Source: https://www.majlis-mesyuarat.gov.bn/wp-content/uploads/2026/08/DRAFT-DAY-2-AM-RABU-050826.pdf
HARI KE-2 PAGI
📖 Masa membaca: 67 minit
📊 Bilangan kata: 13,598 kata
5HB OGOS 2026 PAGI​
(Mesyuarat mula bersidang pada pukul 9.30 pagi)
Yang Mulia Jurutulis​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara bersidang pada hari kedua pada hari ini, Rabu, 21 Safar 1448 bersamaan 5 Ogos 2026 dan didahului dengan Doa Selamat.
DOA SELAMAT​
(Doa selamat dibacakan oleh Yang Mulia Yang Mulia Begawan Mudim Awang Abdul Latif bin Haji Saman)
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah, rahmat dan izin-Nya jua, maka kita dapat hadir pada pagi ini bagi hari yang kedua dalam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan ke-22 Majlis Mesyuarat Negara.
Selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, kaum kerabat, para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.
Kita akan memulakan hari ini dengan urusan mesyuarat seterusnya.
Yang Mulia Jurutulis​
Waktu pertanyaan bagi jawab lisan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita sekarang beralih kepada waktu pertanyaan. Di hadapan kita terdapat senarai pertanyaan yang dikemukakan.
Saya mulakan dengan soalan pertama, yang telah diterima daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin, yang mana soalan ini ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan terima kasih jua atas soalan yang diajukan oleh Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin berkenaan dengan mengintegrasikan komunikasi risiko, kesiapsiagaan masyarakat dan keyakinan awam dalam dasar serta mekanisme tindak balas sekuriti makanan bagi memastikan masyarakat kekal berdaya tahan.
Alhamdulillah, sekuriti makanan, food security kekal sebagai fokus utama Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri. Mengambil pengajaran daripada pengalaman dalam menghadapi krisis COVID-19, kementerian secara berterusan mengambil langkah-langkah proaktif bagi meminimumkan gangguan terhadap rantaian bekalan makanan negara dalam memastikan sekuriti makanan terus terjamin.
Pelbagai usaha telah dan terus dilaksanakan menerusi pelbagai langkah iaitu mengukuhkan nilai dan pemantauan data ketersediaan bekalan makanan termasuk penilaian awal terhadap peningkatan kos pengeluaran tempatan, harga baja dan juga makanan seperti beras, ayam, telur, daging dan sayur serta ikan.
Kedua, ialah mengukuhkan the whole value chain terutama bagi bekalan import pertanian dan perikanan seperti baja serta benih ikan dan udang iaitu dengan mengekalkan stok keperluan baja bagi sekurang-kurangnya tiga bulan dan stok makanan ternakan ayam sekurang-kurangnya enam bulan.
Yang ketiga ialah mengukuhkan inisiatif eksport bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi eksport bukan sahaja bertujuan untuk memenuhi permintaan pasaran luar malah juga secara langsung membantu untuk mencapai lebih daripada tahap sara diri. Sebagai contoh, bekalan telur masa ini bukan sahaja mencapai seratus peratus sara diri.
Yang keempat ialah bekerjasama dengan rentas kementerian, agensi dan pihak berkepentingan menerusi penubuhan Komuniti Kebangsaan Menangani Kesan Konflik Timur Tengah khususnya bagi mengkaji serta menangani kebolehtahanan, resilience, isu-isu, geopolitik dan tenaga yang boleh memberi impak kepada ekosistem keterjaminan makanan.
Yang kelima ialah di peringkat antarabangsa pula, Negara Brunei Darussalam telah menandatangani MoU bersama Republik Singapura iaitu MoU on Strengthening Trade and Investment Cooperation in Food and Medical Products. MoU ini bertujuan untuk memastikan kerjasama erat di antara kedua-dua buah negara dan keselamatan makanan dan bekalan produk perubatan jika negara berhadapan dengan krisis.
Dalam hubungan ini, beberapa kumpulan kerja telah pun ditubuhkan iaitu Working Group on Food Supply and Working Group on Medical Products yang keahliannya terdiri daripada pegawai-pegawai dari kedua buah negara bagi membincangkan usaha-usaha berterusan yang dapat dilaksanakan bersama. Pendekatan dan usaha-usaha yang ada ini adalah merupakan mekanisme utama dalam memastikan rantaian bekalan makanan di negara ini akan terjamin.
Berhubung dengan soalan yang diajukan oleh Yang Berhormat, strategi komunikasi yang teratur adalah penting bagi bukan saja menjamin keyakinan masyarakat, malah juga membantu memperkukuhkan usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan makanan terjamin. Pihak kementerian dari masa ke semasa memberikan penerangan dan seterusnya membuat perundingan berkenaan dengan strategi kerajaan yang ada masa ini tersebut bukan saja kepada masyarakat malah juga kepada stakeholder penting seperti food supplier importer dan juga distributor for food.
Kementerian ini juga mempunyai hubungan kerjasama rapat dengan pengusaha-pengusaha makanan, peniaga-peniaga di kedai runcit dan pengimport makanan asasi melalui interaksi yang berterusan dengan pihak pengusaha dan peniaga ini, ianya bukan sahaja akan dapat membantu kementerian merangka intervensi yang diperlukan tapi juga membolehkan pihak swasta untuk sama-sama memastikan rantaian bekalan yang stabil dan mempelbagaikan sumber import dan mencari sumber alternatif yang lebih cost effective sebagai substitute kepada sumber import yang sedia ada.
Jadi ertinya masa COVID-19 rupanya masa itu we were having regularly communication terutamanya kepada stakeholders yang memainkan peranan penting dalam bekalan makanan. So, alhamdulillah, because of that we are able to kita mendapat sumber alternatif yang lebih competitive dan juga yang lebih berkualiti.
Itulah kementerian kekal komited untuk meneruskan langkah-langkah proaktif dan integrasi ini khususnya dalam meningkatkan hubungan serta kerjasama rapat terutamanya kepada pihak swasta demi sama-sama menjamin sekuriti makanan secara berterusan bagi melindungi kesejahteraan rakyat. Sekian Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed yang mana juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Izinkan saya, memandangkan ada tiga soalan yang serupa yang diajukan kepada kaola berkenaan Visit Brunei Year ani, izinkan kaola untuk anu menjawab ketiga-tiga ani serentak iaitu soalan PL200, PL215 dan PL302. Pendekatan kementerian dalam, boleh kaola, Yang Berhormat Yang Di-Pertua ah?
(Yang Berhormat Yang Di-Pertua memberi isyarat menganggukkan kepala tanda bersetuju)
Pendekatan kerajaan dalam menjayakan Visit Brunei Year 2027, VBY2027 bukanlah semata-mata berorientasikan kepada peningkatan jumlah ketibaan pelawat, volume driven tourism. Memandangkan pasaran pelancongan Negara Brunei Darussalam adalah lebih berfokus, strategi yang diterapkan adalah ke arah pelancongan bernilai tinggi, High value, High Yield Tourism iaitu menarik pelawat yang mempunyai kecenderungan untuk tinggal lebih lama, longer length of stay, berbelanja lebih tinggi, higher average spend serta menikmati pengalaman yang unik dan berkualiti.
Bagi mencapai matlamat tersebut, beberapa pendekatan utama sedang dilaksanakan. Pertama, mempromosi pelancongan yang lebih meluas dan agresif. Kementerian terus memperkasakan inisiatif promosi antarabangsa menerusi penyertaan aktif dalam 24 ekspo dan jerayawara di pasaran sasaran. Strategi pemasaran ini turut diperkukuhkan lagi melalui kerjasama dengan agensi-agensi berita antarabangsa seperti CNN, Euro News dan juga Al-Jazeera bagi TV and other media promosi dan di samping itu pelaksanaan enam kempen digital bersama online travel agents seperti Skyscanner, Room2Rio, Trip.com, Klook, Agoda and Ctrip. Di samping itu juga, 10 orang Key Opinion Leaders yang bertaraf antarabangsa, yang terkenal diundang untuk meliputi Visit Brunei Year 2027 pada tahun ini insya Allah.
Di samping itu juga, terdapat, seperti yang saya nyatakan tadi, penyertaan dalam 24 ekspo bukan saja di East Asia malah di Europe dan juga di Australia dan US.
Kedua, memperkukuhkan penawaran produk dan pengalaman pelancongan bernilai tinggi. Melalui Visit Brunei Year 2027, kementerian sedang membangunkan lebih banyak pengalaman pelancongan yang curated iaitu pengalaman yang dirancang secara khusus, mempunyai nilai tambah dan mencerminkan keunikan Brunei Darussalam.
Antara tema pengalaman yang akan diketengahkan dan dimasukkan dalam calendar of event ialah penerokaan alam semula jadi, adventure and nature exploration, seni dan ekonomi, creative arts and creative economy, warisan budaya dan komuniti, cultural heritage and community based tourism, gastronomi dan makanan tempatan, culinary tourism, sukan dan rekreasi sport and recreational tourism, serta warisan dan tradisi Islam, Islamic heritage and tradition.
Pendekatan ini akan memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk menghasilkan produk, packages dan pengalaman baru yang membolehkan pelawat bukan saja datang untuk melawat tapi turut mengambil bahagian, berinteraksi dan berbelanja di Negara Brunei Darussalam.
Ketiga ialah memperkasakan penganjuran acara bertaraf antarabangsa dan aktiviti sepanjang tahun. Kementerian sedang menyusun kalendar acara kebangsaan Visit Brunei Year 2027 yang merangkumi festival-festival kebudayaan, gastronomi, sukan, persidangan dan juga pameran perniagaan, MYCE.
Penganjuran acara yang berkualiti bukan saja berperanan menarik pelawat antarabangsa dan serantau, malah dapat meningkatkan permintaan terhadap sektor penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan, aktiviti pelancongan serta produk tempatan.
Antara acara yang bakal dikelolakan ialah insha Allah SOAS Bridge Marathon, International Art Festival, mengadakan International Food Festival dan berbagai-bagai lagi.
Tambahan lagi Visit Brunei Year 2027 ini bertepatan dengan Sambutan Jubli Intan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena 60 tahun menaiki takhta pada tahun 2027 yang merupakan satu peluang besar untuk memperkenalkan Negara Brunei Darussalam di peringkat antarabangsa melalui pelbagai acara dan pengalaman istimewa semasa perayaan tersebut.
Keempat, menggalakkan penglibatan akar umbi dalam menyediakan pakej dan perkhidmatan pelancongan. Kementerian menyedari bahawa kejayaan Visit Brunei Year memerlukan penglibatan menyeluruh bukan saja bagi ejen-ejen pelancongan, hotel dan juga airlines, malah juga komuniti termasuk penduduk kampung dan mukim.
Oleh itu, Jabatan Kemajuan Pelancongan akan terus mengengage dan menggalakkan Majlis Perundingan Mukim dan Majlis Perundingan Kampung untuk sama-sama terlibat langsung dalam mengadakan aktiviti-aktiviti bagi menjayakan Visit Brunei Year 2027. Alhamdulillah, setakat ini sambutan daripada Majlis Perundingan Mukim dan Kampung adalah sangat menggalakkan.
Kelima, memanfaatkan platform digital sepenuhnya dalam menjayakan kempen Visit Brunei Year 2027. Kementerian rancak bekerjasama dengan rakan-rakan strategik antarabangsa seperti online travel agent seperti Agoda, Ctrip dan Klook dalam meningkatkan pencapaian promosi Brunei serta memudahkan pelancong mendapatkan maklumat membuat tempahan penginapan dan aktiviti-aktiviti pelancongan secara online.
Saya ingin mengambil kesempatan di sini menyeru kepada sektor-sektor swasta yang terlibat untuk sama-sama memanfaatkan platform ini bagi memudahkan para pelancong untuk menempah program-program bisdurang.
Kementerian ini juga sedang bekerjasama dengan institusi kewangan dan rakan strategik bagi memperluaskan pembangunan pembayaran digital dalam kalangan pengusaha pelancongan. Ini mengambil kira trend pelancongan antarabangsa yang semakin bergantung kepada pembayaran tanpa tunai.
Oleh itu, kementerian sedang berusaha memperkenalkan kemudahan pembayaran digital kepada vendor pelancongan termasuk perusahaan kecil di gerai-gerai untuk dapat lebih memanfaatkan perbelanjaan pelancong untuk pendapatan mereka.
Keenam ialah meningkatkan kemudahan dan infrastruktur pelancongan bukan sahaja disediakan oleh pihak kerajaan malahan sektor swasta. Sebagai contoh pelaburan sebuah resort oleh Borneo Eco Resort Sdn. Bhd. akan menyediakan satu lagi tarikan yang baharu di negara ini insya Allah dalam masa terdekat ini.
Di samping itu, pihak Jabatan Pelancongan juga sibuk menyediakan signage yang baharu di tempat-tempat yang menarik dan juga lokasi-lokasi pelancongan terutamanya di tepi-tepi jalan highway dan juga menuju ke kawasan-kawasan pelancongan tersebut.
Ketujuh ialah mengadakan kempen mesra senegara. Kempen mesra ini ialah inisiatif bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pelancongan supaya lebih ramah, sopan dan mesra terutama sekali kepada frontline workers. Insya Allah, projek ini adalah satu national project yang akan melibatkan kementerian-kementerian bagi membolehkan kita ini mengimprove our service especially the frontliners.
Jadi secara keseluruhan, Visit Brunei Year 2027 bukan sahaja merupakan satu kempen pemasaran pelancongan tetapi merupakan satu usaha menyeluruh untuk membangunkan ekosistem pelancongan yang lebih bernilai, inklusif dan mampan.
Kejayaan Visit Brunei Year 2027 akan diukur bukan sahaja melalui peningkatan jumlah pelawat tetapi juga melalui peningkatan tempoh penginapan, perbelanjaan pelancong, pulangan perniagaan kepada pengusaha tempatan terutama sekali komuniti serta limpahan kepada masyarakat secara keseluruhannya.
Sekian saja yang kaola dapat sampaikan berkenaan soalan itu tadi. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan yang seterusnya yang diterima daripada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman yang mana soalan ini ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan. Silakan.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca).
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Ahli-Ahli Yang Berhormat. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terlebih dahulu kaola mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman atas pertanyaan yang dikemukakan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Penyakit tidak berjangkit ataupun NCD terus menjadi salah satu keutamaan strategik Kementerian Kesihatan memandangkan penyakit ini adalah penyumbang terbesar kepada beban morbidity dan mortality ataupun kematian. Di samping meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan, Kementerian kini sedang membangunkan BruMAP-NCD 2026-2035 dengan sokongan Pertubuhan Kesihatan Sedunia ataupun WHO sebagai pelan strategik jangka panjang bagi memperkukuhkan pencegahan, pengesanan awal, rawatan dan pengurusan penyakit tidak berjangkit.
Bagi langkah mengurangkan kadar kematian NCD, beberapa pendekatan telah diambil oleh Kementerian Kesihatan. Sebahagiannya ialah pendidikan ataupun education, pencegahan, pengesanan awal, rawatan rehabilitasi dan pencegahan berterusan. Keutamaan turut diberikan kepada pendidikan dan promosi kesihatan di sekolah-sekolah, di tempat kerja dan komuniti.
Program saringan dan pengesanan awal juga sedang dilaksanakan dan pengukuhan penjagaan kesihatan asasi serta pendekatan whole of government dan whole of society dan mewujudkan persekitaran yang menyokong amalan hidup sihat.
Kementerian Kesihatan memberi keutamaan kepada pencegahan dan pengesanan awal kerana langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan kadar kematian disebabkan oleh NCD malah dapat mengurangkan komplikasi penyakit, meningkatkan kualiti hidup pesakit serta mengurangkan keperluan rawatan yang lebih kompleks pada masa hadapan.
Di samping itu, kementerian terus memperkukuhkan kapasiti sistem kesihatan melalui pengukuhan penjagaan kesihatan asasi, penyelarasan perkhidmatan saringan, pengurusan penyakit kronik hospital dan perkhidmatan pakar dan penggunaan data dan teknologi digital seperti BruHealth dan Bru-HIMS 2.0 bagi menyokong perancangan kapasiti dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.
Dari segi peruntukan bagi menangani NCD, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, peruntukan berkaitan penyakit tidak berjangkit meliputi pelbagai komponen perkhidmatan termasuk pendidikan, promosi kesihatan, pencegahan, saringan, ujian diagnostik, rawatan, ubat-ubatan, rehabilitasi dan perkhidmatan pakar.
Oleh yang demikian, adalah sukar untuk mengasingkan secara khusus perbelanjaan bagi tujuan pencegahan dan rawatan memandangkan sebahagian besar program dan perkhidmatan kesihatan dilaksanakan secara bersepadu serta menyokong kedua-dua aspek tersebut secara serentak. Ini termasuk pelaksanaan program saringan, penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan asasi, rawatan susulan, pendidikan kesihatan serta pengurusan penyakit kronik yang menyumbang secara serentak kepada usaha pencegahan, pengesanan awal, rawatan dan pengurusan penyakit.
Walau bagaimanapun, kementerian berpandangan bahawa pelaburan dalam pencegahan, pengesanan awal dan pengurusan penyakit yang berkesan merupakan langkah terbaik bagi mengurangkan komplikasi penyakit, mengurangkan kemasukan ke hospital, mengurangkan keperluan rawatan yang lebih kompleks dan memastikan penggunaan sumber kesihatan yang lebih cekap serta mampan dalam jangka panjang.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kementerian Kesihatan akan terus memperkukuhkan usaha pencegahan dan pengawalan penyakit tidak berjangkit melalui pendekatan yang menyeluruh berasaskan bukti serta melibatkan seluruh kerajaan dan masyarakat. Matlamat kementerian adalah untuk mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta memastikan sistem kesihatan negara kekal mampan dalam memenuhi keperluan generasi masa kini dan yang akan datang.
Sekian, terima kasih. Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan berikutnya daripada Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan terima kasih juga diucapkan kepada Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed atas pertanyaan yang dinyatakan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Pendekatan yang dicadangkan sememangnya telah dan sedang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan melalui pelbagai inisiatif yang menggabungkan pemantauan kesihatan, penglibatan komuniti, penggunaan teknologi digital serta galakan kepada perubahan tingkah laku secara berterusan.
Antara inisiatif utama ialah National Health Screening Programme melalui BruHealth. Setakat ini hampir 8,000 penilaian risiko dilaksanakan bagi Januari hingga Jun 2026 sahaja. Lebih 6,500 individu dikenal pasti memerlukan saringan lanjut dan hampir 1,600 janji temu saringan berjaya ditempah melalui BruHealth.
Seterusnya, Health Index BruHealth, lebih 122,000 penilaian telah dihantar oleh pengguna, membolehkan pemantauan kesihatan secara lebih diperibadikan or personalized.
Seterusnya, BN on The Move, yang mana merekodkan 17.55 bilion langkah dalam tempoh Januari hingga Jun 2026, melibatkan antara 29,000 hingga 33,000 pengguna aktif setiap bulan dan menggunakan gamifikasi dan ganjaran digital bagi menggalakkan aktiviti fizikal.
Seterusnya, Program HEAL ataupun Happy Environment and Lifestyle yang mana melibatkan 2,200 peserta melalui aktiviti komuniti berkaitan pemakanan sihat, aktiviti fizikal, kesihatan mental dan pencegahan tembakau.
Seterusnya, Program Mukim Sihat. Kementerian Kesihatan sebelum ini telah melaksanakan Program Mukim Sihat di beberapa buah mukim dan kampung sebagai inisiatif untuk memperkasa masyarakat setempat mengamalkan cara hidup sihat secara berterusan. Program ini memberi penekanan kepada perubahan tingkah laku dan kemampuan amalan sihat di samping menggalakkan ownership pihak Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dalam menerajui aktiviti promosi kesihatan dengan sokongan berterusan daripada Kementerian Kesihatan.
Keberkesanan pendekatan ini dapat dilihat melalui peningkatan penganjuran aktiviti kesihatan seperti walkathon dan program kecergasan yang diusahakan sendiri oleh komuniti di seluruh negara.
Selaras dengan usaha memperkukuh inisiatif tersebut, Program Mukim Sihat telah diperkembangkan kepada Program Happy Environment and Active Lifestyle ataupun HEAL. Melalui program ini, Pusat Promosi Kesihatan bekerjasama dengan beberapa pusat kecergasan bagi melaksanakan aktiviti fizikal secara berkala di peringkat komuniti. Program ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan dan mencerminkan komitmen berterusan masyarakat dalam mendukung usaha pencegahan penyakit tidak berjangkit melalui pengamalan gaya hidup sihat.
Seterusnya, Program BALANCE bagi pesakit diabetes. Lebih 80 peratus peserta yang menamatkan program menunjukkan peningkatan kawalan HbA1c, iaitu pengurusan diabetes yang lebih baik.
Kementerian akan terus memperkukuhkan penggunaan BruHealth sebagai platform bersepadu bagi penilaian risiko, saringan pemantauan kesihatan, cabaran kesihatan dan pengurusan penyakit kronik.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kementerian Kesihatan akan terus memperkukuhkan penggunaan teknologi digital, penglibatan komuniti dan pendekatan berasaskan data bagi meningkatkan penyertaan rakyat dalam usaha pencegahan dan pengurusan penyakit tidak berjangkit.
Matlamat kementerian bukan sahaja mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit, malah memperkasakan rakyat untuk mengambil peranan yang lebih aktif dalam menjaga kesihatan mereka sendiri ke arah masyarakat yang lebih sihat, produktif dan mempunyai kualiti hidup yang tinggi.
Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Seterusnya, soalan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin dan juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terlebih dahulu kaola mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin di atas soalan yang dikemukakan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Klinik Berhenti Merokok ataupun KBM merupakan antara intervensi utama Kementerian Kesihatan dalam membantu individu untuk berhenti menggunakan produk tembakau ataupun nikotin melalui pendekatan yang menyeluruh, yang merangkumi kaunseling berstruktur, pemantauan susulan secara berkala dan rawatan farmakoterapi mengikut keperluan individu. Perkhidmatan ini disediakan oleh semua pusat kesihatan di seluruh negara termasuk di Hospital Pengiran Isteri Hajah Mariam, Temburong dan dikendalikan oleh kaunselor berhenti merokok yang bertauliah.
Keberkesanannya dan pencapaiannya bagi tempoh 2023 hingga 2025, seramai 75 orang client berjaya berhenti merokok selepas mengikuti program. Kadar kejayaan berhenti merokok tahunan adalah antara 7.9 hingga 14 peratus, selaras dengan dapatan antarabangsa yang menunjukkan bahawa berhenti merokok bukan satu proses yang mencabar dan memerlukan sokongan berterusan.
Walau bagaimanapun, ada beberapa klinik di negara ini mencapai kejayaan yang lebih daripada memberangsangkan seperti Pusat Kesihatan Seria mencatat kejayaan lebih 45 peratus, alhamdulillah.
Pendekatan yang dilaksanakan oleh KBM adalah selaras dengan garis panduan rawatan klinikal berhenti merokok Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang menekankan gabungan kaunseling dan farmakoterapi sebagai intervensi yang paling berkesan untuk membantu individu berhenti menggunakan produk nikotin.
Antara cabaran utama yang dikenal pasti bagi memastikan individu yang terbabit terus bermotivasi dan menghadiri sesi-sesi susulan sepanjang proses berhenti merokok memandangkan ketagihan nikotin mempunyai kadar relapse yang tinggi. Di samping itu, Kementerian Kesihatan turut melihat keperluan untuk meningkatkan pengesanan awal, memperkukuhkan sistem rujukan ke Klinik Berhenti Merokok dan menggalakkan lebih ramai penyertaan klien baharu, khususnya di kawasan yang masih mencatat penggunaan perkhidmatan yang rendah.
Walau bagaimanapun, kadar kehadiran susulan yang melebihi 70 peratus pada tahun 2025 dan bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 menunjukkan bahawa majoriti peserta terus komited mendapatkan sokongan sepanjang program.
Data daripada Klinik Berhenti Merokok dinilai secara berterusan lagi untuk mengenal pasti corak penggunaan perkhidmatan, meneliti faktor-faktor yang mempengaruhi kejayaan berhenti merokok, mengenal pasti kawasan yang memerlukan pengukuhan promosi dan rujukan serta menambah baik perancangan perkhidmatan, latihan kaunselor dan pengagihan sumber secara lebih bersasar. Pendekatan berasaskan data ini membolehkan Kementerian Kesihatan memperkukuh dasar dan intervensi pencegahan supaya lebih responsif kepada keperluan kumpulan sasaran.
Pencegahan dalam kalangan remaja dan belia pula, bagi mengukuhkan usaha pencegahan dalam kalangan remaja dan belia, Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, terus melaksanakan sesi-sesi taklimat di sekolah mengenai bahaya merokok dan penggunaan vape serta peruntukan di bawah Perintah Tembakau yang berkuat kuasa. Selain penguatkuasaan, pendekatan intervensi awal turut dilaksanakan.
Murid-murid yang didapati merokok atau menggunakan vape akan diberikan nasihat serta dirujuk ke Klinik Berhenti Merokok bagi mendapatkan sokongan profesional untuk menghentikan penggunaan produk nikotin. Pendekatan ini bukan bertujuan untuk menghukum semata-mata, tetapi memberi peluang kepada mereka untuk mengubah tingkah laku lebih awal, sekali gus mengurangkan risiko ketagihan nikotin dan penyakit berkaitan tembakau pada masa hadapan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kementerian Kesihatan akan terus memperkukuhkan Klinik Berhenti Merokok sebagai salah satu intervensi yang penting dalam strategi kawalan tembakau negara melalui pendekatan yang berasaskan bukti, pengesanan awal, pendidikan kesihatan dan kerjasama pelbagai pihak. Matlamat kita bukan sahaja membantu lebih ramai individu berhenti menggunakan produk nikotin malah membentuk generasi yang lebih sihat dan bebas daripada ketagihan tembakau serta vape, selaras dengan aspirasi negara Ke Arah Masyarakat Yang Lebih Sihat dan Sejahtera.
Sekian, terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan berikut ialah daripada Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin, yang mana soalan ini ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri​
Baik, terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan terima kasih jua atas soalan Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin mengenai usaha kementerian bagi memastikan penyertaan negara dalam perjanjian-perjanjian Free Trade Agreements dapat menghasilkan pencapaian ekonomi yang boleh diukur serta manfaat yang boleh dirasai oleh pengusaha tempatan, kerajaan dan rakyat.
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Secara amnya melalui sesi perundingan dan libat urus yang berterusan bersama pihak yang berkepentingan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri melalui Bahagian Perdagangan dan Hubungan Ekonomi Antarabangsa kerap mengadakan perundingan dan konsultasi bagi mendapatkan kedudukan negara mengenai perjanjian-perjanjian bebas yang akan atau telah ditandatangani dalam memastikan ianya selaras dengan dasar dan undang-undang negara yang sedia ada.
Dari aspek perusahaan tempatan, antara lain manfaat yang telah dapat diperolehi adalah akses pasaran global di mana Free Trade Agreements, FTA dapat meluaskan akses pasaran ke negara-negara rakan-rakan FTA yang merangkumi negara-negara ASEAN, Australia, Canada, Republic Rakyat China, Chile, India, Jepun, Republic Korea, Mexico, New Zealand, Peru dan United Kingdom.
Kedua ialah menghapuskan serta mengurangkan tarif bagi barangan-barangan import dan eksport yang memenuhi kriteria peraturan tempat asal, rule of origin. Contohnya, pengilang tempatan, local producer akan dapat menikmati penjimatan kos daripada pengurangan atau penghapusan duty custom dan seterusnya menjadikan produk-produk tempatan yang dieksport lebih kompetitif di arena antarabangsa.
Sebagai contoh, produk tempatan yang telah dapat dieksport dengan menggunakan ASEAN Trade in Goods Agreement, ATIGA ialah produk telur ayam ke Republik Singapura.
Dalam pada itu, Negara Brunei Darussalam melalui Brunei Fertilizer Industry juga telah memanfaatkan ASEAN-Australia-New Zealand Free Trade Area secara berkesan yang mana telah menembusi pasaran Australia dan New Zealand dalam mengeksport granular urea dan juga urea.
Seterusnya, di bawah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian, Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership, CPTPP, Syarikat BFI juga telah memperluaskan pasaran eksport urea ke negara-negara Amerika Latin, Chile dan Peru.
Negara juga mampu untuk mengeksport produk-produk besi dan keluli ke Canada dan Mexico. Contoh-contoh yang diberikan adalah hasil yang ketara yang pada mana syarikat-syarikat berkenaan telah dapat memanfaatkan perjanjian-perjanjian perdagangan bebas.
Di samping itu, kementerian ini juga menekankan kepentingan stakeholder engagement bersama agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan persatuan industri. Dengan kerjasama erat bersama pihak Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei, pihak kementerian ini juga mengadakan beberapa sesi pemberigaan sebagai usaha mempromosikan penggunaan sijil tempat asal, certificate of origin dan manfaat FTA secara keseluruhan antaranya melalui CPTPP stakeholders' engagement, BIMP-EAGA Business Council, ASEAN-Korean Centre, and Brunei-Hong Kong Seminar.
Sebagai langkah ke hadapan, satu bengkel diadakan pada akhir tahun ini untuk memberigakan manfaat ATIGA iaitu ASEAN Trade in Goods Agreement yang telah dinaiktaraf kepada agensi-agensi yang relevan termasuk sektor swasta di negara ini.
Seterusnya, kementerian ini juga aktif dalam menyebarluaskan maklumat mengenai manfaat FTA tersebut melalui laman web Brunei Trade dan sosial media rasmi. Usaha pemberigaan ini diharap dapat menggalakkan aktiviti pengeksportan khususnya peluang bagi PMKS menyertai rangkaian-rangkaian nilai global.
Selain itu, negara ini juga memperolehi akses kepada program-program pembangunan kapasiti yang dihulurkan oleh rakan-rakan FTA sebagai platform untuk berkongsi amalan terbaik dan pertukaran pengetahuan mengenai pematuhan piawaian eksport dan peningkatan kualiti produk agar dapat lebih kompetitif di arena antarabangsa khas untuk syarikat-syarikat tempatan.
Sebagai contoh, pembangunan kapasiti bagi agensi peniaga persaingan dan perlindungan pengguna yang mana AANZFTA telah menyediakan bantuan bagi meningkatkan pengetahuan teknikal, kemahiran penyiasatan dan keupayaan mengendali kes di samping memupuk rangkaian yang kukuh bersama agensi-agensi di rantau ASEAN, Australia dan New Zealand.
Dalam pada itu, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri akan sentiasa mengalu-alukan kerjasama dan libat urus strategik dengan sektor swasta, persatuan industri dan pihak-pihak berkepentingan bagi sama-sama memelihara kepentingan negara dan memanfaatkan perjanjian-perjanjian perdagangan bebas yang sedia ada dan akan datang.
Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam yang juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri. Silakan Yang Berhormat Dato.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri​
Terima kasih sekali lagi Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih juga pada Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam di atas soalan yang telah dikemukakan mengenai penelitian kenaikan harga barang dan keseluruhan value chain untuk mengenalpasti punca kenaikan harga.
Kenaikan harga merupakan satu fenomena global yang sedang dihadapi oleh kebanyakan negara. Ketidaktentuan ekonomi dunia termasuk konflik geopolitik telah memberi kesan kepada harga minyak, kos tenaga pengangkutan dan logistik antarabangsa di samping gangguan rangkaian bekalan global.
Peningkatan kos pada setiap peringkat rantaian nilai ini akhirnya boleh diterjemahkan kepada kenaikan harga barangan yang dibayar oleh para pengguna.
Oleh itu, kerajaan sentiasa meneliti keseluruhan rantaian nilai bagi memahami faktor-faktor yang menyumbang kepada perubahan harga dan memastikan sebarang kenaikan adalah berasaskan kos yang sebenar.
Bagi memahami keadaan industri tertentu dan menilai serta mengenalpasti punca kenaikan harga di antara inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian ini adalah dengan mengadakan konsultasi-konsultasi, engagement dengan para peniaga terutama sekali kepada para distributor dan supplier.
Pendekatan ini telah dilaksanakan dalam memahami impak berikutan krisis Timur Tengah terhadap industri plastik dan shipping cost di negara ini. Pendekatan ini membolehkan kerajaan mengambil langkah mitigasi yang bersesuaian jika perlu, berasaskan bukti, evidence-based dan seterusnya mengimbangi kepentingan pengguna dengan kelangsungan operasi perniagaan dalam keadaan ekonomi yang sentiasa berubah.
Selain daripada itu, kementerian ini juga melaksanakan dan menguatkuasakan Akta Kawalan Harga bagi barangan bersubsidi iaitu beras, gula dan gasoline serta barangan asasi tertentu seperti minyak masak dan juga susu formula. Melalui penguatkuasaan ini, kerajaan memastikan affordability dan accessibility barangan tersebut kepada orang ramai.
Penguatkuasaan akta juga menyumbang kepada kestabilan kadar inflasi negara walaupun negara terdedah kepada ketidaktentuan ekonomi global seperti inflasi antarabangsa dan gangguan rantaian bekalan global dan peningkatan kos bahan mentah dan seterusnya memberikan kesan kepada turun naik harga barangan.
Pada masa yang sama, bagi memastikan pasaran dan pengelakkan kesan negatif akibat campur tangan yang berlebihan, kerajaan turut memberi penekanan kepada peningkatan ketelusan harga, price transparency. Ini dilaksanakan melalui inisiatif pemantauan harga barangan makanan asasi terpilih yang dikemaskinikan secara mingguan, melibatkan pengumpulan data harga dari lebih 100 buah premis runcit dan pasaraya di seluruh negara.
Makluman harga ini akan terus diberigakan melalui aplikasi Pengguna Bijak yang kini masa ani dalam proses penambahbaikan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan dijangka akan dikenalkan balik semula pada masa terdekat bagi memudahkan pengguna membuat perbandingan harga yang bermaklumat.
Sementara itu, maklumat harga tersebut terus dikongsikan melalui laman sesawang Bahagian Hal Ehwal Pengguna bagi memastikan orang ramai mempunyai akses berterusan kepada maklumat yang berkenaan.
Di samping itu, inisiatif pemantauan harga juga membantu kerajaan meneliti perubahan harga bagi memastikan perubahan berkenaan adalah berasas. Inisiatif ini membolehkan kerajaan untuk mengesan kenaikan harga yang mendadak dan mengenal pasti punca peningkatan sama ada seperti disebabkan oleh faktor kenaikan kos bahan mentah atau gangguan rangkaian bekalan.
Analisis data pemantauan harga berperanan sebagai isyarat awal, early warning bagi membolehkan sebarang intervensi seperti secara bersepadu dapat menangani isu yang berpotensi menjejaskan kestabilan harga.
Dalam menangani impak kenaikan harga, para peniaga juga turut memainkan peranan yang penting dari aspek memastikan rangkaian bekalan yang stabil dengan mempelbagaikan sumber import dan mencari kos import yang lebih rendah serta berpatutan sebagai substitute kepada sumber import yang sedia ada.
Sehubungan dengan ini, kementerian secara berterusan komited memelihara kestabilan harga dan mengukuhkan daya tahan ekonomi menerusi pendekatan whole of government dan pelaksanaan industry roadmap di bawah Bahagian Penyelarasan Dasar-Dasar Ekonomi sebagai instrumen strategik untuk menilai kekuatan dan kelemahan ekosistem industri bagi sektor-sektor khas keutamaan negara.
Melalui penelitian tersebut, kementerian dapat mengenal pasti peluang untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing industri menangani jurang dari aspek infrastruktur, logistik dan industri sokongan serta memperluaskan aktiviti nilai tambah tempatan dan mengenal pasti pengeluaran domestik bagi mengurangkan bergantungan kepada eksport, kepada import dan mengukuhkan daya tahan industri tempatan.
Segala keseluruhannya, pendekatan dilaksanakan ini bagi membolehkan kementerian menangani faktor-faktor yang pengaruhi kos di sepanjang rantaian nilai merangkumi aspek penguatkuasaan, pemantauan, pemberigaan dan pengukuhan daya saing industri dan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.
Usaha ini dihasratkan untuk dapat menyokong kestabilan bekalan dan harga dalam jangka panjang, di samping memaju pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan serta meningkatkan daya saing ekonomi negara.
Sekian, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Pertama sekali mengucapkan terima kasih atas pertanyaan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kementerian Kesihatan terus memberi perhatian terhadap pengubahsuaian dan penaiktarafan fasiliti-fasiliti kesihatan termasuk penyediaan dan penggantian peralatan perubatan serta bekalan bahan guna habis bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan yang semakin berkembang.
Beberapa projek pengubahsuaian dan penaiktarafan telah dan sedang dilaksanakan secara berperingkat di fasiliti-fasiliti kesihatan iaitu projek-projek yang telah sempurna dilaksanakan di Hospital RIPAS dalam tahun 2025 adalah seperti berikut, iaitu menaiktaraf Wad 15 dan Klinik Ortopedik.
Manakala, projek-projek yang sedang dilaksanakan dan dalam rancangan adalah penubuhan primary function tests di dalam perubatan respiratory, DORM; menaiktaraf Wad 10 dan 11 untuk menjadi ICU baharu; pembinaan bilik konsultasi untuk tahanan di kawasan Jabatan Kecemasan; pengubahsuaian untuk Uro-oncology dan Urodynamics di Klinik Urologi; menaiktaraf tiga bilik bedah, OT iaitu OT Tiga, Empat dan Lima; pengubahsuaian dan pemindahan Unit Kewangan dan Perolehan di Bangunan Loji Kejuruteraan dan Dobi; pengubahsuaian Point-of-Care Testing dan Quality Assurance dan Patient Safety Unit di Central State Lab; meluaskan Farmasi Pesakit Luar ke Rekod Perubatan dan mengembangluaskan kawasan triage di Jabatan Kecemasan.
Di samping itu, pengubahsuaian sebuah banglo di Kiarong untuk digunakan sebagai Klinik Perkhidmatan Kesihatan Mental Kanak-Kanak dan Remaja, CHARMS; pembinaan banglo baharu untuk bilik konsultasi DCDC di Kampung Kiarong.
Selain itu, di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong, pemindahan tempat pengambilan darah yang lebih mesra warga emas dan penggunaan berkerusi roda; penaiktarafan Klinik Obstetrik dan Ginekologi; pengubahsuaian ruang Klinik Perkhidmatan Pergigian dan pengubahsuaian bekas Wad TB bagi penempatan Klinik Otorinolaringologi, ORL, Klinik Ordology, Klinik Paediatric dan Klinik Terapi Pertuturan ataupun Speech and Language Therapy serta penaiktarafan tandas awam.
Di samping itu, di hospital tersebut juga mempunyai perancangan untuk menjadikan bangunan extension Pusat Pengasingan Kebangsaan ataupun NIC sebagai pusat rehabilitasi atau step-down hospital.
Cadangan penempatan Pusat Pergigian Negara, or National Dental Centre kini sedang dalam penelitian bagi memastikan kesesuaian lokasi, skop perkhidmatan serta keperluannya dan penambahan fasiliti klinik-klinik pergigian di seluruh negara juga sedang dilaksanakan secara berperingkat bagi meningkatkan accessibility kepada perkhidmatan pergigian dan mengurangkan kesesakan di klinik-klinik sedia ada.
Usaha-usaha ini adalah bertujuan untuk memastikan semua fasiliti kerajaan sentiasa berada dalam keadaan selamat, berfungsi dengan baik dan kondusif.
Di samping projek-projek pengubahsuaian dan penaiktarafan, beberapa projek di bawah Rancangan Kemajuan, RKN12 juga sedang dilaksanakan seperti Projek Pembinaan Blok Baharu Jabatan Kecemasan Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.
Projek ini dijangka siap pada bulan Oktober 2026 dan akan meningkatkan kapasiti serta keupayaan hospital berkenaan dalam menyediakan perkhidmatan kecemasan yang lebih cekap dan selamat, serta akan memperkukuhkan kesiapsiagaan hospital dalam mengendalikan peningkatan jumlah pesakit, kes-kes kritikal serta insiden kecemasan dan bencana.
Selain itu di bawah RKN12, beberapa projek akan dilaksanakan. Projek pemindahan blok baharu Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha yang akan mempunyai 500 katil tambahan kini dalam proses penyediaan dokumen tender oleh firma perunding yang dilantik setelah conceptual design diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif Kementerian Kesihatan.
Projek pembinaan Blok Pembedahan baharu dan Blok Rehabilitasi Dewasa dan Kanak-Kanak di Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait seperti yang dinyatakan tadi dan Projek Pembinaan Pusat Kesihatan Mengkubau termasuk perkhidmatan pergigian dengan kos belanja BND15 juta berada dalam fasa reka bentuk or design phase bersama firma perunding yang telah dilantik.
Seterusnya, Projek Pembinaan Pusat Kesihatan, Bandar Seri Begawan dan Pusat Pengambilan Darah yang berjumlah BND28 juta dan Projek Pembinaan Blok Baharu Makmal Rujukan dengan kos belanja BND35 juta yang merangkumi pembinaan Makmal Rujukan Saintifik dan Makmal Rujukan Kebangsaan.
Projek-projek ini bertujuan untuk memperkasakan dan memperluaskan kapasiti perkhidmatan klinikal, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memenuhi keperluan penjagaan kesihatan bagi rakyat dan penduduk yang semakin berkembang.
Walaupun terdapat cabaran berkaitan pembekalan rantaian bekalan global, tempoh penghantaran serta proses perolehan bagi sesetengah peralatan dan bahan guna habis, Kementerian Kesihatan terus mengambil langkah-langkah mitigasi dan pemantauan secara berterusan bagi mengurangkan gangguan terhadap penyampaian perkhidmatan serta memastikan keperluan klinikal pesakit sentiasa dapat dipenuhi.
Di antara usaha-usaha yang dilaksanakan adalah pembaikan dan penyelenggaraan peralatan perubatan, preventive and corrective maintenance of medical equipment bagi memastikan peralatan sentiasa dalam keadaan berfungsi dengan baik.
Perolehan peralatan perubatan dan kerusi-kerusi pergigian secara berterusan dan berfasa setiap tahun bagi menambah jumlah peralatan mengikut keutamaan dan menggantikan peralatan perubatan lama yang telah mencapai had umur.
Perolehan bekalan bahan guna habis perubatan or medical consumables yang dilaksanakan tawaran berkontrak bagi memastikan pembekalan yang konsisten dan tidak terputus, di samping memperoleh harga yang kompetitif dan berpatutan melalui kontrak jangka panjang.
Pada masa yang sama, satu sistem inventory secara dalam talian juga sedang dibangunkan bagi membolehkan pemantauan stok dilaksanakan secara masa nyata, ataupun real time. Meramalkan trend penggunaan, mengenal pasti keperluan lebih awal serta membolehkan proses perolehan dimulakan sebelum paras stok mencapai tahap kritikal.
Sekian dalam menjawabnya, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Awang Lau How Teck yang ditujukan juga kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan diucapkan terima kasih juga kepada Yang Berhormat Awang Lau How Teck atas pertanyaan yang dikemukakan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Kementerian Kesihatan sememangnya telah merangka strategi jangka panjang bagi memastikan kapasiti perkhidmatan pakar terus berkembang sebagai sebahagian daripada transformasi sistem kesihatan yang menyeluruh while fokus kepada akses kualiti dan kemampuan.
Keutamaan ini dipacu melalui iterasi baharu BruMAP khususnya bagi memperkukuh pencegahan pengesanan awal dan pengurusan klinikal penyakit tidak berjangkit ataupun NCD sebelum pesakit memerlukan rawatan pakar yang lebih kompleks.
Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan terus memperluaskan kapasiti perkhidmatan pakar melalui pengenalan beberapa perkhidmatan baharu sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Antaranya, Perkhidmatan Rawatan Skoliosis, pemindahan buah pinggang atau renal transplant, pemindahan hati, liver transplant, Transcatheter Aortic Valve Implantation or TAVI, MitraClip, Implant Cochlear serta penubuhan makmal diagnostik bersepadu bagi memastikan rakyat dan penduduk mendapat akses kepada rawatan yang lebih komprehensif di dalam negara.
Di samping itu, Kementerian Kesihatan turut meneroka penggunaan teknologi digital dan Kecerdasan Buatan ataupun Artificial Intelligence bagi menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan termasuk membantu mempertingkatkan ketepatan diagnosis, perancangan rawatan serta membuat keputusan klinikal demi memastikan rawatan yang lebih tepat, cekap dan berkesan kepada pesakit.
Ini penting kerana NCD seperti kanser, penyakit kardiovaskular, diabetes dan penyakit respiratori kronik kekal sebagai punca utama kematian dan morbiditi di Negara Brunei Darussalam.
Kapasiti perkhidmatan pakar akan dikembangkan secara berfasa dan berasaskan keperluan penduduk, beban penyakit, keupayaan fasiliti, teknologi perubatan dan ketersediaan tenaga kerja.
Kementerian juga akan memperkukuh penjagaan kesihatan asasi, laluan rujukan dan rujukan balik supaya perkhidmatan pakar dapat difokuskan kepada pesakit yang benar-benar memerlukan kepakaran khusus.
Penyelarasan tenaga kerja adalah pemboleh utama termasuk perancangan latihan, pembangunan kepakaran, laluan kerjaya, perancangan penggantian dan pengekalan tenaga kerja.
Walaupun nisbah kerja kesihatan ketika ini ialah 23 doktor, tiga doktor gigi, 79 jururawat dan bidan serta dua ahli farmasi bagi setiap 10 ribu penduduk, tumpuan kementerian bukan sahaja kepada peningkatan bilangan tenaga kerja malah memastikan gabungan kepakaran, pengagihan yang seimbang serta penggunaan tenaga kerja yang optimum bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan.
Pendekatan multidisiplin akan diperkukuh melalui pengoptimuman peranan doktor, jururawat, Allied Health Professionals, farmasi klinikal dan pasukan penjagaan primer bagi menyokong rawatan berterusan pesakit NCD.
Transformasi Digital Bru-HIMS 2.0, integrasi Bruhealth, rekod pesakit yang lebih menyeluruh dan sokongan pusat klinikal akan membantu perancangan kapasiti rujukan dan kesinambungan penjagaan.
Pelaksanaan strategi ini akan diselaraskan dengan Manpower Blueprint dan Wawasan Brunei 2035 khususnya dalam membangunkan rakyat berkemahiran tinggi serta meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.
Matlamat akhirnya ialah memastikan pesakit mendapat rawatan yang tepat pada masa yang sesuai, di tempat yang sesuai dengan akses kepada perkhidmatan pakar yang lebih cepat, saksama dan mampan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kementerian Kesihatan akan terus memperkukuhkan kapasiti perkhidmatan rawatan pakar melalui perancangan yang strategik, penggunaan modal insan, transformasi digital serta pengukuhan sistem penjagaan kesihatan secara menyeluruh.
Matlamat kementerian adalah untuk memastikan setiap pesakit terus mendapat akses kepada perkhidmatan rawatan pakar yang berkualiti, cekap, saksama dan mampan.
Sekian terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Terima kasih Yang Berhormat Menteri Kesihatan. Terima kasih juga diucapkan kepada Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri yang telah menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat Yang Dilantik. Saya kira masa bagi kita ditentukan bagi waktu pertanyaan telah selesai dan kita sekarang beralih kepada Urusan Mesyuarat seterusnya.
Yang Mulia Jurutulis​
Usul Bilangan 4/2026. Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita masih lagi membahaskan Usul yang telah dicadangkan. Sekarang saya akan membuka ruang bagi perbahasan Usul ini dengan had masa 15 minit bagi seorang Ahli dan saya ingin menjemput sekarang Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin. Silakan.
Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca). Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Terlebih dahulu kaola merakamkan penghargaan atas peluang untuk turut sama membahaskan Usul mengenai Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 pada hari ini. Kaola juga ingin menjunjung kasih atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa pembukaan dan penutup Persidangan Menteri-Menteri Kabinet ke-92 yang telah menggariskan dengan jelas kepentingan memperkukuhkan penyelarasan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 melalui pelantikan Menteri-Menteri Penyelaras.
Pada hemat kaola, langkah ini merupakan satu pembaharuan tadbir urus yang tepat pada masanya serta mencerminkan kebijaksanaan, keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk terus memperkukuhkan penyelarasan, mempercepat pelaksanaan dan memastikan usaha pembangunan negara dilaksanakan secara lebih bersepadu agar manfaatnya benar-benar dapat dirasai oleh rakyat.
Sehubungan itu, kaola menyokong sepenuhnya Usul ini serta pendekatan whole of government yang menjadi asas kepada penyelarasan tersebut.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola faham dan maklum bahawa banyak cadangan strategik telah pun dibincangkan termasuk pandangan dan cadangan yang telah kaola dan rakan-rakan ahli yang lain suarakan semasa perbahasan Wawasan Brunei 2035 pada tahun lalu.
Negara juga tidak kekurangan rancangan dasar pelan blueprint mahupun KPI. Fokus kita kini bukan lagi kepada lagi mengkhaskan kepada lebih banyak perancangan dan pelan tapi untuk memperkukuhkan pelaksanaan, execution, mempercepat penyampaian, delivery dan memastikan hasilnya benar-benar dapat dirasai oleh rakyat.
Dalam konteks ini, kaola melihat pelantikan Menteri-Menteri Penyelaras sebagai satu mekanisme yang amat penting. Fokus kaola bukanlah untuk mempersoalkan pelantikan semula. Sebaliknya memastikan bagaimana mekanisme ini berfungsi sebagai satu sistem penyelarasan yang mampu menangani isu merentas kementerian, cross-ministerial issues dan mampu kukuhkan rangkaian penghantaran yang dikongsi bersama, shared delivery chain kerajaan serta mempercepat pencapaian hasil nasional, national outcome.
Hasil nasional, national outcome yang kaola maksudkan di sini dan ingin kaola sentuh ialah khususnya berkaitan dengan pertumbuhan ekonomi, pengurangan kemiskinan, poverty reduction dan keterjaminan bekalan makanan, food security seperti yang juga telah dibincang oleh rakan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain semasa perbahasan pada hari Isnin yang lalu.
Sehubungan itu, izinkan kaola mengemukakan beberapa cadangan yang pada hemat kaola dapat memperkukuhkan lagi pelaksanaan penyelarasan Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Pada hemat kaola, bagi memastikan pencapaian hasil nasional, national outcome tersebut, KPI yang sedia adalah perlu disejajarkan, aligned ke arah pencapaiannya.
Pada pandangan kaola, kita tidak perlu reinvent the wheel atau menambah KPI baharu, sebaliknya Menteri-Menteri Penyelaras boleh memanfaatkan dan mensejajarkan KPI yang ada, sedia ada di kementerian-kementerian untuk menilai sejauh mana gabungan usaha kementerian menyumbang kepada pencapaian hasil nasional dan impaknya di peringkat negara dan bukan dilihat sekadar dari prestasi setiap kementerian secara berasingan.
Sebagai contoh, sekiranya salah satu hasil nasional, national outcome ialah pertumbuhan ekonomi. Maka persoalannya adalah, sejauh mana setiap dasar program dan KPI yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian benar-benar menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan ekonomi negara?
Dalam hal ini, Brunei Darussalam sebenarnya mempunyai pelbagai kelebihan yang perlu dimanfaatkan, leverage secara lebih strategik. Sebagai contoh, pensijilan halal, bukan sekadar memenuhi keperluan pematuhan, tetapi merupakan satu jenama dan aset ekonomi negara yang mempunyai potensi besar untuk membuka pasaran antarabangsa sekiranya keseluruhan ekosistemnya terus diperkukuhkan.
Begitu juga hasil penyelidikan, inovasi dan pembangunan teknologi daripada Institusi Pengajian Tinggi tempatan seperti UNISSA serta institusi lain. Potensi tersebut tidak seharusnya terhenti di peringkat pendidikan semata-mata, tapi perlu diterjemahkan kepada produk, perkhidmatan, teknologi serta perusahaan yang mampu menjana nilai tambah kepada ekonomi negara.
Dalam konteks ini, peranan Menteri-Menteri Penyelaras amat penting untuk memastikan usaha-usaha tersebut tidak bergerak secara berasingan mengikut kementerian atau agensi masing-masing, tapi diselaraskan sebagai satu ekosistem pembangunan ekonomi negara yang saling melengkapi melalui pensejajaran KPI yang sedia ada.
Pada hemat kaola, pendekatan sedemikian bukan sahaja mampu memperkukuhkan penyelarasan, malah membantu memastikan KPI yang sedia ada bergerak ke arah matlamat yang sama, supaya pencapaian hasil nasional, national outcome, dapat dirasai oleh rakyat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Cadangan kedua yang ingin kaola kemukakan ialah supaya penyelarasan ini disokong oleh satu Sistem Pemantauan Prestasi Kebangsaan Bersepadu, Integrated National Performance Monitoring System yang berasaskan hasil nasional, national outcome.
Pada pandangan kaola, keputusan yang baik, bergantung pada data yang tepat, terkini, sahih dan menyeluruh. Oleh itu, kita memerlukan single source of truth yang menyepadukan maklumat daripada pelbagai kementerian supaya prestasi negara dinilai berdasarkan petunjuk dan data yang selaras.
Ini bukan bermakna semua kementerian perlu menggunakan sistem yang sama atau menghapuskan dashboard yang sedia ada. Apa yang lebih penting ialah memastikan semua maklumat tersebut dapat disepadukan, dikongsi secara bertanggungjawab supaya data berkaitan hasil nasional tidak lagi berada dalam silo kementerian masing-masing, sebaliknya memberi gambaran yang menyeluruh mengenai kemajuan negara Wawasan Brunei 2035.
Contohnya, sekiranya salah satu hasil nasional ke arah pengurangan kemiskinan, poverty reduction, ukuran kejayaannya tidak seharusnya tertumpu pada jumlah bantuan yang telah disalurkan semata-mata, tapi sejauh mana bantuan tersebut benar-benar berjaya mengubah kehidupan penerima dan membantu mereka keluar daripada kitaran kemiskinan.
Untuk menilai perkara tersebut, data daripada pelbagai kementerian dan agensi perlu disepadukan supaya perkembangan setiap penerima dapat dipantau secara menyeluruh bermula daripada bantuan yang diterima, penyertaan dalam program, peningkatan kemahiran, peluang pekerjaan sehinggalah kepada tahap kemampuan mereka untuk berdikari.
Di sinilah kaola melihat pentingnya penyelarasan antara pelbagai kementerian dan agensi melalui Sistem Pemantauan Prestasi Kebangsaan Bersepadu yang kaola cadangkan untuk mengenal pasti kumpulan sasaran, target group, mengurangkan tunggakan permohonan, memperluaskan peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran dengan matlamat akhirnya untuk memastikan penerima mampu berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan kerajaan dalam jangka panjang.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Cadangan terakhir kaola ialah supaya penyelarasan ini turut disokong oleh satu budaya penilaian prestasi yang berterusan, continuous performance assessment serta tindakan pembetulan yang cepat, rapid corrective action yang berasaskan bukti, evidence-based.
Dalam hubungan ini, kaola berpandangan bahawa tidak semua kelewatan berpunca daripada kelemahan pelaksanaan, adakalanya disebabkan oleh kekangan kapasiti, perubahan ekonomi global, teknologi, gangguan rangkaian bekalan, supply chain disruption ataupun faktor geopolitik yang berada di luar kawalan negara.
Oleh itu, proses semakan prestasi perlu disertai dengan penilaian risiko, risk assessment, analisis punca utama, root cause analysis serta pendekatan yang adaptif, fleksibel agar perlaksanaan Brunei kekal relevan dengan cabaran semasa.
Minta maaf Yang Berhormat Yang Di-Pertua, untuk menyambung lagi sedikit.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Yang Berhormat, satu minit.
Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Sebagai contoh sekiranya negara menetapkan food security, keterjaminan bekalan makanan sebagai satu hasil nasional, kerjanya tidak seharusnya diukur hanya melalui jumlah stok simpanan.
Apa yang lebih penting ialah sejauh mana negara mempunyai sistem yang benar, berdaya tahan untuk menjamin bekalan makanan dalam apa jua keadaan. Ini memerlukan pendekatan yang lebih berpandangan jauh, forward looking termasuk perancangan scenario planning, sepertimana yang telah disentuh oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II semasa perbahasan pada hari Isnin yang lalu.
Di samping itu, pendekatan ini turut memerlukan penilaian risiko berterusan, continuous risk assessment dan penilaian ketidakpastian, uncertainty assessment yang berterusan, kepelbagaian sumber import serta memperbanyakkan kerjasama pelaburan strategik dengan negara-negara pengeluar makanan agar sumber import kitani tidak bergantung.
Sebagai penutup, sekali lagi kaola menyokong penuh Usul mengenai Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 serta pelantikan Menteri-Menteri Penyelaras sebagai satu langkah strategik untuk memperkukuhkan tadbir urus dan mempercepat pelaksanaan agenda negara.
Kaola berharap, semua pihak memahami hala tuju yang sama, bekerjasama sebagai satu pasukan dan bersama-sama melaksanakan amanah ini dengan penuh komitmen.
Maka insya Allah, segala cabaran dapat ditangani dan Wawasan Brunei 2035 dapat dicapai demi manfaat negara serta rakyat, sebagaimana yang kita hasilkan.
Akhir sekali, kaola mendoakan semoga Allah Subhanahu Wata'ala mengurniakan taufiq dan hidayah kepada Menteri-Menteri Penyelaras serta seluruh jentera kerajaan dalam memikul amanah ini. Wabillahi taufik walhidayah, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Terima kasih Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya kira adalah sangat berpatutan bagi kitani untuk berehat selama 15 minit sebelum kitani menyambung untuk mendengar hujah-hujah daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat seterusnya dan kita akan, apa namanya ni, bersidang semula kemudian nanti.
(Majlis Mesyuarat berehat sebentar)
(Majlis Mesyuarat bersidang semula)
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Mesyuarat kita sambung semula dan kita mulakan dengan menjemput Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam untuk memberikan ucapannya, silakan.
Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. (doa dibaca) Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, terlebih dahulu kaola merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas peluang untuk kaola turut serta membahaskan Usul, Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.
Kaola juga menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas kebijaksanaan dan pandangan jauh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah mengambil langkah strategik melantik tiga Menteri Penyelaras dan beberapa menteri-menteri baharu ke dalam barisan Menteri-Menteri Kabinet Negara. Dalam tempoh kurang daripada satu dekad menuju Wawasan Brunei 2035, negara perlu meninggalkan pendekatan silo dan memperkukuh kerjasama serta penyelarasan merentas sektor.
Usaha merealisasikan wawasan adalah tanggungjawab bersama. Semua Menteri Kabinet sebagai pelaksana dasar, dengan disokong oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang dilantik sebagai rakan strategik dan seluruh rakyat, melalui pendekatan whole of government dan whole of nation dalam erti kata yang sebenar.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Sepertimana yang telah dibentangkan oleh rakan-rakan Ahli Yang Berhormat yang sebelum ini, kaola juga berpendapat dan bersetuju bahawa penyelarasan perlu berfungsi sebagai satu sistem operasi negara, berorientasikan hasil nasional atau national outcome merentas sektor dengan memperjelas peranan, pemilikan dan akauntibiliti setiap pihak, menangani halangan rentas kementerian serta mengukur pencapaian hasil secara berterusan.
Sistem ini hendaklah dipacu berasaskan beberapa proses utama termasuk membangunkan kerangka hasil nasional atau national outcome yang jelas dan bersepadu, mempercepat proses kelulusan dan pelaksanaan projek, memperkukuh pemadanan dan penempatan tenaga kerja, memberikan tumpuan utama kepada kualiti dan ketahanan serta mewujudkan satu National Wawasan Dashboard.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Izinkan kaola membahaskan melalui tiga hasil nasional yang pada pandangan kaola, perlu menjadi keutamaan negara untuk ditangani. Kaola menyokong Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana atau PMKS sebagai salah satu asas penting dalam pertumbuhan ekonomi negara.
Setakat ini, sokongan kepada PMKS yang meliputi bantuan awal pembiayaan, latihan, pendigitalan, pensijilan dan pemasaran dikendalikan oleh agensi-agensi yang berasingan.
Oleh itu, semua proses kelulusan dan penyampaian sokongan-sokongan tersebut, perlu diselaraskan dalam satu mechanism bersepadu, yang dipimpin oleh satu agensi peneraju dan dilaksanakan mengikut garis masa yang jelas.
Pada masa yang sama, pembangunan kemahiran dan penempatan kerja perlu dipadankan dengan keperluan sebenar PMKS. Langkah ini akan memperkukuh keupayaan perusahaan untuk menghadapi cabaran, berkembang dan menembusi pasaran antarabangsa.
Dasar dan inisiatif PMKS perlu dinilai berdasarkan impak dan kebolehlaksanaannya untuk dipetakan pada hasil yang jelas. Semua agensi mesti bergerak selari menuju satu matlamat iaitu PMKS yang produktif, berdaya saing dan mampu menyediakan pekerjaan berkualiti kepada rakyat tempatan. Kenalpasti KPI sedia ada yang menilai perubahan sebenar prestasi PMKS dalam beberapa aspek termasuk pertumbuhan hasil, produktiviti, nilai kontrak, eksport, pekerjaan berkualiti dan kelangsungan perniagaan. Faktor kejayaan dan kegagalan juga perlu dinilai dan dikenalpasti.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, kaola juga amat bersetuju keselamatan makanan sebagai salah satu asas penting dalam dasar keselamatan negara.
Bagi menjayakan hasil national sector ini, negara memerlukan penyelarasan bersepadu yang mengenalpasti bahan makanan asas, tahap permintaan, kapasiti pengeluaran tempatan dan risiko kebergantungan kepada import makanan yang mendedahkan negara kepada gangguan-gangguan bekalan dan kenaikan harga disebabkan faktor-faktor seperti perubahan iklim dan ketegangan geopolitik.
Negara juga perlu mengelak dari kebergantungan penuh kepada satu negara ataupun satu pembekal. Keselamatan tidak tertumpu kepada jumlah pengeluaran tempatan semata-mata tetapi hendaklah merangkumi ketersediaan bekalan, kemampuan rakyat membeli makanan pada harga yang berpatutan, kualiti pemakanan dan kestabilan harga.
Ia juga disokong oleh simpanan strategik yang mencukupi dengan sumber bekalan alternatif, rantaian sejuk dan tindak balas kecemasan bagi menghadapi gangguan-gangguan perdagangan, cuaca, penyakit atau kenaikan harga sambil memastikan makanan asas kekal mampu dibeli oleh rakyat tempatan dan penduduk semuanya.
Pengusaha pertanian dan makanan perlu diberikan akses yang bersepadu kepada penyediaan tanah, pembiayaan teknologi, tenaga kerja bekalan air, input pengeluaran dan khidmat teknikal.
Keberkesanan sokongan tidak seharusnya diukur pada jumlah bantuan semata-mata tetapi menilai impaknya terhadap peningkatan hasil, pengurangan kos pengeluaran, kesinambungan operasi dan keupayaan pengusaha memenuhi permintaan pasaran secara konsisten.
Ini memerlukan ekosistem sokongan yang lengkap termasuk kemudahan penyimpanan, pemprosesan, pengangkutan dan akses pasaran yang berkesan.
Pengeluaran tempatan hendaklah diselaraskan juga dengan pemborong, peruncit, pengusaha makanan serta agensi kerajaan dan swasta bagi memastikan hasil tempatan dipasarkan dengan cekap, mengurangkan kerosakan hasil dan mewujudkan pasaran yang stabil dan mampan.
Ia juga perlu dilengkapi dengan strategi, mengurangkan kebergantungan kepada import yang berdaya tahan yang dinilai dengan menetapkan sasaran secara berperingkat sebagai KPI. Ukuran kejayaan hendaklah juga merangkumi ketersediaan bekalan makanan asas, produktiviti pengeluaran tempatan dan kestabilan harga.
Oleh itu, kejayaan makanan tidak boleh dicapai melalui pengeluaran semata-mata, ia memerlukan penyelarasan dari peringkat pengeluaran sehingga makanan sampai kepada pengguna dan ini tidak boleh dilaksanakan oleh satu kementerian ataupun satu agensi semata-mata.
Dengan pendekatan bersepadu agensi-agensi yang berkepentingan di sektor swasta, kerajaan dan swasta, Insya Allah kita akan berupaya membina satu sistem makanan yang lebih produktif, stabil, mampu milik dan berdaya tahan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kemiskinan telah dikenalpasti sebagai salah satu cabaran kritikal dalam dasar sosial dan tenaga manusia.
Kerana itu, pembasmian kemiskinan atau kemiskinan sifar hendaklah menjadi hasil nasional utama untuk dicapai.
Bagi memperkukuh pencapaian ini, garis kemiskinan yang jelas dan terkini perlu ditetapkan sebagai asas untuk mengenalpasti tahap cabaran dan intervensi yang berkesan. Pendapatan semata-mata juga tidak boleh dijadikan ukuran kemiskinan yang tepat.
Ia perlu mengambil kira aspek-aspek seperti perumahan, pendidikan, kesihatan, tanggungan keluarga dan akses kepada perkhidmatan asas. Punca peningkatan hendaklah dikaji secara menyeluruh supaya intervensi benar-benar menyediakan laluan keluar daripada kemiskinan.
Program bantuan yang dikendalikan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta perlu dinilai semula dan diselaraskan ke arah satu matlamat iaitu keluarga keluar dari kemiskinan secara berkekalan. Bantuan kewangan mesti disertai dengan peluang meningkatkan pendapatan melalui pekerjaan, peningkatan kemahiran dan keusahawanan.
Ukuran kejayaan tidak seharusnya pada jumlah penerima bantuan atau jumlah bantuan yang diagihkan tetapi pada peningkatan pendapatan isi rumah, bilangan keluarga yang berjaya keluar daripada kemiskinan dan keupayaan mereka untuk kekal diluar kemiskinan dalam jangka masa yang tertentu.
Dengan penyelarasan seluruh jentera kerajaan dan swasta, setiap keluarga boleh menerima intervensi yang berkesan dan mempunyai laluan yang jelas untuk keluar daripada kemiskinan secara bemaruah dan dan berkekalan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Merentas ketiga-tiga contoh hasil nasional yang kaola bentangkan ini, satu papan pemuka wawasan nasional perlu diwujudkan sebagai platform pemantauan pelaksanaan dan pelaporan bagi kemajuan, halangan dan keputusan ke arah pencapaian wawasan. KPI-KPI utama hendaklah dipaparkan termasuk sasaran, pencapaian semasa, agensi peneraju dan tindakan pembetulan.
Maklumat perlu dikemaskini dari semasa ke semasa dan dapat diakses oleh rakyat pada tahap yang bersesuaian. Dengan ini, kerajaan dapat mengenalpasti sasaran yang tertinggal dan mempercepat tindakan manakala rakyat pula dapat mengikuti perkembangannya. Ini akan memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti serta memastikan setiap kekurangan disertai dengan tindakan susulan untuk penambahbaikan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sebagai penutup, ingin kaola tekankan bahawa cadangan-cadangan yang kaola bentangkan bukanlah bermaksud menunjuk ajar tetapi merupakan satu perkongsian dalam membahaskan usul yang menzahirkan semangat kebersamaan dan kesatuan tindakan untuk kita sama-sama menjayakan Wawasan 2035.
Pelantikan tiga Menteri Penyelaras dengan kerjasama Menteri-Menteri yang lain dan sokongan Ahli-Ahli Majlis yang Dilantik membawa amanah besar untuk menyatukan hala tuju pembangunan negara.
Oleh itu kaola sekali lagi menyatakan sokongan penuh terhadap usul ini sebagai langkah memperkukuh penyelarasan yang bersepadu demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Kekuatan struktur bukan pada pelantikan Menteri semata-mata tetapi pada pelaksanaan dasar-dasarnya.
Negara tidak perlu tambahan pelan tetapi ketegasan untuk melaksana, menyelesaikan masalah dan menyempurnakan tindakan melalui pendekatan whole of government dan whole of nation di mana semua pihak bekerja dalam satu pasukan ke arah satu matlamat bersama.
Cabaran wawasan bukan pada jumlah dokumen atau program tetapi pada peluang yang lebih luas, kehidupan yang lebih terjamin dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat. Apabila dasar dijiwai dalam pelaksanaan dan hasilnya sampai pada rakyat, barulah aspirasi wawasan menjadi kenyataan.
Kaola akhiri dengan ingatan dan renungan untuk kita renungi bersama, bahawa orang yang beriman itu seperti satu bangunan, satu bahagian menguatkan bahagian yang lain.
Ini petikan maksud hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang membuktikan pentingnya untuk kita bersatu dan saling menyokong untuk menjamin kekuatan dan kesatuan ummah. Dengan bersatu kita akan lebih teguh.
Sekian wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Sekarang saya persilakan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran)​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir Rahmanir Rahim, (doa dibaca).
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Terlebih dahulu izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas ruang yang diberikan untuk saya membahas Usul Penyelarasan Pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 yang telah disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.
Sebagaimana yang telah disampaikan oleh beberapa Ahli-Ahli Yang Berhormat terdahulu, sesungguhnya Usul ini amat bertepatan pada fasa pelaksanaan ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035. Dengan tempoh kurang daripada satu dekad lagi, keutamaan kita bukan lagi kepada perancangan semata-mata tetapi dalam memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara cepat, selaras dan memberi impak yang nyata kepada rakyat dan negara.
Sehubungan itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan peranan sektor tenaga dalam memperkukuhkan keselamatan dan keterjaminan bekalan tenaga khususnya dalam mendukung pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara yang mampan.
Terlebih dahulu saya menjunjung kasih setinggi-tingginya titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena hari keputeraan baginda yang ke-80 tahun.
Baginda bertitah menzahirkan walaupun kedudukan bekalan tenaga Negara Brunei Darussalam berada dalam keadaan yang baik, negara tidak terkecuali daripada berhadapan dengan ketidaktentuan geopolitik dan cabaran luar yang boleh menjejaskan keterjaminan tenaga. Baginda juga menekankan nilai tanggungjawab semua pihak untuk menggunakan sumber tenaga secara berhemah. Titah baginda itu memberikan panduan yang jelas bahawa keterjaminan tenaga tidak boleh hanya bergantung kepada penyediaan bekalan semata-mata malah ianya memerlukan perancangan jangka panjang, dasar yang berpandangan jauh, tadbir urus yang kukuh serta penyelarasan yang bersepadu agar sektor tenaga terus menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi dan kesejahteraan negara.
Sehubungan itu, Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri menjunjung setinggi-tingginya titah baginda dengan penuh ketaatan, perhatian dan komitmen dalam memperkukuh perancangan, penyelarasan dan pelaksanaan strategik sektor perniagaan negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Landskap tenaga dunia mengalami perubahan yang pesat disebabkan beberapa faktor termasuk ketidaktentuan geopolitik, perubahan teknologi, peralihan kepada tenaga rendah karbon serta peningkatan permintaan tenaga domestik. Oleh itu, pembangunan sektor tenaga memerlukan penekanan whole of nation yang menghimpunkan kepakaran, sumber dan komitmen semua pihak bagi memastikan setiap dasar dan pelaburan saling melengkapi ke arah matlamat yang sama.
Jabatan sedang dan akan terus memperkukuh perancangan strategik sektor tenaga jangka pendek, sederhana dan panjang bagi memastikan pembangunan diusahakan secara lebih menyeluruh dan bersepadu berorientasikan kepada hasil pelaksanaan. Tujuannya adalah bagi membentuk sektor tenaga yang berdaya tahan, berdaya saing dan mampan sebagai pemangkin kepada pencapaian aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Perancangan ini memberi tumpuan kepada empat matlamat strategik iaitu mengekalkan daya tahan sektor huluan minyak dan gas, memperkukuh pembangunan industri hiliran bernilai tinggi, memastikan bekalan tenaga elektrik dan bahan api negara kekal selamat mencukupi dan berdaya harap serta mempercepat pembangunan tenaga rendah karbon sebagai sumber pertumbuhan ekonomi masa hadapan.
Kesemua matlamat strategik ini bukan sahaja bertujuan mempunyai keperluan sektor tenaga bahkan menyokong agenda negara dalam memperkukuh keselamatan, meningkatkan daya saing ekonomi dan mewujudkan peluang baharu kepada rakyat.
Selaras dengan pendekatan whole of government yang telah dihuraikan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, kerajaan telah mewujudkan beberapa platform penyelarasan, rentas kementerian dan industri bagi memperkukuh pelaksanaan strategik.
Antaranya ialah Jawatankuasa Pandu Pertumbuhan Huluan yang berperanan mempercepat pelaksanaan pemboleh-pemboleh strategik-strategik bagi merangsang aktiviti penerokaan dan pembangunan sektor huluan minyak dan gas dan Jawatankuasa Pandu Keselamatan dan Kecekapan Tenaga pula menyelaras pelaksanaan inisiatif dan projek strategik yang bertujuan memperkukuh keterjaminan tenaga negara termasuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan infrastruktur bekalan tenaga elektrik.
Alhamdulillah, platform-platform ini telah membolehkan isu rentas agensi ditangani dengan lebih cepat dan bersepadu sekaligus memperkukuh penyelarasan dasar serta pelaksanaan projek-projek strategik negara. Pendekatan ini yang akan terus diterapkan oleh pihak jabatan dalam memperkukuh peranan sektor tenaga dan menyokong peranan-peranan penyelarasan ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Keterjaminan bekalan tenaga merupakan antara asas utama kepada objektif yang berkaitan dengan portfolio-portfolio penyelarasan dasar seperti yang telah dibentangkan khususnya dalam mendukung keselamatan negara, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Bekalan tenaga yang selamat, stabil dan mencukupi memastikan kelangsungan perkhidmatan penting, menyokong aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.
Sehubungan itu, pendekatan yang proaktif dan berpandangan jauh bagi memperkukuh daya tahan sektor tenaga memastikan negara sentiasa bersedia menghadapi sebarang ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan mahupun cabaran luaran yang lain. Antara langkah yang dilaksanakan ialah pengemaskinian Arahan Bahan Api ataupun Fuel Directive termasuk kawalan terhadap pembelian produk petroleum bersubsidi. Langkah ini bertujuan untuk memenuhi keperluan domestik dan memastikan sumber bahan api negara digunakan secara berhemah.
Jabatan Tenaga juga terus memantau inventori bahan api strategik negara dengan mengekalkan stok simpanan minima 14 hari bagi Liquefied Petroleum Gas, LPG dan 21 hari bagi produk petroleum sebagai langkah kesiapsiagaan. Stok strategik ini menyediakan buffer bagi keperluan negara sekiranya berlaku gangguan bekalan yang tidak dirancang.
Kerajaan juga telah menubuhkan Komiti Kebangsaan Menangani Kesan Konflik Timur Tengah dan Perkembangan Semasa sebagai landasan penyelarasan whole of government bagi menilai risiko geopolitik dan menyelaras langkah mitigasi proaktif serta proaktif serta bersepadu termasuk terhadap bekalan tenaga, rantaian logistik dan perkhidmatan kritikal.
Di samping memperkukuh kesiapsiagaan, jabatan turut meningkatkan keupayaan negara mengurus dan bertindak balas terhadap sebarang gangguan bekalan tenaga, Jabatan Tenaga telah menyelaras Business Continuity Plan, BCP di seluruh rantaian hiliran sektor tenaga termasuk penilaian penggunaan kritikal, penyediaan prosedur operasi standard dan latihan simulasi dan padang yakni tabletop and field exercises bagi menguji tahap kesiapsiagaan semua agensi yang berkaitan.
Crisis Management Team juga telah ditubuhkan bagi menyelaras tindak balas terhadap sebarang insiden di sektor tenaga serta memperkukuh kordinasi antara agensi kerajaan, pihak industri dan kepimpinan akar umbi agar keputusan dan tindakan dapat dilaksanakan secara tersusun, berkesan dan inklusif.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Terima kasih kepada Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin atas keprihatinan mengenai peranan keterjaminan dan keselamatan bekalan tenaga elektrik dalam pertumbuhan ekonomi. Intipati yang disampaikan oleh Yang Berhormat adalah selaras dengan pelan strategik jangka panjang jabatan dalam memastikan bekalan tenaga negara yang terjamin, berdaya harap dan mencukupi.
Dalam hubungan ini, kapasiti penyediaan tenaga elektrik negara akan terus ditingkatkan melalui pembangunan projek Loji Janakuasa Bukit Penggal fasa kedua berkapasiti 215-megawatt dan Loji Janakuasa Berakas Power Company fasa kedua berkapasiti 132 megawatt. Manakala projek Cross-Border Interconnection disasarkan mencapai final investment decision pada awal tahun 2027.
Pada masa yang sama, campuran tenaga negara terus dipelbagaikan melalui pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui. Pembinaan Loji Tenaga Solar berkapasiti 30 megawatt di Kampung Belimbing, Subok yang dilaksanakan melalui kerjasama awam swasta ataupun Private Public Partnership, PPP dijangka mula beroperasi pada penghujung tahun ini.
Untuk memastikan tenaga elektrik dapat disalurkan secara cepat dan berterusan, penaiktarafan sistem penghantaran dan pengagihan tenaga elektrik giat dilaksanakan. Pelaksanaan projek-projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12, RKN12, termasuklah penyambungan rangkaian kebangsaan melalui Projek Perdayan 66 kilo-Volt, insya Allah, akan meningkatkan kebolehpercayaan bekalan tenaga elektrik negara yang diukur melalui System Average Interruption Duration Index atau SAIDI.
Kerajaan turut memberikan perhatian kepada pengurusan permintaan tenaga, antaranya melalui cadangan pelarasan struktur dan kadar tarif elektrik bagi sektor komersial. Perkara ini telah disentuh oleh Yang Berhormat Menteri-Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa sesi pertama Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara pada awal tahun ini. Pelarasan ke tarif yang progresif bagi sektor komersial, yang dicadangkan pelaksanaannya pada tahun 2028 merupakan kesinambungan daripada pengemaskinian kadar tarif bagi sektor perumahan yang dilaksanakan pada tahun 2012.
Pelarasan ini akan memastikan struktur tarif yang lebih mampan dan berdaya saing, di samping menggalakkan penggunaan tenaga secara berhemah. Ianya juga akan menyokong penaiktarafan infrastruktur bagi memperkukuh kebolehpercayaan dan keterjaminan bekalan tenaga elektrik negara. Semua usaha ini dilaksanakan bagi melindungi keterjaminan tenaga negara sebagai asas kepada kehidupan seharian, penyampaian perkhidmatan penting dan pertumbuhan ekonomi.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Berlandaskan asas keterjaminan tenaga yang kukuh ini, sektor tenaga akan terus dimajukan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan perindustrian dan peningkatan daya saing negara.
Dalam sektor huluan, beberapa projek strategik sedang dirancang dan dilaksanakan bagi menyokong kesinambungan pengeluaran minyak dan gas negara. Ini termasuk pembangunan projek-projek pesisir luar pantai seperti yang dikendalikan oleh Syarikat Petronas Carigali Brunei Limited, PCBL dan Syarikat EnQuest, yang insya Allah akan memulakan pengeluaran pada tahun 2029.
Di samping itu, pusingan pelesenan bagi beberapa blok yang masih belum dimajukan yang dilancarkan pada tahun 2025, ketika ini melalui proses penilaian daripada tawaran-tawaran yang diterima dan disasarkan untuk dimuktamadkan menjelang penghujung tahun ini.
Pembangunan sektor hiliran minyak dan gas merupakan antara sektor keutamaan yang telah dihuraikan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri. Usaha ini akan terus diperkasakan melalui Pulau Muara Besar sebagai hab penapisan minyak mentah dan petrokimia serta Sungai Liang Industrial Park, SPARK sebagai industri hiliran berasaskan gas. Pada masa ini, Projek Loji Penapisan dan Petrokimia Fasa Ke-2 dirancang akan memulakan pembinaan pada tahun 2027.
Insya Allah, Fasa Ke-2 ini akan turut mengembangkan aktiviti lanjutan hiliran yang bernilai tambah tinggi, sekali gus memperluaskan lagi rantaian sektor hiliran negara.
Melangkah ke hadapan, selaras dengan perubahan landskap tenaga serantau dan aspirasi ke arah pertumbuhan rendah karbon, negara turut meneroka industri hiliran rendah karbon sebagai sumber pertumbuhan baharu. Penerokaan ini adalah termasuk pelaksanaan kajian bersama rakan-rakan serantau seperti Economic Research Institute for ASEAN and East Asian yakni ERIA. Bidang ini berpotensi menarik pelaburan berkualiti, memperluas rantaian nilai industri, serta mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Bagi merealisasikan potensi tersebut, kerajaan akan terus mempertingkatkan lagi kefahaman dalam membangunkan ekosistem yang menyokong pembangunan industri ini. Ekosistem tersebut merangkumi aspek teknologi, infrastruktur, pembiayaan, rantaian bekalan dan kerangka dasar dan kawal selia yang bersesuaian termasuklah pembangunan ekonomi hijau yang disokong oleh jaminan kemampanan ataupun low carbon assurance yang kukuh.
Dengan memanfaatkan kekuatan sedia ada dalam sektor tenaga, industri hiliran rendah karbon berpotensi menjadi sumber pertumbuhan baharu dalam menyokong kepelbagaian ekonomi serta pertumbuhan jangka panjang negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Seiring dengan perubahan landskap industri, kemajuan teknologi dan peralihan tenaga, pihak jabatan akan terus memastikan tenaga kerja tempatan memiliki kemahiran yang selaras dengan keperluan semasa dan masa hadapan sektor tenaga. Usaha ini adalah selaras dengan hala tuju yang telah dikongsikan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Melalui platform Manpower Industry Steering Committee, MISC, Energy Working Group, pihak kerajaan menyelaras perancangan strategik tenaga kerja bagi sektor tenaga bersama syarikat pengendali, syarikat kontraktor, institusi pendidikan dan agensi-agensi berkaitan. Platform ini memberi tumpuan kepada perancangan keperluan tenaga kerja, pembangunan kompetensi serta penyelarasan latihan dan kurikulum mengikut keperluan industri.
Ini termasuklah melalui Rangka Kerja Skills and Capacity for Alternative Low-Carbon Energy yakni SCALE yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran dalam bidang tenaga rendah karbon. Melalui inisiatif seperti Solar Internship Programme, pelajar tempatan berpeluang memperoleh pengalaman praktikal secara langsung di dalam pelaksanaan projek tenaga suria berskala besar, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja bagi menyokong pembangunan sektor tenaga pada masa hadapan.
Sebagai penutup, Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri bersama Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam dan Autoriti Elektrik Negara Brunei Darussalam memainkan peranan penting dalam memastikan pematuhan, kaola ingin menyambung Yang Berhormat Yang Di-Pertua, pematuhan dalam piawaian keselamatan serta mewujudkan persekitaran sektor tenaga yang teratur, berdaya saing dan diyakini oleh para pelabur.
Penyelarasan turut diperkukuh melalui jawatankuasa-jawatankuasa pandu rentas sektor bagi memastikan kesalinghubungan strategik antara aspek dasar, kawal selia dan pelaksanaan. Keberkesanan dan keselarasan kerjasama rentas agensi ini akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa apabila diperlukan.
Insya Allah, Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri akan terus melaksanakan amanah dalam memperkukuh keselamatan dan keterjaminan bekalan tenaga, mendukung pertumbuhan ekonomi, membangunkan modal insan serta memastikan pembangunan sektor tenaga terus memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
Saya dengan penuh sukacita menyokong Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 ini. Penyelarasan yang kukuh, bersepadu, berpandukan keutamaan negara merupakan kunci kepada pelaksanaan dasar dan strategi kerajaan yang lebih berkesan demi kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.
Saya juga amat mengalu-alukan sebarang saranan, pandangan dan teguran yang membina daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat bagi terus memperkasa pendekatan whole of nation ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Sekarang, saya persilakan Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.
Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola ingin menyatakan sokongan terhadap usaha penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035, khususnya melalui pendekatan yang lebih tersusun, bersepadu dan melibatkan kerjasama merentas kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.
Terlebih dahulu, kaola ingin menjunjung kasih ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kebijaksanaan baginda memperkenankan pelantikan Menteri-Menteri Penyelaras.
Pada hemat kaola, langkah ini amat bertepatan kerana pencapaian Wawasan Brunei 2035 bukan tanggungjawab satu kementerian sahaja, pendekatan whole of government and whole of nation perlu diterjemahkan melalui penyelarasan yang benar-benar menghasilkan impak kepada rakyat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Negara telah mempunyai pelbagai rangka pembangunan seperti Rancangan Kemajuan Negara Ke-12, Economic Blueprint, Manpower Blueprint dan Social Blueprint. Cabaran kita kini bukan semata-mata kekurangan dasar, tetapi memastikan kesemua perancangan tersebut bergerak dalam satu arah, tidak bertindih dan menghasilkan keputusan yang nyata.
Sehubungan dengan itu, kaola mencadangkan supaya diwujudkan KPI rentas kementerian yang mengukur hasil bersama khususnya dalam bidang pekerjaan anak tempatan, pembangunan ekonomi, pelaburan dan peningkatan pendapatan rakyat. Sebagai contoh, sasaran meningkatkan pekerjaan anak tempatan memerlukan penyelarasan antara pendidikan, kemahiran, ekonomi, pelaburan, industri dan dasar tenaga kerja.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola juga ingin menyentuh mengenai dengan ekonomi peringkat akar umbi mukim dan kampung mempunyai potensi dalam pertanian, perikanan, makanan, kraftangan, kebudayaan, pelancongan, perkhidmatan dan ekonomi digital, maka kaola mencadangkan supaya dipertimbangkan pendekatan ekonomi komuniti dengan mengenal pasti potensi setiap kampung dan mukim.
Dalam masa yang sama, PMKS tempatan perlu diberikan ruang untuk berkembang dan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan syarikat-syarikat besar, industri hiliran dan projek kerajaan. Matlamat kita bukan sekadar melahirkan lebih banyak perniagaan tetapi memastikan PMKS mampu bertahan, berkembang menyediakan pekerjaan dan menembusi pasaran eksport.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Pembangunan ekonomi juga perlu disokong oleh tenaga manusia yang bersedia menghadapi masa hadapan. Dengan perkembangan AI, automasi dan data dan teknologi digital, kita perlu memastikan pendidikan dan latihan sentiasa selari dengan keperluan industri. Kaola mencadangkan supaya kerjasama antara industri pendidikan, kerajaan dan industri diperkukuhkan melalui latihan berasaskan industri peningkatan kemahiran dan kemahiran semula khususnya dalam bidang AI, data teknologi digital dan keselamatan siber.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Dalam memperluaskan ekonomi digital, keselamatan siber dan perlindungan data peribadi juga tidak boleh diketepikan. Data rakyat yang dikumpulkan dan diproses termasuk melalui penyediaan perkhidmatan di luar negara perlu mempunyai perlindungan dan kawalan yang sewajarnya. Perkara ini penting bagi melindungi rakyat daripada kebocoran data, pencurian identiti, penipuan kewangan dan penyamaran.
Pada masa yang sama, ancaman scam dan penipuan dalam talian semakin canggih. Oleh itu, penyelarasan antara pihak berkuasa, institusi kewangan, syarikat telekomunikasi dan penyediaan perkhidmatan digital perlu terus diperkukuhkan. Ini termasuklah mekanisme amaran dan tindakan balas pantas bagi melindungi rakyat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Jika kita melihat kepada 3 bidang penyelarasan yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam iaitu keselamatan negara, dasar-dasar ekonomi serta dasar-dasar sosial dan tenaga manusia, ketiga-tiganya sebelumnya saling berkait. Keselamatan menyediakan kestabilan ekonomi, menyediakan peluang dan sumber.
Manakala pembangunan sosial serta tenaga manusia memastikan rakyat mempunyai kemahiran, pekerjaan dan kesejahteraan. Maka kejayaan penyelarasan ini perlu diukur bukan hanya melalui jumlah program atau aktiviti tetapi melalui hasil yang dirasai rakyat.
Apakah pekerjaan anak tempatan bertambah? Apakah PMKS semakin berkembang? Apakah pelaburan menghasilkan nilai tambah dan pekerjaan tempatan? Adakah manfaat pembangunan sampai ke kampung dan mukim? Dan dalam ekonomi digital, adakah rakyat lebih selamat daripada scam serta salah penggunaan data?
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Sebagai rumusan, kaola ingin menyokong 6 perkara utama iaitu:
Pertama, mengukuhkan KPI rentas kementerian yang berasaskan hasil dan impak kepada rakyat;
Kedua, membangunkan ekonomi komuniti dengan mengenal pasti potensi kampung dan mukim;
Ketiga, memperkasa PMKS tempatan supaya mampu berkembang menjadi pembekal industri dan menembusi pasaran eksport;
Keempat, menyelaraskan pendidikan dan tenaga manusia dengan keperluan ekonomi masa hadapan termasuk AI dan teknologi digital;
Kelima, memperkukuhkan keselamatan siber, perlindungan data peribadi dan pencegahan scam; dan
Keenam, memastikan setiap dasar dan perancangan pembangunan mempunyai ukuran keberhasilan yang jelas.
Akhirnya, kaola sekali lagi menjunjung kasih Kehadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kebijaksanaan baginda atas memperkenankan perlantikan Menteri-Menteri Penyelaras.
Kaola percaya menteri semua ini dapat memperkukuhkan penyelarasan pembangunan negara supaya segala dasar, perancangan dan sumber dapat bergerak dalam satu arah dan menghasilkan manfaat yang nyata kepada rakyat. Mudah-mudahan di bawah kepimpinan dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Negara Brunei Darussalam akan terus begerak maju sebagai sebuah negara yang maju, berdaya tahan, selamat, sejahtera dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
Selain daripada itu, kaola menyambut baik langkah kerajaan dalam menyusun semula JobCentre Brunei di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, kaola berharap perubahan ini bukan sekadar dari segi sektor pentadbiran tapi dapat mengukuhkan fungsi JobCentre Brunei dalam memadankan anak tempatan dengan peluang pekerjaan.
Meningkatkan kebolehpasaran dan kemahiran serta memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dapat dimanfaatkan oleh tenaga kerja tempatan.
Pada akhirnya, keberkesanan langkah ini hendaklah dapat dilihat melalui hasil yang nyata. Lebih ramai anak tempatan mendapat pekerjaan, membina kerjaya yang stabil dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara serta pencapaian Wawasan Brunei 2035. Dengan itu, kaola menyokong usaha penyelarasan ke arah Wawasan Brunei 2035.
Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir.
Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua (doa dibaca).
Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terlebih dahulu izinkan kaola menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kebijaksanaan dan titah perkenan baginda dalam mewujudkan Menteri-Menteri Penyelaras sebagai satu mekanisme baharu bagi memperkukuhkan penyelarasan dasar dan pelaksanaan pembangunan negara.
Dalam titah baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan pentingnya kesepaduan dan tanggungjawab bersama serta keperluan jentera kerajaan untuk bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Pada hemat kaola, inilah kekuatan utama pengwujudan Menteri-Menteri Penyelaras iaitu memastikan kementerian-kementerian tidak bergerak secara bersendirian tetapi saling melengkapi dan mempunyai hala tuju yang sama dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Dalam menyokong Usul penyelarasan ini, kaola ingin memfokuskan kepada satu perkara iaitu bagaimana penyelarasan ini dapat diterjemahkan kepada peningkatan sosioekonomi rakyat khususnya di peringkat daerah, mukim dan kampung. Pada pandangan kaola, Wawasan Brunei 2035 bukan hanya mengenai pertumbuhan ekonomi pada peringkat nasional, kejayaannya juga perlu dapat dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi.
Setiap daerah, mukim dan kampung mempunyai kekuatan dan keunikan tersendiri. Ada yang mempunyai potensi pertanian, perikanan, pelancongan, makanan, kraftangan, kebudayaan, ekonomi kreatif dan pelbagai lagi. Persoalannya bagaimana kekuatan ini dapat kita ubah menjadi aktiviti ekonomi yang berdaya maju dan mampu meningkatkan pendapatan produk?
Sehubungan itu, kaola mencadangkan supaya diwujudkan satu pendekatan, Satu Kampung Satu Ekonomi. Konsep ini bukan bermaksud setiap kampung hanya menghasilkan satu produk tetapi setiap satu kampung dikenal pasti berdasarkan kekuatan sumber kemahiran dan keunikan ekonominya. Setiap kampung boleh diperkasakan berdasarkan kekuatan dan keunikannya sama ada dalam bidang pertanian, perikanan, pelancongan, kebudayaan, kraftangan, makanan tradisional mahupun ekonomi kreatif untuk menjana pendapatan dan membuka peluang ekonomi yang lebih luas kepada masyarakat.
Dengan cara ini kita boleh sahaja membantu pengusaha kampung berniaga tetapi membina ekosistem ekonomi kampung.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kita sudah mempunyai asas melalui program seperti Satu Kampung Satu Produk atau 1K1P. Kaola melihat program ini mempunyai potensi yang besar untuk dikembangkan daripada sekadar penghasilan produk kepada satu rantaian pembangunan ekonomi. Kita perlu membantu pengusaha bukan sahaja menghasilkan produk tetapi memastikan produk tersebut mempunyai kualiti, pembungkusan, penjenamaan, pensijilan, pemasaran digital, akses kepada pembiayaan dan pasaran.
Apa yang kita mahu ialah satu perjalanan yang jelas, daripada idea kepada produk, daripada produk kepada pasaran dan daripada pasaran tempatan kepada pasaran eksport. Jika berjaya, perusahaan kampung boleh berkembang menjadi PMKS yang lebih kukuh dan seterusnya mencipta peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Di sinilah kaola melihat peranan Menteri-Menteri Penyelaras amat penting. Pembangunan, sosioekonomi kampung tidak boleh dilihat sebagai tanggungjawab satu kementerian sahaja. Ia memerlukan penyelarasan antara kementerian dan agensi yang berkaitan dengan pertanian, perikanan, pelancongan, pembangunan, ekonomi, pendidikan dan latihan, belia, kewangan, infrastruktur, digitalisasi dan pembangunan masyarakat.
Oleh itu, kaola ingin mencadangkan supaya diwujudkan satu pelan pembangunan sosioekonomi kampung bersepadu dengan penglibatan kementerian, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, penghulu dan ketua kampung, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, sektor swasta serta masyarakat. Setiap kampung boleh mempunyai profile dan peta potensi ekonominya sendiri. Dengan adanya data dan sasaran yang jelas, kita boleh menilai keberkesanan setiap program.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola juga ingin menyentuh mengenai belia sebagai penggerak ekonomi kampung. Kita mahu anak-anak muda di kampung diberikan ruang untuk membawa idea baharu dan teknologi baharu.
Maka, boleh dilatih dalam bidang keusahawanan digital, pameran media sosial, E-dagang, kecerdasan buatan, penghasilan kandungan fotografi, produk dan pengurusan perniagaan. Ini penting kerana pasaran hari ini, tidak lagi terhad kepada kawasan kampung atau daerah.
Dengan teknologi digital, produk dari sebuah kampung di Tutong, Belait, Temburong atau Brunei Muara boleh dipasarkan kepada seluruh negara malah berpotensi menembusi pasaran luar. Justeru, kaola melihat digitalisasi kampung juga boleh menjadi sebahagian daripada strategi mencapai Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Selain itu, kita juga perlu melihat kampung sebagai sebahagian daripada rantaian pelancong negara. Kita mempunyai makanan tradisional, kraftangan, cerita sejarah, budaya sungai, hutan, kawasan pertanian dan pelbagai identiti tempatan yang mempunyai nilai pelancongan.
Jika disusun secara bersepadu, kita boleh membangunkan pelancongan komuniti berasaskan kampung yang bukan sahaja menarik pelancong tetapi memberikan pendapatan terus kepada masyarakat contohnya, pengunjung datang ke kampung bukan hanya untuk melihat sesuatu tempat tetapi menikmati makanan tempatan membeli produk kampung mengikut aktiviti budaya dan merasai pengalaman kehidupan masyarakat setempat. Ini mewujudkan satu rantaian ekonomi, pelancong datang, pengusaha mendapat pendapatan, produk tempatan terjual dan ekonomi kampung berkembang.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Dalam menarik pelaburan pula, kaola berpandangan kita perlu beralih daripada hanya melihat jumlah pelaburan kepada nilai pelaburan kepada rakyat. Kita perlu memastikan setiap pelaburan membawa nilai nyata kepada negara melalui pewujudan pekerjaan. Peluang kepada anak tempatan, penglibatan PMKS, pemindahan Kemahiran dan teknologi serta pengembangan ekonomi di peringkat daerah dan kampung.
Dengan pendekatan ini, pelaburan bukan hanya masuk ke negara, tetapi nilai ekonominya turut mengalir kepada masyarakat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola juga ingin mencadangkan supaya setiap daerah mempunyai sasaran ekonomi yang jelas berdasarkan kekuatannya. Dengan cara ini, pembangunan setiap daerah menjadi sebahagian daripada satu strategi ekonomi nasional. Kampung berkembang, daerah maju, ekonomi dipelbagaikan dan negara menjadi lebih berdaya tahan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola ingin mengakhiri dengan satu perkara Wawasan Brunei 2035 tidak akan tercapai hanya melalui dasar kerajaan, ini memerlukan kerjasama kerajaan, sektor swasta dan rakyat. Menteri-Menteri Penyelaras mempunyai peranan penting untuk memastikan kerjasama ini benar-benar berlaku dan tidak terhenti pada peringkat perancangan. Oleh itu, kaola ingin memaklumkan tiga cadangan utama:
Pertama, mewujudkan permintaan potensi ekonomi setiap daerah, mukim dan kampung;
Kedua, memperkenalkan pendekatan Satu Kampung Satu Ekonomi sebagai salah satu strategi memperkukuhkan ekonomi akar umbi; dan
Ketiga, mewujudkan Pelan Pembangunan sosio ekonomi kampung bersepadu yang mempunyai sasaran tempoh pelaksanaan dan petunjuk prestasi yang boleh diukur. Kaola percaya apabila setiap kampung diberikan peluang untuk membangunkan kekuatannya, rakyat bukan sahaja menjadi penerima pembangunan tetapi menjadi penggerak pembangunan negara.
Akhirnya kaola sekali lagi, menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kebijaksanaan baginda mewujudkan Menteri-Menteri Penyelaras. Kaola menyokong penuh usaha penyelarasan ini dan berharap mekanisme tersebut akan perkukuhkan kerjasama antara kementerian mempercepatkan pelaksanaan dasar dan memastikan manfaat pembangunan sampai kepada rakyat termasuk diperingkat mukim dan kampung. Kekuatan setiap kampung adalah kekuatan daerah, kekuatan setiap daerah adalah kekuatan negara. Dengan kesepaduan kerajaan dan rakyat, insya Allah kita dapat bergerak bersama menuju Wawasan Brunei 2035 demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Sekian terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Alhamdulillah, saya kira cukuplah dulu kita bersidang pada pagi ini dan saya cadangkan supaya mesyuarat kita ini ditangguhkan. Insya Allah, kita akan bersidang semula pada petang ini, sebagaimana lazim mulai daripada jam 2.30 petang untuk meneruskan perbincangan selanjutnya.
Jadi, begitulah kita tangguhkan mesyuarat dan kita akan bersidang semula pada sebelah petang nanti.
Sekian Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
(Majlis Mesyuarat disambung pada pukul 2.30 petang)
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.