HARI KE-11 PAGI
📖 Masa membaca: 66 minit
📊 Bilangan kata: 13,246 kata
28HB MAC 2026 PAGI​
(Mesyuarat mula bersidang pada pukul 9.30 pagi)
Yang Mulia Jurutulis​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara bersidang pada hari kesebelas, pada hari ini, Sabtu, 8 haribulan Syawal 1447 Hijrah bersamaan 28 haribulan Mac 2026 Masihi dan didahului dengan Doa Selamat.
DOA SELAMAT​
(Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mat Jaya bin Ibrahim)
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua kita dapat bersama-sama berkumpul lagi pada pagi ini untuk bersidang bagi hari kesebelas dalam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara.
Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat, para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita akan memulakan hari ini dengan urusan mesyuarat seterusnya.
Yang Mulia Jurutulis​
Waktu Pertanyaan bagi Jawab Lisan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Memandang kita masih mempunyai banyak pertanyaan yang perlu dijawab, maka saya mengambil keputusan untuk memberi tempoh masa khas dan membuka ruang bagi waktu pertanyaan bagi Jawab Lisan untuk diadakan dalam tempoh masa dua jam.
Di hadapan kita sekarang terdapat senarai pertanyaan yang dikemukakan. Saya mulakan dengan soalan pertama dari Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan. Silakan. Yang mana ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam 8 Syawal dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kaola terlebih dahulu mengucapkan berbanyak terima kasih di atas pertanyaan dan keprihatinan Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan yang telah mengajukan soalan bagi penjelasan mengenai dengan keperluan bagi mewajibkan pengesahan status permohonan bagi permohonan nikah oleh Ketua Kampung serta mekanisme kawalan dan penyelarasan data bagi memastikan keselarasan rekod serta maklumat antara agensi.
Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Penggal 217, warganegara atau penduduk tetap Brunei Darussalam yang hendak berkahwin sama ada di dalam Negara Brunei Darussalam atau pun di luar negara hendaklah terlebih dahulu mendapatkan suatu kebenaran berkahwin daripada Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, Pembatalan dan Ruju' Orang Islam, PPPPROI atau 4PROI di daerah di mana pemohon lazimnya bermastautin.
Sebelum sebarang kebenaran dikeluarkan oleh pendaftaran PPPPROI, siasatan akan dijalankan ke atas pemohon melalui keterangan-keterangan berdokumen yang diberikan dan disertakan dalam Borang 1 - permohonan kebenaran berkahwin bagi lelaki atau Borang 2 - permohonan kebenaran berkahwin bagi perempuan.
Antara perkara yang perlu dipastikan dalam siasatan 4PROI adalah mengenal pasti status perkahwinan pemohon sama ada bujang, beristeri atau bercerai, hidup atau mati.
Bagi membantu siasatan, beberapa dokumen sokongan lazimnya diperlukan untuk disertakan bagi menyokong penjelasan pemohon yang dinyatakan dalam Borang 1, Borang 2 mengikut mana-mana yang berkaitan seperti sijil nikah, sijil cerai, sijil mati, surat pengesahan daripada ketua kampung mengenai tempat tinggal, permastautinan dan status pemohon dan lain-lain dokumen yang relevan. Pengesahan status pemohon dari ketua kampung adalah merupakan dokumen yang dapat digunakan bagi membantu siasatan PPPPROI dan bagi membantu memudahkan proses kebenaran berkahwin dikeluarkan.
Siasatan ini adalah penting bagi memastikan tindakan seterusnya, jika misalnya pemohon masih mempunyai isteri, pemohon akan dinasihatkan untuk terlebih dahulu memohon kebenaran berpoligami kepada Mahkamah Syariah. Apabila siasatan telah dibuat dan pendaftar PPPPROI berpuas hati dengan permohonan dan keterangan-keterangan yang diberikan, maka barulah pendaftar PPPPROI boleh mengeluarkan kebenaran untuk pemohon berkahwin.
Bab 16 dari Akta Undang-Undang Keluarga Islam Penggal 217 menyatakan, tertakluk kepada Bab 17 pendaftar apabila berpuas hati tentang kesahihan perkara-perkara yang disebut dalam permohonan itu tentang sahnya perkahwinan yang ditiadakan itu dan jika lelaki atau sudah berkahwin bahawa kesahihan yang disebutkan dalam Bab 23(3) telah diberi hendaklah setelah bayaran ditetapkan dibayar memberikan kebenaran dalam borang yang ditetapkan kepada pemohon untuk berkahwin. Sekian saja Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang dapat kaola sampaikan. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan yang kedua daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam, yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan​
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola terlebih dahulu mengucapkan berbanyak terima kasih pada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang mengajukan soalan. Kaola baru saja beberapa saat sebelum ani tadi grappling with a laptop yang hang, jadi kaola mohon izin Yang Berhormat Yang Di-Pertua untuk sort it out dulu this computer and then come back untuk menjawab seterusnya dan mohon izin Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Dengan atu kitani beralih kepada soalan lain dulu. Ya. Kitani beralih dulu kepada soalan 3. Soalan 3 ini, dikemukakan oleh Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee, yang ditujukan, nah ani, ia pun balum bersedia mangkali, komputernya hang. (Ketawa kecil).
Dengan atu mangkali kitani tangguhkan dulu, anu... nombor 3 dan beralih kepada soalan nombor 4. Yang Berhormat daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam, yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam, yang mengemukakan soalan mengenai perlaksanaan Different Abilities Design Guideline di negara ini. Langkah-langkah yang dipraktikkan atau yang dilaksanakan bagi pembangunan khususnya pembinaan bangunan-bangunan baru supaya lebih inklusif dan selamat dan boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat mengikut keperluan termasuk individu yang mempunyai keperluan berbeza atau persons with different abilities.
Sememangnya pelaksanaan ini dibuat dengan mekanisme bagi memastikan garis panduan Different Abilities Design Guideline, DADG 2018 dipatuhi secara menyeluruh.
Pertama, ialah bagi pembinaan bangunan baru, Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan, ABCi, juga mengadakan keperluan mandatori iaitu pematuhan terhadap reka bentuk inklusif dalam proses kelulusan pelan dan kesiapan bangunan-bangunan baru komersial yang dihadapkan oleh qualified person yang dilantik oleh pemaju. Perkara ini berkuat kuasa mulai daripada 1 September 2024. Ini termasuk penyediaan kemudahan seperti laluan akses tanpa halangan, tandas mesra pengguna, laluan ramp, kemudahan parking khas serta kemudahan navigasi yang sesuai. Dengan keperluan ini setiap permohonan kemajuan dianggap sebagai tidak lengkap jika laporan mengenai penyediaan keperluan aksesibiliti ini tidak disertakan oleh qualified person;
Kedua, bagi bangunan-bangunan yang sedia ada, kementerian mengambil inisiatif, melalui agensi-agensi yang berkaitan bagi menggalakkan pelaksanaan kerja-kerja penaiktarafan secara berperingkat agar kemudahan bangunan lebih mesra pengguna kepada golongan kelainan upaya khususnya di bangunan awam dan kemudahan yang sering digunakan oleh orang ramai. Dan Ketiga, dari segi penguatkuasaan dan pemantauan kementerian akan terus meningkatkan usaha kesedaran dan pematuhan industri terhadap garis panduan ini melalui sesi taklimat teknikal, panduan reka bentuk serta kerjasama dengan pihak profesional dalam industri pembinaan.
Selain itu kementerian ini juga sedang meneliti langkah-langkah bagi memperbaiki lagi pelaksanaan DADG 2018 ini secara lebih sistematik, ini termasuk penyelarasan dengan piawaian perancangan dan kawalan pembangunan supaya reka bentuk inklusif dapat diterapkan secara lebih konsisten dalam pembangunan bagi bangunan-bangunan baharu di masa hadapan. Sekian. Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Jadi kita sekarang nampaknya, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, sudah bersedia untuk menjawab, berbalik kita kepada soalan yang kedua daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam, dan seterusnya nanti kepada soalan 3 yang juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, daripada Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee. Silakan.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam, atas soalan mengenai usaha JAPEM dalam meneraju dan menyelaraskan persatuan dan organisasi wanita di bawah satu hab yang berpusat. Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, khususnya melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat, JAPEM selaku salah satu agensi fokal dalam menangani kesejahteraan masyarakat sememangnya memberikan sokongan yang berterusan kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan atau NGOs yang berkecimpung dalam bidang kebajikan dan kemasyarakatan termasuklah persatuan dan organisasi wanita.
Sokongan ini dilaksanakan melalui pelbagai mekanisme seperti penganjuran sesi dialog dan libat urus, penyaluran bantuan kepada NGO yang berkelayakan serta penyediaan kemudahan dan bantuan pembayaran utiliti bagi menyokong pelaksanaan program-program kebajikan dan kemasyarakatan mereka. Pendekatan ini sebenarnya bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama strategik antara kerajaan dan masyarakat sivil di samping memastikan usaha yang dilaksanakan dapat diselaraskan dengan lebih baik serta mengelakkan keadaan di mana agensi atau organisasi bergerak secara berasingan, bertindih fungsi atau kurang koordinasi.
Selain itu, kementerian juga secara berterusan melibatkan persatuan dan organisasi berkepentingan dalam proses perbincangan dan pembangunan dasar kerajaan. Pendekatan ini mencerminkan komitmen kerajaan terhadap prinsip atau pendekatan whole of nation di mana pembangunan negara dilaksanakan secara kolektif dan inklusif dengan penyertaan pelbagai pihak.
Sehubungan itu, wakil-wakil persatuan turut dilantik sebagai ahli dalam pelbagai jawatankuasa kebangsaan dan platform perundingan yang relevan tertakluk kepada kesesuaian peranan dan kepakaran masing-masing. Antara bentuk penglibatan tersebut termasuklah penyertaan dalam perundingan bagi pembentukan garis panduan kebangsaan, lantikan sebagai ahli jawatankuasa kebangsaan serta penglibatan dalam penganjuran acara-acara kebangsaan dan peringkat antarabangsa.
Dalam konteks pemerkasaan wanita khususnya, kementerian berpandangan bahawa pendekatan whole of nation adalah amat penting bagi memastikan agenda pembangunan wanita dilaksana secara menyeluruh, inklusif dan secara bersepadu. Sehubungan itu, usaha untuk meletakkan semua persatuan wanita di bawah satu hab berpusat bukanlah sebenarnya merupakan satu intervensi yang bersifat segera atau mendesak ataupun diberi keutamaan.
Sebaliknya, keutamaan adalah untuk memperkukuh struktur dan mekanisme kerjasama yang sedia ada bagi meningkatkan koordinasi, mengoptimumkan penggunaan sumber serta mengelakkan pertindihan inisiatif. Selaras dengan pendekatan tersebut, tumpuan diberikan kepada usaha memperkemas penyelarasan di peringkat institusi dan memperkukuh kerjasama antara pihak-pihak berkepentingan. Dalam hal ini, peranan kepimpinan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam sebagai peneraju utama dalam menyelaras usaha-usaha berkaitan wanita terus diperkasakan tanpa perlu mewujudkan satu struktur baru yang terasing daripada ekosistem kerjasama yang sedia ada.
Bagi memastikan pelaksanaan inisiatif yang lebih terarah dan berimpak, kerjasama antara agensi kerajaan dan NGO turut diperkukuh melalui pelbagai platform penyelarasan termasuk jawatankuasa-jawatankuasa khas di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial. Antaranya ialah Jawatankuasa Khas Institusi Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, Jawatankuasa Khas Warga Emas dan Orang Kelainan Upaya serta Jawatankuasa Khas Isu Kemiskinan. Mekanisme ini sebenarnya membantu meningkatkan kecekapan tadbir urus, memperjelas peranan setiap pihak serta memastikan setiap inisiatif benar-benar memenuhi keperluan kumpulan sasaran tanpa ada yang tercicir.
Kaola ingin menarik perhatian terhadap bagaimana persatuan-persatuan lain mengatasi institutional fragmentation masing-masing. Sebagai contoh, aplikasi Mengalinga iaitu sebuah platform virtual hub yang telah disediakan untuk menyelaras dan menyatupadukan projek dan aktiviti persatuan dengan lebih terarah, meluas dan berimpak tinggi. Dengan itu, perkara ini boleh dijadikan sebagai contoh kepada persatuan-persatuan lain untuk meneraju dan menyelaras di bawah satu hab virtual yang berpusat.
Sehubungan ini, kementerian akan terus komited dalam memperkukuh kerjasama dengan persatuan dan NGO sebagai rakan pembangunan sosial negara. Pendekatan kolaboratif ini amat penting bagi memastikan sumber dan inisiatif dapat dioptimumkan dan di samping mengurangkan pertindihan program serta memperluas impak kepada masyarakat.
Sejajar dengan itu, kementerian ini ingin menyeru agar persatuan dan organisasi yang terlibat akan terus memperkukuh peranan masing-masing melalui usaha yang proaktif serta memberikan kerjasama yang erat bukan sahaja dengan kementerian ini malah dengan agensi-agensi kerajaan yang lain. Ini adalah kerana usaha membangun masyarakat tidak dapat digalas oleh kerajaan semata-mata tetapi memerlukan penyertaan aktif semua pihak.
Melalui sinergi yang berterusan antara kerajaan, NGO dan rakan strategik yang lain, insya Allah setiap inisiatif akan dapat dilaksana secara kolektif dan saling melengkapi demi memastikan kesejahteraan masyarakat terus diperkukuh selaras dengan aspirasi negara dengan memastikan tiada yang tercicir atau no one left behind.
Sekian sahaja bagi menjawab pertanyaan Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd Salam. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Teruskan.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan​
Teruskan, okay.
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee atas soalan yang dikemukakan mengenai garis masa serta perkembangan semasa dalam usaha membangun Pelan Tindakan Wanita 2026-2030. Alhamdulillah, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas kefahaman bagi dapatan penyelidikan mengenai pembangunan wanita di Negara Brunei Darussalam. Buku ringkasan eksekutif telah pun dicetak dalam dwi bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan telah pun dilancarkan baru-baru ini pada 12 Mac 2026 sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa.
Sebelum itu, diucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee kerana telah berkesudian hadir ke Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa tersebut dan seterusnya menerima Buku Ringkasan Eksekutif berkenaan bersama-sama Ahli-Ahli Jawatankuasa Khas Institusi Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak.
Untuk makluman, orang ramai bolehlah memperolehi ringkasan eksekutif tersebut di laman sesawang Jabatan Pembangunan Masyarakat. Sukacita jua dikongsikan ringkasan eksekutif ini merangkumi empat komponen utama, iaitu Latar Belakang Kajian, Bidang-Bidang Fokus, Rekomendasi Dasar serta Hala Tuju ke Hadapan. Dapatan dan rekomendasi penyelidikan tersebut telah digunakan oleh urusetia Jawatankuasa Khas Institusi Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, untuk menyediakan draf awal Pelan Tindakan Wanita 2026-2030. Beberapa tindakan lanjut diperlukan melalui penyelarasan dan perundingan bersama kementerian serta agensi berkepentingan untuk memperkukuh cadangan.
Hala tuju proses akan menggunakan pendekatan whole of government dan whole of nation melibatkan sesi libat urus pelbagai pihak bagi pelaksanaan bersepadu, inklusif dan memberi impak yang menyeluruh. Suka kaola tekankan, sebenarnya peringkat pelaksanaan bersepadu dan inklusif itu adalah satu peringkat yang penting dan kritikal untuk menjayakan apa jua cadangan dan recommendation yang dihadapkan hasil dapatan kajian berkenaan.
Insya Allah, pelan tindakan ini nanti akan merangkumi dasar, program dan KPI tersendiri serta mensasarkan pulangan pelaburan jangka tempoh lima tahun selaras dengan Social Blueprint dan Wawasan Brunei 2035.
Draf akhir akan dilaporkan kepada Majlis Kebangsaan Isu Sosial untuk pengesahan dan dijangka dimuktamadkan serta dilancarkan pada penghujung tahun ini iaitu 2026 sebagai dokumen strategik yang akan menjadi panduan bagi mengenalpasti dasar-dasar kerajaan dan inisiatif-inisiatif senegara yang perlu diwujudkan ataupun diperbaiki dan ditambah baik bagi memperkukuh pembangunan dan pemerkasaan wanita di Negara Brunei Darussalam.
Sekian saja bagi menjawab pertanyaan daripada Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee. Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin yang juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Terima kasih kepada Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin atas soalan mengenai status pembinaan bangunan bagi Pusat Orang Kelainan Upaya.
Rancangan projek pembinaan Bangunan Komplek Orang Kelainan Upaya, OKU, telah dimulakan sejak tahun 2011 sebagai inisiatif strategik untuk menyediakan kemudahan berpusat bagi pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili dan menyokong orang kelainan upaya di Negara Brunei Darussalam.
Sejak itu, beberapa siri perbincangan dan penyelarasan telah dilaksanakan melibatkan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jabatan Kerja Raya serta Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya bagi meneliti aspek perancangan pelan bangunan, keperluan teknikal, keperluan fasiliti, modal operasi serta implikasi kewangan projek.
Bagi memperkukuh perancangan pembangunan ini, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah mengadakan beberapa lawatan dan kajian ke luar negara bagi meneliti serta bertukar pandangan mengenai amalan terbaik yang dilaksanakan oleh negara lain. Dapatan tersebut dijadikan rujukan dalam rangka reka bentuk yang inklusif, modal operasi, pengurusan fasiliti serta pendekatan pemerkasaan komuniti OKU secara bersepadu.
Apa yang penting kaola tekankan di sini, kita juga memperbelajari lesson learn daripada negara-negara lain, mungkin dalam tahun 2011 itu belum ada banyak lesson learn tetapi sehingga kini 2025-2026, banyak lesson learn, lesson learn yang boleh kita ini pertimbangkan dan ambil kira.
Jadi dari sudut tadbir urus, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menubuhkan satu projek team khusus pada 30 Januari 2024 yang bertanggungjawab dalam meneliti objektif strategik, skop pembangunan, modal pengoperasian serta keberlanjutan jangka panjang kompleks OKU.
Pasukan ini telah mengadakan beberapa siri perbincangan bagi menyediakan laporan, rancangan dan strategi jangka masa panjang yang merangkumi komponen pembangunan fizikal, pengurusan, pembiayaan serta impak sosial yang disasarkan.
Jadi pada dasarnya, mana-mana projek kerajaan yang berukuran seperti projek ini memang memerlukan penelitian yang terperinci dan lebih penting lagi melihat kepada kos dan benefit analysis dan juga tertakluk kepada perubahan ekosistem pada masa ini. Jadi apa persiapan-persiapan yang pada tahun 2011 itu sudah setentunya berubah kerana ekosistem yang ada pada masa ini, tidak akan sama dengan ekosistem sewaktu 2011 yang lalu.
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, komited untuk memastikan projek ini dilaksanakan dengan perancangan yang teliti, tadbir urus yang berkesan serta kerjasama padu bersama semua pihak berkepentingan agar manfaatnya, net benefitnya itu dapat dinikmati secara menyeluruh dan berpanjangan oleh komuniti OKU di Negara Brunei Darussalam.
Ini selaras dengan matlamat menjadikannya sebagai satu pelaburan sosial yang berimpak tinggi yang memberikan nilai terbaik bagi apa jua perbelanjaan kerajaan ke arah matlamat ini. Jadi, sekian sahaja bagi menjawab pertanyaan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola memohon izin supaya dapat menjawab soalan-soalan PL017 daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin dan PL024 daripada Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin sekaligus, memandangkan soalan-soalan tersebut saling berkaitan. (Yang Berhormat Yang Di-Pertua memberikan isyarat mengangguk kepala tanda setuju).
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan ataupun GLCs di Negara Brunei Darussalam adalah ditubuhkan di bawah Akta Syarikat-Syarikat (Penggal 39) yang mana ianya tidak dikecuali daripada keperluan untuk mematuhi peraturan-peraturan yang digariskan di bawah akta tersebut dalam memastikan adanya tadbir urus yang kukuh dan tulus.
Ini khususnya juga dari segi penyediaan penyata dan perakuan kewangan, pemfailan berkanun, pengauditan syarikat dan juga urus tadbir lembaga pengarah.
Dalam pada itu, sepertimana juga syarikat-syarikat lain, akta tersebut mewajibkan syarikat-syarikat GLCs untuk mematuhi peruntukan-peruntukan undang-undang Negara Brunei Darussalam berkenaan yang lain iaitu seperti Akta Cukai Pendapatan (Penggal 35), Akta Amanah Pekerja (Penggal 167), Akta Pekerjaan (Penggal 278) dan Perintah Perlindungan Data Peribadi 2025.
Dalam memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti syarikat-syarikat GLCs, yang di bawah pemantauan Darussalam Assets, beberapa usaha telah dilaksanakan dalam memastikan adanya peringatan pada urus tadbir, proses dan sistem syarikat selaras dengan piawaian dan amalan terbaik antarabangsa.
Ini termasuk seperti melalui penyediaan garis panduan Darussalam Assets Corporate Governances Code and Corporate Governances Manual bagi memastikan adanya peranan dan tanggungjawab lembaga pengarah yang jelas serta penggunaan piawai International Financial Reporting Standards, IFRS dalam proses pengurusan kewangan syarikat yang mana akan dapat menyumbang kepada meningkatkan keyakinan pelabur.
Selain itu, dari segi pengukuhan fungsi pengurusan sumber manusia dan untuk menwujudkan budaya kerja yang berasakan prestasi ataupun performance base culture inisiatif-inisiatif seperti perlaksanaan System Enterprise Resource Planning termasuk SAP Human Resource Management System dan SAP Finance. Perlaksanaan strategi Pembangunan Modal Insan ataupun Human Capital Development dan Pembangunan Sistem Pengurusan Sumber Manusia, Human Resource Management System turut dilaksanakan. Seterusnya, berhubungan dengan soalan PL024 pula, kaola juga ingin mengongsikan bahawa secara lazimnya pemilihan lembaga pengarah syarikat-syarikat, GLCs khususnya juga yang di bawah pemantauan Darussalam Assets adalah tertakluk kepada tadbir urus Kementerian Kewangan dan Ekonomi sebagai sebahagian daripada portfolio Minister for Finance Corporation.
Tambahan lagi, satu jawatankuasa yang di gelar GLCs Nomination Committee telahpun ditubuhkan sebagai penilai bebas untuk membuat penilaian dan pertimbangan dalam menentukan keahlian lembaga-lembaga pengarah bagi syarikat-syarikat di bawah Minister for Finance Corporation untuk memastikan:
Pertama, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah GLCs mempunyai kemahiran, pengalaman dan kepelbagaian yang betul untuk mentadbir syarikat-syarikat GLCs dengan berkesan;
Kedua, saiz dan komposisi Lembaga Pengarah adalah sesuai untuk menyokong pengawasan berkesan terhadap objektif strategik dan pengawasan GLCs; dan
Ketiga, calon yang berkualiti dan sesuai dilantik ke jawatan Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah termasuk Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.
Penilaian prestasi lembaga juga dilaksanakan secara berkala bagi memastikan setiap GLC diurus secara profesional, tulus dan berorientasikan prestasi selaras dengan kepentingan negara dan nilai terbaik kepada kerajaan sebagai pemegang saham.
Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola terlebih dahulu menjunjung kasih pada Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin, mengenai dengan soalan PL123, berkaitan dengan impak dan pencapaian penerima Anugerah Cemerlang Belia dalam bidang perniagaan atau keusahawanan terutamanya dengan kepelbagaian ekonomi negara khususnya dalam sektor pertanian dan agrimakanan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola juga seterusnya sukacita merujuk soalan berikutnya daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam, yakni PL006, iaitu mengenai dengan hasil penilaian serta peningkatan kes pengabaian orang tua, termasuk di rumah-rumah sakit dan perancangan untuk mengukuhkan kerangka perlindungan undang-undang bagi melindungi warga emas serta meletakkan liabiliti penjagaan dan sukat-sukatan ke atas ahli keluarga yang bertanggungjawab.
Dalam perkara ini, kaola berpendapat memandangkan soalan-soalan tersebut adalah berkaitan dengan bidang kawal seliaan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, maka kaola berpendapat ianya adalah lebih bersesuaian bagi rakan sejawat Yang Berhormat Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan untuk menjawabnya. Memohon izin daripada Yang Berhormat Di-Pertua untuk menyerahkan tugasan. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim.
Terlebih dulu, izinkan kaola merakamkan ucapan terima kasih pada Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin di atas soalan yang dikemukakan berkaitan dengan impak dan pencapaian penerima Anugerah Cemerlang Belia dalam bidang perniagaan atau keusahawanan terutamanya kepelbagaian ekonomi negara khususnya dalam sektor pertanian dan agrimakanan.
Bagi menjawab soalan ini, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan telah menyediakan satu platform khusus melalui Anugerah Hari Belia Kebangsaan bagi memberikan pengiktirafan kepada golongan belia dalam kategori Projek Cemerlang Untuk Belia.
Anugerah ini dikhususkan untuk mengiktiraf usaha inovatif belia yang memberi impak besar kepada masyarakat dan ekonomi negara khususnya dalam bidang keusahawanan termasuk projek yang berkaitan dengan perkhidmatan, sektor perkhidmatan, sektor pendidikan, sektor teknologi termasuklah sektor pertanian dan agrimakanan.
Oleh kerana skop anugerah ini amat luas, kita dapat melihat kepelbagaian inovasi belia. Namun, dalam masa yang sama, kita harus mengakui bahawa penyertaan dan pencapaian dalam bidang pertanian dan agrimakanan masih berada pada tahap yang relatively rendah berbanding kluster perniagaan atau perkhidmatan lain.
Contoh, kejayaan seperti syarikat Fatih Aquaculture dari sektor perikanan yang menerima Anugerah Projek Cemerlang Untuk Belia pada tahun 2023 dan Syarikat Marimin dari sektor pemprosesan makanan yang telah menerima Anugerah Pengusaha Belia pada tahun 2008, adalah segelintir daripada kisah kejayaan, success stories yang ada. Sebenarnya banyak lagi success stories. Sejak tahun berkenaan, every year, setiap tahun ada saja didengar success story yang keluar mengenai dengan pencapaian belia dalam bidang ini.
Walau bagaimanapun, kementerian ini memaklumi terdapat pengiktirafan khusus kepada usahawan dalam sektor pertanian dan agrimakanan melalui Anugerah Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Anugerah ini juga menjadi platform penghargaan kepada pengusaha yang berjaya di samping menyokong usaha negara memperkasa sektor bukan minyak, mencapai keselamatan makanan serta menyumbang kepada agenda pempelbagaian ekonomi Negara Brunei Darussalam.
Dengan itu, mana-mana anugerah yang diberikan, sama ada ia Anugerah Belia Cemerlang, Anugerah Peladang dan macam-macam lagi anugerah, sememangnya diharapkan untuk memberikan motivasi dan inspirasi kepada semua masyarakat termasuklah belia.
Kaola ingin mengambil kesempatan ini, sebelum kaola menutup untuk mengongsikan beberapa pengalaman kaola apabila berdepan dengan belia-belia yang berjaya ini. Satu situasi, belia berumur baru melangkah 20 tahun tapi sudah berjaya mengembangkan keusahawanannya bukannya di Brunei saja, malahan di negara luar Negara Brunei Darussalam. Memandangkan usianya yang masih muda, tidak terlintas di fikiran kaola ia akan mencapai tahap ke peringkat atas.
Apabila ditanyakan adakah beliau memerlukan dukungan dan bantuan lain daripada kerajaan, terutama sekali modal untuk mengembangkan keusahawanannya, jawapan yang biasa kaola terima, terima kasih, setakat ini cukup untuk modalnya mengembangkan. Berumur 20 tahun, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, 20 tahun. Kaola sendiri umur 20 tahun masih lagi inda ada sampai ke tahap atu. Jadi ini sebagai satu contoh belia yang bermotivasi, belia yang menjadi sumber inspirasi kepada belia-belia lain.
Kedua, situasi kedua, dua situasi saja ni Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola berdepan dengan seorang pengusaha. Pengusaha ini berpendidikan profesional, malahan kalau ia menggunakan bidang profesionalnya ani, memang ia boleh menjadi seorang peguam yang berjaya, tetapi beliau memilih untuk menceburkan diri dalam bidang agriculture dan pertanian dan kini walaupun belum menerima anugerah cemerlang apa, menjadi sumber inspirasi kepada belia-belia yang lebih muda, generasi-generasi yang akan datang. Sama juga apabila berdepan dengan Kaola, Kaola tanyakan adakah memerlukan bantuan lagi daripada kerajaan, terutama sekali dari segi modal untuk mengembangkan keusahawanannya?
Jawabannya, terima kasih Yang Berhormat Dato, setakat ani belum lagi tapi hamba menyurungkan anak-anak hamba untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian dan cubalah untuk mendapatkan bantuan untuk mereka memulakan apa pun aktiviti dan inisiatifnya dan insya Allah, satu masa akan menurut jejak langkah individu yang yang berdepan dengan Kaola atu.
Jadi ini satu kebanggaan Kaola, walaupun inda menerima anugerah cemerlang dan sebagainya tapi beliau menjadikan sumber inspirasi kepada generasi-generasi baru yang akan datang. Ini merupakan sumbangannya kepada negara, sumbangannya kepada generasi yang akan datang dan memperlihatkan bahawa jika ada kemahuan, jika ada motivasi yang tepat, semua ini adalah tidak mustahil dapat dijayakan dengan jayanya walaupun di luar bidang apa namanya profesinya selaku seorang peladang dan sekian saja bagi menjawab pertanyaan Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin.
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya iaitu daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam yang ditujukan juga kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Minta maaf. Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II memohonkan supaya apa namanya ni, soalan ini dijawab kemudian ataupun dijawab secara bertulis kepada pihak yang berkenaan. Kita beralih kepada soalan 10.
Sebentar.. Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan suka untuk menjawab soalan yang berkenaan.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Sebenarnya kaola minta maaf kerana kaola yang inda mentrack soalan-soalan (ketawa kecil) yang sepatutnya kaola punya giliran menjawab.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II kerana memberikan peluang bagi kaola untuk menjawab soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam. Terlebih dahulu izinkan kaola memulakan dengan mengingatkan diri kaola sendiri dan kitani semua, bahawa dalam ajaran Islam adalah kewajipan seseorang anak untuk berbakti kepada ibubapa serta memelihara kebajikan mereka.
Selain itu, ia juga merupakan amanah moral yang menjadi teras institusi kekeluargaan di Negara Brunei Darussalam. Warga emas adalah insan yang telah banyak berkorban dan menyumbang kepada pembangunan keluarga dan negara. Justeru, mereka sewajarnya dipelihara dengan penuh hormat, kesabaran dan kasih sayang serta diberikan perlindungan yang berterusan oleh ahli keluarga sendiri.
Seiring dengan itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan mengambil berat terhadap perlindungan dan kesejahteraan warga emas, khususnya dalam konteks peningkatan jumlah warga emas yang kini mencecah kira-kira 10.8 peratus daripada jumlah penduduk. Komitmen ini dizahirkan melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Warga Emas 2023-2030 ataupun Successful Ageing yang menggariskan pendekatan menyeluruh dan bersepadu bagi memastikan warga emas dapat menjalani kehidupan yang sihat, bermaruah dan produktif.
Pelan tindakan ini berpaksikan konsep successful ageing serta dilaksanakan melalui pendekatan whole of nation dengan penglibatan pelbagai kementerian dan agensi. Antara objek utamanya termasuk memperkukuh urus tadbir, mentransformasi masyarakat ke arah penuaan sihat dan inklusif serta memperkukuh perkhidmatan menyeluruh melalui pendekatan bersepadu. Dari sudut perlindungan sosial, kerajaan telah memperkukuh Akta Pencen Umur Tua dan Elaun Kurang Upaya melalui pindaan yang memperkenalkan peruntukan Elaun Penyedia Penjagaan. Peruntukan ini bertujuan untuk menyokong dan mengiktiraf peranan penjaga.
Langkah ini mencerminkan pendekatan yang bukan sahaja memberi bantuan kewangan, malah memperkukuh ekosistem penjagaan berasaskan institusi keluarga. Berhubung cadangan untuk memperkukuhkan kerangka perlindungan undang-undang serta meletakkan liabiliti penjagaan dan kos rawatan ke atas ahli keluarga, perkara ini sudah setentunya akan diteliti secara menyeluruh dengan lebih dalam, selaras dengan objektif satu pelan tindakan warga emas iaitu memperkukuh urus tadbir bagi menggalakkan penuaan sihat dan berjaya.
Dalam mempertimbangkan perkara ini, keseimbangan perlu dicapai antara penguatkuasaan tanggungjawab melalui perundangan dan pengukuhan nilai kekeluargaan secara berhemah, agar tidak menjejaskan keharmonian institusi keluarga. Pada masa yang sama, tumpuan semasa adalah memperkukuh kesedaran. Kesedaran dan pendidikan masyarakat mengenai tanggungjawab anak-anak terhadap ibubapa, meningkatkan mekanisme pemantauan kes pengabaian atau penderaan warga emas serta memperluas sokongan komuniti dan perkhidmatan bersepadu.
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan terus meneliti keperluan pengukuhan dari semasa ke semasa bersama agensi-agensi berkepentingan di bawah pendekatan whole of government bagi memastikan kesejahteraan warga emas sentiasa terpelihara dalam suasana yang penuh hormat, penuh dignity, maruah, ihsan dan tanggungjawab bersama.
Sekian saja bagi menjawab pertanyaan Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan juga terima kasih jua atas soalan yang diajukan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim mengenai perkembangan kadar sara diri dalam penghasilan beras dalam jangka masa 5 tahun akan datang dan perancangan untuk menggunakan teknologi terkini dan penglibatan pihak swasta dan peladang-peladang belia.
Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan tahap sara diri beras negara secara berperingkat. Berdasarkan perancangan semasa, pengeluaran beras tempatan dijangka meningkat daripada sekitar 2,594 metric ton pada tahun 2025 kepada kira-kira 4 ribu tan menjelang tahun 2030. Seiring dengan peningkatan ini, kadar sara diri beras negara disasarkan meningkat daripada sekitar 8.5 peratus pada masa ini kepada kira-kira 10 ke 12 peratus dalam masa 5 tahun akan datang.
Bagi mencapai sasaran ini, kementerian memberi tumpuan kepada beberapa pendekatan utama. Pertama, ialah meningkatkan keluaran hasil padi di kawasan yang tidak mempunyai sistem pengairan dan saliran, that is not irrigated farm, field.
Setakat ini, fokus peningkatan pengeluaran produktiviti hanya bertumpu kepada kawasan ladang yang mempunyai sistem pengairan. Memandangkan hampir 50 peratus keluasan kawasan padi tidak mempunyai sistem pengairan non-irrigated disebabkan oleh sebab-sebab tertentu seperti jauh sumber air dan juga kawasan yang tidak rata atau berbukit. Usaha untuk meningkatkan hasil keluaran padi juga sekarang ditumpukan kepada kawasan non-irrigated. Pada masa ini melalui kerjasama dengan beberapa agensi dan institusi luar negara trial menggunakan padi hybrid yang sesuai ditanam di kawasan non-irrigated sedang dilaksanakan seperti berikut:
Pertama, melalui kerjasama dengan Hunan Hybrid Rice Research Center, HHRRC, Republik Rakyat China yang mana kementerian telah menerima tiga jenis variety hybrid, WDR 101, 102 dan 103 bagi kawasan non-irrigated dan masa ini musim kedua kajian kesesuaian variety akan bermula pada luar musim 2026 ini di Daerah Temburong;
Kedua, kerjasama dengan FINC-Singrow, Republik Rakyat China, tiga variety juga sedang dalam kajian kesesuaian bagi Musim Utama 2025/2026 di Daerah Temburong jua dan penuaian dijangka akan dilaksanakan pada April 2026. Ini insya Allah ujian kedua akan dilaksanakan di Luar Musim 2026; dan
Ketiga, kerjasama dengan Syarikat JiaYuan Agriculture Trading Company satu variety Yuan 1601 akan masuk fasa Projek Rintis pada luar musim 2026 ini dengan kawasan seluas 30 hektar di kawasan Tutong, Temburong dan Belait. Melalui hasil trial-trial tersebut dijangka akan dapat meningkatkan hasil padi purata produktiviti di kawasan-kawasan non-irrigated daripada satu metrik tan sehektar setahun kepada dua ke tiga tan metrik sehektar setahun jika berjaya. Oleh itu, insya Allah melalui usaha mengenal pasti variety yang sesuai bagi kawasan non-irrigated keluaran hasil padi boleh dipertingkatkan dan menyumbang kepada peningkatan sara diri dan sekuriti makanan.
Kedua, penggunaan teknologi pertanian moden untuk meningkatkan produktiviti padi. Ini termasuk menggunakan variety padi hasil tinggi seperti padi hybrid Yuan 158 yang baru diperkenalkan yang berpotensi menghasilkan antara lima ke tujuh tan metrik semusim bagi irrigated farm kawasan irrigated.
Jika dibandingkan dengan Sembada Mas Ani 188 yang mana pada masa ini purata pengeluaran hanyalah tiga ke empat metrik tan sehektar. Di samping itu, kajian kesesuaian variety padi baru juga dijalankan melalui kerjasama dengan institut antarabangsa seperti International Research Institute di Manila serta rakan penyelidik dari Republik Rakyat China. Seperti kaola nyatakan dalam Kenyataan Menteri tempoh hari kementerian juga merancang penubuhan Hybrid Rice Research Center bagi memperkukuhkan penyelidikan dan pembangunan variety padi yang lebih sesuai dengan keadaan tanah dan iklim Negara Brunei Darussalam. Kementerian turut menggalakkan kerjasama dengan sektor swasta bagi meningkatkan pelaburan dalam teknologi pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran padi tempatan sekaligus memperkukuhkan keseluruhan rantaian nilai industri padi negara.
Ketiga, ialah usaha untuk memperbaiki kesuburan tanah melalui pendekatan atau cara mampan regenerative agriculture. Tanah yang subur adalah penting kerana variety padi berhasil tinggi tidak akan berupaya menghasilkan atau mencapai potensi optima jika tanah kurang subur. Antara usaha yang telah dilaksanakan untuk meningkatkan kesihatan dan kesuburan tanah adalah dengan menggunakan baja kompos seperti yang dihasilkan daripada sisa ladang seperti tinja ayam, sisa hijau dan juga sisa makanan. Usaha ini dalam masa yang sama juga mendukung circular economy dan mengurangkan impak perubahan iklim.
Sejak tahun 2024 sehingga kini kementerian melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dengan kerjasama Wasan Milling Company Sendirian Berhad sedang menjalankan kajian keberkesanan penggunaan pelbagai jenis baja organik keluaran tempatan bagi meningkatkan kesuburan tanah di ladang padi yang pada masa ini dilaksanakan di Kawasan Kemajuan Pertanian Kandol seluas 20 hektar.
Dapatan awal yang diperolehi daripada projek ini adalah sangat menggalakkan di mana didapati nilai kemasaman tanah menurun, kesuburan tanah meningkat, hasil pengeluaran padi meningkat.
Keempat, meningkatkan kecekapan rantaian pengeluaran dan pemprosesan padi. Kerjasama dengan Wasan Milling Company Sendirian Berhad turut diperkukuhkan melalui penaiktarafan sistem pengurusan lepas tuai, pengisaran dan penyimpanan padi serta penggunaan teknologi pengeringan moden. Langkah ini membantu meningkatkan kualiti beras tempatan serta mengurangkan kehilangan hasil selepas tuai.
Kelima, ialah memperkukuhkan pembangunan kapasiti ladang termasuk penglibatan generasi belia. Program pembangunan kapasiti terus dilaksanakan di keempat-empat daerah melalui sekolah peladangan pengusaha padi bagi meningkatkan kemahiran peladang dalam menguruskan penanaman padi, penggunaan teknologi serta amalan terbaik bagi pertanian. Pendekatan ini juga membuka peluang kepada lebih ramai peladang muda untuk menceburi sektor penanaman padi sebagai bidang usaha yang berpotensi. Dalam masa yang sama, kementerian juga turut mengambil pendekatan yang realistik dalam mempelbagaikan sumber pembekalan beras negara melalui kerjasama serantau termasuk BIMP-EAGA.
Pendekatan ini penting bagi memastikan keselamatan bekalan beras terus terjamin memandangkan keluasan tanah yang sesuai untuk penanaman padi adalah terhad. Secara keseluruhannya, pendekatan bersepadu ini bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan secara berperingkat melalui penggunaan teknologi moden, penglibatan sektor swasta serta penyertaan peladang baharu termasuk golongan belia selaras dengan usaha memperkukuhkan sumber sekuriti makanan negara dalam jangka masa yang panjang.
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Awang Lau How Teck yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan terima kasih jua atas soalan yang diajukan oleh Yang Berhormat Awang Lau How Teck mengenai pendekatan kementerian terhadap isu kelangsungan continuity ladang dan perniagaan pertanian memandangkan sebahagian besar pengusaha semakin berusia dan penglibatan generasi seterusnya masih terhad.
Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan sememangnya mengambil perhatian serius terhadap isu kelangsungan pengusaha pertanian khususnya apabila sebahagian pengusaha sedia ada semakin berusia dan penglibatan generasi pelapis masih terhad.
Setakat ini jumlah pengusaha yang berkecimpung dalam industri pertanian perikanan adalah sebanyak lebih kurang 7,000 pengusaha, lebih kurang 100 pengusaha dari keseluruhan jumlah tersebut adalah golongan dari belia. Isu ini bukan sahaja melibatkan kesinambungan perusahaan tetapi juga berkait rapat dengan risiko kehilangan kapasiti pengeluaran tempatan sekiranya tidak ditangani dengan lebih teratur. Sehubungan dengan itu, pendekatan kementerian adalah berlandaskan kepada beberapa strategi utama:
Pertama, ialah memperkukuhkan ekosistem sokongan bagi memudahcara kemasukan pengusaha baru. Kementerian menyediakan peluang kepada belia dan graduan yang berminat melalui penawaran tapak pertanian di bawah inisiatif Projek Rintis dan seterusnya projek pembesaran tapak di samping bekerjasama dengan institusi kewangan bagi menyediakan kemudahan pembiayaan yang lebih mesra kepada pengusaha muda. Dengan adanya penawaran Projek Rintis ini proses untuk mendapatkan tapak pertanian bagi pengusaha baru adalah cepat dan mudah. Lazimnya, tapak yang ditawarkan adalah sekurang-kurangnya dua hektar tertakluk kepada jenis komidi yang akan diusahakan;
Kedua, ialah meningkatkan daya tarikan sektor pertanian melalui penerapan teknologi moden. Penggunaan pendekatan pertanian pintar smart farming seperti sistem fertigasi, hidroponik, vertical farming serta penggunaan teknologi dron dan automasi membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh yang berat di samping meningkatkan produktiviti ladang.
Ini termasuklah penggunaan sistem fidlot bagi pengusaha ternakan lembu yang diguna pakai oleh Syarikat PDS Abattoir Sendirian Berhad di Batang Mitus, sistem reban tertutup dan bertingkat dalam perusahaan ternakan ayam oleh Syarikat Riza Fudhlana Farming, Ideal Multifeed Farm (B) Sendirian Berhad, Golden Chick Livestock Farm Sendirian Berhad, Soon Lee Farm and Trading Company Sendirian Berhad, Maya Breeder Farm; vertical farming oleh Syarikat RZ Prisma Enterprise; smart farming control environment oleh Syarikat Infinity, rumah terlindung oleh Syarikat Perusahaan Zaias, Gropoint Sendirian Berhad dan lain-lain dan penyemburan racun penggunaan drone yang diguna pakai oleh Innovaero Sdn. Bhd. Pendekatan ini menjadikan sektor pertanian lebih menarik kepada generasi muda yang celik teknologi serta berpotensi meningkatkan kapasiti pengeluaran secara lebih efisien untuk memenuhi keperluan tempatan dan pasaran eksport.
Ketiga, memastikan kelangsungan operasi ladang melalui pendekatan Succession Planning. Jabatan Pertanian dan Agrimakanan turut memudahcara proses pemindahan kebenaran menduduki tapak kepada waris atau pengusaha baru untuk memastikan operasi ladang tidak terhenti apabila pengusaha tidak lagi dapat meneruskan aktiviti mereka. Pendekatan ini membantu memastikan kapasiti pengeluaran sedia ada dapat dikekalkan secara berterusan. Dasar yang diwujudkan bagi memudahkan pengambilan alih syarikat daripada ibu bapa kepada anak atau waris yang masih hidup telah memberi manfaat dalam memastikan kesinambungan pengurusan serta operasi perniagaan keluarga dapat diteruskan dengan teratur. Melalui pelaksanaan dasar ini proses peralihan pemilikan menjadi lebih jelas dan sistematik serta sekaligus menggalakkan generasi seterusnya untuk meneruskan legasi pertanian perniagaan yang telah dibangunkan. Sehingga kini sekurang-kurangnya terdapat 2 syarikat pengusaha yang diasaskan oleh ibu bapa telah berjaya diambil alih dan diurus oleh anak-anak mereka membuktikan bahawa dasar ini berkesan dalam menyokong kelangsungan perniagaan keluarga serta pembangunan sektor perusahaan secara berterusan.
Keempat, membangunkan generasi agripreneur melalui program kursus belia. Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Belia Bertani yang merupakan kerjasama di antara Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Agrimakanan UNISSA dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei, sebagai inkubator bagi belia untuk memulakan dan mengumpulkan dana dan mengembangkan tapak pertambahan dan juga Program Pendedahan Belia yang memberi peluang kepada graduan dan belia untuk menceburi sektor pertanian sebagai kerjaya.
Melalui Program Pendedahan Belia ini, peserta dibimbing oleh pakar daripada Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan institusi pengajian tinggi dan didedahkan kepada operasi dan juga pengurusan ladang sebenar, pengurusan kewangan serta tadbir urus perniagaan yang kukuh. Setakat ini, sebanyak 185 orang belia telah ikut serta dalam Program Pendedahan Belia yang telah dibukakan pada tahun 2018. Program Pendedahan Belia kali ke-11 insya Allah akan dimulakan pada 1 Jun hingga 20 Jun pada 2026 ini. Melalui pendekatan bersepadu ini, kementerian yakin bahawa proses peralihan generasi dalam sektor pertanian dapat dilaksanakan secara berperingkat dan terancang sekaligus mengurangkan risiko kehilangan kapasiti pengeluaran tempatan. Dalam jangka panjang, usaha ini juga diharapkan dapat melahirkan lebih banyak agripreneur muda yang lebih inovatif seterusnya memperkukuhkan keterjaminan makanan negara serta memacu pembangunan sektor pertanian sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Selain daripada usaha-usaha yang diambil oleh kementerian, pengusaha-pengusaha yang ada pada masa ini juga memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat anak-anak mereka untuk meneruskan usaha berkecimpung dalam bidang pertanian, perikanan dan agrimakanan. Ini adalah memandangkan pengusaha sendiri adalah sumber inspirasi dan motivasi yang penting dalam minat anak-anak mereka dan sebagai mentor yang efektif. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan daripada Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Menjunjung kasih kepada Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin. Soalan yang ditanyakan ialah mengenai dengan dasar dan peraturan berkenaan penambahan atau renovasi bangunan di kawasan rancangan perumahan negara dan tanah persendirian.
Peraturan yang dikuatkuasakan bagi sebarang tambahan atau renovasi bangunan sama ada dalam kawasan rancangan perumahan negara mahupun di atas tanah persendirian di luar kawasan rancangan perumahan negara adalah dikawal di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa, Penggal 248 dan Akta Bangunan, Penggal 256, di mana akta-akta ini memperuntukkan mana-mana kerja bangunan termasuk tambahan, ubah suai hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran perancangan daripada Autoriti Perancang dan kebenaran bangunan dari Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan. Dalam perkara ini, di antara perkara-perkara yang diterima di Jabatan Kemajuan Perumahan Negara daripada penduduk-penduduk di sekitar rancangan perumahan negara ialah;
Pertama, tambahan-tambahan yang termasuk ke dalam tanah jiran atau tanah kerajaan; kedua ialah diantaranya ialah manhole septic tank yang ditutupi oleh konkrit setelah tambahan bangunan ani dibuat dan apabila ada menerima aduan mengenai saluran septic tank ani tersumbat, maka septic tank ani inda lagi dapat diunjar, kana tutup sudah, atulah di antaranya tu; ketiga ialah rumah ataupun tambahan menghalang pemandangan jiran dan putaran angin terpampang oleh bangunan yang ditambah; dan keempat ialah cucuran air hujan yang tumpah ke rumah orang sebelah. Pihak Jabatan Perancangan Bandar dan Desa telah menyediakan dua garis panduan dan piawaian perancangan khusus bagi kemajuan perumahan. Ini adalah sebagai rujukan untuk pihak qualified person dalam persediaan menghadapkan permohonan kebenaran perancangan bagi membangun bangunan rumah tambahan ataupun rumah baharu, penambahan atau renovasi bangunan.
Garis panduan ini ialah pertama, Garis Panduan dan Piawaian Perancangan bagi Kemajuan Perumahan; kedua ialah Garis Panduan dan Piawaian Perancangan bagi Tambahan dan Ubahsuai Perumahan Sedia Ada dalam Skim Perumahan Negara. Garis Panduan ini memberikan butiran atau detail parameter tertentu untuk dipatuhi seperti jarak anjakan bangunan, building line, keluasan tambahan, keluasan akses, keperluan infra serta aspek keselamatan yang mana bertujuan untuk memastikan persekitaran kemajuan yang teratur, harmoni dan selamat bagi menjana kesejahteraan komuniti yang menyeluruh di kawasan perumahan.
Dalam memastikan proses mendapatkan kebenaran yang teratur dalam masa yang ditetapkan, TPOR, orang ramai adalah diperlukan untuk melantik qualified person yang berdaftar di bawah Kementerian Pembangunan bagi menguruskan penyediaan pelan dan proses permohonan. Pelantikan qualified person ini adalah penting dalam memastikan pelan yang dihadapkan mematuhi kehendak teknikal dan perundangan yang berkuatkuasa bagi mengelakkan ketidakpatuhan atau tindakan penguatkuasaan dikemudian hari.
Langkah ini dapat membantu memastikan kerja-kerja dilaksanakan dengan selamat dan berkualiti di samping melindungi kepentingan pemilik rumah serta menjaga kesejahteraan dan keharmonian kejiranan. Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya dari Yang Berhormat Pengiran Isa bin Pengiran Haji Aliuddin suka membuat soalan tambahan.
Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin​
Dengan izin Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana. Kaola ingin mengajukan soalan tambahan seterusnya berkenaan dengan fakta dan realiti, perbezaan pelaksanaan penguatkuasaan.
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Didapati banyak rumah yang dibangunkan di atas tanah persendirian membuat penambahan atau renovasi bangunan tanpa kelulusan sama ada bagi bangunan sendiri atau perniagaan sampingan, kedai runcit dan bengkel. Sebab itu banyak kedai runcit yang tumbuh cendawan. Walhal, tindakan penguatkuasaan lebih kerap dikenakan ke atas rumah di kawasan Rancangan Perpindahan Negara berbanding tanah persendirian.
Apakah justifikasi wujudnya perbezaan dasar dan penguatkuasaan antara kawasan RPN dan tanah persendirian dengan erti kata lain adakah penguatkuasaan ini hanyalah aktif dengan Jabatan Rancangan Perumahan Negara sahaja dan tidak atau kurang aktif dari Jabatan Tanah, ABCI ataupun TCP, Town Country Planning? Terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan terima kasih, junjung kasih jua kepada Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin dengan soalan tambahan atu. Memang diperakui realitinya mengenai dengan apatu, kenyataan yang disampaikan atu.
Satu jua, dari segi aduan mengenai dengan penambahan rumah ini, memang kekerapan atu ialah datang daripada kawasan-kawasan RPN, Rancangan Perumahan Negara, atu yang sering. Bukan mengatakan yang di kawasan luar RPN atu nda wujud memang ada tapi ini yatah yang paling kerap ni ah, menjadi satu apani, satu kemusykilan jua tu mengapa, apatu dari segi apatu, frequency aduan-aduan ini banyak daripada kawasan perumahan negara termasuklah jua ada yang membuat kedai, yang membuat apatu perusahaan bengkel, memang barang ini memang wujud dan atutah jua menjadi agenda-agenda yang sering di apatu, dibincangkan untuk mencari penyelesaiannya di dalam jawatankuasa apatu, apani, tertinggi guna tanah ni mengenai dengan perkara ini.
Atutah jua disebabkan desakan aduan-aduan ini maka tindakan atu memang banyak menjurus kepada untuk menyelesaikan masalah-masalah ini. Memang sebelum ini banyak tindakan yang diambil mengenai dengan apatu, pemilik-pemilik Rancangan Perumahan Negara yang membuat apa-apa, warung-warung apa-apa, perniagaan di kawasan perumahannya dan jua disebabkan oleh masalah-masalah seperti kesesakan lalulintas, orang parking yang mengunjungi tempat-tempat perniagaan ani. Maka di sanatah diambil tindakan yang lebih cepat, mengambil kira aduan-aduan ani yang diterima ani. Atutah jua sebabnya tu dari segi per.. apatunya orang kalau dibuat perbandingan kenapa penguatkuasaan ani lebih tertumpu kepada kawasan Rancangan Perumahan Negara.
Ani tidak apa-apa, tidak menafikan yang bahawa tindakan-tindakan penguatkuasaan ani juga diambil bagi kawasan-kawasan di luar RPN memang di dalam Mesyuarat Guna Tanah yang dipengerusikan oleh tiga orang menteri termasuk Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan jua Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan yang mempengerusikan mesyuarat ani dan agenda-agenda mengenai dengan penyalahgunaan gunaan tanah ani memang apa-apa cukup membebankan untuk mencari penyelesaiannya dari segi perusahaan yang tidak ikut peraturan, especially selaras dengan syarat tanah yang dibenarkan apalagi tambahan-tambahan yang dibuat yang inda mengikut kebenaran. Kaola harap dapat memberi penjelasan yang singkat atu, anu. Terima kasih dan junjung kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kaola merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin di atas soalan yang diajukan.
Sukacita dikongsikan bahawa terdapat dua buah balai bomba yang meliputi kawasan Kampong Ayer iaitu Balai Bomba Sungai Kebun dan Balai Bomba Pelancaran, Bandar Seri Begawan. Kedua-dua balai ini dilengkapi dengan aset peralatan serta anggota yang bersedia untuk menangani sebarang panggilan kecemasan termasuk insiden kebakaran di kawasan Kampong Ayer.
Dari segi kesiapsiagaan aset dan peralatan kebombaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat sentiasa memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap optimum selaras dengan amalan terbaik di negara-negara jiran. Antara pendekatan yang diamalkan ialah mengekalkan nisbah satu balai satu jentera bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi panggilan kebakaran struktur atau kenderaan di kawasan tadahan masing-masing.
Bagi kawasan Kampong Ayer setiap bot bomba turut dilengkapi dengan sekurang-kurangnya satu pam mudah alih bagi memastikan kesiapsiagaan dalam menangani kebakaran struktur di kawasan berkenaan. Secara keseluruhannya bagi dua balai yang meliputi Kampong Ayer, kawasan Kampong Ayer, aset utama yang tersedia adalah terdiri daripada 2 buah jentera, 5 buah bot, 5 buah pam mudah alih, 137 hos dan 22 nozzles.
Bagi memastikan semua aset ini sentiasa berada dalam keadaan siap siaga pemeriksaan harian dilaksanakan ke atas bot peralatan dan perkakas kebombaan. Selain itu, latihan kebakaran juga dilaksanakan secara berkala termasuk Eksesais Lapu sentiasa diadakan dan di mana pada 20 Jun 2025, latihan telah melibatkan sukarelawan setempat.
Dari segi masa tindak balas iaitu Petunjuk Prestasi Utama, KPI Jabatan Bomba dan Penyelamat menetapkan masa tindak balas tidak melebihi 20 minit termasuk bagi kawasan yang paling jauh di Kampung Ayer. Berdasarkan perangkaan bagi tempoh 3 tahun kebelakangan purata masa tindak balas yang dicapai adalah jauh lebih pantas iaitu antara 4 hingga 7 minit sahaja. Bagi memastikan prestasi masa tindak balas ini sentiasa berada dalam pada tahap optimum, Jabatan Bomba dan Penyelamat turut menjalankan latihan serta ujian masa tindak balas secara berkala.
Hasil latihan menunjukkan masa tindak balas ke Kampung Sungai Bunga dari Balai Bomba Sungai Kebun iaitu lokasi yang paling jauh adalah sekitar 20 minit. Manakala bagi Kampung Burung Pingai Ayer dari Balai Bomba Pelancaran, Bandar Seri Begawan adalah sekitar 5 minit tertakluk kepada keadaan pasang surut air di Sungai Brunei.
Dalam keadaan air surut yang menghadkan pergerakkan bot bomba, operasi pemadaman dilaksanakan melalui beberapa kaedah alternatif termasuk penggunaan penyambungan hos dari sumber air terbuka, menggunakan pam mudah alih melalui kaedah long lay-on serta penggunaan sumber air daripada pili bomba yang berdekatan. Dalam hal ini, pengemudi bot bomba yang mempunyai kepakaran dalam navigasi alur sungai memainkan peranan penting dalam mengenal pasti laluan alternatif ke lokasi kejadian dengan bantuan maklumat pasang surut air daripada agensi berkaitan.
Selain kesiapsiagaan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat turut melaksanakan pendekatan penglibatan komuniti dengan melatih pemimpin akar umbi serta penduduk kampung di kawasan Kampong Ayer sebagai first responder. Pendekatan ini bertujuan melengkapkan mereka dengan pengetahuan asas mengenai kecemasan kebakaran serta kemahiran pemadaman api bagi membantu menangani sebarang insiden kebakaran sementara menunggu ketibaan Pasukan Bomba.
Melalui program Lifesaver 995, seramai 195 orang peserta telah mengikuti latihan sejak tahun 2024. Peserta-peserta ini turut didedahkan kepada penggunaan peralatan pemadaman api dengan betul dan selamat. Di samping itu, pembekalan peralatan pemadam api seperti, hos dan nozzle juga telah dilaksanakan kepada beberapa kawasan termasuk mukim Saba, Mukim Sungai Kebun, Kampung Bolkiah 'A', Kampung Bolkiah 'B', Kampung Saba, Kampung Menunggol.
Sebagai langkah tambahan dalam memperkukuhkan keselamatan kebakaran di kawasan tersebut, sebanyak 30 pili bomba juga telah diganti di beberapa lokasi di Kampong Ayer termasuk Kampung Pandai Besi, Kampung Tamoi Hujung, Kampung Setia 'A', Kampung Setia 'B' bagi memastikan bekalan air yang mencukupi semasa operasi pemadaman kebakaran.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Secara keseluruhannya kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan penyelamat bagi kawasan Kampong Ayer sentiasa diperkukuhkan melalui gabungan kesiapsiagaan aset dan anggota, kecekapan masa tindak balas, peningkatan kemahiran melalui latihan berterusan serta penglibatan komuniti setempat sebagai rakan strategik dalam pengurusan kecemasan. Pendekatan ini menerapkan konsep whole of government dan whole of nation approach di mana keselamatan kebakaran bukan sahaja bukan menjadi tanggungjawab Pasukan Bomba semata-mata, tetapi turut melibatkan kerjasama agensi-agensi kerajaan, pemimpin akar umbi serta penduduk Kampong Ayer sendiri sebagai barisan hadapan dalam memberi tindak balas awal terhadap sebarang insiden.
Dalam masa yang sama, kerajaan juga akan terus menilai keperluan penambahan dari masa ke semasa termasuk dari segi penambahan aset, peningkatan keupayaan operasi, penyelenggaraan infrastruktur keselamatan kebakaran serta pemerkasaan program kesedaran dan latihan komuniti bagi memastikan tahap keselamatan dan kawasan Kampong Ayer sentiasa berada pada tahap yang tinggi. Sekian yang dapat kaola sampaikan bagi menjawab soalan Yang Berhormat berkenaan. Terima kasih Yang Berhormat Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan daripada Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub dan juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terlebih dahulu, kaola merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub atas soalan yang diajukan dan tepat pada masanya memandangkan ancaman perubahan iklim kini menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan risiko bencana di peringkat global dan juga domestik.
Pada kesempatan ini juga kaola ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Penghulu Mukim dan Ketua Kampung sebagai jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah atas sumbangan mereka dalam membantu kejadian bencana seperti banjir dan tanah susur, menyelaras bantuan kecemasan serta memastikan kesiapsiagaan komuniti sentiasa berada pada tahap yang baik.
Penghargaan juga diberikan kepada Kementerian Pembangunan atas kerjasama dalam melaksanakan projek menaik taraf dan menaik paras jalan raya di kawasan pendalaman yang sebelum ini sering terjejas akibat banjir. Dalam hubungan ini, kaola ingin mengongsikan perkembangan 22 buah projek menaik taraf dan menaik paras jalan raya di Daerah Tutong, Belait dan Temburong yang dilaksanakan bagi mengurangkan impak banjir.
Alhamdulillah, setakat bulan Februari 2026 sebanyak 16 buah jalan telah siap sepenuhnya. Manakala 6 buah lagi jalan sedang dalam pelaksanaan iaitu Jalan Singap, Jalan Gadong di Daerah Belait dan Jalan Panchong Kuala Ungar, Jalan Kuala Ungar Benutan, Jalan Kerancing Benutan dan Jalan Belaban di Daerah Tutong masih dalam fasa pelaksanaan dan dijangka siap pada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan.
Projek-projek ini dipantau secara berterusan melalui laporan daripada Pegawai Daerah, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung serta agensi teknikal bagi memastikan penyiapan projek mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Di negara kita antara bentuk bencana yang lazim berlaku termasuk banjir di kawasan rendah, banjir kilat, tanah susur serta kebakaran hutan. Walau bagaimanapun sejak kebelakangan ini negara juga turut merasakan kesan gegaran kecil akibat kejadian gempa bumi di negara-negara jiran. Sehubungan dengan itu, bagi memastikan kesiapsiagaan negara terhadap kemungkinan insiden yang di luar jangkaan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, NDMC sedang dalam fasa pengemaskinian prosedur operasi standard, SOP bagi gegaran gempa bumi dan Tsunami dengan kerjasama teknikal daripada Pusat Seismik Kebangsaan Brunei dan Kementerian Pembangunan.
Selaras dengan misi NDMC untuk membina masyarakat yang berdaya tahan terhadap bencana, NDMC juga terus memperkukuh program pembangunan kapasiti serta latihan simulasi bencana di kalangan komuniti melalui dua inisiatif utama iaitu: Community-Based Disaster Management, CBDRM dan School-Based Disaster Management.
Program-program ini dilaksanakan secara berterusan di mana bagi tempoh April 2025 sehingga Februari 2026 seramai 454 orang peserta telah mengikuti program CBDRM manakala 2131 pelajar telah menyertai program SBDRM. Selain itu, NDMC juga melancarkan Buku Panduan Asas Keselamatan Awam pada 11 haribulan Oktober 2025 sebagai rujukan kepada masyarakat bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi sebarang kecemasan.
Dari segi tindak balas dan pemulihan bencana pula, NDMC sedang meneroka pembangunan platform digital amaran awal bersepadu bagi memperkukuh penyelaras serta penyampaian arahan perlindungan awal secara real time. Dalam masa yang sama, Negara Brunei Darussalam juga telah dipilih sebagai Negara Rintis bagi Projek CBDRM ICT di bawah platform mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana AMMDM dengan kerjasama strategik daripada Kerajaan Jepun di mana Negara Brunei Darussalam telah menjadi ahli ke-33 kepada Pusat pengurusan Bencana ASEAN iaitu ASEAN Disaster Reduction Center ADRC pada 01 haribulan Mei 2024. Projek CBDRM ICT ini bertujuan untuk meningkatkan kapasiti komuniti dalam menghadapi risiko bencana melalui penggunaan teknologi komunikasi. Ini termasuklah penyampaian maklumat risiko bencana amaran awal dan tindak balas kecemasan yang lebih cepat dan tepat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Selain itu, beberapa inisiatif dasar strategik turut dilaksanakan bagi memperkukuhkan sistem pengurusan bencana negara antaranya pelancaran Rangka Kerja Dasar Strategik Pengurusan Bencana 2025, pengukuhan keahlian Majlis Bencana Kebangsaan, MBK melalui pendekatan whole of government dengan penglibatan Kementerian Pembangunan serta Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan sebagai Timbalan Pengerusi Bersama, pengemaskinian National Standard Operating Procedure iaitu NaSOP yang akan diuji melalui latihan Bencana Kebangsaan 2026 iaitu LBK 2026, pemuktamadan National Disaster Inventory Response Plan.
Di samping itu, kerajaan juga dalam proses untuk menubuhkan Urban Search and Rescue, USAR kebangsaan dikenali sebagai Satria Special Rescue Assistance yang akan mematuhi sistem klasifikasi International Search and Rescue Advisory Group, INSARAG menjelang tahun 2028-2030.
Bagi mencapai pengiktirafan antarabangsa ini, NDMC telah bekerjasama dengan Special Malaysian Disaster Assistance and Rescue Team, SMART bagi melaksanakan program skoping pada tahun 2025 untuk menilai keupayaan anggota serta aset-aset agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana sebagai kesinambungan kepada program tersebut, program mentoring akan dilaksanakan dijangka bermula pada tahun ini, insya Allah.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dalam menghadapi cabaran perubahan iklim yang semakin ketara, pengurusan bencana negara kini turut memberi penekanan kepada pendekatan pengurungan risiko bencana secara proaktif iaitu Disaster Risk Reduction dan adaptasi perubahan iklim selaras dengan kerangkaan antarabangsa seperti Sendai Framework for Disaster Reduction 2015-2030. Pendekatan ini menekankan kepentingan pengukuhan kesiapsiagaan komuniti, penggunaan data dan teknologi, pengurusan risiko berasaskan sains serta kerjasama antara agensi dan masyarakat dalam memastikan negara mempunyai keupayaan yang lebih kukuh untuk menghadapi bencana pada masa hadapan.
Dalam hubungan ini, Negara Brunei Darussalam terus memperkukuhkan kerjasama serantau melalui platform ASEAN Community on Disaster Management, ACDM serta Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai pengurusan bencana iaitu AMMDM bagi meningkatkan kapasiti negara dalam aspek kesiapsiagaan, tindak balas serta pemulihan bencana. Usaha-usaha ini juga menyokong Matlamat 2 di bawah aspirasi Wawasan Brunei 2035 iaitu kehidupan rakyat yang berkualiti tinggi.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Melalui pendekatan yang bersepadu ini, kementerian bersama Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, NDMC, akan terus komited untuk memperkukuhkan sistem pengurusan bencana negara bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Sekian yang dapat kaola sampaikan bagi menjawab soalan Yang Berhormat berkenaan. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan yang seterusnya daripada Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, yang juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terlebih dahulu kaola ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman atas soalan yang diajukan iaitu apakah cabaran utama dalam proses penilaian permohonan kewarganegaraan dan antara sebab permohonan tidak berjaya.
Sukacita menjelaskan bahawa pada dasarnya tidak ada cabaran utama dalam memproses penilaian permohonan kewarganegaraan memandangkan terma dan syarat adalah jelas, telus dan berlandaskan kepada peraturan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam hal ini juga, kaola ingin menjelaskan bahawa permohonan kewarganegaraan tidak dianggap tidak berjaya, selagi mana permohonan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Antara syarat-syarat tersebut memenuhi tempoh bermastautin di negara ini sepertimana yang telah ditetapkan, memenuhi tempoh perkahwinan bagi kategori tertentu, memenuhi tempoh pemegang taraf penduduk tetap, lulus ujian bertulis dan ujian lisan bahasa Melayu serta lulus tapisan keselamatan. Selagi syarat-syarat tersebut dipenuhi, permohonan akan terus diproses mengikut prosedur yang ditetapkan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Alhamdulillah, sepanjang tempoh tahun 2022 hingga Mac 2026, sebanyak 7,477 permohonan taraf kerakyatan telah mendapat kurnia titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadi rakyat baginda sama ada secara penuangan dan pendaftaran. Daripada jumlah tersebut, tahun 2025 mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 2,979 permohonan yang melebihi purata tahunan bagi tempoh berkenaan.
Secara keseluruhannya, permohonan di bawah Bab 61 iaitu kategori ibu warganegara mencatatkan jumlah tertinggi dengan 3,356 permohonan berbanding kategori-kategori lain. Sementara itu kategori di bawah Bab 51 dan Bab 81 iaitu melalui ujian bertulis turut merekodkan jumlah yang signifikan iaitu sebanyak 2,973 permohonan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dari segi proses semasa, beberapa permohonan masih di peringkat penilaian termasuk temuduga, ujian, tapisan keselamatan serta semakan dokumen sokongan. Sebagai contoh, bagi kategori Bab 61 dan Bab 56, yang melibatkan permohonan melalui hubungan kekeluargaan sebanyak 655 permohonan sedang melalui proses penilaian jabatan termasuk temuduga, tapisan serta semakan dokumen. Manakala bagi kategori Bab 51 dan Bab 81 yang melibatkan permohonan melalui ujian bertulis dan ujian lisan, sejumlah 1,836 permohonan masih dalam peringkat menunggu keputusan ujian serta proses tapisan yang berkaitan.
Secara keseluruhannya proses penilaian permohonan kewarganegaraan dilaksanakan secara teliti, berperingkat dan selaras dengan peruntukan undang-undang iaitu Akta Taraf Kebangsaan Brunei Penggal 15 yang berkuat kuasa bagi memastikan setiap permohonan dipertimbangkan secara adil serta memenuhi semua syarat yang telah ditetapkan. Sekian yang dapat kaola sampaikan bagi menjawab soalan Yang Berhormat yang berkenaan. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamua'laikum Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh. Kaola mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan terima kasih juga kepada Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam kerana soalannya mengenai perkara apa yang disebutnya sebagai apakah ada kajian mengenai punca utama dalam peningkatan kelahiran anak luar nikah termasuk penilaian sistem sokongan seperti aspek kesihatan, pendidikan dan kesedaran, sistem bantuan dan perlindungan dari stigma masyarakat dan pengabaian.
Alhamdulillah, Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Soalan yang jelas sekitar apa yang disebutnya sebagai anak luar nikah iaitu punca utamanya, punca utama kelahirannya, adakah kajian dibuat dan seterusnya itu.
Pertama sekali Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola ingin menyatakan bahawa dari segi kategori pendaftaran kelahiran sama ada rekod kelahirannya di hospital-hospital ataupun di JIPK, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, tiada terdapat sebutan atau istilah anak luar nikah. Apa yang ada ialah kelahiran anak tidak sah taraf iaitu dalam tiga kategori berikut. Kategori K180 yakni anak lahir kurang 180 hari iaitu ibu bapa bernikah tapi anak lahir kurang 180 hari setelah pernikahan. Dalam hal ini, tidak akan dicatatkan nama ayah di ruang bapa pada surat beranaknya.
Kategori yang kedua ialah dinamakan tidak diperolehi iaitu anak lahir tetapi ibunya tidak berkahwin semasa kelahiran. Dalam hal ini, sama juga tidak akan ada nama ayah akan dicatitkan pada ruang bapa pada surat beranaknya. Kategori yang ketiga ialah anak laqit iaitu anak yang tidak diketahui ibu bapa disebabkan anak tersebut kena buanglah, yang orang kita ni di Brunei menyebut sebagai anak pungut.
Jadi soalannya, apakah kelahiran dalam ketiga-tiga kategori ini meningkat? Berdasarkan angka yang direkodkan oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri iaitu menerusi JIPK, terdapat sejumlah 2,054 kelahiran dalam tempoh 8 tahun dari tahun 2019 dan ke setakat tahun ini 2026, baru 3 bulan sudah ada mencatatkan 33 kelahiran dari termasuk dalam jumlah 2,054 orang itu.
Jumlah sebanyak 2054 kelahiran itu meliputi ibunya terdiri sama ada berstatus rakyat atau berstatus penduduk tetap stateless atau juga terdiri daripada orang asing bukan rakyat dan bukan penduduk stateless. Dari jumlah kelahiran anak tak sah taraf seramai 2054 itu, ibu bapa yang berstatus rakyat telah menyumbang seramai 1762 orang. Maaf, kaola menggunakan perkataan menyumbang Yang Berhormat Yang Di-Pertua, sarcastic bunyinya, telah menyumbang dari 2054, menyumbang seramai 1762 daripada ibu bertaraf rakyat. Sementara ibu yang berstatus penduduk tetap iaitu stateless telah menyumbang seramai 70 orang sahaja. Dan yang berstatus penduduk orang asing telah menyumbang seramai 219 orang.
Apakah jumlah perkiraan tahunan menunjukkan trend yang meningkat? Ternyata juga tidak. Kerana pada tahun 2019 dan 2020, mencatatkan angka kelahiran 3 ratusan setiap tahun iaitu 378 kelahiran pada tahun 2019 dan menurun kepada 359 pada tahun 2020. Kemudian terus menurun dalam beberapa tahun berikutnya iaitu sebanyak 297 kelahiran pada tahun 2021 berkurang kepada sebanyak 295 kelahiran pada tahun 2022 dan seterusnya berkurang lagi pada tahun 2023 kepada sebanyak 260 kelahiran dan terus berkurang lagi menjadi sebanyak 202 kelahiran pada 2024.
Memang ada kenaikan pada tahun 2025, mencatatkan sebanyak 230 dari asalnya daripada 202 pada tahun 2024. Tetapi namun peningkatan sebelumnya, peningkatan tersebut jauh lebih rendah daripada jumlah kelahiran pada 6 tahun sebelumnya iaitu pada tahun 2019 sebanyak 378 kelahiran berbanding dengan 230, maknanya menurun. Dan setakat baharu dalam 3 bulan yang pertama ini sahaja, baharu direkodkan sebanyak 33 kelahiran. Kalau kali lagi, ada lagi 3 bulan, ada lagi 9 bulan, 9 kali 3 itu 27, sekitar itulah angkanya. Sedemikian itulah jumlah bilangan kelahiran menunjukkan semakin berkurang dalam 8 tahun bermula tahun 2019 sebanyak 378 kelahiran menjadi sebanyak 230 kelahiran pada tahun 2025 yang lalu.
Itu, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, dari aspek bilangan dan jumlah kelahiran yang direkodkan. Sementara bilangan kes dari rekod Jenayah Syariah di bawah Bab 94 (1) Kanun Hukuman Jenayah Syariah yang melibatkan kesalahan perempuan hamil. Aah ini baru ada, dari segi undang-undang ada istilahnya luar nikah. Hamil luar nikah mencatatkan sebanyak 19 kes pada tahun 2023 dan 17 kes pada tahun 2024, kemudian menurun lagi kepada 12 kes pada tahun 2025. Ini berdasarkan rekod kes-kes yang dilaporkan atau diadukan kepada Bahagian Penguatkuasa Ugama, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Dari rekod catatan ini menunjukkan dalam tempoh 3 tahun terakhir, kes yang diadukan dilaporkan adalah menurun.
Sementara itu, tiada terdapat kes di bawah Kanun Hukuman Jenayah Syariah Bab 94 (5) dilaporkan atau tiada diadukan yang melibatkan bagi mana-mana lelaki yang menghamilkan seorang perempuan Islam luar nikah, sama ada atau tidak perempuan tersebut telah melahirkan anak. Demikian dari segi sama ada kelahiran anak tak sah taraf itu meningkat atau tidak, ternyata Yang Berhormat Yang Di-Pertua, tidak meningkat bahkan malah berkurangan.
Namun isunya bagi Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, adalah bukan isu mengkaji untuk mengetahui dengan terperinci apa punca utama kelahiran anak tak sah taraf itu. Itu bukan isunya. Memang ia isu sosial dan telah pun disedari merupakan sebahagian daripada isu-isu sosial peringkat nasional yang perlu ditangani dengan berhemah. Maafkan kaola Yang Berhormat Yang Di-Pertua, untuk menyambung sedikit kerana ada bahagian kedua. Adakah mereka ini dilindungi dari segi stigma masyarakat dan sebagainya.
Kementerian Hal Ehwal Ugama sangat bersyukur, isu ini sedang ditangani di peringkat nasional dalam Majlis Kebangsaan Isu-Isu Sosial MKIS iaitu platform yang melibatkan beberapa buah kementerian dan pihak-pihak agensi yang berkepentingan. Kementerian Hal Ehwal Ugama adalah menjadi ahli peringkat menteri sementara di peringkat pegawai-pegawai kanan diketuai oleh SUT bagi peringkat jawatankuasa kerja.
Oleh yang demikian, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola sukacita menyatakan bahawa Kementerian Hal Ehwal Ugama lebih melihat keutamaan menangani isu ini bukanlah dengan membuat kajian dan menunggu hasil kajian mengenai punca utamanya. Apapun puncanya tentu sahaja secara realitinya bukan lagi menjadi rahsia umum atau teka-teki sangka-sangkaan. Ia sudah diketahui dan difahami umum.
Dalam keadaan itulah, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Kementerian Hal Ehwal Ugama bertindak untuk membendungnya. Ya, membendungnya supaya tidak menjadi suatu fenomena atau trend biasa dan norma yang lumrah di kalangan masyarakat dengan melahirkan anak luar pernikahan menurut sebagaimana yang disyariatkan dan mengikut sebagaimana yang telah pun diundang-undangkan, undang-undang negara yakni menjadi sebahagian daripada undang-undang yang berkuatkuasa.
Kerana itu, selain menerusi kegiatan dakwah dan saluran pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama lebih fokus kepada usaha dan meningkatkan kesedaran dengan berbagai program mengukuhkan akidah keimanan dan akhlak moral digandingi dengan usaha-usaha pencegahan menurut undang-undang.
Program ini dilaksanakan secara berhemah dalam format dan pendekatan yang beraneka sesuai dengan situasi dan kondisi kalangan target audiensnya iaitu: Pertama, dengan program pencegahan dan kesedaran di institusi pendidikan dan komuniti. Pada tahun 2025 sahaja, Program Menangani Jenayah Syariah ini diadakan sebanyak 25 sesi dengan jumlah bilangan peserta dicatatkan seramai lebih 3 ribu iaitu 3052 orang.
Program ini bertujuan bagi meningkatkan kefahaman dan seterusnya kesedaran bahkan keinsafan jika sudah terlanjur berbuat dosa untuk segera bertaubat memohon ampun kepada Allah Subhanahu Wata'ala yang memang bersifat Maha Pengampun dengan tekad tidak akan mengulangnya dan seterusnya berazam memperbaiki corak dan cara hidup ke hadapan.
Dalam masa yang sama, program ini juga memperingatkan audiensnya akan implikasi tindakan undang-undang iaitu Undang-Undang Jenayah Syariah khususnya atas kesalahan hubungan intim lelaki perempuan di luar pernikahan bahkan implikasi undang-undang atau peraturan pendaftaran anak yang lahir hasil dari hubungan intim sedemikian tidak akan lengkap mencatatkan nama ayah atau bapa dalam surat beranaknya. Suatu yang dapat kita anggap suatu yang tragis tentunya;
Yang kedua ialah dengan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan secara rondaan ataupun operasi penguatkuasaan termasuklah di tempat-tempat dan lokasi berisiko yang digunakan untuk perbuatan tidak bermoral, menyalahi ajaran agama dan berlawanan dengan undang-undang. Pada tahun 2025 sahaja terdapat sebanyak lebih 600 rondaan operasi atau 634 operasi telah dibuat di keempat-empat daerah iaitu di lokasi yang dikenal pasti berisiko sedemikian.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Seterusnya, kaola sukacita menyebutkan tentang sistem sokongan bagi anak yang tak sah taraf itu dari aspek seperti kesihatan, pendidikan dan kesedaran sistem ber.. dan kesedaran.
Sistem bantuan dan perlindungan dari stigma masyarakat dan dari pengabaian yang disebutkan dalam soalan Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam itu. Untuk tidak sampai berderet-deret, kaola sukacita memohon menyatakan seperti berikut, secara umum bahawa sistem perlindungan bagi anak yang tak sah taraf itu, yang utama ialah ia dikategorikan atau diiktiraf sebagai anak yatim mengikut hukum syarak dan bahkan mengikut undang-undang yang terpakai di negara kita ini sepertimana dalam Akta Tabung Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk anak-anak yatim.
Dengan demikian, ia dapat perlindungan sosial kebajikan yang sewajarnya dimana kalau ia dalam kalangan asnaf zakat, dirinya dan penjaganya atau ibunya, maka ia termasuk sebagai asnaf zakat yang berhak menerima agihan zakat untuk makan, minum, wang saku sekolah bahkan dalam keadaan tertentu dimana anak yatim sedemikian yang maju pendidikannya menerima sumbangan biasiswa sehingga ke peringkat pengajian tinggi dalam dan luar negeri termasuk dari program yang dinamakan BIBD ALAF selain daripada program agihan zakat.
Sementara dari segi aspek sistem perlindungan keselamatan, daripada diabaikan atau dilayan buruk dan penganiayaan pula ada diperuntukkan dalam undang-undang yang berkuatkuasa seperti Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Penggal 219), Akta Pengangkatan Kanak-kanak dalam Islam (Penggal 2006).
Dengan itu, anak tak sah taraf adalah mendapat perlindungan dari segi undang-undang daripada penganiayaan, pengabaian dan dari layanan buruk maka sedemikian itu juga ia mendapat perlindungan berupa jaminan sosial kebajikannya yang ditangani dan disantuni oleh badan-badan sosial kebajikan selain oleh pihak kerajaan seperti JUZWAB dan JAPEM.
Maka dengan itu memungkinkan Pehin Yang Di-Pertua terlindung juga dari apa yang disebut oleh Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam dalam soalannya itu terlindung dari stigma masyarakat dan pengabaian. Demikianlah Yang Berhormat Pehin, kaola mengucapkan terima kasih dan kaola memohon berbanyak-banyak maaf. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullah.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Terima kasih Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sekarang kita beralih kepada urusan mesyuarat seterusnya.
Yang Mulia Jurutulis​
Usul Ketetapan bagi Senarai Perintah-Perintah yang telah diluluskan di bawah Perkara 83 (3) dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kaola mencadangkan bagi Majlis ini mengusulkan ketetapan menurut Perkara 83 (7) dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam, bahawa tiap-tiap perintah yang dibuat di bawah Perkara 83 (3) dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam adalah masing-masing mulai dari tarikh perintah-perintah dibuat diluluskan.
Perkara ini adalah merujuk kepada 3 perintah-perintah yang terdapat dalam Kertas Majlis Mesyuarat Negara bilangan 1/2026. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Terima kasih Yang Berhormat. Adakah seorang Ahli untuk menyokong Usul yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kaola menyokong sepenuhnya terhadap usul itu dan kaola mengucapkan terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Terima kasih Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat, usul ini telah mendapat sokongan sepenuhnya daripada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. Sekarang usul ini diundi untuk diluluskan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat yang bersetuju akan cadangan ini sila angkat tangan.
(Semua Ahli mengangkat tangan tanda bersetuju)
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Nampaknya semua Ahli Yang Berhormat bersetuju maka usul ini diluluskan.
(Tukul diketuk)
Yang Mulia Jurutulis​
Usul ketetapan bagi perintah-perintah telah diluluskan dibawah Perkara 83, (3) dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam adalah diluluskan. Penangguhan di bawah Peraturan Mesyuarat 35 (1).
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama​
Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua, mengikut Peraturan Mesyuarat 35 (1), kaola memohon dan mencadangkan bahawa Mesyuarat Majlis Mesyuarat Negara sekarang ini ditangguhkan, memandangkan semua Urusan Mesyuarat telah selesai dan seterusnya kaola mencadangkan bagi Majlis Mesyuarat Negara ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang tidak ditetapkan. Terima kasih Yang Berhormat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Adakah Ahli Yang Berhormat yang ingin untuk menyokong cadangan itu?
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola menyokong usul tersebut. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Terima kasih Yang Berhormat. Usul seperti yang dikemukakan tadi telahpun disokong dan nampaknya dipersetujui. Alhamdulillah. Syukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah kurnia dan izinnya jua, kini kita sampai dipenghujung Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara yang telah bersidang selama 11 hari.
Pertama, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kurnia titah Baginda semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara yang telah menjadi panduan sepanjang mesyuarat yang kita adakan, khususnya dalam membahaskan perkara-perkara strategik yang memfokus terhadap masalah rakyat dan negara.
Semangat titah Baginda tersebut telah jelas tercermin dalam perisian perbahasan yang diadakan dalam suasana produktif, beradab dan penuh hormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat telah membawakan perbincangan yang tinggi mutunya, jadi saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat atas penyertaan, sokongan serta kerjasama padu yang telah diberikan sepanjang mesyuarat pertama kita pada tahun ini.
Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang sama, saya tujukan khusus kepada Yang Mulia Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Pemangku Timbalan dan Penolong Jurutulis, Bentara-Bentara Dewan serta seluruh pegawai dan kakitangan yang terlibat termasuk mereka yang ditugaskan daripada kementerian, jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan atas dedikasi usaha gigih serta komitmen tinggi dalam menyediakan segala keperluan seterusnya memastikan setiap urusan mesyuarat dapat dilaksanakan dengan lancar, teratur dan berkesan.
Alhamdulillah, dalam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-22 ini, kita telah berjaya menyelesaikan beberapa perkara utama iaitu meluluskan empat Usul dan Rang Undang-Undang (2026) Perbekalan, 2026/2027. Dewan yang mulia ini juga telah mendengar empat kenyataan menteri dan merespon kepada sebanyak 215 pertanyaan daripada menteri-menteri.
Alhamdulillah, semua ini diadakan dalam bulan Ramadhan dan juga seterusnya dalam bulan Syawal yang penuh keberkatan. Boleh dikatakan keadaan mesyuarat tahun ini berlainan serta sedikit mencabar dan saya menyedari bahawa Ahli-Ahli Yang Berhormat dan semua yang terlibat juga telah mengorbankan masa termasuk pada hari Jumaat dan Ahad. Namun, inilah namanya semangat kenegaraan iaitu bertugas demi bangsa dan negara dengan penuh rasa cinta, kesetiaan dan tanggungjawab yang sangat mendalam.
Sememangnya bertugas untuk negara, memerlukan pengorbanan telus, kecekalan hati dan semangat juang yang tinggi demi menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan. Semoga setiap usaha menjadi ibadat yang berlipat ganda pahalanya disisi Allah Subhanahu Wata'ala.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sepanjang mesyuarat ini, saya menghargai komitmen dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dibangkitkan dengan semangat masyuarah, hikmah dan kebijaksanaan. Bagi saya inilah cara terbaik di mana apa-apa permasalahan pun dapat diselesaikan dengan mendengar dari berbagai sudut pandangan serta idea-idea termasuk dari Masyarakat, kemudian membincangkan dan menimbangkannya bersama dari aspek kepentingan semua pihak yang terlibat demi menghasilkan keputusan yang terbaik dan disepakati.
Dewan yang mulia ini perlu terus menunjukkan kesepakatan seperti yang ditunjukkan sewaktu membincangkan belanjawan negara ini. Ini adalah kerana harapan kita adalah sama tidak kira dari Ahli Rasmi Kerana Jawatan mahupun Ahli Yang Dilantik, iaitu demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebagai Yang Di-Pertua Dewan, saya mempunyai keistimewaan untuk mendengar dan meneliti apa dan cara percakapan setiap ahli. Sebagai contoh, penetapan had masa telah mencabar ahli-ahli untuk menyesuaikan diri pada awalnya, ada yang mengeluh seolah-olah tidak dapat ternafas, tetapi sekarang nampaknya Ahli-Ahli Yang Berhormat sudah dapat menyesuaikan diri dan dapat sudah bernafas seperti biasa. Sebenarnya rahsianya adalah bukan lamanya bercakap, tetapi lebih kepada penyusunan perisian dengan penggunaan bahasa yang padat yang mana ini adalah cara terbaik untuk menyampaikan maklumat straight to the point.
Di samping itu, apa yang dibahaskan atau disampaikan perlu senantiasa berasaskan kepada fakta dan substance iaitu isu penting yang dekat dengan kehidupan dan kerisauan rakyat. Pendekatan seperti Sesi-Sesi Dialog dan Muzakarah Ahli-Ahli Yang Berhormat bersama kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan perlu diteruskan, diperkasakan dan dimanfaatkan sepenuhnya di luar dewan yang mulia ini, khususnya dalam memeduli keluhan rakyat dan isu-isu sebenar secara lebih menyeluruh dan konstruktif.
Dalam menjalankan tugas rasmi, saya berharap ahli-ahli akan terus berkhidmat dengan penuh integriti, tanggungjawab dan komitmen demi memastikan usaha yang dirancang dapat diterjemahkan kepada manfaat yang nyata kepada rakyat dan negara.
Saya berharap ahli-ahli akan senantiasa peka dan menghayati nadi rakyat kerana adalah menjadi tanggungjawab untuk membincangkannya di sini. Sebagai contoh, sewaktu perbahasan Jawatankuasa Perbekalan pelbagai aspek dibincangkan termasuk keperluan memperluaskan peluang pekerjaan khususnya bagi belia dan usaha memperkukuhkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana sebagai pemacu ekonomi negara.
Ahli-Ahli juga telah memberi perhatian kepada kepentingan transformasi digital dan penyampaian perkhidmatan kerajaan. Seperti dalam ucapan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin yang mengingatkan kita akan kepentingan pengurusan kewangan negara secara berhemah dan disiplin serta pengurusan fizikal yang berhati-hati dan cekap.
Perkara yang sama juga turut dizahirkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof dalam bentuk sebuah pantun mengenai pengurusan belanjawan negara dengan titah dan amanah demi kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.
Suara dari rakyat juga kedengaran melalui beberapa hujah yang dibawakan contohnya oleh Yang Berhormat Awang Lau How Teck yang membangkitkan mengenai aspek penyelidikan dan inovasi agar sektor pertanian lebih moden, produktif dan berdaya saing. Wakil daerah juga membawa beberapa harapan masyarakat contohnya agar pembangunan negara tidak tertumpu kepada pusat-pusat ekonomi tertentu sahaja tetapi juga bagi masyarakat di pelbagai kawasan seperti yang pernah diutarakan oleh Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed. Saya amat menghargai kesediaan dan keberanian Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian untuk mengemukakan pandangan yang bernas dan membina.
Walau bagaimanapun, mungkin terdapat perbezaan pandangan, perbahasan telah berlangsung dalam suasana yang tertib dan saling hormat menghormati dan ini perlu terus dipelihara. Ahli-Ahli Rasmi Kerana Jawatan juga telah memberikan respon yang baik. Saya amat berharap mana-mana cadangan, pandangan dan teguran yang telah dikemukakan bukannya menjadi rekod perbahasan semata-mata, sebaliknya disusuli dengan tindakan yang bersesuaian.
Sebagai peringatan, terdapat beberapa perkara yang ditimbulkan dalam perbahasan di Peringkat Jawatankuasa Perbekalan yang memerlukan ulasan lanjut daripada Yang Berhormat Ahli-Ahli Rasmi Kerana Jawatan. Saya berharap respon akan dapat disampaikan dengan jelas kepada ahli-ahli yang berkenaan dalam tempoh terdekat dan menggalakkan bagi respon tersebut diterbitkan di laman sesawang kementerian atau platform bersesuaian masing-masing bagi membolehkan orang ramai mengikuti perkembangannya seperti yang dilaksanakan di negara-negara lain.
Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kita berkeadaan dalam dunia yang penuh dengan ketidaktentuan. Kuasa-kuasa besar sedang bertikai dan ini menjadikan keadaan masa ini agak rumit. Bumi ini sudah menjadi sesungguhnya kecil. Apa yang terjadi di satu kawasan sudah tentu akan mempengaruhi kawasan-kawasan walaupun jauh dari segi geografi. Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana kita dalam keadaan aman damai tetapi tentunya tidak terlepas dari ketempiasan keadaan-keadaan ini.
Oleh itu, mungkin juga ada langkah-langkah yang perlu diambil oleh negara untuk mengatasi perkara-perkara ini. Saya berharap setiap apa yang dirancang, walaupun berhadapan dengan ujian, cabaran dan keadaan yang berlaku di dunia, masih ada kesempatan untuk memperbaiki dan meningkatkan keupayaan kita bersama.
Akhirnya marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam senantiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, kesejahteraan serta kekal karar di atas tampuk pemerintahan Negara Brunei Darussalam dengan berlandaskan iman, hidayah dan petunjuk dari Allah Subhanahu Wata'ala jua.
Semoga negara kita, Negara Brunei Darussalam akan terus dilimpahi rahmat dan perlindunganNya, dikurniakan keamanan, kemakmuran dan kestabilan yang berterusan dan semoga seluruh rakyat dan penduduk negara ini senantiasa berada dalam kesejahteraan, perpaduan dan mendapat keberkatan dalam setiap usaha yang dilaksanakan.
Dengan ini, maka Majlis Mesyuarat Negara ini, kita ditangguhkan ke satu masa yang belum ditetapkan tarikhnya. Insya Allah, kita akan berjumpa lagi di Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.