10 Ogos 26 Pagi (Hari Ke-5)
📖 Masa membaca: 50 minit
📊 Bilangan kata: 10,096 kata
(Mesyuarat mula bersidang pada pukul 9.30 pagi)
Yang Mulia Jurutulis​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan ke-22 Majlis Mesyuarat Negara bersidang pada hari kelima pada hari ini, Isnin, 26 Safar 1448 bersamaan 10 Ogos 2026 dan didahului dengan bacaan Doa Selamat.
DOA SELAMAT​
(Doa selamat dibacakan oleh Yang Mulia Begawan Mudim Awang Haji Tamin bin Haji Puting)
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah, rahmat dan izin-Nya jua, maka kita dapat hadir pada pagi ini bagi hari kelima di Mesyuarat Kedua dalam Musim Permesyuaratan ke-22 Majlis Mesyuarat Negara.
Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, kaum kerabat, para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita akan memulakan hari ini dengan urusan mesyuarat seterusnya.
Yang Mulia Jurutulis​
Waktu Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sekarang saya membukakan ruang bagi waktu pertanyaan selama satu jam.
Saya mulakan dengan soalan pertama yang diterima daripada Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Silakan Yang Berhormat.
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua, terlebih dahulu kaola ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed.
Atas soalan mengenai bagaimana kerajaan memastikan industri telekomunikasi negara terus berdaya saing dari segi harga, kapasiti data dan inovasi perkhidmatan khususnya peningkatan pengguna pada masa ini mempunyai semakin banyak pilihan perkhidmatan digital rentas sempadan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, secara dasarnya kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam, AITI sentiasa memastikan daya saing industri telekomunikasi melalui tiga pendekatan utama.
Iaitu memastikan persaingan yang sihat, menggalakkan penawaran perkhidmatan yang memberikan nilai kepada pengguna serta mendorong inovasi dan peningkatan kualiti perkhidmatan.
Dari segi harga, berdasarkan penilaian antarabangsa melalui ITU ICT Price Basket 2025, Negara Brunei Darussalam berada di tempat kedua di ASEAN bagi semua indicator selepas daripada Republik Singapura dan ke-29 daripada 208 buah negara di dunia.
Negara juga dikategorikan sebagai target met bagi harga perkhidmatan jalur lebar mudah alih dan tetap. Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan perkhidmatan digital yang berkualiti, mampu milik dan inklusif selaras dengan aspirasi Digital Brunei 2030.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Selain melihat kepada harga semata-mata, kementerian melalui AITI turut mengambil kira faktor-faktor lain termasuk nilai yang diterima oleh pengguna dari segi jumlah data, ciri-ciri serta manfaat perkhidmatan yang ditawarkan.
Sebagai misalan harga pelan pascabayar peringkat permulaan telah menurun sebanyak 60 peratus, pelan yang dahulunya menawarkan 8 gigabyte pada harga BND30 kini menyediakan sehingga 18 gigabyte, yang bermakna kos bagi setiap gigabyte telah menurun lebih daripada 55 peratus. Pada masa yang sama, para operator tempatan turut menawarkan pelbagai pilihan serta panggilan dan SMS tanpa had serta pelan khusus data. Ini memberikan pengguna lebih banyak pilihan untuk memilih pakej yang bersesuaian dengan keperluan dan penggunaan masing-masing.
Dari segi inovasi pula, kementerian akan terus menggalakkan para operator untuk meningkatkan kualiti, memperkenalkan perkhidmatan baru serta menyesuaikan penawaran mereka dengan perubahan corak penggunaan digital.
Ini penting kerana persaingan pada masa ini bukan lagi hanya antara satu operator dengan operator yang lain di dalam negara. Pengguna juga semakin terdedah kepada pelbagai perkhidmatan digital dari luar negara yang mungkin menawarkan harga, kandungan atau ciri-ciri yang lebih menarik.
Oleh itu, para operator tempatan perlu sentiasa melihat kepada keperluan dan jangkaan pengguna serta terus berinovasi supaya perkhidmatan yang ditawarkan kekal relevan dan kompetetif.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Berhubung dengan penggunaan perkhidmatan rentas sempadan termasuk roaming, kementerian memahami bahawa sebilangan pengguna mungkin memilih perkhidmatan daripada penyedia luar negara atas faktor-faktor tertentu termasuk liputan, keserasian rangkaian, harga dan keperluan semasa berada di luar negara.
Namun begitu, perlu dijelaskan bahawa tarif roaming adalah ditentukan secara komersial melalui International Roaming Agreements antara operator dengan rakan antarabangsa masing-masing dan bukan ditetapkan oleh AITI.
Walaupun demikian, AITI akan terus menggalakkan para operator untuk merundingkan dan menawarkan pakej roaming yang lebih kompetitif serta memberikan nilai yang lebih baik kepada pengguna.
Pada masa yang sama, kementerian akan terus memastikan persekitaran kawal selia yang adil, telus dan kondusif kepada persaingan. Ini termasuk melalui pemantauan pasaran, perbincangan berterusan dengan UNN dan para operator seperti DST, Imagine dan Progresif serta mengambil kira perkembangan teknologi dan perubahan dalam keperluan pengguna.
Dalam perkara yang berkaitan dengan penetapan harga, struktur pakej dan nilai tambah sesuatu perkhidmatan pada akhirnya merupakan keputusan komersial setiap operator.
Justeru, para operator sendiri perlu memainkan peranan untuk terus berinovasi, meningkatkan kualiti dan menawarkan nilai yang kompetitif agar kekal menjadi pilihan orang ramai.
Persaingan yang sihat ini seterusnya akan memberi manfaat kepada pengguna melalui pilihan yang lebih baik, harga yang berpatutan serta perkhidmatan yang berkualiti.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kesimpulannya, dalam menghadapi pilihan digital yang semakin luas merentas sempadan, pendekatan kementerian bukanlah untuk menghalang pengguna daripada mendapatkan perkhidmatan luar negara tetapi untuk memastikan industri tempatan mempunyai persekitaran yang membolehkan ia terus bersaing.
Dengan dasar dan kawal selia yang menyokong persaingan yang sihat serta kerjasama berterusan dengan industri, kita mahu memastikan pengguna di negara ini terus mempunyai pilihan perkhidmatan yang berkualiti, kapasiti data yang mencukupi, harga yang berpatutan dan perkhidmatan yang sentiasa berkembang mengikut keperluan zaman.
Sekian sahaja dahulu yang dapat kaola kongsikan mengenainya. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin yang juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terlebih dahulu kaola mohon izin bagi menjawab soalan-soalan ini bersama dengan soalan 3 dan soalan 4 iaitu daripada Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman dan daripada Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Pertama sekali kaola ingin menjelaskan bahawa kementerian melihat pengangkutan awam bukan semata-mata sebagai satu perkhidmatan komersial tetapi sebagai satu kemudahan awam yang penting dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat, menyokong aktiviti ekonomi dan menghubungkan kawasan-kawasan di negara ini.
Oleh itu, matlamat kementerian bukan hanya untuk menambah bilangan bas atau laluan tetapi untuk membangunkan satu sistem pengangkutan awam yang lebih efisien, mudah diakses, bersepadu dan berdaya tahan bersesuaian dengan keperluan penduduk.
Dalam perkara ini, kementerian sedang giat meneliti pendekatan yang bersesuaian dalam memastikan agar perkhidmatan pengangkutan awam dapat terus disediakan secara berkesinambungan, berkualiti dan mudah diakses oleh orang ramai.
Oleh itu, kementerian melihat pendekatan perkhidmatan pengangkutan awam ini kepada dua modal utama iaitu: Pertama, perkhidmatan bas di laluan-laluan utama khususnya di kawasan yang mempunyai permintaan penumpang yang tinggi dengan laluan dan jadual yang tetap; dan
Kedua, perkhidmatan bas berkonsepkan Transit Responsif Atas Permintaan atau lebih dikenali dengan Demand Responsive Transit, DRT.
Melalui pendekatan ini, perkhidmatan bas adalah lebih fleksibel dan boleh disesuaikan mengikut permintaan orang ramai. Pendekatan ini khususnya bersesuaian bagi kawasan-kawasan yang kurang mendapat liputan ataupun yang tidak mempunyai permintaan penumpang yang mencukupi untuk laluan bas tetap.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Dari segi pelaksanaan, kementerian telah melalui beberapa peringkat proses penilaian:
Pertama, Request for Information bagi Core Bus Network Services dan Smart Transportation System yang telah dikeluarkan pada 6 Disember 2023 dan telah ditutup pada 1 Februari 2024; dan
Kedua, melalui Request for Proposal bagi penyediaan, pengendalian, pengurusan dan penyelenggaraan perkhidmatan pengangkutan awam yang telah dikeluarkan pada 2 Oktober 2024 dan ditutup pada 11 Mac 2025.
Hasil daripada penilaian tersebut, insya Allah sebuah syarikat telah dikenal pasti berpotensi untuk menawarkan perkhidmatan DRT.
Sehubungan itu, Jabatan Pengangkutan Darat telah pun mengeluarkan license to operate kepada syarikat berkenaan pada 30 April 2026.
Sungguhpun demikian, setentunya perkara tersebut masih memerlukan pengemaskinian dan persediaan lanjut khususnya dari segi kesiapsiagaan pihak pengendali, operasi dan infrastruktur yang diperlukan.
Jadinya, berhubung dengan persoalan sama ada perkhidmatan ini akan mula beroperasi pada awal tahun 2027, kementerian bercadang untuk memulakan perkhidmatan DRT ini secara berperingkat.
Pada peringkat awal, perkhidmatan ini akan melibatkan dua zon terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke zon-zon yang lain.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Perkembangan pengangkutan awam juga tidak hanya tertumpu pada perkhidmatan bas tetapi turut melibatkan penambahbaikan infrastruktur dan penggunaan teknologi. Di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12, Jabatan Pengangkutan Darat sedang melaksanakan beberapa inisiatif.
Antara inisiatif tersebut termasuklah menaik taraf, mengemas kini dan memasang tiang-tiang bas serta pondok-pondok perhentian bas di seluruh negara. Ini adalah bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan para penumpang.
Di samping itu, terdapat juga usaha untuk menyediakan dan menaik taraf infrastruktur pengangkutan awam bagi menyokong operasi bas termasuk penerapan teknologi melalui Smart Transportation System atau STS bagi membantu menjadikan pengurusan lalu lintas dan pengangkutan lebih efisien.
Pada masa yang sama, sistem penjejakan bas secara real time melalui aplikasi mudah alih akan diperkenalkan. Melalui sistem ini, orang ramai akan dapat membuat tempahan bas secara on demand, mengetahui kedudukan bas serta jangkaan waktu ketibaannya, insya Allah.
Ini diharap dapat menjadikan perkhidmatan bas lebih mudah digunakan, telus serta seterusnya meningkatkan keyakinan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kementerian juga menyedari bahawa pengangkutan awam mempunyai dimensi sosial yang penting. Bukan semua rakyat mempunyai akses kepada kenderaan persendirian dan terdapat golongan tertentu yang lebih bergantung kepada pengangkutan awam untuk ke tempat kerja, sekolah dan mendapatkan perkhidmatan asas.
Dalam hubungan ini, isu berkaitan perkhidmatan pengangkutan awam juga telah dibincangkan bersama dengan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, yang turut menekankan kepentingan pengangkutan bas awam dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat di negara ini.
Antara perkara yang dibincangkan ialah keperluan untuk mengadakan perkhidmatan percubaan atau projek pilot termasuk DRT serta membuat penelitian lanjut dari aspek sosial dan pengangkutan.
Penelitian ini mengambil kira keperluan golongan yang memerlukan termasuk mereka yang mempunyai keterbatasan dari segi akses kepada pengangkutan di samping menilai keberkesanan, kelangsungan dan kemampuan perkhidmatan tersebut.
Dalam hubungan ini, kementerian sedang membuat penelitian terhadap kaedah pengoperasian, kadar tambang yang berpatutan serta bentuk sokongan yang bersesuaian kepada pengendali. Ini penting kerana perkhidmatan pengangkutan awam kebanyakan negara memerlukan sokongan kerajaan khususnya apabila jumlah penumpang masih rendah sedangkan tambang perlu dikekalkan pada tahap yang mampu dibayar oleh orang ramai.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kesemua usaha ini bukan semata-mata untuk menyokong Tahun Melawat Brunei 2027, walaupun pengangkutan awam yang lebih baik tentunya akan memudahkan para pelancong bergerak ke tempat-tempat tarikan di negara ini.
Yang lebih penting, apa yang sedang diusahakan ini adalah satu bentuk pelaburan jangka panjang untuk rakyat supaya mereka mempunyai pilihan pengangkutan yang lebih baik, khususnya mereka yang tidak mempunyai kenderaan persendirian.
Dalam melaksanakan perkara ini, kementerian akan terus bekerjasama dengan kementerian-kementerian yang berkaitan, agensi kerajaan, pengendali dan pihak-pihak berkepentingan melalui pendekatan whole of nation.
Kesimpulannya, hala tuju kementerian adalah untuk membangunkan satu ekosistem pengangkutan awam yang lebih menyeluruh dengan menggabungkan laluan bas yang bersesuaian, perkhidmatan DRT, infrastruktur yang lebih baik, penggunaan teknologi serta bentuk sokongan yang diperlukan.
Dalam kesempatan ini juga, kaola sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para pengusaha bas tempatan dan penyedia perkhidmatan pengangkutan awam lainnya atas sumbangan dan kerjasama dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam kepada orang ramai di negara ini.
Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Dengan jawapan-jawapan yang diberikan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi itu, kita beralih kepada soalan bilangan 5, PL284 yang diterima daripada Yang Berhormat Awang Lau How Teck, yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan. Silakan, Yang Berhormat.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan​
Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim.
Terima kasih Yang Berhormat Awang Lau How Teck atas soalan yang dikemukakan. Kementerian Pendidikan menyedari bahawa perkembangan pesat teknologi, automasi dan Kecerdasan Buatan sedang mengubah landskap pekerjaan serta kompetensi yang diperlukan oleh industri.
Oleh itu, kementerian melaksanakan lima strategi utama bagi memastikan sistem pendidikan tinggi dan TVET terus responsif serta graduan bersedia memenuhi keperluan industri dan ekonomi masa hadapan: Pertama, memastikan kurikulum sentiasa relevan. Mulai tahun ini, Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Institusi TVET akan memperkukuh kurikulum melalui pengenalan modul teras berkaitan teknologi baharu dan sedang berkembang ataupun emerging technologies serta kemahiran kelestarian.
Elemen literasi digital AI, automasi, analitik data dan teknologi berkaitan turut diintegrasikan secara sistematik ke dalam program sedia ada. Langkah ini bertujuan memastikan setiap graduan tanpa mengira bidang pengajian mempunyai asas digital dan kefahaman yang mencukupi tentang teknologi yang sedang membentuk industri dan pekerjaan masa hadapan.
Kurikulum turut disemak secara berkala berdasarkan perkembangan teknologi, maklum balas majikan dan pandangan panel penasihat industri. Kementerian juga bekerjasama dengan Pejabat Perancangan Tenaga Manusia, Jabatan Perdana Menteri serta Manpower Industry Steering Committee bagi menyelaraskan program pendidikan dan latihan dengan keperluan kompetensi industri serta permintaan sebenar pasaran pekerjaan;
Kedua, mentransformasikan kaedah pembelajaran. Institusi Pendidikan Tinggi dan TVET akan memperluas pembelajaran berasaskan projek, penyelesaian masalah sebenar dan projek collaborative bersama industri.
Pendekatan ini bertujuan membangunkan pemikiran kritikal, kreativiti dan keupayaan menyelesaikan masalah. Budaya pembelajaran sepanjang hayat turut dipupuk supaya graduan mampu meningkatkan dan memperbaharui kemahiran seiring dengan perubahan teknologi dan struktur ekonomi;
Ketiga, memperkukuh kerjasama dengan industri dan sektor swasta. Pelaksanaan latihan industri dan perantisan akan terus diperkemas supaya lebih tersusun dan berstruktur, termasuk melalui bimbingan oleh pengamal industri, penyelidikan bersama dan pensijilan profesional. Pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar ini penting untuk membangunkan kompetensi praktikal, kesiapsiagaan industri serta pemahaman terhadap jangkaan majikan, budaya prestasi dan standard produktiviti;
Keempat, memperkukuh karakter, sahsiah dan kemahiran insaniah. Dalam era AI, kemahiran teknikal sahaja tidak mencukupi. Institusi Pendidikan Tinggi dan TVET akan memperkukuh nilai-nilai MIB serta kemahiran seperti komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan, kebolehsuaian dan pertimbangan beretika melalui kurikulum, kokurikulum, khidmat masyarakat, latihan industri dan budaya institusi. Ini bertujuan melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir menggunakan teknologi tetapi juga berintegriti, bertanggungjawab dan berdaya tahan; dan
Kelima, memperkukuh penambahbaikan program berasaskan data. Kementerian menggunakan dapatan Graduate Employment Study dan Employer Satisfaction Survey untuk menilai kebolehpasaran graduan serta tahap kepuasan majikan.
Mulai tahun ini, Feature Analysis Model akan dilaksanakan di seluruh IPTA bagi menilai prestasi program berdasarkan permintaan, kadar tamat pengajian, kos, kebolehpasaran, relevansi, pekerjaan dan gaji median.
Dapatan ini akan digunakan untuk menambah baik, menyusun semula atau memperkenalkan program yang lebih selaras dengan keperluan industri dan pembangunan negara. Kementerian Pendidikan akan terus memastikan pendidikan tinggi dan TVET kekal responsif terhadap perubahan teknologi dan keperluan industri serta melahirkan graduan yang berkemahiran, berkarakter dan bersedia menyumbang kepada ekonomi masa hadapan. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman yang jua ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan. Silakan.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman atas soalan yang dikemukakan.
Sepertimana penjelasan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama pada Sabtu lepas, peranan Pusat Penyelidikan Halalan Tayyibban, PPHT, UNISSA sememangnya boleh terus dipertingkatkan lagi bagi membantu pihak industri memastikan proses pengeluaran makanan termasuk penyembelihan, memenuhi keperluan halal dan hukum syarak.
Dalam hubungan ini, kerjasama antara Kementerian Hal Ehwal Ugama dan UNISSA telah pun dilaksanakan melalui memorandum persefahaman yang dimeterai pada 2 Februari 2023.
Antaranya menerusi Projek Rakan Penyelia Halal yang memberi peluang kepada pelajar UNISSA menjalani latihan industri sebagai penyelia halal dalam latihan premis-premis industri halal di bawah pemantauan Bahagian Kawalan Makanan Halal.
PPHT boleh menyumbang melalui kepakarannya dalam penyelidikan dan analysis scientific termasuk pengesahan bahan mentah, kaedah pelalian dan penyembelihan halal serta kajian berkaitan sistem jaminan halal, keselamatan makanan dan teknologi halal bagi memenuhi keperluan pihak berkuasa dan industri.
Bagi proses pensijilan halal pula, UNISSA tidak mempunyai bidang kuasa untuk meluluskan sijil dan permit halal. Namun, UNISSA boleh membantu pengusaha sebelum permohonan rasmi dikemukakan.
Antaranya melalui kursus dan latihan berkaitan halal, khidmat nasihat, semakan kesiapsiagaan dokumentasi dan pematuhan serta pembangunan sistem jaminan halal.
Langkah ini dapat membantu pengusaha membuat persediaan yang lebih baik dan mengurangkan kekurangan dalam permohonan yang dikemukakan.
Walau bagaimanapun, fungsi pemeriksaan pengawalseliaan, penguatkuasaan serta kelulusan sijil dan permit halal kekal di bawah pihak berkuasa yang ditetapkan sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Dengan pembahagian peranan ini, kepakaran UNISSA dapat dimanfaatkan untuk menyokong proses pensijilan halal tanpa mengambil alih fungsi pengawalseliaan. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan daripada Yang Berhormat Awang Lau How Teck yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Awang Lau How Teck atas pertanyaan mengenai usaha kementerian memastikan pelaksanaan Digital Brunei 2030 dapat memberikan hasil yang nyata kepada perusahaan tempatan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Digital Brunei 2030 merupakan pelan hala tuju transformasi digital kebangsaan yang menyediakan rangka kerja bagi membangunkan ekosistem digital Negara Brunei Darussalam merangkumi sektor kerajaan, masyarakat dan perniagaan sehingga tahun 2030.
Penyediaan pelan Digital Brunei 2030 telah dilaksanakan melalui beberapa sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuklah Chambers of Commerce bagi mendapatkan pandangan dalam usaha untuk memastikan pelan yang dirangka mengambil kira keperluan dan aspirasi pelbagai sektor.
Bagi memastikan transformasi digital ini dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti, inovasi dan daya saing perusahaan tempatan, kementerian memberi tumpuan kepada empat strategi utama yang saling melengkapi iaitu Digital Government, Digital Society, Digital Business serta Data and AI.
Pertama, melalui Digital Government. Kementerian berusaha untuk memperluaskan penggunaan perkhidmatan dan aplikasi digital dalam setiap penyampaian perkhidmatan kerajaan. Di samping memperkemas proses dan mengurangkan bureaucracy; Kedua, Digital Society. Dengan memberi tumpuan kepada peningkatan literacy dan kemahiran digital rakyat serta tenaga kerja dalam memastikan Negara Brunei Darussalam mempunyai sumber manusia yang bersedia memenuhi keperluan ekonomi digital dan menyokong pertumbuhan perusahaan tempatan;
Ketiga, melalui Digital Business. Kementerian komited untuk menggalakkan penggunaan teknologi serta pembayaran digital yang selamat dan cekap, memudahkan urusan perniagaan, mengurangkan kos transaksi dan membantu perusahaan tempatan meningkatkan kecekapan operasi; dan
Keempat, Data and AI akan memperkukuh keupayaan perusahaan untuk memanfaatkan data Kecerdasan Buatan dan analytic dalam membuat keputusan, meningkatkan produktiviti serta menghasilkan produk dan perkhidmatan yang lebih inovatif.
Keempat-empat strategi utama ini mempunyai hubungan langsung dengan produktiviti, inovasi dan daya saing. Proses yang lebih cekap meningkatkan produktiviti. Akses kepada Data dan AI merangsang inovasi, manakala tenaga kerja yang berkemahiran digital memperkukuh daya saing perusahaan termasuk di pasaran serantau.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kementerian menyedari bahawa pelan yang baik hanya akan memberikan impak sekiranya perlaksanaannya berkesan. Oleh itu, kita tidak hanya boleh bergantung kepada perancangan semata-mata tetapi juga turut memberi perhatian kepada perlaksanaannya, pemantauannya dan penambahbaikannya dibuat secara berterusan.
Ini dapat dilaksanakan melalui penglibatan pelbagai pihak berkepentingan khususnya sektor swasta, institusi akademik dan pemain industri bagi memastikan dasar dan inisiatif yang dirangka benar-benar mengambil kira keperluan semasa.
Sesi libat urus juga akan terus dilaksanakan dan dipertingkatkan bagi mendapatkan maklum balas menilai kemajuan serta mengenal pasti cabaran agar pendekatan yang diambil sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.
Dalam perkara yang berkaitan juga, kementerian akan secara terus-menerus memberikan sokongan kepada perusahaan tempatan khususnya, Perusahaan Kecil dan Sederhana melalui inisiatif-inisiatif seperti adaptasi digital, pembangunan kemahiran dan projek rintis bagi membantu perusahaan mengatasi cabaran dalam mengguna pakai teknologi.
Pemantauan prestasi juga penting untuk memastikan usaha ini menghasilkan impak yang boleh diukur. Oleh yang demikian, petunjuk prestasi yang bersesuaian akan digunakan untuk menilai perkembangan penggunaan teknologi digital termasuk pameran digital dan AI serta manfaatnya kepada perusahaan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kita semua mengetahui bahawa kejayaan agensi transformasi digital tidak dapat dicapai secara bersendirian. Sebaliknya, ia menuntut kerjasama bersepadu antara kerajaan, sektor swasta, institusi akademik dan masyarakat sebagai satu usaha bersama dalam merealisasikan aspirasi Digital Brunei 2030.
Dalam hubungan ini, apa yang kita hasratkan ialah agar setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan adalah praktikal dan mesra perniagaan, teknologi dapat diakses dengan kos yang bersesuaian dan pengetahuan serta kemahiran digital akan dapat terus diperkembangkan.
Akhirnya, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Digital Brunei 2030 bukan sekadar mengenai teknologi tetapi mengenai manfaat yang dapat dihasilkan melalui teknologi.
Matlamat kita adalah untuk memastikan setiap perusahaan tanpa mengira saiz dapat memanfaatkan teknologi digital untuk menjadi lebih produktif, lebih inovatif dan lebih berdaya saing, bukan sahaja di dalam Negara Brunei Darussalam bahkan di peringkat serantau.
Teknologi adalah alat. Ukuran kejayaan kita ialah sejauh mana alat tersebut dapat meningkatkan produktiviti, membuka peluang dan membawa manfaat yang nyata kepada rakyat serta perusahaan tempatan.
Sekian sahaja dahulu yang dapat kaola kongsikan mengenainya. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin yang juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Terlebih dahulu kaola mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin atas soalan mengenai langkah-langkah kerajaan dalam memperkukuh pencegahan, penguatkuasaan kerjasama dengan institusi kewangan serta perlindungan mangsa kepada jenayah siber khususnya penipuan dalam talian atau online scam.
Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memandang serius isu ini. Penipuan dalam talian kini semakin kompleks, menggunakan pelbagai saluran seperti panggilan telefon, media sosial, laman sesawang palsu serta skim pelaburan yang tidak berlesen.
Dalam menangani cabaran ini, pendekatan kementerian bukan hanya tertumpu kepada penguatkuasaan selepas kejadian berlaku tetapi turut kepada pembentukan satu ekosistem pencegahan dan perlindungan yang menyeluruh melibatkan agensi kerajaan, institusi kewangan, pihak industri dan orang ramai. Dalam hal ini kaola ingin mengetengahkan empat pendekatan utama iaitu:
Pertama, pencegahan dan kesedaran awam. Autoriti Industri Teknologi Info-komunikasi, AITI telah melancarkan platform Waspada.bn pada bulan Jun 2025 sebagai platform fact-checking dalam menangani maklumat palsu.
Setakat 1 Julai 2026, akaun Instagram Waspada.bn telah menerbitkan 226 hantaran dalam bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris meliputi kandungan berbentuk amaran, penjelasan dan maklumat palsu. Usaha ini akan terus diperkukuhkan melalui media sosial, siaran awam dan program jangkauan komuniti khususnya dalam meningkatkan kesedaran mengenai taktik penipuan yang sentiasa berubah.
Pada masa yang sama, kementerian akan turut memperluaskan pendidikan literasi digital dan keselamatan siber termasuk di institusi pendidikan supaya budaya berwaspada dapat dibina sejak awal;
Kedua, penguatkuasaan dan tindakan undang-undang melalui pendekatan whole of government dan whole of nation. Anti-Scam Centre menjadi antara mekanisme utama dalam menyelaras usaha menangani penipuan dalam talian.
Anti-Scam Centre, ASC melibatkan agensi-agensi utama termasuk Pasukan Polis Diraja Brunei, Cyber Security Brunei, AITI, Brunei Darussalam Central Bank serta agensi-agensi berkaitan yang lain.
Talian bantuan ASC 16993 yang mula beroperasi pada bulan Ogos 2025 menyediakan saluran bagi orang ramai untuk mendapatkan bantuan dan panduan berkaitan kes penipuan dalam talian. Keupayaan siber dan forensik digital bersama pihak yang berkenaan akan terus dipertingkatkan bagi mengesan, menyiasat dan mengambil tindakan terhadap sindiket penipuan.
Pada masa yang sama juga, mengambil kira jua bahawa jenayah ini tidak mengenal sempadan, kerjasama dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa dan rakan-rakan ASEAN juga akan diperkukuhkan khususnya dalam menangani jenayah siber rentas sempadan;
Ketiga, kerjasama dengan institusi kewangan. Dalam kes penipuan dalam talian, masa adalah amat kritikal. Lebih cepat sesuatu laporan diterima dan tindakan diambil, lebih tinggi peluang untuk menyekat pemindahan dana dan mendapatkan semula wang mangsa.
Dalam hubungan ini, portal scam watch yang kini sedang dibuat dan masa ini di peringkat akhir ujian beta, akan disasarkan untuk beroperasi pada suku kedua tahun 2027. Portal ini akan menjadi salah satu platform utama laporan yang membolehkan maklumat mengenai kes penipuan disalurkan dengan lebih cepat bagi menyokong tindakan menyekat pemindahan dana serta meningkatkan peluang pemulangan wang kepada mangsa.
Kerjasama dengan Brunei Darussalam Central Bank dan bank-bank tempatan jua akan terus diperkukuhkan khususnya dalam mekanisme sekatan pantas terhadap akaun dan transaksi yang disyaki berkaitan dengan penipuan.
Di samping itu, aspek keselamatan transaksi akan terus diberi perhatian termasuk penggunaan pengesahan transaksi, had transaksi serta amaran segera bagi transaksi yang luar biasa atau mencurigakan; dan
Keempat, perlindungan dan pemulihan mangsa. Kementerian faham bahawa kesan penipuan bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan tetapi dalam sesetengah keadaan turut memberi tekanan dan kesan emosi kepada mangsa.
Oleh itu, Talian Bantuan 16993 akan terus menjadi antara saluran awal bagi mangsa mendapatkan nasihat dan panduan. Portal scam watch pula akan memudahkan proses pelaporan dan membantu mempercepatkan tindakan susulan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Apa yang ingin kaola tekankan di sini ialah usaha menangani online scam tidak boleh bergantung kepada satu agensi atau satu mekanisme sahaja. Hala tuju kementerian ini adalah untuk bergerak daripada pendekatan yang bersifat reaktif kepada pendekatan yang lebih proaktif, bersepadu dan berasaskan pencegahan.
Ini bermakna kita perlu meningkatkan kesedaran sebelum seseorang menjadi mangsa kerana di sebalik setiap kes penipuan ada seseorang manusia yang terkesan, mungkin sahaja ibu bapa kita, anak-anak kita, saudara-mara kita, malah orang yang paling dekat dengan kita.
Mereka bukan sekadar angka atau statistik, mereka mungkin kehilangan wang hasil titik peluh bertahun-tahun dan yang lebih menyedihkan turut kehilangan rasa percaya dan ketenangan dalam kehidupan seharian.
Oleh itu, kita perlu bertindak lebih awal dengan mempercepatkan pengesanan apabila penipuan berlaku, memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan pada masa yang sama memastikan setiap mangsa tidak dibiarkan bersendirian sebaliknya mendapat bantuan sokongan serta peluang terbaik untuk mendapatkan semula wang mereka.
Kejayaan kita bukan hanya diukur daripada jumlah kes yang berjaya disiasat atau tindakan yang diambil tetapi juga daripada sejauh mana kita dapat mencegah orang ramai daripada menjadi mangsa dan mengurangkan kerugian akibat penipuan dalam talian.
Justeru, kementerian insya Allah akan terus memperkukuh keempat-empat teras ini melalui kerjasama erat antara agensi kerajaan, institusi kewangan, pihak industri, rakan antarabangsa dan yang paling penting orang ramai, orang Brunei kitani sendiri. Kerana dalam menangani jenayah siber, keselamatan digital adalah tanggungjawab bersama.
Sekian terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Sebelum kaola menjawab soalan ini, kaola ingin membuat sedikit pembetulan kepada jawapan kaola sebentar tadi bagi soalan pertanyaan lisan PL284. Ayat yang betul adalah kementerian juga bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan bukannya seperti ayat yang telah kaola sebut tadi.
Baiklah, sekarang kaola ingin menjawab Pertanyaan Lisan, PL305 daripada Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann. Terima kasih Yang Berhormat atas soalan tersebut.
Mengenai strategi Kementerian Pendidikan untuk memperkukuh TVET supaya lebih ramai belia memilih laluan kemahiran yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran kerja, Kementerian Pendidikan memberikan tumpuan kepada tiga perkara utama:
Pertama, memastikan program TVET selaras dengan keperluan industri. Program TVET dibangunkan dan dikemas kini berdasarkan data pasaran kerja, unjuran keperluan tenaga kerja serta maklum balas industri melalui Manpower Industry Steering Committee atau MISC. Pada masa ini, MISC memberikan tumpuan kepada enam sektor iaitu tenaga, pembinaan, pengangkutan dan logistik, hospitaliti dan pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT, serta pemakanan.
Melalui kerjasama MISC, jenis dan jumlah pekerjaan yang diperlukan oleh industri serta pekerjaan kritikal telah dikenal pasti. Maklumat ini digunakan bagi membantu institusi pendidikan dan latihan menyelaraskan kandungan kurikulum, kompetensi yang diperlukan dan penawaran program dengan keperluan sebenar pasaran kerja.
Tahun ini, IBTE turut melaksanakan penstrukturan semula kurikulum dengan mengintegrasikan kemahiran digital, teknologi hijau dan Kecerdasan Buatan supaya graduan memiliki kemahiran yang relevan dengan keperluan pekerjaan semasa dan masa hadapan;
Kedua, memperluas pembelajaran berasaskan industri. Mekanisme ini dilakukan melalui program perantisan, penempatan industri dan pembelajaran berasaskan pekerjaan. Pendekatan ini memberikan pelajar pengalaman dalam persekitaran kerja yang sebenar, membolehkan mereka menguasai kompetensi yang diperlukan oleh industri serta membina hubungan dengan bakal majikan.
Sehingga September 2025, IBTE mempunyai 69 rakan industri, terdiri daripada 63 rakan tempatan dan enam rakan antarabangsa, serta melibatkan 694 pelajar dalam program perantisan; dan
Ketiga, mempergiat promosi dan pendedahan TVET dalam kalangan pelajar dan lepasan sekolah menengah. Ini dilakukan dengan memberikan maklumat yang lebih jelas mengenai prospek pekerjaan, perkembangan kerjaya dan peluang melanjutkan pengajian. Ini termasuklah penyertaan IBTE dalam Higher Education Expo anjuran Kementerian Pendidikan, di samping pelaksanaan program Hala Tuju Study at IBTE, Hari Terbuka IBTE dan sesi perkongsian bersama pihak industri.
IBTE juga sedang membangunkan Career Hub dan perkhidmatan konsultasi kerjaya dalam talian bagi menyediakan maklumat mengenai dengan program, kemahiran, laluan kerjaya dan peluang pekerjaan.
Pada masa yang sama, kualiti tenaga pengajar, kemudahan bengkel dan makmal serta infrastruktur digital, terus dipertingkatkan secara berperingkat bagi menyokong program yang mempunyai permintaan tinggi dan meningkatkan kapasiti pengambilan pelajar. Melalui pendekatan ini, kementerian berusaha meningkatkan minat belia terhadap TVET dan memastikan graduan memiliki kompetensi serta pengalaman yang diperlukan oleh majikan.
Usaha ini dihasratkan agar dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menyumbang kepada pengurangan kadar pengangguran belia. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Seterusnya, soalan daripada Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed yang juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed atas soalan yang dikemukakan.
Sebenarnya, Kementerian Pendidikan memang terus memberi perhatian kepada perkembangan kemahiran hidup dalam melahirkan pelajar yang cemerlang, sekali gus berkeupayaan menghadapi cabaran kehidupan sebenar.
Pada masa ini, elemen keselamatan, kesihatan, pengurusan risiko dan kesiapsiagaan telah pun diserapkan secara merentas kurikulum menerusi pelbagai mata pelajaran seperti Melayu Islam Beraja, Pengetahuan Ugama Islam, Sains, Social Studies, Pendidikan Jasmani, Teknologi Maklumat dan Komunikasi ataupun ICT, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris serta Bahasa Arab.
Antara kandungan yang diterapkan dalam mata pelajaran-mata pelajaran ini adalah elemen-elemen keselamatan di rumah, di sekolah dan keselamatan siber, pematuhan kepada peraturan dan undang-undang serta tanggungjawab sebagai ahli masyarakat.
Sementara itu, elemen tersebut juga diperkukuhkan melalui aktiviti kokurikulum di sekolah-sekolah. Aktiviti kokurikulum ini dilaksanakan bersama dengan agensi-agensi berkaitan sebagai pendedahan kepada kemahiran pertolongan cemas dan keselamatan kebakaran. Untuk itu, telah ditubuhkan pasukan-pasukan beruniform di sekolah-sekolah seperti Pengakap, Pandu Puteri, Bulan Sabit Merah, Kadet Bomba dan Penyelamat, Kadet Polis serta Kadet Tentera.
Sebanyak enam buah sekolah menengah kerajaan mempunyai pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat, manakala 12 buah sekolah menengah kerajaan lagi mempunyai Pasukan Bulan Sabit Merah dengan harapan pelajar-pelajar ini dapat bertindak sebagai first responder dalam situasi kecemasan di sekolah.
Antara aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2024 hingga 2025 termasuklah Latihan Peralatan Asas Pertolongan Cemas, Pertandingan Kemahiran Kebombaan serta Bengkel Sukatan Kadet Bulan Sabit Merah.
Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi​
Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola mohon izin untuk menjawab soalan 11 dan 12 secara bersama kerana keduanya menyentuh satu matlamat yang sama.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Dalam kita melangkah ke arah pelaksanaan Digital Brunei Masterplan 2030 serta dalam perancangan membangunkan AI-Capable Data Center, National Sovereign Cloud with AI compute capabilities serta Large Language Model ataupun LLM.
Kementerian ini melihat kedaulatan digital atau digital sovereign sebagai satu perkara yang semakin penting. Infrastruktur digital boleh dibangunkan dengan teknologi dan kepakaran dari luar, tetapi kedaulatan digital bergantung kepada sejauh mana kita mempunyai keupayaan dan kepakaran sendiri untuk mengurus serta membangunkan teknologi tersebut.
Oleh itu, pendekatan kementerian bukanlah untuk mengelakkan penglibatan vendor atau kepakaran luar kerana kepakaran antarabangsa sememangnya masih saja diperlukan. Namun, apa yang perlu dititikberatkan di sini ialah penglibatan tersebut hendaklah disertai dengan pemindahan ilmu, pengalaman teknologi dan kepakaran kepada pihak tempatan supaya kita dapat mengurangkan kebergantungan jangka panjang kepada pihak luar.
Oleh yang demikian, kementerian mengambil beberapa pendekatan utama, iaitu:
Pertama, memperkukuhkan penyertaan syarikat dan tenaga tempatan. Dalam memperkukuhkan penyertaan syarikat tempatan, tawaran-tawaran kerajaan pada dasarnya hanya dibuka kepada syarikat-syarikat yang berdaftar di Negara Brunei Darussalam kecuali bagi syarikat yang diberikan kebenaran khas.
Pendekatan ini memberikan ruang dan peluang kepada syarikat tempatan untuk menyertai projek-projek kerajaan, membina pengalaman serta meningkatkan kepakaran melalui pelaksanaan projek sebenar. Pada masa yang sama, tidak dapat dinafikan juga bahawa syarikat-syarikat tempatan perlu bekerjasama dengan syarikat-syarikat luar bagi mendapatkan akses kepada teknologi dan kepakaran terkini.
Walau bagaimanapun, kerjasama tersebut perlulah disertai dengan pemindahan ilmu dan teknologi, peningkatan kepakaran serta pembangunan tenaga kerja tempatan supaya manfaatnya bukan sekadar membawa masuk penyelesaian dari luar tetapi turut membina keupayaan dan kepakaran tempatan dalam jangka panjang;
Kedua, kerajaan sendiri sedang membina keupayaan teknikal dalaman bagi mengurangkan kebergantungan kepada vendor luar. Dalam hal ini, peranan E-Government National Centre, EGNC adalah sangat penting dalam membangunkan keupayaan kerajaan ke arah pembangunan aplikasi secara in-house. Pada masa ini, sebahagian pegawai dan kakitangan kerajaan telah pun mempunyai keupayaan dalam pembinaan aplikasi.
Di mana, alhamdulillah, beberapa aplikasi telah berjaya dibangunkan secara in-house. Ini menunjukkan bahawa pembangunan keupayaan dalaman bukan lagi sekadar aspirasi tetapi telah mula menghasilkan penyelesaian digital yang digunakan dalam perkhidmatan kerajaan.
Keupayaan ini, insya Allah akan terus diperkukuhkan melalui Gov.BN 2.0 dengan penggunaan pendekatan agile supaya lebih banyak aplikasi dan penyelesaian digital dapat dibangunkan, diselenggarakan dan ditambah baik sendiri oleh kerajaan mengikut keperluan;
Ketiga, bagi projek yang memerlukan vendor luar, pendekatan pelaksanaannya hendaklah berasaskan pembangunan keupayaan dan bukan semata-mata sekadar penyampaian sistem. Pegawai kerajaan perlu dilibatkan secara aktif sepanjang pelaksanaan projek daripada peringkat awal sehingga sistem tersebut digunakan dan diselenggarakan. Latihan dan perkongsian pengetahuan hendaklah menjadi sebahagian daripada setiap projek.
Dengan cara ini, apabila projek selesai, kerajaan bukan sahaja menerima sistem yang dibangunkan tetapi juga mempunyai pegawai yang memahami dan mampu mengurusnya. Dalam erti kata lain, vendor luar boleh membawa teknologi dan kepakaran yang diperlukan tetapi pemindahan pengetahuan dan keupayaan hendaklah turut dilaksanakan;
Keempat, kerajaan sedang memperkukuhkan ekosistem dan keupayaan syarikat ICT tempatan. Pada masa ini, terdapat 437 syarikat ICT yang berdaftar di Negara Brunei Darussalam yang menjadi asas penting dalam membangunkan ekosistem ICT tempatan yang lebih kukuh dan berdaya saing.
Melalui AITI, inisiatif IKTIRAF akan diperkenalkan sebagai mekanisme akreditasi bagi syarikat ICT tempatan. Ini akan membantu kerajaan menilai keupayaan syarikat dari segi kompetensi, pengalaman, tenaga kerja tempatan, kemampuan kewangan dan rekod prestasi. Di samping peluang yang diberikan oleh kerajaan, syarikat-syarikat ICT tempatan juga perlu mengambil langkah untuk meningkatkan daya saing mereka sendiri.
Kita mahu syarikat tempatan berani berinovasi, bukan sekadar bergantung kepada penyelesaian off the shelf tapi meningkatkan pelaburan dalam research and development. Kita juga mahu mereka membina kepakaran yang lebih mendalam dan khusus termasuk dalam bidang seperti AI powered fintech, cybersecurity, agritech and digital health.
Kita mahu lebih banyak kerjasama dalam kalangan syarikat tempatan melalui perkongsian strategik, consortium dan joint ventures supaya kepakaran dan sumber dapat digabungkan untuk mengambil bahagian dalam projek yang lebih besar dan kompleks; dan
Kelima, pembangunan bakat dan kompetensi ICT negara perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi. Kementerian telah memperkenalkan Brunei ICT Industry Competency Framework sebagai panduan untuk mengenal pasti jenis pekerjaan serta kemahiran yang diperlukan dalam bidang ICT.
Pada masa ini, BIICF merangkumi 39 peranan pekerjaan dan dijangka diperluaskan kepada 60 peranan menjelang tahun 2027. Ini penting kerana teknologi sentiasa berubah dan berkembang.
Oleh itu, tenaga kerja kita juga perlu terus meningkatkan kemahiran supaya sentiasa bersedia memenuhi keperluan masa hadapan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kesemua pendekatan ini membawa kepada satu prinsip yang ingin kaola tekankan, kita tidak mahu sekadar membeli teknologi, kita mahu membina keupayaan. Kita tidak mahu sekadar melaksanakan projek, kita mahu meninggalkan kepakaran dan kita tidak mahu sekadar menjadi pengguna teknologi, kita mahu menjadi pencipta dan pemilik penyelesaian digital kita sendiri. Inilah yang dimaksudkan dengan kedaulatan digital.
Kedaulatan digital bukan bermakna kita perlu membangunkan segala-galanya sendiri atau menutup pintu kepada kepakaran antarabangsa, sebaliknya ia bermakna negara kita mempunyai keupayaan, pilihan dan kawalan untuk menentukan bagaimana data kita diurus, bagaimana sistem kita dikendalikan dan bagaimana teknologi digunakan demi kepentingan negara.
Oleh itu, dalam kita membangunkan AI-Capable Data Centre, National Sovereign Cloud with AI Compute Capabilities dan LLM, kita mahu memastikan bahawa pembangunan infrastruktur tersebut turut disertai dengan pembangunan tenaga manusia, syarikat tempatan dan keupayaan teknikal tempatan, penglibatan vendor luar jika diperlukan hendaklah menjadi jambatan untuk membina keupayaan tempatan, bukan jalan kepada kebergantungan berterusan.
Hasrat kementerian ini menjelang tahun 2035 dan seterusnya Negara Brunei Darussalam bukan sahaja mempunyai infrastruktur digital yang moden, selamat dan berdaya tahan tapi turut mempunyai syarikat tempatan yang berdaya saing, tenaga kerja berkemahiran tinggi serta keupayaan teknikal dalaman serta membangunkan dan mengurus penyelesaian digital sendiri.
Dengan itu, kita bukan sekadar menjadi sebuah negara yang digitally connected tetapi juga digitally capable, digitally resilient dan berdaulat dalam ruang digital, insya Allah.
Sekian terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Alhamdulillah, kita sampai ke satu soalan yang mana saya kira setentunya menarik minat semua pihak. Soalan 13 daripada Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed yang juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Silakan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi​
Minta maaf Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Sort of anu mixed up.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Saya berikan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi besok hari untuk menjawab soalan ini.
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
(Yang Berhormat Yang Di-Pertua ketawa kecil). Jadi, Terima kasih. Soalan-soalan sudah pun dijawab dan tempoh bagi kita untuk, yang kita sediakan untuk, apa namanya ini mendengar jawapan-jawapan daripada pihak Menteri-Menteri yang berkenaan terhadap soalan-soalan lisan yang telah pun dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat dan insya Allah, soalan-soalan lain yang tidak dapat dijawab akan dijawab secara, apa namanya ini, bertulis.
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi sudah bersedia nampaknya.
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi​
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola mohon maaf kerana esok ada Majlis Konvokesyen, jadi kaola mohon kalau diizinkan untuk menjawab pada pagi ani jua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed mengenai dengan persoalan ekosistem kenderaan elektrik yang menyeluruh. Untuk makluman Yang Berhormat, penerimaan kenderaan elektrik, EV di Negara Brunei Darussalam kini menunjukkan trend yang semakin meningkat.
Pada tahun 2025, EV merangkumi hanya 0.7 peratus iaitu 124 unit sahaja daripada keseluruhan pendaftaran kenderaan terbaru.
Walau bagaimanapun, dari tempoh Januari hingga Jun 2026, pendaftaran EV telah meningkat kepada 2.8 peratus. Seiring dengan perkembangan tersebut, kementerian menyedari bahawa pembangunan infrastruktur pengecasan perlu dirancang dan dikembangkan secara berperingkat agar dapat memenuhi keperluan pengguna pada masa ini dan pada masa akan datang.
Untuk makluman bersama, setakat 23 Julai 2026 terdapat 22 lokasi kemudahan pengecasan dengan 40 charging points di seluruh negara. Perkembangan ini pada masa ini dipacu terutamanya oleh pelaburan sektor swasta berdasarkan permintaan pasaran dan kerajaan mengalu-alukan penglibatan sektor swasta secara berterusan dalam memperluaskan rangkaian tersebut.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bagi perancangan jangka panjang, kerajaan melalui Electric Vehicle Working Group yang dipengerusikan bersama oleh kementerian di Jabatan Perdana Menteri iaitu Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran serta Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta melibatkan Brunei Climate Change Office dan agensi-agensi berkepentingan yang lain, sedang meneliti satu pendekatan yang lebih menyeluruh dan berperingkat bagi pembangunan ekosistem EV negara.
Antaranya ialah untuk melihat pembangunan infrastruktur pengecasan akan diselaraskan dengan keupayaan dan keperluan sistem tenaga negara.
Ertinya ia bersangkut paut dengan keupayaan dan keperluan sistem tenaga negara. Ini penting kerana peningkatan penggunaan EV bukan sahaja memerlukan lebih banyak charging points tetapi juga memerlukan perancangan dari segi kapasiti bekalan elektrik, lokasi dan waktu permintaan.
Pada masa ini pengecasan di rumah masih merupakan kaedah utama bagi pemilik EV. Oleh itu, pembangunan rancangan rangkaian pengecasan awam hanyalah akan berfungsi sebagai pelengkap sahaja bagi pengguna yang mempunyai keperluan untuk perjalanan yang lebih jauh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Secara keseluruhannya, pendekatan perancangan kementerian adalah untuk memastikan bahawa kitani mempunyai dasar yang akan selaras dengan pertumbuhan penggunaan EV, permintaan pengguna dan jua penyertaan sektor swasta dan jua model perniagaan serta kemampuan infrastruktur tenaga negara. Kaola sini mengemphasize sahaja yang penting sekali atu ialah modal perniagaan serta kemampuan infrastruktur tenaga negara.
Dalam jangka panjang, kerajaan akan memastikan jua bahawa apa jua keperluan EV ani akan dirancang sepadu-padunya oleh jawatankuasa yang telah kaola sebutkan tadi.
Sekian sahaja yang dapat disampaikan dan terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sebagaimana yang telah saya nyatakan bahawa waktu bagi kitani yang telah pun ditetapkan untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan secara lisan, maka kita beralih kepada urusan seterusnya, tetapi sebelum itu saya kira adalah berpatutan bagi kitani untuk berhenti berehat sekejap selama lima belas minit. Sebelum kitani menyambung mesyuarat ini untuk meneliti perkara-perkara seterusnya.
(Majlis Mesyuarat berehat sebentar)
(Majlis Mesyuarat bersidang semula)
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Majlis Mesyuarat Negara bersidang semula dan sekarang kita beralih kepada urusan mesyuarat seterusnya.
Yang Mulia Pemangku Timbalan Jurutulis​
Kenyataan Menteri daripada Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya telah memberikan izin bagi Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri untuk membuat Kenyataan Menteri yang bertajuk Memperkasa Industri Pelancongan Sebagai Pemangkin Kepelbagaian Ekonomi Negara dan seterusnya Menjayakan Inisiatif Tahun Melawat Brunei, Visit Brunei Year 2027 dan saya persilakan sekarang Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri​
Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca).
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Terlebih dahulu kaola ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kebenaran dan peluang untuk memberi Kenyataan Menteri yang bertajuk Memperkasa Industri Pelancongan Sebagai Pemangkin Kepelbagaian Ekonomi Negara dan seterusnya Menjayakan Inisiatif Tahun Melawat Brunei, Visit Brunei Year 2027.
Saya juga ingin menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bahawa perjalanan menuju Wawasan Brunei 2035 memerlukan kerjasama semua pihak, pelaksanaan strategi yang berkesan serta keupayaan negara menyesuaikan diri dengan tekanan dan ketidaktentuan global.
Dalam konteks tersebut, sektor pelancongan mempunyai nilai strategik yang jelas. Ianya bukan sekadar satu komponen penjanaan ekonomi malah merupakan pemangkin yang menghubungkaitkan pelbagai aktiviti, bernilai tambah termasuk penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, pertanian, perikanan, perusahaan kreatif, kraftangan, perdagangan dan perkhidmatan digital.
Setiap pelawat yang mengunjungi negara ini berpotensi menghasilkan kesan pergandaan ekonomi yang menyumbang kepada spillover aktiviti perekonomian lain yang dapat dinikmati oleh peniaga tempatan, komuniti dan rakyat secara inklusif.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri terus memberi tumpuan kepada pembangunan pelancongan selaras dengan Brunei Darussalam's Economic Blueprint dan Pelan Hala Tuju Industri Pelancongan Negara Brunei Darussalam 2024 hingga 2035.
Hala tuju kita bukan semata-mata mengejar jumlah ketibaan, matlamat yang lebih strategik ialah membangun pelancongan bernilai tinggi dan pulangan yang tinggi, pelawat tinggal lebih lama, berbelanja lebih banyak, menggunakan lebih banyak produk dan juga perkhidmatan tempatan dan seterusnya memastikan nilai ekonomi tersebut kekal dan beredar di dalam negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Alhamdulillah, perkembangan semasa menunjukkan momentum yang menggalakkan.
Setakat bulan Jun tahun ini, hampir 400,000 ketibaan pelancong telah direkodkan melalui udara, laut dan darat iaitu peningkatan 7.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2025. Ketibaan melalui laut pula meningkat sebanyak 69 peratus mencerminkan potensi yang semakin besar dalam segmen pelancongan persiaran.
Setakat ini, jumlah ketibaan kapal persiaran dijangka meningkat daripada 19 buah kapal dengan hampir 30,000 pelawat pada tahun 2025 kepada sekitar 34 buah kapal membawa hampir 65,000 pelawat. Dari jumlah tersebut lapan buah merupakan kapal persiaran mewah sekali gus mencerminkan keyakinan pengendali antarabangsa terhadap daya tarikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi persiaran yang berkualiti malah membuka peluang kepada industri perkhidmatan pengangkutan, pemandu pelancong, makanan dan minuman, penggiat seni dan kraf serta cenderamata serta pembangunan komersial terutama sekali di kawasan Pekan Muara dan juga Serasa.
Namun demikian, momentum ini perlu diterjemahkan kepada nilai ekonomi yang lebih tinggi. Pelawat mungkin tiba tetapi jika mereka hanya singgah sementara, sukar menemui atau menempah aktiviti, tidak mempunyai pilihan bayaran yang mudah dan tidak mendatangkan apa lagi yang akan dibuat di negara ini, peluang ekonomi tersebut akan terlepas.
Oleh itu, tumpuan dasar bermula dari usaha membawa pelawat masuk kepada memastikan keseluruhan perjalanan pelawat daripada sebelum ketibaan sehingga mereka meninggalkan negara adalah mudah, tersusun, berkualiti dan membuat pulangan kepada ekonomi tempatan.
Ini bermakna keseluruhan perjalanan pelawat perlu dilihat sebagai satu rangkaian yang saling berkaitan bagaimana mereka mengetahui tentang Brunei, bagaimana mereka membanding dan menempah pakej, bagaimana pengalaman mereka di pintu masuk, bagaimana mereka bergerak dalam negara ini, bagaimana mereka membayar, bagaimana mereka dilayan dan akhirnya apakah pengalaman yang mendorong mereka untuk tinggal lebih lama, berbelanja lebih banyak dan mempromosikan Brunei ke orang lain.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Inisiatif Tahun Melawat Brunei 2027 dilihat sebagai salah satu pemacu utama kepada perubahan tersebut. Inisiatif ini amat signifikan dan bertepatan kerana tahun 2027 akan menyaksikan dua acara kenegaraan yang saling melengkapi iaitu Sambutan Jubli Intan Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena 60 tahun menaiki takhta dan Tahun Melawat Brunei 2027.
Tahun Melawat Brunei 2027 bukan sekadar kempen promosi. Ianya merupakan platform nasional untuk mempertengahkan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi yang unik, aman, berkualiti serta terkaya dengan alam semula jadi, budaya, warisan Islam dan nilai-nilai Melayu Islam Beraja.
Pada masa yang sama, ia perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin untuk meningkatkan pelaburan, pengukuhan perusahaan tempatan, mewujudkan pekerjaan berkualiti dan mempercepatkan kepelbagaian ekonomi.
Kementerian telah pun menetapkan sasaran sekitar 1,000,000 pelancong dengan unjuran hasil pendapatan pelancongan sekitar 630,000,000 menjelang tahun 2027.
Walau bagaimanapun, kejayaan tidak akan dinilai melalui dua angka atau KPI ini sahaja. Pengukuran perlu melihat tempoh purata penginapan, perbelanjaan bagi setiap pelawat, kadar penghunian premis-premis penginapan pelancong, penyataan pengusaha tempatan, penggunaan produk tempatan, peluang pekerjaan yang diwujudkan dan sejauh mana manfaat ekonomi sampai kepada komuniti di seluruh negara.
Untuk mencapai matlamat ini, pendekatan whole of government and whole of nation bukanlah sekadar ungkapan. Ini perlu menjadi kaedah kerja dan modal pelaksanaan. Whole of government bermaksud setiap kementerian dan agensi memahami peranan masing-masing dalam perjalanan, pelawat dan menyelesaikan isu secara bersama. Whole of nation pula bermaksud sektor swasta, institusi kewangan, syarikat telekomunikasi, pengendali pengangkutan, perusahaan tempatan, pemimpin akar umbi dan masyarakat turut mengambil pemilikan terhadap peluang yang diwujudkan.
Isu-isu seperti kesalinghubungan udara dan laut, kelancaran proses di pintu masuk, pengangkutan domestik, kemudahan awam dan kebersihan, penyelarasan kalendar e-acara, kemudahan pembayaran tanpa tunai, cashless payments, ketersediaan produk yang boleh ditempah secara digital, standard perkhidmatan serta keupayaan pengusaha tempatan merupakan jenis rentas kementerian dan rentas sektor. Sekiranya satu bahagian daripada rantaian ini lemah, keseluruhan pengalaman pelawat turut terjejas.
Oleh yang demikian, Jawatankuasa Pandu bagi Tahun Melawat Brunei 2027 yang dipengerusikan bersama oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, saya sendiri selaku Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri serta Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan keahlian dari sektor awam dan swasta berfungsi bukan sahaja sebagai platform penyelaras acara tetapi sebagai mekanisme perlaksanaan bersepadu dan juga komitmen berbagai pihak untuk menangani masalah di setiap peringkat. Penyelarasan rapat dengan Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Intan juga penting bagi menyatukan usaha dalam memastikan acara nasional, kapasiti industri dan inisiatif mempromosi saling melengkapi bukan bergerak secara berasingan.
Sebagai langkah awal dalam memperkenalkan dan mempromosikan kempen ini, Majlis Pra-Pelancaran Tahun Melawat Brunei 2027 telah berjaya dilaksanakan pada 20 Jun 2026 bertempat di Jerudong Park Garden. Majlis pra-pelancaran itu telah diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam merupakan satu penghormatan yang mencerminkan sokongan padu sekali gus menyuntik impact yang signifikan kepada agenda pelancongan negara.
Di majlis tersebut, pelancaran logo rasmi serta maskot Awang dan Dayang telah menandakan titik permulaan bagi strategi pembesaran dan promosi secara menyeluruh di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Pelawat hari ini mencari, membanding, menempah dan membayar melalui saluran digital. Oleh itu, produk Brunei perlu berada di platform yang digunakan oleh pasaran, bukan sekadar menunggu pelanggan menemui kita.
Penyedia perkhidmatan pelancongan, tourism service provider dan ejen-ejen pelancongan tempahan perlu mengambil peluang daripada online travel agencies atau OTS serta platform seperti Explore Brunei atau Program Nahkoda.
Program Nahkoda telah menghimpunkan lebih daripada 600 produk dan perkhidmatan pelancongan di negara ini. Namun, platform ini hanya akan memberi hasil apabila produk sentiasa dikemas kini, mempunyai penerangan dan visual yang menarik, harga serta ketersediaan yang jelas boleh ditempah dengan mudah dan disokong oleh tindak balas yang cepat kepada pelanggan.
Ejen pelancongan tidak seharusnya hanya mengulang pakej yang sama atau bergantung sepenuhnya kepada promosi kerajaan. Mereka juga perlu melabur dalam pemasaran digital, membina kerjasama dengan OTS, menggunakan data pelanggan dan menghasilkan pakej inboundnya yang lebih kreatif dan kompetitif. Ia termasuk menggabungkan alam semula jadi, budaya, pengembaraan, gastronomi, warisan Islam, membeli belah, sukan, acara dan pengalaman komuniti di dalam itinerary berbilang hari.
Sebagai contoh, pelawat siaran yang lazimnya mempunyai masa terhad, boleh diberikan pilihan itinerary yang tersusun dan mudah dibeli sebelum tiba di negara ini.
Pelawat transit pula boleh ditawarkan pakej tengah hari, satu malam atau dua malam. Pelawat-pelawat keluarga, pencinta alam, peminat fotografi, pelancong pendidikan dan pelawat yang bergiat dalam aktiviti bird watching perlu mempunyai produk yang sesuai dengan minat masing-masing. Lebih banyak pilihan berkualiti akan memberikan lebih banyak sebab untuk pelawat tinggal dan berbelanja di negara ini.
Dalam hal ini, Explore Brunei dan Program Nakhoda telah berfungsi sebagai pintu masuk digital kepada produk tempatan. Manakala, OTS menjadi saluran untuk memperluaskan pencapaian ke pasaran antarabangsa.
Kementerian dan agensi berkaitan, boleh membantu dari segi pemudahcaraan latihan dan promosi bersama. Namun, pihak industri sendiri perlu mengambil tanggungjawab komersial untuk meningkatkan kandungan, mengurus inventori dan menukar minat kepada jualan.
Usaha ini diperkukuhkan lagi dengan Tourism Information Management System atau TIMS iaitu sebuah dashboard digital yang berintegrasikan data daripada sumber daripada E-Arrival Card dan data penginapan untuk memberikan gambaran yang lebih tepat mengenai profil pelawat, corak perbelanjaan dan ketibaan serta permintaan pasaran yang datang ke negara ini.
Pada masa ini, sebanyak 60 premis penginapan telah menggunakan platform ini. Liputan dan kualiti data akan terus dipertingkatkan supaya keputusan mengenai promosi, pembangunan produk, kapasiti pengangkutan, tenaga kerja dan pelaburan dibuat berdasarkan bukti.
Promosi antarabangsa akan terus dilaksanakan secara lebih agresif, tersasar dan berasaskan data menerusi pengukuhan pasaran utama sedia ada di Asia, Timur Tengah, United Kingdom dan Australia serta menerokai secara aktif pasaran berpotensi baru dan yang berpotensi tinggi di Eropah dan juga di Amerika. Usaha ini disokong melalui penempatan wakil pemasaran di Jepun, China dan Korea serta Taipei.
Penyertaan dalam 24 ekspo dan jerayawara-jerayawara, kerjasama dengan 10 Key Opinion Leaders dan pempengaruh-pempengaruh media sosial berprofil tinggi, termasuk mengadakan lawatan suai kenal bagi ejen-ejen pelancongan antarabangsa untuk merasakan sendiri pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan di negara ini.
Enam kempen digital melalui platform seperti Skyscanner, Rome2Rio, Klook, Trip.com, CTrip dan Agoda serta 10 kempen media yang melibatkan media antarabangsa seperti CNN, Euronews dan Al Jazeera. Kesemua aktiviti ini dinilai berdasarkan keberkesanan platform yang dipilih dapat menghasilkan lebih banyak tempahan dan ketibaan pelancong ke Negara Brunei Darussalam, bukan sahaja sekadar meningkatkan profile negara di mata dunia.
Selain meningkatkan usaha promosi destinasi, kerajaan juga sedang giat berusaha menarik lebih banyak acara bertaraf antarabangsa untuk dianjurkan di Negara Brunei Darussalam sepanjang tahun 2027. Antara yang dikenal pasti termasuk acara seni dan kebudayaan, kejohanan sukan, aktiviti rekreasi, festival serta penganjuran mesyuarat, persidangan dan konvensyen antarabangsa.
Penganjuran acara-acara ini bukan saja dapat meningkatkan profile Brunei di persada antarabangsa, malah dijangka menyumbang pada penambahan ketibaan pelawat, memanjangkan tempoh penginapan mereka serta memberi limpahan manfaat ekonomi kepada sektor pelancongan dan pengusaha tempatan.
Kerjasama strategik dengan sektor swasta juga diperkukuhkan melalui pelantikan Official Airline Partners, Official Global Platform Partners, Official Payment Partners, Official Telco Partners, Official Transit Hotel Partners dan Official Merchandise Partners.
Kerjasama ini berpotensi memperluaskan capaian promosi, meningkatkan kemudahan pembayaran tanpa tunai, cashless payment, menggalakkan pakej transit dan memanjangkan tempoh penginapan serta membuka peluang penjenamaan dan nilai komersial kepada pengusaha tempatan.
Sehubungan dengan ini, penyediaan kaedah pembayaran tanpa tunai, cashless payment bukan lagi kemudahan tambahan, tapi sebagai sebahagian daripada akses daya saing destinasi. Apabila pelawat boleh membayar dengan cepat dan selamat, kecenderungan mereka untuk membeli makanan, kraftangan, cenderamata dan perkhidmatan turut meningkat.
Sebaliknya, jika vendor hanya menerima wang tunai, transaksi mungkin tidak berlaku dan peluang akan terlepas. Sebagai perkembangan awal, tiga pengusaha di Pasar Malam Gadong telah mula menerima pembayaran tanpa tunai menerusi kaedah Visa dan MasterCard dan pembayaran melalui Kod QR juga semakin mendapat sambutan di kalangan vendor di Pekan Muara.
Ini adalah perkembangan yang positif, kerana pelawat tidak semestinya membawa wang tunai tempatan dalam jumlah yang banyak.
Oleh itu, kaola menyeru lebih banyak vendor sekiranya khususnya dilokasi tumpuan pelawat, pasar malam, pusat makanan, kawasan membeli belah dan lokasi komuniti untuk menerima kaedah pembayaran digital. Institusi kewangan, penyedia pembayaran dan agensi berkaitan pula, perlu meneruskan usaha memperluaskan proses pendaftaran peniaga, menyediakan latihan khas ringkas dan memudahkan kos dan peralatan serta memastikan tanda penerimaan bayaran dipamerkan dengan jelas.
Selain itu, penggalakkan pelaburan berkualiti juga penting untuk memperluaskan kapasiti dan pilihan produk. Salah satu contoh ialah pembangunan Borneo Eco-Resort Sdn. Bhd. bersama rakan hotel antarabangsa dengan nilai pelaburan dianggarkan hampir sekitar BND6.8 juta. Projek ekopelancongan dan resort berasaskan alam semula jadi ini dijadualkan beroperasi pada Ogos 2027 dan berpotensi mewujudkan sekitar 80 pekerjaan langsung dan dengan sasaran 90 peratus tenaga pekerja tempatan dalam masa yang terdekat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Pengalaman pelawat tidak hanya ditentukan oleh pemandu pelancong atau pekerja hotel, bahkan ianya bermula dari saat pelawat tiba dan berinteraksi dengan pegawai di pintu masuk, pengendali pengangkutan, pemandu teksi, kakitangan hotel dan tempat-tempat tarikan, pekerja restoran, jurujual, pengawal keselamatan, petugas acara, vendor pasar malam dan masyarakat secara umum.
Sehubungan dengan ini, kempen mesra senegara akan dilancarkan bagi memupuk budaya hospitaliti, profesionalisme dan kecemerlangan perkhidmatan. Setiap petugas barisan hadapan, frontliners ialah wajah Negara Brunei Darussalam. Senyuman dan sapaan yang baik, maklumat yang tepat, bantuan yang cepat, kebersihan, kesopanan dan kecekapan menyelesaikan masalah akan menentukan sama ada pelawat merasa diri mereka dialu-alukan.
Dengan pengalaman yang baik akan dikongsikan, pengalaman yang tidak baik juga akan dikongsikan dan kesan boleh tersebar dengan pantas melalui sosial media.
Oleh itu, kempen mesra akan diperluaskan melangkaui industri pelancongan pada seluruh ekosistem perkhidmatan. Agensi kerajaan, sektor swasta, persatuan industri dan institusi pendidikan diseru bagi mengikuti kursus yang akan disediakan nanti oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan dan perlu menyelaras modul asas hospitaliti, komunikasi dan kesedaran destinasi untuk petugas barisan hadapan.
Mekanisme makluman balas, pengiktirafan kepada perkhidmatan cemerlang dan tindakan pembetulan terhadap aduan akan diperkukuhkan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kementerian melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan juga berhasrat untuk memastikan pelancongan benar-benar inklusif. Maksudnya, hasil daripada peningkatan pelawat tidak hanya tertumpu kepada sebahagian syarikat atau lokasi, tetapi melimpah kepada anak-anak kampung, pengusaha mikro, belia, wanita, ibu tunggal, penggiat seni, petani, nelayan, tukang masak, pengusaha kraftangan dan penyelia perkhidmatan tempatan.
Dalam perkara ini, kaola mengalu-alukan peranan Ahli-Ahli Yang Berhormat selaku pemimpin-pemimpin akar umbi, serta badan-badan bukan kerajaan, untuk menggalakkan masyarakat di kawasan masing-masing, mengenal pasti peluang yang diberi yang boleh dibangunkan.
Majlis Perundingan Mukim dan Majlis Perundingan Kampung boleh memobilisasi aktiviti yang berasas kekuatan setempat termasuk makanan tradisi, seni dan kebudayaan, sejarah kampung, alam sekitar, kraftangan, sukan dan pengalaman kehidupan komuniti.
Sebagai langkah susulan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama erat Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, akan mengungkayahkan bengkel Community-Based Tourism pada bulan September ini, bagi memperkukuhkan keupayaan masyarakat, khususnya anak-anak kampung dalam mengenal pasti dan membangun peluang ekonomi melalui aktiviti pelancongan berasaskan komuniti.
Sehubungan itu, saya menyeru Ahli-Ahli Yang Berhormat selaku peneraju, untuk menggalakkan anak-anak kampung masing-masing mengambil bahagian, bukan sahaja dalam bengkel ini, malah juga dalam mengadakan aktiviti-aktiviti bagi menjayakan Visit Brunei Year.
Seterusnya, memanfaatkan peluang yang sedia ada bagi penduduk anak kampung. Apabila komuniti menerima pelawat dan menjual produk atau pengalaman mereka sendiri, wang yang dibelanjakan oleh pelawat, dapat beredar di dalam komuniti. Pendapatan tersebut, boleh digunakan oleh keluarga, pengusaha untuk memperkukuhkan aktiviti ekonomi serta sosial setempat.
Inilah yang dikatakan dengan regenerative tourism, pelancong yang membuka ruang penyertaan, menjana pendapatan, meningkatkan keupayaan masyarakat setempat. Program seperti Kenali Negara Kitani juga perlu dimanfaatkan untuk menggalakkan rakyat dan penduduk bercuti serta berbelanja di dalam negara.
Pelancongan domestik membantu pengusaha tempatan, membina pengalaman dan daya tahan sebelum menerima permintaan antarabangsa yang lebih besar di samping memastikan aktiviti pelancongan berjalan sepanjang tahun dan tidak hanya bergantung kepada musim-musim yang tertentu.
Dalam erti kata lain, whole of government menyediakan penyelarasan, kemudahan dan penyelesaian dasar, sektor swasta menukar peluang kepada produk dan jualan. Institusi kewangan dan teknologi menyediakan kemudahan transaksi dan access digital.
Manakala, whole of nation memastikan rakyat serta komuniti menjadi peserta aktif dalam meraih kemanfaatan daripada industri pelancongan.
Mana-mana cabaran yang dihadapi dalam usaha, menjayakan usaha ini, janganlah hanya bergantung kepada pihak kerajaan sahaja. Ada setengah cabaran, boleh juga diselesaikan oleh pihak swasta sendiri dengan ikhtiar sendiri.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Tahun Melawat Brunei 2027, perlu meninggalkan legasi yang berpanjangan. Infrastruktur kemahiran, platform digital, standard perkhidmatan dan produk komuniti, kerjasama industri dan mekanisme penyelarasan yang dibangunkan, hendaklah terus memberi kesan selepas tahun 2027.
Dengan itu, inisiatif ini akan terus menjadi titik perubahan kepada sektor pelancongan seluruhnya dan bukan sekadar kempen untuk setahun sahaja.
Menerusi pendekatan whole of government dan whole of nation yang menggabungkan komitmen sektor kerajaan, sektor swasta, komuniti dan seluruh rakyat, kementerian yakin bahawa sektor pelancongan mampu berkembang sebagai pemangkin ekonomi yang lebih inklusif, berdaya tahan dan berdaya saing.
Dengan sokongan berterusan semua pihak serta izin Allah, dengan keredaan Allah Subhanahu Wata'ala, insya Allah, Negara Brunei Darussalam akan terus diperkukuhkan sebagai industri destinasi yang berkualiti dan sebuah negara yang makmur di peringkat antarabangsa dan serantau.
Sekian, Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat, kita mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri yang telah membuat kenyataan yang berhubung dengan industri pelancongan dan seterusnya mengenai dengan inisiatif Tahun Melawat Brunei 2027.
Sekarang, kita beralih kepada urusan seterusnya.
Yang Mulia Pemangku Timbalan Jurutulis​
Usul Bilangan 6/2026, Usul Ketetapan Berkenaan Perintah Di Bawah Perkara 83(3) Perlembagaan Negara Brunei Darussalam yang akan dicadangkan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang).
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang)​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Saya ingin mencadangkan bahawa Majlis Mesyuarat Negara membuat ketetapan menurut Perkara 83(7) dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam untuk meluluskan tiap-tiap Perintah yang dibuat di bawah Perkara 83(3) Perlembagaan Negara Brunei Darussalam yang dikemukakan di hadapan Dewan, mulai dari tarikh-tarikh Perintah dibuat.
Perkara ini adalah merujuk kepada satu Perintah yang terdapat dalam Kertas Majlis Mesyuarat Negara Bilangan 6/2026. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat, adakah seorang Ahli Yang Berhormat yang suka untuk menyokong Usul yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) itu?
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran)​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Saya menyokong Usul yang dicadangkan ini. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Terima kasih Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran).
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Usul Ketetapan ini telah mendapat sokongan sepenuhnya daripada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran). Seterusnya, Usul ini sekarang, boleh kita undi, oleh sebab Usul ini biasanya tidak kita bahaskan, maka ada baiknya Usul ini kita undi. Ahli-Ahli Yang Berhormat yang bersetuju, sila angkat tangan.
(Ahli-Ahli Yang Berhormat yang bersetuju mengangkat tangan)
Nampaknya, semua Ahli Yang Berhormat bersetuju. Maka, Usul Ketetapan ini diluluskan.
(Tukul diketuk)
Yang Mulia Pemangku Timbalan Jurutulis​
Usul Ketetapan Berkenaan Perintah Di Bawah Perkara 83(3) Perlembagaan Negara Brunei Darussalam diluluskan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Alhamdulillah, saya kira cukup dulu kita bersidang pada pagi ini, dan saya cadangkan supaya mesyuarat ini ditangguhkan.
Insya Allah, kita akan bersidang semula pada petang ini nanti, sebagaimana lazim mulai daripada jam 2.30 petang, sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.