Langkau ke kandungan utama
For Informational Purposes Only

Source: https://www.majlis-mesyuarat.gov.bn/wp-content/uploads/2026/08/Draf-Awal-Penyata-Rasmi-Persidangan-Hari-Pertama-3-Ogos-2026-Pagi.pdf

HARI KE-1 PAGI

Rumusan Bacaan

📖 Masa membaca: 66 minit
📊 Bilangan kata: 13,295 kata

3HB OGOS 2026 PAGI​

(Mesyuarat mula bersidang pada pukul 9.30 pagi)

Yang Mulia Jurutulis​

Bismillahir Rahmanir Rahim. Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara bersidang pada hari pertama pada hari ini, Isnin 19 Safar 1448 Hijrah bersamaan 3 Ogos 2026 Masihi, didahului dengan Doa Selamat.

DOA SELAMAT​

(Doa selamat dibacakan oleh Yang Mulia Begawan Mudim Awang Haji Amran bin Haji Md. Salleh)

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wata'ala kerana dengan limpah izin dan rahmat-Nya jua, maka kita dapat hadir pada pagi ini bagi hari pertama dalam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara.

Selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, kaum kerabat para sahabat serta para pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya sukacita mengalu-alukan kehadiran Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian dalam persidangan kita pada hari ini pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22.

Sebelum meneruskan urusan persidangan, izinkanlah saya terlebih dahulu bagi pihak majlis yang mulia ini merafak sembah tahniah setinggi-tingginya dan mendoakan kesejahteraan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 Tahun yang baharu sahaja kita sambut dengan penuh meriah dan dengan penuh kesyukuran serta seluruh rakyat dan penduduk negara ini.

Marilah kita sama-sama memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, usia yang panjang dan sentiasa dilimpahkan hidayah dan taufik-Nya dalam menerajui negara tercinta ini menuju kesejahteraan dan kemakmuran yang berkekalan.

Pada kesempatan yang berharga ini, saya ingin mengalu-alukan kehadiran Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet yang baharu yang merupakan barisan kabinet yang telah dilantik pada 17 Zulhijjah 1447 bersamaan 4 Jun 2026 ke dalam Majlis ini. Pelantikan Yang Berhormat sekalian merupakan satu amanah besar dan saya yakin dengan pengalaman serta dedikasi Yang Berhormat akan dapat menyumbang bakti secara berkesan demi kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.

Izinkan saya juga untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Ahli-Ahli Kabinet terdahulu di atas sumbangan dan khidmat bakti sepanjang tempoh perkhidmatan mereka terutamanya kepada Majlis ini dan negara. Jasa dan usaha Yang Berhormat sekalian demi kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat amatlah dihargai dan akan sentiasa dikenang. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala membalas segala jasa baik Yang Berhormat semua dengan sebaik-baik ganjaran.

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita bersidang pada hari ini dalam suasana dunia yang sedang mengharungi pelbagai cabaran dan ketidaktentuan, sama ada dari segi ketegangan geopolitik, kegawatan ekonomi global, perubahan iklim mahupun kepesatan transformasi digital dan teknologi yang memberi kesan kepada setiap lapisan masyarakat.

Dalam menghadapi arus perubahan ini, negara kita perlu terus kekal berwaspada dan bijaksana dalam merangka dasar-dasar yang mampu melindungi kepentingan rakyat serta memastikan kestabilan dan kemakmuran negara terus terpelihara. Justeru itu, tanggungjawab yang dipikul oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian pada masa ini amatlah besar dan ia menuntut kebijaksanaan serta kerjasama padu dari semua pihak.

Dalam konteks inilah saya telah meluluskan dua Usul utama untuk dibincangkan dalam mesyuarat ini.

Pertama, merupakan Usul berkenaan penyelarasan ke arah pelaksanaan Wawasan Brunei 2035. Perkara ini penting kerana wawasan masa depan negara bukan sekadar dokumen dasar, tetapi merupakan hala tuju negara yang menuntut usaha bersepadu dari seluruh rakyat dan negara. Ini bermakna setiap dasar dan inisiatif hendaklah sentiasa selari dengan matlamat wawasan iaitu untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, mencapai kualiti hidup di antara terbaik di dunia dan membina ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

Justeru, saya menyeru Ahli-Ahli Yang Berhormat semua bagi membahaskan Usul ini dengan semangat bagi mengukuhkan penyelarasan Wawasan Brunei 2035 supaya hasratnya dapat direalisasikan demi generasi kini dan generasi yang akan datang.

Kedua, adalah berkaitan dengan Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara. Usul ini adalah pada menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaraan Ke-21 tahun lalu berkenaan keperluan bagi Majlis Mesyuarat Negara untuk mempunyai kod etika bagi memastikan Ahli-Ahli Yang Berhormat melaksanakan tugas dengan lebih berkesan dan berintegriti tinggi.

Ini merupakan satu langkah ke arah memperkukuhkan integriti, akauntabiliti dan profesionalisme dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Kod ini dijangka akan menggariskan standard tingkah laku yang perlu dipatuhi oleh setiap ahli bagi memastikan imej dan kredibiliti institusi yang kita sanjung ini terpelihara serta mempunyai kepercayaan tinggi. Saya berharap Yang Berhormat sekalian akan memberikan sokongan penuh serta input yang membina semasa peringkat perbincangan dan penggubalan kod ini.

Pada akhirnya, saya ingin menegaskan kepentingan memastikan penguatkuasaan peraturan-peraturan mesyuarat bagi Majlis Mesyuarat Negara sentiasa dipatuhi secara konsisten oleh semua Ahli bagi menjamin kelicinan, ketertiban dan kewibawaan setiap persidangan yang dijalankan. Peraturan ini bukanlah prosedur formaliti tetapi merupakan asas yang memastikan setiap Ahli akan menyertai perbahasan dengan adil dan teratur.

Di samping itu, saya menyeru agar semangat mesyuarat terus menjadi teras dalam setiap perbincangan majlis ini iaitu semangat bermuafakat, saling dengar-mendengar serta mengutamakan kepentingan negara dan rakyat melebihi daripada kepentingan diri sendiri. Dengan berpegang teguh kepada peraturan mesyuarat serta menghayati semangat mesyuarat ini, saya yakin setiap perbincangan dalam Dewan yang mulia ini akan lebih matang, saksama dan membawa berkat kepada seluruh rakyat dan negara kita.

Saya berharap Ahli-Ahli akan dapat meneruskan semangat kerjasama muhibah dan tanggungjawab yang tinggi selaras dengan matlamat bersama untuk memastikan negara kita terus maju di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sekarang kita beralih kepada urusan mesyuarat yang seterusnya.

Yang Mulia Jurutulis​

Majlis Mengangkat Sumpah bagi empat orang Ahli Majlis Mesyuarat Negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Ahli-Ahli Yang Berhormat dan para hadirin sekalian.

Majlis Mengangkat Sumpah pada hari ini adalah selaras dengan Peruntukan Perkara 49, Perlembagaan Negara Brunei Darussalam dan peraturan-peraturan mesyuarat serta mengikut Borang IV di Jadual Pertama Perlembagaan Negara Brunei Darussalam.

Dengan hormatnya menjunjung dan mempersilakan Ahli-Ahli Yang Berhormat berikut untuk mengangkat sumpah di hadapan Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Dipersilakan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang).

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang)​

Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca). Saya, Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, setelah dilantik menjadi seorang Ahli Majlis Mesyuarat Negara bersumpah dengan nama Allah Yang Maha Kuasa bahawa saya akan dengan sedaya upaya mengikut kebolehan dan fikiran saya, berkhidmat sebagai seorang Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang taat lagi setia. Bertarikh pada 19 Safar 1448 bersamaan 3 Ogos 2026.

(Dokumen ditandatangani)

Yang Mulia Jurutulis​

Dipersilakan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tenaga, Huluan dan Hiliran.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran)​

Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca). Saya, Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, setelah dilantik menjadi seorang Ahli Majlis Mesyuarat Negara bersumpah dengan nama Allah Yang Maha Kuasa bahawa saya akan dengan sedaya upaya mengikut kebolehan dan fikiran saya berkhidmat sebagai seorang Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang taat lagi setia. Bertarikh pada 19 Safar 1448 bersamaan 3 Ogos 2026.

(Dokumen ditandatangani)

Yang Mulia Jurutulis​

Dijunjung Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama​

Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca). Saya, Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, setelah dilantik menjadi seorang Ahli Majlis Mesyuarat Negara bersumpah dengan nama Allah Yang Maha Kuasa bahawa saya akan dengan sedaya upaya mengikut kebolehan dan fikiran saya berkhidmat sebagai seorang Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang taat lagi setia. Bertarikh pada 19 Safar 1448 bersamaan 3 Ogos 2026.

(Dokumen ditandatangani)

Yang Mulia Jurutulis​

Dipersilakan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi​

Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca). Saya, Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos setelah dilantik menjadi seorang Ahli Majlis Mesyuarat Negara bersumpah dengan nama Allah Yang Maha Kuasa bahawa saya akan dengan sedaya upaya mengikut kebolehan dan fikiran saya berkhidmat sebagai seorang Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang taat lagi setia. Bertarikh pada 19 Safar 1448 bersamaan 3 Ogos 2026.

(Dokumen ditandatangani)

Yang Mulia Jurutulis​

Ucapan Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara mengalu-alukan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Ahli-Ahli Yang Berhormat dan para hadirin sekalian. Alhamdulillah, selesai menyaksikan Majlis Mengangkat Sumpah bagi empat orang Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang baharu. Lantikan Yang Berhormat ini adalah berdasarkan Perlembagaan Negara Brunei Darussalam yang menyatakan bahawa Ahli-Ahli Rasmi Kerajaan, Ahli-Ahli Rasmi Kerana Jawatan bagi Majlis Mesyuarat Negara adalah terdiri daripada Perdana Menteri dan semua menteri yang dilantik di bawah Perkara 4(3) Perlembagaan.

Oleh itu, pelantikan Ahli-Ahli Yang Berhormat adalah berikutan lantikan sebagai Menteri-Menteri Kabinet pada hari Khamis, 17 Zulhijjah 1447 bersamaan dengan 4 Jun 2026 berdasarkan Perkara-Perkara 24(1) dan Perkara 1(a)(i) Perlembagaan Negara Brunei Darussalam.

Bagi pihak Majlis Mesyuarat Negara, saya dengan penuh sukacita ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan yakin serta percaya bahawa lantikan ini adalah satu pengiktirafan dan amanah untuk membangun serta memajukan negara kita.

Saya ucapkan selamat menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan dan selamat berkhidmat. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, di hadapan kita masih ada perkara yang perlu kita selesaikan.

Maka, ada baiknya kita berpindah kepada urusan mesyuarat seterusnya.

Yang Mulia Jurutulis​

Waktu pertanyaan bagi jawab lisan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Sekarang saya membuka ruang bagi waktu pertanyaan selama satu jam. Sebagai peringatan bersama, Yang Berhormat Menteri mempunyai masa selama sepuluh minit untuk menjawab; mana-mana pertanyaan yang tidak sempat dijawab perlulah dijawab secara bertulis untuk kemudiannya diterbitkan dalam dokumen rasmi dalam tempoh 24 jam ini.

Di hadapan kita sekarang ada senarai pertanyaan yang dikemukakan. Saya mulakan dengan soalan pertama dari Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan dan ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Urustadbir Perkhidmatan Awam, silakan.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam)​

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, (doa dibaca). Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan atas pertanyaan mengenai status permohonan perumahan kerajaan, tempoh menunggu, mekanisme pengagihan serta cadangan bagi menyediakan sistem dalam talian untuk semakan status permohonan.

Untuk makluman, selain daripada Jabatan Perkhidmatan Awam atau JPA, ada beberapa kementerian dan jabatan kerajaan lain serta Institusi Pengajian Tinggi Awam seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Universiti Brunei Darussalam yang mana kementerian dan agensi ini juga turut menguruskan perumahan kerajaan di bawah kawalan masing-masing serta memantau permohonan dan senarai menunggu mengikut keperluan agensi masing-masing dan ini dilaksanakan secara berasingan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam.

Setakat 9 Julai 2026, seramai lebih seribu orang penjawat awam atau tepatnya 1,092 orang penjawat awam masih lagi berada dalam senarai menunggu bagi perumahan kerajaan di bawah kawalan Jabatan Perkhidmatan Awam. Ini adalah terdiri daripada: Bahagian I – 4 orang; Bahagian II – 157 orang; Bahagian III – 247 orang; dan Bahagian IV – sebanyak 684 orang.

Secara purata, tempoh menunggu adalah di antara satu hingga empat tahun. Ini bergantung kepada beberapa faktor: Pertama, bekalan perumahan kerajaan yang terhad berbanding jumlah permohonan yang diterima.

Kedua, permintaan yang tinggi terhadap kategori perumahan tertentu, contohnya rumah yang sebuah, detached house, rumah berkembar atau semi-detached, rumah teres atau pangsapuri yang mempunyai kemudahan moden. Dalam masa yang sama, terdapat juga pemohon yang memilih untuk terus kekal dalam senarai menunggu sehinggalah mereka ditawarkan atau diperuntukkan rumah mengikut kategori rumah yang menepati atau memenuhi kecenderungan mereka.

Ketiga, sebahagian flat rumah milik kerajaan yang sedia ada masih lagi memerlukan kerja-kerja pembaikan sebelum ianya dapat didiami dengan selamat dan ditawarkan dan diperuntukkan kepada pemohon.

Bagi memastikan proses pengagihan perumahan kerajaan dilaksanakan secara adil, telus dan teratur, Jabatan Perkhidmatan Awam berpandukan dasar peraturan dan mekanisme tadbir urus yang telah ditetapkan antaranya:

Pertama, pematuhan kepada Surat Pemberitahuan Jabatan Perkhidmatan Awam bilangan 14/2014 iaitu mengenai peraturan untuk mendiami perumahan kerajaan di bawah kawalan kementerian atau jabatan yang berkenaan yang diguna pakai oleh semua kementerian, jabatan kerajaan dan juga Institusi Pengajian Tinggi Awam.

Kedua, penggunaan Buku Panduan Perumahan JPA sebagai panduan pelaksanaan bagi memastikan pengurusan dan peruntukan perumahan kerajaan dilaksanakan secara konsisten, telus dan saksama;

Ketiga, penubuhan jawatankuasa ad hoc penyelarasan penyewaan perumahan yang dianggotai oleh beberapa wakil agensi kerajaan sebagai mekanisme semak dan imbang atau apa yang kita fahami sebagai check and balance dalam pengurusan perumahan kerajaan. Ini sudah setentunya salah satu usaha untuk memastikan pengagihan yang adil, telus dan saksama. Dan.

Keempat, jawatankuasa mempertimbangkan mendiami perumahan kerajaan yang berperanan meneliti dan mempertimbangkan permohonan atau rayuan isu-isu teknikal serta perkara-perkara berkaitan, pelaksanaan dan penguatkuasaan, dasar serta peraturan perumahan kerajaan.

Berhubung cadangan Yang Berhormat, supaya diwujudkan sistem dalam talian yang membolehkan pemohon menyemak status permohonan dan kedudukan giliran mereka, Jabatan Perdana Menteri amat mengalu-alukan cadangan tersebut. Ianya adalah merupakan satu cadangan yang baik selaras dengan usaha pendigitalan perkhidmatan awam. Cadangan ini akan diteliti dari segi kebolehlaksanaan termasuk kesesuaian sistem penyelarasan data antara agensi yang mengurus perumahan kerajaan serta aspek keselamatan dan integriti maklumat.

Sekiranya perkara ini dapat dilaksanakan, sistem sedemikian bukan saja akan meningkatkan ketelusan, malah akan memudahkan pemohon mendapatkan maklumat terkini mengenai status permohonan mereka dengan lebih cepat dan efisien.

Sekian. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Soalan berikutnya daripada Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin yang juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Urustadbir Perkhidmatan Awam.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam)​

Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Saya terlebih dulu ingin menjunjung kasih kepada Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin atas pertanyaan mengenai tindakan terhadap kakitangan dan pegawai kerajaan yang menjalankan usaha perniagaan kecil-kecilan, serta persoalan sama ada siasatan akan dijalankan sekiranya aktiviti tersebut dilakukan pada waktu bekerja sehingga menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.

Untuk makluman Yang Berhormat, di bawah P10, Pekerjaan Luar, Dari Peraturan-Peraturan Pegawai-Pegawai, Kelakuan dan Tatatertib, Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (Penggal 83). Seseorang pegawai kerajaan yang ingin menjalankan pekerjaan luar atau perniagaan secara sambilan hendaklah terlebih dulu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Perdana Menteri.

Jadi, mana-mana pegawai dan kakitangan kerajaan yang telah diberikan kebenaran untuk menjalankan pekerjaan luar atau perniagaan kecil akan dikenakan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Antaranya, perniagaan tersebut tidak boleh dijalankan dalam waktu pejabat atau semasa pegawai dikehendaki melaksanakan tugas rasminya termasuk meninggalkan tempat bertugas bagi menguruskan urusan perniagaan.

Ini jelas sebenarnya kerana tanggungjawab utama bagi seseorang individu, pegawai ataupun kakitangan kerajaan adalah diberikan kepada tanggungjawab dan peranannya sebagai pegawai ataupun kakitangan kerajaan dan aktiviti usaha niaganya sudah setentunya jelas ianya dibuat ataupun diberi kebenaran untuk dilaksanakan di luar tanggungjawabnya, di luar skop pekerjaannya dan di luar waktu pejabat.

Setakat ini permohonan yang dipertimbangkan bagi menjalankan pekerjaan luar atau perniagaan secara sambilan adalah terdiri daripada Bahagian III dan ke bawah. Seterusnya, setiap pegawai dan kakitangan yang diberikan kebenaran juga hendaklah sentiasa mematuhi peraturan yang berkuat kuasa, mengekalkan nilai-nilai integriti sebagai penjawat awam serta memastikan kepentingan dan tanggungjawab terhadap pekerjaan rasminya sentiasa diberi keutamaan.

Dalam hubungan ini, ketua jabatan dan penyelia masing-masing adalah bertanggungjawab untuk memantau kehadiran dan keberadaan pegawai dan kakitangan tersebut dalam waktu bekerja termasuk tahap prestasi mereka dari masa ke semasa. Kebenaran menjalankan pekerjaan luar atau perniagaan sambilan boleh ditarik pada bila-bila masa sekiranya ianya jelas menjejaskan prestasi kerja harian pegawai dan kakitangan berkenaan.

Berhubungan dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat sama ada siasatan akan dijalankan sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini bahawa memanglah tanggungjawab tersebut adalah terletak ke atas ketua jabatan masing-masing.

Sekiranya terdapat aduan atau maklumat yang sahih yang berasas bahawa seorang pegawai dan kakitangan itu meninggalkan tempat bertugas tanpa kebenaran kerana urusan niaga atau menjalankan perniagaan semasa waktu bekerja sehingga jelas menjejaskan penyampaian perkhidmatan organisasi, maka ketua jabatan hendaklah meneliti dan membuat teguran dan menasihatkan sebagaimana yang perlu kepada pegawai dan kakitangan berkenaan.

Sekiranya siasatan diperlukan dan didapati pelanggaran-pelanggaran peraturan, maka tindakan hendaklah diambil ke atas pegawai berkenaan menurut peraturan-peraturan yang berkuat kuasa.

Sekian saja yang dapat disampaikan. Terima kasih.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Soalan berikutnya daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pembangunan.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan​

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Saya terlebih dahulu mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin di atas soalan yang dikemukakan iaitu mengenai dengan apakah pendekatan strategik kementerian untuk memastikan pembangunan bandar dan desa dipandu oleh data serta penilaian dan risk mapping.

Kementerian Pembangunan pada dasarnya mengamalkan pendekatan perancangan pembangunan yang berasaskan data iaitu data driven planning dan penilaian teknikal bagi memastikan pembangunan bandar dan desa dilaksanakan secara mapan, berdaya tahan dan memenuhi keperluan semasa serta keperluan masa akan datang.

Bagi penyediaan pelan-pelan perancangan pembangunan di peringkat pelan induk guna tanah dan pelan daerah. Kementerian telah melaksanakan kira-kira 19 kajian sektoral yang merangkumi aspek ekonomi, demografi perumahan, guna tanah, pengangkutan, sumber air, saliran, pembentungan, utiliti, telekomunikasi dan alam sekitar. Kajian-kajian ini menjadi asas kepada perancangan guna tanah yang lebih bersepadu dengan mengambil kira kapasiti infrastruktur utiliti yang sedia ada, potensi pembangunan serta risiko-risiko yang dikenal pasti sejajar dengan penyediaan pelan baharu bagi tempoh 20 tahun yang akan datang.

Semua kajian ini sedang dan terus dikemas kini dengan memberi penekanan yang lebih menyeluruh terhadap ketidaktentuan iklim, penilaian risiko-risiko dan daya tahan infrastruktur yang ada.

Di peringkat kawalan kemajuan pula, setiap cadangan pembangunan dinilai secara bersepadu bersama agensi-agensi teknikal dan mengambil kira kesesuaian guna tanah, kapasiti jalan raya, utiliti dan infrastruktur yang sedia ada, sistem saliran, kawasan hijau serta risiko alam sekitar. Pendekatan ini memastikan pembangunan yang diluluskan bukan sahaja memenuhi keperluan teknikal malah selaras dengan hala tuju perancangan negara dan tidak melebihi kapasiti infrastruktur yang sedia ada.

Sebagai sebahagian daripada langkah penyesuaian terhadap perubahan iklim, kementerian juga telah menaik taraf reka bentuk sistem saliran di kawasan-kawasan strategik daripada satu dalam 50 tahun storm return period kepada satu dalam 100 tahun storm return period. Ini adalah bagi meningkatkan ketahanan infrastruktur terhadap jangkaan intensity hujan yang dijangka akan semakin naik dan tinggi bagi mengurangkan risiko banjir di masa depan.

Di samping itu, kementerian turut mengikuti perkembangan amalan terbaik di peringkat serantau dan antarabangsa melalui penyertaan dalam pelbagai platform kerjasama teknikal dan mesyuarat sebagai platform perkongsian amalan terbaik termasuk pengetahuan mengenai inovasi terbaharu, teknologi dalam perancangan bandar, pengurusan risiko serta adaptasi perubahan iklim yang boleh diterapkan mengikut kesesuaian. Itulah sahaja jawapan kaola kepada soalan yang tersebut. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Soalan berikutnya daripada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pembangunan.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan​

Bismillahir Rahmanir Rahim. Terlebih dahulu kaola mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof di atas soalan yang dikemukakan.

Mengenai dengan tempoh pajakan rumah kedai seperti yang ditanyakan dalam soalan ini yang mana peraturan baru yang telah menetapkan tempoh pajakan maksima bagi rumah kedai adalah selama 30 tahun. Tempoh yang telah dikemaskini dengan pelaksanaan Perintah Kanun Tanah Pindaan 2025 yang telah berkuat kuasa mulai pada 1 Ogos tahun 2025.

Di antara lain pembaharuan dalam pindaan kanun tanah ini, telah memberikan pertimbangan bagi permohonan memajak tanah persendirian di bawah Seksyen 23 Kanun Tanah Penggal 40 iaitu rumah kediaman pajakan maksimum 60 tahun, mixed development pajakan maksimum 60 tahun dan bagi industri 30 tahun dan rumah kedai 30 tahun. Salah satu di antara tujuan yang mendasari perubahan ini dibuat ialah pertama, sebagai satu cara untuk menangani beberapa cabaran yang dihadapi mengenai dengan beberapa pusat-pusat komersil yang terdapat di negara ini bagi menggalakkan supaya pemilik bangunan untuk terus memelihara dan menyelenggara hartanah mereka secara berterusan.

Analisis turut mengambil kira bahawa apabila sesebuah bangunan mencapai usia 60 tahun, akan didapati kebanyakannya bangunan-bangunan ini berkeadaan usang, yang memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi dan ketara. Secara amnya, aset dan bangunan mengalami kemerosotan dari segi struktur, fungsi dan prestasi akibat faktor usia, penggunaan berterusan serta pendedahan kepada cuaca.

Salah satu cabaran yang dihadapi oleh kementerian ini juga ialah pertama, mengenai dengan aduan-aduan yang diterima daripada orang ramai dan aduan ini pernah juga diutarakan di dalam Majlis Mesyuarat Negara yang mulia ini daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat mengenai dengan keadaan parking, keadaan jalan raya di kawasan-kawasan pusat-pusat komersil yang mana memerlukan pembaikan. Salah satu daripada itu, aduan-aduan ini melibatkan kawasan parking, jalan raya yang sudah pecah dan rosak dan perlu untuk diperbaiki, sedangkan kebanyakan daripada kawasan-kawasan parking dan jalan raya ini adalah melibatkan kawasan tanah persendirian sama ada pemilik hartanah kedai ataupun oleh pemaju-pemaju yang asalnya membangunkan rumah-rumah kedai di kawasan pusat-pusat komersil ini.

Salah satu pertimbangan yang dibuat ialah, adalah menjadi tanggungjawab sama ada pemilik tanah atau pun pemilik pajakan tanah untuk memperbaiki fasiliti-fasiliti yang disebutkan tadi atau supaya diperbaiki, supaya kekal dalam keadaan yang baik dan selamat untuk penggunaan pelanggan dan orang ramai.

Dalam menangani cabaran ini juga, pihak Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Perancang Bandar dan Desa dan juga melalui dengan ABCI telah berunding dengan pemilik-pemilik tanah dan juga pemilik pajakan tanah di rumah-rumah kedai tersebut untuk membuat pembaikan-pembaikan yang diperlukan ini dan ini telah menjadi cabaran yang berat kepada kementerian di mana ada di antara pemilik tanah mengatakannya rumah kedai itu telah diberi pajakan kepada pemilik pajakan dan adalah menjadi tanggungjawab kepada pemilik pajakan untuk membuat penyelenggaraan ini dan sebaliknya setelah pemilik pajakan ini yang ditanyakan untuk mengusai, pemilik pajakan mengatakan ia sudah mendapatkan atau pun pajakan itu daripada pemilik tanah dan sedangkan kawasan tanah itu adalah milik pemilik tanah. Jadi, ini keadaan yang menjadi kepayahan kepada kita untuk menyelesaikan perkara ini.

Jadi, seperti yang kaola sebutkan tadi, ialah sebagai cara jangka panjang, salah satu di antaranya ialah untuk memendekkan tempoh pajakannya ini supaya setiap atau pun setiap tempoh pajakan ini setelah mencapai ke penghujung 30 tahun ini, pemilik tanah akan membuat penyelenggaraan yang selayaknya sebelum diperbaharui lagi pajakan ini kepada atau kepada pemohon pajakan yang seterusnya ataupun tenant yang seterusnya.

Atulah di antara rasional yang dibuat bagi menangani masalah ini. Sebagai contoh jua di dalam beberapa apatah usaha yang dibuat oleh kementerian melalui pejabat Authority on Building Control and Construction Industry, ABCI ialah untuk, setelah mendatangi pemilik-pemilik tanah ini dan juga pemilik pajakan rumah-rumah kedai ini untuk menguasai. Umpamanya di kawasan komersial Menglait di mana ada satu tapak terdapat 61 buah rumah kedai.

Setelah dijumpai, tidak ada yang bersetuju secara sukarela untuk memperbaiki jalan masuk ke kawasan komersial tersebut yang sudah rosak dengan teruk. Hanya kemudian dapat diperolehi tiga orang sahaja daripada pemilik-pemilik di kawasan tersebut yang bersetuju untuk mengeluarkan peruntukan untuk memperbaiki jalan-jalan tersebut.

Jadi, di antara usaha ini menunjukkan satu cabaran dan kesulitan yang dihadapi, maka inilah di antara usaha yang dibuat selain daripada memperbaiki undang-undang yang ada dan juga akan memperbaiki lagi dasar yang sedang diteliti pada masa ini. Di antaranya seperti yang pernah dicadangkan ialah untuk mewujudkan management corporation. Ini pun mendapat beberapa pandangan dan tentangan daripada pemilik-pemilik rumah kedai ani.

Jadi, atu tah sebabnya sebagai penjelasan kepada persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat tadi mengenai dengan perkara ani, rasional yang dibuat pada masa ini, perkara ani masih lagi ditangani dan dalam kesempatan ani jua kaola ingin mengucapkan terima kasih kepada beberapa pemilik rumah kedai yang telah dijumpai untuk mengusai beberapa jalan-jalan raya yang rosak dan mereka berkesudian secara sukarela walaupun tidak mendapat sokongan daripada pemilik-pemilik rumah kedai yang lain. Atu tah yang dapat kaola sampaikan dalam menjawab soalan tadi. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof​

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan atas penjelasan.

Di sini kaola ingin membangkitkan apa yang perlu kitani fikirkan ialah investment dan di masa akan datang. Ia is investment we spent berjuta-juta dan mungkin beratus-ratus juta dan pihak pemilik ataupun peniaga mungkin akan berikan returns dalam 30 tahun atu tidak memadai.

Apa yang dikhuatiri kalau dapat dipertimbangkan secara rasional bagi kitani sama-sama membangunkan kemajuan bukan sahaja perusahaan tapi yang dimaksudkan di sini juga perusahaan. Jangan saja karang membantutkan dan mungkin pihak-pihak pemaju tidak akan memikirkan bahawa dalam short period ini, returns adalah tidak berbaloi.

Dan kaola juga ingin bertanya di sini, adakah juga termasuk pelabur-pelabur dari luar negeri yang akan melaburkan berjuta-juta ringgit ini akan dikenakan pajakan dalam 30 tahun ataupun 60 tahun? Dalam perhubungan dengan maintenance ini bagi kaola berpendapat perkara ini ialah secara administrative. Kalau sekiranya pemilik atau pemaju tidak, apa ni, melaksanakan kerosakan-kerosakan dan seumpamanya kita ada undang-undang. Kita ada undang-undang kalau sekiranya mereka tidak mematuhi ataupun keadaan itu tidak memuaskan seperti juga sampah berjurit-jurit di sana, pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang sama ada kedai perusahaan ditutup sehingga ia selesai diselenggarakan.

Ini kaola berfikir ialah berpanjang secara positif untuk kitani bersama-sama memajukan negara ini dalam perekonomian dan perusahaan. Atu saja yang kaola ingin timbulkan. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Yang Berhormat Menteri Pembangunan suka mau menambah apa-apa lagi komen ataupun jawapan kepada perkara yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat yang menyoal tadi.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan​

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan terima kasih jua kepada ulasan tambahan daripada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof tadi.

Mengenai dengan persoalan ani tadi. Satu, ia ada beberapa perkara yang kitani perlu melihat dari segi dasar yang dibuat ani. Satu, seperti yang kaola sebutkan tadi, dasar 30 tahun ani dalam perkara ani ialah melibatkan rumah kedai sahaja iaitu shophouse. Dan di dalam perkara-perkara lain seperti Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof, apa tu, menyatakan tadi bagaimana dengan kalau pelabur yang berlabur dalam berjuta-juta atu adalah satu perkara yang memerlukan pertimbangan yang lain, tertakluk kepada apa pelaburan yang kan dibuatnya atu.

Dan jua ada beberapa dasar yang satu mendasari peraturan undang-undang yang ada di bawah Kanun Tanah dan jua dasar yang dijalankan oleh Lembaga Ekonomi Brunei sebagai apa jua pertimbangan bagi permohonan-permohonan pelaburan tertakluk kepada nilai pelaburan yang dibuat dan jua apa sebenarnya perindustrian pelaburan yang hendak dicadangkan atu.

Jadi ani soalan yang kaola jawab tadi atu ialah satu, mengenai khusus mengenai dengan tempoh pajakan rumah kedai ni yang telah dikenakan 30 tahun atu untuk menyelesaikan cabaran-cabaran di antaranya menyelesaikan cabaran-cabaran seperti yang disebutkan tadi. Atu tah jawapan kaola mengenai dengan soalan tambahan ani. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Soalan yang berikutnya daripada Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II​

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya terlebih dahulu mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub di atas pertanyaan mengenai sejauh manakah pendekatan whole of government telah berjaya meningkatkan keberkesanan penyelerasan antara kementerian dalam mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 termasuk cabaran utama serta langkah-langkah berterusan oleh kerajaan bagi memperkukuh perlaksanaan.

Pendekatan whole of government merupakan antara pendekatan utama kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memastikan setiap dasar, strategi dan perlaksanaan pembangunan negara bergerak secara bersepadu berpandukan keutamaan negara demi kesejahteraan rakyat dan penduduk selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Pendekatan ini telah memperkukuhkan keberkesanan kerjasama antara kementerian melalui kesejahteraan dasar dan keutamaan negara. Perlaksanaan inisiatif rentas kementerian serta penelitian pertama terhadap isu-isu strategik negara. Di samping memperkukuhkan perkongsian maklumat dan data serta memoptimumkan penggunaan sumber kerajaan, pendekatan ini turut mendukung proses membuat keputusan yang lebih berasaskan bukti, evidence-based ke arah tindakan kerajaan yang lebih responsif, bersepadu dan berkesan dalam menangani isu-isu yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi.

Bagi mendukung pendekatan tersebut, kerajaan telah mewujudkan mekanisme tadbir urus dan penyelarasan yang memperkukuhkan kerjasama serta penyelerasan rantas kementerian dalam meneliti, mempertimbangkan dan membuat keputusan berhubung isu-isu strategik secara kolektif di perbagai peringkat.

Ini termasuk melalui:

Pertama, Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035.

Kedua, penyelarasan di peringkat menteri-menteri seperti Jawatankuasa-Jawatankuasa Kerja Wawasan Brunei 2035 bagi Manpower, Social dan Economic Blueprints; Mesyuarat Penyelaras Keselamatan Negara serta Komiti Kebangsaan Menangani Kesan Konflik Timur Tengah dan Perkembangan Semasa, Majlis Kebangsaan Isu Sosial bagi Menangani Isu-Isu Sosial, Jawatankuasa Pandu Keselamatan dan Kecekapan Tenaga dan Jawatankuasa Pandu Pembangunan Sektor Huluran bagi Sektor Tenaga. Serta.

Ketiga, penyelarasan di peringkat Setiausaha-Setiausaha Tetap seperti Mesyuarat Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Jawatankuasa Kebangsaan Anti-Pemerdagangan Orang (JKAPO) yang mana memastikan usaha pembanterasan Jenayah, Trafficking in Persons, TIP dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu merentasi agensi.

Pendekatan ini telah menyumbang kepada pengiktirafan antarabangsa apabila Negara Brunei Darussalam dinaik taraf daripada Tier 3 kepada Tier 2 watchlist dalam United States Trafficking in Persons Report 2025. Insya Allah, melalui usaha berterusan semua pihak, kedudukan Negara Brunei Darussalam dalam laporan tahun 2026 ini akan dapat terus dipertingkatkan. Mekanisme ini memastikan setiap kementerian dan agensi melaksanakan peranan masing-masing dan bergerak secara bersepadu ke arah mencapai matlamat negara Wawasan Brunei 2035 melalui penyelarasan perlaksanaan dasar serta tindakan strategik kerajaan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Cabaran utama dalam perlaksanaan pendekatan whole of government adalah memastikan tindak balas kerajaan sentiasa seiring dengan perkembangan global yang semakin kompleks dan tidak menentu. Sebagai contoh, isu semasa yang berlaku di Timur Tengah telah menjejaskan supply chain ekonomi global khususnya sektor minyak dan gas. Selain itu, pengalaman yang kita lalui sewaktu pandemik COVID-19 beberapa tahun lalu juga telah memberi kesan kepada pelbagai bidang keutamaan, pembangunan negara secara serentak sama ada pada peringkat perancangan mahu pun perlaksanaan. Oleh itu, pendekatan whole of government menjadi semakin penting memandangkan lanskap pembangunan negara pada masa ini dipengaruhi oleh pelbagai perkembangan global yang sering berkait dan memberi kesan kepada negara.

Seperti jua dalam ucapan Yang Berhormat Yang Di-Pertua di pembukaan mesyuarat ini sebentar tadi, ketidaktentuan geopolitik, ekonomi global, perubahan iklim, kemajuan teknologi, keselamatan siber, perubahan demografi serta cabaran-cabaran baharu yang lain bukan sahaja memberi implikasi pada satu sektor malah juga memerlukan tindak balas yang menyeluruh merentasi pelbagai kementerian dan agensi masing-masing yang mempunyai mandat, keutamaan, proses kerja dan sumber yang berbeda. Pada masa yang sama, keutamaan negara seperti pembangunan modal insan, kepelbagaian ekonomi, kesejahteraan sosial dan kemampuan juga sering berkait dan memerlukan tindakan yang bersepadu.

Pendekatan whole of government akan terus memperkukuh penyelarasan dasar strategi dan tindakan kerajaan agar setiap usaha pembangunan saling melengkapi, responsif, bersepadu dan berpandangan jauh terhadap cabaran semasa, emerging trends. Dalam konteks mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035, pendekatan akan diperkukuhkan dan dipantau melalui kerangka kerja Wawasan Brunei 2035 merentasi ketiga-tiga matlamat Wawasan Brunei 2035 yang didukung melalui Manpower, Social dan Economic Blueprints.

Pelantikan Menteri-Menteri Penyelaras turut mewujudkan peluang untuk memperkukuh tadbir urus dan penyelarasan rentas kementerian bagi mempercepat pelaksanaan dengan mengenal pasti isu-isu rentas kementerian lebih awal, dibincangkan secara menyeluruh dan ditangani secara bersama agar setiap keputusan dan tindakan yang diambil benar-benar memberi impak positif kepada pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat dan penduduk.

Melalui kerjasama erat, bersepadu antara kementerian, agensi dan pihak-pihak berkepentingan, kerajaan akan terus memastikan setiap dasar strategi dan perlaksanaan saling melengkapi bagi mendukung keutamaan pembangunan negara, merupakan kedayatahanan negara serta memastikan manfaat pembangunan terus dinikmati oleh rakyat dan penduduk masa kini dan generasi akan datang.

Sekianlah Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang dapat kaola jelaskan pada menjawab soalan Yang Berhormat itu. Terima kasih.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Soalan berikutnya dari Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin yang juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang)​

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Kaola terlebih dahulu mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin di atas pertanyaan mengenai usaha kerajaan dalam membendung penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia serta memperkukuh pencegahan, pemulihan dan kesedaran masyarakat.

Isu penyalahgunaan dadah tidak dapat ditangani secara silo kerana selain daripada penguatkuasaan undang-undang ianya memerlukan pencegahan awal yang bermula dari rumah. Keluarga merupakan asas yang membentuk sahsiah seseorang individu manakala institusi pengajian, tempat bekerja, pergaulan sosial dan komuniti memainkan peranan penting dalam membentuk nilai, tingkah laku serta daya tahan golongan belia daripada terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

Perkembangan ancaman dadah pada masa ini juga semakin kompleks dengan perubahan modus operandi yang sentiasa berubah serta pengaruh media sosial yang memudahkan penyebaran maklumat dan normalisasi penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan belia. Justeru, pendekatan pencegahan juga perlu berubah daripada hanya memberi penekanan kepada penyampaian maklumat mengenai bahaya dadah kepada pendekatan yang lebih berasaskan bukti dan mengambil faktor-faktor risiko mendorong seseorang belia untuk terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Dalam memastikan pencegahan penyalahgunaan terus relevan dan berkesan, kerajaan sentiasa berpandukan kepada amalan berasaskan bukti ataupun evidence-based practice selaras dengan International Standard On Drugs Use Prevention yang dibangunkan oleh United Nation Office on Drugs and Crime, UNODC dan World Health Organization, WHO.

Piawaian ini menekankan bahawa pencegahan yang berkesan tidak boleh bergantung kepada kempen kesedaran semata-mata bahkan perlu dilaksanakan secara menyeluruh, berterusan dan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan. Antara pendekatan yang sedang diterokai ialah memperkenalkan intervensi yang lebih awal dengan memberi penekanan kepada pengukuhan institusi keluarga di samping memperkukuhkan kemahiran sosial dan emosi, social and emotional learning dalam kalangan pelajar bagi meningkatkan daya tahan mereka menghadapi tekanan pengaruh rakan sebaya dan cabaran kehidupan.

Selain itu, penglibatan belia sebagai rakan strategi dalam menyampaikan mesej pencegahan kepada rakan sebaya juga merupakan satu kaedah yang berkesan. Pendekatan ini diperkukuhkan melalui penggunaan platform digital dan media sosial yang lebih dekat dengan generasi muda.

Dalam merangka program pencegahan yang berkesan dan memberikan impak yang positif terhadap belia, penggunaan penyelidikan dan data analisis akan dipertingkatkan bagi memastikan program berkenaan adalah relevan, bersasar dan memberikan impak yang positif kepada pembangunan sosial dan keselamatan negara.

Di samping itu, usaha pencegahan juga akan terus diperkukuhkan melalui kerjasama erat antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, keluarga, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat, komuniti khususnya pemimpin akar umbi termasuk penghulu mukim dan ketua-ketua kampung bagi mewujudkan persekitaran yang mampu melindungi belia daripada ancaman dadah. Melalui pendekatan whole of nation approach ini, ianya bukan saja akan mengurangkan kadar penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia, malah turut membendung gejala isu sosial lainnya yang kemudian boleh berkembang kepada isu yang lebih serius.

Dari aspek pemulihan pula, pendekatan yang sama juga iaitu penglibatan multi-stakeholders adalah diperlukan. Walaupun rawatan dan pemulihan di institusi rawatan dan pemulihan merupakan asas yang penting dalam membantu individu bebas daripada penyalahgunaan dadah, hakikatnya kejayaan sebenar pemulihan tidak berakhir apabila seseorang itu meninggalkan institusi tersebut. Kejayaan pemulihan perlu diukur melalui keupayaan bekas penagih untuk mengekalkan pemulihan ataupun sustain recovery, membina semula kehidupan mereka, serta berjaya berintegrasi semula ke dalam masyarakat.

Justeru, pendekatan pemulihan pada masa hadapan akan memberi penekanan yang lebih besar kepada sokongan penjagaan lanjutan ataupun after care, pengukuhan sistem sokongan keluarga dan community, serta proses reintegrasi bagi mengurangkan risiko penyalahgunaan dadah.

Sekian saja yang dapat kaola sampaikan. Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Soalan berikutnya, iaitu daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam, yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pembangunan.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan​

Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola mengucapkan terima kasih atas soalan Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam mengenai perancangan perumahan yang dapat mempengaruhi kesejahteraan institusi keluarga dan sosial.

Dari aspek motivasi dan kesejahteraan keluarga, reka bentuk rumah di bawah Skim Perumahan Negara, disediakan dengan mengambil kira keperluan untuk memenuhi asas keperluan sebuah keluarga atau satu kelamin. Secara asasnya, setiap rumah mengandungi sekurang-kurangnya tiga bilik tidur. Satu bilik tidur utama bagi ibu bapa, dan dua bilik tidur yang berasingan bagi anak lelaki dan anak perempuan. Susun atur ini adalah selaras dan menyokong keperluan privacy keselesaan, serta nilai-nilai kehidupan yang berkualiti, selaras dengan budaya kita ini di Negara Brunei Darussalam.

Bagi memenuhi keperluan keluarga yang semakin berkembang, reka bentuk rumah kini ditambah baik dengan penyediaan empat bilik tidur, termasuk satu bilik tidur di tingkat bawah. Penambahbaikan ini mengambil kira kesejahteraan warga tua dan orang yang mengalami masalah kesihatan atau ibu bapa yang tinggal bersama keluarga, di samping menyediakan rumah yang lebih fleksibel untuk memenuhi keperluan isi rumah masa ini.

Selain penyediaan rumah yang memenuhi keperluan keluarga, setiap pembangunan Skim Perumahan Negara, turut dilengkapi dengan kemudahan awam dan ruang komuniti seperti kawasan masjid, tapak masjid dan sekolah yang telah disediakan, ruang komersial yang telah disediakan, kawasan permainan kanak-kanak, gelanggang sukan, kawasan lapang serta kemudahan lain yang menyokong keperluan sosial dan kemasyarakatan setempat. Sebagai contoh, di kawasan Skim Perumahan Kampung Rimba dan Kampung Lambak dan di dalam kawasan-kawasan skim perumahan yang baru juga seperti kawasan perumahan di Kampung Lugu, di mana tapak-tapak bagi pembinaan kemudahan-kemudahan awam dan keperluan-keperluan kemasyarakatan telah disediakan.

Pada masa ini di kawasan perumahan Kampung Lugu, pembinaan masjid sedang giat berjalan di atas tapak tanah yang telah disediakan untuk pembinaan masjid dan juga beberapa tapak yang telah disediakan bagi keperluan-keperluan yang lain termasuk bagi pusat bangunan-bangunan komersial.

Di samping itu, Jabatan Kemajuan Perumahan juga membenarkan penggunaan tanah kerajaan di kawasan perumahan bagi penganjuran aktiviti oleh Majlis Perundingan Kampung seperti gerai jualan, sempena bulan Ramadan dan program-program kemasyarakatan yang bersesuaian.

Penyediaan kemudahan dan ruang komuniti ini bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman yang kondusif bagi perkembangan kanak-kanak dan para belia serta menyokong kesejahteraan mental penduduk, menggalakkan interaksi sosial dan semangat kejiranan serta secara tidak langsung memperkukuh kestabilan institusi, keluarga dan masyarakat dalam pembentukan komuniti yang lebih sejahtera dan berdaya tahan.

Itu sahaja jawapan yang dapat kaola berikan menjawab soalan Ahli Yang Berhormat tadi. Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Soalan berikutnya daripada Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, yang ditujukan juga kepada Yang Berhormat Menteri Pembangunan.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan​

Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola mengucapkan terima kasih ke atas soalan Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, mengenai dengan langkah dan strategi penyediaan rumah mampu milik.

Dalam usaha kementerian untuk mempercepatkan penyediaan perumahan dan mengurangkan perbelanjaan dari segi kos pembinaan perumahan-perumahan yang dibuat dalam perancangan ialah dengan kerjasama yang telah dibuat bersama dengan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, yang pada masa ini sedang mengkaji semula beberapa aspek dasar dan syarat kelayakan di bawah Skim-Skim Perumahan yang sedia ada. Perkara ini telah dibuat kerjasama dengan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dalam perkara ini dan perkara ini masih lagi work in progress yang telah dimulakan sejak bulan Julai yang lepas.

Di antara perkara yang sedang di dalam perbincangan pada masa ini ialah penilaian kemampuan memiliki rumah berdasarkan tahap pendapatan pemohon serta kesesuaian jenis dan harga rumah mengikut kategori kemampuan pemohon.

Di samping itu, Kementerian Pembangunan juga sedang meneliti kerjasama antara sektor awam dan swasta termasuk penglibatan institusi kewangan, pelabur dan pemaju tempatan bagi usaha memperluaskan untuk menghasilkan perumahan mampu milik serta mempercepatkan penyediaan rumah kepada rakyat.

Pendekatan ini masih di peringkat perbincangan dan penelitian bagi memastikan sebarang cadangan yang dilaksanakan adalah praktikal, mampan serta memberi manfaat kepada rakyat dan kepada kerajaan. Insya Allah, hasil daripada penelitian ini nanti akan menjadi asas kepada penambahbaikan, mekanisme, penyampaian dan penyediaan perumahan negara agar lebih responsif terhadap keperluan semasa dan masa hadapan selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Atu tah jawapan yang dapat kaola berikan pada menjawab soalan tersebut. Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya kira cukuplah dulu kita mendengar soalan-soalan, jawapan-jawapan daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat Menteri-Menteri yang berkenaan mengenai dengan soalan-soalan yang telah dibukakan secara lisan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat Yang Dilantik. Maka, kita sekarang beralih kepada urusan mesyuarat seterusnya.

Yang Mulia Jurutulis​

Usul Bilangan 4/2026. Usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 yang akan dicadangkan oleh Yang Berhormat Pehin Dato Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.

Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II​

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca).

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dirahmati Allah dan yang saya hormati sekalian. Terlebih dahulu izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas ruang yang diberikan untuk saya mencadangkan bagi satu Usul berhubung penyelarasan bagi mencapai Wawasan Brunei 2035 untuk dibincangkan di Majlis Mesyuarat Negara iaitu Mesyuarat Kedua dari Permesyuaratan Ke-22 ini.

Saya dengan penuh hormat dan takzim turut menjunjung kebijaksanaan baginda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menyusun semula barisan kabinet pada 4 Jun 2026 di saat negara berada pada fasa pelaksanaan menuju Wawasan Brunei 2035 iaitu satu mercu tanda penting dalam tempoh kurang daripada satu dekad.

Sesungguhnya limpah kurnia titah baginda bagi mewujudkan tiga jawatan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Dasar-Dasar Ekonomi dan Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia untuk memperkukuh penyelarasan dasar merentas kerajaan adalah langkah berpandangan jauh yang tepat pada waktunya dan merupakan satu manifestasi kewibawaan serta kepimpinan bijaksana lagi berdaulat baginda dalam mengemudi barisan Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

Saya sukacita mengimbas dan menjunjung kasih setinggi-tingginya di atas kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena persidangan Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet Ke-92 pada 15 Jun 2026 yang lalu iaitu Mesyuarat Pertama Menteri-Menteri Kabinet yang baharu dilantik melalui rombakan kabinet pada 4 Jun yang lalu di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah melalui titah baginda berkenaan menegaskan bahawa jawatan Menteri Penyelaras bukan sekadar satu gelaran tetapi merupakan satu amanah sebagaimana titah baginda menegaskan "Jawatan Menteri Penyelaras bukan sekadar satu gelaran tetapi merupakan satu amanah yang penting untuk memastikan kementerian-kementerian di bawah sektor keselamatan negara, ekonomi, sosial dan tenaga manusia bergerak seiring dengan matlamat yang dirasakan", demikian titah baginda.

Saya turut menjunjung kasih di atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagaimana titah baginda yang telah memberikan titah mandat kepada Menteri-Menteri Penyelaras untuk mengeluarkan arahan yang bersesuaian bagi menyelaraskan tindakan kementerian-kementerian berkenaan apabila berhadapan dengan isu-isu kepentingan negara yang bersifat cross cutting. Demikian titah baginda.

Dengan tempoh yang tinggal kurang daripada satu dekad yakni 10 tahun untuk menzahirkan hasrat murni baginda bagi mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035, keperluan penyelarasan merentas kementerian menjadi semakin mendesak. Sepertimana kurnia titah baginda, setiap kementerian tidak boleh lagi bergerak secara terpencil yakni solo dan bahawa Menteri-Menteri Penyelaras hendaklah menjadi penghubung utama dalam menyatukan usaha keutamaan dan tindakan kerajaan ke arah matlamat yang sama demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

Setentunya langkah ini adalah satu tindakan strategik yang mengambil kira keperluan penyelarasan negara yang lebih bersepadu bagi Wawasan Brunei 2035 di mana kerjasama yang lebih erat dan bersepadu antara kementerian dan agensi kerajaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan pelaksanaan dasar serta program pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, berkesan dan berimpak tinggi.

Sehubungan itu, baginda juga telah menitahkan bagi Menteri Penyelaras untuk berfungsi sebagai peneraju utama dalam menyelaras isu-isu merentas kementerian atau cross cutting issues serta bertanggungjawab bagi memastikan jurang pelaksanaan antara kementerian tidak dibiarkan melebar. Bagi tujuan ini, Menteri Penyelaras diberikan mandat untuk mengeluarkan arahan penyelarasan yang bersesuaian.

Walau bagaimanapun, sebarang keputusan yang melibatkan penggubalan dasar baharu, perubahan dasar berimplikasi strategik, peruntukan sumber yang signifikan serta penyelarasan yang memberi kesan besar terhadap kepentingan negara tetap terlebih dahulu memerlukan perkenan baginda.

Menteri Penyelaras juga bertanggungjawab memantau kemajuan pelaksanaan, petunjuk prestasi utama, KPI mengenal pasti cabaran atau kelemahan yang timbul serta memastikan tindakan pembetulan diambil dengan segera. Pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, saya bersama-sama Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah mengadakan beberapa sesi perbincangan mengenai bidang-bidang keutamaan dan susunan kementerian-kementerian di bawah kluster masing-masing.

Insya Allah, saya akan terus bekerjasama dengan Menteri-Menteri Penyelaras dan Ahli-Ahli Mesyuarat, Menteri-Menteri Kabinet yang lain bukan sebagai kementerian atau kluster yang bekerja sebagai berasingan tetapi selaku satu pasukan yang bersatu padu dan saling menyokong bagi merealisasikan hasrat baginda dalam menyatukan dan menyelaras usaha-usaha ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Izinkan saya selaku Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara untuk memberikan penerangan mengenai bidang-bidang keutamaan bagi kluster keselamatan negara. Insya Allah, bagi bidang-bidang keutamaan ekonomi, sosial dan tenaga manusia akan dijelaskan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri dan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Berdasarkan pengamatan dan pemerhatian juga pengalaman saya di sepanjang lapan tahun mempengerusikan Jawatankuasa Keselamatan Negara sejak tahun 2018, Jabatan Perdana Menteri telah mengenal pasti tujuh bidang keutamaan yang akan menjadi fokus utama bagi kluster keselamatan negara iaitu:

Pertama, jenayah dan ketenteraman awam. Kedua, sekuriti dan integriti sempadan. Ketiga, keselamatan siber. Keempat, keselamatan ekonomi; kelima, keterjaminan makanan. Keenam, keselamatan dan keterjaminan tenaga. Dan ketujuh, keselamatan sosial mencerminkan pendekatan whole of government dan whole of nation yang menyeluruh.

Hasil perbincangan bersama Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri dan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah mengupas isu-isu keselamatan negara dengan lebih mendalam seperti pertama dari sudut keselamatan ekonomi. Perbincangan menyentuh keperluan mengimbangi pelaburan asing dengan pertimbangan keselamatan melalui security baiting di samping memastikan manfaat dan peluang pekerjaan yang nyata kepada anak tempatan. Selain itu, pembayaran gaji dan aliran wang yakni remittance ke luar negara serta penguasaan pekerja asing dalam sektor-sektor tertentu seperti runcit, pertanian dan kantin sekolah yang turut memerlukan perlindungan peluang perniagaan bagi anak tempatan.

Dari sudut keselamatan siber dan ketenteraman awam pula, perbincangan menekankan peningkatan ancaman siber, pusat penipuan, scam centres dan risiko penyalahgunaan teknologi seperti implikasi kecerdasan buatan, artificial intelligence terhadap masa depan pekerjaan.

Manakala dari sudut keselamatan sosial, perbincangan menyentuh isu pekerjaan yang perlu dilihat secara lebih mendalam dan bukan sekadar berdasarkan jumlah kekosongan, kebolehpasaran serta kesediaan anak tempatan. Isu perumahan sebagai satu isu sosial yang penting serta pengukuhan ekonomi akar umbi dengan peranan institusi penghulu, mukim dan ketua kampung di peringkat kepimpinan akar umbi dalam pemantauan dari sudut sosial, keselamatan, kebajikan dan penguatkuasaan.

Saya sukacita menegaskan bahawa bidang-bidang keutamaan ini akan terus diperhalusi secara bersama oleh menteri-menteri penyelaras sebagai satu pasukan yang utuh kerana kejayaan penyelarasan merentas kluster-kluster ini hanya dapat dicapai menerusi semangat kerjasama saling melengkapi dan komitmen bersama ke arah satu matlamat iaitu kejayaan Wawasan Brunei 2035.

Bagi mendukung pelaksanaan penyelarasan ini, beberapa mekanisme tadbir urus turut dicadangkan dan sedang dilaksanakan iaitu penubuhan mesyuarat penyelarasan kluster keselamatan negara, pengemaskinian struktur dan keahlian Jawatankuasa Keselamatan Negara serta penyelarasan senarai majlis dan jawatankuasa kebangsaan sedia ada bagi mengelakkan pertindihan peranan. Struktur ini akan dinilai semula keberkesanannya selepas tempoh pelaksanaan selama satu tahun bagi memastikan ia kekal relevan dan responsif terhadap keperluan semasa.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, tanggungjawab bersama menuju Wawasan Brunei 2035 menjadi semakin bermakna pada saat negara menghampiri detik gemilang dan bersejarah iaitu Sambutan Jubli Intan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki takhta.

Alhamdulillah, di bawah naungan kepimpinan bijaksana, berpandangan jauh lagi berdaulat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, selama enam dekad negara telah menjalani transformasi pembangunan yang menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, Wawasan Brunei 2035 bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata. Saya berpandangan bahawa semua titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi kaedah pendekatan whole of government dan whole of nation perlu terus diperkukuh dan diperluaskan bagi melibatkan seluruh lapisan masyarakat, termasuk sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, institusi kepimpinan akar umbi iaitu penghulu mukim dan ketua kampung, golongan belia serta setiap rakyat dan penduduk jelata dapat sama-sama menggembeleng tenaga ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

Semangat kebersamaan inilah yang turut menjadi asas dalam memacu agenda penyelarasan ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035 termasuk melalui penambahbaikan dasar secara berterusan agar negara terus kekal responsif, berdaya tahan dan berdaya saing dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi dan cabaran masa hadapan yang semakin kompleks.

Setiap penambahbaikan dasar memerlukan penelitian rapi dan pertimbangan yang menyeluruh bagi memastikan manfaat yang optimum kepada negara dan rakyat. Justeru penglibatan di peringkat akar umbi juga perlu terus diperkukuhkan agar masyarakat memainkan peranan dalam memastikan pelaksanaan atau penambahbaikan dasar secara inklusif dan berkesan.

Dalam hubungan ini, perkhidmatan awam memainkan peranan penting sebagai jentera penggerak dalam mendukung usaha penyelarasan bagi memastikan setiap dasar, strategi dan keutamaan kerajaan dilaksanakan secara sehaluan, bersepadu dan berkesan dengan sentiasa mendahulukan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.

Kejayaan usaha ini turut bergantung kepada keupayaan perkhidmatan awam untuk terus mengadaptasi dengan perubahan, melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti serta berkeupayaan untuk bertindak dengan cepat dan berkesan dalam mendepani perubahan dan cabaran semasa.

Dengan keupayaan yang kukuh dan semangat tanggungjawab bersama, perkhidmatan awam akan terus memacu pencapaian perkhidmatan yang berkualiti tinggi, responsif dan bermakna serta berimpak tinggi kepada rakyat dan negara. Kejayaan usaha penyelarasan tidak dapat diukur melalui perancangan semata-mata tetapi melalui hasil yang dapat dirasai oleh rakyat dan impak yang dapat dilihat pada pembangunan negara sebagaimana yang dititahkan semasa Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-80.

Sehubungan itu, Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 Jabatan Perdana Menteri melalui Pejabat Wawasan Brunei akan terus memainkan peranan selaku agensi utama memastikan penyelarasan yang bersepadu antara kluster-kluster keselamatan negara, dasar-dasar ekonomi serta dasar-dasar sosial dan tenaga manusia ke arah pencapaian matlamat yang sama termasuk inisiatif-inisiatif utama di bawah Manpower Blueprint bagi matlamat pertama, Social Blueprint bagi matlamat kedua dan Economic Blueprint bagi matlamat ketiga.

Saya juga sukacita mengimbas titah mukadimah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Persidangan Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet ke-92 di mana baginda bertitah, "Reaksi yang diterima juga menyuarakan harapan terhadap menteri-menteri kabinet yang baharu untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sebaiknya dan menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding penggal sebelumnya. Sementara itu, sebarang kritikan yang membina hendaklah dijadikan sebagai satu dorongan untuk sentiasa bermuhasabah diri dan sebagai pembakar semangat untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada."

Sehubungan itu, saya memperingati diri sendiri juga menyeru agar semangat muhasabah diri dan iltizam untuk sentiasa memperbaiki diri ini turut dikongsi bersama oleh seluruh Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara termasuk Ahli-Ahli Yang Dilantik selaku penghubung dan penyampai suara rakyat dan mereka di luar sana untuk terus memainkan peranan yang proaktif, konstruktif dan menyokong usaha agenda pembangunan negara.

Saya dan juga Yang Berhormat Menteri-Menteri Penyelaras yang lain dengan rendah hati mengalu-alukan sebarang pandangan dan kritikan yang membina kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat kerana input atau maklum balas sedemikian bukan sahaja memperkukuh akauntabiliti kerajaan malah menjadi pemangkin kepada kerajaan bagi mengenal pasti peluang penambahbaikan, menangani cabaran pelaksanaan serta mempercepatkan pencapaian sasaran-sasaran Wawasan Brunei 2035.

Marilah kita sama-sama, kerajaan dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara berganding bahu bekerjasama dengan penuh semangat kebersamaan dan bertanggungjawab demi merealisasikan Wawasan Brunei 2035 untuk kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara yang sama-sama kita cintai ini berkekalan seterusnya.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, insya Allah dengan izin serta taufik dan hidayah dari Allah Subhanahu Wata'ala dan di bawah kepimpinan bijaksana, berpandangan jauh lagi berdaulat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku raja yang berdaulat, dikasihi rakyat, saya bersama-sama Yang Berhormat Menteri-Menteri Penyelaras yang lain akan terus menunaikan amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan semangat kerjasama sepasukan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Sehubungan itu, di akhir kesempatan ini, saya dengan tulus ikhlas menyembahkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sambil merafakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa dikurniakan kesihatan, kekuatan serta taufik dan hidayah dalam memimpin barisan kabinet yang baharu ini khususnya dan negara amnya menuju kejayaan Wawasan Brunei 2035.

Dengan ini, saya mencadangkan bagi satu Usul berhubung penyelarasan bagi mencapai Wawasan Brunei 2035 untuk dibincangkan di Majlis Mesyuarat Negara pada Mesyuarat Kedua Dari Musim Permesyuaratan ke-22 Majlis Mesyuarat Negara pada tahun 2026 ini dan mohon agar Ahli-Ahli Yang Berhormat bagi menyokong Usul ini.

Sekian Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh terima kasih.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya persilakan seorang Ahli untuk menyokong Usul ini. Ya, Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri.

Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri​

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya menyokong sepenuhnya Usul yang dicadangkan. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 telah dikemukakan dan juga disokong.

Sekarang, saya akan membukakan ruang bagi perbahasan Usul ini. Had masa bagi setiap Ahli Yang Berhormat adalah selama 15 minit. Maka sekarang saya ingin menjemput Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri. Silakan.

Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri​

Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca). Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas kurnia titah pelantikan tiga orang Menteri Penyelaras, iaitu bagi Keselamatan Negara, Dasar-Dasar Ekonomi dan Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia semasa Titah Perutusan Khas sempena Rombakan dan Pelantikan Menteri-Menteri Kabinet pada 4 Jun 2026 yang lalu, yang mencerminkan kebijaksanaan dan keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan memastikan segala usaha dan tindakan kerajaan akan lebih terarah dan terurus.

Visi jauh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ini adalah amat bertepatan dan strategik, khususnya dalam mana dunia ketika ini sedang menghadapi cabaran ketidaktentuan geopolitik dan konflik yang boleh menjejaskan rantaian bekalan global yang boleh memberi impak negatif bukan sahaja di peringkat serantau malah juga kepada negara kita.

Oleh itu, penyelarasan kukuh bersama kementerian-kementerian dan di antara Menteri-Menteri Penyelaras akan dapat membantu negara ini berdepan dengan cabaran-cabaran yang di luar jangkaan secara efisien dan teratur.

Seterusnya, sebagaimana yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Persidangan Menteri-Menteri Kabinet ke-92 pada 15 Jun 2026, mekanisme penyelarasan ini akan terus memperkukuhkan pendekatan whole of government dalam usaha mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

Dengan tempoh yang berbaki kurang daripada satu dekad, setiap kementerian tidak boleh lagi bergerak secara terpencil, silo. Menteri-Menteri Penyelaras hendaklah menjadi penghubung utama dan menyatukan segala usaha, keutamaan dan tindakan kerajaan ke atas mencapai matlamat yang sama demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Menyedari hakikat tugas penyelarasan ini adalah cross-cutting di antara dasar ekonomi, sosial dan tenaga manusia serta ada hubung kait secara terus dengan aspek keselamatan negara, adalah penting bagi Menteri-Menteri Penyelaras berserta kementerian-kementerian yang berkenaan untuk bekerjasama dan berganding bahu sebagai satu pasukan demi kesejahteraan dan menjaga kemaslahatan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam khususnya bagi menyelaras usaha keselamatan dan keharmonian sosial serta kepelbagaian ekonomi bersama kementerian-kementerian yang bertanggungjawab untuk menerajui sektor-sektor keutamaan.

Seterusnya, demi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bahawasanya lantikan ini adalah amanah yang perlu ditanai dengan penuh setia dan sikap bertanggungjawab. Walaupun ianya merupakan satu tanggungjawab yang besar dan berat, amanah yang dipertanggungjawabkan dalam menerajui pembangunan dan perkembangan ekonomi, insya Allah, akan dilaksanakan dengan sedaya upaya khususnya dalam pembangunan sektor-sektor keutamaan, mengukuhkan usaha mempelbagaikan ekonomi bagi menjana pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan mampan, ke arah mencapai Matlamat Ketiga Wawasan Brunei 2035, Ekonomi yang Dinamik dan Berdaya Tahan.

Menyentuh mengenai perkembangan ekonomi negara dalam tempoh tahun 2015 hingga 2025, ekonomi negara telah mencatat pertumbuhan purata KDNK sebanyak 0.7 peratus setahun yang mana sektor bukan minyak dan gas menyumbang kepada pertumbuhan 2.7 peratus setahun. Pertumbuhan ini masih dikira belum mencukupi dan memadai.

Merujuk aspirasi Wawasan Brunei 2035, yang mana hanya berbaki lebih kurang sembilan tahun untuk dicapai, setakat ini pelbagai inisiatif dan usaha telah dilaksanakan oleh kementerian-kementerian dan agensi berkenaan ke arah mempelbagaikan ekonomi negara terutama sekali melalui sektor-sektor keutamaan iaitu Sektor Minyak dan Gas, Sektor Makanan, Sektor Pelancongan, Sektor Teknologi Maklumat dan Infokomunikasi dan Sektor Perkhidmatan, Services.

Bagi mempercepatkan dan memacu pertumbuhan ekonomi melalui sektor-sektor keutamaan ini, usaha-usaha perlu dilipatgandakan lagi oleh semua pihak melalui pendekatan whole of government and whole of nation approach. Tugas Menteri Penyelaras bukanlah untuk mengambil alih tugas bagi memajukan sektor-sektor keutamaan tersebut. Walau bagaimanapun, seperti yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, tugas sebenar ialah untuk memastikan dasar-dasar yang ada selaras dan dapat mendukung kemajuan sektor keutamaan.

Penyelarasan ini diharap akan dapat melaksanakan kemajuan sektor utama dengan lebih efisien dan efektif. Ke arah ini, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri akan sentiasa bekerjasama dan terus memantau perkembangan penyelarasan dasar-dasar ekonomi menerusi sektor-sektor berkenaan dengan kementerian-kementerian yang bertanggungjawab.

Alhamdulillah, di bawah Economic Blueprint terdapat beberapa industry roadmaps dan sectoral blueprints yang telah pun disediakan dan juga sedang dirangka oleh kementerian-kementerian berkenaan.

Di bawah Sektor Hiliran Minyak dan Gas, Downstream Oil and Gas Roadmap, di bawah Sektor Makanan, Food Industry Roadmap, di bawah Sektor Pelancongan, Tourism Industry Roadmap, di bawah Sektor ICT terdapat Digital Economy Masterplan 2025 dan Info-Communication Technology Roadmap, di bawah sektor services, Maritime Trade Logistics Services Roadmap dan Aviation Services Roadmap dan di bawah Financial Services Industry terdapat Financial Sector Blueprint. Semua sectoral blueprint dan industry roadmap tersebut menjadi asas kepada penyelarasan dasar-dasar yang boleh membantu mencapai pembangunan negara yang lebih efektif dan mampan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Bagi memastikan inisiatif dan usaha berjalan seperti yang dirancang, beberapa kumpulan penyelaras di bawah roadmap dan rangka kerja yang sedia ada telah pun diwujudkan. Adalah penting bagi peranan kumpulan penyelaras ini untuk diperkukuhkan lagi dan seterusnya diformalisasikan dan dinaikkan ke peringkat menteri, tertakluk kesesuaian bagi memastikan sebarang isu rentas sektor dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Langkah ini adalah penting, lebih-lebih lagi bagi menangani isu-isu cross-cutting atau rentas kementerian yang lazimnya melibatkan bidang kuasa, dasar dan tanggungjawab beberapa kementerian dan agensi berkenaan secara serentak. Isu-isu demikian tidak akan dapat diselesaikan secara berkesan sekiranya ditangani secara berasingan atau secara silo. Oleh itu, penyelarasan yang lebih tersusun diperlukan bagi memastikan tindakan yang cepat, keputusan yang jelas serta accountability yang dikongsi sama.

Selain itu, antara fokus dalam tugasan menyelaras dasar-dasar ekonomi ialah memacu dan memantau perkembangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana agar dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara signifikan. Ini mengambil kira majoriti pemilik syarikat MSME diusahakan oleh rakyat tempat dan juga termasuk belia dan kaum wanita berusaha mempergiatkan aktiviti ekonomi termasuk dari rumah, home-based secara kecil-kecilan dan pada masa yang sama sektor ini juga menjana pekerjaan bagi anak-anak tempatan untuk menangani isu pengangguran. Dengan penyelarasan dasar-dasar ini adalah diharapkan dapat menambah baik lagi ekosistem bagi mendukung perkembangan MSME tempatan.

Penyelarasan dan pelaksanaan dasar memerlukan sokongan yang menyeluruh yang merangkumi satu penggubalan dan mengemaskinikan akta dan peraturan serta penyediaan instrumen perundangan seperti kontrak dan perjanjian dalam tempoh yang munasabah.

Kedua ialah penggunaan instrumen ekonomi dan fiskal yang bersesuaian termasuk peruntukan kewangan serta langkah-langkah fiskal yang relevan.

Ketiga ialah penyediaan perkhidmatan awam yang cekap dan responsif melalui pelaksanaan pemerkasaan kapasiti sumber manusia selaras dengan keperluan semasa. Ini adalah bagi memastikan dasar-dasar dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan bagi mendukung aspirasi pembangunan negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kejayaan usaha ini tidak hanya bergantung kepada tindakan kerajaan semata-mata tetapi memerlukan komitmen dan tanggungjawab bersama daripada sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, masyarakat dan pihak-pihak yang berkepentingan. Setiap pihak hendaklah memainkan peranan masing-masing secara jelas dan proaktif serta saling melengkapi dan bergerak secara bersepadu dalam menangani cabaran-cabaran yang dikenal pasti.

Marilah kita bersama-sama menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan menterjemahkan segala dasar, perancangan dan komitmen kepada tindakan yang nyata dan terarah serta mendatangkan hasil yang bermakna kepada rakyat dan negara.

Semoga segala ikhtiar murni yang dirancang dan dilaksanakan ini akan sentiasa mendapat taufik hidayah dan keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala serta menjadi sumbangan yang bermakna ke arah merealisasikan aspirasi Wawasan Brunei 2035. Saya sudahi ucapan ini dengan doa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta seluruh Kerabat Diraja akan sentiasa berada di dalam keadaan sihat walafiat dan kebahagiaan juga.

Sekian, Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Terima kasih.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Terima kasih Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri. Sekarang saya mempersilakan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Silakan.

Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri​

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Di kesempatan ini, kaola menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas kurnia titah baginda bagi pelantikan kaola selaku Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan insya Allah, amanah ini akan kaola pikul dengan penuh rasa tanggungjawab, keikhlasan dan komitmen bagi memastikan setiap dasar dan usaha yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Kaola juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memberi peluang kepada kaola untuk turut serta membahaskan Usul menyokong penyelarasan ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035 yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Pehin Dato Lailaraja Mejar Jeneral Bersara Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.

Kaola menyokong sepenuhnya Usul ini kerana pada khidmat kaola penyelarasan bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan strategik bagi memastikan setiap dasar, perancangan dan tindakan kerajaan bergerak secara seiring ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Wawasan ini merupakan kompas pembangunan negara yang mencerminkan aspirasi untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, menikmati kualiti kehidupan yang tinggi serta menyokong sebuah ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

Justeru, penyelarasan hendaklah menjadi budaya kerja dan prinsip tadbir urus yang merentasi kementerian, agensi, sektor swasta serta masyarakat. Kejayaan sesuatu dasar tidak lagi dinilai berdasarkan pencapaian setiap organisasi secara berasingan tetapi melalui keupayaan semua pihak untuk berganding bahu menghasilkan impak yang nyata kepada rakyat. Ukuran sebenar kejayaan ialah sejauh mana dasar tersebut meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkukuh keberkesanan penyampaian perkhidmatan serta menyelesaikan isu-isu negara secara bersepadu, cekap dan mampan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Dunia hari ini sedang berubah dengan amat pantas. Perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan, perubahan pasaran pekerjaan, ketidaktentuan ekonomi global, perubahan demografi, peningkatan kos sara hidup serta cabaran sosial yang semakin kompleks menuntut pendekatan pentadbiran yang lebih bersepadu, telus dan responsif. Cabaran-cabaran ini tidak lagi terhad kepada satu kementerian atau agensi.

Isu pekerjaan misalnya berkait rapat dengan pendidikan, latihan kemahiran, kesihatan, pengangkutan, kesejahteraan mental, keadaan keluarga dan peluang ekonomi. Begitu juga kemiskinan yang melibatkan aspek pendidikan, kesihatan, perumahan, perlindungan sosial dan pembangunan komuniti. Sehubungan itu, pendekatan whole of government dan whole of nation perlu dijadikan asas kepada perancangan, pelaksanaan dan penilaian dasar. Pendekatan ini hendaklah berpandukan data, berorientasikan hasil iaitu outcome based serta diperkukuh melalui kerjasama strategik merentas kementerian, agensi, sektor swasta, akademia, pertubuhan masyarakat sivil dan komuniti. Pendekatan ini adalah selaras dengan falsafah negara iaitu Melayu Islam Beraja yang mencerminkan semangat tanggungjawab bersama permuafakatan dan amanah dalam memelihara kepentingan agama, negara dan raja.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kaola akan dilaksanakan berasaskan prinsip penyelarasan, kerjasama strategik yang saling melengkapi. Peranan ini bukan untuk mengambil alih fungsi kementerian atau agensi tetapi memperkukuh kesepaduan dasar, menyelaras keutamaan bersama, mengenal pasti jurang pelaksanaan, mempercepatkan penyelesaian isu rentas agensi dan memastikan setiap dasar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Sehubungan itu, terdapat lima hala tuju utama yang akan menjadi fokus di mana kelima-lima hala tuju ini saling melengkapi dalam membina masyarakat yang lebih inklusif, berdaya tahan dan sejahtera. Hala tuju pertama iaitu memperkukuh pembangunan tenaga manusia. Kekuatan sebuah negara tidak lagi diukur melalui jumlah penduduk atau hasil ekonomi semata-mata tetapi melalui kualiti modal insan. Oleh itu, pembangunan tenaga manusia hendaklah dilihat sebagai pelaburan strategik yang menentukan keupayaan negara untuk terus berkembang, berinovasi dan berdaya tahan. Matlamat kita ialah untuk melahirkan rakyat yang berkemahiran, produktif, berdaya saing dan mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara.

Pendekatan pembangunan tenaga manusia juga perlu berubah daripada sekadar menyediakan pekerjaan kepada membina kerjaya yang berkualiti meningkatkan keupayaan insan dan mempersiapkan rakyat menghadapi ekonomi masa hadapan. Perubahan pesat dalam Kecerdasan Buatan, automasi, digitalisasi, ekonomi hijau, ekonomi penjagaan dan ekonomi platform sedang mengubah landskap pekerjaan dunia. Justeru, tenaga kerja negara perlu sentiasa bersedia untuk meningkatkan kemahiran iaitu upskilling, memperoleh kemahiran baharu, reskilling serta mengamal pembelajaran sepanjang hayat.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Setiap usaha pembangunan ekonomi hendaklah diterjemahkan kepada peluang yang lebih bermakna untuk anak-anak tempatan. Kejayaan tidak boleh diukur hanya melalui jumlah pekerjaan yang diwujudkan tetapi melalui kualiti pekerjaan, prospek kerjaya, peningkatan produktiviti, pembangunan kemahiran dan pendapatan yang mampu menyokong kesejahteraan keluarga.

Dalam hubungan ini, usaha penempatan perlu terus diperkukuh bukan sekadar memenuhi sasaran angka, tetapi memastikan anak tempatan diberi peluang belajar, dibimbing, diberi kepercayaan memimpin dan akhirnya mampu mengambil alih jawatan yang memerlukan kepakaran. Ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan industri.

Cabaran pengangguran juga perlu ditangani secara lebih menyeluruh. Berdasarkan data Pusat Pekerjaan Brunei setakat Jun 2026, terdapat 14,976 pencari kerja aktif, di mana 79 peratus atau 11,876 orang berumur di antara 21 hingga 35 tahun. Manakala, 32 peratus iaitu 4,740 orang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dan ke atas, 31 peratus iaitu 4,572 orang berkelulusan pendidikan menengah dan ke bawah, serta 21 peratus iaitu 3,217 orang berkelulusan teknikal dan vokasional.

Data ini menunjukkan bahawa pengangguran merentasi pelbagai latar belakang dan dipengaruhi oleh berbagai faktor seperti ketidakpadanan kemahiran, kurangnya pengalaman, kesediaan untuk bekerja, akses kepada pengangkutan, keadaan keluarga, kesihatan, jangkaan gaji dan perubahan keperluan industri. Oleh itu, penyelesaian isu ini memerlukan penyelarasan yang lebih erat antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor industri, agensi sosial dan masyarakat.

Penggunaan data serta analisis pasaran buruh juga perlu terus diperkasakan supaya dasar tenaga manusia dirangka berasaskan bukti, maklumat mengenai permintaan industri, kemahiran baharu, kadar pengekalan pekerjaan, perkembangan kerjaya dan produktiviti tenaga kerja hendaklah sentiasa dianalisis bagi memastikan intervensi kerajaan benar-benar menepati keperluan semasa dan masa hadapan.

Pembangunan tenaga manusia bukan sekadar agenda ekonomi tetapi agenda strategik negara. Apabila rakyat memperoleh pekerjaan yang berkualiti, kesejahteraan keluarga akan meningkat, masyarakat menjadi lebih stabil dan negara akan menjadi lebih makmur dan berdaya tahan. Oleh itu, segala dasar tenaga manusia hendaklah sentiasa berpaksikan matlamat untuk memastikan setiap rakyat yang berkeupayaan mempunyai peluang membina masa depan yang lebih baik melalui pekerjaan yang berkualiti, kemahiran yang relevan dan pembangunan kerjaya yang berterusan.

Hala tuju kedua, memperkukuh jaringan keselamatan sosial. Hala tuju kedua ini ialah memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara supaya lebih tersasar, bersepadu, responsif dan berorientasikan pemerkasaan. Jaringan keselamatan sosial bukan sekadar mekanisme pemberian bantuan tetapi merupakan satu pelaburan untuk membina sebuah masyarakat yang inklusif, penyayang dan berdaya tahan.

Matlamat utamanya adalah untuk membantu individu dan keluarga beralih daripada kebergantungan kepada kemandirian dengan memberikan sokongan yang membolehkan mereka bangkit semula, berdikari dan menyumbang kepada masyarakat mengikut kemampuan masing-masing. Perkembangan geopolitik yang semakin tidak menentu memberi kesan langsung kepada kesejahteraan sosial, khususnya apabila gangguan terhadap rantaian bekalan global mengakibatkan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup. Keadaan ini memberi tekanan yang lebih besar kepada golongan berpendapatan rendah dan isi rumah yang rentan yang lazimnya mempunyai keupayaan terhad untuk menyerap kejutan ekonomi.

Sehubungan itu, kita perlu terus memperkukuh ketahanan nasional melalui sistem perlindungan sosial yang lebih bersasar, responsif berasaskan data. Bantuan hendaklah disalurkan mengikut tahap keperluan dan kerentanan setiap isi rumah agar golongan yang benar-benar memerlukan menerima sokongan yang sewajarnya.

Pada masa yang sama pendekatan ini memastikan sumber kerajaan dimanfaatkan secara lebih cekap dan berkesan di samping memelihara kemampanan fiskal negara bagi memenuhi keperluan generasi masa hadapan.

Akhirnya, jaringan keselamatan sosial yang kukuh bukan sahaja berperanan mengurangkan kesan kejutan ekonomi global terhadap kehidupan rakyat malah memperkukuh daya tahan masyarakat, meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan serta memastikan pembangunan negara terus berlangsung secara inklusif, mampan dan berdaya tahan. Berdasarkan data penerima bantuan bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 24 Julai 2026, seramai 22,274 orang yang menerima bantuan adalah terdiri daripada 17,428 penerima di bawah Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal iaitu JUZWAB dan 4,846 penerima melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat, JAPEM.

Daripada jumlah tersebut, 58 peratus merupakan mereka yang berumur 18 hingga 59 tahun, 28 peratus berumur di bawah 18 tahun dan 14 peratus berumur 60 tahun ke atas. Dari segi pendidikan, 58.2 peratus iaitu 12,955 orang berkelulusan sekolah menengah, 27.5 peratus iaitu 6,125 orang tidak mempunyai kelulusan formal dan 9.4 peratus iaitu 2,104 orang berkelulusan sekolah rendah. Dari segi pekerjaan pula 11,649 orang iaitu 52.3 peratus tidak mempunyai pekerjaan, 6,918 orang iaitu 31.1 peratus merupakan penuntut dan 2,121 orang iaitu 9.5 peratus sedang bekerja.

Data ini menunjukkan bahawa isu kebajikan tidak hanya berkait dengan pendapatan tetapi turut dipengaruhi oleh tahap pendidikan, kebolehpasaran, status pekerjaan dan akses kepada peluang ekonomi. Oleh itu, pendekatan kebajikan yang dilaksanakan perlu lebih bersasar dan disesuaikan dengan keadaan serta keupayaan setiap individu dan keluarga.

Selaras dengan pendekatan tersebut, jaringan keselamatan sosial hendaklah dibangunkan berasaskan tiga komponen utama iaitu perlindungan, pemulihan dan pemerkasaan. Perlindungan memastikan golongan yang memerlukan terus menerima bantuan serta akses kepada perkhidmatan asas bagi menjamin kelangsungan kehidupan masing-masing. Pemulihan pula memberi tumpuan kepada usaha membantu individu dan keluarga mengatasi cabaran yang menjejaskan kesejahteraan sekaligus memulihkan keupayaan mereka untuk kembali berfungsi secara produktif dalam masyarakat.

Pemerkasaan pula menumpukan kepada pembangunan keupayaan melalui pendidikan, latihan kemahiran, peluang pekerjaan, keusahawanan dan sokongan komuniti agar mereka berupaya meningkatkan taraf hidup berdikari serta mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan secara berterusan apabila keadaan mengizinkan.

Kaola mohon menyambung Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

(Yang Berhormat Yang Di-Pertua memberi isyarat menganggukkan kepala tanda bersetuju)

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup dan perubahan sosioekonomi yang semakin mencabar, pendekatan ini penting bagi memastikan respons kerajaan tidak hanya tertumpu kepada pemberian bantuan kewangan atau subsidi semata-mata, tetapi turut memperkukuhkan keupayaan rakyat menjana pendapatan, meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya tahan isi rumah serta mengurangkan kebergantungan kepada bantuan dalam jangka panjang.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Sesebuah keluarga yang memerlukan bantuan kewangan mungkin turut berhadapan dengan masalah pekerjaan, pendidikan anak-anak, kesihatan, perumahan, pengangkutan dan juga penjagaan ahli keluarga. Oleh itu, pendekatan pengurusan kes iaitu case management yang lebih bersepadu perlu diperkukuhkan supaya setiap keluarga dinilai secara menyeluruh dan pelan intervensi dapat dirancang, diselaras dan dipantau secara kolektif antara kementerian, agensi dan pihak berkepentingan. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keberkesanan bantuan malah turut mengelakkan pertindihan program dan memastikan sumber kerajaan dimanfaatkan secara optimum.

Kejayaan dasar sosial tidak boleh diukur berdasarkan jumlah penerima bantuan semata-mata, tetapi sejauh mana mereka berjaya meningkatkan taraf hidup, memperoleh pekerjaan, memperkukuh pendapatan keluarga dan akhirnya mampu berdikari. Inilah perubahan paradigma yang ingin kita bawa iaitu daripada mengurus bantuan kepada mengurus keberhasilan.

Hala tuju ketiga, iaitu membangun bakat masa depan. Hala tuju ketiga ialah membangun saluran bakat negara yang mampu memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan. Dalam dunia yang dipacu oleh teknologi, inovasi dan Kecerdasan Buatan, kelebihan sesebuah negara bergantung kepada keupayaan rakyatnya untuk berfikir, berinovasi dan mencipta nilai. Sehubungan itu, pembelajaran sepanjang hayat hendaklah dibudayakan dalam kalangan masyarakat supaya ilmu dan kemahiran yang diperolehi akan terus relevan, adaptif dan berdaya saing selaras dengan perubahan keperluan ekonomi.

Pada masa yang sama, hubungan antara sistem pendidikan, institusi latihan teknikal dan vokasional, Institusi Pengajian Tinggi serta industri perlu terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan bakat benar-benar memenuhi keperluan negara dan kehendak pasaran pekerjaan. Kurikulum latihan dan program pembangunan modal insan juga hendaklah sentiasa responsif terhadap pembangunan ekonomi digital, Kecerdasan Buatan, keselamatan siber, ekonomi hijau, ekonomi penjagaan, industri kreatif serta bidang-bidang baharu yang bakal menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Hala tuju keempat, memperkukuhkan peranan komuniti. Hala tuju keempat ini memperkukuhkan peranan komuniti dan pembimbing akar umbi sebagai rakan strategik kerajaan dalam pelaksanaan dasar sosial dan pembangunan tenaga manusia. Kejayaan sebuah dasar tidak hanya bergantung kepada usaha kerajaan semata-mata tetapi juga sejauh mana masyarakat turut mengambil bahagian dan memikul tanggungjawab bersama.

Dalam konteks ini, penghulu mukim dan ketua kampung memainkan peranan yang amat penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat. Dengan pemahaman yang mendalam terhadap keadaan dan keperluan masyarakat setempat mereka berupaya mengenal pasti keluarga yang memerlukan bantuan, belia yang memerlukan bimbingan, warga emas yang memerlukan perhatian serta potensi ekonomi yang boleh dibangunkan di peringkat komuniti. Sehubungan itu, mereka terus diperkasakan melalui latihan, akses kepada maklumat dan data yang relevan, mekanisme rujukan yang jelas serta saluran komunikasi dan penyelarasan yang lebih berkesan dengan kementerian dan agensi kerajaan. Pendekatan ini akan memperkukuh penyampaian dasar di peringkat akar umbi, meningkatkan keberkesanan intervensi serta memastikan bantuan dan peluang pembangunan dapat disalurkan secara lebih tepat, responsif dan inklusif.

Hala tuju kelima, memperkukuh tadbir urus dasar. Hala tuju kelima menekankan keperluan memperkukuh tadbir urus dasar melalui penggunaan data strategik, pengukuran keberhasilan, pemantauan yang berterusan serta akauntabiliti yang jelas. Dalam era digital, data merupakan aset penting negara yang membolehkan membuat keputusan secara lebih tepat, responsif dan berpandangan jauh. Oleh itu, setiap dasar hendaklah dirangka berasaskan bukti, disokong oleh analisis yang menyeluruh serta penilaian yang objektif.

Keperluan tadbir urus yang kukuh menjadi semakin mendesak apabila negara berdepan dengan kejutan geopolitik, tekanan ekonomi dan cabaran alam sekitar termasuk gangguan rantaian bekalan yang semakin kompleks. Sehubungan itu, pendekatan pentadbiran perlu beralih daripada bersifat reaktif kepada lebih proaktif melalui perancangan senario iaitu scenario planning, penilaian risiko secara berkala, pemantauan petunjuk amaran awal iaitu early warning indicators serta penambahbaikkan dasar secara berterusan berdasarkan data dan penilaian prestasi.

Pendekatan ini akan meningkatkan daya tahan institusi, memperkukuh keupayaan kerajaan, membuat keputusan yang lebih pantas dan tepat serta memastikan dasar sentiasa kekal, relevan dan berkesan dalam menghadapi perubahan persekitaran yang lebih dinamik.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kelima-lima hala tuju yang telah kaola gariskan saling berkait dan saling memperkukuh. Pembangunan tenaga manusia memerlukan pendidikan yang relevan, boleh diakses oleh semua, pendidikan yang berkualiti membuka peluang pekerjaan yang lebih baik. Pekerjaan yang berkualiti memperkukuhkan kesejahteraan individu dan keluarga. Pada hemat kaola, kejayaan Wawasan Brunei 2035 tidak hanya diukur sebagai melalui statistik atau pertumbuhan ekonomi semata-mata tetapi ianya akan benar-benar tercapai apabila lebih ramai anak tempatan memperoleh pekerjaan yang berkualiti. Lebih ramai belia yang mempunyai keyakinan terhadap masa depan, lebih banyak keluarga menikmati kehidupan yang stabil dan sejahtera, warga emas terus dihargai dan dipelihara serta setiap lapisan masyarakat merasai manfaat pembangunan negara secara adil dan inklusif.

Dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala serta berkat kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kaola yakin sepenuhnya bahawa melalui penyelarasan yang lebih kukuh, tadbir urus yang lebih berkesan, kerjasama yang lebih erat dan komitmen berterusan daripada seluruh jentera kerajaan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat dan rakyat, insya Allah, kita akan dapat merealisasikan aspirasi Wawasan Brunei 2035 demi kesejahteraan generasi hari ini dan akan datang.

Akhir sekali, kaola sekali lagi menyatakan sokongan penuh terhadap Usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 dan menyeru agar semua usaha memperkukuh penyelarasan ini terus diperkasakan sebagai satu agenda nasional demi memperkukuh daya tahan negara, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menjamin masa depan Negara Brunei Darussalam yang aman makmur dan diberkati berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja.

Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua​

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita telah mula membincangkan mengenai Usul yang telah pun dikemukakan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.

Usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 juga telah pun disokong dan mula dibahaskan oleh dua orang Menteri Penyelaras seterusnya.

Maka, sebelum kita meneruskan lagi perbincangan mengenai dengan Usul yang telah pun dikemukakan ini, saya kira cukuplah dulu kita bersidang pada pagi ini dan kita akan tangguhkan mesyuarat ini dulu. Insya Allah, kita akan bersidang semula pada petang ini nanti sebagaimana lazim mulai daripada jam 2.30 petang di mana kita akan menyambung mengenai dengan perbicangan seterusnya.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.

(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)

Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.