Langkau ke kandungan utama
For Informational Purposes Only

Source: https://www.majlis-mesyuarat.gov.bn/wp-content/uploads/2026/08/Draf-Awal-Penyata-Rasmi-Persidangan-Hari-Kelima-Isnin-10-Ogos-2026-Petang.pdf

10 Ogos 26 Petang (Hari Ke-5)

Rumusan Bacaan

📖 Masa membaca: 44 minit
📊 Bilangan kata: 8,938 kata

(Majlis Mesyuarat disambung pada pukul 2.40 petang)

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan Majlis Mesyuarat Negara sekarang bersidang semula dan kita akan memulakan persidangan dengan urusan mesyuarat seterusnya.

Yang Mulia Pemangku Timbalan Jurutulis​

Penangguhan di bawah Peraturan Mesyuarat 35(1).

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Adakah seorang Ahli yang ingin mencadangkan bagi kita untuk menangguhkan mesyuarat ini.

Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II​

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Mengikut Peraturan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Negara Bilangan 35(1), saya memohon untuk mencadangkan bahawa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara sekarang ditangguhkan memandangkan semua urusan mesyuarat telah selesai dan untuk ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dirahmati Allah dan yang saya hormati sekalian.

Alhamdulillah, saya memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala kerana dengan limpah rahmat, izin dan inayah-Nya jua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan ke-22 Majlis Mesyuarat Negara bagi tahun 2026 telah dapat dilaksanakan dengan lancar, tertib dan penuh rasa tanggungjawab.

Saya dengan penuh hormat dan takzim sukacita menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas kepimpinan, kewibawaan dan keprihatinan berterusan baginda terhadap kesejahteraan rakyat, pengukuhan tadbir urus kerajaan dan kemajuan negara demi mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

Di kesempatan awal ini, saya dengan penuh tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kebijaksanaan dan panduan berterusan dalam memimpin perjalanan persidangan ini.

Tahniah dan terima kasih juga saya ucapkan kepada Yang Mulia Datin Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara dan Yang Mulia Timbalan Jurutulis, pihak urusetia serta pegawai-pegawai dan kakitangan yang terlibat, yang telah bertungkus lumus memastikan urusan permesyuaratan berjalan dengan lancar.

Penghargaan turut ditujukan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengetengahkan isu-isu yang menjadi perhatian dan kepentingan rakyat dan penduduk di negara ini.

Perbahasan yang berlangsung selama lima hari mencerminkan satu hasrat bersama supaya kemajuan negara bukan sahaja dirancang dengan baik tetapi dilaksanakan secara berkesan dan membawa hasil yang dapat dirasakan oleh rakyat dan penduduk.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan ke-22 Majlis Mesyuarat Negara bagi tahun 2026 ini memberi perhatian kepada perkara-perkara yang mempunyai kepentingan strategik kepada negara termasuk Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035.

Perbahasan mengenainya telah membuka ruang untuk melihat secara lebih menyeluruh bagaimana dasar, strategi dan tindakan dapat diperkukuh agar bergerak dalam hala tuju negara yang sama.

Antara perkara yang jelas daripada perbahasan sepanjang persidangan ini ialah cabaran pembangunan hari ini semakin berkait iaitu pendidikan berkait rapat dengan pembangunan bakat dan peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi dengan pelaburan, produktiviti dan daya saing, kesejahteraan masyarakat dengan perumahan, kesihatan dan perlindungan sosial dan daya tahan negara turut bergantung kepada keterjaminan makanan dan tenaga, infrastruktur, transformasi digital serta keselamatan negara secara menyeluruh.

Justeru, penyelarasan bukan bermaksud semua perkara perlu diurus oleh satu pihak. Sebaliknya, ia memastikan usaha kementerian dan agensi saling melengkapi, isu merentas bidang dapat ditangani secara bersama dan keputusan yang dibuat mengambil kira kepentingan negara secara menyeluruh.

Dalam konteks ini, peranan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri Penyelaras Dasar-Dasar Ekonomi, dan Menteri Penyelaras Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia adalah untuk memperkukuh penyelarasan sedia ada tanpa mengambil alih mandat kementerian dan agensi masing-masing.

Apa yang perlu diberi perhatian seterusnya ialah pelaksanaan. Rakyat dan penduduk mahu melihat dasar, pelan tindakan dan inisiatif yang dilaksanakan membawa kepada perkhidmatan yang lebih cekap, peluang pekerjaan yang berkualiti, persekitaran perniagaan dan pelaburan yang kondusif, bekalan keperluan asas yang berdaya tahan, penggunaan teknologi yang memberi nilai tambah dan penyelesaian yang memberi kesan terhadap perkara-perkara yang menyentuh kehidupan seharian.

Inilah ukuran yang akhirnya memberi makna kepada kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat serta penduduk. Perbahasan turut mengingatkan kita bahawa Negara Brunei Darussalam mempunyai pelbagai dasar, strategi, blueprints, program dan inisiatif.

Keutamaan sekarang ialah memperkukuh kesinambungan antara perancangan, pelaksanaan dan hasil. Ini memerlukan peneraju yang jelas, tanggungjawab yang difahami, garis masa yang realistik, penggunaan data dan bukti dalam membuat keputusan, serta tindakan awal apabila terdapat jurang atau cabaran pelaksanaan.

Dalam perkara yang merentas kementerian dan agensi, penyelarasan perlu menghasilkan penyelesaian bukan menambah lapisan proses. Perkara yang berbangkit perlu ditangani pada peringkat yang bersesuaian manakala isu yang memerlukan keputusan bersama hendaklah dibawa melalui mekanisme yang tersedia dengan maklumat yang jelas dan pilihan tindakan yang praktikal.

Dengan cara ini, tumpuan dapat terus diberikan kepada hasil yang hendak dicapai. Pada masa yang sama, usaha kerajaan sahaja tidak memadai. Sektor swasta, institusi pendidikan dan penyelidikan, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan, masyarakat akar umbi, belia serta rakyat dan penduduk mempunyai peranan masing-masing.

Pendekatan whole of nation memberi ruang supaya pengalaman, kepakaran, pelaburan, inovasi dan daya usaha daripada seluruh ekosistem negara dapat digembleng ke arah matlamat yang sama.

Ahli-Ahli Yang Dilantik juga mempunyai peranan penting dalam hubungan ini. Pandangan yang dibawa dari masyarakat, industri dan akar umbi dapat terus menjadi input yang bernilai kepada pembentukan dan pelaksanaan dasar.

Perundingan dan permuzakarahan yang berterusan antara Ahli-Ahli Yang Berhormat dengan kementerian dan agensi akan memperkukuh kefahaman bersama serta membantu mengenal pasti penyelesaian yang lebih praktikal dan responsif serta bertahan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 yang telah dikemas kini menyediakan rujukan strategik bersama untuk memperkukuh penyelarasan tersebut.

Kerangka ini menghubungkan tiga matlamat wawasan dengan lapan keutamaan negara, 13 Hasil Pencapaian Kebangsaan dan 42 Petunjuk Prestasi Utama Kebangsaan.

Dengan pensejajaran ini, kemajuan wawasan dapat dilihat pada tahap hasil negara sementara kementerian dan agensi terus menerajui dasar, strategi, program dan tindakan yang di bawah tanggungjawab masing-masing.

Kerangka tersebut juga menekankan pendekatan berasaskan hasil. Kemajuan perlu dinilai bukan semata-mata berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan atau aktiviti yang diselesaikan tetapi sejauh mana usaha tersebut menyumbang kepada hasil-hasil pencapaian kebangsaan dan memberi impak kepada rakyat serta negara.

Pemantauan KPI Kebangsaan dan indeks Wawasan Brunei 2035 akan menjadi antara rujukan untuk menilai kedudukan kemajuan secara lebih konsisten dan berasaskan bukti.

Manpower Blueprint, Social Blueprint dan Economic Blueprint pula memperincikan hala tuju setiap matlamat wawasan melalui tindakan yang lebih khusus. Hubungan yang lebih kukuh antara hala tuju negara, dasar dan pelaksanaan di peringkat kementerian serta agensi akan membantu memastikan sumber dan usaha ditumpukan kepada perkara yang memberi nilai dan impak terbesar kepada negara.

Bagi rakyat dan penduduk, makna penyelarasan ini perlu mudah difahami. Ianya boleh difahamkan sebagai urusan yang lebih lancar, dasar yang lebih konsisten, tindakan kerajaan yang lebih terarah, peluang yang lebih luas untuk menyumbang dan maju dan hasil pembangunan yang dapat dirasakan dalam kehidupan seharian.

Inilah yang memberi makna kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035, bukan sahaja dilihat daripada kemajuan negara dalam mencapai sasaran yang ditetapkan tetapi mengenai kualiti kehidupan yang terus dinikmati dan masa depan yang kita bina untuk generasi seterusnya berlandaskan nilai dan prinsip Melayu Islam Beraja sebagai falsafah negara.

Oleh itu, komunikasi mengenai kemajuan juga penting. Rakyat dan penduduk perlu mengetahui bukan sahaja apa yang dirancang, tetapi apa yang telah dilaksanakan, apakah kemajuan yang dicapai dan di mana usaha masih perlu diperkukuh.

Maklumat tepat, konsisten dan mudah difahami akan membantu membina kefahaman, keyakinan rasa pemilikan bersama terhadap perjalanan Wawasan Brunei 2035 dan cabaran-cabaran dihadapi atau dilalui.

Apa yang jelas daripada perbahasan di Dewan yang mulia ini, pada hemat saya adalah seperti berikut:

Pertama, keperluan untuk bergerak daripada perancangan kepada pelaksanaan dan hasil;

Kedua, memperkukuh penyelarasan bagi keutamaan yang merentas kementerian;

Ketiga, menilai kemajuan berdasarkan impak sebenar;

Keempat, memperluas kerjasama seluruh negara; dan

Kelima, memastikan kemajuan diberigakan dengan teratur dan bertanggungjawab.

Ini bukan perubahan kepada matlamat wawasan tetapi pengukuhan cara kita bergerak bersama untuk mencapainya.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Permesyuaratan ini turut menandakan satu langkah penting melalui penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara.

Alhamdulillah, Dewan yang mulia ini telah meluluskan Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara berserta pindaan yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin iaitu bagi merujuk draf tersebut kepada satu Jawatankuasa Khas untuk diteliti dan diperhalusi dengan lebih mendalam dalam tempoh enam bulan.

Pengemukaan dan penerimaan pindaan ini, pada pandangan saya merupakan satu petanda jelas kematangan proses perundangan di Majlis Mesyuarat Negara memandangkan pindaan sebegini belum pernah dikemukakan sebelum ini dalam sejarah Dewan yang mulia ini.

Perbahasan mengenai Usul ini turut menyaksikan sokongan yang meluas daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat sejajar dengan pengiktirafan bersama akan cabaran-cabaran unik yang dihadapi oleh sebuah negara yang bilangan penduduknya kecil seperti Negara Brunei Darussalam khususnya, dalam menguruskan isu konflik kepentingan dalam kalangan masyarakat yang erat dan saling berkait rapat.

Pindaan yang dikemukakan dan diterima pakai ini, pada hemat saya adalah cerminan jelas kebijaksanaan Dewan yang mulia ini dalam mengambil kira serta menyeimbangkan segala kebimbangan dan pandangan yang telah dikemukakan di sepanjang perbahasan.

Kematangan proses perundangan seperti inilah yang sepatutnya menjadi kebanggaan kita bersama kerana ia menzahirkan bahawa badan Majlis Mesyuarat Negara kian melangkah ke arah menjadi sebuah world class parliament seperti yang telah disuarakan oleh beberapa Ahli Yang Berhormat sebelum ini.

Saya percaya bahawa Kod Etika ini akan menjadi panduan dalam memperkukuh integriti, akauntabiliti, ketelusan dan profesionalisme Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara. Keyakinan orang ramai terhadap Dewan mulia ini bergantung bukan sahaja kepada kualiti perbahasan tetapi juga kepada tatakelakuan, amanah dan kewibawaan Ahli-Ahlinya.

Dengan adanya kod ini, adalah menjadi satu tanggungjawab bersama Ahli-Ahli untuk memelihara kemuliaan Dewan Majlis, mengurus konflik kepentingan, melindungi maklumat sulit dan memastikan setiap kemudahan serta keistimewaan digunakan bagi melaksanakan amanah kepada negara dan rakyat ke arah menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur.

Sehubungan itu, saya turut menaruh harapan agar Jawatankuasa Khas yang telah ditubuhkan untuk meneliti dan memperhalusi Draf Kod Etika ini akan dapat menyempurnakan tugasnya dalam tempoh enam bulan yang ditetapkan supaya Kod Etika dan Tatakelakuan ini dapat dimuktamadkan dan diterima pakai bagi menjunjung hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Sebagai penutup, apa yang telah dibincangkan dalam Dewan yang mulia ini pada hemat dan pemerhatian bersama tidak seharusnya berakhir apabila persidangan ditangguhkan. Nilai sebenar perbahasan terletak pada apa yang berlaku selepasnya iaitu penelitian yang dibuat, keputusan yang diambil, tindakan yang dilaksanakan dan hasil yang dapat dilihat serta dirasakan.

Dalam tempoh menuju 2035, masa menjadi semakin bernilai. Dari itu, setiap dasar perlu mempunyai arah yang jelas. Setiap tindakan perlu menyumbang kepada hasil dan setiap pihak perlu memahami peranannya.

Apa yang dirancang perlu dilaksanakan dan apa yang dilaksanakan hendaklah membawa kesejahteraan kepada rakyat dan kemakmuran kepada negara.

Wawasan Brunei 2035 adalah wadah pemerintah negara, amanah generasi dan warisan masa depan dengan kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta komitmen kerajaan, Ahli-Ahli Yang Berhormat dan seluruh rakyat dan penduduk.

Insya Allah gerak langkah negara menuju Wawasan Brunei 2035 akan terus diperkukuh dengan penuh tawakal, keyakinan, kesatuan dan tanggungjawab bersama.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa mengurniakan petunjuk, kekuatan dan keberkatan dalam setiap usaha kita.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha ibni Al-Marhum Pengiran Pemanca Pengiran Anak Haji Mohamed Alam akan sentiasa dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan yang sempurna, keafiatan yang berpanjangan serta sentiasa dalam lindungan, taufik dan hidayah-Nya, kekal karar memerintah negara di atas singgahsana.

Didoakan juga semoga Negara Brunei Darussalam sentiasa berada di bawah lindungan-Nya, kekal aman, makmur, berdaulat dan sejahtera, sebagai sebuah negara Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur yakni negara yang baik dengan Rabb yang Maha Pengampun. Amin, Allahumma Amin.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Terima kasih. Ahli-Ahli Yang Berhormat, kita telah pun mendengar hujah bagi satu Usul untuk menangguhkan mesyuarat ini daripada Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.

Saya suka meminta sekiranya ada seorang Ahli Yang Berhormat untuk menyokong Usul ini.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam)​

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, saya menyokong Usul tersebut. Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Usul ini telah disokong oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam).

Dengan itu, saya sekarang membukakan ruang bagi perbahasan Usul ini. Had masa bagi setiap Ahli Yang Berhormat adalah selama 10 minit.

Maka dengan itu, saya mulakan dengan menjemput Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.

Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan​

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terlebih dahulu kaola ingin menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, atas segala titah, pandangan dan nasihat baginda yang penuh dengan kebijaksanaan serta berpandangan jauh, khususnya terhadap beberapa Usul yang telah dibahaskan di Dewan yang mulia ini.

Sesungguhnya, kaola amat menghargai dan menyokong penuh segala pandangan dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang jelas mencerminkan keprihatinan baginda terhadap kemajuan negara, kesejahteraan rakyat serta hala tuju Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola ingin merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kesempatan yang diberikan serta atas kepimpinan dan kebijaksanaan dalam memimpin persidangan ini dengan penuh tertib dan lancar.

Kaola juga ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Mulia Jurutulis serta seluruh warga Jabatan Majlis Mesyuarat Negara atas segala usaha, komitmen dan khidmat bakti dalam memastikan perjalanan persidangan ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan sempurna.

Tidak lupa juga, kaola ingin mengucapkan penghargaan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat atas segala pandangan, teguran, cadangan dan perbahasan yang telah disampaikan sepanjang sesi persidangan ini.

Kaola percaya bahawa setiap pandangan yang dikongsikan walaupun berbeza dari segi pendekatan, mempunyai satu matlamat yang sama iaitu untuk memastikan kepentingan rakyat terus diberi keutamaan dan pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Sebagai penangguhan, kaola ingin menyentuh mengenai Wawasan Brunei 2035 yang kini semakin hampir kepada tempoh sasarannya.

Pada hemat kaola, kejayaannya bukan hanya bergantung kepada perancangan tetapi kepada tindakan dan pelaksanaan yang bersepadu, konsisten dan berterusan oleh semua pihak.

Penglibatan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, usia dan latar belakang amat diperlukan kerana setiap orang mempunyai peranan dalam pembangunan negara.

Dalam tempoh ini, kaola berpandangan kita tidak perlu terlalu ghairah memperkenalkan banyak perkara baharu sekiranya kemampuan pelaksanaannya belum tersedia.

Lebih baik program yang terbukti, berkesan, diperkukuhkan, diselaraskan dan diperkemas dengan sasaran serta ukuran keberhasilan yang jelas.

Khususnya program sosioekonomi, keutamaan hendaklah diberikan kepada usaha yang memberi impak langsung kepada rakyat melalui peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan, perkembangan PMKS dan peluang kepada anak tempatan.

Pada masa yang sama, setiap aktiviti dalam bidang sosioekonomi, kemasyarakatan, belia, sukan, kebudayaan dan sebagainya hendaklah mempunyai tujuan sasaran, hasil dan kesinambungan yang jelas.

Bukan sekadar dilaksanakan untuk memenuhi jadual atau takwim tahunan, kita perlu beralih daripada pendekatan 'buat program' kepada membina hasil daripada program.

Program seperti Micro Bootcamp, Accelerate Bootcamp, Startup673 serta pelbagai program belia, sukan dan kemahiran yang sedang dilaksanakan wajar dinilai berdasarkan impaknya, diteruskan jika berkesan dan diperbaiki jika masih mempunyai ruang untuk diperkukuhkan.

Akhirnya, ukuran kejayaan bukan berapa banyak program yang kita adakan, tetapi berapa banyak perubahan yang kita hasilkan daripadanya.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Kaola juga ingin menyentuh mengenai dengan industri kreatif, yang pada hemat kaola perlu dilihat bukan sekadar sebagai aktiviti seni, kebudayaan atau hiburan tetapi sebagai satu sektor yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Industri ini merangkumi musik, filem, animasi, reka bentuk, fotografi, kandungan digital, permainan komputer, pengiklanan, fesyen, kraftangan dan pelbagai bentuk kreativiti yang boleh menjana pekerjaan, pendapatan serta peluang perniagaan kepada anak tempatan.

Di beberapa buah negara, industri kreatif telah berkembang menjadi sektor ekonomi yang bernilai tinggi. United Kingdom misalnya, mempunyai sekitar 2.46 juta pekerjaan dalam industri kreatif pada tahun 2025, manakala keseluruhan ekonomi kreatifnya mencapai kira-kira 4.3 juta pekerjaan.

Korea Selatan pula mencatatkan jualan industri kandungan sekitar KRW157 trilion dan eksport kira-kira USD14.1 bilion pada tahun 2024.

Ini menunjukkan bahawa kreativiti, apabila dibangunkan secara profesional dan disokong dengan konsisten yang betul, boleh menjadi sumber pekerjaan, eksport dan pendapatan negara.

Maka, kaola berpandangan bahawa Brunei juga perlu melihat potensi ini dengan lebih serius. Kita mempunyai budaya, warisan, musik, seni, kraftangan, cerita dan identiti Melayu Islam Beraja yang boleh diterjemahkan kepada produk dan kandungan kreatif yang mempunyai nilai komersial termasuklah melalui platform digital.

Anak-anak tempatan perlu diberi ruang, latihan, pembiayaan, kemudahan dan akses pasaran supaya kreativiti mereka bukan hanya dipersembahkan di dalam negara, tetapi mampu dijadikan produk yang boleh dijual ke rantau ASEAN dan pasaran antarabangsa.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Berkenaan dengan isu keselamatan siber dan perlindungan data peribadi, sebagaimana yang telah kaola sentuh dalam perbahasan Usul penjelasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035, khususnya mengenai isu scammer, kaola ingin menekankan bahawa perkara ini perlu diberikan perhatian yang serius.

Keselamatan dan perlindungan data peribadi rakyat Brunei bukan sahaja perlu dipastikan ketika berada di dalam negara tetapi juga ketika rakyat berada di luar negara. Ini kerana penyalahgunaan identiti dan data peribadi boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira tempat dan keadaan.

Sebagai contoh, terdapat kes seorang warga Brunei yang melancong ke luar negara dan telah membeli kad sim telefon bimbit di negara berkenaan. Data peribadinya telah digunakan untuk tujuan pendaftaran kad sim tersebut.

Namun, apabila beliau kembali ke negara berkenaan pada kunjungan yang seterusnya, beliau telah ditahan di lapangan terbang oleh pihak keselamatan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti scam.

Walaupun individu tersebut tidak terlibat dalam kegiatan berkenaan, identiti dan data peribadinya dipercayai telah disalahgunakan oleh pihak lain untuk tujuan penipuan.

Contoh ini menunjukkan bahawa penyalahgunaan data peribadi bukan sahaja boleh menjejaskan kewangan dan reputasi seseorang, malah boleh menyebabkan seseorang berdepan dengan masalah undang-undang di negara lain walaupun dirinya tidak melakukan kesalahan tersebut.

Justeru, kaola ingin melihat sejauh mana mekanisme perlindungan rakyat Brunei dapat diperkukuhkan, khususnya dalam menangani penyalahgunaan identiti dan data peribadi yang berlaku di luar negara.

Perkara ini juga memerlukan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak telekomunikasi, institusi kewangan serta pihak berkuasa luar negara. Pada hemat kaola, perlindungan data peribadi bukan lagi sekadar isu teknologi atau privasi tetapi merupakan sebahagian daripada keselamatan rakyat dan kepentingan negara.

Oleh itu, kita perlu memastikan rakyat Brunei mempunyai perlindungan dan saluran bantuan yang jelas sekiranya identiti atau data peribadi mereka disalahgunakan sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Kaola juga ingin mencadangkan supaya satu mekanisme atau saluran bantuan yang lebih jelas diwujudkan bagi rakyat yang menjadi mangsa penyalahgunaan identiti termasuk panduan mengenai tindakan yang perlu diambil, pihak yang perlu dihubungi, serta bantuan yang boleh diberikan apabila mereka berada di luar negara.

Pada hemat kaola, kita tidak mahu menunggu sehingga lebih ramai rakyat menjadi mangsa sebelum langkah-langkah pencegahan diperkukuhkan.

Dalam era digital, data peribadi adalah sebahagian daripada identiti seseorang. Apabila identiti itu disalahgunakan, kesannya bukan sahaja kepada individu, tetapi boleh menjejaskan keselamatan, reputasi dan keyakinan rakyat terhadap sistem perlindungan negara.

Oleh itu, Kaola berharap isu keselamatan siber dan pelindungan data peribadi ini dapat dilihat sebagai satu aspek penting dalam agenda keselamatan negara dan Wawasan Brunei 2035. Kita perlu memastikan bahawa rakyat Brunei bukan sahaja selamat ketika berada di negara sendiri tetapi turut mendapat perlindungan dan sokongan sewajarnya apabila berada di luar negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Kaola juga ingin menekankan pentingnya pihak kerajaan mengukuhkan kerjasama dengan individu, pihak swasta, persatuan dan badan-badan NGO yang mempunyai kepakaran, pengalaman serta kemampuan untuk membantu menggerakkan agenda pembangunan negara.

Pendekatan ini selaras dengan konsep whole of nation of approach iaitu penglibatan seluruh lapisan masyarakat secara bersama dalam rancangan dan melaksanakan pembangunan negara jika terdapat amalan atau model yang telah terbukti berjaya di luar negara.

Kita boleh mempelajari, menyesuaikan dan melaksanakannya mengikut kesesuaian serta keperluan Brunei. Kerjasama ini boleh diperkasa melalui usaha sama pengkongsian kepakaran, projek perintis dan lantikan strategik yang bersesuaian. Pada hemat kaola, telah tiba masanya kita tidak lagi bergerak atau membuat keputusan secara silo.

Jika kita mahukan hasil yang lebih baik, kita perlu menggembeleng kepakaran, pengalaman dan idea daripada semua pihak melalui pendekatan whole of nation demi mempercepatkan pembangunan dan mencapai Wawasan Brunei 2035.

Kita mahu pembangunan bukan sahaja berlaku di peringkat nasional tetapi turut dirasakan di setiap daerah, mukim dan kampung.

Akhirnya kaola percaya bahawa Wawasan Brunei 2035 adalah tanggungjawab kita bersama, kerajaan merancang, agensi melaksanakan, sektor swasta mengembangkan dan rakyat turut menyumbang.

Jika semua pihak bergerak dalam satu arah dengan kesungguhan dan konsistensi insya Allah usaha yang kita laksanakan hari ini akan menjadi asas kepada masa depan negara yang lebih kukuh, makmur dan sejahtera.

Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Saya persilakan Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin.

Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin​

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir Rahmanir Rahim. (Doa dibaca).

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian.

Kaola merakamkan ribuan terima kasih kerana di berikan peluang untuk menyampaikan Ucapan Penangguhan Mesyuarat Pertama dan Kedua Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2026.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadirat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah, rahmat dan izinnNya kita telah berjaya menyempurnakan Mesyuarat Pertama dan Kedua Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara dengan penuh tertib, semangat, muafakat dan bertanggungjawab.

Sepanjang persidangan ini, pelbagai perkara penting telah dibincangkan, setiap perbahasan mencerminkan keprihatinan kita bersama terhadap pembangunan negara dan yang paling utama kesejahteraan rakyat.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Kaola ingin membawa perhatian di penangguhan ini kepada satu persoalan yang pada hemat kaola merupakan ukuran paling asas kepada kejayaan pembangunan negara. Adakah kehidupan rakyat kita benar-benar menjadi lebih baik?

Kita boleh bercakap mengenai pertumbuhan ekonomi, kita boleh bercakap mengenai pelaburan dan pembangunan namun pada akhirnya rakyat mahu melihat hasilnya dalam kehidupan seharian mereka.

Mereka mahu pendapatan yang mencukupi, mereka mahu pekerjaan yang baik, mereka mahu rumah yang bersesuaian dan mereka mahu kos kehidupan yang mampu ditanggung.

Oleh itu, kaola ingin menyentuh tiga perkara yang amat dekat dengan kehidupan rakyat iaitu kos sara hidup, pekerjaan dan pendapatan anak tempatan serta perumahan.

Pertama, kos sara hidup dan kuasa beli rakyat. Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Kita memahami bahawa harga barang dan perkhidmatan dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk keadaan ekonomi dunia, kos pengangkutan, rantaian bekalan dan kadar pertukaran mata wang.

Namun bagi rakyat, kesan yang sangat mudah dirasakan, apabila harga meningkat, perbelanjaan keluarga turut meningkat.

Bagi keluarga yang mempunyai pendapatan tetap, kenaikan kos makanan, pengangkutan, pendidikan dan keperluan harian boleh memberikan tekanan. Maka pada hemat kaola, isu kos sara hidup tidak boleh di lihat hanya daripada sudut harga. Kita juga perlu melihat kemampuan rakyat untuk menanggung kos kehidupan.

Harga mungkin tidak dapat kita kawal sepenuhnya tetapi kemampuan rakyat untuk menghadapi kos kehidupan boleh diperkukuhkan.

Caranya ialah dengan memastikan rakyat mempunyai pekerjaan yang lebih baik, kemahiran yang lebih tinggi, peluang meningkatkan pendapatan serta sokongan yang berkesan kepada perusahaan tempatan.

Kita tidak mahu rakyat hanya mampu bertahan. Kita mahu rakyat mampu menyimpan, memiliki rumah, membesarkan keluarga dan merancang masa depan.

Kedua, pekerjaan dan pendapatan anak tempatan. Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kita mempunyai generasi muda yang berpendidikan, berkemahiran, bercita-cita dan bersedia menyumbang kepada negara.

Persoalannya, adakah peluang yang tersedia benar-benar mampu membina masa depan mereka? Pada hemat kaola, kejayaan tidak seharusnya diukur hanya pada berapa ramai anak tempatan mendapat pekerjaan, tapi pada kualiti pekerjaan dan masa depan yang mampu dibina melaluinya.

Adakah mereka berpeluang meningkatkan kemahiran, berkembang dalam kerjaya, meningkatkan pendapatan dan yang paling penting membina kehidupan yang lebih stabil? Pekerjaan memberikan pendapatan hari ini, tetapi kerjaya memberikan masa depan.

Justeru, usaha menangani pengangguran belia mesti melangkaui sekadar menyediakan pekerjaan. Kita perlu memastikan anak-anak tempatan mempunyai kemahiran yang diperlukan industri, pengalaman melalui latihan serta laluan untuk terus berkembang.

Maka, kejayaan program pekerjaan belia juga perlu diukur dengan lebih bermakna. Berapa ramai yang kekal dalam pekerjaan, meningkatkan kemahiran, meningkatkan pendapatan dan berkembang dalam kerjaya.

Kerana matlamat kita bukan sekadar melahirkan pekerja, tetapi membina tenaga profesional, usahawan dan pemimpin masa depan negara.

Ketiga, perumahan untuk rakyat. Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Pada hemat kaola, perumahan perlu terus dilihat sebagai sebahagian daripada dasar kesejahteraan keluarga bukan sekadar projek pembangunan.

Bagi golongan muda yang baru membina keluarga, rumah yang bersesuaian boleh menjadi asas kepada kestabilan hidup. Namun, jika kos perumahan terlalu membebankan, ia boleh menjejaskan kemampuan keluarga untuk memenuhi keperluan lain.

Maka dalam menilai dasar perumahan, kita bukan hanya perlu melihat berapa banyak rumah yang dibina, kita juga perlu melihat berapa banyak keluarga yang benar-benar dapat menikmati rumah yang bersesuaian dengan kemampuan mereka.

Bagi sebuah keluarga, rumah bukan sekadar tempat tinggal, tetapi asas kestabilan dan masa depan. Justeru kejayaan dasar perumahan bukan hanya pada berapa banyak rumah yang dibina tetapi berapa ramai keluarga yang benar-benar mampu memiliki rumah yang sesuai, selesa dan memenuhi keperluan mereka. Pada hemat kaola, rumah yang mampu dimiliki bukan sekadar tempat untuk berlindung, tetapi ia adalah asas untuk membina kehidupan yang lebih stabil dan sejahtera.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Jika kita lihat ketiga-tiga perkara ini, kos sara hidup, pekerjaan dan perumahan, semuanya bertitik tolak daripada satu perkara asas. Kemampuan rakyat untuk membina kehidupan yang stabil dan masa depan yang lebih baik. Apabila anak muda mempunyai pekerjaan yang baik, mereka memperoleh pendapatan yang stabil.

Dengan pendapatan yang stabil, mereka lebih mampu merancang masa depan, memiliki kediaman yang sesuai dan membina keluarga yang sejahtera. Apabila rakyat mempunyai kehidupan yang stabil, masyarakat menjadi kukuh dan negara menjadi kuat.

Insya Allah, dengan usaha yang lebih tersusun, kerjasama yang erat serta peranan para Menteri Penyelaras yang baru di lantik, kita yakin agenda ini akan terus diperkasakan dan menjadikan landasan penting ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Kerana pembangunan negara yang sebenar bukan hanya diukur melalui angka dan kemajuan fizikal, tetapi melalui sejauh mana rakyatnya mampu hidup dengan stabil, sejahtera dan yakin menetap masa depan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Maka marilah kita terus memperkukuhkan usaha meningkatkan kuasa beli rakyat, membuka lebih banyak pekerjaan dan kerjaya yang berkualiti, serta menyediakan perumahan yang bersesuaian dan apabila kehidupan rakyat semakin baik, maka negara juga akan menjadi semakin kuat.

Semoga segala usaha dan ikhtiar kita mendapat keberkatan dan dipermudahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala, demi kemajuan negara dan kesejahteraan seluruh rakyat.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Akhir sekali kaola ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kebijaksanaan dan kewibawaan dalam memandu serta mengendalikan perjalanan mesyuarat ini dengan begitu teratur dan berkesan.

Penghargaan dan terima kasih juga kalau tujukan kepada semua Ahli Yang Berhormat, Yang Mulia Jurutulis, Yang Mulia Timbalan Jurutulis dan pegawai-pegawai kerajaan serta semua pihak yang memberikan komitmen, kerjasama dan sumbangan yang tidak ternilai dalam sama-sama menjayakan persidangan ini.

Kaola berharap agar segala pandangan, cadangan dan perkara-perkara yang telah dibahaskan sepanjang persidangan ini akan terus diberikan perhatian yang sewajarnya dan seterusnya dapat diterjemahkan kepada tindakan serta dasar yang membawa manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat dan negara.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, marilah kita bersama-sama menadah tangan dengan penuh tawaduk memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam dan kerabat diraja, sentiasa dilimpahkan rahmat dan inayah, dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, kesejahteraan, kebahagiaan serta usia yang penuh keberkatan.

Semoga di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, akan terus dilimpahi kemajuan, keamanan dan kesejahteraan yang berpanjangan.

Semoga rakyat dan penduduk di negara ini sentiasa hidup dalam suasana yang aman dan harmoni, menikmati kemakmuran serta sentiasa berada dalam lindungan rahmat dan keberkatan Allah Subhanahu Wata'ala.

Kaola juga berdoa semoga segala usaha dan amal bakti kita dalam melaksanakan amanah ini akan diterima sebagai amal kebajikan disisi Allah Subhanahu Wata'ala dan memberikan manfaat yang berpanjangan kepada rakyat serta Negara Brunei Darussalam. Amin Ya Rabbal Alamin.

Ke Pekan Muara membeli tenggiri,
Udang galah bersama lukan,
Mesyuarat Negara kita akhiri,
Tersilap tersalah, mohon maafkan.

Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub.

Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub​

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah, rahmat, izin-Nya jua, kita dapat bersama-sama meneruskan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara dan membincangkan pelbagai perkara yang berkepentingan kepada pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan negara.

Kaola ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas segala usaha dan komitmen berterusan dalam memelihara kesejahteraan rakyat, memperkukuhkan pembangunan negara dan memastikan hala tuju pembangunan sentiasa berpandukan kepada matlamat Wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, dalam menyampaikan ucapan penangguhan ini, kaola ingin mengajak Dewan yang mulia ini untuk melihat Wawasan Brunei 2035 bukan sahaja sebagai satu sasaran pembangunan tetapi sebagai satu perjalanan yang memerlukan kesepaduan daripada pelbagai aspek.

Pada pandangan kaola, pencapaian Wawasan Brunei 2035 tidak memadai dengan hanya mempunyai dasar yang baik, perancangan yang tersusun, serta peruntukan kewangan yang mencukupi, ia juga bergantung kepada keupayaan kita membangunkan sumber manusia yang berilmu dan berkemahiran, memperkukuhkan institusi yang cekap dan berkesan, membina ekonomi yang produktif, serta memastikan budaya kerja yang berteraskan integriti dan amanah.

Kesemua elemen ini saling melengkapi dan tidak boleh dilihat secara berasingan, wawasan, modal insan, tatakelola dan etika dalam pelaksanaan perlu bergerak seiring sebagai satu ekosistem pembangunan negara kerana pada akhirnya kejayaan sesuatu wawasan tidak diukur hanya melalui apa yang telah dirancang atau beberapa banyak program yang telah dilaksanakan, yang lebih penting ialah sejauh mana perancangan-perancangan tersebut diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan menghasilkan perubahan yang nyata dan akhirnya membawa manfaat yang dapat dilihat, dirasai, dinikmati oleh rakyat.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola ingin menyentuh beberapa perkara penting bagi memastikan usaha menuju Wawasan Brunei 2035 dapat dilaksanakan dengan secara lebih berkesan dengan memberikan impak nyata kepada rakyat khususnya dalam pembangunan tenaga kerja.

Pada hemat kaola, kita perlu beralih daripada sekadar mengukur output seperti jumlah pekerjaan, latihan dan pelaburan kepada outcome iaitu sejauh mana usaha tersebut benar-benar meningkatkan kemahiran produktiviti, peluang kerjaya dan kerjasama rakyat seiring dengan perubahan dunia pekerjaan melalui AI, automasi dan digitalisasi.

Kaola menyokong pengukuhan reskilling dan upskilling sebagai sebahagian daripada budaya pembelajaran sepanjang hayat, selaras dengan Manpower Blueprint yang menekankan pembangunan kompetensi dan kemahiran secara berterusan. Peningkatan akses kepada pembelajaran, penggunaan teknologi dalam pembangunan modal insan serta penyelarasan antara pendidikan TVET, institusi latihan dan keperluan industri.

Sehubungan dengan itu, kaola mencadangkan pertimbangan pelan peralihan kemahiran nasional yang menyatukan laluan pendidikan TVET, pengajian tinggi, latihan industri, upskilling dan reskilling dengan keperluan majikan serta pekerjaan masa hadapan supaya tenaga kerja kita bukan sahaja bersedia untuk pekerja hari ini tetapi mampu menyesuaikan diri dengan pekerjaan dan keperluan ekonomi sehingga tahun 2035 dan seterusnya.

Kaola menyokong usaha kerajaan menarik pelaburan berkualiti namun pada hemat kaola, pelaburan tersebut hendaklah bukan sekadar membawa modal tetapi turut membawa teknologi, kepakaran inovasi, pekerjaan kemahiran tinggi, latihan dan pemindahan ilmu serta peluang kepada syarikat tempatan untuk berkembang ke pelaburan hari ini dapat membina kapasiti dan daya saing negara untuk masa hadapan.

Pendekatan ini selaras dengan Economic Blueprint yang menggariskan kepentingan pelaburan berkualiti dan peningkatan produktiviti bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan berdaya tahan di samping mempelbagaikan ekonomi dan menyediakan lebih banyak pekerjaan yang berkualiti malah aspirasi Blueprint terhadap rakyat yang mahir, adaptif dan inovatif serta perniagaan yang produktif dan pesat menunjukkan bahawa pelaburan hendaklah turut berperanan dalam membangun bakat tempatan, memperkukuhkan ekosistem perniagaan dan meningkatkan keupayaan syarikat tempatan untuk bersaing.

Dengan demikian, kita tidak hanya melihat pelaburan dari segi beberapa besar modal yang masuk, tetapi juga berapa besar nilai yang tinggal dan berkembang dalam negara melalui pekerjaan berkualiti, peningkatan kemahiran, pemindahan teknologi, pertumbuhan syarikat tempatan dan perniagaan produktiviti. Inilah yang pada hemat kaola akan menjadi pelaburan benar-benar menyumbangkan kepada pembentukan ekonomi dinamik dan berdaya tahan selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

Di sini, kaola ingin menghubungkan pembangunan ekonomi dan tenaga kerja dengan etika serta tatakelola kerana etika bukan sekadar peraturan tentang apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan tetapi merupakan amanah dan melaksanakan dasar, mengurus sumber dan peruntukan negara, membuat keputusan serta memastikan setiap usaha pembangunan benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat.

Dasar yang baik dan peruntukan yang besar hanya akan menghasilkan impak kepada disokong oleh budaya kerja yang berintegriti, telus dan bertanggungjawab. Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, nilai ini hendaklah terus berakar kepada falsafah Melayu Islam Beraja, nilai kesetiaan kepada sultan dan negara, ajaran Islam serta keharmonian sosial yang menjadi asas kehidupan bernegara dan selaras dengan nilai teras Wawasan Brunei 2035.

Justeru etika dan integriti hendaklah diterjemahkan melalui tindakan nyata, keputusan di mana dibuat dengan amanah, perkhidmatan disampaikan secara adil dan profesional, sumber awam diurus dengan bertanggungjawab, prestasi dinilai berdasarkan hasil dan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Sehubungan dengan itu, kaola menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menekankan bahawa KPI hendaklah menjadi panduan dalam menilai kemajuan negara di samping memastikan mekanisme penetapan dan semakan KPI sentiasa berdaya tahan serta adaptif dan yang paling utama pencapaian Wawasan Brunei 2035 hendaklah benar-benar dapat dirasakan oleh rakyat.

Selaras dengan titah tersebut, kaola mencadangkan supaya pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 turut diperkukuhkan melalui prinsip dasar, tindakan hasil, akauntabiliti dengan setiap dasar mempunyai tindakan yang jelas, ukuran keberhasilan, pemantauan serta impak yang nyata kepada rakyat agar kita beralih daripada activity-based kepada outcome-based governance.

Dalam hubungan ini, kaola mencadangkan pertimbangan Indeks Kualiti Pekerjaan, Indeks Keberkesanan Latihan dan Indeks Impak Pelaburan yang boleh diselaraskan dengan data serta KPI sedia ada bagi mengukur kualiti pekerjaan, keberkesanan pembangunan kemahiran dan nilai sebenar pelaburan kepada ekonomi serta bakat tempatan.

Kaola ingin menegaskan bahawa usaha ini sebagai sokongan dan nilai tambah supaya pendekatan whole of government dan whole of nation dapat digerakkan dalam satu arah melibatkan kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan, industri, masyarakat dan rakyat.

Pada akhirnya, Wawasan Brunei 2035 adalah tentang manusia dan masa depan. Justeru itu, modal insan, ekonomi, kualiti kehidupan dan etika perlu bergerak sebagai satu ekosistem yang dipandu oleh tatakelola dengan penuh amanah dan berintegriti.

Sebagai mengakhiri ucapan kaola bahawa Wawasan Brunei 2035 hendaklah diterjemahkan melalui dasar yang jelas, tindakan yang tersusun, hasil yang boleh diukur dengan manfaat yang benar-benar dirasa oleh rakyat, bukan sekadar menjadi dokumen perancangan tetapi menjadi budaya pelaksanaan dengan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerjasama seluruh pihak melalui pendekatan whole of government dan whole of nation.

Marilah kita bersama-sama melangkah dengan yakin menuju 2035 demi mencapai rakyat yang berpendidikan, berhemah tinggi dan berjaya, kehidupan yang berkualiti serta ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan. Semoga segala usaha dan ikhtiar kita mendapat keberkatan serta petunjuk daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin.

Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin​

Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah. Kaola berterima kasih diberikan kesempatan untuk membuat ucapan penangguhan pada penghujung persidangan Majlis Mesyuarat Negara kali ini. Terlebih dulu, kaola ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kepimpinan dan kesabaran Yang Berhormat Pehin dalam mempengerusikan persidangan ini.

Dan tahniah juga kepada Yang Mulia Datin Dr Jurutulis serta seluruh warga Urusetia Dewan atas usaha berterusan memperkukuhkan dan mengemaskinikan perjalanan Majlis Mesyuarat Negara.

Kaola juga ingin sekali lagi menjunjung kasih atas kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memperkenankan Majlis Mesyuarat Negara bersidang dua kali setahun.

Pada hemat kaola, mungkin inilah ruang yang dihasratkan oleh baginda agar Dewan dimanfaatkan sebagai wadah untuk bercambah fikiran dan mengemukakan alternative views untuk dipertimbangkan kesesuaiannya demi memperkukuhkan dasar-dasar negara.

Dengan adanya dua sesi persidangan setiap tahun, Dewan kini berpeluang membahaskan isu-isu strategik dan dasar negara selain Belanjawan Tahunan negara. Ini mencerminkan satu lagi mercu tanda kematangan institusi Majlis Mesyuarat Negara serta meningkatkan minat rakyat untuk mengikuti terus perbahasan di dalam Dewan.

Melalui pengalaman peribadi kaola sendiri, dua sesi setakat ini membuktikan Ahli-Ahli mampu menyediakan perbahasan yang berkualiti, namun kaola percaya perbahasan akan lebih substantif dan jauh lebih berkesan disokong dengan in-depth research dan fakta, insya Allah.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Kaola juga ingin merafakkan sembah menjunjung kasih ke atas kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melantik Menteri-Menteri Penyelaras sebagai satu langkah strategik yang amat tepat pada masanya untuk memperkukuhkan penyelarasan dan mempercepatkan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 ke arah mencapai pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat yang kita harapkan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola tidaklah bertujuan untuk mengulangi lagi pandangan kaola semasa sesi perbahasan penyelarasan Wawasan Brunei 2035, selain untuk memberi sokongan dan mendoakan kejayaan. Negara tidak kekurangan pelan, dasar, blueprint mahupun KPI dan tidak kurang orang bijak pandai. Kini tiba masanya untuk work the plans and make the plans work. Kerana fasa yang kita hadapi hari ini bukan lagi fasa planning tetapi fasa implementation dan delivery.

Penyelarasan itu sendiri bukanlah matlamat akhir. Deliverables yang kita ingin sama-sama capai ialah kecepatan membuat keputusan, memperkukuh akauntabiliti, meningkatkan kerjasama merentas kementerian serta memastikan setiap usaha benar-benar menyumbang kepada national outcomes bersepadu dan dapat dinilai pencapaiannya, dilihat kesannya dan dirasai oleh rakyat.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Antara perkara yang menjadi keluhan rakyat terutama golongan belia ialah mengenai masa depan yang bergantung kepada pekerjaan mereka. Justeru, rakyat menghargai kenyataan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri untuk menyelaraskan lebih erat lagi agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor industri, agensi sosial dan masyarakat, menggunakan data serta analisis pasaran buruh supaya setiap intervensi benar-benar menepati keperluan semasa dan masa hadapan.

Malah pemindahan JobCentre Brunei dan Manpower Planning Office serta penjenamaan semula Jabatan Buruh merupakan tanda positif untuk menangani isu pengangguran. Rakyat, khususnya golongan belia, graduan serta pencari kerja amat menaruh harapan dan berdoa agar usaha ini akan dipantau sehingga kejayaannya dan hasrat mereka untuk menyumbang bakti kepada indung dan negara tercapai dalam waktu terdekat, insya Allah. Amin, Amin Ya Rabbal Alamin.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Negara masih berhadapan dengan perbelanjaan tahunan di tahap defisit. Mana-mana usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan revenue negara wajar diberi sokongan padu.

Kaola mengambil maklum penjelasan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri bahawa negara sudah mempunyai pelbagai blueprint, industry roadmaps serta mekanisme penyelarasan bagi memacu pertumbuhan ekonomi. Kaola percaya sektor perniagaan khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana turut menaruh harapan untuk dilibatkan sebagai rakan strategik, diberi sokongan yang bersesuaian agar mereka mendapat manfaat daripada pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini. Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola turut menghargai pendekatan yang digariskan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II dalam menangani isu keterjaminan makanan dan bekalan tenaga.

Kaola menyambut baik penekanan menteri terhadap penilaian risiko, perancangan senario planning, pemantauan berasaskan data melalui National Risk Monitoring Dashboard serta penggunaan trigger points bagi membolehkan tindakan awal diambil sebelum sesuatu risiko berkembang menjadi - krisis.

Kaola juga mengalu-alukan langkah-langkah yang diumumkan bagi memastikan bekalan makanan dan tenaga kekal mencukupi, mampu milik dan berdaya tahan melalui pengurusan stok strategik, kepelbagaian sumber bekalan, pemantauan harga serta langkah mitigasi kos sara hidup.

Kaola percaya pendekatan ini setentunya dapat mempertingkatkan lagi tahap kesiapsiagaan negara secara lebih tersusun dan responsif. Rakyat berharapan penuh pendekatan penyelarasan yang telah digariskan oleh ketiga-tiga Yang Berhormat Menteri Penyelaras dapat diterjemahkan kepada sasaran, jadual pelaksanaan dan hasil yang jelas serta dikongsikan perkembangannya secara berkala agar rakyat dapat melihat dan menilai kemajuan dan memberi respons sepatutnya.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola juga mengambil maklum dan menghargai penjelasan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 melalui indeks Wawasan Brunei 2035 yang akan dilaporkan setiap tahun.

Langkah seterusnya yang juga penting ialah memastikan kerangka ini diterjemahkan kepada target pelaksanaan tahunan yang nyata, map out mengikut priority serta memastikan setiap inisiatif kementerian termasuk belanjawan negara dan Rancangan Kemajuan Negara akan diselaraskan dan ini juga termasuk menyelaraskan sumber kewangan tenaga manusia, data, infrastruktur ICT serta keupayaan project delivery supaya setiap sasaran tahunan menjadi mempunyai sumber pemilik dan tempoh pelaksanaan yang jelas dan intervensi awal dapat mengelakkan keciciran.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Kaola menghargai kebijaksanaan Yang Berhormat Yang Di-Pertua membenarkan pindaan Usul dan menyambut baik keputusan Dewan untuk merujuk Draf Kod Etika pada sebuah jawatankuasa bagi diperhalusi dalam tempoh enam bulan. Secara peribadi, perbahasan ini juga telah memberikan pengajaran yang bermakna.

Dalam kaola membangkitkan beberapa kebimbangan mengenai isi kod, kaola merasakan ada pandangan kaola disalah tafsir, disalahertikan tanpa diminta untuk memperjelaskan sepenuhnya. Kaola tidak bercadang untuk merespons atau mendebate kesalahtafsiran atas dasar menghormati Perkara 12, Item 4 dan 5 dalam Peraturan Mesyuarat, Standing Orders kitani sendiri.

Kaola percaya inilah hakikat institusi yang matang apabila mempunyai berbeza pandangan dan tafsiran tetapi kita tetap saling menghormati perbezaan pendapat. Mohon berikan kesempatan untuk mengakhiri, terima kasih.

Mereka yang mengikuti perbahasan Kod Etika telah menyaksikan lahirnya satu perkembangan positif iaitu proses syura yang lebih matang dan alhamdulillah menghasilkan keputusan yang lebih baik, insya Allah. Insya Allah apabila kod ini diluluskan oleh Dewan kelak, ini bukan sahaja akan memelihara martabat Majlis Mesyuarat Negara, malah mampu memperkukuhkan peranan Ahli Yang Berhormat untuk terus berkhidmat dengan amanah, berintegriti dan profesional demi kepentingan agama, negara dan rakyat.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Sebelum berundur, izinkan kaola memohon ampun dan maaf sekiranya sepanjang persidangan terdapat sebarang kekurangan pada pihak kaola sama ada dari segi tutur kata, penyampaian yang kurang halus ataupun kejanggalan tingkah laku yang tidak kaola sedari sehingga mengakibatkan ada hati yang terusik. Sesungguhnya, segala yang baik datangnya dari Allah Subhanahu Wata'ala, manakala segala kekurangan itu adalah daripada kelemahan kaola sendiri.

Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Awang Lau How Teck.

Yang Berhormat Awang Lau How Teck​

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terlebih dahulu kaola ingin mengucapkan terima kasih atas peluang diberi kesempatan untuk turut serta dalam Ucapan Penangguhan dan juga dalam perbahasan pada sebelum ini di Mesyuarat Pertama dan Mesyuarat Kedua ini.

Sepanjang persidangan, kaola berpeluang mendengar pelbagai pandangan serta penjelasan yang telah dikongsikan oleh rakan Ahli-Ahli Yang Berhormat Yang Dilantik dan Yang Berhormat Menteri-Menteri.

Bagi kaola, walaupun isu yang dibincangkan meliputi pelbagai bidang, kesemuanya sebenarnya membawa kepada satu matlamat yang sama iaitu bagaimana kita dapat terus membina sebuah negara yang mempunyai ekonomi yang lebih kukuh, masyarakat yang lebih sejahtera dan masa depan yang terbaik untuk negara dan rakyat.

Setiap perbahasan, sama ada mengenai pendidikan, infrastruktur, kesihatan, pembangunan, perusahaan mahupun pertanian mempunyai kaitan dengan keupayaan negara untuk terus berkembang dan menyesuaikan diri dengan perubahan yang sedang berlaku. Pada pandangan kaola, inilah gambaran sebenar pembangunan pada hari ini dan kemajuan sebuah sektor bergantung kepada kekuatan sektor-sektor yang lain.

Dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar, antara perkara yang perlu terus diberi perhatian ialah bagaimana negara dapat menghasilkan nilai yang besar daripada setiap usaha yang dilaksanakan. Kita tidak boleh hanya berpuas hati apabila sesuatu projek berjaya disiapkan ataupun sesuatu program berjaya dilaksanakan. Yang lebih penting ialah sejauh mana usaha tersebut meningkatkan produktiviti, membuka peluang baharu kepada rakyat, mengembangkan perusahaan tempatan dan mewujudkan aktiviti ekonomi yang berterusan.

Sepanjang persidangan ini juga, kita banyak membincangkan mengenai persediaan negara menghadapi masa hadapan. Bagi kaola, persediaan tersebut bukan hanya bermaksud menyediakan lebih banyak kemudahan ataupun memperkenalkan dasar-dasar baharu. Yang lebih penting ialah memastikan rakyat dan perusahaan tempatan mempunyai keupayaan untuk merebut peluang yang akan diwujudkan.

Hasil daripada perubahan tersebut, kita mahu melihat lebih ramai usahawan tempatan yang mampu berkembang ke pasaran antarabangsa. Kita juga melihat sektor pertanian terus beralih kepada pengeluaran yang lebih moden dan bernilai tinggi. Kita juga mahu melihat lebih ramai belia memilih untuk menjadi pencipta pekerjaan dan bukan sahaja mencari pekerjaan. Apabila lebih ramai rakyat mampu mencipta nilai, negara juga akan menjadi lebih berdaya tahan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Dalam dunia perniagaan, keyakinan merupakan aset yang sangat bernilai. Ia bukan dibina melalui satu pengumuman atau satu inisiatif sahaja tetapi apabila sesuatu dasar dilaksanakan secara konsisten, kemudahan terus dipertingkatkan, perusahaan melihat peluang untuk berkembang dan rakyat yakin bahawa masa depan mereka mempunyai prospek yang baik. Keyakinan ini juga akan terus menggalakkan pelaburan, merangsang inovasi dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada negara.

Kaola berharap segala perbincangan, cadangan dan penjelasan yang telah dikongsikan sepanjang persidangan ini akan terus menjadi panduan dalam memperkukuhkan pembangunan negara. Mudah-mudahan segala usaha yang memperkukuhkan perusahaan tempatan melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan usahawan serta memastikan Brunei terus mampu bersaing dalam persekitaran ekonomi dan sentiasa berubah.

Kaola juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Jurutulis dan pasukan sekretariat serta kementerian-kementerian dan semua pihak yang telah memberikan kerjasama dalam memastikan perjalanan persidangan ini berjalan dengan lancar.

Kaola juga merafakkan sembah menjunjung kasih kepada Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas segala kebijaksanaan dan kepimpinan baginda dalam memacu pembangunan serta kemajuan negara yang dicintai.

Sekian dari kaola terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Saya persilakan Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong.

Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong​

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. (Doa dibaca). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Alhamdulillah, kita sekarang berada dipenghujung Persidangan Majlis Mesyuarat Negara Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 yang mana kita telah berjaya menyempurnakan satu lagi Persidangan Majlis Mesyuarat Negara yang berlangsung dalam suasana yang tertib harmoni dan penuh semangat mesyuarah. Sepanjang persidangan ini berbagai usul, dasar, peruntukkan serta isu-isu berkepentingan negara telah dibincangkan secara terbuka dan constructive.

Persidangan ini bukan sekadar memenuhi tuntutan perlembagaan dan proses pentadbiran negara tetapi lebih penting lagi merupakan wadah bagi Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara melaksanakan amanah untuk menyuarakan pandangan, mengemukakan cadangan, memberikan penelitian terhadap dasar kerajaan serta menyampaikan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara.

Kaola percaya setiap pandangan yang dikemukakan sama ada berupa sokongan cadangan mahupun teguran yang membina adalah berlandaskan matlamat yang sama iaitu untuk melihat Negara Brunei Darussalam terus maju, makmur dan sejahtera di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Namun demikian, pada pandangan kaola perkara yang lebih penting selepas persidangan ini bukanlah berapa banyak perkara yang telah kita bahaskan namun, apa yang lebih penting ialah apakah yang akan kita lakukan selepas kita meninggalkan Dewan ini.

Kerana rakyat bukan sahaja mahu mendengar perbahasan, rakyat mahu melihat hasil, rakyat mahu melihat jalan raya diperbaiki, rakyat mahu melihat masalah saliran diselesaikan, rakyat mahu melihat peluang pekerjaan diwujudkan, rakyat mahu melihat ekonomi tempatan berkembang dan stabil. Rakyat mahu melihat anak-anak muda mempunyai masa depan dan rakyat mahu melihat setiap dasar dan perancangan kerajaan benar-benar sampai kepada mereka.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Persidangan ini juga telah memperlihatkan pentingnya semangat saling menghormati dan menyampaikan pandangan. Walaupun terdapat perbezaan perspektif semuanya telah dibincangkan dalam suasana yang matang dan profesional. Budaya seperti inilah yang perlu terus dipelihara kerana ia mencerminkan kematangan institusi Majlis Mesyuarat Negara sebagai sebuah badan yang sentiasa mengutamakan kepentingan negara mengatasi kepentingan lain.

Pada masa yang sama kaola berharap hubungan kerjasama antara Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dengan kementerian-kementerian akan terus diperkukuhkan bukan sahaja kepada ketika persidangan berlangsung malah sepanjang tahun. Dengan adanya komunikasi yang berterusan pelbagai isu yang dihidap dihadapi rakyat dapat dikenal pasti lebih awal dan ditangani secara lebih berkesan. Kaola berharap selepas persidangan ini perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak terhenti setakat jawapan di dalam Dewan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Kaola juga ingin melihat perkara ini dari sudut diri kaola sendiri sebagai ketua kampung dan pemimpin di peringkat akar umbi. Bagi kaola, menjadi ketua kampung bukan sekadar menjalankan tugas pentadbiran, ia adalah satu amanah untuk mendengar dan menyampaikan suara rakyat.

Kaola berada dekat dengan masyarakat, kaola mendengar masalah mereka, kaola melihat keperluan mereka, kaola berjumpa dengan warga emas, kaola berjumpa dengan golongan belia, kaola berjumpa dengan keluarga yang memerlukan bantuan dan kaola melihat sendiri potensi yang terdapat dalam kampung.

Apa yang diharapkan janganlah segala perbahasan kita tinggal sebagai catatan di dalam hansard, biarlah ia menjadi tindakan. Janganlah segala cadangan yang kita berhenti sebagai cadangan. Biarlah ia menjadi perlaksanaan dan janganlah suara rakyat hanya didengar ketika persidangan berlangsung, biarlah suara rakyat terus menjadi panduan kita selepas persidangan ini.

Kita mahu pembangunan yang bukan sahaja nampak di bandar tapi dirasai di kampung. Kita mahu ekonomi yang bukan sahaja berkembang di peringkat negara tetapi memberi peluang kepada rakyat biasa dan kita mahu setiap titah dan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam diterjemahkan kepada hasil yang nyata untuk rakyat.

Kaola juga ingin menegaskan bahawa sebagai pemimpin akar umbi, kaola akan terus melaksanakan tanggungjawab kaola sebaik mungkin. Menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan serta berusaha memastikan apa jua peluang pembangunan yang ada dapat dimanfaatkan oleh masyarakat kampung.

Dalam kita mengharapkan kerajaan terus berusaha melaksanakan berbagai perancangan untuk kepentingan negara dan rakyat, kaola juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merayu kepada seluruh rakyat agar sama-sama memberikan sokongan dan kerjasama kepada kerajaan. Kerajaan tidak mungkin dapat melaksanakan semua perancangan dengan sempurna tanpa sokongan dan kerjasama daripada lapisan rakyat.

Kita sebagai rakyat mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing,alau ada perkara yang kurang sempurna kita berikan pandangan,alau ada kelemahan kita tegur dengan cara yang membina, kalau ada kekurangan kita cadangkan jalan penyelesaian dan kalau ada perancangan yang baik untuk kepentingan rakyat marilah kita sama-sama memberikan sokongan supaya ia dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Kaola merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kepimpinan yang bijaksana dalam mengendalikan persidangan ini dengan penuh ketegasan, kebijaksanaan dan keadilan sehingga semua urusan majlis dapat disempurnakan dengan lancar.

Kaola ingin merakamkan ucapan tahniah kepada barisan menteri-menteri kabinet dan menteri-menteri kabinet yang baharu dilantik. Perlantikan ini mencerminkan keyakinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap keupayaan dan kewibawaan mereka untuk menerajui kementerian masing-masing.

Kaola percaya bahawa dengan kepimpinan baharu ini bersama pengalaman serta perspektif yang dibawa oleh setiap menteri, akan dapat menyuntik semangat baharu memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kerajaan dan mempercepatkan perlaksanaan dasar-dasar yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Ucapan penghargaan turut kaola tujukan kepada Yang Mulia Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Yang Mulia Pemangku Timbalan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Majlis Mesyuarat Negara serta seluruh urus setia dan petugas yang telah bekerja keras sebelum, semasa dan sepanjang persidangan berlangsung.

Sumbangan mereka sama ada di hadapan mahu pun di belakang tabir amat besar ertinya dalam memastikan kelancaran perjalanan persidangan. Kaola juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam yang telah menyediakan maklumat, laporan, analisis dan penjelasan yang diperlukan bagi membantu Ahli-Ahli Majlis menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan.

Akhir sekali, marilah kita bersama-sama memohonkan kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja sentiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, dipelihara oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan terus memimpin negara ini dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

Semoga Negara Brunei Darussalam akan terus menikmati keamanan, kemakmuran, keberkatan dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala serta segala hasil persidangan ini akan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya ucapkan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah pun memberikan ucapan penangguhan mereka masing-masing.

Kita masih lagi mempunyai senarai yang agak panjang. Maka pada pendapat saya, cukuplah dulu kita bersidang pada hari ini dan saya cadangkan supaya mesyuarat ini ditangguhkan.

Insya Allah kita akan bersidang semula pada esok hari iaitu hari Selasa, 11 Ogos 2026 sebagaimana lazim mulai daripada pukul 9.30 pagi.

Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)

Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.