HARI KE-7 PAGI
📖 Masa membaca: 99 minit
📊 Bilangan kata: 20,081 kata
3HB MAC 2022
(Mesyuarat mula bersidang pada pukul 9.30 pagi)
Yang Dimuliakan Jurutulis
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas bagi Majlis Mesyuarat Negara bersidang pada ini hari yang ketujuh, didahului dengan bacaan Doa Selamat.
DOA SELAMAT
Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustapa bin Haji Murat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُاَلْحَمْدُ لِلّٰهِ kita bersyukur ke hadrat اللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya jua, kita dapat bersama-sama lagi hadir pada pagi ini bersidang bagi hari yang ketujuh dalam Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara.
Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita سيدنا محمد صلى الله عليه وسلم kaum kerabat, para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.
Persidangan disambung lagi untuk membincangkan Rang Undang-Undang (2022) Perbekalan, 2022/2023 yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.
اَلْحَمْدُ لِلَّٰهِ, pada Mesyuarat Jawatankuasa yang telah kita adakan sebelah pagi semalam, kesemua Ahli Yang Berhormat telah selesai meneliti dan mempersetujui bahawa semua tajuk kementerian untuk dimasukkan sebagai sebahagian daripada Jadual kepada Rang Undang-Undang (2022) Perbekalan, 2022/2023.
Oleh yang demikian, menurut Peraturan Bilangan 31, Majlis Mesyuarat Negara, (dalam meluluskan Rang Undang-Undang (2022) Perbekalan, 2022/2023) dicadangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II untuk dapat dibaca bagi kali ketiga, sebelum Rang tersebut dapat diluluskan dan untuk dijadikan Suatu Akta.
Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II. Silakan Yang Berhormat.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II
Terima kasih. Yang Berhormat Yang Di-Pertua. بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kaola ingin memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang Yang Bergelar: “Suatu Akta Untuk Membekalkan Sejumlah Wang Dari Kumpulanwang Yang Disatukan Bagi Perkhidmatan Tahun Kewangan 2022/2023 dan untuk memperuntukkan wang yang tersebut itu bagi maksud-maksud tertentu” telah pun dipertimbangkan dan diteliti satu per satu dalam Persidangan Jawatankuasa dan telah dipersetujui dengan tidak ada apa-apa pindaan.
Oleh yang demikian, menurut Peraturan Majlis Mesyuarat Negara Bilangan 31, Kaola memohon izin daripada Yang Berhormat Yang Di-Pertua untuk mencadangkan supaya Rang Undang-Undang ini dapat dibaca bagi kali ketiga dan seterusnya untuk diluluskan.
Terima kasih. Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Setelah mendengar daripada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II sebentar tadi yang telah menyatakan bahawa Rang Undang-Undang Yang Bergelar: “Suatu Akta Untuk Membekalkan Sejumlah Wang Dari Kumpulanwang Yang Disatukan Bagi Perkhidmatan Tahun Kewangan 2022/2023, dan untuk memperuntukkan wang yang tersebut itu bagi maksud-maksud tertentu”; untuk dapat dibaca bagi kali ketiga. Saya persilakan Ahli Yang Yang Berhormat yang suka untuk menyokong cadangan ini.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُYang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola menyokong sepenuhnya cadangan daripada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, dengan sepenuhnya. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Ahli-Ahli Yang Berhormat, اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ Rang Undang-Undang (2022) Perbekalan, 2022/2023 yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II dengan ini telah selesai dibaca bagi kali ketiga dan seterusnya diluluskan. Cadangan ini telah mendapat sokongan sepenuhnya daripada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Saya sekarang ingin bertanya kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang bersetuju akan cadangan ini, sila angkat tangan.
(Semua Ahli mengangkat tangan tanda bersetuju)
Nampaknya semua Ahli Yang Berhormat bersetuju. Maka Rang Undang-Undang (2022) Perbekalan, 2022/2023 ini diluluskan.
Yang Dimuliakan Jurutulis
“Suatu Akta Untuk Membekalkan Sejumlah Wang Dari Kumpulan wang Yang Disatukan Bagi Perkhidmatan Tahun Kewangan 2022/2023, dan untuk memperuntukkan wang yang tersebut itu bagi maksud-maksud tertentu”.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ Persidangan Majlis Mesyuarat Negara telah pun selesai meluluskan Rang Undang-Undang (2022) Perbekalan, 2022/2023 dan akan mula berkuat kuasa pada 1 haribulan April 2022. Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekarang kita beralih kepada Perkara VII daripada Susunan Kerja Persidangan Majlis Mesyuarat Negara.
Yang Dimuliakan Jurutulis
Perkara VII. Ketetapan Bilangan 1, iaitu Ketetapan di bawah Fasal 83(7) Perlembagaan Negara Brunei Darussalam, 1959, akan dicadangkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Yang Berhormat Yang Di-Pertua izinkan kaola menerangkan secara ringkas mengenai Kertas yang dibentangkan di atas meja. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebanyak 19 buah Perintah yang telah disenaraikan, dan Perintah-Perintah tersebut telah dikurniakan perkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk diguna pakai.
Untuk makluman Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, bahawa sebahagian daripada Perintah-Perintah ini sudah pun berjalan dan diguna pakai pada tahun 2021 yang lalu dan sebahagian lagi telah mula berjalan pada tahun ini, tahun 2022. Kesemua Perintah ini telah diterbitkan dalam Warta Kerajaan menurut Peraturan dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam.
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Perintah-Perintah ini telah pun diteliti dengan sehalus-halusnya dengan tujuan untuk memastikan ia berjalan dengan teratur. Oleh sebab Perintah-Perintah ini telah pun dikurniakan perkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka kaola berpendapat tidaklah perlu kita membahaskan dan sebaliknya lebih bersesuaian untuk diluluskan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Keterangan ringkas mengenai Perintah-Perintah yang kaola sebutkan terdapat dan tersenarai dalam Kertas Majlis Mesyuarat Negara No. 1 Tahun 2022.
Oleh yang demikian, izinkan kaola sekarang untuk mencadangkan sebuah Ketetapan yang berbunyi: “Majlis ini membuat Ketetapan menurut Fasal (7) Perkara 83 dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959, bahawa tiap-tiap Perintah yang dibuat di bawah Fasal (3) Perkara 83 dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam yang dibentangkan di hadapan Majlis ini sebagai Kertas No. 1 Tahun 2022 adalah masing-masing mulai dari tarikh Perintah itu diluluskan”. Sekian terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kaola menyokong sepenuhnya cadangan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah pun mengemukakan sebuah: “Ketetapan di bawah Fasal 83 (7) dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959” dan perkara ini telah mendapat sokongan daripada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Sebagaimana jua yang telah dinyatakan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri sebentar tadi, bahawa kebanyakannya ataupun kesemua Undang-Undang yang disenaraikan dalam Kertas Nombor 1 Tahun 2022 telah pun diluluskan secara Emergency Orders dan sebahagian Undang-Undang tersebut telah pun berjalan dan berkuat kuasa pada masa ini.
Oleh yang demikian, saya berpendapat perkara ini tidaklah perlu dibahaskan lagi. Maka ada baiknya Ketetapan yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri itu kita undi. Ahli-Ahli Yang Berhormat yang Bersetuju sila angkat tangan.
(Semua Ahli mengangkat tangan tanda bersetuju)
Terima kasih. Nampaknya semua Ahli Yang Berhormat bersetuju dan Ketetapan ini diluluskan.
Yang Dimuliakan Jurutulis
Ketetapan yang kedua di bawah Bab 4 Ceraian 2 dari Akta Kumpulanwang Kemajuan (Penggal 136) akan dicadangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II
بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته dan salam sejahtera. Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola memohon izin daripada Yang Berhormat Yang Di-Pertua dalam Dewan yang mulia ini untuk mencadangkan bahawa: “Majlis ini dengan ini membuat Ketetapan seperti yang dikehendaki oleh Bab 4(2) dari Akta Kumpulanwang Kemajuan (Penggal 136) bahawa perbelanjaan sejumlah $350 juta untuk dibenarkan, diperuntukkan dan dipohonkan dari Kumpulan Wang Kemajuan untuk maksud-maksud tersebut di bawah ini dan disebutkan Rang Anggaran Belanjawan Kemajuan 2022/2023 dibentangkan sebagai Kertas No. 2 Tahun 2022”.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Butir-butir Perbelanjaan Kemajuan dalam tahun tersebut dinyatakan dalam Anggaran-Anggaran Hasil dan Perbelanjaan bagi tahun itu yang dibentangkan di atas meja sebagai Kertas No. 2 Tahun 2022. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Cadangan peruntukan Rancangan Kemajuan Negara ini telah pun kita bincangkan secara terperinci dan panjang lebar dalam satu sidang jawatankuasa dan telah pun diluluskan tiada pindaan. Maka kaola sekarang ingin menyatakan hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk meneruskan rancangan-rancangan tersebut sebagaimana yang telah dirancangkan.
Dari itu, kaola sukacita mencadangkan supaya Majlis ini menetapkan iaitu: “Majlis ini dengan ini membuat Ketetapan seperti yang dikehendaki oleh Bab 4 (2) dari Akta Kumpulan Wang Kemajuan (Penggal 136) bahawa perbelanjaan sejumlah $350 juta untuk dibenarkan, diperuntukkan dan dipohonkan dari Kumpulan Wang Kemajuan untuk maksud-maksud tertentu di bawah ini dan disebutkan dalam Anggaran Belanjawan Kemajuan 2022/2023 dibentangkan sebagai Kertas No. 2 Tahun 2022.” Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II sebentar tadi telah mencadangkan satu Ketetapan di bawah Bab 4 (2) dari Akta Kumpulanwang Kemajuan (Penggal 136). Saya suka kiranya seorang Ahli Yang Berhormat ada menyokong cadangan yang dikemukakan ini.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Yang Berhormat rakan-rakan serta sahabat-sahabat sekalian. Kaola menyokong sepenuhnya cadangan daripada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. Ahli-Ahli Yang Berhormat. Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II telah mengemukakan sebuah: “Ketetapan di bawah Bab 4 (2) dari Akta Kumpulanwang Kemajuan (Penggal 136) Negara Brunei Darussalam” dan kenyataan cadangan ini telah mendapat sokongan daripada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. Sebagaimana dinyatakan sebentar tadi bahawa kesemua Peruntukan Kumpulanwang Kemajuan ini telah pun diluluskan dan dijadikan Akta. Oleh yang demikian, perkara ini tidaklah perlu kita bahaskan lagi. Ada baiknya Ketetapan ini sekarang kita undi. Ahli-Ahli Yang Berhormat yang bersetuju supaya Ketetapan ini kita luluskan, sila angkat tangan.
(Semua Ahli mengangkat tangan tanda bersetuju)
Terima kasih. Nampaknya semua Ahli Yang Berhormat bersetuju maka Ketetapan ini diluluskan.
Yang Dimuliakan Jurutulis
Ucapan-Ucapan Penangguhan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita sekarang beralih kepada Ucapan-Ucapan Penangguhan. Ucapan Penangguhan pertama yang saya sekarang memberikan kesempatan ini kepada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri untuk membuat ucapannya. Silakan Yang Berhormat.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، وَالصَّلَاةُ
وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ
سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. اَلْحَمْدُ للهِ kita bersyukur ke hadrat اللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana dengan izin-Nya jua kita telah dapat bersidang selama 7 hari dalam Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara 2022. اَلْحَمْدُ للهِ kita telah dapat meluluskan beberapa akta penting khususnya Akta Perbekalan 2022/2023.
Sebelum meneruskan ucapan, dalam kesempatan ini saya bagi pihak kesemua Ahli Yang Berhormat dengan penuh hormat sukacita mengucapkan tahniah yang setinggi-tingginya kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kebijaksanaan dan kewibawaan Yang Berhormat Yang Di-Pertua dalam memimpin permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara kita dengan sungguh lancar dan teratur lagi efisien dalam menunaikan tanggungjawab Majlis Mesyuarat Negara ini. Saya dengan penuh hormat sukacita mengucapkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat kerana meneliti, menimbangkan dan menyokong cadangan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyediakan satu Anggaran Perbelanjaan bagi Tahun Kewangan 2022/2023 berjumlah $5.7 bilion.
Kita sama-sama bersyukur ke hadrat اللَّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang masih merudum dan negara masih mengalami defisit di samping berhadapan impak pandemik COVID-19, negara kita dengan izin الله dan berkat kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam masih mampu mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang positif dan melaksanakan beberapa pembaharuan yang signifikan demi memelihara ketenteraman dan kesejahteraan rakyat dan penduduknya.
Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih atas segala pengamatan yang teliti, pandangan, nasihat dan pemikiran bernas dan membina yang memfokus kepada saranan-saranan penambah-baikan mahupun pembaharuan yang telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat ini. Sungguhpun kita bersidang dalam tempoh masa yang pendek berbanding tahun-tahun sebelumnya akan tetapi ia sama sekali tidak mengurangkan kualiti penelitian dan perbahasan kita.
Kita sama-sama menjunjung tinggi hasrat titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai ‘moto’ persidangan supaya digunakan peluang ini untuk mengemaskan mana-mana yang belum kemas dan menambah baik mana-mana yang masih perlu diperbaiki. Ke arah ini, pada hemat saya, sesi muzakarah Ahli-Ahli Yang Berhormat dengan kementerian-kementerian pada tahun ini telah menghasilkan impak yang positif. Ia membolehkan kementerian untuk memberikan maklumat terkini akan peranan program dan apa jua usaha yang akan, sedang dan telah dirancang dan yang telah dilaksanakan oleh kementerian masing-masing. Dengan demikian bagi membolehkan kita di Dewan ini untuk menumpukan perhatian bagi membincangkan perkara-perkara dan isu-isu penting dan dasar-dasar yang sedang telah dilaksanakan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
الْحَمْدُ لِلّٰهِ menerusi perbahasan di Dewan yang mulia ini, Ahli-Ahli Yang Berhormat telah menimbulkan dan mengemukakan pandangan-pandangan dan saranan-saranan yang amat signifikan berkisar kepada 4 Fokus Belanjawan 2022/2023, iaitu: Memelihara Kesejahteraan Awam, Menjamin Sekuriti Makanan, Mendukung dan Membantu Sektor Swasta agar Berdaya Tahan dan Berkembang dan Meningkatan Kompetensi Sumber Manusia Ke Arah Work and Future Ready.
Sepanjang tempoh penelitian dengan pembahasan kita, Ahli-Ahli Yang Berhormat telah mengemukakan dan membahaskan perkara-perkara yang melibatkan kesejahteraan orang ramai berkaitan dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti air, elektrik, pengangkutan, teknologi infokomunikasi, perumahan dan lain-lain. Mengambil perhatian berat mengenai rancangan, memperkasa Perusahaan Mikrokecil dan Sederhana, meningkatkan prestasi 1K1P, mengambil serius segala pendidikan dan peranan institusi pengajian tinggi dalam pembangunan negara.
Ahli-Ahli Yang Berhormat telah lantang menyuarakan pandangan dan cadangan bagi mempertingkatkan usaha dalam sekuriti makanan, memperkasa belia, memberikan peluang kepada belia meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka, penglibatan belia dalam pembangunan negara, menyertai berbagai-bagai sektor perniagaan dan perusahaan bukan sahaja sebagai pekerja tetapi sebagai pengusaha.
Maklum balas dan maklumat ini di ketengahkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat adalah amat berharga dan menggambarkan keprihatinan dan pemedulian Ahli-Ahli Yang Berhormat kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan negara dan masyarakat serta peranan dan tanggungjawab kementerian-kementerian. Pandangan-pandangan dan saran-saran yang dihadapkan setentunya akan diteliti oleh kerajaan dan kementerian-kementerian sebelum dilaksanakan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, wabak COVID-19 telah mengubah landskap dunia. Negara kita Brunei Darussalam tidak terkecuali. Berbagai-bagai pengalaman dilalui dan pengetahuan diperolehi sejak wabak COVID-19. Tidak dinafikan ia telah memberikan impak yang besar dalam pelbagai aspek kehidupan yang nyata. Hampir 2 tahun kita hidup dalam norma baharu. Wabak COVID-19 juga mengharuskan kerajaan dalam membuat perubahan dari segi inisiatif, dasar dan perundangan. Perubahan-perubahan yang dilaksanakan adalah bagi mengharungi cabaran-cabaran daripada pandemik COVID-19 dan seterusnya agar ia selari dengan keperluan pasca wabak COVID-19.
Sehubungan itu, kita menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuarat Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini. Berkaitan dengan Skim Tabung Amanah Pekerja, kajian telah pun selesai dibuat oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ pelaksanaan penuh akan bermula pada tahun 2023. Baginda juga menekankan mengenai food security, berikutan dengan penularan wabak COVID-19. Ia sedikit sebanyak telah menjejaskan kemasukan barang-barang makanan dan sekali gus menjadikan harga barangan meningkat dan kadar inflasi tinggi. Dari itu, أَلْحَمْدُ لِلَّٰهِ beberapa usaha telah dan sedang dilaksanakan dalam meningkatkan pengeluaran dari sektor-sektor pertanian, perikanan dan ternakan. إِنْ شَاءَ اللَّهُ kerajaan akan terus memastikan bahawa bekalan makanan di negara ini sentiasa terjamin termasuk hasrat untuk mencapai sara diri dan mengurangkan kebergantungan pada import semata-mata.
اَلْحَمْدُ لله kita telah melihat peningkatan dalam pembudayaan dalam informasi, komunikasi dan teknologi dalam aspek pendidikan, pengurusan, keselamatan dan perusahaan. Ini selaras dengan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 yang dasar utamanya bagi menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Smart Nation serta mendorong dan meningkatkan pertumbuhan sosial ekonomi negara dengan transformasi digital.
Sehingga ke hari ini, kita dapat menyaksikan pertumbuhan positif sektor-sektor seperti pertanian, perniagaan, pengangkutan, kewangan, perhubungan dan perkhidmatan kesihatan. Sektor ini telah mempelbagaikan tatacara pemberian perkhidmatan dengan lebih inovatif dan kreatif. Mereka bijak menukar cabaran-cabaran wabak COVID-19 menjadikan peluang ini sebenarnya tuntutan abad ini.
Dalam keadaan ekonomi dunia yang masih dalam proses pemulihan dari wabak COVID-19, إِنْ شَاءَ اللَّهُ dengan komitmen yang tinggi, kerajaan akan terus berusaha dan komited untuk meningkatkan kemajuan ekonomi negara. Kerajaan akan terus menarik pelabur-pelabur asing untuk melabur di negara ini dan menyediakan ekosistem yang kondusif bagi menjadikan Negara Brunei Darussalam destinasi menarik FDI. Kita bergembira menyaksikan bahawa rancangan-rancangan kemajuan dan penyertaan pelabur-pelabur asing FDI telah menunjukkan hasilnya. Tidak dapat dinafikan bahawa sejauh ini kehadiran syarikat-syarikat luar negeri ini telah dapat membantu dalam pembangunan negara dengan meningkatkan aktiviti ekonomi, menyediakan perkhidmatan dan infrastruktur kepada negara dan rakyat serta memberikan peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dalam kehidupan bernegara, kita telah menempuh berbagai-bagai cabaran dari pelbagai jenis wabak dan terkesan dengan krisis kewangan seperti ASEAN Financial Crisis 1997, Global Financial Crisis 2001 dan Global Financial Crisis 2006. Sungguhpun wabak dan krisis kewangan tersebut memberi impak kepada orang ramai, namun kesannya tidak begitu serius dan hebat seperti apa yang dialami dari wabak COVID-19.
Wabak COVID-19 juga telah menimbulkan kesedaran rakyat dan penduduk, menjadi sebagai masyarakat yang bersedia berkhidmat dan menyumbang. Kita amat bersyukur khususnya dengan penglibatan masa belia secara aktif dalam berbagai-bagai bidang kegiatan, kemasyarakatan, keagamaan, pendidikan, keusahawan dan kesukarelawanan serta penglibatan mereka dalam NGO’s. Kita perlu sentiasa memberikan galakan dan sokongan agar belia kita akan sentiasa bersemangat dan menjadi tauladan terbaik bagi generasi yang akan datang.
Sekali lagi kita bersyukur, dengan kebijaksanaan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam jua, kita di negara ini telah dapat mengharungi kehidupan, menghadapi ancaman dan cabaran COVID-19 selama 2 tahun dalam keadaan aman dan sejahtera.
Kita sangat menghargai usaha Kementerian Kesihatan yang diterajui oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan bersama kepimpinannya dan seluruh warga barisan hadapan sukarelawan, kerjasama dan sokongan semua kementerian, pihak swasta dan seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang bersatu padu, menyokong dan bekerjasama melaksanakan segala usaha kerajaan dan secara berterusan dan konsisten mengamalkan vaksin ketuhanan.
Sesungguhnya, kesepakatan dan perpaduan kita menghadapi wabak COVID-19 ini jelas mencermin kedayatahanan dan resilien rakyat dan penduduk negara ini yang sewajarnya kita terus pelihara dan pertahankan sebagai benteng pertahanan kewujudan sebuah negara bangsa.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Sebagai jentera kerajaan, kita hendaklah bersatu padu demi memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini. Sebarang penambahbaikan memerlukan sokongan dan dukungan semua pihak termasuk agensi kerajaan dan bukan kerajaan selaras dengan pendekatan whole of nation.
إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ kita akan sama-sama dapat meningkatkan lagi usaha-usaha mempelbagaikan aktiviti ekonomi dan melaksanakan kemajuan negara. Rancangan-rancangan telah dikongsikan di Dewan yang mulia ini, menunjukkan kita mempunyai impian dan inspirasi untuk merealisasikan objektif Wawasan Brunei 2035.
Walau bagaimanapun, ia hendaklah sentiasa realistik dan achievable dengan berpandukan kepada delivery approach dan melaksanakan Key Performance Indicator (KPI) bagi memastikan setiap rancangan dan sasaran dilaksanakan dalam masa pendek, sederhana dan panjang dapat dilaksanakan dengan jayanya, dengan mengambil kira keutamaan dan cost effectiveness.
Marilah kita sama-sama melangkah ke hadapan dan menjadi Negara Brunei Darussalam sebuah negara yang cemerlang dengan ekonomi yang berkembang dan rakyat yang berkualiti tinggi. Kita juga hendaklah sentiasa bijak menangani dengan sumber yang sedia ada di samping meraih peluang-peluang lain dihadapkan kepada kita baik dalam arena global, serantau mahupun dalam negeri sendiri.
Sebelum kaola mengakhiri Ucapan Penangguhan ini kaola sukacita mengucapkan penghargaan dan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Yang Dimuliakan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Timbalan Jurutulis dan seluruh kakitangan Majlis Mesyuarat Negara yang telah sama-sama menjayakan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini dengan lancar dan teratur. Penghargaan dan terima kasih juga kepada Radio Televisyen Brunei, akhbar Pelita Brunei dan ke semua pihak media massa dengan membuat laporan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara 2022 dengan komprehensif dan efisien.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dengan bertawakal kepada اللّٰهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى maka saya mengusulkan agar Persidangan Majlis Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara 2022/2023 ini ditangguhkan.
Sekian,
وَبِاللّٰهِ التَّوْفِيقُ وَالْهِدَايَةُ، وَالسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ وَبَرَكَاتُهُ
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat. Sekarang persilakan Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.
Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal
بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيمِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ وَبَرَكَاتُهُ الحمدُ لله ربِّ العالمين، والصلاةُ والسلامُ على أشرفِ الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kerana memberi peluang bagi kaola berucap agak lama sedikit. Inilah pertama kali kaola memberi ucapan di Dewan yang mulia ini pada mesyuarat kali ini. Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola hanya akan memetik ayat-ayat suci Al-Quran Surah Al-Baqarah ayat-ayat 155, 156 dan 157. Firman Allah (Ayat yang dibaca dalam Al-Quran)
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِي الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَTafsirnya, “Dan sesungguhnya kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan harta benda dan jiwa dan buah-buahan kerana Kami hendak melihat sama ada kamu sabar atau tidak atas ujian itu dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar iaitu orang-orang apabila ditimpa oleh sesuatu musibah, mereka berkata إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ.
Ujian-ujian الله itu sedikit ketakutan, sedikit kelaparan, sedikit kekurangan harta benda termasuk duit, sedikit kekurangan nyawa (kematian), sedikit kekurangan buah-buahan yakni makanan.
Wabak COVID-19 yang melanda manusia di seluruh dunia menepati maksud-maksud ayat-ayat Al-Quran tersebut. Siapa yang bersabar menghadapi ujian-ujian tersebut, Tuhan akan memuliakan keampunan dan rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang dapat hidayat dari sisi الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Wabak COVID-19 sudah, sedang dan masih akan menimpa manusia di seluruh dunia. Hanya Tuhan yang mengetahui hikmat-hikmat ujian itu didatangkan kepada seluruh umat manusia di seluruh dunia, memang begitu kehendak Tuhan Yang Maha Esa. Tidak kiralah sama ada manusia itu derhaka kepadanya atau tidak pada zaman سيدنا محمد صلى الله عليه وسلم dan para sahabat Baginda pun ada ujian. Salah satu ujian pada zaman para sahabat ialah Penyakit Taun di Amuas (di Jordan) di zaman Sayyidina Umar Al-Khattab menjadi Khalifah, Penyakit Taun tersebut telah mengorbankan puluhan ribu manusia dan termasuklah seorang sahabat besar bernama Abu Ubayda ibnu al-Jarrah. Kaola pernah ziarah makamnya. Orang-orang yang berhijrah dari Makkah ke Madinah Munawwarah ditimpa demam sehingga رسول الله berdoa memohon disembuhkan mereka dari demam tersebut. Jadi, Tuhan yang turunkan penyakit dan Tuhan juga sembuhkan penyakit. Selain itu, juga dituntut banyak doa, membaca Al-Quran, berzikir membuat bermacam-macam ibadat kepada الله selain bersedekah wajib dan sunat. Inilah saranan-saranan Islam dalam menghadapi wabak-wabak penyakit dan juga mendapatkan ubat-ubatan dan rawatan-rawatan tertentu. Kaola berpendapat bahawa ungkapan-ungkapan, kata-kata yang menyatakan kita memerangi wabak COVID-19 adalah kurang sesuai kerana wabak itu datang dari sisi الله, diadakan penyakit sebagai menguji kita. Apabila kita berkata begitu seolah-olah memerangi Tuhan yang mewujudkan wabak itu. Siapakah kita yang hendak memerangi Tuhan? Hendak menjadikan seekor lalat pun kita tidak berdaya.
Eloklah saja kita berkata kita hendak menghindarkan wabak COVID-19, biarlah kita tawaduk kepada Tuhan. Mudahan-mudahan Tuhan kasihan kepada kita. Kaola ingin menyembahkan ucapan kaola dengan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas lantikan ke atas kaola sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negara selama 2 penggal. Kaola berdoa agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dilanjutkan usia, kekal qarar memerintah Negara Brunei Darussalam turun-menurun, sihat wal’afiat serta dengan ahli keluarga baginda أَمِين يَا رَبُّ الْعَالَمِينَ.
وبالله التوفيق والهداية، و السلام عليكم ورحمة الله وبركاتهYang Berhormat Pengerusi
Terima kasih Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal. Sekarang saya persilakan Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ الْحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِيالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Lebih dahulu kaola dengan penuh hormat dan takzim sukacita ingin merakamkan ucapan tahniah yang setinggi-tingginya kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kepimpinan dan kebijaksanaan Yang Berhormat Yang Di-Pertua mempengerusikan Permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara Kali Kelapan Belas Bagi Tahun 2022 ini.
أَلْحَمْدُ لِلهِ mesyuarat tahun ini telah berjalan dengan penuh tersusun dan teratur, dalam suasana yang harmoni penuh terbuka dan semangat muhibah, di samping perbincangan yang sangat produktif serta memfokus kepada perkara-perkara yang strategik demi kepentingan kemajuan dan pertumbuhan ekonomi negara.
Seterusnya, kaola juga ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada rakan-rakan sejawatan dan juga Ahli-Ahli Yang Berhormat di atas segala nasihat, pandangan dan juga sokongan yang diberikan kepada kaola selama tempoh kita sama-sama bermesyuarat dalam Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara kali ini. Pandangan-pandangan yang diajukan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak dinafikan sangat penting dan membina untuk kaola pertimbangkan dan fikirkan, إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ sebarang kelemahan yang ada akan pihak kaola perbaiki demi kemajuan negara jua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan juga Ahli-Ahli Yang Berhormat.
ٱلْحَمْدُ لِلَّٰهِ seperti kenyataan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II ketika membentangkan cadangan Belanjawan 2022/2023 pada hari Sabtu yang lepas, keluaran dari sektor pertanian dan perikanan adalah penyumbang utama bagi pertumbuhan KDNK Tahun 2021, terutama dalam sektor bukan minyak dan gas.
Untuk makluman, pada tahun 2021 keluaran sektor pertanian telah meningkat sebanyak 24.6% iaitu daripada $471 juta pada tahun 2020 kepada $587 juta pada tahun 2021. Manakala keluaran sektor perikanan meningkat sebanyak 37.4% iaitu, daripada $139 juta pada tahun 2020 kepada $191 juta pada tahun 2021. Berikutan dengan itu tahap sara diri bekalan makanan dalam negara juga meningkat dan kita hampir mencapai sebanyak 100% sara diri bagi bekalan ayam pedaging dan telur ayam, sebanyak 85% sara diri dari segi bekalan daging lembu dan kerbau dan bagi bekalan ikan, sebanyak 66% bagi bekalan sayur-sayuran tropika dan sebanyak 8.7% sara diri bagi bekalan beras tempatan.
Kaola mengucapkan syabas kepada pengusaha-pengusaha kita yang terdiri daripada peladang, petani, penternak dan nelayan atas kegigihan mereka dalam meningkatkan hasil dari ladang mereka sehingga menyumbang kepada usaha meningkatkan pertumbuhan dan mempelbagaikan ekonomi dan bagi meningkatkan jaminan sekuriti makanan negara.
Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dengan kerjasama pengusaha-pengusaha akan terus berusaha meningkatkan lagi keluaran dalam negara, bukan saja untuk mencapai taraf sara diri penuh malah bagi memenuhi permintaan sektor pemprosesan makanan dan permintaan eksport. Di samping itu, usaha-usaha bagi menggalakkan penglibatan Pelaburan Langsung Asing dan GLC dalam sama-sama menyumbang ke arah meningkatkan keluaran dari sektor pertanian dan perikanan, juga akan diteruskan selain terus menggalakkan pengusaha serta peladang yang berkenaan untuk menggunakan pakai teknologi dan teknik moden, menyasarkan pasaran eksport selain memenuhi permintaan tempatan dan mengamalkan urus tadbir yang baik.
Kita berharap penuh peladang-peladang kita akan terus bersungguh-sungguh dan gigih mengusahakan tanah-tanah yang telah ditawarkan kepada mereka. Ini selaras dengan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dalam Majlis Perasmian Majlis Ilmu sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan baginda Yang Ke-72 Tahun pada 27 November 2018 yang lalu seperti yang berikut:
“...jelasnya kerajaan beta telah dan akan terus menyediakan peluang-peluang dalam bidang pertanian ini dengan seluas-luasnya. Beta teruja kerana kita telah dapat melahirkan peladang-peladang dan petani-petani yang sebahagiannya telah menjayakan bidang ini sebagai mata pencarian utama mereka. Terutama dalam aktiviti bertanam sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan dan aktiviti ternakan dan perikanan. Beta percaya kejayaan ini adalah hasil daripada kesungguhan, kegigihan dan sifat ‘berkarih’ mereka. Beta mahu sifat sedemikian ini biarlah terus hidup dalam kalangan para peladang dan petani. Beta amat menaruh harapan supaya para peladang dan petani tidak bosan-bosan mengusahakan perladangan masing-masing dengan penuh rasa tanggungjawab, dedikasi dan berdisiplin demi survivability bangsa dan negara”.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia ini, kita berharap kita semua sama-sama memberi dorongan kepada peladang-peladang kita yang sedia ada dan menggalakkan belia dan anak-anak buah kita terutama yang masih mencari pekerjaan untuk bergiat dalam aktiviti pertanian bagi merealisasikan hasrat kita sambil membantu mengukuhkan strategi sekuriti makanan dan membantu mengurangkan pergantungan pada import makanan. Kita juga merayu agar orang ramai yang sudah diberikan tanah-tanah pertanian agar mengusahakan tanah mereka seperti yang dipohonkan dengan bersungguh-sungguh dan tidak menjadikan tanah-tanah berkenaan terbiar dan tidak menyewakan tanah berkenaan kepada pihak lain.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dalam keadaan dunia yang dilanda wabak COVID-19 sejak awal tahun 2020, difahami memang ada beberapa keperluan pihak peladang yang terkesan dan yang paling meruncing adalah masalah mendapatkan buruh asing atau terdapat buruh-buruh asing yang sedia ada berkeinginan pula untuk pulang setelah sekian lama berada di negara ini إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ melalui whole of nation, whole of government approach, kita akan cuba sedaya upaya membantu pihak pengusaha mendapatkan buruh-buruh yang dikehendaki demi memastikan keluaran hasil perusahaan tidak terganggu seperti bekalan padi dan beras, sayur-sayuran, daging ayam dan lembu, bekalan ikan dan udang dan lain-lain.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dalam sektor pelancongan melalui strategi seperti pengembangan dan pengukuhan produk-produk pelancongan di seluruh negara serta melalui aktiviti-aktiviti latihan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan layanan yang dijalankan semenjak dua tahun yang lalu, diharap penyedia-penyedia perkhidmatan dan produk pelancongan dalam negara telah bersedia untuk menerima kedatangan pelancong-pelancong dari luar negara apabila keadaan wabak COVID-19 telah reda dan pada bila-bila masa, sempadan mula dibuka untuk pelancong-pelancong berkenaan datang ke negara ini.
Faktor utama yang diambil kira dalam pembangunan produk-produk pelancongan adalah faktor keselamatan, kebersihan dan faktor kualiti layanan yang diberikan kepada pengunjung-pengunjung. أَلْحَمْدُ pihak Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama pihak Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB) dan pihak Institute of Brunei Technical Education (IBTE) telah juga menerapkan nilai-nilai Islam dalam latihan melayan tetamu bagi pelayan-pelayan restoran, hotel, destinasi pelancongan dan juga agensi kerajaan termasuk kaunter-kaunter imigresen, muzium dan galeri. Ini bertujuan bagi memastikan pelanggan-pelanggan berpuas hati dengan layanan yang diberikan dan tidak jemu untuk berkunjung kembali ke destinasi-destinasi pelancongan kita.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Sekian sahaja yang dapat kaola sampaikan sebagai Ucapan Penangguhan kaola dalam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2022 ini. Kaola sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas peluang yang diberikan dengan iringan doa semoga Yang Berhormat Yang Di-Pertua sentiasa dalam rahmat, sihat sejahtera dan bahagia.
Tahniah setinggi-tingginya diucapkan kepada Yang Dimuliakan Jurutulis, Yang Mulia Timbalan Jurutulis atas kecemerlangan dalam mengurus dan mentadbir Majlis Mesyuarat Negara Kali Kelapan Belas ini. Kepada Ahli Yang Berhormat dalam Dewan ini, kaola ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf sekiranya ada “tersuruk langkah” mahupun kata-kata yang kurang manis dalam masa kita bersidang ini.
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Sekian, وبالله التوفيق والهداية. و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Awang Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Awang Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat. السلام عليكم ورحمة الله وبركاته dan salam sejahtera. Kaola lebih dahulu dengan rendah hati dan dengan hati yang jernih mengucapkan syukur dan tahniah yang setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kebijaksanaan dan memimpin dan mempengerusikan Persidangan Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini dari awal permesyuaratan hingga ke penghabisan.
Syukur الحمد لله sepanjang sesi permesyuarahan dan perbahasan di Dewan yang mulia ini, ia berjalan dengan lancar dan penuh bermakna serta dalam suasana muhibah, keterbukaan, saling menghormati dan semangat permuzakarahan yang harmoni. Beberapa isu, pandangan, cadangan dan saranan telah pun disentuh dalam kita sama-sama ‘menanai’ tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh ikhlas dan jujur إِنْ شَاءَ الله. Diharap akan dapat memberikan impak dan kesan yang dihasratkan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Pembentangan cadangan bagi Tahun Kewangan 2022/2023 bertemakan: 'Memperkasa Kesejahteraan Awam Ke Arah Sosioekonomi Yang Lebih Resilien' dengan penekanan kepada empat perkara utama.
Tema Belanjawan Negara pada tahun ini memberikan hasrat jitu pihak kerajaan untuk terus mengorak langkah dan memacu ke hadapan dalam sama-sama kita mencapai Wawasan Brunei 2035. Tidak dinafikan ekonomi negara seperti juga ekonomi dunia dan serantau yang lainnya akan terus berhadapan dengan pelbagai jenis cabaran pada tahun ini daripada risiko, dan kesan serta impak kesihatan awam dengan gelombang penyakit COVID-19 kepada risiko geopolitik. Ia setentunya memberikan impak khususnya kepada ekonomi negara.
Dari itu, kita perlulah bersedia dan bijak untuk mencatur perancangan dan strategi dalam mengurangkan kesan daripada cabaran-cabaran yang berkenaan terutamanya dengan berfikiran lebih kreatif dan inovatif dan berbekalkan dengan semangat permuafakatan dan perpaduan dalam mengambil peranan dengan penuh komitmen bagi sama-sama memastikan kesejahteraan, keamanan, kemakmuran negara terus dijaga dan dipelihara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Bercakap mengenai permuafakatan dan perpaduan, أَلْحَمْدُ للهِ dari gelombang wabak COVID-19 ini kita dapat melihat kesungguhan rakyat dan penduduk di negara ini dalam mengambil peranan masing-masing. Ada dalam kalangan warga perkhidmatan awam serta pihak sektor swasta, persatuan bukan kerajaan dan golongan persendirian turun dan tampil mengambil peranan sebagai sukarelawan dalam membantu menangani wabak COVID-19 ini baik sebagai petugas barisan hadapan mahupun mereka yang diberikan peranan. Inilah nilai-nilai bangsa orang Brunei kitani yang sebenarnya patut kita banggakan. Rakyat dan penduduk akan sentiasa tolong-menolong bekerjasama dan berganding bahu dengan semangat kesepakatan dan perpaduan demi kebaikan, kebajikan dan kesejahteraan negara. Semoga segala usaha murni mereka yang terlibat akan memperolehi limpahan berkat dan limpahan rahmat daripada آمِينَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ . الله سبحانه وتعالى
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dalam negara mengharungi wabak COVID-19 ini kita dapat saksikan dalam ledakan penggunaan teknologi digital dan dalam pada itu selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi smart nation dan dalam kita ‘menanai’ perkembangan dan cabaran transformasi digital. Janganlah kita lupa akan golongan yang mungkin sahaja boleh ketinggalan dalam perkembangan pesat teknologi ini seperti golongan warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya. Hendaklah diharapkan pihak-pihak yang berkenaan akan dapat terus membantu golongan-golongan tersebut supaya mereka juga dapat terus menikmati faedah dari perkembangan teknologi sekarang.
Dalam pada itu juga, hendaklah kita sentiasa mengorak langkah dalam memajukan negara termasuklah ke arah fokus kita memperkukuhkan asas ekonomi agar ia menjadi lebih kukuh, luas, berdaya tahan dan berdaya maju. Janganlah kita leka akan pemantapan penguatkuasaan undang-undang, akta dan peraturan negara. Ia perlulah dipergiatkan dengan lebih tegas dan telus agar jenayah atau pelanggaran tidak berlaku dan rakyat dan kepentingan negara dapat terus dijaga. Adalah tidak kurang juga dalam aspek institusi keluarga yang perlu terus dikuatkan dan dipertahankan. Institusi kekeluargaan merupakan komponen penting dalam proses pembentukan masyarakat dan seterusnya negara. Ia memainkan peranan yang amat besar dalam melahirkan modal insan yang cemerlang. Tanpa institusi kekeluargaan yang kukuh, kemakmuran negara tidak akan terjamin.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Untuk mengakhiri kaola ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada pihak Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat di atas bantuan dan kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sebagai penutup kaola ingin memohon maaf jika sekiranya terdapat tersilap kata, terkasar bahasa dan tingkah laku yang kurang manis sewaktu menyampaikan hujah, pandangan, saranan dan persoalan sepanjang Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini dengan iringan doa semoga kita semua akan sentiasa sihat walafiat dan dipertemukan pada masa-masa akan datang آمين
Sekian,
وبالله التوفيق والهداية، و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Menteri Pertahanan II.
Yang Berhormat Menteri Pertahanan II
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dirahmati سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى dan yang peramba/kaola/saya hormati.
أَحْمَدُ للهِ kita merafakkan ucapan syukur setinggi-tingginya ke hadarat اللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana dengan izin-Nya juga kita telah dapat bersama-sama bermesyuarat dalam Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara yang telah bersidang dalam Dewan ini dalam suasana yang baharu secara hibrid bagi meneruskan pemikiran, perbahasan dan perbincangan isu-isu kemajuan pembangunan negara serta isu-isu semasa termasuk yang berkaitan dengan wabak COVID-19 serta impaknya.
Dalam kesempatan yang istimewa ini, lebih dahulu kaola dengan penuh hormat sukacita merakamkan ucapan tahniah yang setinggi-tingginya kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana telah sekali lagi dapat memimpin dan memandu Persidangan Majlis Mesyuarat Negara di Dewan mulia ini dengan penuh kebijaksanaan, ketabahan, dedikasi dan dapat menjadikannya berjalan dengan lancar dalam suasana penuh muhibah dan bersemangat meskipun format permesyuaratan kita sedikit berubah pada tahun ini mengambil kira usaha untuk mengadaptasi sebaik mungkin kepada keadaan dan cabaran semasa.
Ucapan penghargaan dan terima kasih juga kaola tujukan kepada Yang Dimuliakan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Yang Mulia Timbalan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara dan pegawai-pegawai serta kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat atas penyelenggaraan perjalanan mesyuarat yang teratur dan kemas.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Sepertimana yang kita sama-sama dengarkan dan bahaskan sepanjang sesi permesyuaratan kali ini, penularan wabak COVID-19 terus menjadi tumpuan kita yang mana kemunculan virus ini telah mendatangkan cabaran dari pelbagai haluan dan memberikan impak dalam pelbagai aspek. Ini bukan sahaja dari segi ekonomi, kesihatan dan masyarakat bahkan juga kepada keamanan dan pertahanan negara. Ia mengandungi berbagai-bagai hikmah untuk kita terus hayati dan amati.
Ini antara lain menggariskan dan mengukuhkan kepentingan untuk terus mengekalkan kesediaan dan kesiapsiagaan yang tinggi terutamanya dalam konteks iklim negara dan dunia yang semakin penuh dengan ketidakpastian (uncertainty) begitu juga landskap keselamatannya. Meskipun pada permulaan penglibatan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei sewaktu krisis wabak COVID-19 ini lebih menyerlahkan kesediaannya kepada operasi-operasi bukan tradisional namun kesediaan untuk melaksanakan operasi-operasi tradisional dalam mempertahankan kedaulatan negara dan keutuhan wilayah pada masa yang sama tidak akan diketepikan dan akan tetap dikekalkan sebagai satu keutamaan. Pada amnya dalam zaman dan persekitaran kontemporari ini, pencerobohan wilayah dan kedaulatan masih berlaku di merata dunia sepertimana yang kita ambil iktibar daripada krisis pergolakan di benua Eropah sedang kita bersidang ini.
Dalam pada itu, sejajar dengan visi yang terbaharunya untuk mewujudkan: “Sebuah Angkatan Bersenjata Diraja yang Dihormati dan Rakan Kerja yang Mantap” ke arah memastikan kedaulatan raja, negara dan agama kekal terpelihara dan selamat. Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan terus mengorak langkah untuk membangunkan sebuah angkatan tentera yang berkembang maju dan unggul dalam pertahanan yang merangkumi aspek kesediaaan, kesiapsiagaan dan kekuatan kerohanian. Ini didukung berulang kali seperti yang dinyatakan dan dikongsikan dengan 3 tonggak utama pertahanan iaitu: Keupayaan, Cegah Rintang dan Respons, (* deterrence and response *) Diplomasi Pertahanan dan Pertahanan Holistik.
Selaras dengan titah kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara pada minggu lalu iaitu kepentingan untuk “meluruskan tadbir urus masing-masing mengikut keutamaan, keperluan, tidak membazir dan dilaksanakan dengan teratur”.
اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah pun mengambil inisiatif untuk mengemaskan rangka-rangka komprehensif perancangan pertahanan yang diadaptasikan sebaik-baiknya mengikut persekitaran strategik semasa yang cepat berubah-ubah dan akan menjunjung tinggi titah baginda itu pada setiap masa.
Seperti yang kaola huraikan semasa ucapan mukadimah pada hari Ahad yang lalu “Kertas Putih Pertahanan 2021” yang dilancarkan bersempena sambutan Jubli Intan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada tahun lalu dan juga perancangan keupayaan pertahanan Force 2035 dan Force Structure Review yang sedang dijalankan إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ dengan berkat daulat dan kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta keprihatinan mendalam baginda akan membolehkan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dengan tampuk kepimpinan baharu serta barisan kepimpinan di peringkat perkhidmatan (services) untuk terus bergerak dan berkembang dengan lebih terarah dalam menghadapi pelbagai bentuk cabaran masa kini dan yang mendatang.
Adalah suatu hakikat, pembangunan dan kemajuan sesebuah negara dan tidak terkecuali negara kita Negara Brunei Darussalam yang dicintai memerlukan keamanan dan persekitaran yang stabil. Sebagai sebuah entiti pertahanan Kementerian Pertahanan akan terus memainkan peranannya dalam memastikan keselamatan negara tidak tergugat dan akan terus mengekalkan persekitaran yang selamat dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, bukan kerajaan dan pihak kepentingan yang lain melalui pendekatan 'whole of nation dan whole of government bagi mendukung agenda Wawasan Brunei 2035.
Menyedari akan kepentingan kestabilan dan keamanan sebagai prasyarat utama untuk pembangunan negara dan pencapaian Wawasan Negara 2035, agenda pertahanan dan keselamatan negara hendaklah sentiasa diberikan keutamaan dan tidak boleh dikompromi. Oleh itu kepentingan pertahanan holistik hendaklah terus ditekankan iaitu semua pihak termasuk kita ini yang dalam Dewan yang mulia ini mempunyai peranan untuk menjaga kestabilan dan melindungi keamanan negara.
Dalam kesempatan ini sekali lagi kaola merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas penyediaan Peruntukan Pertahanan yang kekal substantif dan ini إن شاء الله akan digunakan secara berhemah mengikut keperluan dan keutamaan ke arah mencapai key result areas (IKWONDAMAI) bagi kemajuan pertahanan dan dan pada menepati dan menghormati serta memperjuangkan tema belanjawan 2022/2023 iaitu “Memperkasa Kesejahteraan Awam Ke Arah Sosioekonomi Yang Lebih Resilien”.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Berhormat.
Bagi mengakhiri Ucapan Penangguhan peramba/kaola/saya berdoa ke hadrat اللّٰهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى semoga Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan kitani Ahli-Ahli Yang Berhormat sentiasa dalam pemeliharaan اللّٰهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى serta dikurniakan taufik dan hidayah-Nya, sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera dan kebahagiaan.
Peranan institusi pertahanan dan keselamatan serta sokongan seluruh rakyat dan penduduk dalam memperkukuhkan pertahanan negara adalah amanat berat, إِنْ شَاءَ ٱللّٰهُ dengan adanya semangat, sentiasa sepakat, doa dan tawakal serta usaha, dengan memperkasa pendekatan “bersepadu” dan “bersatu” berpegang teguh dengan pepatah “Bersatu kita teguh bercerai kita roboh” dengannya pertahanan negara إِنْ شَاءَ ٱللّٰهُ akan terus kukuh dan ampuh. Kita yakini اللّٰهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى Yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa akan sentiasa memberkati dan merahmati negara kita dalam pertahanan, perkembangannya dan kemajuan untuk kebaikannya khususnya untuk mencapai Wawasan Brunei 2035 dan juga kebahagiaan, kerahmatan di dunia dan di akhirat. Kita berdoa di sisi-Nya Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir adalah بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ. أَمِينٌ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ
Sekian, وَبِاللّٰهِ التَّوْفِيقُ وَالْهِدَايَةُ. وَالسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ وَبَرَكَاتُهُ Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Menteri Pertahanan II. Saya persilakan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Syukur ke hadrat اللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى yang dengan izin dan kebesaran serta rahmat-Nya jua telah membolehkan kita berhimpun di Dewan yang mulia ini dalam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Meyuarat Negara.
أَلْحَمْدُ ِللهِ berkat kepimpinan Yang Berhormat Yang Di-Pertua serta sifat sabar dan juga bimbingan bijaksana Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Permesyuaratan Kelapan Belas ini telah berlangsung dengan lancar dan sempurna serta berhasil membuahkan keputusan-keputusan yang positif. Adalah diharapkan agar segala keputusan yang telah diambil dan diputuskan dalam permesyuaratan tersebut akan dilaksanakan menurut perancangan yang telah ditetapkan dan dengan penuh iltizam serta berhikmah sepertimana maksud titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa baginda mengurniakan titah dalam Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara. Sesungguhnya berkat kepimpinan bijaksana Yang Berhormat Yang Di-Pertua, permesyuaratan telah berjaya dilaksanakan dengan harmoni dan cemerlang.
Kaola tidak lupa juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga kerja Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat yang diganding teraju oleh Yang Dimuliakan Jurutulis dan seluruh warga kerja jabatan ini. Akhirnya, kaola akhiri ucapan kaola ini dengan merafakkan doa ke hadrat اللّٰهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya di bawah kepimpinan bijaksana dan kasih sayang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar kita semua sentiasa dalam pemeliharaan dan lindungan الله juga.
Akhirnya, kaola ingin mengajak semua yang hadir di Dewan ini untuk menadah tangan berdoa sambil menghayati selawat ke atas رَسُولُ اللهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم.
اَللّٰهُمَّ صَلِّ صَلَاةً كَامِلَةً، وَسَلِّمْ سَلَامًا تَامًّا عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الَّذِيْ تَنْحَلُّ بِهِ الْعُقَدُ، وَتَنْفَرِجُ بِهِ الْكُرَبُ، وَتُقْضَى بِهِ الْحَوَائِجُ، وَتُنَالُ بِهِ الرَّغَائِبُ، وَحُسْنُ الْخَوَاتِيمِ، وَيُسْتَسْقَى الْغَمَامُ بِوَجْهِهِ الْكَرِيْمِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ فِي كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ بِعَدَدِ كُلِّ مَعْلُوْمٍ لَكَ.Selawat ini adalah Selawat Tarfijiyah yang bermaksud selawat yang boleh merungkai segala permasalahan dan kesulitan hidup bagi umat manusia.
Sekian,
وبالله التوفيق والهداية . و السلام عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim. Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arshad.
Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arshad
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera.
الْحَمْدُ لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ وَبِهِ نَسْتَعِين selawat dan salam kepada Rasul junjungan Nabi seru tauladan محمد صلى الله عليه وسلم sepanjang zaman. Syukur ke hadrat ilahi dengan limpah izin-Nya kitani dapat bersama lagi dalam Ucapan Penangguhan Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas di Dewan yang mulia ini. Dengan hati yang tulus ikhlas kaola ingin merakamkan tahniah yang setinggi-tingginya dan penghargaan ke atas kebijaksanaan dan keprihatinan kepimpinan Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Tajib yang mempengerusikan mesyuarat ini dengan cemerlang dan bijaksana. Tidak lupa juga diucapkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Yang Dimuliakan Jurutulis, Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar dan Yang Mulia Timbalan Jurutulis, Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail serta pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat atas kecekapan dan kerjasama kepada semua sepanjang permesyuaratan ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Menyedari akan cabaran pertumbuhan ekonomi dan sosial semasa pandemik Covid-19, tahun ini bukan sahaja menjadi tahun pemulihan malahan juga akan memberi penekanan kepada dasar-dasar penyusunan semula atau policy reform kepada beberapa inisiatif dan dasar penggunaan perbelanjaan yang berhemah.
Dalam usaha untuk membangunkan aktiviti ekonomi di seluruh mukim dan kampung seperti projek Majlis Perundingan Mukim (MPK), Satu Kampung Satu Produk (1K1P) adalah sangat penting untuk mengetengahkan kebudayaan dan produk hasil kampung pedalaman agar dapat menarik pelancong domestik dan luar negeri. Inisiatif ini perlulah diteruskan dan dilipatgandakan kerana ia akan dapat membantu dalam mempertingkatkan sosioekonomi mukim dan kampung.
Sama pentingnya juga untuk memastikan kewangan alam berdaya maju viable ini merupakan asas memastikan daya saing dalam memberikan perkhidmatan dalam era globalisasi.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang kaola hormati sekalian.
Dalam hal memperkasakan masyarakat yang produktif dan sejahtera, tumpuan perlulah diberikan kepada rakyat tempatan. Peranan mereka bukan saja terhad kepada membentuk bangsa yang bahagia tetapi juga menyumbang kepada sosioekonomi. Dasar yang menentukan pembabitan rakyat tempatan di peringkat pengurusan dan membuat keputusan di sektor awam dan swasta, perlu juga ditingkatkan.
Bagi golongan belia pula ia menjadi harapan dan aset penting negara kita; mahukan potensi mereka hendak dicapai melalui pengupayaan pendidikan dan latihan kemahiran, keusahawanan, sukan dan kesukarelawan serta mempunyai ekosistem komprehensif bagi membolehkan belia meningkatkan keupayaan dan memajukan diri dalam pekerjaan keusahawanan di samping menikmati kemudahan rekreasi dan perubahan.
Selanjutnya, inisiatif-inisiatif bagi rakyat tempatan, bukan sahaja harus, tapi wajib dilaksanakan sebagai agenda negara. Kesejahteraan rakyat adalah segala-galanya. Apa ertinya kemajuan tanpa kesejahteraan dan kebahagian mendatangi kehidupan. Oleh itu, di bawah Rancangan Kemajuan Negara 12 ini tahap kesihatan rakyat dan kualiti penjagaan kesihatan amat penting untuk terus dipertingkatkan. اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ keseluruhannya sistem perkhidmatan kesihatan negara ini antara terbaik di rantau ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang kaola hormati sekalian.
Menyentuh bajet berjumlah $5.7 bilion yang selaras dengan konsep whole of nation approach. Ia menjadi harapan agar kementerian komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dicapai oleh rakyat.
Merujuk kepentingan dalam memastikan jaminan makanan kita memerlukan lebih ramai pelabur atau pekerja yang berkemahiran tinggi dalam bidang pertanian. Oleh sebab itu pentingnya untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang berpendidikan dalam bentuk kemahiran vokasional dan dilatih dengan matlamat untuk melonjakkan jumlahnya kepada peratusan yang beriringan dengan graduan akademik dan profesional.
Sebab itulah dengan mengatasi dan mendepani keperluan ini, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional perlu diperkasakan, mudah-mudahan melalui program ini lepasan graduan teknikal berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan dengan kadar pendapatan nilai tambah yang tinggi dalam sektor agrimakanan, pertanian, perikanan dan penternakan.
Perlu juga dilihat antara mekanisme menggalakkan kepada inisiatif ini seperti pemberian dalam bentuk grant, subsidi, pengecualian cukai ke atas pembelian jentera dan lain-lain agar ia akan dapat menarik minat sekali gus menjadi pencetus semangat kepada mereka itu nanti.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Selanjutnya melalui perancangan ini, pembangunan keusahawanan tempatan (LDE) perlu dijadikan sebagai agenda dalam pembangunan usahawan baharu yang dilihat dapat meluangkan peluang pekerjaan. Kemajuan juga bererti perkembangannya pembangunan dalam perniagaan. Untuk itu adalah penting menambah baik proses dalam mempertingkatkan langkah-langkah penyampaian perkhidmatan, memberikan kebenaran demi memastikan signifikasi sumbangan kepada KDNK negara.
Sekian saja dari kaola dan jika sekiranya terdapat “suruk langkah” yang kurang manis dan jika ada sebarang kesilapan serta kekurangan, kaola memohon ampun dan maaf jua. Yang baik semuanya dari اللّٰهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى yang buruk datangnya dari kaola sendiri. Kaola jua menyokong supaya Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara ditangguhkan.
Dari Belait hingga ke Temburong,
Negara makmur aman dan damai,
Nama Negara Brunei Darussalam amat terulung,
Terus berkat bumi Brunei.
Bersatu hati melawan korona,
Frontliner berjasa untuk negara,
Marilah semua kita berdoa,
Wabak COVID-19 berakhir segera.
Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Fdr. Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman.
Yang Berhormat Fdr. Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ bersyukur kita ke hadrat اللَّهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana dengan izin-Nya jua kita telah dapat bersidang selama 7 hari dalam Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2022 dengan penuh kewibawaan. Lebih dahulu, marilah kita bersama-sama berdoa ke hadrat اللَّهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى semoga negara kita, seluruh rakyat dan penduduknya diberikan syafaat dan kesembuhan daripada wabak COVID-19 yang sedang melanda negara kita pada ketika ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Sebelum kaola meneruskan Ucapan Penangguhan di Dewan yang mulia ini, dengan hati yang tulus ikhlas, kaola sukacita merakamkan tahniah dan penghargaan yang setinggi tinggi atas kebijaksanaan dan kepimpinan Yang Berhormat Yang Di-Pertua sepanjang permesyuaratan di Dewan yang mulia ini. Terima kasih juga, kepada Yang Dimuliakan Jurutulis dan Yang Mulia Timbalan Jurutulis serta para pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat atas kecekapan dan kerjasama serta sokongan kepada abiskaola sepanjang permesyuaratan ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Sepanjang 5 tahun saya berdiri dalam Dewan yang mulia ini dan menyaksikan perubahan yang ketara dalam ketelusan, kepimpinan dan kecekapan Yang Berhormat Menteri-Menteri. Mereka deserve diberi penghargaan, pengiktirafan dan penghormatan.
Saya mengucapkan terima kasih. Yang Berhormat Menteri-Menteri telah menimbulkan semangat dan harapan baharu serta mendorong penglibatan sektor swasta di peringkat kerja, inisiatif-inisiatif sosialisasi dengan pihak-pihak industri dan terutama sekali dalam mendengar suara-suara masyarakat awam.
Kaola berharap, ini akan terus diterapkan kerana kita sama-sama maklum dan sedar bahawa pendekatan whole of nation dan juga whole of government approach amat penting bagi menangani isu-isu yang memerlukan koordinasi dan melibatkan kerjasama yang rapat antara satu kementerian dan yang lain. Dalam Ucapan Penangguhan ini, kaola ingin mengutarakan beberapa perkara yang kaola fikirkan penting untuk diambil perhatian dan peringatan. Seperti dibentangkan bagi Tahun Kewangan 2022/2023, Perbelanjaan Negara yang telah diluluskan sebanyak $ 5.7 bilion.
Oleh yang demikian, kita perlulah meneruskan usaha-usaha dalam memastikan perbelanjaan negara tidak akan sentiasa meningkat dan meneruskan usaha-usaha dalam pelaksanaan projek-projek melalui pembiayaan alternative financing dan juga inisiatif-inisiatif PPP yang lainnya. Kaola percaya jika lebih banyak usaha kerjasama PPP terus dipergiatkan, ia akan melahirkan hasil yang sangat menguntungkan kerajaan dan menjimatkan perbelanjaan negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli Ahli Yang Berhormat sekalian.
Memandangkan kita sudah pun berada dalam fasa endemik dari wabak COVID 19, inilah masanya kita bangkit semula demi generasi kita sekarang dan masa akan datang. Kita perlulah memberikan peluang, perhatian dan harapan yang tinggi kepada belia negara untuk mereka terus percaya diri dalam menyuarakan pandangan mereka dan meyakini diri mereka dalam bersama mencapai Wawasan Brunei 2035.
Selaras dengan tema belanjawan negara bagi Tahun Kewangan 2022/2023 iaitu: "Memperkasakan Kesejahteraan Awam ke Arah Sosioekonomi Yang Lebih Resilien". Tidak dapat dinafikan inisiatif-inisiatif yang diterajui oleh sektor swasta, membolehkan peningkatan produktiviti, sebagai ejen pertumbuhan ekonomi, inovasi, menjana pekerjaan, mengukuhkan kemahiran dan menggalakkan kemajuan teknologi.
Adalah diharapkan agar pihak kerajaan akan sentiasa berusaha untuk menggalakkan sebuah ekosistem yang menjana perkembangan sektor perniagaan bagi pihak swasta dan lebih lagi meningkatkan usaha-usaha ke arah Pelaburan Langsung Asing (FDI). Jika policy atau mekanisme tawaran kita menjadi penghalang bagi FDI yang berpotensi tinggi untuk melabur dengan negara kita, maka penting untuk kita menilai semula dan membuat perubahan yang perlu yang pastinya akan menguntungkan dan membantu pembangunan negara kita.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Setiap tahun, kaola tidak akan ketinggalan menyampaikan ucapan sempena Hari Wanita walaupun tahun ini kaola ingin menyampaikan lebih awal sebelum menjelang hari yang dibenarkan. Izinkan kaola mengucapkan Selamat Hari Wanita Antarabangsa kepada para wanita yang berada dalam Dewan ini serta seluruh kaum wanita di Negara Brunei Darussalam. Tema pada tahun ini ialah: "Break The Bias". Inilah masa untuk meraikan pencapaian wanita yang bertindak sebagai pemangkin ke arah perubahan positif, inklusif, dinamik dan inovatif yang dapat membantu merealisasikan agenda pembangunan negara. Perlulah semua wanita ingat bahawa mereka mempunyai kehebatan untuk mencapai apa yang diinginkan kerana apa yang penting, para wanita harus percaya mereka boleh memimpin diri mereka untuk melakukan suatu perubahan jika ada kesungguhan untuk menuju ke arah apa yang diinginkan. Ladies this for you “Selamat Hari Wanita Antarabangsa”.
Dengan ini, kaola berharap pendekatan whole of nation dan whole of government approach yang sering kaola laungkan dalam Dewan yang mulia ini akan benar-benar dapat direalisasikan dan tidak akan membebankan mana-mana pihak untuk menanganinya termasuk dengan penglibatan dan kerjasama yang erat bagi semua kementerian bersama pihak swasta yang berkepentingan secara berterusan.
Kepentingan kita, bukan sahaja dalam mencapai sasaran negara tetapi Negara Brunei sebagai Darussalam sebahagian daripada ASEAN juga harus meraih peluang-peluang dalam arena global dan serantau memandangkan ASEAN diharapkan akan menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2030.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kaola ingin memetik tema ASEAN Business Advisory Council Brunei tahun lepas iaitu Recover, Stronger, Together, sama-sama demi rakyat, bangsa dan negara.
Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii.
Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua. السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kaola bersyukur kerana diberi peluang untuk bersama dengan Ahli-Ahli Yang Berhormat bagi menyampaikan Ucapan Penangguhan.
Kaola mengucapkan terima kasih dan penghargaan atas kesabaran Yang Berhormat Yang Di-Pertua dibantu juga dengan dedikasi Yang Dimuliakan Jurutulis dan Yang Mulia Timbalan Jurutulis dan perjuangan semua pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat. Dalam peluang ini juga kaola mengucapkan tahniah ke atas komitmen Yang Berhormat Menteri-Menteri dalam penyampaian mengenai progres kementerian masing-masing dalam menuju ke hadapan dan perkongsian cabaran yang masih dihadapi.
Diharapkan kepentingan makluman dan milestone implementasi atas semua peruntukan dan cadangan sentiasa dikongsi, melalui quarterly multi-stakeholder outreach sebagai peningkatan platform dua hala antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.
Kaola juga berharap pendayaan peluang inklusif (enabling inclusive opportunity) dan memperkasakan masyarakat (empowering community) sentiasa diamalkan ke atas semua pelaksanaan dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Sebagai kesimpulan kaola membaca berapa ingatan dari Syair Kenangan Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien:
Budi yang baik juga dikenang,
Bahasa yang halus berhati tenang,
Kelakuan yang tampan,
menandakan menang,
Itulah jalan supaya senang.
Perkara sukar menjadi mudah,
Kalau tidak membanyakkan telingkah,
Haruskan tiada mendatangkan susah,
Syaratnya bertawakal kepada الله.
Sekian Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Terima Kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash'ari.
Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari
Terima Kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
السَّلَامُ عَلَيْكُمۡ وَرَحۡمَةُ ٱللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera.
Lebih dahulu, kaola ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak atas kepercayaan dalam melantik kaola sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan juga atas segala sokongan dan bimbingan dari pihak Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat bagi membolehkan kaola menjalankan tugas dan amanah.
Tahniah diucapkan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kearifannya dalam memimpin sepanjang permesyuaratan ini diadakan. Kaola juga ingin mengucapkan penghargaan yang tinggi kepada Yang Berhormat Menteri-Menteri kerana telah memberi respons yang positif bagi soalan dan cadangan yang telah kaola bangkitkan, dan juga memberi banyak bimbingan melalui pelbagai muzakarah dan lawatan rasmi dan tidak rasmi sepanjang lima tahun kebelakangan ini.
Kaola mengambil baik inisiatif dan usaha memeduli kepentingan masyarakat yang sebelum ini terlepas perhatian, termasuk golongan wanita, Orang Berkelainan Upaya dan warga emas. Ini adalah satu langkah penting dalam membina masyarakat yang mampan dan inklusif. Perkembangan ekonomi dan Revolusi Industri 4.0 juga perlu diambil kira impaknya kepada masyarakat dan persekitaran supaya tidak hilang nilai-nilai kemahiran sosial, budaya dan identiti kebruneian dengan memperkenalkan inisiatif yang bersesuaian seperti kemahiran insaniah, program kesedaran dan sebagainya.
Sepanjang lantikan Kaola, beberapa dasar, perintah dan blueprints telah diperkenalkan. Di bawah Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, sasaran yang ditetapkan adalah tinggi dan memerlukan kerjasama daripada orang ramai dalam memastikan sasaran tersebut dapat dicapai. Sebagai contoh, sasaran kapasiti keseluruhan kepada 200 megawatt dari tenaga solar menjelang tahun 2025 memerlukan perancangan yang teliti bagi memastikan usaha ini dapat membantu negara menjadi rendah karbon pada masa akan datang.
Kaola menyambut baik usaha kerajaan dalam menetapkan sasaran untuk menanam sebanyak 500,000 anak pokok dan ini akan dapat dicapai dengan adanya usaha yang padu dan berterusan daripada pihak-pihak tertentu.
Di bawah Dasar Belia Negara dan Strategi 2020/2035 pula, pelbagai usaha perlu dilakukan bagi memberi peluang kepada para belia dari pelbagai latar belakang untuk mengikuti program-program pembangunan belia termasuk memastikan saluran komunikasi yang efisien dan mengukuhkan komuniti belia tempatan.
Kaola juga mengambil baik inisiatif memperkembangkan Digital Economy Masterplan 2025 melalui pembaikan perhubungan, infrastruktur Internet dan payment gateway. Ini diharap akan membolehkan para belia dalam meningkatkan aktiviti perekonomian dan menjana peluang pelbagai jenis pekerjaan pada masa akan datang.
Dalam pengurusan sampah di negara ini, diharap peningkatan infrastruktur kitar semula yang efisien di negara ini dapat direalisasikan, dalam melangkah ke hadapan untuk memastikan Negara Brunei Darussalam sentiasa dalam keadaan bersih dan hijau.
Kaola juga berharap sistem pengangkutan awam juga akan dapat dipertingkatkan kerana ia sangat penting dalam memberi lebih banyak akses kepada semua lapisan masyarakat. Terutama bagi mereka yang mempunyai kesukaran untuk bergerak kerana tidak mempunyai pengangkutan yang tetap. Bak kata pepatah: “tanda sesebuah negara itu maju apabila orang kaya menggunakan pengangkutan awam”.
Selain itu, kaola berharap kementerian yang terlibat akan dapat membuat kajian dan penelitian bagi kesesuaian untuk menukar ke sistem pekerjaan dan persekolahan lima hari berturut-turut bagi membantu untuk mengimbangkan keperluan kesihatan mental, termasuklah kajian terperinci mengenai kesesuaian flexible hours dan remote working.
Akhir sekali, kaola ingin merakamkan penghargaan tinggi atas kepimpinan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kepada mereka yang telah bekerja keras dalam menentang wabak COVID-19, dan berdoa bagi mereka yang terjangkiti untuk cepat sembuh.
Saya menyeru orang ramai untuk terus memberi sokongan kepada yang memerlukan pada waktu yang sukar ini dengan mengamalkan tanggungjawab sosial dan individu, menyumbang kepada aktiviti-aktiviti kesukarelawanan sekali gus memberi sumbangan kepada negara.
Sebelum mengakhiri Ucapan Penangguhan kaola, kaola sukacita menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Yang Dimuliakan Jurutulis, Timbalan Jurutulis, pegawai-pegawai serta kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat. Kaola juga ingin memohon maaf sekiranya terdapat sebarang perbuatan yang kurang sopan dan percakapan yang menyinggung perasaan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.
Sekian, وبالله التوفيق والهداية، و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.
Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
بسم الله الرحمن الرحيم السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
dan salam sejahtera.
Kaola terlebih dahulu mengucapkan tahniah dan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua, yang telah memimpin dan mempengerusikan Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini, dari awal hingga akhir, dengan sabar, adil dan penuh kewibawaan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sebagai pengisian dalam Ucapan Penangguhan ini, izinkan kaola membawa 2 perkara sahaja:
- Pengurusan Tenaga Manusia (human capital) yang lebih baik bagi semua sektor di negara ini, baik di sektor kerajaan, swasta, GLCs mahu pun segi ekonomi atau bekerja sendiri. Kaola bersyukur dengan kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, mengenai penambahbaikan sistem persaraan Tabung Amanah Pekerja serta fokus yang diberikan oleh kerajaan baginda ke atas Life Long Learning bagi semua seperti yang disebut Civil Service Leadership part time serta program-program upskilling dan reskilling;
Isu memangku, isu pengkajian semula tangga gaji penjawat-penjawat awam, isu kesihatan mental, stimulus-stimulus dan bantuan-bantuan kepada sektor-sektor yang terjejas kerana wabak COVID-19, isu-isu cuti yang bersesuaian dan yang diperlukan serta isu hari serta waktu bekerja yang bertepatan dengan keperluan negara, pernah kita ini bahaskan dalam Dewan yang mulia ini.
Turut dilihati ialah progresif minimum wage yang ditunggu-tunggu pelaksanaannya bagi mengupayakan sektor swasta kita ini. Jentera perkhidmatan awam ini serta pekerja-pekerja sektor swasta haruslah kita ini tadbir dengan baik, kerana human capital inilah sumber utama kita ini, di samping sumber dari alam semula jadi yang dikurniakan oleh اللّٰهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى di bumi Darussalam ini;
- Mengenai kenaikan harga barang dan struktur gaji. Menurut Penyata Dasar 2 pada tahun 2021 yang telah diberikan oleh Brunei Darussalam Central Bank, pandemik COVID-19 ini terus menaikkan harga barang seperti harga daging, harga sayur-sayuran, minyak masak dan kenderaan bermotor. Dalam 9 bulan pertama tahun 2021 dengan indeks harga pengguna atau CPI meningkat 1.7% dalam 9 bulan pertama sahaja. Dijangka harga barangan akan terus tidak menentu dalam menghadapi wabak COVID-19 ini.
Kita ini juga perlu mempertimbangkan betapa susah payahnya orang bekerja, kerana jika orang bekerja lebih keras maka mereka harus dibayar lebih. Jika kita ini mempunyai jentera perkhidmatan yang lebih bekerja keras dan menghasilkan lebih banyak output, membayar mereka lebih banyak wang tidak semestinya inflasi yang tidak baik.
Namun begitu, bukan sahaja kitani sewenang-wenangnya menaikkan gaji ataupun bayaran, baik di sektor swasta mahu pun sektor awam, kitani harus melihat kepada value ataupun nilai.
Soalan seperti, apakah nilai penjagaan kesihatan atau apakah nilai pendidikan sangat subjektif. Kitani mempunyai KPI seperti yang dirancang oleh tiap-tiap syarikat ataupun jabatan-jabatan, tetapi sekarang we live in an unprecedented time dengan wabak COVID-19 membawa perubahan kepada produktiviti dan efisiensi.
Kalau dulu kitani spending time untuk memandu ke pejabat mencari tempat letak kereta dan sebelah petangnya diulangi perkara yang sama. Mungkin 2 jam sudah hilang untuk perkara itu. Sekarang 2 jam tersebut digunakan oleh para ibu bapa untuk mengajar anak-anak di rumah kerana work from home atau flexible working hours yang diberi.
Self-employment ataupun bekerja sendiri juga dijangka meningkat kerana perubahan teknologi. Ia harus dilihat sebagai penyumbang signifikan kepada ekonomi negara. Setiap perubahan ini tentu ada pro dan kontranya dan kitani sebagai perancang dan penggubal dasar haruslah melihatinya sehalus-halusnya.
Sebelum menutup, kaola mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri-Menteri yang mendengar, menerima cadangan dan juga seterusnya memberi penerangan. Apa yang kaola masih lagi hargai, juga turut memberi nasihat ke atas usul-usul dan pertanyaan-pertanyaan yang dibawa. Tidak lupa juga sokongan dari semua agensi yang hadir di Dewan Majlis ini mahupun orang awam yang mengikuti dari luar sana.
Terakhir sekali, kaola tidak lupa mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Yang Dimuliakan Jurutulis dan ucapan terima kasih ini juga ditujukan kepada Yang Mulia Timbalan Jurutulis, semua pegawai serta kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat atas bantuan dan sokongan yang telah diberikan. Walaupun wabak Omicron menduga kitani, tetapi kitani tetap bertahan di Dewan ini demi kerana untuk mencari-cari cara bagi membela rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.
Sekian,
وبالله التوفيق والهداية، و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan sekarang, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis.
Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis
Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته dan salam sejahtera.
اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, mari kita bersyukur ke hadrat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى, kerana-Nya jua kita masih bernafas, diberikan kesihatan dan diberikan ruang masa yang membolehkan kita sama-sama hadir dalam rangka kerja Ucapan Penangguhan Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara bagi Tahun 2022.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dalam kesempatan keemasan ini, kaola lebih dahulu merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana telah berjaya mempengerusikan dan memimpin persidangan dengan bijaksana serta dalam suasana harmoni, muhibah dan saling menghormati. Begitu juga dengan Yang Dimuliakan Jurutulis dan Yang Mulia Timbalan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara yang sentiasa memberikan kerjasama yang padu termasuk juga pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.
Seterusnya, kaola juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Yang Berhormat Menteri-Menteri yang begitu tabah mendengar pendapat-pendapat dan saranan-saranan serta soalan yang diajukan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat dengan memberikan penjelasan-penjelasan kepada program-program kemajuan dan perkembangan serta pelaksanaan projek-projek kementerian masing-masing sama ada yang telah berjalan mahu pun yang akan dilaksanakan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Persidangan Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2022, yang bermula pada 24 Februari 2022, sebentar lagi akan berakhir. Sepanjang permesyuaratan dijalankan, perbincangan dan persoalan adalah menjurus dan mengambil kira akan titah nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara pada 24 Februari 2022 yang lalu hingga ke hari ini. Kita telah banyak menyentuh dan membahas terutama dalam bidang perekonomian, peluang-peluang pekerjaan dan kemakmuran serta kesejahteraan rakyat dan penduduk serta negara yang kita kasihi ini dan tidak terkecuali masalah pengangguran.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kaola juga ingin menggabungkan diri bersama rakan-rakan Ahli Yang Berhormat bagi menyokong usaha-usaha kerajaan dalam mempertingkatkan kemajuan dan pembangunan negara. Kaola juga menyambut baik akan rancangan kerajaan melalui Kementerian Tenaga untuk mengembangkan lagi menjana tenaga solar dengan pembinaan tapak Projek Tenaga Suria yang berkapasiti tinggi di Kampung Belimbing Subok, kerana ke arah memastikan sumber tenaga yang berdaya tahan akan tersedia bagi rakyat dan penduduk negara ini
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Berhubung dengan penyediaan pembangunan kemudahan ini kaola ingin memohon dan menyuarakan supaya kemudahan perhubungan akan dapat disediakan kepada kampung-kampung yang terdapat di Pulau Berambang, Mukim Kota Batu, Daerah Brunei dan Muara seperti Kampung Menunggol, Kampung Riung, Kampung Pudak dan juga Kampung Sungai Bunga dan Tanjung Kindana yang terpisah oleh Sungai Brunei, supaya akan dapat diberikan kemudahan perhubungan dengan membina jambatan ke pulau berkenaan bagi kemudahan perhubungan penduduk kampung berkenaan dalam menjalani kehidupan seharian seperti untuk pergi balik bekerja, bersekolah dan lain-lain urusan seperti urusan pembelian keperluan harian barang-barang asasi dan bahan-bahan pembinaan bangunan atau rumah yang sukar bagi urusan pengangkutannya.
Oleh itu, perhubungan jalan darat amatlah diperlukan oleh penduduk kampung berkenaan. Begitu juga mengenai keadaan jalan raya di sepanjang jalan dari Kampung Sungai Lampai membawa kepada Sungai Belukut, keadaan jalan rayanya masih kecil dan tidak memuaskan dan perlu pembesaran dan dinaikkan taraf supaya selamat dan selesa dilalui.
Dalam hubungan ini, diharapkan semoga pihak kerajaan akan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya. Ke arah ini juga termasuk dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035 dari segi meningkatkan pembangunan perhubungan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. الحمدُ للهِ Kita juga bersyukur akan perkembangan sara diri pertanian, agrimakanan seperti perikanan dan ternakan yang semakin berkembang maju dan aktif sehingga meningkatkan hasil pengeluaran. Tahniah diucapkan.
Sehubungan itu juga, adalah juga diharapkan supaya sara diri pertanian berkelompok perlulah mendapat perhatian yang khusus dengan diberikan kemudahan dan bantuan-bantuan seperti dipermudahkan untuk mereka diberikan kebenaran ke atas permohonan Tanah Tumpang Sementara (TOL), kemudahan subsidi baja dan seumpamanya. Termasuk juga diberikan latihan dan tunjuk ajar cara teknik pertanian moden serta jika perlu diberikan modal kewangan yang bersesuaian bagi memperkembangkan giatkan usaha mereka.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Sebagai pemimpin di peringkat akar umbi kaola akan bersama rakan-rakan Ahli Yang Berhormat juga akan sentiasa memberikan dorongan kepada penduduk mukim dan kampung supaya merebut dan meraih peluang keemasan terhadap kemasukan Pelaburan Langsung Asing ke negara ini.
Dalam hubungan ini, diharapkan supaya pihak kerajaan akan sentiasa memberikan dan membukakan seluas-luasnya peluang-peluang dan ruang-ruang kepada pengusaha-pengusaha terutama sekali anak-anak tempatan dalam apa jua pelaburan-pelaburan dan pekerjaan terutama kepada golongan generasi muda sama ada yang mempunyai kelulusan di peringkat tertinggi, menengah atau rendah. Mereka ini aset negara yang akan mencorak dan meneruskan hala tuju serta agenda pembangunan negara. Ini penting diambil perhatian yang sewajarnya.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dalam kesempatan ini juga, kaola ingin menyampaikan harapan rakyat dan penduduk negara ini supaya pihak kerajaan perlulah memperkuatkan lagi sistem tadbir urus yang sedia ada supaya tidak ada ketirisan dalam melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, seperti mengikuti peraturan-peraturan dan dasar-dasar yang sedia ada bagi mengelakkan pilih kasih ataupun rasuah.
Dalam pada itu, rakyat dan penduduk juga menyokong penuh akan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya barisan hadapan pentadbiran kerajaan atau pegawai pengawal yang dilantik akan sentiasa melaksanakan sifat berhemah dan berdisiplin dalam mengendalikan kewangan negara dan tidak menggunakan kuasa berbelanja secara sewenang-wenangnya.
Syukur الْحَمْدُ للهِ isu mengenai Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah pun selesai dibuat kajian yang terperinci oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama Tabung Amanah Pekerja. إِنْ شَاءَ اللهُ pelaksanaannya akan bermula pada tahun 2023.
Ini sudah setentunya akan memberi harapan yang tinggi serta disambut baik oleh mereka yang berkelayakan. Isu TAP ini juga selalu dibangkitkan dalam Dewan yang mulia ini dan dalam sesi-sesi muzakarah di antara kementerian dengan Ahli-Ahli Yang Berhormat diadakan setiap tahun.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Sebelum menutup Ucapan Penangguhan ini, sekali lagi kaola merafak sembah yang setinggi-tingginya menjunjung kasih atas kepercayaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi diri kaola menganggotai Ahli Majlis Mesyuarat Negara ini sejak dari tahun 2017 hingga ke hari ini.
Akhirnya, marilah kita berdoa semoga الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى akan mengurniakan petunjuk dan hidayah-Nya membuka minda, menyatukan hati dan membimbing kita semua ke arah hala tuju jalan yang berkebajikan dan mengharungi cabaran ini dengan tabah, ikhlas dengan penuh keredaan.
Dalam kesempatan ini juga, kaola memohon ampun dan maaf sekiranya ada tingkah laku dan “suruk langkah” serta kata-kata yang kurang elok mohon ampun dan kemaafan jua.
Sekian, وبالله التوفيق والهداية و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Terima kasih. Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari.
Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari
Terima kasih. Yang Berhormat Yang Di-Pertua. السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍYang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
ٱلْحَمْدُ لِلَّٰهِ, pada penghujung Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2022, إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ dengan kita sentiasa bersangka baik, bertawakal dan bersyukur ke hadrat ٱللَّٰهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى. Kita sama-sama berdoa semoga dengan limpah rahmat الله jua kita akan sentiasa selama-lamanya sebagai sebuah Negara Melayu Islam Beraja sepertimana titah Pemasyhuran Kemerdekaan Tahun 1984. Dalam kesempatan di Dewan yang mulia ini kaola suka membawa hujah dan usul seperti berikut, supaya kurnia titah Pemasyhuran Kemerdekaan Tahun 1984 dijadikan sebagai dasar rujukan dalam memelihara kepentingan rakyat Negara Brunei Darussalam turun-temurun, bagi mendukung usul ini kaola perkuatkan dengan petikan sepotong ayat dari surah An-Nisa ayat 59, yang berbunyi:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّٰهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ
صَدَقَ ٱللَّٰهُ ٱلْعَظِيمُ
“Wahai orang-orang yang beriman taatilah اللّٰه dan taatilah رَسُول نَبِيّ مُحَمَّدٍ (صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ) dan uli amri (memegang kekuasaan di antara kamu)”
Marilah kita berhijrah dari fikiran negatif kepada fikiran positif, yakin akan kemampuan, kebolehan bangsa kita khususnya belia masa kini. Belia kita diberikan pendidikan terbaik maka dikirakan hasil pendidikan negara boleh diterima dan diberi kepercayaan dalam ‘menanai’ apa jua keterlibatan mereka dalam kancah pembangunan negara seperti pembangunan sosioekonomi bangsa. Persoalan kita perlu hijrah, sedikit persoalan mengapa orang kita tidak aktif berniaga, sebahagian jawabannya kerana kemudahan modal kewangan terlalu sulit. Mengapa sulit, inilah persoalannya, kita masih berfikiran negatif, terlalu berkira, kurang yakin dengan kebolehan bangsa sendiri.
Di Dewan yang mulia ini, kaola mengambil kesempatan membuat Usul supaya Negara Brunei Darussalam melahirkan jutawan warga Negara Brunei Darussalam. Dipohonkan dikeluarkan statistik jutawan warga negara dan bilangan jutawan warga asing yang tercipta sejak 38 tahun yang lalu. Persoalan yang timbul, kedudukan bangsa kita dalam perniagaan masa kini runcit, hardware, dobi, jahit, kontraktor, supply barang runcit dan lain-lain jual udang kering, pusu dan sebagainya adalah biasanya perniagaan orang kita ni tetapi sekarang diusahakan oleh orang asing dengan membekalkan ke kedai-kedai runcit, padahal didapati berjawatan buruh. Mereka orang asing ini dikatakan berjaya kerana mempunyai persatuan iaitu saling membantu sesama ahli bangsa mereka, kenyataannya orang asing lebih ke hadapan dalam perniagaan di negara kita, sebenarnya tidak mungkin perkara ini berlaku, mereka mampu mengalahkan kita dalam negara kita sendiri sedangkan kita mempunyai kementerian-kementerian yang berwibawa, kita harus sama-sama berfikiran positif bersifat patriotik berinisiatif dan kreatif. إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ bangsa kita akan dapat menguasai sosioekonomi bangsa.
ٱلْحَمْدُ لِلَّٰهِ Usul sewaktu menjunjung titah beberapa hari yang lalu sudah terjawab sepertimana jawapan Yang Berhormat Menteri Kewangan dan Ekonomi II yang berbunyi: "Pada masa ini terdapat projek yang sedang dilaksanakan oleh Darussalam Assets dan 3 buah bank tempatan untuk membentuk syarikat usaha sama bagi menyediakan payment gateway atau digital payment hub, bagi memudahkan pembayaran transaksi bagi pembayaran digital di negara ini". Dengan tersedianya perkara di atas إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ pengurusan kita akan lebih mudah.
Bagi mengakhiri Ucapan Penangguhan ini, Kaola suka menyatakan dengan ikhlas dan bersangka baik, bahawa hasil permesyuaratan di Dewan yang mulia ini dilaksanakan dengan bijaksana dan berhemah. Mohon ampun dan maaf tersalah kata, perilaku yang kurang elok, adab yang kurang di Dewan yang mulia ini dan juga dalam pergaulan seharian. إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ kita akan berjumpa lagi dalam apa jua suasana dan didoakan akan dihimpunkan di syurga ٱللَّٰهُ yang tertinggi. Kaola mengakhiri hujah ini dengan petikan ayat suci Al-Quran yang berbunyi:
أَعُوذُ بِٱللَّٰهِ مِنَ ٱلشَّيْطَانِ ٱلرَّجِيمِ وَٱللَّٰهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ صَدَقَ ٱللَّٰهُ ٱلْعَظِيمُSemoga kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang berbuat kebajikan yang dicintai ٱللَّٰهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى
Sekian,
وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman.
Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.السلام عليكم ورحمة الله وبركاته dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kita bersyukur ke hadrat الله سبحانه وتعالى kerana dengan izin-Nya serta limpah rahmat-Nya jua kita dapat bersidang dalam permesyuaratan selama 7 hari dengan penuh tertib, hormat menghormati dalam suasana norma baharu dengan aman dan damai kerana negara kita masih sahaja masuk gelombang pandemik wabak COVID-19.
Ibarat berkayuh, ‘bergubang’ ini, kita sudah merapat ke tambing, tiada terasa masa begitu cepat berlalu. Seiring dengan waktu kita mencapai usia 5 tahun sebagai satu anggota yang bersidang di bahu sebuah amanah yang perlu kita tunaikan dan letakkan di atas.
Setelah 5 tahun bersidang banyak isu dan buah fikiran yang dilontarkan untuk dibahaskan dan difikirkan demi kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini. Kaola sebagai wakil pemimpin akar umbi, seringkali dengan persoalan mesyuarat meminta dileraikan dan diberikan solusi setiap permasalahan. Hasil perbahasan di Dewan yang mulia ini, sering ditunggu-tunggu apakah idea fikiran itu dibahas dan dicanai dengan hati yang putih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kita sebagai pemimpin di Dewan yang mulia ini, ibarat 'segubang' ada pencaruk, ada pengemudi, ada berkayuh, bertiti, 'bebakai', 'memiut' ke kiri dan ke kanan mencari 'aluh sarang' di tengah duduk mengimbangi andai perahu, 'singit' ke kiri masa sarang mengimbangi ke kanan. Begitulah hingga 'gubang' merapat ke 'tambing', bertolak, 'berambit', mencapai impian dan destinasi. Itulah kita di dalam Dewan yang mulia ini.
Batu cincin berwarna warni,
Wakil Serasa tidak habis berdiri,
Setiap hari kita di sini,
Amanah rakyat kita penuhi.
الْحَمْدُ لِلّٰهِ, sepanjang Persidangan Majlis Mesyuarat Negara berlangsung, pelbagai langkah diambil bagi memastikan persidangan ini berjalan lancar. Walaupun kita menghadapi situasi COVID-19, namun kita sama-sama bangkit menyuarakan, memikirkan, mencari penyelesaian demi rakyat, bangsa dan negara.
Kaola ingin merakamkan ucapan menjunjung kasih yang setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, atas lantikan kaola selama 5 tahun berkhidmat sebagai Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Sepanjang lantikan tersebut, banyak pengalaman yang kaola hadapi sambil menimba ilmu. Keluhan rakyat setentunya diambil kira dan disuarakan. Siang dan malam sentiasa memikirkan kehendak rakyat dan penduduk mengadukan cadangan dan soalan. Tugas dan tanggungjawab yang diberikan selama 5 tahun cukup bermakna. ٱلْحَمْدُ لِلّٰهِ telah dapat mencapai hajat rakyat dan penduduk di negara ini.
Kaola juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan yang telah memberikan sepenuh komitmen dalam memastikan Persidangan Majlis ini sentiasa dalam keadaan bertawakal dan selamat dari penularan wabak COVID-19.
Kaola tidak lupa juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pegawai warga kerja Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat, warga kerja RTB, wakil media massa serta semua pihak yang turut terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam pengendalian urusan Majlis Mesyuarat Negara sepanjang tempoh kali ini.
أَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, dalam kesempatan ini kaola merakamkan ucapan penghargaan, tahniah yang setinggi-tingginya kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana dapat mengemudi persidangan ini dengan baik dan mencapai tujuannya. Kepada Yang Berhormat Menteri-Menteri, أَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, tahniah Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Yang Berhormat dapat menunaikan amanah yang tersandang di bahu Yang Berhormat-Yang Berhormat.
Kepada rakan-rakan Yang Berhormat, kita adalah satu anggota yang membawa amanah rakyat tertunai sudah 5 tahun menggerak-gempur minda fikiran rakyat. Begitu juga tahniah ini ditujukan kepada Yang Dimuliakan Jurutulis dan Timbalan Jurutulis serta pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.
Sebelum kaola mengundurkan diri di Dewan yang mulia ini, izinkan kaola menyampaikan empat buah pantun untuk santapan dan hiburan dalam sidang Majlis ini:
Ikan bilis di atas para,
Masak asam kuah pelikat,
Ahli Majlis Mesyuarat Negara,
penggerak minda fikiran rakyat.
Lima tahun di bawah kubah,
Suka duka tiada terasa, Di Dewan Majlis bermuzakarah, menunaikan amanah negara bangsa.
Ambil pelita mengganti suluh, Taruh minyak sumbu direndam, Kaola menyusun jari sepuluh, Terkasar bahasa kaola jangan didendam.
Tanjung Pelumpong di laut Muara, Dari Muara mudik ke pekan, Selesai sudah Mesyuarat Negara, Salah dan silap harap maafkan.
Sekian, وبِاللهِ التَّوْفِيقِ وَالهِدَايةِ، وَالسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin.
Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَYang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih atas kesempatan yang diberikan bagi kaola menyampaikan Ucapan Penangguhan Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2022. Yang Berhormat Menteri-Menteri, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Dimuliakan Jurutulis, Yang Mulia Timbalan Jurutulis, pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ رَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ.Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Melalui peluang keemasan ini 'bisaitah' barangkali kaola mengambil kesempatan ini, sukacita lebih dahulu menjunjung kasih yang setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan merafakkan sembah taat setia yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas limpah perkenan melantik kaola selaku Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara sejak bermulanya Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketiga Belas Majlis Mesyuarat Negara pada Tahun 2017 hingga Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Tahun 2022 ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Syukur اَلْحَمْدُ للهِ, dengan izin الله jua persidangan ini telah berjalan dengan lancar dan sempurna di bawah pimpinan yang bijaksana dan cekap Yang Berhormat Yang Di-Pertua dalam memimpin Persidangan Majlis Mesyuarat Negara di Dewan yang mulia ini dengan amat berjaya dengan kerapian kesempurnaan serta kerjasama yang mantap daripada Yang Dimuliakan Jurutulis dan Yang Mulia Timbalan Jurutulis. Kaola dengan tulus ikhlas sukacita menyampaikan ucapan tahniah dan penghargaan yang setinggi-tingginya. Kaola juga tidak lupa menyampaikan ucapan tahniah atas jasa bakti warga Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat yang bertugas dalam suasana yang tenang dan harmoni dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Walaupun kita pada masa ini berkongsi dalam suasana alam bersama COVID-19. Semoga kita semua dalam perlindungan آمين يا رب العالمين Allah jua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dalam menyampaikan Ucapan Penangguhan ini, bahawa kalimat yang lebih bermakna pada kaola ialah kalimat syukur ٱلْحَمْدُ لِلَّٰهِ, dengan izin الله jua maka selesailah Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara ini setelah mesyuarat bersidang selama 7 hari.
ٱلْحَمْدُ لِلَّٰهِ Sehubungan dengan itu, kaola dengan hormat dan sukacita menyampaikan ucapan tahniah dan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Yang Berhormat Menteri-Menteri kerana persidangan ini bersetuju bagi pengeluaran Belanjawan Tahun Kewangan 2022/2023.
Kaola beserta penduduk-penduduk dalam Zon 1 Daerah Belait, merakamkan terima kasih yang sebanyak-banyaknya kepada kementerian-kementerian Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keprihatinan, mengalinga’ menyediakan kemudahan dan merancang demi kepentingan rakyat dan negara dengan memandang jauh ke hadapan bagi mencapai Wawasan Brunei 2035. Diucapkan selamat menjalankan tanggungjawab demi kesejahteraan awam dan negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Sebelum mengundurkan diri, kaola dengan tulus ikhlas memohon kemaafan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Dimuliakan Pehin Jurutulis, Yang Mulia Timbalan Jurutulis dan seluruh warga dalam Dewan ini.
Kaola sukacita mengongsikan dua buah pantun.
Ke Pekan Muara membeli Tenggiri, Udang galah bersama lukan, Mesyuarat Negara kita akhiri, Tersilap tersalah mohon maafkan.
Burung Tempua terbang ke hilir, Hinggap sebentar di pohon jati, Bersua kita pada saat akhir, Terasa sayu di dalam hati.
Sekian sahaja Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih.
وبالله التوفيق والهداية. والسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُYang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput.
Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd. Siput
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
بسم الله الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُdan salam sejahtera. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dengan hormat kaola ucapkan terima kasih atas keizinan untuk berucap dalam Ucapan Penangguhan ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Sepertimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sewaktu merasmikan Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara yang berlangsung pada 23 Rejab 1443 bersamaan 24 Februari 2022 bahawa mesyuarat ini merupakan wadah strategik untuk membahaskan perkara-perkara yang berkebajikan untuk rakyat dan negara untuk membincangkan Rang Belanjawan Negara Tahun Kewangan 2022/2023.
اَلْحَمْدُ ِللهِ, kita telah bersidang dengan semangat, saling menghormati dan saling bersefahaman dan kita telah menyelesaikan kerja-kerja menurut jadual-jadual dan agendanya.
Tahniah kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memimpin sidang dengan penuh bijaksana dan penghargaan kepada Yang Dimuliakan Jurutulis dan Yang Mulia Timbalan Jurutulis bersama-sama dengan seluruh pegawai serta kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat atas bantuan dan pengurusan yang sangat berharga, tulus dan lancar.
Di Dewan yang mulia ini, kaola menaruh harapan agar Jabatan Kemajuan Perumahan mengkaji dengan lebih meluas mengenai usaha untuk mewujudkan lagi kawasan perumahan di kawasan Daerah Belait ini adalah bagi keperluan permohonan Skim Perumahan Negara yang kian meningkat di Daerah Belait dan bagi mengimbangi keperluan di daerah-daerah, mudah-mudahan ia termasuk dalam RKN Ke-12 nanti.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, baginda juga bertitah mengenai kemasukan Pelaburan Langsung Asing ke negara ini membuka peluang pekerjaan kepada syarikat-syarikat tempatan dengan menambahkan hasil pendapatan. Kerajaan perlu mengorak langkah dalam menyediakan berbagai-bagai kemudahan yang diperlukan terutama dalam aspek pembangunan asas demi menggamit pelabur cenderung untuk menanam modal di negara kita. Bukan itu sahaja, kerajaan juga perlu membuka peluang pelaburan bersama syarikat tempatan agar wujud daya saing yang sihat. Usaha ini bertujuan agar negara dan rakyat Negara Brunei Darussalam dapat menikmati kemakmuran dari Pelaburan Langsung Asing. Pendek kata pelaburan asing merupakan pemangkin pembangunan negara.
Dalam ruang yang terhad ini sekali lagi kaola menyampaikan ucapan syabas kepada kesemua kementerian dalam usaha meningkatkan perancangan kementerian masing-masing. Terutama Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan kerana telah merealisasikan rancangan memperkasakan bidang pertanian dengan meningkatkan pengeluaran dari sektor pertanian dan perikanan. Semoga kesemua usaha ini akan terus maju selaras dengan misi dan visi Jabatan Pertanian dalam mempelbagaikan sumber-sumber pertanian dan menjadikan hasil pertanian hasil negara, sara diri dan hasrat negara sebagai food security tercapai.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Akhirnya, kaola memohon ampun dan kemaafan juga kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Yang Berhormat Menteri-Menteri dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Dimuliakan Jurutulis, Yang Mulia Timbalan Jurutulis Mesyuarat Negara dan pegawai serta kakitangan yang bertugas sepanjang mesyuarat ini dijalankan. Yang baik itu datangnya daripada اللَّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى dan kurang elok itu datangnya daripada kelemahan kaola juga.
Untuk akhirnya, kaola meninggalkan Dewan yang mulia ini dengan 2 rangkap pantun yang berbunyi:
Hari ini mengail udang, Hari esok menanam serai, Tujuh hari telah kita bersidang, Hari ini kita bersurai.
Merdu bertingkah alunan suara, Kadang tak sedar tersilap kata, Andai terlanjur patah bicara, Serendah hati keampunan dan kemaafan jua dipinta.
Dengan ini kaola menyokong sepenuhnya persidangan ini ditangguhkan.
Sekian,
وَبِاللهِ التَّوْفِيقُ وَالهِدَايَةِ . وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit.
Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
لا إله إلا الله أنت أستغفرك لذنبي وأسألك رحمتك. اللهم
عندي علما ولا تزغ قلبي بعد إذ هديتني وهب لي من
لدنك رحمة إنك وأنت الوهاب، الحمد لله الذي أحياني بعدما
أماتني وإليه النشور، وأفوض أمري إلى الله إن الله بصير
بالعباد، وحسبنا الله ونعم النصير ولا حول ولا قوة إلا بالله
العلي العظيم
رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ
عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera. Dalam Ucapan Penangguhan ini, kaola dan rakan dan wakil dari Daerah Tutong mengambil kesempatan merakamkan ucapan penghargaan, terima kasih dan tahniah yang setinggi-tingginya kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kebijaksanaan dan ketegasan dalam berjaya mengendalikan persidangan ini berjalan dengan lancar tepat pada masa yang tetapkan walaupun menghadapi masa yang terhad dalam suasana masih mematuhi kawalan keselamatan Standard Operating Procedure (SOP) wabak COVID-19.
Kaola dan rakan juga tidak lupa merakamkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri-Menteri kerana memberi jawapan dan penjelasan kepada soalan-soalan mahupun saranan kepada kaola. Ucapan terima kasih juga kepada Yang Dimuliakan Jurutulis dan Yang Mulia Timbalan Jurutulis, serta pegawai-pegawai dan kakitangan, Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat atas sokongan dan kerjasama yang diberikan ke atas kaola sepanjang Persidangan ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Sebagai kaola mengambil kesempatan untuk mengemukakan persoalan dengan harga pakej menunaikan fardu haji yang sudah meningkat sehingga melebihi $20,000. Bagi bakal jemaah haji yang mendapat Kurnia Tambang Haji sebanyak $3,500 dari kerajaan perlu menambah jumlah yang banyak. Pada suatu ketika dahulu terdapat satu tambang bagi pegawai-pegawai kerajaan yang berkhidmat selama 15 tahun ke atas yang mempunyai kelayakan dasar tertentu untuk memohon tambang yang disebut tambang ke United Kingdom. Sehubungan dengan itu adalah bersesuaian untuk difikirkan semula dialih kepada Tambang Menunaikan Fardu Haji.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Penyakit kanser adalah salah satu penyakit kronik yang menyebabkan kematian di negara ini jika tidak dapat dikesan dari awal. Oleh itu langkah-langkah pencegahan awal adalah pendekatan yang sangat cost effective dalam strategi jangka panjang dalam mengawal penyakit kanser. Disarankan supaya usaha-usaha awal dilaksanakan seperti pendidikan, pengetahuan dan pemeriksaan mengesan kanser hendaklah diperhebatkan tidak putus-putus dari semasa ke semasa. Melalui kempen kesedaran besar-besaran dengan mengadakan pemeriksaan di klinik-klinik di seluruh negara dan pemberigaan awal di sekolah-sekolah.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Pusat Warga Emas di daerah-daerah adalah untuk penempatan warga emas membuat aktiviti harian, tempat berkumpul dan bertukar-tukar fikiran dengan kawan-kawan adalah lebih bermanfaat daripada bersendirian di rumah. Apabila seseorang sudah meningkat tua tidak bermakna ia kehilangan daya hidup dan keinginan untuk bersenang-senang, yang penting orang tua itu dapat terus menikmati setiap hari untuk meningkatkan kesihatan dan mencegah penyakit.
Walau bagaimanapun, jelas bahawa orang tua tidak boleh melakukan aktiviti fizikal yang sama seperti orang muda, aktiviti mereka disesuaikan dengan pembangunan. Sehubungan itu, disarankan supaya ada pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat yang terlatih mengenai aktiviti warga emas ditempatkan di setiap pusat warga emas di negara ini yang mempunyai kemahiran sosial, mengaktifkan minda, kebolehan menghibur dan menyeronokkan, meningkat jati diri dan keupayaan fizikal serta minda dengan pelbagai permainan rohani dan jasmani. Kerana fizikal dan minda yang aktif melambatkan penuaan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Melaksanakan penggunaan infrastruktur kemajuan di Daerah Tutong adalah sangat penting sepertimana juga di daerah-daerah lain. Ke arah ini, kaola dan rakan dari Daerah Tutong bercadang supaya ditubuhkan Autoriti Kemajuan di Daerah Tutong bagi membincangkan rangka kerja mencantikkan beberapa kawasan yang berpotensi umpamanya meluaskan dan memanjangkan jeti lama di depan kedai Pekan Tutong dengan wajah baharu yang boleh menempatkan gerai makan dan pondok rehat untuk menikmati keindahan sungai terutama pada waktu malam.
Memajukan Kawasan berseberangan dengan Sungai Tutong, menempatkan bangunan Bomba Daerah Tutong kepada yang lebih strategik kerana ada perancangan dulunya untuk memindahkannya, mengganti landskap yang cantik, di samping berhampirannya menaik taraf bangunan pasar lama, melebarkan jalan kecil menuju bangunan Tamu Pekan Tutong, membersihkan kawasan 'pasir putih' Telisai untuk menampakkan keindahan yang putih aslinya pasar tersebut. Menaik taraf titian dan kawasan Tasek Merimbun kemajuan lain dan persekitaran yang boleh dibincangkan oleh Autoriti Kemajuan Daerah Tutong apabila ditubuhkan nanti.
Yang Berhormat Di-Pertua. Didapati ramai bekas pelajar peringkat menengah tidak dapat melanjutkan pelajaran atau pengajian diploma kerana tidak mencapai keputusan peperiksaan 'O' Level atau 'A' Level adalah di antara yang menyumbang kepada penambahan jumlah pengangguran kerana sukar untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan tidak mempunyai kemahiran bersesuaian dengan syarikat dan perusahaan.
Sehubungan itu, dicadangkan untuk mengkaji syarat kemasukan yang bersesuaian pelajar di negara ini untuk jurusan kemahiran profesional teknikal, kejuruteraan dalam peringkat NVC, NTC dan OND. Disarankan juga semasa dalam pengajian pula hendaklah diberi pembelajaran keusahawanan, selain disediakan asrama atau pengangkutan bagi yang tinggal jauh. Dengan adanya kemahiran ini nanti membolehkan mereka diterima bekerja atau membina perusahaan sendiri dengan modal bantuan kewangan dalam jumlah bersesuaian dengan saiz perusahan. Kita mahu syarikat ini seterusnya dimiliki sendiri anak tempatan tanpa bergantung pada orang luar yang memilih jalan mudah dan berpuas hati hanya jadi pelabur atau membiarkan orang luar menggunakan nama mereka, walaupun sebenarnya merugikan diri mereka sendiri ke arah nama baik bangsa kita.
Bagi yang ingin bekerja pula dan yang telah menamatkan kursus kemahiran disarankan diberi peluang pekerjaan di Daerah Tutong dengan memperbanyakkan industri dan perusahaan di daerah ini. Bagi mengelakkan berjalan jauh ke daerah lain yang masanya tidak berbaloi dengan kadar gaji sebanyak $500 sebulan, kerana perbelanjaan harian, kenderaan dan makan minumnya saja sudah hampir mencapai sebanyak $500 belum lagi keperluan rumah tangga yang lain.
Kini kenaikan harga barang makanan dan perkhidmatan asas memberi tekanan kos sara hidup malah menjadi masalah utama kepada penduduk yang kurang berkemampuan. Isu ini bukan perkara baharu malah sebelum wabak COVID-19, apatah lagi sekarang kesan dan impak COVID-19 dirasai penduduk di negara ini. Namun sudah ada bantuan Skim Kebajikan Negara (SKN), tetapi prosesnya mengambil masa yang lama adalah satu cabaran yang perlu dihadapi oleh mereka yang kurang berkemampuan ini, kerana tidak mempunyai pekerjaan, ada pekerjaan pun hanya sebagai pelayan, bekerja sendiri atau bekerja di syarikat kecil di kedai dan supermarket yang bergaji kecil dan tidak mempunyai keistimewaan elaun sara hidup seperti kakitangan kerajaan.
Akhirnya lebih dahulu, abiskaola mengambil kesempatan untuk menyembahkan menjunjung kasih yang setinggi-tingginya kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas pengurniaan perkenan baginda mengurniakan Peruntukan Belanjawan 2022/2023 yang baru juga selesai diluluskan dalam Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara. Semoga peruntukan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.
Kaola dan rakan wakil Daerah Tutong, menyokong cadangan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri untuk menangguhkan Persidangan Majlis Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Majlis Mesyuarat Negara.
Akhir kalam, abis kaola memohon maaf kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Dimuliakan Jurutulis, Yang Mulia Timbalan Jurutulis dan pegawai-pegawai serta kakitangan andainya terdapat kesalahan atau kesilapan bahasa, 'suruk langkah' yang kurang elok sepanjang permesyuaratan.
Didoakan semoga apa juga hasil daripada permesyuaratan ini akan mendapat keberkatan rahmat dari الله سبحانه وتعالى jua.
Sekian,
وبالله التوفيق والهداية و السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُYang Berhormat Yang Di-Pertua
Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu.
Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
الْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالصَّلَاةُ
وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ
سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
اَلْحَمْدُ ِلله kita memanjat syukur ke hadrat اللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana dengan Izin-Nya jua kita telah dapat bersidang selama 7 hari dalam Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2022.
Sebelum kaola meneruskan Ucapan Penangguhan, di kesempatan ini kaola dengan penuh hormat mengucapkan tahniah atas ucapan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dalam Ucapan Penangguhan sebentar tadi.
Seterusnya setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua di atas kepimpinan kebijaksanaan Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Yang Dimuliakan Pehin Jurutulis dan Timbalan Jurutulis yang telah memimpin, sepanjangnya Persidangan Mesyuarat ini berlangsung dengan penuh hemah, teratur, lancar serta tertib sehingga mencapai maksud dan tujuan sesuai dengan moto yang digariskan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam:
“...iaitu mengemaskan mana-mana yang belum kemas dan menambah baik mana-mana yang masih perlu diperbaiki...”. Berasaskan moto tersebut, kita semua telah meneliti dan menimbang beberapa Rang Undang-Undang khususnya Akta Perbekalan 2022/2023 dengan teliti dan bertanggungjawab.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kita juga telah sama-sama mendengar inisiatif-inisiatif yang telah dibentangkan oleh kementerian-kementerian dalam mengembangkan keseluruhan sektor-sektor pembangunan, pendidikan, pengangkutan, tenaga, kemudahan awam, kebajikan perkhidmatan awam, kesejahteraan rakyat dan penduduk, perekonomian dan perusahaan dan lain-lain lagi bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk terjaga dan terjamin.
Dalam Dewan yang mulia ini juga kita selaku Ahli-Ahli Yang Berhormat telah pun menyampaikan isu, pandangan dan permasalahan yang dihadapi oleh orang ramai telah pun dijawab oleh Yang Berhormat Menteri-Menteri dengan baik, jelas serta memuaskan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Daerah Temburong merupakan daerah ‘Permata Hijau’ negara, terus menikmati perkembangan dan kemajuan dalam berbagai-bagai bidang. Ini adalah berkat kepimpinan dan kewibawaan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, lebih-lebih lagi sejak pembukaan Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien terus menerima arus pembangunan dan perkembangan yang sangat ketara dan pesat. Beberapa projek pembangunan kemajuan dilaksanakan di daerah ini yang dikendalikan oleh kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkepentingan serta melalui Autoriti Kemajuan Daerah Temburong dan Jabatan Daerah Temburong.
Dapat kita lihat dari beberapa projek yang dirancang melalui Pelan Pembangunan Daerah Temburong yang disediakan sekali gus menjana aktiviti perekonomian, meningkatkan keselamatan dan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk melalui pendekatan whole of nation telah pun dapat direalisasikan. Beberapa contoh perkembangan ini umpamanya membangunkan tapak Labu Square bagi aktiviti perdagangan dan riadah, Pusat peranginan mewah di Kampung Perdayan dan membina restoran di kawasan riadah Bukit Patoi, menaikkan kemudahan taman-taman Negara Ulu Temburong dan Batang Duri.
Manakala di kawasan Pekan Bangar, projek menaik taraf bangunan utama Bumiputera, Bangunan Perniagaan Rakyat Jati, waterfront, Tamu Aneka Selera, menaik taraf jalan raya, pembekalan air bersih dan tidak ketinggalan juga dalam sektor tenaga elektrik, penyambungan kabel ke daerah ini dan menjadikan daerah ini sebagai suri tauladan (role model) bagi pembakaran tenaga elektrik menggunakan tenaga suria (solar). Begitu jua dalam sektor pengangkutan awam yang mesra alam sekali gus mengukuhkan lagi Daerah Temburong sebagai suri tauladan tersebut.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Izinkan kaola menyentuh perkembangan syiar Islam, dakwah dan pendidikan di daerah ini, seperti yang dimaklumi pembinaan sebuah Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan pembinaan semula bangunan Sekolah Menengah Sultan Hassan dalam pelaksanaan termasuklah juga pembinaan Pusat Kegiatan Agama Islam, Sekolah Ugama Senukoh, pembinaan masjid baharu turut diambil perhatian berat.
Dalam memelihara kesihatan dan kesejahteraan rakyat Hospital Pengiran Isteri Hajah Mariam kini telah mempunyai klinik flu tersendiri sejak pandemik wabak COVID-19, perkhidmatan khas paramedik dan perkhidmatan ambulans 24 jam sehari, di samping perkhidmatan pakar perubatan yang didatangkan dari Bandar Seri Begawan.
Kesejahteraan dan kebajikan rakyat sangat diambil berat bukan sahaja oleh pihak berwajib, malah melalui institusi penghulu mukim dan kampung, iaitu Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dan Jabatan Daerah, pertubuhan awam dan kebajikan dapat kita saksikan di daerah ini.
Daerah Temburong terkenal dengan “Satu Kampung dan Satu Produk” yang menghasilkan beberapa produk yang berasaskan makanan, kraftangan, pelancongan dan lain-lain, yang diusahakan oleh Jawatankuasa MPMK yang terdiri daripada biro wanita, belia serta ibu tunggal dan warga emas yang dalam masa yang sama dapat membantu dan memberikan pendapatan sampingan dan meningkatkan perekonomian serta menampung sara hidup mereka.
Dalam kesempatan ini, kaola ingin menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada semua pihak terutama kepada kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya, syarikat-syarikat swasta termasuklah pemimpin-pemimpin masyarakat, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung yang memberi inisiatif dan usaha yang berterusan serta sumbangan yang diberikan selama ini kepada Daerah Temburong dalam sama-sama mendukung dan menyokong apa jua inisiatif dan usaha pihak berkepentingan bagi kemajuan dan pembangunan Daerah Temburong إِنْ شَاءَ اللَّهُ.
kaola pun berharap kepada rakyat dan penduduk di daerah ini khasnya akan menyambut baik dan mengambil kesempatan serta peluang dari projek-projek yang dilaksanakan ikut serta bersama-sama dalam arus pembangunan dan permodenan Daerah ‘Permata Hijau’.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Bagi mengakhiri Ucapan Penangguhan ini marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى supaya raja kita dan keluarga baginda, pembesar-pembesar negara, pemimpin-pemimpin masyarakat dan semua lapisan rakyat dan penduduk di negara ini akan sentiasa mendapat perlindungan dan pemeliharaan الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى selamat dari wabak penyakit khasnya wabak COVID-19 serta selamat di dunia lebih-lebih lagi selamat di akhirat. آمِيْن يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن.
Sebelum mengakhiri kaola ingin meninggalkan beberapa buah pantun:
Tuan puteri pergi berkelah,
Pulang semula sebelah pagi,
Kita bertemu akhirnya berpisah,
Diizinkan الله bersua lagi.
Orang Mentiri mengail tenggiri, Tenggiri dijual dalam pekan, Kami yang pergi mohon diri, Silap dan salah mohon maafkan.
Orang menebang pokok Salam, Daunnya gugur habis ditutuh, Akhir kalam penutup salam, Dipanjatkan doa وَالسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat. Sekarang kita berbalik kepada Ahli-Ahli yang akan membuat kenyataan ataupun membuat penangguhan secara virtual. Kita persilakan Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon.
Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُاَلْحَمْدُ لِلّٰهِ kerana dengan izin-Nya jua Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara telah pun bersidang dengan jayanya.
Kaola turut bersyukur ke hadrat اللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana dengan rahmat-Nya jua persepakatan telah pun dapat dicapai dalam semua perkara khususnya dalam membincangkan dan meluluskan Rang Undang-Undang (2022) Perbekalan, 2022/2023 bagi semua kementerian-kementerian. Semoga dengan berkat serta rahmat اللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى jua akan dapat membolehkan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melaksanakan rancangan pembangunan negara dengan teratur dan berjaya untuk meningkatkan tahap kemajuan ekonomi dan sosial serta menjamin kesejahteraan rakyat Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Dalam sidang yang mulia ini, kaola ingin merakamkan terima kasih yang sebanyak-banyaknya atas peluang yang telah diberikan untuk abiskaola sama-sama mengikuti mesyuarat yang penuh bermakna ini. Meskipun kaola tidak dapat hadir secara fizikal, namun kaola masih tetap mengikutinya dengan secara dalam talian dan masih diberikan peluang untuk turut sama bercambah fikiran dalam menyampaikan pandangan dan cadangan walau ada halangan dan gangguan.
Inilah kecanggihan, kemudahan yang ada pada hari ini. Era teknologi digital yang telah membawa pelbagai perubahan. Tidak hairanlah aplikasi-aplikasi media sosial semakin melonjak popular dalam kalangan anak-anak muda kitani sehingga golongan dewasa dan veteran jauh ketinggalan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola percaya perkembangan teknologi digital akan terus bergerak maju apatah lagi pada saat global mengalami fenomena pandemik COVID-19. Penularan wabak COVID-19 ini sebenarnya membolehkan kita untuk menilai semula dasar yang telah dilaksanakan. Ke arah ini, kaola berharap negara akan menyahut cabaran untuk melakar masa hadapan melalui agenda digitalisasi yang holistik dan mampan. Kita tidak boleh tertinggal dengan perubahan semasa terutama pascapandemik yang menuntut agar kerajaan mempercepatkan proses transformasi digital bagi membina ekonomi yang berdaya tahan selain transformasi digital sistem perkhidmatan awam, sosial, perniagaan dan keusahawanan.
Kaola percaya transformasi sistem kewangan Islam ke arah ini akan membolehkan pengendalian instrumen-instrumen konsep Syariah Islam dengan lebih efektif dan cekap yang akhirnya mampu menggerak dan mengukuhkan ekonomi negara. Seperti ucapan belanjawan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, bahawa negara masih mengalami defisit.
Bertepatanlah dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar semua projek yang disenaraikan untuk dikendalikan dengan berhemah dan berdisiplin dengan berprinsipkan 'Doing More with Less'.
Kaola menyeru agar setiap jabatan mengambil peluang ini untuk turut mengoptimumkan sumber manusia, menambah baik proses kerja pengurusan kewangan yang cekap tanpa menjejaskan prestasi, produktiviti dan kualiti penyampaian perkhidmatan iaitu: “cekap berbelanja, jimat hasilnya, bijak mengurus, cemerlang hasilnya”.
Sebelumnya Ucapan Penangguhan penutup, kaola ucapan terima kasih setinggi-tingginya kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Yang Dimuliakan Jurutulis, Yang Mulia Timbalan Jurutulis, pegawai-pegawai dan pihak yang terlibat.
Sekian sahaja dahulu dari kaola dalam Ucapan Penangguhan ini. Kaola ingin memohon maaf atas segala kesilapan dan kekurangan sepanjang mengikuti persidangan Majlis ini.
Sekian,
وبالله التوفيق والهداية. و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat. Semoga kod BruHealth Pengiran akan cepat berubah menjadi hijau. Kita persilakan Yang Berhormat Awang Haji Tahamit bin Haji Nudin.
Yang Berhormat Awang Haji Tahamit bin Haji Nudin
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Yang Berhormat Menteri-Menteri dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kaola sukacita mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kesempatan kaola untuk memberikan Ucapan Penangguhan di Dewan yang mulia ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola menyokong penuh dan menyambut baik peruntukan Belanjawan yang telah diluluskan di Dewan yang mulia ini. Melalui peluang diberikan ini Kaola ingin dahulu merafakkan sembah taat setia yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas limpah perkenan lantikan kepada Kaola sebagai Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Sepanjang Kaola dilantik sebagai Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara, sudah dapat dilihat banyak kemajuan dari sudut pembangunan di negara ini. Kaola sangat-sangat berbesar hati kerana telah diberikan kepercayaan menyampaikan buah fikiran dalam sama-sama membantu membangun Negara Brunei Darussalam dalam Dewan yang mulia ini.
Mengenai usaha meningkatkan penghasilan produk-produk tempatan yang sedia ada di negara ini, kaola menyeru orang-orang yang terlibat supaya akan dapat meningkatkan hasil produk-produk kampung mereka masing-masing dan berusaha meningkatkan kualiti produk yang dijual kepada para pembeli. Ini termasuklah meningkatkan sokongan kepada Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dalam usaha mengembangkan ‘Satu Kampung Satu Produk’. Pada masa ini, sudah banyak pameran dan promosi produk-produk yang dihasilkan dari kampung masing-masing sesuai perkembangan semasa bagi menjana pendapatan serta membuka peluang pekerjaan kepada warga tempatan selaras dengan Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Sebelum kaola mengundur diri kaola tidak lupa mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memberi peluang kaola bercakap dan memberi pandangan untuk berbincang mengenai Peruntukan Belanjawan Tahun 2022/2023. Semoga semua perbincangan dapat diteliti secara mendalam dan diambil tindakan susulannya sewajarnya. Juga tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan yang tidak terhingga atas agensi-agensi kerajaan dan swasta yang telah menyokong dan membantu menaik taraf pembangunan negara dari segi semua aspek untuk memastikan kesejahteraan rakyat di negara ini amnya.
Dengan ini juga kaola mengambil peluang untuk mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan pemedulian Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sokongan dan kerjasama daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat setentunya telah meningkatkan kualiti perkhidmatan pihak kerajaan ke arah untuk memastikan Negara Brunei Darussalam terus berkembang pesat.
Sebelum kaola mengundur diri izinkan kaola menyampaikan serangkai pantun:
Madah diungkap santun bicara, Pantun dilantun mengusik hati, Salah dan silap tutur bicara,
Mohon ampun seikhlas hati.
Daun selasih permainan budak, Bunga melur berbau wangi, Bertaut kasih bercerai tidak, Panjang umur berjumpa lagi.
Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Sekarang saya persilakan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Syukur ke hadrat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana dengan izin dan rahmat-Nya jua, negara kita ini masih sahaja dapat menikmati keamanan dan kemakmuran serta seterusnya membangun dengan berkat dan daulat kepimpinan bijaksana dan berwawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Kaola dengan penuh tulus ikhlas mengucapkan tahniah yang setinggi-tingginya kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kewibawaan Yang Berhormat Yang Di-Pertua memimpin permuzakarahan sama ada di peringkat Majlis Mesyuarat Negara ataupun di Peringkat Jawatankuasa dapat dijalankan dengan lancar dan memuaskan dalam suasana harmoni.
Terima kasih juga dan tahniah kaola ucapkan kepada Yang Dimuliakan Jurutulis dan Yang Mulia Timbalan Jurutulis serta pegawai-pegawai dan kakitangan yang terlibat yang cekap mengatur perjalanan permesyuaratan kita pada tahun ini baik secara fiizikal mahupun secara maya (virtual). Ini membuktikan kita dapat mengadaptasi penggunaan teknologi bagi memastikan persidangan pada tahun ini dapat sahaja diadakan dan dilaksanakan dengan jayanya, الحمدُ للهِ.
Ucapan penghargaan juga kaola tujukan kepada rakan-rakan sejawatan Yang Berhormat Menteri-Menteri serta Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dengan tulus ikhlas mengetengahkan isu-isu yang menjadi perhatian dan kepentingan rakyat dan penduduk di negara ini dan cadangan atau saranan terutama bagi Jabatan Perdana Menteri dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Segala saranan dan cadangan tersebut akan diteliti dengan mendalam dan holistik mengikut keutamaan, selaras dengan usaha-usaha Jabatan Perdana Menteri untuk mencapai pembangunan yang mampan, berdaya tahan dan untuk kepentingan bagi masa depan negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dalam kesempatan ini, kaola ingin mengutarakan beberapa perkara yang kaola fikirkan penting untuk sentiasa diambil ingatan dan perhatian, selesai sahaja kita bersidang di Dewan yang mulia ini.
Pertama, seperti Ucapan Pengangguhan kaola pada permesyuaratan tahun lalu bahawa Negara Brunei Darussalam mempunyai identiti yang unik iaitu Melayu Islam Beraja (MIB). Dalam hal ini, apa jua perancangan negara mestilah berpaksikan kepada MIB. Identiti ini jugalah menjadikan Negara Brunei Darussalam menjadi satu-satunya negara yang entitinya mantap.
Sepertimana jua titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-32 tahun, tahun 2016. Titah baginda berbunyi:
“...dalam merancang dan bertindak juga memerlukan ‘dasar’ yang jelas, bukan sesuka hati sahaja. Dasar kita di negara ini ialah MIB. Maka semua rancangan dan tindakan mestilah berlandaskan MIB...”.
Dalam hal ini, segala perancangan dasar dan peraturan termasuk dalam pengemaskinian dan pelaksanaan serta penentuan hala tuju akan sentiasa berpandukan dengan konsep Melayu Islam Beraja (MIB) untuk diamalkan dan dilaksanakan dalam sistem pentadbiran kerajaan bagi kesejahteraan negara dan rakyat.
Kedua, mengenai isu yang berkaitan integriti bagi pegawai dan kakitangan dalam perkhidmatan awam. Perkara ini sememangnya diambil serius oleh pihak kerajaan dan sejak dari dahulu lagi kita ini telah mempunyai Peraturan-Peraturan Am 1961, Surat-Surat Keliling yang mengawal selia warga perkhidmatan awam, etika kerja dan sebagainya.
Dalam hal ini saranan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim mengenai ikrar atau lebih kuat lagi sumpah pegawai dan kakitangan kerajaan adalah disambut baik. إن شاء الله pihak Jabatan Perdana Menteri melalui Jabatan Perkhidmatan Awam akan merancang tatacara pelaksanaan yang difikirkan bersesuaian sebagai tambahan kepada peraturan-peraturan yang sedia ada.
Ketiga, mengenai talent retention dalam perkhidmatan awam seperti yang disuarakan oleh Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad. Sepertimana rakan kaola, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II menyatakan bahawa setiap kementerian telah disediakan peruntukan yang besar bagi peningkatan kemahiran kapasiti bagi warga perkhidmatan awam.
Jabatan Perdana Menteri telah dan sedang giat melaksanakan Program Memperkasa Kepimpinan iaitu Civil Service Leadership Pipeline (CSLP) sebagai salah satu subinisiatif di bawah Rangka Kerja Perkhidmatan Awam yang mendukung hasrat Wawasan Brunei 2035 di samping memastikan perancangan penggantian (succession planning) dalam perkhidmatan awam dilaksanakan. CSLP bertujuan mengenal pasti, membangun kompetensi dan mengekalkan pegawai-pegawai yang berkeupayaan, berkualiti dan berkebolehan meningkatkan prestasi organisasi untuk menjadi pemimpin-pemimpin masa hadapan. Program ini adalah usaha berterusan untuk menyediakan dan mempersiapkan para pegawai kerajaan untuk menjawat jawatan-jawatan yang lebih tinggi lagi bagi menjayakan Program Penggantian Dalam Perkhidmatan Awam.
Jabatan Perdana Menteri melalui Institut Perkhidmatan Awam (IPA) akan terus-menerus menyediakan program-program yang bersesuaian selaras dengan analisis keperluan latihan atau training needs analysis. Mengenai saranan untuk diteliti tangga gaji dalam perkhidmatan awam, perkara ini perlu dilihat secara holistik dan difikirkan secara mendalam kerana ia akan memberikan impak kepada kewangan negara dan juga sektor swasta sendiri, malah impak yang menyeluruh kepada masyarakat secara umum.
Pada masa ini kita ni semua menggalakkan orang-orang kita ni khusus bagi para pencari kerja untuk bekerja dengan sektor swasta dan tidak hanya bergantung untuk mencari pekerjaan dengan pihak kerajaan yang semakin terhad. Apa yang penting ialah program atau projek yang strategik untuk dilaksanakan bagi meningkatkan produktiviti warga perkhidmatan awam yang efisien dan efektif dan dapat menyumbangkan hasil kepada kerajaan.
Terakhir yang keempat, keamanan, keharmonian dan kestabilan negara. Jabatan Perdana Menteri melalui kerjasama dengan agensi-agensi keselamatan akan terus bertindak merangka strategi untuk memelihara kestabilan dan mempertahankan kedaulatan negara serta menghubungkan keupayaan pertahanan dan keupayaan diplomatik dan juga persediaan negara dalam menangani ancaman keselamatan. Ini termasuklah dalam meningkatkan kerja-kerja pembanterasan jenayah dan pengukuhan keupayaan agensi-agensi berkepentingan dalam mengendalikan krisis-krisis nasional dan merentas sempadan. Peranan menjaga keamanan dan keharmonian ini bukan hanya terletak di bahu agensi-agensi keselamatan, tetapi juga tanggungjawab kita semua.
Kerjasama Ahli-Ahli Yang Berhormat selaku pemimpin-pemimpin akar umbi, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, serta masyarakat dalam memberikan maklumat bagi membanteras jenayah sangat-sangat dikehendaki dan dihargai kerana maklumat-maklumat tersebut telah banyak membantu pihak berkuasa sehingga beberapa kes jenayah telah dapat dibanteras dan ditumpaskan.
Manakala saranan beberapa Ahli Yang Berhormat mengenai Jabatan Radio Televisyen Brunei, إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ ia akan diteliti mengikut kesesuaian bagi memastikan rancangan-rancangan yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen Brunei menepati cita rasa orang ramai dan relevan. Apa yang penting kaola ingin menekankan bahawa segala rancangan TV dan radio yang hendak disiarkan perlulah berlandaskan mengikut tatasusila kebruneian dan kesesuaiannya sebelum ia disiarkan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sangat mengalu-alukan lebih banyak pandangan bernas daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat bagi sama-sama membantu pihak kerajaan untuk menjana ekonomi, pendapatan negara meningkatkan kualiti perkhidmatan lain.
Bagi mengakhiri Ucapan Penangguhan kaola ini, ingin kaola sampaikan beberapa buah pantun untuk renungan dan serapan jiwa kitani. Sebenarnya pantun-pantun ini sebahagian besarnya sepatutnya kaola sampaikan semasa membuka perbahasan mengenai Peruntukan Jabatan Perdana Menteri dan jabatan-jabatan di bawahnya tetapi disebabkan kaola telah dikenakan Perintah kuarantin (QO) sehingga tidak dapat menyampaikan ucapan mukadimah tersebut. Walau bagaimanapun kaola mengambil kesempatan ingin mengucapkan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada rakan kaola yang mulia dan dikasihi Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II yang telah pun berbesar hati menggantikan kaola dalam menyampaikan ucapan mukadimah dan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Pantun kaola adalah seperti yang berikut:
Limau kapas limau purut, Menanak nasi jangan hangus, Berjimat-jimat nafsu jangan diturut, Biar cangkik jangan sampai putus.
Permata intan sutera berkain, Tilam pualam di atas kaca, It's not about how much we spend, Rather about how much we save for our future.
Oleh itu,
Walaupun harga minyak tinggi melangit, Berjimat cermat mestilah diamalkan, Janganlah jadi apabila mendengar guruh di langit, Air di tempayan habis tumpahkan.
Pengantin perempuan mandi berlangir, Pengantin lelaki berseri muka, Pukulan hadrah gegak gempita, Persidangan kitani sekejap lagi akan berakhir, Jangantah kitani merasa duka,
إن شاء الله rahmat الله sentiasa bersama.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola sudahi Ucapan Penangguhan kaola ini dengan doa:
رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي الدُّنۡيَا حَسَنَةٗ وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ حَسَنَةٗ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ وَأَدۡخِلۡنَا ٱلۡجَنَّةَ مَعَ ٱلۡأَبۡرَارِ يَا عَزِيزُ يَا غَفَّارُ يَا رَبَّ ٱلۡعَٰلَمِينَKaola menutup ucapan persidangan ini.
Sekian, وَبِاللهِ التَّوْفِيقُ وَالهِدَايَةُ، وَالسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan yang setinggi-tingginya atas Ucapan-Ucapan Penangguhan yang telah pun disampaikan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sebentar tadi. ٱلْحَمْدُ لله Persidangan Majlis Mesyuarat Negara kali Kelapan Belas telah selesai dengan selamat dan sempurna.
Meskipun kita masih berhadapan dengan situasi wabak Covid-19, persidangan kali ini juga telah dapat memberikan peluang kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan untuk mengikuti perbahasan dan perbincangan di Dewan yang mulia ini secara virtual.
Dalam kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang setinggi-tingginya dan penghargaan yang ikhlas atas kerjasama yang telah diberikan kerana kita telah dapat melaksanakan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara ini yang telah diadakan selama 7 hari dalam suasana yang penuh harmoni, muhibah dan saling menghormati selaras dengan konsep Melayu Islam Beraja.
Ucapan terima kasih dan penghargaan juga saya tujukan khusus kepada Yang Dimuliakan Jurutulis, Timbalan Jurutulis, Bentara Dewan dan pengiringnya, semua pegawai dan kakitangan termasuk mereka yang ditugaskan dari beberapa buah kementerian dan jabatan termasuk Radio Televisyen Brunei, Jabatan Penerangan dan Kementerian Kesihatan atas usaha gigih dan komitmen tinggi yang diberikan dalam menyediakan pelbagai keperluan logistik sepanjang permesyuaratan yang kita adakan ini.
Saya juga ingin menyembahkan sepenuhnya menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan baginda bercemar duli ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara, pada hari Khamis 23 Rejab 1443 bersamaan 24 Februari 2022 dan seterusnya baginda telah berkenan mengurniakan titah pada majlis tersebut.
Dalam pemerhatian saya persidangan kali ini telah dapat sedikit sebanyak menjunjung apa yang tersirat dalam kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Istiadat Pembukaan Rasmi berkenaan, iaitu sebagai wadah strategik untuk membahaskan perkara-perkara yang berkebajikan untuk rakyat dan negara. Saya kira bertepatan dan seterusnya cadangan dan buah fikiran yang disampaikan di Dewan ini diberikan penelitian lanjut mengenai kesesuaiannya sebagai menambah baik proses, usaha dan insiatif yang telah dan akan dilaksanakan di kementerian-kementerian berkenaan.
Akhirnya, kita turut mendoakan agar mereka yang terkesan oleh wabak COVID-19 dikurniakan kesembuhan sepenuhnya oleh اللّٰهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى, semoga negara kita, Negara Brunei Darussalam yang tercinta ini akan sentiasa selamat daripada segala kemudaratan disebabkan oleh wabak COVID-19 ini serta mendapat rahmat dan perlindungan daripada اللّٰهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى آمِين يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ
Dengan ucapan yang ringkas ini saya kira kita telah pun mengambil masa yang panjang pada pagi ini dan saya mengucapkan banyak-banyak memohon maaf kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat kerana berbuat sedemikian. Maka mengikut Peruntukan 35 (1) dari Peraturan Majlis Mesyuarat Negara, maka Majlis Mesyuarat Negara ini kita tangguhkan ke satu masa yang belum ditetapkan tarikhnya. Walau bagaimanapun, secara positifnya إن شاء الله kita akan bertemu dan berjumpa lagi.
Sekian, وبالله التوفيق والهداية و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
(Persidangan Majlis Mesyuarat Negara ditangguhkan)
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.