yang menggalakkan golongan para belia dan usahawan muda membentuk pasukan mengenal pasti cabaran industri dan membangunkan penyelesaian inovatif dalam pelbagai bidang seperti kelestarian, kesihatan dan pendidikan.
Menurut perangkaan, setakat Julai 2026 sebanyak 279 peserta telah mengikuti Startup673 National Hackathon dan menjana pekerjaan baharu.
Di samping itu juga, telah direkodkan bahawa sebahagian syarikat telah berjaya melangkah ke peringkat komersial dengan memperolehi pelabur-pelabur yang berminat.
Di peringkat Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Pusat Pembangunan Belia menawarkan kursus singkat khusus dalam kemahiran digital dan AI seperti Digital Graphic Design, Laser Cutting and Digital Fabrication, Canva dan Social Media Marketing, Multimedia Production, Artificial Intelligence Fundamentals dan Web Development Essentials.
Sehingga kini, sebanyak 24 kursus di bawah Program Artisan Skills telah dilaksanakan dengan penyertaan lebih kurang 300 orang belia dan komuniti.
Kementerian ini juga menekankan pembinaan sahsiah dan kepimpinan belia yang memastikan belia bukan sahaja mahir dari segi teknikal tetapi juga memiliki nilai integriti, disiplin dan daya kepimpinan yang tinggi.
Kesemua inisiatif ini membuktikan bahawa usaha melahirkan belia celik AI dan berdaya saing dalam keusahawanan digital adalah agenda kolektif yang memerlukan komitmen seluruh ekosistem belia.
Kementerian ini akan terus memainkan peranan sebagai salah satu agensi pelaksana dalam usaha ini selaras dengan aspirasi melahirkan generasi belia yang inovatif, berdaya tahan dan mampu menjadi pencipta peluang pekerjaan serta menyumbang utama kepada ekonomi negara. Terima kasih.
Sekian sahaja kaola punya jawapan, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Soalan Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed yang juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukanβ
Terima kasih Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed atas soalan mengenai pendekatan kementerian dalam pembangunan industri sukan sebagai salah satu sektor ekonomi.
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan turut berpandangan bahawa sukan bukan sekadar medium untuk meningkatkan kesihatan, kesejahteraan dan perpaduan rakyat. Malah, sebagai sektor strategik yang mampu menyumbang kepada kepelbagaian dan pertumbuhan ekonomi negara.
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bersependapat dan bersetuju dengan Yang Berhormat bahawa industri sukan boleh diperkembangkan sebagai sektor ekonomi yang mampu menjana peluang pekerjaan.
Ke arah ini, kementerian akan menyusun dan menstruktur perkembangan sektor ini dengan lebih teratur dan sistematik ke hadapan.
Peningkatan penyertaan masyarakat dalam pelbagai acara sukan termasuk sukan komuniti seperti larian, berbasikal, kejohanan sukan rekreasi dan aktiviti kecergasan telah membuka peluang kepada perusahaan tempatan dalam bidang pengurusan acara, pembekalan peralatan dan pakaian sukan, makanan dan minuman, pengangkutan, penginapan, pemasaran digital serta perkhidmatan kreatif.
Sebagai contoh, penganjuran Festival Sukan yang baru-baru ini dianjurkan merupakan salah satu inisiatif event management dengan kerjasama pihak kerajaan telah berjaya menggalakkan penyertaan orang ramai, merancakkan aktiviti ekonomi tempatan dan menggerakkan pengusaha-pengusaha kecil serta sederhana di sekitar lokasi acara.
Seterusnya, penganjuran The Brunei Half Marathon 2025 yang dilaksanakan di atas Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien melalui pendekatan kerjasama menyeluruh melibatkan pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta serta rakan strategik yang dilantik termasuk Persatuan Sukan Kebangsaan iaitu Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam. The Brunei Half Marathon 2025 telah berjaya menarik seramai 3,028 peserta yang mana 162 orang daripadanya ialah peserta antarabangsa.
Selain itu, penganjuran kejohanan di peringkat kebangsaan serantau dan antarabangsa seperti kejohanan wushu, karate, fencing, golf dan tennis, acara larian berskala besar turut menjadi tarikan kepada atlet, pegawai dan penyokong dari luar negeri.
Ini secara tidak langsung menyokong pertumbuhan sektor pelancongan, hospitaliti dan perkhidmatan tempatan di samping memperkenalkan Brunei Darussalam sebagai destinasi penganjuran acara sukan.
Dari perspektif industri permainan dan kandungan digital, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam juga memperkukuh rantaian pembangunan bakat serta penghasilan produk yang berpotensi untuk dikomersialkan dalam industri permainan digital termasuk aplikasi berkaitan dengan sukan.
Dalam konteks ini, pihak kementerian ini melihat pembangunan industri sukan sebagai satu ekosistem yang memerlukan kerjasama erat antara kementerian dan agensi kerajaan, persatuan-persatuan sukan kebangsaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana serta pihak-pihak yang berkepentingan yang lain.
Pendekatan secara kolaboratif ini penting bagi memastikan pembangunan industri sukan dapat berkembang secara lebih tersusun, mampan dan memberi manfaat yang lebih meluas.
Insya Allah, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan terus memperkukuh kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan dalam mengenal pasti dan meneroka peluang serta menyediakan persekitaran yang kondusif bagi menyokong perkembangan industri sukan sebagai salah satu sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Usaha ini akan dilaksanakan secara berperingkat, teratur dan mampan dengan mengambil kira permintaan pasaran, kapasiti industri, aspek keselamatan, tadbir urus serta kualiti penganjuran agar perkembangan industri sukan dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada masyarakat, pengusaha tempatan dan ekonomi negara selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 ke arah meningkatkan kualiti kehidupan rakyat serta membangunkan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
Sekian yang dapat diulaskan Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Terima kasih Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan juga kepada Yang Berhormat Menteri Pembangunan atas jawapan-jawapan yang telah pun diberikan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Masa yang kita sediakan bagi pertanyaan sudah selesai dan sebelum kita beralih kepada urusan mesyuarat seterusnya, saya ingin mencadangkan supaya kita berehat dulu selama 15 minit dan kita akan menyambung semula dengan Ucapan Penangguhan seterusnya.
(Majlis Mesyuarat berehat sebentar)
(Majlis Mesyuarat bersidang semula)
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Bismillahir Rahmanir Rahim. Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sekarang Majlis bersidang semula dan kita beralih kepada urusan mesyuarat seterusnya.
Yang Mulia Jurutulisβ
Usul Bilangan 7/2026, Usul Penangguhan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Persidangan Majlis Mesyuarat Negara sekarang menyambung ucapan bagi Usul Penangguhan.
Maka sekarang saya ingin menjemput Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann.
Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Annβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim.
Dengan penuh hormat dan takzim terlebih dahulu kaola merafakkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas limpah perkenan dan kepimpinan baginda yang sentiasa menjadi sumber panduan, ilham dan dorongan kepada kita semua dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Bercakap berkenaan dengan usaha ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035, kaola mengharapkan agar setiap kementerian termasuk jabatan-jabatan di bawahnya hendaklah mula menyusun dan merancang peruntukan belanjawan masing-masing dengan lebih strategik bukan semata-mata berdasarkan keperluan operasi tahunan tetapi hendaklah benar-benar menjurus kepada pelaksanaan agenda pembangunan dan kemajuan negara.
Pada hemat kaola, setiap peruntukan yang dibelanjakan hendaklah mempunyai kaitan yang jelas dengan sasaran dan matlamat Wawasan Brunei 2035 serta mampu memberi impak yang nyata kepada rakyat dan negara.
Dengan pendekatan ini, belanjawan kerajaan bukan sahaja menjadi instrumen perbelanjaan tetapi menjadi pemacu utama kepada pelaksanaan dan pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Lebih-lebih lagi dalam tempoh sasaran Wawasan Brunei 2035 yang semakin hampir sudah tiba masanya setiap kementerian dan jabatan menilai semua keutamaan, keberkesanan serta hasil daripada program yang dilaksanakan.
Apa yang penting bukan hanya berapa banyak yang telah dibelanjakan tetapi sejauh mana perbelanjaan tersebut menghasilkan perubahan, meningkatkan produktiviti, membuka peluang kepada rakyat dan membawa negara lebih hampir kepada sasaran Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Selain daripada perancangan dan pelaksanaan kerajaan, kaola berpandangan bahawa perubahan minda, sikap dan budaya semua pihak kepada yang lebih positif, bertanggungjawab dan proaktif juga merupakan nadi penting dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.
Perkara ini juga selaras dengan hasrat dan pandangan jauh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sering menekankan pentingnya rakyat yang berdisiplin, bertanggungjawab, bersatu padu dan mempunyai kesedaran untuk sama-sama menyumbang kepada pembangunan negara.
Justeru, semangat Wawasan Brunei 2035 hendaklah diterjemahkan dalam kehidupan seharian termasuk membudayakan kebersihan, menjaga kesihatan diri, saling membantu, mengambil berat terhadap masyarakat dan tidak camah mata terhadap perkara yang berlaku di sekeliling kita.
Pada hemat kaola, kita perlu berubah daripada hanya menunggu kepada mengambil inisiatif dan hanya mengkritik kepada turut menyumbang dan daripada mementingkan diri kepada mengutamakan kepentingan bersama.
Jika perubahan sikap ini dapat kita hayati bersama, maka Wawasan Brunei 2035 bukan sahaja menjadi sasaran kerajaan tetapi benar-benar menjadi aspirasi, semangat dan cara hidup seluruh rakyat sebagaimana yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola jua berpandangan bahawa usaha mencapai Wawasan Brunei 2035, kesejahteraan rakyat hendaklah terus menjadi keutamaan. Kemudahan infrastruktur asas seperti bekalan air bersih, tenaga elektrik dan jalan raya sewajarnya disediakan pada tahap yang berkualiti, selamat dan boleh dipercayai.
Rungutan rakyat mengenai gangguan bekalan air dan elektrik hendaklah diberikan perhatian yang serius dengan usaha berterusan untuk mengurangkan kekerapan gangguan serta mempercepatkan tindakan pembaikan apabila berlaku.
Begitu juga dengan kemudahan jalan raya yang menjadi penghubung utama kepada aktiviti harian rakyat termasuk ke tempat kerja, sekolah, perniagaan dan urusan seharian. Jalan raya yang baik bukan sahaja memberi keselesaan dan keselamatan malah turut menyokong produktiviti serta perkembangan ekonomi.
Pada hemat kaola, pembangunan yang sebenar bukan hanya dilihat melalui projek-projek baharu tetapi sejauh mana kemudahan asas yang dinikmati rakyat setiap hari benar-benar berkualiti, berkesan dan memberi kesejahteraan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Pada masa ini, kaola melihat aktiviti perekonomian semakin rancak dianjurkan di setiap daerah. Penganjuran bazar jualan, ekspo dan pelbagai acara keusahawanan sama ada oleh pihak Majlis Perundingan Kampung, MPK mahupun sektor swasta merupakan satu perkembangan yang positif kerana membuka ruang dan peluang kepada PMKS tempatan untuk memasarkan produk, memperkenalkan jenama serta mendapat pelanggan baharu.
Aktiviti sebegini juga secara tidak langsung membantu merancakkan ekonomi setempat dan negara. Namun demikian, kaola bercadang agar setiap penganjuran mempunyai hala tuju dan kesinambungan yang lebih jelas dan tidak hanya dilihat sebagai one-off project atau acara yang selesai selepas beberapa hari.
Pada hemat kaola, adalah lebih baik jika bazar dan ekspo ini dirancang sebagai satu platform pembangunan PMKS yang berterusan dengan disusuli dengan program bimbingan, pendigitalan, penjenamaan, akses pembiayaan dan peluang pasaran.
Dengan pendekatan ini, penganjuran aktiviti ekonomi bukan sahaja menghasilkan jualan dalam tempoh tertentu, tetapi mampu melahirkan PMKS yang lebih berdaya tahan, berkembang dan berdaya saing.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola ingin melihat agar Negara Brunei Darussalam kembali memanfaatkan keupayaan yang pernah kita buktikan semasa penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.
Kita pernah menjadi tuan tumah Sukan SEA Ke-20 pada tahun 1999 yang memperlihatkan kemampuan negara dalam mengendali temasya sukan berskala besar, termasuklah segi penyediaan kemudahan sukan, penginapan, pengangkutan, keselamatan serta pengurusan acara antarabangsa.
Pada hemat kaola, pengalaman dan keupayaan tersebut wajar terus dikembangkan sebagai salah satu agenda ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035. Penganjuran acara antarabangsa bukan sahaja memberikan manfaat kepada bidang sukan, tetapi mempunyai economic spin-off yang luas melalui sektor pelancongan, perhotelan, makanan, pengangkutan, perniagaan PMKS tempatan.
Lebih penting lagi, penganjuran acara bertaraf antarabangsa boleh mengangkat imej Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang berkemampuan, mempunyai infrastruktur yang baik serta mampu menjadi tuan tumah kepada acara berskala serantau dan antarabangsa.
Oleh itu, kaola berharap potensi ini dapat dirancang secara lebih strategik dan berterusan, bukan hanya apabila ada tawaran atau peluang tertentu. Jika dirancang dengan baik, industri acara dan sukan antarabangsa boleh menjadi salah satu platform untuk mempelbagaikan ekonomi, menjana peluang pekerjaan, memperkasakan PMKS dan pada masa yang sama memperkenalkan Brunei Darussalam ke persada dunia.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, mohon untuk anu menyambung perbahasan?
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Yang Berhormat, oleh sebab banyak lagi Ahli-Ahli Yang Berhormat yang akan turut serta, maka saya berikan satu minit.
Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Annβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola juga ingin merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Jabatan Kemajuan Pelancongan atas usaha menganjurkan Tahun Melawat Brunei 2027, yang pelancarannya telah berlangsung pada 20 Jun 2026.
Pada hemat kaola, inisiatif ini merupakan satu langkah yang baik dalam usaha mengembangmajukan industri pelancongan negara.
Kaola sangat-sangat mengharapkan agar kempen ini dapat dipromosikan secara meluas, bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di peringkat serantau dan antarabangsa.
Namun demikian, kaola melihat bahawa logo dan maskot Tahun Melawat Brunei 2027 sehingga kini masih belum kelihatan secara meluas.
Kaola mengharapkan agar usaha promosi dapat dipergiatkan lagi termasuk melalui poster, iklan, barang cenderamata, botol minuman dan berbagai bahan promosi yang lain. Pada hemat kaola, usaha ini merupakan satu permulaan yang baik dalam membina kesedaran dan identiti Tahun Melawat Brunei 2027.
Namun, apa yang penting ialah memastikan peruntukan mencukupi serta sokongan padu daripada semua pihak pemain industri pelancongan agar kempen ini benar-benar memberi impak yang diharapkan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Untuk akhirnya, semoga segala pandangan dan cadangan yang kaola sampaikan sepanjang persidangan ini dapat diterima dalam semangat kebersamaan dan demi kepentingan rakyat dan serta Negara Brunei Darussalam.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Terima kasih Ahli Yang Berhormat dan sekarang saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman.
Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othmanβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Dengan penuh takzim dan rendah hati, kaola terlebih dahulu ingin merafakkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas limpah perkenan dan pimpinan baginda yang berterusan dalam memandu negara menuju masa depan yang lebih maju, sejahtera dan berdaya tahan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Sepanjang Musim Permesyuaratan ke-22 ini, berbagai perkara telah dibincangkan, dipersoalkan dan telah diajukan, pandangan telah dikongsikan dan cadangan telah diketengahkan. Kaola percaya, segala perbahasan yang berlangsung bukan semata-mata untuk mencari siapa yang benar atau siapa yang salah.
Sebaliknya, ini adalah sebahagian daripada proses untuk mencari jalan yang lebih baik, penyelesaian yang lebih berkesan dan pendekatan yang lebih tepat demi kepentingan rakyat dan negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola sukacita menyentuh sedikit mengenai penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan yang telah dibahaskan di Dewan yang mulia ini.
Pada hemat kaola, perkara ini merupakan satu usaha yang wajar diperkukuhkan kerana Kod Etika dan Tatakelakuan bukan sekadar satu dokumen atau peraturan, tetapi merupakan satu panduan yang jelas dalam memastikan setiap Ahli Yang Berhormat melaksanakan amanah, tanggungjawab dan peranan mereka dengan penuh integriti, profesionalisme serta rasa tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
Malah, pada pandangan kaola, prinsip-prinsip Kod Etika dan Tatakelakuan ini, bukan sahaja relevan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, tapi juga membawa nilai yang lebih luas kepada mana-mana pihak yang diberikan amanah dan tanggungjawab besar dalam membawa suara rakyat serta melaksanakan tugas demi kepentingan negara.
Kaola jua berpandangan bahawa keputusan untuk pindaan Kod Etika dan Tatakelakuan bagi memberi ruang untuk memperhalusi isi kandungannya merupakan satu langkah yang baik dan berpandangan jauh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola sukacita menyentuh beberapa perkara yang menjadi keperluan rakyat, antaranya pengukuhan ekosistem perniagaan PMKS serta penyampaian bantuan kebajikan yang lebih adil, bersasar dan telus.
Pada hemat kaola, kedua-dua perkara ini berkait rapat dengan sasaran Wawasan Brunei 2035 dalam menjamin kualiti kehidupan yang tinggi serta membina ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
PMKS perlu dilihat bukan sekadar sebagai penerima bantuan, tetapi sebagai pemain utama dalam rantaian ekonomi negara. Oleh itu, akses kepada kontrak pembiayaan, pasaran, pendigitalan, teknologi dan latihan perlu terus diperluaskan agar PMKS dapat berkembang, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan rakyat tempatan.
Selain daripada itu, bantuan kebajikan hendaklah disampaikan secara tepat sasaran, adil, telus dan berkesan. Pada masa yang sama, penerima perlu diberikan peluang meningkatkan kemahiran, mendapatkan pekerjaan dan menceburi keusahawanan supaya bantuan bukan sahaja meringankan beban, tetapi membantu mereka berdikari dalam jangka panjang.
Ini akan membawa kepada kehidupan rakyat yang lebih baik, ekonomi yang lebih kukuh dan masa depan yang lebih terjamin.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Menyentuh isu sosial, remaja dan belia. Kaola berpandangan, cabaran seperti penyalahgunaan dadah, buli, kesihatan mental, pengaruh media sosial dan masalah disiplin perlu ditangani secara whole of nation, melibatkan warga sekolah, kerajaan dan masyarakat.
Usaha pencegahan melalui pengukuhan jati diri, nilai MIB, daya tahan mental, kemahiran hidup dan peluang positif perlu diperkasakan bagi melahirkan generasi berakhlak, berdaya tahan dan menjadi penyumbang kepada Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Akhirnya, dengan pewujudan Menteri-Menteri Penyelaras, kaola berharap agar satu lonjakan yang lebih besar dan ketara dapat dilihat dalam usaha mempercepatkan pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Pada hemat kaola, langkah ini penting bagi memperkukuhkan penyelarasan antara kementerian serta memastikan setiap strategi pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, bersepadu dan berkesan, yang lebih penting, keberkesanannya.
Langkah ini, diharap dapat memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap kewibawaan pentadbiran kerajaan, khususnya dalam merancang, menyelaras dan melaksanakan strategi kemajuan serta pembangunan negara secara lebih jelas dan berfokus.
Sekian, terima kasih. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Saya persilakan Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed.
Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamedβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Terlebih dahulu, kaola ingin menjunjung kasih setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, atas limpah perkenan baginda, memperkenan Majlis Mesyuarat Negara terus bersidang sebagai medan untuk membahaskan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara.
Kepercayaan yang terus diberikan oleh baginda kepada majlis ini, merupakan satu amanah yang besar kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara untuk terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab demi kesejahteraan negara.
Dalam meneliti keseluruhan perjalanan persidangan pada musim ini, kaola melihat bahawa perbahasan yang berlangsung telah memperlihatkan satu perkembangan yang amat memberangsangkan.
Perbincangan di Dewan ini tidak lagi hanya tertumpu kepada mengenal pasti sesuatu isu atau cabaran semasa, tetapi semakin memberi penekanan kepada bagaimana institusi, dasar dan sistem negara dapat diperkukuhkan, supaya mampu memenuhi keperluan rakyat secara lebih berkesan pada masa hadapan.
Daripada perbahasan mengenai kesejahteraan warga emas, penyertaan pendidikan, daya tahan sistem digital kerajaan, penyelarasan ke arah Wawasan Brunei 2035 sehinggalah kepada pengukuhan majlis melalui penggubalan Kod Etika Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Kesemuanya sebenarnya, membawa satu mesej yang sama, iaitu keperluan untuk memperkukuhkan keupayaan institusi negara, agar sentiasa bersedia menghadapi perubahan yang semakin kompleks. Pada pandangan kaola, inilah satu petanda bahawa budaya perbahasan di Majlis ini semakin berkembang ke arah yang lebih strategik dan berpandangan jauh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola juga melihat bahawa beberapa isu yang dibincangkan sepanjang persidangan ini sebenarnya memberi gambaran tentang cabaran-cabaran yang akan semakin mempengaruhi pembangunan negara pada tahun-tahun yang akan datang.
Perubahan struktur penduduk, perkembangan teknologi dan Kecerdasan Buatan yakni AI, keperluan untuk memperkukuhkan modal insan, peningkatan jangkaan rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan awam serta keperluan memperkukuhkan daya saing ekonomi, bukan lagi isu yang boleh ditangani secara berasingan. Kesemua ini saling berkait dan memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam perancangan serta perlaksanaannya.
Oleh itu, pembangunan negara pada masa hadapan, akan banyak bergantung kepada keupayaan institusi untuk melihat sesuatu cabaran secara merentas sektor, membuat pertimbangan secara lebih awal dan bertindak dengan lebih pantas, apabila perubahan berlaku.
Satu lagi perkara yang menarik perhatian kaola ialah semakin banyak perbahasan pada musim ini memberi penekanan kepada daya tahan institusi.
Kita tidak lagi hanya membincangkan bagaimana sesuatu sistem dapat berfungsi dengan baik ketika keadaan berjalan seperti biasa, tetapi bagaimana sistem tersebut mampu terus memberikan perkhidmatan, apabila berhadapan dengan gangguan, perubahan ataupun cabaran yang tidak dijangka.
Begitu juga dalam aspek kebajikan masyarakat, pendidikan, pendigitalan mahupun penyelarasan pembangunan negara. Apa yang semakin jelas ialah negara memerlukan institusi yang bukan sahaja cekap melaksanakan tanggungjawabnya, tetapi mempunyai keupayaan untuk terus menyesuaikan diri mengikut perubahan persekitaran.
Kaola juga berpandangan apabila Wawasan Brunei kini memasuki fasa pelaksanaan yang semakin mencabar, kejayaan negara tidak lagi hanya bergantung kepada banyaknya dasar, inisiatif atau peruntukan yang disediakan.
Apa yang lebih penting ialah sejauh mana setiap usaha tersebut dapat diterjemahkan kepada hasil yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Dalam hubungan ini, tindakan susulan terhadap perkara-perkara yang telah dibahaskan di Dewan ini amatlah penting, pertanyaan, cadangan dan pandangan yang telah dikemukakan sepanjang persidangan ini merupakan satu khazanah pemikiran yang sangat bernilai. Ia mencerminkan pengalaman di lapangan, keperluan rakyat serta pandangan daripada pelbagai sektor.
Justeru, kaola berharap segala perkara yang telah dibahaskan akan terus menjadi sebahagian daripada proses penambahbaikan yang berterusan supaya setiap musim persidangan bukan sahaja menjadi ruang untuk membincangkan isu, tetapi turut menjadi penanda aras kepada kemajuan yang telah dicapai sejak persidangan yang lalu.
Budaya inilah yang akan terus memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap keberkesanan Majlis Mesyuarat Negara sebagai sebuah institusi yang sentiasa berkembang, seiring dengan keperluan negara.
Dalam hubungan ini, kaola juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan terhadap usaha-usaha di peringkat akar umbi yang terus menghidupkan kawasan kampung dan membuka peluang kepada masyarakat setempat.
Antaranya ialah usaha Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Jerudong B, dalam mengembangkan kawasan Pantai Siandang sebagai tempat riadah dan kegiatan masyarakat, di samping membuka ruang kepada aktiviti perekonomian setempat.
Kaola amat menghargai, usaha seperti ini kerana ia melihatkan bagaimana inisiatif masyarakat dengan sokongan pihak-pihak berkaitan boleh memberi manfaat secara langsung kepada penduduk dan pada masa yang sama, mengetengahkan tarikan yang terdapat di kampung kita.
Sebagai tanda penghargaan dan sedikit membantu mempromosikan Pantai Siandang, izinkan kaola menyampaikan dua rangkap pantun ringkas:
Pukul gendang di tepi laut,
Gendang dibuat warnanya gadong,
Pantai Siandang di tepi laut,
Dijaga oleh MPK Jerudong.
Banyak orang turun ke ladang,
Hendak memetik buah ceramai,
Bisai usul Pantai Siandang,
Tempat riadah orang ramai.
Kaola berharap usaha seperti ini terus mendapat sambutan dan sokongan bukan sahaja masyarakat setempat tetapi juga orang ramai supaya kawasan-kawasan seperti ini akan terus berkembang sebagai tempat riadah, kegiatan masyarakat dan perekonomian yang memberi manfaat kepada kampung dan penduduk sekitarnya.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Sebelum mengakhiri ucapan, kaola ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kepimpinan yang penuh hikmah dalam mempengerusikan persidangan ini serta kepada Yang Mulia Jurutulis bersama seluruh warga urus setia yang telah bertungkus lumus memastikan perjalanan persidangan berlangsung dengan lancar, teratur dan penuh profesional.
Akhir sekali, marilah kita bersama-sama berdoa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri sentiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, keafiatan, petunjuk dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala.
Bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-80 pada tahun ini, sama-sama jua kita berdoa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kekal karar memerintah serta terus memimpin Negara Brunei Darussalam ke arah kemajuan, keamanan dan kemakmuran yang berkekalan.
Sekian sahaja daripada kaola, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Saya persilakan Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee.
Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yeeβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Selamat pagi dan salam sejahtera. Sebelum kita mengakhiri persidangan ini, kaola ingin merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Yang Berhormat Menteri-Menteri dan rakan-rakan Ahli Yang Berhormat, Yang Mulia Jurutulis dan pegawai-pegawai serta kakitangan yang telah menyokong persidangan ini.
Majlis ini penting kerana di sinilah dasar kerajaan bertemu dengan realiti rakyat. Soalan kita mungkin bersifat terus terang tetapi tujuan kita sama, untuk membantu kerajaan dalam memberikan yang terbaik kepada rakyat.
Sepanjang persidangan ini, satu perkara sering timbul, rakyat bukan meminta sesuatu yang mustahil, mereka mahukan kejelasan, tindakan susulan dan dasar yang benar-benar berkesan dalam pelaksanaannya.
Dasar yang baik akan memberikan impak yang paling besar apabila dilaksanakan secara konsisten sehingga selesai dan juga apabila konsultasi memberikan ruang yang bermakna agar pandangan benar-benar dipertimbangkan. Persidangan ini juga telah menunjukkan nilai berpanjangan dan pertimbangan yang sebenar.
Pada hari Sabtu yang lalu, kita telah menyaksikan Peraturan Mesyuarat 20 dipraktikkan apabila satu Usul dipinda di dalam Dewan ini, hasil daripada perbahasan antara Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Ia menjadi satu peringatan yang berguna bahawa Majlis ini bukan sekadar tempat untuk merekodkan pandangan tetapi sebuah forum di mana pandangan tersebut boleh membantu membentuk sesuatu keputusan.
Keterbukaan terhadap pandangan seperti ini harus diteruskan dan diterapkan di luar Dewan. Sebahagian besar penglibatan kita bersama Menteri-Menteri dan jabatan-jabatan telah banyak memberikan maklumat dan beberapa sesi dialog juga telah membuka ruang untuk pertukaran pandangan yang berguna.
Kaola juga mengalu-alukan penglibatan Ahli-Ahli Yang Berhormat Yang Dilantik dalam pengemaskinian rangka kerja Wawasan Brunei 2035. Kaola berharap pendekatan ini akan dapat diteruskan dan diperkukuhkan melalui konsultasi yang bermakna kerana Ahli-Ahli Yang Dilantik dapat membawa pelbagai perspektif daripada kalangan peniaga, pekerja dan masyarakat ke dalam proses penggubalan berdasar. Kerajaan juga telah menjelaskan mandat Menteri-Menteri Penyelaras dalam menangani isu-isu yang merentasi kementerian dan agensi.
Sekarang ujian sebenar ialah bagaimana mandat tersebut berfungsi dalam pelaksanaannya apabila sesuatu isu yang mendesak melibatkan beberapa agensi, bagaimana tanggungjawab ditetapkan, siapakah yang akan memacu tindakan susulan dan bagaimanakah kita memastikan perkara tersebut akhirnya dibawa kepada penyelesaian.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Ini membawa kaola kepada persoalan yang lebih luas mengenai pelaksanaan. Kaola mengalu-alukan rangka kerja Wawasan Brunei 2035 yang telah dikemaskinikan dengan keutamaan nasional, hasil dan KPI serta hasrat untuk melaporkan kemajuan setiap tahun melalui indeks Wawasan Brunei.
Hala tuju dan ukuran pencapaian adalah semakin jelas. Apa yang lebih penting sekarang ialah pelaksanaan dan akauntabiliti untuk memastikan apa yang telah ditetapkan benar-benar tercapai. Apabila sasaran KPI dan garis masa telah ditetapkan, kita seharusnya akan semakin dapat melihat semuanya diterjemahkan kepada tindakan dan dilaksanakan sampai selesai.
Rangka kerjanya kini semakin jelas. Langkah seterusnya ialah memastikan kemajuan dapat dilihat, diukur dan dikekalkan.
Bagi projek-projek yang lama pula jika masih relevan, selesaikanlah. Jika keadaan telah berubah, kita perlu menilai semula dan menentukan sama ada projek tersebut perlu disesuaikan, diberikan keutamaan semua atau jika berasas, dihentikan.
Yang penting ialah adanya keputusan dan hala tuju yang jelas. Pada masa yang akan datang, kaola berharap Majlis ini tidak lagi membincangkan cabaran yang sama dalam keadaan yang tidak banyak berubah.
Kita seharusnya sudah dapat melihat pembaharuan yang telah dilaksanakan, projek yang telah diselesaikan, halangan yang telah diatasi serta hasil yang bertambah baik.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Jika kita benar-benar serius mengenai pelaksanaan, maka kita juga perlu serius tentang bagaimana kita kerjasama.
Piala Dunia FIFA baru-baru ini mengingatkan kita tentang satu perkara yang mudah. Tidak ada pasukan yang mampu menang dengan hanya bergantung kepada seorang pemain. Kementerian-kementerian bukan pasukan bersaing antara satu sama lain. Sektor awam dan sektor swasta bukan berada di pihak yang bertentangan.
Begitu juga dengan Ahli-Ahli Yang Berhormat Kerana Jawatan dan Ahli-Ahli Yang Berhormat Yang Dilantik. Seperti yang pernah dinyatakan oleh Yang Berhormat Yang Di-Pertua pada tahun 2023, kitani sebenarnya adalah satu team. Kita bukan pihak yang berlawanan antara satu sama lain. Pada pandangan kaola, lawan kitani ialah masa.
Dengan Menteri-Menteri Kabinet yang baharu, kitani mempunyai peluang untuk bergerak bersama untuk maju melangkah dengan lebih pantas. Tetapi kerjasama juga memerlukan hubungan yang baik. Kitani sering bercakap mengenai kerjasama dan sinergi, jadi alangkah baiknya kalau kitani sendiri boleh menunjukkan contoh atau lead by example. Jadi, apa kata kalau kitani adakan satu sesi pickleball bersama selepas persidangan ini? Kalau kitani menggalakkan orang lain untuk bekerjasama, mungkin kitani sendiri juga perlu berusaha untuk lebih mengenali dan bekerjasama dengan satu sama lain. Macam mana, Ahli-Ahli Yang Berhormat, setuju?
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Dalam semangat yang sama, marilah kita memberi sokongan kepada Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet dalam melaksanakan amanah yang diberikan dan menjunjung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Pada masa yang sama, kita hendaklah terus memberikan pandangan yang jujur dan membina jika ada perkara yang perlu diperbaiki. Memberi teguran yang membina bukan bermakna menentang. Menurut kaola, itulah sebahagian daripada khidmat kita kepada negara dan marilah kita pastikan perkara-perkara yang dibangkitkan dalam Majlis ini tidak berakhir sekadar sebagai soalan dan jawapan yang direkodkan dalam hansard tetapi diteruskan dengan tindakan di lapangan dan akhirnya membawa hasil kepada rakyat. Jika kitani terus bekerjasama dengan keterbukaan, kesegeraan dan rasa tanggungjawab yang sama, kaola yakin bahawa kemajuan yang sama-sama kitani ingin lihat itu mampu dicapai.
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Terima kasih Ahli Yang Berhormat. Sekarang kita menjemput Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam.
Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salamβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. (doa dibaca) Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh dan salam sejahtera.
Sebelum kaola memulakan Ucapan Penangguhan ini, kaola ingin menyahut cadangan Yang Berhormat Chong Chin Yee tadi untuk mengadakan perlawanan pickleball tadi dan kaola menyokong cadangan tersebut.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Awal kalam, setinggi penghargaan kaola ucapkan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas peluang untuk membahaskan penangguhan pada hari ini. Alhamdulillah, dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala, persidangan tahun ini telah berlangsung dan ditutup pada hari ini, insya Allah, dengan penuh tertib, harmoni dan muafakat.
Tahniah kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Yang Mulia Jurutulis, pegawai-pegawai urus setia serta seluruh warga Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat atas pengendalian mesyuarat yang begitu lancar dan efisien. Juga, terima kasih kaola ucapkan kepada Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet dan rakan-rakan Ahli Yang Berhormat atas komitmen dan kerjasama di sepanjang persidangan ini.
Dengan penuh hormat dan takzim jua, kaola merafakkan sembah menjunjung kasih atas kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan yang telah memberikan hala tuju yang sangat jelas bahawa negara mesti bergerak dengan lebih agresif, lebih bersepadu dan lebih berorientasikan hasil menuju Wawasan 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Tema Belanjawan tahun ini "Bersama Menjayakan Wawasan Brunei 2035" bukan sekadar slogan. Ia adalah amanah, seruan, dan peringatan bahawa dengan masa yang semakin singkat, setiap keputusan mesti membawa impak positif kepada rakyat. Lebih-lebih lagi dalam situasi negara yang berdepan defisit fiskal yang ketara. Setiap dolar yang dibelanjakan mesti menghasilkan impak, setiap projek mesti membawa hasil dan setiap dasar mesti diterjemahkan kepada tindakan.
Perbelanjaan berhemah adalah satu disiplin dan satu kemestian. Di sinilah peranan Yang Berhormat Menteri-Menteri Penyelaras menjadi kritikal, selaku penghubung yang menyatukan semua tindakan kerajaan merentas sektor, memastikan penyelarasan yang dilaksanakan mampu menutup jurang pelaksanaan, mempercepat keputusan dan hasil yang dirasai oleh rakyat.
Dalam perbahasan yang lalu, kaola dan beberapa rakan Ahli Yang Berhormat telah mengemukakan lima hasil nasional untuk diberikan keutamaan dalam usaha merealisasikan wawasan iaitu pertumbuhan ekonomi, pekerjaan, pembasmian kemiskinan, keselamatan makanan dan keselamatan tenaga. Ini disokong dengan lima proses pelaksanaan iaitu dengan mewujudkan kerangka yang jelas, kelulusan projek yang dipercepat, pemadanan tenaga manusia, fokus kepada kualiti dan ketahanan serta dashboard nasional yang telus. Inilah sistem operasi negara yang mesti digerakkan oleh Kabinet baharu dengan diterajui oleh Yang Berhormat Menteri-Menteri Penyelaras.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Persidangan ini telah membawa mesej yang sangat jelas bahawa negara tidak perlu menambah perancangan. Blueprint dan dasar kita sudah lengkap, kerangka kerja kita sudah tersedia, apa yang utama sekarang ialah tindakan bersepadu yang berfokuskan hasil. Pelbagai isu dibangkitkan dan pandangan serta cadangan telah dikemukakan di dalam Dewan yang mulia ini dari pelbagai aspek termasuk ekonomi, sosial, keselamatan, dan kesejahteraan rakyat.
Di samping strategi kementerian masing-masing yang sudah sedia ada, Yang Berhormat Menteri-Menteri sangat dialu-alukan untuk menilai pandangan serta cadangan yang difikirkan boleh memberikan hasil yang berimpak tinggi untuk dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, semua strategi dan tindakan hendaklah kembali kepada dua teras utama sebagai asas yang menentukan kejayaan dasar-dasar negara menuju Wawasan Brunei 2035 iaitu:
Pertama, keupayaan negara yang merujuk kepada kemampuan jentera pentadbiran negara untuk melaksana, menyelaras, memantau dan membetulkan dasar dengan berkesan. Dalam mengoptimumkan keupayaan negara ini, integriti mesti diperkukuh, birokrasi mesti dikurangkan, pemantauan berterusan mesti diperkasa, Blueprint mesti dilaksanakan dan Perkhidmatan Awam yang cemerlang mestilah bergerak sekarang;
Kedua ialah kepercayaan awam dan impak sosial yang akan terbina apabila rakyat melihat dasar-dasar dilaksanakan dengan telus dan memberi impak positif serta perubahan yang zahir dalam kehidupan harian mereka. Rakyat kini sedang memerhati dan menanti. Institusi keluarga mesti diperkukuh, golongan rentan mesti diberikan sokongan dan perlindungan, keselamatan digital mesti dipertingkat dan kualiti prasarana awam mesti ditingkatkan dan inklusif.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kaola menyambut baik hala tuju dan pendekatan pelaksanaan yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri-Menteri Penyelaras terutama langkah untuk menilai keberkesanan struktur penyelarasan selepas satu tahun. Ini menunjukkan komitmen dan kesiapsiagaan menteri untuk bertindak.
Pelantikan Menteri Penyelaras sangat tepat masanya dan penstrukturan semula beberapa jabatan dan agensi kerajaan juga langkah bijak menunjukkan ketegasan kerajaan untuk menjayakan penyelarasan melalui pendekatan whole of government dan whole of nation.
Kaola juga ingin menarik perhatian Dewan kepada beberapa agenda kritikal yang menjadi asas ketahanan negara dalam jangka panjang untuk diberikan perhatian dan tindakan segera bagi mencapai hasil-hasil nasional yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, peluang pekerjaan, harga makanan dan daya tahan negara menghadapi risiko luar jangka.
Antaranya ini mempermudah laluan pemerkasaan PMKS; mempercepat tindakan pembasmian kemiskinan secara bersasar; memperkukuh kesejahteraan sosial dan ketahanan keluarga; meningkatkan pengeluaran makanan tempatan dan mengurangkan kebergantungan tinggi kepada import dengan menetapkan sasaran yang rasional; menjamin bekalan tenaga negara; memperkukuh pendigitalan; pendataan; dan penggunaan AI secara terarah.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sekali lagi ingin kaola tegaskan bahawa teguran, pandangan dan penambahbaikan adalah sebahagian daripada proses kepimpinan yang sihat, bukan untuk melemahkan malah menguatkan sesebuah institusi.
Atas dasar itu, kaola menghargai kepimpinan Yang Berhormat Yang Di-Pertua memandu perbahasan-perbahasan di dalam Dewan ini dan menghalusi lagi Draf Etika dan Kelakuan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang sedia ada bagi memastikan ia benar-benar berfungsi sebagai satu instrumen yang memperkukuh integriti.
Sebagai penutup, semua langkah dan tindakan bukanlah agenda yang terpisah. Ia adalah langkah bersepadu dan diselaraskan. Rakyat akan tahu penyelarasan telah berjaya apabila mereka merasakan bahawa urusan perniagaan menjadi lebih mudah, projek siap mengikut waktunya, pekerjaan berkualiti semakin bertambah, sokongan bersasar sampai pada masanya, golongan rentan terus menerima intervensi awal yang responsif dan bekalan makanan serta tenaga kekal terjamin mengikut kemampuan. Itulah ukuran sebenar kejayaan penyelarasan. Keputusan bergerak kepada tindakan, tindakan membawa hasil dan hasil dirasakan oleh rakyat.
Untuk akhirnya, kaola kongsikan maksud daripada hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai panduan, "Sesungguhnya Allah menyayangi apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan tekun dan bersungguh-sungguh".
Untuk akhirnya, kaola mendoakan semoga Yang Berhormat Menteri-Menteri Penyelaras dan semua yang ada di dalam Dewan yang mulia ini sentiasa dalam petunjuk dan hikmah serta diberikan kekuatan oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk melaksanakan tugas dengan penuh keikhlasan, ketegasan dan kebijaksanaan pada jalan yang diredai Allah, demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara yang lebih terjamin. Kaola mohon menutup dengan sebuah pantun:
Perahu tambang di Sungai Brunei,
Bunga Simpur di hujung titi,
Wawasan dijulang negara permai,
Amanah dijunjung sepenuh hati.
Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Terima kasih. Sekarang saya persilakan, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugamaβ
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca).
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Alhamdulillah, kaola memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin-Nya jua, Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara bagi tahun 2026 telah dapat dilaksanakan dengan tertib, lancar dan penuh muafakat. Persidangan ini mempunyai makna yang amat khusus bagi kaola.
Pada 3 Ogos yang lalu, kaola telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Rasmi Kerana Jawatan setelah diberi amanah untuk berkhidmat sebagai Menteri Hal Ehwal Ugama. Menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negara bukan sekadar suatu kedudukan bahkan suatu amanah.
Dalam Dewan yang mulia ini, amanah ini menuntut untuk menyampaikan pandangan dengan penuh tanggungjawab. Setiap pertanyaan, cadangan dan jawapan menuntut persediaan serta penelitian kerana semuanya menjadi sebahagian daripada rekod rasmi yang boleh dinilai oleh rakyat dan generasi akan datang.
Kaola merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas pimpinan dan tunjuk ajar yang tegas lagi berhikmah serta kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat atas pendekatan yang beradab, teliti dan membina.
Persidangan ini memperlihatkan manfaat Majlis Mesyuarat Negara sebagai wadah menghimpunkan pengetahuan, pengalaman, pentadbiran dan pandangan masyarakat supaya dasar dan ruang penambahbaikan dapat diteliti bersama. Hal ini tergambar melalui perjalanan persidangan yang tersusun, pertanyaan menyediakan ruang untuk mendapatkan penjelasan, perbahasan memperhalusi isu dan dasar manakala Usul membawa perkara tertentu kepada pertimbangan serta keputusan Majlis Mesyuarat Negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Dalam kerangka tadbir urus berlandaskan syarak, pentadbiran negara bukan sekadar mengurus peraturan, institusi dan sumber, ia merupakan suatu amanah untuk merealisasikan maslahat dan mencegah mafsadah. Maslahat itulah kebaikan yang diiktiraf syarak yang memelihara ugama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Oleh itu, dalam mempertimbangkan sesuatu dasar, penilaiannya bukan sekadar sama ada ia boleh dilaksanakan tetapi juga kebaikan yang dihasilkan, kemudaratan yang dicegah, hak rakyat yang dipelihara dan keselarasan pelaksanaannya dengan syarak. Inilah erti pentadbiran sebagai amanah, membawa kebaikan, menegakkan keadilan dan mencegah kerosakan.
Prinsip ini diperkukuh oleh kaedah fiqh yang dihimpunkan oleh Imam As-Suyuthi dalam Al-Asybah Wa An-Nazhair dengan izin, (prinsip dibaca). Maksudnya, setiap keputusan dan tindakan pemerintah dalam mengurus hal ehwal rakyat hendaklah berasaskan kemaslahatan yang diiktiraf syarak iaitu berpaksi kepada kebaikan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Bertolak daripada prinsip ini, dasar dan tindakan kerajaan digerakkan untuk merealisasikan kemaslahatan rakyat dan mencegah kemudaratan. Manakala, syura menjadi kaedah tadbir urus yang menghimpunkan ilmu, pengalaman dan pandangan agar setiap keputusan dapat diperhalusi serta dilaksanakan secara adil dan berkesan.
Ini juga sesuai sebagaimana firman Allah, (ayat dibaca). Tafsirnya, "dan urusan mereka diputuskan dengan bermesyuarat sesama mereka". Ayat ini meletakkan bahawa musyawarah sebagai adab dalam mengurus urusan bersama. Setiap Ahli Yang Berhormat hendaklah mendengar dengan terbuka dan menyampaikan pandangan dengan ilmu, amanah dan hikmah demi mencapai keputusan yang terbaik.
Dalam acuan Negara Brunei Darussalam, Majlis Mesyuarat Negara menghidupkan semangat tersebut menurut Perlembagaan, peraturan-peraturan mesyuarat dan falsafah Melayu Islam Beraja.
Di bawah naungan pemerintahan beraja, Ahli-Ahli Mesyuarat Negara bermuzakarah, mendapatkan penjelasan, membahas dasar serta mengemukakan pandangan dan cadangan demi ugama, raja, rakyat dan negara. Inilah nilai penting Majlis Mesyuarat Negara. Nilainya adalah pada mutu penelitian, kesediaan semua pihak untuk mendengar dan tindakan susulan yang lahir daripada perbahasan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Sepanjang persidangan ini, pertanyaan, Kenyataan Menteri dan perbahasan telah menyentuh kesejahteraan rakyat, pembangunan negara, kehidupan berugama dan tadbir urus. Secara khusus bagi Kementerian Hal Ehwal Ugama, perhatian Dewan antara lain tertumpu kepada penyampaian perkhidmatan ugama, pengukuhan institusi dan penyesuaian dengan keperluan semasa.
Pandangan yang dikemukakan menjadi bahan muhasabah dan penelitian agar kementerian terus relevan dan berkesan serta berpaksi hukum syarak, Maqasid Syariah dan falsafah Melayu Islam Beraja. Kaola turut menyentuh sedikit berhubung dengan Usul Bilangan 4/2026 iaitu Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah mencapai Wawasan Brunei 2035.
Usul ini telah dibahas dan diluluskan dengan persetujuan semua Ahli Yang Berhormat pada 6 Ogos 2026. Selaras dengan keputusan sebulat suara Majlis Mesyuarat Negara, kaola menyambut baik tujuan usul berkenaan. Pelantikan tiga Menteri Penyelaras merupakan langkah strategik untuk memperkukuhkan penyelarasan rentas kementerian serta memastikan dasar kerajaan dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
Usul tersebut menekankan kejelasan tanggungjawab, kecekapan membuat keputusan, tumpuan pada hasil dan penglibatan masyarakat yang hendaklah diterjemahkan kepada manfaat nyata bagi rakyat dan sudah setentunya prinsip Maqasid Syariah akan menjadi neraca dalam penyelarasan dasar dan penyampaian khidmat kepada rakyat.
Berpandukan neraca tersebut serta kaola beriltizam memastikan lima teras strategik kementerian diterjemahkan kepada tindakan yang berfokus iaitu:
Pertama, memperkasa pendidikan ugama dan arab yang berkualiti;
Kedua, mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan yang cekap dan inovatif;
Ketiga, memperkukuh dakwah dan kesejahteraan sosial yang inklusif;
Keempat, memperteguh keutuhan modal insan yang mampan; dan Kelima, meneroka peluang pembangunan ekonomi yang dinamik termasuk melalui keusahawanan, pemeriksaan sosioekonomi umat, pengurusan zakat dan wakaf serta penyelidikan berimpak.
Pelan strategik kementerian ini telah disejajarkan dengan Wawasan Brunei 2035 serta blueprints dan agenda pembangunan kebangsaan yang berkaitan dengan kemajuannya diseleraskan dan dipantau secara berkala agar manfaatnya benar-benar dapat dirasa oleh rakyat.
Kementerian Hal Ehwal Ugama juga memainkan peranan penting dalam mendukung agenda pembangunan negara melalui pendekatan bersepadu selaras dengan tumpuan Yang Berhormat Menteri-Menteri Penyelaras khusus dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat, keharmonian negara dan pembangunan insan yang berteraskan nilai-nilai Islam.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola sedikit jua menyentuh Usul Bilangan 5/2026 mengenai penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara. Usul ini telah diluluskan dengan pindaan supaya draf kod ini dirujuk sebuah jawatankuasa untuk diteliti dan diperhalusi. Pada hemat kaola, penggubalan kod ini bukan semata-mata soal peraturan tetapi merupakan usaha memperkukuh budaya amanah, tanggungjawab dan profesionalisme.
Kod yang dirangka dengan jelas, menyeluruh dan praktikal serta dilaksanakan dengan adil akan menjadikan panduan bersama dalam memelihara kewibawaan Majlis dan memperkukuhkan keyakinan rakyat dalam kerangka yang lebih luas.
Kedua-dua Usul yang telah dibahas adalah saling melengkapi. Usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 memperkukuh hala tuju dan keupayaan pelaksanaan.
Manakala, Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan memperkukuh nilai amanah, intregiti dan kewibawaan institusi. Apabila hala tuju pelaksanaan dan amanah bergerak seiring, insya Allah setiap usaha akan lebih berkesan serta mendatangkan maslahat kepada negara dan rakyat.
Kaola merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kebijaksanaan memimpin persidangan ini serta kepada semua Ahli Yang Berhormat atas pandangan yang membina. Penghargaan juga ditujukan kepada Yang Mulia Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara serta seluruh pegawai Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat yang memastikan setiap persidangan berlangsung dengan tertib.
Marilah kita merafakkan doa Allah Subhanahu Wataβala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta seluruh kerabat baginda dikurniakan taufik dan hidayah, perlindungan, kesihatan serta keafiatan serta seluruh rakyat dan penduduk negara ini berada dalam rahmat dan pemeliharaan-Nya dan semoga Negara Brunei Darussalam akan terus aman, makmur dan diberkati menjadi Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur.
Sekian Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Terima kasih Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. Sekarang saya persilakan pula Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahimβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. (doa dibaca).
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Yang Di-Pertuan dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin dan rahmat-Nya kita telah sampai sesi penutup persidangan Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2026.
Terlebih dahulu izinkan kaola mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua di atas kebijaksanaan Yang Berhormat Yang Di-Pertua memimpin dan memandu permesyuaratan ini dengan penuh wibawa, kesabaran dan kesempurnaan. Dengan kepimpinan Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Dewan ini telah menjuruskan pembincangan kepada isu-isu strategik dan berkeutamaan khususnya yang berperanan untuk mengangkat lagi pencapaian negara dalam menuju Wawasan Brunei 2035, insya Allah.
Kaola juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua Yang Berhormat Menteri-Menteri yang telah secara berterusan mendengar persoalan, saranan serta memberikan penjelasan terhadap isu yang dibangkitkan dengan penuh perhatian, ketelusan dan semangat keterbukaan.
Sikap setia kawan dan kesepaduan yang ditunjukkan oleh semua Ahli Majlis mencerminkan keunikan Dewan ini. Ianya mempraktikkan amalan permuzakarahan, bekerjasama dengan menanai prinsip Melayu Islam Beraja ke arah mengutamakan keputusan yang terbaik dan bermanfaat bagi kebajikan rakyat serta kemakmuran negara di bawah pimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Alhamdulillah, pada persidangan sesi kedua tahun ini, kita secara khusus dan terperinci telah membahaskan satu agenda utama yang berkaitan dengan inisiatif-inisiatif penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035. Agenda pembangunan ini adalah sangat penting kerana ianya bukan sahaja berkait langsung dengan aspirasi dan hala tuju negara malahan bertindak sebagai asas kestabilan geopolitik, sosioekonomi, kemakmuran, kesejahteraan dan keselamatan negara serta rakyat dan penduduk di dalamnya.
Jika diamat-amati dari hasil perbincangan, Dewan yang mulia ini tidaklah ketundusan dalam menzahirkan cadangan dan idea-idea baru, bernas dan membina, strategik lagi positif berasaskan situasi semasa. Kita juga secara spesifik dan terbuka telah mengetengahkan maklum balas dari rakyat di samping mengajukan cadangan bagi way forward pada membantu menangani isu-isu semasa yang ditimbulkan.
Sebagai nilai tambah, kita juga telah mencadangkan beberapa langkah strategik dan forward looking ke arah meningkatkan effectiveness sistem perlaksanaan, sistem pemantauan dan penelitian semula beberapa aspek yang terdapat dalam wawasan ini agar ianya lebih result-oriented.
Kita menghargai bahawa banyak usaha inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam mencapai wawasan setakat ini. Begitu juga, kita mengakui akan pentingnya untuk mengkukuhkan pensejajaran, koordinasi dan integrasi agensi-agensi yang berkepentingan supaya perlaksanaannya akan lebih cepat dan terarah bagi menghasilkan kesan yang signifikan dan menyeluruh.
Ianya juga mengelakkan pertindihan bidang tugas dan pembaziran sumber. Kita juga menyedari bahawa salah satu perkara utama ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035 ialah kesepaduan, kesepakatan dan komitmen tinggi kita semua selaku rakyat dan penduduk di negara ini dalam menyokong dan menterjemahkan idea-idea untuk menjadi satu realiti yang akan dapat mencetuskan impak positif yang dihasratkan.
Apa yang penting ialah penglibatan rakyat di semua peringkat ke arah mencapai matlamat yang termaktub dalam wawasan ini menurut peranan dan kemampuan masing-masing. Ke arah itu, kaola mencadangkan supaya isu-isu dan saranan yang membina dalam perbahasan kita ini akan diteliti secara mendalam kesesuaiannya. Mana-mana dasar, peraturan dan program yang dapat membuahkan hasil yang segera yakni low-hanging fruits akan dilaksanakan secepat mungkin agar faedahnya akan dapat dirasai oleh rakyat dan penduduk negara ini.
Manakala, cadangan yang viable yang memerlukan penelitian lanjut akan dianalisis kebolehlaksanaannya dan dilibatkan agensi-agensi yang berkepentingan bagi menghasilkan program projek yang integrated, kukuh dan mantap, lebih-lebih lagi negara sudah mempunyai Yang Berhormat Menteri-Menteri Penyelaras yang diberi mandat jelas bagi menyelaraskan perancangan dan perlaksanaan isu-isu kertas sektor. Ini bagi memastikan pelaksanaannya yang akan berjalan lancar dan menurut sasaran yang telah ditetapkan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Alhamdulillah, Sesi Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara ini, secara keseluruhannya juga telah menyaksikan beberapa pengemaskinian dan pelaksanaan dasar-dasar baru yang memberikan isyarat positif dan impak luas ke arah kemajuan negara. Ianya bukan sahaja menyuntik semangat jitu kepada masyarakat peniaga pengusaha tempatan serta rakyat dan penduduk, malahan ianya juga menunjukkan kesungguhan yakni seriousness dan komitmen negara dalam usaha menarik lebih ramai lagi Pelabur Langsung Asing untuk berganding bahu dengan pengusaha tempatan bagi sama-sama mengaktifkan dan merancang aktiviti ekonomi negara setanding dengan negara-negara jiran di rantau ini.
Langkah ini adalah bertujuan untuk rakyat di semua peringkat akan dapat merasai kemajuan, keamanan dan kemakmuran negara dari apa jua dasar, program dan projek yang dirancang dan dilaksanakan di bawah kepimpinan bijaksana dan berwawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaras dengan matlamat yang disasarkan dalam Wawasan Brunei 2035.
Kaola yakin kesan positif dari hasil penyusunan jemaah menteri yang baru akan membuahkan pengenalan dasar-dasar dan peraturan yang insya Allah akan memberikan kesan limpahan berganda kepada negara secara holistik.
Oleh itu, kaola berharap, maklum balas yang disampaikan oleh Ahli Yang Di-lantik ini, akan diterima secara positif, membina dengan fikiran terbuka supaya apa jua dasar yang bakal digubal nanti akan lebih mantap, kukuh dan mendapat sokongan sepenuhnya dari sumber lapisan rakyat dan penduduk negara ini sebagai pendekatan senegara, yang pentingnya juga, apa jua dasar dan peraturan baru yang digubal dan dilaksanakan nanti, akan di follow through yakni cascading downward di setiap peringkat pelaksanaan secara jelas dan telus bagi mengelakkan interpretasi berbeza yang boleh saja melambatkan proses dan kebenaran.
Usaha mempercepatkan proses melalui amalan be ready yakni business ready ini juga diharap akan membantu memperbaiki ekosistem perniagaan negara supaya ia terlebih kondusif, proaktif dan mesra perniagaan. Ini insya Allah, diharap akan membuka lebih banyak peluang perniagaan perusahaan domestik sekali gus meluaskan lagi asas pendapatan dan ekonomi negara serta mengukuhkan kedudukan fiskal untuk sama-sama dinikmati oleh semua lapisan rakyat dan penduduk melayu, membuka lebih banyak lagi peluang-peluang pekerjaan yang berkualiti di semua peringkat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Sebagai penutup, izinkan jua kaola merakamkan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Mulia Jurutulis serta seluruh warga Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat atas kerjasama, kecekapan dan sokongan berterusan mereka sepanjang kedua-dua sesi permesyuaratan pada tahun ini.
Kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan berterusan mengurniakan taufik, petunjuk dan hidayahnya bagi kita semua untuk melaksanakan amanah yang dipikulkan kepada kita dengan ikhlas, tabah, penuh dedikasi dan komitmen yang tinggi.
Akhir sekali, boleh kaola teruskan?
Akhir sekali, kaola berdoa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemanca Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta seluruh kerabat diraja, akan sentiasa sihat walafiat dikurniakan nikmat lanjut usia, taufik dan hidayah keberkatan, kebahagiaan perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan seluruh rakyat dan penduduk di negara ini akan berterusan, dikurniakan kesejahteraan, rahmat dan nikmat Allah Subhanahu Wata'ala mengecapi kebahagiaan, kehidupan dengan sentosa dan selesa.
Untuk itu, kaola menyokong Usul Penangguhan yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II. Terima Kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Sekian terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Ahli-Ahli Yang Berhormat, alhamdulillah, saya kira cukuplah dulu kita bersidang pada pagi ini, dan saya cadangkan supaya mesyuarat ini ditangguhkan.
Insya Allah, kita akan bersidang semula pada petang ini, mulai dari jam 2.30 petang seperti lazimnya.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala Wabarakatuh.
(Majlis Mesyuarat disambung pada pukul 2.30 petang)
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.