Langkau ke kandungan utama
For Informational Purposes Only

Source: https://www.majlis-mesyuarat.gov.bn/wp-content/uploads/2026/08/DRAFT-DAY-2-PM-RABU-050826.pdf

HARI KE-2 PETANG

Rumusan Bacaan

📖 Masa membaca: 62 minit
📊 Bilangan kata: 12,614 kata

5HB OGOS 2026 PETANG​

(Majlis Mesyuarat disambung pada pukul 2.30 petang)

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat. Persidangan Majlis Mesyuarat Negara bersidang semula untuk membahaskan Usul Bilangan 4/2026. Walau bagaimanapun sebelum kita meneruskan Perbahasan Usul tersebut kita akan terlebih dahulu beralih kepada urusan mesyuarat yang lain.

Yang Mulia Jurutulis​

Kenyataan Menteri oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya telah memberi izin bagi Yang Berhormat Menteri Pendidikan untuk membuat Kenyataan Menteri dengan Tajuk Mendepan AI Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Hala Tuju Strategik Kementerian Pendidikan. Maka saya persilakan Yang Berhormat Datin.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan​

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Ahli-Ahli Yang Berhormat. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Sukacita kaola, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memberikan laluan kepada kaola untuk mengongsikan hala tuju Kementerian Pendidikan dalam mempertingkatkan kualiti pendidikan negara.

Dunia hari ini sedang melalui perubahan yang amat pesat didorong oleh perkembangan Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence, AI. Perkara ini juga telah disentuh oleh Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan pagi tadi.

AI bukan sekadar teknologi yang digunakan untuk mencari maklumat atau menghasilkan jawapan. Keupayaannya semakin berkembang untuk menganalisis data, menyediakan kandungan, memberikan maklum balas, membantu membuat keputusan dan melaksanakan pelbagai tugasan yang sebelum ini hanya dapat dilakukan oleh manusia.

Perkembangan ini akan membawa perubahan besar kepada cara manusia hidup, bekerja, berkomunikasi dan belajar. Ia juga akan mengubah bentuk pekerjaan, keperluan kemahiran serta peranan institusi pendidikan dan para pendidik.

Oleh itu, persoalan yang perlu kita pertimbangkan bukan lagi sama ada AI akan menjadi sebahagian daripada pendidikan tetapi adakah kita berupaya membina pengetahuan, kepakaran dan keupayaan kita sendiri untuk mencorakkan penggunaan AI mengikut keperluan dan nilai Negara Brunei Darussalam.

Persoalan inilah yang menjadi asas kepada konsep Sovereign AI iaitu keupayaan sesebuah negara untuk menentukan sendiri bagaimana teknologi AI dibangunkan, digunakan dan ditadbir demi kepentingan negara.

Ini termasuk memastikan AI bukan sahaja menyokong pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, malah dibangunkan berlandaskan undang-undang, nilai, budaya dan pegangan agama agar teknologi ini mencerminkan identiti serta aspirasi negara dan bukannya dipengaruhi sepenuhnya oleh nilai dan keutamaan pihak luar.

Oleh yang demikian dalam era AI, pendidikan memikul dua amanah yang perlu dilaksanakan secara seiring. Pertama, menyediakan para pelajar dengan ilmu, kemahiran dan kebolehan untuk hidup, bekerja dan menyumbang dalam dunia yang semakin dipenuhi oleh AI dan, kedua, memastikan bahawa kemajuan teknologi tidak menghakis nilai kemanusiaan, akhlak, jati diri, daya fikir serta tanggungjawab terhadap agama, masyarakat dan negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Dalam menyusun hala tuju ini, Kementerian Pendidikan menjunjung tinggi pandangan jauh dan kebijaksanaan yang terkandung dalam titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1447 bersamaan dengan 2026 anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan kepentingan memanfaatkan teknologi AI secara inklusif dan beretika demi pembangunan masyarakat. Titah tersebut memberikan panduan yang jelas dan seimbang. Kemajuan teknologi perlu diterima dan dimanfaatkan dengan yakin tetapi manfaatnya hendaklah dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat serta sentiasa dipandu oleh nilai, etika dan tanggungjawab.

Atas dasar ini persediaan pelajar menghadapi era AI perlu merangkumi empat dimensi:

Pertama, memahami bagaimana AI berfungsi, keupayaan serta batasannya;

Kedua, menggunakan AI secara selamat, beretika dan bertanggungjawab;

Ketiga, memanfaatkan AI sebagai rakan dan alat bantu pembelajaran; dan

Keempat, memperkukuh keupayaan insani seperti kebijaksanaan, kreativiti, empati, integriti kepimpinan dan pertimbangan moral yang tidak seharusnya diserahkan kepada teknologi.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Dengan perkembangan AI yang semakin pesat, persoalannya bolehkah AI menggantikan pendidik? Jawapannya tidak. Kenapa tidak? Kerana pendidik bukan sekadar menyampaikan maklumat tetapi juga membentuk insan, akhlak, pemikiran dan nilai di kalangan pelajar. Pendidik membimbing, memberikan inspirasi, mengenali keperluan dan potensi pelajar, membina keyakinan, mengajar adab serta menjadi contoh teladan.

Lalu apakah kesan AI terhadap peranan dan tanggungjawab seorang pendidik? AI dapat membantu pendidik dalam menyampaikan kandungan, menyediakan latihan, menghasilkan bahan, memberikan maklum balas awal dan menganalisis prestasi pelajar. Justeru bagi memastikan kandungan pembelajaran kekal tepat dan bersesuaian, para pendidik perlu berperanan sebagai pembimbing pembelajaran yang membantu pelajar menilai serta menggunakan maklumat secara bijaksana.

Peranan pendidik juga tidak terhenti di bilik darjah atau pada aspek akademik semata-mata; dalam menangani isu-isu sosial seperti buli dan keganasan siber, tekanan kesihatan mental serta pendedahan kepada pelbagai maklumat dan pengaruh melalui AI dan media sosial, anak-anak kita memerlukan lebih daripada sekadar teknologi.

Mereka memerlukan hubungan insani yang tulen, bimbingan, teladan dan kekuatan dalaman untuk menilai maklumat, membuat keputusan secara bijaksana serta mengekalkan jati diri. Di sinilah peranan utama pendidik sebagai mentor dalam membentuk karakter pelajar. Bagi Negara Brunei Darussalam pembentukan karakter pelajar perlu berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja.

MIB tidak seharusnya terbatas kepada pengetahuan yang dihafal atau dinilai dalam peperiksaan. Ia perlu dihayati melalui cara berfikir, bertutur, membuat keputusan, berinteraksi dan menggunakan teknologi. Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja celik AI tetapi mempunyai pedoman nilai untuk menentukan bagaimana teknologi tersebut digunakan dan untuk tujuan apa ia digunakan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Prinsip-prinsip ini perlu diterjemahkan melalui tindakan yang nyata. Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan akan terus memberikan perhatian kepada enam bidang utama.

Pertama, memperkukuh dasar dan tadbir urus AI dalam pentadbiran, dalam pendidikan. Kementerian Pendidikan akan terus memperkukuh tadbir urus AI dalam pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, penilaian dan pengurusan pendidikan dengan memberi perhatian kepada integriti akademik, privasi dan keselamatan data, ketelusan, tanggungjawab serta kesesuaian penggunaannya mengikut umur dan keperluan pembelajaran.

Sebagai panduan, kementerian telah menerbitkan Panduan Kecerdasan Buatan AI Dalam Pendidikan pada September 2025, manakala UBD dan UTB turut menyediakan dasar serta Garis Panduan Penggunaan AI Generatif bagi warga institusi masing-masing.

Kedua, memperkukuh literasi AI dalam kurikulum dan pengalaman pembelajaran. Kementerian Pendidikan komited untuk memperkukuh literasi AI dan digital dalam sistem pendidikan negara melalui pendekatan menyeluruh yang merangkumi kurikulum, pentaksiran serta kesiapsiagaan pendidik.

Sebagai asas kepada usaha ini di peringkat rendah, basic coding telah diajarkan dalam kurikulum ICT tahun 5 menggunakan aktiviti MS Logo atau pun Turtle Logo. Coding juga turut diperkenalkan dalam waktu pendidikan dan kemahiran STEAM atau pun SES bagi tahun 2 hingga 5. Beberapa buah sekolah juga telah dilengkapi dengan peralatan micro:bit bermula tahun 2023 dengan kerja sama Authority for Infocommunications Technology Industry, AITI.

Di peringkat pengajian tinggi, satu modul teras mengenai teknologi baharu dan kelestarian ataupun emerging technologies and sustainability giat diusahakan yang memfokuskan pada teknologi yang sedang berkembang termasuk AI, sains data, sains alam sekitar, inovasi hijau dan perubahan iklim yang akan menjadi sebahagian daripada kurikulum yang diajarkan di setiap IPT tempatan.

Penambahbaikan akan terus dilaksanakan bagi memperkukuh pembelajaran berkaitan AI, data, etika, keselamatan siber, kemampanan dan teknologi baharu agar graduan memiliki kemahiran yang relevan dengan keperluan masa hadapan.

Ketiga, mentransformasikan peranan dan memperkukuh kesiapsiagaan guru. Pendidik akan terus diperkasa menerusi pembangunan profesional berterusan bagi meningkatkan kesiapsiagaan mereka dalam ekosistem AI. Di peringkat tempatan, seramai 4,892 guru menyertai kursus AI melalui BDLTA pada tahun 2025.

Sementara itu, 4,281 orang guru berjaya memperolehi AI In-Depth Literacy Certification dengan enam daripadanya dilantik sebagai Certified Master Trainers. Pengupayaan ini memastikan pemanfaatan AI secara bijaksana demi pendidikan yang berkesan dan berkeperimanusiaan tanpa mengabaikan peranan hakiki pendidik.

Keempat, membina keupayaan nasional dalam AI, penyelidikan dan inovasi. Kementerian Pendidikan akan terus membangunkan bakat tempatan serta memperkukuh kerjasama antara Kerajaan, Institusi Pendidikan Tinggi dan industri.

Antara usaha yang dilaksanakan ialah Program Applied Artificial Intelligence dan projek Kelulut Sentry AI di UBD, penerokaan AI dalam pendidikan Islam melalui Fakulti Teknologi Islam UNISSA. Penyediaan makmal AI dan pensijilan Machine Learning di UTB serta Program Analytic Data dan Penyelesaian Digital di Politeknik Brunei. Usaha ini penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada kepakaran luar dan menjamin kelestarian, keupayaan AI negara.

Kelima, memperkukuh infrastruktur digital dan memastikan akses yang saksama. Kementerian Pendidikan akan terus memperkukuh infrastruktur digital dan memastikan akses yang saksama kepada semua pelajar. Melalui Pelan Transformasi Digital 2023-2027, kelajuan internet sekolah telah dan akan dinaiktaraf kepada 100mbps, liputan wifi diperluas dan sebanyak 6,160 komputer riba dibekalkan ke makmal ICT sekolah.

Platform seperti MOE TV, Smart Classroom, Learning Management System dan Digital Resources Management System turut disediakan bagi membentuk ekosistem pendidikan digital yang selamat, bersepadu dan mudah diakses tanpa membiarkan perkembangan AI melebarkan jurang antara pelajar.

Keenam, memperkaya penghayatan MIB dan memperkukuh pembentukan karakter. Semakin pintar teknologi yang digunakan, semakin penting kekuatan nilai manusia yang menggunakannya. Kementerian Pendidikan akan terus memperkukuh pembentukan karakter dan sahsiah pelajar berteraskan MIB melalui kurikulum, aktiviti kokurikulum dan budaya institusi pendidikan.

Sebagai salah satu inisiatif utama Kementerian Pendidikan, Program Sahsiah Pelajar ataupun PSP sedang dilaksanakan bagi memperkukuh pembentukan karakter dan sahsiah pelajar secara holistik di sekolah. PSP melengkapi kurikulum akademik melalui kegiatan kokurikulum dan pembelajaran berasaskan pengalaman ataupun experiential learning bagi memupuk jati diri, kepimpinan, semangat kemasyarakatan serta nilai-nilai murni.

Di peringkat institusi pengajian tinggi, Kementerian Pendidikan sedang melaksanakan inisiatif untuk menyemak modul teras MIB dan menyelaraskan pendekatan penghayatan MIB di kesemua IPT bagi memastikan penerapannya lebih konsisten, sistematik dan selaras dengan cabaran serta keperluan masa hadapan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kejayaan usaha ini tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah alat atau sistem AI yang digunakan. Kejayaannya perlu diukur berdasarkan sejauh mana AI benar-benar:

Pertama, meningkatkan pembelajaran pelajar;

Kedua, memperkukuh keupayaan pendidik;

Ketiga, menjadikan sistem pendidikan lebih berkesan; dan

Keempat, membina bakat dan kepakaran tempatan serta melahirkan pelajar yang berdikari, berintegriti dan mempunyai jati diri yang kukuh. Lalu, apakah kemajuan mesin akan menjadikan manusia semakin berilmu, bijaksana dan bertanggungjawab, jawabannya sudah setentunya.

Oleh itu, inilah amanah pendidikan untuk menjadikan pelajar semakin berilmu, bijaksana dan bertanggungjawab. Dengan menjunjung titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berteraskan penghayatan Melayu Islam Beraja serta diperkukuh oleh peranan pendidik, keluarga, masyarakat, institusi pendidikan dan industri.

Insya Allah kita akan dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja bersedia menghadapi masa hadapan tetapi juga mempunyai keupayaan untuk mencorakkannya. Matlamat pendidikan ialah untuk melahirkan manusia yang mampu menggunakan kehebatan ilmu dan teknologi untuk membawa kebaikan kepada orang lain, masyarakat dan negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Demikianlah yang dapat kaola kongsikan pada kesempatan ini, kaola merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan agenda pendidikan negara.

Penghargaan yang sama juga kaola tujukan kepada seluruh warga Kementerian Pendidikan khususnya para pendidik atas dedikasi dan keikhlasan mereka dalam membimbing, mendidik serta membentuk sahsiah generasi masa hadapan. Dengan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata'ala, kaola berharap segala usaha ini akan terus membawa manfaat kepada sistem pendidikan negara.

Mudah-mudahan anak-anak kita ini membesar sebagai insan yang berilmu, berakhlak mulia, mempunyai daya tahan dan jati diri yang kukuh serta sentiasa bersedia menyumbang kepada agama, raja dan negara. Amin Ya Rabbal Alamin. Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Terima kasih Yang Berhormat Menteri Pendidikan yang mana telah menghuraikan serba sedikit satu strategik planning, yang saya fikir adalah dibuat dengan penuh tanggungjawab dan difikirkan dengan secara komprehensif dan kita mengambil kesempatan ini untuk memberikan tahniah kepada kementerian yang berkenaan dan terus berdoa semoga apa jua matlamat yang dituju akan mencapai sasaran-sasarannya.

Insya Allah. Jadi dengan itu, sekarang kita beralih pula kepada urusan mesyuarat selanjutnya.

Yang Mulia Jurutulis​

Usul Bilangan 4/2026. Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sekarang kita meneruskan perbahasan bagi Usul Bilangan 4/2026 dan saya ingin menjemput, memulakannya dengan menjemput Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann.

Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann​

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim.

Dalam menyokong Usul Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035, kaola ingin menyentuh mengenai usaha meningkatkan peluang pekerjaan dan mengurangkan pengangguran dalam kalangan anak tempatan khususnya melalui pengukuhan sektor swasta. Terlebih dahulu izinkan kaola merafakkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kebijaksanaan dan keprihatinan baginda dalam mewujudkan Menteri-Menteri Penyelaras sebagai satu wadah untuk memperkukuhkan penyelarasan pentadbiran dan pembangunan negara.

Pada hemat kaola, langkah ini mencerminkan wawasan jauh baginda dalam memastikan dasar dan usaha kerajaan dapat digerakkan secara lebih tersusun, bersepadu dan berkesan khususnya dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Dalam konteks peluang pekerjaan, penyelarasan amat penting kerana isu ini tidak hanya melibatkan satu kementerian tetapi berkait rapat dengan pendidikan, latihan, pembangunan tenaga kerja, pelaburan, ekonomi, pembiayaan, kebajikan kerja dan sektor swasta.

Maka peranan Menteri-Menteri Penyelaras amat signifikan untuk memastikan semua bidang ini bergerak dalam satu hala tuju dan sasaran yang sama, pendidikan selaras dengan keperluan industri, latihan memenuhi permintaan pasaran, pelaburan menghasilkan pekerjaan dan sektor swasta menjadi rakan strategik dalam menyediakan peluang kerjaya yang berkualiti kepada anak tempatan.

Perkara ini juga selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah menyentuh mengenai keperluan untuk meningkatkan penyertaan anak tempatan dalam sektor swasta. Baginda pernah menekankan bahawa peluang pekerjaan banyak terdapat di sektor swasta dan menyeru supaya berlaku penghijrahan minda daripada suka menunggu kepada rajin bekerja, daripada banyak bergantung harap kepada lebih berusaha dan daripada kurang berdikari kepada lebih berdikari.

Pada hemat kaola, titah tersebut amat relevan dengan konteks kita pada hari ini. Namun penghijrahan minda ini perlu bergerak dua hala, bukan sahaja anak tempatan perlu bersedia menerima peluang dan menyesuaikan diri dengan keperluan industri tetapi sektor swasta juga perlu menyediakan pekerjaan yang lebih menarik, kompetitif, selamat dan mempunyai laluan kerjaya yang jelas. Kita mahu anak tempatan melihat sektor swasta bukan sebagai pilihan kedua tetapi sebagai laluan kerjaya yang mempunyai masa depan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Sektor swasta merupakan antara penggerak utama ekonomi negara. Oleh itu, untuk menarik lebih ramai anak tempatan menyertai sektor ini kita perlu melihat secara menyeluruh perkara seperti gaji, kebajikan pekerja, latihan, peluang kenaikan pangkat, perumahan, pembiayaan serta keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan. Pada masa yang sama, anak tempatan perlu dibekalkan dengan kemahiran yang benar-benar diperlukan oleh industri.

Sehubungan dengan itu, kaola mencadangkan supaya dipertimbangkan pelan bersepadu pekerjaan anak tempatan yang menyatukan usaha pendidik, latihan, padanan pekerjaan, inisiatif kepada majikan, peningkatan kemahiran serta sokongan kebajikan pekerja dalam satu kerangka yang lebih tersusun. Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kita juga boleh mengambil iktibar daripada beberapa amalan terbaik negara luar.

Sebagai contoh, Singapura melalui SkillsFuture menggabungkan latihan sepanjang hayat, peningkatan dan penyesuaian kemahiran, bimbingan kerjaya serta padanan pekerjaan di samping menyediakan sokongan kepada majikan untuk melatih pekerja dan mereka bentuk semula pekerjaan.

Pendekatan ini menunjukkan bahawa penyelesaian pengangguran bukan hanya menyediakan jawatan kosong tetapi memastikan kemahiran tenaga kerja sentiasa seiring dengan perubahan ekonomi. Program Work-Study Singapura pula menggabungkan pekerjaan dengan latihan berstruktur, pembelajaran di tempat kerja, bimbingan serta laluan perkembangan kerjaya.

Ini merupakan pendekatan yang boleh dipertimbangkan bagi membantu anak tempatan memperolehi pengalaman kerja sebenar sambil membina kemahiran yang diiktiraf industri. Kita juga boleh melihat Malaysia melalui Sistem Insurans Pekerjaan, PERKESO yang bukan sahaja memberikan sokongan pendapatan sementara kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan tetapi turut menyediakan khidmat mencari kerja, padanan kekosongan dan latihan kemahiran yang boleh membantu mereka kembali bekerja.

Bagi kaola, perkara ini boleh kita pelajari daripada pendekatan tersebut ialah sistem pekerjaan perlu bergerak daripada sekadar mencari pekerjaan kepada membantu seseorang mendapatkan pekerjaan, mengekalkan pekerjaan dan membina kerjaya.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Pengangguran perlu dilihat bukan sekadar pada jumlah pencari kerja tetapi juga punca ketidaksepadanan dari segi kemahiran, gaji, laluan kerjaya serta kebajikan dan persekitaran pekerjaan. Justeru, Menteri-Menteri Penyelaras boleh memastikan data sasaran dan tindakan kementerian serta agensi diselaraskan secara bersepadu bagi mengelakkan pertindihan dan mempercepatkan penyelesaian.

Kaola juga berpandangan bahawa setiap pelaburan dan projek pembangunan perlu dinilai berdasarkan impak terhadap peluang pekerjaan anak tempatan. Kita perlu bertanya, berapa banyak pekerjaan diwujudkan? Berapa ramai anak tempatan mendapat peluang? Apakah kemahiran yang dipindahkan? Dan sejauh mana peluang tersebut membawa kepada kerjaya yang berterusan?

Dengan pendekatan ini, pelaburan bukan sahaja dinilai dari segi jumlah modal yang masuk ke negara tetapi juga dari segi nilai tambah kepada tenaga kerja dan ekonomi tempatan. Apabila lebih ramai anak tempatan mendapat pekerjaan berkualiti, pendapatan isi rumah meningkat, kuasa membeli bertambah, perniagaan berkembang dan ekonomi negara menjadi lebih rancak.

Maka mengurangkan pengangguran anak tempatan bukan sekadar agenda sosial tetapi merupakan strategi ekonomi negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Dalam masa yang sama kaola menyambut baik usaha kerajaan dalam mengurangkan kemiskinan melalui pelbagai program bantuan yang lebih terarah dan bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Namun pada hemat kaola, bantuan bukanlah sahaja membantu meringankan beban pada hari ini tetapi seboleh-bolehnya menjadi jambatan untuk meningkatkan keupayaan dan pendapatan pada masa hadapan.

Ini boleh dilakukan melalui peluang pekerjaan, latihan kemahiran, keusahawanan dan sokongan peningkatan pendapatan yang lebih mampan. Dengan penyelarasan yang lebih berkesan antara kementerian dan agensi, kita boleh memastikan bantuan tidak bertindih, lebih bersasar dan yang penting mempunyai ukuran keberhasilan yang jelas.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Kejayaan Wawasan Brunei 2035 bukan hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi tetapi juga melalui sejauh mana rakyat dapat menikmati hasil pembangunan tersebut. Jika semakin ramai anak tempatan mempunyai pekerjaan yang baik, semakin banyak keluarga mampu meningkatkan pendapatan, semakin ramai berjaya keluar dari kemiskinan dan semakin kukuh sektor swasta, maka kita sedang membina asas ekonomi yang lebih berdaya tahan.

Justeru, kaola melihat penyelarasan Menteri-Menteri Penyelaras sebagai satu peluang untuk menyatukan usaha tersebut di bawah satu pendekatan yang lebih menyeluruh, pendidikan, kemahiran, pekerjaan, pelaburan, sektor swasta dan kesejahteraan rakyat bergerak dalam satu ekosistem.

Sekali lagi, kaola ingin merafakkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kebijaksanaan baginda dalam memperkukuhkan penyelaras, pentadbiran dan pembangunan negara.

Semoga dengan adanya Menteri-Menteri Penyelaras, segala dasar dan usaha kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, pantas, konsisten dan berkesan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam.

Dengan penuh taat setia, kaola menyokong Usul Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035.

Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Saya persilakan Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin.

Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin​

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca).

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Terlebih dahulu kaola memanjatkan doa kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua kitani dapat bersama-sama menghadiri Mesyuarat Kedua Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2026.

Kaola juga merafakkan sembah menjunjung kasih setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kebijaksanaan baginda memperkenankan rombakan Menteri Kabinet dengan pelantikan paduka-paduka anakanda baginda dan mewujudkan tiga jawatan Menteri Penyelaras.

Sesungguhnya keputusan ini merupakan langkah strategik yang amat tepat pada waktunya ketika negara sedang memasuki fasa yang amat kritikal menuju Wawasan Brunei 2035.

Dengan pelantikan paduka-paduka anakanda baginda juga, barang setentunya akan memberikan impak yang lebih padu dalam usaha pelaksanaan penyelarasan di peringkat menteri penyelaras dan kementerian-kementerian yang lain.

Dalam titah perutusan khas rombakan Menteri-Menteri Kabinet pada 4 Jun yang lalu, baginda telah menitahkan bahawa negara kini berada pada fasa pelaksanaan blueprint menuju Wawasan Brunei 2035 dan kejayaannya bergantung kepada kebijaksanaan kepimpinan baharu, kesepaduan serta tanggungjawab bersama.

Titah tersebut memberikan mesej yang sangat jelas bahawa kementerian-kementerian tidak lagi boleh bekerja secara berasingan, malah mesti bergerak sebagai satu pasukan yang mempunyai matlamat yang sama.

Perkara ini diperkukuhkan lagi melalui titah baginda mengenai amanah, kepimpinan yang menegaskan bahawa setiap jawatan adalah amanah yang wajib dilaksanakan dengan penuh keadilan, integriti, ketelusan dan tanggungjawab. Oleh itu, kaola menyokong sepenuhnya Usul Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Memperkukuh keamanan negara adalah teras kepada kestabilan dan kemakmuran dan ia adalah nadi kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035. Keamanan merupakan aset paling berharga dan menjadi asas kepada kestabilan politik, kemajuan ekonomi, serta kesejahteraan sosial Negara Brunei Darussalam.

Secara istiqamah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sering bertitah mengenai dengan nikmat keamanan dan sentiasa mengingatkan rakyat bahawa keamanan ialah nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala yang wajib dipelihara, disyukuri dan dipertahankan oleh seluruh rakyat dan penduduk di negara ini.

Dalam konteks semasa, landscape keselamatan global semakin mencabar dengan pelbagai ancaman baharu seperti jenayah siber, penyebaran maklumat palsu, ekstremisme, ancaman ekonomi serta ketidaktentuan geopolitik.

Justeru, usaha memperkukuh keamanan negara tidak lagi tertumpu kepada aspek pertahanan semata-mata, bahkan memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan seluruh kerajaan, sektor swasta, masyarakat dan setiap individu. Sepertimana ungkapan bahasa Inggeris, do not take things for granted.

Bagi setengah pihak di luar negara yang mengalami pergolakan dalaman, mereka sanggup berbelanja, mengeluarkan wang berjuta-juta dan ada yang sanggup merentas darat dan lautan luas dan merisikokan nyawa demi mencari keamanan yang dihasratkan.

Kaola sebagai rakyat, ingin mengingatkan diri sendiri, supaya akan sentiasa bersyukur dengan nikmat keamanan yang sudah dinikmati. Insya Allah, kenikmatan keamanan akan bertambah lagi dengan aman. (Surah Ibrahim, ayat tujuh dibaca) maksudnya, "Sesungguhnya, jika kamu bersyukur, nescaya aku, Allah akan menambah nikmat kepadamu. Tetapi ingat, jika kamu mengingkari nikmat-Ku, pasti azab-Ku amat pedih".

Bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai kepentingan keamanan, seluruh rakyat dan penduduk hendaklah terus mensyukuri nikmat keamanan yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala memelihara perpaduan, mematuhi undang-undang negara, menjunjung perlembagaan serta institusi beraja, menghayati dan mengamalkan nilai-nilai Melayu Islam Beraja dalam kehidupan seharian serta bersama-sama mempertahankan keamanan dan kemakmuran negara demi kepentingan generasi masa hadapan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Keperluan untuk memperkukuhkan koordinasi antara kementerian-kementerian serta jabatan-jabatan dalam menangani isu-isu merentas bidang, cross-cutting issues wajar terus diberi penekanan, khususnya dalam usaha mempercepatkan penyelesaian isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan ekonomi, perdagangan dan pelaburan negara.

Pada masa ini, setiap kementerian dan jabatan mempunyai bidang kuasa, peraturan serta perundangan masing-masing. Walau bagaimanapun, apabila sesuatu isu melibatkan lebih daripada satu agensi, seringkali timbul pertindihan fungsi, percanggahan prosedur atau kekeliruan mengenai pihak yang bertanggungjawab iaitu yang kaola istilahkan grey areas atau keadaan isu ayam dan telur. Keadaan ini boleh menyebabkan proses membuat keputusan menjadi lebih lambat, sekaligus menjejaskan kelancaran aktiviti ekonomi dan keyakinan komuniti perniagaan.

Izinkan kaola untuk mengongsikan pengalaman sendiri serta rakan-rakan seperjuangan. Sebagai seorang pemain industri usahawan ternakan, kaola sudah mengalami semua perkara ini hampir dua dekad.

Dari proses mendapatkan sebidang tanah kepada pembangunan infrastruktur reban, bangunan, perlesenan-perlesenan, operasi penternakan dan penjualan terpaksa berdepan dengan beberapa kementerian dan jabatan-jabatan yang berlainan dengan bidang kuasa yang berlainan.

Perlesenan-perlesenan ini seperti sijil halal, permit kenderaan, pengambilan pekerja asing, pengimportan barang raw dan banyak lagi. Bayangkan ini hanya bagi menghasilkan satu produk sahaja.

Secara ringkasnya dan dengan pengalaman pahit manis yang dilalui selama dua dekad berkenaan, wujudnya kementerian yang bertanggungjawab dalam hal penyelesaian ini adalah satu berita yang paling terbaik yang ditunggu-tunggu oleh pengusaha-pengusaha industry player.

Dengan ini, Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana, sekali lagi kaola menyokong penuh Usul Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035. Persoalannya ialah sekarang apakah mekanisme yang terbaik untuk memantapkan lagi sistem penyelarasan dan akan dapat memberi impak yang berkesan.

Dalam hubungan ini, izinkan kaola mencadangkan supaya diwujudkan satu mekanisme penyelarasan atau platform khas yang berfungsi sebagai pemudah cara, facilitate dan penuntun accommodate bagi menyelaras menyelesaikan isu-isu rentas agensi khususnya berkaitan dengan ekonomi dan perdagangan.

Platform tersebut dicadangkan mempunyai mandat yang jelas untuk menyelaras tindakan antara kementerian dan jabatan, memantau perkembangan sesuatu isu, mempercepatkan proses membuat keputusan serta memastikan penyelesaian dapat dicapai secara lebih cekap, berkesan dan dalam tempoh yang munasabah.

Dengan adanya pusat penyelarasan sedemikian, komuniti perniagaan tidak lagi perlu berurusan dengan pelbagai agensi secara berasingan bagi menyelesaikan satu isu yang sama. Sebaliknya, platform tersebut akan bertindak sebagai pusat rujukan dan penyelarasan sekali gus mengurangkan kelewatan, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan, memperkukuhkan ekosistem perniagaan serta menyokong agenda pertumbuhan ekonomi negara.

Akhir kalam, sekali lagi kaola merafakkan sembah menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kepimpinan baginda yang bijaksana dan berwawasan jauh dalam memperkenalkan mekanisme Menteri Penyelaras sebagai satu pendekatan yang baharu bagi memperkukuhkan tadbir urus negara. Kaola percaya apa yang tersirat dengan pengwujudan Menteri Penyelaras ini, bukan saja memperkemaskinikan sistem penyelaras tetapi juga jauh tersirat akan dapat membanteras gejala-gejala rasuah yang terjadi selama ini.

Kaola sangat yakin dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta dengan kerjasama seluruh jentera kerajaan, sektor swasta dan rakyat, Insya Allah Wawasan Brunei 2035 akan dapat direalisasikan.

Semoga kitani semua dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dengan rezeki kesihatan yang berpanjangan dan rezeki kepada negara kitani yang kitani sama-sama cintai.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman​

Bismillahir Rahmanir Rahim, (doa dibaca). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Kaola mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kesempatan yang diberikan untuk turut serta dalam membahaskan Usul yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Pehin Dato Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.

Dikesempatan ini, kaola menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas penubuhan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia sebagai langkah strategik dalam usaha kita menuju Wawasan Brunei 2035.

Langkah ini kaola yakin akan mengukuhkan lagi tindakan yang dinyatakan dalam setiap blueprint yang telah dibincangkan dengan terperinci di Dewan yang mulia ini pada Mesyuarat Kedua Musim Permesyuaratan Ke-21 bagi tahun 2025.

Kaola menyambut baik Cadangan Usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 dan menyokong sepenuhnya agar Usul ini diluluskan oleh Dewan yang mulia ini sesuai dengan hasrat Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang dilantik semasa membincangkan Usul Wawasan pada musim permesyuaratan yang kedua yang mahu melihat Wawasan 2035 mencapai matlamatnya bukan setakat cantik dan rancak dibincangkan tetapi lancar dilaksanakan mengikut jadual dan KPInya yang telah ditetapkan hasil koordinasi dengan semua stakeholders bagi hasil yang menepati matlamat Wawasan negara 2035.

Sebelum ini, kita berdepan dengan cabaran isu pensejajaran strategi dan dasar untuk menuju Wawasan 2035 yang mana kurangnya pensejajaran yang berkesan menyebabkan pelaksanaan sesuatu strategi dan dasar itu kurang memenuhi aspirasi keseluruhan wawasan. Hanya memenuhi agenda kementerian masing-masing disebabkan amalan kerja secara silos. Ini menimbulkan keadaan di mana sesuatu tindakan itu tidak sehaluan dan tidak saling menyokong malah ada yang bertentangan antara satu jabatan atau kementerian dengan jabatan atau kementerian yang lain.

Maka kaola menyokong usaha memperkukuhkan penyelarasan dan kerjasama antara jabatan-jabatan dan kementerian-kementerian secara berterusan, mengelakkan pertindihan, menghapuskan budaya kerja silos dengan hala tuju yang jelas untuk mencapai Wawasan 2035.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola menyokong sepenuhnya titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menyeru bagi isu pengangguran ditangani secara lebih berkesan. Kita melihat peningkatan angka pengangguran dan kekecewaan setiap pencari kerja apabila menerima jawapan dukacita.

Namun belum ada pendekatan yang berkesan untuk mengurangkan kadar pengangguran di mana setiap tahun menyaksikan angka pencari kerja bertambah dari kalangan graduan, dari institusi tinggi di luar dan di dalam negeri, dari kalangan lepasan sekolah dan juga dari kalangan mereka yang sudah bekerja tetapi mahu mencari peluang pekerjaan yang lain yang memberi jaminan masa hadapan yang lebih baik.

Pengangguran adalah antara punca utama bertambahnya bilangan yang memohon bantuan kerajaan untuk kesinambungan hidup. Kita maklum bahawa pekerjaan dalam sektor kerajaan adalah terhad dan tidak dapat menampung semua permohonan-permohonan pekerjaan yang ada. Kita juga maklum, sektor swasta mempunyai banyak potensi untuk mewujudkan pekerjaan, yang memerlukan tenaga kerja berbagai bidang dan kepakaran.

Tetapi usaha mengukuhkan sektor swasta agar dapat mewujudkan pekerjaan, tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Malah beberapa perusahaan dan perniagaan menghadapi masalah untuk terus bertahan, apatah lagi untuk mengambil kakitangan baru. Kaola yakin dengan adanya ekosistem yang bersesuaian, pekerjaan di sektor swasta dapat bertambah untuk menarik pekerjaan tempatan, mampu memberi pendapatan yang lumayan dan prospek pekerjaan jangka panjang.

Sebagaimana yang sering kita katakan, sektor swasta sebagai jentera pertumbuhan iaitu private sector as an engine of growth, maka seharusnyalah kita berusaha untuk mengembang majukan sektor swasta bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerjaan di sektor kerajaan atau sektor minyak dan gas semata-mata.

Kita perlu mempunyai dasar dan strategi yang menyokong pertumbuhan sektor swasta di negara ini, memberi dokongan dan dorongan secara positif dan memberi insentif tertentu agar mereka berupaya dan berkemampuan untuk berkembang dan memainkan peranan dalam pembangunan.

Ke arah itu, kita perlu mengambil langkah untuk memudahcara sesebuah perusahaan sama ada kecil, sederhana atau besar, dari mula mendaftar dan hingga perniagaannya beroperasi tanpa red tape yang melambatkan proses atau tindakan keputusan yang memakan masa begitu lama atau terhalang dengan syarat-syarat penggunaan tanah yang kurang menggalakkan pertumbuhan perusahaan di dalam negeri atau kelambatan memproses permohonan lesen pendaftaran, pas pengambilan kerja, kebenaran menggunakan premis-premis yang diperuntukkan, mendapatkan bekalan elektrik, air dan sebagainya.

Kesemua ini memerlukan penyelarasan di semua peringkat untuk memudahkan cara perniagaan berpandukan ease of doing business untuk kita menuju ke Wawasan negara 2035. Usaha-usaha untuk menarik pelaburan asing, FDI ke negara ini juga perlu dipertingkatkan melalui penyelarasan yang berkesan kerana kita tidak mempunyai alternatif lain.

Kemasukan pelaburan asing ke negara ini melalui beberapa agensi dan proses tanpa penyelarasan, prosesnya akan memakan masa yang lama. Pelaburan asing bukan saja membawa capital yang kita perlukan tetapi akan membawa teknologi yang baru, tenaga kerja profesional serta etika kerja yang baru yang mana dalam jangka sederhana dan panjang sudah dikenal pasti dapat membantu ke arah pencapaian Wawasan 2035.

Peranan FDI dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara secara keseluruhannya sudah diakui bukan saja bagi Negara Brunei Darussalam tetapi bagi semua negara terutama di kalangan negara ASEAN. Sementara di negara ASEAN yang lainnya kemasukan pelaburan asing adalah faktor utama pertumbuhan ekonomi Negara Brunei Darussalam tidak mencatatkan angka yang signifikan.

Kaola yakin walaupun Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara kecil, kita mampu meraih keuntungan dan faedah dari FDI dengan mengambil beberapa langkah yang merubah persepsi tentang keupayaan, kebolehpercayaan, ketelusan dan business environment di negara ini.

Di sini, kaola berpendapat media-media kerajaan berperanan memberigakan projek-projek yang sudah berjalan agar menjadi contoh akan keupayaan Negara Brunei Darussalam menarik pelaburan langsung ke negara ini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, salah satu lagi usaha untuk menarik FDI ialah kita perlu menyediakan pool of local talents terdiri dari graduan yang bersedia dengan kepakaran yang khusus dalam bidang-bidang yang diperlukan oleh industri seperti digital economy, penggunaan AI, finance, engineering, green technology, renewable energy dan sebagainya. Dan bagi menyediakan semua local talent ini, kita memerlukan keterlibatan dari berbagai pihak, Kementerian Pendidikan, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, MPEC dan kapten-kapten industri.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, isu pengangguran adalah isu serius. Ini disebabkan kurangnya peluang pekerjaan di mana pihak GLC, pihak swasta dan FDI kurang berupaya menyediakan pekerjaan untuk anak-anak tempatan. Maka kita sewajarnya memberi fokus kepada usaha mengukuhkan pihak swasta, membina keupayaan mereka, membantu mengembangkan kapasiti sektor swasta, menaikkan daya saing mereka dan kemudahan-kemudahan menembusi pasaran luar negara agar menjadi rakan pembangunan kukuh.

Selain dari itu, masalah pengangguran kita sebahagiannya adalah juga structural di mana wujudnya mismatch di antara kelayakan tenaga kerja dan keperluan industri. Diharap perkara ini yang sering kita sentuh dalam dewan ini telah terus diberi tindakan yang sesuai untuk menyelarasnya. Kaola mengambil maklum pihak Kementerian Pendidikan melalui institusi pengajian tinggi telah bekerjasama dengan pihak industri untuk mengadakan kepakaran yang diperlukan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, di sini kaola ingin mencadangkan sebagai langkah sementara mungkin boleh dipertimbangkan mereka yang sedang menunggu pekerjaan dibagi kerja sementara mengikut kepakaran masing-masing dalam IT, AI, digital economy, pendidikan, pertanian, kewangan, penjagaan kesihatan dan sebagainya untuk diserapkan di jabatan-jabatan kerajaan bagi membantu jabatan-jabatan kerajaan meningkatkan prestasi dan mutu service delivery jabatan-jabatan di mana mereka ditempatkan. Ini akan menaikkan semangat dan moral dan jati diri para belia mengelakkan tekanan mental dan memberi keyakinan kepada mereka akan situasi dan peluang pekerjaan masa hadapan dan juga kesiapsiagaan mereka apabila ditawar pekerjaan yang tetap.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kesemua ini memerlukan penyelarasan bukan sahaja setakat peringkat political tetapi hendaklah di-cascade ke peringkat di setiap pegawai dan kakitangan jabatan. Hanya dengan itu penyelarasan akan nampak lebih efektif dan membawa impak yang besar dalam menuju ke Wawasan Brunei 2035. Sekian sahaja yang ingin kaola sampaikan dalam Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035.

Kaola sekali lagi menjunjung kasih setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas titah baginda di Persidangan Majlis Menteri-Menteri Kabinet ke-92 pada 15 Jun 2026. Tiga perkara dalam titah tersebut yang pada pendapat kaola perlu segera diambil tindakan iaitu isu pengangguran untuk ditangani secara lebih berkesan. Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau GLC perlu terus diperkukuhkan dan diperkembangkan bagi menyumbang kepada peluang pekerjaan dan terakhir ialah bagi kita meningkatkan usaha menarik FDI ke negara ini untuk beroperasi dan berkembang.

Kaola berharap dalam Permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara yang akan datang beberapa tindakan dan penyelesaian yang diambil untuk menangani kebimbangan yang sering dibincangkan akan dapat dikongsikan di dewan yang mulia ini. Sekian wabillahi taufeq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Saya sekarang mempersilakan Yang Berhormat Menteri Pembangunan.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan​

Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola ingin merakamkan sokongan penuh terhadap Usul yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II berhubung penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035. Usul ini amat selari dengan keperluan negara serta menggambarkan komitmen berterusan Majlis Mesyuarat Negara dalam menjunjung titah untuk merealisasikan aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam demi memastikan Wawasan Brunei 2035 kekal sebagai teras memacu hala tuju pembangunan negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Usul Penyelarasan Wawasan Brunei 2035 yang sedang dibahaskan pada persidangan ini adalah satu penekanan bahawa setiap dasar strategi dan pelaburan kerajaan hendaklah bergerak ke arah matlamat yang sama iaitu membina negara yang lebih makmur, berdaya tahan dan mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi.

Kementerian Pembangunan menjunjung tinggi kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memperkukuh mekanisme penyelarasan kerajaan melalui pelantikan tiga menteri penyelaras iaitu Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi serta Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dalam menerajui agenda sektor keselamatan negara, sektor ekonomi dan sektor sosial dan tenaga manusia.

Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap perancangan fizikal infrastruktur penyediaan dan pengurusan guna tanah yang mampan, penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam yang berkualiti serta penambahbaikan dasar dan peraturan yang progresif Kementerian Pembangunan memainkan peranan strategik sebagai pemangkin pembangunan dengan menyediakan asas yang kukuh bagi mendorong pelaksanaan dasar dan pencapaian strategik ketiga-tiga sektor tersebut.

Selaras dengan kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam baru-baru ini baginda telah menegaskan kepentingan memperkukuh pertumbuhan ekonomi melalui pengukuhan sektor kewangan serta usaha berterusan untuk menarik pelaburan langsung asing, foreign direct investment. Baginda juga menekankan kepentingan kerjasama yang lebih erat dengan Kementerian Pembangunan dalam menyediakan tanah, infrastruktur dan kemudahan sokongan bagi mewujudkan persekitaran pelaburan yang kondusif sekaligus memudahkan pelabur untuk beroperasi dan berkembang.

Kementerian Pembangunan akan terus menumpukan usaha kepada tiga keutamaan.

Pertama, mengoptimumkan penggunaan tanah sedia ada, land optimization, secara lebih efisyen serta mengenal pasti tapak-tapak baharu yang berpotensi mengikut keperluan sektor ekonomi bagi meningkatkan produktiviti dan nilai guna tanah.

Kedua, menyediakan infrastruktur yang berkualiti, berdaya tahan dan cekap termasuk bekalan air, rangkaian jalan raya, tambatan banjir dan perumahan bagi mendorong pembangunan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Ketiga, memperkukuh dasar, proses dan kerangka kawal selia bagi memudahkan dan mempercepatkan perkhidmatan kepada orang ramai dan para pelabur sekaligus mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif dan berdaya saing untuk menarik lebih banyak pelaburan.

Keutamaan pertama mengoptima penggunaan tanah. Tanah merupakan aset strategik negara yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi memandangkan kawasan yang sesuai untuk pembangunan adalah terhad. Setiap pengurusan tanah mesti memberikan hasil yang terbaik kepada negara dalam membantu melahirkan lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan langsung asing.

Setakat ini, sebanyak 213 tapak tanah dengan jumlah keluasan 17,239 hektar telah diperuntukkan untuk pelbagai sektor ekonomi termasuk pertama, sektor keselamatan makanan melalui pembangunan kawasan pertanian strategik dan agro-parks.

Kedua, industri hiliran minyak dan gas melalui penyediaan kawasan perindustrian yang sesuai;

Ketiga, sektor pelancongan melalui pembangunan kawasan berpotensi;

Keempat, sektor infokomunikasi dan teknologi; dan

Kelima, sektor logistik dan perkhidmatan.

Daripada jumlah ini, secara menyeluruh sebanyak 66 peratus telah pun dimajukan, sebagai contoh seluas 4,443 hektar diperuntukkan untuk sektor industri, di mana 87 peratus daripadanya telah diusahakan. Manakala sektor pertanian telah diperuntukkan seluas 8,693 hektar di mana 79 peratus daripadanya telah dimajukan.

Dalam menyokong pertumbuhan ekonomi melalui perancangan guna tanah bagi menarik lebih banyak pelaburan daripada luar negara, kementerian melalui Jabatan Perancang Bandar dan Desa telah mengenal pasti kawasan baru seluas 17,526 hektar yang berpotensi untuk dimajukan. Sebagai contoh sebanyak 3,324 hektar daripada tanah baru ini dikhususkan bagi sektor pengangkutan yang mana menyokong usaha meningkatkan kapasiti logistik negara. Ini termasuk tanah untuk pembesaran Pelabuhan Muara dan jalan pengangkutan barang bagi memudahkan laluan perdagangan.

Dalam memastikan tanah negara kekal produktif, kementerian juga mengenal pasti 52 keping tanah lesen tumpang sementara seluas 903 hektar, dalam menangani isu tanah yang tidak produktif untuk diambil balik oleh kerajaan. Tapak-tapak ini untuk dimanfaatkan bagi kegunaan selain daripada perniagaan, perumahan industri sebelum tahun 2035.

Keutamaan kedua, menyediakan kemudahan asas yang berdaya tahan dan efisien. Kemudahan asas seperti bekalan air yang stabil, sistem saliran yang berfungsi, jalan raya yang selamat, perumahan yang mampu milik dan aset awam yang berkualiti bukan sahaja menjamin kehidupan rakyat yang selesa, malah adalah syarat utama bagi meningkatkan keyakinan pelabur serta menyokong produktiviti sektor perniagaan.

Dalam memperkukuhkan kapasiti dan sekuriti bekalan air negara, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Perkhidmatan Air akan terus memperkukuhkan kapasiti sistem bekalan air negara bagi memastikan bekalan air yang mencukupi, berdaya tahan dan mampu menyokong pembangunan sosioekonomi negara. Hasil pelaburan berterusan dalam pembangunan infrastruktur air, kapasiti pengeluaran air bersih negara kini telah mencapai 587-liter sehari dan kapasiti tersebut dijangka meningkat kepada 776-liter sehari menjelang tahun 2035 dengan siapnya beberapa projek strategik di bawah Rancangan Kemajuan Negara.

Daripada kapasiti yang diperuntukkan bagi sektor industri, sebanyak 193 juta liter sehari telah dikenal pasti untuk memenuhi keperluan pembangunan sektor-sektor ekonomi utama meliputi sektor pertanian 184 juta liter sehari, Pure Salmon Sdn. Bhd. 300 juta liter sehari, UNN Data Centre 2 juta liter sehari, Pulau Muara Besar sejuta liter sehari dan Muara Port Company 0.4 juta liter sehari.

Projek-projek strategik yang sedang dan akan dilaksanakan di bawah Rancangan Kemajuan Negara, antaranya ialah:

Pembinaan Loji Rawatan Air Bukit Barun Stage 8 berkapasiti 120 juta liter sehari yang dijangka siap pada tahun 2029;

Kedua, penaiktarafan Loji Rawatan Air Agis-Agis berkapasiti 36 juta liter sehari yang dijangka siap pada tahun 2028;

Pengaktifan semula Loji Rawatan Air Tasek Lama berkapasiti 7 juta liter sehari sebagai sumber bekalan alternatif bagi kawasan Bandar Seri Begawan; dan

Keempat, penaiktarafan Loji Rawatan Air Batang Duri kepada kapasiti 20 juta liter sehari; dan

Kelima, penaiktarafan Loji Rawatan Air Sumbiling berkapasiti 5.5 juta liter sehari bagi menyokong pertumbuhan permintaan di Daerah Temburong.

Bagi menjamin sekuriti air mentah terutama semasa musim kemarau dan perubahan iklim negara kini disokong oleh lima buah empangan utama dengan jumlah kapasiti simpanan 180 juta meter padu iaitu Empangan Ulu Tutong 100 juta meter padu, Empangan Benutan 56 juta meter padu, Empangan Mengkubau 16 juta meter padu, Empangan Kargu 14 juta meter padu dan Empangan Tasek sejuta meter padu.

Sebagai langkah jangka panjang, kementerian sedang merangka perancangan untuk mempelbagaikan sumber bekalan air melalui projek bekalan alternatif di kawasan-kawasan utama dan strategik. Pendekatan ini bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber bekalan konvensional bagi perkhidmatan di kawasan-kawasan kritikal.

Keseluruhannya, pembangunan kapasiti pengeluaran pengukuhan sumber air mentah dan kepelbagaian sumber bekalan mencerminkan komitmen kementerian dalam memastikan sekuriti bekalan air negara terus terjamin bukan sahaja bagi memenuhi keperluan semasa malah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara pada masa depan.

Dalam memperkukuhkan kecekapan infrastruktur air negara melalui transformasi digital selain meningkatkan kapasiti bekalan air, kementerian turut memberi penekanan kepada peningkatan kecekapan sistem bekalan air melalui pengurangan air yang tidak terhasil atau non-revenue water seperti pembaziran melalui illegal tapping, kebocoran dan paip pecah. Pendekatan ini meningkatkan kecekapan agihan air bersih kepada pengguna menggunakan infrastruktur yang sedia ada.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Perkhidmatan Air sedang melaksanakan projek pengurusan non-revenue water Fasa 3 bernilai BND22 juta yang bermula pada 2 September 2025 bagi tempoh pelaksanaan selama 48 bulan. Projek ini merupakan komponen utama dalam transformasi smart water grid yang memanfaatkan teknologi digital untuk memantau, mengesan kebocoran dan menguruskan bekalan air secara masa nyata atau real-time.

Setakat 19 Julai 2026, sebanyak 51,458-unit meter air pintar telah dipasang dengan baki 77,493-unit lagi disasarkan selesai menjelang Disember 2027. Pendigitalan sistem ini turut akan menyokong program penggantian paip usang dan berisiko tinggi secara berperingkat. Data yang diperolehi melalui smart water grid membolehkan lokasi paip yang kritikal dikenal pasti dengan lebih tepat sekali gus membolehkan kerja-kerja pembaharuan aset dilaksanakan secara sistematik berdasarkan penilaian risiko dan keutamaan operasi. Ianya juga boleh mempercepatkan tindak balas terhadap gangguan bekalan serta meningkatkan kebolehpercayaan sistem bekalan air negara.

Pendekatan ini amat penting memandangkan sepanjang Tahun Kewangan 2025/2026 lebih 6,000 insiden kebocoran paip pembahagian serta lebih 170 insiden kebocoran paip utama telah direkodkan. Inisiatif-inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang kementerian untuk mengurangkan kadar non-revenue water kepada 25 peratus menjelang tahun 2035.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Dalam memperkukuhkan daya tahan infrastruktur terhadap perubahan iklim dalam persediaan menghadapi kejadian cuaca ekstrem serta mengurangkan risiko banjir, Kementerian Pembangunan telah mengambil pendekatan yang lebih proaktif dengan memperkukuh daya tahan sistem saliran dan mitigasi pencegahan banjir.

Setakat ini, kementerian telah berjaya mengurangkan keluasan kawasan yang terdedah kepada risiko banjir daripada 285 kilometer persegi kepada 283 kilometer persegi iaitu pengurangan seluas 200 hektar. Dengan siapnya projek-projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12, keluasan kawasan yang terdedah kepada risiko banjir dijangka terus dapat dikurangkan kepada 281 kilometer persegi.

Dalam menangani projek-projek strategik yang sedang dilaksanakan, kaola mohon izin untuk lebih masa sedikit untuk menyampaikan ada perkara-perkara yang utama dalam apatu, ulasan kaola ani, mohon izin, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

(Yang Berhormat Yang Di-Pertua memberi isyarat menganggukkan kepala tanda bersetuju)

Di antara projek-projek strategik yang sedang dilaksanakan termasuk:

Pertama, projek mengorek dan melebarkan sungai-sungai utama, anak-anak sungai dan kolam takungan di Negara Brunei Darussalam yang telah bermula pada 21 Februari 2026 dan dijangka siap pada 20 Februari 2029. Projek ini melibatkan kerja-kerja pengorekan di kawasan Sungai Papakan, Sungai Danau hingga Kuala Sungai Tutong, Sungai Telamba dan Sungai Kelakas sepanjang kira-kira 30.4 kilometer;

Kedua, Projek Pengurusan Banjir Kampung Pasai dan Mulaut Fasa 1 yang kini berada dalam peringkat kajian awal dan akan melibatkan pembinaan sistem saliran sebanyak 4.4 kilometer;

Ketiga, kerja-kerja menaik taraf sistem saliran beberapa kawasan termasuk Jalan Pasir Berakas, Simpang 396, Kampung Sungai Akar dan Kampung Sungai Buloh yang kini dalam proses kebenaran tawaran;

Keempat, Projek Skim Pencegahan Banjir di Pekan Tutong dan Kampung Keriam yang bermula pada 20 Mac 2026 dan dijangka akan siap pada 24 Mac 2029. Melibatkan pembinaan stesen pam banjir dan sistem saliran sebanyak 2.55 kilometer;

Kelima, di Daerah Belait, Projek Menaik Taraf Sistem Longkang Kawasan Seria - Belait Fasa 1 kini berada dalam peringkat tawaran dan akan meliputi kawasan Pekan Belait dan Kampung Mumong; dan

Keenam, Projek Drainage Improvements Works Fasa 1 di Daerah Temburong yang bermula pada bulan Jun 2026 melibatkan kerja-kerja penaiktarafan sistem saliran di Kawasan Bangar khususnya di sekitar Sekolah Arab dan Masjid Utama Mohammad Salleh. Usaha ini bukan saja melindungi aset awam dan tempat kediaman rakyat walau memastikan aktiviti ekonomi dapat diteruskan dengan lebih stabil dan selamat.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Dalam rangkaian jalan raya, yang mustahak dalam memangkin aktiviti ekonomi, kementerian melalui Jabatan Jalan Raya akan terus memperkukuh keterhubungan rangkaian jalan raya dalam memastikan pengerakan rakyat, pengangkutan barangan dan aktiviti logistik dapat dilaksanakan dengan lancar.

Pencapaian dapat dilihat melalui rangkaian Lebuh Raya Muara - Belait sepanjang 118 kilometer dan Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien sebanyak 26.3 kilometer. Bagi meningkatkan lagi kecekapan rangkaian ini, sebanyak enam lokasi persimpangan telah dikenal pasti untuk pembinaan jejambat iaitu flyover selain projek pelebaran dan membaik pulih lebuh raya dan jalan-jalan utama sedia ada yang akan menyokong kawasan industri dan pelaburan negara seperti Jalan Utama Mentiri dan Jalan Utama Salambigar, Lebuh Raya Muara - Tutong dan Jalan Binglu dan Lebuh Raya Tutong - Telisai dan Jalan Sengkarai.

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Kementerian Pembangunan juga telah memastikan 13 zon koridor industri dihubungkan dengan jalan-jalan. Sebagai contoh, Zon Tanjung Kajar Industrial Area dengan Jalan Lebuh Raya Muara - Tutong dan Jalan Penghubung Tanah Jambu, Zon Lumapas Industrial Area dan Jalan Lumapas dan Jalan Junjungan dan Zon Pekan Belait, Sungai Duhon dan Rasau Industrial Area melalui Lebuh Raya Lumut - Belait, Jalan Singa Menteri dan Jalan Setia Diraja.

Menyentuh dalam perumahan negara, dalam menyokong penyelaras sektor sosial bagi meningkatkan kesejahteraan taraf hidup rakyat, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kemajuan Perumahan terus komited menyediakan kediaman yang selesa, selamat dan mampu milik dengan sasaran 85 peratus pemilikan rumah menjelang tahun 2035. Sehingga kini kadar pemilikan rumah telah mencapai 68.1 peratus. Dari segi pencapaian semasa, Projek RPN Kampung Lugu Fasa 2 telah berjaya disiapkan dengan penyediaan 1,000 unit rumah teres. Daripada jumlah tersebut sebanyak 892 unit telah diagihkan kepada pemohon yang layak.

Pada 6 Julai 2026, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menyempurnakan Majlis Penganugerahan Anak-Anak Kunci Rumah di Kawasan Perumahan Negara bagi Daerah Brunei dan Muara kepada 300 penerima yang merupakan sebahagian daripada 892 penerima yang telah diperuntukkan jumlah rumah jenis teres di Rancangan Perumahan Negara Kampung Lugu Fasa 2.

Sementara itu, Projek RPN Kampung Tanah Jambu Fasa 7 yang melibatkan 950 unit rumah teres kini berada dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap pada tahun ini. Di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-12, sekurang-kurangnya 1,606 unit rumah baru akan dibina melalui pelaksanaan projek-projek utama iaitu:

Pertama, Perumahan Negara Kampung Lugu Fasa 2B, 576 unit rumah teres;

Kedua, Perumahan Negara Kampung Rimba Fasa 6 sejumlah 330 unit rumah teres;

Ketiga, Perumahan Negara Kampung Salambigar sejumlah 300 unit rumah teres; dan

Keempat, Perumahan Negara Kampung Lumut Fasa 7 sebanyak 400 unit rumah teres yang akan dibina di dalam Rancangan Kemajuan Negara masa kini.

Kementerian juga telah mengenal pasti beberapa tapak baru di keempat-empat daerah bagi kesinambungan pembangunan perumahan negara termasuk:

Pertama, Kampung Lambak Kanan dan Kampung Meragang, Daerah Brunei dan Muara;

Kedua, Lumut Fasa 7 dan Kampung Lorong Tengah di Daerah Belait;

Ketiga, Kampung Bukit Beruang di Daerah Tutong; dan

Keempat, Rataie Fasa 6 di Daerah Temburong.

Selain merancang dan melaksanakan projek, satu dasar baru telah diperkenankan pada 12 Januari 2026 iaitu satu mekanisme bagi membolehkan pengambilan alih permohonan Skim Perumahan Negara oleh suami atau isteri atau anak atau anak angkat berdaftar bagi pemohon-pemohon yang telah meninggal dunia mengikut tahun permohonan asal permohonan, sebelum diperuntukkan tanah dan rumah di bawah Skim Perumahan Negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Keutamaan tiga, memudahkan urusan perniagaan dan perumahan rakyat. Pelaksanaan sistem dalam talian MOD, e-Tanah membolehkan urusan pentadbiran tanah dilaksanakan secara digital. Manakala mekanisme kelulusan laluan pantas, fast-track disediakan bagi projek-projek Pelaburan Langsung Asing melalui Jabatan Perancang Bandar dan Desa dan ABCi supaya projek dapat dimulakan dengan segera.

Dalam usaha pemudah cara pelaburan perniagaan di negara ini, Kementerian Pembangunan menerusi Division Pelaburan dan Undang-Undang dalam memperkenalkan program GLL, Government Land Lease iaitu dasar baru bagi menawarkan tapak tanah kerajaan yang dikenal pasti berdaya maju untuk dimajukan dengan kemajuan bercampur, mixed development dan akan ditawarkan melalui proses tawaran secara terbuka kepada pihak-pihak swasta yang berminat.

Dalam pembangunan perniagaan tempatan dan professional, dari segi pembangunan perniagaan tempatan, Kementerian Pembangunan menerusi Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri, ABCi telah mengadakan Program Pembangunan Kontraktor yang ditubuhkan bagi membantu syarikat binaan tempatan Kelas 1 dan 2 untuk meningkatkan kemahiran dan kualiti kerja mereka. Setakat ini sebanyak 40 buah syarikat telah menamatkan program yang disediakan secara percuma oleh kementerian. Program berkenaan dijangka akan diusahakan dengan lebih banyak lagi dengan penglibatan lebih banyak lagi pengusaha-pengusaha tempatan di masa akan datang.

Sebagai penutup, Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola percaya kejayaan pembangunan negara bukan saja diukur melalui pembinaan infrastruktur fizikal tetapi yang lebih penting adalah keupayaan tenaga kerja tempatan kitani. Kementerian Pembangunan akan terus memperkukuh pembangunan kapasiti pegawai, jurutera profesional, teknikal, serta kontraktor tempatan agar lebih berkemahiran, berintegriti, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran pembangunan masa depan.

Dalam melangkah ke hadapan, Kementerian Pembangunan akan kekal komited memastikan pembangunan fizikal dan pembangunan modal insan bergerak seiring sebagai dua asas yang saling melengkapi dalam membina sebuah Negara Brunei Darussalam yang lebih makmur, berdaya tahan, berdaya saing dan mampan. Dengan semangat ini, Kementerian Pembangunan akan memainkan peranannya sebagai pemudah cara pembangunan negara dalam menyokong pelaksanaan dan pencapaian Wawasan Brunei 2035.

Akhir kalam, marilah kita bersama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala serta memohon syafaat Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kerabat diraja dan rakyat serta penduduk negara ini sekaliannya sentiasa dikurniakan taufiq hidayah, rahmat dan inayah Allah Subhanahu Wata'ala. Dilanjutkan usia serta dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan dalam keadaan penuh keafiatan di bawah pelindungan dan diredai oleh Allah Subhanahu Wata'ala (dalam nada sebak). Amin, Amin, Ya Rabbal 'Alamin.

Sekian Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub.

Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub​

Bismillahir Rahmanir Rahim, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dengan penuh hormat rasa tanggungjawab dan komitmen terhadap kemajuan negara, kaola ingin mengambil bahagian dalam membahaskan Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Pencapaian Wawasan Brunei 2035.

Dalam hubungan ini, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa menjadi panduan dan landasan kepada seluruh jentera kerajaan serta rakyat untuk terus memperkukuhkan pembangunan negara, meningkatkan keupayaan modal insan, mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, memajukan ekonomi dan memelihara kesejahteraan rakyat.

Penekanan baginda terhadap pendidikan pembangunan modal insan, ekonomi inovasi teknologi, kecekapan pentadbiran serta penggunaan sumber negara sebagai berhemah hendaklah diterjemahkan bukan hanya dalam bentuk dasar program atau inisiatif tetapi melalui tindakan yang mempunyai hala tuju sasaran ukuran dan hasil yang jelas.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Wawasan Brunei 2035 menetapkan tiga matlamat utama, ketiga -tiga matlamat ini saling berkait dan tidak boleh digerakkan secara berasingan. Rakyat yang berilmu, kemahiran dan mempunyai nilai yang kukuh akan menyumbangkan kepada peningkatan produktiviti serta pembangunan ekonomi negara, ekonomi yang dinamik pula akan mewujudkan peluang pekerjaan memperluaskan penyertaan rakyat dan menyokong kesejahteraan masyarakat sementara itu kualiti kehidupan yang tinggi akan membentukkan masyrakat yang sihat, selamat, stabil dan berdaya tahan.

Oleh itu, penyelarasan yang dimaksudkan dalam Usul ini hendaklah dilihat sebagai usaha untuk menyatukan seluruh kekuatan negara supaya kementerian, jabatan, agensi sektor swasta, institusi pendidikan, majlis-majlis perundingan dan masyarakat bergerak ke arah matlamat yang sama. Penyelarasan ini sekadar menyelaraskan program atau aktiviti tetapi juga menyelaraskan keutamaan tanggungjawab sumber perlaksanaan dan hasil.

Pendidikan dan pembangunan modal insan merupakan asas utama dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035. Oleh itu, sistem pendidikan dan latihan negara perlu terus responsif terhadap perubahan dunia, perkembangan teknologi serta keperluan ekonomi masa hadapan. Pendidikan bukan hanya perlu melahirkan individu yang mempunyai kelulusan tetapi juga individu yang mempunyai kemahiran relevan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif, keupayaan menyelesaikan masalah, penyesuaian diri dengan perubahan serta mempunyai semangat kepimpinan dan keusahawanan.

Dalam masa yang sama penggunaan ilmu dan kemahiran hendaklah terus berlandas nilai agama, akhlak dan identiti kebangsaan. Sehubungan itu, penyelarasan antara institusi pendidikan, pusat latihan kemahiran, kementerian berkaitan dengan sektor industri perlu terus memperkukuhkan supaya program pendidikan dan latihan mempunyai hubungan yang jelas dengan keperluan tenaga kerja dan pembangunan industri dan hala tuju ekonomi negara.

Kajian sesuatu program tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah peserta atau sijil yang dikeluarkan tetapi juga melalui hasil seperti peningkatan kemahiran kebolehpasaran peluang pekerjaan, produktiviti dan keupayaan serta menyumbang kepada pembangunan negara. Dengan itu, aspirasi yang digariskan melalui titah baginda dapat diterjemahkan daripada dasar kepada tindakan, daripada tindakan kepada hasil dan daripada hasil kepada manfaat yang nyata.

Kemajuan negara pada masa ini terus mempengaruhi oleh perkembangan teknologi digital. Sehubungan dengan itu, penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence, AI, Internet Kebendaan atau Internet of Things, IOT analisis data dan sistem digital hendaklah dibuatkan untuk meningkatkan kecekapan, memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan serta menyokong pembuatan keputusan yang lebih tepat.

Namun teknologi tidak seharusnya dilaksanakan hanya untuk mengikut perkembangan semasa, setiap penggunaan teknologi perlu menjawab persoalan apakah masalah yang dapat diselesaikan, apakah perkhidmatan yang dapat dipercepatkan, bagaimana teknologi dapat meningkatkan produktiviti dan kecekapan dan apakah manfaat yang dapat dirasakan oleh rakyat.

Dalam hubungan ini, pengkongsian data antara kementerian dan agensi boleh terus diperkukuhkan secara selamat, terkawal dan bersepadu supaya rakyat tidak perlu mengemukakan makluman yang sama secara berulang kepada pelbagai agensi. Digitalisasi juga dapat membantu mempercepatkan proses perkhidmatan, meningkatkan pemantauan projek, memperkukuhkan pengurusan aset dan menyediakan data yang lebih tepat bagi tujuan rintangan serta penilaian.

Dalam masa yang sama keselamatan siber, perlindungan data etika penggunaan teknologi dan peningkatan kemahiran digital hendaklah diberikan perhatian yang sewajarnya. Kemajuan teknologi hendaklah berjalan seiring dengan nilai agama, tanggungjawab dan prinsip Melayu Islam Beraja supaya kemajuan negara bukan sahaja canggih dari segi teknologi tetapi juga kukuh dari segi nilai etika dan jati diri.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Bagi mencapai Wawasan Brunei 2035, negara memerlukan penyelarasan yang lebih kukuh melalui pendekatan whole of government. Ini benar kementerian dan agensi perlu bergerak secara bersepadu, saling melengkapi dan mampan, berpandu matlamat bersama bukan melaksanakan usaha secara berasingan sebagai contoh isu kebolehpasaran tenaga pekerja bukan hanya berkait dengan pendidikan tetapi turut melibatkan latihan, kemahiran, keperluan industri, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi, penyertaan sektor swasta dan peningkatan produktiviti.

Begitu juga kesejahteraan rakyat melibatkan kesiapan pendidikan, perumahan, keselamatan, kemudahan awam, alam sekitar dan pembangunan masyarakat. Oleh itu, bagi setiap sasaran utama Wawasan Brunei 2035 adalah penting untuk mempunyai kementerian atau agensi peneraju yang jelas. Kementerian dan agensi sokongan yang dikenal pasti, sasaran dan tempoh pelaksanaan yang tersusun, petunjuk prestasi yang bersesuaian serta mekanisme pemantauan dan penilaian yang berterusan. Penyelarasan yang jelas dapat mengurangkan pertindihan program, pengoptimuman penggunaan sumber serta memastikan setiap usaha benar-benar menyumbang kepada matlamat nasional.

Dalam hubungan ini, bolehlah dipertimbangkan satu papan muka kemajuan Wawasan Brunei 2035. Sebagai mekanisme pemantauan berasaskan data dan yang dapat melihat kemajuan dalam bidang pendidikan dan kemahiran kebolehpasaran tenaga kerja produktiviti berbagai ekonomi, kualiti kehidupan, kecekapan perkhidmatan kerajaan, transformasi digital dan kelestarian alam sekitar. Melalui pemantauan yang bersusun pencapaian dapat dikenal pasti dengan lebih jelas dan bidang yang memerlukan perhatian dapat ditangani lebih awal serta berkesan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Dalam menyokong Wawasan Brunei 2035, ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan perlu terus diperkukuhkan. Ekonomi yang kukuh bukan hanya diukur melalui pertumbuhan angka tetapi juga melalui keupayaan untuk mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan produktiviti, memperkukuhkan perusahaan tempatan, mengembangkan sektor ekonomi baharu serta menghadapi perubahan dan cabaran ekonomi global.

Dalam hal ini, perusahaan mikro kecil dan sederhana perlu terus diperkasakan melalui perkembangan kapasiti bimbingan akses kepada pasaran dan sokongan yang bersesuaian. Penyelarasan antara kementerian, agensi dan pembangunan ekonomi, institusi kewangan, sektor industri dan masyarakat perlu memastikan bahawa program serta bantuan disediakan benar-benar membantu perusahaan berkembang dan menjadi lebih berdaya tahan.

Kejayaan program ekonomi tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah kursus, yuran atau penyertaan tetapi juga melalui peningkatan keupayaan dan hasil perusahaan, pertumbuhan perniagaan, peluang pekerjaan yang diwujudkan serta keupayaan perusahaan untuk berkembang secara mampan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Kemajuan negara hendaklah sampai dan dapat dirasai peringkat mukim dan kampung. Pembangunan berkesan memerlukan hubungan yang kukuh antara dasar nasional dengan keperluan sebenar masyarakat di peringkat akar umbi.

Majlis Perundingan Mukim dan Kampung boleh terus diperkasakan sebagai rakan strategik kerajaan dalam mengenal pasti keperluan-keperluan masyarakat, menyampaikan maklumat dan dasar kerajaan, menggerakkan penyertaan rakyat, membangun potensi ekonomi tempatan serta melaksanakan program kemasyarakatan.

Masyarakat tidak seharusnya dilihat hanya sebagai penerima program tetapi sebagai rakan pembangunan, penduduk setempat mempunyai pengetahuan dan pengalaman mengenai keadaan kawasan keperluan masyarakat, potensi ekonomi serta cabaran yang dihadapi.

Oleh itu, pendekatan whole of nation perlu terus diperkukuhkan supaya sektor swasta, badan bukan kerajaan, institusi pendidikan dan komuniti dapat bersama-sama menyumbangkan kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035. Pembangunan dari bawah atau bottom-up development juga perlu diseimbangkan dengan perancangan nasional supaya dasar dan program yang dilaksanakan benar-benar bersesuaian dengan keadaan serta keperluan setempat.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Dalam menyokong titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam usaha mencapai Wawasan Brunei 2035 pelaksana perlu terus diperkukuhkan melalui pendekatan yang memberikan tumpuan kepada hasil dan kesan sebenar.

Kita perlu melihat bukan hanya kepada apa yang telah dilaksanakan tetapi juga kepada apa yang telah berjaya dicapai; bukan hanya berapa banyak program telah dilaksanakan tetapi apakah perubahan yang telah berlaku; bukan hanya berapa ramai yang menghadiri latihan tetapi sejauh mana mereka berjaya meningkatkan kemahiran dan memperoleh peluang pekerjaan; bukan hanya berapa banyak projek telah disiapkan tetapi sejauh mana projek tersebut meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan bukan hanya berapa banyak peruntukan telah dibelanjakan tetapi apakah nilai keberkesanan dan manfaat yang diperolehi oleh negara.

Oleh itu, pendekatan berasaskan hasil atau outcome-based approach perlu terus diperkukuhkan. Setiap kementerian dan agensi hendaklah mempunyai sasaran yang jelas serta mengukur pencapaian berdasarkan kesan dan manfaat yang ingin dicapai. Dengan cara ini, perancangan dan peruntukan negara hendaklah digunakan secara lebih cekap, berhemah dan memberikan nilai lebih tinggi kepada rakyat.

Sebagai rumusan, sokongan terhadap Usul ini hendaklah ditemakan melalui tindakan yang bersepadu iaitu; memperkukuhkan pendidikan dan kemahiran masa hadapan; meningkatkan keboleh pasaran produktiviti dan peluang pekerjaan; mempercepatkan transformasi digital secara selamat, beretika dan berkesan; memperkukuhkan penyelarasan antara kementerian dan agensi melalui pendekatan whole of government; memastikan perancangan program dan peruntukan; memberikan tumpuan kepada hasil; memperkukuhkan ekonomi dan perusahaan tempatan; memperkasakan mukim,kampung dan masyarakat melalui pendekatan whole of nation; dan memastikan kemajuan negara memberikan manfaat yang nyata dan berterusan kepada seluruh rakyat.

Dengan menjadikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai panduan setiap dasar hendaklah ditejemahkan kepada tindakan seperti tindakan hendak mempunyai sasaran dan ukuran dan setiap hasil, hendaklah memberikan manfaat kepada rakyat serta negara.

Semoga dengan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kerjasama seluruh jentera kerajaan serta penyertaan rakyat Negara Brunei Darussalam akan terus maju, aman makmur, berdaya tahan dan sentiasa mendapat rahmat serta keberkatan Allah Subhanahu Wata'ala.

Dengan penuh hormat, saya menyokong Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035.

Sekian, terima kasih. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman.

Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman​

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Dalam menyokong Usul Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035, terlebih dahulu izinkan kaola merafakkan setinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kebijaksanaan dan wawasan jauh baginda dalam mewujudkan Menteri-Menteri Penyelaras sebagai satu mekanisme baharu bagi memperkukuhkan penyelarasan pentadbiran serta perlaksanaan dasar dan pembangunan negara.

Dalam pandangan kaola, pewujudan Menteri-Menteri Penyelaras merupakan satu langkah yang amat signifikan dan berpandangan jauh yang mencerminkan komitmen berterusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memastikan setiap kementerian dan agensi kerajaan dapat bergerak secara lebih bersepadu, tersusun dan saling melengkapi dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Perkara ini juga jelas tercermin dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Rombakan dan Pelantikan Menteri-Menteri Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri pada 4 Jun 2026, apabila baginda memperkenankan pelantikan tiga Menteri Penyelaras bagi memperkukuhkan penyelarasan dalam bidang Keselamatan Negara, Dasar-Dasar Ekonomi serta Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia.

Kaola juga ingin menyambut baik usaha serta perancangan yang telah diberikan oleh Menteri-Menteri Penyelaras dalam memperkukuhkan kerjasama rentas kementerian, mempercepatkan perlaksanaan dasar serta meningkatkan keberkesanan pencapaian perkhidmatan terhadap rakyat. Pendekatan ini diyakini mampu mempercepatkan agenda pembangunan negara dan memastikan setiap inisiatif yang dirancang memberi impak yang lebih menyeluruh kepada masyarakat.

Peranan Menteri-Menteri Penyelaras adalah amat penting kerana pembangunan negara pada masa kini melibatkan pelbagai sektor yang saling berkait. Pembangunan ekonomi, pendidikan, kesihatan, infrastruktur, keselamatan makanan, teknologi, alam sekitar, pembangunan sosial serta kebajikan rakyat memerlukan penyelarasan yang lebih inklusif dan berkesan.

Melalui penyelarasan yang mantap, setiap kementerian bukan saja dapat mengurangkan pertindihan fungsi malah dapat mempercepatkan proses, membuat keputusan, mengoptimumkan penggunaan sumber serta memastikan perlaksanaan dasar bergerak ke arah matlamat yang sama.

Pendekatan ini juga selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 pada tahun 2025 bahawa usaha pencapaian Wawasan Brunei 2035 tidak dapat dipikul oleh kerajaan saja bahkan memerlukan penglibatan semua pihak khususnya sektor bukan kerajaan sebagai rakan pembangunan strategik.

Maka, pada hemat koala, penyelarasan yang kita maksudkan bukan saja antara kementerian dan institusi kerajaan tetapi hendaklah turut merangkumi sektor swasta, PMKS, institusi pendidikan, industri, masyarakat supaya setiap pihak dapat bergerak sebagai satu pasukan ke arah matlamat negara yang sama.

Kaola juga berharap agar program-program serta projek-projek pembangunan yang telah menunjukkan keberkesanan dan memberi manfaat kepada rakyat dan terus diteruskan, diperkasakan dan ditambah baik mengikut keperluan semasa.

Kesinambungan dasar dan projek pembangunan adalah penting supaya manfaat yang telah dirancang dapat dinikmati secara berterusan serta memberikan pulangan yang optimum kepada negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Dalam kita membincangkan pembangunan negara, modal insan hendaklah terus menjadi keutamaan. Kejayaan Wawasan Brunei 2035 bukan sahaja bergantung kepada pengguna fizikal dan pertumbuhan ekonomi, bahkan bergantung kepada keupayaan rakyat yang memiliki ilmu, kemahiran, daya saing dan nilai-nilai murni.

Perkara ini juga amat bertepatan dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Baginda pada tahun 2024 bahawa golongan belia merupakan tonggak yang sangat diharapkan dan bahawa pembangunan modal insan perlu terus dimantapkan melalui sistem pendidikan dan latihan yang inovatif, di samping mengukuhkan kemahiran dan kebolehpasaran anak-anak tempatan sejajar dengan keperluan industri dan ekonomi.

Sehubungan itu, kaola mencadangkan agar usaha-usaha meningkatkan keupayaan dan kemahiran modal insan diperkasakan bermula dari peringkat awal lagi. Pendidikan asas perlu terus diperkukuhkan dengan penekanan kepada kemahiran, berfikir secara kritis, penyelesaian masalah, kreativiti, komunikasi, literasi digital, keusahawanan serta pengusahaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik, STEM.

Di samping itu, kerjasama yang lebih erat antara institusi pendidikan, institusi latihan teknikal dan vokasional serta industri perlu terus diperkukuhkan supaya kemahiran yang dibangunkan benar-benar memenuhi keperluan pasaran, pekerjaan dan perkembangan ekonomi negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Dalam era transformasi digital pesat, kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence, AI semakin memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian. Kaola berpendapat bahawa Brunei perlu memanfaatkan AI sebagai pemangkin pembangunan negara.

Namun, penggunaannya hendaklah diseimbangkan dengan pembangunan modal insan, etika serta keselamatan digital. AI seterusnya dilihat sebagai satu kemudahan yang mampu meningkatkan produktiviti, mempercepatkan pencapaian, perkhidmatan pekerjaan, membantu sektor pendidikan, kesihatan, perusahaan, pertanian, pelancongan dan pelbagai sektor ekonomi yang lain.

Pada masa yang sama, masyarakat perlu diperlengkapkan dengan kemahiran digital, supaya mereka mampu menggunakan teknologi ini secara bertanggungjawab, beretika dan produktif.

Kaola juga berpandangan bahawa penggunaan AI tidak seharusnya menggantikan peranan manusia, sebaliknya menjadikan pelengkap yang memperkukuhkan keupayaan tenaga kerja tempatan, meningkatkan inovasi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi pada masa hadapan.

Dalam hal ini, kaola berpandangan bahawa kita juga boleh mengambil iktibar daripada amalan baik negara-negara lain dalam memanfaatkan teknologi dan inovasi untuk memperkukuhkan pentadbiran, ekonomi serta pembangunan modal insan. Tetapi, pada masa yang sama menyesuaikannya dengan keperluan nilai dan keadaan Negara Brunei Darussalam.

Wawasan Brunei 2035 bukan sekadar satu kerangka atau dokumen perancangan, tetapi merupakan aspirasi untuk membentuk sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, kehidupan yang berkualiti serta ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

Sehubungan itu, kaola tertarik dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada tahun 2025 yang menekankan bahawa kerangka kerja Wawasan Brunei 2035 perlu sentiasa relevan, responsif dan berupaya mencapai matlamatnya, termasuk melalui penetapan KPI Kebangsaan dan penggunaan Indeks Wawasan Brunei 2035 sebagai pengukur pencapaian.

Pada hemat kaola, inilah perkara yang perlu kita tekankan dalam penyelarasan, bukan sahaja merancang tetapi mengukur, bukan sahaja melaksanakan, tetapi menilai dan bukan sahaja mencapai sasaran, tetapi memastikan hasilnya benar-benar dirasai oleh rakyat.

Kaola yakin bahawa pendekatan yang berpaksikan hasil dan impak ini, akan menjadikan penyelarasan antara kementerian lebih bermakna dan memastikan setiap sumber yang digunakan oleh kerajaan memberikan nilai yang sebaik-baiknya kepada rakyat dan negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola yakin bahawa dengan adanya penyelarasan yang lebih berkesan melalui Menteri-Menteri Penyelaras disokong oleh pembangunan modal insan yang berkualiti, kesinambungan dasar pembangunan serta pemanfaatan teknologi secara bijaksana, negara akan lebih bersedia menghadapi cabaran global dan mempercepatkan pencapaian Wawasan Brunei 2035.

Sebagaimana dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam "...perjalanan menuju Wawasan Brunei 2035 memerlukan kerjasama, inovasi dan semangat juang yang tinggi daripada semua pihak." Maka tanggungjawab mencapai Wawasan Brunei 2035, bukanlah tanggungjawab satu kementerian, satu agensi atau satu sektor sahaja, tetapi merupakan tanggungjawab bersama seluruh ekosistem pembangunan negara.

Sekali lagi kaola merafak setinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kebijaksanaan baginda memperkenalkan pewujudan Menteri-Menteri Penyelaras.

Kaola percaya mekanisme ini akan menjadi pemangkin kepada pentadbiran yang lebih cekap, penyelaras yang lebih mantap serta pembangunan negara yang lebih inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam.

Dengan penuh taat setia kaola menjunjung Usul Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Saya persilakan sekarang, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi​

Bismillahir Rahmanir Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, terlebih dahulu kaola merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memberikan peluang kepada kaola buat pertama kalinya untuk menyampaikan sokongan bagi Usul Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 di dewan yang mulia ini.

Pada kesempatan ini, kaola merafakkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas titah baginda semasa Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama daripada Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara yang menekankan keperluan untuk mempercepat pelaksanaan dasar serta memperkukuh ketahanan negara dalam mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam telah mempunyai hala tuju yang jelas melalui Economic Blueprint, Social Blueprint dan Manpower Blueprint sebagai panduan utama pembangunan negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

Blueprint-blueprint ini menyediakan asas penyelarasan dasar dan pelaksanaan secara bersepadu melalui pendekatan whole of government dan whole of nation agar setiap usaha yang dilaksanakan saling melengkapi ke arah matlamat yang sama.

Selaras dengan hala tuju tersebut, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi telah menyelaraskan segala perancangan strategiknya melalui MTIC Strategic Plan 2030, Digital Brunei 2030, dan Road Safety Action Plan 2030, dan jua agensi-agensi di bawah MTIC dengan strategik plan masing-masing bagi mendukung keutamaan pembangunan negara, khususnya dalam memperkukuh keselamatan, memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

MTIC Strategic Plan 2030 dibangunkan dengan mengambil kira pencapaian, cabaran dan pengajaran daripada pelan strategik kementerian sebelum ini. Pendekatan ini dapat memberi penekanan kepada hasil yang lebih berimpak serta memastikan setiap inisiatif kementerian kekal sejajar dengan Wawasan Brunei 2035 dan blueprint-blueprint kebangsaan.

Pelan ini turut diperkukuhkan melalui pelaksanaan Digital Brunei 2030 yang menjadi kerangka transformasi digital negara dengan menyatukan usaha merentasi kerajaan, masyarakat, perniagaan serta data dan kecerdasan buatan, AI, di bawah satu hala tuju nasional yang bersepadu.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Dalam mendukung Wawasan Brunei 2035, peranan kementerian bukan sahaja tertumpu kepada sektor pengangkutan dan infokomunikasi, malah berperanan sebagai pemudah cara pembangunan negara, melalui pengukuhan modal insan, ekosistem digital, keterhubungan serta rangkaian logistik yang cekap.

Sumbangan kementerian dapat dilihat melalui tiga bidang utama selaras dengan blueprint-blueprint kebangsaan:

Pertama, menyokong pembangunan modal insan dan ekosistem digital, di bawah Manpower Blueprint dan Social Blueprint. Kementerian terus memberi tumpuan kepada pembangunan bakat digital melalui pelbagai inisiatif reskilling dan upskilling bagi memastikan tenaga kerja negara bersedia menghadapi keperluan ekonomi masa hadapan.

Pada masa yang sama, kementerian turut memperkukuh infrastruktur digital yang inklusif serta rangka kerja kawal selia melalui Perintah Keselamatan Siber 2023 dan Perintah Perlindungan Data Peribadi 2025 bagi memastikan transformasi digital dilaksanakan secara selamat dan berkesan.

Kementerian ini bersama agensi-agensi di bawahnya terus menyediakan program latihan dan pembangunan kemahiran yang membantu dalam menyediakan generasi belia, bagi peluang pekerjaan di sektor-sektor pengangkutan dan juga infokomunikasi.

Antaranya, seperti Program Perantisan TechInspire, TechXPLORE dan Coding.bn. Manakala di sektor pengangkutan, Program Maritime Cadetship yang bermula pada tahun 2025 bertujuan melahirkan tenaga kerja tempatan seperti pelaut dan profesional maritim yang diiktiraf oleh International Maritime Organization untuk menyokong industri maritim di negara ini;

Kedua, menyokong pertumbuhan ekonomi yang dinamik dan mampan di bawah Economic Blueprint. Kementerian terus memperkukuh sumbangan sektor ICT serta sektor pengangkutan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Antara sasaran utama kementerian ialah meningkatkan pergerakan kargo melalui udara dan laut.

Bagi mencapai hasrat tersebut, kementerian sedang memperkasa pembangunan ekosistem logistik bersepadu yang menghubungkan pengangkutan udara, laut dan darat di samping menyokong pembangunan industri ICT serta sains, teknologi dan inovasi.

Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam, MPABD sedang meningkatkan kecekapan pelabuhan melalui pendigitalan operasi seperti Maritime Single Window dan penaiktarafan infrastruktur ekosistem pelabuhan Muara serta pembangunan peluang perniagaan maritim bagi meningkatkan kapasiti, aktiviti transshipment dan pergerakan kargo.

Pada masa yang sama juga, Majlis Digital Brunei berperanan untuk membukakan peluang dalam mengembang majukan ekonomi melalui penggunaan digital dalam sektor Perkhidmatan Awam, industry players bagi sektor digital serta non-digital, serta masyarakat;

Ketiga, meningkatkan kualiti hidup rakyat di bawah Social Blueprint. Kementerian komited untuk memastikan rakyat menikmati sistem pengangkutan yang selamat, cekap dan boleh dipercayai.

Bagi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti kehidupan masyarakat, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya terus memperkukuh kesedaran keselamatan jalan raya melalui kempen Share The Road serta usaha menggubal perundangan.

Pada masa yang sama juga, kementerian ini, insya Allah akan terus berusaha untuk memastikan rakyat menikmati penyampaian perkhidmatan digital yang lebih mudah diakses, responsif serta berpusatkan pengguna iaitu consumer centric.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Dalam memastikan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 benar-benar memberi impak, kementerian memberi tumpuan kepada tiga keutamaan pelaksanaan:

Pertama, memperkukuh keselamatan dan sekuriti. Kementerian akan terus mempertingkatkan keselamatan sistem pengangkutan melalui pelaksanaan Road Safety Action Plan 2030, di samping memperkukuh keselamatan siber bagi melindungi data, sistem serta infrastruktur kritikal negara;

Kedua, meningkatkan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan. Usaha pendigitalan akan terus dipergiat melalui permodenan sistem kerajaan termasuk menaik taraf sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan pembangunan sistem pengangkutan awam yang lebih pintar, bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan pengalaman pengguna; dan

Ketiga, mempercepat pertumbuhan dan pembangunan. Kementerian akan memastikan pelaksanaan projek-projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara berjalan mengikut jadual dan memberi impak yang dihasratkan. Sebanyak 21 projek di bawah kementerian ini, dijangka menyumbang kepada peningkatan produktiviti, inovasi dan daya saing negara melalui pembangunan infrastruktur pengangkutan, pengukuhan keterhubungan serta pemerkasaan transformasi digital.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Hakikatnya, transformasi digital bukan lagi satu pilihan. Bahkan merupakan pemangkin utama kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035. Namun demikian, kejayaannya tidak dapat dicapai oleh kerajaan sendiri semata-mata. Ia memerlukan kerjasama erat antara sektor awam, sektor swasta, institusi akademik, masyarakat dan seluruh rakyat melalui pendekatan whole of government dan whole of nation.

Insya Allah, dengan adanya penyelarasan bersepadu oleh Menteri-Menteri Penyelaras, pelaksanaan yang berkesan serta komitmen dari semua pihak terhadap blueprint-blueprint utama Negara Brunei Darussalam, kita insya Allah akan dapat mempercepat, pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035.

Oleh yang demikian, kementerian ini akan jua memperkukuh libat urus bersama Ahli-Ahli Yang Berhormat, sektor swasta dan rakan-rakan strategik bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif benar-benar memberikan hasil yang nyata kepada negara dan rakyat. Wawasan Brunei 2035 bukan sekadar destinasi yang ingin dicapai, tetapi amanah yang menuntut penyelarasan, kepimpinan dan pelaksanaan yang berkesan.

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi akan terus memainkan peranannya sebagai pemudah cara, keterhubungan, transformasi digital dan pembangunan negara agar setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat serta memperkukuh daya saing Negara Brunei Darussalam.

Dengan itu, kaola menyatakan sokongan penuh terhadap Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Pehin Dato Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Terima kasih saya ucapkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sebagaimana yang diketahui, kita telah pun membincangkan Usul ini selama dua hari berturut-turut, dua hari suntuk dan seramai 22 orang Ahli Yang Berhormat telah turut membahaskan Usul ini dan memberikan pandangan masing-masing.

Sama ada dari segi kementerian-kementerian yang berkenaan ataupun dari segi pengalaman Ahli-Ahli Yang Berhormat dan nampaknya Usul ini telah mendapat sokongan penuh daripada Dewan ini secara menyeluruh.

Walau bagaimanapun, ada baiknya sekarang sidang ini kita tangguhkan, mesyuarat ini kita tangguhkan. Insya Allah, kita akan bersidang semula esok hari iaitu pada hari Khamis, 6 Ogos 2026 mulai daripada jam 9 pagi.

Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.

(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)

Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.