8 Ogos 26 Petang (Hari Ke-4)
π Masa membaca: 64 minit
π Bilangan kata: 13,045 kata
(Majlis Mesyuarat disambung pada pukul 2.30 petang)
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan Majlis Mesyuarat Negara sekarang mula bersidang dan kita masih lagi membahaskan Usul Bilangan 5/2026, maka untuk menyambungnya saya sukacita menjemput dan memberikan laluan kepada beberapa orang Ahli Yang Berhormat lagi yang suka untuk turut serta dalam perbahasan ini.
Saya mulakan dengan menjemput Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin.
Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Muminβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola menjunjung kasih atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menekankan keperluan penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan bagi memastikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara melaksanakan amanah dengan berkesan dan berintegriti tinggi.
Penyediaan Kod Etika dan Tatakelakuan ini memberikan satu landasan penting kepada Majlis Mesyuarat Negara.
Pada pandangan kaola, kekuatan sesebuah kod bukan hanya terletak pada prinsip yang dinyatakan tetapi juga pada sejauh mana setiap peruntukan dapat difahami, dirujuk dan dilaksanakan apabila sesuatu keadaan sebenar timbul. Atas dasar ini, kaola menyokong konsep dan kerangka yang telah dikemukakan.
Kaola dan rakan-rakan telah menjalankan penelitian dan analisis secara terperinci terhadap kandungan kerangka tersebut serta mendapati terdapat beberapa aspek yang boleh ditambah baik.
Cadangan kaola lebih tertumpu pada aspek pelaksanaan supaya kod ini bukan sahaja lengkap sebagai dokumen tetapi turut berfungsi sebagai panduan kerja yang jelas kepada semua pihak.
Kaola turut menghargai ruang yang diberikan oleh Yang Berhormat Yang Di-Pertua kepada Ahli-Ahli untuk meneliti kandungan kod ini dan mengemukakan pandangan di Dewan yang mulia ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kaola ingin bermula dengan Perkara 1.6 mengenai Kebolehpakaian Kod Etika dan Tatakelakuan.
Peruntukan ini perlu memberi makna yang jelas antara tanggungjawab seseorang semasa menjadi Ahli dengan kewajipan tertentu yang masih berterusan selepas tamat perkhidmatan.
Perkara 10 telah pun mengenal pasti tanggungjawab mantan Ahli termasuk menjaga kerahsiaan serta tidak menyalahgunakan gelaran atau kedudukan.
Sehubungan itu, kaola mencadangkan supaya Perkara 1.6 membuat rujukan langsung kepada Perkara 10 dan menyatakan bahawa selepas tamat perkhidmatan hanya tanggungjawab khusus di bawah Perkara 10 yang terus berkuatkuasa.
Penjelasan ini akan membantu mantan Ahli memahami kewajipan yang perlu dipelihara di samping memberikan panduan yang lebih jelas kepada pihak yang bertanggungjawab melaksanakan kod.
Dengan cara ini kepentingan Majlis dan negara akan terus dilindungi melalui skop tanggungjawab yang dinyatakan dengan teratur.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kaola seterusnya ingin menyentuh Perkara 4 mengenai kebolehpakaiΒan kod di dalam dan luar negara.
Kaola melihat Perkara 4 sebagai satu penegasan bahawa amanah seseorang Ahli tidak terikat kepada lokasi apabila menjalankan tugas atau mewakili majlis luar negara.
Seseorang Ahli terus memikul tanggungjawab untuk memelihara tatakelakuan, kewibawaan majlis dan nama baik negara.
Memandangkan prinsip etika dan tatakelakuan telah pun diperuntukkan di bawah Perkara 3, mungkin dapat dipertimbangkan supaya kandungan Perkara 4 diterapkan ke dalam Perkara 1.6.
Peruntukan tersebut boleh menjelaskan bahawa kod terpakai sama ada seseorang Ahli berada di dalam atau luar negara apabila menjalankan tugas atau bertindak atas kapasiti rasmi.
Penyusunan ini bukan mengurangkan kepentingan Perkara 4, sebaliknya ia bertujuan menghimpunkan skop pemakaian kod di bawah satu peruntukan yang sama supaya rujukan lebih mudah dan tersusun, yang menjadi keutamaan ialah kapasiti yang dibawa serta amanah yang dilaksanakan oleh seseorang Ahli.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kaola seterusnya ingin menyentuh Perkara 6 mengenai pengisytiharan kepentingan. Kaola mengambil maklum perlunya bahasa dalam Perkara 6.1.2 dan Perkara 6.1.5 diselaraskan agar pengisytiharan kepentingan ditetapkan dengan jelas sebagai suatu kewajipan.
Tumpuan kaola ialah pada tatacara yang perlu dilaksanakan selepas kewajipan tersebut ditetapkan. Pengisytiharan tidak bermaksud bahawa satu kesalahan telah berlaku, sebaliknya ia merupakan langkah awal untuk mengurus konflik kepentingan secara telus apabila kepentingan peribadi, kewangan, perniagaan atau hubungan tertentu berkaitan secara langsung dengan perkara yang sedang dipertimbangkan.
Tatacara yang seragam akan mengelakkan keputusan dibuat secara berbeza bagi keadaan yang hampir sama. Pada masa yang sama, rekod yang teratur dapat melindungi Ahli dan majlis dengan menunjukkan bahawa konflik atau persepsi konflik telah dikenalpasti serta diuruskan secara konsisten di samping melindungi Ahli dan kewibawaan majlis.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kaola juga ingin memberikan perhatian kepada Perkara 11 mengenai Penguatkuasaan, Prosedur Aduan dan Tindakan Disiplin.
Kaola mengalu-alukan penyediaan saluran aduan, proses penelitian awal dan penubuhan Lembaga Penyiasatan apabila diperlukan. Mekanisme ini menyediakan asas yang penting bagi memastikan setiap perkara dapat ditangani secara teratur dan saksama.
Bagi melengkapkan proses tersebut, tatacara pengendalian aduan mungkin dapat disusun mengikut peringkat yang mudah dirujuk, bermula daripada penerimaan dan saringan awal aduan pemakluman kepada Ahli yang diadu, ruang untuk memberikan penjelasan, penelitian fakta serta penyampaian keputusan.
Tempoh yang munasabah bagi setiap peringkat juga boleh ditetapkan supaya semua pihak mengetahui perjalanan prosesnya.
Bagi Perkara 11.6, kaola mencadangkan supaya panduan mengenai keanggotaan Lembaga Penyiasat dapat diperincikan. Mana-mana anggota yang mempunyai kepentingan atau hubungan dengan perkara yang disiasat wajar membuat pengisytiharan dan tidak mengambil bahagian dalam penyiasatan berkenaan.
Kaola turut mencadangkan supaya tempoh pelantikan anggota lembaga dinyatakan dengan jelas dan komposisi anggotanya disemak secara berkala. Langkah ini dapat membantu memastikan lembaga sentiasa mempunyai keseimbangan pengalaman, kewibawaan dan keupayaan yang diperlukan dalam menjalankan tanggungjawab.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Masih di bawah Perkara 11. Kaola seterusnya ingin menyentuh penentuan tindakan terhadap suatu pelanggaran. Perkara 11.1.2 dan Perkara 11.2.1 memberikan bidang kuasa serta budi bicara kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua dalam menilai sesuatu kesalahan.
Manakala, Perkara 11.3.3 memperuntukkan tindakan berupa amaran atau tindakan tatatertib. Kaola bersetuju dengan peruntukan tersebut.
Bagi menyokong pelaksanaannya, satu rangka kerja tindakan disiplin secara berperingkat boleh disediakan sebagai panduan. Rangka kerja ini boleh memperincikan kategori dan tahap pelanggaran serta bentuk tindakan yang bersesuaian dengan mengambil kira keseriusan kesalahan, kesannya sama ada ia berulang dan ada apa-apa keadaan berkaitan.
Panduan ini tidak mengambil alih budi bicara yang diperuntukkan. Sebaliknya ia menyediakan asas pertimbangan yang lebih tersusun supaya pelanggaran yang setara dinilaikan berlandaskan ukuran yang seragam dan tindakan yang dikenakan sepadan dengan tahap pelanggaran.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Seterusnya kaola ingin menyentuh Perkara 12 mengenai semakan dan pindaan Kod Etika. Kaola menyambut baik peruntukan supaya kod ini disemak secara berkala oleh Majlis Mesyuarat Negara dan sebarang pindaan dibentangkan melalui Usul.
Semakan sedemikian penting untuk kandungan kod terus bersesuaian dengan keperluan dan perkembangan semasa.
Bagi memastikan proses ini dapat dilaksanakan secara teratur, kaola mencadangkan supaya tempoh semakan dan pihak bertanggungjawab menyelarasnya dinyatakan dengan lebih jelas. Semakan berkala misalnya, boleh dipertimbangkan dilaksanakan sekali setiap dua tahun.
Walau bagaimanapun, semakan lebih awal juga boleh dibuat sekiranya berlaku perubahan undang-undang, perkembangan teknologi dan timbul isu baharu yang memerlukan perhatian segera.
Pandangan Ahli-Ahli juga wajar diambil kira berdasarkan pengalaman sebenar sepanjang melaksanakan kod ini. Hasil setiap semakan hendaklah dibentangkan di Dewan. Sekiranya semakan tersebut melibatkan pindaan terhadap hak, tanggungjawab atau tatacara penguatkuasaan, pindaan berkenaan hendaklah dibahaskan sebelum dimuktamadkan. Dengan adanya tempoh, tanggungjawab dan proses yang jelas, keberkesanan kod dapat dinilai secara berterusan, secara ditambah baik berdasarkan pengalaman pelaksanaan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Harapan kaola agar Kod Etika dan Tatakelakuan ini bukan sahaja diterima sebagai satu standard bertulis, tetapi benar-benar menjadi sebahagian daripada budaya kerja majlis yang berteraskan amanah, integriti, akauntabiliti dan kepentingan rakyat.
Dengan panduan yang jelas serta pelaksanaan yang adil dan konsisten, mudah-mudahan kod ini dapat memperkukuhkan lagi kewibawaan Majlis Mesyuarat Negara. Oleh itu, kaola menyokong konsep dan kerangka yang telah disediakan dan berharap agar cadangan-cadangan yang dikemukakan dapat dipertimbangkan sewajarnya.
Sebagai penutup, pemimpin hari ini adalah contoh untuk esok. Rakyat memerhati, generasi muda mencontohi.
Sekian, terima kasih. Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin.
Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddinβ
Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana. Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dengan izin Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana. Kaola bangun untuk mengemukakan pindaan kepada Usul yang telah dibentangkan, pindaan yang kaola cadangkan adalah seperti berikut:
Bahawa perkataan "MEMUTUSKAN bahawa Kod Etika dan Tatakelakuan ini berkuat kuasa mulai 26 Safar 1448 bersamaan 10 Ogos 2026, dan diterima pakai kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Negara" dipinda kepada "MEMUTUSKAN bahawa Draf Kod Etika dan Tatakelakuan akan dirujuk kepada satu Jawatankuasa untuk meneliti, memperhalusi dan mengemukakan Kod Etika dan Tatakelakuan kepada Majlis dalam tempoh enam bulan".
Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana.
Pada kesempatan ini, kaola ingin menjelaskan bahawa pindaan yang dicadangkan ini bukan bertujuan untuk menolak hasrat murni sokongan pihak kerajaan untuk memperkenalkan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Sebaliknya kaola ingin menegaskan bahawa kaola menyokong sepenuhnya usaha memperkenalkan satu Kod Etika dan Tatakelakuan yang jelas, menyeluruh dan berwibawa bagi memperkukuhkan integriti, akauntabiliti serta keyakinan orang ramai terhadap institusi Majlis Mesyuarat Negara.
Memandangkan Kod Etika dan Tatakelakuan ini akan menjadi dokumen asas yang menggariskan piawaian kelakuan, tanggungjawab, kewajipan dan etika Ahli-Ahli Majlis dan mengambil kira beberapa pandangan yang baru sahaja disampaikan oleh rakan Ahli-Ahli Yang Berhormat, maka dengan itu kaola berpendapat adalah baik sekiranya ia dapat diberikan penelitian yang lebih mendalam sebelum diterima pakai oleh majlis.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana.
Kaola berpandangan bahawa Kod Etika dan Tatakelakuan ini bukan sekadar satu dokumen pentadbiran, tetapi merupakan dokumen tadbir urus yang akan menjadi rujukan utama dalam menentukan standard kelakuan Ahli-Ahli Majlis.
Kaola percaya dengan sebuah jawatankuasa, ini akan mempunyai ruang dan masa yang lebih mencukupi untuk meneliti setiap peruntukan secara terperinci. Antara perkara yang boleh diberikan perhatian ialah prinsip-prinsip etika dan integriti Ahli, pengisytiharan kepentingan, konflik kepentingan, kerahsiaan maklumat, tatacara aduan, mekanisme penyiasatan, tindakan disiplin serta mekanisme semakan.
Selain itu, jawatankuasa juga boleh mendapatkan pandangan atau penerangan tambahan daripada pihak-pihak berkepentingan seperti Jabatan Peguam Negara, Biro Kawalan Narkotik dan lain-lain pihak berkepentingan bagi memastikan Kod Etika dan Tatakelakuan ini benar-benar mantap, praktikal dan sejajar dengan undang-undang negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana.
kaola ingin juga menjelaskan bahawa draf Kod Etika dan Tatakelakuan yang telah dikemukakan kepada majlis bukanlah satu dokumen yang sempurna atau muktamad.
Sebaliknya, ia telah disediakan dengan niat yang ikhlas sebagai satu cadangan awal bagi membantu majlis memulakan perbincangan mengenai keperluan mewujudkan satu Kod Etika dan Tatakelakuan untuk Ahli-Ahli Mesyuarat Negara.
Kaola mengaku bahawa draf ini mungkin disediakan berdasarkan penelitian dan kefahaman kaola terhadap amalan-amalan baik yang diamalkan di beberapa parlimen lain.
Oleh itu, kemungkinan terdapat aspek-aspek yang masih boleh diperbaiki, diperhalusi atau ditambah baik.
Kaola juga mengakui bahawa penyediaan draf masih perlu banyak lebih melalui proses perundingan yang menyeluruh, termasuk dengan Ahli-Ahli Yang Berhormat atau pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan.
Namun, kaola amat berbesar hati pihak kerajaan telah menerima pakai draf ini sehingga menyokongnya untuk dibawakan ke Dewan yang mulia ini. Terima kasih kaola ucapkan atas kepercayaan ini.
Ke arah itu, kaola berharap draf ini dapat dijadikan sebagai satu dokumen asas atau working draft untuk memudah cara perbincangan. Atas pertimbangan tersebut itulah, kaola mencadangkan agar draf ini dirujukkan ke jawatankuasa khas mengenai Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara untuk diteliti secara menyeluruh.
Ahli-Ahli Yang Berhormat lain akan berpeluang meneliti setiap peruntukan dengan lebih mendalam, mengemukakan pandangan, mencadangkan penambahbaikan serta memastikan bahawa Kod Etika dan Tatakelakuan yang akhirnya dibentangkan kepada majlis benar-benar mencerminkan pandangan bersama selaras dengan perlembagaan negara, undang-undang yang berkuat kuasa serta amal tadbir yang baik.
Sebelum itu, Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana. Kaola ingin meminta izin beberapa pandangan yang dikemukakan oleh di sebelah kaola ini yang begitu tidak berasas.
Ada sesetengahnya, sepertimana dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan pagi tadi, yang mana kaola sangat setuju, tidak berasas sama sekali dan juga sangat mengelirukan.
Yang pertama, kod ini telah diterima oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat di sini dalam tempoh yang berpatutan sepertimana Usul-Usul sebelum ini dan bukan tempoh yang agak singkat untuk dibangkitkan;
Kedua, apabila kerahsiaan ini dipersoalkan terutama setelah tempoh perkhidmatan. Kaola terkilan dan infer, membuat kesimpulan bahawa "are you gonna reveal the government secret after your terms end?", itulah dalam persoalannya.
Kaola juga terkejut ada juga Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak dapat membezakan, mana satu yang rahsia dan mana satu yang tidak dan lagi beranggapan proses pindaan, amendment selepas sesuatu kod diterima adalah lebih rumit dan mengambil masa sedangkan persidangan ada diadakan selama dua kali setahun. Perlu diingat juga, kod ini bukanlah dari segi perspective corporate tetapi kerajaan itu Majlis Mesyuarat Negara.
Perkara ini juga dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan Biro Mencegah Rasuah sepertimana Jabatan Peguam Negara adalah jabatan yang paling tinggi di negara ini mengenai dengan pengubalan undang-undang;
Terakhir, dokumen ini bukanlah satu dokumen yang syumul atau kaffah yang mana yang sempurna hanya adalah Al-Quran Al-Karim. Kod Etika ini bolehlah disemak sepertimana yang telah diperuntukkan di dalam kod ini di hujung-hujung yang mana, dari masa ke semasa kita boleh mengubahnya.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana.
Demi semangat bermesyuarah dan keharmonian, kaola dengan penuh hormat mencadangkan supaya Usul ini dipinda agar draf Kod Etika dan Tatakelakuan tersebut boleh dirujukkan kepada jawatankuasa untuk diperhalusi dan diperkemas sebelum dikemukakan semula kepada majlis bagi pertimbangan dan keputusan.
Kaola berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat akan memberikan sokongan kepada pindaan ini demi memastikan bahawa Kod Etika dan Tatakelakuan yang bakal diterima pakai nanti benar-benar memenuhi aspirasi majlis dan menjadi satu dokumen yang kukuh, adil, serta mampu menjadi panduan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Negara masa hadapan.
Dengan itu, kaola dengan hormat memohon agar Ahli-Ahli Yang Berhormat memberikan sokongan pada pindaan yang kaola nyatakan. Sekian. Terima kasih.
(Yang Mulia Jurutulis naik ke kawasan tempat duduk Yang Berhormat Yang Di-Pertua untuk berbincang)
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin.
Sebagai pihak yang telah pun kita minta untuk membuat draf ini pada asalnya dan kita mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepadanya telah membawa satu cadangan yang merujuk kepada peraturan mesyuarat iaitu Standing Order kita Penggal 20 untuk meminda Usul dan dengan itu mengemukakan satu cadangan untuk membuat pindaan kepada Usul asal yang mana adalah berbunyi sekarang iaitu, Usul asalnya adalah "MEMUTUSKAN bahawa Kod Etika dan Tatakelakuan ini berkuat kuasa mulai daripada 20 Safar 1448 bersamaan dengan 10 Ogos 2026 dan diterima pakai kepada semua Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara" dengan digantikan, "MEMUTUSKAN bahawa draf Kod Etika dan Tatakelakuan akan dirujuk kepada satu jawatankuasa untuk meneliti, memperhalusi dan mengumpulkan Kod Etika dan Tatakelakuan kepada majlis dalam tempoh enam bulan".
Saya ingin mengetahui, adakah Ahli yang menyokong cadangan ini? Iya.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osmanβ
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Setelah mendengar penjelasan daripada Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin yang terperinci. Saya menyokong pindaan yang telah dicadangkan itu. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Oleh sebab Usul ini telah dikemukakan oleh pihak Kerajaan dan kitani bermesyuarah secara keseluruhan, kedua-dua belah pihak.
Kedua-dua belah pihak telah pun mengemukakan pandangan dan ada lagi Ahli-Ahli Yang Berhormat yang suka untuk mengemukakan pandangan masing-masing, maka saya ingin tahu dulu sebelum saya memutuskan cadangan yang dikemukakan Usul Meminda Usul ini yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin kita terima atau disebaliknya.
Saya ingin mendapat pandangan jika ada Ahli Yang Berhormat sebelah kanan saya untuk memberi pandangan terhadap pindaan yang telah dikemukakan, yang tadi Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Sekuriti dan Undang-Undang, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu ada mengangkat tangan, saya kira mahu membuat intervensinya. Silakan Yang Berhormat.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang)β
Bismillahir Rahmanir Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kaola juga menyokong pindaan yang telah pun dicadangkan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin sebentar tadi. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Setelah mempertimbangkan pandangan-pandangan yang dikemukakan dan sebagaimana yang telah saya nyatakan awal-awal dalam ucapan pembukaan saya bahawa Dewan kita adalah merupakan dewan mesyuarah di mana kedua-dua belah pihak didengar dan dengan semangat cogan kata daripada logo kita iaitu Adil, Laila, Bahagia, maka saya dengan dalam menurut kuasa yang ada pada saya seperti yang tercatit dalam Peraturan Mesyuarat 20 (8), dengan ini memutuskan untuk membenarkan bagi pindaan kepada Usul ini diterima.
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sekarang perlu membahaskan Usul ini dengan pindaan yang telah dikemukakan. Kita akan menyambung semula perbahasan dan saya suka untuk mempersilakan Ahli-Ahli Yang Berhormat seterusnya untuk membuat perbahasan masing-masing.
Saya mulakan dengan Yang Berhormat, adakah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, iya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Sekuriti dan Undang-Undang. Silakan Yang Berhormat.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang)β
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
Izinkan kaola untuk memberikan pandangan dalam perbahasan bagi Usul deraf Kod Etika dan Tatakelakuan ini dan terhadap pindaan yang telah pun dikemukakan.
Terlebih dahulu kaola ingin merakamkan sokongan padu kaola terhadap Usul yang telah dibawakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.
Kaola turut ingin merakamkan sokongan terhadap pindaan yang baru saja yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin bagi merujuk deraf Kod Etika dan Tatakelakuan ini kepada satu Jawatankuasa untuk perkara ini diteliti dan diperhalusi dengan lebih mendalam dalam tempoh enam bulan.
Kaola ingin menegaskan bahawa sokongan kaola terhadap pindaan ini sepertimana yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin sebentar tadi sama sekali tidak bermakna berkurangnya sokongan kaola terhadap prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Kod Etika dan Tatakelakuan ini.
Sebaliknya pindaan yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin ini, pada pandangan kaola merupakan suatu langkah wajar bagi memastikan Kod Etika ini digubal dengan lebih menyeluruh, mantap dan praktikal menerusi penelitian lanjut oleh Jawatankuasa yang dicadangkan.
Pindaan ini pada pandangan kaola amat selaras dengan saranan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II sendiri dalam ucapannya pada hari Khamis yang lepas, di mana Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof turut berpandangan bahawa agar sentiasa wujud ruang untuk memperhalusi lagi deraf Kod Etika dan Tatakelakuan ini agar ianya dapat diperkukuhkan lagi dari semasa ke semasa menerusi pengalaman praktikal serta input Ahli-Ahli Yang Berhormat sendiri.
Pindaan ini pada hemat kaola adalah realisasi tepat pada saranan Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Kaola juga ingin mengetengahkan hujah Yang Berhormat Menteri Pembangunan sebentar tadi, bahawa Peruntukan-Peruntukan Tatakelakuan dan Kerahsiaan di dalam Kod Etika dan Tatakelakuan ini tidak bertujuan untuk menyekat hak kebebasan bersuara Ahli-Ahli Yang Berhormat. Malah adalah amalan lazim Badan-Badan Perundangan di serata dunia.
Kaola turut bersetuju bahawa setiap Ahli Majlis Mesyuarat Negara wajar berperanan sebagai contoh terbaik dalam memupuk budaya perbahasan yang matang, beradab dan berhemah selaras dengan permahanan falsafah Melayu Islam Beraja sebagaimana yang telah disarankan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
Proses penelitian oleh jawatankuasa yang dicadangkan ini, pada pandangan kaola adalah kesempatan yang baik untuk terus memantapkan lagi keseimbangan antara tatatertib Dewan dan hak kebebasan bersuara Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Berkenaan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee mengenai tatacara pengendalian maklumat sulit serta keperluan garispanduan dan latihan berkaitan. Izinkan kaola berkongsi pandangan dalam kapasiti kaola selaku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.
Kaola ingin memaklumkan bahawa Jabatan Keselamatan Dalam Negeri sedia dan berbesar hati untuk menyediakan taklimat serta latihan berkaitan pengendalian dan klasifikasi maklumat sulit kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekiranya diperlukan bagi memastikan pemahaman yang jelas dan seragam mengenai skop serta had kerahsiaan yang dimaksudkan di dalam Kod Etika ini. Kaola juga ingin menjawab kebimbangan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin mengenai peruntukan kerahsiaan di dalam Kod Etika ini.
Kaola ingin menegaskan bahawa peruntukan tersebut, bukanlah suatu sekatan yang tidak berasas, sebaliknya adalah suatu keperluan asasi bagi memelihara kepentingan jangka panjang kerajaan.
Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka sering kali diberikan capaian ataupun akses kepada maklumat-maklumat sensitif dan terkelas yang melibatkan keselamatan negara dan dasar-dasar kerajaan.
Peruntukan kerahsiaan ini pada hemat kaola bukan saja bertujuan melindungi kepentingan kerajaan malah turut melindungi Ahli-Ahli Yang Berhormat itu sendiri daripada sebarang implikasi yang tidak diingini selaras dengan peruntukan-peruntukan yang termaktub di dalam Akta Rahsia Rasmi, Official Secrets Act.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kaola ingin menambah dengan mengimbas kembali Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam iaitu Rang Titah Mukadimah Persidangan Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet Yang ke-92, pada 15 Jun 2026, dalam mana, baginda telah menegaskan kepada Menteri-Menteri Kabinet baharu untuk sentiasa menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan jujur, berintegriti dan beretika dalam sama-sama memastikan jentera kerajaan sentiasa bebas daripada amalan kronisme, nepotisme atau sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa yang boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan.
Titah baginda ini pada pandangan kaola amat relevan dengan Usul yang sedang dibincangkan pada hari ini kerana kronisme dan juga nepotisme yang dibimbangkan oleh baginda adalah antara perkara-perkara yang cuba ditangani secara langsung menerusi mekanisme, pengisytiharan harta, pengurusan konflik kepentingan dan tatakelakuan yang terkandung di dalam Kod Etika ini.
Sebelum ini, baginda juga turut pernah menitahkan penegasan mengenai sifar toleransi terhadap penyalahgunaan kuasa dan gejala rasuah di samping turut menyentuh kepentingan integriti, ketelusan dan akauntabiliti.
Titah-titah baginda secara konsisten menzahirkan penegasan bahawa budaya integriti mestilah dihayati merentasi seluruh jentera kerajaan termasuklah Majlis Mesyuarat Negara sebagai institusi perundangan negara.
Kaola juga ingin mengaitkan Usul ini dengan komitmen antarabangsa Negara Brunei Darussalam di bawah United Nations Convention Against Corruption ringkasnya UNCAC.
Komitmen ini telah dizahirkan menerusi pencapaian signifikan Negara Brunei Darussalam di dalam Corruption Perception Index ataupun CPI bagi tahun 2025 dalam mana negara telah mencatatkan pencapaian yang terbaik setakat ini iaitu kedudukan kedua tertinggi di rantau ASEAN hanya di belakang Republik Singapura.
Pada hemat kaola, penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara ini bukan saja selaras dengan komitmen negara terhadap UNCAC, malah turut menjadi testimoni kepada penghayatan prinsip-prinsip tadbir urus yang baik yang telah menyumbang kepada peningkatan kedudukan negara di dalam indeks antarabangsa.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola juga ingin menyentuh mengenai satu cabaran unik yang dihadapi oleh Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang mempunyai jumlah penduduk yang relatif kecil iaitu kurang daripada 500,000 orang.
Dalam sebuah masyarakat yang kecil, erat dan saling berkait rapat melalui hubungan kekeluargaan, perkahwinan serta hubungan sosial adalah suatu hakikat bahawa potensi mengelakkan sepenuhnya sebarang unsur konflik kepentingan merupakan suatu perkara yang amat mencabar, malah hampir mustahil untuk dicapai sepenuhnya.
Namun justeru itu, kewujudan mekanisme yang jelas seperti Kod Etika ini menjadi lebih penting lagi kerana ia bukan bertujuan untuk menafikan hakikat perhubungan tersebut tetapi untuk memastikan bahawa apa jua bentuk kepentingan yang bertentangan itu dapat dikenal pasti, diuruskan dan diselaraskan secara telus supaya ia tidak menjejaskan kepentingan negara secara keseluruhannya.
Ini akan menunjukkan kepada dunia bahawa Negara Brunei Darussalam mampu menguruskan cabaran ini secara profesional, matang dan bijaksana.
Ini juga pada pandangan koala adalah satu lagi bukti kebijaksanaan wawasan jauh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menyarankan penggubalan Kod Etika ini.
Baginda telah melihat jauh ke hadapan akan keperluan suatu mekanisme formal bagi menangani cabaran yang timbul dari struktur sosial Negara Brunei Darussalam yang unik sebelum isu-isu berkaitan menjadi lebih kompleks dan sukar untuk ditangani pada masa hadapan.
Kaola dengan penuh keyakinan berpandangan bahawa Majlis Mesyuarat Negara merupakan wadah yang paling wajar untuk memulakan perlaksanaan Kod Etika seumpama ini.
Langkah tersebut diharapkan dapat menjadi contoh teladan dan rujukan kepada institusi-institusi lain di negara ini sama ada di sektor awam ataupun swasta dalam usaha memperkukuh serta membudayakan integriti secara menyeluruh.
Sehubungan itu, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola dengan ini merakamkan sokongan padu kaola terhadap pindaan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin bagi merujuk draf Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara ini kepada satu jawatankuasa untuk diteliti dan diperhalusi dengan lebih mendalam sambil kaola dengan tegas menzahirkan sokongan berterusan kaola terhadap prinsip-prinsip Kod Etika ini sebagaimana yang telah dihujahkan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dan Menteri Pertahanan II pada hari Khamis yang lepas dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan sebentar tadi.
Kaola menyeru Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk sama-sama memberikan sokongan kepada Usul yang mulia ini termasuk pindaan yang dicadangkan sebentar tadi.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Saya persilakan Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong.
Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjongβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. (doa dibaca). Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kaola berterima kasih atas peluang yang diberikan bagi kaola menyertai Ahli-Ahli Yang Berhormat bagi menyokong Usul yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II mengenai Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan juga Usul Pindaan yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin sebentar tadi.
Pertama sekali kaola ingin merafakkan sembah menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas titah baginda yang sentiasa menitikberatkan nilai integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran negara.
Cadangan ini merupakan satu manifestasi yang jelas dalam menterjemahkan hasrat baginda supaya institusi Majlis Mesyuarat Negara terus diperkukuhkan sebagai sebuah institusi yang dihormati, diyakini dan menjadi contoh kepada semua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kepercayaan rakyat terhadap sebuah institusi tidak hanya bergantung kepada keputusan yang dibuat tetapi juga bagaimana keputusan itu dibuat dan bagaimana individu yang memegang amanah itu berkelakuan.
Dalam era yang serba pantas dan terbuka ini, masyarakat bukan sahaja menilai apa yang kita perkatakan dalam Dewan yang mulia ini malah turut menilai tingkah laku kita di luar Dewan.
Oleh itu, Kod Etika dan Tatakelakuan yang dicadangkan ini amat bertepatan kerana ia menetapkan satu piawaian yang jelas mengenai nilai, prinsip dan tingkah laku yang perlu dipatuhi oleh setiap Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola amat menyokong bahawa kod ini bukan bertujuan mencari kesalahan atau menghukum mana-mana pihak, sebaliknya ia berfungsi sebagai panduan bersama dalam memastikan setiap ahli sentiasa membuat pertimbangan yang berasaskan kepentingan negara, bukan kepentingan peribadi.
Antara perkara penting yang diberi perhatian ialah keperluan mengisytiharkan kepentingan dan mengelakkan konflik kepentingan. Dalam mana-mana institusi yang mengamalkan tadbir urus yang baik, prinsip ini merupakan asas kepada integriti.
Apabila seorang ahli mempunyai kepentingan yang boleh mempengaruhi pertimbangannya, perkara tersebut hendaklah diisytiharkan secara telus supaya setiap keputusan yang dibuat tidak menimbulkan presepsi negatif. Walaupun seorang ahli mungkin bertindak dengan jujur, presepsi masyarakat juga perlu diambil kira.
Dalam hal ini, ketelusan menjadi benteng utama bagi memelihara keyakinan orang ramai terhadap institusi Majlis Mesyuarat Negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Mengenai peruntukan penerimaan hadiah dan layanan sebagai pemegang amanah awam, setiap ahli perlu sentiasa berhati-hati supaya sebarang hadiah atau layanan yang diterima tidak boleh ditafsirkan sebagai mempunyai tujuan mempengaruhi pertimbangan atau keputusan.
Begitu juga dengan penggunaan sumber dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Segala kemudahan yang diberikan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Negara merupakan amanah yang perlu digunakan secara berhemat, berintegriti dan hanya bagi tujuan melaksanakan tanggungjawab rasmi.
Dalam dunia digital masa kini, satu lagi aspek yang semakin penting ialah penggunaan maklumat dan media sosial. Sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negara, kita mempunyai akses kepada maklumat yang ada kalanya bersifat sensitif atau sulit.
Oleh itu, tanggungjawab menjaga kerahsiaan maklumat adalah amat penting bagi melindungi kepentingan negara dan memastikan proses membuat dasar tidak terjejas. Begitu juga dalam penggunaan media sosial, setiap kenyataan atau pandangan yang dikongsikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara boleh memberi kesan kepada persepsi masyarakat.
Oleh itu, penggunaan media sosial hendaklah sentiasa mencerminkan nilai kesopanan, profesionalisme dan rasa tanggungjawab sebagai seorang Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola mengambil maklum dan menyambut baik bahawa Kod ini telah disediakan melalui proses perundingan bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara. Ini menunjukkan bahawa Kod tersebut bukanlah satu yang dikenakan secara sepihak, tetapi dibentuk melalui semangat musyawarah dan kesepakatan bersama.
Kaola juga berpandangan bahawa mekanisme pentadbiran, penerimaan aduan, penyiasatan dan pengesyoran tindakan disiplin yang diperuntukkan adalah penting bagi memastikan Kod ini bukan sekadar menjadi dokumen rujukan, tetapi benar-benar dapat dilaksanakan secara berkesan, adil dan konsisten.
Namun demikian, dalam pelaksanaannya nanti kaola berharap pendekatan yang diambil akan lebih menekankan aspek pendidikan, nasihat dan pembudayaan nilai-nilai integriti di samping tindakan yang sewajarnya, sekiranya berlaku perlanggaran yang serius.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola juga ingin menyentuh mengenai keputusan supaya Kod ini dikaji semula seperti secara berkala. Kaola melihat perkara ini sebagai satu langkah yang sangat positif. Dunia sentiasa berubah. Begitu juga cabaran yang dihadapi oleh institusi awam.
Isu-isu baharu seperti penggunaan kecerdasan buatan, keselamatan siber, komunikasi digital dan hubungan dengan pelbagai pihak kepentingan mungkin memerlukan penambahbaikan kepada Kod ini pada masa akan datang.
Oleh itu, semakan secara berkala akan memastikan Kod Etika dan Tatakelakuan ini terus relevan, praktikal dan memenuhi kehendak semasa.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola percaya bahawa pengesahan Kod Etika dan Tatakelakuan ini bukan sekadar memenuhi satu keperluan pentadbiran, malah merupakan satu komitmen moral dan institusi untuk memperkukuhkan integriti Majlis Mesyuarat Negara. Integriti bukan hanya diukur apabila seorang berada di bawah pemerhatian, tapi lebih penting apabila amanah itu dilaksanakan dengan jujur walaupun tanpa pengawasan.
Sekiranya setiap Ahli Majlis Mesyuarat Negara menjadikan Kod ini sebagai panduan dalam setiap tindakan dan keputusan, insya Allah institusi Majlis Mesyuarat Negara akan terus dipandang tinggi, dihormati oleh rakyat dan menjadi contoh kepada institusi-institusi lain dalam negara.
Akhir sekali, kaola berharap pengesahan Kod Etika dan Tatakelakuan ini akan menjadi satu legasi yang berterusan, bukan hanya untuk Ahli Majlis Mesyuarat Negara pada masa ini, malah ia menjadi panduan kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara pada masa hadapan.
Dengan itu, budaya integriti, akauntabiliti, ketelusan dan profesionalisme akan terus subur dalam institusi ini, sekali gus memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap Majlis Mesyuarat Negara sebagai institusi yang sentiasa menjunjung amanah dan berkhidmat demi agama, raja dan negara.
Dengan penuh hormat, kaola menyatakan sokongan terhadap Usul ini dan bersetuju supaya Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara diluluskan dan dikuatkuasakan. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Saya persilakan Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann.
Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Annβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Terlebih dahulu kaola ingin menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas perkenan baginda terhadap Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan bagi Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Pada hemat kaola, usaha ini merupakan satu langkah yang sangat bermakna dalam memperkukuhkan integriti, akauntabiliti, kewibawaan dan profesionalisme institusi Majlis Mesyuarat Negara. Lebih daripada sekadar mengatakan Tatakelakuan Ahli-Ahli Yang Berhormat, Menggubal Kod Etika ini bahawa satu mesej yang lebih besar iaitu komitmen untuk terus memperkukuhkan institusi negara supaya sentiasa mempunyai standard yang tinggi, berintegriti dan diyakini oleh rakyat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola juga ingin mengaitkan perkara ini dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sentiasa menekankan kepentingan tadbir urus yang baik, integriti, akauntabiliti serta keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
Titah-titah baginda mengenai dengan usaha membanteras rasuah, salah guna kuasa dan memperkukuhkan tadbir urus hendaklah dilihat sebagai satu amanah yang perlu diterjemahkan melalui tindakan dan amalan dalam setiap institusi negara.
Justeru, Penggubalan Kod Etika ini, pada pandangan kaola adalah selaras dengan hasrat tersebut. Bukan kerana kita menganggap sistem yang ada tidak baik, tetapi kerana institusi yang baik perlu sentiasa bersedia memperbaiki diri dan meningkatkan standardnya.
Itulah budaya yang perlu kita bina. Perkara ini mempunyai kaitan rapat dengan Wawasan Brunei 2035, yang bukan sahaja menekankan pertumbuhan ekonomi, pembangunan dan teknologi tetapi juga pembentukan rakyat yang berkualiti serta institusi yang cekap, berintegriti dan mempunyai tadbir urus yang baik.
Dalam konteks ini, Penggubalan Kod Etika merupakan satu langkah memperkukuhkan kewibawaan dan keberkesanan Majlis Mesyuarat Negara. Pembangunan modal insan pula, bukan hanya melalui ilmu dan kemahiran, tetapi turut memerlukan nilai integriti, disiplin, adab dan tanggungjawab.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Pada hemat kaola, Kod Etika juga perlu dilihat bukan sebagai satu mekanisme untuk mencari kesalahan Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebaliknya ia hendaklah menjadi panduan untuk kita menjalankan amanah dengan lebih baik. Kita diberikan kebebasan untuk bersuara, menyoal, mengkritik dan berbeza pandangan. Namun, semuanya hendaklah dilandasi tanggungjawab, adab, fakta dan rasa hormat terhadap institusi dengan kepentingan Negara Brunei Darussalam serta kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Dalam konteks pembangunan negara, keyakinan juga merupakan satu aset yang sangat penting. Keyakinan rakyat terhadap institusi akan meningkatkan kepercayaan terhadap sistem pemerintahan dan penyampaian kerajaan. Begitu juga keyakinan pelabur dan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan negara, dalam melaksanakan tadbir urus yang baik, akan membantu kewujudan persekitaran yang lebih kondusif untuk pembangunan ekonomi.
Maka, integriti institusi bukan sekadar persoalan etika, tetapi juga mempunyai hubungan dengan kestabilan sosial, keyakinan ekonomi dan kemajuan negara. Sebab itu, pengukuhan institusi perlu bergerak seiring dengan pembangunan ekonomi. Wawasan Brunei 2035 adalah wawasan untuk generasi akan datang.
Setiap keputusan dan pembaharuan yang kita lakukan hari ini, akan menentukan negara kita, yang kita wariskan kepada generasi akan datang. Justeru, penggubalan Kod Etika ini, merupakan satu bentuk tanggungjawab untuk membina kebudayaan, membina budaya institusi yang berani menilai diri, memperbaiki kelemahan dan sentiasa meningkatkan standard demi masa depan negara yang lebih baik.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Pada akhirnya, Wawasan Brunei 2035 tidak akan tercapai hanya dengan membina infrastruktur, memperkenalkan teknologi atau mengembangkan ekonomi. Kita perlu membina manusia yang berkualiti dan institusi yang berwibawa. Ekonomi yang berkembang tanpa integriti, teknologi yang maju tanpa tadbir urus yang baik dan pembangunan tanpa institusi yang dipercayai akan sukar menjamin kemajuan yang kukuh, berdaya tahan dan berterusan. Justeru, kaola menyokong penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan ini sebagai satu langkah ke arah memperkukuhkan institusi Majlis Mesyuarat Negara dan menyokong pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Ini bukan matlamat akhir, ia adalah permulaan pada satu budaya yang lebih baik, budaya integriti, amanah, profesionalisme, akauntabiliti, adab dan tanggungjawab. Dan akhirnya, kita mahu melihat sebuah Majlis Mesyuarat Negara yang mencerminkan negara yang kita cita-citakan, melalui Wawasan Brunei 2035.
Sebuah negara yang maju, berdaya tahan, mempunyai rakyat yang berkualiti, ekonomi yang kukuh, kehidupan yang sejahtera serta institusi yang berwibawa, dihormati dan dipercayai kerana pada akhirnya pembangunan negara bukan sekadar membina masa depan, kita juga mesti membina manusia dan institusi yang mampu membawa masa depan tersebut.
Dengan penuh hormat, kaola menyokong pindaan penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan bagi Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman.
Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othmanβ
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Berhormat Yang Di-Pertua, terlebih dahulu, kaola ingin menjunjung kasih Kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas perkenan baginda terhadap penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan bagi Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Kaola melihat, perkenan baginda ini sebagai satu langkah yang sangat baik dan bermakna dalam memperkukuhkan amanah, integriti, keperibadian, disiplin dan tatakelakuan Ahli-Ahli Yang Berhormat selaras dengan nilai-nilai Islam dan falsafah Melayu Islam Beraja yang jadi landasan kehidupan bernegara.
Kaola, menyambut baik Usul ini dan melihat penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan perlu dilihat dalam konteks tuntutan dan tanggungjawab kita sebagai sebuah negara Islam yang menjunjung keharmonian, keamanan dan kesejahteraan rakyat.
Sebagai sebuah negara yang berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja, setiap institusi dan individu yang diberikan amanah, mempunyai tanggungjawab untuk memastikan nilai-nilai Islam bukan hanya dizahirkan melalui dasar dan peraturan tetapi turut diterjemahkan melalui akhlak, adab, kejujuran, keadilan, amanah dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas.
Dalam konteks Majlis Mesyuarat Negara, perkara ini amat penting kerana Ahli-Ahli Yang Berhormat mempunyai kedudukan yang besar dalam membawa suara rakyat, membincangkan dasar dan menyumbang pandangan terhadap pembangunan negara.
Maka, amanah tersebut hendaklah dilaksanakan dengan penuh hikmah, kesederhanaan dan rasa tanggungjawab, supaya setiap perbahasan dan perbezaan pandangan tidak menjejaskan keharmonian masyarakat dan kestabilan negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Islam sendiri mengajar kita supaya berlaku adil, berkata benar, menjaga amanah, menghormati sesama manusia. Nilai murni ini pada hemat kaola, amat relevan dalam membentuk etika dan keperibadian Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Dalam hal ini, kaola teringat akan beberapa titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sering menekankan kepentingan calak Brunei sebagai identiti dan jati diri kita, yang antaranya tercermin melalui sifat beradat, bersopan santun, menghormati orang lain dan juga tutur kata dan memelihara keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat.
Pada hemat kaola, calak Brunei ini sangat dekat dengan tuntutan Islam, bukan sahaja menuntut kita melakukan perkara yang benar, tetapi turut mengajar kita supaya, menyampaikan kebenaran itu dengan cara yang baik, beradab dan berhemah.
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah An-Nahl ayat 125: "Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang paling baik". Ayat ini memberikan satu penemuan yang jelas, bahawa perbezaan pandangan tidak boleh memisahkan kita daripada adab dan hikmah. Kita boleh mempunyai pandangan yang berbeza, tetapi perbezaan tersebut hendaklah disampaikan dengan adab dan hikmah.
Kita boleh mengkritik satu dasar, tetapi kritikan hendaklah bertujuan memperbaiki, bukan menjatuhkan. Kita boleh menegur kelemahan, tetapi teguran hendaklah berlandaskan fakta, kejujuran dan niat untuk membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.
Begitu juga, Allah Subhanahu Wata'ala mengingatkan kita dalam Surah Al-Hujarat ayat 11 supaya jangan sesuatu kaum, memperolok-olokkan kaum yang lain kerana, boleh jadi mereka yang diperolokkan itu lebih baik daripada mereka. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menitikberatkan kehormatan, maruah dan hubungan sesama manusia termasuk ketika berlaku perbezaan pandangan. Malah, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga mengingatkan bahawa seorang muslim ialah orang yang lain selamat daripada gangguan lidah dan tangannya.
Maka pada hemat kaola, prinsip ini amat wajar diserapkan dalam tatakelakuan Ahli-Ahli Yang Berhormat bahawa kebebasan bersuara hendaklah disertai dengan tanggungjawab, menjaga tutur kata, maruah institusi dan keharmonian masyarakat. Inilah nilai yang kaola percaya dapat menyumbangkan kepada pembentukan sebuah budaya perbahasan yang sihat, matang dan harmoni.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kod Etika dan Tatakelakuan pada pandangan kaola dapat membantu memastikan bahawa kebebasan bersuara dan hak untuk berbahas sentiasa diseimbangkan dengan tanggungjawab menjaga keharmonian, perpaduan dan kestabilan negara.
Kita tidak mahu perbezaan pandangan menjadi punca perpecahan sebaliknya, kita mahu perbezaan pandangan menjadi sumber kepada perbincangan yang lebih matang dan menghasilkan penyelesaian yang lebih baik. Sebagai sebuah negara Islam yang berharmoni, kita juga mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan kepada generasi muda bahawa perbezaan pendapat bukan alasan untuk menghilangkan rasa hormat dan ketegasan dalam pendirian,tidak semestinya mengorban adab dan kesopanan.
Apa yang kita tunjukkan di dalam Dewan hendaklah menjadi teladan kepada mesyarakat dan generasi muda. Justeru, Kod Etika dan Tatakelakuan ini bukan sekadar mekanisme kelakuan tetapi instrumen pembentukan budaya, nilai dan keperibadian. Ahli-Ahli Yang Berhormat, agar institusi Majlis Mesyuarat Negara terus berlandaskan adab, integriti, khususnya keharmonian serta nilai-nilai Islam dan falsafah Melayu Islam Beraja.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, akhirnya matlamat kita bukan sekadar untuk mempunyai sebuah institusi yang berfungsi tetapi sebuah institusi yang mempunyai jiwa, nilai dan keperibadian. Sebuah institusi yang apabila dilihat oleh rakyat, mereka merasakan adanya keyakinan dan kepercayaan. Sebuah institusi yang apabila dilihat oleh generasi muda, mereka mendapat contoh tentang amanah, adab dan tanggungjawab dan sebuah institusi yang apabila dilihat oleh masyarakat antarabangsa, mereka dapat melihat wajah Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Islam yang aman, harmoni, berbudaya, berintegriti dan menjunjung nilai-nilai kemanusiaan serta kesejahteraan bersama.
Maka kaola melihat Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan bagi Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara ini sebagai satu langkah yang amat baik dalam memastikan amanah, tanggungjawab dan keperibadian Ahli-Ahli Yang Berhormat selaras dengan nilai negara Islam yang harmoni berteraskan adab dan akhlak serta mencerminkan calak Brunei yang kita banggakan. Dengan adanya kod etika ini kaola berharap ia bukan saja menjadi garis panduan tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan tetapi menjadi cermin kepada keperibadian, amanah, maruah setiap Ahli Yang Berhormat serta terus memperkukuhkan kewibawaan institusi Majlis Mesyuarat Negara Brunei Darussalam.
Dalam perkara ini, kaola juga ingin menjadikan kesinambungan terhadap pindaan telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin iaitu supaya diberikan tempoh selama enam bulan bagi jawatankuasa yang berkenaan untuk meneliti dan memperhalusi lagi Kod Etika dan Tatakelakuan ini sebelumnya dipakai ataupun dikuat kuasa secara rasmi.
Sekian Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Saya persilakan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahimβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim.
(selawat dibaca)
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, terlebih dulu izinkan kaola mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana telah memberi kesempatan kepada kaola untuk membincangkan dan menyokong Penggubalan Dokumen Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara seperti yang asalnya dibawa oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II yang mana telah dipinda baru-baru ini seperti yang dicadangkan dan telah kita sokong sebentar tadi.
Kaola juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Pehin di atas penerangan beliau yang begitu komprehensif terhadap Usul yang dibentangkan.
Sesungguhnya Penggubalan Dokumen Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara ini adalah bertepatan dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Dewan yang mulia ini sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara bagi tahun yang lalu.
Secara spesifik, baginda telah menitahkan akan keperluan bagi Penggubalan Kod Etika Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dalam melaksanakan tugas dengan lebih berkesan dan berintegriti tinggi.
Kaola berpendapat Penggubalan Kod Etika dan pengemaskinian ke atas prosedur dan proses kerja menurut Peraturan Majlis Mesyuarat Negara yakni Standing Order menggambarkan keyakinan kepercayaan dan harapan tinggi baginda terhadap peranan Majlis Mesyuarat Negara ini sebagai wadah penting bagi perkongsian pandangan di antara pihak kerajaan dan rakyat dalam memajukan agenda pembangunan terutamanya dalam membahaskan perkara-perkara utama yang menghasilkan impak positif terhadap kesejahteraan rakyat.
Secara peribadi, kaola menjunjung penuh di atas limpah kurnia titah baginda ini dan percaya sebagaimana juga hasrat baginda Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli-Ahli Yang Berhormat ini akan meningkatkan lagi kewibawaan dan martabat Dewan ini melalui perbincangan yang lebih teratur, fokus dan berkesinambungan.
Kerana itu kaola ingin menjunjung kasih di atas kurnia titah baginda atas keutamaan bagi menyediakan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang prinsip dan intipatinya ialah untuk menjaga integriti dan amanah yang dipikulkan kepada Dewan yang mulia ini berpandukan standard moral dan professional ahli supaya ianya tidak tercemar oleh unsur-unsur yang tidak diingini.
Pada hemat kaola, Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara sebagai satu rangka asas yang menjadi panduan kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara mengenai nilai etika, tatakelakuan dan peraturan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan lebih efektif, berhemah lagi berintegriti.
Untuk itu, kaola ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan penghargaan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam Jabatan Majlis Mesyuarat Negara di atas inisiatif penggubalan kod ini yang kaola difahamkan diterajui oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin.
Pada pandangan kaola, dengan adanya kod ini ianya akan memandu Ahli-Ahli Yang Berhormat semua untuk mengukuhkan tadbir urus, kredibiliti, akauntabiliti dan profesionalisme Majlis Mesyuarat Negara ini. Kaola bersetuju pada prinsipnya asas kod ini ialah untuk melindungi dan membentuk kepercayaan awam yakni public trust antara Ahli Majlis Mesyuarat dan orang ramai selaras dengan kedudukan Ahli sebagai penjawat amanah berkepentingan awam.
Kod ini juga mempunyai peranan mempertahankan imej serta martabat institusi Majlis Mesyuarat Negara dalam menyempurnakan amanah yang dipikulkan dengan berasaskan kesetiaan pada agama, raja dan negara. Peluang dan tanggungjawab untuk menyumbang kepada negara dan rakyat ini perlu dijalankan dengan sebaik mungkin dengan penuh bijaksana dan bertanggungjawab.
Kaola percaya dengan adanya Kod Etika dan Tatakelakuan, ianya sudah setentunya akan mengukuhkan keberkesanan Dewan dan akan mencerminkan kematangan dan profesionalisme Ahli-Ahli Yang Berhormat seperti yang dihasratkan kerana ianya merupakan sebahagian dari dasar dan prosedur rasmi Majlis Mesyuarat Negara yang diguna pakai sepanjang berkhidmat sebagai Ahli memandangkan semua Ahli Majlis Mesyuarat Negara adalah terikat dan perlu sentiasa mematuhi udang-undang negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola bersetuju sepenuhnya terhadap lima teras utama Kod Etika ini iaitu kesetiaan, integriti, profesionalisme, ketelusan dan hormat menghormati. Kesetiaan tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta Perlembagaan Negara Brunei Darussalam dan berpegang teguh kepada falsafah Melayu Islam Beraja, kaola rasa adalah elemen terpenting dalam mengawal tatakelakuan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang sepatutnya dipelihara setiap masa di mana saja kita berada.
Kaola juga bersetuju sepenuhnya terhadap tanggungjawab Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang digariskan dalam Clause 2.2 dalam Kod Etika ini terutama yang menghendaki Ahli-Ahli untuk berpegang kepada prinsip tanggungjawab bersama yakni collective responsibility kerana ianya menghendaki Ahli-Ahli untuk sentiasa bertindak dengan penuh akauntabiliti, berhemah, lagi lutsanan demi memelihara integriti Majlis dan memberi keutamaan kepada kepentingan awam dengan jujur, amanah, berpegang teguh kepada prinsip moral, sentiasa mempamerkan sifat, nilai dan kemahiran profesional serta bertindak dengan penuh kejujuran dan mengamalkan sikap hormat menghormati serta semangat kerjasama.
Begitu juga mengenai konflik kepentingan, conflict interest yang dimuatkan dalam Clause 6 Kod Etika ini terutamanya yang berkaitan dengan clause mengenai penyalahgunaan kuasa dan kedudukan. Kaola berpendapat claus ini adalah selaras dan bertepatan dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 15 Jun 2026 yang berkaitan dengan menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan jujur, berintegriti dan beretika dalam sama-sama memastikan jentera kerajaan sentiasa bebas dari sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa yang boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan.
Begitu juga dalam titah baginda Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80 di mana baginda sekali lagi menekankan bahawa tidak ada tempat bagi gejala rasuah dan ketidakjujuran berlaku dalam masyarakat yang mengancam kesejahteraan dan kemajuan negara. Ke arah itu, kaola berpandangan bahawa Clause 6, 6.1 hingga 6.4 yang berkaitan dengan conflict interest dan penyalahgunaan kuasa dan kedudukan yang terdapat dalam Kod Etika ini adalah bertepatan dengan titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tersebut.
Kaola secara positif mengalu-alukan penggubalan clause-clause ini bagi memartabatkan Dewan yang mulia ini dan memelihara integriti dan kredibiliti Ahli. Sebagai penutup, secara dasarnya kaola menyokong sepenuhnya prinsip dan intipati Kod Etika dan TataKelakuan ini sebagai panduan Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam melaksanakan tanggungjawab semasa menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negara ini.
Sebagai seorang Ahli Majlis Mesyuarat Negara sama ada yang dilantik kerana jawatan mahupun Ahli Yang Dilantik, semuanya perlu memegang amanah yang dipikulkan dengan penuh bijaksana, berwibawa, berintegriti dan akauntabiliti yang tinggi di mana saja mereka berada lebih-lebih lagi apabila bertugas di luar negara.
Ke arah itu, falsafah Melayu Islam Beraja perlulah sentiasa diamalkan di setiap Ahli Majlis Mesyuarat dalam tindak tanduk dan pergaulan Ahli-Ahli sebagai orang Brunei yang penuh dengan adat resam, tatasusila, berawar galat. Ke arah itu, kaola menyokong dan menyambut baik cadangan pindaan yang dibuat oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin supaya deraf Kod Etika dan Tatakelakuan ini akan dirujuk kepada satu jawatankuasa untuk meneliti, menghalusi dan mengemukakan Kod Etika dan Tatakelakuan pada majlis dalam tempoh enam bulan.
Sekianlah yang dapat kaola kongsikan sebagai usaha kaola menyokong Usul ini dan pindaannya sekali. Kaola berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan mengurniakan petunjuk serta hidayah kepada kita semua di Dewan yang mulia ini, membuka mata hati dan minda keseluruhan Ahli supaya akan mengambil positif usaha berkebajikan ini untuk kebaikan bersama bukan sahaja untuk manfaat kitani sebagai Ahli masa kini malahan sebagai peninggalan kita untuk Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat yang akan datang, Insya Allah.
Sekian, Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Saya persilakan Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed.
Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamedβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Penggubalan Kod Etika ini merupakan satu perkembangan yang penting dalam memperkukuhkan institusi majlis. Kod ini menetapkan satu standard yang jelas mengenai tanggungjawab dan tatakelakuan Ahli-Ahli yang mana nilai terbesar bukan sahaja terletak kepada standard yang ditetapkan tetapi kepada bagaimana standard tersebut akan membentuk budaya dan perkembangan majlis ini di masa hadapan.
Kaola berpandangan bahawa setiap institusi yang dihormati mempunyai dua perkara yang sentiasa dipelihara iaitu peraturan dan budaya institusi. Peraturan boleh digubal dalam tempoh yang singkat tetapi budaya hanya terbentuk melalui amalan yang konsisten dalam tempoh yang panjang.
Dalam hubungan ini, kaola melihat Kod Etika ini sebagai titik permulaan kepada pembentukan budaya tersebut. Apabila satu prinsip diamalkan secara berterusan, akhirnya dapat menjadi standard institusi. Pada ketika itu, Ahli-Ahli tidak lagi perlu melihat Kod Etika sebagai satu dokumen yang perlu dirujuk apabila timbul persoalan, tapi sebagai sebahagian daripada cara institusi ini berfungsi. Inilah matlamat yang lebih besar yang boleh dicapai melalui penggubalan Kod Etika ini.
Kaola juga ingin menyentuh mengenai kelaziman apabila membincangkan mengenai Kod Etika perhatian tertumpu kepada persoalan sama ada sesuatu tindakan mematuhi ataupun melanggar peraturan. Pada pandangan kaola, tanggungjawab seorang Ahli jauh lebih luas daripada memastikan sesuatu tindakan mematuhi peraturan.
Dalam banyak keadaan, seseorang Ahli tidak berhadapan dengan pilihan antara perkara yang jelas betul dan perkara yang jelas salah. Sebaliknya Ahli sering berhadapan dengan beberapa pilihan yang masing-masing mempunyai implikasi yang berbeza kepada institusi, masyarakat dan kepentingan negara. Oleh itu, kaola berpandangan nilai sebenar kod ini ialah keupayaannya untuk memperkukuhkan kualiti pertimbangan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kod ini perlu membantu Ahli Yang Berhormat membuat pertimbangan yang bukan sahaja sah dari sudut peraturan, tetapi juga selaras dengan kedudukan dan tanggungjawab sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negara. Semakin tinggi amanah yang dipikul seseorang Ahli Yang Berhormat, semakin besar keperluan untuk setiap keputusan dipandu oleh prinsip dan bukan bergantung kepada apa yang dinyatakan secara khusus dalam sesuatu peraturan.
Selain itu, kaola juga melihat bahawa Kod Etika ini membuka ruang kepada pembentukan memori institusi. Keanggotaan Majlis Mesyuarat Negara akan sentiasa berubah dan Ahlinya datang daripada pelbagai latar belakang, pengalaman dan bidang kepakaran, namun identiti Majlis Mesyuarat Negara tidak boleh berubah mengikut pertukaran keanggotaannya. Oleh demikian, pengalaman yang diperolehi daripada pelaksanaan Kod ini mempunyai nilai yang besar kepada Majlis Mesyuarat Negara.
Pada pandangan kaola, setiap penelitian terhadap suatu persoalan etika, tafsiran terhadap prinsip yang terkandung dalam Kod dan pengalaman diperolehi daripada pelaksanaannya, merupakan pengetahuan institusi yang perlu terus dipelihara. Bukan untuk mengumpulkan rekod mengenai sesuatu kes, tetapi memastikan prinsip yang digunakan oleh Majlis Mesyuarat Negara sentiasa berkembang secara konsisten.
Dengan pendekatan sedemikian, Ahli-Ahli Yang Berhormat bukan sahaja mewarisi sebuah Kod Etika, tetapi turut mewarisi kefahaman institusi mengenai bagaimana prinsip-prinsip tersebut boleh diamalkan sepanjang perkembangan Majlis Mesyuarat Negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola turut melihat Kod Etika ini mempunyai hubungan yang rapat dengan kualiti perbahasan di Dewan ini. Mutu sesuatu perbahasan juga bergantung kepada keyakinan bahawa setiap Ahli Yang Berhormat menyatakan pendiriannya secara bebas, bertanggungjawab dan berpandukan kepentingan negara.
Apabila prinsip-prinsip dalam Kod Etika menjadi amalan yang konsisten, masyarakat akan mempunyai keyakinan yang lebih tinggi terhadap proses bagaimana sesuatu pandangan dibentuk dan keputusan dicapai. Ini penting kerana kewibawaan Majlis Mesyuarat Negara bukan sahaja bergantung kepada kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan tetapi juga kepada keyakinan bahawa setiap proses dilaksanakan mengikut standard yang boleh diyakini.
Kaola juga mengambil perhatian bahawa Usul ini memperuntukkan semakan berkala terhadap Kod Etika. Pada pandangan kaola, semakan tersebut mempunyai nilai yang lebih besar daripada sekadar mengemaskinikan kandungan Kod. Peranan Ahli Yang Berhormat sendiri semakin berkembang. Ahli Yang Berhormat bukan sahaja membahaskan dasar di Dewan ini tetapi semakin aktif dalam diplomasi antara parlimen, hubungan dengan organisasi antarabangsa, dialog bersama sektor swasta, institusi akademik, badan profesional serta masyarakat.
Dalam masa yang sama, perkembangan teknologi turut mengubah cara Ahli Yang Berhormat berkomunikasi, mengurus maklumat dan melaksanakan tanggungjawab mereka. Oleh itu, semakan berkala perlu menjadi ruang untuk Majlis Mesyuarat Negara menilai bagaimana prinsip yang sama boleh terus dapat digunakan secara konsisten dalam keadaan yang sentiasa berubah.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola turut mengambil perhatian terhadap pindaan yang baharu sahaja dikemukakan oleh rakan Ahli Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin, khususnya supaya draf Kod Etika dan Tatakelakuan ini dirujuk kepada satu jawatankuasa untuk diteliti dan diperhalusi sebelum dikemukakan semula kepada Majlis Mesyuarat Negara dalam tempoh enam bulan.
Pada pandangan kaola, penelitian lanjut ini tidak mengubah matlamat utama penggubalan Kod berkenaan. Sebaliknya, tempoh tersebut boleh memberikan ruang untuk memastikan prinsip-prinsip yang telah digariskan dapat diterjemahkan melalui tatacara yang jelas, difahami bersama dan dapat dilaksanakan secara konsisten.
Ini juga selaras dengan pandangan kaola bahawa kekuatan sesuatu Kod bukan sahaja terletak kepada apa yang tertulis tetapi kepada bagaimana ianya difahami dan akhirnya menjadi sebahagian daripada budaya institusi. Oleh itu, apa yang penting ialah hasil akhirnya nanti bukan sahaja sebuah Kod yang lengkap dari segi kandungan tetapi sesuatu kerangka yang dapat dilaksanakan dengan baik dan terus relevan dengan perkembangan Majlis Mesyuarat Negara.
Akhir sekali, Kod ini bukan sahaja menetapkan standard terhadap Ahli Yang Berhormat tetapi standard yang boleh diharapkan oleh rakyat kepada setiap Ahli Yang Berhormat. Apabila seorang Ahli Yang Berhormat menerima amanah yang dilantik dalam Majlis Mesyuarat Negara, masyarakat mengharapkan setiap tindakan, pertimbangan dan pendirian yang diambil sentiasa berpandukan kepada kepentingan negara, dilaksanakan secara adil dan memelihara maruah Majlis Mesyuarat Negara.
Oleh yang demikian, Kod ini bukan sekadar menjadi dokumen rujukan tetapi satu komitmen kepada masyarakat mengenai standard yang ingin dipelihara oleh Majlis Mesyuarat Negara. Nilai inilah yang paling besar yang dibawa oleh Usul ini.
Sekian sahaja dari kaola. Kaola menyokong Usul ini sebagaimana yang telah dipinda. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Saya persilakan, Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam.
Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salamβ
Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca).
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh dan salam sejahtera. Awal kalam, kaola ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas peluang untuk turut serta membahaskan Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara di dalam Dewan yang mulia ini.
Alhamdulillah, kaola menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai keperluan menggubal Kod Etika ini sebagai garis panduan rasmi bagi memperkukuh tadbir urus, integriti dan profesionalisme Ahli Majlis Mesyuarat Negara serta memelihara imej dan kredibiliti institusi Majlis Mesyuarat Negara agar berfungsi sebagai satu institusi yang diyakini sepenuhnya oleh orang awam.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Jika kita amat-amati, inilah asas kepimpinan dalam Islam yang dicontohkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu yang berteraskan amanah, keadilan, ketelusan dan shura ataupun perbincangan atau permesyuaratan.
Nilai-nilai ini kalau kita lihat, ia bukan baharu kepada kita tetapi telah lama menjadi amalan dalam urus tadbir negara. Maka apabila kita membahaskan Kod Etika di dalam Dewan yang mulia ini, kita sebenarnya sedang mengukuhkan satu kerangka yang selaras dengan nilai kepimpinan tersebut iaitu memastikan setiap Ahli Majlis Mesyuarat Negara bertindak dengan penuh integriti, bebas dari konflik kepentingan dan sentiasa memelihara kepercayaan rakyat melalui satu pendekatan permesyuaratan terbuka yang telus.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kaola menyokong konsep dan kerangka Kod yang telah disediakan meskipun pada hemat kaola, masih ada ruang untuk diperkemas dan diperkukuh lagi hasil penelitian kaola bersama rakan-rakan mengenai draf tersebut.
Maka atas dasar ini, kaola juga menyambut baik dan menyokong penuh Usul Pindaan yang baharu sahaja dikemukakan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin, untuk merujuk draf Kod Etika dan Tata-Kelakuan ini kepada satu jawatankuasa khas yang akan meneliti, memperhalus dan mengemukakan kembali Kod tersebut kepada Majlis Mesyuarat Negara dalam tempoh enam bulan.
Kaola juga yakin pandangan dan cadangan Ahli-Ahli sebelum ini untuk memperkemaskan lagi kod ini pada dasarnya bukanlah tanda penolakan tetapi tanda penerimaan dan kesungguhan Ahli untuk memastikan Majlis ini mempunyai kod yang benar-benar kukuh dan jelas serta diyakini berfungsi sebagai pelindung integriti institusi. Ini membuktikan bahawa institusi ini telus dan menerima pandangan untuk memperhalus setiap perbahasan dengan teliti agar pelaksanaan kod ini nanti tidak menimbulkan kekeliruan atau ketidakadilan di masa hadapan.
Ini juga membuktikan komitmen majlis untuk menjunjung tinggi hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Daduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar Majlis Mesyuarat Negara sentiasa berada pada landasan urus tadbir yang diyakini oleh rakyat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Izinkan kaola meneruskan perbahasan mengenai beberapa perkara yang abiskaola telah kenal pasti hasil penelitian daripada kandungan draf kod yang disediakan meskipun beberapa perkara yang ingin kaola bangkitkan ini telah pun disentuh oleh rakan-rakan sebelum ini, namun ini tidak menghalang untuk kaola terus membahaskannya dengan izin Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih.
Bagi Perkara 1 mengenai kebolehpaikaian Kod Etika, kaola menyokong peruntukan ini namun mendapati ketidakselarasan maksud pada peruntukan dalam Perkara 1.6 ini dengan Perkara 10.
Dalam hal ini, kaola juga sependapat dengan rakan-rakan Ahli yang sebelum ini supaya peruntukan ini dikemaskini dengan menghadkan kewajipan mematuhi kod hanya terpakai semasa dalam tempoh perkhidmatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Manakala bagi tempoh selepas tamat perkhidmatan, ianya jelas dan dengan munasabah telah pun diperuntukkan secara berasingan dalam Perkara 10. Pandangan ini juga kaola dapati selaras dengan ulasan daripada agensi yang berkepentingan yang terkandung dalam dokumen sokongan atau rujukan yang telah disertakan.
Bagi Perkara 4 mengenai Etika dan Tatakelakuan Di Acara Rasmi Luar Negara, kaola juga sependapat dengan cadangan supaya Perkara 4 ini diserapkan ke dalam Perkara 6 dengan penegasan bahawa kod ini terpakai kepada Ahli di mana sahaja mereka berada, menjalankan tugas atau bertindak atas kapasiti rasmi sama ada di dalam atau di luar negara.
Dengan ini, peruntukan dalam Perkara 3 akan merangkumi secara umum keberadaan Ahli dalam menjalankan tugas. Ini menjamin pematuhan undang-undang yang konsisten dan menyeluruh serta mengelak sebarang konflik kepentingan serta penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan peribadi apabila Ahli berada di luar negara khususnya yang berkaitan dengan penggunaan dan perlindungan maklumat sulit negara.
Amanah, integriti dan akauntabiliti Ahli Majlis Mesyuarat Negara hendaklah menjadi keutamaan demi memelihara imej Majlis Mesyuarat Negara dan nama baik negara di mana pun mereka berada. Bagi Perkara 6, kaola merujuk adanya ketidakselarasan peruntukan pada Perkara 6.1.2 dan 6.1.5 yang boleh menimbulkan kekeliruan sama ada pengisytiharan kepentingan kewangan digalakkan ataupun diwajibkan kepada Ahli. Ini juga disebut dalam komen daripada agensi yang berkepentingan di dalam dokumen rujukan.
Dalam hal ini, kaola menyambut baik peruntukan ini namun berpandangan pengisytiharan harta, aset dan sebarang kepentingan kewangan pemilikan saham termasuk milik pasangan dan anak-anak wajar ditetapkan ke atas setiap Ahli tanpa syarat apabila seseorang itu dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negara serta pengisytiharan ini dikemas kini pada setiap tahun atau apabila berlaku perubahan yang boleh menimbulkan konflik kepentingan.
Prosedur pengisytiharan juga perlu jelas dan mudah agar Ahli tidak merasa terbeban melaksanakannya. Ketelusan ini adalah untuk memastikan integriti Majlis sentiasa berada pada tahap yang tertinggi dan kepercayaan awam terhadap Ahli-Ahli dan institusi Majlis Mesyuarat Negara kekal terpelihara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Pada Perkara 6.3 mengenai Pengisytiharan Penerimaan Hadiah dan Cenderahati, kaola menyambut baik peruntukan ini namun ia perlu penjelasan lanjut agar tidak timbul kewahaman dalam penafsirannya dan bagi memastikan integriti Ahli dan kredibiliti Majlis tidak tergugat. Panduan terperinci berkaitan peruntukan ini ada dikemukakan oleh agensi yang berkepentingan di dalam dokumen rujukan untuk dinilai kesesuaiannya dengan keperluan Majlis.
Oleh itu, kaola berpandangan setiap hadiah, cenderahati atau tawaran manfaat hendaklah direkodkan dan diisytiharkan kepada Majlis Mesyuarat Negara, sama ada yang diterima ataupun ditolak dan pemberian hanya boleh diterima selepas ianya mendapat kelulusan. Manakala kaola juga berpandangan bahawa pemberian wang tunai hendaklah dilarang dengan tegas kepada setiap Ahli.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Bagi Perkara 9.3 Penggunaan Media Sosial Secara Beretika, kaola menyambut baik peruntukan ini namun ia perlu diperincikan lagi kerana boleh membawa tafsiran yang subjektif kerana media sosial adalah ruang perbincangan awam dan pandangan yang tegas atau mencetuskan perdebatan tidak semestinya melanggar etika atau undang-undang.
Ini bukan sahaja melindungi Ahli tetapi juga memastikan ruang perbincangan awam yang telus dan bertanggungjawab ini terus terpelihara, suara dan kebimbangan rakyat dapat disampaikan secara bertanggungjawab dan pelaksanaan kod tidak tergantung kepada tafsiran subjektif daripada Ahli dan juga masyarakat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Untuk akhirnya, bagi Perkara 11 Penguatkuasaan, Prosedur Aduan dan Tindakan Disiplin. Kaola menyambut baik peruntukan Perkara 11 yang menunjukkan komitmen tinggi Majlis untuk memperkukuh integriti dan kredibiliti institusi Majlis Mesyuarat Negara dalam menangani sebarang aduan pelanggaran kod melalui proses yang telus dan adil.
Namun, kaola berpandangan bahawa keahlian Lembaga Penyiasat perlu diperhalus dengan melibatkan juga ahli-ahli profesional yang bebas dari sebarang konflik kepentingan bagi memperkukuh kepercayaan awam dan melindungi institusi ini dari tanggapan ketidakadilan pada proses penguatkuasaan yang dilaksanakan.
Proses yang jelas dan bebas daripada pengaruh kepentingan akan melindungi pengadu dan menjaga hak Ahli yang diadu serta memastikan setiap keputusan dibuat dengan penuh integriti, telus, adil dan dipercayai selaras dengan kedudukan institusi Majlis Mesyuarat Negara dan Ahli-Ahlinya sebagai penjawat amanah berkepentingan awam.
Akhir sekali, kaola juga ingin mencadangkan supaya pelaksanaan kod ini apabila ia telah dikuatkuasakan nanti akan disertakan dengan pemberigaan yang jelas dan latihan-latihan yang bersesuaian agar setiap Ahli memahami maksud dari kandungan serta tatacara pelaksanaannya.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Teguran, pandangan dan penambahbaikan adalah sebahagian daripada proses kepimpinan yang sihat, bukan untuk melemahkan malah menguatkan sesebuah institusi. Demikianlah perbahasan kita ini. Pandangan yang dikemukakan adalah tanda penerimaan dan kesungguhan Ahli agar kod yang akan dikuatkuasakan ini nanti benar-benar mantap, adil dan berkesan.
Inilah tanda bahawa institusi Majlis Mesyuarat Negara ini matang, terbuka kepada perbincangan dan komited untuk memperkukuh integriti demi rakyat dan negara.
Oleh itu, sekali lagi kaola tegaskan bahawa pandangan dan cadangan ini tidak sama sekali bermaksud menolak kod tetapi memastikan agar Kod Etika ini tidak menimbulkan kekeliruan, tidak membuka ruang kepada tafsiran yang bercanggah dan tidak membebankan Ahli dalam pelaksanaannya.
Ia adalah usaha kolektif untuk memastikan kod ini benar-benar berfungsi sebagai instrumen yang memperkukuh integriti institusi Majlis Mesyuarat Negara, memelihara keadilan kepada semua dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi ini.
Untuk akhirnya, kaola sekali lagi menyatakan sokongan penuh terhadap Usul Pindaan yang baharu sahaja dikemukakan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin, untuk merujuk Draf Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat ini kepada satu jawatankuasa yang akan meneliti, memperhalusi dan mengemukakan kembali kod ini kepada Majlis dalam tempoh enam bulan.
Akhir sekali, kaola tutup perbahasan ini dengan kata-kata, nilai itu mesti difahami, keadilan itu mesti dilalui dan kepercayaan rakyat mesti dipelihara. Itulah amanah yang akan kita pikul bersama, muafakat membawa berkat.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Saya persilakan Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin.
Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Mominβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. (doa dibaca). Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Alhamdulillah, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memberi kaola peluang untuk ikut serta membahaskan Usul ini. Terlebih dahulu kaola merakamkan penghargaan atas penyediaan Draf Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara untuk pertimbangan Majlis pada hari ini.
Kaola menyokong usaha memperkenalkan kod ini sebagai satu langkah penting dalam memperkukuhkan tadbir urus, integriti dan keyakinan orang ramai terhadap institusi Majlis Mesyuarat Negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Terlebih dahulu kaola ingin menyentuh mengenai skop pemakaian. Dalam hubungan ini, kaola juga ingin merakamkan penghargaan atas profesionalisme Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin dalam mencadangkan pindaan kepada penggubalan Draf Kod Etika ini, dengan mengambil kira beberapa kebimbangan dan cadangan yang telah dibangkitkan oleh Ahli-Ahli yang lain.
Kaola menghargai dan menyokong cadangan pindaan tersebut dan dalam semangat yang sama izinkan kaola juga mengemukakan beberapa pandangan dan cadangan untuk pertimbangan Majlis ini kerana sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negara kita bukan sahaja bertanggungjawab membahaskan dasar-dasar negara, malah memikul amanah awam. Tingkah laku dan tindakan kita sentiasa mencerminkan kewibawaan institusi ini di mata rakyat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, terlebih dahulu kaola ingin menyentuh mengenai skop pemakaian kod ini selepas seorang Ahli tidak lagi memegang jawatan iaitu yang terdapat dalam Perkara 1.6. Kaola berpandangan ianya wajar diperjelaskan peruntukannya, yang mengikat Ahli kepada keseluruhan kod ini tanpa had masa mungkin terlalu luas.
Pada hemat kaola adalah lebih wajar sekiranya hanya kewajipan tertentu seperti kerahsiaan maklumat yang berhubung kait dengan keselamatan negara terus berkuat kuasa selepas tamat tempoh perkhidmatan. Manakala peruntukan yang lain berakhir apabila seorang itu tidak lagi menjadi Ahli.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Antara perkara yang kaola amat alu-alukan ialah cadangan mengenai pengisytiharan kepentingan, declaration of interest dalam Perkara 6.2, kerana ini merupakan asas penting kepada ketelusan dan tadbir urus yang baik. Pengisytiharan ini, bukan bertujuan menimbulkan syak wasangka terhadap seorang Ahli tapi untuk melindungi integriti institusi serta mengelakkan konflik kepentingan.
Walau bagaimanapun, kaola mencadangkan supaya pengisytiharan ini dijadikan mandatori tanpa menunggu permintaan daripada pihak tertentu melalui satu penyata tahunan yang dibukakan oleh setiap Ahli.
Di samping kewajipan untuk memaklumkan dengan segera sekiranya berlaku apa-apa perubahan yang material sepanjang tempoh perkhidmatan.
Selain itu, skop pengisytiharan ini juga wajar diperluaskan meliputi kepentingan pasangan dan anak tanggungan. Dalam banyak keadaan, konflik kepentingan tidak semestinya berlaku secara langsung melalui Ahli sendiri bahkan boleh timbul melalui hubungan kekeluargaan ataupun pihak-pihak yang bertindak bagi Ahli-Ahli.
Sekiranya wujud konflik kepentingan, Ahli berkenaan hendaklah membuat pengisytiharan menarik diri daripada pertimbangan atau pengundian berkaitan dan tindakan tersebut direkodkan secara rasmi.
Pada pandangan kaola, amalan ini bukan saja melindungi integriti Ahli berkenaan malah turut memelihara keyakinan rakyat terhadap proses membuat keputusan di Majlis Mesyuarat Negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Perkara seterusnya yang ingin kaola sentuh ialah mengenai penerimaan hadiah atau cenderahati di bawah Perkara 6.3.
Kaola bersetuju bahawa Ahli perlu mengelakkan daripada menerima apa-apa hadiah atau manfaat yang boleh mempengaruhi kebebasan pertimbangan mereka ataupun mewujudkan konflik kepentingan.
Namun demikian, pada pandangan kaola, peruntukan yang sedia ada masih memerlukan sedikit penjelasan supaya pelaksanaannya lebih konsisten. Sebagai contoh, kod ini belum menetapkan secara jelas apakah had nilai threshold suatu hadiah tempoh masa bagi membuat laporan kaedah penilaian nilai hadiah ataupun bagaimana hadiah protokol dan hadiah rasmi itu dibezakan dan diuruskan.
Begitu juga belum dijelaskan dengan nyata sama ada suatu hadiah hendaklah ditolak, diisytiharkan, diserahkan kepada pihak tertentu ataupun boleh diterima dengan kelulusan yang sewajarnya. Dalam amalan kehidupan bermasyarakat, tidak semua pemberian boleh dianggap sebagai satu rasuah ataupun cubaan mempengaruhi sesuatu keputusan.
Sebagai contoh, dalam satu majlis rasmi, lawatan kerja ataupun kunjungan hormat, lazimnya terdapat pertukaran cenderamata atau tanda penghargaan yang lebih bersifat protokol dan adat istiadat. Begitu juga dalam budaya masyarakat kitani, konsep sedekah, konsep belanja ataupun menjamu makan sering dianggap satu bentuk penghormatan dan silaturrahim.
Persoalannya ialah di mana garis pemisah yang jelas antara amalan sosial yang munasabah dengan manfaat yang boleh menimbulkan konflik kepentingan.
Sekiranya perkara ini tidak dijelaskan dengan lebih terperinci, pelaksanaan kod mungkin menjadi tidak konsisten kerana tafsiran setiap individu boleh berbeza.
Oleh itu, kaola mencadangkan supaya satu garis panduan, guideline yang lebih jelas diwujudkan termasuk menerapkan had nilai tertentu bagi kategori hadiah dibenarkan, hadiah yang memerlukan kelulusan serta tatacara laporannya.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola juga ingin menyentuh mengenai kerahsiaan maklumat di bawah Perkara 7, kaola bersetuju bahawa maklumat tertentu memang perlu dilindungi, khususnya yang melibatkan keselamatan negara, kewangan negara atau rang yang dilindungi oleh undang-undang tapi bukan yang berkaitan dengan dasar kod yang dicadangkan masih terlalu umum dan luas dan boleh menimbulkan pelbagai tafsiran.
Kod ini wajar memperjelaskan dengan lebih terperinci mengenai keadaan-keadaan yang membolehkan pendedahan dibenarkan termasuk kepada siapa ia boleh didedahkan, serta bilakah sesuatu maklumat tidak lagi tertakluk kepada kerahsiaan.
Oleh itu, kaola mencadangkan supaya kod ini memperkenalkan satu sistem pengklasifikasian maklumat information classification system yang lebih jelas termasuk kategori maklumat yang dilindungi, pihak yang boleh menerima pendedahan serta keadaan-keadaan yang membolehkan maklumat dikongsikan secara sah.
Pendekatan ini akan membantu melindungi kepentingan negara tanpa mengurangkan komitmen kita terhadap prinsip ketulusan dan akauntabiliti dan perkongsian maklumat yang sewajarnya.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Perkembangan media sosial pada hari ini telah mengubah cara rakyat berinteraksi dengan pemimpin, institusi serta kerajaan. Sebagai ahli kita juga menggunakan pelbagai platform media sosial untuk berhubung dengan masyarakat, menerima maklum balas, menjelaskan pendirian serta mendengar sendiri pandangan rakyat.
Oleh itu, kaola berpandangan bahawa kod etika ini perlu memastikan adanya keseimbangan balance antara tanggungjawab menjaga nama baik institusi dengan hak ahli untuk menyuarakan pandangan secara bertanggungjawab.
Dalam sebuah masyarakat yang ingin terus maju, adalah suatu yang lumrah apabila wujud pandangan yang berbeza kita agree to disagree, namun perbezaan tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman kepada institusi sebaliknya, ia boleh memperkayakan proses membuat keputusan dan menghasilkan dasar yang lebih baik.
Sehubungan itu, perkara 9.3 dalam kod ini tidak seharusnya memberi gambaran bahawa setiap kenyataan yang negatif, kritikal atau kontroversi di media sosial merupakan pelanggaran kod. Tindakan hanya wajar diambil sekiranya kenyataan tersebut jelas melanggar.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Ahli Yang Berhormat, kita baru sahaja tadi meluluskan supaya apa namanya ni? Usul ani dipinda, jadi kita akan membuat satu jawatankuasa untuk meneliti apa jua dalam isi hati Ahli Yang Berhormat sekalian untuk dibawa, jadi ada baiknya perkara ini dengan panjang lebar dibawa kepada jawatankuasa yang berkenaan itu.
Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Mominβ
Kaola faham Pehin. Ganya dalam ini kalau boleh direkodkan saja. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Ahli-Ahli Yang Berhormat ada baiknya Ahli Yang Berhormat tadi sudah menyokong apa namanya ni? Usul ini dan menyokong apa namanya ni? Pindaan yang dibuat, ya, sudah selesai dan kita akan menelitinya semula dengan ditubuhkan satu jawatankuasa apa pun akan dibawa oleh Ahli Yang Berhormat bolehlah dibawa kepada jawatankuasa yang berkenaan dan apanya? Diteliti. Jadi, kitani di sini sudah jam barangkali sudah 4.35, cuaca dalam temperature di dalam ani semakin sejuk, dingin jadi ada baiknya untuk menjimatkan masa ya, perkara ini kitani tutup lah.
Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Mominβ
Untuk menutuplah Yang Berhormat Yang Di-Pertua sebagai rumusan kod etika dan tindakan kelakuan ini merupakan satu perkembangan idea yang sangat dialu-alukan, kod ini tidak seharusnya dianggap sebagai dokumen yang statik sepertimana yang kaola nyatakan awal tadi kaola menghargai pendekatan Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin dalam mengambil kira pertimbangan dan cadangan Yang Berhormat.
Cadangan-cadangan yang kaola kemukakan ialah suatu mengubah tujuan kod ini tapi memperkukuhkan lagi asas supaya ia benar-benar memenuhi matlamat yang dicapai dengan penambahbaikan tersebut kaola yakin tatakelakuan ini akan terus meningkatkan integriti kewibawaan dan Majlis-Majlis Mesyuarat Negara pada masa hadapan, insya Allah.
Dengan itu dan dengan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata'ala kaola sokong konsep dan Kerangka Kod Etika dan Tatakelakuan ini spertimana yang jua telah diperakukan oleh rakan-rakan Ahli Yang Berhormat yang lain. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Terima kasih Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin. Saya persilakan Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir.
Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasirβ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. (Doa dibaca). Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terlebih dahulu kaola ingin menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keperihatinan, kebijaksanaan serta perkenan baginda terhadap usaha Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan bagi Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Pada hemat kaola, Usul ini bukan sekadar mengenai penggubalan satu recommend atau garis panduan baharu sebaliknya, ia merupakan satu langkah penting dalam menaikkan martabat institusi Majlis Mesyuarat Negara.
Pada kesempatan ini, kaola juga ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin dan menyokong bagi cadangan pindaan draf Kod Etika dan Tatakelakuan supaya akan dirujuk kepada satu jawatankuasa untuk meneliti, memperhalusi dan mengemukakan kod etika dan tatakelakuan kepada majlis dalam tempoh masa enam bulan.
Sekian, Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Jangan pulang menyamal kali (ketawa). Terima kasih Ahli Yang Berhormat. Saya persilakan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osmanβ
Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memberi laluan kepada kaola untuk turut serta membahaskan Usul ini. Terlebih dahulu kaola, menjunjung kasih setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas titah baginda bagi Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat dalam melaksanakan tugas dengan berkesan dan berintegriti tinggi.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II atas pembentangan cadangan Usul ini. Kaola tertarik untuk ikut serta membahaskan Usul ini kerana ia mempunyai implikasi yang besar kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang ada pada masa ini dan jua yang akan datang.
Seperti yang dinyatakan, tujuan utama kod ini ialah sebagai panduan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat mengenai nilai, etika, tatakelakuan dan peraturan bagi memperkukuh budaya integriti profesionalisme dan tadbir urus beretika dalam semua urusan Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Kod etika yang dicadangkan merangkumi etika dan tatakelakuan bukan sahaja sewaktu Persidangan Majlis Mesyuarat Negara tetapi juga bagi muzakarah, sesi dialog, lawatan kerja dan perjumpaan. Dan ia bukan sahaja dari segi penyampaian maklumat, pertuturan tetapi juga dari segi pakaian.
Kaola melihat semua ini adalah sebagai satu usaha pihak Majlis Mesyuarat Negara untuk memelihara imej Ahli Majlis Mesyuarat Negara sebagai wakil rakyat yang boleh dipercayai untuk mewakili kepentingan rakyat bukan untuk kepentingan peribadi ataupun kepentingan satu golongan tertentu.
Dengan adanya kod ini, orang ramai merasa yakin bahawa setiap Ahli Majlis Mesyuarat Negara adalah dikawal oleh Kod Etika dan Tatakelakuan dan setiap interaksi dengan orang ramai berlaku secara terbuka tanpa sebarang muslihat dan setiap isu yang diketengahkan akan didengar dan dibincangkan, dibawa ke pihak-pihak yang berkenaan bagi mencari penyelesaiannya.
Pada masa yang sama, pihak awam akan menaruh kepercayaan dengan adanya Kod Etika dan Tatakelakuan ini, akan kredibiliti seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Negara itu, bila membahas sesuatu perkara di Majlis Mesyuarat Negara, muzakarah ataupun dialog atau bila berjumpa sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negara dengan penjawat awam, tidak diketahui oleh gejala rasuah dan akan didengar dan diberi perhatian oleh mana-mana jua peringkat jentera kerajaan.
Ini bagi memelihara imej Ahli Majlis Mesyuarat Negara berkenaan dan integriti Ahli Majlis Mesyuarat Negara semasa berurus dengan mana-mana pihak kerajaan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara mestilah mempunyai sifat-sifat terpuji untuk menjawat jawatan ini dan dengan adanya Kod Etika dan Tatakelakuan ini akan menjadi garis panduan untuk dipatuhi dan bukan sahaja selagi berkhidmat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negara tetapi juga selepas berkhidmat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Pada keseluruhannya, kaola melihat Kod Etika dan Tatakelakuan ini sebagai lengkap, walau bagaimanapun beberapa perkara di dalam kod ini perlu dihuraikan, kalau tidak timbul kesangsian dan interpretasi yang berlainan.
Jadi pada penutupnya, pada keseluruhannya kaola mengalu-alukan cadangan Kod Etika dan Tatakelakuan ini sebagai tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan bagi pindaan-pindaan yang akan dibincangkan nanti.
Kaola yakin dengan adanya Code of Ethics Ahli Majlis Mesyuarat Negara ini, akan lebih jelas tentang tanggungjawab mereka selaku suara orang awam dan bagaimana masalah-masalah tersebut disampaikan kepada pihak-pihak berkuasa untuk disampaikan kembali kepada orang ramai.
Sekian wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Terima kasih Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita telahpun selesai membahaskan Usul Bilangan 5/2026 bersama dengan pindaan kepada Usul berkenaan iaitu Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara selama dua hari dengan penuh tabah dan kesabaran.
Saya berpandangan ada baiknya Usul ini sekarang kita undi, bahawa Usul ini diluluskan dan dipinda sebagaimana yang telah dicadangkan. Ahli-Ahli Yang Berhormat, yang bersetuju supaya kita meluluskan Usul ini dengan pindaan sila angkat tangan.
(Ahli-Ahli Yang Berhormat yang bersetuju mengangkat tangan)
Terima kasih. Semua Ahli bersetuju.
Yang Mulia Jurutulisβ
Usul Bilangan 5/2026 - Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara dengan pindaan telah diluluskan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertuaβ
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Alhamdulillah, saya kira cukuplah dulu kita bersidang pada hari ini dan saya cadangkan supaya mesyuarat kita ini ditangguhkan.
Insya Allah kita akan bersidang semula pada hari Isnin, 10 Ogos 2026 sebagaimana lazim mulai daripada jam 9.30 pagi.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.