HARI KE-3
📖 Masa membaca: 70 minit
📊 Bilangan kata: 14,286 kata
(Mesyuarat mula bersidang pada pukul 9.00 pagi)
Yang Mulia Jurutulis​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22, Majlis Mesyuarat Negara bersidang pada hari ketiga pada hari ini, Khamis, 22 Safar 1448 bersamaan 6 Ogos 2026 dan didahului dengan Doa Selamat.
DOA SELAMAT​
(Doa selamat dibacakan oleh Yang Mulia Begawan Mudim Haji Ahmad Kasra bin Haji Ibrahim)
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah, rahmat dan izin-Nya jua, maka kita dapat hadir pada pagi ini bagi hari ketiga di Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan ke-22, Majlis Mesyuarat Negara.
Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, kaum kerabat, para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, kita akan memulakan hari ini dengan urusan mesyuarat seterusnya.
Yang Mulia Jurutulis​
Waktu Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya sekarang membuka waktu pertanyaan dan di hadapan kita sekarang terdapat senarai pertanyaan yang telah dikemukakan terlebih awal.
Saya mulakan dengan soalan pertama daripada Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin, yang mana soalan ini ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II. Silakan Yang Berhormat Menteri.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Terima kasih jua diucapkan kepada Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin, di atas soalan yang diajukan iaitu PL205, mengenai Komiti Kebangsaan dan izinkan jua kaola Yang Berhormat Yang Di-Pertua untuk mengambil kesempatan ini, untuk menjawab soalan terdahulu iaitu PL166 yang diajukan oleh Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin, walaupun telah dijawab di ruang yang lain, tapi mengenai scenario planning yang proaktif dalam menghadapi kejutan di peringkat global memandangkan perkara-perkara yang dibangkitkan adalah berhubung kait.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Dalam menangani kebimbangan yang disuarakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat, pendekatan pentadbiran diperkukuh dengan memberikan penekanan kepada langkah-langkah yang lebih proaktif.
Komiti Kebangsaan Menangani Kesan Konflik Timur Tengah pada awalnya dan kini dinamakan Komiti Kebangsaan Menangani Kesan Konflik Timur Tengah dan Perkembangan Semasa, KK-MKKTTPS ditubuhkan sebagai landasan penyelaras strategik seluruh kerajaan yakni whole government ke arah tindakan proaktif yang dimaksudkan bagi memperkukuh kesiapan negara, kesiapsiagaan negara menghadapi ketidaktentuan global termasuk konflik geopolitik, pandemik, perubahan iklim dan gangguan rantaian bekalan.
Ianya ditubuhkan diawalnya dipengerusikan seperti diumumkan pada umum dipengerusikan bersama oleh Menteri-Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan II dan kini, hasil rombakan Kabinet pada bulan Julai lalu, dipengerusikan bersama oleh kaola, saya bersama dengan Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri untuk menyelaras penilaian risiko dan impak terhadap rakyat terutamanya bagi:
Pertama, menilai risiko terhadap bekalan tenaga, makanan, ubat-ubatan, bahan pembinaan dan keperluan asas yang lain termasuk impak ekonomi dan sosial kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana;
Kedua, merangka langkah mitigasi kos sara hidup termasuk intervensi jangka serta merta, pendek, sederhana dan panjang; dan
Ketiga, memastikan kemampanan fiskal melalui pendekatan bersepadu.
Strategi bagi mencapai objektif yang telah dikongsikan adalah antaranya:
Pertama, pengurusan tahap stok simpanan strategik negara bagi makanan, bahan api, ubat-ubatan;
Kedua, kepelbagaian sumber dan rantaian bekalan, pengurusan permintaan dan pelan kontigensi; dan
Ketiga, kerjasama serantau dan antarabangsa untuk mengurangkan kos import dan risiko gangguan bekalan.
Pendekatan ini membolehkan kerajaan melindungi golongan rakyat yang mudah terjejas tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara.
Komiti ini juga menyediakan national risk monitoring dashboard bagi memantau harga minyak, tahap stok dan status rantaian bekalan serta mengeluarkan siaran akhbar dan melaksanakan pemberigaan awam bagi memastikan rakyat sentiasa peka tentang langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan.
Usaha-usaha dimantapkan lagi dengan perancangan senario, penilaian risiko secara berkala, pemantauan petunjuk amaran awal serta penambahbaikan dasar berdasarkan data dan prestasi.
Ini adalah penting dalam menetapkan petunjuk pencetus atau trigger points yang membolehkan kerajaan bertindak dengan lebih pantas dan tepat sebelum sesuatu gangguan berkembang menjadi krisis yang lebih besar.
Antara risiko yang dikenal pasti adalah dari perspektif keterjaminan dan keselamatan tenaga dan bagi negara. Sektor tenaga menyumbang kepada kos sara hidup rakyat secara langsung melalui harga bahan api dan tarif elektrik dan secara tidak langsung melalui kos pengangkutan dan pengeluaran.
Oleh yang demikian, langkah kerajaan bagi sektor tenaga bagi memastikan kemampuan milik yakni affordability dan kemampanan fiskal ditumpukan kepada tiga teras iaitu:
Pertama, memastikan harga tenaga domestik kekal stabil dan mampu milik. Kerajaan terus mengekalkan harga domestik bagi bahan api iaitu produk petroleum dan LPG serta tarif elektrik pada kadar stabil walaupun harga minyak mentah dan gas asli di pasaran global terus bergolak.
Dengan ini, rakyat dan penduduk terus menikmati harga bekalan tenaga yang berpatutan dan terlindung daripada ketidaktentuan harga pasaran minyak dan gas asli;
Teras kedua, memastikan penggunaan tenaga dilaksanakan secara berhemah. Selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Ke-80 baginda agar penggunaan sumber tenaga dilaksanakan secara berhemah oleh semua pihak.
Kerajaan akan meneruskan usaha bagi memastikan tenaga digunakan secara lebih bijak dan bertanggungjawab agar sokongan subsidi terus memberi manfaat sebenar kepada rakyat dan penduduk tanpa mendorong pembaziran.
Seperti yang saya sudah kongsikan semasa sesi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-22 Majlis Mesyuarat Negara pada awal tahun ini, struktur tarif elektrik negara sedang diperkemas daripada bersifat regresif kepada progresif.
Ini bermaksud pengguna terus menikmati kadar berpatutan mengikut corak penggunaan sebenar mereka, sekali gus mendorong penggunaan tenaga yang lebih cekap.
Pendekatan ini telah dilaksanakan bagi sektor perumahan pada tahun 2012 dan akan diperluas kepada sektor komersial dengan pelaksanaan tarif baharu pada tahun 2028.
Usaha ini turut disokong melalui pelbagai inisiatif, kecekapan dan penyemakan tenaga yakni energy efficiency and conservation bagi rakyat dan industri termasuk program kesedaran audit tenaga dan pelabelan, peralatan cekap tenaga; dan
Bagi teras ketiga pula, iaitu dalam mengukuhkan kemampuan sistem tenaga dan kewangan negara bagi jangka masa panjang, kerajaan terus memantau perkembangan harga tenaga global secara berterusan bagi perancangan fiskal yang lebih berhemat sambil mempelbagaikan sumber tenaga negara termasuk tenaga solar bagi mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil. Langkah ini turut memperkukuh keterjaminan tenaga negara menerusi sistem bekalan yang lebih pelbagai dan berdaya tahan.
Insya Allah, menerusi pendekatan seimbang antara melindungi kesejahteraan rakyat, memastikan penggunaan tenaga yang berhemah serta pengurusan kewangan negara yang berhemat, sektor tenaga negara akan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan kestabilan kos sara hidup rakyat sekali gus menyokong pembangunan Negara Brunei Darussalam yang mampan, berdaya tahan dan berdaya saing.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kerajaan menyedari bahawa ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa boleh meningkatkan kos makanan melalui kenaikan harga bahan api, pengangkutan, baja, benih dan makanan ternakan.
Seiring dengan usaha memastikan keselamatan dan keterjaminan tenaga terus terpelihara, pihak kerajaan turut memberikan perhatian yang sama penting terhadap keterjaminan bekalan makanan sebagai satu lagi tonggak utama kesejahteraan rakyat dan daya tahan negara.
Melalui pendekatan bersepadu secara whole of government, usaha ini dilaksanakan menerusi pemantauan harga dan bekalan secara berterusan, penyampaian maklumat harga yang telus melalui platform pengguna bijak serta pengawalan harga bagi barangan keperluan terpilih.
Kerjasama erat antara agensi kerajaan dan pihak industri turut diperkukuh bagi mengenal pasti tekanan pasaran, merangka intervensi yang bersesuaian serta menggalakkan kepelbagaian sumber import supaya bekalan barangan keperluan kekal mudah diperolehi pada harga yang stabil dan munasabah khususnya bagi golongan yang mudah terjejas.
Dalam memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negara usaha kerajaan meliputi keseluruhan rantaian nilai makanan daripada penyediaan keperluan pengeluaran dan aktiviti pertanian, perikanan serta penternakan kepada pemprosesan, pengedaran, pemasaran dan eksport.
Ini termasuk pemantauan berkala terhadap:
Pertama, tahap ketersediaan bekalan serta kos pengeluaran;
Kedua, peningkatan kapasiti pengeluaran tempatan;
Ketiga, pengekalan stok strategik baja dan makanan ternakan;
Keempat, pengukuhan bekalan benih ikan dan udang; dan
Kelima, menggalakkan pengeluaran makanan ikan tempatan yang mengurangkan pendedahan kepada peningkatan kos import dan logistik.
Pada masa yang sama, seperti telah dijelaskan oleh rakan sejawat Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri sebelum ini, pengembangan pasaran eksport terus didokong bagi meningkatkan skala daya maju dan kemampanan industri tanpa menjejaskan keutamaan untuk memastikan keperluan makanan dalam negara sentiasa mencukupi dan terjamin.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Insya Allah, pihak kerajaan melalui komiti kebangsaan yang saya kongsikan tadi akan terus mengambil pendekatan yang proaktif, bersepadu dan bersasar bagi melindungi kesejahteraan rakyat serta memastikan negara sentiasa bersedia menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks dan tidak menentu. Segala usaha ini akan terus diperkukuh demi menjamin daya tahan, kestabilan dan keselamatan negara.
Sekian saja yang dapat disampaikan Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan yang kedua daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin yang mana soalan ini ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri. Silakan Yang Berhormat.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan terima kasih jua di atas soalan yang diajukan oleh Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Ani soalan berkenaan dengan anu menilai perundangan sedia ada bagi mengenal pasti pengawalan dan penerimaan manfaat sebenar perniagaan terutama milik warga asing supaya sebarang jurang pemilikan dapat dikesan lebih awal.
Alhamdulillah, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri memberikan perhatian serius terhadap aspek tadbir urus perniagaan, ketelusan, pemilikan serta pematuhan kepada peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan bagi mengenal pasti pengawalan dan penerimaan manfaat sebenar perniagaan terutama milik warga asing supaya sebarang jurang pemilikan dapat dikesan lebih awal melalui perkongsian maklumat dan penguatkuasaan rentas agensi.
Mulai 25 April 2025, kementerian ini melalui Bahagian Pendaftaran Syarikat-Syarikat dan Nama-Nama Perniagaan, ROCBN telah memandatorikan pemfailan pemilik berfaedah iaitu beneficial owner syarikat kepada pendaftar syarikat.
Ini adalah selaras dengan Financial Action Taskforce Recommendation 24 yang menggariskan langkah-langkah pencegahan pembersihan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan serta penyebaran senjata pemusnah besar-besaran.
Tujuan utama langkah ini adalah bagi mendapatkan maklumat mengenai pemilik berfaedah, beneficial owner syarikat iaitu pemilik saham utama, ultimate owner di dalam syarikat tempatan ataupun syarikat asing.
Berdasarkan maklumat terkini iaitu 25 Julai 2026, kadar pemfailan pemilik berfaedah adalah sebanyak 13.5 peratus iaitu melibatkan 1,301 buah syarikat daripada keseluruhan 9,633 buah syarikat yang berdaftar di bahagian ROCBN.
Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 5.3 peratus berbanding kadar pemfailan semasa bulan April 2026 iaitu sebanyak 8.2 peratus. Bahagian ROCBN juga berperanan sebagai source of truth bagi maklumat-maklumat berkaitan dengan syarikat yang berdaftar di Brunei Darussalam.
Bahagian ROCBN secara berterusan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam perkongsian maklumat syarikat dan nama-nama perniagaan bagi memudah cara proses tawaran dan pengeluaran lesen perniagaan, pelaksanaan tindakan penguatkuasaan dan sebagainya.
Bagi memastikan ketepatan, keselarasan dan kualiti maklumat pemilik perniagaan, ROCBN sentiasa bekerjasama secara terus dan rapat bersama agensi-agensi yang berkaitan seperti Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan, Jabatan Perangkaan, Tabung Amanah Pekerja, Bahagian Hasil di Kementerian Kewangan serta agensi-agensi keselamatan dan sebagainya.
Kerjasama erat ini juga bertujuan memastikan maklumat berkaitan pemilik perniagaan, pengarah syarikat dan juga pemegang saham sentiasa tepat, terkini dan selaras merentas agensi.
Di samping itu jua, pihak ROCBN sedang masa ini meneliti perundangan yang sedia ada bagi memastikan bahawa ianya masih relevan dan juga cukup untuk mengawal apa yang diperlukan. Kerjasama erat antara agensi ini insya Allah akan memastikan maklumat berkaitan pemilik perniagaan, pengarah syarikat dan pemegang saham sentiasa tepat, terkini dan selaras merentas agensi.
Sekian terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan yang ketiga dari Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof yang juga ditujukan kepada Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Dan terima kasih jua atas soalan yang diajukan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof berkenaan dengan tahap pelaksanaan dari aspek pensejajaran, penyelarasan dan kesepakatan lebih bertransformasi merentasi agensi-agensi berkepentingan, benar-benar merealisasikan dasar kerajaan yang lebih berkesan, efektif.
Berdasarkan perangkaan daripada Bahagian Pendaftaran Syarikat-Syarikat dan Nama-Nama Perniagaan, ROCBN, permohonan-permohonan syarikat yang telah diluluskan menunjukkan peningkatan sebanyak 125 peratus iaitu sebanyak 354 buah syarikat telah didaftarkan pada tahun 2025 berbanding dengan 157 buah syarikat didaftarkan pada tahun 2024.
Bagi tempoh enam bulan dalam tahun 2026, sebanyak 200 syarikat telah pun didaftarkan. Manakala, permohonan pendaftaran nama perniagaan, pemilik tunggal dan perkongsian juga telah pun menunjukkan peningkatan sebanyak 3.9 peratus iaitu sebanyak 3,148 buah perniagaan didaftarkan pada tahun 2025 berbanding dengan 3,029 perniagaan didaftarkan pada tahun 2024.
Bagi tempoh enam bulan, tahun 2026, sebanyak 1,403 buah nama perniagaan telah pun didaftarkan.
Secara keseluruhan, permohonan pendaftaran nama perniagaan dan juga penubuhan syarikat yang diluluskan dalam tempoh Tekad Pemedulian Orang Ramai ialah sehari pada 2025 adalah di dalam kadar 85 peratus. Peningkatan jumlah syarikat dan nama perniagaan yang didaftarkan dan kadar permohonan yang diluluskan dalam tempoh TPOR menunjukkan hasil yang positif daripada usaha-usaha pensejajaran, penyelarasan dan kesepakatan yang dilaksanakan oleh kementerian.
Ini diharapkan akan dapat lagi mengukuhkan tahap keyakinan di kalangan komuniti-komuniti perniagaan serta mendorong kepada perkembangan ekonomi negara.
Sehubungan dengan itu, dari aspek pemudah cara pelaburan, penilaian projek, pengurusan tapak perindustrian serta penglibatan bersama komuniti perniagaan, pihak Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei telah melaksanakan beberapa usaha penyelarasan rentas agensi merangkumi peranan sebagai agensi barisan hadapan dan pusat rujuk bagi memudah cara projek pelaburan langsung asing bermula dari peringkat perancangan, permohonan permit dan kelulusan pembangunan dari pembinaan sehingga projek memasuki fasa operasi dan perkembangan perniagaan.
Yang kedua ialah memperluaskan kerjasama dengan pihak kedutaan dan konsulat Brunei Darussalam di luar negeri serta menjalin kolaborasi bersama dewan dan persatuan perniagaan tempatan dan pihak-pihak berkepentingan yang lain.
Ketiga ialah menganjurkan sesi dialog bersama seperti BEDB Engagement Series dan MSME Round Table Series sebagai platform yang menyediakan dialog melibatkan komuniti perniagaan dan agensi kerajaan. Terutama dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh komuniti perniagaan.
Pada masa yang sama, Meja Bantuan Perniagaan, BEDB Business Helpdesk memberikan ruang kepada orang ramai dan PMKS tempatan untuk menyalurkan permasalahan berkaitan ekosistem perniagaan yang diperlukan penyelesaian.
Secara keseluruhannya, kecekapan proses pendaftaran dan inisiatif pemudahcaraan pelaburan yang dilaksanakan ini bukan saja memperkasakan ekosistem perniagaan domestik malah membuka peluang yang lebih luas bagi pembangunan PMKS tempatan dan penyediaan pekerjaan untuk anak-anak tempatan.
Kementerian ini akan terus mengukuhkan penyelarasan rentas agensi dan menambah baik kualiti penyampaian perkhidmatan demi menyokong perkembangan perusahaan tempatan serta menarik pelabur yang berkualiti.
Dengan pelantikan Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi ini, ianya akan mengkukuhkan lagi pensejajaran, penyelarasan dan kesepakatan bagi Ease of Doing Business dalam menarik lebih ramai lagi FDI serta peniaga-peniaga untuk mengembangmajukan aktiviti perniagaan negara.
Sekian terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam yang mana ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan II, silakan Yang Berhormat Dato.
Yang Berhormat Menteri Kewangan II​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih jua atas soalan Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam mengenai dengan hasil perlaksanaan Fiscal Consolidation Program.
Oleh itu, izinkan saya kongsikan seperti berikut. Di bawah Fiscal Consolidation Program Fasa Pertama yang telah berjalan selama 5 tahun mulai Tahun Kewangan 2020/2021 dan berakhir pada Tahun Kewangan 2024/2025, sejumlah 86 inisiatif dilaksanakan dan 22 daripadanya dilaporkan selesai dan selebihnya telah dibawa ke Fiscal Consolidation Program Fasa Kedua bermula Tahun Kewangan 2025/2026.
Seterusnya antara impak positif daripada 22 inisiatif yang telah selesai terhadap fiskal kerajaan adalah seperti berikut. Sembilan inisiatif telah menyumbang kepada penjimatan kerajaan yang dianggarkan berjumlah BND34.7 juta secara keseluruhan.
Antaranya adalah inisiatif Kementerian Pertahanan bagi peralihan daripada catuan makanan kepada perkhidmatan katering yang dapat menghasilkan penjimatan perbelanjaan yang dianggarkan berjumlah BND11.6 juta. Dengan peralihan tersebut, manfaat paling ketara adalah pengurangan pembaziran makanan dan penyediaan bekalan makanan yang lebih tepat mengikut keperluan sebenar berbanding catuan makanan konvensional.
Dan IT Central Procurement yang dilaksanakan oleh Pusat Kebangsaan E-Kerajaan, EGNC di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bertujuan meningkatkan keberkesanan pengurusan serta percepatkan proses perolehan peralatan IT kerajaan.
Melalui penyelarasan tatacara ini, kos perisian Microsoft dapat dikawal pada harga tepat bagi tempoh tiga tahun dan secara keseluruhannya telah menyumbangkan penjimatan kepada kerajaan berjumlah BND16 juta.
Lima inisiatif akan menyumbang peningkatan hasil. Antaranya inisiatif Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan seperti penyewaan ruang tempat di Bangunan Kompleks Bahagian Khidmat Bakti Negara, Daerah Temburong dan penyewaan ruang gim di Kompleks Sukan Mumong, Kuala Belait yang dianggarkan sejumlah BND50,000 setahun dan Projek Nomborku iaitu sebuah platform dalam talian yang membolehkan orang ramai untuk mengikuti Tawaran Tertutup atau Click and Bid dan Tawaran Terbuka atau Click and Buy bagi tanda pengenalan kenderaan yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Darat di MTIC dan diperkenalkan sebagai usaha penambahbaikan jabatan dalam memudah cara serta memberikan perkhidmatan yang telus kepada orang ramai, dijangka akan menjana hasil pendapatan BND1 juta setahun.
Terdapat jua beberapa inisiatif menunjukkan kejayaan dalam mengurangkan tempoh masa dalam memberikan perkhidmatan kepada orang awam.
Antaranya inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan seperti outsourcing Perkhidmatan Perubatan Buah Pinggang khususnya rawatan dialisis, melalui kolaborasi dengan Jerudong Park Medical Centre yang bertujuan memperbaiki tempoh masa menunggu bagi pesakit-pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis dan Outsourcing of Procurement: Warehousing and Logistics of Medicines and Medical Consumables yang bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan dalam jangka masa panjang ke atas pembelian ubat-ubatan dan barang guna habis perubatan melalui harga yang kompetitif.
Pelaksanaan proses perolehan yang berkesan dan amalan terbaik dalam pengurusan inventori dan Jabatan Pengangkutan Darat juga telah memperkenalkan satu inisiatif perkhidmatan atas talian bagi pembaharuan Lesen Memandu dan Lesen Kenderaan melalui aplikasi TransportBN dan portal GOV.BN.
Menerusi perkhidmatan ini, orang ramai kini berpeluang membuat pembaharuan lesen serta menjelaskan bayaran secara atas talian tanpa perlu hadir dan beratur di kaunter jabatan. Kutipan hasil daripada bayaran tersebut turut disalurkan secara atas talian.
Langkah ini merupakan usaha pembaikan jabatan dalam memudah cara penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai, sekaligus memperkukuh pencapaian TPOR.
Di samping itu, lapan inisiatif dikenal pasti pasti berpotensi menyokong atau mewujudkan peluang pekerjaan seperti inisiatif yang dilaksanakan Jabatan Belia dan Sukan di KKBS iaitu inisiatif pembukaan Ruang Inkubator Keusahawanan di Pusat Pembangunan Belia serta di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Ruang ini menyediakan platform kepada para usahawan belia dan komuniti untuk mengembangkan perniagaan, di samping membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan yang bergiat aktif dalam bidang keusahawanan.
Sehingga kini, seramai lima Pengusaha Mikro, Kecil dan Sederhana yang melibatkan 14 orang anak tempatan telah menjalankan pelbagai jenis perniagaan, antaranya perkhidmatan gunting rambut lelaki, tekstil, baik pulih kenderaan serta tanaman fertigasi dan sebagainya.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Susulan perkongsian dalam pembentangan Belanjawan 2026/2027, Fiscal Consolidation Program Fasa Kedua kini telah bermula pada Tahun Kewangan 2025/2026 hingga Tahun Kewangan 2029/2030 dengan 58 inisiatif telah dirancang untuk dilaksanakan di bawah program Fiscal Consolidation Program ini oleh kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan.
Antara perkembangan terkini yang telah selesai dilaksanakan pada tahun pertama Fiscal Consolidation Program Fasa Kedua ini termasuklah pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan Pos kepada PosBru Sendirian Berhad pada 1 Januari 2026 lalu.
Ini merupakan satu langkah ke arah memperkukuh tadbir urus dan kecekapan perkhidmatan. Melalui model ini, perkhidmatan pos dapat diurus secara lebih fleksibel, telus dan berdaya saing, dengan ruang untuk mempelbagaikan perkhidmatan dan sumber hasil.
Pada masa yang sama, kerajaan tetap mengekalkan peranan kawal selia bagi memastikan kepentingan rakyat terus diberi keutamaan, khususnya dalam pemberian khidmat asas di seluruh negara.
Daripada inisiatif pengkorporatan ini, sebanyak 50 pegawai dan kakitangan kerajaan telah diserapkan kepada PosBru Sendirian Berhad, menghasilkan penjimatan kerajaan yang keseluruhannya berjumlah BND1.1 juta setahun dan pengenalan Skim Tabungan Anak Damit yang menggantikan pemberian lampin pakai buang dan pam susu kepada anak-anak damit yang lahir bermula 1 Mac 2026.
Skim ini adalah merupakan bantuan sosial bagi kanak-kanak yang baru dilahirkan dengan status kerakyatan tertentu dan turut bertujuan memupuk budaya menabung.
Semenjak diperkenalkan, setakat 30 Jun 2026, sebanyak 742 akaun baharu anak damit telah dibukakan dengan jumlah perbelanjaan sebanyak BND178,000.
Dalam masa yang sama, skim ini telah membantu kerajaan dalam streamlining atau pemberian bantuan sosial kepada yang berkelayakan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan hasil daripada Fiscal Consolidation Program turut disalurkan kembali kepada kesejahteraan rakyat.
Kementerian Kewangan bersama kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan dan agensi-agensi berkepentingan akan terus memastikan pelaksanaan Fiscal Consolidation Programme Fasa Kedua akan memberi tumpuan kepada impak yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 ke arah sebuah negara yang maju dan makmur.
Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya dari Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim yang juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan II.
Yang Berhormat Menteri Kewangan II​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih jua atas soalan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim mengenai dengan pelaksanaan projek dengan menggunakan kaedah Kerjasama Awam Swasta ataupun lebih dikenali sebagai Public Private Partnership, PPP.
Kementerian Kewangan melalui Jawatankuasa Khas Pengkorporatan dan Kerjasama Awam Swasta ataupun JKPKAS berperanan utama sebagai pemudah cara dalam meneliti cadangan projek yang berpotensi dilaksanakan melalui pendekatan PPP.
Dalam masa yang sama, pihak Kementerian Kewangan telah menyediakan Garis Panduan PPP Kebangsaan bagi Negara Brunei Darussalam sebagai rujukan kepada agensi-agensi kerajaan dalam mengenal pasti, menilai dan menyediakan projek PPP.
Pelaksanaan projek-projek menggunakan kaedah PPP merupakan salah satu pendekatan strategik yang mampu memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam dan menyediakan infrastruktur kerajaan.
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek dan penyampaian perkhidmatan, malah menggalakkan pelaburan, memperkukuh penyertaan sektor swasta serta menyokong kemampanan fiskal dan pembangunan ekonomi negara secara menyeluruh.
Setakat Julai 2026, beberapa projek telah mendapat kebenaran daripada JKPKAS. Antara lain, projek utama PPP ataupun PPP Flagship Project bagi Negara Brunei Darussalam adalah Projek 30MW AC Solar Photovoltaic Power Plant yang mana adalah sedang dalam fasa pembinaan dan dijangka mula beroperasi pada penghujung tahun 2026.
Projek ini menjadi penanda aras kepada kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta dalam memperkukuhkan keselamatan tenaga negara, menyokong agenda peralihan tenaga ataupun energy transition dengan menyumbang kepada peningkatan penggunaan tenaga boleh diperbaharui ataupun renewable energy serta ke arah pelepasan karbon yang lebih rendah selaras dengan sasaran Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Alhamdulillah, projek ini telah mewujudkan 22 peluang pekerjaan bagi anak tempatan semasa fasa pembinaan dan dijangka mewujudkan lapan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan bagi operasi dan penyelenggaraan.
Jumlah peluang pekerjaan bagi operasi dan penyelenggaraan tersebut adalah berdasarkan konsep minimal labour requirement bagi projek tersebut. Pelaksanaannya juga menyokong pembangunan modal insan melalui technology transfer, latihan teknikal dan peningkatan kemahiran dalam bidang teknologi tenaga suria serta menyediakan program latihan industri kepada pelajar-pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi awam tempatan.
Selain itu, sebanyak BND5 juta atau kira-kira 30 peratus daripada nilai keseluruhan projek telah dianugerahkan kepada subkontraktor tempatan sekali gus merangsang pertumbuhan aktiviti ekonomi domestik.
Apabila projek ini beroperasi sepenuhnya, ia dijangka membekalkan tenaga elektrik kepada kira-kira 2,000 buah rumah kediaman di samping mengurangkan penggunaan gas asli bagi penjanaan elektrik serta mengelakkan pelepasan carbon dioxide bersamaan sekitar 26,000 tan metrik setiap tahun.
Seterusnya, dalam usaha meningkatkan kemudahan dan infrastruktur pelancongan bukan sahaja disediakan oleh pihak kerajaan malahan sektor swasta.
Kerajaan turut berjaya melaksanakan projek PPP bagi pembangunan restoran di Taman Rekreasi Bukit Patoi, di Daerah Temburong yang telah mula beroperasi pada Mei 2025 dan sebuah resort oleh Borneo Eco Resort Sdn Bhd di Hutan Simpan Berakas, Daerah Brunei dan Muara.
Pendekatan seperti ini membolehkan aset awam dimanfaatkan dengan lebih produktif di samping menyokong pembangunan pelancongan tempatan.
Dari aspek pekerjaan, projek ini boleh membuka kerja untuk penduduk setempat melalui operasi restoran, khidmat sokongan, bekalan bahan mentah, pembersihan, keselamatan dan penyelenggaraan.
Walaupun skala projek ini lebih kecil berbanding projek tenaga atau infrastruktur besar, ia tetap penting kerana ia mencipta pekerjaan berasaskan komuniti.
Dari sudut local business development, restoran di kawasan rekreasi biasanya memberi kesan limpahan kepada peniaga kecil sekitar seperti pembekal makanan, minuman, hasil tani, kraftangan, dan perkhidmatan pelancongan.
Ini juga boleh menggalakkan lebih banyak PMKS tempatan terlibat dalam rantaian bekalan sekali gus memperkukuh ekonomi setempat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Di samping yang dinyatakan tadi, sukacita saya ingin mengongsikan secara ringkas mengenai pencapaian melalui Muara Port Company Sdn Bhd. Sebagai salah satu pendekatan melalui institutional PPP bagi pihak kerajaan, pendekatan kerjasama awam swasta bersama syarikat pelaburan asing telah membuahkan pelbagai hasil negara, antaranya seperti berikut, MPC telah berjaya dalam meningkatkan kecekapan operasi pelaburan. Dalam masa yang sama, MPC juga telah meningkatkan destinasi perkapalan yang mana telah meningkatkan maritime connectivity Negara Brunei Darussalam.
Selain daripada itu, Kementerian Kewangan jua sedang menerokai beberapa projek-projek kerajaan yang telah dikenal pasti berpotensi untuk dilaksanakan secara PPP yang mana akan dikongsikan di dalam Dewan yang mulia ini apabila ada perkembangan dan kemajuan mengenainya.
Sekian sahaja yang dapat kaola kongsikan. Terima Kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed kepada Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan terima kasih juga atas soalan yang diajukan oleh Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, berkenaan dengan pendekatan kementerian dalam membangun ekonomi waktu malam sebagai salah satu sumber pertumbuhan baru kepada pengusaha tempatan.
Dalam konteks pelancongan, pembangunan ekonomi waktu malam adalah salah satu pendekatan untuk memanjangkan tempoh penginapan dan perbelanjaan pelancong.
Di samping meningkatkan pengalaman pelawat melalui aktiviti bersesuaian dengan aktiviti utama pelancongan Brunei, pelaksanaannya mengambil kira aspek keselamatan, kebersihan dan kesejahteraan komuniti. Antaranya adalah:
Pertama, memperkukuhkan tarikan sedia ada seperti Gadong Night Market. Di samping menggalakkan peniaga untuk menggunakan pilihan pembayaran digital bagi memudahkan transaksi pengunjung terutamanya pelancong dari luar negeri;
Kedua, menyokong pengusaha melalui penyediaan tapak operasi yang bersesuaian di samping membolehkan pembangunan pengalaman pelancongan yang bernilai tambah. Contohnya, Sunset Cruise Dinner ditawarkan oleh pengendali Brunei River Cruise di Jalan Kampung Dato Gandi, Mukim Kota Batu.
Jabatan Kemajuan Pelancongan turut menyokong pembangunan produk ini melalui perancangan pembangunan kemudahan jeti di Sungai Brunei yang akan membolehkan persinggahan di beberapa kampung serta mewujudkan manfaat limpah ekonomi, economic spin off kepada komuniti dan perusahaan tempatan di sekitar kawasan tersebut;
Ketiga, membangunkan pengalaman ekopelancongan pada waktu malam seperti aktiviti pencerapan bintang, stargazing di Taman Rekreasi Hutan Luagan Lalak, Jalan Labi, Kuala Belait yang terkenal dengan tahap pencemaran cahaya yang rendah. Seterusnya berpotensi menjadi lokasi bagi pengalaman pencerapan bintang berasaskan alam semula jadi. Selain Luagan Lalak, aktiviti stargazing juga telah diadakan di beberapa lokasi seperti Kampung Merangking, Kampung Batang Duri dan Kampung Bukit Udal;
Kementerian ini melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan bekerjasama dengan Persatuan Astronomi Brunei Darussalam bagi memperkukuhkan pembangunan ini agar ia bukan sahaja menjadi tarikan pelancong yang unik malah berkembang sebagai produk pelancongan yang mampan dan memberi manfaat kepada komuniti setempat;
Keempat, terdapat juga pelayaran sungai, river cruise pada waktu malam untuk pengalaman menyaksikan kelip-kelip, firefly experience di kawasan Sungai Damuan dan juga sungai-sungai lain termasuk memperhatikan hidupan nocturnal menyusur hutan paya bakau pada waktu-waktu malam. Usaha memperkukuhkan penawaran produk turut melibatkan pembangunan pakej pengalaman yang bernilai tambah bagi meningkatkan daya tarikan dan penerimaan pelawat seperti penggunaan bot pontoon untuk pengalaman yang lebih selesa dan exclusive;
Kelima, meningkatkan promosi tawaran produk denai malam, nocturnal trail yang baharu diperkenalkan oleh komuniti Rumah Panjang Mendaram, Mukim Labi, Daerah Belait dan Alai Gayoh Anak Pulau di Kampung Bukit Udal, Daerah Tutong.
Produk ini memberi peluang kepada pengunjung termasuk penyelidik dan pelajar untuk menerokai biodiversiti hutan pada waktu malam sambil mempelajari kepentingan pemuliharaan ekosistem. Inisiatif ini dibangunkan hasil daripada latihan program Enhancing Value Through Nature Tourism: Designing Sustainable Tourism Products yang dilaksanakan pada bulan Julai 2025 oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah yang bertujuan memperkasakan pengalaman pelancongan berasaskan alam semula jadi yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan pelancongan.
Jabatan Kemajuan Pelancongan turut menyediakan program pembangunan kapasiti kepada penyedia perkhidmatan pelancongan dan komuniti termasuk latihan bagi meningkatkan kualiti pengalaman pelancong, pembangunan produk serta bengkel penyediaan bahan promosi seperti poster tawaran pakej bagi membantu memperkukuhkan dan meningkatkan keterlihatan produk yang ditawarkan dengan lebih berkesan.
Selain itu, produk-produk ini terus dipromosikan melalui platform Explore Brunei dan Nakhoda bagi memudahkan pelancong tempatan dan antarabangsa mendapat maklumat serta membuat tempahan. Insya Allah, kementerian akan terus bekerjasama dengan komuniti dan penyedia perkhidmatan pelancongan bagi meluaskan penawaran aktiviti ekonomi waktu malam yang berkualiti, mesra keluarga, mampan dan mampu menjana peluang pendapatan kepada pengusaha tempatan tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat dan nilai-nilai yang kita amalkan di Negara Brunei Darussalam.
Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Terima kasih tapi intro sahaja barangkali adakah term yang lebih baik daripada yang digunakan, ekonomi waktu malam barangkali galak sedikit bunyinya (ketawa).
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri​
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Ani pun abiskaola baru pernah mendengar jua pada waktu malam ani (ketawa) tapi nevertheless we understand apa dimaksudkannya atu so atulah jawabannya tadi.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
(Ketawa) Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed dapat memikirkan term yang lebih baik daripada ekonomi waktu malam.
Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed​
Insya Allah, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Kita beralih kepada soalan selanjutnya daripada Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin yang mana soalan ini ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan terima kasih juga atas soalan yang diajukan oleh Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin berkenaan dengan ukuran atau petunjuk kepada impak inisiatif promosi pelancongan yang dijangka dilaksanakan.
Kementerian mengukur keberkesanan inisiatif promosi pelancongan bukan sahaja berdasarkan kepada jumlah pelawat yang datang tapi melalui beberapa Petunjuk Prestasi Utama, KPI yang menggambarkan impak sebenar kepada ekonomi negara dan pengusaha perusahaan tempatan:
Pertama, meningkatkan ketibaan pelancong antarabangsa. Data ini dipantau secara bulanan bagi ketibaan melalui udara, darat dan laut. Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, Negara Brunei Darussalam merekodkan hampir 400,000 ketibaan pelawat, iaitu peningkatan 7.8 peratus berbanding dengan 370,000 dalam tempoh yang sama pada tahun 2025. Peningkatan paling ketara dicatatkan bagi ketibaan melalui laut iaitu sebanyak 70 peratus, ia menunjukkan potensi yang semakin berkembang bagi segmen pelancongan kapal persiaran;
Kedua, peningkatan perbelanjaan pelancong, tourism receipts. Matlamat utama kementerian adalah meningkatkan nilai ekonomi yang dijana oleh setiap pelawat. Bagi enam bulan pertama tahun 2026, jumlah perbelanjaan pelancong dianggarkan mencecah kepada sekitar BND150 juta berbanding dengan BND140 juta bagi tempoh yang sama pada tahun 2025. Ini menunjukkan bahawa peningkatan pelancongan memberi sumbangan terus kepada ekonomi negara;
Ketiga, prestasi sektor pelancongan dan industri berkaitan. Kementerian turut memantau prestasi subsektor seperti hotel, restoran dan ejen pelancongan. Walaupun purata penginapan hotel menurun daripada sekitar 3 hari kepada 2 hari, jualan hotel meningkat sebanyak 17 peratus daripada kira-kira BND17 juta kepada BND20 juta. Ini menunjukkan bahawa aktiviti pelancongan terus menjana nilai ekonomi kepada industri. Selain itu, prestasi sektor seperti restoran, hotel dan ejen pelancongan turut dipantau sebagai petunjuk limpahan ekonomi kepada perusahaan tempatan, dan
Keempat, keberkesanan pelaburan promosi atau Return of Investment. Kementerian sentiasa menilai keberkesanan bagi setiap pelaburan promosi berdasarkan data daripada rakan pemasaran dan platform pelancongan digital.
Sebagai contoh, kempen bersama Agoda, Ctrip and Expedia dan Tripadvisor, kempen-kempen ini telah berjaya menjana lebih 52 juta paparan, impression dan meningkatkan visibility negara ke pasaran antarabangsa dengan menghasilkan lebih 1,800 tempahan malam, penginapan room nights serta hampir 600 tempahan merangkumi 63 peratus tempahan hotel, 31 peratus tempahan penerbangan dan 6 peratus pakej pelancongan. Data ini membolehkan kementerian menilai pulangan pelaburan secara lebih berkesan dan mengenal pasti pasaran yang wajar diberikan keutamaan bagi memastikan setiap perbelanjaan promosi memberi impak yang optimum.
Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan berikutnya daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan II.
Yang Berhormat Menteri Kewangan II​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas pertanyaan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin. Seperti mana saya telah bentangkan semasa Kenyataan Belanjawan pada 1 Mac 2025 dan seterusnya semasa Perbahasan Peringkat Dasar pada 4 Mac 2025 semasa sesi Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-21 Majlis Mesyuarat Negara di Dewan yang mulia ini serta sesi-sesi muzakarah yang terdahulu bersama Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Syarikat Darussalam Asset Sdn. Bhd. dan bahagian pelaburan melalui Dana Modal Pembangunan Strategik ataupun SDC terus memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan modal insan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan khususnya bagi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan ataupun GLC.
Syarikat-syarikat GLC di Negara Brunei Darussalam adalah ditubuhkan di bawah Akta Syarikat-Syarikat (Penggal 39) yang mana ianya tidak dikecualikan daripada keperluan untuk mematuhi peraturan-peraturan digariskan di bawah akta tersebut dalam memastikan adanya tadbir urus yang kukuh dan telus. Ini khususnya jua dari segi penyediaan penyata dan perakaunan kewangan, pemfailan berkanun, pengauditan syarikat dan jua tadbir urus lembaga pengarah.
Prestasi syarikat-syarikat GLC sememangnya tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan keuntungan kewangan malah turut mengambil kira sumbangannya kepada pembangunan ekonomi, penciptaan peluang pekerjaan, pembangunan bakat tempatan serta peningkatan produktiviti negara. Pendekatan ini juga adalah selaras dengan amalan antarabangsa di mana prestasi syarikat GLC dan syarikat pelaburan kerajaan diukur berdasarkan impak ekonomi dan sosial yang lebih menyeluruh.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Kewangan melalui Darussalam Asset dan dana SDC memastikan syarikat-syarikat GLC mempunyai sasaran prestasi yang jelas dan dipantau secara berterusan.
Dalam pada itu, selain prestasi kewangan dan operasi antara Petunjuk Prestasi Utama ataupun KPI yang turut diberi perhatian adalah pengambilan dan pertubuhan tenaga pekerja tempatan. Pembangunan bakat dan peningkatan kompetensi pekerja, amalan tadbir urus korporat yang baik serta kemampanan perniagaan dalam jangka panjang.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Di bawah kumpulan syarikat Darussalam Asset, setakat ini jumlah kakitangan telah pun mencecah lebih 9,000 orang di mana lebih kurang 86 peratus terdiri daripada anak-anak tempatan.
Penyumbang terbesar kepada pekerja tempatan ialah Jerudong Park Medical Centre, Jerudong Park Holdings iaitu Empire Hotel dan Unified National Network, UNN.
Pada masa yang sama, hanya 14 peratus daripada tenaga kerja terdiri daripada pekerja asing yang majoritinya berkhidmat dalam sektor kesihatan dan pendidikan. Pekerja expatriate dalam kumpulan syarikat Darussalam Asset juga menyediakan peluang untuk pemindahan pengetahuan dan kepakaran industri kepada tenaga pekerja tempatan bagi memenuhi piawaian antarabangsa.
Dari segi pembangunan bakat pula, berbagai program pembangunan turut dilaksanakan termasuk latihan kepimpinan, Pembangunan Ahli Lembaga Pengarah, latihan profesional, pembelajaran berterusan melalui DArjah Learning Management System serta inisiatif seperti Biasiswa Cadet DPS, Biasiswa Kejururawatan JPMC dan UNN Training Academy bagi membina saluran bakat ataupun talent pipeline yang mampan.
Manakala bagi syarikat-syarikat GLC dengan penglibatan pelaburan asing di bawah dana SDC terdapat 3,222 orang kakitangan di mana 52 peratus terdiri daripada anak-anak tempatan yang mana penyumbang terbesar kepada pekerjaan ini adalah Hengyi Industries Sdn. Bhd., Brunei Fertilizer Industries Sdn. Bhd. dan Brunei Methanol Company Sdn. Bhd.
Bagi penyediaan pekerja yang berkemahiran dalam bidang ini, Hengyi Industries telah menawarkan program-program biasiswa kejuruteraan kepada 935 pelajar. Pada akhir tahun 2025, Hengyi telah pun mencapai kadar tempatan sebanyak lebih 50 peratus iaitu melebihi kadar yang telah dipersetujui di dalam perjanjian pelaksanaan tersebut di atas.
Di samping itu, Syarikat BFI mengutamakan prinsip kemajuan kerjaya bagi anak-anak tempatan melalui beberapa inisiatif termasuk menawarkan peluang untuk menghadiri latihan profesional dan penstrukturan organisasi yang menggalakkan anak-anak tempatan untuk mengambil alih jawatan yang lebih tinggi.
Manakala syarikat BFI dan BMC pula telah pun mencapai peningkatan penyataan tenaga kerja tempatan sebanyak 80 peratus bagi BFI dan sebanyak 95 peratus bagi BMC.
Apa yang telah kaola sampaikan di atas hanyalah sebahagian daripada sumbangan Pelaburan Langsung Asing terhadap usaha pembangunan modal insan di Negara Brunei Darussalam.
Di samping itu, FDI dalam sektor-sektor strategik yang lain seperti akuakultur, pertanian dan teknologi juga turut menyumbangkan pembangunan modal insan di Negara Brunei Darussalam.
Sekian sahaja yang dapat dikongsikan. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Pertanyaan seterusnya ialah daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam yang juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan II.
Yang Berhormat Menteri Kewangan II​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih di atas soalan Ahli Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam mengenai dengan pelaburan luar negara secara pemilikan hartanah di Makkah dan Madinah.
Untuk makluman Yang Berhormat Yang Di-Pertua, perkara yang sama ini pernah dibangkitkan semasa sesi Perbahasan Peringkat Jawatankuasa pada 8 Mac 2023 semasa sesi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-19 Majlis Mesyuarat Negara.
Pada dasarnya, hubungan Negara Brunei Darussalam dengan Kerajaan Arab Saudi berteraskan keimanan, keanggotaan bersama dalam pertubuhan kerjasama Islam atau pun OIC dan ibadah haji serta umrah yang mengeratkan hubungan rakyat kedua-dua negara. Hubungan ini merupakan asas yang bernilai dan berkekalan yang tidak hanya bergantung kepada kitaran perdagangan.
Dari segi pelaburan, Kementerian Kewangan mengamalkan pendekatan berdisiplin dalam menilai setiap peluang pelaburan. Sebarang cadangan pelaburan termasuk yang melibatkan aset strategik di negara-negara lain yang berpotensi bagi pelaburan dan tidak terhad kepada Arab Saudi akan dinilai secara menyeluruh berdasarkan analisis kos dan faedah ataupun cost benefit analysis, penilaian value for money, potensi pulangan jangka panjang serta risiko yang berkaitan.
Pendekatan ini memastikan setiap pelaburan benar-benar memberikan nilai terbaik kepada negara. Dalam membuat pertimbangan tersebut Kementerian Kewangan juga mengambil kira keadaan pasaran yang sentiasa berubah termasuk harga aset yang boleh berubah mengikut perkembangan semasa yang tidak dapat dijangka.
Oleh itu, pendekatan Kementerian Kewangan adalah jelas iaitu melaksanakan pelaburan pada struktur, harga dan masa yang tepat ataupun right structure, right price and right time dengan memastikan peluang tersebut benar-benar berbaloi dan selaras dengan kepentingan strategik negara.
Dalam meneliti peluang pelaburan di Kerajaan Arab Saudi secara khusus, Kementerian Kewangan turut mengambil kira keperluan Negara Brunei Darussalam terutamanya yang berkaitan dengan ibadah haji dan umrah termasuk memperkukuh kebajikan jemaah, mengoptimumkan kos penginapan serta menjamin kesinambungan perkhidmatan dalam jangka panjang.
Keperluan strategik ini akan menjadi salah satu pertimbangan penting dalam menilai apa-apa peluang pelaburan yang berkaitan di samping pulangan dan risiko kepada negara. Ahli Yang Berhormat boleh yakin bahawa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan terus memperkukuh hubungan strategik dengan Kerajaan Arab Saudi serta meneroka peluang-peluang yang memberi manfaat bersama.
Dalam hubungan ini, setiap keputusan pelaburan akan dibuat secara berdisiplin berdasarkan merit dan pertimbangan yang teliti demi memastikan kepentingan negara sentiasa terpelihara.
Sekian terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Terima kasih Ahli-Ahli Yang Berhormat. Waktu pertanyaan telah selesai dan kita sekarang beralih pula kepada urusan mesyuarat seterusnya.
Yang Mulia Jurutulis​
Usul Bilangan 4/2026 – Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Pada sebelah petang semalam, kita telah pun selesai membahaskan Usul Bilangan 4/2026.
Sekarang saya akan memberi ruang bagi Yang Berhormat yang membawa Usul ini untuk membuat rumusan. Silakan Yang Berhormat Pehin.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Selamat pagi dalam salam sejahtera. Bismillahirrahmanirrahim. (Selawat dibaca).
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dirahmati Allah yang saya hormati. Terlebih dahulu izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas ruang yang diberikan untuk saya merumuskan perbahasan yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat terhadap Usul yang saya cadangkan pada hari pertama Persidangan Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan ke-22 ini.
Alhamdulillah, perbahasan Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 telah memberikan ruang kepada Dewan yang mulia ini untuk meneliti secara terbuka dan menyeluruh, bagaimana usaha pembangunan negara dapat digerakkan dengan lebih bersepadu. Kepelbagaian pandangan yang telah dikemukakan, memperlihatkan bahawa semangat syura bukan sahaja terletak pada pertukaran pendapat tetapi juga pada kesediaan untuk mencari titik temu menyatukan kefahaman dan membentuk kesepakatan demi kepentingan negara dan rakyat.
Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat atas pandangan konstruktif sepanjang perbahasan ini. Kesemuanya mencerminkan komitmen dan kesungguhan bersama dalam memperkukuh usaha pembangunan negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 termasuk melalui pandangan dan cadangan membina yang disampaikan dalam Dewan yang mulia ini.
Perbahasan merangkumi pelbagai bidang dan sudut pandangan, hakikat bahawa kita meneliti dan menemukan pertalian antara perkara-perkara tersebut merupakan sebahagian daripada penyelarasan itu sendiri. Kesemuanya menjurus kepada satu tuntutan yang sama iaitu memastikan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 diterjemahkan melalui tindakan yang lebih selaras, berkesan serta hasil yang dapat dirasai oleh rakyat.
Ahli-Ahli Yang Berhormat secara keseluruhannya telah menyentuh pelbagai bidang antaranya daripada pembangunan ekonomi, pelaburan dan pekerjaan kepada keterjaminan makanan, tenaga, transformasi digital dan pembangunan modal insan. Namun, kesemua perkara tersebut mempunyai satu hubungan yang jelas, yang mana ia sering bergantung serta memerlukan dasar, tindakan dan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk digerakkan secara sehaluan. Dalam pengertian inilah penyelarasan menjadi asas penting bagi memastikan setiap usaha tidak bergerak secara terasing tetapi saling melengkapi ke arah hasil pencapaian negara yang sama.
Dewan ini turut menyambut baik pelantikan Menteri-Menteri Penyelaras oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Pelantikan ini mencerminkan kebijaksanaan dan keprihatinan baginda terhadap keperluan memperkukuh penyelarasan bagi menangani isu-isu merentas kementerian yakni cross-cutting secara lebih bersepadu khususnya ketika negara berhadapan dengan cabaran global yang semakin complex, pantas berubah dan saling berkaitan.
Dalam hubungan ini, perbahasan telah memberikan penekanan kepada beberapa keutamaan strategik yang perlu terus diperkukuh dalam usaha mempertingkatkan penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035. Antaranya ialah:
Pertama, kejelasan peneraju dan akauntabiliti; Kedua, kecekapan membuat keputusan dan tindakan; Ketiga, tumpuan pada hasil dan impak; Keempat, pengukuhan ekosistem perniagaan dan pelaburan; Kelima, penyediaan pekerjaan yang berkualiti dan pembangunan bakat anak-anak tempatan; Keenam, keterjaminan makanan dan tenaga; Ketujuh, transformasi digital; Kelapan, penyelidikan, penggunaan dan analisis data dalam membuat keputusan yang cepat dan tepat; Kesembilan, strategi komunikasi yang lebih telus, terselaras dan responsif; dan kesepuluh, penglibatan aktif semua lapisan masyarakat termasuk sektor swasta, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin akar umbi dan rakyat serta penduduk.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Jelas daripada perbahasan yang berlangsung menunjukkan bahawa Negara Brunei Darussalam tidak ketandusan dasar, strategi, blueprint dan inisiatif pembangunan. Apa yang perlu untuk terus diperkukuh ialah kesinambungan antara perancangan, pelaksanaan dan pencapaian.
Dengan tempoh menuju tahun 2035 yang semakin singkat, tumpuan hendaklah diberikan kepada tindakan yang lebih pantas, terarah dan menghasilkan impak yang nyata dan dapat dirasakan oleh rakyat dan penduduk negara ini.
Sehubungan itu, nilai penyelarasan tidak seharusnya diukur melalui kewujudan struktur, jawatankuasa atau jumlah mesyuarat semata-mata. Nilainya terletak pada keupayaan memperjelas hala tuju, mempercepat membuat keputusan dan mengatasi cabaran pelaksanaan sekaligus memberikan impak yang nyata dan dapat dirasakan oleh rakyat.
Dalam hubungan ini, peranan Menteri-Menteri Penyelaras adalah sebagai satu mekanisma untuk memperkukuh usaha penyelarasan kerajaan yang telah sedia berjalan. Peranan tersebut bukanlah untuk mengambil alih mandat dan tanggungjawab kementerian atau agensi tetapi untuk membantu memastikan perkara-perkara merentas sektor mempunyai peneraju yang jelas, tindakan susulan yang tersusun dan penyelesaian yang dipersetujui bersama.
Bagi menterjemahkan penyelarasan kepada pelaksanaan yang berkesan, Dewan ini telah menekankan beberapa keperluan utama:
Pertama, setiap keutamaan merentas kementerian perlu mempunyai hasil pencapaian yang jelas, yang menuntut ukuran kejayaan yang lebih bermakna. Ke arah itu, pengenalpastian peneraju bagi setiap keutamaan, peranan pihak-pihak berkepentingan lain dan garis masa pelaksanaan yang realistik adalah diperlukan;
Kedua, Petunjuk Prestasi setiap keutamaan hendaklah memberikan tumpuan kepada hasil dan impak, bukan sekadar aktiviti atau keluaran kementerian secara bersendirian;
Ketiga, cabaran dan perkara tertonggak perlu dikenal pasti lebih awal disertai tindakan pembetulan dan mekanisma penyelesaian yang jelas; dan
Keempat, sumber kerajaan hendaklah diselaraskan secara optimum bagi mengelakkan duplikasi serta memastikan manfaat yang lebih besar kepada negara dan rakyat.
Sehubungan dengan itu, Usul perbahasan telah mengemukakan pelbagai cadangan yang membina bagi memperkukuh beberapa bidang keutamaan tersebut, antaranya seperti berikut:
Pertama, dalam menangani isu pengangguran, penyediaan latihan dan pekerjaan perlu terus didukung oleh pertumbuhan sektor-sektor ekonomi yang berpotensi serta penyelarasan antara keperluan industri, institusi pendidikan dan perancangan tenaga manusia;
Kedua, kesejahteraan masyarakat perlu terus dipelihara termasuk memperkasa penerima bantuan agar lebih berdikari menerusi inisiatif peningkatan kemahiran dan kebolehpasaran. Dalam masa yang sama, usaha bersepadu perlu dipergiatkan untuk menangani faktor-faktor yang menjadi punca kemiskinan sekaligus memutuskan kitaran kemiskinan secara berkesan;
Ketiga, perancangan tenaga dan infrastruktur perlu dilaksanakan secara berpandangan jauh melalui penyelarasan menyeluruh pihak-pihak berkepentingan bagi memastikan keperluan kapasiti masa hadapan, kecekapan penggunaan tenaga, kepelbagaian sumber serta kesinambungan perkhidmatan kritikal seperti bekalan elektrik, air dan perkhidmatan dokongan terus terjamin;
Keempat, keterjaminan makanan memerlukan pengukuhan seluruh rantaian nilai termasuk pengeluaran, pemprosesan, logistik, pasaran dan pensijilan halal. Pendekatan ini dapat memperkukuh jaminan bekalan, meningkatkan kedayatahanan negara serta menjana peluang ekonomi;
Kelima, transformasi digital perlu dipercepatkan secara selamat dan teratur. Penyelidikan data berkualiti dan analisis berpandangan kehadapan perlu terus dimanfaatkan dalam pembentukan dasar serta pengenalpastian risiko lebih awal;
Keenam, ekosistem perniagaan perlu terus diperkukuh melalui pengurangan proses yang bertindih, terlalu rigid atau berasingan. Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana, PKMS memerlukan akses yang lebih baik kepada pembiayaan infrastruktur, utiliti, teknologi dan tenaga kerja profesional. Sektor swasta bukan sekadar penerima dasar tetapi rakan pembangunan yang penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi, inovasi dan peluang pekerjaan; dan
Ketujuh, dalam bidang pelaburan, kejayaan bukan hanya diukur berdasarkan nilai pelaburan yang diumumkan tetapi juga sejauh mana pelaburan tersebut berjaya direalisasikan, mewujudkan pekerjaan yang berkualiti, membantu fiskal negara, melibatkan perusahaan tempatan, memudah cara pemindahan pengetahuan serta menyumbang kepada rantaian nilai dan kapasiti negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dalam hubungan ini, perbahasan turut menegaskan bahawa penyelarasan tidak terhad kepada kerajaan semata-mata. Pendekatan whole of government perlu diperkukuh melalui pendekatan whole of nation yang melibatkan sektor swasta, institusi pendidikan dan penyelidikan, badan profesional, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, Pertubuhan Bukan Kerajaan, masyarakat di keempat-empat daerah serta rakyat dan penduduk secara keseluruhan.
Sehubungan itu, penglibatan semua pihak adalah penting bagi memupuk pemikiran bersama, shared ownership terhadap Wawasan Brunei 2035. Setiap pihak bukan sekadar penerima manfaat tetapi juga rakan dalam pembangunan negara. Selain itu, kemajuan dan juga cabaran perlaksanaan perlu dikomunikasikan dengan jelas dan konsisten.
Dalam hubungan ini, mekanisme seperti dashboard turut dibangkitkan sebagai antara pendekatan untuk memperkukuh perkongsian maklumat. Secara keseluruhannya, perbahasan ini dapat dirumuskan melalui lima mesej utama:
Pertama, negara perlu memperkukuh perlaksanaan matlamat-matlamat Wawasan untuk mencapai hasil yang nyata;
Kedua, setiap keutamaan merentas kementerian memerlukan pensejajaran, penyelarasan serta peneraju, hala tuju yang jelas dan tulus, akauntabiliti dan garis masa yang realistik dan jelas;
Ketiga, prestasi hendaklah dinilai berdasarkan hasil dan memberi impak yang nyata kepada rakyat dan negara;
Keempat, pendekatan whole of government dan whole of nation perlu terus dijadikan sebagai asas dalam penyelarasan dan perkukuh; dan
Kelima, kemajuan pelaksanaan hendaklah dipantau, dinilai dan dikomunikasikan secara jelas, telus dan konsisten serta dibudayakan, diperkasakan dalam usaha merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya akhiri rumusan perbahasan Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 ini dengan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat atas sokongan padu terhadap Usul yang telah dibentangkan ini.
Kesemua pandangan yang diberikan mencerminkan kesungguhan bersama dalam menjulang tinggi titah dan hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk mencapai Wawasan Brunei 2035 dengan amanah dan berakauntabiliti.
Segala pandangan bernas dan berpandangan jauh akan terus diteliti dan dipertimbangkan secara bersama oleh Menteri-Menteri Penyelaras sebagai satu pasukan yang utuh dengan semangat perpaduan, kerjasama dan saling melengkapi melalui pendekatan whole of government dan whole of nation jua. Usaha penyelarasan ini insya Allah akan terus diperkukuh ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.
Sehubungan dengan itu, kita menyedari tempoh masa menuju 2035 kian mendekat dan mendorong kita menentukan Wawasan Brunei 2035 hendaklah terus dihayati sebagai amanah generasi dan warisan masa depan. Apa yang dirancang perlu diterjemahkan kepada tindakan dan setiap tindakan hendaklah membawa hasil yang nyata demi kesejahteraan rakyat serta penduduk dan kemajuan negara.
Insya Allah, berkat kepimpinan bijaksana lagi berdaulat dan berpandangan jauh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan iringan doa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar segala usaha kita dikurniakan-Nya keberkatan dan keredaan. Perpaduan rakyat kekal utuh dan perjalanan menuju Wawasan Brunei 2035 akan sentiasa dipermudahkan serta masa depan negara yang tercinta akan terus berkekalan aman dan sejahtera.
Kain jong sarat indah tertara,
Tenunan disulam warisan bangsa,
Kukuh penyelarasan demi negara,
Brunei Darussalam makmur aman
sentosa.
Pohon jati tumbuh melata,
Tempat bersarang burung tempua,
Dasar diselaras setia sekata,
Wawasan Brunei 2035 agenda semua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Buat akhirnya, marilah kita sama-sama memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Raja dan Ulul Amri, sanjungan dan kesayangan rakyat.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam beserta ahli-ahli kerabat diraja terus dikurniakannya nikmat lanjut usia, kesihatan yang berpanjangan serta kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan penuh kebijaksanaan dan keberkatan. Amin Ya Allah. Amin Ya Rabbal Alamin.
Sekian sahaja yang disampaikan Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Terima kasih Yang Berhormat Pehin. Saya berpandangan adalah sesuai sekarang Usul ini kita undi. Ahli-Ahli Yang Berhormat yang bersetuju supaya kita meluluskan Usul ini sila angkat tangan.
(Ahli-Ahli Yang Berhormat yang bersetuju mengangkat tangan)
Terima kasih. Nampaknya semua Ahli Yang Berhormat bersetuju maka Usul Bilangan 4/2026, Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 ini adalah diluluskan.
(Tukul diketuk)
Yang Mulia Jurutulis​
Usul Bilangan 4/2026, Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 adalah diluluskan. Usul Bilangan 5/2026, Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang akan dicadangkan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dan Menteri Pertahanan II.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Saya mohon mencadangkan Usul di atas nama saya dalam susunan urusan yang berbunyi satu Usul berkenaan Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca). Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dirahmati Allah, yang saya hormati sekalian. Terlebih dahulu izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas ruang yang diberikan untuk saya untuk mencadangkan Usul ini.
Saya sukacita mengimbas dan menjunjung kasih setinggi-tingginya di atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara pada 27 Syaaban 1446 bersamaan 26 Februari 2025 yang lalu di mana baginda berkenan menitahkan akan keperluan penggubalan Kod Etika bagi Ahli-Ahli Mesyuarat Negara dalam mana baginda bertitah "...melihat akan keperluan bagi penggubalan Kod Etika Ahli-Ahli Majlis dalam melaksanakan tugas dengan lebih berkesan dan berintegriti tinggi...", demikian titah baginda.
Baginda turut menitahkan bahawa integriti dan kewibawaan setiap Ahli Majlis adalah diukur pada kemampuan masing-masing untuk berfikir secara terbuka, berunding secara teratur dan bertindak proaktif demi kepentingan negara dan bahawa perubahan-perubahan yang diperkenankan baginda tersebut termasuk penggubalan Kod Etika ini akan mengukuhkan lagi keberkesanan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara serta mencerminkan kematangan dan profesionalisme Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Majlis Mesyuarat Negara telah menggubal draf Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara dengan usaha penggubalan ini diterajui oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin, Ahli Yang Dilantik.
Penggubalan Kod Etika ini turut mengambil kira pandangan agensi-agensi utama kerajaan iaitu Pejabat Peguam Negara dan Biro Mencegah Rasuah di samping penelitian terhadap amalan terbaik ahli-ahli badan perundangan negara-negara lain bagi memastikan Kod Etika ini setanding dengan piawaian antarabangsa.
Usaha penggubalan ini turut mengambil kira input dan pandangan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara sendiri bagi memastikan Kod Etika ini benar-benar mencerminkan keperluan dan realiti Dewan yang mulia ini.
Saya turut sukacita mengimbas dan menjunjung kasih setinggi-tingginya di atas kurnia titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-22 Majlis Mesyuarat Negara pada 22 Ramadan 1447 bersamaan 12 Mac 2026 yang lalu.
Baginda mengurniakan titah, "...kerajaan akan terus memperkukuh budaya kerja yang bersih, beretika, berintegriti dan tadbir urus yang cemerlang merentasi semua sektor. Ini termasuk usaha membenteras secara agresif gejala rasuah dan salah guna kuasa akan terus dilaksanakan dengan menumpukan kepada sektor-sektor kerajaan dan swasta khususnya yang melibatkan aspek perkhidmatan dan penguatkuasaan. Kerajaan tidak akan bertolak ansur dalam membenteras gejala rasuah kerana jika tidak dibendung ianya akan mengancam keselamatan negara...", demikian titah baginda.
Dalam hubungan ini, saya berharap agar Kod Etika dan Tatakelakuan ini bukan sekadar menjadi dokumen rasmi tetapi turut menjadi pemangkin kepada budaya integriti yang berkekalan dalam kalangan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara seterusnya mengukuhkan lagi keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap institusi ini di samping menjadikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara sebagai suri teladan integriti kepada penjawat awam dan masyarakat umumnya untuk generasi kini dan yang akan datang.
Saya dengan penuh hormat dan takzim turut menjunjung titah baginda sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-80 tahun 1448/2026 dalam mana baginda telah menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memecah-belahkan perpaduan rakyat.
Begitu juga di Brunei, tidak ada tempat bagi gejala rasuah dan ketidakjujuran berlaku dalam masyarakat yang mengancam kesejahteraan dan kemajuan negara kita. Titah-titah baginda ini adalah amanah dan panduan yang jelas kepada seluruh jentera kerajaan termasuk kepada Majlis Mesyuarat Negara sebagai sebuah institusi yang memikul tanggungjawab besar dalam mewakili suara rakyat serta menyokong pelaksanaan dasar kerajaan.
Sesungguhnya kepercayaan orang ramai terhadap Majlis Mesyuarat Negara amat bergantung kepada integriti, akauntabiliti dan ketelusan ahli-ahlinya.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Adalah wajar dijelaskan bahawa kesalahan seperti rasuah dan pecah amanah sudah pun menjadi kesalahan jenayah di bawah undang-undang sedia ada seperti Akta Pencegahan Rasuah dan Kanun Hukuman Jenayah serta ditangani oleh mahkamah menerusi proses pendakwaan yang sewajarnya.
Namun demikian, sebahagian besar hakisan kepercayaan orang ramai terhadap sesebuah institusi awam sering berlaku pada tahap yang lebih halus di bawah ambang jenayah tersebut seperti penerimaan hadiah yang tidak diisytiharkan, konflik kepentingan yang tidak diuruskan secara telus serta penyalahgunaan kedudukan untuk kepentingan peribadi dengan cara yang tidak beretika walaupun tidak semestinya menyalahi undang-undang jenayah.
Kod Etika dan Tatakelakuan inilah yang direka khusus untuk menangani ruang tersebut dengan menetapkan piawaian tatakelakuan yang lebih tinggi daripada sekadar mematuhi undang-undang demi memastikan setiap Ahli Majlis Mesyuarat Negara sentiasa mengekalkan keyakinan dan kepercayaan orang ramai.
Sehubungan itu, saya berpandangan bahawa prinsip-prinsip yang terkandung dalam Kod Etika ini akan menunjukkan komitmen bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara terhadap integriti dan ketelusan selaras dengan hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Seperti yang telah dikelilingkan kepada Ahli-Ahli, Kod Etika ini digubal berteraskan lima prinsip utama iaitu kesetiaan, integriti, profesionalisme, ketelusan dan hormat-menghormati yang secara bersepadu membentuk asas peribadi integriti yang mulia serta diteladani bagi setiap ahli. Skop Kod Etika ini merangkumi antara lain:
Pertama, Etika dan Tatakelakuan Sewaktu Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, Muzakarah, Sesi Dialog, Lawatan Kerja dan Perjumpaan;
Kedua, Pematuhan pada Undang-Undang dan Peraturan-Peraturan;
Ketiga, Pengurusan Konflik Kepentingan termasuk Pengisytiharan Harta dan Aset serta Penerimaan Hadiah atau Cenderahati;
Keempat, Penggunaan dan Perlindungan Maklumat Sulit;
Kelima, Penggunaan Sumber Awam Secara Berhemah; dan
Keenam, Tanggungjawab Yang Berterusan Selepas Tamat Perkhidmatan Sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Kod Etika ini turut menggariskan mekanisme penguatkuasaan, prosedur pengemukaan aduan, semakan dan siasatan awal serta lembaga penyiasat bagi menangani sebarang pelanggaran.
Secara dasarnya, saya berpandangan ini akan memberikan manfaat yang besar serta perlindungan kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara sendiri, seperti dengan adanya daftar pengisytiharan yang lengkap dan sepenuhnya. Apa jua Usul, keputusan atau tindakan yang dibuat oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara tidak akan dapat dicemari dengan sebarang tuduhan, kepentingan diri, pilih kasih atau nepotisme, sekali gus turut menjadi peringatan berterusan bagi mengelakkan sebarang kelakuan yang terlarang.
Saya turut berpendapat bahawa peruntukan-peruntukan dalam Kod Etika ini tidak bertujuan menyekat hak Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebaliknya adalah bagi memastikan hak bertugas sebagai seorang Ahli dapat dilaksanakan dalam suasana yang lebih teratur dan bertanggungjawab.
Dalam hal ini, saya ingin menyarankan agar Ahli-Ahli Yang Dilantik dapat terus menghuraikan dan memperhalusi lagi aspek pelaksanaan praktikal Kod Etika ini, memandangkan adalah penting bagi prinsip-prinsip ini digariskan secara jelas dan telus supaya tidak menimbulkan ruang salah tafsiran di kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat mahupun orang ramai.
Seterusnya dari perspektif antarabangsa, penggubalan Kod Etika ini juga selaras dengan Konvensyen Anti-Korupsi Antarabangsa seperti The United Nations Convention Against Corruption, UNCAC yang mana Negara Brunei Darussalam sendiri telah menandatanganinya pada 11 Disember 2003 dan diratifikasikannya pada 2 Disember 2008 serta turut diamalkan di badan-badan perundangan negara-negara lain seperti United Kingdom, New Zealand dan Malaysia.
Dalam pada itu, saya ingin menekankan lagi pandangan awal saya mengenai peruntukan-peruntukan di dalam Kod Etika ini akan dapat membantu dalam menghidupkan suasana musyawarah agar setiap persidangan dilaksanakan dalam suasana hormat-menghormati, tenang dan telus yang menjunjung martabat institusi ini.
Bagi menjunjung tinggi hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, saya dengan rendah hati dan penuh yakin menggesa, kitani seluruh Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara untuk mempertimbangkan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Kod Etika ini sebagai asas bersama bagi mempertahankan kewibawaan dan kesucian institusi ini.
Saya turut berpandangan bahawa akan sentiasa wujud ruang untuk memperhalusi lagi draf Kod Etika ini agar ia dapat diperkukuhkan lagi dari masa ke semasa menerusi pengalaman praktikal serta input Ahli-Ahli Yang Berhormat sendiri apabila prinsip-prinsip ini mula dilaksanakan nanti.
Marilah kita bersama-sama, kerajaan dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara berganding bahu memperkukuh budaya ketelusan, saling menghormati dan menanai tanggungjawab bersama selaras dengan hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, untuk melihat sebuah pentadbiran negara yang bersih, beretika dan bebas daripada gejala rasuah demi memelihara kepercayaan rakyat serta martabat institusi Majlis Mesyuarat Negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Insya Allah, dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala dan di bawah kepimpinan bijaksana, berpandangan jauh lagi berdaulat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, saya berharap Kod Etika dan Tatakelakuan ini akan menjadi asas bagi memperkukuhkan lagi integriti dan profesionalisme Majlis Mesyuarat Negara untuk generasi akan datang.
Sehubungan itu, saya dengan tulus ikhlas menyembahkan ulangan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seraya merafakkan doa dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala, semoga baginda akan kekal karar memerintah di atas singgahsana, sentiasa dikurniakan kesihatan, kekuatan serta taufik dan hidayah dalam memimpin negara ke arah sebuah pentadbiran yang bersih, adil dan berintegriti.
Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Terima kasih Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya persilakan seorang Ahli untuk menyokong Usul ini.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya menyokong Usul yang telah dicadangkan itu. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Usul Bilangan 5/2026, telah pun dicadangkan dan dihuraikan dengan panjang lebar oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dan Menteri Pertahanan II, dan telah pun mendapat sokongan daripada Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
Maka sekarang, sebagaimana biasanya menurut peraturan, saya membukakan ruang bagi perbahasan Usul ini dan memberikan Ahli-Ahli Yang Berhormat, yang suka untuk turut membahaskannya dalam tempoh masa selama 15 minit bagi setiap perbahasan.
Maka, sekarang menurut senarai yang ada pada saya, saya persilakan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof, untuk memulakan perbahasan. Silakan Yang Berhormat.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof​
Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca), Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dengan penuh hormat dan takzim, kaola mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua di dalam memberikan peluang untuk menyokong sepenuhnya Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Laila Raja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, di atas mukadimah dan juga penjelasan yang lebih sangat-sangat komprehensif tadi, kaola ingin mengucapkan berbanyak terima kasih dan syabas kepada Yang Berhormat.
Dengan penuh hormat dan takzimnya juga, kaola menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih dan menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21, Majlis Mesyuarat Negara bagi tahun 2025 pada 26 Februari 2025 bersamaan 27 Syaaban 1446, mengenai keperluan penggubalan Kod Etika Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dengan melaksanakan tugas dengan lebih berkesan dan berintegriti tinggi.
Titah baginda yang murni ini mencerminkan kebijaksanaan, kewibawaan serta keprihatinan tinggi baginda terhadap institusi Majlis Mesyuarat Negara dalam memastikan setiap Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara penuh berintegriti, bertanggungjawab dan akauntabiliti serta mempunyai ciri-ciri dan tatatertib musyawarah dengan penuh permuafakatan untuk menjaga martabat dan institusi Majlis Mesyuarat Negara akan terus mendapat kepercayaan dan keyakinan daripada rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.
Dalam kesempatan ini juga, kaola merakamkan syabas dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua mereka yang terlibat dan pegawai-pegawai dari Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat yang menyumbangkan pemikiran kritis dan bernas bekerja dengan penuh dedikasi, gigih lagi lutsanan sehinggalah alhamdulillah berjaya menghasilkan draf Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Alhamdulillah, kaola juga berpandangan bahawa Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara ini bukan sekadar dokumen pentadbiran semata-mata bahkan ianya juga terdapat ciri-ciri konsep syura yang menjadi teras pemerintahan Islam yang diamalkan sejak Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Kaola berkeyakinan bahawa Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara ini bukan sekadar menjadi panduan kepada tingkah laku Ahli-Ahli Yang Berhormat bahkan merupakan satu manifestasi dalam memperkukuhkan amalan syura yang menjunjung musyawarah, kebijaksanaan, amanah, keadilan dan kebertanggungjawaban dalam setiap pertimbangan serta keputusan yang dibuat demi kepentingan agama, raja, negara dan rakyat.
Dalam hubungan ini, semangat syura sewajarnya terus menjadi landasan dalam menzahirkan pandangan, idea dan perspektif secara berhemah dan bertanggungjawab berdasarkan kepada pengalaman, kepakaran serta ilmu pengetahuan masing-masing.
Di samping menghormati perbezaan pandangan melalui musyawarah yang beradab, lebih penting lagi amalan syura mendidik setiap ahli untuk sentiasa mengutamakan kepentingan umum memelihara integriti, menghindarkan sebarang conflict of interest serta menunaikan amanah dengan penuh keikhlasan lagi penuh bertanggungjawab.
Dari pengamatan kaola, Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat ini merupakan satu mercu sejarah yang mengorak langkah transformasi yang signifikan dalam kita bersama-sama memantapkan dan memartabatkan institusi Majlis Mesyuarat Negara.
Ini juga melambangkan komitmen yang tinggi ke arah memperkasakan tatakelakuan yang bertatatertib, berintegriti, tulus, berakauntabiliti, hormat-menghormati dan profesionalisme Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dalam kesempatan ini juga, kaola ingin membangkitkan clause untuk diambil perhatian dan dipertimbangkan untuk dikemas kini. Perenggan 1.6 mengenai Kebolehpakai an Kod Etika dan Tatakelakuan di bawah Kod Etika dan Tatakelola Akta Ahli Majlis Mesyuarat Negara khususnya frasa selepas tamat tempoh perkhidmatan.
Kaola menyokong komen Jabatan Peguam Negara agar yang dimaksudkan di perenggan ini hanyalah dihadkan kepada Perenggan 10 Etika dan Tanggungjawab Selepas Tamat Perkhidmatan sebagai Ahli Yang Berhubung Kait Dengan Kerahsiaan.
Ini adalah kerana bagi pendapat kaola selepas tamat tempoh pelantikan jawatan seorang bekas Ahli tidak lagi menjalankan tugas, kuasa dan tanggungjawab rasmi sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Walau bagaimanapun, seseorang bekas Ahli Majlis Mesyuarat Negara masih lagi tertakluk kepada apa jua undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkuatkuasa di Negara Brunei Darussalam ini seperti juga rakyat dan penduduk di negara ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Adalah juga diambil maklum penggubalan kod ini mengambil kira ciri pendekatan amalan terbaik diguna pakai di beberapa buah negara.
Dalam pada itu, kaola juga berpendapat dalam usaha memperkukuhkan dan nilai-nilai tambah Kod Etika ini lebih komprehensif sehingga sekurang-kurangnya mengikut standard piawaian parlimen di peringkat antarabangsa seperti Inter-Parliamentary Union dan Commonwealth Parliamentary Association ada baiknya juga diteliti, diperbandingkan serta dipertimbangkan kesesuaiannya termasuk dari hasil kajian comparative yang dilaksanakan oleh King Prajadhipok Institute di Thailand dengan kerjasama United Nation Development Programme Bangkok Regional pada tahun 2028 melibatkan 11 buah negara termasuk di rantau ASEAN, Asia, Eropah dan Amerika Syarikat di mana menggariskan Kod Etika bagi ahli parlimen merupakan antara komponen penting dalam memperkukuhkan sistem integriti sesebuah institusi perundangan.
Pada kesimpulannya, kaola menyokong sepenuhnya Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara ini di peringkat permulaan untuk dikuatkuasakan pada tarikh yang bersesuaian dengan tertakluk kepada Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara akan dikaji semula, di review dan dikemaskini secara berkala dari semasa ke semasa.
Walau bagaimanapun, adalah sangat penting Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara berpaksikan lagi serasi dengan iklim persekitaran negara yang berunsurkan syura, budaya kerja yang beretika dan nilai-nilai murni yang berlunaskan tatasusila yang beridentitikan kebruneian serta falsafah Melayu Islam Beraja.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dalam kesempatan di Dewan ini, koala juga sukacita ingin mengimbas kembali titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara pada tahun 2025 mengenai dengan pengemaskinian ke atas prosedur dan proses kerja menurut Peraturan Majlis Mesyuarat Negara yakni Standing Orders bagi setiap Ahli untuk mempraktikkannya sepenuhnya.
Dalam hal ini, kaola juga sukacita ingin mengetahui setakat manakah sudah perkembangan proses pengemaskinian prosedur dan proses Standing Order ini dalam kita sama-sama menjunjung dan menanai sepenuhnya titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang dimaksudkan.
Akhirnya, marilah kita bersama-sama berdoa ke hadrat Allah Subahanahu Wata'ala serta mohon syafaat Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam semoga Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemanca Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta kerabat diraja sentiasa dikurniakan taufik, hidayah, rahmat, diperlanjutkan usia serta berkeadaan sihat walafiat dengan penuh kesejahteraan yang berpanjangan dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala dan Negara Brunei Darussalam akan berkeadaan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan. Amin Ya Rabbal Alamin.
Sekian, wabillahit taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee.
Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola sukacita menyambut baik dan menyokong pengenalan Kod Etika dan Tatakelakuan yang pertama bagi Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Pada pandangan kaola, kod ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh institusi majlis yang mencerminkan iltizam bersama kitani untuk menjunjung integriti, accountability dan tanggungjawab serta memelihara kemuliaan dan kewibawaan Dewan yang mulia ini.
Sebagai kod yang pertama seumpamanya ia akan menjadi panduan bersama bagi Ahli-Ahli pada masa ini dan akan datang.
Sehubungan ini, kaola ingin menyentuh beberapa perkara dari segi pelaksanaannya supaya setiap Ahli benar-benar memahami tanggungjawab yang ditetapkan dan mendapat panduan yang mencukupi untuk mematuhinya.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Seperti apa yang telah disampaikan tadi, kaola juga ingin membangkitkan Klausa 1.6 menyatakan bahawa kod ini terpakai sepanjang seseorang berkhidmat dan selepas tamat perkhidmatannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Kaola menerima prinsip bahawa tanggungjawab tertentu hendaklah terus dipatuhi walaupun seseorang itu tidak lagi menjadi Ahli, khususnya kewajiban menjaga kerahsiaan maklumat dan bahan sulit yang diperoleh sepanjang menjalankan tugas.
Namun, kaola memohon penjelasan mengenai kewajiban selepas tamat perkhidmatan, sama ada keseluruhannya kod akan terus terpakai atau hanya kewajipan tertentu yang sememangnya bersifat berterusan seperti di bawah Klausa 10.
Memandangkan sebahagian peruntukan hanya berkaitan dengan seseorang semasa masih menjadi Ahli, mungkin skop kewajipan yang berterusan dapat dijelaskan melalui garis panduan pelaksanaan.
Seterusnya, kaola menerima sepenuhnya kewajipan Ahli dan bekas Ahli untuk menjaga kerahsiaan maklumat yang diperoleh sepanjang menjalankan tugas.
Dalam masa yang sama, bagi membantu Ahli melaksanakan kewajipan ini dengan baik, sesuatu maklumat perlu dinyatakan dengan jelas pada masa ia diberikan.
Bahan bertulis yang sulit atau terhad sebaliknya ditandakan dengan jelas. Manakala bagi maklumat lisan, status kerahsiaannya dapat dimaklumkan pada awal taklimat atau perbincangan.
Sehubungan itu, mungkin tatacara berkaitan Klausa 10.1 dapat menjelaskan peranan urus setia kementerian dan agensi dalam menandakan bahan sulit serta memaklumkan sebarang sekatan terhadap penggunaannya.
Kaola juga memohon pencerahan sama ada istilah bahan sulit hanya merujuk kepada maklumat-maklumat yang diklasifikasikan di bawah Manual Keselamatan Perlindungan atau turut merangkumi kategori maklumat yang lebih luas.
Pada pandangan kaola, kerahsiaan merupakan tanggungjawab bersama. Ahli bertanggungjawab menjaga maklumat yang diterima, manakala pihak yang membekalkannya perlu menjelaskan status dan tatacara pengendaliannya.
Seterusnya, Klausa 9.2.1 menghendaki Ahli memahami dan mematuhi semua peraturan di bawah Dasar Keselamatan ICT.
Kaola mengakui kewajipan ini amat penting khususnya apabila semakin banyak maklumat dan komunikasi rasmi dilaksanakan melalui sistem digital. Namun, bagi membolehkan Ahli mematuhinya, mungkin setiap Ahli dapat diberikan akses kepada dasar berkaitan.
Jika dasar penuh tidak dapat diedarkan atas faktor keselamatan, sekurang-kurangnya panduan pematuhan yang diperakui dan cukup terperinci dapat disediakan. Ahli-Ahli juga mungkin dapat diberikan taklimat ringkas mengenai pengendalian maklumat rasmi penggunaan akaun dan peranti serta tatacara melapor insiden keselamatan ICT.
Di samping itu, seorang pegawai rujukan mungkin dapat dikenal pasti bagi membolehkan Ahli mendapat nasihat apabila diperlukan. Versi dasar yang sedang berkuat kuasa juga wajar dinyatakan dan sebarang pengemaskinian hendaklah dimaklumkan kepada Ahli.
Kaola juga ingin menyentuh pemakaian kod ini kepada Menteri-Menteri sebagai Ahli Rasmi Kerana Jawatan dan kepada Ahli-Ahli Yang Dilantik.
Pada asasnya, piawaian yang sama hendaklah terpakai kepada semua Ahli. Namun, memandangkan terdapat perbezaan fungsi dan tanggungjawab, mungkin dapat diberikan panduan mengenai bagaimana beberapa peruntukan kod ini akan dilaksanakan bagi kedua-dua kategori Ahli.
Menteri-Menteri menjalankan fungsi eksekutif di samping peranan sebagai Ahli Majlis dan mungkin tertakluk kepada peraturan lain berkaitan pentadbiran, kewangan, perolehan dan perkhidmatan awam.
Ahli Yang Dilantik yang bukan menteri pula lebih tertumpu kepada perbahasan, penyampaian pandangan dan aspirasi masyarakat serta pemberian saranan. Potensi percanggahan kepentingan mereka mungkin lebih berkaitan dengan pekerjaan, perniagaan, kegiatan profesional atau penglibatan dalam organisasi tertentu.
Oleh itu, mungkin dapat diperjelaskan lagi kewajipan yang terpakai kepada semua Ahli, peruntukan berkaitan fungsi sebagai Ahli Majlis serta hubungan kod ini dengan peraturan lain yang mengawal fungsi eksekutif Menteri-Menteri Kabinet.
Penjelasan ini bukan untuk mewujudkan piawaian yang berbeza, tetapi untuk memastikan kod ini dilaksanakan dengan jelas, selaras dan tanpa pertindihan atau kekeliruan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Perkara yang kaola kemukakan adalah bagi membantu memastikan kod ini dapat dilaksanakan dengan jelas dan berkesan serta menjadi kerangka yang kukuh dalam memelihara integriti dan kewibawaan Majlis Mesyuarat Negara. Itu sahaja yang kaola ingin sampaikan.
Sekian. Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin.
Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Alhamdulillah, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua memberi kaola peluang ikut serta membahaskan Usul ini. Kaola merakamkan penghargaan atas kewibawaan Dewan dalam menyediakan draf Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Kaola melihat usaha ini sebagai satu langkah yang positif dan relevan ke arah meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap integriti Ahli-Ahli Yang Berhormat serta memperkukuhkan institusi Majlis Mesyuarat Negara selaras dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menekankan amanah, integriti, akauntabiliti dan profesionalisme dalam tadbir urus negara termasuklah Majlis Mesyuarat Negara ini.
Kaola berpendapat bahawa peranan Ahli Majlis Mesyuarat Negara bukan sekadar satu kedudukan atau kehormatan, tetapi merupakan satu amanah awam yang berat lagi besar. Kaola tanai amanah sebagai penyampai suara rakyat dengan penuh rasa bertanggungjawab dan pada masa yang sama sebagai rakan strategik kerajaan untuk bersama-sama dengan berintegriti dan professionalism berganding bahu ke arah merealisasikan matlamat negara, insya Allah.
Kaola akur bahawa kod ini boleh disemak dan dipinda dari semasa ke semasa. Namun, dalam bentuk yang terkini, as is, masih terdapat beberapa isu yang membimbangkan yang memerlukan penerangan dan penyesuaian, lebih-lebih lagi memandangkan bahawa dokumen yang begitu penting ini hanya diterima dalam tempoh yang agak singkat sebelum diminta untuk dipertimbangkan dan diterima pakai oleh Dewan.
Kod ini akan menjadi asas kepada dos and don'ts yang menggariskan tatakelakuan Ahli-Ahli dalam menjalankan amanah mereka sepanjang tempoh perkhidmatan dan malah selepas tamat tempoh perkhidmatan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Disebabkan kekangan masa, izinkan kaola memberi pandangan peribadi kaola untuk dinilai kesesuaiannya.
Kaola hanya akan menyentuh beberapa isu sahaja dalam Dewan ini dan sebagai tambahan kepada pandangan-pandangan dan cadangan yang telah dan akan dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat dan agensi kerajaan yang lain.
Pertama, seperti telah dikatakan perkara Clause 6 yang memperuntukkan bahawa kewajiban di bawah kod ini yang terus berkuatkuasa walaupun seorang Ahli telah tamat tempoh perkhidmatannya. Kewajipan menjaga maklumat rahsia negara wajar diteruskan walaupun selepas tamat perkhidmatan.
Bagi Ahli Rasmi Kerana Jawatan yang mempunyai akses kepada maklumat kerajaan dan atas kapasiti jawatan mereka, kewajiban tersebut sememangnya wajar terus dipelihara.
Namun begitu, kaola berpandangan bahawa kedudukan Ahli Yang Dilantik adalah berbeza kerana maklumat yang diterima lazimnya diperolehi melalui sesi muzakarah, dialog atau jawapan rasmi agensi kerajaan bagi membolehkan Ahli memahami sesuatu isu yang dibangkitkan oleh rakyat.
Oleh itu, kaola berpendapat, skop peruntukan kod ini tidak seharusnya dikenakan secara sama rata, applicable to all, tanpa mengambil kira perbezaan fungsi dan tanggungjawab tersebut.
Selain itu, skop peruntukan ini juga amat terlalu luas kerana seolah-olah kesemua kewajiban Kod Etika terus mengikat bekas Ahli melebihi tempoh penggal untuk sepanjang hayat.
Pada hemat kaola, bagi Ahli Yang Dilantik, pematuhan terhadap kod selepas tamat perkhidmatan wajar dihadkan kepada perkara yang melibatkan kerahsiaan atau kepentingan keselamatan negara. Bagi kewajipan lain, jika perlu, memadailah untuk satu tempoh yang munasabah.
Misalnya, hingga tamat satu penggal selepas Ahli meninggalkan jawatan. Dengan cara ini, kepentingan negara terus terpelihara tanpa mengenakan tanggungan yang terlalu luas dan berat kepada bekas Ahli Yang Dilantik.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola juga ingin menyentuh perkara Clause 6 mengenai konflik kepentingan. Dalam perkara ini, kaola berpendapat sepanjang Ahli memegang jawatan pengisytiharan, declaration conflict kepentingan tidak seharusnya bersikap sukarela, voluntary, tetapi diwajibkan yakni mandatori terutama jika mempunyai perniagaan, transaksi bisnes dengan kerajaan dan agensi kerajaan.
Demi menjunjung prinsip integriti dan berketelusan, setiap Ahli wajar membuat declaration secara berkala, periodically, melalui annual statement dan mengemas kini sebarang perubahan sebaik saja berlaku tanpa perlu menunggu ia dipinta.
Dengan ini, tanggungjawab dan akauntabiliti untuk membuat pengisytiharan yang benar dan tepat terletak pada Ahli Yang Berhormat iaitu true and accurate self-declaration.
Pada hemat kaola, declaration tersebut juga wajar merangkumi kepentingan yang berkaitan dengan pasangan dan anak-anak tanggungan yang boleh menimbulkan tuduhan konflik kepentingan.
Lebih-lebih lagi apabila terdapat kepentingan atau urusan perniagaan, business dengan kerajaan dan agensi kerajaan yang berkaitan dan termasuk kontrak, aset, bangunan atau rumah yang disewakan kepada kerajaan atau agensi kerajaan sama ada di dalam ataupun luar negeri.
Sekiranya terdapat konflik sedemikian, Ahli hendaklah mengisytiharkan, declare memohon kebenaran, approval, sewajarnya atau menarik diri daripada sebarang pertimbangan yang berkaitan dan perkara tersebut direkodkan secara rasmi.
Bagi penerimaan hadiah, kaola juga ingin mencadangkan satu had nilai kewangan, financial threshold yang bersesuaian ditetapkan. Pendekatan ini bukan bertujuan untuk menyukarkan Ahli tetapi untuk melindungi institusi Ahli dan institusi Dewan dan serta meningkatkan keyakinan rakyat bahawa setiap keputusan adalah bebas daripada konflik kepentingan peribadi ataupun keluarga.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola juga ingin menyentuh Perkara Empat mengenai pemakaian kod etika di dalam dan di luar negara.
Pada pandangan kaola, Perkara Empat tidak perlu membezakan tatakelakuan Ahli ketika berada di dalam atau di luar negara. Adalah lebih jelas sekiranya dinyatakan dalam Perkara Satu dalam Pendahuluan bahawa di mana saja Ahli menjalankan amanah rasmi, prinsip etika yang sama hendaklah diguna pakai bagi menggelakkan sebarang kekeliruan mengenai standard etika yang perlu dipatuhi.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola mengesyorkan satu pertimbangan satu klausa perkara dengan Kod Etika khusus mengenai Tatakelakuan Ahli Yang Berhormat apabila berurusan atau didekati oleh pihak ketiga yakni khususnya wakil kerajaan asing, agensi atau organisasi luar.
Ini termasuk menerima atau memohon, receiving and soliciting sebarang tawaran kerajaan tajaan, sponsorship, hadiah, gifts, perkhidmatan, goods and services, hospitality, sumbangan, donation atau usaha lobbying yang berunsur memajukan kepentingan peribadi atau pihak tertentu yang boleh menimbulkan tuduhan konflik kepentingan atau conflicts of interest.
Sebarang pendekatan sedemikian sewajarnya ditolak, diisytiharkan dan dilaporkan, decline, declare and report dan jika melibatkan urusan rasmi hendaklah mendapat pandangan dan kelulusan bertulis, seek advice and obtain written approval, terlebih dahulu atau tindakan yang sewajarnya.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Seterusnya, isu mengenai kerahsiaan maklumat di bawah perkara Clause 7. Kaola bersetuju sepenuhnya bahawa maklumat yang telah diklasifikasi, diclassified sebagai rahsia hendaklah dipelihara, tidak didedahkan dan tidak dipertikaikan demi kepentingan negara.
Namun begitu, kaola berpandangan ada perbezaan antara maklumat rahsia dengan maklumat rasmi. Kaola berpendapat tidak semua maklumat rasmi seharusnya dianggap sebagai maklumat rahsia yang tidak boleh disebar atau dibincangkan.
Sebaliknya, maklumat rasmi yang diterima dalam menjalankan amanah Ahli sewajarnya boleh digunakan secara bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan kepada rakyat tanpa bimbang atau andaian apa reaksi rakyat kepada maklumat yang mereka terima.
Sebagai Ahli Yang Dilantik, rakyat juga pandai membuat analisis sendiri berdasarkan data, feedback yang mereka terima. Sudah tentu tafsiran mereka pada satu data rasmi boleh berbeza seperti perumpamaan the glass is half full or half empty iaitu dengan data yang sama yang optimistik melihat gelas itu separuh penuh dan yang berpandangan negatif seakan sentiasa melihat gelas itu separuh kosong.
Perbezaan tafsiran ini tidak semestinya bermaksud Ahli telah menyebarkan kekeliruan atau bertindak dengan niat yang tidak baik atau rakyat telah salah tafsiran.
Kebingungan kaola ialah sekiranya skop memelihara kerahsiaan semua maklumat ditafsirkan terlalu luas hingga Ahli menjadi terlalu berhati-hati sehingga bimbang untuk mengemukakan soalan yang sah.
Justeru, dan tidak berani memberikan penjelasan, feedback, kepada rakyat kerana takut watir kenyataan itu akan disalah tafsir dan akhirnya Ahli akan menjadi overzealously cautious, seolah-olah setiap kenyataan yang dibuat berisiko dianggap sebagai satu pelanggaran.
Walhal tujuan Kod Etika adalah untuk membina keyakinan terhadap institusi ini, bukannya mewujudkan situasi atau keadaan di mana Ahli berasa takut untuk menjalankan amanah mereka. Sekiranya sesuatu maklumat benar-benar tidak boleh dikongsikan, maka biarlah ia dikenal pasti dengan jelas sebagai maklumat rahsia atau amat rahsia.
Ini membawa kaola kepada prinsip collective responsibility di bawah Perkara 2.2, di mana prinsip ini penting bagi memelihara keyakinan terhadap institusi kerajaan. Namun, ianya tidak seharusnya ditafsirkan sehingga mengehadkan ruang Ahli untuk mengemukakan alternative views, mengelakkan difficult dan painful discussions atau menghalang legitimate scrutiny.
Sebagai Ahli Yang Dilantik, sekiranya semua Ahli hanya mengulangi pandangan yang sama, maka fungsi checks and balances yang menjadi kekuatan institusi ini akan terjejas.
Sebagai Ahli Yang Dilantik, antara amanah kami ialah menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan oleh itu peranan tersebut, mohon masa untuk menyambung, terima kasih.
(Yang Berhormat Yang Di-Pertua memberi isyarat menganggukkan kepala tanda bersetuju)
Sebagai Ahli Yang Dilantik antara amanah utama kami ialah menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan dan oleh itu peranan tersebut tidak seharusnya ditafsirkan sebagai bercanggah, contradicting dengan Perkara 7 atau Perkara 9.1.4 dalam Kod ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Sebenarnya masih banyak beberapa perkara lain yang pada hemat kaola wajar diberi perhatian seperti mekanisme Board of Inquiry dan keahliannya, penggunaan media sosial, perlakuan yang belum diperuntukkan secara khusus dalam kod seperti sexual harrassment, serta aspek perlindungan, protection kepada Ahli Yang Berhormat sendiri. Namun disebabkan kekangan masa, kaola hanya menyentuh beberapa isu sahaja pada hari ini seperti yang telah dibahaskan.
Kaola berpendapat bahawa Kod ini masih belum bersedia untuk diterima dalam bentuknya yang sedia ada pada masa ini, dan kerana ianya melibatkan perkara-perkara kompleks serta masih terdapat banyak cadangan pengubahsuaian, pembaikan yang dikemukakan dan mungkin akan dikemukakan. Lebih-lebih lagi proses pindaan, amendment selepas sesuatu Kod diterima adalah lebih rumit dan mengambil masa.
Justeru, kaola berpandangan adalah lebih wajar dan prudent sekiranya Kod ini dirujuk semula kepada pihak yang berkenaan untuk penelitian dan penyelarasan lanjut sebelum dibentangkan lagi bagi mendapat sokongan Dewan.
Mudah-mudahan Kod Etika ini kelak menjadi satu dokumen yang bukan sahaja memelihara martabat Majlis Mesyuarat Negara, malah memperkukuhkan peranan Ahli Yang Berhormat dalam berkhidmat demi kepentingan agama, negara dan raja. insya Allah.
Ya Allah, peliharalah kami dari fitnah dunia dan fitnah akhirat dan redailah usaha kami sebagai ibadah yang Engkau rahmati, Amin Amin.
Wassalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya bukan cuba untuk apa turut serta dalam perbincangan ini setakat ini, tetapi hanya ingin menyuarakan pendapat sebagai, apa namanya ini, orang yang mempunyai interest barangkali dalam perkara yang sama.
Whatever dokumen yang akan kitani keluarkan, it will never reach a perfect document, we will never be able, nya orang satisfy all parties. Jadi, kitani harus membuat satu anu lah, satu perkiraan, balik kepada kitani, apa tujuan dan niat kitani yang sebenar untuk membuat apa namanya Code of Conduct ani.
Jadi kalau kitani ikhlas, saya kira Allah Subhanahu Wata'ala setentunya akan memperkenankan dan melindungi kitani daripada ketakutan di sebalik tabir, apa namanya ni, shadow kitani sendiri, so you can never get a perfect document, you get it from me, you can never get a perfect document, we will have to start somewhere.
So, this why, barangkali Pehin pun tadi dalam introductionnya menyatakan bahawa ini adalah satu step in the right direction and kita akan cuba untuk mengeluarkan sesuatu yang boleh diterima secara am dan akan dapat diperbaiki daripada semasa ke semasa.
Tapi walau bagaimanapun, Ahli-Ahli akan mempertimbangkannya dan saya akan memberikan ruang kepada, insya Allah kepada semua Ahli-Ahli, sama ada sebelah kiri atau sebelah kanan untuk membahaskannya dan kita akan datang kepada satu pemikiran yang boleh kitani terima, yang mana dokumen ini nanti akan dapat digunapakai bukan sahaja bagi kitani yang ada malah bagi orang-orang yang mengikuti kitani. Ini yang lebih penting barangkali, orang-orang yang akan mengikuti kitani.
Saya akur kepada apa yang dianukan oleh Yang Berhormat Menteri yang mencadangkan Usul ini, bahawa niat kitani adalah baik, niat kitani untuk menanai supaya apa namanya ni, di kedudukan Dewan yang kitani sanjung ani, akan mempunyai kedudukan yang tinggi dan dapat kitani tanai sebagai satu Dewan yang setanding dengan parlimen-parlimen lain di luar negara.
Dan ia dapat memainkan peranannya menurut semangat dan kemahuan Perlembagaan Negara Brunei Darussalam yang sedia berjalan. Jadi, that is the spirit.
So jadi, barangkali saya akan membuka ruang ini lagi kepada Ahli-Ahli yang lain dan saya bukan cuba untuk memberikan weight kepada satu-satu mana pihak, which I shouldn't be and I have no business to do it. Walau macam mana pun, sebagai orang yang mempunyai interest yang sama seperti Ahli-Ahli yang lain, that is the fact.
Oleh sebab kitani ada agenda lain lagi, maka saya kira cukuplah dulu kitani bersidang pada pagi ini dan saya cadangkan mesyuarat kitani ani kitani tangguhkan dulu.
Insya Allah, kita akan bersidang semula pada Hari Sabtu, 8 Ogos 2026, sebagaimana lazim mulai daripada jam 9.30 pagi.
Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
(Majlis Mesyuarat Negara ditangguhkan)
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.