Langkau ke kandungan utama
For Informational Purposes Only

Source: https://www.majlis-mesyuarat.gov.bn/wp-content/uploads/2026/03/4.-Penyata-Rasmi-hari-Keempat-Ahad-15-Mac-2026.pdf

HARI KE-4 PAGI

Rumusan Bacaan

📖 Masa membaca: 94 minit
📊 Bilangan kata: 19,118 kata

15HB MAC 2026 PAGI

(Mesyuarat mula bersidang pada pukul 9.30 pagi)

Yang Mulia Jurutulis

Bismillahir Rahmanir Rahim. Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara bersidang pada hari keempat pada hari ini, Ahad, 25 Ramadan 1447 bersamaan 15 Mac 2026 dan didahului dengan Doa Selamat.

DOA SELAMAT

(Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustafa bin Haji Murat, Imam Masjid Jame' Asr Hassanil Bolkiah).

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua kita dapat bersama-sama berkumpul hadir pada pagi ini untuk bersidang bagi hari keempat dalam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara.

Selawat serta salam ke atas junjungan besar kita, Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, kaum kerabat, para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita akan memulakan persidangan hari ini dengan urusan mesyuarat seterusnya.

Yang Mulia Jurutulis

Waktu Pertanyaan bagi Jawab Lisan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya sekarang membuka ruang bagi waktu pertanyaan selama satu jam. Di hadapan kita sekarang terdapat senarai pertanyaan yang dikemukakan. Saya mulakan dengan soalan pertama dari Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, silakan.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi

Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Yang Berhormat Yang Di-Pertua, koala ingin memohon izin untuk menjawab soalan terus bersama iaitu bermula dengan soalan PL145 dan PL132 yang kedua-duanya menyentuh mengenai Industri Maritim.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Soalan 1, soalan 2?

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi

Ya.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Ya, silakan.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi

Terima kasih, Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan selamat pagi. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Terlebih dahulu terima kasih kepada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof di atas soalan yang diajukan mengenai mengembangluaskan perkhidmatan Industri Maritim. Sukacita koala bermula dengan mengongsikan beberapa projek utama yang bertujuan untuk mengembangluaskan perkhidmatan di Pelabuhan Muara dan mengembangkan peranan negara sebagai penyedia perkhidmatan pelabuhan dan pos perdagangan transshipment termasuk fungsi seperti entry port.

Untuk makluman ada di kalangan perkara akan disebutkan ini juga telah dikongsikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II ketika menyampaikan kenyataan belanjawan.

Pertama, adalah Projek Pembesaran dan Pengubahsuaian Pelabuhan Muara, Muara Port Expansion and Renovation Project, yang sedang dimajukan oleh Syarikat Muara Port Company Sendirian Berhad. Terminal Kontainer Muara yang baharu dijangka akan siap menjelang suku ketiga 2027 dan akan menggandakan kapasiti pelabuhan daripada 220 ribu TEU kepada 500 ribu TEU setahun. Ini juga termasuk pembinaan Zon Perdagangan Pelabuhan atau Port Trade Zone seluas 3.26 hektar di dalam terminal baharu itu, yang direka untuk memudahkan proses pengimportan, pengeluaran dan pengeksportan bagi perniagaan yang menggunakan pelabuhan sekali gus dengan meningkatkan kecekapan logistik dan kegiatan perdagangan.

Seterusnya adalah peningkatan hubungan pelabuhan dan kargo. Contohnya, laluan perkapalan kontena Guangxi Beibu Gulf Port dengan Muara Port. Sejak pelancaran rasmi laluan perkapalan kontena Guangxi Beibu Gulf Port ke Muara Port tersebut pada 8 Julai 2023, laluan ini berperanan sebagai asas kepada pengukuhan connectivity maritim antara Negara Brunei Darussalam dan China.

Jumlah keseluruhan throughput yang telah direkodkan bagi tahun 2025 adalah sebanyak 303 TEU. Walaupun sebahagian penghantaran masih memerlukan transit melalui pelabuhan perantara berikutan jumlah kargo yang masih berkembang, usaha penerokaan peluang kargo dan perniagaan baharu akan terus dilaksanakan bagi menyokong daya maju laluan ini dalam jangka sederhana dan panjang.

Pengendalian kargo dan kontena di Pelabuhan Muara juga terus menunjukkan perkembangan positif dengan persinggahan sulung dua syarikat perkapalan antarabangsa iaitu Shandong International Transportation Company dan Warisan Shipping Line yang telah memperluas rangkaian perkhidmatan perkapalan dan meningkatkan keterhubungan Pelabuhan Muara dengan pelabuhan-pelabuhan utama serantau dan antarabangsa termasuk China, Vietnam, Malaysia, Thailand dan Singapura.

Pengenalan perkhidmatan baharu termasuk perkhidmatan Feeder Pesisir oleh Warisan Shipping Line, ianya dijangka menyokong kelancaran rangkaian bekalan, meningkatkan kecekapan pengendalian kargo dan kontena serta menggalakkan pertumbuhan-pertumbuhan aktiviti perdagangan dan logistik negara sekali gus mengukuhkan peranan Pelabuhan Muara sebagai salah satu hub maritim yang berdaya saing terutamanya bagi kawasan BIMP-EAGA.

Pada Mei 2024, Muara Port Company juga turut berjaya mendapatkan penyewa Huahang Aluminium Sendirian Berhad yang merupakan entiti subsidiari atau rakan usaha sama dengan Guangxi Laibin Huahang Aluminium Company Limited untuk menjalankan operasi pemprosesan aluminium di gudang MPC. Projek ini yang kini menunggu kelulusan dijangka memproses sehingga 1000 TEU aluminium kitar semula setahun bagi fasa pertama. Setelah diluluskan, projek ini akan menyokong panggilan langsung dua mingguan antara Muara dan Guangzhou sekali gus mengukuhkan laluan perkapalan serta meningkatkan kapasiti pelabuhan yang menyokong perdagangan serantau.

Seiring dengan itu, Huahang Aluminium Sendirian Berhad juga telah menubuhkan kemudahan operasi termasuk Inland Container Depot di Pelabuhan Muara di bawah lesen bonded warehouses. Dengan pelaburan awal sekitar $10 juta, juga membangunkan kemudahan serta perolehan mesin dan peralatan. Pelaburan ini dijangka dapat merancakkan lagi aktiviti pelabuhan dan meningkatkan lagi pengendalian kargo.

Dalam pada itu, pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam atau Maritime and Port Authority Brunei Darussalam juga berperanan penting dalam memastikan industri maritim Brunei bukan sahaja memenuhi keperluan domestik tetapi juga memanfaatkan peluang untuk meningkatkan connectivity dan pembangunan ekonomi serantau selaras dengan pelan strategik MPABD Navigating 2030. Dengan tumpuan kepada kemajuan infrastruktur, pembangunan tenaga kerja dan kerjasama antarabangsa, Negara Brunei Darussalam berada dalam kedudukan strategik untuk menjadi salah satu daripada hub maritim yang kompetitif dalam rangkaian perdagangan serantau BIMP-EAGA dan ASEAN.

Dalam hubungan ini, penubuhan kemudahan ship-to-ship dan kawasan lay-up sedang dirancang bagi tujuan meningkatkan lagi keupayaan Negara Brunei Darussalam menjadi salah sebuah pusat perkhidmatan maritim serantau. Ship-to-ship membolehkan pemindahan kargo seperti minyak, gas atau bahan kimia antara kapal di laut. Ini mengurangkan masa dan kos berbanding dengan berlabuh di pelabuhan. Manakala kawasan lay-up pula menyediakan lokasi selamat untuk kapal yang tidak beroperasi sementara seperti semasa penyelenggaraan atau kemelesetan pasaran dengan kemudahan seperti pembersihan, pembaikan dan bekalan bahan api. Inisiatif ini akan menarik pelaburan asing, mempelbagaikan ekonomi maritim dan menyokong peningkatan connectivity logistik.

Selain itu, dari segi pengembangan perniagaan maritim dan penarikan pelabuhan, MPABD kini sedang meneroka dan menilai secara awal beberapa peluang perniagaan berkaitan aktiviti maritim dan pelabuhan melalui pelaksanaan kajian keboleh­laksanaan yang bersesuaian.

Inisiatif ini tertakluk kepada hasil kajian, kesesuaian komersil, kesiapsiagaan operasi serta kelulusan pihak berkuasa dan merangkumi antara lain zon perdagangan bebas free trade zone, kerjasama dengan syarikat-syarikat perkapalan, car depot, perkhidmatan pengurusan treler serta pengundangan perdagangan bebas melalui depot kontena pendalaman inland container depot.

Pihak MPABD juga terus menjalinkan pertalian hubungan dengan syarikat-syarikat perkapalan yang mana inisiatif ini merangkumi cadangan mekanisme insentif bagi menarik syarikat perkapalan antarabangsa termasuk penyediaan stesen kontena kosong serta aktiviti pelabuhan, penyelenggaraan dan pembaikan kontena. Kajian-kajian ini juga sedang dijalankan di antaranya adalah bagi penubuhan perkhidmatan pengurusan treler dengan mengenal pasti keperluan infrastruktur sistem digital dan sokongan operasi untuk meningkatkan kecekapan pergerakan treler, pengurusan kargo dan integrasi logistik di kawasan pelabuhan.

Akhir sekali, MPABD juga sedang giat mengenal pasti pembangunan operasi laluan-laluan strategik bagi melaksanakan peluang hubungan perniagaan dengan destinasi-destinasi yang boleh memperkukuh connectivity maritim serantau.

Seterusnya, bagi menjawab soalan daripada Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin, pelan strategik pihak Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam iaitu Navigating 2030 telah dilancarkan pada 11 Disember 2025 dan adalah merupakan pelan strategik jangka panjang sulung MPABD. Secara ringkasnya, menavigasi 2030 adalah berlandaskan lima teras utama yang akan mencorakkan masa hadapan sektor maritim kita.

Pertama, keselamatan sekuriti dan kelestarian maritim. MPABD komited untuk memperkukuh kerangka kawal selia yang moden agar sentiasa selaras dengan piawaian antarabangsa di bawah pertumbuhan Maritim Antarabangsa IMO.

Kedua, ekonomi maritim yang berdaya maju. Matlamat MPABD adalah untuk memacu kepelbagaian ekonomi negara melalui pengembangan perkhidmatan pelabuhan dan logistik yang lebih komprehensif.

Ketiga, tenaga kerja berkualiti dan kalis masa hadapan. MPABD akan melabur dalam pembangunan bakat tempatan bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu menerajui industri di masa hadapan.

Keempat, inovasi berfokuskan masa hadapan. Ini merangkumi usaha mempercepatkan transformasi digital serta penerapan teknologi tenaga hijau dan bersih dalam operasi maritim kita; dan

Kelima, kepimpinan maritim serantau. MPABD bertekad untuk memposisikan Brunei Darussalam secara strategik sebagai peneraju yang disegani dalam koridor maritim serantau.

Semua ini adalah selaras sepenuhnya dengan Wawasan Brunei 2035, Pelan Pembangunan Ekonomi Brunei Darussalam dan menyokong teras-teras yang terkandung di dalam RKN12. Alhamdulillah, setiap inisiatif projek dan program untuk meningkatkan kecekapan operasi, pertumbuhan ekonomi dan penjanaan peluang pekerjaan di bawah pelan strategik MPABD tersebut akan dilaksanakan melalui rancangan dan belanjawan pihak MPABD sendiri tanpa memerlukan peruntukan belanjawan tahunan dan RKN kerajaan ketika ini.

Bagi memastikan setiap projek dan inisiatif ini di bawah pelan strategik dapat diterjemahkan kepada peningkatan keupayaan operasi, pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan yang berimpak, MPABD melaksanakan kerangka tadbir urus dan mekanisme pemantauan yang sistematik dan berstruktur. Ini termasuk penyediaan perancangan korporat tahunan MPABD dengan diiringi peruntukan belanjawan tahunan tersendiri.

Dengan masing-masing juga menyediakan unjuran lima tahun termasuk unjuran pendapatan. Dalam hubungan ini MPABD telah memperuntukkan dalam lingkungan BND30 juta bagi belanjawan tahun 2026 yang mana 30 peratus daripadanya adalah untuk membiayai projek-projek CapEx dan OpEx bukan rutin.

Setiap inisiatif juga disokong dengan pendapatan hasil utama, key results dan petunjuk prestasi utama, KPIs yang jelas dan dipantau melalui sistem papan pemuka digital secara berpusat, Centralised Digital Dashboard. Prestasi pelaksanaan juga dibincangkan secara biweekly di peringkat pengurusan dan seterusnya dilaporkan kepada Lembaga Pengarah bagi memastikan akauntabiliti, ketelusan serta tindakan susulan yang sewajarnya yang dapat dilaksanakan sekiranya diperlukan. Insya Allah pendekatan ini dapat memastikan pelaksanaan projek kekal selaras dengan objektif nasional di bawah Wawasan Brunei 2035 dan aspirasi pembangunan yang digariskan dalam RKN12. Khususnya dalam memperkukuhkan sektor maritim sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi yang mampan, berdaya tahan dan berdaya saing di peringkat serantau.

Ke arah itu dan untuk mengakhiri kesempatan ini juga diambil untuk mengingatkan warga MPABD supaya akan dapat terus memperkukuh budaya kerja yang bersih, beretika, berintegriti dan tadbir urus yang cemerlang sepertimana juga titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara pada hari Khamis, 12 Mac 2026. Sekian saja kaola saya kongsikan. Terima kasih Yang Berhormat Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Ahli-Ahli Yang Berhormat dua pertanyaan telah dijawab oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, maka kita beralih kepada soalan yang ketiga, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi dan salam sejahtera.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Di awal kesempatan ini kaola memohonkan keizinan untuk mencantumkan dua pertanyaan yang diajukan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim mengenai dengan status perancangan untuk mengukuhkan dan menambah baik Civil Service Framework dan pertanyaan yang diajukan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof mengenai dengan status pelaksanaan Jawatankuasa Transformasi Perkhidmatan Awam, JTPA dalam menerajui pembaharuan sektor awam.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Jadi Pehin soalan empat..eh soalan tiga dan soalan empat. Silakan.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua, terlebih dahulu kaola mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim dan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof di atas pertanyaan berkenaan.

Untuk makluman Yang Berhormat-Yang Berhormat Pehin, seiring dengan keperluan semasa, usaha-usaha penambahbaikan dan pembaharuan perkhidmatan awam di bawah Civil Service Framework pada dasarnya adalah masih diteruskan dan ditambah baik. Kini usaha-usaha sedemikian untuk meningkatkan keberkesanan dan prestasi perkhidmatan awam adalah diselaraskan melalui Jawatankuasa Transformasi Perkhidmatan Awam, JTPA sebagai sebuah platform utama dalam menerajui hala tuju dan pelaksanaan transformasi sektor awam negara.

Tema-tema di bawah Civil Service Framework adalah masih kekal relevan dan selaras dengan bidang-bidang utama transformasi perkhidmatan awam, antaranya ialah penekanan terhadap perkhidmatan yang lebih seamless dan personalised, co-creation melalui pendekatan awam, engagement bersama pihak yang berkepentingan serta pembangunan dan kesejahteraan warga perkhidmatan awam yang future ready.

Berhubung status pelaksanaan Jawatankuasa Transformasi Perkhidmatan Awam, jawatankuasa telah pun menetapkan beberapa fokus ataupun bidang fokus antaranya Pertama, keperluan melihat penyampaian perkhidmatan secara menyeluruh berasaskan kitar hayat, life cycle, rakyat dan perniagaan. Kedua, menilai semula keberkesanan inisiatif sedia ada termasuk sistem penilaian prestasi dan pembangunan kepimpinan. Ketiga, mengenal pasti punca asas kelemahan dan penyampaian perkhidmatan. Keempat, menambah baik peraturan dan proses kerja termasuk mempercepatkan pendigitalan. Dan kelima, memperkukuhkan kesejahteraan dan daya tahan penjawat awam.

Pada masa ini urusetia JTPA sedang mengumpul data berkaitan keadaan semasa iaitu current state untuk mengenal pasti jurang, cabaran serta isu-isu yang merentas agensi berkaitan dengan bidang-bidang utama transformasi perkhidmatan awam yang kaola sebutkan tadi. Proses seterusnya untuk menganalisa dapatan dan melaksanakan intervensi berdasarkan keutamaan dan impak kepada orang ramai antaranya seperti persejajaran dasar merentas kementerian, penelitian peraturan, pemantapan sistem penyampaian perkhidmatan serta pemacuan pendigitalan ke arah mewujudkan ekosistem perkhidmatan awam yang mesra perniagaan dan mesra rakyat.

Dalam hal ini, Jabatan Perdana Menteri melalui Jabatan Perkhidmatan Pengurusan, MSD menyokong usaha yang diterajui oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Bahagian Ekosistem Industri dan Perniagaan, IBE bersama Kemajuan Lembaga Ekonomi Brunei, BEDB melalui inisiatif proses review ke atas proses-proses kerja sedia ada dan seterusnya mencadangkan penambahbaikan ke arah penghasilan proses end-to-end yang lebih ringkas dan cekap.

Sehubungan dengan itu, beberapa perkhidmatan berkaitan pro-business telah dikenal pasti untuk direview dan seterusnya untuk ditambah baik kepada menghasilkan penyampaian perkhidmatan berkaitan pro-business yang lebih mudah, efisien dan mesra pelanggan serta menyumbang kepada kemajuan pencapaian transformasi dalam perkhidmatan awam. Sekian saja yang dapat kaola sampaikan. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Dari sana kita beralih kepada soalan yang kelima dari Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola, saya berterima kasih kepada Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin di atas pertanyaannya ini. Sebelum menjawabnya izinkan kaola, saya menekankan satu perkara yang telah dan terus digalakkan bagi setiap warga Brunei, rakyat dan penduduk tetap untuk mendaftar melalui system e-Register, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri. Ini membolehkan kementerian dan pejabat perwakilan bagi negara yang berkenaan menghubungi mereka atau ahli-ahli keluarga di Brunei dengan cepat sekiranya berlaku kecemasan atau musibah.

Beralih kepada pertanyaan Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman pula, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri mempunyai beberapa tindakan utama untuk menangani sekiranya berlaku musibah kematian warga Negara Brunei Darussalam di luar negeri. Tindakan pertama ialah mengenal pasti dan pemberitahuan. Apabila menerima maklumat atau laporan kematian warga Brunei di luar negara, perwakilan di negara tersebut atau yang terdekat

akan mengenal pasti identiti individu yang berkenaan melalui dokumen-dokumen perjalanan seperti pasport ataupun kad pengenalan. Setelah pengesahan, perwakilan akan segera dan secepat mungkin memaklumkan kepada ibu pejabat di Brunei, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri. Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri akan mendapatkan butir-butir peribadi lanjut pula, seperti maklumat keluarga terdekat di negara ini dengan kerjasama agensi-agensi berkenaan seperti Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan seterusnya menghubungi ahli keluarga yang terdekat tersebut.

Tindakan kedua adalah bantuan dan bimbingan konsular. Pejabat Perwakilan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri akan memberikan nasihat dan bimbingan konsular kepada ahli keluarga mengenai procedure yang perlu diikuti dan syarat-syarat di negara berkenaan yang perlu dipatuhi. Ini termasuk urusan dokumentasi rasmi seperti sijil kematian, laporan hospital atau polis serta sebarang keperluan undang-undang atau peraturan di negara berkenaan.

Pejabat perwakilan juga akan membantu pengurusan jenazah termasuk urusan penghantaran balik jenazah ke Brunei atau pengurusan pengebumian di negara berkenaan tertakluklah kepada kehendak ahli keluarga. Sokongan logistik termasuk pengurusan permit, koordinasi dengan pihak berkuasa tempatan dan syarikat penerbangan juga dilaksanakan oleh pihak Pejabat Perwakilan.

Bagi memudahkan komunikasi, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Pejabat-Pejabat Perwakilan menyediakan saluran komunikasi seperti talian hotline dan emel konsular bagi membolehkan ahli keluarga mendapatkan maklumat terkini mengenai urusan berkenaan. Segala kos pengurusan adalah ditanggung oleh pihak keluarga secara terus ataupun melalui syarikat insuran yang mana insuran perjalanan tersebut diperolehi.

Ketiga, kemudahan kepada ahli keluarga. Dalam situasi tertentu tidaklah dapat dinafikan kos-kos mengurus pengebumian ataupun menghantar jenazah balik ke Brunei sangat tinggi jika tidak ada mempunyai insuran perjalanan. Dalam perkara ataupun situasi tersebut, kementerian juga boleh memudah cara urusan pembayaran secara pendahuluan, advance, mengikut syarat-syarat tertentu yang mana jumlah tersebut perlulah dibayar balik kepada kerajaan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Itu adalah tindakan-tindakan yang disediakan dalam Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri bagi membantu mana-mana pihak yang menerima musibah di luar negeri.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Izinkan juga kaola, saya menambah sedikit mengambil kesempatan untuk memaklumkan Dewan yang mulia ini serta orang ramai bahawa berikutan situasi pergolakan yang sedang berlaku di Timur Tengah pada masa ini, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri melalui Pejabat-Pejabat Perwakilannya di rantau tersebut sentiasa memantau perkembangan keselamatan dari semasa ke semasa terutamanya sekali dalam memastikan kesejahteraan semua warga Negara Brunei Darussalam yang berdaftar di Pejabat-Pejabat Perwakilan kita di rantau berkenaan.

Sehubungan itu, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri ingin menekankan pentingnya bagi warga Negara Brunei Darussalam di negara-negara terjejas khususnya yang belum berdaftar dengan Pejabat-Pejabat Perwakilan Negara Brunei Darussalam untuk berbuat demikian secepat mungkin melalui e-register di laman web Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

Seperti yang kaola saya nyatakan tadi, pendaftaran ini akan memudahkan pihak Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Pejabat-Pejabat Perwakilan untuk segera menyalurkan maklumat yang penting dan menghubungi warga Negara Brunei Darussalam sekiranyalah terjadi keadaan yang tidak menentu.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Sebelum saya mengakhiri penjelasan pertanyaan ini, kaola, saya ingin juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada kesemua pegawai dan kakitangan kita di perwakilan-perwakilan negara di Rantau Timur Tengah yang mana sentiasa memberi khidmat kepada warga Brunei dalam mana mereka sendiri pun berhadapan dengan keadaan yang tidak menentu. Semoga Allah Subhanahu Wataála seterusnya melindungi mereka dan kesemua warga Brunei yang berada di rantau tersebut. Sekian, Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Soalan yang keenam dari Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan terima kasih juga kepada Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin, dengan pertanyaannya mengenai perkembangan pelaksanaan perjanjian dan pernyataan bersama Brunei Vietnam dan bagaimana ianya dilaksanakan dari segi struktur tadbir urus. Negara Brunei Darussalam dan Republik Sosialis Vietnam terus menjalin persahabatan dan kerjasama dua hala yang erat dan mesra di pelbagai bidang berkepentingan seperti perdagangan, tenaga, pertahanan, agrimakanan dan juga akuakultur.

Keberangkatan Lawatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Republik Sosialis Vietnam pada tahun lalu membuka lembaran baru dalam hubungan comprehensive partnership di antara kedua negara. Lawatan tersebut turut menjadi pemangkin kepada pelaksanaan Plan Of Actions 2023-2027 yang menjadi rangka kerja utama dalam memperkukuhkan kerjasama dua hala di pelbagai sektor.

Dari segi perkembangan pelaksanaan, lawatan negara berkenaan menyaksikan penandatanganan beberapa MOU iaitu dalam bidang maritim, perikanan serta penubuhan hotline bagi pertukaran maklumat dalam menangani isu penangkapan ikan secara haram ataupun illegal fishing. Kerjasama ini dijangka akan menyumbang kepada pengukuhan kerjasama yang strategik, mampan dan manfaat kepada kedua buah negara.

Dari segi struktur tadbir urus, pelaksanaan perjanjian ini dan kenyataan bersama dipantau melalui pelaksanaan Plan of Actions 2023-2027 yang telah dinyatakan tadi dengan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri bertindak sebagai penyelaras utama bersama kementerian-kementerian, agensi-agensi berkepentingan mengikut bidang kerjasama masing-masing. Oleh yang demikian, pendekatan whole of government adalah amat penting bagi menyelaraskan dan merealisasikan kepentingan negara secara menyeluruh.

Pelaksanaan kerjasama ini turut melibatkan penglibatan sektor swasta sebagai contoh kerjasama sektor tenaga yang melibatkan syarikat-syarikat Viet Nam seperti Petrovietnam, Drilling and Well Services Corporation dan Hai Duong Petroleum and Marine Corporation mencerminkan peranan penting sektor swasta dalam mengukuhkan hubungan kedua-dua negara. Dari segi KPI dan garis masa, perlaksanaan kerjasama ini berpandukan sasaran yang telah digariskan di bawah Plan of Action 2023 hingga 2027 termasuk peningkatan perdagangan, peningkatan harga perdagangan dua hala dan pengukuhan kerjasama sektor strategik.

Syukur Alhamdulillah, kedua negara telah berjaya mencapai sasaran USD500 juta pada tahun 2024 iaitu setahun lebih awal daripada sasaran asalnya yang telah ditetapkan pada tahun 2025. Kejayaan ini menunjukkan perkembangan yang positif dalam hubungan ekonomi kedua negara dan diharap akan terus diperkukuh melalui kerjasama yang sedang dan akan dilaksanakan termasuk dalam bidang tenaga perdagangan serta maritim.

Secara keseluruhannya, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri akan terus memantau perkembangan perlaksanaan perjanjian dan kenyataan bersama ini melalui kerjasama rapat dengan agensi-agensi berkepentingan. Kementerian juga akan bersedia untuk memberikan sokongan melalui pejabat-pejabat perwakilan Negara Brunei Darussalam di luar negeri khususnya di Viet Nam bagi memastikan objektif kerjasama yang telah dipersetujui dapat direalisasikan dengan berkesan. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Soalan seterusnya, Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Kaola terlebih dahulu mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin di atas pertanyaan mengenai pencapaian kerjasama ekonomi di antara Negara Brunei Darussalam dengan Sabah dan Sarawak.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, hubungan ekonomi di antara Negara Brunei Darussalam dengan Sabah dan Sarawak terus berkembang merangkumi berbagai bidang seperti perdagangan dan pelancongan. Pengukuhan hubungan dua hala ini antaranya telah dipacu oleh Perundingan Tahunan kedua-dua kerajaan ataupun Annual Leaders Consultation iaitu mekanisme dua hala tertinggi dipengerusikan bersama oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan yang menjadi wadah penting bagi kedua negara untuk menilai kemajuan kerjasama yang sedia ada dan menerokai potensi usahasama di bidang-bidang baharu.

Selain daripada mekanisma Annual Leaders Consultation, Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei, STATOB turut memainkan peranan sebagai pemangkin strategik dalam mengukuhkan hubungan dua hala dan menghubungkan para perniaga dan pihak industri tempatan dan Sarawak.

Alhamdulillah, pada tahun 2025 jumlah eksport di antara Negara Brunei Darussalam dengan Sabah mencatatkan sebanyak BND1.95 juta dan import berjumlah BND2.01 juta. Manakala jumlah eksport dengan Sarawak pula mencatatkan sebanyak BND18.26 juta dan jumlah import pula berjumlah sebanyak BND1.47 juta. Data ini mencerminkan kualiti dan daya saing produk tempatan di pasaran jiran.

Pihak Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta agensi-agensi seperti Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei, BEDB terus komited untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi rentas sempadan bersama Sabah dan Sarawak melalui pendekatan yang lebih strategik. Usaha tertumpu kepada pengukuhan rantaian nilai yang dapat memberi impak ekonomi secara langsung kepada rakyat dan negara. Antara lainnya melalui:

Pertama, mengukuhkan potensi PMKS dan akses pasaran. Dalam hal ini, satu market exploratory visit ke Kuching telah dilaksanakan pada bulan Februari yang lalu terdiri oleh 31 ahli perniagaan yang mewakili 18 buah syarikat tempatan daripada sektor makanan dan minuman, agri-teknologi, ICT dan technological solution serta perkhidmatan campuran. Di samping itu, sebanyak 10 perusahaan tempatan telah menyertai Expo Big Sabah Sale 2025 yang telah berlangsung pada 31 Oktober hingga 2 November 2025 di Kota Kinabalu. Penyertaan ini disusuli oleh sesi Hosted Buyer pada bulan Januari yang lalu, dimana kita telah berjaya menghubungkan perusahaan tempatan dengan pembeli dari Sabah. Selain daripada memperkukuh hubungan perdagangan, inisiatif ini adalah langkah strategik untuk meningkatkan akses pasaran bagi produk tempatan Brunei ke pasaran Sabah.

Kedua, projek strategik dan kesalinghubungan sub-serantau. Bagi menjamin pertumbuhan ekonomi yang mampan, fokus kementerian juga tertumpu kepada projek berimpak tinggi yang memberikan manfaat bersama termasuk projek Sarawak Brunei Interkoneksi yang dijangka akan membuka peluang perdagangan kuasa elektrik dua hala serta meningkatkan keselamatan tenaga sub-serantau dengan menyediakan sumber bekalan yang lebih stabil dan berdaya tahan.

Di bawah platform BIMP-EAGA dimana beberapa inisiatif telah pun dikenal pasti antara lain Pembangunan West Economic Corridor yang melibatkan Brunei, Sabah dan Sarawak yang bertujuan untuk meningkatkan kesalinghubungan, membuka peluang perdagangan dan pelaburan dan juga menyokong pertumbuhan di sektor-sektor lojistik, pembangunan urban dan pertanian modern. Inisiatif untuk mereviu Memorandum Persefahaman, MOU di dalam sektor pengangkutan bagi memastikan ianya kekal relevan dan dapat menyumbang kepada peningkatan kerjasama pelaburan, perdagangan dan pelancongan di kawasan sub-serantau ini.

Selain itu, beberapa projek diterajui oleh sektor swasta tempatan juga telah berjaya dilaksanakan melalui penandatanganan MOU di antara perusahaan-perusahaan tempatan dengan rakan perusahaan-perusahaan di Sabah dan Sarawak. Antara lainnya di sektor-sektor agribusiness dan pengangkutan.

Sekian sahaja yang dikongsikan. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Seterusnya soalan, Yang Berhormat Awang Haji Md Salleh bin Haji Othman yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Kaola terlebih dahulu mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman di atas pertanyaan mengenai usaha Jabatan Perdana Menteri dalam memastikan inisiatif pendigitalan kerajaan akan dapat menyumbang secara langsung kepada pencapaian sasaran Wawasan Brunei 2035.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Majlis Ekonomi Digital ataupun Digital Economy Council sekarang dinamakan sebagai Majlis Digital Brunei, Digital Brunei Council, berperanan dalam menyediakan hala tuju dan pelaksanaan inisiatif digital dalam menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah smart nation.

Selaras dengan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025, Jabatan Perdana Menteri telah menyediakan pelan transformasi digital Jabatan Perdana Menteri 2021-2025 yang bertujuan untuk mentransformasi pengurusan Kerajaan dengan memanfaatkan teknologi digital bagi meningkatkan pencapaian, penyampaian perkhidmatan, memperbaiki kecekapan dan mewujudkan langkah kerja tadbir urus yang lebih dinamik dan responsif selaras dengan hala tuju negara ke arah Wawasan Brunei 2035. Pelaksanaan Pelan Transformasi Digital Jabatan Perdana Menteri 2021-2025 menumpukan kepada beberapa aspek berikut. Pertama, Pemodenan penyampaian perkhidmatan Kerajaan. Kedua, Integrasi sistem antara agensi serta perkongsian data. Dan ketiga, Peningkatan Kemahiran penjawat awam dalam penggunaan teknologi.

Antara contoh sistem dan inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk pemerkasaan Sistem Sumber Manusia, SSM oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, JPA bagi memperkukuhkan pengurusan sumber manusia serta platform pemedulian oleh Jabatan Perkhidmatan Pengurusan, MSD bagi menyokong kualiti penyampaian perkhidmatan mengikut keperluan masyarakat. Bagi memastikan pelan transformasi digital, Jabatan Perdana Menteri sentiasa terkini dan mengekalkan tumpuan kepada penambahbaikan operasi organisasi, produktiviti, penyampaian perkhidmatan selaras jua dengan kemajuan dan perkembangan teknologi semasa.

Jabatan Perdana Menteri melalui Pejabat Teknologi Maklumat dan Inovasi telah mengadakan bengkel penyelarasan strategik untuk merangka pelan transformasi digital seterusnya bagi tempoh 2026-2030 dengan tumpuan kepada pengukuhan pengurusan data secara berpusat dan berkualiti.

Peningkatan kompetensi digital penjawat awam, integrasi perkhidmatan secara menyeluruh dan meneroka teknologi baharu termasuk Artificial Intelligence secara bertanggungjawab dan beretika. Pelan transformasi digital Jabatan Perdana Menteri 2026-2030 seterusnya akan diselaraskan dengan Digital Brunei Transformation Plan yang sedang disediakan di bawah Majlis Digital Brunei.

Sekian saja yang dapat kaola sampaikan. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Soalan Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Memandangkan soalan PL117 yang ada berhubung kait dengan soalan PL118 yang juga diajukan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin mengenai dasar monetari, izinkan kaola untuk menjawab kedua-dua soalan tersebut pada masa yang sama iaitu soalan yang kesembilan dan sepuluh pada hari ini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

sembilan dan sepuluh?

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

Kaola. Maaf.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Silakan.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan juga kepada Ahli Yang Berhormat bagi soalan-soalan yang telah dikemukakan.

Penetapan nilai mata wang Negara Brunei Darussalam kepada Dolar Singapura adalah berasaskan rangka dasar monetari negara ini yang terdiri daripada dua komponen utama iaitu Lembaga Mata Wang ataupun Currency Board Arrangement, CBA dan kedua perjanjian kesaling boleh tukaran mata wang ataupun Currency Interchangeability Agreement, CIA di antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura yang telah berkuatkuasa sejak 12 haribulan Jun 1967.

Dasar ini kekal menjadi salah satu asas penting dalam memastikan kestabilan monetari negara. Dari perspektif jangka panjang, dasar-dasar CBA dan CIA tersebut masih relevan memandangkan objektif utamanya adalah untuk mengekalkan kestabilan nilai mata wang serta memperkukuhkan keyakinan pasaran melalui penetapan kadar satu ke satu antara Dolar Brunei dan Dolar Singapura.

Perjanjian ini telah menyediakan asas kestabilan yang konsisten khususnya bagi sebuah ekonomi kecil dan terbuka seperti Negara Brunei Darussalam. Kestabilan kadar pertukaran ini turut menyokong aktiviti-aktiviti perdagangan dan pelaburan dua hala secara lancar dengan mengurangkan risiko pertukaran asing dengan urus niaga rentas sempadan terutamanya dengan Singapura sebagai rakan dagang utama. Perjanjian ini membantu meningkatkan keyakinan pelabur serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Dari segi kestabilan harga domestik, dasar monetari negara ini juga telah membantu mengekalkan kadar inflasi yang rendah dan stabil di jangka masa panjang. Secara pro rata kadar inflasi Negara Brunei Darussalam adalah rendah dan terkawal iaitu di bawah 1 peratus tahun ke tahun bagi tempoh 1986 hingga 2025 dan sekaligus membantu memelihara kuasa beli pengguna dan kesejahteraan isi rumah.

Selain itu, sebagai sebuah ekonomi yang mengimport sebahagian besar barangan dan perkhidmatan dari pasaran luar, adanya kestabilan dan kekukuhan mata wang merupakan faktor penting dalam memastikan keupayaan pembayaran luar negara serta bagi mengurangkan tekanan kos import. Dasar ini diperkukuh lagi dengan subsidi dan kawalan harga pentadbiran yang mana turut membantu dalam menstabilkan harga domestik.

Strategi ini seterusnya meningkatkan keyakinan kepada pengguna, memperkukuh kedayatahanan ekonomi dan membantu memastikan kos barangan keperluan termasuk makanan dapat dikawalkan pada tahap yang terkawal dan mampan demi kesejahteraan rakyat.

Walaupun terdapat perbezaan dari segi struktur dan had tahap daya saing ekonomi di antara kedua-dua negara, pelaksanaan CBA dan CIA telah terbukti berfungsi sebagai mekanisme yang menyokong kestabilan monetari dan kedayatahanan ekonomi negara. Kestabilan ini menjadi asas penting dalam usaha mempelbagaikan ekonomi serta memperkukuhkan pertumbuhan jangka panjang. Secara keseluruhannya, selagi perjanjian ini terus menyumbang kepada kestabilan harga, keyakinan pelabur dan kelancaran perdagangan, dasar polisi Negara Brunei Darussalam adalah kekal relevan dalam menyokong kepentingan ekonomi untuk jangka panjang. Sekian terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Soalan seterusnya dari Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Kaola terlebih dahulu mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin di atas pertanyaan mengenai usaha Kerajaan dalam menggariskan perdanakan pekerjaan gig dan kerja sambilan termasuk aspek pelindungan sosial, penyediaan platform digital serta ruang kerja mampu milik.

Tren pekerjaan gig ataupun gig economy dan kerja sambilan semakin pesat berkembang di seluruh dunia dan tidak terkecuali di Negara Brunei Darussalam. Seiring dengan perkembangan teknologi digital dan keperluan pendapatan tambahan, pekerjaan gig dan kerja sambilan di negara ini tertumpu kepada perkhidmatan penghantaran ataupun runner, peniagaan kecil online dan freelance digital walaupun masih kecil berbanding negara besar. Gig ekonomi di negara ini semakin penting sebagai sumber pendapatan tambahan terutama bagi golongan belia. Selaras dengan perkembangan ini, kerajaan prihatin dalam memastikan sektor ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan sambilan tetapi juga menyediakan perlindungan dan ekosistem yang kondusif kepada para pekerja. Usaha kerajaan dalam menggaris perdanakan pekerjaan gig dan kerja sambilan melibatkan beberapa inisiatif dasar dengan pendekatan melalui tiga aspek utama berikut:

Pertama, Dasar perlindungan sosial bagi memastikan kebajikan pekerja tidak terabai. Kerajaan memperkenalkan Akta Perintah Pekerjaan Penggal 278 yang melindungi hak pekerja termasuk pekerja sambilan dengan menetapkan hak pekerja tanggungjawab majikan, syarat pekerjaan dan kebajikan pekerja termasuk memastikan pekerja dilindungi daripada unduly low pay melalui pelaksanaan perintah pekerjaan ataupun upah minimum. Di samping itu bagi memastikan kesejahteraan pekerja di hari persaraan, Skim Persaraan Kebangsaan ataupun SPK telah diperkenalkan dan diwajibkan bagi semua pekerja tempatan di sektor formal termasuk pekerja sambilan. Bagi pekerja gig, caruman kepada SPK adalah secara sukarela sepertimana yang dipraktikkan di negara-negara lain.

Kedua, Penyediaan Platform Digital Kebangsaan. Pusat Pekerjaan Brunei, Jabatan Perdana Menteri menyediakan perkhidmatan pemadanan bagi pekerjaan sambilan melalui online portal. Selain itu berbagai inisiatif jua diadakan oleh agensi-agensi lain seperti hub belia yang menyediakan platform bagi memberikan peluang perkhidmatan yang boleh dimanfaatkan oleh pekerja gig. Pada masa yang sama pihak kerajaan secara berterusan menggalakkan sektor swasta sebagai rakan strategik yang penting untuk menyediakan platform digital bagi pekerja gig. Beberapa platform telah diwujudkan di negara ini, melalui pendekatan komersial seperti platform Dart dan GoMamam.

Dan ketiga, Ruang Kerja Mampu Milik. Pendekatan komersial juga telah diambil dalam penyediaan ruang kerja mampu milik termasuk ruang kerja bersama ataupun co-working spaces. Selaras dengan hasrat untuk memperkukuh dan memperkasa pertumbuhan sektor swasta, pihak kerajaan menghargai syarikat-syarikat yang telah menerajui inisiatif penyediaan co-working spaces dan akan terus menggalakkan serta mendukung usaha seumpamanya.

Sekian sahaja yang dapat kaola sampaikan. Terima kasih Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Soalan seterusnya.

Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin

(Menaikkan tangan) Yang Berhormat Yang Di-Pertua, mohon kebenaran untuk membuat clarification. Terima kasih Yang Di-Pertua.

Mohon keterangan apabila dikatakan memperkenalkan adakah pekerjaan gig tempatan akan diambil sebagai formal employment kerana dengan menyatakan qualification sebagai formal employment, permohonan untuk loan bank akan dapat dibantu. Sebab sekarang, kerana ia informal employment, tidak ada bank yang mahu membantu memberi loan untuk memajukan bisnes mereka. Mohon keterangan.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan terima kasih dengan soalan dari Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin mengenai pekerja gig sama ada dikekalkan sebagai permanent staff. Jadi, ini memang digalakkan tertakluk kepada majikan masing-masing. Terima kasih.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Kaola terlebih dahulu mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin di atas pertanyaan mengenai isu jawatan-jawatan strategik yang dipangku secara berpanjangan dan pengambilan semula pesara secara berkontrak.

Untuk makluman Yang Berhormat, keberkesanan rancangan penggantian succession planning serta usaha pembangunan kapasiti sering dibincangkan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Adalah difahamkan bahawa antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya isu memangku berpanjangan bagi jawatan-jawatan dalam Bahagian satu adalah:

Pertama, syarat kelayakan untuk menjawat jawatan yang dipangku belum menepati iaitu termasuklah dari segi tempoh perkhidmatan, gred prestasi, akreditasi profesional dan kompetensi-kompetensi yang diperlukan adalah pertama, keterlibatan dalam isu atau tapisan audit yang belum selesai. Kedua, senarai projek yang tidak strategik dan setaraf dengan jawatan yang akan dipegang. Ketiga, proses penstrukturan organisasi kementerian yang menjejaskan jawatan-jawatan yang sedia ada dan perancangan serta keperluan tenaga manusia di setiap tanggagaji. Dan keempat, tiada calon bersesuaian yang mengisikan jawatan tersebut termasuk melalui pengiklanan.

Kedua, dalam menangani isu pengisian jawatan-jawatan dalam Bahagian satu, usaha-usaha telah diambil melalui pengemaskinian peraturan dan syarat yang berkaitan. Berikutan pengemaskinian ini ianya telah menunjukkan kesan positif di mana sebanyak 82 jawatan telah diisikan sejak Oktober 2020 hingga Disember 2025.

Ketiga, iaitu bagi pegawai-pegawai yang memangku jawatan berkenaan dalam tempoh sekurang-kurangnya satu tahun. Manakala seramai 103 orang pegawai yang sebelum ini belum dapat disokong kerana belum memenuhi syarat lulus dua kertas kerja telah dapat dipertimbangkan untuk mengisikan jawatan-jawatan yang berkenaan.

Keempat sebagai usaha tambahan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sering mengadakan perjumpaan secara bilateral dengan kementerian-kementerian berkenaan, termasuklah dari sudut keupayaan dalam penyediaan senarai projek yang strategik serta pensyaratan-pensyaratan teras lain.

Kelima dalam perkara berkaitan, pengambilan semula pesara secara berkontrak jumlahnya tidaklah begitu banyak yang mana tertakluk kepada keperluan sebenar berdasarkan pengetahuan kompetensi dan pengalaman yang tertentu bagi memastikan kesinambungan tugasan yang diperlukan.

Jumlah pegawai berkontrak, tempatan dan asing, tidak termasuk daripada institusi pengajian tinggi awam IPTA adalah seramai 652 orang. Daripada jumlah tersebut hanya 56 orang terdiri daripada bekas pesara tempatan yang mengisikan jawatan Bahagian 1 yang mana merangkumi tenaga pakar dan profesional seperti bidang kedoktoran dan pegawai-pegawai kanan seperti Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap dan Ketua Jabatan.

Dalam hal ini, bagi memastikan proses pengisian jawatan dapat dilaksanakan secara terancang dan tempoh memangku bagi jawatan-jawatan berkenaan tidak berpanjangan, kementerian dan jabatan masing-masing hendaklah memainkan peranan penting dalam menghadapkan sokongan kenaikan pangkat yang lengkap, kukuh dan berasaskan merit bagi pegawai-pegawai kanan yang dianggap layak untuk mengisikan jawatan-jawatan kosong yang berkenaan. Kementerian, jabatan juga perlulah meneliti rancangan penggantian succession planning yang lebih holistik, sekurang-kurangnya 5 tahun sebelum pegawai dalam jawatan-jawatan strategik tersebut bersara.

Sekian yang dapat kaola sampaikan Yang Berhormat Yang Di-Pertua terima kasih.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih Ahli-Ahli Yang Berhormat. Nampaknya waktu yang telah kita peruntukkan bagi Pertanyaan sudah selesai, maka sekarang kita beralih pula kepada Urusan Mesyuarat seterusnya. Silakan.

Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin

(Menaikkan tangan) Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Satu clarification question saja Yang Berhormat, adakah masa terhad untuk memangku sesuatu jawatan yang sebabnya ada yang memangku itu sampai sudah dorang retired masih lagi memangku?

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II

I think seperti yang diperjelaskan iaitu tertakluk kepada kementerian-kementerian dalam penyediaan succession planning ini untuk mengelakkan seperti yang diingaukan oleh Yang Berhormat itu, dan seboleh-bolehnya dalam pendekatan baharu ini, perkara ini akan dapat diatasi insya Allah terima kasih.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih. Sekarang kita beralih kepada Urusan Mesyuarat seterusnya.

Yang Mulia Jurutulis

Rang Undang-Undang dan Usul Ketetapan Kumpulan Wang Kemajuan. Perbahasan Peringkat Dasar.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Pada hari Sabtu semalam, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II telah mengemukakan kenyataan belanjawan bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2026/2027 dan Usul Ketetapan Kumpulan Wang Kemajuan 2026/2027.

Sekarang saya akan membuka ruang bagi perbahasan peringkat dasar dimulakan dengan menjemput Ahli-Ahli Yang Berhormat Yang Dilantik. Saya ingin menarik perhatian Ahli-Ahli Yang Berhormat kepada Peraturan Mesyuarat yang mana perbahasan di peringkat ini perlu berhubungkait dengan dasar dan isu kandungan kenyataan belanjawan. Had masa bagi setiap Ahli Yang Berhormat Yang Dilantik adalah selama 15 minit seorang, maka sekarang saya ingin menjemput Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin.

Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. (Doa dibaca).

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Kaola ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana peluang yang diberikan untuk kaola ikut serta membahaskan Rang Undang-Undang (2026) Perbekalan, 2026/2027 bagi Tahun Kewangan 2026/2027. Kaola juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II atas pembentangan yang menyeluruh dan komprehensif.

Alhamdulillah, kaola dan yang pastinya Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain berasa syukur atas peruntukan belanjawan negara bagi Tahun Kewangan 2026/2027 yang berjumlah sekitar BND6.3 bilion termasuk peruntukan kemajuan sebanyak BND480 juta bagi menyokong pelaksanaan projek-projek pembangunan negara.

Walau bagaimanapun, negara juga dijangka menghadapi peningkatan deficit belanjawan. Satu keadaan yang perlu diberi perhatian bagi memastikan pengurusan kewangan negara terus dilaksanakan secara berhemah dan berdisiplin. Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu serta perkembangan geopolitik yang memberi kesan kepada kestabilan ekonomi dunia, pengurusan fiskal yang berhati-hati serta penggunaan sumber kewangan secara cekap menjadi semakin penting.

Oleh itu, belanjawan ini tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai peruntukan tahunan, tetapi sebagai instrument dasar yang penting dalam memastikan hala tuju pembangunan negara terus bergerak selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035. Namun perkembangan yang amat menggalakkan ialah 18 projek tambahan Pelaburan Langsung Asing, FDI dengan nilai pelaburan yang dijangka mewujudkan sekitar 3,000 peluang pekerjaan. Peruntukan ini tentunya akan memberi pelbagai manfaat kepada rakyat serta menyokong usaha pembangunan negara. Usaha memperkukuh ekonomi negara bukan semata-mata tanggungjawab kerajaan, ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuk sektor swasta dan seluruh rakyat melalui pendekatan whole of nation.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Negara kita telah menyediakan beberapa kerangka pembangunan utama seperti Manpower Blueprint, Social Blueprint dan Economic Blueprint sebagai panduan kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara. Namun pada masa yang sama, perkara yang lebih penting bukan hanya merangka pelan dan strategi, yang lebih utama ialah memastikan setiap dasar dan inisiatif yang telah dirancang benar-benar dapat dilaksanakan dengan baik dan memberi manfaat yang dapat dirasakan oleh rakyat. Rakyat berharap agar setiap perancangan pembangunan ini bukan sekadar menjadi dokumen, tetapi diterjemahkan kepada peluang pekerjaan yang lebih baik, peningkatan ekonomi serta kesejahteraan hidup masyarakat secara keseluruhannya.

Sehubungan itu adalah penting agar setiap pelan dan strategi pembangunan ini dinilai secara berkala bagi melihat sejauh mana kemajuan yang telah dicapai. Penilaian ini juga penting untuk mengenal pasti perkara-perkara yang masih memerlukan penambahbaikan supaya usaha pembangunan negara dapat terus diperkukuh demi kepentingan rakyat dan negara. Oleh yang demikian, penyelaras antara belanjawan negara, pelaksanaan Rancangan Kemajuan Negara, RKN serta keutamaan sektor-sektor ekonomi perlu terus diperkukuhkan supaya setiap peruntukan yang disediakan dapat memberi pulangan pembangunan yang optimum.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola beralih pada peruntukan bangunan di bawah Rancangan Kemajuan Negara, RKN12. Kaola mengambil maklum bahawa terdapat peruntukan pembangunan sekitar BND480 juta untuk tahun kewangan berkenaan meliputi ratusan projek pembangunan.

Apabila kita meneliti kedudukan kewangan negara, anggaran hasil negara juga menunjukkan trend yang lebih rendah berbanding tahun sebelumnya. Perkembangan ini mengingatkan kita bahawa pengukuhan asas ekonomi negara serta usaha mempelbagaikan sumber hasil bukanlah satu pilihan tetapi satu keperluan yang mesti dipertingkatkan supaya pembangunan negara dapat terus disokong secara mampan.

Pengajaran dari pelaksanaan RKN11 juga wajar terus diambil kira dalam pelaksanaan RKN12 supaya kelemahan yang dikenal pasti sebelum ini dapat diperbaiki dan tidak berulang. Walaupun dalam keadaan peruntukan yang terhad tetapi keperluan rakyat yang semakin meningkat, kaola ingin menekankan bahawa aspek pengurusan projek perlu diberikan perhatian yang lebih serius. Dengan jumlah projek pembangunan yang besar di bawah RKN, disiplin dalam pengurusan projek menjadi faktor yang sangat penting bagi memastikan setiap projek benar-benar memberikan hasil kepada rakyat.

Dalam hal ini, mekanisma pemantauan projek mesti diperkukuhkan dengan pendekatan yang lebih sistematik. Pertama, kemajuan projek perlu dipantau secara berkala. Contohnya setiap suku tahun. Di peringkat kebangsaan dan bukan hanya di peringkat kementerian. Pendekatan ini penting supaya kedudukan sebenar pelaksanaan projek dapat dinilai secara menyeluruh dan sebarang isu dapat dikenal pasti lebih awal.

Kedua, perlu ada sistem early warning bagi mengesan lebih awal tanda-tanda kelewatan projek, peningkatan kos ataupun perubahan skop pelaksanaan. Dengan adanya mekanisme ini, tindakan pembetulan dapat diambil dengan lebih cepat sebelum masalah tersebut menjadi lebih besar dan merugikan kerajaan. Dan ketiga, sekiranya terdapat projek yang kurang berdaya maju atau tidak lagi memberi manfaat yang optimum maka adalah penting untuk menilai semula keutamaannya. Dalam keadaan sumber yang terhad, kita perlu berani membuat penjajaran semula keutamaan supaya peruntukan permohonan dapat dialihkan kepada projek-projek yang mempunyai impak yang lebih tinggi kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Dalam konteks ini, sekretariat RKN bersama projek awam yang terlibat secara langsung dengan projek pembangunan perlu diperkasakan khususnya melalui pengukuhan kemahiran pengurusan projek, project management skill, agar penyelarasan dan pemantauan pelaksanaan projek dapat dilaksanakan secara lebih cekap dan sistematik. Kaola menekankan perkara ini kerana peruntukan pembangunan ini bukan sekadar perbelanjaan kerajaan semata-mata, ia adalah pelaburan negara dan setiap projek yang dilaksanakan perlu benar-benar memberi nilai dan manfaat yang jelas kepada rakyat.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola juga ingin menyentuh perubahan iklim yang mana kelestarian dan peralihan tenaga bukan lagi isu sampingan, bahkan ianya semakin menjadi sebagai faktor daya saing ekonomi. Negara kita mempunyai kelebihan tersendiri dalam hal ini melalui kekayaan hutan semula jadi serta komitmen yang tinggi terhadap pemeliharaan alam sekitar. Aset semula jadi ini bukan saja menyumbang usaha mitigasi perubahan iklim tapi juga berpotensi menjadi asas kepada pembangunan ekonomi negara melalui penyelesaian berdasarkan alam semula jadi.

Dalam hal ini, kaola ingin melihat peluang negara sebagai pusat kerjasama perubahan iklim di rantau ini dimanfaatkan secara lebih fokus. Bukan hanya sebagai reputasi tetapi sebagai platform yang melahirkan projek, pelaburan, pekerjaan baharu dan pemindahan teknologi. Soalan kaola, apakah projek-projek ekonomi hijau yang benar-benar tersedia untuk ditawarkan kepada pelabur? dan apakah mekanisme koordinasi rentas agensi untuk memastikan pelaksanaannya pantas dan konsisten? Seperti yang telah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai potensi negara untuk memainkan peranan dalam kerjasama perubahan iklim di peringkat ASEAN. Peluang ini boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam penyelidikan serta pembangunan ekonomi mampan. Di samping itu, kestabilan negara, kedudukan geografi serta penggunaan bahasa Inggeris yang meluas juga merupakan antara faktor yang boleh menyokong usaha menarik kerjasama ekonomi dan pelaburan antarabangsa.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan Dasar Negara, transformasi budaya kerja dalam perkhidmatan awam juga merupakan faktor yang sangat penting. Budaya kerja yang meningkatkan produktiviti, akauntabiliti dan integriti serta pencapaian hasil perlu terus diperkukuhkan supaya setiap dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Pada masa yang sama, keterbukaan untuk menerima pandangan dan maklum balas dari pelbagai pihak termasuk rakyat juga adalah penting dalam memastikan dasar-dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Akhirnya, Kaola ingin menyentuh realiti sosial rakyat. Kekuatan ekonomi bukan hanya dinilai pada kadar pertumbuhan tetapi pada sejauh manakah manfaat pembangunan dirasai secara adil. Jika jurang pendapatan melebar, Gini Coefficient, tekanan kos sara hidup meningkat dan peluang pekerjaan yang berpendapatan wajar tidak mencukupi maka ia akan mencetus kesan berantai, chained-effect, peningkatan permohonan bantuan, tekanan rumah tangga dan risiko sosial yang lain.

Kaola menekankan kepentingan memperkukuh perlindungan sosial termasuk sokongan kepada keluarga yang terjejas khususnya wanita dan kanak-kanak. Dalam era digital, ancaman baharu seperti eksploitasi dalam talian, penyalahgunaan teknologi dan bentuk penderaan yang baru memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh dari segi perundangan, penguatkuasaan koordinasi agensi serta kesedaran masyarakat.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Kesimpulannya, kaola menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan ini. Pada masa yang sama, sokongan ini datang bersama satu harapan tegas supaya setiap peruntukan digunakan dengan berhemah, diurus dengan integriti dan dilaksanakan dengan budaya kerja yang benar-benar berorientasikan hasil. Mudah-mudahan dengan usaha bersepadu mahupun kerajaan atau sektor swasta dan seluruh rakyat negara dari semua peringkat akan terus mampu melangkah ke hadapan untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035 demi masa hadapan yang lebih makmur dan sejahtera, insya Allah. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya persilakan Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed.

Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang kaola, saya hormati sekalian. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Terlebih dulu, kaola merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memberikan peluang kepada kaola sebagai wakil daerah untuk turut serta dalam membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun Kewangan 2026/2027 serta usul ketetapan kumpulanwang kemajuan yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.

Pada kesempatan ini juga, kaola ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Dato Menteri di atas pembentangan belanjawan yang begitu menyeluruh dan memberikan gambaran yang jelas mengenai hala tuju pembangunan negara dalam tempoh yang akan datang.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, daripada pembentangan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, kaola mengambil maklum bahawa belanjawan Tahun Kewangan 2026/2027 ini merupakan daripada perancangan fiskal bagi tempoh 5 tahun terakhir menuju Wawasan Brunei 2035 dengan tema “Bersama Menjayakan Wawasan Brunei 2035”. Pada pandangan kaola perkara ini memberikan satu peringatan penting bahawa tempoh masa yang kita lalui sekarang merupakan tempoh yang sangat kritikal dalam menentukan sejauh mana matlamat Wawasan Brunei 2035 dapat direalisasikan. Apa yang juga jelas daripada pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan petang semalam ialah bahawa kerajaan terus memberi penekanan kepada pengukuhan asas ekonomi negara. Peningkatan kesejahteraan rakyat serta pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan awam sebagai pemacu utama pembangunan negara.

Sebagai wakil daerah, kaola melihat pendekatan ini amat penting kerana pembangunan negara pada akhirnya akan diukur bukan saja melalui angka pertumbuhan ekonomi tetapi juga melalui sejauh mana rakyat di peringkat masyarakat dapat menikmati manfaat pembangunan tersebut.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, dalam pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan juga telah ditegaskan bahawa usaha memperbagaikan ekonomi negara akan terus diperkukuh melalui pelaburan strategik serta pembangunan sektor-sektor yang mempunyai potensi untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Pada pandangan kaola, usaha ini sangat signifikan kerana keadaan ekonomi global yang tidak menentu, negara perlu terus memastikan bahawa asas ekonominya sentiasa kukuh dan berdaya tahan. Namun pada masa yang sama, usaha pembangunan ekonomi ini juga perlu memastikan bahawa manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat secara lebih meluas termasuk di kawasan-kawasan penempatan dan daerah-daerah di seluruh negara.

Kaola sering mendengar harapan masyarakat supaya pembangunan negara bukan sahaja tertumpu kepada pusat-pusat ekonomi tertentu tetapi turut memberikan peluang kepada masyarakat di pelbagai kawasan untuk turut serta dalam aktiviti ekonomi negara. Selain daripada itu, kaola juga mengambil maklum bahawa Rang Undang-Undang Perbekalan tahun ini memberikan penekanan kepada kepentingan penyediaan kemudahan asas dan infrastruktur yang berkualiti sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat. Perkara ini sangat penting kerana kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, tenaga dan kemudahan awam merupakan antara faktor utama yang menyokong kesejahteraan hidup masyarakat.

Sebagai wakil daerah, kaola melihat secara langsung bahawa kemudahan seperti ini memainkan peranan yang besar dalam memastikan kehidupan masyarakat di kawasan-kawasan penempatan dapat berjalan dengan lebih selesa dan teratur. Dalam hubungan ini kaola mengambil maklum bahawa melalui peruntukan wang kemajuan, Kerajaan telah merancang pelbagai projek pembangunan yang bertujuan meningkatkan kemudahan kepada rakyat.

Sebagai contoh, Projek Perumahan Negara Kampong Tanah Jambu Fasa 7 yang sedang dilaksanakan akan menyediakan lebih banyak peluang kepada rakyat untuk memiliki tempat kediaman sendiri. Pada pandangan kaola, penyediaan perumahan seperti ini amat penting kerana rumah merupakan antara keperluan asas yang sangat signifikan dalam kehidupan rakyat. Dengan adanya peluang untuk memiliki tempat kediaman sendiri, ia bukan saja memberikan keselesaan kepada keluarga bahkan turut membantu membentuk komuniti yang lebih stabil dan harmoni.

Di samping itu, kaola juga mengambil maklum mengenai pembinaan masjid baru di RPN Kampung Rimba, RPN Kampong Lumut dan RPN Kampung Lugu yang akan memberikan kemudahan ibadat yang lebih selesa kepada penduduk di kawasan-kawasan tersebut. Bagi masyarakat setempat, masjid bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadat dan penyebaran Syiar Islam tetapi juga menjadi pusat kegiatan masyarakat yang memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan hubungan silaturrahim serta nilai-nilai kemasyarakatan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, selain daripada projek-projek yang berkaitan dengan kesejahteraan masyarakat, kaola juga mengambil maklum bahawa pembentangan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II turut menyebut beberapa projek infrastruktur yang bertujuan menyokong perkembangan ekonomi negara.

Antaranya ialah projek pembinaan jejambat di persimpangan Lebuhraya Muara Tutong di kawasan Perindustrian Tanjung Kajar. Pada pandangan kaola, projek seperti ini amat penting kerana infrastruktur jalan raya yang baik bukan saja memudahkan pergerakan orang ramai bahkan turut memainkan peranan besar dalam menyokong perkembangan aktiviti ekonomi dan perusahaan. Dalam masa yang sama kaola juga mengambil maklum mengenai projek menaiktaraf sistem bekalan air termasuk penggantian paip-paip serta penambahbaikan loji rawatan air bagi meningkatkan akses kepada bekalan air bersih. Kemudahan seperti ini sangat signifikan kerana bekalan air bersih merupakan antara keperluan asas yang memberi kesan secara langsung kepada kesejahteraan kehidupan masyarakat.

Secara keseluruhannya kaola melihat bahawa Rang Undang-Undang Perbekalan serta projek-projek pembangunan yang dirancang melalui Kumpulan Wang Kemajuan ini menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan untuk memastikan pembangunan negara terus bergerak kehadapan. Kaola amat berharap agar pelaksanaan projek-projek pembangunan ini akan terus dilaksanakan dengan cekap dan teratur supaya manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat dalam tempoh yang sepatutnya.

Dengan adanya perancangan yang berterusan dan penyediaan kemudahan awam yang lebih baik, kaola percaya rakyat akan dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa di samping membuka lebih banyak kepada masyarakat untuk turut serta dalam pembangunan ekonomi negara. Dengan itu kaola menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun Kewangan 2026/2027 serta Usul Ketetapan Kumpulan Wang Kemajuan yang telah dicadangkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi. Sekian sahaja daripada kaola. Terima kasih atas laluan masa yang telah diberikan kepada kaola.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Awang Lau How Teck.

Yang Berhormat Awang Lau How Teck

Selamat pagi dan salam sejahtera Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara.

Terlebih dahulu kaola merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memberi laluan kepada kaola untuk turut sama mengambil bahagian dalam membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun Kewangan 2026/2027 serta Usul Ketetapan Kumpulan Wang Kemajuan yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II. Izinkan juga kaola merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Dato Menteri serta seluruh warga Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan memberikan gambaran yang jelas mengenai kedudukan ekonomi negara serta halatuju pembangunan yang dirancang bagi tempoh yang akan datang.

Pada pandangan kaola, pembentangan belanjawan ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan untuk memastikan pengurusan fiskal negara dilaksanakan secara berhemah di samping terus merangsang pertumbuhan ekonomi melalui mempelbagaikan sektor ekonomi peningkatan produktiviti serta pembangunan modal insan dan yang berdaya saing, sorry.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Dalam meneliti Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan ini, kaola melihat bahawa cabaran utama yang masih perlu kita tangani telah bagaimana perbelanjaan Kerajaan yang peruntukan dapat menghasilkan impak ekonomi yang lebih luas dan berpanjangan kepada negara. Perbelanjaan Kerajaan sememangnya memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan pentadbiran negara serta menyediakan perkhidmatan kepada rakyat. Namun demikian dalam jangka masa panjang, pertumbuhan ekonomi negara juga perlu diperkukuhkan melalui perkembangan sektor swasta serta pembangunan industri domestik yang lebih dinamik. Dalam hubungan ini, kaola melihat bahawa sektor makanan, pertanian dan akuakultur mempunyai potensi yang semakin signifikan untuk berkembang sebagai salah satu sektor ekonomi strategi negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Kaola mengambil maklum melalui pembentangan Usul Ketetapan Kumpulanwang Kemajuan bahawa beberapa projek telah disediakan peruntukan bagi memperkukuhkan sektor pertanian dan akuakultur. Antara rancangan pembangunan industri ternakan bagi menjana pengeluaran industri ternakan udang fasa empat, serta projek memajukan tapak-tapak industri akuakultur yang bertujuan meningkatkan aktiviti perekonomian dalam negara. Pada pandangan kaola, projek-projek seperti ini bukan sahaja menyumbang kepada pengeluaran makanan domestik tetapi juga mempunyai potensi yang besar untuk menjana peluang ekonomi baharu kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam sektor makanan.

Di samping itu kaola juga mengambil maklum mengenai projek Brunei Aquaculture Innovation Centre yang akan menjadi pusat penyelidikan dan inovasi bagi memperkukuhkan pembangunan industri akuakultur negara. Pada pandangan kaola, penyediaan infrastruktur penyelidikan seperti ini amat penting bagi memastikan sektor makanan negara mampu berkembang secara lebih moden, produktif dan berdaya saing.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Dalam konteks pembangunan ekonomi negara, sektor makanan tidak lagi hanya dilihat dari sudut sekuriti makanan semata-mata tetapi semakin berpotensi untuk berkembang sebagai industri ekonomi bernilai tinggi. Dengan adanya pembangunan rantaian nilai yang lebih menyeluruh meliputi pengeluaran, pemprosesan, logistik serta pemasaran, sektor ini berpotensi untuk berkembang sebagai salah satu sektor ekonomi yang menyumbang kepada pempelbagaian ekonomi Brunei.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Kaola mengambil maklum bahawa kerajaan turut menyediakan peruntukan bagi menaik taraf infrastruktur asas seperti projek menggantikan paip-paip serta menaikkan taraf loji-loji di lautan, air bagi meningkatkan asas kepada bekalan air bersih kepada rakyat serta memastikan kesediaan infrastruktur bagi menyokong tapak-tapak industri. Kemudahan asas seperti ini amat penting dalam memastikan sektor industri dan perusahaan tempatan dapat berkembang dengan lebih lancar serta mampu menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.

Di samping itu, kaola juga mengambil maklum mengenai projek infrastruktur yang menyokong aktiviti perindustrian termasuk pembinaan jejambat di persimpangan Lebuh Raya Muara-Tutong, di kawasan perindustrian Tanjung Kajar yang ditujuan memperkukuhkan asas kepada kawasan perindustrian serta menyokong aktiviti perusahaan dan tempatan. Pada pandangan kaola, pembangunan infrastruktur seperti ini amat signifikan kerana ini bukan sahaja memudahkan aktiviti ekonomi tetapi juga turut menyumbang kepada peningkatan kecekapan logistik dan pergerakan barang.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Secara seluruhnya, kaola melihat bahawa projek pembangunan dan yang dirancang melalui Kumpulan Wang Kemajuan ini mempunyai potensi besar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara serta membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk turut serta dalam aktiviti ekonomi. Dengan penyelarasan yang kukuh antara kementerian, sektor swasta serta para pengusaha tempatan, kaola percaya usaha-usaha ini akan dapat memberikan kesan limpahan ekonomi yang lebih luas kepada negara.

Sebagai penutup, kaola merakamkan penghargaan kepada Kerajaan atas segala usaha yang telah dilaksanakan bagi memastikan pembangunan ekonomi negara terus bergerak secara progresif. Dengan itu, kaola menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun Kewangan 2026/2027 serta Usul Ketetapan Kumpulan Wang Kemajuan yang telah dibentangkan.

Sekian sahaja pandangan kaola. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya persilakan Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin.

Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca). Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memberi kaola kesempatan ikut serta dalam perbahasan belanjawan tahun ini. Alhamdulillah, terlebih dahulu kaola ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II atas pembentangan Belanjawan Tahun Kewangan 2026/2027 yang panjang lebar, jelas, tersusun dan komprehensif. Inisiatif-inisiatif yang dibentangkan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memperkukuh ekonomi negara serta memacu pencapaian Wawasan Brunei 2035.

Kaola juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II serta seluruh warga Kementerian Kewangan dan Ekonomi atas pencapaian yang telah dilaksanakan setakat ini. Mengenai pembentangan belanjawan kelmarin, kaola amat berharap agar segala perancangan dan inisiatif yang diketengahkan akan dapat dilaksanakan dengan berkesan seterusnya mengaktifkan lagi kegiatan ekonomi khususnya mikro, kecil dan sederhana dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

Usaha-usaha ini juga adalah selaras dengan tema perbelanjaan tahun ini dan 5 tahun seterusnya dari tahun 2026/2027 hingga 2030/2031 iaitu dengan tema “Bersama Menjayakan Wawasan 2035” atau Together Achieving Wawasan 2035.

Sehubungan itu, kaola menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan bagi Tahun Kewangan 2026/2027 yang telah dibentangkan. Izinkan kaola terlebih dahulu menyentuh mengenai Pelaburan Langsung Asing, FDI. Kita telah menyaksikan perkembangan positif dalam Pelaburan Langsung Asing dengan 25 syarikat yang telah mula beroperasi yang mewujudkan 4,000 peluang pekerjaan di mana 48 peratus daripadanya diisi oleh rakyat tempatan serta 18 syarikat FDI yang sedang dalam pelaksanaan yang dijangka menjana 3,000 lagi peluang pekerjaan.

Pencapaian ini adalah suatu yang membanggakan dan mencerminkan momentum dalam transformasi ekonomi negara. Namun demikian walaupun ini suatu yang membanggakan, negara masih berhadapan dengan defisit fizikal yang membimbangkan dan memerlukan penelitian yang mendalam. Kaola mengambil maklum bahawa anggaran belanjawan ini memberikan penekanan kepada agenda fiskal yang mampan melalui pelaksanaan Fiscal Consolidation Program. Usaha ini amat dialu-alukan kerana ia bukan sahaja bertujuan meningkatkan disiplin dalam pengurusan kewangan negara tetapi juga memperbaiki tadbir urus, kecekapan penyampaian perkhidmatan serta mengukuhkan peranan sektor swasta sebagai pemaju pertumbuhan ekonomi.

Kaola juga memahami bahawa perlaksanaan fasa pertama program ini bukanlah satu yang mudah dan memerlukan masa serta perubahan cara berfikir dalam pengurusan fiskal. Namun kaola berpendapat adalah penting untuk memastikan bahawa setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar menyumbang kepada matlamat tersebut. Memandangkan perubahan ini memerlukan masa serta perubahan cara berfikir sejauh mana usaha telah diambil untuk mempercepatkan proses bersesuaian dalam kalangan agensi kerajaan agar disiplin fiskal dapat dikekalkan secara berterusan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola juga ingin memberikan sedikit perhatian mengenai langkah pengkorporatan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan khususnya pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan Pos kepada Posbru Sdn. Bhd. dan Syarikat Print Plus Sdn. Bhd. Pengkorporatan merupakan langkah yang produktif untuk meningkatkan kecekapan dan menjana pendapatan. Namun kejayaannya perlu diukur melalui keuntungan yang bersih, mampan serta sumbangan dividen kepada kerajaan.

Sejauh manakah pengkorporatan ini telah menyumbang atau memperkukuhkan kedudukan fiskal negara? Kaola berpendapat bahawa adalah penting agar pengkorporatan bukan sahaja melibatkan perubahan struktur tetapi membawa pulangan yang nyata kepada negara.

Kaola juga ingin menyentuh mengenai penubuhan laluan perkapalan bersama Shandong International Transportation Corporation serta peranan Warisan Shipping Line yang merupakan satu perkembangan yang strategik. Pengurangan tempoh pelayaran daripada dua belas hari kepada tujuh hari, peningkatan jumlah transhipment berjumlah 758 TEU Januari 2026 sahaja berbanding 1141 untuk keseluruhan tahun 2025 mencerminkan satu kemajuan yang bermakna. Kaola percaya bahawa inisiatif ini berpotensi memperkukuhkan aliran perdagangan, menyokong industri logistik dan meningkatkan sumbangan kepada keluaran dalam negara kasar. Pada masa yang sama, aspek kemampuan sustainability adalah amat penting jadi adalah mustahak agar usaha strategik seperti ini kekal berdaya maju secara komersial dan mampu memberikan pulangan jangka panjang kepada negara.

Kaola juga mengambil maklum bahawa Projek Hengyi fasa kedua dijangka akan beroperasi pada tahun 2029. Ini berpotensi membuka peluang pekerjaan baru kepada rakyat tempatan. Sehubungan itu, kaola mencadangkan agar persediaan untuk melatih dan membangunkan tenaga kerja tempatan mula dirancang dari sekarang supaya anak-anak tempatan yang mempunyai kelayakan dapat bersedia untuk mengisi peluang-peluang pekerjaan apabila projek ini mula beroperasi.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Pensijilan halal Brunei merupakan kelebihan strategik negara. Kaola percaya bahawa jenama Halal Brunei mempunyai kredibiliti bagi pengguna-pengguna Islam negara khususnya pasaran negara Islam, OIC. Kehadapan bagaimana kita dapat mempromosikan sebagai jenama premium bagi produk Brunei bernilai tambah tinggi. Kaola berpendapat bahawa promosi yang lebih strategik serta penjelasan antara piawaian halal dan dasar eksport akan membantu menterjemahkan jaminan kualiti kepada pertumbuhan eksport yang mampan.

Mengenai dengan projek-projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara, keutamaan projek pembangunan perlu ditentukan secara strategik supaya impaknya kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat dimaksimumkan. Melihat kepada bilangan projek yang masih berada dalam peringkat reka bentuk iaitu sebanyak 91 projek, kaola ingin mengetahui bagaimana keutamaan projek-projek in pembangunan infrastruktur yang dirancang seperti pembinaan bangunan baharu, tambahan sekolah, pembinaan masjid serta penaiktarafan fasiliti-fasiliti sukan yang diharap akan memberikan manfaat kepada rakyat serta meningkatkan kualiti kehidupan kita semua jua, insya Allah.

Kaola juga melihat sektor pertanian sebagai salah satu sektor kepelbagaian ekonomi yang penting di samping menyumbang kepada keselamatan makanan dan kestabilan kos sara hidup. Dalam hubungan ini, dengan sasaran untuk meningkatkan tahap sara diri beras negara daripada sekitar 8 peratus kepada sehingga 20 peratus menjelang 2027 adalah satu langkah yang dialu-alukan. Peruntukan di bawah Jabatan Pertanian dan Agrimakanan seperti skim pembelian padi, penyediaan benih serta peningkatan infrastruktur dan teknologi pertanian adalah diharap dapat memperkukuh rantaian nilai industri makanan negara.

Namun bagi memastikan sasaran ini benar-benar dapat dicapai secara mampan, Kaola berpendapat bahawa sokongan berterusan melalui insentif bersasar targeted incentive, pemodenan sektor pertanian, subsidi untuk pengusaha-pengusaha pertanian, subsidi pengagihan baja yang cekap dan telus juga adalah penting bagi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada import.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola menyambut baik usaha kerajaan untuk terus memberikan perhatian kepada pemeliharaan budaya warisan seni dan sejarah negara kerana memelihara identiti nilai serta warisan yang membentuk jati diri bangsa adalah penting agar tidak pupus ditelan zaman. Dalam masa yang sama, budaya dan warisan ini juga merupakan aset penting dalam memperkukuh sektor pelancongan negara kerana keunikan dari segi seni dapat menjadi tarikan kepada pelancong serta membuka peluang ekonomi kepada masyarakat tempatan.

Selaras dengan itu, Kaola ingin mengambil maklum usaha kerajaan untuk terus memajukan industri pelancongan negara melalui penaiktarafan serta pemulihan tarikan negara dan juga memperkukuh agenda promosi pelancongan melalui penggunaan digital marketing agency serta kolaborasi bersama sosial media, influencer bagi meningkatkan profil negara sebagai destinasi pelancongan.

Namun adakah usaha promosi pelancongan yang dilaksanakan pada masa ini sudah mencukupi dan cukup agresif untuk meningkatkan keupayaan negara sebagai destinasi pelancongan serantau khususnya dalam persaingan dengan negara jiran yang juga giat mempromosikan sektor pelancongan mereka.

Pendigitalan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan dan ketelusan penyampaian perkhidmatan sekaligus membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan yang lebih cepat, selamat dan menyeluruh. Khususnya dari segi aspek keselamatan, perkembangan teknologi digital dan Kecerdasan Buatan, Artificial Intelligence, AI mempunyai cabaran jika tidak diurus dengan baik iaitu berpotensi disalahgunakan untuk menyebarkan maklumat yang tidak tepat atau mengelirukan termasuk kandungan palsu yang boleh menimbulkan fitnah serta menjejaskan kepercayaan masyarakat.

Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk menangani isu ini seperti terbitan Guide on AI Governance and Ethics for Brunei Darussalam yang diterbitkan oleh Authority for Info-communications Technology Industry of Brunei Darussalam, AITI. Pada pendapat kaola, penyalahgunaan teknologi dan penyebaran maklumat yang tidak sahih masih kekal sebagai satu cabaran yang perlu diberi perhatian berterusan. Oleh itu, adalah penting agar rangka kerja keselamatan siber serta mekanisme pencegahan penipuan sentiasa diperkukuh bagi menjaga penggunaannya.

Akhirnya pertumbuhan ekonomi ini hendaklah bersifat inklusif, mampan dan mampu mengurangkan tekanan kos sara hidup harian, namun bukan sahaja dilihat melalui angka atau statistik tapi mampu dirasai dalam kehidupan seharian rakyat serta memberikan jaminan kesejahteraan kepada generasi yang akan datang. Dengan pengurusan fiskal yang berhemah, pelaksanaan bersepadu dan komitmen kepada akauntabiliti dan kecekapan. Insya Allah, kita akan terus mara ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035.

Sekian, Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir Rahmanir Rahim. (Doa dibaca).

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Terlebih dahulu kaola sukacita merakamkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana berpeluang menyertai dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan bagi Tahun Kewangan 2026/2027 dan Anggaran Kumpulanwang Kemajuan 2026/2027.

Dalam kesempatan ini juga, Kaola juga ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, warga Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta pihak-pihak terlibat yang telah bekerja keras dan seterusnya alhamdulillah berjaya menghasilkan Rang Undang-Undang Perbekalan bagi Tahun Kewangan 2026/2027 dan Anggaran Kumpulan Wang Kemajuan 2026/2027. Kedua-dua belanjawan yang dibentangkan kemarin pada hari Sabtu, 24 Ramadan 1447 bersamaan dengan 14 Mac 2026 adalah sangat jelas, komprehensif, inklusif, lebih fokus dari hasil penganalisaan dan mengikut keutamaan yang menjurus ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Kaola menyokong sepenuhnya kedua-dua belanjawan yang telah dibentangkan bagi Tahun Kewangan 2026/2027 yang bertemakan “Bersama Menjayakan Wawasan Brunei 2035” dengan BND6.3 bilion bagi peruntukan Belanjawan 2026/2027 dan BND480 juta bagi peruntukan Kemajuan 2026/2027.

Kaola berpandangan, tema “Bersama Menjayakan Wawasan Brunei 2035” bagi belanjawan sesi 2026/2027 ini adalah sangat-sangat wajar untuk dijadikan sasaran yang lebih agresif secara bersepadu dengan penuh komitmen terutama sekali yang lebih penting bertepatan dalam bersama-sama kita bertanggungjawab bagi menjunjung dan menanai tinggi hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan Yang Di-Pertuan, Negara Brunei Darussalam sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22.

Di mana antara lain baginda bertitah, mahu melihat tindakan pelaksanaan yang lebih agresif serta ketahanan dalam merangka dasar dan strategik pembangunan negara khasnya ke arah matlamat Wawasan Brunei 2035. Daripada ini, cabarannya sekarang adalah hanya lebih kurang tempoh 8 tahun sahaja lagi menuju ke kemuncak Wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Sepertimana kita sama-sama maklum pada natijahnya kedua-dua peruntukan ini berasaskan kepada tiga matlamat utama untuk mencapai Wawasan Brunei 2035 iaitu, pertama, Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya. Kedua, Kualiti Kehidupan Rakyat yang Tinggi dan ketiga, Ekonomi Yang Dinamik dan Berdaya Tahan.

Malah kaola juga berpandangan pembentangan belanjawan ini juga memfokuskan melangkaui ketiga-tiga blueprint khususnya Economy Blueprint yang berkaitan bagaimanakah tatacara secara berterusan menggerak rancakkan dan mengembangkan lagi lima sektor utama yang telah dikenal pasti iaitu hiliran minyak dan gas, makanan, ICT, teknologi maklumat dan komunikasi, perkhidmatan dan pelancongan yang menjadi tonggak utama kepada kepelbagaian perkembangan aktiviti-aktiviti perekonomian. Penjelmaan value added industri hiliran, penjanaan lebih banyak lagi peluang pekerjaan sekaligus melonjakkan pertumbuhan sosioekonomi negara yang lebih resilient, dynamic, mampan dan berdayatahan.

Kaola juga menyambut baik malahan mengalu-alukan peruntukan ini yang mengutamakan kepentingan dalam menjamin kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini. Malahan juga meneruskan projek-projek berunsurkan pembangunan dan kemajuan di bawah Rancangan Kemajuan Negara serta operasi jentera kerajaan yang diharapkan akan terus memacu, bertindak sebagai pemudahcara dan penambahbaikan kawalan selia mengikut keutamaan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Alhamdulilah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa ta'ala dan mengucapkan tahniah atas pelbagai pencapaian negara yang cemerlang bukan sahaja di peringkat serantau malahan ke persada antarabangsa di bidang pendidikan, kualiti kesihatan dan kehidupan, dan science technology.

Ini mencerminkan negara tidak ketandusan dengan rakyat yang berkemahiran tinggi dan talented serta mampu berdaya saing di persada antarabangsa dan sekaligus menaikkan martabat negara.

Apa yang diharapkan, kejayaan sedemikian sebaik-baiknya dimanfaatkan dan seterusnya diserapkan sebagai anjakan paradigma dan motivasi kepada segenap lapisan masyarakat khususnya institusi-institusi pengajian tinggi untuk memacu lebih banyak kreativiti dan inovasi terutama sekali dalam bidang aplikasi yang berteknologi tinggi bagi menyumbang kepada kepelbagaian perkembangan dan peningkatan industri baru.

Kaola jua teruja dengan usaha kejayaan pihak kerajaan yang mana telah menampakkan bertambahnya Pelaburan Langsung Asing termasuk secara berkolaborasi dengan syarikat-syarikat tempatan khususnya GLCs dengan syarikat multinational dalam sektor hiliran minyak dan gas, perkhidmatan maritime dan agromakanan. Misalnya syarikat Polygel Intermediates (B) Sendirian Berhad, Projek Hengyi Fasa II, pembuatan chemical baharu dengan berkonsepkan circular economy, syarikat Anson International Sendirian Berhad dan syarikat NEXT Bahtera Maritime Sendirian Berhad sebagai sektor perkapalan dan maritime.

Walau bagaimanapun, negara ini perlu meneruskan usaha merancakkan lagi secara lebih agresif, menarik pelaburan asing yang lebih berstrategik bagi memperkasa dan meningkatkan lagi kemampuan dalam mengembangmajukan limpahan horizon kepelbagaian aktiviti perekonomian sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan fiskal negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Berhubung dengan inovasi dan penyelidikan, kaola menyokong sepenuhnya ke atas inisiatif menitikberatkan dan mengukuhkan akan kepentingan inovasi dan penyelidikan, sebagai salah satu dasar kerajaan. Di sini pada hemat kaola, Negara Brunei Darussalam perlulah lebih berpandangan jauh, yang lebih serius dengan mengutamakan R&D khususnya meningkatkan lagi peratus yang diperuntukkan daripada keluaran negara, KDN.

Ini dengan mengambil kira dan iktibar serta amalan yang terbaik yang telah digunapakai oleh negara-negara yang advance dan berkembang maju di mana misalnya peruntukkan R&D mencecah purata 3 hingga ke 5 peratus daripada GNP, GDP seperti South Korea 4.8 peratus, Japan 3.6 peratus, Germany 3.3 peratus dan Belgium 3.43 peratus daripada jumlah GDP kerana ianya telah terbukti mendatangkan significant impact yang berinovatif, kreatif, berteknologi tinggi, meningkatkan produktiviti, berdaya saing dan berdaya maju serta sekaligus menyumbang kepada kepesatan pertumbuhan ekonomi yang lebih dinamik.

Adalah diambil maklum, peruntukan Council of Research and Advancement in Technology and Science - CREATES, research fund dengan peruntukan $30 juta di dalam Rancangan Kemajuan Negara. Yang mana kaola sangat mengalu-alukan. Walau bagaimanapun, sejauh manakah peruntukan besar ini dimanfaatkan secara optima terutama sekali projek-projek yang diungkayahkan di bawah CREATES ini berpotensi beralih kepada tahap pendidikan tier 1 peringkat akademik kepada tahap tinggi sehingga berupaya menghasilkan paten, inovasi serta seterusnya dikomersialkan menjana value added product kepelbagaian industri hiliran dan menjana peluang pekerjaan sekaligus menggerakkan serta memantapkan lagi perkembangan sosio ekonomi negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Seterusnya, kaola ingin menyentuh mengenai industri halal. Mengikut anggaran semasa, nilai industri global dianggarkan melebihi USD 2 trilion hingga USD 3 trilion dan berpotensi meningkat sehingga menghampiri USD 7 bilion menjelang tahun 2023. Dalam konteks ini, sektor makanan dan minuman sahaja dianggarkan bernilai lebih daripada USD 1.267 trilion pada tahun 2024, di samping perkembangan yang pesat dalam sektor farmaseutikal, kosmetik apatah lagi pelancongan Islam.

Perkembangan ini secara tidak langsung menjadikan industri halal sebagai salah satu sektor ekonomi yang semakin mendapat perhatian dan pemasarannya semakin menonjol bukan sahaja di kalangan negara-negara Islam malahan di persada antarabangsa.

Pada hemat kaola, kepesatan perkembangan ini, Negara Brunei hendaklah memanfaatkan peluang dengan sebaik-baiknya, apatah lagi negara mempunyai comparative advantage dan kekuatan iaitu brand halal dan persijilan Halal Brunei yang diiktiraf dan terkenal di peringkat antarabangsa khususnya di kalangan negara-negara Islam.

Cabaran­nya, bagaimanakah pendekatan serta rangka pelan tindakan negara yang berstrategik merebut peluang-peluang ini untuk berusaha secara bersungguh-sungguh dalam mengembangluaskan dan memartabatkan industri halal khususnya produk dan Brunei brand halal ke persada antarabangsa. Ini adalah salah satu daripada usaha kita untuk mempelbagaikan ekonomi yang sejajar dengan aspirasi seperti yang terkandung di dalam Brunei Economic Blueprint.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Seterusnya kaola ingin menaik perhatian di perspektif pemerkasaan wakaf sebagai salah satu alternatif instrumen kewangan sosial Islam yang perlu dikembangmajukan dan diperluaskan kebarigaannya termasuk impak kemanfaatan perkembangan serta meningkatkan sosialisasi masyarakat Islam khususnya dan negara amnya.

Apa yang difahami, impak wakaf bukan sahaja menjanjikan ganjaran pahala dan menjadi amal jariah yang berkekalan bahkan untuk mendatangkan signifikan impak serta kemanfaatan yang meluas kepada masyarakat serta orang awam secara keseluruhannya. Wakaf ini juga melatih jiwa untuk bersedekah, mengikis sifat tamak dan mensucikan harta. Kemanfaatan dan khidmat wakaf dapat kita bersama-sama jadikan pengajaran dan juga iktibar sepertimana dalam ayat suci Al-Quran, Surah Al-Baqarah, Ayat 261 (ayat di baca).

Maksudnya, perumpamaan bagi orang yang mendermakan harta pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan buah tangkai. Tiap-tiap tangkai itu pula terdapat 100 biji, dan ingatlah Allah akan memperlipatgandakan pahala bagi siapa yang dikehendakinya dan Allah maha luas rahmat kurnianya lagi maha mengetahui. Lebih-lebih lagi, sekiranya governance pengurusan harta wakaf diuruskan secara efektif dan efisien yang berlandaskan hukum syarak, sehingga insya Allah, mampu menjana economic return yang positif tanpa membebankan kedudukan fiskal tahunan kerajaan.

Dalam hal ini, beberapa buah negara yang boleh kita jadikan contoh tauladan seperti Turkiye, Malaysia dan Singapura, telah mengorak langkah ke hadapan dengan mentransformasikan sepenuhnya lebih berinovatif dalam sistem pengurusan wakaf, sehingga menjadikannya sebagai instrumen memperkasakan lagi kebajikan dan kesejahteraan kemasyarakatan sekaligus sebagai pelengkap value added yang menjana kepada pembangunan sosial ekonomi negara. Pada kesimpulannya, wakaf juga berperanan menyumbang kepada memperkukuhkan lagi kedudukan fiskal negara. Dapat kaola menyambung sikit lagi pehin?

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Dua minit.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof

Peranan pengauditan terutama sekali yang dilaksanakan oleh agensi-agensi pengauditan khususnya Jabatan Audit dan Audit Dalaman dalam setiap agensi, perlulah dipertingkatkan dengan lebih diperkasakan serta diperkesankan secara lebih proaktif, efektif dan bersistematik. Apa yang lebih penting lagi, sebagai agensi yang bebas dan berautoriti yang dipertanggungjawab untuk melaksanakan check and balance dalam memastikan peraturan-peraturan kewangan dipatuhi di samping mengenal pasti apa jua sebarang bentuk gejala rasuah, penyelewengan, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa.

Ini bertujuan bukan sahaja pematuhan tadbir urus hal ehwal kewangan mengikut lunas-lunas peruntukan undang-undang khususnya peraturan kewangan malahan juga dilaksanakan secara berhemah dan berteraskan prinsip value of money. Sistem pengauditan yang berkesan adalah asas kepada pembudayaan good governance yang berintegriti, beretika, berakauntabiliti dan berorientasikan prestasi. Ini sekaligus sudah dapat berkemampuan meningkatkan prestij, jaminan serta keyakinan, confidence, termasuk menarik pelabur asing dalam usaha negara memperluaskan sektor kewangan dan perniagaan.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, apatah lagi kita berada di penghujung bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini. Mudah-mudahan belanjawan yang telah dibentangkan, dimanfaatkan dan sebaik-baiknya ke arah objektif yang lebih optima khususnya dalam mempraktikkan, mempertingkatkan lagi kemaslahatan, kesejahteraan serta kebajikan rakyat dan penduduk negara ini, sekaligus memantapkan lagi kemajuan perkembangan dan kewangan Negara Brunei Darussalam.

Semoga apa jua ikhtiar kita dengan nawaitu kerana Allah ta’ala Insya Allah, menjadikan Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur. Amin Ya Rabbal Alamin.

Serta disudahi dengan serangkap pantun untuk tatapan bersama; Ramadan mengandungi penuh hikmah, Mendidik jiwa sikap berjimat cermat, Moga belanjawan di urus dengan titih lagi amanah, Demi kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.

Sekian, Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya kira adalah sesuai sekarang bagi kita berehat selama lima belas minit dan kita akan menyambung semula Mesyuarat ini sesudah itu nanti.

(Majlis Mesyuarat berehat sebentar)

(Majlis Mesyuarat bersidang semula)

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sekarang Majlis bersidang semula bagi menyambung Perbahasan. Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin.

Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin

Bismillahir Rahmanir Rahim. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, sekali lagi kita ini berhimpun untuk membahaskan belanjawan negara dengan rasa penuh tanggungjawab bersama bagi memastikan bahawa perbincangan yang kitani adakan pada hari ini, insya Allah, akan dapat memperkukuhkan masa depan negara serta menyediakan peluang yang bermakna pada rakyat.

Dalam perbincangan belanjawan kali ini, kaola ingin menyampaikan pandangan dengan semangat kerjasama. Kaola mengiktiraf dan akur pelbagai usaha-usaha yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan untuk menyediakan belanjawan tahunan yang bertema Bersama Menjayakan Wawasan Brunei 2035. Mohon kaola memberi pandangan untuk meneroka bagaimana kitani dapat bekerjasama untuk memperkukuhkan lagi impak belanjawan ini, insya Allah.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Izinkan kaola terlebih dulu menyentuh mengenai aspirasi golongan anak muda kitani daripada belanjawan ini. Seringkali terdengar tanggapan bahawa belia kitani terlalu memilih pekerjaan, namun perbualan kaola bersama dengan ramai anak muda, menunjukkan gambaran yang berbeza.

Ramai di antara mereka sebenarnya berusaha memohon pelbagai peluang untuk mencari pekerjaan dengan harapan untuk mendapatkan apa-apa saja jenis pekerjaan, sama ada kerja sementara dalam gig atau membuka pop-up business. Bukan saja untuk menyara hidup sendiri, tapi untuk berhasrat menyumbangkan, membalas baik budi ibubapa yang telah banyak berkorban untuk mereka, agar mereka tidak terus menjadi beban. Mereka juga ingin menyumbang secara bermakna kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Pada masa yang sama, kita ni juga melihat bahawa ramai anak muda hari ini menangguhkan perkahwinan dan daripada membentuk keluarga baru. Salah satu faktor yang mungkin menyumbang kepada keadaan ini ialah tidak kepastian dari segi ekonomi dan ketidakstabilan pekerjaan mereka. Perkara ini dapat dilihat melalui penurunan kadar kelahiran secara beransur-ansur yang telah menurut statistik daripada Department of Economic Planning and Statistics, jumlah kelahiran yang didaftarkan telah menurun dari 6,500 kelahiran pada tahun 2020 kepada 5,360 kelahiran pada tahun 2024 iaitu penurunan sebanyak 1,139 anak damit.

Dengan pengurangan paling ketara berlaku antara tahun 2023 dan 2024 di mana menurun sebanyak 931 kelahiran. Feedback dari beberapa pasangan muda beralasan utama adalah keadaan tahap ekonomi, memikirkan sama ada mereka mampu menyediakan kualiti kehidupan kepada anak-anak mereka seperti yang mereka nikmati semasa membesar dulu.

Sekiranya fenomena penurunan kadar kelahiran anak damit ini berterusan, ia berpotensi menimbulkan cabaran kepada kelestarian negara pada masa depan termasuk dari sudut kesinambungan generasi dan identiti kebangsaan.

Kaola juga mengambil maklum pengumuman Elaun Anak Damit sebagai pengganti kepada bantuan pampers anak damit sebagai langkah ini adalah merupakan satu pendekatan yang bijak, kerana dapat sedikit membantu keluarga muda serta menggalakkan mereka merancang kewangan bagi keperluan anak-anak mereka. Namun persoalannya, sejauh manakah inisiatif ini mampu mengurangkan kebimbangan pasangan muda yang memulakan atau menambah saiz keluarga mereka? Oleh itu faktor-faktor yang menyumbang kepada fenomena penurunan kadar kelahiran anak damit wajib diteliti supaya langkah-langkah yang lebih bersesuaian dapat ditimbangkan.

Walaupun Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan kadar pengangguran dan kemajuan telah dicapai dengan penurunan kepada 5 percent pada tahun 2025, angka ini masih menunjukkan keadaan yang agak amat mendatar dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Dalam hal ini, prospek 3,000 pekerjaan baru dari 18 FDI yang diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri kemarin membawa berita yang menggembirakan. No doubt anak kita ini masa kini sibuk mencari internet di mana mereka akan dapat melayari untuk memohon jawatan-jawatan yang akan diiklankan. Tetapi, jumlah pekerjaan baru ini masih belum dapat menangani isu underemployment dan unemployment di kalangan mereka.

Apakah langkah perubahan yang lebih besar atau state change yang boleh diperkenalkan bagi mencepatkan penciptaan pekerjaan serta meningkatkan penyertaan tenaga kerja dalam kalangan belia pada anak muda? Sebahagian besar daripada mereka yang mencari pekerjaan ini adalah golongan muda yang berpendidikan tinggi.

Kaola juga ingin menyentuh sedikit mengenai realiti pekerjaan dalam kalangan belia pada masa ini, pekerjaan gig dan menggunakan pelbagai pekerjaan sambilan (multiple part time jobs) semakin menjadi sebahagian daripada realiti pasaran pekerjaan. Oleh itu, mungkin sudah tiba masanya untuk menilai bagaimana sektor ini boleh disokong secara lebih tersusun. Dengan sokongan yang tersusun, saya berpendapat bahawa sektor gig dan pekerjaan sambilan ini berpotensi berkembang sebagai pilihan alternatif, pekerjaan-pekerjaan yang lebih formal, dilindungi dan mampan pada masa hadapan.

Selama ini dasar negara banyak menggalakkan belia untuk mendapatkan pendidikan setinggi mungkin. Kerajaan telah melabur dengan besar dalam menyediakan akses kepada pendidikan serta peluang kemajuan akademik. Kejayaan individu seringkali diukur melalui tahap pencapaian pendidikan.

Namun, kenyataan masa kini menyaksikan generasi muda yang berpendidikan tinggi ada Masters dan ada yang Doctorate yang bersedia dan ingin menyumbang, tapi masih menghadapi cabaran untuk menterjemahkan kelayakan akademik mereka kepada peluang pekerjaan yang bermakna dan mampan. Mungkin perkara ini mengajak kita ini untuk menilai semula, ah, sama ada penekanan dasar kita ini perlu berkembang secara berperingkat.

Daripada memberi tumpuan kepada pencapaian kelayakan akademik semata-mata, kepada mengukuhkan mekanisme yang secara aktif kepada program-program yang panjang atau pendek untuk memudahkan penciptaan pekerjaan serta menyerapkan tenaga kerja tempatan. Pencapaian pendidikan akan sentiasa menjadi teras utama, namun semakin penting juga untuk memastikan fokus pendidikan dihubungkaitkan dengan secara langsung dengan peluang ekonomi dan mendapat pekerjaan. Mungkin satu indikator yang perlu dinilai kecemerlangan sesuatu institusi pendidikan bukan sahaja dikira berapa banyak graduan tetapi berapa banyak graduan yang lulus mendapat pekerjaan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Dalam memperkukuhkan asas ekonomi negara, disiplin fiskal serta kecekapan dalam sektor awam adalah amat penting. Jadi usaha kementerian menjalankan program konsolidasi fisikal merupakan satu langkah yang dipuji dan penting dan perlu disokong ke arah memperkukuhkan kemampuan kewangan negara.

Walau bagaimanapun, kaola berpendapat konsolidasi fiskal tidak seharusnya hanya sebagai usaha mengurangkan kos atau menghadkan aktiviti semata-mata. Program ini juga memerlukan penilaian dalaman yang kritikal terhadap struktur organisasi serta proses-proses kerja dalam pekerjaan bagi memudahkan prosedur, meningkatkan koordinasi antara kementerian serta menghapuskan pertindihan fungsi dengan tujuan untuk membasmi budaya ping pong di mana rakyat yang memohon bantuan sering diarahkan dari satu pihak ke pihak yang lain tanpa penyelesaian yang jelas.

Proses yang lebih cekap khususnya kelulusan yang lebih pantas serta prosedur yang lebih senang, tolerant dan fleksibel yang boleh membantu memudahkan penubuhan perniagaan baru serta merangsang aktiviti ekonomi mestilah diberi perhatian. Di samping itu, bagaimanakah kejayaan yang telah dicapai setakat ini dapat terus dikukuhkan, pengajaran yang diperolehi dapat diinstitusikan serta bagaimana pembelajaran tersebut dapat dipercepatkan penerapannya bagi memastikan perubahan budaya kerjaya yang berterusan dan sektor awam.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Kaola akur dan sanjung usaha gigih dan berterusan kementerian untuk menarik pelaburan langsung asing yang terus memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi baru serta peluang pekerjaan. Namun kita juga maklum bahawa daripada peringkat penandatanganan perjanjian pelaburan sehingga sebuah kemudahan industri beroperasi sepenuhnya boleh mengambil masa antara 3 ke 5 tahun.

Tempoh ini sebenarnya memberikan peluang untuk kita mempersiapkan tenaga kerja tempatan kita ini. Matlamat kita ini bukan sahaja untuk menyediakan rakyat Brunei bagi pekerjaan peringkat permulaan yakni entry level tetapi juga mesti membangunkan kompetensi rakyat bekerja yang diperlukan bagi mengisi jawatan penyelia yakni supervisory dan pengurusan pertengahan, mid-management dan ke peringkat board member agar mereka mempunyai pengalaman dalam industri yang mereka duduki.

Dalam hal ini, kaola ingin mengetahui bagaimanakah kementerian memastikan pembangunan kompetensi teknikal bagi rakyat tempatan diserapkan sebagai salah satu komponen yang penting dalam perjanjian FDI sejak awal lagi. Ianya mestilah dimasukkan sebagai memenuhi dapat menempatkan latihan di luar negara anak-anak untuk menjalani latihan industri bersama dengan syarikat-syarikat pelabur.

Selain itu, dalam menyokong pelaburan langsung asing sejauh mana kementerian dengan kerjasama institusi akademik kerajaan mahupun swasta merancang memperkenalkan kursus atau program-program baru dalam negara yang selaras dengan keperluan industri dan bagaimana peruntukan bajet akan memastikan program-program ini berkait secara langsung dalam pelaburan FDI serta menghasilkan peluang pekerjaan yang boleh diukur. Penciptaan pekerjaan memerlukan pelaburan dan pembiayaan.

Walaupun menarik pelaburan asing adalah penting, ianya juga boleh meneroka bagaimana pelaburan dari dalam negeri dapat digerakkan dengan lebih berkesan. Dengan ini, mengukuhkan kerjasama antara sektor awam dan sektor swasta adalah amat penting untuk membuka sumber pelaburan domestik serta merangsang pertubuhan keusahawanan tempatan.

Dalam konteks ini, dalam masa kini membahaskan belanjawan pada tahun ini Kaola berpendapat mungkin sudah tiba masanya lagi untuk meneroka inisiatif struktur yang dapat memperkukuhkan pelbagaian ekonomi selaras dengan Wawasan Brunei 2035 iaitu salah satu inisiatif yang berulang bangkit dalam dewan ini yang masih belum dilaksanakan ialah pembangunan pasaran modal negara termasuk penubuhan bursa saham domestik.

Kaola berpendapat pasaran modal yang kukuh boleh menyediakan saluran pembiayaan alternatif kepada syarikat-syarikat tempatan untuk berkembang dan berinovasi di samping memperkukuhkan sektor perkhidmatan kewangan serta mewujudkan peluang pekerjaan kemahiran tinggi dalam bukan saja dalam bidang kewangan tetapi juga spin off menjana pekerjaan dalam industri tempatan yang disokong. Sudah tentu inisiatif ini memerlukan ekosistem sokongan yang kukuh termasuk syarikat yang bersedia untuk disetanaikan. Penyertaan pelaburan aktif serta rangka kerja tadbir urus yang mantap.

Tapi sekiranya dibangunkan dengan secara strategik dan berfasa melalui kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, institusi kewangan dan perbankan, platform pasaran modal ini berpotensi mengeluarkan pelaburan pada sektor-sektor utama dalam pelan induk blueprint ekonomi negara.

Izinkan kaola untuk menyambung sedikit terlepas masa. Ada sedikit masa.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

(Yang Di-Pertua memberi isyarat dua minit dengan tangan sebagai tanda bersetuju).

Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kita juga sedang menyaksikan peningkatan ketidaktentuan geopolitik di peringkat global. Gangguan dalam rantaian lojistik dan bekalan, logistic dan supply chain memberi implikasi kepada negara bukan sahaja pada kos perdagangan tetapi juga kepada keselamatan dan kelestarian makanan serta pasaran tenaga.

Perkembangan ini mengingatkan kita tentang kepentingan memperkukuhkan daya tahan domestik termasuk memastikan keselamatan dan keberadaan bekalan strategik tenaga dan makanan yakni food dan energy strategic stock untuk mengekalkan kelestarian aktiviti ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Dalam konteks ini, negara walaupun sebuah negara crude oil exporter dan juga kita mengimport crude. Walaupun negara memperoleh hasil melalui eksport minyak pada harga yang tinggi, kita juga perlu memastikan bahawa bekalan yang mencukupi tersedia untuk operasi industri hiliran dalam negara yang bergantung kepada import minyak mentah. Oleh itu, keseimbangan antara penjanaan hasil negara dan keselamatan bekalan untuk operasi domestik perlu dinilai dengan teliti.

Isu terputus saluran air kepada beberapa tempat yang disebabkan susuran tanah mengingatkan kita betapa kita rasa vulnerable kepada perubahan iklim dan ini juga memberi peringatan kesiapsagaan kita dengan emergency contingency plan memastikan keupayaan kita membaiki pulih critical services secepatnya.

Alhamdulillah, belanjawan yang dibentangkan ini walaupun masih pada tahap defisit menunjukkan komitmen yang berterusan ke arah pembangunan negara dan mempedulikan kesejahteraan rakyat dengan kerjasama erat antara ministry, sektor swasta dan masyarakat serta pelaksanaan yang berdisiplin, pembelanjawan yang berhemah dan berkesan.

Usaha ini diharap akan terus memperkukuhkan ekonomi negara serta menyediakan peluang yang baik luas lagi kepada rakyat. Kitani berharap dengan usaha kerajaan terus mengelinga dan meringankan beban rakyat terutama yang kurang kemampuan sara hidup dan tersekat ekonomi dibantu oleh warga kerajaan yang mengurus tadbir dengan jujur, amanah dan cekap dan berwibawa, berjiwa rakyat negara akan mendapat rahmat Allah Subhanahu Wata’ala dengan rezeki negara bertambah berkah, aamiin ya rabbal alamiin.

Dengan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata’ala sempena bulan Ramadhan penuh rahmat ini mendoakan taufik hidayah Allah Subhanahu Wata’ala agar kitani semua dipelihara daripada fitnah dunia dan akhirat. Kaola menyokong Rang Undang-Undang (2026) Perbekalan, 2026/2027. Ya Allah, selamatkan negara kami. Wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Memohon maaf kerana akhir.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam.

Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam

Terima Kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim, Alhamdulillah (doa dibaca) Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Awal kalam kaola merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua atas peluang untuk kaola turut membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan bagi Tahun Kewangan 2026/2027 ini. Kaola juga mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II atas pembentangan Belanjawan yang begitu komprehensif dan berpandangan jauh.

Yang Berhormat Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Alhamdulillah, kaola bersyukur atas limpah rezeki yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala ke atas negara kita yang dicintai ini. Belanjawan negara bagi Tahun Kewangan 2026/2027 yang berjumlah BND6.3 bilion termasuk BND480 juta peruntukan bagi projek-projek pembangunan di bawah RKN12 ini jelas menunjukkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan kesinambungan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran persekitaran global.

Tema Belanjawan tahun ini “Bersama Menjayakan Wawasan Brunei 2035” disokong oleh tiga keutamaan baharu yang menjadi asas hala tuju negara dalam lima tahun mendatang iaitu memperkukuh kestabilan fiskal dan tadbir urus kewangan; memperkasa ekonomi melalui transformasi dan inovasi; dan menjamin kelestarian sosial dan pembangunan masa hadapan. Keutamaan-keutamaan ini bukan sahaja relevan dan bertepatan tetapi juga kritikal untuk memastikan Brunei terus melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Dalam kita menyambut baik jumlah belanjawan yang diperuntukkan ini adalah juga penting untuk kita teliti dan ketahui serta fahami kedudukan fiskal negara bagi tahun kewangan sebelumnya iaitu pada tahun 2024/2025 yang menunjukkan defisit yang ketara dengan hasil pendapatan menurun 4.3 peratus dan perbelanjaan yang meningkat 2.2 peratus. Berdasarkan anggaran semasa, negara juga dijangka terus mengalami defisit bagi tahun kewangan ini. Keadaan ini menuntut kita untuk mengurus perbelanjaan secara berhemah dan berfokus, memperkukuh integriti dan akauntabiliti serta memastikan setiap dollar yang dibelanjakan memberikan hasil yang jelas kepada rakyat.

Usaha memperkukuh ekonomi negara bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi memerlukan kerjasama padu daripada semua pihak di sektor kerajaan dan sektor swasta serta seluruh rakyat dan penduduk negara ini. Pendekatan kerajaan melalui semakan subsidi pengkorporatan public private partnership dan pemodenan sistem kutipan hasil adalah langkah yang tepat. Namun pendekatan-pendekatan ini memerlukan KPI yang telus, laporan berkala dan pemantauan yang konsisten untuk memastikan kejayaannya.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Negara telah mempunyai hala tuju yang jelas melalui 3 blueprint kebangsaan iaitu manpower, social dan economy. Namun dengan masa yang semakin singkat menuju tahun 2035 kita tidak boleh hanya bergantung kepada perancangan semata-mata. Fokus utama kita kini ialah memastikan pelaksanaan yang benar-benar menghasilkan impak yang nyata kepada peningkatan ekonomi dan pembangunan negara untuk dinikmati oleh rakyat di semua peringkat. Adalah penting untuk kita membuat penilaian kritikal secara berkala terhadap setiap strategi dan pelan tindakan, mengenalpasti hambatan-hambatan pelaksanaan yang menyumbang kepada kelambatan atau kelemahan dan penjajaran semula keutamaan-keutamaan apabila ianya diperlukan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola menyambut baik perkembangan positif syarikat-syarikat FDI yang telah dan akan beroperasi di negara ini. Dengan lapan belas lagi projek FDI baharu yang dijangka akan menjana 3,000 peluang pekerjaan antara tahun 2026 hingga 2029 dan juga mewujudkan pelbagai peluang perniagaan kepada perusahaan tempatan.

Ini adalah khabar gembira dan peluang besar untuk anak-anak tempatan yang mencari pekerjaan. Namun bagi memastikan agar manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat Kaola, mencadangkan agar maklumat pekerjaan-pekerjaan baharu yang akan datang ini diuar-uarkan lebih awal melalui platform-platform rasmi kerajaan untuk pengetahuan dan persiapan awal mengenainya. Di samping itu, latihan-latihan kemahiran yang berkaitan juga boleh mula dirancang dan dibukakan kepada mereka yang berminat. Road map penyertaan tenaga kerja tempatan dalam projek-projek FDI juga perlu disediakan untuk rujukan mengenainya.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Berkaitan pelaksanaan projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Kemajuan Negara yang Ke-12 yang melibatkan 305 projek pembangunan, pengurusan projek yang cekap adalah kritikal bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut jadual, kos dan skop yang dirancang.

Oleh itu adalah penting agar pemantauan secara berkala dilaksanakan dari semasa ke semasa, mengambil tindakan intervensi awal serta merta bagi projek-projek yang menunjukkan tanda-tanda kelemahan atau kelewatan, penjajaran semula projek-projek yang dikenal pasti sudah tidak lagi relevan bagi mengelak pembaziran wang kerajaan dan juga tenaga kerja. Pengajaran daripada kelemahan dalam pelaksanaan projek-projek sebelumnya perlulah dinilai dan dijadikan panduan agar ianya tidak akan berulang.

Peruntukan kemajuan adalah satu bentuk pelaburan besar dari kerajaan untuk mentransformasikan negara ke tahap yang lebih baik agar dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, kehidupan yang berkualiti tinggi serta ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Lanskap perkembangan ekonomi global masa kini menunjukkan bahawa isu perubahan iklim, aspek kelestarian ekonomi hijau serta peralihan tenaga berperanan penting dalam menentukan daya saing sesebuah ekonomi. Negara kita yang kaya dengan sumber hutan semula jadi dan komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar bukan sahaja mampu menyumbang kepada usaha mitigasi perubahan iklim malah berpotensi menjadi aset strategik dalam pembangunan ekonomi mampan dan membuka ruang untuk menjadikan Brunei sebagai pusat kerjasama perubahan iklim ASEAN selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenainya. Peluang ini wajar diambil dan dimanfaatkan untuk memperkukuh sektor-sektor penyelidikan, inovasi dan pelaburan dalam ekonomi hijau.

Di samping itu, kekuatan negara pada kedudukan geografi dan kestabilan negara dengan pegangan nilai-nilai ugama dan budaya tempatan juga mampu menarik pelaburan asing khususnya dalam bidang ekonomi hijau, penyelidikan alam sekitar dan pembangunan mampan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kekuatan ekonomi sesebuah negara bukan sahaja diukur melalui angka, pertumbuhan semata-mata tetapi sejauh mana rakyat dapat menikmati manfaat dari pembangunannya itu secara adil dan seimbang. Laporan Social Blueprint merekodkan bahawa meskipun tahap pendapatan negara secara keseluruhannya meningkat, namun kadar Gini coefficient menunjukkan jurang ketidaksamarataan yang semakin melebar yang memberi kesan kepada kualiti hidup rakyat.

Dalam masa yang sama, kekurangan peluang-peluang pekerjaan dengan pendapatan yang seimbang turut memberikan tekanan kepada kos sara hidup rakyat. Tekanan-tekanan ini jika ianya berlarutan akan mengakibatkan risiko peningkatan penerima-penerima bantuan dan peningkatan isu-isu keselamatan keluarga dan risiko keganasan rumah tangga.

Oleh itu, usaha memperkukuh perlindungan sosial serta sokongan kepada keluarga khususnya bagi golongan wanita dan kanak-kanak hendaklah menjadi keutamaan. Lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran-cabaran baharu yang timbul seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan landskap sosial. Dalam dunia digital yang terkini, ancaman-ancaman seperti eksploitasi dalam talian, penyalahgunaan teknologi dan buli siber semakin berleluasa melalui platform digital memerlukan pendekatan yang lebih holistik, merentas kementerian dari aspek-aspek perundangan, penguatkuasaan dan kesedaran masyarakat.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Perlu diingat kejayaan belanjawan ini dan semua perancangan dasar kerajaan bergantung kepada penggerak atau pelaksana yang cekap dalam budaya kerja yang cemerlang. Dalam hal ini, sekali lagi kaola menekankan kepentingan transformasi perkhidmatan awam dan budaya kerja sebagai nadi penggerak jentera kerajaan di semua sektor kerajaan termasuk swasta dengan mengutamakan produktiviti, akauntabiliti, integriti dan pencapaian hasil.

Sifat telus dan terbuka untuk menerima pandangan, kritikan serta maklum balas daripada semua pihak termasuk rakyat awam adalah penting untuk diterapkan kerana suara rakyat adalah cerminan sebenar keberkesanan dasar-dasar yang dilaksanakan.

Dalam sebuah negara yang maju, suara rakyat akan sentiasa didengar dan menjadi rujukan dalam memperbaiki dasar serta pelaksanaan pembangunan negara. Semangat patriotisme juga perlu terus dipupuk supaya rakyat turut serta memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola menyokong penuh belanjawan ini dan menegaskan di sini bahawa setiap dolar untuk peruntukan ini adalah amanah kepada mereka yang dipertanggungjawabkan menguruskannya. Kaola yakin pihak-pihak berkaitan akan menggunakan belanjawan ini dengan bijak bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan memajukan negara ke arah yang lebih baik dan seterusnya bersama menjayakan Wawasan Brunei 2035, insya Allah. Negara yang berjaya melaksanakan amanah ini adalah negara yang mampu memberikan manfaat kepada seluruh rakyat dan penduduk negara.

Oleh itu, dengan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan diikuti dengan usaha yang bersungguh-sungguh serta kerjasama semua pihak dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala negara kita akan terus melangkah ke hadapan untuk merealisasikan hasrat Wawasan Brunei 2035 demi masa depan yang lebih berkat, makmur dan sejahtera bagi seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim

Bismillahir Rahmanir Rahim (Doa dibaca).

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memberi laluan kaola untuk membahaskan belanjawan ini.

Terlebih dahulu izinkan kaola merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II di atas pembentangan belanjawan Tahun Kewangan 2026/2027 yang begitu komprehensif, fokus dan berkesinambungan. Pembentangan dan kenyataan ini menyentuh secara terperinci pencapaian hala tuju dan tumpuan-tumpuan utama ke arah menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan, dinamik dan inklusif. Meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memelihara keamanan dan kemakmuran negara terutamanya dalam usaha mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

Kaola ingin mengucapkan syabas di atas usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana dapat mengekalkan pertumbuhan positif KDNK dan perdagangan negara secara menyeluruh pada tahun 2025. Begitu juga inisiatif-inisiatif baru seperti yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seperti maritim, ekosistem bagi menyokong transhipment negara. Penubuhan Pusat Pangkalan Data berasaskan Kecerdasan Buatan, AI dan perkembangan dalam ekopelancongan.

Kesemua usaha ini, insya Allah akan merangsang lebih banyak lagi aktiviti ekonomi, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing perniagaan tempatan di peringkat serantau. Walaupun tahap pengangguran bagi penduduk berumur 18 tahun ke atas masih terkawal pada kadar yang dijangka meningkat ke lima peratus namun kita juga prihatin mengenai peningkatan kadar pengangguran belia pada tahun 2024 sebanyak 18.3 peratus berbanding dengan 16.8 peratus pada tahun sebelumnya.

Walau bagaimanapun, Kaola masih menaruh harapan jika inisiatif-inisiatif yang dibentangkan semalam dilaksanakan seperti yang dirancang ia akan memberikan impak meluas pada meningkatkan lagi tahap kehidupan dan kesejahteraan rakyat negara ini di bawah pimpinan bijaksana dan berwawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, insya Allah.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Kaola menyokong sepenuhnya tema Belanjawan 2026/2027 iaitu ‘Bersama Menjayakan Wawasan Brunei 2035’, ia menggambarkan komitmen berterusan negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 yang berteraskan falsafah negara Melayu Islam Beraja. Begitu juga dengan tiga fokus yang dibentangkan iaitu memperkukuh kestabilan fiskal dan tadbir urus kewangan, memperkasa ekonomi melalui transformasi dan inovasi serta menjamin kelestarian sosial dan pembangunan masa hadapan.

Kaola juga berpendapat bahawa belanjawan tahun 2026/2027 ini seharusnya dilihat sebagai pemudah cara dan pemangkin ke arah mencapai strategi-strategi yang mempunyai impak yang luas, signifikan, long lasting dan forward looking khususnya yang akan dapat mempercepatkan lagi transformasi struktur dan landskap ekonomi negara secara holistik. Ini sudah setentunya mengimbau kesepaduan semua pihak yang berkepentingan melalui whole of nation approach dalam menjayakan hasrat ini.

Di samping dasar kerajaan yang forward looking, penglibatan aktif GLCs dan keberkesanan institutional development, pada pandangan kaola peranan institusi kewangan adalah juga penting sebagai pemangkin ke arah menjayakan dan memacu pertumbuhan ini. Ini bukan saja dalam bentuk penyediaan akses kepada permodalan perniagaan malahan dalam melahirkan bakat dan kemahiran para usahawan bagi mendukung dan menghasilkan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif dan receptive. Ke arah itu, izinkan kaola memberi sedikit pandangan sebagai usaha kaola menyokong dan mendukung inisiatif kerajaan ini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Kaola perhatikan secara keseluruhanya jumlah peruntukan yang disediakan pada Tahun Kewangan 2026/2027 iaitu sebanyak BND6.3 bilion adalah hampir sama dengan yang disediakan pada tahun lepas. Begitu juga kewangan sebanyak $480 juta yang diperuntukkan bagi RKN Ke-12. Dalam pada itu, unjuran hasil pula nampaknya dianggarkan menurun kepada BND2.3 bilion berbanding dengan yang dikemaskinikan bagi tahun 2025/2026. Pengurangan ini memang sudah dijangkakan memandangkan pada Tahun Kewangan 2026/2027 ini juga belanjawan negara masih diramal mengalami defisit.

Untuk itu, Kaola menyokong langkah kerajaan untuk meneruskan dasar growth friendly fiscal consolidation bagi mengseimbangkan pencapaian pertumbuhan positif dalam fiscal face yang terhad ini. Kaola rasa inilah salah satu cabaran utama yang perlu kita tangani secara bersepadu, collectively, melalui the whole of nation approach kerana keterhadan fiskal kerajaan ini juga menjadi salah satu penentu untuk negara melaksanakan program-program kemajuan yang lebih meluas di masa akan datang.

Unjuran fiscal possession outlook yang disediakan oleh pihak AMRO menunjukkan negara akan masih mengalami cabaran fiskal dalam waktu yang terdekat ini. Namun, jumlah ini juga akan bergantung pada beberapa risiko seperti harga minyak global yang tidak menentu, volatile. Kadar pertumbuhan rakan perdagangan negara dan gangguan penghasilan disebabkan penutupan yang tidak dirancang.

Jika diamat-amati dari cadangan belanjawan yang dibentangkan pada tahun ini, projek-projek infrastruktur baru dalam RKN12 yang diharap akan membantu merangsang pertumbuhan kluster-kluster utama nampaknya masih banyak lagi di peringkat awal pelaksanaannya dan dijangka belum banyak menghasilkan multiplier effect yang dihasratkan pada tahun kewangan ini.

Begitu juga permintaan domestik, domestic demand, dan kemudahan tempatan, domestic consumption, masih di tahap yang rendah untuk memberikan spin-off effect yang diharapkan disebabkan kekekangan aktiviti ekonomi domestik yang ditambah lagi dengan pengaliran matawang keluar negeri dan aktiviti pelaburan yang belum begitu menyerlah walaupun terdapat petanda baik ianya makin meningkat. Ke arah itu, kaola berpendapat pelaksanaan agenda fiskal mampan yang menekankan pada pengurusan perbelanjaan yang lebih cekap, berimpak tinggi dan berorientasikan hasil adalah cadangan yang tepat pada waktunya, terutamanya bagi mengelakkan perbelanjaan yang kurang berkeutamaan.

Dalam waktu yang sama, usaha ke arah memperkesankan pengutipan tunggakkan hasil yang jumlahnya beratus juta dollar perlu juga diberi penekanan yang serius. Ke arah itu, kaola mengalu-alukan usaha kerajaan termasuk mengukuhkan pelaksanaan PPP, meneliti fiscal rule dan penambahbaikan program dan performance budgeting yang kesemuanya, insya Allah, akan memperkukuhkan lagi kestabilan fiskal.

Begitu juga inisiatif-inisiatif menarik lebih banyak lagi FDI baru. Kaola mengucapkan tahniah di atas kejayaan ini. Namun, kaola berpendapat walaupun kita telah berjaya membawa masuk 43 FDI yang baru ini, adalah juga bersesuaian supaya keberkesanan strategi yang sedia ada akan berterusan direviu dan refresh mengambil kira landskap ekonomi global yang cepat berubah supaya ianya akan lebih berdaya tahan, efektif dan berdaya saing setanding dengan negara-negara di rantau ini.

Untuk itu, kaola mengalu-alukan apa jua usaha mereviu semula strategi dasar peraturan support services keberkesanan jentera bergerak dan penambahbaikan infrastruktur negara bagi menghasilkan strategi FDI yang bersepadu, sejajar, coordinated dan berimpak tinggi. Di samping itu, maklumat FDI baru ini perlulah dibarigakan kepada orang ramai dan masyarakat perniagaan supaya syarikat-syarikat tempatan ini terutamanya PMKS akan dapat memanfaatkan yang diharapkan dari penglibatan dan kolaborasi dengan pelabur-pelabur asing.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Jika kita amat-amati negara kita alhamdulillah tidaklah kekurangan sumber kewangan yang diperlukan untuk permodalan pelaburan. Sektor perbankan negara berterusan kukuh dengan institusi perbankan mempunyai permodalan yang tinggi, highly capitalised, dan tahap kecairan yang lebih dari mencukupi.

Cuma setakat ini, hanya sebahagian kecil saja simpanan domestik digunapakai untuk membantu perkembangan dan pelaburan real sector di negara ini. Ini memang difahami jika tidak terdapat projek-projek yang commercially viable di dalam negeri. Namun di kebelakangan ini, sudah terdapat beberapa FDI yang boleh dibiayai dengan simpanan domestik ini.

Selain itu, beberapa tahun kebelakangan sudah ada usaha negara untuk mengadakan secondary market. Misalnya bagi pengeluaran suku domestik yang boleh menjadi instrumen pelaburan. Dan dua tahun lepas, kita juga telah dimaklumkan dalam dewan ini bahawa kerajaan sedang giat menubuhkan bursa saham yang bukan saja akan menggiatkan aktiviti ekonomi dan pelaburan di negara ini, malahan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada anak-anak tempatan. Yang pentingnya, institusi-institusi kewangan yang sedia ada perlu mengukuhkan tadbir urus, governance, dan pengawalseliaan bagi mengurangkan risiko dari kesalinghubungan keterdedahan, exposure, terutama dari aktiviti-aktiviti berkaitan dengan pinjaman perbankan di luar pesisir.

Ini mengambilkira keadaan geopolitik global yang berterusan mencabar termasuk yang dibawa oleh arus kemajuan, transformasi teknologi maklumat dan digitalisation yang semakin pesat, cybersecurity, peralihan landskap tenaga dan risiko-risiko realiti iklim baharu.

Begitu juga mengenai isu berkaitan dengan institutional development. Kaola perhatikan, kerajaan dari masa ke semasa berterusan memperkenalkan pembaikan dasar dan peraturan. Cuma yang perlu dikukuhkan lagi ialah ialah pensejajaran, kesepaduan, transparency dan governance khususnya di peringkat pelaksanaan. Sikap keterbukaan atau responsif pada cadangan membina perlu menjadi amalan utama dalam melahirkan perkhidmatan awam yang lebih dinamik prihatin, inovatif, berorientasikan rakyat dan mesra perniagaan yang diadun dengan pelan transformasi digital 2030.

Pada pandangan kaola, maklumbalas orang ramai terutamanya dari masyarakat bisnes antaranya mengenai cabaran-cabaran terhadap kelangsungan perniagaan dan aliran tunai pengusaha perlu diambil perhatian, dianalisa dan diteliti kebolehlaksanaanya. Beberapa input seperti ini juga pernah disentuh oleh IMF dalam laporan Article IV Consultation terutamanya yang berkaitan dengan meningkatkan environment bisnes bagi menarik penglibatan sektor swasta dan cabaran structure yang mengehadkan usaha untuk menarik FDI dan PPP.

Dengan memperkukuhkan lagi institutional development ini, ianya akan memudahkan masyarakat perniagaan khususnya untuk mengatasi cabaran-cabaran kelangsungan perniagaan yang akan memperkasa dan menggalakkan lagi penglibatan aktif sektor swasta ke arah mencapai matlamat Wawasan 2035.

Mudah-mudahan, inisiatif-inisiatif ini akan dapat membantu merangsang lagi aktiviti ekonomi domestik, meningkatkan pendapatan negara dan sekaligus menyediakan lebih banyak lagi peluang pekerjaan yang berkualiti kepada anak-anak tempatan selaras dengan kelulusan dan kelayakan masing-masing. Ini juga diharap akan dapat mengurangkan jurang perbezaan kadar pendapatan di antara sektor awam dan sektor swasta dan dalam waktu yang sama, akan dapat meningkatkan purchasing power rakyat dan penduduk secara amnya.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Sekianlah dulu pandangan kaola berkenaan belanjawan tahun 2026/2027. Kaola berdoa semoga belanjawan tersebut akan mencapai objektifnya ke arah meningkatkan kemakmuran negara serta memperbaiki kehidupan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk pada hari ini dan masa akan datang. Insya Allah.

Ke arah itu, kaola menyokong sepenuhnya Belanjawan 2026/2027 ini. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan memudahkan dan memberkati usaha pucuk pimpinan dan kita semua selaku rakyat dan penduduk dikurniakan kebahagiaan, keharmonian dan rahmat Allah untuk menjadikan negara ini berterusan sebagai negara zikir, sentiasa aman damai, makmur sejahtera dengan mendapat keredaan Allah.

Untuk akhirnya, dengan mengambil sukut baik bulan Ramadan yang penuh barakah ini, kaola mengambil kesempatan berdoa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa selamat, sihat walafiat, dikurniakan kesembuhan yang segera dan berpanjangan.

Didoakan baginda serta seluruh kerabat Diraja akan berterusan dikurniakan nikmat lanjut usia, sihat sejahtera, keberkatan di bawah perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala. Sekian, wabillahi taufiq walhidayah wassalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh. Kaola memohon maaf Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana mengambil satu minit dua puluh masa. Terima kasih.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya sekarang mempersilakan Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee.

Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Selamat tengah hari dan salam sejahtera. Pertama sekali izinkan kaola mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa dan semoga diterima segala ibadah di bulan Ramadan ini. Kaola juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II atas pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun Kewangan 2026/2027, serta mengucapkan tahniah kepada kementerian-kementerian yang berkaitan atas usaha dan pencapaian mereka.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Dunia belum sepenuhnya pulih daripada kesan pandemik COVID-19. Namun begitu, bukannya menuju ke arah kestabilan, persekitaran global kini kelihatan memasuki satu lagi tempoh ketidaktentuan yang dipengaruhi oleh peningkatan ketegangan geopolitik, kecenderungan perlindungan perdagangan serta peralihan ke arah pendekatan unilateral dalam hubungan antarabangsa.

Pada masa yang sama, negara-negara terus berhadapan dengan pelbagai cabaran yang saling berkait. Antaranya, perubahan iklim dan keselamatan makanan, tekanan terhadap tenaga, ketidaktentuan kewangan serta jurang sosial dan ekonomi yang semakin melebar. Perkembangan ini menunjukkan bahawa daya tahan negara semakin kerap diuji. Dalam keadaan seperti ini, adalah wajar untuk kita menilai beberapa persoalan penting.

Sejauh manakah kita sebagai negara, ekonomi dan masyarakat bersedia menghadapi ketidaktentuan yang bakal datang? Dan bagaimanakah perubahan global ini akan mempengaruhi usaha kita yang sekian lama ke arah kepelbagaian ekonomi? Persoalan-persoalan ini perlu menjadi asas kepada keputusan dalam menentukan langkah seterusnya.

Sehubungan itu, seperti yang ditekankan semasa pembentangan Belanjawan kelmarin, kerajaan perlu terus bertindak secara berwaspada dan strategik. Kerajaan merakamkan penghargaan terhadap penekanan yang diberi kepada kemampanan fiskal, pengukuhan sistem kutipan hasil serta penggubalan Fiscal Consolidation Programme 2.0, yang menunjukkan komitmen untuk memastikan perbelanjaan kerajaan dilaksanakan secara berhemah dan memberi hasil yang bermakna kepada ekonomi negara.

Dalam masa yang sama, kita juga perlu mengingat bahawa negara kita pernah menunjukkan daya tahan yang tinggi. Pada peringkat awal pandemik COVID-19, Brunei mencatatkan antara kadar jangkitan dan kematian yang paling rendah di dunia. Kejayaan ini dicapai melalui whole of nation approach, di mana agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat bekerjasama dengan penuh disiplin dan kesepaduan.

Pengalaman ini mengingatkan kita bahawa semangat kerjasama dan tanggungjawab bersama sudah pun wujud dalam masyarakat kita. Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah menghidupkan semula semangat tersebut dalam menghadapi cabaran yang mendatang.

Beberapa langkah positif juga telah diambil. Sebagai contoh, inisiatif untuk menubuhkan Agri-Tech Food Zone Brunei-Singapore merupakan satu usaha praktikal untuk memperkukuh keselamatan makanan di samping menyokong usaha kepelbagaian ekonomi. Dengan memanfaatkan kelebihan Brunei dari segi ketersediaan tanah serta kepakaran Singapura dalam bidang agroteknologi, pengawalseliaan dan keterhubungan pasaran, kerjasama ini berpotensi membangunkan ekosistem yang lebih kukuh dalam sektor industri makanan.

Begitu juga, usaha seperti pengkorporatan beberapa entiti serta pembaharuan kawal selia yang bersasar menunjukkan kesediaan untuk melaksanakan langkah-langkah praktikal bagi meningkatkan kecekapan, memperkukuh daya saing serta menyokong daya tahan ekonomi dalam jangka panjang.

Seterusnya, Kaola ingin menyentuh mengenai perancangan strategik serta akauntabiliti dasar. Banyak inisiatif pembangunan negara berpandukan strategi pembangunan jangka panjang yang disokong oleh pelan sektor jangka sederhana. Rangka kerja ini memberi hala tuju kepada keutamaan pembangunan negara serta pelaburan awam. Namun begitu, dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu, adalah penting agar strategi-strategi ini dinilai dan dikemas kini secara berkala bagi memastikan ia kekal relevan dan berkesan.

Dalam hal ini, kaola ingin memohon penjelasan mengenai mekanisme yang digunakan untuk memantau pelaksanaan pelan strategik tersebut serta memastikan peruntukan yang disediakan terus memberikan hasil yang boleh diukur. Berapa kerapkah penilaian pertengahan tempoh dilaksanakan? Apakah petunjuk yang digunakan untuk menilai sama ada program berjalan seperti yang dirancang? Sekiranya sasaran tidak tercapai, apakah proses yang membolehkan dasar dan keutamaan pelaksanaan diselaraskan semula?

Dalam konteks ini juga, kaola ingin menarik perhatian kepada sektor pelancongan yang telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada lima sektor keutamaan dalam usaha kepelbagaian ekonomi negara. Sektor ini berupaya menjana aktiviti ekonomi merentasi pelbagai industri seperti makanan dan minuman, perkhidmatan pengangkutan, perniagaan runcit, penginapan serta industri kreatif. Perkembangan seperti Borneo Eco-Resort, De' Patoi Restaurant dan Abode Resort and Spa menunjukkan peningkatan pelaburan dalam sektor pelancongan. Oleh itu, aliran pelawat yang berterusan adalah penting bagi memastikan kemudahan-kemudahan ini dapat beroperasi secara mampan serta terus menyumbang kepada ekosistem pelancongan negara.

Seiring dengan perkembangan ini, kita juga mula melihat pertumbuhan dalam sektor pelancongan kapal persiaran. Brunei dijangka menerima lebih daripada dua kali ganda ketibaan kapal persiaran pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya, dengan jangkaan melebihi 70,000 penumpang. Ini merupakan jumlah tertinggi yang pernah direkod dan mencerminkan minat antarabangsa yang semakin meningkat terhadap Brunei sebagai destinasi pelancongan. Lawatan-lawatan ini menjana perbelanjaan dalam pengangkutan makanan dan minuman, cenderamata serta pengalaman tempatan. Pada masa yang sama kapal persiaran juga memerlukan bekalan makanan, minuman, bahan api serta berbagai keperluan lain semasa berada di pelabuhan.

Walaupun perkembangan ini amat menggalakkan ia juga menimbulkan persoalan mengenai tahap kesiapsagaan kita sebagai destinasi pelancongan. Tanpa persediaan yang mencukupi terdapat risiko bahawa peningkatan jumlah pelancong ini tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk ekonomi atau pengalaman pelawat yang positif. Sehubungan itu, adakah terdapat rancangan untuk terus membangunkan pelancongan kapal persiaran.

Seterusnya, bagaimana penyelarasan antara agensi dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan, kemudahan pembayaran, pengendali pelancongan serta perkhidmatan pelawat bersedia untuk menerima ketibaan ini secara berkesan dan apakah strategi yang dirancang untuk menggalakkan penumpang kapal persiaran kembali sebagai pelancong yang tinggal lebih lama pada masa hadapan. Pelancongan kapal persiaran memberi peluang kepada negara kita untuk memperkenalkan Brunei kepada ribuan pelawat pada satu masa. Jika dirancang dengan baik, ia boleh menjadi pintu masuk kepada pertumbuhan pelancongan yang lebih luas.

Akhirnya usaha kepelbagaian ekonomi memerlukan strategi yang jelas, pelaksanaan yang terselaras serta komitmen yang berterusan. Dalam meneruskan perjalanan kita ke arah Wawasan Brunei 2035. Persoalannya bukannya sama ada perubahan akan berlaku, perubahan adalah sesuatu yang pasti. Persoalannya sebenar ialah sama ada kita sedang mempersiapkan ekonomi, perniagaan dan rakyat kita lebih awal supaya perubahan tersebut dapat diterjemahkan sebagai peluang. Oleh itu dasar serta pelaburan yang kita bincangkan agak penting dalam Dewan mulia ini terus memperkukuh daya tahan ekonomi negara serta menyumbang kepada aspirasi bersama kita untuk bersama menjayakan Wawasan Brunei 2035.

Sekian terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Terima kasih Ahli-Ahli Yang Berhormat. Alhamdulillah. Kita telah pun mendengar perbahasan peringkat dasar. Saya kira cukuplah pada hari ini kita bersidang dan saya cadangkan supaya mesyuarat kita ini ditangguhkan.

Insya Allah kita akan bersidang semula pada esok hari iaitu Isnin, 16 Mac 2026 sebagaimana lazim mulai daripada jam 9.30 pagi.

Sekian, Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.

(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)

Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.