11 Ogos 26 Petang (Hari Ke-6)
π Masa membaca: 40 minit
π Bilangan kata: 8,285 kata
(Majlis Mesyuarat disambung pada pukul 2.30 petang)
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Persidangan Majlis Mesyuarat Negara kita sambung semula, yang mana kita masih membahaskan Usul Penangguhan, maka saya sekarang ingin menjemput bagi kita meneruskan perbahasan ini dengan menjemput Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin.
Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Mominβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca).
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah. Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua. kerana memberi peluang kaola untuk menyampaikan ucapan penangguhan pada hari ini. Segala puji dan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya jua kita telah dapat menyempurnakan Persidangan Majlis Mesyuarat dengan penuh tertib dan semangat musyawarah.
Kaola juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua, atas ketabahan, kebijaksanaan, kesabaran serta kepimpinan Yang Berhormat dalam memimpin persidangan ini serta kepada Yang Mulia Jurutulis dan seluruh warga Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat Negara atas segala persiapan dan sokongan yang diberikan untuk memastikan persidangan ini berjalan dengan lancar. Ucapan penghargaan juga kaola tujukan kepada Yang Berhormat Menteri-Menteri atas penjelasan dan pencerahan sepanjang persidangan ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola sangat menjunjung kasih atas kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas perlantikan Menteri-Menteri Penyelaras dan juga atas titah baginda yang menekankan kepentingan penyelarasan sebagai satu langkah strategik untuk memperkukuhkan tadbir urus dan mempercepat pelaksanaan agenda pembangunan negara.
Penyelarasan ini diharap dapat menjadikan budaya kerja sebagai satu pasukan yang kuat dan mantap. Bagi isu merentas kementerian, budaya passing responsibility perlu dielakkan manakala birokrasi yang diperlukan bagi memastikan akauntabiliti jangan sampai menjadi red tape yang melambatkan kemajuan kerana rakyat hanya mengharapkan penyelesaian yang cepat, jelas dan berkesan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola menghargai penjelasan dan komitmen yang telah diberikan oleh Menteri-Menteri Penyelaras sepanjang persidangan ini.
Dalam aspek pertumbuhan ekonomi, economic growth kaola menghargai penjelasan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri mengenai pelbagai industry roadmaps dan sectoral blueprint yang telah disediakan untuk dilaksanakan.
Kaola juga mengambil maklum akan kewujudan beberapa kumpulan penyelaras di bawah roadmap dan rangka kerja sedia ada serta menyokong dengan cadangan untuk memperkukuhkan dan memformalkan peranannya bagi menangani isu rentas sektor.
Kaola berharap penyelarasan ini dapat mengelakkan pertindihan tugas dan tanggungjawab antara pihak-pihak berkenaan supaya tindakan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan lancar dalam mencapai pertumbuhan ekonomi yang dihasratkan bersama.
Dalam hubungan ini, produktiviti ekonomi perlu terus diperkukuhkan dengan memastikan setiap perbelanjaan memberikan value for money dan pulangan pelaburan return on investment yang jelas serta manfaatnya dirasai oleh semua rakyat.
Kaola juga berharap kelebihan-kelebihan yang kita miliki seperti pensijilan halal serta hasil pendidikan dan inovasi institusi pengajian tinggi kitani dapat dimanfaatkan dan di leverage secara lebih strategik pada produk dan perkhidmatan bernilai tambah.
Dalam dunia yang semakin kompetitif, peluang tidak menunggu. Jika kita lambat bertindak tidak mustahil peluang tersebut akan direbut oleh pihak lain.
Bagi keterjaminan makanan, kaola turut menghargai penjelasan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, mengenai pendekatan bersepadu yang lebih proaktif melalui pemantauan harga dan bekalan. Kepelbagaian sumber import serta peningkatan kapasiti pengeluaran tempatan merangkumi keseluruhan rantaian nilai makanan.
Kaola juga mengambil maklum bahawa struktur penyelarasan keselamatan negara akan dinilai semula keberkesanannya selepas satu tahun pelaksanaan. Ini penting supaya kesiapsiagaan negara bukan hanya bersifat reaktif tapi sentiasa diperbaiki berdasarkan data risiko dan perubahan kadar semasa.
Melalui pendekatan-pendekatan ini, ia diharap akan menjadikan negara lebih tangkas, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola juga menghargai penjelasan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Urustadbir Perkhidmatan Awam mengenai Kerangka Kerja Wawasan 2035 yang telah dikemaskinikan.
Kaola menyambut baik kemajuan yang akan dinilai berasaskan data melalui indeks Wawasan Brunei setiap tahun sebagai satu langkah penting untuk memberi ukuran yang lebih jelas terhadap pencapaian negara.
Apa yang lebih penting selepas ini ialah memastikan kerangka tersebut benar-benar digunakan sebagaimana yang dihasratkan. Penilaian secara berkala, periodic review akan membolehkan kita mengukur sejauh mana hasil yang sudah tercapai.
Kaola berharap kita akan dapat melihat kemajuan dan hasilnya dalam masa terdekat sambil memberi ruang kepada semua pihak untuk bersama-sama menyumbang kepada Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Persidangan ini bukanlah penamat kepada perbincangan, tapi merupakan permulaan kepada tindakan dan pelaksanaan. Insya Allah dengan komitmen dan kerjasama semua pihak segala cabaran dapat kitani tangani untuk sama merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Sebelum kaola mengakhiri ucapan ini, kaola memohon ampun dan maaf sekiranya sepanjang persidangan ini terdapat sebarang sorok langkah, tutur kata, kenyataan atau pandangan yang kurang tepat, tersilap bicara atau menyinggung perasaan mana-mana pihak.
Segala pandangan dan cadangan yang kaola kemukakan adalah dengan niat yang baik dan demi kepentingan agama, raja dan negara.
Akhir sekali, kaola sukacita mengambil kesempatan berdoa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja sentiasa berada dalam rahmat dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala, dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan kebijaksanaan untuk terus memimpin negara yang kita kasihi ini.
Semoga Negara Brunei Darussalam terus kekal aman, makmur, diberkati serta urusan kita dipermudahkan, mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Saya persilakan Yang Berhormat Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir.
Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasirβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Bismillahir Rahmanir Rahim. (doa dibaca).
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Terlebih dahulu, kaola ingin merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah Rahmat dan izinNya jua, kita dapat bersama-sama meneruskan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara pada hari ini.
Kaola juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keprihatinan, kepimpinan dan pandangan jauh baginda dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara sentiasa menjadi keutamaan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Dalam menyampaikan penangguhan ini, kaola melihat bahawa setiap perbahasan, pandangan, teguran dan cadangan yang telah dikemukakan sepanjang persidangan bukanlah sekadar untuk dicatat dalam hansard, tetapi hendaklah menjadi sebahagian daripada usaha kita untuk memperbaiki apa yang masih perlu diperbaiki dan memperkukuhkan apa yang telah berjalan dengan baik.
Kaola ingin menyentuh sedikit mengenai dengan usaha memperkasa dan mempercepatkan lagi pencapaian Wawasan Brunei 2035 yang kini tempohnya semakin hampir dan berbaki tidak begitu lama lagi.
Pada hemat kaola, dalam keadaan kita sekarang, kita perlu melihat Wawasan 2035 bukan lagi sebagai satu aspirasi yang jauh dihadapan tetapi sebagai satu amanah yang memerlukan tindakan segera, tersusun dan berkesan.
Dalam hal ini, kaola melihat kewujudan Menteri-Menteri Penyelaras sebagai satu langkah strategik yang berpotensi memperkukuhkan penyelarasan, mengurangkan pertindihan usaha serta mempercepatkan pelaksanaan agenda-agenda utama negara.
Kaola percaya dengan adanya penyelarasan yang lebih jelas di peringkat kepimpinan, isu-isu yang merentas kementerian dapat ditangani dengan lebih pantas. Keputusan dapat diterjemahkan kepada tindakan dan pelaksanaan dapat dipantau dengan lebih berkesan.
Kita perlu berani menyelesaikan masalah yang telah lama berlarutan, berani memperbaiki perkara yang kurang berkesan dan berani mencuba pendekatan baharu apabila pendekatan lama tidak lagi memberikan hasil yang diharapkan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Dalam kesempatan ini, kaola juga ingin menyentuh sedikit mengenai perkembangan dan kemajuan di Daerah Temburong. Tidak dapat dinafikan bahawa Daerah Temburong telah mengalami arus pembangunan yang semakin ketara khususnya dari segi infrastruktur dan kemudahan awam. Perubahan ini merupakan satu perkembangan yang amat baik dan menunjukkan perhatian serta komitmen kerajaan dalam memastikan Daerah Temburong turut bergerak seiring dengan pembangunan negara.
Namun begitu, pembangunan tidak semestinya bergerak pada kadar yang sama. Ada masanya perubahan dapat dirasakan dengan begitu pantas dan ada juga ketika perkembangannya mengambil masa yang lebih panjang.
Dalam masa yang sama, kedudukan Daerah Temburong yang bersempadan dengan negara jiran yang juga sedang berkembang dan pesat memberikan satu perspektif yang berbeza terhadap arah dan kadar pembangunan di kawasan ini.
Keadaan ini pada pandangan kaola, bukanlah satu yang perlu dilihat sebagai persaingan semata-mata tetapi sebagai satu peringatan dan peluang untuk kita menilai semula bagaimana pembangunan Daerah Temburong dapat dirancang dengan lebih tersusun, menyeluruh dan berpandangan jauh.
Masih banyak ruang yang boleh kita perbaiki, khususnya dalam mengatur pembangunan supaya bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan fizikal tetapi turut merangkumi peluang ekonomi, pekerjaan, pelancongan, pendidikan, keusahawanan, kemudahan digital serta pembangunan masyarakat setempat.
Di sinilah pada pandangan kaola, pendekatan whole of nation amat diperlukan. Pembangunan Daerah Temburong seharusnya dilihat sebagai tanggungjawab satu kementerian atau satu agensi sahaja.
Kita memerlukan pemikiran dan penyelarasan daripada pelbagai pihak kerajaan, sektor swasta, komuniti tempatan, pelabur, anak-anak muda, institusi-institusi pendidikan serta masyarakat setempat.
Setiap pembangunan yang dilaksanakan hendaklah mempunyai kesinambungan, infrastruktur perlu disokong dengan aktiviti ekonomi, peluang pelancongan perlu disambungkan kepada perusahaan tempatan, potensi alam dan budaya perlu diterjemahkan kepada sumber pendapatan masyarakat dan anak-anak Daerah Temburong sendiri perlu diberi ruang untuk menjadi sebahagian daripada pembangunan tersebut, kerana pembangunan yang sebenar bukan sekadar mengubah rupa sesuatu tempat tetapi mengubah peluang dan masa depan masyarakat yang tinggal di dalamnya.
Oleh itu, kaola berharap agar pembangunan Daerah Temburong dapat terus diperkasakan melalui satu perancangan yang lebih menyeluruh, merentas kementerian dan melibatkan seluruh pemegang kepentingan.
Bukan kita mahu bergerak lebih pantas daripada orang lain semata-mata tetapi kita mahu memastikan bahawa setiap langkah yang kita ambil adalah langkah yang tepat, tersusun dan membawa manfaat yang berkekalan kepada rakyat Daerah Temburong dan Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Dalam era globalisasi internet, bukan lagi sekadar kemudahan komunikasi tapi telah menjadi infrastruktur asas yang menggerakkan aktiviti ekonomi, pendidikan, sosial, perniagaan dan perkhidmatan awam.
Justeru, usaha memperkukuhkan kualiti dan akses internet amat penting demi kesejahteraan rakyat serta daya saing negara.
Oleh itu, kaola berharap agar pihak yang berkenaan dapat terus meneliti struktur harga perkhidmatan internet di negara ini termasuk kemungkinan untuk menyediakan pakej yang lebih komprehensif, kompetitif, fleksibel dan mampu milik.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola menyambut baik segala pencapaian yang telah dicapai melalui Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 sebagaimana yang telah dinyatakan.
Namun pada hemat kaola, penyampaian tersebut janganlah hanya dilihat melalui angka statistik atau kedudukan dalam indeks tetapi yang lebih penting ialah sejauh mana pencapaian dalam kerangka kerja tersebut dapat diterjemahkan kepada manfaat yang nyata dan benar-benar dirasai oleh rakyat kerana kejayaan Wawasan Brunei 2035 bukan sekadar apa yang tercatat di dalam indeks dan kerangka kerja tetapi apa yang benar-benar dapat dilihat dirasai dan dinikmati oleh rakyat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Sebagai mengakhiri ucapan kaola, izinkan kaola menyampaikan dua buah pantun.
Ke Temburong membawa bekalan,
Singgah sebentar di Pekan Bangar,
Wawasan bukan sekadar perancangan,
Pelaksanaan menjadi penentu yang sebenar,
Mekar simpur di tepi laman,
Indah berkembang sepanjang masa,
Bersatu hati membangun watan,
Brunei maju rakyat sejahtera.
Akhir kata kaola merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kesempatan yang diberikan dan seterusnya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen dalam memastikan persidangan ini berjalan dengan lancar.
Semoga segala pandangan dan teguran yang telah disampaikan dalam persidangan ini dapat dijadikan input yang constructive demi memperkukuhkan lagi usaha pembangunan negara.
Marilah kita bersama-sama melangkah ke hadapan dengan hala tuju yang jelas, tindakan yang berani dan semangat yang satu demi Negara Brunei Darussalam yang lebih maju, makmur, berdaya tahan dan sejahtera.
Sekian, Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan.
Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihanβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca).
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat dan izinNya kita dapat berjaya menyempurnakan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara Pertama dan Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22, Majlis Mesyuarat Negara.
Pada kesempatan ini, kaola merafakkan sembah menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas titah baginda yang menekankan kepada semua pihak bahawa setiap dasar perancangan dan pelaksanaan hendaklah berpaksikan kepentingan rakyat, dipacu oleh tadbir urus yang berkesan, penyampaian perkhidmatan yang berkualiti serta pengurusan sumber negara yang berhemah dan menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara yang berterusan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negara dari kalangan penghulu dan ketua kampung, kaola melihat titah tersebut amat dekat dengan tanggungjawab kaola sebagai pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi.
Ketua kampung merupakan pihak yang paling hampir dengan rakyat, mendengar sendiri denyut nadi masyarakat dan memahami cabaran yang dihadapi dan menyaksikan secara langsung kesan dasar-dasar kerajaan terhadap kehidupan seharian penduduk.
Sepanjang kaola melaksanakan amanah sebagai ketua kampung, kaola mendapati bahawa rakyat amat menghargai pelbagai inisiatif yang telah disediakan oleh kerajaan.
Walau bagaimanapun, masyarakat turut mengharapkan agar penyampaian perkhidmatan kerajaan sentiasa dipertimbangkan agar lebih cepat, mudah diakses dan responsive terhadap keperluan semasa.
Justeru, kaola ingin mencadangkan agar pendekatan whole of government terus diperkasakan di peringkat mukim dan kampung.
Kerjasama yang lebih tersusun antara kementerian, jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta institusi penghulu mukim dan kampung akan membolehkan sesuatu isu diselesaikan dengan lebih bersepadu tanpa memerlukan penduduk berurusan dengan terlalu banyak agensi.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Dalam masa yang sama, peranan ketua kampung dan jua Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung wajar terus diperkasakan sebagai rakan strategik kerajaan selain menjalankan fungsi pentadbiran, institusi ini juga menjadi medium penyampaian maklumat, penyelarasan bantuan, penggerak program kemasyarakatan serta pemudah cara dalam menangani isu kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
Selain aspek kebajikan, kesejahteraan rakyat turut bergantung kepada peluang ekonomi yang mampan.
Oleh itu, kaola mencadangkan agar lebih banyak program pembangunan ekonomi, komuniti diperkenalkan dengan memberi tumpuan kepada perusahaan mikro, pertanian moden, industri makanan, ekonomi, digital dan pelancongan berasaskan komuniti.
Penyertaan belia dalam program-program tersebut perlu diberi galakan melalui latihan, bimbingan dan akses kepada pembiayaan yang bersesuaian. Dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks, kesejahteraan mental dan sosial masyarakat juga perlu diberi perhatian.
Program memperkukuh institusi keluarga, kejiranan, kesukarelawanan dan penglibatan belia hendaklah diperkasakan kerana masyarakat yang bersatu padu dan saling mengambil berat merupakan benteng terbaik dalam menangani pelbagai cabaran sosial.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Sesungguhnya kesejahteraan rakyat bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal semata-mata tapi juga melalui rasa selamat, peluang untuk meningkatkan taraf hidup, kemudahan mendapatkan perkhidmatan, kekuatan institusi keluarga serta hubungan erat antara kerajaan dengan rakyat.
Sehubungan itu, kaola berharap segala cadangan yang dikemukakan ini akan dapat dipertimbangkan sebagai usaha memperkukuhkan lagi pelaksanaan dasar-dasar kerajaan selaras dengan hasrat dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar negara terus menikmati pembangunan yang inklusif, berdaya tahan dan berorientasikan kesejahteraan rakyat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola ingin menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri-Menteri yang telah memberikan pencerahan serta menjawab kepada persoalan-persoalan yang telah kaola dan rakan-rakan Yang Berhormat Yang Dilantik kemukakan sepanjang persidangan ini.
Penjelasan yang diberikan amat membantu dalam memperkukuhkan kefahaman serta keyakinan kami terhadap dasar dan pelaksanaan yang sedang dan akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan.
Kaola juga tidak lupa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana telah memimpin persidangan dengan penuh kebijaksanaan, ketertiban dan berhemah sekali gus memastikan perjalanan persidangan berlangsung dengan lancar dan teratur.
Akhirnya, kaola sekali lagi merafakkan sembah menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kepimpinan baginda yang sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Kaola doakan semoga baginda serta kerabat sentiasa dikurniakan kesihatan, kesejahteraan serta sentiasa dalam lindungan Allah Subhanahu Wata'ala. Semoga negara kitani, Negara Brunei Darussalam akan terus dikurniakan keamanan, kemakmuran dan keberkatan di bawah naungan Allah Subhanahu Wata'ala.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Izinkan kaola mengakhiri Usul Penangguhan ini dengan dua rangkap pantun.
Pukat dipasang di hujung Muara,
Pukat rapat banyak olehnya,
Tamat sudah persidangan kita,
Semoga manfaat dirasai jelata,
Sampai sudah di penghujung bicara,
Mohon ampun segala kekhilafan,
Semoga ikhtiar kita bermanfaat kepada negara,
Brunei Darussalam terus maju dalam keberkatan.
Sekian, Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Terima kasih Yang Berhormat. Sekarang saya persilakan pula Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osmanβ
Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca).
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kesempatan yang diberikan bagi kaola ikut serta dalam penangguhan Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara.
Atas kebijaksanaan kepimpinan Yang Berhormat Yang Di-Pertua, mesyuarat ini telah berjalan dengan licin dan teratur di mana Usul-Usul yang dicadangkan telah dibahaskan dengan beretika, saling hormat-menghormati sebelum diundi dan diluluskan.
Kaola juga ingin melahirkan setinggi penghargaan atas sikap adil dan penuh keikhlasan Yang Berhormat Yang Di-Pertua dalam memberi teguran, nasihat dan pandangan sepanjang persidangan dijalankan.
Dalam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara, dua Usul utama telah pun dicadangkan untuk dibincangkan dalam mesyuarat ini.
Usul pertama ialah berkenaan Penyelarasan Ke Arah Perlaksanaan Wawasan Brunei 2035. Ini adalah berikutan pelantikan Menteri-Menteri PenyelarΠ°s di kalangan barisan Menteri-Menteri Kabinet yang baru.
Dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Persidangan Majlis Menteri-Menteri Kabinet Ke-92, baginda bertitah mahu bagi ketiga-tiga Menteri Penyelaras untuk membentangkan pelan yang telah dirangka terutamanya mengenai mekanisme, koordinasi serta kerangka kerja penyelarasan yang akan diguna pakai.
Ini adalah merupakan harapan tinggi baginda agar pelantikan ketiga-tiga Menteri Penyelaras dan penyusunan semula kabinet akan terus mengukuhkan pendekatan whole of government dalam usaha mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kita telah mendengar di Dewan yang mulia ini kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat ketiga-tiga Menteri Penyelaras berkenaan.
Dalam kenyataan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, tujuh bidang keselamatan yang telah dikenal pasti menjadi fokus utama bagi keselamatan negara iaitu jenayah dan ketenteraman awam, sekuriti dan integriti sempadan, keselamatan siber, keselamatan ekonomi, keterjaminan makanan, keselamatan dan keterjaminan tenaga dan keselamatan sosial.
Kaola menyokong pendekatan ini, tujuh bidang keselamatan ini berkait rapat dan merupakan precondition atau asas bagi negara melaksanakan perancangannya.
Kaola juga mengambil maklum perbincangan awal yang telah diadakan dengan Yang Berhormat Menteri-Menteri Penyelaras yang lain bagi menjalin kerjasama dalam pelaksanaan penyelarasan.
Dewan ini juga telah mendengar kenyataan dari Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri yang menyentuh mengenai keperluan mekanisme penyelarasan yang kukuh untuk membantu negara mencapai Wawasan Brunei 2035.
Menurut Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri untuk memastikan inisiatif dan usaha berjalan seperti yang dirancang. Beberapa kumpulan penyelaras di bawah roadmap dan rangka kerja yang sedia ada telah pun diwujudkan bagi menangani isu cross cutting.
Seterusnya, kaola merujuk kepada kenyataan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang menyokong sepenuhnya Usul penyelarasan ini. Yang Berhormat Menteri menggariskan lima hala tuju utama yang menjadi fokus:
Pertama, memperkukuh pembangunan tenaga manusia;
Kedua, memperkukuh jaringan keselamatan sosial;
Ketiga, hala tuju ialah membangun bakat masa depan dengan keupayaan berfikir, berinovasi dan mencipta nilai sebagai persediaan masa hadapan yang dipacu dengan teknologi, inovasi dan Kecerdasan Buatan;
Keempat, memperkukuhkan peranan komuniti dan pemimpin akar umbi; dan
Kelima, memperkukuh tadbir urus dasar.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kenyataan Yang Berhormat Menteri-Menteri Penyelaras adalah ibarat what-to-do list dan merupakan pengakuan serta kesediaan Yang Berhormat Menteri-Menteri Penyelaras memastikan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 bergerak seiring merentas kementerian agar tidak ada pertindihan dasar yang bertentangan atau tindakan yang tidak saling membantu.
Kenyataan-kenyataan Menteri-Menteri Penyelaras tersebut adalah selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Persidangan Majlis Menteri-Menteri Kabinet Ke-92 yang mahu melihat setiap KPI dan sasaran yang telah diperkenankan disusuli dengan tindakan yang jelas, terarah dan berfokus.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Wawasan Brunei 2035 telah pun dibincangkan dengan panjang lebar di beberapa permesyuaratan yang lalu dan kini hanya tinggal kurang daripada satu dekad untuk merealisasinya.
Adalah menjadi harapan kita semua bahawa apa yang telah kita bincangkan, komitmen dan perancangan yang telah dan yang akan dilaksanakan menjadi kenyataan terutama dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi menangani isu pengangguran dan usaha menarik pelabur asing.
Ini adalah berupa drivers kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035. Kejayaan kita dalam perkara-perkara ini setentunya akan membawa impak besar kepada pembangunan negara dan memberi keyakinan bahawa semua yang telah direncanakan dan akan dilaksanakan akhirnya berjaya dicapai terutama yang berkait dengan isu pengangguran dan peluang pekerjaan yang akan menjamin kesejahteraan rakyat. Di pihak orang ramai terdapat juga wishlist mereka.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Di kesempatan ini juga, saya, kaola ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet atas ketelusan dan keprihatinan menjawab soalan-soalan yang telah diajukan bagi sama-sama mencari penyelesaian dan cara baik menangani isu-isu yang menjadi kebimbangan semua pihak.
Sikap keterbukaan menerima pandangan dan cadangan dari Ahli-Ahli Yang Dilantik dan atas perkongsian perancangan kementerian masing-masing menuju Wawasan Brunei 2035 menunjukkan bahawa kita yang duduk bersama di dalam satu Dewan ini bersedia untuk bekerjasama demi keselamatan, kedaulatan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.
Alhamdulillah. Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin-Nya jua kita telah sampai ke penghujung mesyuarat dalam suasana tenang dan harmoni. Kaola gembira bahawa mesyuarat ini berakhir dengan nada tinggi dan positif, on a high and positive note dan menjanjikan kejayaan di setiap fasa.
Berhubung dengan Usul Kod Etika dan Tatakelakuan yang dicadangkan dan diluluskan oleh Dewan, kaola yakin ia akan menjadi satu Kod Etika yang menjadi garis panduan yang boleh diguna pakai oleh semua pihak.
Sekian sahaja yang ingin kaola sampaikan dalam Ucapan Penangguhan kaola.
Kaola mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kepimpinan Yang Berhormat Yang Di-Pertua di sepanjang persidangan ini. Kepada Yang Mulia Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah, Jurutulis dan Yang Mulia Pengiran Hajah Zaidah binti Pengiran Haji Petra, Pemangku Timbalan Jurutulis dan pegawai serta kakitangan Majlis Mesyuarat Negara yang lain atas kelicinan dan kelancaran prosiding persidangan mesyuarat ini.
Saya sudahi, kaola sudahi dengan merafak sembah taat setia yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan berdoa agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dan semua kerabat diraja sentiasa dikurniakan kesihatan dan dikurniakan taufik dan hidayah oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.
Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Terima kasih Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman. Sekarang Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat.
Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamatβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Terlebih dahulu saya berdiri dengan penuh rasa takzim untuk menyokong penuh Usul Penangguhan Mesyuarat Pertama dan Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara bagi Tahun 2026.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Persidangan tahun ini bukan sekadar rutin perundangan melainkan medan penentuan sebuah peralihan zaman. Kita kini berada di garisan masa yang amat dekat, hanya berbaki sembilan tahun sahaja lagi sebelum kita melangkah masuk ke ambang Wawasan Brunei 2035.
Sebagai wakil suara rakyat yang dilantik, saya menegaskan bahawa masa untuk bereretorik dan berpuas hati dengan pencapaian lampau telah tamat. Perubahan menuju wawasan menuntut kita melakukan reformasi, pemikiran dan tindakan yang agresif, radikal, dan berpaksikan hasil nyata.
Kita wajib membina sebuah ekosistem negara yang kalis masa hadapan menerusi pengukuhan tiga fasa utama, iaitu ketahanan ekonomi, mengukuhkan keselamatan, dan kemampanan kebajikan rakyat. Pertama, dari aspek ekonomi. Struktur ekonomi Negara Brunei Darussalam, tidak boleh lagi terperangkap dalam zon selesa kebergantungan hidrokarbon. Kita wajib memacu kepelbagaian ekonomi secara agresif dengan memanfaatkan revolusi digital, teknologi hijau dan rantaian nilai global.
Fokus kita mesti ditumpukan kepada usaha merancakkan Sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana,PMKS tempatan mempermudahkan kemasukan Pelaburan Langsung Asing,FDI yang berkualiti, serta memastikan pemindahan teknologi berlaku secara holistik demi membuka peluang pekerjaan yang bernilai tinggi untuk anak-anak tempatan;
Kedua, daripada aspek keselamatan. Keamanan adalah prasyarat mutlak bagi sebuah kemakmuran. Dalam era globalisasi yang serba mencabar ini, kita mesti memperkukuh sistem keselamatan negara, bukan sahaja daripada ancaman fizikal dan sempadan, malah daripada ancaman keselamatan siber yang semakin kompleks.
Isu keterjaminan makanan, food security serta ketahanan terhadap perubahan iklim, keselamatan setiap jiwa rakyat di negara ini adalah aset termahal yang wajib kita perkukuhkan tanpa sebarang kompromi; dan
Ketiga, daripada aspek kebajikan rakyat. Kemakmuran ekonomi dan kestabilan keselamatan tidak akan membawa makna, jika ada segelintir masyarakat yang hidup melarat dan tercicir. Sistem jaringan keselamatan sosial kita mestilah sentiasa dinamik, adil, dan inklusif.
Kita perlu beralih daripada model bantuan yang bersifat menyuap semata-mata kepada model pemerkasaan yang membina keupayaan, capacity building agar golongan yang memerlukan mampu berdikari.
Kebajikan warga emas, pemeliharaan hak golongan berkeperluan khas dan kelangsungan hidup keluarga yang berpendapatan rendah wajib dijamin demi mengekalkan keselarasan sosial yang menjadi teras identiti bangsa kita.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Dikesempatan yang penuh keberkatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara atas kebijaksanaan, kesabaran dan ketegasan dalam menerajui serta mengemudikan persidangan ini dengan begitu teratur, adil dan harmoni.
Ucapan tahniah dan penghargaan yang tidak terhingga juga ditujukan kepada Yang Mulia Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara serta seluruh Urusetia Majlis Mesyuarat Negara yang telah bekerja keras tanpa mengira penat lelah bagi memastikan kelancaran perjalanan permesyuaratan kita dari awal hingga ke penghujungnya.
Seterusnya, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah yang tulus ikhlas kepada barisan Ahli-Ahli Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet yang baharu dilantik. Sesungguhnya, jawatan yang disandang ini bukanlah sekadar satu penghormatan, melainkan satu amanah besar yang menuntut akauntabiliti, integriti dan pengorbanan yang tidak ada bandingnya.
Di saat negara sedang memacu langkah akhir menuju Wawasan Brunei 2035, rakyat menaruh harapan yang menggunung tinggi melihat satu perubahan besar yang dinamik di bawah kepimpinan Ahli-Ahli Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet sekalian.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Sebagai mengakhiri Ucapan Penangguhan ini, saya ingin merafakkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Dikesempatan yang penuh berkat ini, marilah kita bersama-sama memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Almarhum Pengiran Pemanca Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta kerabat diraja sekalian sentiasa dilanjutkan usia, sihat walafiat, kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan penuh kedaulatan, hidayah dan keadilan.
Marilah kita juga berdoa semoga kepimpinan barisan Ahli-Ahli Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet yang baharu ini berserta komitmen pada seluruh Ahli Yang Berhormat di dalam Dewan yang mulia ini akan sentiasa diberkati oleh Allah Subhanahu Wata'ala, semoga segala usaha bersepadu kita ini, akan membuatkan hasil yang nyata demi kemajuan, keselamatan dan kelangsungan Negara Brunei Darussalam yang kita cintai.
Dengan ini, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, saya menyokong Usul Penangguhan ini. Wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Sekarang saya jemput Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam).
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam)β
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dirahmati Allah yang saya hormati sekalian.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memberikan ruang kepada saya untuk turut serta membahaskan Usul Penangguhan ini.
Terima kasih juga kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, atas segala saranan-saranan yang konstruktif dan sudah setentunya memberi nilai tambah kepada perbahasan dan penambahbaikan kepada dasar dan inisiatif kerajaan dan juga terhadap sikap kesabaran dan kefahaman yang bijaksana, yang telah dipamirkan dalam perbahasan kitani di sepanjang minggu ini.
Sepanjang perbahasan ini, berbagai perkara berkaitan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat telah diketengahkan termasuk peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi dan perusahaan dan keterjaminan bekalan makanan, kemudahan dan perkhidmatan asas, transformasi digital serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Walaupun, setiap perkara mempunyai cabaran dan bidang tanggungjawab yang berbeza. Pada hemat saya, yang penting ialah keupayaan untuk menyelaras dan melaksanakan dasar serta perancangan dengan berkesan agar hasilnya benar-benar dapat dinikmati dan dirasai oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk di negara ini.
Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam terus mencatatkan pelbagai kemajuan. Rakyat dan penduduk terus menikmati keamanan dan kestabilan, akses yang baik kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan, kemudahan asas dan infrastruktur serta perkhidmatan kerajaan yang sentiasa ditambah baik.
Kemajuan ini dibina secara berterusan di bawah naungan dan kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Namun begitu persekitaran global dan domestik terus mengalami transformasi, teknologi berkembang pesat dan jangkaan atau ekspektasi masyarakat semakin meningkat.
Realiti ini sebenarnya menuntut satu pendekatan yang lebih holistik dan responsif dalam penyelarasan, pelaksanaan dan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Wawasan Brunei 2035 menetapkan hala tuju pembangunan negara. Manakala kerangka kerjanya memperkukuh pensejajaran antara matlamat wawasan, keutamaan negara, hasil-hasil pencapaian kebangsaan dan Petunjuk Prestasi Utama Kebangsaan atau National KPI's yang berkaitan. Pelaksanaannya pula disokong oleh Manpower Blueprint, Social Blueprint dan Economic Blueprint.
Meskipun fokusnya yang berbeza, ketiga-tiga blueprint ani saling berkait melalui elemen bersama atau common elements seperti keupayaan institusi, tadbir urus yang berkesan, penyelarasan antara agensi, penggunaan sumber secara berkesan serta pelaksanaan dasar, dasar dan program yang berorientasikan hasil atau outcome-oriented programmes. Ini bermakna pencapaian wawasan bukan sahaja bergantung kepada perancangan yang baik tapi juga kepada keupayaan jentera kerajaan untuk menghubungkan dasar kepada tindakan dan tindakan kepada hasil yang kitani semua hasratkan.
Dalam konteks ini, perkhidmatan awam berperanan memperkukuh tadbir urus dan penyelarasan bagi memastikan dasar dan perkhidmatan dilaksanakan dengan berkesan tanpa menjejaskan tanggungjawab kementerian dan agensi dalam bidang masing-masing.
Penyelarasan dalam konteks ini bukanlah matlamat akhir tetapi wasilah untuk menghasilkan tindakan yang lebih tersusun, pelaksanaan yang lebih terarah dan penyelesaian yang lebih berkesan khususnya bagi isu-isu yang merentas tanggungjawab beberapa kementerian dan agensi.
Tanpa penyelarasan yang berkesan, usaha boleh bertindih atau lebih membimbangkan, meninggalkan ruang kelemahan atau vulnerability yang tidak disedari, yang tidak ditangani oleh mana-mana pihak. Oleh itu, tindakan setiap agensi perlulah saling melengkapi dan bergerak ke arah hasil yang sama.
Bagi masyarakat pula, keberkesanan kerajaan sering kali dirasai melalui pengalaman harian mereka, ketika berurusan untuk sesuatu perkhidmatan, membuat permohonan, mencari maklumat, menggunakan kemudahan awam atau mencari jalan penyelesaian bagi sesuatu masalah. Di sinilah pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan sebenarnya diuji dan dirasai oleh rakyat.
Sehubungan itu, pihak kerajaan akan terus memperkukuh mekanisme pembangunan dasar dengan mengambil kira inputs dan pandangan rakyat agar setiap dasar yang digubal akan benar-benar menepati keperluan rakyat dan memberikan impak yang bermakna pada kehidupan mereka.
Justeru setiap penambahbaikan yang dilaksanakan mestilah membawa kepada pengalaman pengguna yang baik, merangkumi urusan yang lebih ringkas, proses yang lebih cekap, maklumat yang jelas, tindak balas yang responsif serta penyelesaian yang berkesan bagi setiap masalah yang dihadapi.
Demikianlah antara yang dapat kita rumuskan daripada perbahasan ini. Antaranya adalah penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 tidak boleh berhenti pada peringkat dasar dan perancangan tetapi perlu diterjemahkan kepada perlaksanaan, penyampaian dan akhirnya mencapai hasil yang dihasratkan.
Dalam pada itu, kaola, saya ingin mengambil kesempatan untuk menekankan pendirian serius pihak kerajaan untuk melaksanakan Wawasan 2035 dengan sebaik-baiknya dan berkesan agar semua hasilnya nanti akan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.
Ini bukan sekadar retorik. Kaola, saya percaya setiap Ahli-Ahli Kabinet yang masuk melangkah ke dalam Dewan yang mulia ini, tidak berhasrat untuk membawa sebarang retorik. Tidak ada sebab bagi mana-mana pihak meragui atau menanamkan walau setitik pun keraguan terhadap usaha dan niat ikhlas atau level of seriousness pihak kerajaan dalam mencapai objektif ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Wawasan Brunei 2035 ini akan membawa makna yang paling besar apabila rakyat dan penduduk dapat melihat dan merasakan kemajuan tersebut melalui peluang yang terbuka, perkhidmatan yang diterima, kesejahteraan yang dinikmati serta keyakinan, tahap keyakinan bersama terhadap masa depan negara yang kitani cintai ini.
Insya Allah, di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran dan kestabilan negara serta komitmen seluruh jentera kerajaan dan kerjasama semua lapisan masyarakat, usaha pembangunan negara akan terus membawa kemajuan yang bermakna dan kesejahteraan yang berpanjangan kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.
Sebelum mengakhiri, marilah kitani semua sama-sama mendoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta seluruh kerabat diraja akan dikurniakan umur yang panjang, nikmat kesihatan, kesejahteraan dan kebahagiaan dan sentiasa dalam rahmat dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala jua, Amin Ya Rabbal Alamin.
Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kepimpinan yang mantap, kewibawaan, kebijaksanaan serta kesabaran dalam meneraju dan membimbing semua Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini di sepanjang permesyuaratan ini.
Penghargaan dan ucapan terima kasih juga ditujukan juga kepada Yang Mulia Jurutulis dan Yang Mulia Pemangku Timbalan Jurutulis serta seluruh pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat yang telah mengatur serta memastikan perjalanan Majlis Mesyuarat ini berlangsung dengan teratur dengan jayanya.
Sekianlah saja yang saya sampaikan. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Terima kasih Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam).
Sekarang saya persilakan Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin.
Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddinβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana. Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Marilah kitani sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas keamanan yang sudah kitani nikmati selama ini.
Setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dengan berkat kepimpinan baginda yang bijaksana, berwibawa dan berwawasan yang jauh, kita telah dan akan terus menerus menikmati kehidupan yang sejahtera dalam suasana yang aman damai, penuh harmoni dan selamat, syukur Alhamdulillah.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana. Dengan adanya Persidangan Majlis Mesyuarat Negara yang diadakan sebanyak dua kali setahun mulai tahun 2025 serta dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai rombakan Menteri-Menteri Kabinet dengan pelantikan Paduka-Paduka Anakanda baginda serta tiga orang Menteri Penyelaras dan juga jemaah-jemaah menteri jelas menunjukkan betapa pentingnya strategi dan dasar-dasar penyelarasan dalam memastikan tindakan-tindakan yang dirancang dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.
Segala usaha ke arah mencapai matlamat dan hasrat Wawasan Brunei 2035 bukanlah bertanggungjawab satu pihak sahaja tetapi hendaklah digalas dan dipikul bersama oleh semua pihak yang berkepentingan termasuk pihak kerajaan, sektor swasta, pemimpin akar umbi serta masyarakat.
Persidangan pada sesi kedua ini hampir tiba di penghujungnya, fokus perbahasan di Dewan yang mulia ini berkisar mengenai Usul Menyokong Penyelarasan ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 dan Kod Etika. Manakala Mac lalu berkaitan dengan Perancangan dan blueprint negara ke arah Wawasan Brunei 2035.
Seperti juga pada sesi-sesi Majlis Mesyuarat Negara pada tahun-tahun sebelumnya termasuk 2023, 2024, 2025 dan 2026 kaola sentiasa memberikan fokus kepada perbahasan dan cadangan mengenai strategi serta dasar bagi mempelbagaikan ekonomi negara khususnya daripada perspektif pengusaha dan sektor swasta.
Pada masa yang sama, kaola turut mengongsikan isu-isu yang dihadapi oleh para pengusaha serta isu-isu semasa yang perlu sama-sama difikirkan, lutani dan tangani dengan tindakan yang bersesuaian, cekap, berkesan dan berimpak. Ini termasuk usaha memperbaiki dan mengemaskinikan proses-proses yang sedia ada dalam sistem kerajaan supaya lebih mudah, pantas dan mesra kepada rakyat serta sektor perniagaan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana, dalam sesi penggulungan kaola pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan ke-21 Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2025, kaola ada membahaskan mengenai pentingnya perancangan-perancangan terkandung dalam blueprint-blueprint yang mencapai hasrat Wawasan 2035 untuk dilaksanakan dengan cepat, teratur dan berkesan.
Kaola juga telah menyatakan bahawa antara kunci utama ke arah mencapai hasrat Wawasan Brunei 2035 ialah jangka masa tindakan dan tatacara pelaksanaannya. Untuk itu kerangka strategi dan perubahan dasar memerlukan pendekatan whole of nation di mana perlaksanaan strategi dan perubahan dasar tidak hanya diungkayahkan oleh pihak kerajaan semata-mata tetapi hendaklah turut mengambil kira suara, pandangan, isu keperluan daripada akar umbi, rakyat dan sektor swasta. Sektor swasta merupakan sebahagian daripada enjin pertumbuhan ekonomi negara di samping sektor-sektor awam. Oleh itu, suara dan pengalaman mereka perlu diberikan jurang dalam pembentukkan dasar dan strategi negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana. Dalam penggulungan kaola pada hari ini, izinkan kaola sekali lagi menekankan bahawa apa jua yang dirancang dan dilaksanakan hendaklah sentiasa melalui pendekatan kerohanian mengamalkan nilai-nilai Melayu Islam Beraja dan berpaksikan dasar Negara Zikir.
Kaola ingin mengingati diri kaola sendiri dan menyeru marilah kitani sama-sama beringat dan sentiasa menanamkan dalam fikiran bahawa segala usaha yang kitani laksanakan hendaklah disertai dengan keimanan, kesyukuran dan keyakinan bahawa rezeki itu datang daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Dengan pendekatan kerohanian yang berterusan, penuh keimanan serta sentiasa bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala atas segala nikmat keamanan, kestabilan dan kesejahteraan yang dinikmati oleh negara disertai pula dengan usaha yang gigih, jujur dan bersungguh-sungguh untuk mempertingkatkan tahap serta kemampuan ekonomi negara, insya Allah, kaola percaya dan penuh yakin bahawa isu-isu sosial, sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat akan dapat ditangani dan diselesaikan dengan jayanya.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana, izinkan juga kaola menyampaikan pesanan hormat kepada para pegawai kanan yang telah dilantik baru-baru ini. Pelantikan tersebut adalah satu amanah dan tugas-tugas yang akan dilaksanakan nanti pastinya penuh dengan cabaran.
Oleh itu usahalah dengan gigih, amanah dan berintegriti tinggi. Iringilah usaha-usaha tersebut dengan doa kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dan sentiasalah memohon petunjuk serta kejayaan daripada-Nya.
Carilah mekanisme penyelarasan dengan secepat mungkin bagi memastikan keberkesanan perlaksanaan mengikut garis masa yang ditetapkan menuju ke tahun 2035 dan seterusnya. Apa jua perancangan, penggubalan strategi dan dasar yang berkaitan hendaklah mengambil kira pemikiran pro-bisnis disamping melibatkan sektor swasta dan rakyat secara bermakna.
Kaola percaya bahawa dengan pemikiran sedemikian disertai pendekatan kerohanian dan sentiasa bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala, apa jua dasar yang digubal akan dapat menjurus kepada strategi yang bukan sahaja berkesan untuk pertumbuhan ekonomi negara tetapi juga memberikan impak yang tinggi terhadap kesejahteraan rakyat serta keharmonian negara yang berkekalan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana. Sebelum kaola merungkai penggulungan kaola ini, Kaola ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kewibawaan, kebijaksanaan, mesra tapi tegas dan kesabaran dalam menerajui mesyuarat-mesyuarat yang telah dijalankan sepanjang sesi Persidangan Majlis Mesyuarat Negara musim pertama dan musim kedua pada tahun ini.
Penghargaan dan terima kasih jua kaola ucapkan kepada Yang Mulia Datin Dr. Jurutulis serta warga Jabatan Majlis Mesyuarat Negara yang telah bekerja keras di belakang tabir, kru-kru Radio Televisyen Brunei dan pihak media serta para pegawai dan petugas lain yang telah memberikan khidmat dan komitmen sepanjang kedua-dua sesi Persidangan Majlis Mesyuarat Negara ini.
Tidak dilupakan juga penghargaan dan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat khususnya dalam kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat Menteri Kabinet yang telah mendengar dan memberikan respons terhadap soalan-soalan, cadangan-cadangan dan usulan-usulan daripada kaola serta rakan-rakan Ahli Yang Berhormat yang lain, semoga segala yang telah diajukan, dibahaskan dan dijawab dalam Dewan yang mulia ini akan memberikan manfaat kepada negara dan rakyat serta mendapat rahmat dan ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Sebelum mengakhiri ucapan ini marilah kita sama-sama menadah tangan dengan penuh tawaduk, memanjatkan doa kepada Allah Subhanahu Wata'ala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemanca Pengiran Anak Haji Mohamed Alam dan ahli-ahli kerabat diraja sentiasa dilimpahkan rahmat dan inayah, dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, kesejahteraan, kebahagiaan serta usia yang penuh keberkatan. Amin Amin Ya Rabbal Alamin.
Akhir kata, marilah kita terus memperkukuhkan semangat permuafakatan saling menghormati dan bekerjasama dengan menjadikan Majlis Mesyuarat Negara sebagai wadah untuk menyampaikan suara rakyat secara bertanggungjawab, berhemah dan berintegriti.
Minta maaf Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana mengambil masa sedikit. Semoga kitani semua terus diberikan petunjuk, kekuatan dan keikhlasan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dalam melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Sekian terima kasih. Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Alhamdulillah kita telah selesai mendengar ucapan-ucapan yang telah pun diberikan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam membincangkan, membahaskan mengenai dengan Usul Penangguhan yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II. Saya kira adalah sesuai sekarang bagi Usul ini kita undi.
Ahli-Ahli Yang Berhormat yang bersetuju untuk meluluskan Usul ini, sila angkat tangan.
(Ahli-Ahli Yang Berhormat yang bersetuju mengangkat tangan)
Terima kasih. Kalau tidak bersetuju saya kira semuanya, kita akan tinggal di sini lagi (semua orang dalam Dewan ketawa). Nampaknya, semua Ahli bersetuju. Maka, Usul ini kita luluskan.
(Tukul diketuk)
Yang Mulia Jurutulisβ
Usul Bilangan 7/2026. Usul bagi Penangguhan adalah diluluskan. Ucapan daripada Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya telah pun mendengar ucapan-ucapan penangguhan dan juga ucapan-ucapan lain daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sekarang saya memohon izin untuk membuat ucapan saya pula.
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Alhamdulillah, segala urusan mesyuarat telah pun selesai. Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan di atas ucapan-ucapan penangguhan yang telah disampaikan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Alhamdulillah. Pertama sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kurnia titah baginda semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini, yang mana titah baginda itu amat bijaksana dan penuh dengan pandangan yang jauh serta panduan yang jelas, yang telah memberikan panduan arah dan dorongan kepada kita semua dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab sepanjang musim permesyuaratan tahun ini.
Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat di atas penyertaan, komitmen, sokongan dan kerjasama yang telah diberikan sepanjang musim permesyuaratan tahun ini.
Ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga saya tujukan khusus kepada pegawai-pegawai saya terutamanya Yang Mulia Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Pemangku Timbalan dan Penolong Jurutulis, Bentara Dewan serta semua pegawai dan kakitangan yang telah terlibat termasuk mereka yang ditugaskan daripada kementerian, jabatan dan agensi-agensi yang berkenaan atas usaha gigih dan komitmen tinggi yang dicurahkan dalam menyediakan pelbagai keperluan yang membolehkan kita menyelesaikan semua urusan mesyuarat dengan lancar dan teratur.
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Alhamdulillah, Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara telah selesai kita laksanakan dengan selamat dan sempurna selama enam hari dan berjaya menyelesaikan empat perbahasan Usul, 220 pertanyaan kepada menteri-menteri dan tiga Kenyataan Menteri.
Sepanjang Musim Permesyuaratan Ke-22 pada tahun ini pula, Majlis telah meneliti dan meluluskan urusan utama termasuk belanjawan, rang undang-undang serta meneliti isu-isu semasa berkaitan pembangunan, sosioekonomi, pendidikan dan kesihatan dan lain-lain yang telah dibangkitkan dalam pertanyaan. Turut dibincangkan ialah Usul-Usul yang berkaitan dengan langkah mempercepatkan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 serta perbincangan mengenai penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan bagi Ahli-Ahli Majlis. Setiap perbahasan telah memperkayakan persidangan dan menyumbang ke arah pemikiran yang lebih matang serta menyeluruh bagi negara.
Saya ingin menzahirkan rasa sukacita atas pencapaian penyertaan rasmi Majlis Mesyuarat Negara sebagai Ahli kepada Inter-Parliamentary Union berikutan resolusi Majlis ini dan sejak itu Majlis telah mengambil bahagian dalam dua Perhimpunan Agung IPU, satu langkah yang memperkukuhkan diplomasi parlimen negara dan membuka ruang pembelajaran daripada amalan terbaik antarabangsa.
Perancangan juga sedang dilaksanakan bagi penyertaan Majlis sebagai pemerhati pada ketika ini kepada Commonwealth Parliamentary Association, CPA. Sesungguhnya kehadiran dalam peringkat antarabangsa ini merupakan satu peringatan akan kepentingan Majlis untuk sentiasa peka dan responsif kepada perkembangan antarabangsa yang akan membantu dalam memastikan perkara-perkara yang dibincangkan di dalam Dewan kekal relevan dan berdaya tahan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Secara amnya, saya amat menghargai perbincangan sepanjang tahun ini dan berharap agar segala pandangan yang telah dikemukakan dalam Dewan ini akan terus menjadi dorongan bagi memperkukuhkan penyelarasan dan kerjasama agar usaha kita bergerak seiring dalam satu arah yang sama.
Saya juga ingin membuat satu pemerhatian utama mengenai perbahasan dan budaya musyawarah dalam Majlis ini. Musyawarah bukan sekadar satu proses berbincang tetapi satu nilai murni dan teras budaya Majlis yang mengajar kita untuk saling mendengar dengan hati yang terbuka, mempertimbangkan pandangan yang berbeza dengan penuh hemah dan mencari pertemuan demi kepentingan rakyat dan negara. Ia adalah warisan budaya dan nilai Islam yang telah lama menjadi asas cara kita mentadbir dan membuat keputusan sebagaimana yang dianjurkan dalam ajaran syura iaitu keputusan yang dicapai melalui muafakat agar lebih diberkati dan lebih kukuh diterima oleh semua pihak.
Dalam menghadapi cabaran dan perubahan yang semakin kompleks, semangat musyawarah inilah yang akan dan perlu terus menjadi pemangkin kepada keputusan yang saksama, matang dan membawa maslahat kepada seluruh rakyat.
Saya menyeru Yang Berhormat sekalian untuk terus menghidupkan semangat ini dalam setiap perbincangan, supaya Majlis ini terus dikenali sebagai sebuah institusi yang bijaksana dalam bermuafakat. Ini kerana kematangan sesebuah Dewan bukanlah diukur daripada keseragaman pandangan tetapi daripada kesediaan untuk mendengar, mempertimbangkan hujah dan apabila perlu, memperbaiki sesuatu cadangan demi mencapai hasil yang lebih baik.
Sudah setentunya perbezaan pandangan dalam kalangan Ahli adalah lumrah dan sihat bagi mana-mana institusi perundangan yang berfungsi dengan baik. Yang penting ialah bagaimana perbezaan itu diterima dan dibincangkan dengan minda terbuka, hujah yang berasaskan fakta, serta nada yang hormat-menghormati, bukan dengan sikap emosional. Ini akan menunjukkan bahawa Majlis dapat menguruskan perbezaan tersebut demi mencapai keputusan terbaik untuk rakyat.
Saya berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat akan terus memupuk budaya perbahasan yang terbuka, konstruktif dan saling hormat-menghormati dalam Dewan ini. Inilah sebenarnya antara tanda kematangan sesebuah institusi, berbeza pandangan, tetapi tetap bersedia mencari titik temu demi kepentingan bersama.
Ke arah itu juga, saya berpendapat sudah tiba masanya Majlis ini meneliti aspek pembaharuan menyeluruh bagi memastikan kesinambungan dan kecekapan institusi tersendiri termasuk memodenkan prosedur dan sistem sokongan, serta mekanisme pemindahan pengetahuan antara Ahli sedia ada dan Ahli-Ahli yang baharu.
Akhir sekali, marilah kita memperbaharui ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dengan penuh kesetiaan, keikhlasan dan rasa tanggungjawab, serta menjunjung tinggi kedaulatan, kewibawaan dan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Kita juga memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja akan senantiasa dikurniakan keafiatan yang berpanjangan dan berada di bawah perlindungan dan rahmat Allah Subhannahu Wa Ta'ala jua, dan semoga negara kita Negara Brunei Darussalam serta seluruh rakyatnya akan senantiasa berada di bawah perlindungan-Nya dengan dikurniakan nikmat keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran yang berterusan. Amin, Amin Ya Rabbal Alamin.
Dengan ucapan ini, maka mengikut Peruntukan 35 dari Peraturan-Peraturan Mesyuarat bagi Majlis Mesyuarat Negara, maka Majlis Mesyuarat Negara ini kita tangguhkan ke satu masa yang belum ditetapkan tarikhnya.
Insya Allah, tertakluk di atas kurnia Allah Subhanahu Wata'ala, dipanjangkan umur, insya Allah kita akan bertemu lagi.
Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.