HARI KE-3 PAGI
đź“– Masa membaca: 109 minit
📊 Bilangan kata: 22,458 kata
14HB MAC 2026 PAGI​
(Mesyuarat mula bersidang pada pukul 9.30 pagi)
Yang Mulia Jurutulis​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara bersidang pada hari ketiga pada hari ini, Sabtu, 24 Ramadan 1447 bersamaan 14 Mac 2026, dan didahului dengan Doa Selamat.
DOA SELAMAT​
(Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustafa bin Haji Murat, Imam Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah).
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua kita dapat bersidang lagi pada hari ketiga dalam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara.
Selawat serta salam ke atas junjungan besar kita, Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, kaum kerabat, para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, kita akan memulakan hari ini dengan urusan yang sudah disediakan.
Yang Mulia Jurutulis​
Waktu Pertanyaan bagi Jawab Lisan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekarang saya membukakan ruang bagi waktu pertanyaan selama 60 minit. Sebagai peringatan, Ahli-Ahli rasmi kerana jawatan akan mempunyai had masa 10 minit untuk menjawab setiap pertanyaan. Mana-mana pertanyaan yang tersenarai di dalam Perintah Harian tetapi tidak sempat dijawab pada hari ini akan dijawab secara bertulis dan akan diterbitkan Insya Allah dalam dokumen rasmi Majlis Mesyuarat Negara dalam masa 24 jam.
Di hadapan kita sekarang terdapat senarai pertanyaan yang dikemukakan. Saya mulakan dengan soalan pertama dari Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin yang ditujukan kepada Yang
Berhormat Menteri Pembangunan. Silakan.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola jua ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin yang diantara soalan yang dibangkitkan ialah apakah langkah ABCi untuk mempermudah dan memperjelas proses kelulusan termasuk pelan rumah piawai, kelulusan berperingkat, dan bimbingan teknikal awal. Ini maksudnya ialah mengenai dengan permohonan pembinaan kemajuan-kemajuan pembinaan dan jua soalan ini ada membangkitkan jua memandangkan kos pembinaan rumah adalah tinggi di sini.
Jadi, kaola cuba untuk menjawab soalan ini Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Pertama sekali ialah mengenai dengan inisiatif yang disediakan oleh Jabatan ABCi, di antaranya ialah mengadakan, menganjurkan sesi bersemuka one-to-one bersama dengan QP, Qualified Persons, melalui pertama, One Kick Submission Clinic sebagai satu platform perbincangan awal sebelum permohonan rasmi dihadapkan oleh pemohon-pemohon kemajuan melalui sistem OneBiz.
Ini adalah bertujuan untuk membantu pihak QP memahami keperluan teknikal dan dokumentasi yang dikehendaki untuk dihadapkan semasa menghadapkan permohonan dengan tujuan untuk mengurangkan masalah yang sering didapati apabila pihak QP tidak menghadapkan permohonan dengan lengkap seperti yang dikehendaki, kerana dengan adanya dokumentasi yang lengkap akan memudahkan pihak ABCi mempercepatkan proses semakan permohonan kemajuan.
Di samping itu, pihak ABCi juga ada memberikan usaha-usaha pemberigaan dan penjelasan maklumat kepada pihak QP dan orang ramai melalui beberapa saluran di antaranya ialah termasuk platform media sosial dan laman sesawang rasmi jabatan. Ini adalah bertujuan untuk memperjelaskan tatacara keperluan dan syarat-syarat kelulusan yang perlu dipatuhi. Inisiatif terkini yang dilaksanakan adalah pemberigaan menerusi program wawancara segmen MOD which is MOD Dialogue, kedua ialah Rampai Pagi RTB yang telah diadakan pada 28 Januari 2026 yang lepas, iaitu berkenaan dengan proses kemajuan bangunan dan penguatkuasaan ABCi.
Mengenai dengan yuran perkhidmatan dan kos-kos lain yang lazimnya dikenakan ialah ia dikenakan di atas perjanjian di antara pemohon iaitu pemilik-pemilik kemajuan perumahan ataupun pemilik rumah yang sendiri yang akan dibangunkan di antara pemilik rumah ini dengan Qualified Person maksudnya ialah Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan berdasarkan keperluan
perjanjian yang dipersetujui di antara mereka dengan pemilik selaku klien. Keperluan kos lain termasuklah kos bagi lantikan pembina termasuk penyelaras keselamatan di tapak bina dan keperluan kos yang lain yang berkaitan.
Daripada data yang diperolehi oleh kementerian melalui Jabatan ABCi ialah permohonan rumah persendirian pada misalannya yang berharga $250,000 kos pembinaan, jadi daripada kos tersebut kos perkhidmatan Qualified Person ani dilihat adalah di antara 3.5 peratus ke 6.5 peratus iaitu di antara anggaran $8750 dan sehingga ke $16,250 ani.
Ani adalah bagi yuran professional QP yang dikenakan. Yang kitani ketahui jua secara umumnya, kos yang dikenakan oleh Qualified Person ini lazimnya yang digunakapakai di antara $8,000 sehingga ke $10,000 bagi pembinaan sesebuah rumah yang menggunakan khidmat Qualified Person ini.
Atu tah serba ringkas yang dapat kaola sampaikan bagi menjawab soalan Ahli Yang Berhormat tadi, kaola berterima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Terima Kasih, kita beralih kepada soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Bismillahir Rahmanir Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam sejahtera dan selamat pagi. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Pada menjawab soalan Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub mengenai ciri-ciri keselamatan fizikal dan digital di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kaola sukacita memaklumkan bahawa operasi dan pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei adalah berpandukan piawaian dan garis panduan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa iaitu International Civil Aviation Organization yang juga dikenali sebagai ICAO.
Dalam hubungan dengan ini, konvensyen mengenai penerbangan awam antarabangsa mempunyai lampiran atau annexes yang mengandungi piawaian dan amalan disyorkan atau standards and recommended practices yang mewujudkan garis asas global untuk keselamatan dan kecekapan penerbangan yang perlu dipatuhi. Khususnya Annex 17 adalah berkaitan dengan keselamatan penerbangan awam, Annex 14 mengenai pengurusan aerodrome dan Annex 19 berkaitan safety management.
Pendekatan ini memastikan aspek pencegahan pengesanan dan tindak
balas terhadap sebarang ancaman dilaksanakan secara bersepadu dan sistematik.
Dari segi tadbir urus keselamatan lapangan terbang adalah dipimpin oleh Seksyen Sekuriti Penerbangan di bawah Jabatan Penerbangan Awam yang bertanggungjawab merangka, menyelaras dan memantau pelaksanaan program keselamatan awam negara. Bahagian ini juga memastikan kawalan akses orang perseorangan dan kenderaan ke kawasan larangan dan kawasan airside dilaksanakan secara ketat melalui sistem pas keselamatan, pemeriksaan latar belakang serta audit pematuhan yang berterusan. Kawalan ini penting bagi menjamin hanya individu yang diberi kuasa sahaja dibenarkan memasuki kawasan operasi penerbangan.
Di samping itu, kehadiran Polis Diraja Brunei yang bertugas sebagai polis lapangan terbang memainkan peranan penting dalam penguatkuasaan undang-undang, rondaan keselamatan, kawalan ketenteraman awam serta tindak balas segera terhadap sebarang insiden jenayah atau ancaman keselamatan. Fungsi ini diperkukuhkan lagi dengan melaksanakan pemantauan berterusan melalui rondaan fizikal serta sistem kamera litar tertutup di kawasan terminal, perimeter dan zon berkepentingan.
Kehadiran beberapa agensi keselamatan dan penguatkuasaan kerajaan yang lain di terminal termasuk Jabatan Imigresen
Dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja turut memperkukuhkan kawalan keselamatan negara di pintu masuk utama ini.
Dalam konteks keselamatan operasi penerbangan, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei melalui fungsi security management dan safety management system turut memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan pesawat, anak kapal dan penumpang sentiasa terpelihara.
Ini termasuk pelaksanaan pemeriksaan keselamatan pesawat sebelum dan selepas penerbangan, latihan keselamatan kepada krew kabin dan kakitangan darat, pengurusan risiko operasi serta penyelarasan rapat dengan pihak lapangan terbang dan agensi keselamatan sekiranya berlaku sebarang ancaman atau insiden. Pendekatan ini memastikan keselamatan tidak hanya tertumpu di kawasan terminal malah meliputi keseluruhan rantaian operasi penerbangan.
Dari sudut keselamatan fizikal, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dilengkapi dengan sistem kawalan perimeter, pemeriksaan penumpang bagasi menggunakan teknologi peimbasan moden, serta sistem pengawasan CCTV yang dipantau secara masa nyata. Langkah-langkah ini dilaksanakan berasaskan penilaian risiko semasa dan sentiasa dikemaskini mengikut perkembangan ancaman global.
Seiring dengan perkembangan teknologi dan peningkatan risiko siber terhadap
infrastruktur kritikal, aspek keselamatan digital juga turut diberi perhatian serius, sistem maklumat dan operasi lapangan terbang dilindungi melalui kawalan akses digital, pengasingan rangkaian serta pemantauan keselamatan yang berterusan. Kerjasama kerjasama erat dilaksanakan bersama Cyber Security Brunei dalam pengurusan ancaman siber dan tindak balas insiden.
Di samping itu, Pelan Pemulihan Bencana dan Pelan Kesinambungan Operasi diwujudkan bagi memastikan operasi lapangan terbang dapat diteruskan walaupun berlaku gangguan sistem atau insiden keselamatan siber.
Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei juga mempunyai Pelan Tindakan Kecemasan Lapangan Terbang yang komprehensif merangkumi kemalangan pesawat, ancaman keganasan, kebakaran, bencana alam, kecemasan kesihatan awam dan gangguan kepada sistem kritikal. Pelan ini diuji secara berkala, melalui latihan simulasi berkala, penuh dan melibatkan kesemua agensi berkaitan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap optima.
Secara keseluruhannya, ciri-ciri keselamatan fizikal dan digital di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dilaksanakan melalui pendekatan yang menyeluruh, berlapis dan bersepadu dengan penglibatan Jabatan Penerbangan Awam sebagai peneraju kawal selia. Polis Lapangan Terbang sebagai penguatkuasa agensi-agensi keselamatan kerajaan yang berkaitan serta Syarikat Penerbangan Diraja Brunei dalam menjaga keselamatan pesawat dan penumpang.
Pendekatan ini adalah selaras dengan piawaian-piawaian ICAO dan mengambil kira lanskap keselamatan Negara Brunei Darussalam yang menekankan kesiapsiagaan, ketahanan dan perlindungan terhadap sebarang ancaman keselamatan, keganasan dan kecemasan luar jangka.
Pada masa yang sama, ICAO juga memastikan pematuhan global melalui dua program pemantauan mereka yang juga melibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei iaitu Universal Safety Oversight Audit Program iaitu Program Audit Pemantauan Keselamatan Sejagat yang memberi tumpuan kepada keupayaan negara untuk menyediakan pengawasan keselamatan dan Universal Security Audit Program iaitu Program Audit Keselamatan Sejagat dengan memberi tumpuan kepada melindungi penerbangan daripada gangguan yang menyalahi undang-undang seperti keganasan, sabotaj dan lain-lain.
Sekian saja yang kaola sampaikan dan terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan seterusnya, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat pagi dan salam sejahtera. Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola terlebih dahulu mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, atas pencernaan mengenai bagaimana penglibatan rakyat khususnya golongan belia dan usahawan dapat diperkasa dalam proses rumusan, pelaksanaan dan penyeliaan dasar negara.
Untuk makluman Yang Berhormat, Jabatan Perdana Menteri melalui perkhidmatan pengurusan yakni MSD telah pun memperkenalkan Pelaksanaan Pendekatan Awam atau Regular Public Engagement, RPE oleh agensi-agensi kerajaan sejak tahun 2018 melalui Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri bilangan 6/2018.
Pelaksanaan ini turut disokong dengan garispanduan pendekatan awam yang bertujuan untuk menggalakkan penglibatan pihak berkepentingan merangkumi semua golongan yang terkesan atau mempunyai kepentingan terhadap sesuatu dasar termasuk golongan belia dan usahawan sebagaimana yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat secara lebih bersistematik dan berkesan.
Selain itu, Jabatan Perdana Menteri melalui Jabatan Perkhidmatan Pengurusan juga akan sentiasa memperkukuhkan lagi Pelaksanaan Pendekatan Awam, RPE serta meningkatkan penglibatan pihak berkepentingan dan orang ramai termasuk meneroka penggunaan platform digital sebagai wadah penglibatan yang lebih terbuka dan telus.
Pendekatan awam turut disokong melalui Program Sua Muka yang dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan bersama penduduk-penduduk kampung berfungsi sebagai platform perhubungan dua hala antara kerajaan dan masyarakat setempat bagi berkongsi dasar, isu semasa serta menangani keperluan penduduk kampung.
Manakala, Program Masyarakat Bermaklumat, PMB adalah sebagai salah satu wadah kerajaan untuk menyampaikan mesej-mesej utama kerajaan terutama sekali yang menyentuh dasar dan inisiatif terkini bagi mempertingkatkan kefahaman orang ramai terutama sekali di peringkat akar umbi sekaligus menjadi platform untuk memperkukuhkan penglibatan masyarakat untuk mendapatkan isu, pandangan dan cadangan penambahbaikan.
Sebagai nilai tambah, antara lain program di bawah Jabatan Penerangan yang melibatkan golongan belia adalah seperti Program Perkampungan Sivik bagi lepasan ijazah bagi golongan belia dan lepasan ijazah dan remaja
penerangan bagi para penuntut tahun 9 dan 10 di sekolah-sekolah kerajaan dan swasta di seluruh negara.
Di samping itu, kerjasama dengan sektor-sektor di luar kerajaan seperti sektor swasta akan turut ditekankan melalui Jawatankuasa Transformasi Perkhidmatan Awam, JTPA mengikut kesesuaian perkara-perkara yang dibincangkan dalam memastikan penyelarasan dasar dan strategi secara rentas sektor serta menghasilkan impak yang menyeluruh. Sekian saja Yang Berhormat Yang Di-Pertua disampaikan. Terima Kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi​
Terima Kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan selamat pagi Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Terima kasih kepada Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan yang memohon status perkembangan terkini bagi penaiktarafan sistem pengangkutan awam.
Terlebih dahulu, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi menjunjung setinggi-tingginya titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-22, Majlis Mesyuarat Negara pada hari Khamis, 12 Mac 2026 yang antaranya menyentuh tentang usaha meneroka penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih berkualiti dan selamat.
Dalam hubungan ini, sukacita mengongsikan bahawa berikutan request for proposal untuk menyediakan, mengendalikan, mengurus dan menyelenggara perkhidmatan pengangkutan awam yang telah dikeluarkan sebelum ini oleh Jabatan Pengangkutan Darat, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi sekarang berada dalam peringkat rundingan lanjut dengan syarikat yang telah disenarai pendek khususnya mengenai aspek operasi, komersial dan kedayatahanan perkhidmatan.
Untuk makluman Yang Berhormat, dalam usaha menyediakan sistem perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat, efisien, boleh dipercayai dan lebih selesa, pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat-peringkat iaitu pertama penyediaan secara berfasa Perkhidmatan Pengangkutan Responsif Permintaan atau Demand Responsive Transit, DRT, iaitu perkhidmatan pengangkutan awam yang mana penumpang berkongsi kenderaan, van atau bas kecil dengan laluan dan jadual fleksibel mengikut permintaan penumpang secara tempahan yang juga didayakan dengan penggunaan teknologi digital.
Kedua, penyediaan secara berfasa perkhidmatan bas atau van tertakluk kepada jumlah penumpang bagi laluan-laluan utama secara berjadual dan disertakan kemudahan pengesanan kenderaan secara masa yang nyata.
Dalam hubungan ini, projek menaik taraf, mengemaskinikan pemasangan serta pembinaan baharu tiang-tiang perhentian bas dan pondok-pondok perhentian bas bagi laluan sedia ada dan laluan baharu sedang juga dilaksanakan. Memandangkan pelaksanaan penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam ini akan dibuat secara berperingkat-peringkat dan secara berfasa bermula dengan penyediaan Perkhidmatan Pengangkutan Responsif Permintaan atau Demand Responsive Transit.
Tumpuan awal akan diberikan kepada kawasan bandar terdahulu bagi memastikan kelestarian perkhidmatan memandangkan antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan perkhidmatan tersebut nanti adalah bilangan penumpang.
Walau bagaimanapun, memandangkan salah satu pasaran sasaran utama untuk perkhidmatan DRT adalah untuk penuntut-penuntut sekolah, ini berpotensi menjana permintaan yang mencukupi bagi kawasan-kawasan kampung sebagai contohnya.
Sekian disampaikan mengenai status perkembangan Sistem Pengangkutan Awam dan terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan terima kasih juga kepada Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed.
Soalan yang dibangkitkan iaitu berhubungan dengan cabaran utama dalam penyediaan kemudahan awam yang selepas dibina kurang dimanfaatkan. Serta sekiranya terdapat usaha bagi memastikan peruntukan awam disalurkan kepada projek yang memberi nilai guna jangka panjang kepada penduduk setempat?
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola ingin menyampaikan bahawa di dalam proses SOP yang dipatuhi pada masa ini ialah sebelum sesuatu projek pembinaan diluluskan, permohonan pembinaan sesuatu projek melalui beberapa proses penilaian dan pertimbangan di peringkat jawatankuasa dan jawatankuasa tertinggi RKN, Rancangan Kemajuan Negara sebelum diluluskan.
Jadi melihat daripada soalan yang dibangkitkan ini, jika ada penyediaan awam yang telah dibina tetapi kurang dimanfaatkan. Yang dapat saya andaikan di sini daripada persoalan ini ialah pada masa ini memang ada terdapat bangunan-bangunan yang digunakan tetapi pada masa ini tidak dapat dimanfaatkan seperti tujuannya kerana bangunan-bangunan yang contohnya sudah lama dan terdapat kerosakan-kerosakan yang memerlukan maintenance. Maka ini tertakluklah kepada resources-resources yang ada serta mengikut keutamaan bagi memperuntukkan, untuk memperbaiki bangunan-bangunan tersebut seperti contohnya ialah flat-flat yang kosong yang di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan.
Pada masa ini misalnya terdapat 3 buah bangunan iaitu flat kelas E yang sedang direpair dan setelah proses memperbaiki bangunan ini nanti, ia akan terus dimanfaatkan untuk diberikan kepada pemohonan-pemohonan rumah yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan di bawah Kementerian Pembangunan.
Selanjutnya melihat daripada relevan persoalan ini juga, ialah dari segi penyediaan dan pengurusan kemudahan awam yang juga tertakluk kepada bidang kuasa serta tanggungjawab agensi-agensi yang berkenaan. Bagi kemudahan seperti taman permainan kanak-kanak misalnya, ini adalah di bawah kawal selia dan penjagaan Kementerian Pembangunan. Memang kita ni dapat melihat berapa taman-taman permainan kanak-kanak di kawasan-kawasan perumahan di kesemua daerah yang telah rosak, usang dan memerlukan pemulihan semula.
Insya Allah, kerja-kerja ini memang dibuat perancangan untuk dibuat
pemulihan dan pemeliharaan yang berpanjangan bagi memudahkan perkara-perkara ini akan dapat terus dinikmati oleh penduduk-penduduk di kawasan-kawasan setempat, mengikut juga keutamaan resources yang ada.
Bagi setiap projek di bawah kawalan Kementerian Pembangunan ianya disejajarkan dengan tema belanjawan Kementerian Kewangan dan Ekonomi iaitu “Bersama menjayakan Wawasan Brunei 2035 secara mampan bagi menjamin kesejahteraan rakyat”.
Maka projek diperlukan untuk memenuhi kriteria-kriteria senarai semak RKN melalui penilaian dan penelitian beberapa keutamaan seperti nilai tambah keperluan projek, statistik aduan dan hasil kajian adalah di antara perkara-perkara yang menentukan keutamaan untuk dibuat penyelenggaraan bagi memulihkan fasiliti-fasiliti ini.
Itulah setakat ini yang dapat kaola sampaikan untuk menjawab soalan tadi. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin, yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Mengenai dengan soalan yang
diajukan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin. Terlebih dahulu diucapkan junjung kasih di atas keprihatinan Yang Berhormat bagi memastikan jalan raya di negara ini sentiasa di dalam keadaan selamat dan teratur untuk semua pengguna.
Pada menjawabnya peramba, kaola terlebih dahulu ingin menghala rujukan kepada terbitan Tindakan Keselamatan Jalan Raya 2030, Road Safety Action 2030 yang diterbitkan oleh Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya pada 13 November 2025. Buku rancangan tindakan tersebut menggariskan 5 objektif utama yang mana objektif ketiga adalah untuk memastikan semua jalan utama di seluruh negara memenuhi atau melebihi penilaian penarafan keselamatan 3 bintang menjelang 2030. Ianya adalah bagi memastikan keberkesanan pematuhan kepada piawaian keselamatan yang ditetapkan dan diiktiraf di bawah piawaian Program Penilaian Jalan Raya Antarabangsa iaitu I-REC.
Untuk makluman Yang Berhormat, Program Penilaian Jalan Raya Antarabangsa menilai infrastruktur jalan untuk menentukan penilaian bintang dari 1 hingga 5 bintang, bagi menunjukkan tahap keselamatan jalan yang dibina untuk pelbagai pengguna. Jalan dinilai daripada 1 bintang hingga 5 bintang yang mana penilaian 5 bintang adalah bagi jalan yang paling selamat.
Sebagai rujukan Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien telah mencapai penarafan 4 bintang. Penilaian tersebut meliputi pelbagai attributes termasuk aspek turapan dan penandaan jalan adalah komponen penting dalam penilaian I-REC, kerana ianya secara langsung mempengaruhi keupayaan dan tingkah laku pemandu untuk mengekalkan kawalan dan berada di dalam lorong mereka.
Bagi tindakan objektif tersebut dilaksanakan, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya melalui Jabatan Kerja Raya di bawah Kumpulan Tindakan Teknikal dan Infrastruktur, bertanggungjawab dalam memastikan tahap keselamatan jalan raya di Negara Brunei Darussalam adalah memenuhi dan mengguna pakai standard keselamatan jalan raya yang diiktiraf.
Untuk makluman lanjut, sukacita kaola memohon izin bagi Yang Berhormat Yang Di-Pertua bagi menjemput Yang Berhormat Menteri Pembangunan untuk memberikan ulasan tambahan mengenainya. Terima kasih.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan juga Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Sebagai tambahan juga daripada keterangan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi tadi, Kementerian Pembangunan adalah juga agensi yang dipertanggungjawabkan
dalam penyelenggaraan jalan raya ini di Negara Brunei Darussalam.
Pada masa ini kementerian adalah masih dalam pelaksanaan beberapa kerja-kerja penyelenggaraan terutama sekali tanda garisan jalan bagi tujuan untuk memastikan tanda-tanda ini tersedia dengan nyata dan jelas bagi keselamatan para pengguna jalan raya, khususnya pada waktu malam dan waktu hujan.
Setakat ini, pelaksanaan kerja-kerja tanda garisan jalan di kawasan lebuh raya mencapai progress 75 peratus. Penyelenggaraan yang dibuat berjalan pada masa ini. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa tapak projek di kawasan lebuh raya yang mana projek-projek yang lain masih berjalan, maka pelaksanaan bagi kerja-kerja penandaan tanda-tanda garisan jalan ini adalah juga terjejas, maka terlambatlah atau tersasar daripada kemajuan pencapaian yang disasarkan. Atu di antara puncanya juga ada kerja yang belum dapat diselesaikan.
Selain daripada itu, beberapa jalan-jalan utama yang lain terdapat kemajuan penandaan garisan jalan ini yang mencapai 80 peratus seperti yang dilaksanakan di sepanjang Jalan Gadong, Jalan Jerudong, Jalan Tutong, Jalan Muara, kawasan pusat bandar dan beberapa jalan di daerah, terutama sekali di Jalan Labu, di Daerah Temburong.
Bagi kawasan perumahan dan jalan kampung-kampung, kerja-kerja penandaan dan garisan jalan ini sedang dijalankan secara berperingkat dan setakat ini mencapai progress 30 peratus iaitu misalannya, kesiapan kerja bagi Jalan Wasai Limuru, Perumahan Kampung Meragang dan Jalan Mulaut Limau Manis, Jalan Anggerek Desa dan Jalan Pengkalan Gadong, contoh daripada jalan-jalan di kampung-kampung.
Seterusnya, memandangkan juga kawasan perumahan dan jalan-jalan kampung merangkumi banyak persimpangan, pelaksanaan kerja-kerja tersebut dijangka mengambil masa untuk disiapkan. Kerja-kerja menanda garisan jalan ini kebiasaannya dilaksanakan pada waktu malam bagi tujuan untuk mengurangkan kesannya terhadap gangguan bagi aliran trafik pada siang hari dan juga pelaksanaan adalah tertakluk kepada keadaan cuaca yang boleh melambatkan lagi penyelesaian kerja-kerja ini.
Sehubungan dengan itu, kerja-kerja menanda garisan jalan ini akan terus dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan, kerana yang diketahui ialah jangka hayat garisan-garisan di jalan-jalan raya ini adalah bertahan maksimum selama 2 tahun sahaja. Maka, kerja-kerja ini adalah kerja yang perlu dijalankan secara berterusan. Atulah, secara ringkas penjelasan kaola mengenai menjawab soalan. Terima Kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman kepada Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih jua kepada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.
Soalan yang dibangkitkan ialah mengenai dengan kajian bagi mengenal pasti keperluan untuk menambah atau melebarkan jalan-jalan raya utama dan di kawasan yang mempunyai penduduk yang ramai heavily-populated bagi mengurangkan kesesakan.
Kementerian Pembangunan melalui pelaksanaan projek-projek jalan raya, sama ada melalui penambahbaikan jalan dan pembinaan jalan baharu adalah berpandukan kepada perancangan kemajuan yang sedia ada dan yang telah diluluskan dan perancangan-perancangan ini adalah dibuat selaras dengan mengambil simulasi aliran-aliran lalulintas di dalam kawasan-kawasan setempat.
Dengan mengambil adaptasi kepada keadaan semasa di mana kitani dapat melihat jua, di kawasan-kawasan yang penduduknya yang padat, maka terdapat kesesakan lalulintas pada waktu-waktu congestion hour di waktu pagi dan petang semasa orang ramai sibuk untuk pergi bekerja dan menghantar anak-anak
sekolah dan demikianlah jua semasa balik ke rumah di sebelah petang. Ini adalah di antara perkara-perkara yang diambil kira jua dalam memikirkan perancangan bagi pembinaan-pembinaan, sama ada menambah jalan-jalan persimpangan yang baru.
Maka berdasarkan pemantauan yang dijalankan ini, kesesakan jalan raya yang lazimnya berlaku pada waktu puncak, peak hours, terutamanya pada hari-hari bekerja dan hari-hari persekolahan, dan perkara ini bukanlah satu perkara yang berlaku di sepanjang masa, kerana selepas peak hours ini, kita ini dapat melihat kebanyakan jalan-jalan ini kembali normal aliran-aliran trafiknya.
Namun, kesesakan yang dilihat yang dinilai jua adalah menjadi di antara perkara-perkara yang dilihat yang boleh menimbulkan bahaya-bahaya seperti berlakunya kemalangan atau apabila kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan juga dilaksanakan pada waktu-waktu kesesakan yang disebutkan tadi.
Dengan mengambil perkiraan segala pertimbangan dan fakta ini, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Jalan Raya, ada terdapat beberapa strategi untuk meningkatkan kapasiti serta memperbaiki aliran trafik melalui kerja-kerja pelebaran jalan-jalan yang terlibat dan juga termasuk pembinaan di jambatan, menaik taraf jalan-jalan persimpangan seperti yang telah dibuat permohonan dan peruntukan yang diluluskan di bawah Rancangan
Kemajuan Negara ke-12 ini. Terdapat beberapa jalan yang dibuat perancangan untuk dilebarkan dan beberapa peningkatan-peningkatan yang lain seperti yang dapat kaola sebutkan di sini:
Pertama, ialah Penyiapan Jejambat Menyeberangi Jalan Utama Mentiri dan Jalan Muara dan Pembinaan Jalan Penghubung Tanah Jambu, ini telah siap dan dilancarkan pada bulan Ogos tahun lepas 2025. Dan kedua, ialah Pembinaan Jejambat Menyeberangi Lebuh Raya Muara Tutong berdekatan Tapak Perindustrian Tanjung Kajar, ini dijangka siap pada penghujung tahun 2026 ini nanti; dan selainnya ialah di antara projek-projek yang di dalam proses tawaran pada masa ini, ialah:
Pertama, Melebarkan Jalan Muara di antara Jalan Aman ke Persimpangan Salambigar. Kedua, ialah melebarkan Lebuh Raya Tungku dari Jejambat Rimba ke Jejambat Estate Gadong. Ketiga, ialah Menaik Taraf Persimpangan Jalan dengan Memasang Lampu Isyarat Baru dan Melebarkan Jalan Berdekatan dengan Persimpangan Jalan di beberapa Lokasi seperti Jalan 10 RPN Lambak dan persimpangan baru ke RPN Mengkubau; dan keempat, Menaik Taraf Jalan Tutong Melibatkan Kerja-Kerja Melebarkan Jalan Dan Penambahbaikan Persimpangan.
Ini adalah di antara contoh-contoh yang kaola dapat sampaikan pada menjawab soalan daripada Ahli Yang Berhormat tadi. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir yang ditujukan juga kepada Menteri Pembangunan.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan terima kasih juga kepada Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir.
Mengenai dengan soalan penambahbaikan reka bentuk jalan raya, papan tanda, lampu isyarat dan pencahayaan serta berhubung dengan strategi penyelenggaraan berkala bagi memastikan kualiti permukaan jalan raya, saliran dan struktur jalan sentiasa berada dalam keadaan selamat.
Selaras dengan persoalan ini adalah diperakui terdapat papan tanda-papan tanda yang mudah menjadi usang dan rosak, jadi, menyedari jua akan perkara ini usaha-usaha berterusan untuk mempertingkatkan rangkaian infrastruktur jalan raya supaya berada dalam keadaan selamat, efisien dan selesa digunakan adalah di antara usaha-usaha yang dibuat secara berterusan di bawah Kementerian ini melalui Jabatan Jalan Raya.
Di antaranya ialah dengan melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan seperti berikut. Pertama, dari aspek bahan dengan penggunaan bahan-bahan baru seperti fiber reinforcement geogrid dan kaedah lain yang bersesuaian yang telah mula digunakan bagi mempertingkatkan ketahanan dan kualiti jalan. Kedua, papan tanda lama diperbaiki dengan memilih kualiti bahan yang lebih baik daripada logam dan diganti dengan bahan komposit bagi papan-papan tanda. Ketiga, penggantian sistem lama kepada sistem baru lampu isyarat secara berperingkat di persimpangan lampu isyarat untuk pengurusan fasa isyarat secara lebih responsif. Dan keempat, aspek reka bentuk sistem saliran didokong oleh Jabatan Saliran dan Pembentungan dan merupakan komponen yang penting bagi memastikan keselamatan serta ketahanan infrastruktur jalan raya dapat dicapai.
Setiap projek pembinaan dan penaiktarafan jalan akan mengambil kira kapasiti saliran berdasarkan kepada analisis hidrologi dan data intensiti hujan semasa termasuk pertimbangan tempoh pulangan, return period yang bersesuaian bagi mengurangkan risiko limpahan air.
Manakala, dari segi pencahayaan kawasan jalan raya adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Elektrik yang menyediakan lampu-lampu jalan di sepanjang jalan raya dan perkara ini sememangnya melibatkan Jabatan Jalan Raya dan jua daripada kerjasama Jawatankuasa Tertinggi Keselamatan Jalan Raya yang saling berhubung dengan Jabatan Perkhidmatan Elektrik untuk memastikan keperluan-keperluan bagi meningkatkan pencahayaan bagi tujuan keselamatan beberapa persimpangan jalan.
Manakala, bagi strategi penyelenggaraan berkala yang dilaksanakan adalah Pertama, pemilihan kontraktor dengan hanya membenarkan kontraktor yang mempunyai loji aspal, asphalt plant sendiri dalam kelas 4, 5 dan 6. Kedua, semua kerja pembaikan dilaksanakan berpandukan spesifikasi teknikal yang ditetapkan serta dipantau oleh Jabatan Jalan Raya. Ketiga, lawatan turun padang dilaksanakan dari masa ke semasa bagi memastikan kualiti tahap kerja-kerja penyelenggaraan adalah terkawal dan menepati kualiti dan juga keselamatan yang dikehendaki. Keempat, Jabatan Saliran dan Pembentungan juga berperanan dalam melaksanakan kerja-kerja pembersihan, pengorekan dan pemeliharaan longkang konkrit di sepanjang jalan.
Jadi, perkara-perkara ini dibuat secara berjadual melalui kontrak penggal, pemeriksaan rutin juga turut dijalankan bagi mengenal pasti kerosakan struktur, mendapan atau halangan aliran yang boleh menjejaskan fungsi sistem saliran. Itulah jawapan kaola dalam menjawab soalan ini. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan Yang Berhormat Awang Lau How Teck yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terlebih dahulu izinkan peramba, kaola, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Awang Lau How Teck di atas soalan yang sangat relevan mengenai pendedahan belia kepada hutang pengguna, perbelanjaan yang tidak produktif dan tekanan kewangan awal.
Isu ini sangat kritikal dalam konteks gaya hidup masa kini dan juga kemudahan akses kepada pelbagai produk kewangan di Negara Brunei Darussalam. Mengenai kajian ke atas pendedahan belia kepada hutang pengguna, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sememangnya mengambil maklum akan kepentingan data empirikal dalam merangka sebarang dasar berhubung perkara ini.
Maka, dalam hubungan ini Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan mengambil maklum terdapat kajian yang dilaksanakan oleh pihak Brunei Darussalam Central Bank, BDCB mengenai dengan National Financial Literacy Survey. Jadi Insya-Allah, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan meneliti kajian ini bagi mendapatkan gambaran yang komprehensif bagi golongan belia dalam merangka program-program intervensi yang tepat dan khusus.
Di samping itu, komponen celik kewangan akan diperkukuhkan lagi sebagai komponen teras dalam Program Khidmat Bakti Negara, PKBN. Pada masa
ini, literasi kewangan menjadi kemahiran penting untuk membantu golongan belia dalam membuat keputusan yang bijak, mengawal perbelanjaan, menabung dan merancang masa depan agar lebih berdaya tahan dan resilient dari segi ekonomi dan sosial.
Untuk makluman bersama, Bahagian Khidmat Bakti Negara dengan kerjasama Tabung Amanah Pekerja dan LiveWIRE Brunei telah mengendalikan Program Pengurusan Kewangan sebagai salah satu modul tetap dalam Program Khidmat Bakti Negara. Ia dijadikan nilai tambah kepada latihan jati diri bagi memastikan para belia mempunyai ketahanan mental dan kewangan yang seimbang sebelum melangkah ke alam dewasa.
Inisiatif ini dilaksanakan secara bersinergi dengan merujuk kepada rangka kerja atau framework Majlis Kebangsaan Celik Kewangan atau pun lebih dikenali sebagai MKCK bagi memastikan kesinambungan pendidikan kewangan yang bermula dari peringkat sekolah lagi, dapat diteruskan kepada golongan belia secara lebih sistematik dan teratur.
Alhamdulillah, di bawah MKCK Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menyambut baik pelancaran Brunei Darussalam Financial Literacy Framework bagi peringkat menengah dan pra-universiti pada 2023. Dalam hubungan ini, kementerian akan bekerjasama dengan Majlis Kebangsaan Celik Kewangan bagi memastikan
pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan khususnya bagi golongan belia akan sentiasa dapat diperkukuhkan.
Selain itu, kementerian ini sedang mempergiat kolaborasi strategik bersama institusi-institusi kewangan seperti Bank Usahawan dan bank-bank tempatan yang lain untuk meningkatkan lagi kemahiran celik kewangan golongan belia terutamanya dalam aspek pengurusan risiko dan membezakan antara hutang yang produktif dengan hutang yang tidak produktif.
Manakala, di Pusat Pembangunan Belia pula, program-program sedia ada terus dimantapkan dengan mengintegrasikan modul pengurusan aliran tunai, bajet dan simpanan ke dalam program vokasional serta kepimpinan, penyediaan mentor melalui program keusahawanan juga ditekankan bagi menyemai nilai-nilai kebangsaan dan sikap berhemat dalam kalangan usahawan muda.
Insya-Allah, dengan adanya usaha bersepadu secara berganding bahu melalui pendekatan whole of government dan whole of nation bersama pihak-pihak berkepentingan yang lain, kemahiran celik kewangan di kalangan belia akan dapat kita pertingkatkan dan perkukuhkan yang mana sudah setentunya akan dapat menyumbang kepada kestabilan sosial dan ekonomi negara selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Sekian sahaja bagi menjawab pertanyaan Yang Berhormat Awang Lau
How Teck. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan​
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam atas soalan yang dikemukakan.
Selain menumpukan kepada perkembangan dan pencapaian akademik, Kementerian Pendidikan juga sentiasa memberi penekanan kepada perkembangan pelajar secara holistik termasuk melalui penyertaan dalam bidang aktiviti kokurikulum khususnya dalam bidang sukan.
Bidang sukan merupakan antara komponen penting dalam menyokong pembangunan fizikal atau jasmani, kesihatan serta disiplin pelajar. Seiring dengan itu, penubuhan Sekolah Sukan merupakan antara inisiatif penting Kementerian Pendidikan dalam menyediakan platform khusus bagi mengenal pasti, membangun, dan memperkasa bakat sukan dalam kalangan pelajar.
Sekolah ini berperanan sebagai sebuah institusi pendidikan yang bukan sahaja
memberi penekanan kepada kecemerlangan akademi malah turut menyediakan latihan sukan yang lebih tersusun dan sistematik bagi membantu pelajar yang mempunyai potensi dalam bidang sukan untuk mengembangkan bakat mereka secara optimum.
Antara langkah yang dilaksanakan dalam memperkukuh peranan sukan, Sekolah Sukan bagi pembangunan atlet, memberikan pendedahan kepada pelajar melalui penyertaan aktif dalam pelbagai kejohanan dan pertandingan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi meningkatkan prestasi daya saing serta pengalaman dalam suasana pertandingan yang kompetitif dan mendedahkan dan melibatkan para pelajar dengan persatuan-persatuan sukan di negara ini bagi memberikan pemahaman yang lebih luas mengenai dengan ekosistem pembangunan sukan serta peluang dalam bidang berkaitan.
Alhamdulillah, para pelajar Sekolah Sukan terus menunjukkan pencapaian yang sangat membanggakan apabila berjaya mengumpul sebanyak seratus lima puluh pingat secara keseluruhan iaitu lima puluh satu emas, tiga puluh perak, dua puluh empat gangsa dalam pelbagai kejohanan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tiga tahun kebelakangan ini. Berhubungan penetapan KPI, kebolehan lepasan-lepasan Sekolah Sukan yang berkaitan dengan kecemerlangan sukan dan peluang-peluang pekerjaan
tempatan, pada masa ini penetapan KPI tersebut masih belum dilaksanakan.
Ini memandangkan Sekolah Sukan berperanan sebagai platform pembangunan awal bagi mengenalpasti dan memperkasa bakat sukan pelajar di samping memastikan mereka melengkapkan pendidikan menengah sebelum meneruskan laluan pembangunan sukan atau pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi.
Sekian dan terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Soalan Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub kepada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan​
Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Koala ingin memohon izin untuk menjawab soalan 11 iaitu PL072 daripada Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @Tekpin bin Ya’akub sekaligus menjawab soalan 15 iaitu PL148 daripada Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan pada mengambil kira kedua-dua soalan menyentuh mengenai hala tuju pembangunan sukan negara, penganjuran sukan antarabangsa serta pembangunan infrastruktur dan atlet, mohon izin Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
(Yang Berhormat Yang Di-Pertua
memberi isyarat menganggukkan kepala tanda bersetuju).
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan​
Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan kekal komited dalam memperkukuhkan ekosistem sukan negara dengan memberi tumpuan kepada tiga prestasi utama iaitu peningkatan prestasi atlet elit, penglibatan masyarakat secara inklusif dan pengukuhan kapasiti penganjuran kejohanan peringkat serantau mahupun antarabangsa. Usaha ini adalah selari dengan aspirasi untuk melahirkan negara sukan yang gemilang yang bukan sahaja diukur melalui kutipan pingat malah melalui kualiti hidup rakyat yang sihat dan berdaya tahan selaras dengan Wawasan Brunei 2035.
Jadi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Negara Brunei Darussalam telah membuktikan keupayaan dalam penganjuran kejohanan peringkat serantau dan antarabangsa. Antaranya termasuklah Kejohanan Karate Asia Tenggara Ke-12, SEAKF, Kejohanan Fencing Borneo Ke-2, Kejohanan Wushu Remaja Dunia Ke-9, the first Brunei Half-Marathon serta ASEAN School Games Ke-14 anjuran Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang telah membuktikan keupayaan negara sebagai tuan rumah yang berwibawa melalui pendekatan senegara. Pengalaman ini menjadi asas penting untuk negara melangkah kehadapan dalam menganjurkan kejohanan yang lebih berskala besar.
Walaubagaimanapun, penganjuran sukan bertaraf dunia pada masa kini menuntut piawaian yang semakin kompleks selain faktor kesiapsiagaan atlet, aspek infrastruktur perlu memenuhi spesifikasi teknikal badan sukan antarabangsa termasuklah sistem pencahayaan, siaran bertaraf tinggi, kemudahan pemulihan atlet, akses mesra orang kelainan upaya serta integrasi teknologi digital bagi pengurusan pertandingan dan penyiaran langsung.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya sedang melaksanakan penaiktarafan infrastruktur sukan di bawah Rancangan Kemajuan Negara, RKN secara berperingkat-peringkat. Langkah ini melibatkan menaiktaraf Kompleks Sukan Mumong, Pusat Tenis Kebangsaan serta kemudahan utama lain termasuk Kolam Renang Kebangsaan, Bowling Padang dan Gelanggang Petanque.
Usaha ini bertujuan bagi memastikan kemudahan fasiliti sukan negara memenuhi standard antarabangsa dan spesifikasi teknikal bagi menganjurkan kejohanan yang berskala besar di masa akan datang. Bagi memastikan kejayaan di gelanggang antarabangsa, kementerian terus memperkukuhkan laluan pembangunan atlet jangka
panjang atau apa yang dikenali sebagai long-term athlete development.
Kerjasama erat dengan persatuan sukan kebangsaan, sektor pendidikan dan sektor swasta akan membolehkan program pengenalpastian bakat dilaksanakan dari peringkat akar umbi. Atlet elit pula diberikan sokongan sains sukan iaitu perkhidmatan sains sukan yang komprehensif melalui Sports Medicine and Research Centre, SMRC yang mana merangkumi aspek kecerdasan, pemakanan dan persediaan mental.
Pendedahan kepada pertandingan luar negara, latihan berprestasi tinggi, serta skim bantuan seperti Elite Athletes Programme akan terus diperkasa. Bagi sukan berpasukan pengukuhan liga domestik seperti bola sepak, futsal, sepak takraw akan menjadi platform utama dalam memastikan kesinambungan bakat yang kompetitif untuk mewakili negara di persada antarabangsa. Di samping pembangunan atlet elit, kementerian juga memberi penekanan strategik kepada penglibatan masyarakat melalui pendekatan Whole of Nation.
Usaha ini bukan sekadar untuk meningkatkan statistik penyertaan fizikal malah bertujuan untuk memupuk impak sosial yang mendalam bagi membina rakyat yang berdisiplin dan budaya gaya hidup sihat. Prinsip, inclusivity dan accessibility akan terus menjadi teras utama agar tiada golongan masyarakat yang terpinggir.
Sukan komuniti diperingkat kampong dan mukim termasuk program khusus bagi wanita, warga emas dan orang kelainan upaya berfungsi sebagai agen perpaduan yang menyatukan masyarakat serta mengukuhkan kesejahteraan mental. Inisiatif untuk menghidupkan semula Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam juga sedang dalam penelitian untuk dijadikan platform pembangunan bakat dan penglibatan secara menyeluruh secara lebih meluas dan seimbang.
Secara kesimpulan, penganjuran sukan dan pembangunan atlet adalah 2 elemen yang saling melengkapi. Kapasiti negara sebagai tuan rumah yang berwibawa akan diperkukuhkan lagi melalui kerjasama antarabangsa dalam bidang teknikal, pensijilan jurulatih dan latihan pegawai.
Dengan sokongan padu daripada agensi kerajaan, sektor swasta, persatuan-persatuan sukan dan seluruh lapisan masyarakat, Negara Brunei Darussalam akan terus maju dalam mempertingkatkan prestasi atlet serta mengukuhkan kedudukan negara dipersada sukan antarabangsa.
Sekian bagi menjawab pertanyaan Yang Berhormat, terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Alhamdulillah, kita telahpun selesai dalam memberikan waktu bagi soalan-soalan ataupun pertanyaan secara lisan dan kita sekarang beralih kepada urusan mesyuarat seterusnya.
Yang Mulia Jurutulis​
Kenyataan Menteri.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya telahpun memberi izin kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan untuk membuat Kenyataan Menteri yang bertajuk Memperkasa Pendidikan Negara Keutamaan Strategik Generasi Siaga Masa Hadapan dan sekarang saya persilakan Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan​
Bismillahir Rahmanir Rahim, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu kaola saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Ramadan Al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua kaum muslimin dan muslimat yang hadir di Dewan Majlis pada pagi yang mulia ini, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata’ala menerima segala amalan kita, mengurniakan segala kebaikan, menganugerahkan kita malam qadar-Nya dan menjadikan kita hamba-hamba-Nya yang muttaqin, sesuai objektif kefardhuan ibadah ini dalam Ayat 183, Surah Al-Baqarah.
Sukacita kaola, saya juga ingin merafakkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memberikan laluan kepada kaola saya untuk mengongsikan hala tuju pendidikan negara yang setentunya mempengaruhi keperluan Belanjawan Kementerian Pendidikan bagi Tahun Kewangan 2026/2027.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2009, Pelaksanaan Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 ataupun SPN21 terus berhadapan dengan cabaran global yang semakin kompleks. Antaranya, kemajuan teknologi yang pantas, anjakan demografi, green transition, ketidaktentuan ekonomi, geo politik dan pandemik.
Laporan Future of Jobs 2025, World Economic Forum, WEF menganjurkan bahawa menjelang 2030 sebanyak 170 juta pekerjaan baharu akan diwujudkan di peringkat global. Manakala 92 juta pekerja yang sedia ada berpotensi diotomasi. Dunia juga akan dijangka menyaksikan pertumbuhan 60 peratus dalam kemahiran AI, 35 peratus dalam kemahiran digital serta kemunculan 24 juta pekerjaan hijau. Perkembangan ini menandakan perubahan pesat landskap pekerjaan yang memerlukan pembentukan modal insan lebih dinamik dan responsif. Perubahan-perubahan ini setentunya menuntut sistem pendidikan negara untuk diperkasa agar lebih anjal, responsif dan berdaya tahan.
Dalam konteks Negara Brunei Darussalam dengan mengambil kira faktor-faktor ini hala tuju pendidikan negara akan diadun secara strategik demi merealisasikan matlamat pertama Wawasan Brunei 2035 iaitu
melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya seterusnya memacu kemajuan ekonomi negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dalam hal ini, izinkan kaola saya untuk menterjemahkan cabaran ini dalam konteks pendidikan negara dengan mengongsikan 3 fokus utama iaitu pekerjaan masa hadapan ataupun future work, kemahiran Abad Ke-21 dan transformasi teknologi ataupun digital dalam pendidikan.
Fokus utama pertama, Pekerjaan Masa Hadapan. Future of Jobs 2025 World Economic Forum, WEF melaporkan bahawa 10 kemahiran utama yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan global ialah AI and big data, cybersecurity and networks, technology literacy, creative thinking, resilience and adaptability, lifelong learning, leadership and influence, talent management, analytical thinking and environmental stewardship. Dapatan ini selaras dengan 4 tumpuan utama pendidikan negara iaitu: Pertama, memperluas literasi digital dengan AI merentas semua bidang pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan TVET bagi memastikan graduan mempunyai asas digital yang kukuh. Kedua, mentransformasi kaedah pembelajaran melalui pendekatan project based dan real-life problem solving untuk memperkukuh pemikiran kritis dan kolaborasi.
Ketiga, mengukuhkan integrasi dengan industri melalui latihan industri yang lebih tersusun dan berstruktur bagi meningkatkan kesiapsiagaan graduan serta mengurangkan mismatch dalam pasaran pekerjaan. Dan keempat, membentuk graduan yang berdaya tahan dan berjiwa keusahawanan yang inovatif sebagai job creators yang mampu menjana nilai dalam ekonomi yang kompetitif.
Selain itu, Kementerian Pendidikan adalah dalam proses menghasilkan modul teras baharu dalam bidang emerging technologies dan sustainability bagi memperkasa kemahiran masa hadapan dan membentuk graduan, future work-ready. Modul ini memfokuskan kepada teknologi yang sedang berkembang, antaranya, AI, data science, sains alam sekitar, inovasi hijau dan perubahan iklim yang akan menjadi sebahagian daripada kurikulum yang diajarkan di setiap IPT tempatan.
Bagi memastikan program sentiasa relevan dengan hala tuju pembangunan negara, Kementerian Pendidikan turut melaksanakan future analysis modul untuk menilai dan menambah baik program IPT Awam dan TVET. Kurikulum turut diperkukuh melalui penglibatan profesional industri dan agensi awam disokong pengiktirafan antarabangsa seperti Accreditation Board for Engineering and Technology dan Association of Chartered Certified Accountants.
Walau bagaimanapun penyediaan tenaga kerja tidak boleh terhad hanya kepada pengenalan kursus baharu semata-mata sebaliknya perlu memastikan graduan memiliki gabungan kemahiran akademik, teknikal dan kemahiran insaniah ataupun soft skill seperti komunikasi, kerja berpasukan, kepimpinan, pemikiran kritis, kebolehsuaian dan pengurusan emosi.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Fokus utama kedua, kemahiran Abad Ke-21. Dalam era yang dipacu oleh kemajuan teknologi serta perubahan ekonomi global yang pesat, penerapan kemahiran Abad Ke-21 menjadi keutamaan dalam SPN21. Kemahiran STEAM, Sains Teknologi Kejuruteraan, Seni dan Matematik termasuk keusahawanan dan inovasi menekankan eleman sukses iaitu critical thinking, kreatif, communication, collaboration, creator dan citizenship. Kemahiran ini bukan lagi sekadar nilai tambah malah menjadi tunjang utama bagi memastikan modal insan kekal relevan dan berdaya saing dalam pasaran kerja masa hadapan.
Pendedahan awal kurikulum berteraskan STEAM bermula dari sekolah rendah melalui mata pelajaran Sains, Matematik dan ICT bagi memupuk minat terhadap teknologi dan inovasi berasaskan pendekatan inquiry based atau real world learning yang berpusatkan pelajar.
Bagi memberikan pendedahan kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran STEAM secara praktikal dan bermakna Pusat Kerjasama Sains Teknologi dan Alam Sekitar, Pusat Step menawarkan pelbagai program dan pertandingan.
Penyertaan pelajar dan sekolah dalam program-program ini menunjukkan peningkatan yang menggalakkan iaitu daripada seramai 10,225 orang pada tahun 2024 kepada 12,346 pada tahun 2025 iaitu peningkatan sebanyak 21 peratus. Selain itu, para pelajar juga turut didedahkan kepada kemahiran keusahawanan dan inovasi melalui pelbagai pertandingan program yang dianjurkan oleh Pusat Pendidikan Inovasi seperti CelikBiz dan Big Start.
Insya Allah Kementerian Pendidikan akan terus memperkukuhkan lagi kerjasama strategik bersama agensi-agensi berkepentingan bagi memperluas peluang pembelajaran yang authentic, relevant dan berimpak tinggi kepada pelajar.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Fokus utama ketiga, Transformasi Teknologi. Negara Brunei Darussalam kini terus memperkukuh agenda transformasi digital bagi menyokong aspirasi Smart Nation melalui whole of government approach.
Dalam bidang pendidikan, transformasi ini merupakan anjakan strategik yang
memperkaya kaedah pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian ilmu, memperkukuh penglibatan dan motivasi pelajar, memperluas akses kepada sumber pembelajaran yang berkualiti serta memperkembangkan kemahiran berfikir aras tinggi, penyelesaian masalah dan kolaborasi dalam kalangan pelajar.
Sebagai usaha berterusan bagi memastikan semua pelajar berpeluang untuk mendapat akses sumber pendidikan sumber digital Kementerian Pendidikan melalui Pelan Transformasi Digital Kementerian Pendidikan telah berhasil menyediakan rangkaian internet yang lebih stabil bermula bulan Februari tahun ini kepada kesemua seratus peratus sekolah kerajaan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan melalui projek National Educational Network ataupun NEN.
Pada Februari tahun ini juga pihak kementerian telah selesai melaksanakan penggantian dan mereka bentuk semula prasarana rangkaian ICT sekolah yang telah usang di sembilan buah sekolah melalui projek School Network Infrastructure Upgrade, SNIU Fasa I. Insya Allah, fasa II projek ini akan bermula pada Tahun Kewangan 2026/2027 yang akan melibatkan sebanyak 112 buah sekolah.
Menyedari akan pengaruh teknologi dan Kecerdasan Buatan, AI, Kementerian Pendidikan memberi perhatian serius bagi memastikan di peringkat sekolah pelajar dan guru-guru akan
memanfaatkan AI secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab selaras dengan falsafah Melayu Islam beraja. Sehubungan itu Kementerian Pendidikan telah menerbitkan buku panduan Gen A.I. Guidance for Education yang telah dilancarkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Sambutan Hari Guru Ke-35 tahun 2025.
Di peringkat pengajian tinggi pula Universiti Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Universiti Teknologi Brunei turut menggubal dasar penggunaan AI Generative bagi memelihara integriti akademik di samping menggalakkan inovasi dan penerokaan teknologi secara terkawal.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Ketiga-tiga fokus utama ini menjadi asas penting dalam memastikan Sistem Pendidikan Negara terus relevan serta terus berupaya melengkapkan dan melahirkan generasi yang berpengetahuan, berkemahiran, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. Komponen-komponen ini saling melengkapi dalam membentuk ekosistem pendidikan yang holistik sekaligus menyokong penyediaan pendidikan yang inklusif dan saksama kepada semua pelajar termasuk pelajar berkeperluan khas.
Justeru, bagi memastikan setiap pelajar termasuk pelajar berkeperluan khas
menerima pendidikan serta sokongan yang berkualiti dan sesuai dengan keperluan masing-masing, Kementerian Pendidikan terus berusaha untuk memperkukuh perlaksanaannya.
Dalam hal ini, Pendidikan Khas telah dilaksanakan berlandaskan prinsip lima A iaitu Acceptance, Accessibility, Adapted Curriculum, Adapted Instruction dan Adapted Assessment sebagai kerangka utama dalam memenuhi keperluan pelajar secara menyeluruh. Pendekatan ini turut menggariskan lima tahap keutamaan ataupun priority levels bagi memastikan intervensi dan sokongan diberikan secara bersasar mengikut kategori dan tahap keperluan pelajar.
Bagi memperkukuh sokongan kepada pelajar berkeperluan khas, Jabatan Pendidikan Khas telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penubuhan sembilan model inclusive schools dan empat Centres of Excellence yang dinaik taraf dari segi prasarana untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.
Di peringkat Menengah, Program Pra Vokasional menawarkan kemahiran hidup berdikari dan asas vokasional melalui pendekatan individualized education plan. Berpandukan buku Program Pra Vokasional telah dilancarkan pada November 2024. Selain itu, pelajar juga didedahkan dengan penempatan kerja di industri.
Penyediaan guru yang terlatih dan kompeten dalam bidang pendidikan khas
akan terus dipergiatkan melalui pelaksanaan program Special Educational Needs Support Educator ataupun SENSE. Pada tahun 2024 seramai 150 guru agama yang terlibat dalam pengajaran mata pelajaran Pendidikan Islam dalam sistem pengintegrasian telah mengikuti program ini di samping penyertaan 17 guru sekolah kerajaan dan 40 guru sekolah swasta.
Bagi menyokong perkembangan holistik pelajar berkeperluan khas juga turut didedahkan kepada aktiviti-aktiviti kokurikulum seperti program bootcamp keusahawanan yang dianjurkan bersama Pusat Inovasi Keusahawanan dalam memupuk minda keusahawanan dan inovasi. Pada tahun 2025 program ini telah disertai oleh 17 buah sekolah menengah pelajar pra vokasional dan 12 buah sekolah rendah pelajar berkeperluan khas.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Seiring itu, sukacita juga kaola, saya mengongsikan usaha Kementerian Pendidikan dalam memastikan pendidikan holistik bagi semua pelajar. Ini merangkumi pengukuhan aktiviti-aktiviti kokurikulum melalui pelaksanaan Program Sahsiah Pelajar berasaskan empat komponen iaitu fizikal, kerohanian, kreativiti dan perkhidmatan termasuk pelaksanaan aktiviti-aktiviti kepimpinan sosial dan kemahiran hidup. Usaha ini bertujuan membentuk jati diri nilai murni dan identiti kebruneian di kalangan pelajar sekaligus memperkukuh penghayatan nilai konsep Melayu Islam Beraja.
Kementerian Pendidikan juga terus bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk memperkukuhkan pembelajaran ugama khusus dalam sistem pengintegrasian dan mata pelajaran Al-Quran. Usaha bersama ini merangkumi penyelarasan kokurikulum dan penilaian program Pembangunan kapasiti dan latihan guru serta pemantauan perlaksanaan di sekolah-sekolah kerajaan dan swasta.
Pada menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara bagi tahun 1440 Hijrah, 2019 Masihi, sebahagian pelajaran ugama itu dikuatkan di semua sekolah bukan sahaja di sekolah-sekolah ugama dan arab malah juga di sekolah-sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan dan juga swasta.
Alhamdulillah, bermula tahun 2020 pembelajaran mata pelajaran Al-Quran telah mula dilaksanakan di peringkat menengah atas bagi semua pelajar berugama Islam. Hasil sinergi dan usaha bersama dengan Kementerian Hal Ehwal Ugama ini telah menunjukkan penambahan sebanyak 20 peratus secara purata pelajar telah masuk ke dalam kategori Alif dan Ba iaitu fasih dan lancar sebanyak tiga tahun mengikuti pembelajaran ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Alhamdulillah, dengan kehendak Allah Subhanahu Wata’ala jua di sepanjang perlaksanaan SPN-21 telah banyak usaha Kementerian Pendidikan dalam memperkukuh hala tuju pendidikan negara. Dikesempatan ini, izinkan kaola, saya untuk mengongsikan beberapa inisiatif tersebut seterusnya beberapa pencapaian dan kejayaan yang terhasil daripada usaha bersepadu Kementerian Pendidikan bersama pihak-pihak berkepentingan sepanjang Tahun Kewangan 2025/2026 seperti berikut:
Pertama, penerbitan sebuah buku panduan Kecerdasan Buatan, AI dalam Pendidikan.
Kedua, penghasilan Greening Education Plan 2025 – 2035.
Ketiga, penganjuran Persidangan Majlis Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara Kali Ke-53, SEAMEC 53 yang mengangkat tema Greening Educational for Sustainable Southeast Asia: Empowering Change Through Collective Action.
Keempat, penganjuran Sukan Sekolah-sekolah ASEAN Kali Ke-14 yang disertai oleh 10 negara ASEAN melibatkan kira-kira 1000 atlet pelajar dalam lapan acara sukan. Alhamdullilah, Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan pencapaian yang terbaik sejak mula menyertai kejohanan ini dengan memperolehi 18 pingat termasuk empat pingat emas secara keseluruhan.
Kelima, Kementerian Pendidikan telah mencipta sejarah apabila buat julung kalinya memenangi anugerah emas dalam Anugerah Inovasi Perdana, AIP selain berjaya membawa pulang anugerah gangsa dan saguhati;
Keenam, anugerah Brunei ICT Award, BICTA mencatat jumlah penyertaan pasukan pelajar yang tinggi dengan keseluruhan 88 penyertaan iaitu 50 penyertaan bagi kategori sekolah rendah, 46 penyertaan bagi kategori sekolah menengah dan 18 penyertaan bagi kategori pengajian tinggi.
Ketujuh, di pertandingan Asia Pacific ICT Alliance, APICTA 2025, pelajar Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan telah berjaya dinobatkan pemenang dalam kategori senior student, sementara dua anugerah merit pula masing-masing dimenangi oleh Sekolah Rendah Lambak Kanan, 49 dalam kategori junior student dan Universiti Teknologi Brunei dalam kategori tertiary student;
Kelapan, pelajar sekolah hospitality dan pelancongan IBTE telah meraih anugerah iaitu Medallion of Excellence dan Best of Nation Award dalam bidang kemahiran masakan pada WorldSkills ASEAN 2025, dan Best of Nation Award dalam Pertandingan WorldSkills Asia 2025;
Kesembilan, kedudukan IPT awam di peringkat global terus kukuh di mana UBD berkedudukan 367 dalam QS World University Rankings 2026 dan kedudukan kelompok 351-400 dalam THE World University Rankings 2026. Manakala UTB berkedudukan 578 dalam QS World University Rankings 2026, dan kedudukan kelompok 601-800 dalam penampilan sulungnya di Times Higher Education World University Rankings 2026. UNISSA pula berkedudukan 201 dalam World University Rankings for Innovation, WURI 2025;
Kesepuluh, terkini, dalam penilaian rintis, pilot Times Higher Education Southeast Asia University Ranking, Universiti Brunei Darussalam telah mendapat kedudukan 7 ke atas daripada 195 universiti, manakala Universiti Teknologi Brunei dalam kedudukan ke-20;
Kesebelas, semalam, kelmarin 13 March 2026, UBD telah diterima menjadi ahli dalam Asia Pacific Rim Universities, APRU. APRU ialah sebuah rangkaian berprestij yang menghubungkan universiti-universiti penyelidikan terkemuka di rantau Asia-Pacific. Menerusi APRU, UBD akan dapat memupuk kerjasama dalam pendidikan, penyelidikan dan inovasi bagi menangani cabaran kompleks seperti perubahan iklim, kesihatan awam dan kelestarian secara kolektif;
Selain itu, beberapa orang guru dan tenaga akademik tempatan turut menerima pengiktirafan di peringkat serantau dan antarabangsa. Antaranya termasuk Pertama, penganugerahan Princess Maha Chakri Award. Kedua, pelantikan sebagai Mentor ASEAN–Europe dalam Program Asia-Europe Foundation Classroom Network, di samping kejayaan meraih Jade Award di ASEF Classroom Network Conference; dan Ketiga, penganugerahan UL Research Institutes’ ASEAN-U.S. Science Prize for Women 2025 bagi Senior Scientist Category kepada seorang Senior Assistant Professor dari UTB.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Demikianlah yang dapat kaola/saya kongsikan pada kesempatan ini. Kaola/saya dengan rendah hati mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam menggalas tanggungjawab dan amanah yang amat besar ini. Setinggi-tinggi tahniah juga kaola/saya tujukan kepada semua warga Kementerian Pendidikan, khususnya tenaga-tenaga pengajar atas komitmen, usaha dan sumbangan yang telah diberikan dalam sama-sama membentuk masa depan generasi bangsa yang cemerlang.
Dengan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata’ala, kaola, saya berharap segala usaha Kementerian Pendidikan ini akan membawa Negara Brunei Darussalam lebih dekat lagi kepada sasaran Wawasan Brunei 2035, khususnya Matlamat Pertama, iaitu rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya. Amin Ya Rabbal Alamin.
Sekian, wabillahi taufiq walhidayah wassalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Terima kasih, Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kementerian Pendidikan di atas usaha yang gigih yang telah pun dilaksanakan dan beberapa pencapaian yang telah dinyatakan sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
Juga tidak lupa bahawa Kementerian Pendidikan telah menggariskan beberapa frontiers ataupun beberapa cabaran-cabaran yang perlu dihadapi pada waktu-waktu yang akan mendatang. Salah satu daripadanya ialah cabaran-cabaran AI. AI ini, as you probably will know will stay and it will not go away. So it is up to us to hadap to the, anu, development yang mungkin akan timbul.
Kalau dilihat merata-rata di dunia sekarang, kita berhadapan dengan kenyataan bahawa kemajuan AI, ah, ini adalah sesuatu yang pasti akan terjadi dan apa namanya ni, hanya manusia harus barangkali membuat ketetapan sendiri bahawa life ataupun cara hidup kita ni di waktu-waktu yang akan datang will not be controlled by AI. We will have to be on the steering seat. We have to make sure that AI works for us and not the other way round. So to do that, I think, apa namanya ni, there are many things that we need to know about it and we need to put our minds together and also with our friends all around. We have to work with them; technology is developing so fast that we can't do it alone. Apa lagi dengan tenaga kitani yang sedikit dan kemampuan kitani yang terhad. Insya Allah mudah-mudahan, manusia ani inda pupus dalam dunia ani dan mesin tidak akan menguasai segala kehidupan dalam dunia ani dan manusia akan still be on the apa ani steering seats.
Walau bagaimanapun, apa yang dinyatakan oleh YB Menteri Pendidikan tadi, mempunyai impak yang meluas. Mudahan-mudahan kementeriannya akan terus berusaha dan menempuhi kejayaan-kejayaan yang lebih monumental di waktu-waktu yang akan datang. Dan saya percaya rakan-rakan yang lain setentunya akan memberikan kerjasama untuk melihat lebih banyak lagi pencapaian yang dibuat, bukan saja dalam, apa namanya ni, arena pendidikan khususnya tetapi dalam arena-arena lain yang sangat penting bagi kemajuan negara dalam abad yang mendatang ani.
Sebelum kitani meneruskan kenyataan, apa namanya ni, agenda yang lain, saya ingin menangguhkan Mesyuarat ini selama 15 minit to give us some breathing space before kitani mendengarkan, apa namanya ni, hujah-hujah yang lebih berat. Jadi saya minta kalau kitani dapat berehat selama 15 minit dan kita akan menyambung semula Mesyuarat kitani bagi membuat perbahasan ataupun meneliti agenda-agenda seterusnya.
(Majlis Mesyuarat berehat sebentar)
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis sekarang bersidang semula dan kita akan sekarang beralih kepada urusan seterusnya.
Yang Mulia Jurutulis​
Rang Undang-Undang yang akan dicadangkan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dengan segala hormatnya kaola membawakan dan membaca bagi bacaan kali pertama satu Rang Undang-Undang yang bergelar “Suatu Akta untuk Membekalkan Sejumlah Wang dari Kumpulan wang yang Disatukan bagi Perkhidmatan Tahun Kewangan 2026/2027 dan untuk memperuntukkan wang yang tersebut itu bagi maksud-maksud tertentu.” Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Rang Undang-Undang telah dibaca buat kali pertama oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II. Sekarang saya memberi izin bagi Rang Undang-Undang ini untuk dibaca bagi kali kedua dan seterusnya bagi Yang Berhormat memberikan kenyataan Belanjawan. Silakan.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Rang Undang-Undang yang bergelar “Suatu Akta untuk Membekalkan Sejumlah Wang dari Kumpulanwang yang disatukan bagi Perkhidmatan Tahun Kewangan 2026/2027 dan untuk memperuntukkan wang yang tersebut itu bagi maksud-maksud tertentu” sekarang kaola baca bagi kali yang kedua dan seterusnya kenyataan Belanjawan.
Bismillahir Rahmanir Rahim. (Doa dibaca). Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Alhamdulillah kita panjatkan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan limpah rahmatNya jua serta berkat kepimpinan, kebijaksanaan dan keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kita dapat bersidang di Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara.
Bagi Tahun Kewangan 2026/2027, Belanjawan negara akan disediakan sebanyak BND6.3 bilion secara keseluruhan yang akan dikeluarkan dari Kumpulan Wang yang disatukan. Seterusnya kaola cadangkan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahunan bagi Tahun Kewangan 2026/2027, untuk memperuntukkannya bagi maksud-maksud yang dinyatakan dalam Jadual.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua Dewan dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Rang Anggaran Belanjawan Negara bagi Tahun Kewangan 2026/2027 ini dirangka dalam konteks untuk meneruskan usaha kerajaan dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035, iaitu membentuk sebuah negara yang mempunyai rakyat berpendidikan dan berkemahiran tinggi, menikmati kualiti kehidupan yang baik serta disokong oleh ekonomi yang mampan, berdaya tahan dan berdaya saing.
Di sebalik usaha berkenaan, negara jua berhadapan dengan persekitaran global yang semakin mencabar. Ketidaktentuan ekonomi dunia yang dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik terkini termasuk di Timur Tengah, perubahan struktur perdagangan global, dan prospek pertumbuhan global yang sederhana serta cabaran perubahan iklim memerlukan kerajaan untuk bertindak secara berwaspada dan strategik. Oleh itu, keupayaan negara untuk mengekalkan kestabilan makroekonomi dan kedayatahanan fiskal adalah amat penting. Oleh itu, Rang Anggaran Belanjawan ini memberikan penekanan-penekanan khusus kepada agenda fiskal mampan dengan memastikan perbelanjawan awam diurus secara lebih cekap, berimpak tinggi dan berorientasikan hasil.
Pada masa yang sama, kerajaan akan meneruskan Program Fiscal Consolidation termasuk penambahbaikan tadbir urus kewangan awam, peningkatan kecekapan, penyampaian perkhidmatan kerajaan, serta pengukuhan peranan sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi. Pendekatan ini adalah penting bagi memastikan daya tahan fiskal negara dalam jangka sederhana dan panjang serta bagi mewujudkan ruang fiskal yang mencukupi untuk menyokong keperluan pembangunan generasi masa hadapan.
Kebergantungan berlebihan kepada sumber minyak dan gas sahaja bukanlah pendekatan yang mampan dalam jangka panjang. Oleh itu, kerajaan akan terus berusaha ke arah kepelbagaian ekonomi dan pengukuhan sektor bukan minyak dan gas. Sebelum kaola menerangkan mengenai dengan penyediaan Rang Anggaran Belanjawan Negara bagi Tahun Kewangan 2026/2027 ini, kaola ingin memohon izin untuk terlebih dahulu mengongsikan beberapa inisiatif, projek dan pencapaian serta peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan bagi rakyat dan penduduk di negara ini ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua Dewan dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Sepanjang perjalanan ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035, dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala jua dan di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kerajaan terus melaksanakan pelbagai usaha strategik yang akan membawa perubahan bermakna kepada peningkatan taraf hidup rakyat seperti meningkatkan peluang pembelajaran, meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan, menambah baik kemudahan asas bagi rakyat dan penduduk negara serta memperkukuh ekonomi negara. Setiap pencapaian tersebut merupakan petunjuk bahawa negara kita sedang bergerak ke hadapan dengan langkah yang lebih tersusun dan lebih berdaya tahan.
Di bawah matlamat pertama Wawasan Brunei 2035, Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya. Alhamdulillah, dalam bidang pendidikan tinggi dan kecemerlangan ilmu, negara terus memperkukuh daya saing institusi pendidikan kita di persada antarabangsa. Pada tahun 2025, Universiti Brunei Darussalam, UBD telah meningkat 18 anak tangga dalam QS World University Rankings 2026, kedudukan ke-367 sekaligus menempatkan UBD dalam 25 peratus terbaik dunia daripada 8,467 institusi yang dinilai. Momentum ini diteruskan apabila UBD turut melonjak lebih 150 kedudukan dalam Times Higher Education World University Ranking 2026 memasuki kelompok top 351 ke 400. Pencapaian ini memperkukuh keyakinan bahawa pelaburan kerajaan dalam ekosistem pendidikan, penyelidikan dan inovasi sedang menghasilkan impak yang nyata.
Universiti Teknologi Brunei, UTB juga turut menunjukkan prestasi yang membanggakan. Dalam QS World University Rankings 2026, UTB berada pada kedudukan ke-578 sekaligus mengukuhkan kedudukannya dalam kelompok universiti terbaik di peringkat global. Di rantau ASEAN pula UTB berada di tangga ke-9 bagi universiti berteraskan teknologi dan kejuruteraan, mencerminkan peranannya sebagai peneraju serantau dalam bidang sains teknologi dan inovasi. Di samping itu, Negara Brunei Darussalam berada di kedudukan ke-43 daripada 135 buah negara yang dinilai dalam Global Talent Competitiveness Index 2025 sekaligus menempatkan negara dalam sekitar 32 peratus negara teratas di peringkat dunia. Indeks ini merupakan satu penanda aras antarabangsa yang menilai keupayaan sesebuah negara dalam membangun, menarik dan mengekalkan bakat serta tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Di bawah Matlamat Kedua, Kehidupan Rakyat yang Berkualiti Tinggi, kerajaan terus menumpukan perhatian kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, persekitaran hidup yang selamat dan selesa serta jaringan sokongan sosial yang inklusif. Usaha ini bukan sahaja menambah baik kemudahan bahkan memastikan setiap rakyat tanpa mengira latar belakang dapat menikmati perkhidmatan asas yang mudah diakses dan berkualiti.
Dalam aspek kesihatan, keberhasilan dasar kerajaan dapat dilihat melalui indikator-indikator yang memberi kesan langsung kepada rakyat. Berdasarkan data pada tahun 2024 jangka hayat ketika lahir mencapai sekitar 79.1 tahun menandakan peningkatan berterusan dalam akses penjagaan kesihatan dan kualiti hidup. Kadar kematian bayi pula kekal rendah dianggarkan 11.4 bagi setiap 1,000 kelahiran menunjukkan keberkesanan Program Imunisasi Penjagaan Antenatal dan Neonatal serta rawatan awal penyakit. Kadar kematian kanak-kanak di bawah 5 tahun juga berada pada tahap terkawal iaitu sekitar 14 bagi setiap 1,000 kelahiran, memperlihatkan kejayaan intervensi kesihatan bersepadu untuk kanak-kanak dan ibu.
Selain daripada itu, Negara Brunei Darussalam juga terus memberi penekanan kepada kualiti hidup, kebajikan dan kesejahteraan rakyat yang meliputi bekalan elektrik dan air di Negara Brunei Darussalam telah mencapai 99.9 peratus, manakala 99 peratus kawasan berpenduduk mempunyai akses kepada internet.
Pihak kerajaan juga akan terus mengambil langkah yang sewajarnya dalam memastikan infrastruktur-infrastruktur senantiasa di dalam tahap yang baik dan terpelihara serta bersedia untuk menyokong keperluan ramai. Ini adalah termasuk memastikan kerja-kerja penyelenggaraan terus dilaksanakan secara berkesan dan mengikut perancangan dan keperluan semasa.
Di bawah Matlamat Ketiga, iaitu Ekonomi yang Dinamik dan Berdaya Tahan. Kerajaan terus melaksanakan langkah strategik selaras dengan Economic Blueprint Negara Brunei Darussalam yang dilancarkan pada tahun 2021. Bagi mengurangkan kebergantungan kepada sektor minyak dan gas serta mempelbagaikan sumber pertumbuhan, usaha ini menumpukan kepada pembangunan ekosistem perniagaan yang berdaya saing melalui pemerkasaan, perusahaan tempatan berproduktiviti tinggi, penarikan Pelaburan Langsung Asing bernilai tambah serta pengukuhan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana ataupun PMKS bagi mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti. Pelaksanaan ini, disokong oleh Pembangunan Model Insan, infrastruktur yang mampan, kelestarian alam sekitar serta tadbir urus yang cekap dan dipercayai. Pembangunan ekonomi kekal sebagai fokus utama kerana ia bukan sahaja meningkatkan hasil pendapatan malah juga mewujudkan peluang pekerjaan di sektor swasta yang sekaligus memperkukuh asas sosioekonomi secara menyeluruh.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa perkembangan telah dicapai, mengikut data terkini hasil pendapatan perusahaan meningkat daripada $25.9 bilion pada tahun 2015 kepada $35.4 bilion pada tahun 2024. Sementara itu, jumlah pekerja di sektor swasta terus meningkat daripada sekitar 53 peratus pada tahun 2014 kepada 70 peratus pada tahun 2024. Perkembangan ini menunjukkan peralihan struktur ekonomi ke arah pertumbuhan yang semakin dipacu oleh sektor swasta.
Walau bagaimanapun, cabaran struktur masih wujud khususnya ketidakpadanan kemahiran dengan keperluan industri serta kemasukan tenaga kerja baharu setiap tahun. Di samping itu, perkembangan teknologi pesat termasuk Artificial Intelligence, AI turut mengubah sifat pekerjaan yang menuntut tenaga kerja yang lebih adaptive serta mempunyai kemahiran yang relevan.
Sehubungan itu, persediaan tenaga kerja untuk mengguna pakai teknologi baharu dan meningkatkan produktiviti merentasi sektor utama adalah amat penting termasuk dalam industri digital sektor hiliran, pertanian pintar, pengeluaran makanan serta sektor perkhidmatan seperti pelancongan dan logistik. Usaha ini akan terus dipergiatkan melalui kerjasama erat antara kerajaan, industri dan Institusi Pengajian Tinggi serta mengukuhkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat.
Ekonomi Negara Brunei Darussalam kekal terbuka dan berhubung rapat dengan ekonomi global. Keterbukaan ini, menyokong perdagangan dan pelaburan. Namun juga menyebabkan ekonomi domestik terdedah kepada faktor luaran seperti ketegangan perdagangan, tekanan kos import serta turun naik permintaan dan harga global.
Faktor-faktor ini menyumbang kepada turun naik prestasi perdagangan, pergerakan sektor dan inflasi. Oleh itu, usaha kepelbagaian ekonomi dan pengukuhan daya tahan negara terus menjadi keutamaan bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dalam jangka sederhana dan panjang.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, seterusnya izinkan kaola mengongsikan beberapa indikator-indikator mikroekonomi yang mencerminkan kedudukan ekonomi negara setakat ini. Keluaran Dalam Negeri Kasar, KDNK negara bagi tahun 2025 telah mencatatkan peningkatan sebanyak 0.7 peratus tahun ke tahun. Peningkatan ini terutamanya didorong oleh peningkatan sektor minyak dan gas sebanyak 3.1 peratus selaras dengan peningkatan pengeluaran minyak mentah dan gas cecair asli LNG. Manakala sektor bukan minyak dan gas mencatatkan penurunan sebanyak 1.5 peratus terutamanya disumbangkan oleh penurunan beberapa subsector utama termasuk kewangan, lain-lain pembuatan dan perkhidmatan kesihatan.
Bagi sektor perdagangan borong dan runcit seperti kebanyakan negara lain, cabaran pada tahun 2025 turut dialami
selaras dengan perubahan corak permintaan dan tabiat pengguna. Perkembangan pesat perdagangan dalam talian telah mendorong peralihan kepada platform digital yang menawarkan kemudahan, pilihan lebih luas, harga yang kompetitif. Walau bagaimanapun, beberapa subsector turut mencatatkan pertumbuhan positif khususnya subsector perkhidmatan pendidikan, pengangkutan udara dan pengangkutan air.
Perkembangan ini menunjukkan potensi besar untuk terus diperkukuh dan dimajukan terutamanya melalui peningkatan kecekapan operasi, pemodenan perkhidmatan serta penggunaan teknologi yang lebih meluas bagi memenuhi permintaan masa hadapan. Walaupun pertumbuhan pada tahun ini adalah sederhana, keadaan ini dipengaruhi oleh kesan asas yang tinggi pada tahun sebelumnya. Oleh itu, prestasi ekonomi perlu dinilai dalam konteks trend jangka panjang bagi mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh. Bagi tempoh di antara tahun 2015 hingga tahun 2025, KDNK mencatatkan pertumbuhan pro rata sebanyak 0.6 peratus setahun dengan sektor bukan minyak dan gas mencatatkan peningkatan pro rata sebanyak 2.7 peratus setahun. Ini menunjukkan bahawa dalam jangka panjang ekonomi negara khususnya sektor bukan minyak dan gas telah menunjukkan perubahan positif secara beransur-ansur.
Bagi memastikan ekonomi kekal stable dan berkembang, keutamaan strategik terus diberikan kepada pengukuhan dan kepelbagaian sektor bukan minyak dan gas melalui lima sektor keutamaan iaitu hiliran minyak dan gas, makanan, perkhidmatan, pelancongan dan ICT. Usaha ini memerlukan kerjasama erat semua pihak bagi membangunkan ekosistem perniagaan yang kondusif termasuk tenaga kerja berkemahiran, infrastruktur berkualiti dan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap.
Dari segi nilai eksport, sektor bukan minyak dan gas terus menjadi penyumbang utama sejak tahun 2021 dan pada tahun 2025 menyumbang sebanyak 61 peratus daripada jumlah eksport negara. Subsector bukan minyak dan gas juga terus menyumbang lebih besar kepada KDNK berbanding sektor minyak dan gas iaitu sebanyak 54 peratus pada tahun 2025 di dorong oleh sektor-sektor keutamaan, priority sector sebanyak 43 peratus daripada keseluruhan KDNK sektor bukan minyak dan gas.
Negara terus mencatat lebihan perdagangan ataupun trade surplus sebanyak BND5.1 bilion pada tahun 2025. Walaupun menurun 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya akibat ketidaktentuan global yang menjejaskan harga komoditi eksport utama khususnya minyak dan gas serta produk hiliran berkaitan. Kadar inflasi kekal rendah dan stabil pada tahun 2025 dengan penurunan sebanyak 0.3 peratus berbanding tahun sebelumnya disokong oleh subsidi kerajaan kawalan harga barangan keperluan serta pemantauan harga berterusan. Walaupun harga makanan masih lebih tinggi berbanding sebelum pandemik akibat faktor global dan kebergantungan kepada import, tekanan inflasi domestik keseluruhannya kekal terkawal.
Mengenai pasaran tenaga kerja, laporan Kajian Tenaga Kerja 2025 sedang dilaksanakan. Dapatan awal menunjukkan kadar pengangguran penduduk berumur 18 tahun ke atas adalah dijangka pada tahap 5.0 peratus. Walau bagaimanapun, kadar sebenar nanti akan dikongsikan setelah laporan tersebut selesai dimuktamadkan. Sebagai langkah ke hadapan, usaha memperkukuh daya tahan ekonomi negara akan terus menumpukkan kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran serta penerapan teknologi dan inovasi merentasi semua sektor. Dalam persekitaran global yang semakin mencabar, daya saing bergantung kepada produktiviti, kecekapan dan keupayaan menyesuaikan diri.
Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama awam swasta, mempererat hubungan ekonomi serantau serta menyokong PMKS untuk meningkatkan keupayaan dan mempelbagaikan pasaran bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dan berdaya tahan dalam jangka panjang.
Alhamdulillah, dengan pencapaian yang kaola kongsikan sebentar tadi, kaola ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak sama ada dari sektor awam mahupun sektor swasta di atas usaha dan komitmen yang diberikan dalam merealisasikan matlamat-matlamat pembangunan negara ini. Semoga kejayaan yang dicapai akan menjadi dorongan untuk kita bekerja dengan lebih gigih, lebih teratur dan lebih berdisiplin agar aspirasi Wawasan Brunei 2035 benar-benar dapat direalisasikan dan manfaat pembangunan benar-benar sampai ke seluruh lapisan rakyat.
Dalam menerajui pelaksanaan Wawasan Brunei 2035, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 kali pertama bagi tahun 2025 agar semua pihak terus bersatu padu, berusaha dalam menghadapi cabaran semasa dan memastikan strategi serta pelaksanaan dasar negara sentiasa relevan dan responsif terhadap perubahan persekitaran global serta dinamik masyarakat. Baginda menekankan bahawa kejayaan yang telah kita capai sehingga kini mesti digerakkan dengan semangat baharu yang lebih komprehensif menyeluruh dan berintegrasi di mana setiap agensi, sektor dan komuniti bergerak ke arah dalam mencapai aspirasi tiga teras utama Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Sekarang kaola akan menerangkan mengenai asas penyediaan Rangka Anggaran Belanjawan Negara bagi Tahun Kewangan 2026/2027 ini. Berdasarkan kepada analisis dan penilaian menyeluruh yang telah dibuat ke atas prospek ekonomi global dan Negara Brunei Darussalam. Keutamaan perbelanjaan Kerajaan serta kemampuan kewangan Kerajaan untuk membiayai perbelanjaan-perbelanjaan berkenaan. Segala langkah ini diambil bagi memastikan setiap perbelanjaan yang dirancang benar-benar dapat menyokong pembangunan negara secara mampan dan memberi manfaat yang optimum kepada rakyat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Beberapa perubahan dasar dan perdagangan di peringkat antarabangsa telah mewujudkan suasana ekonomi dunia yang lebih mencabar. Menurut International Monetary Fund (IMF) dalam laporan World Economic Outlook keluaran Januari 2026, ekonomi global masih diunjurkan berkembang pada kadar sederhana sekitar 3.3 peratus pada tahun 2026 dan 3.2 peratus pada tahun 2027.
Kadar perkembangan ini adalah didorong oleh pelaburan yang kukuh terhadap teknologi terkini termasuk AI. Namun begitu, perkembangan geopolitik terkini di beberapa rantau dunia termasuk ketegangan yang meningkat di Timur Tengah pada masa ini berpotensi menambah ketidaktentuan terhadap pasaran tenaga, rantaian bekalan global serta sentimen pelaburan antarabangsa.
Bagi Negara Brunei Darussalam unjuran pertumbuhan juga kekal positif bagi tahun 2026. Beberapa institusi kewangan antarabangsa menunjukkan keyakinan terhadap prospek ekonomi negara kita dengan IMF mengunjurkan pertumbuhan pada kadar 2.4 peratus; ASEAN Plus 3 Micro Economy Research Office, AMRO pada kadar sekitar 1.6 peratus, manakala ASEAN Development Bank, ADB mengunjurkan 1.5 peratus. Unjuran ini mengambilkira pemulihan dalam sektor minyak dan gas serta kemajuan projek strategik dalam sektor bukan minyak dan gas yang sedang dilaksanakan.
Dari sudut harga barangan, IMF menjangkakan inflasi global menurun daripada sekitar 4.1 peratus pada tahun 2025 kepada 3.8 peratus pada tahun 2026. Walau bagaimanapun, prospek ini tertakluk kepada ketidaktentuan global termasuk gangguan bekalan, cuaca melampau, kos pembiayaan yang tinggi dan perkembangan geopolitik terkini di Timur Tengah sekaligus memberi tekanan terhadap inflasi global.
Bagi negara kita, kadar inflasi kekal rendah dan terkawal sekitar 0.1 peratus pada tahun 2025, mencerminkan kestabilan harga domestik walaupun sebahagian besar barangan adalah diimport. Namun demikian, memandangkan kebergantungan negara kepada barangan import masih tinggi, negara perlu sentiasa bersedia menghadapi potensi kesan daripada tekanan inflasi global termasuk memastikan bekalan barangan asasi kekal mencukupi pada harga yang berpatutan.
Perdagangan dunia pula dijangka berkembang pada kadar sederhana sekitar 2.6 peratus bagi tahun 2026 dan 3.1 peratus bagi tahun 2027. Namun langkah perlindungan perdagangan dan perubahan aliran perdagangan boleh meningkatkan kos dan menjejaskan kecekapan rantaian bekalan sekaligus memberi kesan kepada eksport dan pelaburan negara.
Secara keseluruhannya, gambaran ini menunjukkan bahawa prospek ekonomi global masih positif. Walau bagaimanapun, kita perlu berhati-hati dalam menghadapi risiko-risiko yang berkemungkinan menjadi cabaran kepada ekonomi di masa akan datang. Sebagai ekonomi kecil dan terbuka, pendapatan negara terdedah kepada turun naik harga minyak, kelembapan perdagangan global dan ketidaktentuan geopolitik.
Perubahan dalam dasar perdagangan dan pasaran tenaga boleh memberi kesan langsung kepada hasil Kerajaan dan aktiviti ekonomi dalam negeri. Oleh itu, belanjawan ini disusun dengan memastikan kita berbelanja secara berdisiplin tanpa membebankan kedudukan fiskal Kerajaan pada masa hadapan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Izinkan kaola mengongsikan kedudukan fiskal Kerajaan setelah penutupan akaun Tahun Kewangan 2024/2025 di mana Kerajaan telah mencatatkan Kutipan Hasil pendapatan sebanyak $3.53 bilion iaitu penurunan sebanyak 4.4 peratus berbanding $3.69 bilion pada Tahun Kewangan 2023/2024. Dari segi perbelanjaan pula, Kerajaan telah mencatatkan peningkatan sebanyak 2.2 peratus kepada $6.2 bilion berbanding $6.11 bilion pada Tahun Kewangan 2023/2024. Berikutan ini, pada Tahun Kewangan 2024/2025, Kerajaan telah merekodkan defisit belanjawan sejumlah $2.72 bilion.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Seterusnya, sukacita kaola mengongsikan bahawa dengan berasaskan unjuran-unjuran serta hala tuju ekonomi dunia pada masa ini bagi Tahun Kewangan 2026/2027, Belanjawan Negara dicadangkan sebanyak BND6.3 bilion secara keseluruhan iaitu untuk membiayai perbelanjaan negara menurut kategori-kategori seperti berikut:
Pertama, BND2.31 bilion untuk membiayai emolumen termasuk pembayaran gaji, faedah perkhidmatan, kemudahan-kemudahan lain dan caruman majikan;
Kedua, BND2.45 bilion untuk membiayai Perbelanjaan Berulang-ulang Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan; dan Ketiga, BND480 juta untuk membiayai projek-projek pembangunan di bawah RKN12 dengan Harga Rancangan sejumlah BND4 bilion. Manakala selebihnya adalah untuk membiayai perbelanjaan di bawah Tajuk Perbelanjaan Yang Diakui. Berdasarkan kepada anggaran awal hasil pendapatan dan Anggaran Perbelanjaan Kerajaan seperti yang kaola nyatakan tadi, maka Kerajaan dijangka akan mengalami defisit belanjawan bagi Tahun Kewangan 2026/2027.
Walau bagaimanapun, unjuran kedudukan fiskal ini akan dikemaskinikan lagi mengambil kira perkembangan semasa termasuk tahap pengeluaran minyak dan gas negara, harga minyak dan gas dunia, kadar pertukaran mata wang dolar Amerika Syarikat, hasil pendapatan dari sektor bukan minyak dan gas dan perbelanjaan sebenar Kerajaan.
Oleh itu, kita hendaklah membuat perbelanjaan secara berhemah dan memberikan keutamaan kepada perbelanjaan yang lebih memberikan spin-off terhadap ekonomi negara. Keadaan ini mengingatkan kita supaya lebih berhati-hati memilih keutamaan dengan teliti, menilai semula program yang kurang berkesan dan memastikan perbelanjaan tertumpu kepada perkara yang benar-benar diperlukan oleh rakyat dan negara. Defisit ini akan diurus secara berhemah melalui kawalan perbelanjaan, menambah baik hasil bukan minyak dan gas serta langkah berterusan untuk meningkatkan efisiensi perbelanjaan.
Pada masa yang sama defisit ini juga mengingatkan kita bahawa setiap keputusan perbelanjaan mesti disertai dengan perancangan yang jelas tentang hasilnya. Oleh itu, tumpuan belanjawan ini bukan sahaja untuk membiayai keperluan semasa tetapi juga bagi pelaburan yang dapat mengukuhkan asas ekonomi negara seperti pembangunan modal insan, peningkatan produktiviti, pendigitalan perkhidmatan kerajaan serta sokongan kepada sektor-sektor yang berpotensi menjana pertumbuhan Baharu.
Dengan pendekatan ini, kita hendaklah berusaha dalam memastikan kesejahteraan rakyat hari ini tetap terpelihara dan masa hadapan negara terus diperkukuh selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Menghadapi realiti fiskal dan cabaran global hari ini, kita tidak lagi boleh melihat belanjawan hanya sebagai senarai perbelanjaan. Belanjawan ini adalah rancangan tentang masa hadapan negara, tentang apa yang perlu kita utamakan sekarang supaya Negara Brunei Darussalam terus kukuh pada tahun-tahun mendatang.
Justeru, tumpuan hendaklah diberikan kepada pelaburan yang membina asas jangka panjang antaranya dengan memperkasa rakyat melalui pendidikan dan latihan, meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan, memperkembangkan sektor produktif serta memodenkan infrastruktur dan teknologi.
Dengan pendekatan ini, kita bukan sahaja menangani keperluan hari ini tetapi pada masa yang sama sedang membentuk negara yang lebih berdaya saing, inklusif dan berdaya tahan. Dalam melaksanakan agenda ini, kerajaan tidak bergerak bersendirian, ini memerlukan jentera ekonomi yang digerakkan bersama sektor swasta, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan ataupun GLCs serta pelaburan langsung asing yang membawa teknologi dan peluang baharu.
Kerajaan akan memperkukuh kerjasama ini termasuk melalui penerokaan dan perlaksanaan projek perkongsian awam swasta ataupun PPP supaya projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, lebih cost-effective dan memberikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Dengan pendekatan ini, kita bukan sahaja merancakkan pertubuhan-pertubuhan ekonomi malah memperluaskan lagi sumber hasil negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kaola akan beralih kepada tema Belanjawan Negara. Tema Belanjawan bagi tempoh lima tahun bermula Tahun Kewangan 2026/2027 ini hingga tahun 2030/2031 adalah bersama menjayakan Wawasan Brunei 2035 atau Together Achieving Wawasan Brunei 2035’. Tema ini ditetapkan untuk tempoh 5 tahun akan datang kerana inilah fasa penentu atau dekad terakhir yang akan membentuk hala tuju negara menuju Wawasan Brunei 2035.
Dalam tempoh ini, apa jua keputusan fiskal dan pelaburan yang kita buat mestilah menjadi pemangkin kepada momentum pembangunan negara. Oleh itu, belanjawan ini menuntut pelaburan yang strategik, menjana transformasi, inovatif dan berimpak tinggi di samping penekanan kepada disiplin kewangan ataupun financial discipline.
Keutamaan belanjawan yang kaola akan bentangkan sebentar lagi bukan sekadar senarai program. Ia adalah anjakan untuk kita melangkah bersama dengan tekad keberanian dan rasa amanah demi memastikan Wawasan Brunei 2035 bukan hanya cita-cita tetapi menjadi kenyataan yang dapat dirasai oleh setiap rakyat. Inilah saatnya untuk kita berfikir di luar kebiasaan think outside the box. Keluar daripada zon selesa.
Mempercepatkan perubahan dan membina kekuatan baharu bagi negara. Belanjawan ini mengajak kita berpandangan lebih jauh ke hadapan, membuka laluan kepada kepelbagaian ekonomi, rakyat yang lebih berkemahiran, institusi yang lebih berdaya tahan dan masa depan yang lebih terjamin. Dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala dan dengan kesatuan usaha seluruh pihak, kita mampu mengubah cabaran, menjadi peluang dan harapan menjadi kenyataan untuk menjadikan negara kita lebih makmur stable dan diberkati.
Tema Belanjawan bagi Tahun Kewangan 2026/2027 ini memfokuskan kepada 3 keutamaan Baharu iaitu pertama, memperkukuh Kestabilan Fiskal dan Tadbir Urus Kewangan. Kedua, Memperkasa Ekonomi Melalui Transformasi dan Inovasi; dan Ketiga, menjamin Kelestarian Sosial dan Pembangunan Masa Hadapan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola akan menghuraikan secara ringkas keutamaan-keutamaan berkenaan satu persatu, termasuk perkembangan dan pencapaiannya.
Pertama, Memperkukuh Kestabilan Fiskal dan Tadbir Urus Kewangan. Fokus pertama belanjawan ini adalah untuk memperkukuh kestabilan fiskal negara. Kita perlu beralih kepada pendekatan perbelanjaan kerajaan yang lebih berhemah dan cost-efficient dengan mengurangkan perbelanjaan yang tidak produktif dan memastikan setiap peruntukan benar-benar membawa hasil yang jelas kepada rakyat dan negara. Ini termasuk semakan semula perbelanjaan asas, penelitian semula subsidi agar ianya diberikan kepada golongan yang lebih memerlukan sahaja dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Pada masa yang sama, kerajaan akan terus menilai cara kita membiayai dan melaksanakan projek di mana sesuai kita akan memanfaatkan Public Private Partnership serta meneruskan langkah pengkorporatan bagi agensi atau entiti yang berdaya saing supaya perkhidmatan dapat dipertingkatkan, kos dapat dioptimumkan dan ruang fiskal kerajaan dapat digunakan untuk keutamaan yang lebih kritikal.
Pendekatan ini bukan sekadar mengurangkan beban perbelanjaan tetapi membuka peluang kepada inovasi, kecekapan dan penglibatan sektor swasta dan GLC dalam memajukan ekonomi negara. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah sempena awal tahun Masihi 2026 telah menekankan keperluan agar perkhidmatan kerajaan bergerak ke arah yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan pelanggan.
Sejajar dengan penekanan ini, langkah pengkorporatan, penstrukturan semula serta penerokaan mode baharu penyampaian perkhidmatan termasuk melalui PPP akan terus diperkukuh supaya mutu perkhidmatan meningkat, kos dapat dioptimumkan dan beban fiskal kerajaan dikurangkan.
Sebagai contoh, pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan Pos kepada POSBRU Sendirian Berhad mulai 01 Januari 2026 merupakan satu langkah penting untuk memperkukuh tadbir urus dan kecekapan perkhidmatan. Melalui model ini, perkhidmatan pos dapat diurus secara lebih fleksibel, telus dan berdaya saing dengan ruang untuk mempelbagaikan perkhidmatan dan sumber hasil. Pada masa yang sama, kerajaan tetap mengekalkan peranan kawal selia bagi memastikan kepentingan rakyat terus diberi keutamaan khususnya dalam pemberian perkhidmatan asas di seluruh negara.
Manakala Syarikat Print Plus Sendirian Berhad telah berjaya meningkatkan hasil pendapatan dan meningkatkan kecekapan operasi, contohnya penurunan jumlah tempoh masa machine downtime daripada 17% sebelum ianya dikorporatkan kepada 1% sahaja pada masa ini.
Seterusnya mengenai projek kerjasama di antara pihak kerajaan dan swasta pula, Muara Port Company Sendirian Berhad ataupun MPC iaitu sebuah syarikat usaha sama di antara Darussalam Asset dan Syarikat Beibu Hongkong sedang melaksanakan Projek Muara Port, Expansion Plan iaitu bagi memperluaskan dan memperbaiki kedua-dua terminal container dan conventional. Projek yang dijangka akan selesai pada bulan Ogos 2027 nanti dihasratkan untuk meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos logistik, meningkatkan kadar throughput dan menyediakan lebih banyak perkhidmatan tambahan nilai.
Melalui projek ini, kapasiti terminal container dijangka meningkat daripada 220,000 TEUs kepada 500,000 TEUs setahun. Projek ini juga dirancang untuk
merangkumi pembangunan port trade zone seluas 3.62 hektar di dalam terminal container yang bertujuan untuk mempermudahkan proses pengimportan, pengeluaran, pembungkusan semula dan pengeksportan bagi perniagaan di dalam terminal tersebut.
Selain itu, salah satu projek kerjasama di antara pihak kerajaan dan swasta pada masa ini dalam pelaksanaan iaitu projek untuk membangun satu loji tenaga solar photovoltaic dengan kapasiti sebanyak 30 megawatt di Sungai Akar sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap menjelang akhir tahun 2026 ini. Loji ini akan menjana lebih 64 ribu megawatt-hour tenaga elektrik bersih setiap tahun iaitu cukup untuk membekalkan tenaga elektrik kepada lebih 15,500 buah rumah. Berikutan ini, insya-Allah projek ini akan menjana penjimatan perbelanjaan kerajaan bagi subsidi tenaga elektrik. Usaha memperkukuh kedudukan fiskal juga memerlukan kita meningkatkan dan mempelbagaikan hasil negara khususnya daripada sektor bukan minyak dan gas. Pada masa ini, kutipan bukan minyak dan gas, hanya mampu menampung sebahagian kecil daripada keperluan perbelanjaan asas kerajaan.
Justeru, langkah-langkah untuk memperluaskan sumber hasil perlu digerakkan secara lebih terancang tanpa menjejaskan golongan tertentu. Pada masa yang sama, kerajaan akan terus mempercepatkan pemodenan sistem kutipan hasil dan percukaian termasuk meningkatkan pematuhan dan mengurangkan ketirisan agar setiap hasil kerajaan dapat dikutip secara efisien dan efektif.
Oleh itu, peruntukan akan terus disediakan pada Tahun Kewangan 2026/2027 untuk membiayai pemeliharaan dan penaiktarafan System e-Payment Gateway dan penyelenggaraan One Common Billing System dengan penambahbaikan kutipan hasil Kerajaan, insya-Allah ia akan memberi ruang fiskal tambahan untuk membiayai keutamaan negara seperti pendidikan, kesihatan, keselamatan makanan dan sokongan kepada perusahaan tempatan. Dengan hasil yang lebih pelbagai, negara akan menjadi lebih stabil, kurang bergantung kepada harga minyak dan gas yang tidak menentu dan lebih bersedia menghadapi sebarang risiko dan ketidaktentuan di masa hadapan.
Dalam masa yang sama, sepertimana yang diperkenalkan oleh negara-negara lain, kerajaan sedang meneliti rangka kerja peraturan fiskal ataupun fiscal rule serta pendekatan perancangan jangka sederhana yang lebih sistematik termasuk sasaran defisit dan had perbelanjaan. Ini adalah bagi mewujudkan dasar fiskal yang berhemah dan berdaya tahan terhadap ketidaktentuan hasil.
Sejajar dengan itu, struktur kos kementerian dan jabatan akan dinilai semula secara menyeluruh melalui kajian perbelanjaan asas bagi mengenal pasti ruang kecekapan dan penjimatan tanpa menjejaskan perkhidmatan teras. Selain itu, tadbir urus kewangan awam akan diperkukuh melalui penyediaan laporan yang berasaskan hasil dan pemantauan prestasi termasuk penambahbaikan program dan performance budgeting dan semakan semula indikator prestasi atau KPI agar mana-mana relevan dan terukur. Pada masa yang sama, transformasi digital akan dipacu melalui e-budgeting yang akan menjadikan pengurusan belanjawan lebih telus, tepat dan berpandukan data.
Kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan Fiscal Consolidation Program, pelaksanaan fasa pertama fiscal consolidation program menunjukkan bahawa pembaharuan fiskal bukan sesuatu yang mudah tetapi complex, memakan masa dan memerlukan perubahan cara berfikir. Namun melalui proses learning by doing, kita berjaya membina asas yang lebih kukuh, memperbaiki amalan pengurusan perbelanjaan dan yang paling penting mewujudkan momentum ke arah pengurusan fiskal yang lebih berdisiplin.
Berpandukan pengalaman ini, kerajaan kini sedang mengubah Fiscal Consolidation Program 2.0 dengan pendekatan yang lebih tersusun dan penetapan sasaran yang lebih jelas dan terukur. Mengawal pertumbuhan perbelanjaan, meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh hasil bukan minyak dan gas. Inisiatif ini akan diselaraskan dengan pembangunan fiscal rule supaya dasar fiskal negara mempunyai landasan yang lebih konsisten dan berpanjangan.
Dengan disiplin yang berterusan, momentum pembaharuan yang lebih kukuh dan panduan dasar yang lebih jelas, Fiscal Consolidation Program 2.0 akan membantu memperkukuh kedudukan fiskal negara. Bukan sekadar untuk menampung keperluan semasa tetapi untuk menjamin kestabilan masa hadapan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Keutamaan belanjawan kedua adalah untuk memperkasa ekonomi melalui transformasi dan inovasi. Fokus kedua belanjawan ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh asas ekonomi negara melalui permodenan, kepelbagaian dan inovasi seperti yang kita sedia maklum kebergantungan kepada sektor minyak dan gas menjadikan ekonomi terdedah kepada pasaran global yang tidak menentu. Justeru, kepelbagaian ekonomi harus dilipat gandakan lagi dengan kadar segera. Sejajar dengan Brunei Darussalam Economic Blueprint, tumpuan akan diperkukuh kepada lima sektor keutamaan yang telah dikenal pasti sebagai penggerak utama usaha kepelbagaian ekonomi negara:
Pertama, sektor hiliran minyak dan gas, downstream, termasuk projek Syarikat Polygel Intermediates (B) Sdn Bhd dan projek Hengyi Phase 2 yang dijangka akan beroperasi masing-masing pada tahun 2028 dan tahun 2029. Di samping ini, Syarikat Hengyi Industries juga akan melaksanakan projek pembuatan chemical baru dengan berkonsep Circular Economy seperti pemprosesan dry gas kepada sejenis produk additive iaitu Linalool yang dijangka akan dapat beroperasi pada tahun 2026 - 2027.
Di antara lainnya juga termasuk satu projek di dalam fasa perundingan akhir iaitu bagi membangunkan loji pengeluaran Isopropyl Alcohol, IPA bersama syarikat pelabur dari India. Projek ini juga akan menambah nilai kepada bahan mentah tempatan iaitu Propylene. Projek-projek ini akan menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan;
Kedua, sektor industri makanan khususnya agrimakanan dan aquaculture seperti syarikat Jets Sendirian Berhad, sebuah syarikat Pelaburan Langsung Asing yang menggunakan tenaga solar dan teknologi AI dalam penternakan udang biru di Serasa. Untuk menyokong inisiatif negara dalam meningkatkan keselamatan makanan, satu Memorandum Persefahaman telah ditandatangani di antara syarikat PDS Abattoir Sendirian Berhad iaitu anak syarikat Darussalam Asset Sendirian Berhad dengan sebuah syarikat dari Republik Singapura.
Melalui MOU ini, satu projek rintis sedang dipertimbangkan bagi menilai keberhasilan pembiakkan lembu secara commercial, keupayaan operasi dan potensi perkembangan berskala besar. Inisiatif ini dijangka akan dapat membangunkan rantaian ekosistem ternakan yang lengkap di samping menyokong keselamatan makanan negara.
Meningkatkan kadar sara diri daging serta membina kemahiran dan kepakaran tempatan. Sebagai sokongan penting kepada pertumbuhan sektor negara, sebuah perlaburan baru akan menubuhkan Brunei Integrated Analytical Laboratory, BIAL, makmal ujian makanan pertama yang dikendalikan oleh pihak swasta di negara ini. Makmal ini akan menyediakan perkhidmatan ujian yang lebih pantas meliputi keselamatan makanan, sisa kimia, DNA dan keperluan pengesahan halal sekaligus membantu pengeluar tempatan memenuhi piawaian eksport serantau dan antarabangsa.
Projek ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk anak-anak tempatan mengurangkan kebergantungan kepada ujian luar negara serta memperkukuh daya saing sektor makanan sebagai salah satu pemacu kepelbagaian ekonomi negara dan penubuhan Brunei Darussalam-Singapore Agri-Tech Food Zone yang bertujuan untuk meningkatkan kedayatahanan bekalan makanan bagi kedua-dua buah negara, memudah cara pelaburan, bernilai tinggi dalam sektor agrimakanan dan menggalakkan inovasi dalam agriteknologi serta memposisikan Negara Brunei Darussalam sebagai peneraju dalam pengeluaran agrimakanan yang mampan dan berasaskan teknologi di rantau ini;
Ketiga, sektor pelancongan, melalui inisiatif seperti Brunei Mid-Year Conference and Exhibition yang mempromosikan pelancongan luar dan tempatan serta menampilkan keindahan alam semula jadi dan warisan budaya negara. Di samping itu, satu perjanjian telah ditandatangani di antara Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan bersama Borneo Eco-Resort Sendirian Berhad pada 6 November 2025 yang akan melibatkan penaiktarafan kemudahan yang ada dan pembangunan resort bertaraf antarbangsa di Taman Rekreasi Hutan Berakas yang akan dapat menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa. Meningkatkan pengalaman pelancongan serta mempromosikan pelancongan berasaskan pemuliharaan. Selain itu, agenda promosi pelancongan negara akan dikukuh melalui perlaksanaan program promosi di pasaran luar negara termasuk penggunaan pelbagai pendekatan seperti pelantikan Digital Marketing Agency, perkhidmatan agensi atas talian antarabangsa serta kolaborasi social media influencers. Pendekatan ini bertujuan untuk mempertingkatkan profile destinasi negara, meningkatkan jumlah ketibaan pelancong ke negara ini serta merangsang pertumbuhan industri pelancongan dan sektor sokongan;
Keempat, sektor teknologi, maklumat dan komunikasi, ICT termasuk pelaburan bagi submarine cables bagi kesiapsiagaan teknologi AI serta peluasan jaringan 5G yang kini meliputi 98.7 peratus kawasan berpenduduk dan perlancaran procure.bn oleh Darussalam
Assets Sendirian Berhad iaitu sebuah one-stop platform yang menghubungkan syarikat-syarikat GLCs dengan peluang perniagaan kepada semua syarikat swasta, dan PMKS secara lebih telus, cekap, dan inklusif. Melalui platform ini, proses perolehan dapat dipermudahkan, persaingan menjadi lebih sihat dan akses pasaran bagi PMKS diperkukuh. Inisiatif ini akan terus diperkembangkan secara berperingkat dengan lebih banyak syarikat GLCs, swasta dan antarabangsa disasarkan untuk menyertai ekosistem ini;
Kelima, sektor perkhidmatan yang berimpak tinggi seperti pembangunan fasiliti bersepadu yang oleh syarikat Anson International Sendirian Berhad di Pulau Muara Besar yang memfokuskan kepada penyelenggaraan marine dan pentauliahan industri perkapalan dan dijangka mula beroperasi pada tahun 2026. Satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan industri logistik adalah melalui pelancaran perkhidmatan perkapalan baru oleh syarikat NEXT Bahtera Maritime Sendirian Berhad, syarikat ini merupakan sebuah syarikat usaha sama baharu di antara Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Dana Modal Pembangunan Strategik, SDC dan syarikat Network Cross Trade Line Limited.
Perkhidmatan ini menghubungkan Pelabuhan Muara dengan pelabuhan-pelabuhan utama antaranya Lianyungang di Republik Rakyat China, Masan di Republik Korea Selatan, Jakarta di Republik Indonesia, Manila di Republik Filipina dan Kuching dan Kota Kinabalu di Malaysia. Perkhidmatan perkapalan ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan perdagangan dengan pasaran utama di rantau ini, meningkatkan kecekapan serta kebolehpercayaan rantaian bekalan serantau.
Sementara itu, kerajaan melalui agensi-agensi yang berkaitan telah berjaya memudah cara hubungan perniagaan di antara syarikat tempatan dan syarikat luar negara di dalam sektor logistik khususnya dalam membantu memperluaskan lagi kesalinghubungan serantau dan memperkemas operasi transhipment. Inisiatif dari pihak swasta ini iaitu di antara Syarikat Warisan Shipping line dan Shandong International Transportation Corporation adalah sangat dihargai kerana ianya merupakan usaha penting dalam memperkukuh keterhubungan maritime negara melalui pengelaran laluan perkhidmatan baharu Pelabuhan Muara kini dihubungkan secara langsung dan tidak langsung dengan beberapa pelabuhan utama di China, Vietnam, Kemboja, Malaysia, Thailand dan Singapura.
Perkembangan ini bukan sahaja memperluas akses pasaran kepada para pedagang tempatan malah menyediakan pilihan perkapalan yang lebih fleksibel serta tempoh transit yang lebih efisien. Penambahan perkhidmatan ini dijangka meningkatkan tahap penggunaan pelabuhan, merangsang pertumbuhan industri logistik tempatan serta menyokong pergerakan kargo dalam rantau BIMP-EAGA.
Pada masa yang sama, ia turut memperkukuh kedudukan Pelabuhan Muara sebagai hab transit serantau yang berdaya saing dan cekap. Dalam era rantaian bekalan global yang semakin dinamik dan kompleks, rangkaian maritime dan logistik yang cekap serta saling berhubung adalah amat penting.
Dalam hubungan ini, satu memorandum persefahaman antara syarikat tempatan yang sama iaitu Warisan Shipping Line Sdn Bhd dengan DP World Logistics Malaysia telah ditandatangani untuk memperkukuh kesalinghubungan maritime, meningkatkan daya saing pelabuhan serta menyokong pertumbuhan perdagangan serantau khususnya dalam rantau BIMP-EAGA. Kerjasama ini juga menggabungkan kepakaran tempatan dan antarabangsa bagi membangunkan perkhidmatan pengangkutan kontena yang lebih berdaya maju di samping menyokong pembangunan infrastruktur logistik masa hadapan serta memperkukuh ketahanan rantaian bekalan dan kemampanan ekonomi jangka panjang.
Bagi mempercepatkan pertumbuhan sektor-sektor keutamaan, kerajaan akan terus menarik pelaburan langsung asing yang berkualiti di samping memperkukuh pelaburan domestik. Usaha dipertingkatkan melalui penyediaan insentif yang kompetitif, pemodenan dasar pelaburan dan pembangunan infrastruktur sokongan. Setakat Disember 2025, sebanyak 25 syarikat FDI telah mula beroperasi di Negara Brunei Darussalam dan telah mewujudkan lebih kurang 4 ribu peluang pekerjaan, di mana hampir 48% daripadanya telah diisi oleh anak tempatan. Pada masa yang sama, sebanyak 18 projek FDI lagi sedang dalam fasa pelaksanaan yang dijangka menjana kira-kira 3 ribu peluang pekerjaan apabila mula beroperasi sepenuhnya antara tahun 2026 hingga 2029. Projek-projek ini merangkumi sektor-sektor strategik seperti hiliran minyak dan gas, pemakanan, perkhidmatan perniagaan, pelancongan serta teknologi maklumat dan komunikasi.
Selain menjana pekerjaan, projek-projek FDI ini turut mewujudkan pelbagai peluang perniagaan kepada perusahaan tempatan melalui rantaian bekalan, perkhidmatan sokongan, logistik, pembinaan serta pemindahan teknologi dan kemahiran dengan sendirinya mewujudkan pekerjaan tambahan bagi perusahaan tempatan dalam negeri. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh daya saing ekonomi negara, malah membina asas pertumbuhan yang lebih mampan dan berdaya tahan selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Syarikat Hengyi Industri dengan sokongan daripada pihak kerajaan melalui Strategic Development Capital Fund serta Zhejiang Hengyi Group akan meneruskan pelaburan dalam fasa kedua dengan mengembangluaskan loji penapisan petrokimia dengan nilai pelaburan berjumlah USD 5 Bilion. Insya Allah, projek ini dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2029 dan akan meningkatkan kapasiti pengeluaran dari 8 juta metrik tan setahun kepada 20 juta metrik tan setahun dengan penggunaan teknologi terkini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Agensi-agensi kerajaan dan GLC turut memainkan peranan penting memudahcara projek strategik, memperluas rantaian bekalan tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran untuk rakyat. Pada masa yang sama, langkah pendigitalan proses perniagaan dan pemudahcara pelesenan akan diteruskan supaya urusan pelabur menjadi lebih cepat, telus dan cekap. Antara contoh yang jelas ialah usaha di bawah Maritime and Port Authority of Brunei Darussalam (MPABD) yang sedang mendigitalkan hampir keseluruhan ekosistem pelabuhan daripada custom, agen perkapalan sehinggalah kepada pengendalian kargo melalui satu platform digital yang bersepadu.
Langkah ini telah mengurangkan masa pemprosesan panggilan kapal daripada beberapa hari kepada kurang daripada 24 jam di samping menurunkan kos logistik dan meningkatkan keyakinan pengendali antarabangsa. Pada masa yang sama, sistem Vessel Traffic Management, pelaksanaan Maritime
Single Window serta usaha menaik taraf Muara Port akan meningkatkan keupayaan, keselamatan dan kebolehpercayaan operasi pelabuhan negara. Inisiatif seperti ini menjadikan negara bukan sahaja lebih bersedia menerima pelaburan tetapi turut berpotensi muncul sebagai pintu masuk maritime yang moden dan berdaya saing di rantau Borneo.
Bagi meningkatkan kecekapan proses perdagangan rentas sempadan melalui pendigitalan, Brunei Darussalam National Single Window juga akan dinaiktaraf kepada Brunei Darussalam National Single Window 2.0 dengan mengintegrasikan teknologi AI dan Smart Custom, insya Allah. PMKS pula kekal sebagai nadi aktiviti ekonomi domestik. Kerajaan akan terus memperkasa PMKS melalui latihan berfokus, akses pembiayaan yang lebih mudah, Program Business Matching serta bimbingan untuk memasuki sektor strategi seperti teknologi pertanian moden, industri halal dan ekonomi digital. Banyak agensi dan GLCs telah mula menyediakan platform pemasaran e-dagang dan inkubator perniagaan membantu usahawan membina modal perniagaan yang lebih inovatif, mampan dan berskala.
Pertama, dalam menyokong agensi ini Brunei Economic Development Board, BEDB turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan dan perniagaan khususnya bagi PMKS. Antara inisiatif utama yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut: Mengunjurkan MSME Roundtable Kali Kedua pada bulan Disember 2025. Mengenai cabaran tenaga kerja, dialog ini menghimpunkan agensi kerajaan, majlis perniagaan dan perusahaan tempatan bagi mengenal pasti isu-isu utama yang menjejaskan produktiviti dan pertumbuhan MSME termasuk kesukaran mendapatkan dan mengekalkan tenaga kerja tempatan serta jurang kemahiran dalam bidang operasi, teknikal dan digital;
Kedua, penganjuran Brunei Week di Republik Singapura pada bulan September 2025 yang melibatkan penyertaan syarikat tempatan di bawah satu pavilion negara yang telah membantu syarikat-syarikat tempatan menembusi pasaran serantau dan meningkatkan eksport produk berjenama Brunei; dan
Ketiga, mengadakan platform yang berimpak tinggi seperti Enterprise Growth Connect 2025 sebagai usaha untuk memperkukuh penyertaan perusahaan tempatan dalam pertumbuhan ekonomi negara, memperluaskan penglibatan mereka dalam rantaian bekalan strategik serta meningkatkan in-country value melalui peluang perniagaan, knowledge transfer dan kerjasama industri.
Dalam usaha memperkukuhkan keusahawanan belia sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi masa hadapan, Kerajaan melalui BEDB telah melaksanakan inisiatif Youth Opportunities Unlock 2025, sebagai platform pembangunan usahawan muda
yang bertujuan untuk membina kemahiran memperluaskan rangkaian perniagaan serta membuka peluang pasaran baharu termasuk melalui inisiatif rintis seperti Live Selling Marketplace berasaskan e-dagang.
Penganugerahan Proudly Brunei Business Awards yang memberikan pengiktirafan terhadap pencapaian dan kecemerlangan prestasi perniagaan syarikat-syarikat tempatan yang terpilih dalam berbagai sektor. Brunei Startup Summit yang berfungsi sebagai platform untuk menghubungkan usahawan tempatan dengan pakar industri pelabur dan pemimpin perniagaan serantau. Program ini bertujuan untuk meningkatkan daya saing syarikat pemula ataupun start-up melalui perkongsian pengalaman rangkaian perniagaan serta bimbingan daripada pakar dalam bidang inovasi dan teknologi. Selain itu, ianya jua menyokong pasaran kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dengan menekankan kepentingan keusahawanan digital dan memanfaatkan teknologi dalam perniagaan PMKS.
Bekerjasama dengan pihak perbankan dalam menganjurkan Empowerment Series Workshop yang bertujuan untuk membimbing PMKS dalam meningkatkan kedayatahanan perniagaan mereka. Bengkel ini antaranya memberikan penekanan kepada pengurusan kewangan dan strategi pemasaran digital. Statistik Kajian Tenaga Buruh 2024 menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh sebanyak 67.4 peratus. Walau bagaimanapun kajian majikan mendapati bahawa lebih 60 peratus majikan berdepan cabaran untuk mendapatkan dan mengekalkan pekerja tempatan.
Keadaan-keadaan ini menunjukkan bahawa isu tenaga kerja bukan sahaja berkaitan dengan peluang pekerjaan tetapi juga kesepadanan kemahiran produktiviti dan kesiapsiagaan tenaga kerja. Sehubungan itu, Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan industri dan institusi pendidikan bagi membangunkan tenaga kerja yang lebih bersedia, produktif dan relevan dengan keperluan ekonomi masa hadapan selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 untuk membina ekonomi yang dinamik dan mampan.
Pada masa yang sama, beberapa langkah turut dilaksanakan bagi memperkukuh keadaan pasaran pekerjaan dan melindungi kebajikan pekerja. Ini termasuk penguatkuasaan perintah pekerjaan Upah Minimum kepada 7 industri bermula 1 April 2025 bagi melindungi pekerja daripada menerima kadar gaji yang rendah serta memperkukuhkan kadar gaji di sektor swasta. Manakala bagi industri yang belum terkandung di bawah perintah tersebut, salary guidelines terus dijadikan sebagai rujukan bagi memastikan kadar gaji yang ditawarkan adalah munasabah dan berpatutan.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh perdagangan dan akses pasaran, penyertaan negara dalam China-ASEAN Expo, CAEXPO telah membukakan peluang baharu kepada syarikat Brunei untuk menembusi pasaran China melalui wilayah Guangxi sebagai pintu masuk strategik. Sebanyak 12 buah syarikat merangkumi PMKS, GLCs dan Pelaburan Langsung Asing telah mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka dengan sokongan Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Brunei Economic Development Board.
Inisiatif ini bukan sahaja mempromosikan eksport malah menarik minat pelaburan Baharu, mengukuhkan rantaian nilai industri serta mewujudkan hubungan dagang yang lebih kukuh antara Brunei dan negeri China selaras dengan usaha kita untuk mempelbagaikan ekonomi dan membina perusahaan tempatan yang berdaya saing di peringkat serantau. Inovasi dan penyelidikan turut menjadi pemacu utama pertubuhan baharu. Kerajaan akan memperkukuh kerjasama antara sektor awam, institusi pengajian tinggi, industri tempatan dan rakan antarabangsa melalui Research Grant. Kemudahan pembangunan produk serta perlindungan harta intelek dan paten tempatan. Matlamatnya jelas supaya hasil penyelidikan bukan sahaja kekal di makmal tetapi dapat dikomersialkan, mewujudkan pekerjaan, meningkatkan produktiviti dan menambah nilai kepada ekonomi negara.
Bagi mendokong usaha-usaha ke arah inovatif dan penyelidikan, pihak-pihak kerajaan terus menyediakan peruntukkan di bawah Perbelanjaan Kemajuan untuk membiayai projek-projek di bawah Kajian Sains dan Teknologi dan Inovasi dan di bawah CREATES. Salah satu inisiatif penting yang menyokong inovasi dan penyelidikan dalam sektor makanan ialah kemasukkan Pelaburan Langsung Asing dari Thailand melalui Enserv Holding yang akan melaksanakan projek penanaman dan pemprosesan Sorgum yang pertama di Negara Brunei Darussalam.
Projek ini akan dimulakan di Bio-Innovation Corridor dan Kawasan Kemajuan Pertanian Tungku merangkumi penanaman serta pemprosesan kepada produk makanan dan biofuel. Sorgum ini merupakan tanaman yang mesra iklim dan menggunakan air yang jauh lebih rendah berbanding padi dan berpotensi menyumbang kepada keselamatan makanan, kesihatan serta tenaga boleh diperbaharui. Inisiatif ini bukan sahaja mewujud rantaian nilai baharu dalam sektor agrimakanan malah membawa masuk teknologi, kepakaran dan peluang pekerjaan untuk rakyat di negara ini.
Sebagai contoh, kejayaan dalam sektor agrimakanan berorientasikan eksport, Syarikat Jets Sdn Bhd telah melancarkan kemudahan akuakultur berskala komersial pertama di rantau ini yang beroperasi secara net-zero dan dikuasakan tenaga solar dan dilengkapi sistem AI bagi memantau kualiti air, mengurus penyakit dan menoptimumkan hasil ternakan udang biru.
Projek ini bukan sahaja menambah kapasiti eksport makanan halal premium tetapi turut mewujudkan hak inovasi terbuka untuk penyelidikan dan pembangunan membina kepakaran tempatan dan membukti bahawa pertanian moden boleh berkembang selari dengan kelestarian alam sekitar.
Kerajaan akan terus memfokuskan kepada usaha menyokong kemajuan ekonomi dan mengukuhkan peranan sektor swasta dalam membentuk ekonomi negara yang berdaya tahan. Usaha ini melibatkan peningkatan produktiviti melalui kerjasama dengan peniaga tempatan dan GLC termasuk penyediaan skim insentif, program latihan, ekosistem perniagaan, kemudahan prasarana serta tapak perniagaan untuk membantu PMKS.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Di era digital masa kini kualiti hidup rakyat bukan lagi hanya bergantung kepada kemudahan fizikal semata-mata tetapi juga kepada keupayaan kita memanfaatkan teknologi bagi memudahkan urusan seharian, meningkatkan produktiviti dan mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Transformasi digital yang kita laksanakan bukan bertujuan mengganti manusia
tetapi untuk meningkatkan kecekapan, ketulusan dan kemudahan supaya rakyat menikmati perkhidmatan yang lebih cekap, selamat dan menyeluruh.
Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 kini telah menamatkan fasa pelaksanaannya dan sepanjang tempoh tersebut beberapa inisiatif infrastruktur digital utama telah berjaya diwujudkan. Namun demikian, teknologi terus berkembang dengan begitu pesat dan berterusan. Justeru, kita mesti sentiasa berwaspada dan bersedia untuk memanfaatkan sepenuhnya infrastruktur yang telah dibangunkan.
Sehubungan itu, Digital Brunei 2030, Digital Brunei Transformation Plan telah dilancarkan sebagai pelan induk baharu yang akan meneruskan serta memperluas agenda transformasi digital negara selepas kejayaan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025. Pelan ini diubah selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 demi memperkasa ekonomi yang dinamik, melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, dan membina masyarakat yang berkualiti dengan visi Together Towards A Digital Future. Pelan induk ini menetapkan pendekatan menyeluruh agar manfaat teknologi digital dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat dan sektor ekonomi.
Antara inisiatif utama di bawah agenda ini adalah pelaksanaan Identiti Digital Kebangsaan, BruneiID, mulai 3 haribulan Januari 2026. Inisiatif ini akan membolehkan rakyat mengesahkan identiti secara selamat ketika mengakses pelbagai perkhidmatan dalam talian kerajaan tanpa perlu melalui proses yang berulang dan rumit. BruneiID akan memperkukuh tadbir urus digital, mengurangkan risiko penipuan serta memudahkan rakyat melakukan urusan harian daripada perkhidmatan kesihatan, pendidikan, pembayaran hinggalah urusan perlesenan dan bantuan kerajaan.
Bagi memastikan teknologi AI dimanfaatkan secara selamat dan bertanggungjawab, Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi, AITI telah menerbitkan Guide on AI Governance and Ethics for Brunei Darussalam pada April 2025 sebagai rujukan kebangsaan. Panduan ini bukan sahaja menumpu tadbir urus yang telus dan beretika malah turut menggalakkan pematuhan kepada Personal Data Protection Order serta membimbing organisasi dalam mereka membentuk, membangunkan dan melaksanakan teknologi AI secara bertanggungjawab. Dengan menekankan prinsip bertanggungjawab, pelindungan data dan keselamatan pengguna, panduan ini memastikan inovasi digital terus berkembang sambil mengekalkan kepercayaan masyarakat dan melindungi kepentingan negara.
Sebagai satu lagi kemajuan penting dalam agenda pendigitalan negara, EVYD Technology akan melancarkan platform aplikasi AI Kebangsaan yang pertama disokong oleh AIGPU servers berprestasi tinggi. Servers ini ditempatkan di pusat data bertaraf antarabangsa milik Unified National Networks, UNN yang dibina mengikut piawaian Tier 3 dan dihoskan dalam negara. Platform AI ini membolehkan pembangunan analitik data lanjutan, machine learning dan aplikasi AI, yang menyokong Kementerian Kesihatan serta pengguna BruHealth sambil memastikan kedaulatan data negara terus terpelihara.
Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan kesihatan digital malah menyediakan asas teknologi untuk memperluaskan penggunaan AI bagi memperkukuh perkhidmatan awam dan membuat keputusan berasas data merantasi sektor-sektor lain. Dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi transformasi digital sektor kesihatan, Kementerian Kesihatan melalui kerjasama dengan EVYD telah menambahbaik aplikasi BruHealth dengan penarafan teknologi AI bagi meningkatkan data analitik dan perkhidmatan kesihatan yang lebih proaktif.
Pencapaian ini turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila aplikasi BruHealth telah diketengahkan dalam sebuah artikel khas bertajuk What Brunei’s Innovation Can Teach Us About Data Driven Health System dalam Mesyuarat World Economic Forum Annual Meeting di Davos, Switzerland pada bulan Januari 2026. Artikel tersebut mengongsikan bagaimana Negara Brunei Darussalam memanfaatkan platform kesihatan digital kebangsaan serta analitik berasaskan AI untuk memperkukuhkan pencegahan
dan pengurusan penyakit tidak berjangkit khususnya penyakit kardiovaskular.
Pelancaran Buku GenAI Guidance for Education menjadi langkah awal untuk membimbing guru dan pelajar manfaatkan AI sebagai alat yang membantu pembelajaran tanpa melemahkan keupayaan berfikir, kreativiti dan integriti akademik. Inisiatif ini akan disokong melalui latihan berterusan kepada para guru, memantapkan dasar keselamatan data serta usaha memastikan penggunaan AI sentiasa berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja demi melahirkan generasi yang celik digital, beradab dan berdaya saing.
Oleh itu, kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada inisiatif-inisiatif ke arah pelan transformasi digital bagi meningkatkan kecekapan, prestasi dan produktiviti perkhidmatan awam untuk memastikan rakyat menerima perkhidmatan berkualiti tinggi, mudah diakses dan responsif yang memenuhi keperluan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Fokus Belanjawan yang ketiga adalah menjamin kelestarian sosial dan pembangunan masa hadapan. Fokus ketiga ini memberi penekanan kepada pembangunan sosioekonomi yang seimbang dan menyeluruh dengan matlamat membina masyarakat yang berdaya tahan, sejahtera dan inklusif.
Dalam dunia yang semakin kompleks, kerajaan perlu memastikan bahawa setiap dolar yang dibelanjakan turut mengambil kira perlindungan sosial, perubahan demografi serta keperluan infrastruktur asas yang mampan. Tumpuan ini penting agar kesejahteraan generasi hari ini dapat dipelihara tanpa menjejaskan hak dan masa depan generasi yang akan datang, selaras dengan prinsip pembangunan mampan dan kehadiran antara generasi. Oleh itu, kerajaan terus menyediakan peruntukan di bawah Perbelanjaan Berulang-Ulang untuk membiayai bagi memperkukuhkan akses rakyat kepada sumber air bersih dan memastikan infrastruktur bekalan air terus dipelihara.
Bagi meningkatkan keselamatan jalan raya dan aksesibiliti yang mana pelbagai projek pemeliharaan jalan raya akan terus dilaksanakan termasuk menaik taraf laluan strategik di seluruh negara. Usaha ini adalah untuk memastikan pergerakan yang lebih lancar sekaligus menyokong aktiviti ekonomi dan sosial dan bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi ke seluruh kawasan termasuk memastikan kesemua stesen janakuasa sentiasa beroperasi pada tahap reliable dan mengukuhkan sistem rangkaian pembahagian elektrik ke seluruh negara.
Sebagai tambahan, peruntukan juga akan terus disediakan di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi bagi pihak kerajaan membuat pembayaran Gap Contribution kepada Berakas Power Company Sdn. Bhd. ataupun BPC untuk membolehkan BPC membina sebuah Combine Cycle Gas Turbine Power Plant, CCGTP bagi memenuhi keperluan tenaga elektrik yang semakin meningkat. Pembinaan CCGTP ini telah bermula pada 25 September 2025 yang lalu, yang dijangka akan mula beroperasi sepenuhnya pada penghujung tahun 2027.
Melalui projek ini, ianya dihasrat akan dapat meningkatkan kecekapan penjanaan kuasa bagi mengukuhkan keselamatan tenaga negara, National Energy Security untuk jangka masa panjang. Di samping itu, seiring dengan perkembangan aktiviti perekonomian negara yang dijangka akan terus berkembang dengan pesat khususnya dipacu oleh sektor komersial, keperluan terhadap bekalan tenaga elektrik juga dijangka akan meningkat dan setentunya akan meningkatkan kos bekalan tenaga elektrik. Oleh itu, kerajaan telah mengemaskini tarif elektrik bagi sektor komersial dari bersifat regressive kepada progressive yang dicadangkan untuk dilaksanakan pada tahun 2028.
Di samping mendukung keutamaan pertama iaitu mengukuhkan fiskal negara, usaha ini juga bertujuan untuk menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih berhemah dan mengurangkan pembaziran. Insya Allah, sesi pemberigaan akan dilaksanakan bersama pihak-pihak berkepentingan kepada sektor-sektor berkaitan dalam masa terdekat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Di bawah sektor kesihatan, kerajaan tetap komited menyediakan perlindungan kesihatan yang inklusif dan bertaraf tinggi. Penambahbaikan akan meliputi infrastruktur, pengukuhan kapasiti sumber manusia serta peralihan kepada pendekatan pencegahan dan promosi kesihatan. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan rakyat bahkan membantu mengurangkan beban kos rawatan dalam jangka panjang.
Ke arah itu, kerajaan akan menyediakan peruntukan di bawah Perbelanjaan Berulang-Ulang bagi sektor kesihatan antaranya untuk membiayai pemeliharaan sistem Bruhealth dan Bruhims untuk memastikan sistem digital ini terus beroperasi dengan baik bagi menyokong pengurusan kesihatan negara, pengambilan tenaga kerja profesional seperti jururawat secara kontrak, technician makmal dan pembantu penjaga pesakit, Patient Care Assistant serta penyediaan bekalan makanan dan minuman di hospital-hospital seluruh negara untuk memastikan penyediaan perkhidmatan kesihatan berkualiti termasuk perkhidmatan sokongan klinikal, pembelian ubat-ubatan, peralatan perubatan gunahabis dan keperluan ujian makmal, perkhidmatan rawatan pesakit kritikal termasuk rawatan sakit jantung di Gleneagles JPMC, rawatan kanser di Pusat Kanser Brunei serta rawatan rehabilitation stroke dan neurology di Brunei Neuroscience Stroke and Rehabilitation Centre dan bagi menangani isu kesihatan masyarakat yang kritikal termasuk pengurusan wabak penyakit berjangkit, program pencegahan dan penyelidikan untuk meningkatkan kesiapsiagaan negara terhadap ancaman kesihatan masa hadapan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Yang Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dalam masa yang sama, perlindungan sosial akan terus diperkukuh. Sistem bantuan yang sedia ada akan dikaji dan diperhalusi supaya lebih tepat sasaran khususnya bagi golongan rentan seperti warga emas, orang kelainan upaya dan isi rumah berpendapatan rendah. Matlamatnya adalah jelas iaitu dalam memastikan tiada siapa yang tercicir dan kestabilan sosial negara terus terpelihara dalam usaha memperkukuh sokongan kepada keluarga serta memastikan kesejahteraan rakyat. Bermula sejak peringkat awal kehidupan, kerajaan telah memperkenankan Skim Tabungan Anak Damit yang berkuatkuasa mulai 1 Mac 2026.
Melalui skim ini setiap anak-anak damit yang baru lahir yang mempunyai kewarganegaraan atau citizenship tertentu akan menerima sumbangan kewangan berjumlah BND240.00 yang dikreditkan ke dalam akaun khas bagi menggalakkan amalan menabung sejak kecil serta membantu ibu bapa dalam memenuhi keperluan asas anak. Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap generasi diberikan permulaan kehidupan yang lebih terjamin. Ke arah itu, peruntukan terus disediakan antaranya untuk pemberian bantuan kebajikan bulanan sebagai usaha berterusan kerajaan untuk membantu meringankan beban kehidupan golongan-golongan tertentu dan pembayaran anuiti di bawah Skim Persaraan Kebangsaan, SPK.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Bagi menjamin sekuriti makanan dan daya tahan rantaian bekalan domestik, pelaburan dalam sektor agrimakanan akan diteruskan. Penekanan diberikan kepada teknologi pertanian pintar, peningkatan produktiviti, pembangunan industri halal serta peningkatan standard keselamatan, pengkualiti makanan demi memenuhi keperluan rakyat dan memperkukuh potensi eksport. Dalam usaha memperkukuh keselamatan makanan negara, satu perkembangan penting ialah penaiktarafan fasiliti Wasan Milling Company Sendirian Berhad di bawah Darussalam Asset Sendirian Berhad. Fasiliti yang dinaik taraf ini telah meningkatkan kapasiti pengisaran padi daripada kira-kira 3 tan metrik sejam kepada sehingga 10 tan metrik sejam.
Dengan keupayaan baharu ini, Wasan Milling Company, WMC dijangka menyumbang kepada peningkatan taraf sara diri beras negara daripada sekitar 8 peratus kepada sehingga 20 peratus menjelang 2027. Penaiktarafan ini akan memperkukuh keseluruh rantaian nilai daripada pengeringan, penyimpanan, pengisaran sehinggalah pembungkusan, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada import dan menjadikan bekalan makanan negara lebih terjamin dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Bagi mendukung keutamaan ini, beberapa peruntukan lain telah disediakan di bawah Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bagi Tahun Kewangan 2026/2027 ini, antaranya Perbelanjaan Berulang-Ulang Jabatan Pertanian dan Agrimakanan untuk membiayai perbelanjaan skim pembelian balik padi, pembelian biji benih padi, pemeliharaan infrastruktur, bangunan, jentera dan peralatan pertanian dan perkhidmatan pengisaran dan pemprosesan padi dan beras oleh Syarikat Wasan Milling Company berkenaan. Di bawah peruntukan perbelanjaan Kemajuan untuk membiayai projek-projek bagi mengukuhkan sekuriti makanan termasuk program peningkatan keluaran sayur menggunakan teknologi tinggi, peningkatan hasil pengeluaran industri padi, penyediaan infrastruktur bagi meningkatkan industri pertanian dan pembangunan industri ternakan.
Di samping itu, penyediaan perumahan mampu milik dan perkhidmatan asas seperti air bersih, tenaga elektrik dan pengangkutan awam yang efisien akan terus diberi perhatian. Infrastructure sebegini bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup rakyat tetapi turut menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan dan menghubungkan masyarakat dengan lebih baik.
Pada masa yang sama, agenda kepelbagaian ekonomi mesti bergerak seiring dengan kelestarian alam sekitar. Kerajaan kekal komited terhadap sasaran di bawah Brunei Darussalam National Climate Change Policy. Dasar Pembangunan akan terus dirangka agar berdaya tahan iklim, menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, amalan ekonomi sirkular dan pengurusan sumber yang bertanggungjawab. Dengan pendekatan ini, kita memastikan pertumbuhan ekonomi, bukan sahaja berdaya saing tetapi juga rendah karbon, inklusif dan mampan untuk generasi seterusnya. Kerajaan juga kekal komited terhadap agenda perubahan iklim dan pembangunan rendah karbon. Keutamaan akan diberikan kepada projek tenaga boleh diperbaharui, penggunaan cekap tenaga dan sistem pengangkutan yang lebih mesra alam. Pendekatan pembangunan mampan ini akan diperkukuh melalui pendidikan, latihan dan kesedaran awam termasuk pengintegrasian isu perubahan iklim dalam kurikulum selaras dengan Dasar Perubahan Iklim Negara dan aspirasi Negara Brunei Darussalam mencapai keseimbangan pelepasan karbon Net Zero Emission menjelang 2050.
Seperti yang kaola kongsikan di bawah fokus pertama sebentar tadi iaitu pembinaan loji tenaga solar photovoltaic terbesar di negara di Kampong Sungai Akar dengan kapasiti 30 megawatt, berupaya mengurangkan sekitar 41 ribu tan pelepasan karbon setahun. Bagi mendukung pembangunan ekonomi hijau, peruntukan juga telah disediakan di bawah RKN12 bagi membiayai inisiatif-inisiatif bangunan hijau termasuk usaha meningkatkan kecekapan tenaga, menggalakkan penggunaan teknologi rendah karbon serta memperkukuh amalan pembangunan yang lebih mampan dalam sektor pembinaan.
Selain itu bagi meningkatkan keupayaan negara dalam menghadapi sebarang kecemasan dan menangani kejadian yang tidak dijangka seperti bencana alam, beberapa peruntukan turut disediakan seperti untuk pengurusan menangani bencana alam bagi membolehkan agensi-agensi kerajaan bekerjasama dalam menangani kejadian seperti banjir, tanah susur dan sebagainya. Untuk membiayai sewa pajakan kenderaan bagi agensi-agensi penguatkuasaan, untuk membiayai sewa pajakan jentera bomba baharu untuk meningkatkan keupayaan, kesiapsiagaan dan mempercepat tindak balas kecemasan dan untuk membiayai sewa pajakan ambulans kecemasan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Pembangunan modal insan kekal menjadi fokus utama, pelaburan dalam pendidikan akan terus dipertingkatkan bukan sahaja untuk memperluas akses tetapi memastikan sistem pendidikan lebih relevan dengan kehendak masa hadapan. Penekanan akan diberikan kepada Pendidikan Teknikal dan Vokasional ataupun TVET, kemahiran digital, ekonomi hijau, inovasi dan keusahawanan, supaya graduan kita lebih bersedia, lebih berdaya saing dan dapat mengambil manfaat terhadap peluang dalam sektor pertumbuhan baharu. Dalam melahirkan bakat tempatan bagi kemahiran digital dan sebagai persediaan menghadapi ekonomi masa hadapan, UBD telah memperkenalkan Program AI and Robotics serta Applied AI yang memberi tumpuan kepada pembangunan sistem pintar, automasi dan data analytics merentasi pelbagai sektor.
Pada masa yang sama, kerjasama strategik bersama sebuah bank tempatan turut memperkukuh penyelidikan dan aplikasi AI khususnya dalam sektor kewangan. Inisiatif ini menyokong pembangunan, bakat tempatan, memperkasa inovasi serta memperkukuh keupayaan negara dalam ekonomi digital dan selaras dengan aspirasi Smart Nation.
Negara Brunei Darussalam turut menjadi tuan rumah bagi pelancaran AI Ready ASEAN Program pada tahun 2025. Program serantau ini dilaksanakan oleh ASEAN Foundation dengan sokongan Google.org serta kerjasama UTB dan Big BWN Project, mensasarkan untuk melatih sehingga 20 ribu rakyat di negara ini dengan kemahiran asas AI, Literasi Digital dan kesedaran etika. Inisiatif ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar, guru dan ibu bapa tentang cara menggunakan AI secara bertanggungjawab, malah membantu membina keyakinan digital serta nilai-nilai yang selaras dengan budaya dan prinsip negara. Melalui program seperti ini, kita memastikan rakyat Brunei bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi menjadi peserta aktif yang membentuk masa depan digital negara dan rantau ASEAN. Pembangunan kemahiran masa hadapan termasuk dalam bidang digital dan teknologi baharu perlu disokong oleh ekosistem pasaran kerja yang berfungsi dengan baik.
Justeru, usaha memperkukuh kebolehpasaran, memastikan peluang pekerjaan yang berkualiti serta meningkatkan pembangunan antara kemahiran dan keperluan industri menjadi keutamaan kerajaan. Pendekatan ini dilaksanakan secara bersepadu melalui Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan atau pun MPTMP bagi memastikan pertumbuhan ekonomi menghasilkan peluang pekerjaan yang berkualiti untuk anak-anak tempatan. Beberapa usaha telah dilaksanakan antaranya, Pertama, melalui Program Pembangunan Tenaga Kerja yang mana setakat 31 Disember 2025 sebanyak 17 program sedang giat dilaksanakan yang melibatkan penyertaan seramai kira-kira 15 ribu anak tempatan sejak pertubuhan program. Daripada jumlah tersebut, program yang berorientasikan pengalaman pekerjaan merekodkan kadar pekerjaan sebanyak 72 peratus; dan Kedua, penyelarasan sektor di bawah Manpower Industry Steering Committee dengan tambahan Sektor Pemakanan pada tahun 2025, di samping sektor-sektor yang sedia ada iaitu Sektor Tenaga, Sektor Pembinaan, Sektor Pengangkutan dan Logistik serta Hospitaliti dan Pelancongan dan Sektor Info-Komunikasi dan Teknologi.
Insya Allah, dengan menangani isu pekerjaan secara menyeluruh dan evidence-based, MPTMP akan secara berterusan memberi tumpuan kepada pendapatan perancangan bersepadu yang merangkumi aspek data peluang pekerjaan dan decent work serta pembangunan tenaga kerja pada tahun 2026 seperti berikut.
Melaksanakan kajian Root Causes Of Unemployment dengan kerjasama Centre for Strategic and Policy Studies ataupun CSPS bagi mengukuhkan lagi kefahaman punca sebenar isu pengangguran di Negara Brunei Darussalam yang telah dikenal pasti dalam kajian-kajian sebelum ini termasuk dari aspek permintaan tenaga kerja yang belum pernah dibuat. Pendekatan ini penting bagi memastikan dasar dan intervensi yang dirangka akan menangani masalah sebenar dan bukan bersifat umum atau jangka pendek. Membangunkan Labour Market Information System sebagai sebuah ekosistem yang mengumpul, menyepadukan dan menganalisa data pasaran kerja bagi menyokong perancangan tenaga kerja yang lebih tepat, holistik dan terkini termasuk bagi tujuan unjuran pekerjaan dan keperluan kemahiran masa hadapan. Menambah baik dan mengemaskini proses pengambilan kerja asing bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang dengan peluang pekerjaan untuk anak tempatan dengan mengambil kira minat dan bekalan anak tempatan yang mencukupi serta impak kepada operasi perniagaan syarikat.
Meneliti kadar gaji yang kesesuaian serta melaraskan dasar gaji ke industri-industri yang tertentu bagi memastikan struktur gaji yang ditawarkan adalah berdaya saing, adil dan selaras dengan tahap kemahiran harga pekerjaan yang diwujudkan, bukan sahaja tersedia, tetapi juga menarik dan mampan untuk anak tempatan.
Memperkukuhkan perisian program-program pembangunan tenaga kerja yang sedia ada, agar kekal relevan, responsif kepada keperluan industri serta mampu melahirkan tenaga kerja yang benar-benar diperlukan oleh pasaran kerja.
Inisiatif-inisiatif MPTMP yang sedia ada terutamanya program-program dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Pusat Pekerjaan Brunei akan terus giat diberigakan kepada para pencari kerja dan majikan bagi meningkatkan tahap kesedaran, penyertaan dan keberkesanan pada pekerjaan.
Dasar-dasar yang telah diperkenalkan oleh Pejabat Perancangan Tenaga Manusia, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan akan sentiasa dipantau bagi tujuan menambahbaikan serta diteliti semula keberkesanannya secara berterusan terhadap pasaran kerja. Usaha kolektif ini diharap akan dapat mewujudkan ekosistem pekerjaan yang lebih berdaya saing, inklusif dan mampan demi kesejahteraan ekonomi negara secara menyeluruh.
Ke arah usaha dalam menyediakan tenaga kerja tempatan yang berdaya maju, harga sejajar dengan keperluan bidang pekerjaan dan industri semasa dan juga masa hadapan, peruntukan akan disediakan di bawah Pusat Pekerjaan Brunei, Jabatan Perdana Menteri bagi mengendalikan program-program yang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi serta penyedia latihan yang berkaitan, antaranya Skim Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, Skill Class, SPIN in Accountancy dan Trade Skills.
Selain itu, peruntukan juga terus disediakan bagi memperkasa kepimpinan dan jati diri belia ke arah Belia Siaga Masa Depan melalui Program Khidmat Bakti Negara dan Outward Bound Brunei Darussalam di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Bagi mendukung hasrat negara untuk membangun satu sistem pendidikan kelas pertama dan memberikan pendidikan holistik bagi melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, peruntukan akan disediakan bagi sektor pendidikan di bawah Perbelanjaan Berulang-Ulang pada Tahun Kewangan 2026/2027.
Peruntukan tersebut merangkumi pelbagai inisiatif bagi memperluas akses kepada pendidikan, meningkatkan kualiti penyampaian pembelajaran serta memperkukuh kebajikan pelajar iaitu termasuk menghulurkan biasiswa melalui Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk meningkatkan kebolehpasaran dan pembangunan kapasiti serta latihan kemahiran pelajar-pelajar dengan menyediakan peluang untuk melanjutkan pengajian tinggi di industri terkemuka dunia, mengukuhkan penyelidikan di bawah institusi pengajian tinggi awam bagi memacu inovasi, meningkatkan daya saing negara serta menyokong pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan, pengurusan dan pemeliharaan fasiliti sekolah di seluruh negara bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif, penyediaan rancangan pemakanan sekolah dan institusi pengajian tinggi serta perkhidmatan pengangkutan pelajar bagi memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif dan menyeluruh, peralatan teknologi maklumat dan komunikasi termasuk smart classroom dan sistem pembelajaran digital bagi memperkukuh transformasi pendidikan, mengendalikan bantuan keperluan persekolahan tahunan untuk meringankan beban para ibu bapa dan penjaga yang kurang kemampuan untuk memberi keperluan persekolahan pelajar-pelajar dan pemberian subsidi yuran peperiksaan awam termasuk Brunei-Cambridge GCE Peringkat 'A', 'AS', 'O' serta IGCSE bagi memastikan setiap pelajar mempunyai peluang yang adil untuk berjaya.
Pembangunan negara yang mampan bukan sahaja diukur melalui kemajuan ekonomi tetapi juga melalui keupayaan kita memelihara identiti, nilai dan warisan yang membentuk jati diri bangsa. Dalam masa yang sama, sektor seni dan industri kreatif berpotensi menjadi pemangkin kepada peluang baharu antaranya penjanaan pendapatan, penciptaan pekerjaan dan pembangunan bakat tempatan. Sehubungan dengan itu, peruntukan juga terus disediakan bagi pelestarian budaya warisan, seni dan sejarah negara serta memperkasa dan mengembang majukan industri kreatif. Di samping peruntukan-peruntukan yang kaola kongsikan sebentar tadi, kerajaan juga menyediakan peruntukan di bawah projek fokus khusus untuk membiayai program atau projek menjurus kepada mendukung fokus belanjawan negara Tahun Kewangan 2026/2027.
Demikianlah kaola kongsikan mengenai perkembangan dan pencapaian-pencapaian negara serta keutamaan-keutamaan dan fokus belanjawan yang telah disediakan peruntukannya ke arah mendukung tema belanjawan bagi Tahun Kewangan 2026/2027 iaitu 'Bersama Menjayakan Wawasan Brunei 2035' atau 'Together Achieving Wawasan Brunei 2035'.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Belanjawan negara yang kaola bentangkan tadi sebenarnya bukanlah sekadar menghitung angka semata-mata. Kita sedang menilai tanggungjawab dan amanah yang besar, amanah rakyat dan amanah di sisi Allah Subhanahu Wata’ala supaya setiap keputusan yang dibuat akan memberi manfaat yang nyata, adil dan berkekalan. Setiap jumlah yang diperuntukkan membawa kesan langsung kepada kehidupan rakyat dan penduduk, kepada keluarga serta golongan yang berkeperluan di samping memperkukuh ekonomi negara termasuk PMKS serta mempersiapkan masa hadapan negara.
Oleh itu, dengan menguruskan belanjawan negara kita bukan sahaja memikirkan bagaimana ia dibelanjakan tetapi juga bagaimana kita akan bertanggungjawab ke atas setiap keputusan yang dibuat. Belanjawan ini perlu diurus dengan jujur, telus dan berdisiplin supaya ia menjadi sumber kebaikan, memperkukuh integriti kewangan negara dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Apa yang kita putuskan hari ini tidak hanya memberi kesan kepada angka perbelanjaan tetapi kepada kehidupan anak-anak kita, peluang generasi muda dan keyakinan negara menghadapi yang semakin mencabar. Belanjawan yang mantap bukan diukur pada besarnya jumlah tetapi kepada ketetapan sasaran, keberkesanannya dalam mengukuhkan kedayatahanan negara. Ia juga merupakan langkah strategik dan komitmen bersama untuk memastikan kemakmuran dan kesejahteraan negara yang berterusan ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sebelum Kaola mengakhiri pembentangan ini, marilah kita sama-sama berdoa agar negara kita ini akan sentiasa maju, aman dan makmur di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala jua akan sentiasa menjadi sebuah negara zikir dan yang penuh keberkatan di bawah pelindungan-Nya. Kaola juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat mengerjakan ibadah puasa dan semoga amal ibadah kita di bulan yang penuh berkat ini diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala jua.
Kaola mencadangkan supaya Rang Undang-Undang yang dibentangkan di hadapan kita ini disokong dijadikan satu Undang-Undang Perbekalan Negara untuk Membekalkan Sejumlah Wang dikeluarkan dari peruntukan Kumpulan Wang yang Disatukan bagi maksud-maksud yang tertentu sepanjang Tahun Kewangan 2026/2027. Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Alhamdulillah, kita telah mendengar kenyataan belanjawan dengan panjang lebar yang telah dibentangkan yang mengandungi
perancangan-perancangan dan hala tuju belanjawan negara bagi Tahun Kewangan 2026/2027. Saya minta bagi seorang Ahli Yang Berhormat untuk menyokong Rang Undang-Undang ini.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kaola menyokong sepenuhnya. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Terima kasih Yang Berhormat. Rang Undang-Undang telah pun mendapat sokongan dari Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II. Silakan untuk urusan seterusnya.
Yang Mulia Jurutulis​
Usul Bilangan 2. Usul ketetapan Kumpulan Wang Kemajuan yang akan dicadangkan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II​
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola mohon mencadangkan Usul di atas nama kaola dalam Susunan Urusan yang berbunyi: "Majlis ini dengan ini membuat ketetapan seperti yang dikehendaki oleh Bab 4(2) Akta Kumpulan Wang Kemajuan Penggal 136 bahawa perbelanjaan sejumlah BND480 juta untuk dibenarkan, diperuntukkan dan dipohonkan dari Kumpulan Wang Kemajuan untuk maksud-maksud tertentu di bawah ini dan disebutkan dalam Anggaran Belanjawan Kemajuan 2026/2027 dibentangkan sebagai Usul ketetapan Kumpulan Wang Kemajuan”.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Terlebih dahulu kaola ingin menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara bagi tahun 1447 Hijrah, 2026 Masihi antaranya bagi mengambil tindakan pelaksanaan yang lebih agresif ke arah matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk membina sebuah negara yang progresif dan berpandangan jauh yang mengimbangi inovasi dengan kelestarian kewangan serta terus menjamin kesejahteraan rakyat.
Pada menjunjung titah-titah nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tersebut kerajaan akan terus berusaha untuk melaksanakan projek-projek kemajuan negara yang akan membentuk masa depan negara yang progresif, inovatif dan seterusnya menjamin kesejahteraan rakyatnya di samping membangun sektor-sektor baharu berpandukan kepada matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035. Alhamdulillah, setakat 2 haribulan Mac 2026 sebanyak BND254.3 juta iaitu 53 peratus daripada BND480 juta yang diperuntukkan pada Tahun Kewangan 2025/2026 telah dibelanjakan.
Manakala sebanyak 30 buah projek telah siap dilaksanakan dan sebanyak 48 buah projek dalam perlaksanaan. Sementara itu, sebanyak 68 projek dalam tawaran, 91 projek masih dalam peringkat reka bentuk, 37 projek dalam peringkat perancangan dan 1 projek telah dibatalkan. Projek-projek yang siap antaranya adalah projek-projek yang mendukung kluster pendidikan, kemajuan sosial, perumahan, mengukuhkan kelestarian alam sekitar, mengukuhkan sekuriti makanan dan bagi memajukan industri pelancongan seperti yang tertera di dalam slaid.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Melangkah ke Tahun Ke-3 RKN12 progress projek-projek yang dalam pelaksanaan meningkat di mana 78 projek sedang dalam pelaksanaan berbanding dengan 65 projek pada Tahun Kewangan lepas. Dalam hubungan ini, dengan peruntukan Tahun Kewangan 2026/2027 yang disediakan sejumlah $480 juta yang mana telah pun dicadangkan dan dipersetujui bersama dengan semua kementerian semasa Mesyuarat Jawatankuasa Belanjawan Negara diharap akan dapat memacu progress projek-projek yang sudah dan akan berjalan dengan lebih cekap dan cepat serta akan menunjukkan peningkatan yang ketara pada masa akan datang.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Penyediaan peruntukan telah dikategorikan mengikut kluster yang lebih jelas dan lebih objektif dan menjurus kepada mendukung tiga fokus keutamaan Belanjawan Tahun Kewangan 2026/2027 seperti berikut:
Pertama, Memperkukuhkan kestabilan fizikal dan tadbir urus kewangan sejumlah BND22 juta telah diperuntukkan bagi kluster-kluster berikut untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam. Antara projek yang disediakan peruntukkan adalah projek-projek untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan-perkhidmatan secara berpusat kepada orang ramai seperti pembinaan pusat pengawasan kenderaan dan penguatkuasaan undang-undang dan standard automobile dan sistem Bru-Hims 2.0.
Untuk kajian dan pelan induk, projek-projek kajian dan pelan induk seperti Penggambaran Udara dan Produk 3D Mapping untuk Geospatial Ukur, Preliminary Studies For Coastal Protection, Pengurusan Non-Revenue Water bagi Sistem Bekalan Air di Negara Brunei Darussalam fasa ke-3, land availability study serta pelan induk sanitasi dan pembentukan telah disediakan peruntukan bagi memastikan perbelanjaan projek-projek pembangunan dan pelaburan akan datang dapat dioptimumkan dan lebih sistematik.
Untuk mengukuhkan kelestarian alam sekitar peruntukan telah disediakan bagi program meningkatkan pemeliharaan hutan bagi mendukung kelestarian alam sekitar bagi mengurangkan impak terhadap alam sekitar dan perubahan iklim dan membolehkan penjualan karbon melalui perdagangan karbon ataupun carbon trading yang akan menghasilkan sumber hasil negara. Untuk memajukan industri pelancongan, peruntukan telah disediakan bagi menambahbaik, peruntukan telah disediakan bagi membaik pulih dan menaik taraf tempat-tempat tarikan pelancongan di negara ini seperti pengukuhan produk pakej pelancongan Kampong Ayer, pengukuhan produk-produk pelancongan dan menaiktaraf Taman Rekreasi Hutan Pulau Selirong. Dalam adanya projek-projek ini dijangkakan akan dapat mempelbagaikan tempat-tempat tarikan pelancongan di negara ini dan seterusnya akan meningkatkan impak spillover kepada aktiviti-aktiviti perekonomian yang lain dan berpotensi dalam menjana hasil negara.
Kedua, Memperkasa Ekonomi Melalui Transformasi dan Inovasi sejumlah BND148.2 juta telah diperuntukkan bagi kluster-kluster berikut. Untuk mengukurkan sekuriti makanan, peruntukkan telah disediakan bagi program peningkatan keluaran sayur menggunakan teknologi tinggi bagi menjana keluaran dalam negara kasar.
Selain itu, peruntukan juga disediakan untuk projek perancangan poembangan industri ternakan bagi menjana pengeluaran, industri ternakan udang fasa ke-4, projek memajukan dan membuka tapak-tapak bagi industri akuakultural bagi mendukung perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang berkecimpung dalam industri ternakan bagi pasaran domestik dan meningkatkan aktiviti perekonomian dalam negara.
Untuk memantapkan kecekapan sistem pengangkutan, peruntukan telah disediakan bagi smart transport system dan sistem pengangkutan awam bagi memudahkan pergerakan orang awam dan juga operasi logistik perusahaan di pelbagai sektor ekonomi. Untuk mengukuhkan infrastruktur ICT, peruntukan juga disediakan bagi projek MOD Integrated Platform, projek platform perkhidmatan perniagaan nasional untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam kepada orang ramai dan menunjukkan persekitaran perniagaan yang kondusif dan mesra perniagaan.
Manakala projek bagi government school network infrastructure upgrade fasa kedua, infrastruktur rangkaian dan liputan internet di kawasan sekolah-sekolah akan diperkukuhkan bagi penuntut dan tenaga pengajar, untuk mengukuhkan pusat-pusat jaminan kualiti dan akreditasi, projek berkenaan termasuk program perkembangan genetik dan pembiakan selektif ikan bagi peningkatan produktiviti akuakultural bagi memperkembangkan sektor eksport perikanan dan aktiviti perekonomian negara.
Untuk pembangunan industri, peruntukan jua telah disediakan untuk projek pembangunan Creative Cultural Industry Hub dan community library bagi menjana peluang pekerjaan dalam industri kreatif dan menggalakkan budaya membaca di kalangan rakyat. Selain itu, peruntukkan juga disediakan untuk projek Brunei Aquaculture Innovation Centre bagi perkembangan kajian dan inovasi dalam industri aquaculture akan dapat menjana pekerjaan dan meningkatkan kapasiti dan kemahiran rakyat dan penduduk negara dan menaik minat para pengusaha-pengusaha baharu dan sedia ada untuk berkecimpung dalam sektor aquaculture.
Untuk bekalan elektrik, peruntukan jua disediakan bagi projek-projek penjanaan elektrik di seluruh Negara Brunei Darussalam bagi menampung permintaan bekalan elektrik dan bagi memastikan ketersediaan bekalan untuk keperluan industri-industri dengan bekalan elektrik yang terjamin akan dapat menggalakkan aktiviti perekonomian.
Ketiga, menjamin kelestarian sosial dan pembangunan masa hadapan sejumlah BND309.8 juta telah diperuntukkan bagi pelbagai projek yang dalam perlaksanaan mengikut kluster-kluster berikut. Untuk mengukuhkan kemudahan akses Pendidikan, peruntukan disediakan untuk projek-projek pembinaan antaranya bangunan baharu bagi Sekolah Ugama Kampong Bolkiah, kompleks kekal Universiti Islam Sultan Sharif Ali, UNISSA yang bertaraf antarabangsa dan bangunan tambahan sekolah-sekolah yang mana akan dapat meningkatkan kapasiti pengambilan penuntut dan memberikan suasana pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif di mana akan dapat melahirkan generasi pintar dan mahir, dapat menyediakan mereka dengan peluang pekerjaan yang lebih cerah dan seterusnya akan memperkukuh ekonomi negara dan memacu inovasi.
Bagi mendukung inisiatif kelestarian alam sekitar dan menangani perubahan iklim, peruntukan telah disediakan bagi projek bangunan kekal Pusat Pekerjaan, Job Centre yang menerapkan elemen hijau dan projek pemasangan panel solar photovoltaic di bumbung bangunan-bangunan kerajaan.
Untuk menyediakan prasarana, untuk kesihatan yang baik peruntukan telah disediakan untuk projek pembinaan Bangunan Perkhidmatan Kecemasan Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada pesakit-pesakit untuk menerima perkhidmatan-perkhidmatan yang komprehensif dan holistik di dalam satu bangunan yang sama dengan infrastruktur dan peralatan yang lebih kondusif dan efektif.
Untuk mengukuhkan perkembangan syi’ar Islam, peruntukan telah disediakan untuk pembinaan masjid baharu RPN Kampung Rimba, masjid baharu RPN Kampung Lumut dan masjid baharu RPN Kampung Lugu. Projek-projek ini akan dapat memberikan keselesaan beribadah dan meningkatkan aktiviti-aktiviti keagamaan kepada rakyat dan penduduk yang tinggal di kawasan tersebut.
Untuk meningkatkan penyediaan perumahan, projek kemajuan sosial berkaitan perumahan yang sedang dalam pelaksanaan ialah Perumahan Negara Kampung Tanah Jambu, Fasa 7 dan projek kerja-kerja tanah yang melibatkan tapak perumahan. Dengan penyediaan tempat kediaman yang mampu dimilik ini, ianya akan meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.
Untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam, kerajaan juga menitikberatkan keperluan riadah dan sukan kepada rakyat dan penduduk termasuk fasiliti dan bangunan yang mesra pengguna. Antara projek yang disediakan peruntukan adalah bagi pembinaan bangunan kerajaan yang mesra untuk orang yang berkeperluan khas.
Selain itu, fasiliti-fasiliti sukan juga akan dinaik taraf, antaranya kompleks-kompleks sukan di Negara Brunei Darussalam. Dengan penaiktarafan fasiliti sukan ini akan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada orang ramai dan khususnya atlet-atlet sukan negara meningkatkan prestasi sukan masing-masing.
Untuk memudahkan awam untuk urusan melalui jalan darat, kerajaan juga memperuntukkan projek-projek menaik taraf jalan raya, jejantas, jejambat yang menghubungkan tapak-tapak perindustrian seperti pembinaan jejambat, flyover di persimpangan Lebuhraya Muara Tutong di kawasan perindustrian Tanjong Kajar bagi mendukung aktiviti-aktiviti perusahaan dan pembuatan di tapak-tapak perindustrian.
Untuk menyediakan pembekalan air bersih, antara projek yang sedang dalam pelaksanaan ialah mengganti paip-paip, menaik taraf loji-loji rawatan air bagi meningkatkan kemudahan akses kepada bekalan air kepada rakyat dan penduduk serta ketersediaan infrastruktur asas air di tapak-tapak industri bagi menarik pelabur asing ke Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kemajuan projek pembangunan negara mencerminkan komitmen negara ke arah masa depan yang lebih baik. Walau bagaimanapun, pembangunan projek tidak akan terlepas daripada berdepan dengan pelbagai masalah. Isu di luar jangkaan, pelbagai cabaran dan risiko, ketidakpastian global, kebimbangan terhadap perubahan iklim dan
ketidaktentuan ekonomi boleh sahaja melambatkan pembangunan. Dalam hal ini, setiap kita ini mestilah memikul tanggungjawab bersama dalam memastikan rancangan kemajuan negara akan mencapai keberhasilannya dan merealisasikan Wawasan Brunei 2035. Amin Ya Rabbal Alamin. Sekian, Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Terima kasih Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II. Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya ingin bertanya adakah salah seorang Ahli yang ingin untuk menyokong Usul ini.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan​
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kaola menyokong sepenuhnya Usul yang telah dicadangkan itu. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua​
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Usul Ketetapan Kumpulan Wang Kemajuan yang telah pun disokong dan mendapat sokongan daripada Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Alhamdulillah, kita telah pun mendengar satu Rang Undang-Undang dan satu Usul besar yang telah pun dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II dan Rang Undang-Undang serta Usul ini telah pun mendapat sokongan daripada dua orang menteri, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II dan juga Yang Berhormat Menteri Kesihatan masing-masing.
Untuk memberikan peluang bagi Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian mengkaji dan membuat persediaan bagi perbahasan atas Rang Undang-Undang Perbekalan 2026/2027 dan Usul Ketetapan Kumpulan Wang Kemajuan, maka persidangan ini adalah ditangguhkan.
Dengan demikian, persidangan kita tangguhkan dan kita akan bersidang semula pada hari esok iaitu hari Ahad, 15 Mac 2026, sebagaimana lazim mulai daripada jam 9.30 pagi.
Sekian, Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.