8 Ogos 26 Pagi (Hari Ke-4)
📖 Masa membaca: 63 minit
📊 Bilangan kata: 12,851 kata
(Mesyuarat mula bersidang pada pukul 9.30 pagi)
Yang Mulia Jurutulis​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan ke-22 Majlis Mesyuarat Negara bersidang pada hari keempat pada hari ini, Sabtu, 24 Safar 1448 bersamaan 8 Ogos 2026 dan didahului dengan bacaan Doa Selamat.
DOA SELAMAT​
(Doa selamat dibacakan oleh Yang Mulia Begawan Mudim Awang Haji Mat Salleh bin Haji Damit)
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah, rahmat dan izin-Nya jua, maka kita dapat hadir pada pagi ini bagi hari keempat dalam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan ke-22 Majlis Mesyuarat Negara.
Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, kaum kerabat, para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita akan memulakan hari ini dengan urusan mesyuarat seterusnya.
Yang Mulia Jurutulis​
Waktu Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sekarang saya akan membukakan ruang bagi waktu pertanyaan. Saya memulakan dengan soalan pertama daripada Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola memohon izin untuk menggabungkan jawapan bagi soalan-soalan PL309 iaitu bilangan 1, PL244 bilangan 2 dan PL247 bilangan 5 iaitu soalan dari Perintah Harian memandangkan isu yang dibangkitkan adalah saling berkait. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terlebih dahulu kaola ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman dan Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub atas soalan-soalan yang diajukan. Kaola sukacita mengongsikan iaitu berdasarkan Banci Majikan Pekerja 2025, seramai 148,129 orang bekerja dalam sektor swasta yang terdiri daripada 66,116 pekerja tempatan atau 45 peratus dan 82,013 orang pekerja asing iaitu 55 peratus.
Lima sektor yang mencatatkan kebergantungan tertinggi kepada pekerja asing ialah sektor pembinaan sebanyak 82 peratus, 21,611 orang pekerja asing berbanding 18 peratus, 4,714 orang pekerja tempatan. Ini diikuti dengan sektor pertanian, perhutanan dan perikanan sebanyak 75 peratus iaitu 3,888 orang pekerja asing berbanding dengan 25 peratus, 1,263 orang pekerja tempatan.
Sektor lain-lain aktiviti perkhidmatan, sebanyak 69 peratus, 2,877 orang pekerja asing berbanding dengan 31 peratus, 1,221 orang pekerja tempatan. Sektor aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan sebanyak 67 peratus iaitu 13,938 orang pekerja asing, berbanding dengan 33 peratus iaitu 6,993 orang pekerja tempatan. Sektor pembuatan sebanyak 63 peratus iaitu 8,272 orang pekerja asing, berbanding dengan 37 peratus iaitu 4,962 pekerja tempatan.
Analisis menunjukkan bahawa, 22 peratus iaitu 4,224 orang daripada jumlah 19,183 pekerja tempatan memegang jawatan di peringkat pengurusan sebagai pengarah syarikat, managing director dan general manager. Manakala, 38 peratus iaitu 19,051 orang daripada 50,586 pekerja asing tertumpu kepada pekerjaan di peringkat perburuhan.
Oleh itu, walaupun masih terdapat ruang untuk meningkatkan penyertaan tenaga kerja tempatan, pendekatan yang diambil tidak boleh berasaskan penggantian pekerja asing secara langsung semata-mata, sebaliknya ia perlu mengambil kira kesediaan tenaga kerja tempatan, kesesuaian, kemahiran serta usaha meningkatkan kualiti pekerjaan yang ditawarkan. Ke arah itu, kerajaan memberi tumpuan kepada tiga strategi utama: Pertama, strategi mengutamakan pengambilan anak tempatan melalui penelitian permohonan, clearance letter dan perkhidmatan pemadanan pekerja oleh Pusat Pekerjaan Brunei;
Kedua, strategi membangunkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri. Sejak pelaksanaannya pada tahun 2017 hingga 30 Jun 2026, Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan telah memperkenalkan 17 Program Pembangunan Tenaga Manusia dalam bidang seperti HSSE, perakaunan, sumber manusia dan Allied Health.
Program-program ini telah disertai oleh seramai 16,158 orang anak tempatan yang terdiri daripada 15,230 pencari kerja dan 928 adalah mereka yang sudah bekerja. Alhamdulillah, daripada jumlah 15,230 orang pencari kerja tempatan tersebut, seramai 13,839 orang telah menamatkan program-program berkenaan. Manakala 1,391 orang selebihnya, masih aktif menjalani program-program yang dijalankan.
Dari jumlah 13,839 orang yang telah tamat program-program berkenaan, seramai 8,290 orang iaitu 60 peratus telah memperolehi pekerjaan, 317 orang lagi atau 2 peratus sedang melanjutkan pengajian tinggi, 2,884 orang atau 21 peratus masih aktif mencari pekerjaan melalui portal Pusat Pekerjaan Brunei dan manakala 2,348 orang atau 17 peratus selebihnya tidak mempunyai rekod pekerjaan terkini di Tabung Amanah Pekerja, rekod pencarian pekerjaan terkini di Pusat Pekerjaan Brunei, mahupun kemasukan ataupun enrolment terkini di dalam Institusi Pengajian Tinggi tempatan, pembiayaan biasiswa keluar negeri atau Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan;
Ketiga, strategi menyediakan dasar gaji minimum di sektor swasta. Pihak kerajaan telah melaksanakan Perintah Pekerjaan iaitu upah minimum secara berperingkat sebagai langkah untuk mengelakkan para pekerja dalam sektor-sektor tertentu dibayar gaji yang terlalu rendah. Pelaksanaan dasar ini akan diteliti dari masa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan fasa seterusnya, mengambil kira pengajaran dan iktibar daripada fasa satu dan fasa dua serta diperkukuhkan agar pelaksanaannya lebih berkesan dan selaras dengan impak yang dihasratkan.
Secara keseluruhannya, strategi kerajaan adalah untuk memberikan keutamaan yang lebih strategik kepada tenaga pekerja tempatan sambil memastikan keperluan tenaga kerja industri terus dipenuhi dan produktiviti negara tidak terjejas. Kejayaan tidak hanya diukur berdasarkan peratus pekerja tempatan, tetapi juga melalui peningkatan kadar penempatan dan pengekalan pekerjaan, tahap kemahiran, produktiviti, pendapatan serta bilangan anak tempatan yang berjaya membina kerjaya mampan dalam sektor-sektor utama negara. Insya Allah, strategi-strategi berkenaan akan diteliti keberkesanannya dari masa ke semasa.
Sekian yang dapat kaola sampaikan bagi menjawab soalan Yang Berhormat-Yang Berhormat yang berkenaan. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan yang ketiga daripada Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama​
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir Rahmanir Rahim. (doa dibaca).
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola mengucapkan terima kasih di atas kesempatan yang diberikan untuk menjawab pertanyaan pada sesi pagi ini.
Kaola memohon keizinan Yang Berhormat Yang Di-Pertua untuk kaola merangkum pertanyaan bilangan 3 PL171 dan juga PL207 bilangan 4, kerana soalan-soalan yang dikemukakan berkait dengan pensijilan halal, pematuhan halal dan usaha memperkukuh budaya pematuhan dalam kalangan pengusaha. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin dan Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin atas soalan-soalan yang dikemukakan.
Mengenai pertanyaan usaha kementerian menangani permintaan terhadap pensijilan halal yang terus meningkat, kementerian menyedari akan jumlah permintaan yang terus meningkat ini.
Bagi tempoh bulan Januari hingga bulan Julai 2026 ini sahaja, Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah menerima sebanyak 1,004 permohonan sijil halal untuk restoran dan permit untuk kilang produk. Dari jumlah ini, 614 permohonan telah diluluskan, 122 sedang diproses, 150 menunggu keputusan daripada pihak Majlis Ugama Islam Brunei, 23 diberi pengecualian dan 55 tidak dapat diluluskan kerana syarat yang ditetapkan belum dipenuhi.
Bagi menangani peningkatan permohonan ini, kementerian memperkemaskan semakan dokumen, pemeriksaan dan pemantauan serta penyediaan panduan mengenai bahan dan ramuan yang telah disahkan halal dan bahkan, senarai ramuan boleh diakses dalam laman sesawang kementerian bagi memudahkan rujukan.
Selain itu, bimbingan pra permohonan turut diperkukuh supaya pengusaha mengemukakan dokumen yang lengkap dan memenuhi keperluan sejak awal lagi. Langkah ini, alhamdulillah, membantu mengurangkan kelewatan yang boleh dielakkan dalam proses pertimbangan.
Berkaitan dengan itu juga, Jabatan Hal Ehwal Syariah telah memeterai Memorandum Persefahaman dengan Universiti Islam Sultan Sharif Ali, UNISSA melalui Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban pada 2 Februari 2023. Melalui Projek Rakan Penyelia Halal yang telah diinisiasikan oleh Jabatan Hal Ehwal Syariah, 30 orang pelajar UNISSA menjalani latihan industri di pusat penyembelihan tempatan, kilang pemprosesan makanan dan restoran bersijil halal. Mereka ini dimanfaatkan bagi membantu dari aspek bimbingan dan pemantauan pematuhan keperluan pensijilan halal di premis yang ditetapkan.
Sebenarnya, graduan UNISSA ini dan malah individu yang mempunyai kepakaran berkaitan, boleh berperanan memberikan khidmat nasihat, bimbingan dan latihan kepada pengusaha, tertakluk kepada kelayakan, kompetensi dan skop tugas yang ditetapkan. Peranan ini adalah pada peringkat persediaan permohonan dan tidak mengambil alih fungsi kawal selia.
Ini kerana pemeriksaan premis, pengawalseliaan proses penyembelihan, umpamanya, dalam bidang penyembelihan ataupun penguatkuasaan tetap terus dilaksanakan oleh pihak berkuasa yang ditetapkan. Keputusan akhir, mengenai sijil halal dan permit halal pula, kekal pada Majlis Ugama Islam Brunei menurut perundangan yang berkuat kuasa.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Mengenai dengan program kesedaran untuk membina budaya pematuhan kendiri dalam kalangan pengusaha makanan dan minuman, termasuklah kepada yang bukan Islam di bawah Pelan Strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama 2025-2029, kementerian melaksanakan beberapa program utama, iaitu:
Pertama, Program Pengukuhan Penyeliaan Halal bagi penyelia halal;
Kedua, Bengkel Pematuhan Halal bagi pengusaha restoran dan kilang pemprosesan makanan termasuk bagi pemilik Islam dan bukan Islam yakni kedua-duanya; dan
Ketiga, Program Peningkatan Kesedaran Halal bagi orang awam.
Pada tahun 2025, iaitu tahun lepas, seramai 2,194 peserta mengikuti program-program tersebut. Manakala, sejak Januari 2026 ini hinggalah kepada tarikh 30 Julai 2026, seramai 1,487 telah menyertai program-program tersebut dan insya Allah, sasaran penyertaan sehingga Disember 2026 ialah 2,974 peserta, insya Allah, di mana dijangkakan peningkatan sekitar 36 peratus.
Kementerian berpandangan bahawa budaya pematuhan kendiri dapat diperkukuhkan melalui pendekatan pendidikan, kesedaran dan kefahaman yang berterusan. Sehubungan dengan itu, Bengkel Pematuhan Halal akan terus diperluas dengan kerjasama UNISSA bagi meningkatkan kesiapsiagaan pengusaha dalam memenuhi keperluan pensijilan halal.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Mengenai mekanisme penilaian, bagi mengurangkan kes ketidakpatuhan secara berkesan, kementerian sebenarnya menilai pelaksanaan dan tahap pematuhan melalui beberapa indikator. Dua kelompok indikator yang digunakan pada masa ini ialah:
Pertama, indikator pencegahan yang merangkumi kadar liputan pemantauan dan penyertaan dalam program kesedaran serta latihan; dan
Kedua, indikator penguatkuasaan yang merangkumi bilangan notis serta arahan pematuhan yang dikeluarkan dan jumlah kes yang disabitkan di mahkamah.
Dalam tempoh tahun 2018 hinggalah ke Julai 2026 ini, sebanyak lapan kes ketidakpatuhan serius, istilahnya serius, telah disabitkan di mahkamah. Manakala, sebahagian besar kes sebenarnya tidaklah dibawa ke mahkamah, kerana ia adalah di peringkat notis dan arahan pematuhan tanpa perlu dibawa ke mahkamah.
Sebagai contoh, sepanjang tahun 2025, sebanyak 720 notis amaran dan arahan pematuhan telah dikeluarkan dan 716 daripadanya dipatuhi tanpa memerlukan tindakan lanjut ke mahkamah. Manakala, bagi tahun 2026 tahun ini, hinggalah ke bulan Julai, daripada 510 notis yang dikeluarkan, 509 telah dipatuhi oleh pengusaha tanpa perlu tindakan lanjut ke mahkamah.
Perlu diambil perhatian, kebanyakan kes yang dikeluarkan notis ialah kes-kes ringan iaitu tidak memaklumkan penambahan bahan ramuan atau menu.
Kesalahan yang hanya dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan adalah kesalahan-kesalahan yang serius yang melibatkan umpamanya, penggunaan dari sumber atau kandungan khinzir ataupun alkohol ataupun daging yang diragui kehalalannya.
Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Md. Yusof yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Kaola merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Md. Yusof atas soalan yang telah diajukan. Sebagaimana yang telah kaola bentangkan dalam perbahasan, Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 pada 3 Ogos yang lalu, kerajaan sememangnya mengiktiraf bahawa kemiskinan merupakan cabaran multidimensi yang tidak dapat ditangani oleh satu kementerian atau agensi sahaja. Puncanya bukan hanya berkaitan pendapatan, tapi turut dipengaruhi oleh pekerjaan, pendidikan, kesihatan, perumahan, pengangkutan, institusi keluarga dan sokongan sosial.
Oleh itu, usaha menangani kemiskinan memerlukan pendekatan whole of government dan whole of nation supaya dasar dan pelan tindakan dan intervensi dilaksanakan secara bersepadu dan saling melengkapi.
Dalam hubungan ini, kluster dasar-dasar sosial dan tenaga manusia telah dirangka berasaskan dua objektif utama, iaitu mengurangkan kerentanan sosial serta memperkukuh sara diri dan mobiliti sosial dan meningkatkan penyertaan tenaga kerja, kebolehpasaran serta produktiviti negara.
Beberapa sesi penyelarasan juga telah diadakan di antara kementerian-kementerian yang berkepentingan untuk mengenal pasti, isu rentas agensi, jurang pelaksanaan dan ruang penambahbaikan dalam menangani kemiskinan serta kerentanan sosial.
Dari aspek pensejajaran dasar, Social Blueprint menjadi kerangka strategik yang menyatukan pelbagai dasar, pelan tindakan dan inisiatif sosial ke arah tiga fokus utama, iaitu keperluan asas rakyat dan penduduk dipenuhi; jaminan kesejahteraan dan keselamatan; dan masyarakat yang berdaya tahan.
Sehubungan itu, pelan tindakan kementerian dan agensi, termasuk pelan tindakan pembasmian kemiskinan, diselaraskan supaya mengoptimumkan penggunaan sumber, mengelakkan pertindihan dan menyumbang kepada outcome yang sama.
Majlis Kebangsaan Isu Sosial dan Jawatankuasa Khas Isu Kemiskinan pula berperanan sebagai platform penyelarasan, pemantauan dan penilaian keberkesanan intervensi di peringkat kebangsaan.
Dari aspek welfare mapping, Sistem Kebajikan Negara berfungsi sebagai platform berpusat, bagi pengurusan permohonan dan penerima bantuan kebajikan yang digunakan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Kementerian Pendidikan serta Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Data yang dikumpulkan melalui sistem ini akan dianalisa untuk menghasilkan gambaran mengenai profil sosioekonomi penerima, corak keperluan, liputan bantuan dan jurang intervensi. Analisis tersebut membantu kementerian dan agensi mengenal pasti pertindihan bantuan, merancang intervensi yang lebih bersasar serta menghubungkan penerima kepada bantuan kebajikan, pekerjaan, latihan kemahiran dan program pemerkasaan ekonomi.
Pada masa yang sama, penghulu mukim dan ketua kampung terus diperkasakan sebagai barisan hadapan, dalam mengenal pasti golongan yang memerlukan, mengesahkan keadaan sebenar isi rumah dan memudah cara penyaluran bantuan.
Pengesahan permohonan dilaksanakan melalui borang pengesahan yang disokong dengan maklumat dari Sistem Kebajikan Negara. Peranan ini turut diperkukuh melalui Program Merakit Masyarakat dan Kursus Sistem Kebajikan Negara bagi meningkatkan kefahaman, kemahiran dan kecekapan penghulu mukim dan ketua kampung dalam mengurus isu kebajikan serta permohonan bantuan secara digital.
Bagi meningkatkan kecekapan penyampaian, beberapa penambahbaikan sedang dilaksanakan terhadap Sistem Kebajikan Negara termasuk pendigitalan aliran kerja, pengesahan penghulu mukim dan ketua kampung, semakan kelayakan awal, akses kepada maklumat bantuan yang lebih jelas, pemberitahuan automatik secara penambahbaikan pengurusan rekod dan permohonan. Penggunaan Kecerdasan Buatan juga sekarang diterokai bagi membantu analisis data dan penyediaan laporan dengan lebih cepat dan berkesan, tertakluk kepada keperluan tadbir urus dan perlindungan data.
Keseluruhan pembaharuan ini memberi penekanan kepada peralihan daripada pendekatan pemberian bantuan kewangan semata-mata kepada pendekatan pemerkasaan yang lebih bersasar dan transformatif. Matlamat kerajaan bukan hanya untuk mengelakkan pertindihan program dan bantuan tetapi memastikan setiap kementerian dan agensi melaksanakan mandat masing-masing secara saling melengkapi, berfokus dan berorientasikan outcome. Insya Allah, pendekatan ini akan membantu memastikan keperluan asas rakyat dipenuhi, kesejahteraan dan keselamatan terus terjamin serta masyarakat yang lebih berdaya tahan dapat dibangunkan selaras dengan aspirasi wawasan yang digariskan dalam Social Blueprint dan Wawasan Brunei 2035.
Sekian yang dapat kaola sampaikan bagi menjawab soalan Yang Berhormat yang berkenaan. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya dari Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola juga memohon sekali lagi izin untuk merangkum pertanyaan PL301 dan PL266, masing-masing bilangan 7 dan 8. Kedua-duanya daripada Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann dan Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin kerana kedua-duanya menyentuh agenda yang sama iaitu memperkukuh bimbingan ugama bagi belia dalam persekitaran digital.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Silakan.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kementerian Hal Ehwal Ugama merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann dan Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin.
Kita mengetahui ruang digital kini menjadi daripada sebahagian kehidupan seharian. Oleh itu, setentunya panduan agama yang sahih dan berautoriti juga perlu mudah untuk dicapai, relevan dan mudah ditemukan. Kementerian Hal Ehwal Ugama melaksanakan strategi yang berfokus kepada empat perkara yang utama iaitu:
Pertama, memperluaskan kehadiran dakwah digital;
Kedua, menyediakan kandungan agama yang sahih dan berautoriti;
Ketiga, menangani penyebaran maklumat agama yang mengelirukan; dan
Keempat, memperkukuh pembinaan jati diri belia melalui program-program yang relevan dengan perkembangan semasa.
Dari aspek memperluaskan kehadiran dakwah melalui platform digital, Pusat Dakwah Islamiah kini mengendalikan rangkaian dakwah merentasi sembilan platform digital utama dengan jumlah pengikut secara aggregate melebihi 63,000. Platform-platform tersebut termasuklah antaranya ialah Instagram, Facebook, TikTok, WhatsApp Channel yang digunakan bagi menyampaikan pengisian agama secara lebih mudah diakses oleh masyarakat khususnya di kalangan muda.
Di samping itu, aplikasi Mushaf Brunei Darussalam yang menyediakan kemudahan pembacaan Al-Quran secara digital telah mencatat hampir 50,000 muat turun manakala Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan turut memperluaskan penyebaran ilmu melalui platform akademik digitalnya.
Dari aspek penyediaan kandungan ugama yang sahih dan relevan, kementerian memberikan tumpuan kepada penghasilan kandungan ugama yang berautoriti dan sesuai dengan pendekatan komunikasi semasa. Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah penerbitan e-poster infografik Khutbah Jumaat, siri video Kan Tanya Ustaz serta podcast Da'ie Basanayan yang menyampaikan kefahaman ugama dalam format yang lebih dekat dengan golongan muda dan ini sebenarnya adalah program-program yang sangat menarik.
Kementerian juga memperkasa keupayaan para pendakwah melalui latihan dan bengkel penghasilan kandungan dakwah digital agar mesej ugama dapat disampaikan secara lebih berkesan dan sesuai dengan perkembangan teknologi.
Mengenai usaha menangani penyebaran maklumat ugama yang tidak sahih di media sosial selain yang disebutkan tadi, membanyakkan penyediaan sumber rujukan ugama yang sahih dan mudah diakses oleh masyarakat melalui platform-platform yang telah disediakan.
Bahagian Penguatkuasaan Ugama juga turut bertanggungjawab memantau dan meneliti aduan dan maklumat khusus mengenai kandungan keugamaan yang berpotensi mengelirukan atau bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan jika tindakan diperlukan perkara ini turut ditangani bersama dengan agensi berkaitan undang-undang dalam bidang kuasa masing-masing.
Sekiranya timbul isu yang memerlukan penjelasan, kementerian juga akan mengeluarkan penerangan rasmi melalui saluran-saluran berautoriti sebagai panduan kepada orang ramai.
Sebagai contoh beberapa hari yang lepas, kementerian telah mengeluarkan satu kenyataan media untuk mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap program keugamaan kerohanian yang tidak mendapat kebenaran Majlis Ugama Islam Brunei. Ini kerana susulan pengesanan aktiviti oleh individu atau kumpulan tertentu yang dipercayai cuba mempengaruhi masyarakat serta menyebarkan ajaran yang meragukan atau bercanggah dengan syariat Islam dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Di samping itu juga, Khutbah Jumaat turut dimanfaatkan sebagai medium penyampaian dan penjelasan terhadap isu-isu semasa yang berkaitan agama dan juga khususnya mengenai dengan akidah.
Mengenai usaha memperkukuh pendidikan ugama dan bimbingan belia dalam era digital, kementerian melaksanakan pelbagai program yang menggabungkan pendekatan digital dan juga bersemuka bagi membina sahsiah, jati diri dan nilai keugamaan dalam kalangan belia. Antaranya ialah Program Keugamaan Senegara, PKS yang dilaksanakan secara berkala di sekolah-sekolah Arab dan juga di sekolah-sekolah ugama seluruh negara dengan pengisian yang menyentuh aspek akidah, akhlak, kenegaraan, kekeluargaan, pencegahan gejala sosial serta pembangunan sahsiah.
Selain itu, Jabatan Pengajian Islam juga melaksanakan program Husnul Khuluqi bagi golongan remaja. Manakala, di Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Jawatankuasa Tertinggi Belia Masjid Senegara menganjurkan pelbagai program kepimpinan, pembangunan diri, kemahiran digital, kerohanian, kesukarelawanan dan kemasyarakatan bagi menggalakkan penglibatan aktif belia dalam aktiviti masjid dan pembangunan masyarakat di seluruh negara ini.
Dan Alhamdulillah, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, berdasarkan rekod sesi 2025/2026, seramai 3,102 orang belia dan beliawanis telah berdaftar di bawah kumpulan Belia Masjid Senegara. Daripada 120 masjid, surau dan balai ibadat yang disenaraikan, sekitar 91 buah masjid, balai ibadat dan surau mempunyai keahlian belia yang aktif berdaftar di mana pelbagai program dilaksanakan antaranya program impak, malam munajat, digital workshop, team building belia, pertandingan video dakwah, program khidmat masyarakat dan lawatan sambil belajar yang bertujuan semuanya untuk membentuk belia berakhlak, berkemahiran dan aktif dalam pengimarahan masjid.
Pendekatan kementerian, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, ialah untuk memanfaatkan platform digital sebagai medium untuk mendekati dan menarik minat belia. Manakala, program bersemuka terus diperkukuhkan bagi membentuk akhlak sahsiah dan penghayatan nilai-nilai Islam secara berterusan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Melalui pendekatan yang menyeluruh ini, kementerian akan terus memperluaskan dakwah dan pendidikan ugama yang relevan dengan cabaran era digital di samping memastikan masyarakat khususnya golongan belia memperoleh panduan ugama yang sahih serta mempunyai ketahanan diri dalam menghadapi pengaruh maklumat yang mengelirukan, isu moral dan juga cabaran sosial semasa.
Kita mengetahui bahawa ruang digital bersifat terbuka dan cepat berubah. Oleh itu, tumpuan kementerian ialah memastikan sumber yang sahih dan berautoriti mudah ditemukan di samping membekalkan golongan belia dengan keupayaan menilai kewibawaan sumber, membandingkan maklumat dan mendapatkan penjelasan daripada pihak berautoriti.
Namun demikian, peranan ibu bapa dan penjaga juga adalah sangat penting. Pendidikan ugama secara formal yang sedia ada perlu diperkukuhkan melalui teladan, bimbingan dan amalan yang konsisten di rumah, umpamanya memimpin anak-anak mengerjakan kewajiban Islam seperti sembahyang fardu, menjaga adab dan pergaulan, penjagaan aurat dan penggunaan ruang digital secara bertanggungjawab dan berhemah.
Kementerian merakamkan sekali lagi penghargaan kepada kedua-dua Yang Berhormat atas soalan yang membina ini. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola mohon izin untuk menggabungkan jawapan bagi soalan PL170 dan PL186 iaitu soalan yang disenaraikan bilangan 9 dan bilangan 13 dari Perintah Harian memandangkan isu yang dibangkitkan adalah saling berkait. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terlebih dahulu kaola ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin dan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin atas soalan-soalan yang diajukan.
Berhubung dengan kedai kampung, perkara ini telah pun kaola jelaskan secara terperinci melalui Kenyataan Menteri dan semasa Sesi Pertanyaan Jawab Lisan pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-22 Majlis Mesyuarat Negara.
Secara asasnya, kedai kampung merupakan salah satu platform untuk membuka ruang kepada masyarakat kampung berniaga, memasarkan produk tempatan dan memperkukuh aktiviti ekonomi di peringkat akar umbi. Namun, kejayaan dan perluasan inisiatif ini bergantung kepada komitmen, kemahuan, keupayaan pengurusan dan daya maju perniagaan masyarakat setempat termasuk peranan Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dan bukan pada penyediaan premis semata-mata.
Perkara ini juga selaras dengan Petunjuk Prestasi Utama penghulu mukim dan ketua kampung iaitu KPI 8, bagi mengukur jumlah produk 1K1P yang sedia ada atau baru untuk dikembangluaskan dalam menjana perekonomian kampung atau mukim.
Sukacita kaola kongsikan di Dewan yang mulia ini, berdasarkan banci majikan dan pekerja iaitu setakat 1 April 2026, jumlah syarikat yang menjalankan kegiatan runcit termasuk perdagangan borong dan pembaikan kenderaan di negara ini adalah sebanyak 1400 dengan jumlah tenaga kerja seramai 16,031 orang. Daripada jumlah tersebut, 6572 orang adalah terdiri daripada pekerja tempatan, manakala 9459 adalah pekerja warga asing.
Dari segi pemilikan pula, semua kedai runcit iaitu 1400 adalah dimiliki oleh warga tempatan namun sebahagiannya iaitu 482 syarikat kedai runcit sahaja mempunyai pemilikan bersama warga tempatan dengan warga asing.
Dalam konteks ini, usaha memperkukuh penyertaan tempatan perlu dilihat secara menyeluruh bukan sahaja dari segi pemilikan tapi juga penyertaan sebagai pengusaha, pembekal dan pekerja.
Setakat 30 Jun 2026, sebanyak 2,776 kekosongan jawatan yang telah diiklankan melalui Pusat Pekerjaan Brunei yang bersesuaian untuk diisikan oleh pencari kerja tempatan berkelulusan 'O' Level dan ke bawah.
Daripada jumlah tersebut, 766 jawatan telah berjaya diisikan oleh pencari kerja dalam kategori kelulusan yang sama.
Pada masa ini, terdapat 2,010 kekosongan jawatan yang aktif diiklankan termasuk 528 jawatan dalam sektor peruncitan seperti buruh kedai dan juruwang yang juga sesuai untuk diisikan oleh pencari kerja tempatan berkelulusan 'O' Level dan ke bawah.
Walau bagaimanapun, bagi kategori kelulusan ini terdapat seramai 4,572 pencari kerja tempatan yang masih aktif mencari pekerjaan. Ini menunjukkan bahawa jumlah kekosongan jawatan yang tersedia masih belum mencukupi untuk pencari kerja anak-anak tempatan, dengan wujudnya jurang sebanyak 1,796 jawatan antara bilangan pencari kerja aktif dan peluang pekerjaan yang ditawarkan.
Dalam hal ini, berdasarkan maklumat yang dikongsikan tadi dapat disimpulkan bahawa peluang-peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan masih lagi tersedia dalam pasaran pekerjaan.
Walau bagaimanapun, cabaran yang perlu diambil perhatian adalah sejauh mana pencari kerja tempatan kitani bersedia untuk merebut peluang-peluang tersebut dan mengisikan jawatan-jawatan yang lazimnya diisikan oleh pekerja asing.
Sekian yang dapat kaola sampaikan bagi menjawab soalan Yang Berhormat yang berkenaan. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam yang juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Kaola merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam atas soalan yang diajukan.
Pada menjawabnya, sukacita kaola mengongsikan bahawa aktiviti perekonomian di kawasan Pantai Jerudong terus diperkembangkan melalui kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara dengan Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Jerudong B.
Sejak dua tahun kebelakangan ini, beberapa aktiviti keusahawanan telah diungkayahkan termasuk kerja-kerja pemeliharaan infrastruktur di kawasan berkenaan seperti tandas, surau, jalan raya, termasuk penyediaan tempat perahu berlabuh yang diungkayahkan sendiri oleh Majlis Perundingan Mukim dan Majlis Perundingan Kampung Jerudong B dengan mengenakan sewa yang berpatutan.
Alhamdulillah, setakat ini pelbagai kegiatan telah dilaksanakan termasuk pengoperasian gerai oleh peniaga-peniaga tempatan, Pesta Makan Tahun Pantai Siandang Kampung Jerudong yang telah menghimpunkan kumpulan-kumpulan kebudayaan serta persatuan puak Kedayan dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dan penyediaan gelanggang gasing.
Usaha seumpama inilah yang sepatutnya dilaksanakan oleh setiap Majlis Perundingan Mukim dan Kampung. Pendekatan ini merupakan antara contoh pelaksanaan whole of government dan whole of nation di mana agensi kerajaan, pemimpin akar umbi dan masyarakat bekerjasama menghidupkan ruang awam serta menjana peluang ekonomi setempat.
Dalam hubungan ini, kawasan Pantai Jerudong juga dilihat mempunyai potensi untuk dibangunkan secara lebih bersepadu sebagai salah satu destinasi tarikan tempatan.
Antara inisiatif yang telah diperkenalkan ialah pakej lawatan dengan memperkenalkan cara pembuatan makanan tradisi puak Kedayan termasuk sesi taklimat, demonstrasi dan lawatan ke mini muzium.
Pendekatan ini bukan sahaja mengetengahkan warisan budaya setempat tetapi turut membuka peluang pendapatan kepada pengusaha tempatan, memperkukuh produk 1K1P dan menambah nilai kepada pengalaman pelawat.
Bagi menyokong pembangunan kawasan ini, usaha penambahbaikan kemudahan dan prasarana juga akan terus diberikan perhatian termasuk penyediaan meja, kerusi, ruang yang lebih selesa untuk kegunaan pengunjung. Walau bagaimanapun, penyediaan infrastruktur perlu disertakan dengan rasa tanggungjawab bersama.
Sehubungan dengan itu, orang ramai juga diseru untuk menjaga kebersihan, keselamatan dan kemudahan yang disediakan supaya dapat digunakan secara berterusan dalam jangka masa panjang. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri akan terus menyokong pelaksanaan aktiviti yang dapat memperkukuh ekonomi tempatan, mengaktifkan ruang awam dan menyumbang kepada persediaan Tahun Melawat Brunei 2027.
Dalam hubungan ini, perbincangan antara Jabatan Daerah Brunei Muara dan Jabatan Kemajuan Pelancongan telah pun dimulakan bagi mengenal pasti peluang kerjasama dalam menyelaras perancangan yang bersesuaian supaya pembangunan Pantai Jerudong dapat dilaksanakan secara lebih teratur, mampan dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Sekian yang dapat kaola sampaikan bagi menjawab soalan Yang Berhormat yang berkenaan. Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof, yang juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kementerian Hal Ehwal Ugama merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof, atas soalan mengenai penilaian prestasi dan pengukuhan tatakelola pengurusan serta pentadbiran masjid.
Kementerian melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid melaksanakan penilaian berkala dan audit dalaman yang merangkumi empat aspek utama iaitu pentadbiran, tadbir urus kewangan, penyelenggaraan dan kebersihan, pengurusan sumber manusia serta keberkesanan program pengimarahan.
Bagi tadbir urus kewangan, pemantauan dibuat terhadap pengurusan kewangan masjid termasuk pematuhan kepada peraturan serta penyediaan penyata kewangan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Sehingga Jun 2026, sebanyak 102 daripada 108 buah masjid, surau dan balai ibadat yang mempunyai tabung masjid atau 94.1 peratus telah menghadapkan penyata kewangan bulanan dalam tempoh yang ditetapkan. Manakala baki enam buah ataupun 5.6 peratus adalah penyata yang diterima selepas tempoh yang ditetapkan.
Perlu dijelaskan bahawa kelewatan walau satu hari tetap dikategorikan sebagai tidak mematuhi tempoh penghantaran yang telah ditetapkan. Ke arah itu, Jabatan Hal Ehwal Masjid telah menyediakan pelan tindakan bagi memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan secara teratur termasuk mengenal pasti punca kelewatan, membuat pemantauan dan mendapatkan penyata yang masih belum diterima.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bagi penyelenggaraan dan kebersihan, Jabatan Hal Ehwal Masjid melaksanakan penggredan tandas-tandas bagi masjid, surau dan balai ibadat setiap tiga bulan. Berdasarkan aspek persekitaran, penyelenggaraan, kemudahan sanitasi, papan tanda, aktiviti pembersihan dan kemudahan tambahan.
Kaji selidik penelitian kualiti tahap kebersihan tandas masjid yang dijalankan pada bulan Februari dan Mac tahun 2026, menunjukkan tahap kepuasan pengguna berada pada 3.3 daripada 5.0 dan dapatan ini telah mengenal pasti beberapa masjid yang memerlukan tindakan penambahbaikan segera.
Kementerian mengakui skor 3.3 daripada 5.0 menunjukkan tahap sederhana dan masih terdapat ruang yang jelas untuk penambahbaikan. Kementerian menjadikannya sebagai garis asas bagi tindakan pembetulan dan pengesahan susulan di masjid yang dikenal pasti.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Menyentuh pengurusan sumber manusia, Jabatan Hal Ehwal Masjid memantau kehadiran, umpamanya memantau kehadiran pegawai masjid dan melaksanakan penilaian prestasi secara berterusan.
Daripada 348 pegawai masjid di seluruh negara, kira-kira 85 peratus telah mengikuti latihan profesional dalam bidang kepimpinan, tadbir urus, pengurusan kewangan, penyampaian khutbah dan penggunaan teknologi digital dalam tempoh pelaporan Julai 2026. Angka ini menunjukkan liputan latihan, kompetensi dan penerapannya di tempat kerja terus dinilai melalui pemantauan prestasi.
Bagi keberkesanan program pengimarahan, Jabatan Hal Ehwal Masjid menetapkan petunjuk prestasi bagi pelaksanaan kuliah ugama secara holistik. Pada suku tahun kedua 2026, sebanyak 90 buah masjid telah mencapai petunjuk tersebut berbanding sasaran 70 buah masjid.
Sebagai pelengkap output pelaksanaan, kaji selidik kepuasan jemaah pada November 2025 mencatatkan skor purata 4.17 daripada 5.0 yang memberikan petunjuk awal penerimaan positif terhadap program-program pengimarahan yang dilaksanakan.
Penilaian seterusnya akan menggabungkan ukuran liputan kualiti dan hasil supaya pencapaian tidak hanya dinilai berdasarkan jumlah aktiviti semata-mata. Berdasarkan penilaian yang dijalankan, kementerian sedang melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan.
Antaranya, memperkukuhkan pemantauan kebersihan berasaskan data, mempercepatkan tindakan penyelenggaraan melalui mekanisme aduan segera, memperluaskan pendigitalan pengurusan masjid serta memperkenalkan semula sistem pengiktirafan prestasi bagi masjid yang cemerlang dalam aspek pengimarahan dan kebersihan.
Melalui pendekatan ini, kementerian akan terus memperkukuhkan tatakelola masjid yang berintegriti, cekap dan berkesan bagi memastikan masjid berfungsi sebagai pusat pembangunan sahsiah ummah dan institusi yang memberi impak positif kepada masyarakat secara amnya.
Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam, yang juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam, atas soalan yang penting ini.
Soalan Yang Berhormat menyentuh satu perkara yang mendasar iaitu bagaimana rakyat dapat membuat persediaan kewangan yang lebih terancang dan mampan untuk menunaikan rukun Islam yang kelima.
Izinkan kaola menjelaskan apa kedudukan yang sedia ada pada masa ini.
Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jawatankuasa Jemaah Penasihat Haji adalah satu jemaah yang menghimpunkan beberapa pegawai daripada kementerian-kementerian di keseluruhan negara ani.
Jemaah Penasihat Haji ani telah pun sekian lama mengiktiraf tiga produk Akaun Simpanan Haji yang ditawarkan dengan kerjasama institusi kewangan di dalam negara iaitu Akaun Tekad Haji daripada Tabung Amanah Islam Brunei, Akaun Simpanan Haji dari Bank Islam Brunei Darussalam dan ada jua satu Sijil Takaful Haji dan Umrah daripada TBK, Takaful Brunei Keluarga.
Walau bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang diterima, produk Sijil Takaful Haji dan Umrah tidak lagi ditawarkan sejak tahun 2025. Dua produk simpanan yang masih ditawarkan iaitu Akaun Tekad Haji dan Akaun Simpanan Haji daripada TAIB dan juga BIBD diurus berlandaskan prinsip syariah, ani memang kitani ketahui dan juga ia tertakluk peraturan yang berkuat kuasa dan terdapat kemudahan di dalam kedua-dua akaun ani antaranya seperti potongan gaji secara automatik dan caruman berkala yang akan membantu bakal-bakal haji membina disiplin simpanan sedari awal lagi.
Apabila kita meneliti modal simpanan haji bersepadu yang ditanyakan oleh Yang Berhormat yang mana diamalkan di setengah negara di rantau ini, ia lazimnya menggabungkan tiga fungsi dalam satu badan iaitu Fungsi Simpanan dan Pelaburan; Fungsi Pendaftaran dan Pengurusan Giliran Haji; dan juga Fungsi Bantuan Kos.
Di Negara Brunei Darussalam ketiga-tiga fungsi ini memang sudah pun wujud, cuma ia diletakkan secara berasingan bukan di dalam sebuah satu badan:
Pertama, Fungsi Simpanan dan Pelaburan patuh syariah yang dilaksanakan tadi melalui produk Akaun Tekad Haji dan Akaun Simpanan Haji oleh institusi kewangan;
Kedua, Fungsi Pendaftaran dan Pengiliran Haji yang dilaksanakan melalui Sistem Bruhaj yang diurus oleh Jabatan Urusan Haji; dan
Ketiga, kalau di rantau ada Fungsi Bantuan Kos.
Manakala, di Negara Brunei Darussalam ada fungsi beberapa bantuan dilaksanakan seperti Kurnia Tambang Menunaikan Haji dan pembayaran top up tambang Haji bagi menampung sebahagian kos tambang mengikut dasar kelayakan dan aturan yang berkuat kuasa.
Bantuan ini sebenarnya mengurangkan beban kewangan penerima yang layak satu kurnia yang tidak semestinya wujud di negara-negara yang lain.
Maka pendekatan negara kitani ani selama ini adalah satu sistem yang tersusun secara berasingan mengikut kepakaran masing-masing dan bukan disatukan dalam satu badan tunggal.
Setakat ini, secara jujur kementerian belumlah menjalankan satu kajian formal yang menyeluruh khusus mengenai keperluan mewujudkan modal bersepadu tersebut.
Ini adalah kerana pendekatan yang diambil selama ini sepertimana yang kaola jelaskan masih ada untuk memperkukuh setiap komponen secara berasingan dan mengiktiraf produk yang ditawarkan oleh institusi kewangan sedia ada.
Namun, kaola ingin menyatakan bahawa kementerian menyambut baik pandangan Yang Berhormat dan diambil perhatian mengenainya dengan turut mengambil kira perkembangan tadbir urus hal ehwal haji dan umrah yang sangat dinamik.
Cadangan Yang Berhormat adalah cadangan yang membina dan ia menyentuh perkara yang memberi kesan langsung kepada kemampuan rakyat dalam pelaksanaan ibadah haji. Kementerian merakamkan sekali lagi penghargaan kepada Yang Berhormat atas cadangan yang membina ini.
Sekian Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Terima kasih Ahli-Ahli Yang Berhormat. Waktu pertanyaan telah selesai dan kita sekarang beralih kepada urusan mesyuarat seterusnya.
Yang Mulia Jurutulis​
Kenyataan Menteri daripada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Urustadbir Perkhidmatan Awam.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya telah memberi izin bagi Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Urustadbir Perkhidmatan Awam untuk membuat Kenyataan Menteri yang bertajuk Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 Memperkukuh Penyelarasan Ke Arah Pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Sekarang saya persilakan Yang Berhormat Menteri.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam)​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir Rahmanir Rahim. (doa dibaca).
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dirahmati Allah dan yang saya hormati sekalian.
Terlebih dahulu, izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas ruang yang diberikan untuk saya menyampaikan kenyataan di Dewan yang mulia ini berhubung Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035.
Sejak tahun 2007, Wawasan Brunei 2035 merupakan hala tuju jangka panjang negara yang menjadi panduan kepada pembangunan negara dan pada tahun 2016 kerangka kerja ataupun framework Wawasan Brunei 2035 diwujudkan bagi menyokong dan mengukuhkan pelaksanaan wawasan.
Ianya dihasratkan untuk menjadi landasan bersama dalam memastikan setiap kementerian, setiap agensi serta pihak-pihak yang berkepentingan bergerak secara bersepadu ke arah merealisasikan dan mencapai matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035.
Walau bagaimanapun, seperti yang telah disampaikan oleh beberapa Ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini perubahan dan perkembangan di peringkat global serta juga di peringkat domestik akan terus mempengaruhi keutamaan pembangunan negara. Kitani berdepan dengan kemajuan teknologi, perubahan demografi, cabaran perubahan iklim, ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi, kemunculan peluang-peluang ekonomi baru serta peningkatan jangkaan atau ekspektasi rakyat dan penduduk terhadap mutu penyampaian perkhidmatan.
Oleh itu, kitani perlu sentiasa memastikan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 adalah responsif dan selaras dengan keperluan dan keutamaan semasa.
Sehubungan itu, kerangka kerja ini telah dikemaskinikan bagi memastikan ianya sentiasa relevan sebagai panduan yang holistik dan bersepadu dalam apa jua perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.
Dikongsikan bahawa proses mengemaskini kerangka kerja ini tidaklah terhad kepada sektor kerajaan sahaja, tetapi juga telah melibatkan Ahli-Ahli Yang Berhormat Yang Dilantik.
Oleh itu di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas saranan, maklum balas dan cadangan yang dikemukakan bagi mengukuhkan kerangka kerja tersebut.
Saya menyambut baik elemen-elemen kerangka kerja ini telah dijadikan bahan perbincangan dan perbahasan Ahli-Ahli Yang Berhormat semasa perbahasan Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Keperluan untuk terus memperkukuh pendekatan perlaksanaan Wawasan Brunei 2035 turut ditekankan sepertimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Sesi Khas Wawasan Brunei 2035 pada 18 April 2026 di mana baginda antara lain telah bertitah "Beta ingin menegaskan bahawa penetapan KPI yang tepat sahaja tidak mencukupi. Penyelarasan adalah merupakan elemen yang kritikal, kerana ia menentukan sama ada pendekatan whole of government dan whole of nation benar-benar terlaksana atau kekal sebagai hasrat di atas kertas. Juga sangat penting ialah untuk memastikan setiap KPI diselaraskan sebagai satu sistem yang bersepadu dan tindakan dapat dikesan sumbangannya dalam pencapaian aspirasi negara", demikian titah baginda.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Sebagai satu panduan strategik, kerangka kerja ini adalah merangkumi tiga matlamat atau goals yang mencerminkan aspirasi negara, berpandukan lapan keutamaan kebangsaan atau national priorities dan didukung oleh 13 hasil pencapaian kebangsaan atau national outcomes dan diukur melalui 42 Petunjuk Prestasi Utama Kebangsaan atau National KPIs.
Pertama sekali, kejayaan ketiga-tiga matlamat Wawasan Brunei menjelang 2035 diukur melalui beberapa aspirasi:
Bagi Matlamat Satu, Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya, kita menggunakan pengukur Global Talent Competitiveness Index, GTCI bagi menggambarkan kualiti dan bakat modal insan negara.
Sasaran adalah bagi Negara Brunei Darussalam mencapai kedudukan 25 peratus teratas menjelang tahun 2035. Setakat tahun 2025, kitani berada di kedudukan 32 peratus negara teratas;
Bagi Matlamat Kedua, iaitu Kehidupan Rakyat yang Berkualiti Tinggi, kita menggunakan pengukur Indeks Pembangunan Manusia atau Human Development Index di bawah United Nations Development Programme, UNDP. Sasaran adalah bagi Negara Brunei Darussalam mencapai kedudukan 10 negara teratas menjelang 2035.
Setakat tahun 2023, kitani berada di kedudukan 60 tetapi secara konsisten, negara kita sudah terkandung dalam kategori very high human development;
Bagi Matlamat Tiga, iaitu Ekonomi yang Dinamik dan Berdaya Tahan, kita menggunakan dua pengukur. Pengukur pertama, dari segi pendapatan per kapita, mensasarkan Negara Brunei Darussalam mencapai kedudukan 10 negara teratas menjelang tahun 2035.
Setakat tahun 2024, kitani sudah berada di kedudukan 8 teratas. Manakala pengukur kedua, menyukat kepelbagaian ekonomi atau economic diversification dan daya saing pasaran menurut Herfindahl-Hirschman Index, HHI. Sasaran adalah bagi Negara Brunei Darussalam mencatat nilai HHI di bawah 1,500 menjelang tahun 2035.
Setakat tahun 2025, perkiraan skor HHI negara adalah 2,265. Ini menunjukkan konsentrasi pasaran ekonomi masih lagi ditahap yang sederhana tinggi.
Dengan mengambil kira ketiga-tiga matlamat wawasan saling berhubung dan berkait rapat antara satu sama lain, kejayaan memerlukan pendekatan whole of government dengan memperkukuh keberkesanan kerjasama antara kementerian, setiap kementerian dan setiap agensi kerajaan.
Selaras jua dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sempena rombakan Menteri-Menteri Kabinet pada 4 Jun yang lalu, di mana titah baginda telah memberikan mandat kepada Menteri-Menteri Penyelaras untuk mengeluarkan arahan yang bersesuaian bagi menyelaraskan tindakan kementerian-kementerian berkenaan bagi menangani isu-isu negara yang bersifat cross-cutting.
Pada masa yang sama, pendekatan whole of nation juga amat penting melibatkan seluruh lapisan masyarakat termasuk generasi belia sebagai pewaris kemakmuran dan pembangunan hari ini dalam merealisasikan wawasan negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Ke arah mendukung pencapaian ketiga-tiga matlamat ini, lapan keutamaan negara atau national priorities diperkenalkan yang mana merentas ketiga-tiga matlamat iaitu:
Pertama, pendidikan dan tenaga manusia,
Kedua, kesihatan;
Ketiga, kesejahteraan sosial;
Keempat, pengangkutan;
Kelima, alam sekitar dan perubahan iklim,
Keenam, tadbir urus dan kerjasama;
Ketujuh, sains, teknologi dan inovasi; dan
Kelapan, ekonomi.
Setiap keutamaan negara ini pula, didukung oleh 13 hasil pencapaian kebangsaan atau national outcomes yang menjelaskan impak yang ingin dicapai demi kemajuan negara serta kesejahteraan rakyat dan penduduk.
Bagi Matlamat Pertama, Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya, ada dua hasil pencapaian kebangsaan yang dihasratkan bagi mendukung keutamaan kebangsaan dalam pendidikan dan tenaga manusia:
Pertama, kita ingin melihat negara mempunyai sistem pendidikan kelas pertama, melalui pendidikan yang berkualiti tinggi, digandingi pendidikan ugama, kesaksamaan peluang pendidikan, pembangunan kemahiran berasaskan laluan pendidikan yang mantap dan pendidikan sepanjang hayat; dan
Kedua, kita juga ingin melihat pembangunan sumber tenaga manusia yang memenuhi keperluan sektor-sektor ekonomi yang diutamakan, memfokuskan kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi, dan kompetitif dan rakyat dan penduduk berjaya dalam pelbagai bidang.
Seterusnya Matlamat Kedua, Kualiti Kehidupan Rakyat yang Tinggi. Ada tujuh hasil pencapaian kebangsaan merentas enam keutamaan kebangsaan. Bagi keutamaan kebangsaan kesihatan, hasil pencapaian yang dihasratkan adalah warga sihat, di mana kitani mahu melihat rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam ini mengamalkan gaya hidup sihat, bagi negara mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang berkualiti dan resilient dan mampu mencegah dan mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit atau Non-Communicable Diseases, NCD.
Bagi kesejahteraan sosial, ada dua hasil pencapaian yang dihasratkan iaitu masyarakat yang bersepadu, resilient dan berdaya tahan, yang memfokuskan kepada keperluan masyarakat yang inklusif dipenuhi seperti perumahan, bekalan air bersih, bekalan elektrik, bekalan pemakanan, kemudahan perkhidmatan sanitasi dan jalan raya. Hasil pencapaian ini juga memfokuskan kepada pembangunan komuniti yang proaktif, jati diri yang kukuh dan memupuk minda yang berdaya tahan dan mandiri.
Seterusnya, hasil pencapaian kedaulatan, kestabilan dan keamanan dipertahankan, memfokuskan kepada negara yang berdaulat, stabil dan aman, kemajuan dalam kepentingan negara dan kesiapsiagaan dan keupayaan awam menghadapi cabaran, keselamatan, kecemasan dan bencana.
Bagi pengangkutan, hasil pencapaian yang dihasratkan adalah infrastruktur pengangkutan yang mampan. Memfokuskan kepada sistem pengangkutan dan pergerakan orang ramai dan barangan bagi meningkatkan akses mobiliti dalam dan luar negara.
Bagi alam sekitar dan perubahan iklim, hasil pencapaian yang dihasratkan adalah negara hijau, memfokuskan kepada tindakan perubahan iklim, pemeliharaan dan perlindungan biodiversiti dan warisan alam semula jadi serta memupuk masyarakat bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Bagi tadbir urus dan kerjasama, apa yang dihasratkan adalah pemberian perkhidmatan awam yang cemerlang dengan memfokuskan kepada tadbir urus strategik yang kukuh dan institusi yang berkesan, inklusif dan mempunyai tahap integriti yang tinggi.
Manakala bagi sains, teknologi dan inovasi, hasil pencapaian yang dihasratkan adalah negara pintar atau smart nation memfokuskan kepada transformasi digital, pemantapan, ketersambungan digital atau digital connectivity, peningkatan penyelidikan dan pembangunan, research and development serta pengukuhan ekosistem keseluruhannya.
Seterusnya Matlamat Tiga, Ekonomi yang Dinamik dan Berdaya Tahan mengandungi empat hasil pencapaian kebangsaan:
Pertama, pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan berdaya tahan yang mana pencapaiannya memerlukan peningkatan pengeluaran dan produktiviti melalui penggunaan teknologi dan inovasi, pengukuhan sektor swasta terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana atau PMKS dan penarikan pelaburan tempatan dan Langsung Asing, Domestic dan Foreign Direct Investment;
Kedua, ekonomi yang pelbagai dan bersedia untuk masa depan atau future ready. Memfokuskan kepada pengukuhkan kedayasaingan dan pembangunan sektor keutamaan, penjanaan kegiatan ekonomi nilai tambah dan industri baru, penerokaan pasaran baru dan membina rangkaian perdagangan yang lebih luas dan memantau dan merancang bagi peluang-peluang sektor ekonomi yang baru muncul;
Ketiga, persekitaran kerja yang kondusif bagi anak tempatan yang memerlukan penjanaan peluang pekerjaan dan memastikan pengurangan kadar pengangguran ditangani melalui usaha padu pelbagai pihak dan;
Keempat, kestabilan makro ekonomi yang memfokuskan kepada peningkatan prestasi ekonomi negara dan memastikan kadar inflasi di tahap yang terkawal dan stabil.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kemajuan ke arah pencapaian hasil-hasil tersebut seterusnya dinilai melalui 42 Petunjuk Prestasi Utama Kebangsaan yang menyediakan ukuran prestasi di peringkat negara. Kemajuan dinilai berasaskan data bagi memberikan gambaran menyeluruh mengenai pencapaian Wawasan Brunei 2035 melalui Indeks Wawasan Brunei yang akan dilaporkan pada setiap tahun.
Secara keseluruhannya, Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 saling melengkapi dalam menghubungkan hala tuju negara dengan hasil-hasil yang ingin dicapai serta pengukuran kemajuannya.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Sesebuah kerangka pembangunan hanya akan memberi nilai apabila dijadikan panduan dalam perancangan dan digunakan dalam pelaksanaan pembangunan negara.
Sehubungan itu, kerangka kerja ini dihasratkan untuk menjadi panduan utama dalam menyelaras dan mensejajarkan perancangan dan pelaksanaan keutamaan negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.
Manakala Manpower Blueprint, Social Blueprint dan Economic Blueprint berperanan mendukung Wawasan Brunei 2035 termasuk penilaian berasaskan pengukur prestasi utama tindakan atau Action KPI.
Berpandukan blueprint tersebut, setiap kementerian dan agensi akan terus menerajui pelaksanaan dasar, strategi, pelan tindakan dan inisiatif di bawah Jawatankuasa Kerja, manpower, Ekonomi dan Sosial Wawasan Brunei 2035 masing-masing.
Pendekatan whole of government dan whole of nation, akan terus diperkukuh melalui kerjasama yang erat dan bersepadu. Usaha ini perlu merentas seluruh kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, peringkat akar umbi serta pihak-pihak berkepentingan yang lain dalam mendukung pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Objektif utama kerangka kerja ini adalah menyediakan struktur yang lebih tersusun untuk menilai kemajuan pembangunan negara secara holistik dan bersepadu agar kemajuan mencapai Wawasan Brunei 2035 ini dapat dinilai secara lebih menyeluruh dan sistematik.
Penilaian ini bukanlah sekadar bertujuan mengukur prestasi, tetapi juga menyediakan maklumat yang dapat membantu kerajaan memantau keberkesanan dan impak pelaksanaan dasar, strategi dan inisiatif demi kesejahteraan rakyat dan penduduk serta kemakmuran Negara Brunei Darussalam.
Dengan itu, sebarang penambahbaikan sama ada dari segi perancangan atau pelaksanaan yang berkait rapat dapat dikenal pasti agar pelaksanaannya terus responsif terhadap keperluan dan cabaran yang sentiasa berkembang.
Di samping itu, maklumat yang diperoleh melalui kerangka kerja ini akan turut menyokong proses perancangan dan membuat keputusan yang lebih berasaskan bukti atau evidence-based planning and decision making bagi memperkukuh pelaksanaan Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kejayaan Wawasan Brunei 2035 tidaklah bergantung kepada kerangka kerja ini semata-mata. Pencapaiannya setentunya memerlukan komitmen, kerjasama dan usaha berterusan daripada semua pihak melalui pendekatan whole of government dan whole of nation.
Insya Allah dengan komitmen, kerjasama dan usaha berterusan semua pihak, Negara Brunei Darussalam akan terus berupaya menghadapi cabaran melalui pendekatan yang adaptif dan responsif kepada perubahan serta memanfaatkan peluang-peluang yang terhasil daripada perubahan.
Sesungguhnya Wawasan Brunei 2035 bukanlah sekadar satu visi jangka panjang ia merupakan satu amanah bersama kepada kitani semua selaku rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Semua ini bergantung kepada kesungguhan kitani semua untuk terus melangkah seiring sebagai sebuah negara berdaulat yang kitani semua cintai ini.
Marilah kitani terus memelihara amanah ini dengan iltizam, komitmen dan usaha yang berterusan. Setiap langkah yang kitani ambil hari ini akan mencorakkan masa depan Negara Brunei Drussalam bagi generasi masa kini dan yang penting lagi bagi generasi anak cucu kitani yang akan datang.
Sekianlah sahaja yang saya sampaikan, Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Alhamdulillah, terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Urustadbir Perkhidmatan Awam atas, apa namanya ni, statement ataupun kenyataan yang dibuat oleh menteri itu tadi.
Sebelum kita beralih kepada urusan seterusnya, saya kira saya cadangkanlah kita berhenti dulu untuk berehat selama 15 minit dan kita akan menyambung semula persidangan kita dengan melihat urusan-urusan seterusnya.
(Majlis Mesyuarat berehat sebentar)
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Bismillahirrahmanirrahim. Sekarang Majlis Mesyuarat Negara bersidang semula dan kita akan beralih kepada susunan majlis seterusnya.
Yang Mulia Jurutulis​
Usul Bilangan 5/2026, Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Persidangan Majlis Mesyuarat Negara masih membahaskan Usul Bilangan 5/2026. Sekarang saya akan membukakan ruang bagi perbahasan Usul selama lima belas minit bagi setiap pembahas.
Maka sekarang saya ingin menjemput Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan. Silakan.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan​
Bismillahir rahmanir rahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas peluang yang diberikan untuk kaola ikut serta dalam perbahasan bagi Usul ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dirahmati Allah dan yang saya hormati.
Terima kasih atas peluang yang diberikan untuk turut serta dalam perbahasan Usul ini dan saya merakamkan sokongan padu terhadap Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.
Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan yang bernas dan bermakna ini.
Perbahasan sebegini mencerminkan peranan Dewan yang mulia ini sebagai wadah untuk membahaskan isu-isu penting serta bertukar pandangan secara sihat, konstruktif dan berhemah.
Dengan segala hormat, izinkanlah saya untuk mengemukakan beberapa perspektif tambahan yang diharapkan dapat memberikan gambaran yang lebih menyeluruh terhadap perkara yang sedang dibincangkan.
Saya turut ingin mengimbas kembali kata-kata hikmah yang telah dikongsikan oleh Yang Berhormat Yang Di-Pertua bahawa tiada satu dokumen pun yang mencapai tahap kesempurnaan sepenuhnya dan mustahil untuk memuaskan hati semua pihak.
Namun, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kita perlu memulakan langkah pertama dan langkah ini merupakan langkah yang tepat ke arah yang betul, yang boleh terus diperbaiki, diperhalusi dari masa ke semasa.
Saya ingin menyokong, menambah hujah yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II berkenaan peruntukan-peruntukan kod tatatertib yang mana merupakan amalan lazim badan-badan perundangan di seluruh dunia bagi memelihara martabat, kewibawaan dan integriti sesebuah Dewan.
Saya juga ingin mengimbas semula beberapa kebimbangan yang telah dikemukakan oleh Ahli Yang Berhormat. Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee telah membangkitkan persoalan mengenai skop pemakaian Kod Etika selepas tamat perkhidmatan, tatacara pengendalian maklumat sulit serta pemakaian kod ini terhadap Menteri-Menteri berbanding Ahli-Ahli Yang Dilantik.
Manakala, Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin telah menzahirkan kebimbangan bahawa peruntukan tatakelakuan dan kerahsiaan di dalam Kod Etika ini dapat menjejaskan kebebasan bersuara Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Saya dengan hormatnya ingin menegaskan bahawa kebimbangan yang dibangkitkan khususnya yang mengaitkan peruntukan kerahsiaan dengan risiko sekatan kebebasan bersuara Ahli-Ahli Yang Berhormat pada hemat saya adalah tidak berasas apabila diteliti dengan lebih mendalam.
Dengan hormatnya saya berpandangan bahawa kebimbangan ini timbul daripada tafsiran yang terlalu luas. Kod Etika ini sebagaimana didraf hanya mewajibkan kerahsiaan ke atas maklumat yang jelas diklasifikasikan sebagai rahsia atau rahsia besar dan bukannya keseluruhan maklumat rasmi yang diterima oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam pelaksanaan tugas.
Justeru, kebimbangan bahawa Ahli-Ahli akan menjadi terlalu berhati-hati sehingga tidak berani memberi penjelasan kepada rakyat, pada pandangan saya adalah tidak wajar dan tidak berasas kerana kod ini sememangnya tidak menyekat perkongsian maklumat rasmi yang tidak diklasifikasikan sebagai rahsia.
Saya juga ingin membangkitkan persoalan yang telah ditimbulkan oleh Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee mengenai pemakaian Kod Etika ini kepada Menteri-Menteri Kabinet.
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya sendiri selaku seorang Menteri Kabinet bersama Menteri-Menteri Kabinet yang lain terikat sepenuhnya dengan peruntukan-peruntukan Kod Etika ini.
Bahkan memandangkan kami mempunyai akses kepada maklumat peringkat Kabinet yang lebih sensitif termasuk perkara-perkara yang melibatkan keselamatan negara dan dasar-dasar kerajaan. Menteri-Menteri Kabinet adalah terikat kepada piawaian kerahsiaan yang lebih tinggi berbanding Ahli-Ahli Yang Dilantik.
Oleh itu, tidak timbul persoalan bahawa Menteri-Menteri Kabinet dikecualikan sebaliknya ianya adalah suatu tanggungjawab yang dipikul dengan rela hati dan integriti selaras dengan amanah besar yang dipertanggungjawabkan kepada kami.
Seterusnya, izinkan saya berkongsi pemerhatian tanpa menyebut nama negara atau individu yang terlibat semata-mata untuk menzahirkan betapa pentingnya peruntukan-peruntukan dengan tatakelakuan dan tatatertib di dalam Kod Etika ini untuk memelihara martabat dan kredibiliti sesebuah institusi.
Sebagai misal, terdapat satu kes dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini di mana seorang Ahli Dewan di sebuah negara jiran terpaksa meletak jawatan susulan pendedahan bahawa keterangan yang telah dikemukakannya sendiri di hadapan Dewan sebelum ini didapati tidak benar.
Ahli Dewan berkenaan bukan sahaja terpaksa meletakkan jawatan malah kemudiannya turut didakwa di mahkamah atas kesalahan yang berkaitan dengan keterangan palsu tersebut.
Peristiwa ini membuktikan bahawa ketidakjujuran seorang Ahli di hadapan Dewan bukan sahaja mengundang implikasi undang-undang yang serius terhadap individu berkenaan malah menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi Dewan secara keseluruhannya.
Kepercayaan yang tercalar akibat tindakan sedemikian bukan mudah dipulihkan dan boleh menjejaskan kewibawaan institusi tersebut untuk tempoh yang panjang.
Satu lagi contoh ialah insiden yang pernah terjadi di sebuah Dewan di rantau ini, apabila seorang Ahli Dewan telah didapati menggunakan bahasa kurang sopan dan tidak wajar diungkapkan di dalam parlimen ketika siaran langsung persidangan sedang berlangsung.
Insiden tersebut tular dengan begitu cepat mencetuskan kemarahan dan kekecewaan orang ramai sehingga Ahli Dewan berkenaan dikenakan tindakan tatatertib berupa penggantungan daripada menghadiri persidangan Dewan bagi suatu tempoh.
Peristiwa ini membuktikan bahawa langkah dan tingkah laku yang tidak beretika di dalam Dewan bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan selain mencemarkan nama baik Ahli Dewan yang terlibat, ianya turut menghakis keyakinan rakyat terhadap kewibawaan maruah dan kesantunan institusi Dewan itu sendiri. Kepercayaan orang ramai terjejas akibat tindakan sedemikian bukan mudah dipulihkan dan kesannya boleh berpanjangan terhadap reputasi institusi tersebut.
Pemerhatian ini pada pandangan saya jelas menunjukkan bahawa ketiadaan garis panduan tatakelakuan yang jelas bukan sahaja tidak memartabatkan kebebasan bersuara malah sebaliknya boleh membuka ruang kepada tindakan-tindakan yang menjejaskan kredibiliti Ahli Dewan itu sendiri, mengundang tindakan tatatertib atau implikasi undang-undang serta menghakis kepercayaan awam terhadap institusi yang diwakilinya.
Ini bermakna Kod Etika ini pada dasarnya merupakan suatu dokumen panduan yang akan memberikan Ahli-Ahli Yang Berhormat satu rangka kerja yang jelas yang melindungi Ahli-Ahli apabila menghadapi situasi-situasi yang kompleks dan mencabar. Dalam erti lain kod yang baik bukan bebanan atau sekatan, sebaliknya merupakan satu bentuk perlindungan yang membantu Ahli-Ahli untuk bertindak dengan keyakinan berlandaskan prinsip integriti dan tatakelakuan yang jelas.
Berkenaan prinsip integriti dan pengisytiharan harta yang terkandung dalam Kod Etika ini, izinkan saya berkongsi sedikit pengalaman semasa saya pernah berkhidmat sebagai Pengarah di Biro Mencegah Rasuah sebelum ini. Menerusi pengalaman tersebut, saya menyaksikan sendiri kewujudan satu sistem pengisytiharan harta dan aset yang telus, menyeluruh dan berkesan adalah suatu keperluan penting.
Sistem sedemikian bukan sahaja berperanan sebagai langkah pencegahan terhadap salah laku, malah turut menjadi mekanisme perlindungan kepada penjawat awam daripada sebarang tuduhan atau syak wasangka yang tidak berasas. Sesungguhnya, amalan pengisytiharan harta secara telus ini salah satu tonggak utama dalam memastikan tadbir urus yang berintegriti dan berakauntabiliti sebagaimana yang sering saya tegaskan semasa berkhidmat dahulu.
Sekiranya seseorang itu tiada apa-apa yang perlu disembunyikan maka tiada apa-apa juga yang perlu ditakuti, if you have nothing to hide there is nothing to fear. Prinsip inilah yang wajar dihayati oleh setiap Ahli Majlis Mesyuarat Negara. Pengisytiharan harta bukanlah sesuatu bebanan sebaliknya suatu penyataan tanggungjawab dan bukti komitmen ketelusan, akauntabiliti, beramanah dan berintegriti.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kalau dapat kaola kan bercerita sedikit mengenai Konvensyen Menentang Rasuah Antarabangsa atau United Nations Convention against Corruption sepertimana yang telah disebutkan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dan Menteri Pertahanan II semasa membentangkan Usul penggubalan kod ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Usul Kod Etika yang kita bincangkan ini termaktub di dalam Article 8, United Nations Convention against Corruption ini. Negara Brunei Darussalam terlibat sama di dalam perbahasan dan merangka, drafting undang-undang antarabangsa ini di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB di Vienna, Austria.
Perbahasan yang berlangsung lebih dari dua tahun, dari tahun 2001 sehinggalah teks konvensyen ini ditandatangani pada 9 Disember 2003 dan sekarang diratifikasikan oleh sebanyak 192 buah negara-negara ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB termasuk Negara Brunei Darussalam.
Pendek cerita, pada tahun 2014 usaha untuk memperkenalkan Kod Etika ini dan peraturan pengisytiharan harta kepada Menteri-Menteri Kabinet dan Ahli-Ahli Dewan telah dibuat ke Jabatan Majlis Mesyuarat ini. Usaha ini juga mendapat sokongan Jabatan Perdana Menteri ketika itu.
Namun mungkin perkara ini belum kesampaian ketika itu pada tahun 2014, tapi alhamdulillah tahun 2026 ini kesampaian tah jua. Teks undang-undang antarabangsa United Nations Convention against Corruption 2003 ini bukanlah satu teks yang perfect atau sempurna.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB setiap dua tahun sekali sejak tahun 2003 telah mengadakan Conference of the States Parties untuk mereview dan membuat pindaan ke atas teks undang-undang ini.
Maka rationalnya Yang Berhormat Yang Di-Pertua, sepertimana jua yang telah dinyatakan oleh Yang Berhormat Yang Di-Pertua pada hari Khamis, inilah first document, not a perfect document. Sebagai langkah pertama, undang-undang negara kitani membenarkan kitani untuk mereview dan membuat pindaan dan tambahan sama ada melalui supplementary guideline atau peraturan-peraturan tambahan. Sebagai contoh, berapa nilai atau harga hadiah yang perlu diisytiharkan, kitani boleh meletakkan harga limit threshold nya di dalam supplementary rule atau guideline.
Berapa lama moratorium maklumat rahsia mesti dirahsiakan setelah Ahli Dewan bersara juga boleh ditentukan di dalam supplementary rule guideline. Maka pokoknya, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kita perlu memulakan untuk sepakat dengan satu teks dahulu untuk memulakan Usul ini, hasrat murni ini, maka inilah teksnya.
Saya yakin bahawa kita, setiap Ahli yang hadir di Dewan Majlis yang mulia ini, hari ini berkongsi satu aspirasi yang sama iaitu untuk memastikan bahawa institusi Majlis Mesyuarat Negara ini terus diperkasakan sebagai sebuah, Yang Berhormat Yang Di-Pertua mohon sedikit masa, sebagai sebuah institusi yang dihormati, berwibawa dan teguh berlandaskan prinsip integriti, ketelusan, amanah dan melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas kepada rakyat dan negara.
Kod Etika ini bukan sekadar satu dokumen panduan tetapi merupakan suatu manifestasi komitmen bersama kita untuk memelihara maruah, kewibawaan dan kepercayaan terhadap institusi yang kita wakili. Dengan adanya panduan yang jelas, kita bukan sahaja melindungi kepentingan institusi ini malah memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap Ahli-Ahli Dewan ini sebagai pemegang amanah awam.
Kita juga pernah mendengar parlimen di rantau ini yang mendambakan world class parliament yang setentunya mensyaratkan ahli-ahlinya, budayanya, karakternya, disiplinnya, nilai-nilai murninya adalah juga world class parliamentarian.
Inilah juga yang kita dambakan dengan cetusan Code of Ethics ini. Peranannya bukanlah untuk menghukum tetapi untuk membentuk, membina dan mencegah. Maka dengannya wujudlah parliamentarian yang benar beramanah, berintegriti dan berprinsip. Kod Etika inilah salah satu tiang kepada prinsip itu.
Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, saya dengan ini, dengan penuh keyakinan merakamkan sokongan padu saya terhadap Usul ini dan menyeru Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini untuk sama-sama menyokong Usul ini.
Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Saya persilakan pula Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.
Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua. Terlebih dahulu kaola ingin menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas perkenan baginda terhadap menggubal Kod Etika dan Tatakelakuan bagi Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Pada hemat kaola, perkenan ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuhkan integriti, disiplin, keperibadian, profesionalisme dan kewibawaan Ahli-Ahli Yang Berhormat selaras dengan falsafah Melayu Islam Beraja. Kod Etika ini bukan sekadar menetapkan peraturan tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan tetapi merupakan panduan dalam membentuk sikap, akhlak dan keperibadian Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dalam melaksanakan amanah rakyat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena sambutan Hari Perkhidmatan Awam, baginda telah menekankan bahawa integriti tidak boleh dibiar roboh kerana apabila integriti roboh, runtuh, ia boleh membawa kepada penyelewengan rasuah dan kepentingan peribadi.
Baginda juga menekankan kepentingan kesaksamaan dan ketelusan dalam semua tindakan. Pada hemat kaola, penekanan baginda ini amat berkait rapat dengan penggubalan Kod Etika Majlis Mesyuarat Negara kerana integriti bukan hanya diperlukan dalam pentadbiran kerajaan tetapi juga dalam setiap institusi yang membawa amanah rakyat.
Maka, Kod Etika ini hendaklah menjadi satu mekanisme untuk memastikan setiap Ahli Yang Berhormat sentiasa mengutamakan amanah, kejujuran, ketelusan dan kepentingan rakyat serta negara dan menjauhkan sebarang bentuk konflik, kepentingan atau penyalahgunaan kedudukan.
Kaola melihat nilai calak kebruneian sebagai satu perkara yang wajar diketengahkan melalui Kod Etika ini iaitu adab, budi bahasa, kesopanan, kebijaksanaan, amanah, rasa hormat, kesetiaan serta tanggungjawab kepada bangsa, agama dan negara.
Kita mahu melihat Ahli-Ahli Yang Berhormat yang berani menyuarakan pandangan tetapi tetap beradab, tegas dalam pendirian tetapi menghormati pandangan yang berbeza, kritikal dalam perbahasan tetapi berpandukan fakta, mengutamakan kepentingan rakyat dan negara serta menjaga disiplin, integriti dan mengelakkan konflik kepentingan.
Inilah nilai yang pada hemat kaola perlu mencerminkan roh sebenar Melayu Islam Beraja dalam perjalanan kita sebagai Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga dalam titah baginda mengenai Wawasan Brunei 2035 menekankan bahawa pencapaian matlamat negara memerlukan usaha dan tanggungjawab bersama. Dalam titah terkini baginda, kejayaan mencapai Wawasan Brunei 2035 turut ditekankan melalui kebijaksanaan kepimpinan, kesepaduan dan tanggungjawab bersama.
Maka pada hemat kaola, Kod Etika ini bukan sahaja berkait dengan tatakelakuan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara tetapi turut menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuhkan tadbir urus negara. Kita mahu sebuah institusi mempunyai akauntabiliti, ketelusan, disiplin dan integriti kerana perkara-perkara ini merupakan asas kepada kepercayaan rakyat dan kepada usaha mencapai Wawasan Brunei 2035.
Kita juga perlu menyedari bahawa Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara bukan sahaja membawa nama diri sendiri apabila menghadiri persidangan, pertemuan atau platform di peringkat serantau dan antarabangsa. Kita membawa bersama nama Negara Brunei Darussalam, imej bangsa Brunei dan nilai-nilai MIB.
Oleh itu, setiap tutur kata, tindakan dan tatakelakuan kita menjadi cermin kepada negara. Kaola percaya penghayatan Kod Etika ini akan membantu membentuk identiti Majlis Mesyuarat Negara yang tersendiri, sebuah institusi yang bukan sahaja kukuh dari segi sistem dan tatakelola tetapi juga tinggi dari segi adab, integriti, kematangan dan profesionalisme. Kita mahu apabila orang melihat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara Brunei Darussalam, mereka melihat gambaran sebuah negara yang berdaulat, aman, berbudaya, beradab, menjunjung nilai Islam dan menghormati institusi Beraja.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Pada hemat kaola, amanah yang diberi kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara adalah satu amanah yang besar, kita bukan sahaja bertanggungjawab untuk menyuarakan pandangan tetapi juga memastikan setiap pandangan itu berfakta, berhemah dan membawa manfaat kepada rakyat dan negara.
Perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi sebab kepada perpecahan, sebaliknya hendaklah menjadi ruang untuk kita mencari penyelesaian terbaik secara matang dan komprehensif. Inilah yang kaola fahami sebagai budaya perbahasan yang beradab dan bertanggungjawab.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Akhirnya pada hemat kaola, Kod Etika ini bukan sekadar untuk mematuhi peraturan tetapi untuk menghayati nilai. Bukan sekadar menjaga tatakelakuan tetapi membentuk keperibadian dan bukan sekadar menjaga imej MMN tetapi memelihara maruah serta kepercayaan terhadap institusi dan negara.
Seperti yang ditekankan dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik adalah asas penting dalam memastikan negara terus maju dan rakyat terus menaruh kepercayaan kepada institusi negara.
Maka dengan penuh rasa tanggungjawab, kaola menyokong penuh Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan bagi Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara sebagai satu langkah memperkukuhkan integriti, profesionalisme dan kewibawaan MMN. Jelas dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, falsafah Melayu Islam Beraja dan inspirasi Wawasan Brunei 2035.
Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Saya persilakan Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin.
Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca).
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian.
Kaola mengucapkan terima kasih kerana memberikan peluang kepada kaola untuk turut sama-sama mengambil bahagian dalam membahaskan Usul mengenai cadangan Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.
Kaola juga mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin yang menerajui penggubalan draf Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ahli Yang Dilantik.
Pada kesempatan ini, kaola ingin menyatakan sokongan penuh terhadap Usul ini kerana pada hemat kaola Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan bukan sekadar menghasilkan sebuah dokumen bahkan merupakan satu komitmen untuk memperkukuhkan integriti, akauntabiliti dan kewibawaan institusi Majlis Mesyuarat Negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negara, kita memikul satu amanah yang besar. Amanah ini bukan sahaja untuk menghadiri persidangan dan menyuarakan pandangan tapi juga memastikan setiap tindakan, percakapan dan keputusan sentiasa berlandaskan kepentingan negara berteraskan integriti serta menghormati martabat institusi yang mulia ini.
Justeru, kaola berpandangan bahawa Kod Etika ini akan menjadi satu kompas moral dan profesional yang memberikan panduan yang jelas kepada setiap Ahli Majlis mengenai standard tingkah laku, tanggungjawab dan nilai yang perlu sentiasa dijunjung tinggi.
Pada masa yang sama, kaola ingin menegaskan bahawa Kod Etika ini bukanlah bertujuan untuk menyekat kebebasan Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk memberikan pandangan atau teguran yang membina, sebaliknya ia memastikan setiap pandangan yang disampaikan secara berhemah, bertanggungjawab dan sentiasa menghormati Perlembagaan Negara Brunei Darussalam, peraturan-peraturan mesyuarat serta adab persidangan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Pada hemat kaola, salah satu kekuatan utama Kod Etika ini ialah kemampuannya untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan sebenar Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara. Hari ini masyarakat dapat mengikuti persidangan perundangan dari seluruh dunia melalui media massa dan media sosial.
Namun begitu, setiap negara mempunyai sistem pemerintahan, budaya perbahasan dan kerangka perundangan yang berbeza.
Oleh itu, masyarakat perlu memahami bahawa Majlis Mesyuarat Negara mempunyai identiti tersendiri yang berpaksikan Perlembagaan Negara Brunei Darussalam dan falsafah Melayu Islam Beraja.
Kod Etika ini akan membantu masyarakat melihat bahawa setiap Ahli Majlis bukan sahaja bebas mengemukakan pandangan malah terikat dengan prinsip amanah, tanggungjawab dan profesionalisme.
Dengan itu, masyarakat akan lebih memahami fungsi sebenar Majlis Mesyuarat Negara dan menilai institusi ini berdasarkan peranan yang sebenar bukan melalui perbandingan dengan amalan negara lain.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kepercayaan rakyat merupakan aset yang paling berharga bagi mana-mana institusi awam. Kepercayaan itu bukan dibina semata-mata melalui keputusan yang dibuat tetapi melalui keyakinan bahawa keputusan tersebut lahir daripada proses yang telus, berintegriti dan mengutamakan kepentingan negara.
Dalam konteks ini, Kod Etika menjadi asas penting untuk memastikan setiap Ahli Majlis sentiasa bertindak secara amanah, jujur dan bertanggungjawab. Apabila rakyat melihat bahawa Ahli-Ahli Majlis memegang standard etika yang tinggi maka keyakinan terhadap institusi ini akan terus diperkukuhkan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola juga berpandangan bahawa Kod Etika ini bukan sahaja melindungi institusi malah melindungi Ahli-Ahli Majlis sendiri.
Dengan adanya garis panduan yang jelas mengenai tanggungjawab, konflik kepentingan penggunaan rasmi dan etika semasa menjalankan tugas, setiap Ahli Majlis akan mempunyai rujukan yang seragam dalam melaksanakan amanah mereka.
Ini akan mengurangkan salah faham, mengelakkan persepsi yang tidak tepat dan memastikan semua Ahli Majlis dinilai berdasarkan standard etika yang sama.
Pada masa yang sama, Kod Etika ini memperkukuhkan prinsip akauntabiliti dengan meningkatkan bahawa kedudukan sebagai Ahli Majlis adalah satu amanah, bukan satu keistimewaan atau kepentingan peribadi.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Satu lagi aspek yang sangat penting ialah pengurusan konflik kepentingan, Ahli-Ahli Majlis datang daripada pelbagai latar belakang pengalaman dan kepakaran. Kepelbagaian ini merupakan kekuatan yang membolehkan berbagai prespektif dikemukakan dalam membincangkan dasar-dasar negara.
Namun demikian, sekiranya terdapat keadaan yang boleh menimbulkan konflik kepentingan, ia hendaklah diisytiharkan dan diuruskan secara telus. Pendekatan ini bukan sahaja melindungi integriti Ahli Majlis malah mengelakkan sebarang persepsi yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap kewibawaan Majlis Mesyuarat Negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola percaya bahawa berbeza pandangan merupakan kekuatan bukannya kelemahan. Dalam institusi seperti Majlis Mesyuarat Negara, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang sihat kerana ia membolehkan sesuatu cadangan dinilai daripada pelbagai sudut. Namun demikian, perbezaan tersebut hendaklah dizahirkan secara beradab, berfakta, saling menghormati dan sentiasa menjaga kemuliaan Dewan ini.
Perbahasan yang berkualiti bukan diukur melalui nada suara yang tinggi atau kritikan yang keras tetapi melalui kekuatan hujah, kematangan fikiran dan kesediaan mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan negara. Kod Etika ini akan membantu memperkukuhkan budaya tersebut.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola juga berpandangan bahawa penggubalan Kod Etika ini amat selaras dengan falsafah Melayu Islam Beraja yang menjadi asas pemerintahan Negara Brunei Darussalam.
Nilai amanah, keadilan, ehsan, kejujuran, hormat menghormati dan tanggungjawab yang menjadi teras Kod Etika ini adalah juga nilai yang dituntut oleh agama Islam.
Justeru, penggubalan Kod Etika ini bukanlah memperkenalkan nilai baharu tetapi memperkukuhkan nilai-nilai murni yang telah sekian lama menjadi asas pentadbiran negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Walau bagaimanapun, kaola berpendapat bahawa kejayaan Kod Etika dan Tatakelakuan ini tidak bergantung kepada dokumen yang digubal semata-mata. Apa yang lebih penting ialah komitmen setiap Ahli Majlis untuk benar-benar menghayati serta mengamalkan segala prinsip yang terkandung di dalamnya.
Bagi memastikan pelaksanaannya berkesan, Kod Etika ini juga hendaklah disokong oleh mekanisme yang jelas, termasuk pendidikan dan latihan berterusan mengenai etika, pengisytiharan konflik kepentingan apabila perlu serta proses pematuhan yang telus, adil dan konsisten.
Dengan pendekatan sedemikian, Kod Etika ini bukan sahaja menjadi satu dokumen rujukan, malah akan membentuk budaya kerja yang berteraskan integriti, akauntabiliti dan profesionalisme dalam kalangan Ahli Majlis.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Sebagai penutup, sekali lagi kaola ingin merakamkan sokongan penuh terhadap Usul ini. Pada hemat kaola, penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara merupakan satu langkah yang tepat dan berpandangan jauh dalam memperkukuhkan integriti, akauntabiliti dan profesionalisme Ahli-Ahli Majlis serta meningkatkan kewibawaan institusi Majlis Mesyuarat Negara.
Kod Etika ini bukan satu bentuk sekatan tapi merupakan satu kompas yang memastikan setiap Ahli Majlis terus melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab, berintegriti dan sentiasa meletakkan kepentingan agama, raja dan negara, mengatasi segala kepentingan yang lain.
Insya Allah, dengan komitmen semua Ahli Majlis untuk menghayati prinsip-prinsip tersebut, Majlis Mesyuarat Negara akan terus kekal sebagai sebuah institusi yang dihormati, diyakini dan menjadi contoh kepada amalan tadbir urus yang baik di Negara Brunei Darussalam.
Sekian Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub.
Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terlebih dulu kaola menyambut baik Usul ini dan ingin menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keprihatinan dan kebijaksanaan baginda dalam memperkenankan usaha penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan bagi Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Kaola ingin melihat penggubalan Kod Etika ini sebagai satu langkah yang sangat baik dan penting. Ia bukan sahaja memberikan satu prinsip identiti dan keperibadian kepada institusi Majlis Mesyuarat Negara, malah mencerminkan nilai budaya dan jati diri sesebuah institusi perundangan negara yang berwibawa.
Keberadaan Majlis Mesyuarat Negara ini bukan hanya dinilai dalam konteks hubungan kita dengan rakyat dan masyarakat di Negara Brunei Darussalam, tetapi turut memberikan nilai dan imej yang terserlah di peringkat serantau dan antarabangsa. Ini kerana setiap Ahli Yang Berhormat bukan sahaja membawa suara rakyat bahkan secara tidak langsung memberikan bersama nama baik, imej dan kewibawaan Negara Brunei Darussalam apabila berinteraksi atau mewakili negara di pelbagai platform persidangan dan pertemuan antarabangsa.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Maka kewujudannya Kod Etika ini, kaola lihat sebagai satu langkah yang sangat baik dan membentukkan satu standard tatakelakuan yang mencerminkan kematangan, kesopanan, integriti dan profesionalisme Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Perkara ini juga selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-22 Majlis Mesyuarat Negara, pada 12 Mac 2026, bahawa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara bukan sekadar pertemuan tahunan tetapi ia juga adalah wadah strategik untuk membahaskan isu-isu sebenar yang dihadapi oleh negara dan rakyat, berdasarkan penelitian mendalam dan fakta yang kukuh.
Pada hemat kaola, titah ini memberikan satu penemuan yang sangat jelas bahawa peranan Ahli Yang Berhormat bukan sekadar bersuara tetapi hendaklah bersuara dengan ilmu, fakta, penelitian dan rasa tanggungjawab terhadap kepentingan rakyat dan negara. Kita mahu apabila institusi ini disebut atau apabila Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara kita berdepan dengan rakan sejawat dari negara-negara lain, mereka bukan saja dikenali kerana keberanian menyuarakan kepentingan rakyat tetapi juga kerana adab integriti, disiplin, kebijaksanaan, kewibawaan dalam melaksanakan amanah.
Dalam erti kata lain, Kod Etika ini boleh menjadi salah satu asas dalam membentuk keperibadian Majlis Mesyuarat Negara Brunei Darussalam tersendiri berlandaskan nilai-nilai Melayu Islam Beraja, menghormati institusi negara, menghormati kehidupan rakyat serta sentiasa menjunjung nama baik Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola melihat, perkara ini amatlah penting kerana kewibawaan sebuah institusi tidak hanya terletak kepada peraturan dan undang-undang yang diwujudkan, tetapi juga pada watak, sikap dan tingkah laku mereka yang menganggotainya.
Malah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah baginda pada tahun ini, turut menekankan kepentingan membina budaya kerja yang bersih, beretika, berintegriti dan mempunyai tadbir urus yang cemerlang merentas sektor kerajaan dan swasta di samping menegaskan bahawa usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa akan terus diberikan perhatian.
Pada hemat kaola, perkara ini mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan pembangunan ekonomi negara. Etika dan integriti bukan hanya soal akhlak individu tetapi merupakan sebahagian daripada infrastruktur keyakinan sesebuah negara.
Tatakelola yang baik, ketulusan, integriti, keputusan yang berasaskan fakta serta kepentingan awam dan memperkukuhkan keyakinan rakyat dan sektor swasta, mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pelaburan, membuka peluang ekonomi dan pekerjaan serta menjadikan Kod Etika Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara sebagai salah satu asas penting kepada kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negara.
Oleh itu, kaola melihat penggubalan Kod Etika ini bukan sekadar satu dokumen atau garis panduan tetapi merupakan satu komitmen bersama untuk membina budaya kerja, budaya perbahasan dan budaya perkhidmatan yang lebih matang, berintegriti dan bertanggungjawab.
Dengan adanya prinsip dan panduan yang jelas, kita dapat memastikan bahawa setiap Ahli Yang Berhormat sentiasa memahami bahawa kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab, kedudukan datang bersama amanah dan kewibawaan datang bersama keperibadian. Kita boleh berbeza berpandangan tetapi berbeza itu hendaklah disampaikan dengan adab dan hikmah.
Kita juga perlu memastikan bahawa perbahasan di dalam Dewan tidak hanya berhasil perbezaan pendapat tetapi menghasilkan idea, penyelesaian dan dasar yang membawa manfaat kepada rakyat dan negara.
Perkara ini juga bertepatan dengan harapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar Majlis Mesyuarat Negara membahaskan isu-isu strategik yang keutamaan serta menjadi pencetus kepada idea-idea yang bernas, pragmatik dan inovatif di samping berganding bahu dengan kerajaan, mencari penyelesaian terhadap cabaran masyarakat dan negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Pada hemat kaola, inilah antara Kod Etika yang boleh memberikan kesan positif kepada kemajuan negara, berbahas dengan fakta, membuat teguran dengan hikmah, menjaga integriti, mengelak konflik kepentingan, menghormati perbezaan pandangan, menjaga kerahsiaan apabila diperlukan, tidak mahu menyalahgunakan kedudukan serta sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan peribadi.
Jika prinsip-prinsip ini menjadi budaya dan institusi Majlis Mesyuarat Negara, kita boleh sahaja membentukkan Ahli-Ahli Yang Berhormat lebih beretika tetapi turut membina sebuah institusi yang mampu menyumbang kepada tadbir urus yang lebih baik, dasar yang lebih berkualiti, keyakinan ekonomi yang lebih kukuh dan pembangunan negara yang lebih mampan.
Kaola percaya jika nilai-nilai ini dapat diterapkan dan diamalkan secara konsisten, maka institusi Majlis Mesyuarat Negara akan terus menjadi sebuah institusi yang dihormati oleh rakyat, diyakini oleh masyarakat dan disegani di peringkat serantau serta antarabangsa.
Inilah antara sebab mengapa kaola melihat penggubalan Kod Etika ini sebagai satu langkah yang bukan sahaja relevan pada masa ini tetapi juga merupakan pelaburan institusi untuk generasi Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara pada masa akan datang. Kita bukan sekadar mahu meninggalkan sebuah Kod Etika sebuah dokumen tetapi kita mahu meninggalkan sebuah budaya yang menjadi tauladan.
Dengan demikian, Kod Etika dan Tatakelakuan ini diharapkan dapat menjadi salah satu asas dalam memperkukuhkan keperibadian Majlis Mesyuarat Negara Brunei Darussalam sebuah institusi yang berintegriti, beradab, profesional, berwibawa dan sentiasa menyumbang kepada keamanan, kestabilan, kemajuan ekonomi serta kesejahteraan Negara Brunei Darussalam.
Sekian terima kasih. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Alhamdulillah, saya kira cukuplah dulu kita bersidang pada pagi ini dan saya mencadangkan supaya mesyuarat kita ini kita tangguhkan. Insya Allah, kita akan bersidang semula mulai daripada jam 2.30 petang ini nanti. Sekian wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
(Majlis Mesyuarat disambung pada pukul 2.30 petang)
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.