Langkau ke kandungan utama
For Informational Purposes Only

Source: https://www.majlis-mesyuarat.gov.bn/wp-content/uploads/2025/09/Penyata-Rasmi-MMN-Ke-17-Tahun-2021.pdf

HARI KE-11

Rumusan Bacaan

📖 Masa membaca: 132 minit
📊 Bilangan kata: 26,765 kata

25HB MAC 2021

(Mesyuarat mula bersidang pada pukul 9.30 pagi)

Yang Dimuliakan Jurutulis

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيمِ Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara bersidang pada pagi ini hari yang kesebelas Khamis, 11 Syaaban 1442 bersamaan 25 Mac 2021 didahului dengan Doa Selamat.

DOA SELAMAT

Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Abdul Hamid.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته الحمد لله kita bersyukur ke hadrat الله سبحانه وتعالى kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya jua kita dapat bersama-sama hadir pada pagi ini, bersidang bagi hari yang kesebelas di Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara. Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita سيدنا محمد صلى الله عليه وسلم, kaum kerabat, para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Pada sebelah petang semalam, di Peringkat Jawatankuasa kita masih lagi membincangkan dan membahaskan Perkara VI - Rang Undang-Undang (2021) Perbekalan, 2021/2022 yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II. Bagi membolehkan kita meneruskan perbincangan itu dan meneliti tajuk-tajuk bagi Rang Belanjawan seterusnya saya tangguhkan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara ini bagi membolehkan kita untuk bersidang semula di peringkat Jawatankuasa sepenuhnya.

(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)

(Mesyuarat bersidang sebagai Jawatankuasa)

Yang Berhormat Pengerusi

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ Ahli-Ahli Yang Berhormat, majlis sekarang bersidang di Peringkat Jawatankuasa sepenuhnya bagi meneliti dan menimbangkan Rang Undang-Undang (2021) Perbekalan, 2021/2022 satu per satu yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II. Pada sebelah petang semalam Mesyuarat Jawatankuasa telah selesai meluluskan tajuk-tajuk kementerian-kementerian kerajaan yang telah dijadikan sebahagian daripada Jadual Rang Undang-Undang ini. Kita telah berpeluang mendengar mukadimah belanjawan ini di bawah Tajuk SP01A - Kemajuan, yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II yang menjelaskan dengan terperinci tentang struktur penyediaan belanjawan keseluruhannya bagi Tajuk Kemajuan.

Sekarang, tibalah masanya bagi saya untuk membukakan Tajuk Kemajuan ini untuk dibahaskan. Bersama saya terdapat beberapa Ahli Yang Berhormat yang suka turut serta untuk membahaskan tajuk ini dan saya persilakan dengan memulakannya dengan Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit.

Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

بسم الله الرحمن الرحيم
الْحَمْدُ للِهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ
الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.

لا حَوْلَ وَلا قُوَّةَ إِلا بِاللَّهِ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي، وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي، وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي، يَفْقَهُوا قَوْلِي

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera.

Yang Berhormat Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Lebih dahulu, kaola merakamkan ucapan penghargaan tahniah yang setinggi-tingginya kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II atas pembentangan semalam mengenai Anggaran Perbelanjaan Rancangan Kemajuan Negara April 2021 hingga Mac 2022. Dalam Anggaran Perbelanjaan Rancangan Kemajuan Negara ini, kaola menyentuh di bawah Sektor 1116 - Hal Ehwal Ugama – Gelaran 005 - Masjid Baharu Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Telisai yang harga Rancangan RKN-11 berjumlah $5 juta. Berdasarkan peruntukan 2021/2022 hampir separuh daripada harga rancangan itu $2,052,000.00 diperuntukkan dan bagi 2022 hingga 2023 pula diperuntukkan juga hampir separuh iaitu berjumlah $2,111,750.00.

Untuk makluman, berita baik dan menggembirakan kepada penduduk kawasan berkenaan, maka ingin kaola mengetahui akan kedudukan pembinaan masjid ini iaitu tentang proses pelaksanaannya kerana peruntukan permulaan pada tahun 2020 ke 2021 telah diluluskan $1,800,000.00. Kini belum kelihatan skop kerja yang telah dilakukan dengan peruntukan.

Seterusnya kaola menyentuh di bawah Sektor 1113 - Kemudahan Awam dan Alam Sekitar, Gelaran - 007 - Kawalan Pesisir Pantai Kampung Danau.

Lebih dahulu kaola merakamkan penghargaan dan terima kasih atas pemedulian Kementerian Pembangunan kerana telah menyempurnakan sebahagian daripada projek ini yang telah menjadi kerisauan penduduk Kampung Danau dan Kampung Telisai sekian lama dengan sabar menanti walaupun ada sebahagian bangunan telah lenyap dipukul ombak. Pada tahun 2018, barulah bermula pembinaannya hingga sekarang. Kaola sendiri meninjau akan perkembangan projek pembinaan ini, hasilnya sungguh menggembirakan. Proses pembinaan telah menampakkan kemajuannya iaitu wujud semula tanah baharu yang sebelumnya beberapa keping tanah kehilangan 'batu geran' dihakis ombak. Walau bagaimanapun, hakisan berlaku terus di kawasan yang tidak ada benteng kawalan sehingga melarat ke tebing Pantai Kampung Telisai. Kini hakisan ombak meroboh sebahagian pagar Taman Rekreasi Pantai Telisai, kemungkinan juga akan merebak terus sepanjang pantai hingga ke Pantai Sungai Liang.

Pada tahun 2020 hingga 2021, diluluskan $476,330.00 dan pada tahun 2021, 2022 hingga 2024 jumlahnya $534,000.00. Daripada Anggaran Perbelanjaan ini belum sampai $1 juta seperti dirancangkan dalam RKN-11. Sehubungan dengan itu, apakah ada lagi perancangan selanjutnya bagi pembinaan kawalan sepanjang Pantai Kampung Telisai dan terjejas menggunakan Anggaran Perbelanjaan Kemajuan ini?

Sekian terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. Kaola ingin merujuk kepada soalan ke-2 Yang Berhormat kepada rakan sejawatan kaola Yang Berhormat Menteri Pembangunan.

Mengenai kawalan pesisir sepanjang Pantai Kampung Danau, apa yang disampaikan oleh Yang Berhormat tadi, sebenarnya perbelanjaan sehingga 2021 sudah membelanjai $4.7 juta bukannya $500 lebih ribu yang disampaikan oleh Yang Berhormat. Memang peruntukan mempunyai baki lebih kurang $2.3 juta, jika ada keperluan untuk memajukan lagi kerja-kerja untuk mengubah suai ataupun menjaga kawalan sepanjang Pantai Kampung Danau dan masih lagi diperuntukkan dan masih lagi ada untuk dilaksanakan إن شاء الله terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama

Yang Berhormat Pengerusi, kaola merujuk mengenai Yang Berhormat berhubung dengan masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Telisai yang diperuntukkan dalam RKN-11 yang diberikan pada tahun lepas dan juga pada tahun ini, sejauh apa skop kerja yang dibuat? Kaola dimaklumkan bahawa skop kerja yang ada pada masa ini ialah penyediaan konsep design di peringkat awalnya telah siap dan إِنْ شَاءَ الله akan dibawa kepada peringkat pegawai di kementerian untuk dilihat bersama pada hujung bulan ini iaitu pada 30 Mac nanti. Peruntukan yang ada $1.8 juta itu adalah bagi kerja-kerja awal kajian tanah (soil investigation) dan juga bayaran yuran kepada konsultan. Ringkasnya, projek ini sedang aktif berjalan dan إِنْ شَاءَ الله kalau tidak banyak ‘gundalanya’ ia akan dapat dilaksanakan dalam jangka yang kita harap-harapkan.

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Terima kasih, sekarang saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari.

Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ Kaola suka ingin membawa di bawah Sektor 1116 Gelaran 003 - Masjid Baharu RPN Kampung Lugu. Dengan peruntukan $5 juta yang telah diluluskan dalam RKN-11 dalam perbelanjaan tahun 2020/2021, kaola menjunjung kasih yang setinggi-tinggi atas kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah meluluskan peruntukan pembinaan Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Lugu dengan peruntukan $5 juta.

Seterusnya Sektor 1101 Gelaran 002 – Membina Skim Pengairan Tambahan bagi kawasan penanaman padi di seluruh Daerah. Diperuntukkan dalam RKN-11 dengan rancangan peruntukan $10 juta. Bilakah akan befungsi sepenuhnya pengairan kawasan padi dalam Mukim Pangkalan Batu?

Sekian, terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Saya persilakan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama

Kaola fahami Yang Berhormat cuma menyembahkan rasa junjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana memperuntukkan dalam RKN-11 bagi pembinaan Masjid Kampung Lugu dan Yang Berhormat tidak mempunyai komen apa-apa maka kaola setakat itu sahaja Yang Berhormat Pengerusi. Kaola pun mengucapkan terima kasih atas perhatian Yang Berhormat itu sebagai pemimpin akar umbi kawasan luar bandar terutama sekali kawasan Yang Berhormat mewakili zon tersebut.

Hal-hal seperti inilah yang kitani mahu ketahui sejauh mana respons ataupun reaksi daripada rakyat dan penduduk terhadap perancangan-perancangan kerajaan dan sejauh mana mereka merasakan keterlibatan dalam rancangan itu untuk menjayakannya. Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Adakah reaksi terhadap soalan mengenai pengairan Mukim Pengkalan Batu.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. Barangkali untuk menjawab soalan mengenai pengairan Mukim Pengkalan Batu, 'bisainya' menunggu Yang Berhormat Menteri Pembangunan atau Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan untuk menjawab soalan ini. Terima kasih.

Yang Berhormat Pengerusi

Dengan itu saya persilakan Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman.

Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Pertama kaola ingin merakamkan penghargaan atas mukadimah yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II mengenai perbelanjaan Rancangan Kemajuan Negara April 2021 hingga Mac 2022.

Kaola ingin menyentuh di bawah Sektor - 1116 Gelaran 001 - Masjid Baharu Rancangan Perumahan Negara Kampung Mengkubau. Gelaran 002 - Masjid Baharu Rancangan Perumahan Negara Kampung Meragang. Sepertimana yang dinyatakan harga rancangan dalam RKN-11 iaitu $5 juta.

Kaola ingin bertanya pada tahun 2019 hingga 2020 perkara ini telah diluluskan dengan harga $2,475,000.00 dan pada tahun 2020 hingga 2021 dengan $1,869,790.00 telah diluluskan. Begitu juga dengan Masjid Baharu Rancangan Perumahan Negara Kampung Meragang, pada tahun 2019 hingga 2020 yang diluluskan adalah $2,075,000.00 dan bagi tahun 2020 hingga 2021 $1,800,000.00.

Kaola ingin bertanya adakah perkembangan untuk membina kedua-dua masjid-masjid itu telah pun berjalan pada masa ataupun tahun yang disebutkan itu? Kaola ingin memohon pencerahannya mengenai kedua-dua masjid itu.

Sekian, terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama

Yang Berhormat Pengerusi dan Yang Berhormat mengenai kedua-dua buah kampung di kedua-dua Masjid Rancangan Perumahan Negara Mengkubau dan Rancangan Perumahan Negara Meragang. Memang betul apa Yang Berhormat sebutkan tadi kedua-dua buah masjid ini sudah ada peruntukannya dalam rancangan 2018, 2019, 2020 dan seterusnyalah sekarang ini.

Dalam mukadimah kaola ucapan menyokong sembah menjunjung kasih ada kaola menyebutkan tentang progres kedua-dua buah masjid ini Yang Berhormat Pengerusi. Tentulah Yang Berhormat sudah mengetahui tinggal lagi Yang Berhormat ingin tahu mengapa peruntukan-peruntukan sebelum ini seolah-olah tidak digunakan dan macam itulah rancangan ini dibiar. Sebenarnya tidak, pada masa itu sudah dikerjakan bahkan kalau Yang Berhormat tahu lebih awal sejarahnya lagi kedua-dua projek ini sebelum tahun-tahun yang disebutkan itu sudah ada. Bahkan sudah sampai ke peringkat tawaran.

Setelah tawaran nampaknya kerana harganya besar, ratenya tinggi dan yang kedua adakah keperluan masjid sebesar itu dengan saiznya sebesar itu bagi penduduk yang bukan dikira semata-mata penduduk yang ada dalam rancangan perumahannya memang ramai tetapi dikira juga kawasan-kawasan sekitarnya. Misalnya jikalau Kampung Mengkubau ada masjid, Kampung Meragang ada masjid jadi ertinya kedua-duanya sudah dapat menampung kira-kira dalam 5 ke 6 tahun.

Skop kerja telah diturunkan atau dikurangkan. Demikian itu ia disambung dengan skop kerja yang baharu. Skop kerja yang baharu inilah masjid ini sangat giat dilaksanakan sebagaimana yang disebutkan dalam ucapan kaola pada masa itu bagi maksud Kampung Mengkubau, yang pada peringkat masa ini dalam bulan Mac tahun ini ada perhubungan untuk penjelasan-penjelasan yang dikehendaki oleh Lembaga Tender Negara untuk diberikan. Maka sudah dibuka dan sudah pun minta penjelasan dan segala-galanya telah dibuat, dilakukan oleh pihak client Kementerian Hal Ehwal Ugama menjelaskannya.

Dengan penjelasan-penjelasan itu mudah-mudahanlah kita ni yang menunggu ini tidak lagi ada tergendalanya dan akan diaward kepada yang layak menerima atau memenangi tawaran tersebut. Itu bagi masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Mengkubau, sementara Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Meragang dibuka tawaran pada 20 Februari 2021 yang lalu dan ditutup pada bulan Mac 2021 yakni status terkini ada dalam assessment.

Jadi maknanya rancangan ini aktif Yang Berhormat Pengerusi kalau kita ni melihat ke belakang itulah sejarah ringkasnya memang dalam RKN-11 memandangkan kawasan perumahan itu memerlukan masjid tetapi dalam keadaan ketiadaan masjid, tiba-tiba masjid di Kampung Perpindahan Mentiri telah dibangunkan semula dengan size yang besar dan pada masa ini kita mengetahui sebahagian besar daripada penduduk-penduduk di Kampung Mengkubau menjadi jemaah masjid di Kampung Mentiri dan masjid-masjid lainnya yang berdekatan Yang Berhormat Pengerusi. Terima kasih.

Yang Berhormat Pengerusi

Silakan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. Sebagai menambah sahaja untuk menjawab soalan daripada Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman mengenai Masjid Kampung Mengkubau, pada masa ini telah pun ditimbangkan oleh Lembaga Tawaran Negara pada bulan Mac baru-baru ini إن شاء الله dengan kelulusan nanti kerja-kerja untuk membina masjid ini dapatlah diteruskan. Mengenai Masjid Kampung Meragang pada masa ini masih lagi dalam peringkat penyelarasan reka bentuk antara Kementerian Hal Ehwal Ugama dan JKR. Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Tahamit bin Haji Nudin.

Yang Berhormat Awang Haji Tahamit bin Haji Nudin

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi, Sebelumnya kaola menarik diri daripada menyoal. Terima kasih.

Yang Berhormat Pengerusi

Yang Berhormat Awang Haji Tahamit menarik diri dan tidak menyoal lagi. Saya persilakan Yang Berhormat Fdr. Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman.

Yang Berhormat Fdr. Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. Terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II atas mukadimah semalam yang jelas dan komprehensif. Saya akui di bawah projek-projek Rancangan Kemajuan Negara yang Ke-11 banyak perubahan telah dapat dilihat dalam pembangunan negara. الحمد لله setakat ini seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Menteri, sebanyak 20 projek iaitu 11% telah siap dilaksanakan, sejumlah 77 projek iaitu 41% dalam pelaksanaan dan masih terdapat lebih 43% projek-projek dalam early stage.

إن شاء الله mudah-mudahan semua projek ini dapat disiapkan dan dilaksanakan within 2023. Ini juga menjadi salah satu kebimbangan kerana kita semakin hampir menamatkan Rancangan Kemajuan Negara yang Ke-11 iaitu 2 tahun lagi sebelum menginjak ke tahun 2023. Sayangnya sebanyak 30 projek dari Rancangan Kemajuan Negara yang kesepuluh telah ditunda dan dimasukkan pelaksanaannya ke dalam tempoh Rancangan Kemajuan Negara yang Ke-11.

Projek-projek RKN-11 bertindak sebagai tulang belakang dalam usaha kita dalam mencapai Wawasan Brunei 2035. Apabila direnungkan kita masih samar-samar dengan pencapaian Wawasan Brunei 2035 sehingga kini. Bagi mendukung pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 melalui Rancangan Kemajuan Negara beberapa pelan induk dan strategik rangka kerja mahupun blueprint telah dilancarkan oleh pihak kerajaan, 2 daripadanya ialah Digital Economic Masterplan 2025 (DEM) dan Brunei Darussalam Economic Blueprint. DEM merangkumi objektif program dan inisiatif yang mengintegrasikan semua kementerian dan inisiatif dari pihak swasta untuk mencapai ekonomi digital yang mampan.

Ketelusan masterplan ini sangat jelas dari segi key project deliverables 2025, manakala Economic Blueprint pula merangkumi projek dan inisiatif yang telah diintegrasikan dan difokuskan dalam matlamat 3, Wawasan Brunei 2035 iaitu economy yang dinamik yang berdaya tahan termasuk projek-projek Pelaburan Langsung Asing (FDI), akan tetapi kita masih belum mempunyai sebarang pelan atau blueprint seperti ini bagi Matlamat 1 dan Matlamat 2. Dengan adanya pelan-pelan bagi semua matlamat serta rangka kerja ia akan membantu kita untuk mencapai Wawasan Brunei 2035 kita dengan lebih jelas, teratur dan efisien.

Saya berpendapat kita haruslah mempunyai garis panduan yang jelas dan telus, with key project deliverable indicator untuk melaksanakan inisiatif dalam mencapai Wawasan Brunei 2035 yang diselaraskan pada projek-projek Rancangan Kemajuan Negara. Merujuk Peruntukan Kemajuan dan Buku Rancangan Kemajuan Sebelas sebanyak 189 projek kemajuan dibahagikan kepada 3 Matlamat Wawasan Brunei 2035:

  1. Sebanyak 30.7% dari harga peruntukan $3.5 bilion dalam matlamat satu iaitu Penduduk Yang Berpendidikan Tinggi, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya.;

  2. Sebanyak 68.8% dalam matlamat kedua iaitu Kualiti Hidup Yang Tinggi.;

  3. Sebanyak 11.7% dari harga peruntukan bagi matlamat ketiga.

Adalah difahami projek-projek Pelaburan Langsung Asing akan membantu dan mengembangkan ekonomi negara. Saya ingin mengambil perhatian bahawa hanya tinggal 2 RKN sahaja lagi, RKN-12 dan RKN-13 sebelum kita mencapai Wawasan Brunei 2035. Saya ingin mencadangkan bahawa projek-projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 nanti dapat dirancang dan diberigakan dengan lebih jelas secara bersepadu dan perlunya ada short term dan long term key deliverables.

Rancangan strategik juga haruslah dirangka lebih awal untuk RKN seterusnya dengan kerjasama semua pihak yang terlibat terutama sekali kementerian-kementerian yang menerajui projek-projek utama RKN itu nanti. Kementerian-kementerian juga disarankan untuk memantau projek-projek RKN dengan lebih dekat. Sekian Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. Cuba kaola akan menangkap sama ada Yang Berhormat menyoal atau memberi satu statement sahaja. Walau bagaimanapun, kaola mengambil kesempatan ini untuk menerangkan lagi macam mana kitani menyediakan RKN untuk menyokong Wawasan Brunei 2035.

Pada masa ini memang benar, Matlamat 3, kitani sudah terdapat Economic Blueprint dengan sendirinya dapat kitani merancangkan roadmap supaya kitani majukan beberapa sektor priority dalam Economic Blueprint kitani. Pada masa ini usaha-usaha untuk mengadakan blueprint bagi Matlamat 1 dan Matlamat 2 sedang dirancangkan. إن شاء الله pada masa depan pun sudah siap memang akan diberigakan kepada orang ramai.

Mengenai peruntukan Matlamat 1,2 dan 3 masing-masing, sepertimana Yang Berhormat tadi sampaikan kebanyakan peruntukan diberi kepada matlamat yang kedua yang matlamat ketiga hanya 11.7% tetapi percentage depend on macam mana kita mengiranya. Kalau bagi kaola mengira economic development Matlamat 3 itu 13% tetapi doesn't matter at the end of the day masih juga Matlamat 2 itu paling tinggi tetapi kitani tidak boleh melihat cara kitani, jumlah di bawah Matlamat 1,2 dan 3 yang memang cara kitani categorise peruntukan ini di bawah Matlamat 1,2 dan 3 masing-masing itu kitani ikut direct impact, the nature of work.

Jadi seperti kitani membuat projek di Matlamat 2 membuat infrastructure jadi memang direct impact itu kepada infrastructure, Matlamat 2 tetapi indirect benefit ia akan menguntungkan matlamat ketiga jika sekiranya kita ni kukuhkan lagi sistem rangkaian elektrik kita ni dengan sendirinya ia dapat menyokong kita ni menarik ke FDI ke dalam negeri mengikut infrastructure yang bagus dan meningkatkan peluang kita menarik lagi banyak FDI ke dalam negeri. Dengan sendirinya menyokong Matlamat 3 dengan infrastruktur yang bagus, sekolah dan sebagainya. Memang menyokong jua Matlamat 1 walaupun sekolah itu dikategorikan di bawah Matlamat 2.

Itulah yang barangkali kita tidak boleh melihat jumlah kita. Memang dikira direct impact kepada di bawah matlamat masing-masing. Satu lagi kaola tambah, kalau kita lihat peruntukan ini sepertimana di Economic Blueprint, untuk menyokong beberapa usaha untuk mempelbagaikan lagi kita punya ekonomi, bukan sahaja diharapkan peruntukan dari RKN, ada juga Peruntukan Berulang-Ulang dan dapat menyokong usaha-usaha kita tetapi yang pentingnya ada juga dana dari FDI, GLC, mungkin financing dari the bank and so on. Itulah barangkali, kita tidak boleh lihat dari segi berapa saja RKN sediakan sebagai satu KPI dan sebagainya. Itulah barangkali usaha kita untuk memajukan negara dengan infrastruktur dan sekolah dan ekonomi ini. Memang kita di bawah wawasan kita melihat macam mana kita dapat mencapai KPI secepat mungkin. Itu saja Yang Berhormat Pengerusi yang kaola dapat sampaikan. Terima kasih.

Yang Berhormat Pengerusi

Terima kasih. Ahli-Ahli Yang Berhormat, kita telah pun mendengar penjelasan-penjelasan daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat Menteri-Menteri berkenaan dengan kewahaman dan soal-soal yang ditimbulkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat berhubung dengan Tajuk SP01A - Kemajuan ini, saya kira tidak ada lagi.

Ya, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon.

Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi kerana memberi peluang untuk menyampaikan perkara dengan ringkas.

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera. Soalan kaola ringkas saja. Pada tahun kebelakangan ini, kawasan Kampung Sungai Akar mengalami kejadian banjir dan hakisan di tebing sungai. Kaola ingin mengetahui, jika projek saliran di kawasan ini ada dimasukkan di dalam Perancangan Belanjawan Rancangan Kemajuan Tahun Kewangan ini.

Sekian saja Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. Memandangkan rakan sejawatan kaola tidak ada di sini iaitu Menteri Pembangunan, kaola cuba menjawab soalan ini. Pada masa ini, kalau sekiranya kerja-kerja yang memerlukan peruntukan untuk dilaksanakan walaupun kalau sekiranya tidak ada dalam RKN, dalam Bajet Berulang-Ulang, kita memang berusaha untuk mencari bajet peruntukan supaya yang urgent dapat kita laksanakan. Tidak semestinya tunggu RKN ada, baru kita buat. Kalau sudah menunggu RKN, barangkali terpaksa menunggu bertahun-tahun lagi. Kalau sekiranya kerja itu urgent, terpaksa kita mencari jalan yang sesuai untuk dilaksanakan kerja yang urgent itu.

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Terima kasih Yang Berhormat. Oleh sebab tidak ada lagi nampaknya yang suka untuk turut serta dalam membahaskan tajuk ini, maka saya fikir masanya sudah tiba bagi kita untuk mengundi tajuk ini.

Jadi, Ahli-Ahli Yang Berhormat yang bersetuju, supaya Tajuk SP01A - Kemajuan diluluskan, sila angkat tangan.

(Semua Ahli mengangkat tangan tanda bersetuju)

Terima kasih. Semuanya bersetuju.

Yang Dimuliakan Jurutulis

Tajuk SP01A - Kemajuan dijadikan sebahagian daripada jadual. Tajuk Bab 1 Gelaran Pendek dan Permulaan Kuat Kuasa.

Yang Berhormat Pengerusi

Ahli-Ahli Yang Berhormat, kita sekarang membincangkan mengenai Bab 1 Gelaran Pendek dan Permulaan Kuat Kuasa Akta ini yang bergelar Perbekalan 2021/2022 dan hendaklah bermula berjalan berkuat kuasa pada 1 April 2021. Saya kira Tajuk Gelaran Pendek dan Permulaan Kuat Kuasa ini, tidak perlu kita bahaskan lagi.

Oleh yang demikian, adakah Ahli-Ahli Yang Berhormat bersetuju supaya Gelaran Pendek dan Tarikh Permulaan Berkuat kuasa Akta ini diluluskan. Yang bersetuju sila angkat tangan.

(Semua Ahli mengangkat tangan tanda bersetuju)

Terima kasih. Semuanya bersetuju.

Yang Dimuliakan Jurutulis

Tajuk Bab 1 Gelaran Pendek dan Permulaan Kuat kuasa dijadikan sebagai Rang Undang-Undang.

Yang Berhormat Pengerusi

Ahli-Ahli Yang Berhormat, الحَمْدُ للهِ Kita telah pun selesai membincangkan dan meluluskan semua tajuk yang terdapat dalam Jadual Rang Undang-Undang (2021) Perbekalan, 2021/2022. Saya ingin mengambil kesempatan ini dengan tulus ikhlas untuk mengucapkan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat kerana menunjukkan kerjasama dan muafakat yang padu selayaknya semasa perbincangan membahaskan Rang Undang-Undang ini sehingga selesai pada hari ini tadi.

Oleh yang demikian, bagi membolehkan kita membincangkan perkara-perkara seterusnya, saya ingin mencadangkan supaya kita bersidang semula di Peringkat Majlis Mesyuarat Negara.

(Mesyuarat Jawatankuasa ditangguhkan)

(Majlis Mesyuarat bersidang semula)

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ Kita sekarang bersidang semula di Persidangan Majlis Mesyuarat Negara. Oleh yang demikian, bagi membolehkan peraturan perundangan dalam meluluskan Rang Undang-Undang (2021) Perbekalan, 2021/2022 ini yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, rang ini akan dibaca bagi kali ketiga sebelum rang ini kita luluskan untuk dijadikan akta.

Silakan Yang Berhormat.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, kaola ingin memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang yang bergelar: “Suatu Akta Untuk Membekalkan Sejumlah Wang Dari Kumpulanwang Yang Disatukan Bagi Perkhidmatan Tahun Kewangan 2021/2022 dan untuk memperuntukkan wang yang tersebut itu bagi maksud-maksud tertentu” telah pun dipertimbangkan dan diteliti satu per satu dalam Persidangan Jawatankuasa dan telah dipersetujui dengan tidak ada apa-apa pindaan.

Oleh yang demikian, kaola memohon izin Yang Berhormat Yang Di-Pertua untuk mencadangkan supaya Rang Undang-Undang ini dapat dibaca bagi kali ketiga dan seterusnya untuk diluluskan. Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, sebentar tadi telah menyatakan kepada Majlis Mesyuarat Negara ini bahawa Rang Undang-Undang Yang Bergelar: "Suatu Akta Untuk Membekalkan Sejumlah Wang Dari Kumpulan Wang Yang Disatukan Bagi Perkhidmatan Tahun Kewangan 2021/2022 dan untuk memperuntukkan wang yang tersebut itu bagi maksud-maksud tertentu" supaya dapat dibaca bagi kali ketiga. Adakah seorang Ahli Yang Berhormat yang suka untuk menyokong cadangan ini?

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama

بسم الله الرحمن الرحيم Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya menyokong sepenuhnya cadangan daripada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.

Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. Ahli-Ahli Yang Berhormat. Rang Undang-Undang (2021) Perbekalan, 2021/2022 yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, dicadangkan supaya Rang Undang-Undang ini dibaca bagi kali ketiga dan seterusnya diluluskan. Cadangan ini telah mendapat sokongan daripada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. Adakah Ahli Yang Berhormat bersetuju, akan cadangan ini? Sila angkat tangan.

(Semua Ahli mengangkat tangan tanda bersetuju)

Semuanya bersetuju.

Yang Dimuliakan Jurutulis

"Suatu Akta Untuk Membekalkan Sejumlah Wang Dari Kumpulan wang Yang Disatukan Bagi Perkhidmatan Tahun Kewangan 2021/2022 dan untuk memperuntukkan wang yang tersebut itu bagi maksud-maksud tertentu."

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Ahli-Ahli Yang Berhormat. ٱلْحَمْدُ لِلّٰهِ Persidangan Majlis Mesyuarat Negara telah pun selesai meluluskan dengan jayanya, Akta Undang-Undang 2021 Perbekalan, 2021/2022 dan Akta ini akan berjalan kuat kuasanya mulai pada 1 April 2021. Sekarang, kita berpindah ke perkara selanjutnya.

Yang Dimuliakan Jurutulis

Perkara VII - Ketetapan Bilangan 1. Ketetapan di bawah Fasal 83 (7), dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959 akan dicadangkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Izinkan kaola menerangkan secara ringkas mengenai kertas yang dibentangkan di atas meja.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sebanyak 17 Perintah yang telah disenaraikan dan Perintah-Perintah tersebut telah dikurniakan perkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddn Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, untuk diguna pakai.

Untuk makluman Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Bahawa sebahagian daripada Perintah-Perintah ini sudah pun berjalan dan diguna pakai pada tahun 2020 yang lalu, dan sebahagian lagi telah mula berjalan pada tahun 2021. Kesemua Perintah ini telah diterbitkan dalam Warta Kerajaan menurut Peraturan dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam.

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Perintah-Perintah ini telah pun diteliti dengan sehalus-halusnya dengan tujuan memastikan ia berjalan dengan teratur. Oleh sebab Perintah-Perintah ini telah pun dikurniakan perkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka kaola berpendapat tidaklah perlu kita membahaskan dan sebaliknya lebih bersesuaian untuk diluluskan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Keterangan ringkas mengenai Perintah-Perintah yang kaola sebutkan terdapat dan tersenarai dalam Kertas Majlis Mesyuarat Negara No. 1, Tahun 2021. Oleh yang demikian, izinkan kaola sekarang untuk mencadangkan sebuah Ketetapan yang berbunyi: "Majlis ini membuat Ketetapan di bawah Perkara 83 (7), dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959, bahawa tiap-tiap Perintah yang dibuat di bawah Fasal 83 (3) dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam yang dibentangkan di hadapan Majlis ini sebagai Kertas No. 1, Tahun 2021 adalah masing-masing mulai dari tarikh Perintah-Perintah itu diluluskan."

Sekian terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah mencadangkan satu Ketetapan di bawah Fasal 83 (7) dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959.

Adakah antara Ahli Yang Berhormat yang ingin menyokong cadangan ini?

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri

بسم الله الرحمن الرحيم Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kaola menyokong cadangan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Sekian terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih, Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat. Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah pun mengemukakan sebuah Ketetapan di bawah Fasal 83 (7) dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959. Perkara ini mendapat sokongan daripada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sebagaimana jua yang telah dinyatakan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri sebentar tadi, bahawa kebanyakan ataupun kesemua Undang-Undang yang disenaraikan dalam Kertas No. 1, Tahun 2021 telah pun diluluskan dan sebahagian Undang-Undang tersebut telah berjalan dan berkuat kuasa pada masa ini. Oleh yang demikian, saya juga berpendapat bahawa perkara ini tidaklah perlu bagi kita membahaskannya lagi. Maka, ada baiknya Ketetapan yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri itu, kita luluskan.

Sekarang, saya minta Ahli-Ahli Yang Berhormat yang bersetuju, supaya mengangkat tangan.

(Semua Ahli mengangkat tangan tanda bersetuju)

Terima kasih. Semuanya bersetuju.

Yang Dimuliakan Jurutulis

Ketetapan yang kedua di bawah Bab 4 (2), dari Akta Kumpulanwang Kemajuan (Penggal 136), akan dicadangkan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

بسم الله الرحمن الرحيم Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola memohon izin kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua dalam Dewan yang mulia ini, untuk mencadangkan bahawa Majlis ini dengan membuat Ketetapan seperti yang dikehendaki di bawah Bab 4 (2) dari Akta Kumpulanwang Kemajuan (Penggal 136), bahawa perbelanjaan sejumlah $600 juta untuk dibenarkan, diperuntukkan dan dipohonkan dari Kumpulanwang Kemajuan untuk maksud-maksud tersebut di bawah ini, dan disebutkan dalam Anggaran Perbelanjaan Kemajuan 2021/2022 dibentangkan sebagai Kertas No. 2 Tahun 2021. Yang Berhormat Yang Di-Pertua, butir-butir Perbelanjaan Kemajuan dalam tahun tersebut dinyatakan dalam Anggaran-Anggaran Hasil dan Perbelanjaan bagi tahun itu yang dibentangkan di atas meja sebagai Kertas No.2 Tahun 2021.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat cadangan Peruntukan Rancangan Kemajuan Negara ini telah pun kita bincangkan secara terperinci dan panjang lebar dalam satu sidang Jawatankuasa dan telah pun diluluskan dengan tiada pindaan. Maka, kaola sekarang ingin menyatakan hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk meneruskan rancangan-rancangan tersebut sebagaimana yang telah dirancangkan.

Dari itu kaola sukacita mencadangkan supaya Majlis ini menetapkan dan menurut majlis ini dengan ini membuat Ketetapan seperti yang dikehendaki oleh Bab 4(2) dari Akta Kumpulan Wang Kemajuan (Penggal 136) bahawa perbelanjaan sejumlah $600 juta untuk dibenarkan, diperuntukkan dan dipohonkan dari Kumpulan Wang Kemajuan untuk maksud-maksud tersebut di bawah ini dan disebutkan dalam Anggaran Kemajuan 2021/2022 dibentangkan sebagai Kertas No. 2 Tahun 2021.

Sekian. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II telah mencadangkan sebuah Ketetapan di bawah Bab 4(2) Dari Akta Kumpulan Wang Kemajuan (Penggal 136). Adakah salah seorang antara Ahli Yang Berhormat ingin untuk menyokong cadangan ini?

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri

بسم الله الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْم Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, kaola menyokong sepenuhnya cadangan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II. Sekian. Terima kasih. Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Ahli-Ahli Yang Berhormat. Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II telah mengemukakan sebuah Ketetapan di bawah Bab 4(2) dari Akta Kumpulan Wang Kemajuan (Penggal 136) Negara Brunei Darussalam dan cadangan ini telah pun mendapat sokongan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Sebagaimana yang dinyatakan tadi bahawa semua peruntukan Kumpulan Wang Kemajuan ini telah pun diluluskan dan kita jadikan Akta.

Oleh yang demikian perkara ini tidak lagi perlu untuk dibahaskan maka ada baiknya Ketetapan ini sekarang kita undi. Ahli-Ahli yang bersetuju bagi Ketetapan ini dibenarkan. Sila angkat tangan.

(Semua Ahli mengangkat tangan tanda bersetuju)

Terima kasih. اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ semua Ahli Yang Berhormat bersetuju, maka Ketetapan ini diluluskan. Ahli-Ahli Yang Berhormat atas kerjasama dan kewibawaan daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat semua Persidangan Majlis Mesyuarat Negara telah menyelesaikan dan meluluskan Ketetapan-Ketetapan di bawah Perkara VII.

Yang Dimuliakan Jurutulis

Perkara VIII - Ucapan-Ucapan Penangguhan ini akan disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Awang Haji Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, kita bersyukur ke hadrat اللهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana dengan izin-Nya jua kita telah dapat bersidang selama sebelas hari dalam Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2021. اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ kita telah dapat meluluskan beberapa akta penting khususnya Akta Perbekalan 2021/2022. Dengannya إِنْ شَاءَ اللهُ akan membolehkan kerajaan untuk melaksanakan inisiatif dan rancangan pembangunan negara yang dapat merangsangkan pertumbuhan ekonomi dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini sentiasa terjamin.

Sebelum kaola meneruskan ucapan ini, dalam kesempatan ini kaola dengan penuh hormat sukacita mengucapkan tahniah yang setinggi-tingginya kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kebijaksanaan dan kewibawaan Yang Berhormat Yang Di-Pertua dalam memimpin Permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara kita dengan sungguh lancar dan teratur lagi efisien sehingga dapat mencapai tujuannya iaitu pada meneliti dengan terperinci dan meluluskan Undang-Undang (2021) Perbekalan, 2021/2022.

Kaola ingin juga merakamkan penghargaan dan terima kasih atas segala pengamatan yang teliti, pandangan, nasihat dan pemikiran bernas yang menfokuskan kepada saranan-saranan, penambahbaikan mahupun pembaharuan yang telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara.

Kita sama-sama bersyukur ke hadrat اللَّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana walaupun dalam keadaan ekonomi dunia tidak menentu dan negara masih menanggung defisit, di samping berhadapan dengan impak pandemik COVID-19 sejak awal bulan Mac 2020, negara kita dengan izin الله dan dengan berkat kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam masih mampu mencatatkan kadar pertumbuhan yang menggalakkan di samping menikmati beberapa pembaharuan yang signifikan dari sudut infrastruktur demi memelihara ketenteraman dan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini.

Oleh itu, seperti yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II pada awal mesyuarat ini, fokus kewangan pada tahun ini ditumpukan kepada tiga perkara iaitu:

  1. Meningkatkan Produktiviti Negara.

  2. Penyediaan Kemudahan dan Infrastruktur Yang Mampan (Sustainable) dan Berdaya Tahan (Resilient) untuk Kesejahteraan Awam dan Perkembangan Ekonomi.

  3. Menjana Sumber Manusia Yang Kompeten dan Employable.

الحمد لله melalui 3 fokus utama ini, kita telah dapat membincangkan rancangan-rancangan kerajaan bagi tahun 2021/2022, mendengar cadangan dan pandangan terutama sekali dalam mempelbagaikan ekonomi negara termasuk usaha-usaha mengukuhkan kedayatahanan fiskal negara, meningkatkan kapasiti anak-anak tempatan dan memantapkan kesejahteraan dan keselamatan rakyat dan penduduk negara ini. Cadangan, saranan serta pandangan-pandangan yang diketengahkan di Dewan ini akan membantu pihak kerajaan dalam meneliti rancangan-rancangan yang sedang dan akan dilaksanakan. Kerajaan akan mengambil perhatian dan meneliti kesesuaiannya untuk dilaksanakan menurut keutamaan dan bagi penambahbaikan semata-mata bagi memangkin kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk negara ini menuju sasaran Wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Mengenai isu pengangguran, kita telah menyaksikan akan kejayaan usaha dan rancangan yang dilaksanakan oleh kementerian-kementerian dan agensi-agensi yang bertanggungjawab ke arah menyediakan peluang-peluang pekerjaan, meningkatkan marketability dan employability anak-anak tempatan dan dengannya menurunkan kadar pengangguran di negara ini. Begitu juga dengan perubahan minda yang ditunjukkan oleh para belia dan pencari kerja yang berasaskan maklumat JobCentre Brunei 65% atau sebanyak 4,304 jawatan kosong berjaya diisikan. Malah tidak dinafikan sebahagiannya termasuk para graduan meneroka bidang keusahawanan yang mencerminkan sikap inovatif dan kreatif mereka.

Kita juga telah mendengar inisiatif-inisiatif yang telah dibentangkan oleh kementerian-kementerian dalam mengembangmajukan sektor-sektor seperti pembinaan, pembangunan, pendidikan teknologi dan lain-lain khusus bagi membantu mengurangkan isu pengangguran di negara kita ini. Kaola percaya dengan adanya konsep Whole of Government dan Whole of Nation Approach kita akan sama-sama mencapai salah satu hasrat negara iaitu rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya sebelum tahun 2035.

Mengenai meningkatkan produktiviti negara bagi mempelbagaikan ekonomi pula ٱلْحَمْدُ لِلَّٰهِ kita berterima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat Yang Dilantik, kerana telah mengutarakan cadangan-cadangan bagi sama-sama membantu mengurangkan kebergantungan pada minyak dan gas dan seterusnya mengenai cara-cara kita mengawal defisit sama ada dengan meningkatkan hasil atau mengurangkan perbelanjaan.

Kita di Dewan ini telah mendengar usaha-usaha yang dibentangkan oleh kementerian-kementerian bagi sama-sama mempelbagaikan ekonomi dan mengukuhkan kedayatahanan sosioekonomi negara bahawa pihak kerajaan akan terus bekerjasama dengan pihak swasta termasuk Government Link Companies, perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam menyediakan kemudahan-kemudahan dan insentif serta memanfaatkan teknologi terkini agar produk-produk yang dihasilkan lebih kompetitif dan berupaya menembusi pasaran luar negara melalui eksport perdagangan.

Ini termasuk penyediaan Brunei Darussalam Economic Blueprint; Towards a Dynamic and Sustainable Economy, Digital Economy Masterplan, Sistem Kebajikan Nasional (SKN), Dasar Protokol Hijau dan Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam dan Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035. Usaha-usaha ini إِنْ شَاءَ الله bukan saja merangsang pertumbuhan ekonomi bahkan juga memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Pada era yang serba digital ini dunia sedang memasuki Fourth Industrial Revolution, kita telah juga mendengar usaha-usaha kementerian-kementerian yang berterusan bagi meningkatkan inisiatif ke arah digitalization sebagai persediaan landasan untuk memantapkan ekonomi digital negara. Antara lain Sistem Pengurusan Sumber Manusia Perkhidmatan Awam, Sistem Kebajian Nasional (SKN), Projek Immigration and National Registration System (INRS), Projek Labour Management Information Systems (LMIS), One Common Billing System (OCBS), Treasury Accounting Financial Information Systems (TAFIS 2.0) dan lain-lain. Dengan adanya sistem-sistem ini diharap ia akan dapat meningkatkan kualiti kerja dan menyediakan kemudahan yang mantap dan efektif kepada orang ramai.

Kaola juga percaya dengan adanya usaha berterusan ini, kerajaan akan dapat menarik lebih banyak pelabur asing untuk melabur ke negara ini. إِنْ شَاءَ الله kerajaan akan sentiasa berusaha untuk menyediakan ekosistem yang kondusif bagi menyediakan Negara Brunei Darussalam destinasi menarik bagi FDI. Dengan adanya kehadiran syarikat-syarikat ini ia akan dapat sedikit sebanyak membantu membangunkan negara dan meningkatkan kadar pekerjaan bagi anak-anak tempatan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Di Dewan ini juga Ahli-Ahli Yang Berhormat telah menyuarakan permasalahan yang dihadapi oleh orang ramai. Izinkan kaola merujuk mengenai isu pengambilan pembantu rumah. Kita mengambil perhatian bahawa sejak berlakunya COVID-19 di negara ini pada bulan Mac 2020, kerajaan sehingga hari ini hanya memberikan pertimbangan untuk mendatangkan pekerja-pekerja warga negara asing dalam bidang yang essential dan benar-benar diperlukan dari luar negeri sebagai langkah berwaspada dalam membendung penularan wabak ini.

Dengan keadaan ini dan menilai situasi COVID-19 di negara-negara jiran di rantau ini, kerajaan telah pun membenarkan pembantu rumah dan pemandu persendirian yang telah pun kembali bercuti ke negara asal mereka semasa COVID-19 dan terjejas untuk balik ke negara ini; bagi mereka ini dibenarkan balik berkhidmat ke negara ini dengan mematuhi peraturan-peraturan yang berjalan pada masa ini termasuk menjalani ujian swab dan pengasingan diri mandatori apabila tiba di negara ini.

إن شاء الله pihak kerajaan akan terus menilai keadaan ini dari semasa ke semasa bagi membantu meringankan masalah mendatangkan pekerja, pembantu rumah dan pemandu persendirian dari luar negeri.

Kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini juga sangat diambil berat bukan sahaja oleh pihak kerajaan malah pertubuhan bukan kerajaan, persatuan, persekutuan, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dan pihak swasta yang terus memberikan sumbangan dan perhatian dalam berbagai bentuk. Sehubungan itu, institusi mukim dan kampung, Program Satu Kampung Satu Keluarga hendaklah sama-sama memperkasa untuk membantu mereka yang memerlukan termasuk orang-orang tua yang tidak berkeluarga dan kanak-kanak yang ibu atau bapanya atau kedua-duanya dipenjarakan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Permasalahan mengenai anjing liar juga masih hangat dibahaskan, kaola ingin mengucapkan penghargaan yang setinggi-tingginya dan terima kasih kepada Sejahtera Community, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan kerana sama-sama dalam membantu menguruskan anjing-anjing liar. Kaola berharap agar kita masyarakat di negara ini akan dapat menghulurkan sokongan dan bantuan kepada Sejahtera Community dalam usaha berkebajikan ini.

Izinkan kaola juga menyentuh mengenai kebersihan. Sehingga hari ini, berbagai-bagai usaha telah dilaksanakan oleh agensi-agensi berkenaan bagi mengatasi isu dan masalah kebersihan. Walau bagaimanapun, kita masih belum berpuas hati dengan tahap kebersihan tersebut. Kita perlu meneliti sejauh mana keberkesanan kita menerusi badan-badan petugas dan dengan melalui Whole of Nations Approach berjaya mengatasi masalah-masalah bukan sahaja pembuangan sampah malah menjaga kebersihan secara keseluruhannya.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kita sama-sama maklum dan sedar bahawa pendekatan Whole of Nation Approach amat diperlukan bagi menangani isu-isu yang memerlukan koordinasi dan sokongan dari pelbagai pihak kerajaan dan bukan kerajaan seperti isu pengangguran, isu pekerja asing, menjana perekonomian dan seumpamanya. Untuk itu di Dewan yang mulia ini, kita mengharapkan pendekatan yang kita sering gunakan ini akan benar-benar dapat direalisasikan.

Rancangan-rancangan yang telah dikongsikan di Dewan yang mulia ini, menunjukkan bahawa kita mempunyai impian dan aspirasi untuk merealisasikan Brunei Maju dan Wawasan Brunei 2035. Marilah kita sama-sama melangkah ke hadapan dan menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara yang cemerlang lagi dihormati dengan ekonomi yang berkembang dan rakyat yang berkualiti dan bernilai tinggi. Dalam masa yang sama, kita juga perlu sentiasa bijak menangani sumber yang sedia ada di samping meraih peluang-peluang lain di hadapan kita baik dalam arena global, serantau mahupun dalam negeri.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ, sepertimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, antara lainnya mengenai muzakarah yang berterusan. Mengenai muzakarah berterusan ini kaola ingin mengucapkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada semua Ahli Yang Berhormat atas sokongan serta pendekatan yang berterusan yang diberikan khususnya bagi sama-sama memberikan buah fikiran dan sama-sama merangka dan melaksanakan program ataupun usaha yang akan, sedang dan telah dirancangkan oleh kementerian-kementerian demi pembangunan negara yang mantap. Kaola berharap, usaha ini diteruskan sama ada secara permuzakarahan atau lawatan dan seumpamanya.

Sebelum kaola mengakhiri Ucapan Penangguhan ini, kaola sukacita mengucapkan penghargaan yang setinggi-tingginya dan terima kasih kepada Yang Dimuliakan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Yang Mulia Timbalan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara dan seluruh kakitangan Jabatan Majlis Mesyuarat yang telah sama-sama menjayakan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini dengan lancar dan teratur.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, dengan bertawakal kepada الله سبحانه وتعالى maka kaola mengusulkan agar Persidangan Majlis Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2021 ini, ditangguhkan.

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri atas ucapan penangguhan yang dibuat yang telah mencadangkan bagi mesyuarat kita bagi kali ini ditangguhkan.

Sekarang saya mempersilakan pula Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama untuk memberikan ucapannya.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama

بسم الله الرحمن الرحيم Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekaliannya. Kaola mengucapkan terima kasih atas kesempatan keemasan ini dan kaola berusaha sedaya upaya supaya ucapan kaola tidak memakan masa yang panjang.

Pertama sekali kaola ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kelancaran majlis di bawah kepimpinan Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan juga kepada kedua-dua Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara yang membantu serta sekalian pegawai dan kakitangan sokongan di Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat ini.

Terima kasih kaola juga kepada rakan-rakan Ahli-Ahli Yang Berhormat terutama sekali yang terdiri daripada Ahli-Ahli Dilantik dari kalangan Orang-Orang Yang Bergelar, Ahli Yang Dilantik dari kalangan Orang Yang Telah Mencapai Kecemerlangan dan Ahli Yang Dilantik mewakili daerah-daerah. Sambil itu, kaola ingin menyampaikan permohonan maaf yang banyak kepada sekalian di sini, kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan rakan-rakan di sini dan sebelah sana.

Mohon maaf ini sangat penting kaola dahulukan Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kerana kitani pun mengetahui bahawa maaf hanya akan dapat kitani sampaikan ataupun pohonkan sesama kitani hamba الله ini semasa hayat, tidaklah diketahui sampai bila masa ada umur ini, bila tibanya ajal maut dan sebagainya.

Ini penting kaola dahulukan kerana kitani ketahui apabila datang ajal, tidak dapat mendahulukan atau mengakhirkannya firman الله:

فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Bermaksud: “Apabila sudah tiba ajal maut seseorang itu ia tidak dapat mengedepankannya, mengawalkannya ataupun menangguhkannya”.

Jadi, mudah-mudahan semasa umur kaola masih ada ini kaola akan mendapat kemaafan daripada Yang Berhormat sekalian yang ada di sini atas apa jua kesalahan-kesalahan kaola yang zahir, nyata zahirnya. Sama-sama kitani hindari daripada tingkah laku, perbuatan dan percakapan. Sementara yang biskita tidak ketahui, mungkin biskita ‘mengelimut’ saya dan sebagainya, begitulah juga saya, maka saya dengan ikhlas memohon sama-sama kitani saling bermaafan.

Balik semula kepada kedudukan kitani dalam Majlis ini Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola selalu berfikir di luar daripada kotak pemikiran di mana kaola berada. Kitani melihat kedudukan kitani di sini lain daripada kedudukan di dewan-dewan parlimen atau di mana-mana dewan di luar negeri.

Kitani duduk sebelah menyebelah, kiri dan kanan Yang Berhormat Yang Di-Pertua, menghadap Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan di atas Yang Berhormat Yang Di-Pertua itu ada تَبَارَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلْمُلْكُ dan lambang majlis ini: “Adil Laila Bahagia”.

Kitani tidak bertentangan, berseberangan dalam erti kata, bertentang-tentangan tetapi kitani duduk dalam erti kata, seiring, sebahu sejalan, sebahu dan dengan itu maknanya kitani memikul beban yang sama, demi apa yang tertulis “تَبَارَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلْمُلْكُ” dan juga dengan hajat untuk mencapai falsafah atau moto besar dari majlis ini yang menjadi dasar pemerintahan kitani iaitu: “Adil, Laila, Bahagia”.

Jadi sejauh itu, tentulah kita dapat berkhidmat. Kita dalam penggal ini, ataupun sebelumnya, kita melaksanakan khidmat kitani sebagai Ahli-Ahli Yang Berhormat sama ada Ahli Rasmi Kerana Jawatan atau Ahli Yang Dilantik mengikut kategorinya. Jadi, sejauh mana khidmat kitani itu dapat dinilai memenuhi hajat dan sebagainya, kitani berusaha sedaya upaya.

Bagaimanapun nilai terakhir yang dapat kitani yakini dari keterangan yang diperolehi الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى juga mengingatkan: "Bahawa seseorang itu tidak dibebankan melainkan atas asas keupayaannya":

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ

Jadi, seseorang itu ayat yang biasa dibaca, malah menjadi zikir. الله tidak membebankan seseorang itu dengan tanggungjawab melainkan apa berdasarkan kemampuannya. Atas dasar itu dia mendapat pahala kebaikan dan atas dasar itu juga dia akan mendapat balasannya kalau perbuatannya buruk.

Dalam pada itu, hamba الله yang sedemikian itu ditentukan oleh الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى seperti kita inilah yang ditakdirkan, meminta berdoa dan mendoakan: رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ

Jadi kitani berdoalah semoga الله tidak akan mendatangkan apa-apa siksaan ke atas yang tidak dapat melakukannya atau lupa melakukannya dan jangan sekali-kali kita dibebankan oleh bebanan-bebanan orang-orang yang terdahulu daripada kita. Jadi atas dasar itulah kitani bersyukur telah berada di Dewan ini dan telah dapat menjalankan tugas khidmat kitani sedaya upaya yang mungkin.

Kemudian sejauh mana khidmat kitani itu dinilai, kaola sukacita menarik perhatian Dewan kepada titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddien Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berangkat merasmikan Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas ini yang antaranya baginda ada menyebutkan yang baginda memerhatikan Ahli-Ahli Yang Berhormat terutama sekali Ahli-Ahli Berhormat Yang Dilantik yang mengadakan muzakarah dengan kementerian-kementerian.

Tentulah perhatian baginda ini untuk menilai sejauh mana khidmat kita ini sekalian. Bagi kita yang datang bermuzakarah dengan kami dan kami yang menyambut bagi kita untuk sama-sama muzakarah. Jadi sejauh mana kita melaksanakannya dengan sempurnanya adalah dalam perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Sultan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Jadi mungkin kita ini merasakan ada yang tidak cukup, seolah-olah misalnya setahun sekali itu tidak memadai dan rakan-rakan mengatakan ertinya Ahli-Ahli Yang Berhormat boleh datang berhubung atau berbincang ataupun menyampaikan apa jua perkara-perkara yang perlu disampaikan kepada kerajaan.

Kaola sukacita Yang Berhormat Yang Di-Pertua dapat 'menggulungkan' sedikit fikiran supaya muzakarah sedemikian itu lebih diaktifkan, tidak hanya setahun sekali. Caranya apa, caranya ialah misalnya Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat ini mengadakan atau mengaturkan perjumpaan-perjumpaan yang ditentukan jadualnya dalam setahun itu.

Perjumpaan-perjumpaan itu bolehlah dibahagikan mengikut kategori isu yang berbangkit ataupun kategori perkhidmatan kerajaan misalnya kategori keselamatan, kategori sosial, kategori agama yang termasuk dalam sosial, pendidikan sosial dan kebajikan dan sebagainya termasuk perkhidmatan-perkhidmatan yang dihajatkan oleh orang ramai dan sebagainya.

Ini boleh diselaraskan lagi dengan mekanisme yang ada di Jabatan Perdana Menteri iaitu Jabatan Penerangan. Kaola teringat masa kita ini Yang Berhormat Pengerusi, barangkali Yang Berhormat Pengerusi menjadi ketua kaola pada masa itu Pejabat Setiausaha Kerajaan, bila mengaturkan semacam satu dialog atau muzakarah kita ini namakan antara interest group dalam kalangan orang ramai dengan kerajaan.

Jabatan Penerangan dengan pimpinan Pejabat Setiausaha Kerajaan pada masa itu sebelum menjelang merdeka, diberikan task atau taqlid untuk berhadapan dengan orang ramai menerangkan dasar-dasar kerajaan dan cuba menyelesaikan mencari huraian-huraian bagi menyelesaikan isu-isu yang berbangkit, bukan sahaja isu sosial, tetapi juga isu keselamatan dan politik.

Keupayaan Jabatan Penerangan bukanlah pada pengarahnya sahaja, pengarahnya mampu, pegawai-pegawainya tetapi ialah dengan mengaturkan dengan rata; kalau isunya isu tanah maka interest group yang berkenaan itu diaturkan oleh Jabatan Penerangan ke Jabatan Tanah.

Begitu juga dengan isu pendidikan, pelajaran, isu agama dibawa ke sana.

Jadi isu itu dikenal pasti oleh Jabatan Penerangan dan kerana itu boleh dikenal pasti oleh jabatan Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Dengan itu, menentukan interest group yang ada dalam kalangan ahli-ahli, dapat berjumpa, fokus kepada masalah-masalah yang dihadapi.

Kaola merasakan Yang Berhormat Yang Di-Pertua sendiri barangkali pada masa itu dapat merasakan bahawa kejayaan kerajaan berhadapan dengan orang ramai mengatasi beberapa ekspektasi dan sebagainya, mana yang berat, mana yang ringan adalah hasil daripada kesepaduan dalam kalangan kerajaan pada masa itu di bawah Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajaan.

Jadi hal sedemikian, kaola rasa dapat memenuhi hajat kitani, taqlid kitani melaksanakan tanggungjawab kitani sebagai Ahli Yang Berhormat. Setelah kitani melakukan sedemikian itu ada ikhtiar-ikhtiar namanya dan pada masa itulah akan benarlah apa yang dikatakan oleh اللّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى bahawa kitani tidak akan dibebankan melainkan keupayaan kitani. Kalau kitani membiarkan beban datang, tetapi kitani tidak berusaha dengan sebaik-baiknya maka kitanilah tergolong dalam وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ itu orang-orang akan menerima balasan buruknya atas perbuatan buruknya, ertinya tidak ada ikhtiar dan sebagainya.

Apa yang kaola ingin sampaikan sementara umur masih ada ini Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan kaola sekali lagi memohon maaf di samping memohon ucapan terima kasih yang penting bagi kaola ialah kitani mesti menyedari Dewan ini sangat bermakna kepada negara.

Kembali semula kepada penubuhannya 17 tahun yang lalu, penubuhan semula sebenarnya di bawah Perlembagaan 1959 yang disusun semula pada tahun 2004 di bawah peruntukan perlembagaan itulah wujud semula dan kewujudannya itu dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sangat terang dan jelas sebagai satu forum atau wadah bagi perbincangan kerana kitani orang Brunei mengikut titah itu mempunyai cara-cara untuk bermesyuarat, berunding, menyampaikan apa-apa jua perkara mengikut cara kitani.

Kitani cubalah menghidupkan semangat yang terkandung dalam, kalau dapat kaola menyebutkan Yang Berhormat Yang Di-Pertua barangkali tidak payah kitani huraikan, kitani ini mampu membaca dan memahami isinya, walau kitani akan berkhidmat kepada Negara Brunei Darussalam ini, kitani memahami apa sebenarnya Negara Brunei Darussalam, ini pemerintahan, berajanya itu di mana asasnya yang menjadikan kitani kuat berpegang kepada pemerintahan kitani dan kaola rasa masing-masing memang terdapat iaitu dokumen-dokumen perlembagaan dan Constitutional Document 2004 boleh didapati kaola promote penjualannya bagi Pejabat Peguam Negara.

Jadi, itulah Yang Berhormat Pengerusi, kaola sekali lagi mengucapkan terima kasih dan memohon maaf, mudah-mudahan umur panjang sempat Yang Berhormat Yang Di-Pertua memaafkan dan daripada kaola kalau takdirnya ada rasa-rasanya biskita jangantah biskita datang memohon maaf dengan ini saya mengatakan saya memaafkan. Sama-samalah kitani saling memaafkan.

وبالله التوفيق والهداية. و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Menteri Pertahanan II.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan II

بسم الله الرحمن الرحيم ألحمدُ للهِ ربِّ العالمين والصلاةُ والسلامُ على أشرفِ الأنبياءِ والمرسلين وعلى آلهِ وصحبِهِ أجمعين.

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita bersyukur ke hadrat الله سبحانه وتعالى kerana kurnia izin taufik dan hidayah-Nya jua kita telah bersama-sama bermesyuarat pada Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2021 selama 11 hari dalam suasana muhibah dan bersilaturrahim bagi percambahan pemikiran, perbahasan dan perbincangan isu-isu pentadbiran dan dasar kerajaan serta kemajuan dan hala tuju pembangunan negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, lebih dahulu kaola dengan penuh hormat dan setulus ikhlas sukacita merakamkan ucapan tahniah yang setinggi-tingginya kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana telah dapat memimpin dan memandu persidangan Majlis Mesyuarat Negara di Dewan yang mulia ini dengan penuh kebijaksanaan, ketabahan, adil dan saksama.

Begitu juga ucapan penghargaan dan terima kasih ditujukan kepada Yang Dimuliakan Jurutulis dan Yang Mulia Timbalan Jurutulis serta pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat atas kerjasama, sokongan dan panduan yang diberikan sepanjang permesyuaratan ini.

Penglibatan dan kerjasama Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam sama-sama menjayakan permesyuaratan ini juga menggambarkan tahap perhatian, ketelusan dan komitmen yang tinggi ke arah menjunjung setinggi-tingginya dan menzahirkan hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Dewan ini sebagai wadah untuk bertukar-tukar fikiran, mengongsikan pandangan yang membina, menerima cadangan dan juga mendengar isu-isu semasa ke arah meningkatkan perkhidmatan dalam menjamin keamanan dan kedaulatan negara di samping memfokuskan usaha berganding bahu dan bersepadu merealisasikan matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035.

Kepentingan dan manfaat platform permesyuaratan ini tidak lagi dapat disangkalkan terutamanya dalam konteks usaha kita untuk memperkasakan Whole of Government dan Whole of Nation Approach. kita sememangnya tidak lagi mempunyai pilihan untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab kita mengikut budaya kerja silo yang isu-isu kita hadapi ini semakin hari semakin bersangkut paut mengikut arus iklim semasa.

الحمد لله, kejayaan negara mengawal jangkitan wabak COVID-19 jelas memancarkan hasil atau pulangan besar dari pelaburan kita dalam menanai kaedah ini dan juga seterusnya menyerlahkan semangat kecekalan atau ketahanan kita dalam menghadapi situasi-situasi yang mencabar.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, seperti yang digariskan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Tahun Kewangan yang lalu (2020/2021) merupakan tahun yang mencabar terhadap kedudukan fiskal negara kerana ketidaktentuan harga minyak dunia, di samping cabaran pandemik COVID-19.

Selaras dengan misinya Kementerian Pertahanan berperanan untuk mengekalkan persekitaran yang selamat dan stabil iaitu kriteria asas dan utama bagi pembangunan ekonomi negara. Walaupun pertahanan pada umumnya tidak berperanan sebagai sebuah institusi yang menjanakan hasil secara langsung untuk negara namun Kementerian Pertahanan terus menyahut seruan kerajaan bagi mempraktikkan penjimatan dan mengurangkan pembaziran serta menitikberatkan value for money dan efisiensi termasuk projek-projek di bawah Fiscal Consolidation Programme seperti Projek Facilities Management dan ScanEat.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, الحَمْدُ للهِ di bawah tampuk kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam إِنْ شَاءَ الله Kementerian Pertahanan akan terus berkembang maju dan komited dengan peranannya berdasarkan Tiga Tonggak Utama Kementerian Pertahanan yang kaola huraikan secara mendalam dalam mukadimah kaola sebelum ini iaitu:

  1. Keupayaan Cegah Rintang dan Respons.
  2. Diplomasi Pertahanan.
  3. Pertahanan Holistik.

Ketiga-tiga tonggak ini membawa kepada keyakinan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk untuk hidup dengan aman damai dan harmoni memupuk kefahaman dan ketelusan antara negara-negara sahabat dan menggerakkan Kementerian Pertahanan untuk berdampingan dan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain, agensi-agensi bukan kerajaan sektor swasta dan juga orang ramai.

Justeru itu, Kementerian Pertahanan akan terus mempertingkatkan semangat jitu keperwiraan sejati dalam mewujudkan serta membina kapasiti operasi yang efektif untuk membangunkan sebuah angkatan bersenjata walaupun dalam bilangan yang kecil pada kelihatannya tapi ia bersepadu dan unggul dalam pertahanan.

Atas berkat daulat dan kepimpinan bijaksana dan berpandangan jauh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang tidak lama lagi akan mencapai usia 60 tahunnya, pelbagai detik penting perkembangan telah direalisasikan yang merangkumi pembangunan sumber tenaga manusia, keupayaan, kerjasama diplomasi pertahanan, penglibatan dalam operasi serantau dan antarabangsa serta penubuhan beberapa enablers pada dukungan operasi.

Dengan itu, trajektori Kementerian Pertahanan ke arah era transformatif diharapkan akan melalui satu detik yang signifikan dengan pelancaran Kertas Putih Pertahanan baharu yang akan menggariskan prinsip dan strategi pertahanan serta pelan pembangunan, keupayaan terkini Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang akan terus menjadi panduan utama Kementerian Pertahanan dalam membuat perancangan serta pelaksanaan jangka pendek, sederhana dan panjang.

Seperti yang kaola kongsikan, semasa ucapan mukadimah minggu yang lalu Kertas Putih Pertahanan ini إن شاء الله akan direalisasikan menjelang satu siri mercu tanda signifikan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang akan menyambut Jubli Intan penubuhannya pada hujung bulan Mei tahun ini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua sebagaimana juga Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ke-58, baginda antara lain bertitah:

”Kita amat beruntung dikurniakan keamanan, tanpa keamanan semua usaha pembangunan sukar untuk dilaksanakan dan dengan adanya pembangunan pula, kenikmatan hidup pun dapat dirasai”.

Baginda juga menyeru supaya kita semua sedar, untuk jangan lalai dengan kenikmatan itu dan untuk ingat bahawa ancaman-ancaman serantau dan global adalah dinamik, cepat dan merentas sempadan.

Dalam kesempatan ini, kaola sukacita ingin menekankan sekali lagi kepentingan pertahanan holistik untuk negara dan rakyat, yang mempunyai kebaikan yang tidak terbilang dan tiada ukuran dengan ini setentunya diberikan keutamaan dan sekali-kali tidak boleh dikompromi. Ternyata dengan usaha gigih Ahli-Ahli Yang Berhormat, lebih-lebih lagi Ahli-Ahli Yang Berhormat yang berperanan di peringkat akar umbi dan hadirin sekalian yang berada di dalam Dewan yang mulia ini, kita dapat melaksanakan kemajuan negara secara teratur dan berkesan, rakyat dapat memilih cara hidup melalui prinsip budaya dan aspirasi masyarakat di negara ini dan إن شاء الله Negara Brunei Darussalam bumi bertuah akan kekal menjadi sebuah negara Melayu Islam Beraja yang merdeka dan berdaulat bersendikan ajaran-ajaran Islam menurut Ahli Sunnah Waljamaah.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dihormati sekalian, bagi mengakhir ucapan ini peramba, kaola, saya bersama warga besar Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei menjunjung dan menjemput Ahli-Ahli Yang Berhormat dan juga hadirin dan hadirat di Dewan yang mulia untuk sama-sama memanjatkan doa agar Negara Brunei Darussalam yang kita cintai akan kekal aman makmur dan berdaulat, semua perancangan kemajuan dan Wawasan Brunei 2035 akan tercapai dan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Saadul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, raja adil yang berdaulat yang dikasihi dilanjutkan usia dan sentiasa sihat walafiat kekal karar memerintah negara di atas singgahsana.

Dengan berbekalkan niat yang suci dan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan baginda, kita juga sama-sama berdoa agar barisan benteng pertahanan dan institusi keselamatan negara dengan penuh tawakal akan melangkah berkeyakinan ke hadapan berserta usaha yang tidak pernah kenal lelah dan pantang menyerah kalah dalam memikul amanah besar ini, berpegang pada ikrar: “Biar jasad berkecai, tidak seinci bumi Brunei akan tergadai”.

Dengan izin اللّٰهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى tanah tumpah yang kita pertahankan Negara Brunei Darussalam selaku sebuah Negara Zikir akan terus dilimpahkan rahmat dan keberkatan serta kekal dilindungi daripada sebarang musibah dan malapetaka. إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ Kaola juga menyokong bagi persidangan ini ditangguhkan dan mengakhiri dengan ucapan:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
وَبِاللَّهِ التَّوْفِيقُ وَالْهِدَايَةُ. وَالسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

وَالسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ. Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.

Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera. Kaola lebih dahulu mengucapkan tahniah setinggi-tingginya dan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang telah memimpin dan mempengerusikan Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuarat Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini dari awal hingga akhir dengan penuh sabar adil dan penuh kewibawaan.

Kaola juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Ahli Rasmi Kerana Jawatan yang mendengar, menerima cadangan dan seterusnya memberi penerangan dan apa yang kaola hargai ramai yang turut memberi nasihat atas usul-usul dan kenyataan dan pertanyaan yang dibawa.

Kaola tidak lupa mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Yang Dimuliakan Jurutulis, Yang Mulia Timbalan Jurutulis, semua pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat atas bantuan dan sokongan yang telah diberikan. Tidak lupa juga sokongan daripada agensi yang hadir di dalam Dewan ini mahupun orang ramai yang mengikuti di luar sana.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Jika kita ingati pada tahun 2017, di Dewan Majlis ini bergema suara belia menyuarakan pendapat, berbincang dan bersama-sama terlibat dalam Musim Permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara. Tahniah diucapkan kepada kitani semua kerana mengupayakan belia untuk sama-sama terlibat dalam pembangunan negara secara aktif.

Jika kaola bandingkan dengan 10 ke 15 tahun dahulu, bila kaola mula terlibat dalam kerja belia, yang pada masa itu cuma penglibatan belia secara tokenastic, tetapi sekarang kitani sudah ada pengerusi-pengerusi NGO, ketua-ketua kampung malah CEO dah Ahli Majlis Mesyuarat Negara sendiri dari kalangan belia.

Kaola menyarankan untuk kitani pastikan ada perwakilan belia di dalam Dewan Majlis ini kerana kitani membincangkan masa depan negara dan nasib anak bangsa dan belia inilah nanti yang akan menghadapinya dan memimpin kitani pada masa hadapan.

Seperkara lagi, dunia semakin berubah dan kerjaya yang bertahan dalam satu tempat bekerja sampai bersara, dulunya adalah norma biasa tapi sekarang trend kerjaya adalah untuk mencari peluang serta peningkatan yang lebih baik. Non-traditional sector yang belum ada dahulu sekarang makin banyak peluang kerjaya seperti pemandu-pemandu e-Hailing Dart contohnya, photographer dan videographer malah disebut juga e-Atlet dalam e-Sport industry creatif dan lain-lain.

Sama-sama kitani naikkan taraf mereka ini dengan record nation (pengenalan) yang sama diberikan kepada penjawat awam dan pekerja swasta dengan dasar-dasar yang menyokong. Contohnya, jika mereka memohon pinjaman bank untuk meneruskan perusahaannya untuk dikenali, undang-undang dan peraturan diselaraskan dengan keperluan mereka malah sokongan diberikan untuk menerima anugerah-anugerah dan juga pingat-pingat kehormatan negara.

Yang Berhormat Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, terakhir sekali di dalam Dewan Majlis ini, dalam pengamatan kaola, perbincangan kitani setentunya untuk masa depan negara, isu-isu yang dibangkitkan adalah suara orang ramai serta juga dapatan-dapatan profesional.

Apa juga tindakan mengenainya jika barang itu baik, selesaikanlah dengan segera, janganlah dilambat-lambatkan. Kita tidak mahu mendengar orang ramai mengeluh kerana permohonan atau permasalahan orang kitani belum ada jawapan kerana tiada peruntukan, tiada pegawai atau kakitangan yang menguruskan atau tiada peraturan mengenainya.

Jika tiada peruntukan, rancang dan pohonkan dengan sebaiknya atau bekerjasama dengan sumber kewangan yang bersesuaian. Jika tiada pegawai atau kakitangan betulkan urus tadbir kitani dengan sumber tenaga manusia dijalankan dengan baik dan jika tiada peraturan gubal dan usahakan dasar-dasar tersebut sebaik-baiknya.

Itu sahaja Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية . والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya persilakan Ucapan Penangguhan daripada Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon.

Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon

بسم الله الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat dan salam sejahtera.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ, Kaola bersyukur ke hadrat اللَّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana dengan izin-Nya juga Persidangan Majlis Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara telah pun bersidang dengan jayanya.

Kaola turut bersyukur ke hadrat اللَّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana dengan rahmat-Nya juga persepakatan telah pun dapat dicapai dalam semua perkara, khususnya dalam membincangkan dan meluluskan Rang Undang-Undang (2021) Pebekalan, 2021/2022 bagi semua kementerian. Semoga dengan berkat serta rahmat اللَّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى juga akan dapat membolehkan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melaksanakan rancangan pembangunan negara dengan teratur dan berjaya demi meningkatkan tahap kemajuan ekonomi dan sosial serta menjamin kesejahteraan rakyat Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, dengan penuh hormatnya Kaola sukacita ingin menyampaikan ucapan tahniah yang setinggi-tingginya dan penghargaan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana kebijaksanaan dan kepimpinan yang setinggi-tingginya Yang Berhormat Yang Di-Pertua dibantu oleh Yang Dimuliakan Jurutulis, Timbalan Jurutulis serta kakitangan, serta dengan kepatuhan dan kesediaan semua Ahli Yang Berhormat menerima apa jua teguran dan arahan maka Persidangan Majlis Mesyuarat Negara dapat dipimpin dengan baik, lancar, penuh dengan suasana yang harmoni.

الْحَمْدُ لِلّٰهِ, sepanjang sesi perbahasan dan perbincangan kita di Dewan ini, abiskaola dapat menyampaikan apa juga isu persoalan, cadangan dan ia dapat diterjemahkan dalam jawapan balas daripada Yang Berhormat Menteri-Menteri, terima kasih.

Namun, selaku Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara mewakili Zon adalah terhad untuk menyampaikan apa juga hasrat, pandangan, cadangan dan keluhan penduduk dalam majlis permesyuaratan ini, maka abiskaola dengan berbesar hati dan sukacita mengambil baik akan saranan Yang Berhormat Menteri-Menteri yang telah memberi ruang dan keizinan untuk abiskaola berhubung terus ke kementerian-kementerian berkenaan untuk merungkai apa juga permasalahan dan isu yang dihadapi di samping memberi pandangan dan cadangan yang boleh difikirkan diteliti bersama.

Majlis Muzakarah Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara bersama kementerian-kementerian adalah satu platform dan satu inisiatif yang terbaik yang telah dilaksanakan sejak tahun kebelakangan ini untuk duduk berbincang dari perkara sekecil-kecilnya sehinggalah melibatkan perkara dasar dalam kementerian. Itulah kekuatan muzakarah ataupun musyawarah yang boleh menghasilkan kesepakatan dan kesatuan dalam satu organisasi.

Kita junjung perintah الله سبحانه وتعالى dalam surah As-Syura Ayat 38 yang tafsirnya: “Dan urusan mereka diputuskan dengan mesyuarat sesama mereka” dan hadis سيدنا محمد صلى الله عليه وسلم yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik رضي الله عنه itulah “Tiadalah menyesal sesiapa yang beristikharah dan tiadalah kecewa sesiapa yang berunding dan bermesyuarah”.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, kaola sukacita ingin merujuk semula akan kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2021 yang baginda bertitah akan isu Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP).

Boleh sahaja dibincangkan bagi merungkai persoalan-persoalan umum mengenainya, justeru seperti yang kaola sampaikan dalam ucapan kaola pada membahas Usul yang dikemukan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang lalu iaitu berkenaan dengan cadangan-cadangan agar caruman TAP dan SCP dari pihak kerajaan dapat dinaikkan atau ditambah dengan metodologi yang tepat dan tidak membebankan pihak kerajaan.

Kita sedia maklum bila pegawai kerajaan berpencen tidak lama lagi akan ke penghujungnya kecuali jawatan-jawatan tertentu dalam perkhidmatan awam dan akan menyambut ialah pegawai-pegawai kerajaan yang menerima Skim Simpanan Caruman Pekerja (SCP).

Ada sedikit kebimbangan yang sering dipersoalkan dan diutarakan oleh orang ramai khususnya pegawai-pegawai awam TAP dan SCP, bila mana sudah tiba masa menerima pada hari persaraan 60 tahun nanti, di samping kurnia pencen tua apakah ia mencukupi dan mampu menjamin kehidupan seharian mereka, ditambah lagi isu pengangguran dalam kalangan belia atas kesulitan mencari pekerjaan tetap dan terjamin sehinggakan pada umur belia pun masih sahaja ditanggung oleh ibu bapa yang hanya berharap daripada hasil simpanan TAP dan SCP setiap bulan.

Perbezaan jumlah yang ketara daripada penerima baksis dan pencen bulanan dengan TAP dan SCP ini mendesak kita untuk kita berfikir semula, jika ada kaedah atau nisbah yang terbaik merapatkan jurang antara kedua-duanya, akhirnya kehidupan rakyat dan penduduk akan terjamin dan selesa dari persaraan. Maka dalam persidangan yang mulia ini kaola menyeru agar ia dapat dibincangkan semula sehingga ke peringkat pemegang dasar demi untuk menangkis kekhuatiran ini.

Semoga ia dapat melahirkan kehidupan rakyat yang sejahtera sesuai dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk melahirkan rakyat yang mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi.

Sekian sahaja dahulu daripada kaola dalam Ucapan Penangguhan ini. Kaola ingin memohon maaf atas segala kesilapan dan kekurangan sepanjang mengikuti Persidangan Majlis Mesyuarat ini.

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية. والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya persilakan Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii.

Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii

بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته dan salam sejahtera. Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola bersyukur kerana diberi peluang bagi menyampaikan Ucapan Penangguhan. Lebih dahulu kaola mengucapkan terima kasih dan tahniah penghargaan atas kesabaran Yang Berhormat Yang Di-Pertua dibantu juga dengan dedikasi Yang Dimuliakan Jurutulis dan Yang Mulia Timbalan Jurutulis dan kerja keras semua pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Tahun 2020 menjadi satu tahun dalam sejarah dunia dan Negara Brunei Darussalam juga menghadapinya dengan perubahan yang berbeza. Beberapa tahun lepas kita ini membincang mengenai persediaan ke arah Industri Revolusi Ke-4 tetapi kita sekarang menjalani kenyataannya, الْحَمْدُ للهِ untuk menjadi Smart Nation.

Masyarakat telah bergabung senegara, bersatu untuk menyokong kerajaan mengawal pandemik COVID-19 dengan simbol fizikal dalam pembinaan Pusat Pengasingan National Extension atau NICe dan ini mencerminkan makna sebenarnya semangat penduduknya.

Peningkatan aktiviti perindustrian melalui FDI, pengeluaran PKMS di negara menyokong perjalanan Brunei Economic Blueprint dan juga perkembangan perindustrian yang diajukan keempat-empat daerah dan memberi lebih banyak peluang kepada rakyat.

Kaola ingin memberi beberapa cadangan:

  1. Di bawah Digital Economy Masterplan. Lebih banyak yang dapat dilakukan untuk mengaktifkan rangkaian perniagaan antarabangsa dan hubungan 'G' to 'G' dalam memvitalisasi ekosistem digital siap yang dapat ditawarkan kepada syarikat antarabangsa untuk menginkubasi dan menginovasi projek perintis yang dapat ditingkatkan di rantau antarabangsa sebagai Living Laboratory. Perjuangan untuk meningkatkan STEM dan perkhidmatan sokongan serta keupayaan penyelidikan dalam bidang ini mesti dipertingkatkan.

  2. Untuk Negara Brunei Darussalam meningkatkan kedudukannya sebagai *Gateway to Borneo, mendorong infrastruktur operasi semasa menjadi sistem yang lebih lancar antara darat, laut dan udara. Gunakan saat ini untuk mengintegrasikan sepenuhnya dan menetapkan standard kecekapan dan kebolehpercayaan ketika unified semua mode pengangkutan yang dapat dikhaskan untuk sektor logistik yang memberi perkhidmatan yang efektif dan efisien, terutamanya di Pulau Borneo dan BIMP-EAGA untuk dijadikan *International Transport. BN.*

Negara ini ada kemampuan komitmen untuk melaksanakan peningkatan dalam strategi dan rangka tindakan. kaola mengucapkan tahniah ke atas dedikasi Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet dan cara telus menyampaikan maklumat mengenai peranan kementerian masing-masing dalam menuju ke hadapan dan perkongsian cabaran yang masih dihadapi.

Perubahan sahaja tidak selalu datang dengan rela tetapi kemungkinan perubahan sangat penting bagi sesebuah negara untuk maju dalam wawasannya sendiri.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua kaola ingin menutup dengan pantun yang ringkas:

Negara Beraja kami mendaulatkan,
Keadilan memerintah di dalam tangan,
Penduduk senegara menyumbang
ke atas perancangan,
Pencapaian wawasan memang dalam
pelaksanaan.

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya persilakan seterusnya Yang Berhormat Fdr. Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman.

Yang Berhormat Fdr. Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, dengan hati yang tulus ikhlas, kaola ingin merakamkan tahniah yang setinggi-tingginya dan penghargaan ke atas kebijaksanaan dan kesempurnaan kepimpinan Yang Berhormat Yang Di-Pertua sepanjang permesyuaratan di Dewan yang mulia ini.

Terima kasih juga kepada Yang Dimuliakan Jurutulis dan Yang Mulia Timbalan Jurutulis serta pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat atas kecekapan dan kerjasama kepada abdi kaola sepanjang permesyuaratan ini.

Dalam Ucapan Penangguhan Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara, kaola ingin menekankan lagi supaya apa saja yang telah dibincangkan dan dipersetujui akan dilaksanakan dengan segera oleh pihak-pihak yang berwajib untuk mengelak perkara-perkara tersebut dipersoalkan lagi. Ini juga akan lebih memberikan keyakinan kepada masyarakat terhadap pengurusan pihak kerajaan yang serba mencabar ini.

Walaupun kita sedikit terpukul dengan pandemik COVID-19 tahun lepas, أَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, kita kekal tegar dalam menghadapi pelbagai cabaran yang melanda negara. Sifat keprihatinan dan semangat yang ditunjukkan pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan rakyat jelata jelas terpancar melalui inisiatif-inisiatif yang dilakukan sehingga kini.

Kita mempunyai semangat juang yang tinggi untuk mengubah kehidupan kita ke arah yang lebih baik, mampan dan sihat. Kita menyedari betapa pentingnya perpaduan dan kepercayaan yang kukuh antara pihak kerajaan dan masyarakat sepanjang menghadapi cabaran pada saat-saat genting ini dan ini menunjukkan bahawa kita mampu menghadapi apa jua rintangan yang melanda negara kita.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, setiap tahun kaola tidak akan ketinggalan menyampaikan ucapan ‘Hari Wanita’ dan kaola rasa belum terlambat untuk kaola mengucapkan “Selamat Hari Wanita Antarabangsa” kepada para wanita yang hadir di dalam Dewan ini dan seluruh Negara Brunei Darussalam.

Dalam kesempatan ini kaola ingin menyokong kenyataan Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari untuk memberikan peluang kepada wanita-wanita negara kita yang berkelayakan dan berkemampuan untuk menggalas jawatan-jawatan yang lebih tinggi. Jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negara adalah salah satu jawatan yang kaola rasa boleh diberi diberikan peluang kepada lebih ramai wanita dan tidak mustahil nanti kita juga boleh mempunyai seorang menteri wanita yang pertama di Negara Brunei Darussalam. Kaola percaya ramai wanita kita yang berpotensi dan berkemampuan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan jika mereka diberikan ruang dan perkembangan diri dan peluang yang saksama.

Sepanjang beberapa tahun kebelakangan, negara telah meraih banyak perubahan dan perkembangan yang sangat positif termasuk peningkatan ketara dan ketelusan pihak kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan dalam pelbagai perkara terutama sekali perkara-perkara yang telah diberigakan dan ‘diungkayahkan’ bersama orang ramai, kerjasama padu bersama pelbagai pihak industri juga telah banyak dilihat terutama sekali dalam meningkatkan pemerkasaan anak-anak tempatan dan belia negara melalui pemberigaan mengenai tanggungjawab mereka sebagai aset penting negara.

Kaola juga berharap bahawa semua perancangan penting yang telah dilaksanakan oleh pihak yang tertentu akan selalu dipantau dengan lebih dekat termasuklah dengan menguatkuasakan pelaksanaan akta-akta yang sedia ada. Dalam masa yang sama, deliverables bagi projek-projek yang ‘diungkayahkan’ oleh pihak yang tertentu hendaklah lebih cepat kerana kita tidak mempunyai banyak masa lagi untuk mencapai Wawasan Brunei 2035.

Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara telah pun sampai ke penghujung. Syukur atas limpah rahmat-Nya, rakyat dan negara dengan berkat kepimpinan berwibawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga telah berusaha sebaik mungkin dalam memastikan perkembangan negara dan kesenangan rakyat dijaga dan masih mampu meluluskan sejumlah besar peruntukan perbelanjaan Tahun Kewangan 2021/2022. Ini jelas menunjukkan komitmen pihak kerajaan dalam memeduli hal-ehwal dan keperluan masyarakat. Kaola ingin memetik mutiara kata daripada George Pataki iaitu seorang Attorney, Politician dari United States of America:

"This budget reflects a choice, but the right choice. And when you think about it, the only choice. The choice to take the responsible, prudent path to fiscal stability, economic growth and opportunity."

Dengan memantapkan segala usaha dan inisiatif yang telah dilaksanakan sebelum ini kita akan dapat lagi membangunkan dan memajukan segala apa yang dirancangkan pada masa hadapan dengan melihat keberadaan kita bagi menuju ke arah menjayakan Wawasan Brunei 2035. Kaola juga ingin menyampaikan pantun:

Kita bersidang sebelas hari, mencari penyelesaian masalah negeri, hasil terbaik itu yang dicari, bagi membentuk rakyat mandiri. Persidangan MMN hampirlah tamat, membincang belanjawan teliti dan cermat, semoga dibelanjakan penuh berhemat, negara tercinta makmur selamat.

Saya ucapkan selamat berpisah, saat perpisahan sampailah sudah, janganlah biskita merasa gundah, perpisahan ini bukan penyudah.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim kerana menaja pantun kaola.

Sekian terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih. Saya harap Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim akan memberikan pantun yang lebih lagi daripada itu kemudian. Walau macam manapun saya sekarang mempersilakan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينِ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينِ.

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, syukur ke hadrat اللَّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana dengan izin dan rahmat-Nya jua negara dan kita ini semua masih sahaja dapat menikmati keamanan dan kemakmuran serta seterusnya membangun dengan berkat dan daulat kepimpinan bijaksana dan berwawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Kaola dengan penuh ikhlas mengucapkan tahniah yang setinggi-tingginya dan penghargaan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kewibawaan Yang Berhormat Yang Di-Pertua memimpin permuzakarahan sama ada di peringkat Majlis Mesyuarat Negara mahupun di peringkat Jawatankuasa. Yang Berhormat Yang Di-Pertua juga memberikan pandangan dan saranan terhadap perkara-perkara tertentu sepanjang permesyuaratan diadakan.

Terima kasih juga kaola ucapkan kepada Yang Dimuliakan Jurutulis dan Yang Mulia Timbalan Jurutulis serta pegawai-pegawai dan kakitangan yang terlibat, yang cekap mengatur perjalanan permesyuaratan kita pada tahun ini.

Ucapan penghargaan juga kaola tujukan kepada rakan-rakan sejawatan serta Ahli Yang Berhormat yang dengan tulus ikhlas mengetengahkan isu-isu menjadi perhatian dan kepentingan rakyat dan penduduk di negara ini terutama bagi Jabatan Perdana Menteri dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Selama lebih kurang dua minggu atau tepatnya 11 hari kita bersidang ini banyak perkara yang telah dikemukakan. Khusus bagi Jabatan Perdana Menteri segala saranan dan cadangan tersebut akan diteliti dengan mendalam dan holistik mengikut keutamaan selaras dengan usaha-usaha jabatan ataupun kementerian untuk mencapai pembangunan yang mampan, berdaya tahan dan untuk kepentingan bagi masa depan negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Dalam kesempatan ini kaola menyentuh beberapa perkara yang Jabatan Perdana Menteri mengambil perhatian dan tindakan yang sewajarnya seperti berikut:

  1. Jabatan Perdana Menteri mengambil perhatian serius mengenai gangguan harassment secara amnya terutama gangguan seksual atau sexual harassment di sektor perkhidmatan awam seperti yang dibangkitkan. Dalam hal ini Jabatan Perdana Menteri melalui Jabatan Perkhidmatan Awam telah pun membuat satu inisiatif dalam penyediaan SOP atau Garis Panduan Gangguan Seksual sebagai tambahan kepada akta dan peraturan-peraturan yang ada berjalan pada masa kini seperti:

i. Peraturan - Peraturan Am, Peraturan-Peraturan Pegawai-Pegawai Kerajaan, Kelakuan dan Tatatertib 1991 Penggal B Peraturan 29.;

ii. Laws of Brunei Penal Code Chapter 22 Para 59 di bawah Tajuk "Word Gesture or Act Intended to Insult Modesty of Women.;"

iii. Laws of Brunei Chapter 30, Minor Offences Act Part III, Paragraph 19 di bawah tajuk "Indecent or Abusive Words, etc.;" dan

iv. Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, Penggal IV, Bab 197, di bawah Tajuk “Perbuatan Tidak Sopan”.

Garis panduan ini dalam proses penilaian, penelitian lanjut sama-sama dengan pihak yang berkepentingan dengan mengambil kira pendekatan secara proaktif dalam meningkatkan kesedaran warga perkhidmatan awam yang juga boleh dilaratkan bagi kepentingan awam dan orang ramai mengenai gangguan seksual di tempat kerja secara khususnya dan tatacara untuk mengelakkan risiko dan menangani gangguan tersebut.

Garis panduan ini di jangka akan dihasilkan dalam bulan Julai tahun 2021 ini. Garis panduan tersebut bertujuan untuk:

i. Menerapkan corrupt conduct bagi tempat kerja dan sebagai rujukan kepada perkhidmatan awam.;

ii. Menjelaskan garis panduan pengendalian kes-kes gangguan secara komprehensif.;

iii. Memberikan panduan mengenai tindakan-tindakan yang perlu diambil oleh agensi berkuasa akan sebarang laporan mengenai aduan berkenaan berkaitan gangguan seksual.; dan

iv. Memberikan panduan mengenai tindakan ke atas salah guna dan tindak-tanduk yang tidak bertanggungjawab seperti melaporkan tuduhan palsu.

  1. Mengenai kemudahan-kemudahan dan faedah yang diberikan kepada pegawai dan kakitangan yang mengandung dan working mothers, kerajaan akan sentiasa terus mengambil perhatian perkara tersebut secara khususnya bagi meneliti keperluan serta kesesuaiannya untuk dimasukkan dalam apa-apa juga peraturan yang berkaitan oleh pihak-pihak yang berkenaan. Manakala, beberapa amalan-amalan terbaik (best practices) telah dan sedang dilaksanakan di agensi-agensi kerajaan tertakluk kepada pertimbangan dan kebijaksanaan atau budi bicara ketua jabatan masing-masing seperti memberi kelonggaran masa bagi perempuan yang mengandung dan telah bersalin.
  1. Dengan isu yang berkaitan dengan pengisian jawatan-jawatan utama di sektor awam, dalam hal ini, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama kementerian-kementerian, akan sentiasa memberikan perhatian kepada pengisian jawatan-jawatan utama dengan mempersiapkan pegawai-pegawai melalui program-program pembangunan kepimpinan yang ada.

Tindakan bersepadu dari semua pihak terutama sekali penglibatan Setiausaha-Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, kementerian-kementerian berkenaan yang bertanggungjawab secara langsung ke atas pengurusan sumber tenaga manusia masing-masing adalah kritikal dalam memastikan keberkesanan inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan seperti berikut:

i. Mesyuarat pengisian jawatan kosong, secara one on one bersama semua kementerian secara berjadual.

ii. Memperkenalkan stopgap measures kepada syarat kenaikan pangkat bagi jawatan bertaraf Ketua Jabatan atau Pengarah dan dari Bahagian II atau Bahagian I sebagai langkah jangka pendek.

iii. Pengemaskinian Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri Bilangan: 12/2017 mengenai Kenaikan Pangkat Laluan Laju, (KPLL) bagi menangani isu ‘succession planning’;

iv. Program CSLP dan juga Bengkel Penyediaan Kertas Kerja akan diadakan secara berterusan dalam memastikan bahawa pegawai kerajaan akan dapat memenuhi keperluan lantikan; dan

v. Garis panduan memangku jawatan-jawatan Bahagian I bagi sokongan kenaikan pangkat atau penetapan jawatan dalam perkhidmatan awam.

Semua perkara ini sedang dilaksanakan dan akan terus dilaksanakan.

  1. Menjaga Keamanan dan kestabilan serta mempertahankan kedaulatan undang-undang. Jabatan Perdana Menteri melalui kerjasama dengan agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan akan terus bertindak merangka strategi untuk memelihara kestabilan politik, mempertahankan negara serta menghubungkan keupayaan pertahanan dan keupayaan diplomatik dan juga persediaan negara dalam menangani ancaman keselamatan. Ini termasuklah dalam meningkatkan kerja-kerja pembanterasan jenayah dan pengukuhan keupayaan agensi-agensi berkepentingan dalam mengendalikan krisis-krisis nasional dan merentas sempadan terutama keadaan seluruh negara masih berhadapan dengan COVID-19.

Walau bagaimanapun, peranan menjaga keamanan dan keharmonian ini bukan hanya terletak di bahu agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan tetapi adalah juga tanggungjawab kita semua. Kerjasama Ahli-Ahli Yang Berhormat selaku pemimpin-pemimpin akar umbi, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung serta masyarakat seluruhnya sangat-sangat diharapkan bagi mempertingkatkan suasana aman serta membanteras jenayah. Sukacita kaola mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang telah banyak membantu memberikan maklumat kepada pihak berkuasa dalam membanteras jenayah yang dengan bantuan orang ramai, beberapa kes jenayah telah dapat diselesaikan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Dalam permesyuaratan yang akan datang, kaola mengalu-alukan lebih banyak pandangan yang bernas daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat bagi sama-sama membantu pihak kerajaan untuk menjana ekonomi, pendapatan negara, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan sebagainya. Kaola berasa amat gembira dan sukacita, Ahli-Ahli Yang Berhormat telah berusaha dan terus berusaha 'mengalinga' dan mengambil berat permasalahan rakyat dan orang ramai di kawasan Yang Berhormat masing-masing. Di samping itu, lebih digalakkan supaya apa-apa yang dikemukakan biarlah sama-sama diketahui dan ‘dipayukan’ antara sesama mereka sendiri.

Dalam hal ini juga, kaola ingin menyeru sekali agar apa-apa jua permasalahan atau rungutan dikemukakan oleh masyarakat perlulah sama-sama kita cari jalan penyelesaian dan menjelaskannya kepada mereka yang mengajukan dengan cara memberikan mereka cara atau jalan keluar dari permasalahan tersebut. Jabatan Perdana Menteri berhasrat untuk menjemput Ahli-Ahli Yang Berhormat secara berseorangan atau berkumpulan pada masa akan datang untuk sama-sama duduk meneruskan perbincangan mengenai perkara-perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat pada tahun ini. Pada bila-bila masa sahaja yang akan diaturkan oleh Jabatan Perdana Menteri, إن شاء الله. Harapan ini seiring dengan saranan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

Sebenarnya, perkara ini sudah dan sedang diadakan atau dilaksanakan malah akan diteruskan oleh Jabatan Perdana Menteri melalui Jabatan Penerangan dengan program-programnya yang merupakan platform untuk orang ramai mendapatkan maklumat-maklumat dan menghadapkan persoalan-persoalan yang berkaitan seperti Program Masyarakat Bermaklumat (PMB), Program Sua Muka (PSM) dan satu program baharu akan diperkenalkan iaitu Program Muzakarah Penerangan (PMP) dalam bentuk teleconferencing.

Untuk akhirnya, kaola mohon maaf kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat jika terdapat jawapan-jawapan dan penerangan-penerangan yang kaola berikan kurang memuaskan dan kurang tepat serta tutur kata yang kurang sopan sepanjang kita bermesyuarat pada tahun ini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, seperti biasa izinkan kaola menutup Ucapan Penangguhan ini dengan rangkap-rangkap pantun:

Nakhoda Ragam Nakhoda Manis, Dua legenda mengharum nama, Berbagai ragam masam dan manis, Berbincang berbahas faedah bersama.

Dulu berperahu berkayuh diam membisu, Sekarang berjambatan selesa harus berhemat, Kitani berbahas pelbagai isu, Persefahaman dipraktikkan hasilnya nikmat.

Jambatan merentangi Teluk Brunei, Terbilang terpanjang kebanggaan negara, Hasrat dan janji kitani hendaklah ditunai, Sesuaitah kitani dinamakan Ahli Majlis Mesyuarat Negara.

Berbincang berbahas sesungguh hati, Menyuarakan hasrat pendapat dan harapan, Rakyat mendengar berminat sambil meneliti, Berdoa mahukan negara maju ke hadapan.

Selesai mesyuarat tunaikanlah tugas dan kerja, Keredaan Allah kesejahteraan dan kemakmuran diperolehi, Brunei Darussalam negara “Melayu Islam Beraja”, Di bawah pimpinan bijaksana raja yang dikasihi.

Kaola dengan ini, menyatakan bersetuju supaya permesyuaratan kitani ditangguhkan.

Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

وبالله التوفيق والهداية. و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima Kasih, Yang Berhormat atas Ucapan-Ucapan Penangguhan yang telah pun dibuat awal-awal tadi. Saya kira berpatutanlah sekarang persidangan kita ini kita tangguhkan dahulu dan إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ, kita akan bersidang semula pada pukul 2.30 petang nanti.

Sekian, وبالله التوفيق والهداية. و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)

(Majlis Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang)

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Ahli-Ahli Yang Berhormat. الحمد لله persidangan yang diadakan pada sebelah pagi tadi kita telah mula mendengar Ucapan Penangguhan. Saya masih lagi mempunyai senarai Ahli Yang Berhormat yang suka ikut serta untuk membuat Ucapan Penangguhan mereka. Maka, untuk tidak membuang masa lagi saya persilakan sekarang Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis.

Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته dan salam sejahtera.

Marilah kita bersyukur ke hadrat الله سبحانه وتعالى kerana-Nya jua kita masih bernafas, diberikan kesihatan dan diberikan ruang masa yang membolehkan kita sama-sama hadir dalam rangka acara Ucapan Penangguhan Majlis Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2021 dan seterusnya menjunjung kasih setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keprihatinan baginda terhadap keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan rakyat baginda dalam menghadapi COVID-19 ini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Dalam kesempatan keemasan ini, kaola lebih dahulu merakamkan tahniah dan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana telah berjaya mempengerusikan dan memimpin persidangan dengan bijaksana dan dalam suasana harmoni, muhibah dan saling menghormati. Begitu juga dengan Yang Dimuliakan Jurutulis dan Yang Mulia Timbalan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara serta pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat yang sentiasa memberikan kerjasama yang padu.

Kaola ingin merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya dan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri-Menteri yang begitu tabah mendengar pendapat dan saranan serta soalan yang diajukan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat dengan memberikan penjelasan kepada program-program kemajuan, perkembangan serta pelaksanaan projek-projek kementerian masing-masing sama ada yang telah berjalan mahupun yang akan dilaksanakan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Persidangan Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2021 yang bermula pada 15 Mac 2021 sebentar lagi akan berakhir. Sepanjang permesyuaratan dijalankan, perbincangan dan persoalan menjurus dan mengambil kira akan nasihat titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara pada 15 Mac 2021 yang lalu hingga ke hari ini. Kita telah banyak menyentuh dan membahaskan dalam bidang perekonomian, kemajuan dan peluang-peluang pekerjaan bagi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan penduduk serta negara kita kasihi ini dan tidak terkecuali masalah pengangguran.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Dalam kesempatan ini juga, kaola ingin membangkitkan dan mencadangkan pembaikan terhadap beberapa isu yang mungkin sesuai diguna pakai iaitu:

  1. Isu bekalan air tidak ada atau tekanan air rendah. Masalah ini sudah lama dan masih berlaku dan serba sedikit menjejaskan kehidupan masyarakat terutama sekali apabila terjadinya rangkaian paip terpaksa ditutup disebabkan oleh paip utama pecah. Masalah ini boleh diatasi dengan adanya teknologi atau sistem terkini iaitu dengan memasang sistem amaran awal di lokasi-lokasi strategik yang memaklumkan pihak yang berkenaan secara bersistem yang paras air di tangki-tangki utama menurun parasnya dan dengan penurunan itu menunjukkan yang ada masalah kepada saluran paip masuk ke tangki berkenaan dan dengan amaran awal ini juga akan memudahkan pihak-pihak yang berkenaan bertindak cepat dan proaktif sebelum air tidak cukup dan tidak sampai ke rumah-rumah seperti yang terjadi sebelum ini.;

  2. Isu perumahan negara apabila rakyat menunggu lama. اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tidak kendur-kendurnya memastikan kesejahteraan hidup rakyat dan dengan adanya kemudahan-kemudahan kepada rakyat termasuk rumah kediaman melalui Skim Perumahan Negara, mengikut apa yang dilaporkan sebelum ini, lebih kurang 28,000 rumah dibina di beberapa buah tapak. Penerima-penerima yang layak telah pun menikmati kemudahan ini sejak skim perumahan ini dilaksanakan beberapa dekad yang lalu.

Walau bagaimanapun, masih ada aduan-aduan yang didengar dan diterima dari kalangan rakyat yang masih menunggu dan ada juga yang telah bertahun-tahun menunggu rumah berkenaan walaupun sudah menerima surat mengenainya. Saya juga difahamkan bahawa jumlah dalam senarai menunggu ini masih ramai. Ke arah itu, ada baiknya kerajaan memperkasa keterlibatan di sektor swasta tempatan seperti bank-bank untuk menyediakan rumah-rumah dengan menyesuaikan kemampuan rakyat dari pelbagai peringkat pendapatan atau dengan cara memberikan kepada mereka yang mempunyai tanah TOL syarat perumahan kepada geran tanah kekal bagi membolehkan mereka yang berkenaan membina rumah kekal dengan perbelanjaan sendiri ataupun pinjaman dari bank-bank ataupun kerajaan jika mereka masih berkhidmat dengan perkhidmatan awam, Negara Brunei Darussalam.;

  1. Isu hutan terbakar akibat perubahan iklim yang mengakibatkan keadaan cuaca yang terlalu panas di samping kecuaian manusia itu sendiri. Ke arah ini, dicadangkan supaya kementerian yang berkenaan dan agensi yang berkaitan apa kiranya diterokai penggunaan teknologi dan sistem amaran awal bagi mengesan kawasan hutan yang akan terbakar melalui sensor suhu tertentu yang akan mengaktifkan sistem amaran awal berkenaan sebelum kawasan hutan itu terbakar sepenuhnya. Dengan adanya sistem ini nanti ianya akan memudahkan tindakan cepat dan proaktif, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat dan pihak berkenaan yang lainnya pergi ke kawasan berkenaan sebagai langkah awal sebelum kawasan terbakar merebak luas.; dan

  2. Cadangan muzium-muzium berbayar untuk pelancong-pelancong asing. Cadangan ini telah diusulkan beberapa tahun yang lalu (tahun 2017) dan sehingga sekarang belum ada penetapan mengenainya.;

  1. Dalam hubungan ini juga, kaola ingin menyampaikan harapan rakyat dan penduduk negara ini supaya pihak kerajaan perlulah memperkuatkan lagi sistem pentadbiran yang ada supaya tidak ada ketirisan dalam melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan seperti mengikuti peraturan-peraturan dan dasar-dasar yang sedia ada bagi mengelakkan pilih kasih ataupun kezaliman. Dalam pada itu rakyat dan penduduk juga menyokong penuh akan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya yang berkaitan dengan pembangunan modal insan, ekonomi dan usaha mengukuhkan kedayatahanan fiskal negara. Perlulah ditanai oleh semua lapisan terutama sekali pemegang dasar kerajaan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Sebelum mengakhiri ucapan kaola ini, kaola sukacita menarik perhatian Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini bahawa semua peruntukan yang sudah diluluskan akan dapat digunakan sepenuhnya dengan mengambil kira pada sesuatu projek yang telah dirancang akan dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan.

Dalam kesempatan ini juga, kaola mewakili penduduk kawasan Zon 3 khususnya Kampung Air merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Kementerian Tenaga dan BSM yang telah membina sebuah stesen minyak di Kampung Buang Sakar yang pembinaannya sedang berjalan dan إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ akan dijangka siap pada penghujung tahun 2021 ini, bagi memastikan bekalan minyak yang mencukupi bagi penduduk-penduduk yang menggunakan dan mempunyai motobot serta perahu tambang sebagai pengangkutan dan mata pencarian.

Sebelum menutup Ucapan Penangguhan ini sekali lagi kaola merafak sembah dan menjunjung kasih atas kepercayaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi kaola menganggotai majlis yang mulia ini. Akhirnya, marilah kita berdoa semoga الله سبحانه وتعالى akan mengurniakan petunjuk dan hidayah-Nya, membuka minda, menyatukan hati dan membimbing kita semua ke arah jalan-jalan yang berkebajikan dan mengharungi cabaran ini dengan tabah, ikhlas dan penuh keredaan.

Dalam kesempatan ini juga, kaola memohon ampun dan maaf sekiranya ada tingkah laku dan suruk langkah serta kata-kata dan cadangan-cadangan yang kurang elok mohon ampun dan kemaafan jua.

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية، و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Terima kasih.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Abdul Wahab bin Apong.

Yang Berhormat Awang Haji Abdul Wahab bin Apong

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

بسم الله الرحمن الرحيم أَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera. kaola menggabungkan diri menyokong Ucapan Penangguhan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri sebentar tadi.

Dalam kesempatan ini lebih dahulu kaola mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memimpin mesyuarat dalam Dewan yang mulia ini dengan cemerlang dengan dibantu oleh Yang Dimuliakan Jurutulis dan Yang Mulia Timbalan Jurutulis serta pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.

أَلْحَمْدُ للهِ Peruntukan Belanjawan 2021/2022 telah pun diluluskan dalam Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara yang baru selesai. أَلْحَمْدُ للهِ jua kita bersyukur kepada اللهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kitani nampak kecemerlangan usaha-usaha ke arah mempelbagaikan ekonomi melalui industri selain sektor minyak dan gas. Seperti yang kita maklum sektor-sektor seperti perbankan, perkhidmatan pengangkutan, agrimakanan dan pelancongan iaitu beberapa sektor yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan menaikkan fiskal negara.

‘Bisai’ juga barangkali kaola tambah sektor hartanah, pembangunan komersial dan perumahan yang kaola percaya juga boleh menyumbang dengan syarat adanya dasar-dasar dan strategi yang benar-benar memudah cara urusan pengusaha tempatan dan pelabur asing. Menyentuh mengenai sektor pelancongan kaola sukacita mengusulkan supaya peruntukan akan dapat ditambah bagi di bawah MPRT untuk meningkatkan taraf tempat-tempat menarik terutama sekali bagi menarik rakyat tempatan berbelanja dalam negara dan mempelbagaikan lagi tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Walaupun projek-projek RKN-11 pada tahun kewangan 2021/2022 berkurangan daripada tahun sebelumnya, kaola percaya bukanlah satu faktor yang akan menjejaskan faktor industri dan persahabatan di negara ini. Kaola percaya ia hasrat untuk perkasa sebagai sektor swasta dalam projek-projek yang dipercaya berunsur komersial dan penjimatan besar kerajaan. Ini adalah langkah yang disokong bagi mencari satu pendekatan yang seimbang antara kerajaan dan sektor swasta dalam dasar-dasar memudah cara dan proses lebih mesra pelabur. Kaola percaya pendekatan yang seimbang yang Kaola maksudkan akan dapat dicapai.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola penuh percaya bahawa visi dan misi setiap kementerian yang berkaitan akan sentiasa memastikan keperluan ke arah peningkatan ekonomi negara adalah agenda utama dalam memberikan tumpuan kepada perkara-perkara strategik untuk membangun ekonomi yang mampan yang diharap dapat dilaksanakan dengan jayanya demi kepentingan rakyat khususnya dan negara amnya, أمين.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola tidaklah akan berpanjang lebar dalam ucapan Kaola sebagai penutup Ucapan Penangguhan ini. Kaola mengambil kesempatan untuk memohon kemaafan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Yang Dimuliakan Jurutulis dan Yang Mulia Timbalan Jurutulis dan Ahli-Ahli Yang Berhormat serta semua warga Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat jika terdapat tingkah laku yang kurang sopan dan perkataan yang menyinggung perasaan yang tidak disengajakan sepanjang tempoh mesyuarat ini.

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية. و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih, saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arshad.

Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arshad

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته dan salam sejahtera.

الحمد لله رب العالمين selawat dan salam kepada Rasul Junjungan Nabi محمد صلى الله عليه وسلم suri tauladan sepanjang zaman.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang Kaola hormati sekalian. Sebagaimana yang telah kita maklumi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara 2021 yang menyasarkan kepada 3 perkara utama iaitu membangunkan modal insan, mengukuhkan ekonomi dan fiskal negara serta merangka dasar yang tulus dan berani.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dalam kita sedia tahu bahawa Negara Brunei Darussalam mempunyai comparative advantage dalam bidang kewangan, pendidikan, rehabilitasi, perkhidmatan kesihatan, eco-tourism dan budaya Islam. Kaola berpendapat dengan menjadi negara ini sebagai Business Culture Center, ia akan memberi kemanfaatan kepada Negara Brunei Darussalam untuk berpotensi meraih rakyat yang berpendapatan dan kehidupan berkualiti tinggi, menjana pertumbuhan ekonomi terhadap peluang pekerjaan tinggi, berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya meraih kestabilan keamanan dari ancaman luar.

Antara strategi yang perlu kita terokai ialah memfokuskan kepada alternatif program sebagai usaha memperkembangkan ekonomi secara berterusan. Business Culture Center (BCC) ini nanti akan dapat menjanjikan pengurangan kadar pengangguran, meningkatkan pendapatan rakyat dan pertumbuhan tinggi per kapita yang berterusan.

Rakyat yang berkemahiran tinggi dan berinovasi dengan cemerlang. BCC ini bukan sahaja akan mewujudkan permintaan tinggi di sektor pendidikan dan budaya malah ia akan menjamin kedayatahanan. Dengan strategi ini akan menerapkan kekuatan sumber yang sudah dimiliki untuk mengatasi kelemahan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Pengumpulan data yang efisien dan relevan sangat penting untuk penstrukturan semula dan penambahbaikan dasar-dasar yang sedia ada demi memastikan dasar-dasar tersebut lebih relevan dan komprehensif antaranya memperkenalkan New Immigration Policy, dasar-dasar pelaburan dalam negara dan Foreign Direct Investment (FDI).

Di samping itu, keperluan untuk penambahbaikan prosedur semasa adalah penting bagi meningkatkan kesepaduan dan efisiensi pentadbiran. Adalah menjadi tanggungjawab iaitu sebagai sebuah Negara Zikir kita perlu memberi tumpuan kepada isu-isu halal yang mencapai halalan thayyiban secara menyeluruh. Sukacita kaola menyarankan untuk pengambilan pensijilan halal diberikan kepada pihak konsultan yang dilantik dan diiktiraf oleh Majlis Ugama Islam Brunei Darussalam yang dapat menjimat kos kepada kerajaan dan akan menjadikan lebih efisien.

Fiskal negara boleh ditingkatkan lagi dengan memberikan tumpuan khusus kepada penambahbaikan dan mengemaskinikan prosedur pengutipan hasil di kementerian-kementerian dengan menswastakan beberapa perkhidmatan non-core dan berpotensi menjadi kompetitif seperti kutipan pembayaran Skim Perumahan Negara, penswastaan sistem pendidikan tinggi, perkhidmatan cawangan pengedaran ubat-ubatan dan lain-lain.

Dengan ini, ia akan dapat mengatasi ketirisan dan kelemahan dalam kutipan pembayaran balik Skim Perumahan Negara, Tabung Amanah Pekerja (TAP) juga dapat dilibatkan dan memainkan peranan ke arah mencapai inisiatif ini. TAP akan berperanan menjadi pelabur dan akan memperolehi pulangan pelaburan yang sustainable. Manakala penswastaan institusi pengajian tinggi juga dilihat akan dapat mengadakan lebih usaha untuk mengembangkan dan menaik taraf bukan sahaja sebagai latihan kepada pemimpin untuk generasi masa depan tetapi juga untuk mendukung dan meningkatkan struktur ekonomi negara ia akan meningkatkan jumlah kemasukan pelajar-pelajar antarabangsa dan tempatan di institusi pendidikan tinggi di negara ini. Penswastaan perkhidmatan pengedaran ubat-ubatan pula akan meningkatkan fasiliti pengagihan dan semua aspek pengurusan ubat-ubatan dan menerapkan penjimatan kos kepada kerajaan ini sekali gus akan mencetuskan peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Khusus bagi pengusaha mikro dan kecil seperti penjaja di pinggir jalan perlu diberikan perhatian dengan menyediakan keperluan asas yang diperlukan termasuk memodenkan aktiviti-aktiviti yang meningkatkan produktiviti serta pendapatan mereka. Antara sektor yang lain sebagai strategik adalah sektor pertanian dan peladangan dengan menerapkan teknologi-teknologi terkini adalah menjadi keutamaan untuk direalisasikan. Penglibatan UNISSA dalam sektor ini sebahagian daripada usaha yang baik ke arah mencapai balik objektif ini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Generasi belia perlu dipertimbangkan untuk diberikan bantuan kemudahan Skim Pinjaman Perumahan mampu milik antara ciri-ciri yang difikirkan penting dengan memberikan jumlah pinjaman yang bersesuaian dengan tempoh pembayaran balik yang diperpanjangkan.

Dalam kesempatan ini, kaola ingin merakamkan ucapan penghargaan yang setinggi-tingginya dan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang telah mempengerusikan mesyuarat ini dengan penuh prihatin dan cemerlang, kepada Yang Berhormat Menteri-Menteri dan tidak lupa juga terima kasih penghargaan kepada Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Perkerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar, Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Yang Mulia Dayang Rose Aminah binti Ismail, Timbalan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Ahli-Ahli Yang Berhormat dan kepada semua pihak yang terlibat, semoga الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى akan memberikan balasan atas keikhlasan dan pengorbanan yang dicurahkan bagi sama-sama menjayakan mesyuarat ini.

Kalau tidak kerana bulan,
Tak akan bintang terbit tinggi,
Kalau tiada kerana tuan,
Tidaklah kaola sampai di sini.

Jika sekiranya terdapat suruk langkah yang kurang manis dan jika ada sebarang kesilapan serta kekurangan kaola memohon ampun dan maaf juga, yang baik semuanya datang daripada الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى dan yang buruk datangnya dari kaola sendiri. Kaola juga menyokong supaya Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara ditangguhkan.

Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
وبالله التوفيق والهداية، والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya persilakan Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman.

Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى اٰلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat lebih dahulu kaola dengan hati yang tulus ikhlas merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang telah memimpin di sepanjang Persidangan Majlis Mesyuarat Negara Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara di Dewan yang mulia ini, dapat menjalankannya dengan lancar, teratur dan mencapai seperti yang dihasratkan. Begitu juga ucapan penghargaan dan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Yang Dimuliakan Jurutulis dan Yang Mulia Timbalan Jurutulis, pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.

اَلْحَمْدُ ِللهِ dengan pemberian peruntukan Perbelanjaan Tahun Kewangan 2021/2022 mengikut keperluan, kita berharap maka perancangan akan digunakan secara berhemah iaitu value for money serta tercapai Wawasan Brunei 2035 secara yang terarah dan terancang.

Kita bersyukur ke hadrat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى dan berkat daulat raja yang kita kasihi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta rahmat-Nya Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir yakni Melayu Islam Beraja, kita telah dapat mengharungi cabaran, musibah dan pelaksanaan urus tadbir negara kitani yang digegarkan dengan serangan pandemik COVID-19 dan kita berkesan berjaya membendung rangkaian virus berkenaan dari merebak atau berleluasa.

Apa pun yang berlaku, أَلْحَمْدُ لِلّٰهِ negara kitani masih dapat berhimpun di dalam Dewan yang mulia ini dengan mengadakan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara, rakyat dan masyarakat. Marilah kita pupukkan semangat proaktif dan menanamkan nilai-nilai murni bagi memastikan isu dan agenda yang diketengahkan di Dewan yang mulia ini dilaksanakan hingga mencapai kejayaan dan hasilnya dapat dinikmati oleh semua pihak sama ada pihak kerajaan, negara malahan juga kepada rakyat dan masyarakat di luar sana.

Menyentuh kehidupan setelah hari persaraan dan pada usia tua, di samping Pencen Umur Tua yang dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi pekerja yang mencarum melalui TAP dan SCP, diharapkan akan dapat menikmati hasilnya dan dipergunakan dengan sebaik-baiknya serta kita juga berharap agar pihak yang mengurus tadbir tabung ini, akan berusaha sedaya-upaya supaya segala persen pemberian dividen kepada pesertanya akan terus dipertingkatkan (dinaikkan). Dengan pelaksanaan beberapa inisiatif di bawah economic blueprint, negara akan dapat menjana peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola mengharapkan supaya peluang pekerjaan yang disediakan akan dapat direbut sepenuhnya oleh anak tempatan. Dalam kesempatan ini, peramba kaola, saya mewakili semua lapisan masyarakat dan penduduk Daerah Brunei dan Muara khasnya di Zon 2, Mukim Serasa dan Mukim Mentiri berharap semua isu dan perkara yang berkaitan dengan Zon 2 dapat diambil susulan tindakan seperti yang dihasratkan.

Mengakhiri Ucapan Penangguhan ini, kaola bagi pihak semua lapisan masyarakat dan penduduk di Zon 2, Mukim Serasa dan Mukim Mentiri berikrar akan taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Sebelum berundur diri, kaola ingin menyampaikan dua rangkap pantun:

Mukim Serasa, Mukim Mentiri,
Tempat membeli kain beragi,
Berakhirlah sudah Mesyuarat Negeri,
Harap dapat bersidang lagi.

Dari Serasa ke Mukim Mentiri, Jauh-jauh dari pekan, Kita bersidang di Dewan Negeri, Salah dan silap harap maafkan.

Kaola dengan ini bersetuju mesyuarat ini ditangguhkan. Sekian, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

وبالله التوفيق والهداية. و السلامُ عليكم ورحمةُ اللهِ وبركاتُه

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat. Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Awang Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Awang Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه dan salam sejahtera.

Kaola lebih dahulu dengan rendah hati, mengucapkan tahniah yang setinggi-tingginya kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kebijaksanaan memimpin dan mempengerusikan Persidangan Majlis Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini. Syukur اَلْحَمْدُ للهِ sepanjang sesi permesyuaratan dan perbahasan kita di Dewan yang mulia ini, ia berjalan dengan lancar dan penuh bermakna serta dalam suasana muhibah, keterbukaan, saling menghormati dan semangat permuzakarahan yang harmoni.

Beberapa isu, pandangan, cadangan dan saranan telah disentuh dalam kita sama-sama menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh ikhlas dan jujur serta bersikap terbuka yang إن شاء الله diharap dapat memberikan impak dan kesan yang dihasratkan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, pembentangan cadangan belanjawan bagi Tahun Kewangan 2021/2022 bertemakan ke arah: "Pembangunan Sosioekonomi yang Resilient" dengan penekanan kepada tiga perkara utama. Tema belanjawan negara pada tahun ini memberikan mesej yang cukup kuat akan aspirasi dan hasrat jitu pihak kerajaan untuk terus mengorak langkah dan memacu ke hadapan dalam sama-sama kita mencapai Wawasan Brunei 2035. Adalah tidak dinafikan, ekonomi negara sepertimana ekonomi dunia akan terus berhadapan dengan cabaran pada tahun ini daripada risiko dan kesan serta impak kesihatan awam dengan penularan penyakit COVID-19 kepada risiko geopolitik dan risiko ketidaktentuan harga minyak. Dari itu, kita perlu bersedia dan bijak untuk mencatur perancangan dan strategi dalam mengurangkan kesan daripada cabaran-cabaran berkenaan. Terutamanya dengan berfikiran lebih kreatif dan inovatif dan berbekalkan semangat kemuafakatan dan perpaduan dalam mengambil peranan dengan penuh komitmen bagi sama-sama memastikan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran negara terus dijaga dan dipelihara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, satu perkara positif iaitu aspek institusi keluarga juga perlu dan terus diperkukuhkan dan dimantapkan khususnya dalam peranannya untuk melahirkan insan yang cemerlang. Tanpa institusi keluarga yang kukuh, kemakmuran dan kesejahteraan negara tidak akan terjamin. Begitu juga dengan pemantapan, penguatkuasaan, perundangan dan peraturan. Ia perlu terus dipergiatkan dengan tegas dan telus agar jenayah serta pelanggaran terhadap undang-undang tidak dibiarkan berlaku dan kepentingan rakyat dan negara dapat terus dijaga. Untuk mengakhiri, kaola ingin menyampaikan ucapan terima kasih banyak-banyak kepada Yang Dimuliakan Jurutulis, penolongnya serta anak buahnya dan pihak Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat atas bantuan dan kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada kami, Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Sebagai penutup, kaola ingin memohon maaf jika sekiranya ada terdapat tersilap kata, terkasar bahasa dan tingkah laku yang kurang manis sewaktu menyampaikan hujah, pandangan, saranan dan persoalan sepanjang Persidangan Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini serta diiringi dengan doa semoga kita semua sentiasa sihat walafiat, إن شاء الله dan dapat dipertemukan pada masa-masa akan datang.

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية. و السلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih, Yang Berhormat. Saya persilakan sekarang, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd. Siput.

Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd. Siput

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Dengan hormat kaola ucapkan terima kasih atas keizinan ikut serta berucap dalam sesi Ucapan Penangguhan ini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita telah bersidang dalam semangat saling menghormati dan saling bersefahaman. Kita telah menyelesaikan kerja-kerja majlis menurut jadual serta agendanya dalam Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara ini. Tahniah kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memimpin persidangan ini dengan penuh bijaksana. Penghargaan juga kepada Yang Dimuliakan Jurutulis dan Yang Mulia Timbalan Jurutulis bersama-sama dengan seluruh pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat atas bantuan dan pengurusan yang sangat berharga, telus dan lancar.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Majlis Mesyuarat Negara ini merupakan satu platform dalam menyampaikan suara rakyat mengenai apa jua isu yang relevan untuk disampaikan demi kesejahteraan dan kemudahan rakyat. Selain untuk meluluskan perbelanjaan kerajaan, majlis ini juga berfungsi untuk mendengar, meneliti dan bertindak dengan apa jua masalah yang terbit dari perbincangan dalam perbahasan mengenai peruntukan kewangan.

Ini selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sempena Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2021 yang berbunyi: “Pemegang dasar dikehendaki telus dan berani dalam persidangan ini, perbincangan janganlah dilimit untuk menyekat pandangan atau pendapat-pendapat daripada para ahli, kerana sesungguhnya peluang di sini tidak banyak, cuma sekali dalam setahun. Oleh itu, wajarlah bagi para ahli bersidang dengan rancak tetapi sihat.”

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Dalam Dewan yang mulia ini, kaola sukacita mengusulkan agar Jabatan Kemajuan Perumahan mengkaji dengan lebih meluas mengenai usaha mewujudkan kawasan perumahan negara di luar bandar bagi membendung penghijrahan penduduk kampung. Penghijrahan disebabkan permohonan rumah ini terbukti membawa kesan yang mendalam. Kita boleh bayangkan sahaja, jika sebuah keluarga itu keramaiannya 5 orang ahli, jadi jika 10 orang ketua keluarga yang telah berjaya mendapatkan rumah, ini bererti seramai 50 orang berhijrah dari kampung tersebut.

Bukan mukim dan kampung sahaja terjejas malah beberapa jabatan kerajaan yang terdapat dalam mukim tersebut juga terkesan olehnya. Contohnya, beberapa sekolah rendah di mukim luar bandar di Daerah Belait dan Daerah Tutong yang mempunyai 2 buah sekolah terpaksa dicantumkan menjadi sebuah sekolah sahaja disebabkan penuntutnya tidak ramai.

Selain itu juga, berpandukan profil penduduk kampung dan mukim di kawasan bandar, ternyata keramaian Penduduk Jati semakin menurun berbanding dengan Penduduk Tetap atau warga asing yang masih bertahan malah bertambah dari setahun ke setahun. Kesemua fakta di atas hampir dihadapi oleh semua kampung atau mukim di luar bandar. Sehubungan dengan itu, kerajaan bercadang agar Jabatan Kemajuan Perumahan akan mengkaji dari pelbagai sudut dengan lebih ke hadapan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola menyambut baik usaha-usaha Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam memeduli suara rakyat di luar bandar mengenai isu infokomunikasi. ٱلْحَمْدُ لِلَّٰهِ dengan adanya pemasangan menara-menara di Mukim Sukang, Kampung Melilas dan Kampung Apak-Apak, Daerah Belait itu nanti akan menjadi bukti yang nyata. Semoga ia dapat dinikmati sepenuhnya oleh masyarakat di sana.

Bagi Jabatan Pengangkutan Darat pula, kaola menyarankan agar pihak jabatan berkenaan mengkaji mengenai pembayaran backdated bagi kenderaan yang rosak dan tidak berjalan bertahun-tahun atas sebab pemiliknya tidak mampu membeli spare parts. Apabila sudah diperbaiki sepenuhnya dalam jangka masa yang lama, terpaksa membayar backdated yang mencapai ratusan ringgit. Ini sangat membebankan, justeru, jika boleh diberi pengecualian kerana kenderaan tersebut tidak beroperasi atau berjalan di jalan raya. Walaupun hakikatnya ada perkhidmatan penggunaan non-use tetapi tidak semua orang ramai tahu ada perkhidmatan tersebut. Perkhidmatan non-use ini dipohonk an dahulu dengan bayaran $5.00 setahun bagi mengelakkan pembayaran road tax kenderaan tersebut.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Dalam ruangan yang terhad ini, sekali lagi kaola menyampaikan ucapan syabas kepada Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan kerana telah merealisasikan rancangan dan memperkasakan bilangan industri hiliran pertanian. Ini terbukti kejayaannya dari hasil lawatan Ahli-Ahli Yang Berhormat sebelum mesyuarat ini dijalankan. Semoga kesemua usaha ini akan terus maju selaras dengan misi dan visi Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dalam menampilkan berbagai-bagai sumber pertanian. Apa yang penting, hasrat kerajaan untuk menjadikan hasil pertanian sebagai hasil negara kedua terpenting selain minyak dan gas akan tercapai.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola bagi mewakili penduduk di kawasan luar bandar Mukim Labi dan Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait lebih dahulu merakamkan penghargaan terima kasih yang setinggi-tingginya dan syabas kepada Jabatan Perkhidmatan Elektrik atas pelaksanaan projek pemasangan street lighting di kawasan luar bandar iaitu sepanjang jalan Sungai Liang, Labi dan Bukit Sawat yang dijadualkan siap pada bulan Februari. أَلْحَمْدُ للهِ, dengan adanya pemasangan street lighting di kawasan tersebut, maka pengguna jalan dan penduduk kampung tersebut juga merasa lebih selesa dan selamat apabila berjalan pada waktu malam.

Kaola sendiri sudah menikmati kemudahan tersebut. Kelmarin, apabila kaola balik ke kampung, 'inda jua' kecut hati pada waktu malam malah merasa lebih selesa dan tenang. Namun, masih ada street lighting yang dipasang bertompok-tompok di kawasan Jalan Sungai Liang, Labi, sebahagian kawasan Andulau, kawasan Merangking, Sungai Mau, Bukit Puan dan Taman Lupak disebabkan tidak terdapat piping point, voltan rendah bawah tanah di kawasan tersebut. Dalam hal ini, kaola mencadangkan agar apa kiranya di kawasan yang dinyatakan tadi dipasang lampu dengan lampu solar.

Akhirnya, kaola memohon ampun dan maaf jua kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Dimuliakan Jurutulis, Yang Mulia Timbalan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara serta pegawai dan kakitangan yang bertugas sepanjang mesyuarat ini dijalankan. Yang baik itu datangnya daripada اللَّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى dan yang kurang elok itu datangnya daripada kelemahan kaola jua. Akhirnya, kaola tinggalkan Dewan yang mulia ini dengan dua rangkap pantun yang berbunyi:

Saya datang dari Kampung Labi,
Hadir ke Dewan untuk berbicara,
Kasih dijunjung sekalung budi,
Takkan lupa segala peristiwa.

Hari ini menanam kunyit,
Hari esok menanam serai,
Beberapa hari sudah kita berdebat,
Hari ini kita bersurai.

Dengan ini, kaola menyokong sepenuhnya mesyuarat ini ditangguhkan. Sekian disampaikan dan salam hormat.

وبالله التوفيق والهداية و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih. Saya persilakan sekarang, Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari.

Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari

Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ أَحْمَدُهُ رَبَّ الْعَالَمِينَ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.

Dengan bertawakal kepada الله, dengan kalimat: بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ وَأُفَوِّضُ أَمْرِي إِلَى اللهِ إِنَّ اللهَ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, serta sekalian yang hadir yang dihormati. Kaola mengajak kita semua berdoa semoga Negara Brunei Darussalam selamanya negara Melayu Islam Beraja yang makmur sebagai negara بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

Yang Berhormat Yang Di-Pertua di Dewan yang mulia ini kaola suka mengusulkan syarikat-syarikat yang berdaftar 'sendirian berhad' yang terdapat shareholder orang asing yang dipastikan membawa modal kewangan masuk ke Negara Brunei Darussalam, supaya dikenakan cukai korporat. Syarikat-syarikat yang berdaftar di bawah 'sendirian berhad' yang 100% milik warga Negara Brunei Darussalam dikecualikan daripada Akta Cukai Korporat, kerana ini boeh membantu, menyekat orang asing menggunakan 'sendirian berhad' sebagai lesen berniaga ‘Ali Baba’ dan mendapat kemudahan membawa keluarga walaupun hanya perniagaan kecil seperti kedai jahit, gunting dan sebagainya, mereka menjalankan perniagaan baik di bandar mahupun di kampung-kampung, mereka potong rumput, driver bus, workshop, restoran, supply barang-barang ke supermarket, kedai runcit dan lain-lain.

Seterusnya kaola suka mengimbau belia di luar sana supaya menubuhkan Koperasi Belia Kebangsaan sebagai Koperasi Wawasan 2035 yang mungkin boleh dinamakan Koperasi Belia Darussalam dalam jangka panjang Whole of Nation approach rakyat Negara Brunei Darussalam diperkirakan menjadi ahli koperasi sebelum tahun 2070 إن شاء الله 50 tahun mendatang.

Soal memulakan perniagaan mulai dari damit bukan menjadi penghalang membuat perniagaan besar, ‘inda tebala’ seorang diri usahakan beramai-ramai, inilah fungsi koperasi ditubuhkan. Orang lain masuk ke negara kita dalam masa 5 ke 10 tahun sudah jadi jutawan, kita dalam negara sendiri generasi ke generasi yang patut jadi jutawan, jadikan orang kita oriented berfikiran besar ‘think big’. Oleh sebab kita tidak mampu mendirikan perniagaan besar, maka penubuhan koperasi adalah jalan terbaik.

Kita lihat anai-anai makhluk yang ‘damit’ mampu membuat ‘pungsu’ atau busut yang jika disukat dan dibanding saiz anai-anai dengan ‘pungsu’ yang dibuatnya mungkin beribu kali ganda.

Anai-anai ibarat orang kita, sementara ‘pungsu’ atau ‘busut’ ibarat sebuah koperasi yang bersifat konsortium. Beri keyakinan kepada belia kita sebagaimana peristiwa hijrah Sayidina Ali Karamallahu Wajhah diberikan kepercayaan oleh رسول الله صلى الله عليه وسلم menggantikan tempat tidur Baginda صلى الله عليه وسلم sedangkan di luar rumah menunggu 40 orang bersiap untuk melaksanakan niat jahat mereka. Peristiwa Perang Badar, Sayidina Ali Karamallahu Wajhah meminta Baginda رسول الله صلى الله عليه وسلم membenarkan menentang cabaran seorang panglima perang yang digeruni, Baginda صلى الله عليه وسلم sendiri agak ragu pada awalnya tetapi akhirnya memberikan pedang Baginda صلى الله عليه وسلم sendiri sehingga Sayidina Ali Karamallahu Wajhah mampu mengalahkan lawan yang berpengalaman.

Dari contoh riwayat-riwayat di atas, kita patut memberikan keyakinan tinggi kepada generasi muda kita apakah kita kurang yakin dengan Sistem Pendidikan Negara, (SPN-21) yang memberikan pendidikan akademik, profesional, vokasional yang berprestij dengan percuma apakah pelaburan kerajaan ini tidak kita manfaatkan dengan mengharapkan orang lain untuk membangun negara? Kita positif kerana الله suka kita bersangka baik, terutama bersangka baik terhadap الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى dan seterusnya kepada belia muda kita ke arah Brunei Smart Nation.

Di Dewan yang mulia ini kita bukan berlawan tetapi berkawan sepertimana ucapan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama yang kaola hormati. Kita bukan berhadapan tetapi sama-sama menghadap Yang Berhormat Yang Di-Pertua bagi mencari titik solusi yang terbaik bagi agama, bangsa dan negara. Belia masa kini adalah bentuk negara depan. Kaola suka membawakan beberapa pantun bagi mengakhiri Ucapan Penangguhan ini pada masa:

Kalau ada sumur di ladang,
Dapat kita menumpang mandi,
إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ masa dan umur yang panjang,
Dapatlah kita di Dewan yang mulia ini bersua lagi.

Apa tanda orang mulia,
Berbaik sangka kepada manusia,
Siapa hidup berbaik sangka,
Dunia akhirat hidup sentosa.

Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa,
Tegak bangsa kerana budi,
Runtuh budi hilanglah bangsa.

Kaola suka menyebut peringatan orang-orang tua kita dengan bunyinya: ‘Kata-kata itu adalah doa, dikatakan berat, beratlah ia, dikatakan ringan, ringanlah ia’, begitulah juga urusan agama, bangsa dan negara. Akhir kalam kaola mohon ampun dan maaf, kata-kata yang kurang elok, mengusik hati jangan dipendam, ampunkan kami. Sekian terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih. Yang Berhormat dengan Ucapan Penangguhan yang begitu bersemangat.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Sekarang saya mempersilakan Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin.

Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola mengucapkan terima kasih banyak-banyak atas keizinan Yang Berhormat untuk kaola menyampaikan Ucapan Penangguhan Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2021.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, melalui peluang keemasan yang diberikan ini, kaola lebih dahulu merafakkan sembah taat setia yang tidak berbelah bahagi kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas limpah perkenan lantikan kepada kaola selaku Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara bermula Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketiga Belas pada tahun 2017 hingga Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2021 ini. Kaola merafakkan sembah menjunjung kasih yang setinggi-tingginya kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, hari ini hari terakhir kaola berada di Dewan yang mulia ini setelah berakhir tempoh selama lima tahun selaku Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara kaola tanai sepenuh hati menjunjung limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas lantikan tersebut.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, dengan izin الله jua, persidangan ini berjalan dengan lancar dan sempurna di bawah kepimpinan, kebijaksanaan dan kecekapan Yang Berhormat Yang Di-Pertua dalam memimpin Dewan yang mulia ini. Juga atas kerjasama Yang Dimuliakan Jurutulis dan juga Yang Mulia Timbalan Jurutulis serta juga jasa bakti semua warga Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat yang bertugas walaupun persidangan ini dilangsungkan dalam suasana sedikit dikusuti oleh COVID-19. Namun, begitu kita semua dalam perlindungan الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى jua, آمِيْن... يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola amat bersyukur kerana mesyuarat pada kali ini terdapat banyak kemajuan perancangan dan projek yang akan dilaksanakan di Daerah Belait khususnya dan seluruh negara amnya. Ini akan membawa perkembangan dan kemajuan yang menjadi hasrat masyarakat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk melihat kemajuan yang diprogramkan itu atau rancangan mengikut keutamaan bagi Rancangan Kemajuan Negara yang diluluskan sebagaimana Anggaran Perbelanjaan 2020/2021 - 2021/2022 khususnya bagi Zon Mukim Seria dan Mukim Liang dan juga Zon 2, Mukim Kuala Belait dan mukim pedalaman di Daerah Belait.

Kaola mohon izin Yang Berhormat Yang Di-Pertua bagi kaola mengongsikan antara Rancangan Kemajuan Negara yang diluluskan oleh Dewan yang mulia ini. Antaranya khusus bagi Daerah Belait ialah masjid baharu Rancangan Perumahan Negara Kampung Lumut, menaik taraf sistem pembetungan di kawasan perbandaran Kuala Belait dan Seria, Skim Pembetungan Kampung Lumut, menaik taraf Loji Rawatan Agis-Agis Kampung Lumut, mengganti penongkat paip air mentah utama dari stesen pam air Badas ke Loji Rawatan Air Seria, membina stesen pengepam air mentah baharu Badas dan memasang paip air mentah dari Badas ke kawasan SPARK Kampung Lumut. Pembinaan Bangunan Perkhidmatan Kecemasan Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, pembinaan Pusat Kesihatan Kampung Pandan, Kuala Belait, bekalan elektrik di Mukim Sukang dan lain-lain lagi.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola dan masyarakat serta penduduk dalam Zon 1 Daerah Belait merakamkan ucapan syukur kepada اللَّه سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى dan ucapan terima kasih banyak-banyak dan penghargaan kepada kementerian-kementerian Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keprihatinan, 'mengelinga' dan memandang jauh ke hadapan menanai cita-cita Wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, sebelum kaola mengundurkan diri kaola jua mengambil kesempatan memohon kemaafan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Dimuliakan Jurutulis, Yang Mulia Timbalan Jurutulis yang dihormati dan seluruh warga Dewan yang mulia ini. Kaola juga ingin mengongsikan dua buah pantun iaitu:

Cincin permata delima ratu, Anak sembilang di tapak tangan, Walaupun jauh antara satu, Hilang di mata di hati jangan.

Rumpun bunga buah nipah, Si buah nipah berbuah nipah, Bunga mawar di atas ratu, Walaupun kita akan berpisah, Semoga berjumpa pada lain waktu.

Sekian, وبالله التوفيق والهداية. و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat. Sekarang saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu.

Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

بسم الله الرحمن الرحيم الحمدلله ربّ العالمين والصّلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين.

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ salam sejahtera dan salam "Permata Hijau". Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita bersyukur ke hadrat اللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana dengan izin serta limpah rahmat-Nya jua kita dapat menjalankan permesyuaratan ini dengan penuh tertib, hormat-menghormati dalam suasana norma baharu dengan aman dan damai kerana negara kita masih saja belum bebas sepenuhnya daripada wabak COVID-19.

Seterusnya kaola dengan hati yang tulus ikhlas dalam menyokong ucapan dan tahniah yang setinggi-tingginya yang telah disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dalam Ucapan Penangguhan sebelah pagi tadi atas kepimpinan, kebijaksanaan dan kesempurnaan Yang Berhormat selaku Yang Di-Pertua Dewan yang telah memimpin sepanjang Persidangan Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola dengan mengucapkan syukur ke hadrat اللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى atas limpahan kurnia dan nikmat dan dengan berkat daulat serta kepimpinan dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. أَلْحَمْدُ لِلّٰهِ Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien telah mula digunakan pada 17 Mac 2020 yang lalu.

Sehubungan dengan itu, kaola bagi mewakili seluruh segenap lapisan rakyat dan penduduk di Daerah Temburong khususnya sukacita merafakkan sembah kesyukuran dan menjunjung kasih ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kurnia pembinaan jambatan tersebut.

Dengan tersedianya kemudahan tersebut telah banyak memberi kemudahan kepada sekalian rakyat dan penduduk dalam mempertingkatkan lagi kualiti kehidupan secara umumnya. Peluang-peluang dan kegiatan-kegiatan perekonomian dan juga menjadi titik kritikal dalam mengharungi ujian pandemik COVID-19 bagi sama-sama secara pendekatan satu negara dan seluruh pihak yang berkepentingan serta barisan hadapan dalam menangani pandemik berkenaan.

Sesungguhnya Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien merupakan kurnia baginda dan kerajaan baginda yang amat bernilai tinggi dan terlalu signifikan kepada sejarah Negara Brunei Darussalam. Oleh yang demikian, kaola menyeru kepada seluruh pengguna jambatan tersebut akan senantiasa sama-sama memelihara kemudahan yang amat tinggi nilainya itu agar dapat juga memelihara kesinambungan perhubungan jalan demi memastikan segala urusan yang bergantung padanya lancar dan jauh dari segala musibah.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola juga mengucapkan syukur dan menjunjung kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah berkenaan mengurniakan Penubuhan Autoriti Kemajuan Daerah Temburong (AKDT) yang berperanan memantau perkembangan dan kemajuan Daerah Temburong.

Dalam kesempatan ini, kaola melahirkan penghargaan dan menyampaikan ucapan terima kasih yang setinggi-tingginya atas keprihatinan kerajaan baginda melalui pendekatan Whole of Nation Approach. Daerah Temburong telah berubah wajah dengan pembinaan beberapa infrastruktur baharu dan pengubahsuaian beberapa buah bangunan Kompleks Perniagaan Bumiputera, pembisaan landskap dan pembinaan industri dan waterfront yang menjadi mercu tanda baharu bagi Daerah Temburong. Penaiktarafan jalan-jalan utama dan penambahan kawasan letak kereta dan lain-lain lagi.

Pada masa yang sama kaola mengharapkan supaya segala perancangan dan inisiatif-inisiatif yang telah dirancang akan dapat dilaksanakan umpamanya menaik taraf beberapa buah bangunan di Pekan Bangar, membangun kawasan Mukim Labu (Kampung Labu). Projek-projek perekonomian (menaik taraf 'tamu' perayaan, Tamu Aneka Selera, pakej-pakej pelancongan, produk-produk berasaskan aktiviti, inisiatif ‘Hijau Temburong’, tapak-tapak pertanian, ternakan, perikanan akan dapat dibangun dan dimajukan.

Sukacita juga Kaola mencadangkan kepada pihak yang berkenaan untuk mendirikan tempat pameran biodiversiti hutan di Daerah Temburong bagi tujuan mendidik dan menanam minat masyarakat dan generasi muda dan bagi kepentingan pemeliharaannya.

Menyentuh kenaikan harga barang. اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, harga minyak di Daerah Temburong telah dapat disamakan nilainya dengan daerah-daerah lain. Walau bagaimanapun, diserukan kepada pihak-pihak yang berkenaan supaya akan sentiasa memantau harga barangan secara berterusan termasuklah harga barangan hasil produk tempatan. Walaupun kita menyedari permintaannya agak tinggi disebabkan persempadanan negara jiran masih lagi ditutup.

Dalam usaha meningkatkan penghasilan produk-produk tempatan yang sedia ada di daerah berkenaan, Kaola berseru dan mengharapkan pihak pengusaha atau peniaga termasuklah Majlis Perundingan Mukim Dan Kampung, “Satu Kampung, Satu Produk” supaya akan dapat meningkatkan pengeluaran hasil produk-produk mereka masing-masing dan berusaha memperbaiki perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan dan orang ramai.

Kaola percaya agensi-agensi kerajaan yang berkenaan bersedia membantu apa juga keperluan dan bantuan yang diperlukan. Apa yang menjadi kekhuatiran kita ialah apabila sempadan dibukakan nanti Daerah Temburong diharapkan tidak akan menjadi destinasi persinggahan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Bagi mengakhiri ucapan kaola di Dewan yang mulia ini, sekali lagi bagi mewakili rakyat dan penduduk di Daerah Temburong merafakkan sembah, menjunjung kasih setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas pemedulian dan keprihatinan baginda yang sangat mendalam terhadap pembangunan, kemajuan serta kebajikan rakyat keseluruhannya.

Kaola juga memohon doa ke hadrat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan keluarga baginda serta kerabat-kerabat diraja, pembesar-pembesar diraja dan pembesar-pembesar negara dan semua lapisan rakyat dan penduduk akan sentiasa mendapat hidayat perlindungan الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى dari segala anasir, wabak penyakit dan segala musibah nikmat sebaliknya mengekalkan nikmat keamanan, kemakmuran menjadikan sebuah negara yang aman, makmur dengan petunjuk الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, 5 tahun kita sudah bersidang, tentu ada pahit manis yang banyak kita rasakan:

Bunga dadap di atas bara, Anak Dusun pasang pelita, Andai tersilap tutur bicara, Jari disusun maaf diminta.

Khususnya kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Dimuliakan Jurutulis, Timbalan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, rakan-rakan seperjuangan, pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat dan siapa sahaja yang terlibat sepanjang majlis mesyuarat ini berlangsung:

Tanam sirih dalam taman, Gali lubang tepi perigi, Terima kasih hadirin sekalian, Lain kali berjumpa lagi.

Kaola turut bersama-sama dalam Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Yang Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara ini menyokong untuk ditangguhkan.

Sekian, وبالله التوفيق والهداية. والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat. Sekarang dipersilakan pula Yang Berhormat Awang Ong Tiong Oh.

Yang Berhormat Awang Ong Tiong Oh

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Yang Berhormat Ahli Rasmi Kerana Jawatan dan Ahli-Ahli Yang Berhormat Yang Dilantik. Dalam kesempatan ini, kaola ingin mengucapkan tahniah yang setinggi-tinggi kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kewibawaan dan kebijaksanaan dalam memimpin Permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara ini dengan tenang, efisien dan teratur.

Kaola juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri-Menteri atas ketabahan dan kesabaran dalam mendengarkan serta memberikan penjelasan-penjelasan kepada soalan serta cadangan yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Dalam masa kita sama-sama menuju Wawasan Brunei 2035 ini, jelas menunjukkan bahawa semua masyarakat harus berganding bahu dalam merealisasikan perkembangan serta kemajuan negara. Di samping itu juga, dalam masa Negara Brunei Darussalam mengorak langkah untuk menjadi sebuah negara yang sustainable serta menjulang hasrat negara ke arah Revolusi Industri 4.0, pentadbiran juga memainkan peranan yang penting. Pentadbiran yang efisien, bijaksana, cepat dan telus akan membuahkan hasil yang mampan. Banyak yang telah kita saksikan kebanyakan pentadbiran di negara ini semakin maju dan banyak inisiatif yang telah diambil seperti menggunakan teknologi-teknologi yang moden mengikut peredaran masa.

Sebelum kaola mengakhiri Ucapan Penangguhan ini kaola sukacita mengucapkan penghargaan dan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Yang Dimuliakan Jurutulis dan Timbalan Jurutulis dan seluruh kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat yang telah terlibat dalam menjayakan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini dengan teratur dan lancar.

Akhir kata, saya berharap melalui Persidangan Majlis Mesyuarat Negara dan muzakarah yang berterusan, pihak kerajaan akan terus mendengar seruan dari yang dekat dan rhetoric sementara keluhan dari yang kecil dan lemah juga didengar dan dirasakan. I sincerely hope that through continuous dialogue the authority will hear the call from the near and rhetoric, also hear and feel the side from far and weak. Sekian terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat. Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Umarali bin Esung.

Yang Berhormat Awang Haji Umarali bin Esung

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

بسم الله الرَّحْمٰنِ الرَّحِيمِ أَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ. dan salam السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ sejahtera.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Yang Berhormat Ahli-Ahli Rasmi Kerana Jawatan, Yang Berhormat Ahli-Ahli Yang Dilantik serta yang hadir di Dewan yang mulia ini.

Kaola sukacita mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kesempatan kaola memberikan Ucapan Penangguhan di Dewan yang mulia ini. Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola menyokong penuh dan menyambut baik Peruntukan Belanjawan Tahun 2021/2022 yang telah diluluskan di Dewan yang mulia ini.

Kaola bersyukur dan berdoa agar semua rancangan ke arah melaksanakan agenda kemajuan negara akan mencapai hasrat yang diharap-harapkan. Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola percaya dengan berkat kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seluruh rakyat dan penduduk negara ini akan terus komited mendukung hasrat kerajaan ke arah kecemerlangan menuju Wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, untuk mencapai kejayaan, kerjasama dan bertanggungjawab adalah kunci ke arah merealisasikan semua bentuk pembangunan yang dirancang. Oleh yang demikian, setiap rangka kerja yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan mahupun swasta sama ada yang sedang berjalan atau yang akan datang hendaklah mengikut garis panduan berlandaskan undang-undang dan konsep Melayu Islam Beraja (MIB) agar semua kejayaan yang dicipta sentiasa beroleh keberkatan daripada الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى jua dan kekal mengikut ‘calak’ Brunei yang kita ni hargai.

Selain itu, sistem pendidikan di Negara Brunei Darussalam yang menjadi gedung ilmu hendaklah terus diperkasa dan diseimbangkan berdasarkan keperluan duniawi dan ukhrawi. Dengan ini negara kita akan sentiasa melahirkan generasi yang mentaati raja, beriman, berilmu dan berkebolehan sebagai sumber tenaga manusia yang mengirakan kemajuan sama ada di sektor awam atau swasta, sentiasa berkhidmat dengan penuh dedikasi, amanah, jujur dan ikhlas demi kejayaan Negara Brunei Darussalam yang kita cintai ini إن شاء الله.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, sebelum kaola mengundur diri, kaola tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua memberi peluang kaola bercakap dan memberi pandangan untuk berbahas peruntukan Perbelanjaan Tahun 2021/2022 semoga semua perbahasan dapat diambil perhatian sebaik mungkin dan mampu menyumbang kepada kemajuan Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, sekalung budi dan tahniah kepada Yang Dimuliakan Jurutulis dan juga Timbalan Jurutulis serta pegawai-pegawai dan warga kerja Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat atas kejayaan menjayakan Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2021.

Akhir kalam, kaola dengan ini memohon maaf jika ada tersorok langkah, tutur kata yang tidak sopan terutama sekali kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian dan untuk akhirnya ada sekerat pantun, walaupun pantun ini sudah dikeluarkan tadi ada satu perkataan yang tertinggal tidak tersebut.

Kalau ada semut di ladang, Boleh sama menumpang mandi, Kalau ada umur kita yang panjang, إن شاء الله boleh kita berjumpa lagi.

Sekian, وبالله التوفيق والهداية. وَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih. Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

بسم الله الرحمن الرحيم أَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.

الحمد لله Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola mulakan tadi ucapan kaola dengan satu doa:

وَقُل رَّبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلْطَانًا نَّصِيرًا (80)

رَّبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ “Ya الله, ya Tuhan masukkan aku ke dalam kemasukan yang benar”.

وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ “dan keluarkanlah aku selepas ini dengan keluarnya yang benar jua”.

وَاجْعَلْ لِي مِن لَّدُنكَ سُلْطَانًا نَّصِيرًا

“Dan jadikanlah bagiku satu kekuatan untuk menenangkan perjuanganku,” إِنْ شَاءَ اللَّهُ.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola mengucapkan terima kasih segunung intan atas kemurahan hati Yang Berhormat Yang Di-Pertua sentiasa memberikan peluang untuk kaola bercakap dan berkongsi buah fikiran di Dewan yang mulia ini. Tidak lupa juga terima kasih kepada Yang Dimuliakan Jurutulis dan Yang Mulia Timbalan Jurutulis serta semua warga Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat yang telah memudahkan perjalanan sepanjang permesyuaratan kitani.

Dalam kesempatan yang penuh keemasan ini, izinkan kaola ‘menjulungkan’ perkara-perkara berikut.

Peranan penjawat awam sebagai jentera kerajaan amat penting bagi memastikan kerajaan berfungsi dengan sempurna. Untuk itu, seluruh penjawat awam dari semua peringkat hendaklah sentiasa komited dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan berpaksikan falsafah negara Melayu Islam Beraja demi menjayakan Wawasan Brunei 2035 yang bermatlamatkan bagi mewujudkan: بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

“Negara makmur indah dan اللهُ mengampuni”.

Sehubungan dengan itu, kaola ingin menyarankan agar semua penjawat awam dalam semua peringkat bertugas dengan penuh jujur, amanah dan ikhlas semata-mata kerana الله jua demi kebaikan dan kemajuan negara bangsa. Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Di Dewan yang mulia ini, kaola ingin mengajak semua peringkat penjawat awam supaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Kepada penjawat-penjawat awam yang bertugas di jabatan-jabatan yang mempunyai akta dan peraturan serta undang-undang tertentu, hendaklah bertugas dengan cekap, cepat dan tegas dalam menguatkuasakan undang-undang berpandukan amar makruf nahi mungkar. Tanpa perasaan takut-takut atau ragu-ragu.

رسول الله صلى الله عليه وسلم telah bersabda: “Dari Abu Sa'id Al Khudri رضي الله عنه berkata: Saya mendengar رسول الله telah bersabda: Sesiapa yang melihat kemungkaran maka rubahlah ia dengan tangannya (kuasanya), jika ia tidak mampu maka rubahlah ia dengan lisannya (lidahnya), jika tidak mampu jua maka rubahlah dengan hatinya dan yang perkara itu adalah selemah-lemah iman” iaitu dengan hati sahaja. Marilah kita semua menghayati maksud dan pengajaran daripada hadith رسول الله صلى الله عليه وسلم ini, semoga dengannya kita akan beroleh rahmat dan berkatnya.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, sebagai penutup ucapan kaola ini terimalah jua beberapa rangkap syair dan pantun sepertimana Yang Berhormat Yang Di-Pertua harapkan.

Kita bersidang bersungguh-sungguh, Dengan jiwa dan semangat yang kukuh, Dengan perpaduan hati yang teguh, Berjaya menghasilkan bajet yang kukuh.

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Kepimpinan Yang Berhormat Yang Di-Pertua amat berwibawa, Penuh bijaksana berhati mulia, Memandu persidangan penuh ceria.

Pantun yang satu ini, kaola tujukan khas kepada teman-teman sahabat Yang Berhormat Menteri-Menteri teristimewa Yang Berhormat ‘adika’ Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang sering berpantun.

Pantun ini adalah pantun lama tapi kaola hidupkan semula dan sebenarnya ditujukan kepada orang yang berjanji mulut, kaola menganggap apa-apa yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri-Menteri, walaupun ia setakat ini telah diluluskan yang bererti secara undang-undang telah pun diterima tetapi pihak kami di sini masih menganggap sebagai hutang. Hutang ini ada 2 iaitu: 1. Hutang bertulis; dan 2. Hutang ‘janji mulut’, tapi janganlah salah hati. Begini bunyinya:

Limau purut 3 serangkai, Oleh membeli di kedai Cina, Janji mulut jangan dipakai, Banyak sudah orang terkena.

Diharap apa-apa yang telah pun diikrarkan dan diturunkan sebagai Rang Undang-Undang akan dapat ditunaikan dan dilaksanakan dengan sepenuhnya. Akhirnya, kaola dengan segala rendah hati dan hormat serta takzim menyembahkan sembah junjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah mengurniakan kepimpinan bijaksana dan dinamik dengan izin serta keagungan اللهُ jua telah menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara yang maju dan membangun dengan mendapat berkah dan reda illahi.

Kaola turut menyokong supaya Persidangan Majlis Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara ditangguhkan, dan mohon maaf sekali lagi kerana kaola sering kali keluar Dewan atas sebab faktor umur.

Sekian,
وَبِاللهِ التَّوْفِيقُ وَالْهِدَايَةِ. وَالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Menteri Pembangunan.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

اَلْحَمْدُ للهِ kaola sukacita merakamkan tahniah dan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kebijaksanaan dalam memimpin dan menjalankan Persidangan Majlis Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara dengan sempurna dalam suasana tenang dan harmoni walaupun negara dan dunia masih dalam bergelut dengan penularan Pandemik COVID-19.

Kaola sukacita mengingatkan kembali titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara tempoh hari antaranya baginda bertitah:

“Pemegang dasar dikehendaki telus dan berani. Dalam Persidangan ini perbincangan janganlah dilimit untuk menyekat pandangan dan pendapat daripada para ahli. Sesungguhnya banyak isu penting yang boleh dimuzakarahkan bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan oleh anak-anak buah kampung dan peniaga-peniaga tempatan”.

Kementerian Pembangunan mengambil baik semua soalan teguran dan cadangan yang disuarakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini. إن شاء الله Kementerian Pembangunan akan mengambil tindakan-tindakan yang bersesuaian mengenai cadangan-cadangan yang ditimbulkan sepanjang persidangan ini. Pembinaan infrastruktur di negara ini, membuktikan pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terus komited ke arah pembangunan infrastruktur sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi. Pihak kerajaan melalui Kementerian Pembangunan telah banyak melaksanakan projek yang memberi impak yang besar dalam menaik taraf kehidupan rakyat dan penduduk di negara ini seperti pembekalan air yang bersih, sistem saliran dan pembetungan, Skim Rancangan Perumahan Negara dan sebagainya.

Dalam kesempatan ini juga, kaola ingin mengucapkan terima kasih atas penglibatan dan sumbangan Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam menjalankan inisiatif kementerian terutama sekali dalam Manpower Industry Steering Committee, penjagaan alam sekitar, local business development, Brunei National Climate Change Policy dan banyak lagi. Sebenarnya ini adalah Whole of Nation Approach.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Sebelum kaola mengakhiri Ucapan Penangguhan ini, sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan Yang Berhormat Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat kerana meluluskan Rang Undang-Undang Kementerian Pembangunan dan diharap akan dapat digunakan sepenuhnya dan dilaksanakan pada masa yang ditetapkan.

Sekian, وبالله التوفيق والهداية، و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat. Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari.

Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari

Terima Kasih Yang Berhormat Di-Pertua.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ and salam sejahtera.

Kaola lebih dahulu mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Di-Pertua atas kebijaksanaannya memimpin permesyuaratan ini dan kaola juga tidak lupa mengucapkan penghargaan kepada Yang Berhormat Ahli Rasmi Kerana Jawatan bukan sahaja dalam menjawab soalan-soalan yang disuarakan tetapi juga telah banyak membimbing sepanjang lima tahun melalui pelbagai muzakarah, lawatan rasmi dan lawatan tidak rasmi.

Sejak lantikan kaola 4 tahun yang lepas, sudah dapat dilihat banyak perubahan yang sangat positif dan ketara. Kaola sangat-sangat berbesar hati kerana telah diberi begitu banyak kepercayaan, sokongan, nasihat dan dorongan kerjasama dengan Yang Berhormat Ahli Rasmi Kerana Jawatan dalam beberapa isu yang telah kaola suarakan di Dewan yang mulia ini. Kita berbangga di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kita dapat melihat perubahan baharu dan progresif ini termasuklah inisiatif-inisiatif di bawah Economic Blueprint, Digital Economy Masterplan 2025 dan sebagainya. Ini dapat membantu Negara Brunei Darussalam mengatasi impak COVID-19 seperti dalam menjana lebih banyak pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran.

Antara isu yang paling sering kaola bangkitkan ialah yang berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim. الْحَمْدُ للهِ, banyak peningkatan dari dasar dan protokol yang baru dilancarkan. Ini mencerminkan usaha dan komitmen dari pihak kerajaan dan juga sokongan dari pelbagai agensi swasta dan badan bukan kerajaan. Ia akan lebih mencabar untuk melestarikan usaha-usaha ke arah pemulihan alam sekitar yang diimbangkan dengan perkembangan ekonomi. Usaha menangani ini temasuklah isu haiwan liar, akan memerlukan banyak sumbangan terutama sekali orang ramai bagi membiayai dana penyelidikan pendidikan biodiversity dan juga bagi mengawal pembiakan haiwan liar.

Seterusnya bagi Pembangunan Belia, الْحَمْدُ للهِ dengan pelancaran Dasar Belia Negara dan Strategi 2020/2035, ianya diharapkan akan membolehkan pembangunan negara yang lebih inklusif melalui penubuhan mekanisme maklum balas rasmi antara agensi kerajaan dan komuniti belia. Kaola menyambut baik usaha yang terus menerus untuk memperkasa belia melalui pelbagai platform termasuk menyediakan youth grant, inkubasi dan latihan kemahiran. Kesedaran bagi peluang-peluang ini haruslah ditingkatkan bagi membolehkan lebih ramai belia untuk melibatkan diri secara langsung dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.

Dari segi isu kemasyarakatan dan kebajikan pula, kaola berasa amat terharu melihat Negara Brunei Darussalam kuat dan gigih dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif berkaitan dengan kesihatan mental termasuklah dengan memperkenalkan Talian Harapan '145'. Pemberigaan sudah sering kita lihat sama ada dijalankan oleh pihak kerajaan mahupun badan bukan kerajaan namun ia masih dapat ditingkatkan bagi mengurangkan stigma yang dikaitkan dengan kesihatan mental dan memberi platform dan ruang bagi orang ramai untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan.

Seperti yang sudah dinyatakan oleh rakan Ahli Yang Berhormat kelmarin, performance yang ada ini perlu dipertahankan dan dalam masa yang sama kita mengharapkan perlunya pendekatan baharu. Segala usaha yang telah dijalankan perlu dipantau dan diperbaiki kelemahannya dan dikekalkan kebaikannya. Peruntukan bagi penyelenggaraan dan juga research and development harus disediakan.

Kita sedang berada pada era baharu dengan komunikasi sekarang jauh lebih telus. Orang ramai dapat memberi pandangan dan buah fikiran secara langsung kepada Yang Berhormat Menteri-Menteri dan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara sama ada melalui sesi pemberigaan ke mukim-mukim, dialog mahupun townhall. Gunakanlah platform ini dengan cara yang sihat bagi tujuan membangunkan negara dan untuk melahirkan masyarakat yang lebih bermaklumat.

Seperti apa yang telah disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama pagi tadi, kita semua memikul amanah dan bebanan yang berat, kaola cuba sedaya upaya untuk menyampaikan hasrat rakyat dan perbincangan tidak akan berakhir di sini. Kaola mengambil baik saranan dan jemputan daripada Yang Berhormat Ahli-Ahli Rasmi Kerana Jawatan untuk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian bagi pelbagai isu yang masih menjadi kekhuatiran orang ramai termasuklah gangguan seksual, haiwan liar, industri kreatif, pengangkutan awam, memperkasakan golongan orang kelainan upaya, rasuah, literasi kewangan dan juga meningkatkan kesedaran tentang masalah sosial bagi pelajar dan belia.

Sebelum mengakhiri ucapan kaola, kaola mengucapkan terima kasih kepada Yang Dimuliakan Jurutulis, Yang Mulia Timbalan Jurutulis, pegawai-pegawai serta kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat termasuklah para-para pelatih (interns) dan pasukan sekuriti. Kaola juga tidak lupa memohon maaf jika terdapat sebarang perbuatan yang kurang sopan dan percakapan yang menyinggung perasaan yang sengaja atau tidak sengaja. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat dan saya persilakan sekarang Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit.

Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

بسم الله الرحمن الرحيم الحمدُ للهِ ربِّ العَالمينَ والصَّلاةُ والسَّلامُ على أشرفِ الأنبياءِ والمرسلينَ وعلى آلهِ وصحبِهِ أجمعينَ. رَبِّ اشرحْ لي صدري. ويَسِّرْ لي أمري. واحللْ عُقدةً من لساني يفقهوا قولي. لا حولَ ولا قوَّةَ إلَّا باللهِ العليِّ العظيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. الحَمْدُ للهِ, Peruntukan Belanjawan 2021/2022 baru sahaja diselesaikan iaitu diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara, diharap peruntukan ini dapat digunakan dengan sempurna dan sepenuhnya pada program dan aktiviti kemajuan yang dirancang dengan sempurna dan ‘titih’ mengikut masa yang ditetapkan demi kesejahteraan penduduk dan kemakmuran negara.

Dalam kesempatan ini, kaola merakamkan ucapan tahniah yang setinggi-tingginya kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kebijaksanaan dan kewibawaan mengendalikan Majlis Mesyuarat ini, maka majlis berjalan lancar walaupun menghadapi masa yang terhad dalam suasana masih mematuhi kawalan keselamatan SOP pandemik COVID-19.

Ucapan penghargaan dan terima kasih juga kepada Yang Berhormat Menteri-Menteri yang dapat menjawab dan menjelaskan dengan penuh sabar akan soalan dan saranan abiskaola, walaupun ada beberapa soalan yang belum terjawab maka kaola berharap mendapat maklum balas kemudian nanti.

Tidak lupa juga merakamkan ucapan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Yang Dimuliakan Jurutulis, Yang Mulia Timbalan Jurutulis serta pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat atas sokongan dan kerjasama diberikan kepada kaola sepanjang permesyuaratan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola mewakili Zon 2 dari Daerah Tutong yang diamanahkan untuk memeduli apa juga permasalahan berkaitan kesejahteraan dan keselamatan rakyat di kawasan ini yang terdiri daripada 5 Mukim Daerah Tutong, iaitu 2 kawasan fizikal bumi yang berbeza dan masyarakat yang berbeza budaya di Daerah Tutong iaitu kawasan pedalaman dan kawasan pesisir pantai. Sudah setentunya mempunyai permasalahan yang berbeza, maka isu yang dianggap kecil oleh sesetengah pihak perlu juga disuarakan, apabila sudah puluhan tahun tidak pernah selesai kerana ia dianggap keutamaan atau besar bagi masyarakat setempat. Tindakan kaola selain daripada berjumpa dan berhubung melalui telefon, kaola juga menghadapkan beberapa aduan kepada pihak-pihak berkenaan menerusi surat-menyurat, yang salinannya ada diberikan juga ke Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.

Malah apabila sesuatu aduan tidak tertunai atau lambat, maka mana-mana yang bersesuaian dengan tenaga Ahli-Ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) dan Majlis Perundingan Mukim (MPM) dan penduduk berkenaan akan menyelesaikan masalah tersebut dengan mengadakan kempen-kempen seperti membersih longkang tersumbat, malah melakukan penampalan jalan-jalan kecil yang berlubang, membersihkan jalan tertimbus, menebang dahan pokok yang berjuntai dan pokok yang menghalang pandangan pemandu.

Walau bagaimanapun, kaola merakamkan ucapan penghargaan yang setinggi-tingginya dan terima kasih ke atas agensi-agensi kerajaan yang telah menyokong dan membantu menyempurnakan kerja-kerja yang disebutkan tadi, namun permohonan mendadak atas kecemasan secara serta-merta demi kesejahteraan dan keselamatan penduduk-penduduk berkenaan. Ada juga pegawai dan kakitangan dari agensi berkenaan datang untuk meninjau dan memantau.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Dari kawasan pelupusan sampah Sungai Paku sehingga hujung Jambatan Sungai Telamba, Daerah Tutong sudah menjangkau 60 tahun sejak pembinaannya tetapi belum ada disediakan longkang yang sempurna menyebabkan tanah susur menutupi permukaan jalan dan kini keadaan jalan yang bertingkat-tingkat kerana sering dilalui oleh kenderaan berat mengangkat tanah dan trailer mengangkut sampah dari pelupusan Kampung Sungai Akar.

Keadaan jalan yang tidak rata ini menyebabkan tanah berjatuhan dari kenderaan berat ke permukaan jalan dan pernah juga berlaku kejadian kemalangan melibatkan kematian. Begitu juga jalan-jalan di kawasan pedalaman Daerah Tutong, sudah sekian lama menghadapi kesukaran melalui beberapa jalan yang sering ditenggelami air apabila musim hujan kerana paras jalan yang rendah dan kerana mempunyai sistem pengaliran yang tidak lancar seperti sungai yang dipenuhi oleh pokok-pokok dan dasar yang cetek oleh timbunan pasir dan tumbuhan rumput.

Kaola sendiri bersama penduduk kawasan berkenaan telah berusaha bersama-sama membersih kawasan tersebut tetapi oleh sebab keadaan berlaku sepanjang jalan, jadi memang tidak ada keupayaan melaksanakan secara sempurna tanpa menggunakan jentera yang khusus.

Jadi, harapan penduduk kepada Kaola, supaya disampaikan dalam majlis ini walaupun diketahui agak berat rasanya ia sebagai satu tekanan dan serba salah: “Ditelan mati emak, diluah mati bapak.” kerana isu-isu ini dianggap kecil oleh sesetengah orang, jika dibiarkan akan mengakibatkan kesan yang lebih besar misalnya mengakibatkan pencemaran alam sekitar, kerosakan harta benda dan kemalangan menyebabkan beban yang besar untuk menyelesaikan masalah ini. Oleh itu, berkaitan dengan permasalahan di atas, diharap akan termasuk dalam rancangan penyelesaian yang akan datang.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Dalam membantu perkembangan pembangunan ekonomi negara, maka sektor bukan minyak dan gas seperti sektor perikanan, pertanian dan agrimakanan dan industri pelancongan adalah menjadi penyumbang utama.

Menyentuh bagi meningkatkan sektor perikanan secara akuakultur air masin dan akuakultur air tawar perlu digalakkan dengan bantuan-bantuan yang tertentu supaya lebih banyak pengusaha khususnya anak tempatan yang belum bekerja terutama akuakultur ikan tawar kerana ia mudah dilaksanakan di kawasan sungai, tasik, kolam dan paya daripada perikanan kawasan air masin. Bantuan pihak berkenaan mesti dilaksanakan bagi memajukan sektor perikanan dengan menyediakan kemudahan seperti membina struktur contohnya tempat penyimpanan ikan, mewujudkan persatuan atau koperasi nelayan untuk membolehkan nelayan tempatan berdaya saing dan tidak dibelenggu kemiskinan.

Seterusnya menyediakan bantuan modal seperti subsidi minyak, bot, enjin dan pukat dan menyediakan sistem pemasaran berpusat di persisiran pantai atau sungai. Bagi memajukan sektor pertanian pula sangat penting menggiatkan teknologi bersesuaian berkait dengan industri pertanian untuk meningkatkan penghasilan dan keberkesanan dengan memodenkan sektor pertanian selain membantu meningkatkan pulangan pengusaha.

Di samping itu, mengikuti pameran pertanian antarabangsa dapat membantu hubungan 2 hala dengan negara lain untuk mengembangkan bidang berkaitan dengan pertanian dan perikanan. Pertanian hiliran juga boleh dilakukan untuk memasarkan satu produk lebih tahan lama dengan menghasilkan makanan segera dari sumber utama yang cepat buruk dan rosak. Contohnya kerepek mempunyai tempoh pasaran yang lebih lama tetapi mempunyai harga jualan yang agak tinggi.

Oleh itu petani atau nelayan yang sudah ada dan bakal menceburi bidang ini seharusnya diberi bantuan dengan pengetahuan yang tinggi tentang strategi pemasaran yang berkesan. Selain itu, pengetahuan bioteknologi didedahkan juga kerana pengetahuan ke arah ini boleh mengurangkan kos pengeluaran, meningkatkan hasil, kurang penggunaan racun perosak dan pengetahuan pembiakan baka tidak perlu bersandar kepada import baka.

Oleh itu, kemudahan industri yang disebut di atas ini berpotensi ditambah dan dilaksanakan di Daerah Tutong berdasarkan fizikal bumi, berhampiran pesisir laut dan sungai serta tanah yang subur. Tambahan pula kini telah banyak wujud perusahaan sektor pertanian dan agrimakanan di daerah ini.

Dari segi sektor pelancongan Daerah Tutong boleh dimajukan dengan penambahbaikan beberapa infrastruktur rumah puak-puak di Taman Sungai Basong dan rumah panjang, Galeri Tasik Merimbun dan memajukan kawasan seberang sungai Pekan Tutong.

Selain itu, disediakan juga tempat penginapan yang menarik dari segi keselesaan dengan pakej harga yang murah harus disertakan dengan pelbagai aktiviti seperti lawatan persekitaran alam semula jadi, hiking, bersampan, berkayak, memancing, persembahan kesenian dan kebudayaan puak-puak, makanan tradisional di samping makanan biasa dan menyediakan pelancong yang mengetahui akan keadaan dan sejarah setempat dan ejen pelancong pemandu pula hendaklah menawarkan tiket pelancongan kepada semua destinasi bukan hanya menumpukan satu kawasan mukim sahaja agar pengusaha produk mukim yang lain dapat keistimewaan dan rezeki yang sama.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Berkenaan dengan kebersihan alam sekitar kaola mengucapkan tahniah atas kesungguhan pegawai dan kakitangan penguatkuasaan yang sentiasa 'mengelinga' isu pembuangan sampah dan puntung rokok yang sewenang-wenangnya.

Setiap hari kita mendengar individu atau syarikat yang dikenakan compound. Dalam perkara ini mungkin ada satu hal yang mungkin terlepas pandang iaitu kertas-kertas iklan perniagaan yang diselitkan pada handle dan wiper kenderaan tercicir dan berterbangan merata kawasan terutama kawasan premis membeli-belah perlu juga diambil perhatian.

Saranan kaola dalam membantu mengiklankan perniagaan ini supaya setiap premis yang sering dikunjungi orang ramai agar dapat menyediakan papan pameran dengan dikenakan bayaran kepada yang mahu menampal kertas iklan dengan kadar yang bersesuaian.

Akhirnya, kaola sebelum mengundur diri ingin menyampaikan permohonan maaf kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Yang Dimuliakan Jurutulis, Yang Mulia Timbalan Jurutulis dan pegawai serta kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat. Andainya ada terdapat kesilapan tutur kata dan suruk langkah kaola yang kurang elok sepanjang permesyuaratan ini. Kaola akhiri dengan 3 rangkap pantun:

Udang bekara menangkap susah, Sukar dikesan sembunyinya lama, Mesyuarat Negara tamatlah sudah, Harap keputusan ditangani sempurna.

Catatan aksara di sebelah pagi, Surat dituju waktunya subuh, Segala bicara tiadalah lagi, Kaola setuju untuk ditangguh.

Bunga merah delima batang, Ikan bermasa menjulut tulang, Empat daerah wakil yang datang, Tiba masa berundur pulang.

Sekian didoakan semoga kita semua mendapat rahmat diberkati dan sentiasa dalam perlindungan daripada أمين يا الأمين . الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih yang setinggi-tingginya dan penghargaan dengan Ucapan-Ucapan Penangguhan yang telah disampaikan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat bukan sahaja dari tengah hari ini juga tetapi sejak pagi tadi.

اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, Persidangan Majlis Mesyuarat Negara kali Ketujuh Belas telah pun selesai kita laksanakan dengan sempurna dan seterusnya telah meneliti dan meluluskan Rang Undang-Undang 2021/2022 Perbekalan, 2021/2022 meskipun kita berhadapan dengan jangka waktu yang mendesak.

Dalam kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang setinggi-tingginya dan penghargaan yang ikhlas atas kerjasama yang telah diberikan kerana kita telah dapat melaksanakan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara ini yang telah diadakan selama 11 hari dalam suasana yang penuh harmoni, muhibah dan saling menghormati selaras dengan konsep kita Melayu Islam Beraja.

Ucapan terima kasih yang setinggi-tingginya dan penghargaan juga saya tujukan khusus kepada pembantu-pembantu saya Yang Dimuliakan Jurutulis, Yang Mulia Timbalan Jurutulis, Yang Mulia Bentara Dewan serta semua pegawai dan kakitangan termasuk mereka yang ditugaskan dari beberapa buah kementerian dan jabatan atas usaha gigih dan komitmen tinggi yang diberikan dalam menyediakan pelbagai keperluan sepanjang permesyuaratan yang kita adakan ini.

Kesempurnaan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara ini juga atas kerjasama yang diberikan oleh semua pihak yang membantu menyediakan keperluan logistik termasuklah liputan media massa dan pihak kerajaan lain iaitu, Radio Televisyen Brunei, Jabatan Penerangan serta media cetak di dalam negeri termasuklah surat khabar tempatan yang telah membolehkan orang ramai mendengar dan mengikuti perbincangan-perbincangan yang kita adakan secara terbuka sepanjang persidangan ini.

Saya juga ingin menyembahkan sepenuh-penuh menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan baginda bercemar duli untuk Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara pada hari Isnin, 1 Syaaban 1442 bersamaan 15 Mac 2021 dan seterusnya baginda telah mengurniakan titah dalam majlis tersebut. Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam itu jelas mencerminkan keprihatinan baginda terhadap kemakmuran negara serta kesejahteraan dan kebajikan rakyat dan penduduk di negara kita ini.

Dalam pemerhatian saya perbincangan yang diadakan dalam Dewan ini telah dapat sedikit sebanyak memenuhi apa yang tersirat dalam kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam itu, mengenai percambahan fikiran dan perlunya perbincangan diadakan dengan rancak tetapi sihat. Di samping mencetuskan pemikiran serta menimbulkan perkara-perkara yang baharu, Ahli-Ahli Yang Berhormat juga nampaknya bersungguh-sungguh memberikan perhatian kepada isu-isu yang berbangkit dengan penuh keprihatinan sama ada yang menyentuh mengenai kepentingan permintaan masyarakat di peringkat akar umbi mahupun dari segi perkongsian pandangan dan buah fikiran semata-mata. Semua ini seeloknya dibuat penelitian dan pertimbangan secara terperinci oleh pihak berkenaan akan kesesuaian dan kemanfaatannya kepada kerajaan serta rakyat dan penduduk negara ini.

Ahli Yang Berhormat, sepanjang Persidangan Majlis Mesyuarat Negara ini kita juga telah mendengar mengenai pelbagai usaha dan inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini serta bagi perkembangan sosioekonomi dan kemakmuran negara yang berpanjangan.

Oleh itu, adalah wajar seterusnya bagi Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk sama-sama memberitakan dan mengongsikan inisiatif-inisiatif yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan kepada anak-anak buah kampung masing-masing ataupun constituent masing-masing untuk meningkatkan kesedaran serta kefahaman mengenai isu-isu yang berkenaan itu.

Saya telah menekankan dalam mesyuarat ini bahawa saya kira inilah kekuatan Majlis Mesyuarat Negara di negara kita ini yang kerajaan pihak kementerian masing-masing bersedia memberikan maklumat yang terkini yang saya kira tidak boleh didapatkan di mana-mana dan telah pun diberikan dengan keikhlasan oleh menteri-menteri yang berkenaan itu.

Saya harap kedua-dua belah pihak satu hari nanti saya ingin melihat bahawa apa yang disebut oleh menteri di sebelah sini akan dapat disebut juga oleh rakan-rakan di sebelah bahawa menurut kerajaan inilah yang akan dibuat dan inilah rancangan-rancangannya mungkin kita akan menyoal. Bilakah ia akan dimulakan dan dapat diselesaikan? Saya kira perkara itu tidak timbul lagi. Usaha-usaha untuk mendapatkan penjelasan ataupun penerangan itu tidak seharusnya menunggu Persidangan Majlis Mesyuarat Negara tahun hadapan.

Oleh itu, dialog dan sesi permuzakarahan dengan kementerian kira adalah sesuai untuk diteruskan dari semasa ke semasa di luar Dewan yang mulia ini. Saya juga difahamkan dan menteri-menteri yang berkenaan juga telah menyuarakan akan kesediaan mereka menjumpai tuan dan puan semua di sebelah kiri saya bila-bila masa sama ada berkumpulan ataupun secara perseorangan untuk menimbangkan, berfikir bersama-sama sebelum keputusan muktamad dibuat oleh pihak kerajaan.

الحمدُ للهِ, kita juga harus bersyukur kerana berkat doa yang terus dipanjatkan ke hadrat اللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى Negara Brunei Darussalam telah berjaya membendung penularan wabak COVID-19. Semua ini atas berkat kepimpinan dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui kerajaan baginda mengenal pelbagai langkah bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 serta kerjasama dari semua pihak terutama sekali para petugas barisan hadapan dalam sama-sama mengatasi melalui pendekatan Whole of Nation Approach. Kita hanya boleh terus berdoa semoga keadaan ini akan berkekalan.

Akhir sekali, marilah kita sama-sama berdoa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja akan senantiasa dalam kebahagiaan, sihat walafiat serta mendapat petunjuk dan perlindungan اللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى. Maka dengan ucapan yang ringkas ini yang dapat saya petik dalam mempengerusikan Majlis Mesyuarat Negara kali ini dan mengikut Peruntukan 35 (1) dari Peraturan Majlis Mesyuarat Negara maka Majlis Mesyuarat Negara ini saya tangguhkan pada satu masa yang belum ditetapkan tarikhnya. إِنْ شَاءَ اللَّهُ kita akan berjumpa lagi.

Sekian,
وَبِاللهِ التَّوْفِيقِ وَالْهِدَايَةِ. وَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

(Persidangan Majlis Mesyuarat Negara ditangguhkan)

Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.