Langkau ke kandungan utama
For Informational Purposes Only

Source: https://www.majlis-mesyuarat.gov.bn/wp-content/uploads/2025/09/Penyata-Rasmi-MMN-Ke-17-Tahun-2021.pdf

HARI KE-2

Rumusan Bacaan

📖 Masa membaca: 118 minit
📊 Bilangan kata: 23,862 kata

16HB MAC 2021

(Mesyuarat mula bersidang pada pukul 9.30 pagi)

Yang Mulia Timbalan Jurutulis

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ. Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara bersidang hari kedua pada hari ini, Selasa, 2 Syaaban 1442 bersamaan 16 Mac 2021 didahului dengan Doa Selamat.

DOA SELAMAT

Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Abdul Hamid.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, kita bersyukur ke hadrat اللهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana dengan limpah rahmat-Nya jua kita dapat bersama-sama berkumpul hadir dalam majlis pagi ini untuk bersidang di Majlis Mesyuarat Negara Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas. Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita سيدنا محمد صلى الله عليه وسلم kaum kerabat, para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Dengan rahmat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى jua maka kita pada pagi semalam telah dapat menyaksikan Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara ini yang selamat sempurna diselesaikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Dengan itu, majlis ini sepenuhnya ingin menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih dan menjunjung tinggi atas keberangkatan baginda bercemar duli dan titah yang dikurniakan oleh baginda itu. Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memberikan harapan tinggi kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat supaya wadah strategik Persidangan Majlis Mesyuarat Negara ini dapat memikirkan dan membahas perkara-perkara yang menjadi kepentingan rakyat dan negara khususnya yang berkaitan dengan perkembangan ekonomi agar lebih dinamik dan berdaya tahan. Oleh yang demikian, Ahli-Ahli Yang Berhormat, di samping menimbulkan isu-isu mukim dan kampung serta perniagaan, eloklah juga dapat memikirkan bagaimana negara kita dapat menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih sustainable selain penghasilan minyak dan gas serta mengurangkan perbelanjaan-perbelanjaan negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah juga bertitah mengenai dengan perlunya percambahan pendapat yang sihat yang dapat disuarakan secara dua hala. Baginda sangat prihatin dan berpandangan jauh tentang kebajikan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam dan adalah perlu bagi Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk meneliti kembali dasar demi keutuhan kesejahteraan kehidupan rakyat.

Saya kira Ahli-Ahli Yang Berhormat semua telah melihat dan membaca titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam itu dan seterusnya dapat pula memberikan pendapat dan pandangan serta meneliti sepenuhnya titah yang dibuat semalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara dan pada sidang membahaskan Usul-Usul Yang Diberi Notis dalam Perkara V yang akan datang ini.

Yang Mulia Timbalan Jurutulis

Perkara IV - Kertas-Kertas yang akan dibentangkan di atas meja. Kertas No. 1 Tahun 2021 oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri

بسم الله الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya dengan segala hormat memohon izin kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua untuk membentangkan di atas meja Kertas No. 1 Tahun 2021 iaitu Senarai Perintah-Perintah Darurat yang telah diluluskan dalam tahun 2020 menurut Fasal 83 dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Mulia Timbalan Jurutulis

Kertas No. 2 Tahun 2021 yang akan dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya dengan segala hormatnya memohon izin kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua untuk membentangkan di atas meja Kertas No. 2 Tahun 2021 iaitu Anggaran Hasil dan Perbelanjaan Negara bagi Tahun Kewangan 2021/2022. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sebentar tadi Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah membuat penyataan untuk membentangkan Senarai Perintah-Perintah Darurat yang telah diluluskan dalam tahun 2020 menurut Fasal 83 dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam manakala Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II ingin membentangkan Anggaran Hasil dan Perbelanjaan Negara bagi Tahun Kewangan 2021/2022.

Oleh yang demikian, saya ingin memberikan keizinan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang berkenaan untuk membawa dan membentangkan kertas-kertas yang dimaksudkan itu.

Yang Mulia Timbalan Jurutulis

Perkara V - Usul-Usul Yang Telah Diberi Notis yang akan dicadangkan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera.

الْحَمْدُ لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ selawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita سَيِّدِنَا مُحَمَّدٌ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ, kaum kerabat, para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.

Syukur ke hadrat اللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى yang telah mengurniakan rahmat, taufik dan hidayah-Nya kepada kita semua untuk sama-sama hadir ke Persidangan Majlis Mesyuarat Negara pada pagi ini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kelmarin.

Maka di Dewan yang mulia ini, saya dengan sukacita mencadangkan satu Usul yang berbunyi: "Majlis ini bersetuju meluluskan satu Usul menyembahkan sepenuh-penuhnya menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan dan kurnia titah baginda di majlis ini kelmarin, hari Isnin, 1 Syaaban 1442 bersamaan 15 Mac 2021 bersempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara."

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Berkat keprihatinan dan kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia usaha bersepadu dari agensi-agensi kerajaan mahupun bukan kerajaan serta seluruh lapisan masyarakat disertai dengan doa ke hadrat سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, negara kita telah berjaya membendung penularan wabak COVID-19.

Kita di Dewan yang mulia ini setentunya sama-sama merafakkan sembah menjunjung kasih yang setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keprihatinan dan pemedulian berterusan baginda terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk khususnya semasa penularan wabak COVID-19.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia sangat-sangat menghargai pengorbanan dan khidmat bakti yang telah diberikan oleh semua pihak yang terlibat terutama sekali para petugas barisan hadapan dan yang bertugas tanpa mengira risiko, masa dan penat lelah. Mudah-mudahan segala pengorbanan dan khidmat bakti itu akan diberikan ganjaran pahala yang berlipat ganda oleh اللّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى

Dalam mengukuhkan lagi usaha-usaha ke arah mengekang penularan wabak COVID-19, اَلْحَمْدُ للهِ, Kementerian Kesihatan tidak lama lagi akan melancarkan Program Vaksinasi COVID-19 bagi rakyat dan penduduk yang bermastautin di negara ini. Bagi memastikan keberkesanannya, orang ramai diseru untuk memberikan kerjasama dan sokongan padu dengan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 apabila program tersebut mula dijalankan pada satu tarikh yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Sepertimana kita sedia maklum hasil pendapatan negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, telah terjejas disebabkan ketidaktentuan harga pasaran dan permintaan bekalan minyak dan gas. Meskipun demikian, pelaburan dan usaha ke arah menjana pertumbuhan dan kepelbagaian ekonomi negara tetap giat dilaksanakan oleh kerajaan baginda akan membuahkan hasil.

Dalam mendukung usaha tersebut kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan disarankan untuk sentiasa meneliti dan mengemas kini dasar-dasar peraturan dan proses kerja masing-masing dalam usaha mengurangkan birokrasi ataupun red tape sebagai langkah ke arah meningkatkan produktiviti melalui pemberian perkhidmatan yang telus, cepat dan memuaskan.

Selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sokongan dan komitmen daripada semua pihak terutama sekali pemegang dasar kerajaan sangat-sangat diperlukan. Dalam hubungan tersebut, persidangan ini hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya bagi membincangkan isu-isu kepentingan negara.

Baginda juga menyarankan supaya sesi muzakarah Ahli-Ahli Yang Berhormat bersama kementerian-kementerian diteruskan dari semasa ke semasa tanpa menunggu tibanya Musim Permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga telah bertitah mengenai usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk menjana peluang-peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan dalam menangani isu pengangguran di negara ini.

Selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam para pencari kerja tempatan diseru untuk tidak bersikap terlalu memilih pekerjaan. Mereka digalakkan untuk merebut peluang-peluang yang ditawarkan khususnya di sektor swasta. Selaku rakyat dan penduduk yang bertanggungjawab, kita tidaklah seharusnya terus bergantung dan mengharapkan bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan semata-mata.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Pada tahun ini Negara Brunei Darussalam telah mengambil alih peranan sebagai Pengerusi ASEAN dengan tema: “We Care, We Prepare, We Prosper”. Selaku Pengerusi ASEAN, Negara Brunei Darussalam akan mengambil peluang ini untuk menerajui kerjasama dalam pelaksanaan inisiatif yang menyumbang kepada pembangunan, keamanan dan kesejahteraan serantau khususnya dalam memajukan usaha-usaha pemulihan daripada kesan penularan wabak COVID-19. Dalam mendukung usaha ini kementerian-kementerian disarankan untuk menyejajarkan inisiatif masing-masing selaras dengan matlamat tema tersebut.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Sepertimana yang kita telah sama-sama dengarkan dan ikuti kelmarin, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam itu sangat bernas dan sungguh tinggi nilainya. Kita semua di Dewan yang mulia ini serta seluruh rakyat dan penduduk khususnya warga perkhidmatan awam diseru untuk menanai dan melaksanakan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tersebut.

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية، و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Terima kasih.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, kita telah pun mendengar ucapan daripada Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk mengemukakan satu Usul dan sebelum Usul ini kita bincangkan seterusnya saya ingin meminta supaya seorang ahli untuk menyokong Usul yang berkenaan.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri

بسم الله الرحمن الرحيم

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya menyokong sepenuhnya Usul yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebentar tadi Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah membentangkan satu Usul bagi menyembahkan sepenuhnya menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan dan titah dalam majlis ini pada hari Isnin 1 Syaaban 1442 bersamaan 15 Mac 2021.

Kenyataan Usul yang telah dibentangkan itu, telah disokong sepenuhnya oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Dengan kenyataan Usul yang telah dikemukakan dan dengan ucapan yang begitu jelas sekali yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, maka saya kira Usul ini sekarang kita bukakan untuk dibahaskan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat yang suka untuk membuat kenyataan.

Nampaknya senarai Ahli Yang Berhormat yang suka untuk turut serta dalam membincangkan Usul ini sudah ada di depan saya dan agak panjang, maka saya meminta supaya Ahli-Ahli Yang Berhormat memberikan pandangan masing-masing dengan tepat dan teliti supaya kita dapat melaksanakan tugas-tugas kita dengan sempurna. Saya sekarang mempersilakan Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman.

Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ أَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

dan salam sejahtera. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dirahmati الله.

Lebih dahulu, peramba / kaola / saya sukacita mengucapkan syukur ke hadrat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana dengan limpah kurnia-Nya peramba / kaola / saya dapat berdiri dan berada di dalam Dewan yang mulia ini bersama-sama Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara 2021.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, peramba / kaola / saya merafak sembah yang taat setia yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi pihak semua rakyat dan masyarakat di Zon 2 dari Daerah Brunei Muara atas kepimpinan yang ‘Adil Laila Bahagia’ oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan kejayaan, keamanan, kehormonian dan kemajuan yang telah dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ peramba / kaola / saya sukacita turut menyokong sepenuhnya dan bersetuju atas Usul Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim, Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi menyembahkan sepenuhnya menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan bercemar duli ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara pada hari Isnin, 1 Syaaban 1442 bersamaan 15 Mac 2021.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, peramba / kaola / saya menyifatkan kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam merupakan amanah, pedoman untuk kita semua bagi menuju destinasi yang tepat ke arah negara maju menjelang tahun 2035 khususnya dalam memastikan negara akan terus meningkatkan lagi kualiti kehidupan seluruh rakyat dan lapisan masyarakat Negara Brunei Darussalam.

Baginda menyentuh mengenai wabak koronavirus COVID-19 sewajarnya kita bersyukur ke hadrat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى atas limpah rahmat kesihatan dan kesejahteraan ke atas seluruh pelosok rakyat di negara ini kerana dibebaskan daripada wabak koronavirus COVID-19 dan ia jelas komitmen Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui barisan hadapan yang cukup komited yang terus-menerus berkorban masa dan nyawa mereka bagi memastikan rantai wabak ini tidak menular dan oleh yang demikian, syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan syabas turut disampaikan kepada seluruh rakyat di negara ini kerana memberikan kerjasama dan menghulurkan bantuan sewajarnya untuk membendungnya dengan semangat patriotisme rakyat pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada taat setia kepada negara dan agama.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Dalam sama-sama kita ini berbincang dan berkongsi pendapat serta pandangan dalam beberapa aspek utama yang dititahkan adalah wajar kerana dengan ketelusan dan ketulusan sahaja kita ini akan mampu mendapat kaedah dan hasil yang boleh menjana satu usaha yang berdaya saing dan berdaya tahan untuk membangun bangsa dan negara.

Ini termasuk kepada apa pun kebenaran memperbaiki ataupun kekurangan, membangun apa pun kelemahan dan mempertingkatkan apa yang longgar dalam sikap keterbukaan ini. Kita akan dapat melihat peluang pembaikan dan peningkatan dan apa yang dibincangkan bukan hanya untuk kita ini malah berguna untuk generasi akan datang sebagai pewaris kepada apa yang kita tinggalkan jika baik maka mudah bagi mereka. Jika sebaliknya maka cabaran besar pula memperbetulkan dan memperbaiki kesilapan kita. Justeru, kita sebagai pemimpin atau pemegang dasar perlu berani menghadapi apa juga cabaran masa kini supaya bangsa dan negara kita pada masa akan datang lebih bersedia mengharungi apa jua cabaran dengan berpandukan integrasi dan disiplin kita hari ini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Melihat pula kepada aspek survival masyarakat masa kini, pastinya banyak kekurangan yang boleh kita perbaiki seperti juga yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menyentuh mengenai Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan mungkin juga perlu dilihat daripada sudut Skim Caruman Pekerja (SCP).

Kenyataannya semakin ramai lepasan pencen yang memohon bantuan dan ia tidak wajar dan ini membuktikan dasar kita masih atau mungkin terdapat kekurangan dalam membantu dan mempertahankan warga kerja kita yang pernah berjasa dan memberikan sehabis baik usaha dalam tugasan masing-masing. Kita perlu melihat kepada aspek ekonomi, yang berdaya tahan yang membolehkan mereka ini terlibat sama sebagai pelabur. Kita perlu melihat kepada peluang di sektor korporat dan swasta akan mana-mana peluang pelaburan yang boleh dan sesuai mereka terokai dan berhasrat supaya ia akan memberikan manfaat dan boleh dimanfaatkan mereka serta tanggung jawab mereka sebagai satu sumber survival yang diperlukan.

Pada masa yang sama, kita perlu juga melihat kepada kemahiran dan kebolehan yang ada pada mereka supaya boleh dimanfaatkan oleh generasi baharu yang lebih memerlukan bimbingan berdasarkan pengalaman orang-orang lama kita ni.

Syabas turut disampaikan kepada usaha pengurangan kadar pengangguran di negara ini, melalui blueprint ekonomi yang diungkayahkan, ini membuktikan semangat kenegaraan yang tinggi selain membuktikan komitmen kerajaan dalam membantu menyediakan peluang pekerjaan.

Namun bukan bererti kita perlu puas hati kerana masih ada kelompok yang perlu diberikan perhatian seperti kelompok kurang berkemampuan akademik termasuk golongan belia. Apabila usaha kita membantu mereka yang berkelompok berpendidikan tinggi, laluan mereka jauh lebih terang berbanding kelompok ini. Pada realitinya mereka ini terdedah kepada risiko gejala yang tidak sihat atas sebab keperluan dan keadaan yang mendesak. Jika kita lalai dan alpa akan kelompok ini, ruginya pasti kita juga yang akan menanggungnya dan atas sebab itulah kita perlu melihat kepada aspek kemahiran vokasional bagi kelompok ini supaya mereka turut bersaing dalam pasaran kerja berdasarkan kebolehan mereka dalam satu bidang yang khusus.

Berkaitan dengan menurunnya fiskal kerajaan pula, ekoran tidak menentunya harga minyak antarabangsa membuktikan kita perlu proaktif bertindak mencari satu atau lebih sumber pendapatan alternatif negara yang baharu. Mungkin saja dalam masa terdekat ini, bukan sebagai pengganti hasil minyak negara namun sebagai penyokong fiskal yang semakin perlu untuk diberikan perhatian. Kita sedar dengan keadaan COVID-19, maka sumber pendapatan dari aktiviti seperti pelancongan, serta eksport adalah satu cabaran namun perlu kita pula lihat dari aspek positifnya termasuk dalam amalan berbelanja di dalam negeri seperti yang dinyatakan telah banyak menyumbang kepada peningkatan pendapatan secara tempatan dan menurunkan kadar pengaliran wang kita ke luar negara.

Mengenai pemuzakarahan Ahli-Ahli Yang Berhormat dengan kementerian-kementerian, peramba / kaola / saya merakamkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana keprihatinan baginda mengikuti perkembangan sesi pemuzakarahan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Baginda juga menyentuh mengenai Negara Brunei Darussalam akan mempengerusikan mesyuarat peringkat ASEAN dan apa yang peramba / kaola / saya doakan semoga mesyuarat berkenaan akan berjalan lancar serta berjaya mencapai matlamatnya.

Akhirnya peramba / kaola / saya, ingin sama-sama menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih, Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas titah baginda yang amat jelas dan menunjukkan pemedulian dan kebijaksanaan baginda yang inginkan kesejahteraan dan kemakmuran semua lapisan rakyat.

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية، و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Terima kasih Yang Berhormat.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya sekarang persilakan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim

بسم الله الرحمن الرحيم الحمدلله ربّ العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين. وَقُل رَّبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلْطَانًا نَّصِيرًا اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian.

Syukur ke hadrat الله سبحانه وتعالى kerana dengan rahmat dan izin-Nya juga membolehkan kita berkumpul di Dewan yang mulia ini dalam Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Tahun 2021. kaola dengan penuh takzim merafakkan sembah menjunjung kasih ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas perkenan keberangkatan baginda bagi merasmikan Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara semalam dan dalam kesempatan yang penuh keemasan ini, sekali lagi kaola ingin menyembahkan menjunjung kasih atas kurnia titah baginda itu.

Dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, baginda telah dengan rasa gembiranya mengurniakan ucapan tahniah yang hangat kepada para petugas barisan hadapan yang bekerja keras dan bertungkus-lumus menangani pandemik COVID-19 hingga dapat dikawal dengan baik.

Dengan penuh bersepadu dan bersama-sama dengan seluruh jentera Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, disertai sokongan yang padu dan الْحَمْدُ للهِ dukungan seluruh lapisan masyarakat dan rakyat serta penduduk negara, dengan izin dan kebesaran الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى dan disertai dengan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Brunei Darussalam telah menikmati zero local case seawal 6 Mei 2020.

Seterusnya dalam titah baginda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menyarankan agar sesi muzakarah antara Ahli-Ahli Yang Berhormat dengan kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan seperti yang telah disebutkan oleh Ahli Yang Berhormat pertama tadi agar diteruskan dari semasa ke semasa.

Sesungguhnya sesi muzakarah dan lawatan kerja yang telah diaturkan itu telah memberikan impak yang positif khususnya dalam memberikan maklumat yang tepat dan sekali gus menunjukkan hasil yang dicapai dalam berbagai-bagai projek kerajaan.

Dalam hubungan ini, kaola sukacita menyarankan dalam kesempatan yang penuh keemasan ini dan pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam itu diharapkan hasil permuzakarahan dan percambahan fikiran serta perkongsian pandangan antara Ahli-Ahli Yang Berhormat dengan pemegang dasar di kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan hendaklah mengambil mana-mana cadangan dan saranan serta pemikiran yang baik dan positif itu supaya dilaksanakan dengan secara berkesan dan dapat dilaksanakan secara the whole of nation approach bagi memastikan kejayaannya dan mana-mana yang memerlukan penguatkuasaan undang-undang bagi menjayakannya hendaklah dilaksanakan dengan tegas dan konsisten serta berkesan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, sebagai bukti kasih sayang baginda kepada rakyat dan negara, baginda juga telah menitahkan agar kerajaan dan rakyat berganding bahu memajukan sektor-sektor ekonomi, pendidikan dan lain-lain yang berkaitan dengan kehidupan rakyat dan dalam menjayakan pembangunan negara itu berlandaskan falsafah Negara Melayu Islam Beraja dan Wawasan Brunei 2035.

Akhirnya, sebelum mengundurkan diri kaola tidak lupa mengucapkan tahniah kepada Negara Brunei Darussalam yang telah diberikan penghormatan menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun ini dan tidak lupa juga kaola mengucapkan tahniah kepada Negara Brunei Darussalam melalui Majlis Mesyuarat Negara yang bakal menjadi tuan rumah Persidangan AIPA dalam bulan Ogos yang akan datang. Sesungguhnya ini membuktikan Negara Brunei Darussalam mampu menjadi tuan rumah yang berjaya bagi penganjuran persidangan-persidangan penting peringkat serantau dan peringkat antarabangsa.

Akhir kalam kaola sukacita menyembahkan sekali lagi menjunjung kasih ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah mengurniakan titah dalam setiap Istiadat Pembukaan Rasmi Majlis Mesyuarat Negara, sesungguhnya titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia itu adalah umpama pelita yang menerangi jalan menuju puncak jaya bagi pembangunan negara bangsa.

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية. والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
وَالْعَصْرِ ۝ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ۝ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ۝

Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola lebih dahulu mengucapkan terima kasih banyak-banyak atas ruang yang diberikan kepada kaola untuk berucap secara ringkas mengenai menyokong Usul Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Usul menjunjung kasih kehadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan dan limpah kurnia titah baginda bersempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Pemesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara pada hari Isnin, 1 Syaaban 1442 bersamaan 15 Mac 2021.

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tersebut merupakan nasihat dan saranan yang mencerminkan dengan jelas keprihatinan dan kebijaksanaan dan pandangan jauh baginda kepada memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk serta kemakmuran negara sentiasa terjamin terutama sekali dalam kita menghadapi berbagai-bagai cabaran masa kini dan akan datang yang tidak menentu. Dari pengamatan kaola dengan berasaskan kepada inti pati titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam itu kaola sukacita ingin mengetengahkan beberapa perkara utama seperti yang berikut:

  1. Komitmen seluruh lapisan masyarakat dan rakyat terutama sekali pemegang dasar kerajaan adalah sangat-sangat ditagih dan diperlukan dalam melaksanakan perkara yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan khususnya bagi pembangunan modal insan, ekonomi dan memperkukuhkan kedayatahanan fiskal negara. Dalam hal ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan pemegang dasar hendaklah memiliki sifat telus dan berani.

  2. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga menitahkan supaya sesi muzakarah antara Ahli-Ahli Yang Berhormat dengan pihak kerajaan perlu diteruskan dari semasa ke semasa tanpa menunggu Majlis Mesyuarat Negara bersidang di samping menyarankan agar Ahli-Ahli Yang Berhormat berbincang dengan rancak tapi sihat terutama perkara yang membawa kepada kepentingan rakyat dan negara.

Dalam hal ini kaola menyanjung tinggi titah baginda dan mengajak kitani semua untuk berbincang dengan mengamalkan sifat keterbukaan dan syura serta memberi dan menerima pandangan serta pendapat dalam isu yang ditimbulkan.

Kaola berpendapat itu merupakan kurnia pandangan yang membina dan berguna untuk dijadikan rujukan dalam membuat keputusan kerana setiap pandangan itu ibarat satu helai benang jika ia dikumpulkan dan dijadikan satu nescaya ia akan teguh dan kuat dan sukar untuk diputuskan.

Kaola sangat menghargai segala sokongan pandangan dan cadangan bernas serta ikhlas daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam sesi-sesi permuzakarahan bersama pihak kerajaan khasnya dalam menangani isu-isu utama dan bermakna iaitu meaningful yang dihadapi oleh orang ramai. Apatah lagi dalam penglibatan berterusan Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam berbagai-bagai aktiviti kemasyarakatan, kebeliaan, perniagaan dan seumpamanya semata-mata demi kepentingan rakyat dan penduduk serta Negara Brunei Darussalam.

Kaola dengan tulus ikhlas mengucapkan terima kasih banyak-banyak dan tahniah atas kejayaan yang dicapai oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat dan berharap kerjasama padu dengan pihak kerajaan akan dapat ditingkatkan dan diteruskan lagi kepada penghasilan impak yang signifikan bermakna dan diperlukan oleh negara dari tahun ke tahun. Oleh itu, langkah dan sikap beberapa orang Ahli-Ahli Yang Berhormat datang bersemuka ke Jabatan Perdana Menteri bagi membincangkan dan bertukar-tukar fikiran mengenai masalah-masalah di atas sangat-sangat dihargai dan disanjung, “kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan.”;

  1. Mengenai program Fiscal Consolidation yang diperkenalkan pada Tahun Kewangan 2018/2019 telah mula nampak hasilnya. Dalam hal ini, pada pendapat kaola, inisiatif di bawah program Fiscal Consolidation juga akan meliputi penelitian dan pengemaskinian dasar peraturan serta proses di pihak kerajaan pada menghasilkan peningkatan produktiviti (productivity gains), penjimatan kos (cost saving) dan penjanaan pendapatan (revenue generation). Antara lain melalui kecekapan proses dalam memberikan perkhidmatan orang ramai dengan lebih mudah, cekap dan mesra pengguna. Semua ini perlu kita ini fikirkan, rancang dan laksanakan bersama dengan mendukung pertumbuhan ekonomi yang mampan atau sustainable dan kesinambungan fiskal terutama dengan harga minyak yang tidak menentu di samping mengharungi cabaran membendung penularan COVID-19 yang memberikan kesan kepada ekonomi dan sosial. Cabaran-cabaran sedemikian sudah setentunya akan menguji rancangan kita. Oleh itu, ia menuntut kita untuk menjadi sektor awam lebih cekap, tangkas, agile dan progresif.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, titah-titah baginda berkenaan hendaknya kita junjung setinggi-tingginya dalam berbincang isu-isu utama yang menjadi kepentingan negara dan menyumbang إِنْ شَاءَ اللهُ kepada keharmonian bermasyarakat hendaklah sentiasa menjadi keutamaan. Kita ini akan berbincang dalam beberapa hari ini dengan sifat terbuka mengamalkan perbincangan serta memberi dan menerima pandangan serta pendapat antara satu sama lain demi kepentingan negara dan rakyat sepertimana yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Akhir sekali, kaola ingin menyembahkan menjunjung kasih yang setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas limpah kurnia titah baginda. Sekian, وَبِاللهِ التَّوْفِيقِ وَالهِدَايَةِ. وَالسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arshad.

Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arshad

بسم الله الرَّحْمٰنِ الرَّحِيم
الْحَمْدُلِلّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ
الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.

بسم الله الرَّحْمٰنِ الرَّحِيم السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat yang kaola hormati sekalian. Kaola menyokong sepenuhnya Usul yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim, Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dengan rendah diri kaola menyembahkan menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah bercemar duli berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara dan berkenan menyampaikan titah pada hari Isnin, 1 Syaaban 1442 bersamaan 15 Mac 2021.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola amat menjunjung kasih yang setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bahawa titah baginda betapa perlunya pelaksanaan pembangunan modal insan, pembangunan ekonomi yang berterusan dan mengukuhkan lagi kedayatahanan fiskal negara dengan merancakkan dan memfokuskan kepada aktiviti-aktiviti perekonomian yang lebih mendatangkan hasil keberuntungan yang ketara kepada negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola juga amat menjunjung kasih atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai sesi muzakarah Ahli-Ahli Yang Berhormat bersama dengan beberapa kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, seterusnya mengadakan lawatan-lawatan kerja atau field trip ke tapak-tapak projek, kawasan pembangunan dan kemajuan yang sedang dibuat pada masa ini bagi sama-sama melihat serta menilai perkembangannya. Semoga sesi muzakarah yang seperti ini akan dapat diteruskan lagi di masa hadapan.

Ketidaktentuan harga minyak global juga telah mengakibatkan fiskal kerajaan dan hasil pendapatan negara telah menurun. Langkah-langkah drastik perlu diambil bagi mengatasi perkara ini. Sektor swasta yang berpotensi untuk menjana hasil yang tinggi dalam jangka masa pendek dan sederhana perlu difokuskan dan direalisasikan pada kadar segera dengan peruntukan belanjawan yang telah dirancang dan ditetapkan. Pemantauan, peningkatan serta pengemaskinian hasil pendapatan atau revenue kerajaan melalui kementerian-kementerian perlu difokuskan dan diperkasakan lagi. Tumpuan mestilah diberikan kepada usaha untuk meningkatkan revenue di samping mengurangkan perbelanjaan yang ada. Penswastaan atau privatization bagi sebahagian perkhidmatan awam mestilah dilihat secara serius, holistik dan praktikal dengan banyak kebaikan akan dapat diperolehi oleh semua pihak.

Perlu juga dibuat kajian balik tentang struktur subsidi yang ada pada masa ini mungkin boleh diperkenalkan apa yang dikatakan sebagai subsidi bersasar yang mengkhususkan dan mengkategorikan kumpulan-kumpulan yang layak menerima subsidi. Jangan lupakan peranan-peranan syarikat-syarikat yang dipunyai oleh kerajaan atau (GLC) perlu dilihat balik akan keberkesanannya dalam kemampuan masing-masing bagi menjana pendapatan yang lebih baik dan realistik. Di samping itu ingin melihat peranan GLC sebagai pelabur atau investor dan bukannya berperanan sebagai operator perniagaan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Tabung Amanah Pekerja yang menyasarkan pulangan pelaburan sebanyak 6% kepada ahli-ahlinya masih belum tercapai. Sehubungan dengan itu, dicadangkan agar pihak TAP untuk menerokai serta mengenal pasti peluang-peluang pelaburan di dalam negara seperti menceburi pelaburan dalam bidang hartanah bagi keperluan kerajaan, rakyat pengusaha-pengusaha di dalam negeri. Di samping itu, melihat kepada pelaburan di luar negara yang mahu mendatangkan hasil pulangan pelaburan baik seperti bidang-bidang estet penyewaan bangunan dan hotel di tanah suci dan seumpamanya. ٱلْحَمْدُ لِلّٰهِ kadar pengangguran telah didapati menurun, kursus-kursus pendek dan sederhana yang lebih relevan untuk para pelamar pekerjaan supaya akan dapat ditambah nilai dan dipelbagaikan lagi.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola juga amat menjunjung kasih atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah bagi mesyuarat ASEAN Inter-Parliamentary Assembly kali ke-42 secara virtual pada 23 hingga 25 Ogos yang akan datang ini.

إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ Dalam usaha gigih semua pihak bukan hanya pihak kerajaan malah juga di pihak swasta secara Whole of Nation Approach sebagai apa yang kaola ni usahakan dan bincangkan akan berjaya. آمِينَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

Sekian,
وَبِاللّٰهِ التَّوْفِيقُ وَالْهِدَايَةُ، وَالسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya mempersilakan Yang Berhormat Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Suhaimi.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kaola lebih dahulu ingin menyembahkan menjunjung kasih setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Omar ’Ali Saiffuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan dan limpah kurnia titah baginda bersempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara, pada hari Isnin, 1 Syaaban 1442 bersamaan 15 Mac 2021.

Titah baginda sesungguhnya cukup bernas dan sangat bermakna untuk kita semua junjung dan renungkan sedalam-dalamnya kerana ia bukan sahaja mengandungi nasihat malahan juga sebagai hala tuju dan peringatan bagi kita dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab kita. Ia juga mencerminkan keprihatinan dan kebijaksanaan baginda dalam memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negara sentiasa terjamin.

Titah baginda itu juga telah memberi kita semangat untuk terus bekerja dengan lebih gigih serta ’lutanan’ dan memastikan segala amanah dan tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan lebih telus dan efisien walaupun pelbagai cabaran yang dihadapi ketika musim pandemik ini akan tetapi jentera kerajaan masih tetap berjalan dan berkembang.

Kementerian Pembangunan menjunjung tinggi titah baginda mengenai isu pengangguran, yang pihak The Manpower Planning And Employment Council (MPEC) telah dapat menurunkan kadar pengangguran pada masa ini. Sejajar dengan usaha pihak MPEC melalui peneraju-peneraju pelbagai sektor dalam memastikan kadar pengangguran secara holistik di negara ini dapat dikawal dengan meneroka bahagian-bahagian yang dapat memberi peluang pekerjaan, Kementerian Pembangunan juga turut mendukung usaha dalam mengembangkan minat, pengetahuan, kemahiran dan keyakinan diri para lepasan graduan tempatan khususnya kepada belia-belia yang belum mempunyai pekerjaan bagi menceburi dalam sektor industri pembinaan.

Ini termasuk peranan Kementerian Pembangunan selaku peneraju bagi Manpower Industry Steering Committee (MISC) - Construction bahawa kementerian ini sentiasa bekerjasama dengan agensi pengawal selia, industri dan institusi pendidikan dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran peluang-peluang pekerjaan, tenaga pekerja tempatan dan memastikan pencari pekerjaan dan lepasan graduan tempatan memperolehi kemahiran dan kecekapan yang relevan dalam sektor industri pembinaan.

إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ pihak kementerian akan terus berusaha bagi memastikan anak-anak tempatan adalah marketable dan knowledgeable dalam bidang industri pembinaan ini dengan meneruskan program-program latihan kemahiran seperti Architect, Mechanical And Engineers, Civil & Structural (ARMECS) Bridging Programme dengan kerjasama pihak arkitek, jurutera - jurutera profesional dan Politeknik Brunei yang sedang berjalan pada masa ini. Sebarang cadangan daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk sama-sama menambah baik inisiatif yang adalah sangat dialu-alukan.

Akhir sekali kaola ingin menyembahkan sekali lagi menjunjung kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Omar ’Ali Saiffuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan dan limpah kurnia titah baginda dan seterusnya berdoa semoga baginda serta kerabat baginda sentiasa sihat walafiat dan di bawah perlindungan الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى jua.

Sekian,
وَبِاللهِ التَّوْفِيقِ وَالْهِدَايَةِ، وَالسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya persilakan Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii.

Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Saya menyokong sepenuhnya Usul yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi menyembahkan ucapan menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah bercemar duli berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara dan berkenaan mengurniakan titah pada hari kelmarin.

Baginda telah menekankan atas beberapa perkara yang kaola ingin berikan buah fikiran dan cadangan untuk menyokong titah baginda:

  1. mengukuhkan lagi cara-cara berganding bahu dan bekerja senegara. Kaola mengimbas balik kepada acara perbarisan lalu pada hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-37, bahawa perbarisan lalu itu lebih mempamerkan sektor-sektor dan bukan seperti cara kebiasaan iaitu pasukan yang terdiri daripada kementerian-kementerian, syarikat dan persatuan.

Ianya memperlihatkan semangat kerjasama yang dilakukan bagi menjayakan acara tersebut dengan cara yang "forward thinking". Ini menunjukkan dalam pelaksanaan jangka panjang aspirasi negara juga dapat dicapai dengan lebih efektif dengan kerjasama Whole Of Nation. kitani masih dapat membentang dan memberi berlainan pendapat serta cara yang berlainan akan tetapi hala tuju tetap sama dan di sinilah kesatuan amat penting.

Kaola juga ingin mencadangkan untuk menilai semula Projek Program Khidmat Bakti Negara, pengalaman sewaktu menangani COVID-19 telah membuka mata kitani atas pentingnya persediaan bagi menyokong perkhidmatan Kementerian Kesihatan. Bayangkan sahaja, apa kiranya negara kitani terdapat sokongan persediaan dalam perkhidmatan kesihatan melalui khidmat bakti negara.

Perkara ini juga boleh mendukung Wawasan Brunei 2035 iaitu Tujuan 2 - Gaya Hidup Sihat.

PKBN ini cuma salah satu contoh platform tetapi cadangan ini boleh juga dijadikan sebagai program bertaraf kebangsaan yang inklusif dan tidak terhad kepada umur belia kerana ia menerapkan cara kemahiran pembelajaran sepanjang hayat iaitu life long learning.

Perkara ini merintis jalan kepada alumni Brunei untuk memasuki industri kesihatan malahan bagi melatih tenaga manusia untuk membantu khidmat masyarakat seperti menjaga warga emas dan juga semasa krisis kemanusiaan atau bencana alam.

Khidmat kepada masyarakat perlu melebihi dari sekadar sikap reaktif, itu harus dicantumkan kepada jiwa keadaan manusia sehingga kita dapat menjadi pemacu kemajuan negara.

  1. Tadbir urus yang berkesan dan mengupayakan ketelusan.

Saya menyambut baik usaha Jabatan Perdana Menteri melalui jabatan-jabatan yang berkenaan dan juga kerjasama kementerian-kementerian untuk meningkatkan lagi ketelusan proses perkhidmatan. Namun begitu, proses cuma sebahagian daripada mekanisme ketelusan yang efektif. Baginda menekankan tanggungjawab pemegang dasar dan penyampaian dasar yang efektif.

Saya berharap inisiatif untuk mentransformasikan negara melalui Digital ID dan Digital Payment dan People Hub sebagai contoh akan lebih meluas dalam pelancarannya, bukannya dari segi efisiensi tetapi untuk membuktikan bahawa tadbir urus yang berkesan dan proses yang telus adalah rangka kerja untuk pencapaian Wawasan Brunei 2035. Mungkin dalam reviu mengenai Pembangunan Sumber Manusia Perkhidmatan Awam, program latihan kini dapat lebih mencerminkan trend masa depan seperti Web 3.0 immersive and adaptive learning, knowledge in AR and VR, sebagai contoh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

  1. Transformasi dan interoperabiliti ekosistem Brunei Darussalam dalam perdagangan penting sebagai kerangka untuk menyokong pelan pembangunan ekonomi Brunei.

Transformasi digital dapat memaksimumkan potensi sumber manusia dan proses organisasi bersama dengan pengukuhan ekosistem keusahawanan, belia dianggap sebagai beberapa jalan yang menyokong rangka tindakan ekonomi. Namun saya ingin menekankan bahawa ada masih cabaran-cabaran yang kita hadapi dalam mengatasi mekanisme export supply chain infrastructure yang telah menjadi lebih mencabar dalam keadaan wabak global.

Brunei Darussalam mempunyai akses ke berbilang “Free Trade Agreement” dan sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2021.

Dicadangkan supaya kita ini memikirkan cara bagi meningkatkan infrastructure connectivity bagi pembekal logistik bagi memperluaskan peluang eksport melalui Platform G to G, sebagai contoh memastikan jadual penghantaran tetap atau guaranteed loading time slots di pelabuhan.

Pengusaha dalam sektor pembuatan dan pertanian memahami bahawa skala pengeluaran yang besar yang akan memastikan sustainability pelaburan mereka, namun akses fizikal untuk membawa produk ke pasaran akan memerlukan pendekatan yang lebih inovatif oleh semua stakeholders.

Kita merenungkan impak koronavirus bukan untuk negara kita sendiri, tetapi di seluruh dunia dan saya menghargai openness yang terus dilakukan oleh forever frontliner negara iaitu Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Dalam semangat saling menghormati dan tekad kita senegara terus sebenarnya Invested In Our Future.

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeiryanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman.

Yang Berhormat Fdr. Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Yang Berhormat Yang Di-Pertua, dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola menyokong sepenuhnya akan Usul yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi menyembahkan ucapan menjunjung kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah bercemar duli berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara dan berkenan mengurniakan titah pada hari Isnin, 1 Syaaban 1442 bersamaan 15 Mac 2021.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola berdiri di Dewan yang mulia ini bagi mengutarakan Usul yang dalam pemikiran kaola mustahak untuk dibincangkan dan diteliti. Kaola yakin Ahli-Ahli Yang Berhormat bersetuju bahawasanya titah baginda penuh dengan amanat, panduan, harapan dan kepercayaan terhadap kemampuan masyarakat kita untuk berkembang maju dan berdaya tahan. Ini menggambarkan kearifan dan kecekapan baginda sebagai pemimpin negara dalam memastikan ketenteraman dan keselamatan rakyat negara ini akan terus-menerus dirahmati oleh الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى. Syukur الْحَمْدُ لِلّهِ walaupun negara kita dilanda berbagai-bagai cabaran pada tahun lepas beberapa peningkatan positif dapat dilihat dalam berbagai-bagai usaha dari sektor kerajaan, swasta dan sokongan berterusan daripada orang awam yang telah menyumbang dalam memastikan pembangunan negara.

Kaola ingin mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua pekerja barisan hadapan dan mereka yang terlibat dari pelbagai sektor dan lapisan rakyat atas usaha bersama dan kerja keras yang berterusan untuk menjaga kesihatan, keselamatan dan mematuhi garis panduan yang dijalankan secara holistik dalam berhadapan dengan pandemik COVID-19 sehingga kini.

Ini satu pencapaian negara yang harus dibanggakan kerana ia membuktikan bahawa kita mampu untuk mengawal dan menghadapi apa jua cabaran jika kita mengukuhkan Whole of Nation Approach dari pelbagai sektor dan hala. Kaola percaya dengan adanya ketelusan dan kepercayaan dari semua pihak akan mengukuhkan lagi usaha sama antara semua.

Tahniah dan syabas kepada Manpower Planning Employment Council (MPEC) kerana juga berjaya menurunkan kadar pengangguran negara. Ini salah satu contoh Whole of Nation Approach yang merangkumi antaranya 5 kluster iaitu kluster tenaga, pembinaan, IT, hospitality dan pelancongan serta maritim telah bekerjasama secara hubungan 3 pihak iaitu tripartite dalam pengawalseliaan, perindustrian dan pendidikan. Kita memerlukan ekonomi yang kuat dan dinamik untuk memastikan rakyat mendapat peluang pekerjaan yang baik. Diharap MPEC akan terus meningkatkan lagi inisiatif dalam memberikan peluang-peluang yang ada kepada anak-anak tempatan kita melalui sebagai program pembangunan tenaga kerja yang sesuai dan efisien dengan mengambil kira kemahiran-kemahiran yang diperlukan pada masa ini.

Penglibatan dan maklum balas dari pihak industri penting dalam memberikan bimbingan dan penempatan latihan kerja. Walaupun kita masih terkesan dengan pandemik COVID-19, ia tidaklah menyekat perancangan pembangunan ekonomi semua pihak untuk mencapai fiskal negara yang berdaya tahan. Ini dapat dilihat melalui pelancaran dan pemberigaan dalam beberapa pelan utama, pelan strategik, rangka kerja dan polisi terkini oleh kementerian-kementerian dalam merangka perancangan demi perubahan negara yang lebih baik seperti Brunei Darussalam Economic Blueprint dan Digital Economy Masterplan 2021-2025 yang ingin dicapai berdasarkan hala tuju Wawasan Brunei 2035.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah bahawa dalam persidangan ini perbincangan janganlah dilimit untuk menyekat pandangan atau pendapat daripada ahli kerana sesungguhnya peluang di sini tidak banyak cuma sekali setahun. Oleh itu, wajarlah para ahli berbincang dengan rancak tetapi sihat. Kaola juga merasa gembira bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa mengikuti perkembangan Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam mengadakan sesi muzakarah bersama kementerian-kementerian. Jelaslah bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memberikan kepercayaan dan harapan yang tinggi kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam memberikan pandangan serta buah fikiran dalam membantu bukan sahaja pihak kerajaan bahkan semua pihak dalam mencapai resolusi bagi isu-isu baharu dan lama yang telah dibangkitkan. Ini kerana perkembangan yang diharapkan belum lagi terlihat dan belum menampakkan hasil sedangkan isu-isu tersebut berkait rapat dengan kemajuan negara.

Usul kaola ialah mengenai sesi-sesi muzakarah yang hanya diadakan setahun sekali iaitu sebelum Musim Permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara. Kaola ingin mengusulkan sekali lagi bahawa kaola pernah mengusulkan pada tahun 2018 supaya sesi-sesi muzakarah yang akan datang akan dapat merangkumi pelbagai sektor yang dihadiri oleh pihak-pihak yang terlibat dan berkepentingan supaya muzakarah itu nanti akan memberikan hasil yang lebih produktif dan berkesan bagi berbagai-bagai isu yang dibangkitkan terutama sekali isu-isu yang melibatkan pembangunan negara dan kerjasama beberapa kementerian yang memerlukan perbincangan pelbagai hala (crosscutting).

Kaola juga mengusulkan supaya perbincangan ini boleh dilaksanakan di dalam Dewan yang mulia ini tetapi dalam bentuk muzakarah peringkat sub-komite atau jawatankuasa pandu. Jika ini diadakan maka lebih banyak masa boleh dijimatkan dan interaksi juga akan lebih efektif dan tidak terhad kepada hanya perbincangan sahaja seperti lazimnya dijalankan di peringkat sebuah kementerian yang perbincangan lebih memfokuskan kepada isu-isu dalam satu kementerian sahaja.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. اَلْحَمْدُ للهِ, tahun ini juga merupakan tahun yang sangat bermanfaat bagi negara kita kerana kita berbesar hati menerima komitmen negara untuk menjadi Pengerusi tuan rumah bagi ASEAN bahawa tema kita ialah: “We Care, We Prepare, We Prosper”. Kita juga haruslah mengambil peluang ini dalam mengukuhkan usaha kerjasama di peringkat negara dan juga serantau.

Tiga fokus utama tema ASEAN pada tahun ini lebih menjurus kepada menitikberatkan kesejahteraan rakyat dan negara, bersiap sedia untuk mengambil peluang-peluang dan cabaran yang akan datang serta bersatu sama bagi mencapai kemakmuran di peringkat negara dan serantau. "Let Us Care and Recover, Prepare For Stronger Unity and Prosper Together - sama-sama".

Pada masa yang sama negara kita juga akan mempengerusikan ASEAN Inter-parliamentary Assembly AIPA yang ke-42 pada bulan Ogos tahun ini dengan Brunei akan membentangkan kertas kerja mengenai “Forging Parliamentary Cooperation in Digital Inclusion Towards ASEAN Community 2025”.

ASEAN AIPA tahun ini memfokuskan kepada mempromosikan digital dalam mendukung ekonomi bagi perusahaan mikrokecil dan sederhana, mengukuhkan dan meningkatkan inklusi digital dalam mengurangkan kesan perubahan iklim serta mempromosikan pemerkasaan wanita dalam pembangunan ekonomi melalui inklusi digital dan kewangan terutamanya dalam keadaan yang mencabar pada masa kini.

Dengan ini, kaola dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sangat berharap bahawa apa yang bakal dibincangkan dan dibahaskan di Dewan ini akan lebih bermanfaat untuk semua pihak. Ahli-Ahli Yang Berhormat sangat mengalu-alukan permuzakarahan susulan dan perbincangan yang terbuka serta telus demi mencapai kesepakatan dan hasil positif untuk pertumbuhan komuniti masyarakat dan negara dalam mencapai Wawasan Brunei 2035 yang semakin dekat.

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية، والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.

Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya menyokong sepenuhnya akan Usul yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Menteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim, Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bagi menyembahkan ucapan sepenuhnya menjunjung kasih ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah bercemar duli berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara dan berkenaan mengurniakan titah pada hari tersebut.

Sesungguhnya titah baginda penuh dengan sifat pemedulian, kewibawaan serta keprihatinan baginda yang kasihkan rakyat serta penduduk Negara Brunei Darussalam dan didoakan juga semoga baginda serta kerabat diraja sentiasa di bawah rahmat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى jua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. أَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, marilah kita semua di dalam Dewan yang mulia ini mengucapkan syukur ke hadrat atas berkat doa, kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerajaan baginda, kita ini rakyat Brunei Darussalam menjalani norma baharu dalam pandemik COVID-19 ini secara tenteram dan terkawal. Namun begitu, janganlah kita ini leka malah teruskan usaha kita ini mengikut SOP yang disarankan baik dalam acara rasmi ataupun persendirian mahupun di tempat kerja dan juga di rumah.

Hasil pendapatan negara yang tidak menentu dan ia menjadi agenda utama kepada semua untuk mengusahakannya termasuklah para belia dan profesional baik pihak kerajaan mahupun swasta. Graduan-graduan kita ini bolehlah dikatakan cukup berani dalam menjalankan perusahaan kecil-kecilan malah ada yang berjaya dari sebagai seorang job seeker sehingga menjadi job provider kepada rakan-rakannya yang lain. Nah! kita sambut usaha ‘bisdorang’ ini. Trend kerja pada masa hadapan sentiasa berubah-ubah malah sudah adakah dasar kita ini untuk menyokong mereka. Kita ini sudah ada gigekonomi mahupun kerjaya di bahagian sector non-traditional seperti photographer, videographer. Mereka yang terlibat dalam e-Sports, runners yang kitani harapkan untuk membantu kitani mengambil dan menghantar barang malah bagi mereka yang job hopping setiap 2 atau 3 tahun untuk mencari rezeki ataupun prospek yang lebih baik.

Diharap dengan Economic Blueprint yang baharu dijalankan ataupun dilancarkan serta perjanjian serantau seperti The Regional Comprehensive Economic Partnership (RCP) dapat dirasakan impak positifnya oleh negara bagi menangani defisit kewangan kitani.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Menyentuh mengenai pembangunan modal insan, sokongan dasar kitani untuk ibu bapa yang bekerja terutama untuk kaum ibu الحمد لله, cukup terjaga dengan Dasar Cuti Beranak (maternity leave) serta gaji yang sama untuk lelaki dan wanita dalam rata-rata kerjaya yang ada di Negara Brunei Darussalam.

Walau bagaimanapun, isu pembangunan modal insan yang masih kitani bincangkan di Dewan ini sendiri serta difollow up lagi semasa sesi permuzakarahan bersama kementerian dan jabatan yang berkenaan masih ada yang belum penyelesaiannya yang diberikan.

Isu seperti Paternity Leave Policy atau Dasar Cuti Suami kerana isteri yang melahirkan anak, gangguan seksual di tempat kerja mahupun juga penyedia perkhidmatan. Penjagaan anak untuk ibu bapa yang bekerja, penjagaan orang tua untuk yang berkeluarga serta keupayaan ibu bapa untuk menyediakan perumahan yang baik untuk keluarga mereka masih lagi menjadi perbincangan dan perhatian masyarakat kita ini.

Isu-isu ini, jika tidak ditangani dengan secepatnya dan sebaiknya ia dapat menggugat kekuatan dan kestabilan kita ini iaitu institusi kekeluargaan serta juga setentunya dapat mempengaruhi produktiviti kerja seseorang.

Saya cadangkan percepatkanlah dasar Paternity Leave, kukuhkanlah undang-undang mengenai sexual harassment, dukunglah ibu bapa yang berkerja untuk penjagaan anak dan ahli keluarga yang sudah berumur dengan menyediakan perkhidmatan penjagaan yang bersesuaian dan berpatutan serta pengkajian semula dasar perumahan kita ini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Dalam titah baginda ada menyentuh mengenai Tabung Amanah Pekerja (TAP). Jika kita ingati semula isu Tabung Amanah Pekerja ini bukanlah tidak pernah kita bincangkan malah saya sendiri membangkitkannya pada tahun 2018 di Dewan yang mulia ini. Namun saya masih percaya usaha yang dijalankan masih dapat diberikan pembaikan. Jika ditanya kepada mana-mana pekerja yang menyumbang kepada TAP rata-rata mengatakan TAP mereka tidak cukup malah ada yang merasakan untuk mengeluarkan saja simpanan mereka secepat-cepatnya. Nah! di sinilah kita ini perlu memberi keyakinan kepada orang ramai akan kemampuan TAP ini.

Antara cadangan penambahbaikan:

  1. Mengukuhkan investment TAP dan SCP yang dapat memberikan pulangan yang lebih baik; dan

  2. Jika kita ini selama ini memberi kemudahan untuk penjawat awam dengan pinjaman pembelian kenderaan contohnya, kita ini ubah benefit tersebut dengan diberi insentif kepada mereka yang menyimpan di TAP dengan skim-skim yang bersesuaian, ertinya dari menggalakkan orang kita ini untuk menambah pinjaman, kita ini galakkan orang kita ini untuk menyimpan dan investment.

Orang kita ini semakin ramai yang menyedari kepentingan simpanan, insurance, investment dan juga wealth management. Akan tetapi TAP (Tabung Amanah Pekerja) harus juga berubah untuk memberikan perkhidmatan yang dapat menandingi ataupun sekurang-kurangnya sebagai alternatif yang baik kepada produk simpanan kewangan dari peringkat swasta bukan sahaja kerana diwajibkan untuk mana-mana pekerja untuk membuat sumbangan kepada TAP (Tabung Amanah Pekerja). Masa tidak menunggu, semakin lama kita ini cuma bincangkan perkara TAP ini semakin ramai di luar sana akan tidak cukup dengan harapan TAP dan SCP dapat menampung hari tua mereka. Kita ini segerakan dan selesai isu TAP ini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada kitani semua kerana kitani mempengerusikan mesyuarat di peringkat ASEAN dan setentunya selama beberapa hari di Dewan ini nanti, kitani membincangkan mengenai COVID-19 Recovery untuk negara khususnya dan rantau ASEAN secara am nya.

Saya akhiri dengan sebuah pemikiran untuk kitani semua iaitu pandemik COVID-19 mencabar kemampuan dunia malah negara-negara maju dan kaya juga tunduk pada impak pandemik ini. Berbalik pada kitani di Negara Brunei Darussalam, berapa kuatkah kedayatahanan kitani ataupun how strong is our resilient sebagai sebuah negara dan masyarakat menghadapi cabaran-cabaran seperti:

  1. Menghadapi pandemik seterusnya dari kesediaan keseluruhan;

  2. Menghadapi keruduman ekonomi ataupun bagi kitani, what is after oil and gas? sebagai sumber pendapatan negara. Adakah Digital Economy jawapannya dan jika ia apakah ataupun cukup kah persiapan kitani; dan

  3. Penyelesaian - Mencari penyelesaian bagi isu-isu dasar yang masih pending dan belum selesai dibincangkan di Dewan ini dan dibawa ke muzakarah.

Terakhir sekali, kesiapan teknologi kita ini adakah kita ini bersedia memasuki Revolusi Industri Keempat pada masa kini.

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية. والسلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Terima Kasih Yang Berhormat Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Saya kira cukuplah dulu kita membahaskan Usul ini dan kita terpaksa mengikut SOP yang dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan, maka saya tangguhkan persidangan kita ini untuk kita berehat, إن شاء الله kita akan bersidang semula pada pukul 2.30 petang ini nanti.

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية. والسلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)

(Majlis Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang)

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita masih lagi membahaskan Perkara V - Usul-Usul Yang Diberi Notis iaitu satu Usul telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada persidangan yang kita telah adakan sebelah pagi tadi. Kita telah mendengar kenyataan-kenyataan daripada beberapa orang Ahli Yang Berhormat, bagi membahaskan Usul ini.

Walau bagaimanapun, bersama saya di sini masih ada lagi senarai Ahli Yang Berhormat yang suka untuk turut serta dalam membahaskan Usul ini. Untuk tidak membuang masa, saya mempersilakan Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama, silakan Yang Berhormat.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama

بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته, Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan rakan-rakan Ahli Yang Berhormat baik yang di sebelah sini atau di sebelah sana. Yang Berhormat Yang Di-Pertua Dewan, kaola bersyukur kepada الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana sempat lagi menyertai rakan-rakan untuk berucap menyokong Usul menyembahkan menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan baginda ke majlis ini sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara tahun 2021 pada hari Isnin, 1 Syaaban 1442 bersamaan 13 Mac 2021. Kaola juga dengan hormat mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memberikan ruang kesempatan yang keemasan ini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, permulaan inti pati Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, baginda mulakan dengan pujian kepada سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى tanda kesyukuran baginda kepada سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى yang memberkati usaha bersepadu semua pihak dan doa yang terus-menerus dirafakkan, maka negara kita dapat membendung wabak koronavirus COVID-19 yang memberi impak besar kepada sosioekonomi dunia tidak terkecuali kita.

Sesungguhnya kita senegara sangat menjulang tinggi kepimpinan bijaksana baginda dalam saat-saat yang mencemaskan iaitu berpunca dari jangkitan yang dibawa oleh segelintir anggota masyarakat kita yang pulang dari tanah air, yang pulang dari luar negeri setelah menyertai perkumpulan besar keagamaan.

Dengan kebijaksanaan bagindalah, kerajaan telah menghadapi dan bergerak menempuh saat-saat yang mencemaskan itu secara bersepadu, menguatkuasakan undang-undang dan perintah serta aturan-aturan yang membawa kita senegara mengikut amalan-amalan kebiasaan baharu atau the new norms yang ternyata bahawa kita senegara menerimanya dengan baik dengan mematuhi SOP yang dikuatkuasakan.

اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, dalam kita berusaha membendung wabak itu, kita juga menganggapnya atau menerimanya sebagai suatu kejadian yang memperlihatkan cara اللّٰهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى menguji kita.

Hal ini, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, telah dijelaskan اللّٰهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى oleh antaranya dalam ayat 155 surah Al-Baqarah yang berbunyi:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَىْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ
الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ١٥٥

Yang terjemahannya / ertinya boleh dikatakan begini: Demi sesungguhnya Kami yakni اللّٰهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى menguji kamu dengan sedikit perasaan takut kepada musuh dan dengan kelaparan dan dengan berlakunya kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil-hasil tanaman yang dalam semua itu berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.

Ya, memang bermaksud menguji ketabahan kita, ketabahan menghadapi keadaan dan suasana yang mencemaskan seperti kehilangan jiwa disebabkan wabak penyakit dan sebagainya.

Kekurangan hasil sumber-sumber utama pemakanan yang menyebabkan kelaparan atau juga kebuluran, kekurangan hasil negara yang menyebabkan sampai kepada kemelesetan ekonomi dan kewangan. Semua itu cabaran-cabaran dan ujian untuk apa? اللَّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى bermaksud menguji kesabaran kita dalam erti kata, tambah sambil berikhtiar yang wajar dan اللَّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى menghargai jika kita sabar menerima keadaan sukar dan bahkan keadaan yang menakutkan itu dengan tetap mengukuhkan keyakinan pegangan kita kepada اللَّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى untuk sesuatu itu berlaku ada dengan hikmah-Nya yang tertentu.

Makanya ayat tersebut tadi disambung dengan ayat seterusnya, Asyabirin itu siapa? Mereka itu ialah:

ٱلَّذِينَ إِذَا أَصَابَهُمْ مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

iaitu: Mereka orang yang memulangkan segala apa jua yang menimpa mereka, semua datang daripada اللَّه dengan mengandungi hikmah tertentu yang اللَّه tentukan.

Mengenai ujian menghadapi wabak COVID-19, sejauh ini dalam konteks realitinya ternyata kita lulus. Ternyata kita berjaya sebab kita tidak gopoh-gapah, tidak panik. Kita tidak menimbulkan sebarang suasana seolah-olah kalau kita hilang punca, sebaliknya kita berusaha dengan niat yang murni dan dengan azam yang jitu untuk berjaya. Lalu dengan izin الله, kita boleh dikatakan 'melimpasi' markah bukan saja setakat lulus bahkan ke tahap jayyid jiddan yang sangat baik, kalau pun tidak mumtaz iaitu excellent.

Dalam kesempatan ini, kaola dengan ikhlas merakamkan tahniah dan pujian tanda penghargaan kepada Kementerian Kesihatan dan menterinya, rakan sejawatan kaola Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Awang Mohd. Isham bin Haji Jaafar berserta pasukan Yang Berhormat, yang proaktif dan berdedikasi memandu sebagai barisan hadapan utama dan memandu rakan-rakan mereka dari semua kementerian bagi merangkakan langkah-langkah dan tindakan yang wajar dalam usaha sepadu mencegah penularan wabak COVID-19 itu.

Satu perkara lagi mengenai ujian ini, Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Mungkin ujian yang didatangkan oleh الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى berupa wabak global COVID-19 yang turut melanda negara kita ini juga adalah sebagai petanda atau sebagai tanda-tanda amaran awal untuk kita terus berhati-hati dalam menjalani kehidupan ini sama ada di peringkat individu, keluarga, masyarakat dan seterusnya bangsa supaya dalam hiruk-pikuk kesibukan memajukan negara dalam segenap bidang, kita jangan sampai melonggarkan pegangan keimanan kepada الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى dan ajaran-ajaran-Nya.

Jangan sampai kepada tahap yang membuat kita perlahan-lahan tergelincir daripada landasan yang kukuh dan hala tuju yang betul ke arah yang diredai oleh اللّٰهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى.

Dalam aspek ini, sama-samalah kita menilainya. Kita mungkin perlu mengintrospektif diri kita sendiri dalam semua peringkat. الْحَمْدُ لِلّٰهِ, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, dengan keinsafan bahawa wabak COVID-19 yang menakutkan itu kita hadapi dengan tenang lalu sambil berusaha membendung dan mengatasinya secara saintifik, profesional dan praktikal yang lazim.

Kita telah menyertakan amalan-amalan yang baik dan terpuji di sisi اللّٰه dan ia berupa berdoa kepada اللّٰهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى. Kita tidak saja berdoa memohon untuk mendapat rahmat perlindungan-Nya daripada wabak ganas itu, bahkan juga kita berdoa memohon ampun kepada اللّٰهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى atas dosa dan keterlanjuran termasuk dalam erti kata menzalimi diri sendiri dan orang lain.

Maka, seterusnya untuk mengukuhkan doa kita itu, kita telah lakukan amal ibadat semata-mata kepada اللّٰه. Amal kebajikan dan amal soleh sesama kita hamba-hamba اللّٰه dan dengan ikhlas kita melakukannya kerana اللّٰه jua. Ditambah lagi dengan adanya kesedaran selaku komuniti, kita orang Brunei telah menunjukkan semangat khidmat bakti yang tinggi terutama daripada petugas-petugas barisan hadapan.

Dalam masa yang sama, kita mendapati kalangan sukarelawan muncul khasnya daripada generasi muda baharu yang aktif dengan kerja-kerja sukarelawan. Semua ini, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, menjadi pemangkin ketahanan nasional kita sebagai komuniti dan bangsa.

Berkat semua itu, kita dapat menjalani kehidupan dalam suasana kebiasaan baharu atau the new norms dengan mematuhi sekatan-sekatan yang diatur dan dikuatkuasakan seterusnya secara berhemat kita longgarkan secara bertahap setelah didapati negara dapat mengawal baik penularan wabak COVID-19, dan ٱلْحَمْدُ لِلّٰهِ sekarang kita berada pada tahap kelima yang disambut baik oleh kita senegara.

Namun dalam semua ini, hendaklah kita pula tetap berwaspada, jangan bersikap ’siuk’ sendiri dan jangan sekali-kali menunjukkan ’iski’ yang mungkin ada orang lain tersemat di mana-mana merasa rawan hati.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola seterusnya menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkaitan dengan pembangunan modal insan, ekonomi dan usaha mengukuhkan kedayatahanan fiskal negara.

Kita di Dewan ini, tentu dapat memahami betapa keprihatinan baginda ke atas tiga perkara ini yang menurut baginda, semua ini memerlukan komitmen seluruh lapisan terutama sekali pemegang dasar kerajaan.

Maka, sehubungan dengan itu, kaola dan Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku pemegang dasar dalam pembangunan modal insan dalam bidang hal-ehwal agama iaitu dari pendidikan persekolahan rendah agama, peringkat menengah dan persekolahan Arab serta Tahfiz Al-Quran dan seterusnya peringkat pengajian tinggi perguruan agama, abis kaola akan terus menjadikan semua itu diajarkan pendidikan agama secara sistematik iaitu yang dimaksudkan dengan secara bersistem itu ialah untuk pendidikan yang sempurna, yang memungkinkan setiap kanak-kanak Islam mampu melaksanakan fardu ain mereka selaku orang Islam seterusnya mengetahui serta memahami ajaran agamanya dengan fahaman serta amalan yang tidak sahaja betul, bahkan diterapkan ke dalam sikap atau pembawaan ajaran Islam yang holistik selaku agama الله yang mendatangkan رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Tegasnya, mereka tidak tinggal bersemangat agama semata-mata bahkan hendaklah memegangnya dengan berhemah dan inilah pegangan dan amalan agama Islam kita di negara ini telah tidak menjuruskan anak bangsa yang berpendidikan Islam yang sempurna dan sistematik itu.

Mereka tidak terjerumus ke arah fahaman Islam radikal dan menjadikan mereka pelampau agama yang sukar untuk berada sama dalam arus perdana dan negaranya syukur الْحَمْدُ لله.

Sementara dari aspek ekonomi khususnya usaha mengukuhkan kedayatahanan fiskal negara, Kementerian Hal Ehwal Ugama menerusi institusi zakat, wakaf dan amalan-amalan sedekah telah dan sedang menyumbang dengan baik ke arah itu.

Contohnya, Yang Berhormat Yang Di-Pertua ialah zakat yang dikutip dan dikumpul setiap tahun diagihkan kepada asnafnya iaitu yang disebut Al-Mustahik (orang-orang yang berhak bagi diperuntukkan agihan zakat kepadanya) yang popularnya mereka itu ialah fakir miskin dan mualaf. Mereka mendapat agihan bagi menampung belanja hidup mereka di samping belanja anak-anak mereka yang bersekolah, ada yang mengikuti latihan-latihan kemahiran dan yang penting juga ialah antara fakir miskin dan mualaf ini dibangunkan rumah kediaman sendiri atau juga disewakan rumah.

Bayangkan untuk menampung agihan-agihan kepada asnaf fakir miskin dan mualaf yang terdiri daripada hampir 4,000 keluarga dengan seramai lebih 15,000 jiwa, sejumlah lebih RM20 juta setiap tahun telah diperuntukan. Selain itu, ada lagi golongan yang berhutang yang disebut Al-Gharimin, antara mereka ada yang layak untuk menerima agihan selaku Al-Gharimin itu telah dibayarkan hutang, sama ada hutang yang tertunggak ataupun dalam keadaan-keadaan tertentu dilangsaikan kesemua hutangnya termasuklah hutang perumahan negara, bekalan elektrik, air dan juga hutang kenderaan kepada institusi kewangan.

Inilah sebahagian contoh yang juga menyumbang kepada memelihara kebajikan rakyat terutama dalam kalangan yang memerlukan kebajikan mereka ‘dikelingai’ oleh negara dengan peruntukan kerajaan yang lazimnya di bawah skim JAPEM, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Dalam pembinaan masjid pula, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, setakat ini telah dibangunkan dua buah masjid dan memperbaiki beberapa buah masjid. Sumbangan kepada fiskal kerajaan setakat ini dalam hal-ehwal masjid melebihi $8 juta dan pada masa ini ada lagi dana yang terkumpul sejumlah lebih $15 juta. Jumlah tersebut berserta dengan unjuran jumlah kutipan tiga tahun ke hadapan إن شاء الله sudah dirancangkan untuk period lima tahun akan membangun 5 buah masjid.

Bayangkan lagi sejumlah itu Perkhidmatan Hal Ehwal Agama dapat menampung kepada fiskal negara bagi memenuhi tanggungjawab kerajaan dalam pembangunan infrastruktur keagamaan seperti masjid dalam sebahagian keperluannya yang ada antaranya datang derma daripada orang ramai menerusi masjid-masjid, menyediakan bilik-bilik menyempurnakan jenazah dan kereta jenazah, dan ada juga bagi menampung peruntukan masjid, menyediakan keselesaan masjid berhawa dingin dan kemudahan bagi jemaah yang berusia lanjut untuk datang atau orang-orang cacat yang datang ke masjid-masjid.

Inilah sebahagian yang dapat dicontohkan bahawa institusi sosial di bawah Perkhidmatan Hal-Ehwal Agama dapat menyumbang dan menampung kepada fiskal negara.

Untuk itu, kaola dan Kementerian Hal Ehwal Ugama ingin merakamkan penghargaan yang tinggi kepada penyumbang-penyumbang zakat dan penderma-penderma. Merekalah sebenarnya yang telah menyumbang bagi mengukuhkan kedayatahanan hasil fiskal negara itu, semoga اللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى memberkati mereka dan harta mereka.

Demikian itu sebahagian aspek Perkhidmatan Hal-Ehwal Agama menyumbang dan sekali gus menampung untuk mengukuhkan fiskal negara, membangun masjid dengan sumbangan derma, sedekah orang ramai termasuk penjawat awam dan anggota-anggota Pasukan Polis Diraja Brunei dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Majlis Ugama Islam Brunei telah memutuskan untuk membangun 5 buah masjid yang sekarang ini sedang dalam penyediaan secara bertahap dengan kolaborasi bersama Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pembangunan.

Dalam aspek ini adalah jelas ia dapat dikembangkan, antaranya dengan menyegerakan penubuhan Jabatan Zakat yang telah lama mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk ditubuhkan. Jabatan itu akan juga mengendalikan ehwal wakaf Majlis Ugama Islam Brunei yang pada masa ini memiliki ratusan ekar tanah-tanah yang boleh dimajukan dan apa yang disebut sebagai Baitulmal yang juga akan mengurus harta terkumpul Majlis Ugama Islam Brunei.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, demikianlah ucapan kaola pada menyokong Usul Dewan ini, yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu menyembahkan junjung kasih yang sepenuh-penuhnya kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas titah dan keberangkatan baginda sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara 2021.

Sekian, وبالله التوفيق والهداية، و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

الحمد لله Sekarang saya persilakan Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari.

Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari

بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته dan salam sejahtera.

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam benar-benar mencerminkan keprihatinan baginda dalam memastikan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam sentiasa hidup aman damai dan penuh kemakmuran.

Kaola / saya turut menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan juga para frontliners termasuklah para sukarelawan dan dermawan atas usaha yang sangat gigih dan sumbangan dalam mengawal penularan jangkitan COVID-19 di negara ini.

Namun demikian seperti apa yang disampaikan melalui titah baginda, impak kepada ekonomi tidak dapat dielakkan dan negara ini akan melalui satu era yang sangat mencabar disebabkan keadaan ekonomi yang defisit. Pelbagai perubahan dan persediaan perlu dibuat bagi memastikan kemampanan sumber-sumber yang ada di samping membolehkan perkhidmatan harian berjalan dengan lancar.

Di sinilah bagi pendapat peramba / kaola / saya satu peluang untuk meningkatkan infrastruktur bagi perdagangan secara atas talian. Malahan dapat dilihat sewaktu pandemik ini, peningkatan dari segi pembelian secara atas talian dan juga makin ramai berkecimpung berjual secara pre-order dan dropship. Namun, risikonya tanpa peraturan dan pemantauan timbullah isu penipuan atau pun menyewakan akaun bank bagi tujuan yang menyalahi undang-undang. Selain itu, payment gateway bagi menerima pembayaran atas talian dari luar negara juga patut diteliti.

Baginda turut membangkitkan isu mengenai Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) sama ada ia mampu menyara kehidupan rakyat apabila memasuki alam persaraan. Di sinilah kita dapat melihat kepentingan peningkatan usaha dalam mempromosikan program-program celik kewangan dari umur yang lebih awal lagi. Ini bagi membantu dalam pengurusan kewangan yang lebih baik dan menggalakkan budaya menabung.

Apabila sektor ekonomi menurun secara tidak langsung impaknya juga mengakibatkan kecelaruan jiwa terutama kepada individu yang terkesan, sekali gus membawa kepada peningkatan ketara kes-kes jenayah seperti curi, sebagai contoh, kes kecurian kabel baru-baru ini yang telah menjejaskan lebih seratus ribu orang pengguna.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Di Dewan yang mulia ini peramba /kaola/ saya ingin menyampaikan beberapa perkara yang difikirkan sangat penting untuk dibincangkan sewaktu persidangan ini:

  1. Kaola / saya ingin menekankan bahawa tempat kerja yang kurang sihat disebabkan oleh gangguan fizikal dan mental boleh mengakibatkan produktiviti pekerja berkurangan. Di sinilah pentingnya undang-undang dan rangka kerja bagi menangani isu gangguan di tempat kerja agar memastikan tenaga kerja sama ada di pihak kerajaan mahupun swasta akan dapat dilindungi.;

  2. Kaola / saya mengambil baik usaha Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam bekerjasama dengan Sejahtera Community bagi membangunkan tempat perlindungan bagi haiwan liar. Ia akan banyak memerlukan sumbangan dari pihak swasta dan juga orang ramai dalam mengurangkan masalah yang dihadapi dan diakibatkan oleh hidupan liar.;

  3. Kaola / saya menyokong inisiatif Sekretariat Perubahan Iklim Brunei dan Kementerian Pembangunan dalam menjalankan Green Protocol. Ia tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai satu dokumen garis panduan di tempat kerja tetapi dipakai bagi kegunaan seharian. Peramba / Kaola / saya juga ingin menyampaikan penghargaan kepada Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat atas sama-sama menyokong inisiatif mengurangkan penggunaan botol plastik dalam mesyuarat di Dewan yang mulia ini bagi tahun yang kedua. Di samping itu, peramba / Kaola / saya menyambut baik perancangan kerajaan dalam memfokuskan kepada projek-projek berkaitan dengan tenaga solar dan kenderaan elektrik;

  4. Pelancaran Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035 mencerminkan hasrat Negara Brunei Darussalam bagi meningkatkan penglibatan dan pengupayaan para belia, namun, bagi menjayakan inisiatif yang diharapkan kerjasama dari semua pihak sangat penting; dan

  5. Negara Brunei Darussalam juga kini melalui fasa transformasi ke era digital iaitu sistem pembelajaran dan khidmat kerajaan dapat dibuat secara atas talian. Peningkatan platform e-dagang, pembelajaran dalam talian dan e-sukan telah menunjukkan keupayaan masyarakat terutama generasi muda kita dapat berkembang mengikuti arus revolusi digital. Namun, kita tidak seharusnya lupa isu jenayah siber yang semakin meningkat dengan kes-kes penipuan yang berlaku. Di samping itu, kita juga harus peka tentang cabaran yang mungkin dihadapi oleh kelompok terpinggir ataupun marginalised communities dalam menggunakan teknologi disebabkan oleh keadaan sosio-ekonomi ataupun infrastruktur.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Pada tahun ini Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah persidangan ASEAN. Peramba / kaola / saya ingin menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas perkenan bagi Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk menganjurkan Persidangan AIPA pada tahun ini. Inilah peluang kita untuk bekerjasama dan berkongsi pendapat dengan rakan-rakan di negara jiran dalam sama-sama menangani perubahan ekonomi dalam norma baharu.

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية، و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya persilakan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan

بسم الله الرحمن الرحيم ألحمدلله ربّ العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين. السلام عليكم ورحمة الله وبركاته dan salam sejahtera.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dirahmati Allah. Lebih dahulu sukacita kaola dengan penuh hormat dan takzim menyokong Usul yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada menyembahkan menjunjung kasih yang setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, atas keberangkatan bercemar duli dan pengurniaan titah semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara, kelmarin, hari Isnin, 1 Syaaban 1442 bersamaan 15 Mac 2021.

Negara sangat beruntung dinaungi oleh raja yang pemedulian serta prihatin terhadap hal-ehwal kebajikan rakyat dan penduduknya dalam semua peringkat masyarakat. Ini amat jelas dicerminkan dengan penghormatan tinggi dan hangat yang dikurniakan dalam titah baginda kepada semua petugas barisan hadapan dan bahkan seluruh lapisan masyarakat yang sama-sama berganding bahu dengan pihak kerajaan baginda dalam membendung wabak koronavirus.

Tidak terkecuali para sukarelawan termasuk hampir 3,000 orang sukarelawan belia dan Alumni Program Khidmat Bakti Negara, individu badan bukan kerajaan dan persatuan yang telah memainkan peranan signifikan dalam usaha berterusan ini. اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, mereka telah dan terus membuktikan diri sebagai aset negara yang memberikan nilai dan impak yang tinggi.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Apa yang turut penting titah baginda juga merupakan amanah dan hasrat yang perlu ditanai dengan sepenuhnya khususnya dalam pembangunan modal insan, ekonomi dan usaha mengukuhkan kedayatahanan fiskal negara yang memerlukan komitmen seluruh lapisan terutama sekali pemegang dasar kerajaan yang dikehendaki telus dan berani.

Titah baginda mempunyai pengertian yang sungguh holistik dan mendalam terhadap perkara-perkara yang mustahak yang dihadapi sebilangan masyarakat pada ketika ini termasuk penekanan baginda kepada isu pengangguran dan Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP).

Menyentuh kepada isu pengangguran kita amat bersyukur dengan kejayaan Manpower Planning Employment Council (MPEC) dalam menurunkan kadar pengangguran lebih-lebih lagi dalam inisiatif MPEC untuk memberikan peluang saksama kepada golongan sasaran ataupun vulnerable groups sebagai salah satu keutamaan.

Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan terus komited untuk bekerjasama dengan MPEC dan Job Centre Brunei melalui Pelan Program Pekerjaan dan ٱلْحَمْدُ, seramai 873 orang dari golongan tertentu termasuk Orang Kelainan Upaya, penerima bantuan dan golongan berpendapatan rendah telah mendapat pekerjaan sepanjang tahun 2020.

Apa yang penting impak jangka masa panjang turut diberikan melalui pengupayaan, pemerkasaan dan penglibatan secara berterusan. Ini seiring dengan Pelan Tindakan Pembasmian Kemiskinan dan Pelan Tindakan OKU di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial ke arah membentuk golongan sasaran yang mandiri.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, pada masa yang sama selaku Pengerusi Lembaga TAP Kaola dan keseluruhan warga TAP amat menjunjung serta menyanjung tinggi titah baginda berkenaan Skim TAP yang masih saja menjadi persoalan umum sama ada ia dapat menjamin ahli-ahlinya menghadapi hari-hari persaraan termasuk untuk turut menyara keluarga yang masih jadi tanggungan.

Sepertimana yang dikongsikan semasa Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Keenam Belas Majlis Mesyuarat Negara tahun 2020, pihak TAP sedang melaksanakan reviu bagi memastikan Skim TAP dan SCP signifikan, relevan dan dapat menjamin para ahli menghadapi hari persaraan.

Apa yang turut penting ialah dengan mengambil kira kadar penggantian pendapatan ataupun income replacement rate dapat dikekalkan untuk memastikan kesinambungan ahli-ahli menyara kehidupan selepas bersara.

أَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, proses reviu ini berada dalam fasa terakhir dan إِنْ شَاءَ ٱللَّٰه ia untuk disegerakan. Dalam masa yang sama kita juga hendaklah menggalakkan bagi ahli untuk menambah simpanan melebihi simpanan yang ditetapkan melalui Skim Caruman Sukarela yang telah diperkenalkan pada tahun 2011. Pandangan yang telah dan akan dikongsikan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat amatlah dihargai.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, sebelum mengakhiri kaola sekali lagi menyembahkan menjunjung kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas titah baginda yang jelas menekankan betapa pentingnya untuk mencetuskan perbahasan dua hala yang bernas dan bagi melaksanakan sesi permuzakarahan yang berterusan.

Sehubungan dengan itu, turut dirakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya dan tanda terima kasih atas sumbangan Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam jawatankuasa-jawatankuasa tertinggi bagi pengemaskinian dasar termasuk Dasar Belia Negara dan jawatankuasa-jawatankuasa khas berkaitan pelan-pelan tindakan di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial.

Semoga di Dewan yang mulia ini, kita semua akan dapat membincangkan dan mengenal pasti pendekatan-pendekatan untuk memperkukuhkan lagi sistem pentadbiran termasuk pengemaskinian dasar dan peraturan secara berterusan ke arah pencapaian matlamat negara.

Sekian terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. وَالسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Sekarang kita menjemput Yang Berhormat Awang Haji Abdul Wahab bin Apong.

Yang Berhormat Awang Haji Abdul Wahab bin Apong

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kaola juga menyokong sepenuhnya Usul yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi menyembahkan ucapan sepenuh-penuh menjunjung kasih ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah bercemar duli berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas dan berkenan mengurniakan titah pada hari tersebut.

Sesungguhnya titah baginda amatlah padat dengan harapan, dan pandangan jauh baginda yang mencerminkan sifat pemedulian baginda kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Dalam titah tersebut, baginda telah banyak mengingatkan kita terhadap isu-isu penting yang perlu dicari cara penyelesaian dengan tujuan menjana ekonomi serta memperbaiki kehidupan rakyat.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Menyentuh sebahagian daripada titah baginda yang perlu diambil perhatian oleh pihak kerajaan, sektor swasta dan segenap lapisan masyarakat dalam menangani fiskal kerajaan yang menurun disebabkan oleh ketidaktentuan harga minyak global dan mencari cara untuk menanganinya. Kaola berpandangan bahawa ada ruang yang boleh dimanfaatkan dalam langkah kita ini merangsang kemajuan aktiviti komersial dan juga menerokai pertumbuhan industri baharu.

Pada hemat Kaola, sektor seperti pembinaan, harta tanah, pertanian, pelancongan, pengangkutan logistik dan tenaga dipercayai beberapa aktiviti yang boleh menyumbang kepada usaha-usaha mempelbagaikan ekonomi negara. Mengenal pasti saja tidak cukup bagi kita. Apa yang penting ialah usaha gigih dan kerja keras dari beberapa pihak untuk sama-sama meneliti kesesuaian dasar dan proses-proses yang sedia ada. Kalau ia dapat digubal bagi memenuhi kehendak pelabur dan pihak-pihak yang berminat.

Kaola percaya dengan kerja keras dan membuat keputusan yang cepat dan proses dalaman yang lebih berkesan akan dapat sama-sama mempercepatkan aktiviti kemajuan berunsurkan komersial serta merancang ekonomi pertumbuhan industri baharu. Dengan keputusan yang cepat dan proses yang lebih mesra pelabur ataupun pengusaha, negara akan menikmati hasil pendapatan yang cepat dan ia dapat menarik lebih ramai lagi pelabur dalam kalangan rakyat tempatan mahupun negara luar.

Manakala menyentuh titah baginda mengenai perihal pentingnya penggubal dasar supaya akan lebih berani dan telus.

Saranan baginda ini kaola sanjung setinggi-tingginya dan tibalah masanya bagi penggubal dasar ini tampil bersemuka dengan orang ramai sebelum sebarang dasar dikenalkan seperti kata orang sudah buat keputusan baru diberitakan walhal yang lebih tepat ialah beritakan dahulu, minta pendapat orang ramai dan barulah dilaksanakan supaya dasar itu nanti akan lebih menepati kehendak negara sambil tidak memberi impak yang menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Dalam hal ini, kaola percaya dengan adanya dasar yang digubal melalui pendekatan dan keterlibatan rakyat dan peniaga tempatan nanti akan dapat menyumbang kepada perangsang kemajuan aktiviti komersial dan perindustrian yang dipandu oleh sektor swasta. Kaola juga percaya dengan keterlibatan aktif dari swasta ini akan dapat juga menjadi penyumbang kepada pendapatan dan perbelanjaan negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola percaya titah baginda ini bukan saja misi dan harapan baginda akan tetapi lebih memikirkan kesejahteraan rakyat negara ini terpelihara dalam jangka masa panjang dan bagi generasi yang akan datang. Maka sebagai langkah ke hadapan oleh baginda itu mustahak mencari jalan untuk semua pihak bukan saja dari pihak kerajaan, swasta dan NGO malah penglibatan daripada golongan belia untuk sama-sama berkayuh dalam menyokong titah baginda menaikkan jumlah kutipan KDN Negara Brunei Darussalam.

Sekian Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan

بسم الله الرحمن الرحيم
ألحمدُ للهِ ربِّ العالَمِينَ والصَّلاةُ والسَّلامُ عَلَى أَشْرَفِ
الأنبياءِ والمرسلينَ وعلى آلهِ وصحبِهِ أَجمعينَ.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Lebih dahulu kaola dengan hormatnya mengucapkan penghargaan yang setinggi-tingginya dan terima kasih ke atas peluang yang telah diberikan untuk bersama-sama dengan Ahli-Ahli Yang Berhormat menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan baginda ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara bagi tahun 2021 dan seterusnya mengurniakan titah di Istiadat Pembukaan Rasmi tersebut.

Kaola dengan penuh hormatnya sangat-sangat menjunjung kasih setinggi-tingginya atas penghargaan dan kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada semua usaha yang telah dicurahkan oleh semua petugas barisan hadapan dan semua lapisan masyarakat dalam berganding bahu dengan pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menangani wabak COVID-19.

Tanpa adanya kurnia perkenan dan pimpinan baginda yang begitu dalam terhadap kesejahteraan rakyat dan keamanan negara yang dicintai dan dengan sentiasa merafakkan doa serta dorongan untuk sentiasa mengingati الله سبحانه وتعالى Yang Maha Berkuasa, semua usaha yang telah dijalankan tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sesungguhnya, kejayaan negara dalam membendung penularan penyakit wabak COVID-19 itu tidak lain dan tidak bukan semata-mata atas limpah rahmat الله سبحانه وتعالى jua yang patut kita syukuri diganding dengan kemuliaan seorang raja yang kita kasihi yang sentiasa mengambil berat akan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Sesungguhnya isi kandungan titah baginda amatlah besar maknanya bagi kita sama-sama saling memahaminya. Kaola menjunjung sepenuhnya titah baginda untuk mengamalkan ketelusan (transparency) dalam membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan modal insan, ekonomi dan usaha yang mengukuhkan kedayatahanan fiskal kerajaan.

Kaola dengan rendah hati berpendapat bahawa ketelusan dalam kita mengenal pasti punca atau sebab sesuatu isu sangat penting kerana ia membawa kita kepada ketelusan itu bukan sahaja diamalkan perbincangan di peringkat dasar dan pentadbiran atau di majlis-majlis mesyuarat sahaja, malah seharusnya memberi peluang kepada pihak awam untuk menyuarakan pendapat dan cadangan yang bernas yang boleh membantu kerajaan dalam menggubal dasar serta merancang tindakan-tindakan yang sepatutnya dilaksanakan.

إن شاء الله jika ini kita terus amalkan negara akan mampu menghasilkan dasar-dasar yang berkesan serta menyusun strategi yang berdaya tahan yang membawa kepada perubahan atau peralihan yang positif dalam jentera pentadbiran kerajaan. Ini juga akan dapat menyokong konsep Evidence Base Policy Making atau pembuatan dasar berasaskan bukti yang bukanlah satu konsep yang baharu malah selalu dilaungkan sebelum ini. Tinggal sahaja lagi ia patut dibudayakan dan diberi penekanan serta peruntukan sumber yang mencukupi untuk ia diamalkan secara bersungguh-sungguh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Dalam sama-sama menjunjung, mendukung dan merealisasikan aspirasi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, keseluruhan jentera kerajaan mempunyai peranan untuk sentiasa bersatu padu dan bekerja dengan penuh iltizam dan berani dalam melakukan anjakan paradigma dan mentransformasi urus tadbir kepada lebih efisien dan berkualiti, efektif, telus, proaktif, kreatif dan inovatif dan mesra pelanggan yang sekali gus sama-sama menjurus ke arah merangsang iklim perniagaan dan perekonomian yang lebih kondusif di Negara Brunei Darussalam.

Ke arah ini setentunya memerlukan warga perkhidmatan awam yang berjiwa besar, berdedikasi, berdisiplin, beretika kerja yang mulia lagi murni, berusaha giat bagi merancang strategik dengan bijak dan mantap dan melaksanakannya dengan memberikan perkhidmatan berkualiti yang lebih bertepatan dengan kehendak semasa di samping bersiap siaga menangani pelbagai cabaran serta sentiasa meningkatkan profesionalisme dan kemahiran diri.

Bagi mengambil inisiatif bersempena dengan Negara Brunei Darussalam menjadi Pengerusi dan tuan rumah bagi acara kemuncak ASEAN, Negara Brunei Darussalam akan menerajui satu inisiatif dalam bidang kesihatan iaitu mempromosikan kesihatan mental melalui kerjasama antara ASEAN dan rakan-rakan dialog ASEAN.

Sesungguhnya inti pati kandungan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas ini amat mencerminkan kedaulatan, kewibawaan dan kebijaksanaan baginda sebagai raja yang berjiwa rakyat dan sangat mengambil berat dan pemedulian akan kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta keselamatan, kemakmuran dan keamanan negara malahan juga pemimpin yang berwawasan global.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat الله سبحانه وتعالى semoga negara kita, Negara Brunei Darussalam, yang sama-sama kita cintai berterusan diredai, diberkati, dirahmati dan di bawah perlindungan الله سبحانه وتعالى آمين يا رب العالمين

Sekian, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

وبالله التوفيق والهداية. و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Menteri Kesihatan. Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Awang Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Awang Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu

بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, dan salam sejahtera. Kaola lebih dahulu dengan jernih hati menyembahkan menjunjung kasih atas keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara.

Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Dewan yang mulia ini sangat padat, bernas dan jelas yang perlu kita junjung, amat-amati serta dijadikan panduan dan iktibar. Ia jelas menggambarkan bahawa baginda sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan dan kebajikan rakyat dan penduduk negara ini.

Ia juga mencerminkan kebijaksanaan, pemedulian serta pandangan jauh baginda dalam memastikan setiap lapisan masyarakat bersatu padu, bersama-sama mengorak langkah dalam semangat kesepakatan khususnya dalam pembangunan modal insan, memperkasa pertumbuhan ekonomi negara dalam mengharungi arus perubahan global yang kian mencabar dan seterusnya kedayatahanan fiskal negara.

Menyentuh mengenai keadaan global, termasuklah di Negara Brunei Darussalam sememangnya tahun 2020 adalah tahun yang sangat mencabar khususnya dengan penularan dan pandemik COVID-19 yang memberikan impak dan kesan yang besar kepada pelbagai sektor di negara ini. Natijahnya, penularan pandemik COVID-19 ini, membuka mata dan minda banyak pihak untuk berfikiran lebih kreatif dan innovatif dalam meneruskan kehidupan dalam keadaan norma baharu. Selain itu, apa yang sangat ketara ialah sikap seluruh lapisan rakyat dan penduduk di negara ini yang secara telus dan ikhlas mengambil peranan dan bertanggungjawab dengan penuh komitmen dan bersungguh-sungguh dalam sama-sama memastikan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran negara terus dijaga.

Sikap perpaduan inilah yang kita perlukan dan inilah yang mencerminkan bangsa Brunei yang sebenar. Penekanan dan pengukuhan sikap bersatu padu ini selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-33 yang antara lain titah baginda: “Kita perlu bertindak lebih tangkas bagi menghasilkan impak yang tinggi yang boleh menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara. Untuk ini semua, kita diperlukan lebih dahulu untuk bersatu padu, jangan berpecah belah pastikan semua usaha yang dibuat secara muafakat, relevan dan menepati peredaran masa. Inilah rahsia atau kejayaan Wawasan Brunei 2035.”

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Dalam kita sibuk mengejar impian dan aspirasi negara, lebih-lebih lagi dalam keadaan norma baharu ini, kaola ingin menyeru agar kita semua tidak lalai atau leka dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan-peraturan yang sedia ada.

Tujuan undang-undang dan peraturan adalah untuk mengekalkan dan mewujudkan ketenteraman dan keamanan dalam masyarakat. Perkara ini, hendaklah sentiasa dititikberatkan serta dipergiatkan dan diperkukuhkan lagi agar tidak berlaku sebarang ketirisan dalam melaksanakan undang-undang dan peraturan berkenaan terutamanya bagi pihak-pihak yang bertanggung jawab dalam membuat dasar negara.

Dalam pada itu, pengemaskinian peraturan dan undang-undang hendaklah dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam memastikan ia terus relevan mengikut peredaran zaman.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Akhirnya, kaola menyambut baik setiap usaha dan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kesemua pihak dalam sama-sama kita membangunkan negara bagi kita mencapai Wawasan Brunei 2035. Banyak perkembangan dan program pembaikan yang telah dapat kita kecapi sepanjang tahun lalu. Amatlah diharapkan agar segala usaha kita termasuk dari segi dasar, rangka tindakan dan program akan dapat terus dipergiatkan dan dilaksanakan dengan mengambil kira pendekatan Whole of Nation Approach dengan semangat persepakatan dan perpaduan.

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية. و السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Sekarang saya jemput Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II

بسم الله الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola lebih dahulu ingin menyembahkan menjunjung kasih yang setinggi-tingginya kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan dan kurnia titah baginda bersempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara pada hari Isnin, 1 Syaaban 1442 bersamaan 15 Mac 2021. Titah baginda merupakan nasihat yang mencerminkan tingginya keprihatinan dan kebijaksanaan baginda dalam memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan penduduk serta negara yang sentiasa terjamin.

Seperti dititahkan sidang kali ini akan membincangkan Rang Peruntukan Belanjawan Negara, kaola percaya peruntukan belanjawan ini amat penting dan bertepatan bagi negara bagi menghadapi cabaran-cabaran geopolitik dan geoekonomi global yang tidak menentu di samping negara-negara berlumba-lumba mendapatkan vaksin untuk pulih daripada kesan wabak COVID-19 dengan seberapa segera yang boleh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga telah menitahkan bahawa Negara Brunei Darussalam pada tahun ini menjadi Pengerusi ASEAN dengan tema yang dipilih ‘We Care We Prepare, We Prosper’. Tema ini antara lainnya bertujuan memberi fokus kepada hal-ehwal kesejahteraan rakyat negara-negara ASEAN dan juga menekankan peranan rakyat ASEAN dalam meningkatkan kerjasama dalam ketiga-tiga community pillars iaitu community political security, community economy dan community social culture.

Secara amnya keutamaan dan deliverables yang akan dimajukan seperti regional travel arrangement, COVID-19 Recovery Framework, enhance ASEAN coordination, dan mental health dalam era pasca COVID-19 pada tahun ini bukan sahaja akan dapat dimanfaatkan oleh negara-negara ASEAN lainnya malahan ianya akan dapat menyumbang kesejahteraan rakyat Negara Brunei Darussalam dan pembangunan negara yang mampan. Tambahan juga usaha-usaha ini adalah untuk memajukan dan mempercepatkan pemulihan serantau berikutan pandemik COVID-19.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kementerian ini ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih yang setinggi-tingginya atas sokongan padu yang diberikan oleh kesemua lapisan masyarakat dan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan bagi Negara Brunei Darussalam mempengerusikan ASEAN pada tahun ini. Usaha-usaha kita bersama secara Whole of Nation Approach ini adalah untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk dengan sebaik-baiknya termasuk juga dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035 untuk generasi sekarang dan generasi-generasi akan datang.

إن شاء الله pihak Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri bersama-sama dengan agensi-agensi yang berkenaan akan terus berusaha untuk mempertingkatkan lagi usaha-usaha ke arah itu. Dalam pada itu, kaola sukacita menyokong penuh Usul yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim, Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi menyembahkan menjunjung kasih yang setinggi-tingginya kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas titah baginda semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara kelmarin.

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية. و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat. Sekarang saya persilakan Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis.

Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

dan salam sejahtera.

Pertama sekali marilah kita bersyukur ke hadrat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى atas rahmat dan nikmat yang dilimpahkan ke atas negara kita sebagai negara yang aman makmur seperti yang kita nikmati selama ini atas kebijaksanaan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola berdiri di sini dengan setulus ikhlas menyokong Usul yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim, Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi menyembahkan menjunjung kasih yang setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan baginda dan seterusnya mengurniakan titah semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara pada hari Isnin, 1 Syaaban 1442 bersamaan 15 Mac 2021.

Dalam titah baginda telah jelas memberikan tahniah yang hangat kepada semua petugas barisan hadapan dan bahkan seluruh lapisan masyarakat yang sama-sama berganding bahu dengan pihak kerajaan baginda dalam menangani wabak COVID-19 dengan memiliki semangat rela berkorban yang tinggi sehingga sanggup berhadapan dengan risiko bahaya tanpa mengira masa dan keadaan.

Kesanggupan yang mereka miliki ini menandakan sikap sabar yang tebal dalam kalangan para petugas itu sendiri dengan mengorbankan waktu yang seharusnya bersama keluarga mereka dan dengan pengorbanan ini hasilnya negara kita telah berjaya membendung wabak berkenaan. Keberhasilan ini juga disertai dan dibantu dengan doa daripada pemimpin (baginda sendiri) dan tidak terkecuali rakyat negara ini amnya.

الحَمْدُ لِلّٰهِ, dalam masa yang sama, rakyat juga bersyukur atas kebijaksanaan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana bertindak cepat dan tepat dalam menangani wabak COVID-19 ini dengan mengawal sempadan-sempadan bagi keluar masuk ke negara ini dan dalam masa yang sama telah menyediakan tempat-tempat kuarantin yang lengkap dengan kemudahan dan seterusnya membantu meringankan mereka yang terlibat dalam perusahaan perniagaan, pekerjaan dan seumpamanya. Ini amat disyukuri oleh rakyat negara ini.

Menyentuh mengenai pembangunan modal insan, setentunyalah meningkatkan daya saing dan produktiviti negara. Modal insan yang ingin dihasilkan dan diketengahkan perlu mampu berfikir secara kritis dan kreatif, jujur lagi amanah, berdisiplin serta berkemampuan menyelesaikan apa juga masalah dan berkeupayaan mencipta peluang-peluang pekerjaan, perusahaan, perniagaan dan seumpamanya. Seterusnya modal insan juga mestilah ada memiliki percaya diri dan berkebolehan serta mempunyai ketahanan menghadapi dunia global yang selalu berubah-ubah setiap waktu. Oleh itu, amatlah perlu bagi negara ini untuk mengeluarkan dan mempersiapkan modal insan yang berkualiti dan berdaya tahan bagi mencapai hasrat tujuan Wawasan Brunei 2035 yang akan mendatang dalam semua bidang yang diperlukan oleh negara. Dalam hal ini, peruntukan diperlukan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Berhubung dengan isu penurunan fiskal, perkara ini sedikit sebanyak mungkin boleh ditangani dengan memberikan peluang dan seterusnya sokongan yang padu kepada Majlis Perundingan Kampung untuk meningkatkan dan memperkasa Satu Kampung Satu Produk (1K1P) dengan memberikan kursus-kursus dan latihan-latihan khusus keusahawanan yang lebih tersusun dan jelas hala tuju dan mudah difahami oleh pelatih-pelatih dan seterusnya sokongan moral dan bantuan modal sama ada berbentuk geran atau pinjaman mudah dan tidak dipersulit (perlu dilihat dan dikaji). Di samping itu diberikan bimbingan dan pemantauan secara berterusan oleh pihak berkepentingan yang lebih serius dan jangan dibiarkan mereka bergerak bersendirian tanpa bimbingan padu dan buat pengiktirafan atau anugerah kepada mereka yang berjaya sebagai penghargaan dan pemangkin kepada yang lain.

Akhirnya, kaola sekali lagi menyembahkan menjunjung kasih yang setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kurnia titah baginda semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara pada hari Isnin, 15 Mac 2021. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Sekian, وبالله التوفيق والهداية، و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu.

Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله ربِّ العالمين والصلاة والسلام على أشرف
الأنبياء والمرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين.
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته salam sejahtera dan salam permata hijau.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola lebih dahulu dengan tulus ikhlas menyembahkan menjunjung kasih yang setinggi-tingginya di atas keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Wddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara dan atas limpah kurnia titah baginda pada 1 Syaaban 1442 bersamaan 15 Mac 2021.

Kaola juga bersama-sama Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain menyokong sepenuhnya Usul daripada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim, Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyembahkan ucapan menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan dan telah bercemar duli berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara dan berkenan mengurniakan titah semalam.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam merupakan kurnia yang amat besar nilainya dan sangat-sangat ditunggu oleh lapisan masyarakat. Titah baginda kali ini jika diamat-amati, jelas menggambarkan bahawa baginda sangat mengambil berat isu-isu kepentingan rakyat, yang berkaitan dengan pembangunan modal insan, ekonomi dan kedayatahanan fiskal negara, Tabung Amanah Pekerja, pengangguran dan semua ini jelas baginda memerlukan komitmen seluruh lapisan terutama sekali pemegang dasar kerajaan.

Marilah kita merafakkan syukur ke hadrat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana pengurniaan nikmat-Nya merupakan keamanan, kesejahteraan dan kesihatan yang dapat kita nikmati selama ini dan kita juga bersyukur kerana Negara Brunei Darussalam setakat ini terselamat daripada penularan wabak COVID-19. Ini adalah hasil kerja keras secara bersepadu semua pihak daripada doa raja kita, dari amalan-amalan soleh kita, amalan patuh, taat, setia kepada pemerintah, amalan cara hidup norma baharu dan amalan-amalan soleh wajar diteruskan sampai bila-bila masa. Walaupun negara kita disuatu hari nanti, إن شاء الله bebas daripada wabak COVID-19, iaitu sebagai suatu cara untuk kita memohon dan meraih rahmat, keberkatan, pertolongan serta perlindungan.

Dalam kesempatan ini, kaola ingin ikut serta memberikan beberapa pandangan mengenai beberapa isu yang telah dibangkitkan iaitu:

  1. Modal Insan.

Kita sedia maklum bahawa kemajuan sesebuah negara itu sering dikaitkan dengan pembangunan modal insan kerana modal insan boleh membawa perubahan yang menyeluruh. Antara fokus utama ialah melahirkan keluarga yang harmoni. Keluarga adalah salah satu teras perkembangan modal insan di samping ilmu dan amal yang bermanfaat dan berkelakuan baik serta bersikap positif dan mempunyai daya kemahuan yang tinggi. Keluarga yang harmoni akan pula dapat membentuk masyarakat yang sejahtera sekali gus menjadi salah satu pelengkap kepada ekosistem sesebuah modal insan.

Ketiga-tiga matlamat Wawasan Brunei 2035, sudah mengandungi ciri-ciri pembentukan modal insan yang berkeupayaan namun masyarakat umum perlu meningkatkan kesedaran terhadap ciri-ciri tersebut agar modal insan yang diharap-harapkan itu dapat dilahirkan pada ketika ini ‘calaknya’, agar pula mendukung lagi kepada aspirasi kedua dalam Brunei Darussalam Economic Blueprint, iaitu warga yang berkemahiran mudah suai dan inovatif yang menghendaki warga kita menjadi warga yang boleh dipasarkan dalam keperluan ekonomi kini. Begitu juga siaga masa depan, apatah lagi dalam zaman Revolusi Industri Keempat yang sudah banyak dilihat membawa perubahan-perubahan dan manfaat kepada penggunaan digital dan internet.

Namun yang demikian jurang penggunaan teknologi antara generasi kini dan yang sebelumnya haruslah juga diambil kira agar tiada tercicir golongan berusia daripada menikmati keperluan teknologi digital dan internet agar pencapaian perkhidmatan dan produk kekal dapat sama-sama dirasakan dan mampu melayani pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan yang kurang berkeupayaan.

Begitu juga melalui beberapa program, antaranya melalui program PKBN, Penubuhan Persatuan Alumni PKBN, melalui persatuan belia, badan-badan kebajikan, belia masjid, biro belia, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dan lain-lainnya, memerlukan suntikan baharu bagi membuat perubahan. Ini memerlukan penilaian dan perancangan yang benar-benar memberikan impak kepada pembangunan modal insan yang sebenar. Mungkin salah satu contoh ialah mewujudkan program lanjutan kepada Alumni PKBN.

2. Dalam bidang ekonomi, khususnya Daerah Temburong, Pelaburan Langsung Asing hendaknya menawarkan peluang-peluang yang boleh meningkatkan nilai kemahiran dan pengetahuan sumber tenaga manusia agar seiring modal insan mempunyai daya kemahiran yang setanding dengan sumber tenaga manusia di negara-negara lain.

Meneroka peluang-peluang ekopelancongan untuk menarik pelancongan dalam negeri khususnya, namun dalam masa yang sama perlunya mengekalkan kehijauan Daerah Temburong yang diberi julukan 'The Green Jewel' agar kesinambungan ekosistemnya termasuk perairan sungainya sentiasa berkeadaan baik dan tidak mengalami pencemaran serta gangguan atau penyusutan kepada sumber alamnya di samping menyedari akan keperluan yang diraih daripada nikmat yang telah tersedia.

Menjadikan Daerah Temburong sebagai salah satu destinasi percutian pada hujung minggu yang dapat menawarkan pelbagai aktiviti dengan melibatkan komuniti setempat yang diupayakan dan dilengkapi dengan kemahiran selok belok industri pelancongan dan hospitality sebagai memberi khidmat sekali gus menambah kewujudan pasaran kerja yang mengambil warga daerah selaku sumber tenaga manusianya.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Jambatan Temburong telah diberi nama Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien yang mula digunakan pada 17 Mac 2020 sebagai kemudahan yang dinanti-nantikan, lebih-lebih lagi dalam keadaan kini masih sahaja belum bebas penurunannya daripada wabak COVID 19, Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien adalah merupakan lambang kemodenan terunggul Negara Brunei Darussalam. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-74, tahun 2020, bagi mengingatkan baginda siapa yang dinobatkan sebagai Arkitek Brunei Moden. Semoga dengan menyebut nama Sultan Haji Omar Ali Saifuddien akan membawa rahmat kepada baginda.

Dalam kesempatan ini, kaola bagi mewakili seluruh rakyat dan penduduk Daerah Temburong melahirkan kesyukuran ke hadrat اللّٰهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى dan menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas pengurniaan jambatan berkenaan yang akan menjadi mercu tanda dan seterusnya akan menjadi ristaan dan sejarah untuk dikenang oleh seluruh lapisan masyarakat rakyat dan penduduk di Daerah Temburong. Marilah kita bersama memohon doa ke hadrat اللّٰهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى semoga negara kita dijauhkan daripada wabak penyakit dan bala bencana sebaliknya dilimpahi dengan berkat kemakmuran yang berpanjangan. Kita berdoa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja beroleh kesejahteraan rahmat dan petunjuk serta perlindungan dan hidayat daripada الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى.

Sekian,
وَبِاللهِ التَّوْفِيقُ وَالهِدَايَةِ، وَالسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat dari Daerah Temburong. Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd. Siput.

Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd. Siput

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola mewakili Zon 2 Daerah Belait, lebih dahulu mengucapkan syukur ke hadrat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana atas limpah dan izin-Nya jua makanya kaola berkesempatan bersama Ahli-Ahli Yang Berhormat hadir di Dewan yang mulia ini bagi menghadiri Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola dengan rasa rendah hati menyokong sepenuhnya Usul yang diutarakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim, Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Kaola menyembahkan menjunjung kasih yang setinggi-tinggi kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Omar Ali Saifuddien Saadul Khari Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, atas titah baginda sewaktu merasmikan Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara yang berlangsung kelmarin, 1 Syaaban 1442 bersamaan 15 Mac 2021.

Titah Baginda menyentuh pelbagai kementerian dan berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat. Pesanan baginda kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat tentang pelbagai etika yang baik tentulah kami junjung dengan hati yang terbuka. Keprihatinan baginda kepada kemajuan negara amat tinggi sekali. Kita sama ada sebagai pihak perkhidmatan awam, pihak swasta, ahli perniagaan dan rakyat menjunjung kasih atas titah yang sangat tepat dan kena pada masanya itu.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, serangan wabak pandemik COVID-19 umpama tercetusnya perang dunia, sudah setahun kita hidup bersama koronavirus COVID-19, tahun 2020 tidak akan dilupakan dalam sejarah. Seluruh dunia mengalami kesukaran, kedukaan dan kesakitan.

Tiada negara ekonominya tidak merundum pada tahun 2020 termasuklah Negara Brunei Darussalam yang semuanya kehendak الله سبحانه وتعالى. Di sebalik ujian sudah tentu ada sesuatu yang الله سبحانه وتعالى ingin sampaikan kepada kita. Negara Brunei Darussalam bernasib baik kerana berjaya memerangi COVID-19 dengan cemerlang. Ini adalah berkat doa baginda Sultan dan diaminkan oleh rakyat serta penduduk Negara Brunei Darussalam dengan diikuti usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan yang terajui oleh Menteri Kesihatan, wabak tersebut dapat dikawal dengan baik. Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat khasnya pejuang barisan hadapan dari pelbagai agensi kerajaan dan ahli-ahli sukarelawan terpenting. Penghargaan juga kepada seluruh rakyat di Negara Brunei Darussalam yang sentiasa berdoa serta patuh kepada perintah dan arahan-arahan yang dikeluarkan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola mewakili penduduk kampung dan mukim sukacita menjunjung kasih ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keprihatinan baginda terhadap kesejahteraan dan kebajikan rakyat amnya dan yang berada di kawasan luar bandar khasnya. Menyentuh mengenai kesejahteraan dan kebajikan ini hampir keseluruhan kemudahan asas telah pun dibekalkan di kawasan luar bandar. Namun semuanya itu tidak akan dinikmati sepenuhnya jika tidak ada usaha-usaha untuk membendung penghijrahan penduduk luar bandar ke kawasan bandar atas alasan perumahan dan pekerjaan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, pembangunan juga mestilah seimbang antara satu daerah dengan daerah yang lain agar pembangunan tersebut nampak seimbang, terutamanya dalam aspek prasarana, perindustrian dan sebagainya. Perlu ada perancangan baharu untuk meningkatkan ekonomi masyarakat luar bandar serta perlu ada usaha mewujudkan kawasan perumahan dan membawa pelbagai jenis industri berasaskan pertanian, industri ringan, industri berinisiatif buruh ke kawasan luar bandar untuk menjana peluang pekerjaan kepada penduduk luar bandar agar kurang berlakunya penghijrahan di kawasan bandar yang hanya semata-mata untuk mendapatkan rumah dan pekerjaan. Segala kemudahan yang disalurkan ke kawasan luar bandar tidak akan bernilai andainya penduduk kawasan luar bandar semakin berkurangan disebabkan oleh faktor yang dinyatakan di atas.

Pihak berkepentingan serta lapisan masyarakat wajar sama-sama berganding bahu mewujudkan persekitaran luar bandar yang selamat, berkualiti tinggi dan teratur. Oleh yang demikian, cadangan dan rancangan yang diwujudkan perlu dimasukkan ke dalam RKN untuk menjadi keutamaan kepada usaha-usaha untuk mempercepatkan pembinaannya. Setiap kementerian dan jabatan mesti ada kaedah pemantauan yang jelas agar pelaksanaan setiap projek dapat dilaksanakan mengikut jadual-jadual yang telah ditetapkan dan bermutu tinggi dan tidak bertangguh atau ditunda ke RKN berikutnya.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat اللّٰهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى dilimpahkan dengan berkat, rahmat serta aman makmur. Semoga Negara Brunei Darussalam bebas sepenuhnya daripada wabak koronavirus COVID-19. Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Sekian,
وَبِاللّٰهِ التَّوْفِيقُ وَالْهِدَايَةُ، وَالسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ وَبَرَكَاتُهُ

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Seterusnya Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon.

Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon

بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيمِ الْحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera.

الْحَمْدُ لِلّٰهِ dengan memanjatkan syukur ke hadrat اللّٰهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى dan atas limpah dan kurnia-Nya jua maka kaola dapat bersama-sama dalam sidang yang mulia bagi menyokong penuh Usul yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi menyembahkan ucapan menjunjung kasih ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Saadul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah bercemar duli berangkat seterusnya berkenan mengurniakan titah di Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2021.

Kaola amat menyanjung tinggi atas nasihat, mandat dan amanat yang telah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertua Negara Brunei Darussalam bagi memikir dan merancang perkara-perkara strategik yang memberi tumpuan kepada aspek pembangunan modal insan, pertumbuhan ekonomi negara dan usaha mengukuhkan kedayatahanan fiskal negara.

Kaola yakin dan percaya usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan bersama agensi-agensi yang berkepentingan telah menampakkan hasilnya. Justeru, kita perlu peka dan jangan lalai dan cepat berpuas hati akan pencapaian yang diperolehi demi untuk menstabilkan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. الحَمْدُ لِلّٰهِ kita bersyukur ke hadrat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana mengurniakan kehidupan yang sihat, selamat dan sejahtera di bumi Brunei Darussalam ini.

Gejala wabak koronavirus yang melanda dunia sudah menjangkau lebih 1 tahun lamanya dan ia masih menjadi isu global sekarang ini tetapi kita di Negara Brunei Darussalam telah berjaya dalam usaha mengekang penularannya berkat kerjasama semua lapisan rakyat, tinggal lagi apakah kita boleh bertahan dengan impak dari penularan wabak ini khususnya perkara yang berkaitan dengan sosioekonomi dunia.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola sangat tertarik dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai pemikiran terhadap skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) untuk dibincangkan. Bagi pendapat kaola perkara ini perlu dilaratkan kepada SCP juga iaitu bagi mencadangkan agar caruman kedua-dua TAP dan SCP dapat ditingkatkan dari pihak kerajaan bagi memastikan jaminan sosial iaitu social safety need rakyat terjaga.

Sebagaimana yang diketahui Pencen Umur Tua sebanyak $250.00 yang telah diberikan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah satu kurnia yang bukannya dapat dirasai oleh semua negara tetapi hanya sesetengah negara yang mampu memikirkan kebajikan rakyatnya dengan memberikan atau mengurniakan insentif berkenaan. Akan tetapi di Negara Brunei Darussalam berkat kepimpinan dan keprihatinan raja terhadap rakyatnya maka kurnia Pencen Umur Tua adalah satu jaminan bagi rakyat warga emas untuk menjalani umur persaraan.

Namun, disebabkan peredaran masa dan krisis ekonomi di seluruh dunia bagi memastikan sustainability seseorang individu atau rakyat dalam menikmati kehidupan selesa selepas persaraan, maka wajar untuk cadangan bagi meningkatkan atau menambah jumlah peratus caruman TAP dan SCP dari pihak kerajaan dengan metodologi yang tepat selain menerima kurnia Pencen Umur Tua. Kajian terperinci dan kefahaman mendalam mengenai kepentingan TAP dan SCP ini diharapkan dalam menentukan peratus tambahan dan pencarian kaedah yang tepat untuk dijadikan sebagai satu perangsang kewangan negara yang dalam masa yang sama tidak membebankan kerajaan dalam perbelanjaan masa depan social welfare di samping mampu menjamin kehidupan individu di peringkat persaraan umur 60 tahun ke atas. TAP dan SCP ini juga berpotensi untuk menjadi social safety net (SSN) bagi warga emas dan ini selaras dengan strategi jaminan sosial Wawasan Brunei 2035.

Selain itu, isu pengangguran sering sahaja disentuh dalam titah baginda justeru dalam usaha MPEC menjamin peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan. Kaola ingin mencadangkan agar mana-mana perjawatan dalam sektor kerajaan akan dapat dikaji dasar atau syarat perjawatan yang sedia ada, dengan syarat over qualified atau terlebih dari kelayakan perlu ditiadakan. Ini adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada anak-anak tempatan mencuba nasib bagi bersaing mendapatkan jawatan di sektor kerajaan tanpa terikat dengan syarat-syarat maksimum kelayakan.

Seterusnya, titah baginda mengenai fiscal consolidation, Program FCP yang telah diperkenalkan bermula pada tahun 2018 diharapkan kementerian yang dianggap berjaya dalam mengadakan FCP ini akan dapat mengongsikan dan memberigakan kepada kementerian-kementerian yang lain bagi yang lebih berpotensi. Sebagai contoh, inisiatif seperti penyatuan sistem pengurusan aset-aset kerajaan dengan dibantu oleh sistem IT dan teknologi sudah menjadi satu kemestian bagi mendorong pengurusan kewangan yang lebih teratur.

Contoh kedua, ialah bagi pihak kementerian-kementerian kerajaan meneroka perkara-perkara berpotensi untuk diungkayahkan dengan kaedah public private partnership (PPP). Semoga yang kaola sampaikan ini dapat difikirkan dan diterima baik sebagai satu cadangan bagi penambahbaikan.

Sekian daripada kaola, Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

وبالله التوفيق والهداية، والسلامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Sekarang saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin.

Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Kaola ucapkan berbanyak terima kasih atas izin Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيم
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ
الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه dan selamat sejahtera.

Kaola wakil Zon 1 Daerah Belait amat bersyukur dengan ketelusan dan keikhlasan hati jua merafakkan sembah Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi kaola Zon 1 Kuala Belait, menjunjung kasih setinggi-tingginya dan sokongan serta taat setia yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, sukacita menyatakan sokongan sepenuhnya Usul Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim, Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyembahkan Usul menjunjung kasih setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan baginda ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara Brunei Darussalam, pada hari Isnin, 1 Syaaban 1442 bersamaan 15 Mac 2021 serta limpah berkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengurniakan titah di Istiadat Pembukaan Rasmi tersebut.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, sukacita memanjatkan rasa syukur kerana Mesyuarat Pertama Musim Mesyuarat Ketujuh Belas Tahun 2021 telah bermula setelah penangguhan yang lalu. Walaupun kita masih berada dalam suasana koronavirus COVID-19 yang melanda dunia, namun di negara kita Brunei Darussalam dengan izin الله negara kita sebagai Negara Zikir, dengan berkat daulat raja yang kita kasihi, dengan ketangkasan dan kebijaksanaan serta kecepatan bertindak Kementerian Kesihatan dalam menanganinya amat berkesan bagi melawan dan memutuskan rantaian COVID-19.

Dengan izin Allah jua, vaksin kerohanian yang dipanjatkan kepada الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى doa raja yang dikasihi lagi berdaulat, taat beribadah kepada الله, taat kepada raja yang dikasihi, rakyat berzikir dan negara berzikir, ketangkasan kementerian-kementerian mengatur langkah khususnya Kementerian Kesihatan dan atas keprihatinan rakyat yang sepadu bekerjasama yang akur dan taat dengan peraturan yang digariskan, akhirnya dengan izin الله, semoga kita akan terus dalam perlindungan-Nya. Bahawasanya pengurniaan ucapan tahniah hangat daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan adalah amat tepat sekali ditujukan kepada semua petugas barisan hadapan dan seluruh lapisan masyarakat kerana berjaya membendung dan memutuskan rantaian wabak berkenaan.

Melalui Dewan yang mulia ini, kaola panjatkan rasa syukur kepada الله, dan kita juga dikejutkan oleh negara-negara jiran yang merasa kagum atas kebijaksanaan Negara Brunei Darussalam menangani wabak COVID-19 tersebut. Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kita bersyukur sepertimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam semasa sambutan Isra Mikraj bahawa....

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Yang Berhormat...

Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin

Ya, akhirnya dengan izin الله semoga kita akan terus dalam perlindungan-Nya bahawasanya pengurniaan ucapan tahniah hangat daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan adalah amat tepat sekali ditujukan kepada semua petugas barisan hadapan dan seluruh lapisan masyarakat kerana berjaya membendung dan memutuskan rantaian wabak berkenaan. Melalui Dewan yang mulia ini kaola panjatkan rasa syukur kepada الله dan kita juga dikejutkan oleh negara-negara jiran yang merasa kagum atas kebijaksanaan Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Yang Berhormat suhu dalam Dewan ini semakin redup dan kita semakin sejuk. Saya berharap Yang Berhormat akan menepati janji kita bahawa kita mempunyai SOP yang tertentu dalam kita menangani wabak COVID-19 ini. Saya akan menutup majlis ini dalam masa 10 minit sahaja lagi.

Saya harap Ahli-Ahli Yang Berhormat yang berkenaan akan dapat membuat ucapan masing-masing tepat dan padat.

Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin

Yang Berhormat Yang Di-Pertua mohon izin sedikit sahaja daripada Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola ingin mengambil maklum bahawa kaola di dalam Dewan ini....

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat sila duduk.

Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Sekarang saya jemput Yang Berhormat Awang Haji Umarali bin Esung.

Yang Berhormat Awang Haji Umarali bin Esung

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

بسم الله الرحمن الرحيم الحمدُ للهِ ربِّ العالَمينَ والصَّلاةُ والسَّلامُ على أشرفِ الأنبياءِ والمرسلينَ وعلى آلهِ وصحبِهِ أجمعين.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat dan para hadirin hadirat yang dihormati sekalian yang hadir di Dewan yang mulia ini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Lebih dahulu kaola merasa bersyukur ke hadrat الله سبحانه وتعالى kerana dengan limpah Kurnia-Nya jua maka kaola boleh berucap sama-sama menyokong Usul yang menjunjung kasih yang diucapkan masa ini iaitu titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Pertama sekali kaola menyokong penuh Usul Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi menyembahkan ucapan menjunjung kasih setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah bercemar duli berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara semalam.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola menjunjung kasih yang setinggi-tingginya atas titah baginda terutama sekali dalam memberi ucapan tahniah terhadap petugas-petugas barisan hadapan, berkat daulat dan kepimpinan berkesan baginda diiringi dengan doa dan usaha bersepadu اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ wabak COVID-19 dapat dibendung penularannya di Negara Brunei Darussalam. Sehubungan dengan itu, kaola mencadangkan ada baiknya kita mewujudkan hari khas bagi mengingati atau meraikan dan mengenang jasa petugas-petugas barisan depan mengikut syariat Islam sebagai tanda syukur kita serta bagi mengabadikan segala pengorbanan yang telah dicurahkan sebagai contoh kita mengingati Hari Petani, Hari Keselamatan Jalan Raya dan seumpamanya.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola juga tertarik dengan titah baginda mengharapkan agar sesi muzakarah bersama Ahli-Ahli Yang Berhormat dengan kementerian-kementerian dapat diadakan setiap kali mungkin bagi mendengar dan menangani kemaslahatan rakyat. Ini jelas menggambarkan sikap prihatin baginda tentang hal-ehwal rakyat dan sentiasa turun padang membuat lawatan-lawatan yang tidak berjadual. Dalam hal ini, kaola juga ingin agar sesi muzakarah ini dapat dijadualkan secara rutin dan dengan tempoh dalam setahun bagi membolehkan Ahli-Ahli Yang Berhormat mengemukakan sebarang pendapat dan pandangan dalam masa yang sama berpeluang untuk mengetahui perkembangan isu-isu yang berbangkit untuk diselesaikan. Dengan ini percambahan fikiran dan kerjasama bagi semua pihak dapat mewujudkan ke arah memantapkan kualiti perbincangan dalam usaha untuk meningkatkan kesejahteraan, keharmonian dan sosioekonomi rakyat Negara Brunei Darussalam.

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية. و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih, saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit.

Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit

بسم الله الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ Usul menjunjung kasih ini, kaola menyokong penuh Usul Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dalam kesempatan ini kaola menyembahkan menjunjung kasih setinggi-tingginya kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin dan Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan baginda seterusnya mengurniakan titah dalam Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara pada hari Isnin, 1 Syaaban 1442 bersamaan 15 Mac 2021.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola ikut serta merafakkan syukur ke hadrat اللّٰه سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana dengan izin-Nya jua saat ini dunia masih dilanda wabak koronavirus namun negara kita berjaya membendungnya dengan usaha padu semua pihak terutama Kementerian Kesihatan. Tahniah kepada mereka yang terlibat. Kaola berkesempatan lagi hadir dalam mesyuarat negara pada tahun ini.

Oleh itu, kaola akan sedaya upaya untuk menunaikan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sepertimana yang terkandung dalam titah baginda di Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara yang menyentuh tentang peranan besar Ahli-Ahli Yang Berhormat supaya persidangan tahun ini dapat memberi pandangan atau pandangan jauh ke hadapan tanpa sekatan malah rancak tetapi sihat.

Oleh itu, peranan kaola sebagai rakyat dan juga sebagai pemimpin akar umbi yang sering berdamping dengan anak-anak buah mukim dan kampung dengan sedaya upaya melakukan tindakan bersama dengan pihak-pihak berkenaan bagi melaksanakan pembangunan modal insan. Pembangunan ekonomi dan turut mengukuhkan ketahanan fizikal negara demi kesejahteraan rakyat dan penduduk.

Dalam perkara ini, setentunya pihak yang berkenaan sudah mempunyai perancangan tersendiri. Umpamanya, yang menjurus kepada pembangunan ekonomi negara terutama sekali memberi peluang anak-anak tempatan bekerja dan memegang jawatan penting di sektor swasta dan peluang-peluang keusahawanan agar tidak bergantung sepenuhnya pada kerjaya di sektor kerajaan sahaja.

Sehubungan dengan itu, peranan proaktif dan inovatif institusi-institusi yang berkenaan dengan melaksanakan kursus-kursus kemahiran dan menerapkan unsur-unsur entrepreneurship dalam semua peringkat amat sesuai dan bertepatan sebahagian daripada kerangka kerja Wawasan Brunei 2035. Oleh itu, pembinaan sebuah sekolah teknikal dan vokasional dan gerai belia perlu dilaksanakan di Daerah Tutong bagi membantu pengukuhan fiskal negara agar tidak bergantung terus kepada kerajaan, maka sumbangan kepada orang yang tidak berkemampuan menerusi aktiviti perekonomian Majlis Perundingan Mukim dan Kampung sesuai dengan keadaan sekarang dan akan datang iaitu menggalakkan bidang perekonomian 1 Kampung 1 Produk.

Di samping itu, kaola tidak lupa merakamkan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada kementerian-kementerian atau jabatan-jabatan yang memberi peluang mengadakan sesi muzakarah dan diharap akan dapat berterusan sepertimana yang terdapat dalam titah baginda kerana dalam sesi permuzakarahan ini abiskaola dapat menyampaikan isu atau kemaslahatan anak-anak buah mukim dan kampung secara jelas dan telus.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, baginda ada menyentuh mengenai isu pengangguran. Dalam perkara ini kaola ucapkan tahniah kepada pihak kerajaan menerusi manpower planning dan employment council telah berusaha membantu menjana peluang-peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan sekurang-kurangnya menurunkan peratus pengangguran. Bagi memperbanyakkan lagi peluang pekerjaan sangat perlu dukungan dan kerjasama pelbagai pihak dengan memberikan anak-anak tempatan dengan kemahiran dan pengalaman.

Kemahiran yang kaola maksudkan ialah kemahiran untuk kerja-kerja kolar biru dan pekerjaan 3D iaitu dirty, difficult dan dangerous yang suatu masa dulu tidak diminati oleh anak-anak tempatan supaya ada institusi-institusi memberi peluang, memberikan kursus seperti kursus pelbagai binaan bangunan, binaan jambatan, binaan jalan raya, penanaman paip bekalan air dan kabel, pemasangan kawat dan pengendalian mesin serta jentera berat. Kursus khusus ini pula diharap tidak memerlukan kelulusan akademik yang tinggi kerana pengangguran banyak dalam kalangan setakat ‘O’ level ke bawah dan yang penting mereka ada kemahuan dan rajin berusaha. Jika ramai jumlah anak tempatan yang diberikan kemahiran maka ramailah berpeluang mendapatkan pekerjaan. Jadi, dengan adanya laluan menerusi kursus-kursus ini maka diharap tidak ada lagi mindset anak-anak tempatan yang mengatakan tidak ada kemahiran atau tidak ada peluang pekerjaan.

Yang Berhormat dan Yang Di-Pertua, banyak jawatan dalam sektor-sektor lain yang boleh diisi oleh anak tempatan tetapi jawatan-jawatan penting ini masih dipegang oleh pekerja-pekerja asing. Walau bagaimanapun, bukanlah maksud kita 100% meniadakan pekerja asing tetapi perlu juga diambil kira kepakaran mereka yang belum dapat dijawat oleh anak tempatan. Oleh itu, anak tempatan mesti belajar mengenai kemahiran yang kaola sebutkan tadi.

Bagi sektor-sektor yang mengambil pekerja asing pula perlu menggunakan nisbah dengan jumlah nisbah 80% lebih banyak kepada anak tempatan. Selain itu, bagi mengurangkan jumlah pekerja asing agar diisi oleh anak tempatan harus jua ada kemungkinan diperkenalkan akta atau dasar levi kepada pengambilan setiap seorang pekerja asing. Pada kesimpulannya, semua perkara yang terkandung dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menunjukkan pemedulian, keprihatinan dan kebijaksanaan baginda yang inginkan kesejahteraan dan kemakmuran semua lapisan rakyat dan penduduk negara ini tanpa mengira bangsa, agama dan kaola turut sama menjunjung tinggi akan hasrat baginda.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa semoga negara kita sentiasa dalam aman dan makmur bebas daripada pandemik COVID-19 dan bersyukur kerana adanya kelonggaran membenarkan mengadakan perkumpulan majlis tidak melebihi 1,000 orang dalam sesuatu acara kerana negara kita bebas daripada jangkitan tempatan mencapai satu tahun. Walau bagaimanapun, jangan kita leka dan lalai kerana kes import masih wujud dan kontak rapat dikhuatiri tidak dapat dikesan bersama kumpulan kita.

Dalam kesempatan ini, sebagai penutup kaola menyembahkan menjunjung kasih ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas pemedulian dan keprihatinan baginda terhadap penduduk Daerah Tutong khususnya mengenai keberangkatan lawatan bercemar duli mengharungi ke kawasan banjir ketika setiap kalinya berlakunya banjir besar di Daerah Tutong.

Kaola sebagai penduduk Daerah Tutong dan mewakili penduduk terlibat banjir menyembahkan rasa kekaguman, besar hati dan rasa terharu dengan pemedulian baginda. Oleh itu, marilah kita berdoa agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat sentiasa dalam keadaan sihat dan sejahtera dan sentiasa dalam perlindungan اللَّهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى.

Sekian,
وَبِاللَّهِ التَّوْفِيقُ وَالْهِدَايَةُ، وَالسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih Ahli Yang Berhormat. Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari.

Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ

dan salam sejahtera. Pada awal kata kaola berdoa semoga kita semua termasuk sepertimana dalam firman اللَّهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى yang berbunyi:

أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Tafsiran/terjemahannya:
اللَّهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Di Dewan yang mulia ini kaola dengan hormatnya dan penuh takzim menyembahkan junjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas titah baginda yang sangat memberikan semangat untuk menyuarakan isu-isu yang kaola kira signifikan kepada rakyat, negara dan agama dalam negara yang sama-sama kita cintai ini. Sebuah Negara Zikir yang berkonsepkan Melayu Islam Beraja yang makmur sebagai negara Sepertimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-34 Tahun 2018 yang lalu, baginda bertitah sebagai sebuah negara Islam yang progresif pengukuhan maqasid syariah menjadi prasyarat kepada kejayaan negara. Pengukuhan ini penting sebagai pemangkin ke arah memastikan negara terus menuai kemakmuran dan kesejahteraan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola menjunjung kasih atas kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara pada hari isnin, 1 Syaaban 1442 bersamaan 15 Mac 2021.

Kaola memetik titah baginda: “Seperti yang lazim banyak perkara sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan beta khususnya berkaitan dengan pembangunan modal insan, ekonomi dan usaha mengukuhkan kedayatahanan fiskal negara semua ini memerlukan komitmen seluruh lapisan terutama sekali pemegang dasar kerajaan.”

  1. Kaola mengambil titah berkenaan modal insan dan akan lebih fokus kepada belia Negara Brunei Darussalam sebagai penerus bangsa dan warga negara sebagai modal manusia yang berpengetahuan, berkemahiran, berpengalaman dan mempunyai kualiti sosial yang menghasilkan nilai ekonomi.

Di Dewan yang mulia ini, mengusulkan supaya diberikan peluang lebih luas kepada belia memulakan perniagaan dengan memberikan kemudahan pinjaman permulaan perniagaan yakni start up business. Berikan kepercayaan kepada warga Negara Brunei Darussalam. Kita harus mencipta belia peniaga sebagai jutawan warga Brunei Darussalam bukan ‘jutawan import’ yang baru saja beberapa tahun datang ke Negara Brunei Darussalam yang pada mulanya menjalankan perniagaan “Ali Baba”.

  1. Kaola menjunjung titah yang berbunyi: “Ekonomi dan usaha mengukuhkan kedayatahanan fiskal negara”. Dari petikan titah ini, kaola mengusulkan Negara Brunei Darussalam mewujudkan hab makanan halal dengan mengalu-alukan FDI (Foreign Direct Investment) menjadikan Brunei hab makanan halal sejagat. Persediaan negara serantau dan dunia antarabangsa mula melihat keutamaan makanan halal bagi sektor pelancongan selepas pandemik COVID-19.

Ekonomi mula berkembang dan akan mengembalikan peningkatan dan pemulihan ekonomik global dan ini adalah peluang negara kita untuk menciptakan fiskal negara selain hasil minyak dan gas. Jika usul ini dapat diterima di Dewan yang mulia ini hendaknya dibuat kajian terperinci bagi peluang untuk mencipta fiskal negara. Jika negara kita mengambil volume makanan halal sejagat walaupun hanya setakat 5% atau 10% yang akan menunjukkan nilai ekonomi yang besar, kita perlu berfikiran besar (think big).

  1. Kaola suka mengusulkan dengan menjunjung titah yang berbunyi: “Semua ini memerlukan komitmen seluruh lapisan terutama sekali pemegang dasar kerajaan. Pemegang dasar harus telus dan berani.” Saya mengusulkan satu dasar reformasi yang bermula di sebuah jabatan dan dikenali sebagai ROCBN dengan kerjasama kesemua agensi as a Whole of Government Approach. Melalui pembuatan dasar supaya pengawalan pendaftaran syarikat, enterprise dan ‘sendirian berhad’.

Pengawalan pemilikan share holders asing dan mereka menjalankan peniagaan salah satu cara yang biasa dibuat sebelum ini ialah syarat Lesen Rampaian. Syarat-syarat syarikat ‘sendirian berhad’ hendaklah dibuat terperinci bagi melindungi warga Negara Brunei Darussalam daripada digunakan oleh pihak peniaga “Ali Baba”.

Diusulkan permulaan kita fokus kepada peniagaan kedai runcit yang terlalu dimonopoli oleh orang asing. Cuba kita imbas balik kebelakangan pada zaman syarikat-syarikat kerjasama di kampung-kampung menjalankan perniagaan kedai runcit. Tetapi bila peniaga “Ali Baba” mengambil tempat The Whole Nation keberadaan syarikat kerjasama bagaikan disapu, hilang dan lenyap.

Perkara peniaga “Ali Baba” ini walaupun sudah beberapa kali dibawa dalam persidangan MMN ini, tetapi belum ada langkah tindakan yang berkesan. Malahan kedai runcit milik orang asing semakin tumbuh bagaikan cendawan apalagi dengan mudahnya pendaftaran syarikat sendirian berhad. Cuba bayangkan ‘Nasi Katok’ pun berdaftar sendirian berhad dan seterusnya kita fokus peniagaan restoran yang satu-satunya kegemaran peniaga orang Brunei.

Mungkin ini mampu membantu mengekang orang asing senang-senang berniaga padahal pada awalnya mereka datang sebagai pekerja tetapi pada dasarnya menjalankan peniagaan dan akhirnya mengambil peluang daftar syarikat sendirian berhad dengan rakan niaga yang sebelumnya sebagai majikan.

Setelah menjadi share holder dan sebagai pengurus mereka berpeluang membawa anak isteri dan ikut menikmati subsidi-subsidi dan juga lebih parah lagi freelance ikut menikmati subsidi yang diberikan oleh kerajaan. Peniaga "Ali Baba" ini bila sudah umur meningkat mereka balik ke negeri asal dan melantik anaknya sebagai pengurus menjalankan peniagaan. Perkara ini sudah kita saksikan berlaku dalam negara kita. Di mana kedudukan bangsa kita? Warga negara kita? Apakah kita harus hanya sebagai pembeli dan peniaga kita seperti ‘melukut di tepi gantang’. Kaola merujuk peniagaan kedai runcit.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola suka memetik titah yang berbunyi: “Banyak isu penting yang boleh dimuzakarahkan seperti mengenai fiskal kerajaan yang menurun disebabkan oleh ketidaktentuan harga minyak global. Apakah yang negatif, bagaimana cara menanganinya.”

Dari petikan titah berkenaan, kaola suka mengusulkan supaya Negara Brunei Darussalam memberikan peluang FDI di sektor kewangan yang memberikan khidmat kemudahan kewangan dalam membantu mengembangkan pembangunan peniagaan negara dan di peringkat global yang bertapak di Negara Brunei Darussalam. Mudah-mudahan ia menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai hab kewangan serantau dan antarabangsa. Khususnya membantu pembangunan ekonomi yang mampu meningkatkan fiskal negara.

Sebelum mengundur diri kaola suka sekali lagi menyembahkan menjunjung kasih atas kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin dan Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan merafakkan doa ke hadrat الله supaya sentiasa merahmati baginda menerajui Negara Brunei Darussalam, memperkukuh Maqasid Syariah sebagai negara Melayu Islam Beraja. بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

Sekian,

وَبِاللهِ التَّوْفِيقُ وَالْهِدَايَةُ. وَالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima Kasih Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari, sekarang dan akhir sekali saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Tahamit bin Haji Nudin.

Yang Berhormat Awang Haji Tahamit bin Haji Nudin

Terima Kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola menggabungkan diri menjunjung kasih atas kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara.

Ada 6 perkara yang ingin kaola sentuh:

  1. Pelaksanaan pendigitalan ekonomi. Kaola ini menanyakan mengenai pembangunan teknologi digital dari aspek perekonomian negara. Adakah negara telah mempunyai satu dasar yang jelas dan melaksanakan tindakan bersepadu dalam kalangan semua sektor kerajaan dan swasta? Kaola berpendapat bahawa negara perlu mengekalkan kelestarian pembangunan negara terhadap pendigitalan ekonomi yang lebih menyeluruh bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam aspek perindustrian dan akademik disebabkan oleh pandemik COVID-19. Kaola bercadang agar proses pembangunan ekonomi digital dapat diperkukuhkan dan salah satunya seperti yang berikut:

    i. Memudahkan pendaftaran perniagaan dan permohonan lesen dalam talian secara efisien bagi menjamin kelangsungan ekonomi, kesejahteraan rakyat secara umumnya.

  2. Latihan secara online. Pandemik COVID-19 juga memberikan impak kepada pengusaha besar dan kecil-kecilan di Negara Brunei Darussalam terutama dari segi rangkaian pembekalan global. Hal ini memaksa para pengusaha untuk memikirkan secara mendalam bagaimana barang-barang yang diimport dari luar negara boleh dihantar ke kawasan sempadan dengan cara yang selamat dan mengikut waktu yang telah ditetapkan. Berikutan hal tersebut, kaola mencadangkan bahawa perlu dijalankan rangkaian "Webinar" mengenai pengurusan penghantaran barang secara cekap dan teratur. Ini membolehkan para pengusaha sama ada kecil-kecilan ataupun sederhana lebih memahami dan lebih familiar terhadap cara yang betul dan cermat dalam proses penghantaran barang-barang dari luar negara. Selain itu, para pengusaha ini juga dapat menghantar barang-barang yang mereka jual secara lebih selamat ke luar negara. Selain itu suatu program seumpama ini diharap akan dapat membantu small and medium enterprise dari luar negara memberikan akses terhadap pasaran-pasaran baharu dengan memfokuskan kepada para pengusaha kecil dan sederhana. Memproduksi barangan yang lebih baik dari sudut kualiti berdasarkan kehendak pasaran dan dalam masa yang sama menghubungkan para pengusaha tempatan kepada pembeli di luar negara.

  3. Peluang pekerjaan melalui industri pelancongan digital. Penularan wabak COVID-19 telah memberikan impak yang besar kepada industri pelancongan tempatan. Oleh itu, kaola ingin mencadangkan agar pembangunan industri pelancongan yang berdasarkan teknologi digital diwujudkan bagi memastikan objektif dasar pihak kerajaan akan dapat dilaksanakan dengan memberikan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat tempatan yang berkenaan. Dengan ini pelaburan pelancongan yang berpusatkan teknologi digalakkan. Dengan yang demikian, kaola juga mencadangkan agar Negara Brunei Darussalam akan dapat mewujudkan zon pelaburan untuk projek pelancongan bagi meningkatkan kerjasama awam, swasta serta menarik lebih ramai pelabur tempatan bagi mencapai matlamat tersebut. Secara tidak langsung juga, inisiatif terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah negara termasuk alam sekitar, budaya warisan akan dapat dikekalkan.;

  4. Travel bubble (perjalanan rentas negara). Krisis kesihatan telah memberikan kesan yang besar terhadap perekonomian negara. Usaha yang bersepadu perlu diberikan keutamaan untuk mengekalkan rangkaian bekalan serantau. Sehubungan dengan itu, agar negara merangka dasar bagi melaksanakan langkah-langkah travel bubble (perjalanan rentas negara) antara negara-negara jiran yang mempunyai kadar rendah dari segi jangkitan COVID-19 bagi membantu rakyat tempatan mendapat peluang pekerjaan dan seterusnya menjamin hubungan perekonomian antara dua negara agar kesejahteraan rakyat akan lebih terjamin.;

5. Penjualan barang digital. Bagi mencapai objektif terhadap proses pendigitalan ekonomi negara, kaola mencadangkan agar pihak kerajaan akan dapat memperkasakan usaha terhadap bantuan penjualan dan peralatan digital bagi rakyat tempatan melalui skim pembiayaan tertentu agar dapat meringankan bebanan rakyat tempatan yang ingin berjinak-jinak dan berkecimpung dalam bidang perniagaan e-commerce tersebut. Ini kerana, terdapat sebilangan digolongan belia mencari pekerjaan dan ingin memulakan bidang perniagaan namun tidak dapat melaksanakan hasrat mereka oleh sebab tidak mempunyai peralatan digital yang diperlukan; dan

  1. One stop centre. Usaha untuk mengukuhkan ekonomi negara dapat dilaksanakan oleh pihak kerajaan dengan merangka platform digital khusus bagi bidang perniagaan. Oleh yang demikian, kaola mencadangkan agar diwujudkan suatu laman yang boleh menjadi one stop centre para peniaga dan pengusaha kecil-kecilan meninjau peluang pelaburan dan perniagaan melalui laman-laman web khusus bagi suatu alat pemudah cara. Dengan ini, diharapkan akan dapat memberikan peluang pekerjaan dan juga membolehkan rakyat tempatan meningkatkan ekonomi sesebuah keluarga dan organisasi secara umum.

Sekian, terima kasih.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita telah pun dengan panjang lebar pada hari ini membincangkan Usul dan membahaskan Usul yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi menyembahkan menjunjung kasih yang sepenuh-penuhnya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah berkenan berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketujuh Belas Majlis Mesyuarat Negara tahun 2021 semalam dan saya mengucapkan terima kasih yang setingi-tingginya atas sokongan daripada semua Ahli terhadap Usul yang telah pun dikemukakan ini. Walau bagaimanapun, bagi kita melaksanakan tugas kita, maka saya berpandangan ada baiknya Usul ini sekarang kita undi.

Ahli-Ahli Yang Berhormat yang bersetuju, supaya Usul ini kita terima sila angkat tangan.

(Semua ahli mengangkat tangan tanda bersetuju)

Terima kasih. Semua Ahli nampaknya bersetuju dan dengan itu kita sebulat suara meluluskan Usul yang telah dikemukakan ini.

الحمدُ للهِ, saya cadangkan kita tangguhkan Persidangan Majlis Mesyuarat kita ini dan kita akan bersidang semula إِنْ شَاءَ اللَّهِ pada besok hari iaitu hari Rabu, 17 Mac 2021 pukul 9.30 pagi.

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية. و السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)

Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.