HARI KE-2 PETANG
📖 Masa membaca: 80 minit
📊 Bilangan kata: 16,047 kata
25HB FEB 2022
(Mesyuarat mula bersidang pada pukul 2.30 petang)
Yang Dimuliakan Jurutulis
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara bersidang pada hari kedua, 24 Rejab 1443 bersamaan 25 Februari 2022, didahului dengan Doa Selamat.
DOA SELAMAT
Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustapa bin Haji Murat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
اَلْحَمْدُ للهِ, kita bersyukur ke hadrat اللهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى, kerana dengan limpah rahmat-Nya jua kita dapat bersama-sama berkumpul hadir pada petang ini untuk bersidang dalam Majlis Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara. Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita سيدنا محمد صلى الله عليه وسلم, kaum kerabat, para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Dengan rahmat اللهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى jua, pada sebelah pagi semalam, Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara telah selamat selesai disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Majlis ini sepenuhnya ingin menyembahkan menjunjung kasih yang setinggi-tingginya dan menjunjung tinggi atas keberangkatan baginda bercemar duli dan atas titah yang dikurniakan oleh baginda itu. Antara lain, baginda telah menyentuh mengenai berbagai-bagai usaha dan inisiatif kerajaan baginda dalam memeduli hal-ehwal kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini, seperti halnya dengan pelaksanaan Skim Persaraan Baharu pada tahun 2023, Pelaburan Langsung Asing yang telah dapat membukakan peluang-peluang pekerjaan dan menambah hasil pendapatan negara serta usaha-usaha untuk meningkatkan sara diri dalam sektor pertanian, agrimakanan, perikanan dan ternakan.
Keprihatinan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga jelas dilihat dari segi bantuan yang dihulurkan kepada individu dan sektor yang terkesan akibat wabak COVID-19 .
Saya kira Ahli-Ahli Yang Berhormat semua akan dapat memberikan ulasan dan pandangan serta meneliti sepenuhnya kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah disampaikan semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara, dalam membahaskan Usul-Usul Yang Diberi Notis dalam Perkara V.
Saya telah difahamkan bahawa ada beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga akan menghadiri mesyuarat pada petang ini secara dalam talian atau secara virtual oleh sebab keadaan yang dihadapi oleh mereka masing-masing. Ahli-Ahli Yang Berhormat tentu mengetahui dan merasakan bahawa kita masih lagi ada beberapa perkara yang perlu kita selesaikan dengan seberapa segera yang boleh. Maka saya kira kita berpindah kepada perkara yang lain.
Yang Dimuliakan Jurutulis
Perkara IV, Kertas-kertas yang dibentangkan di atas meja. Kertas No. 1 Tahun 2022 oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kaola dengan segala hormat memohon izin kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua untuk membentangkan di atas meja Kertas No. 1 Tahun 2022 iaitu Senarai Perintah-Perintah Darurat yang telah diluluskan dalam tahun 2021 menurut Fasal 83 dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Dimuliakan Jurutulis
Kertas No. 2 Tahun 2022 yang akan dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II
بِسْمِ ٱللَّٰهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, kaola dengan segala hormatnya memohon izin kepada Berhormat Yang Di-Pertua untuk membentangkan di atas meja Kertas No. 2, Tahun 2022 iaitu Anggaran Hasil Dan Perbelanjaan Negara bagi Tahun Kewangan 2022/2023. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sebentar tadi Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah membuat kenyataan untuk membentangkan Senarai Perintah-Perintah Darurat yang telah diluluskan dalam Tahun 2021 menurut Fasal 83 dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam. Manakala Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II telah membentangkan Anggaran Hasil dan Perbelanjaan Negara bagi Tahun Kewangan 2022/2023.
Oleh yang demikian, saya memberikan izin kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang berkenaan untuk membawa dan membentangkan kertas-kertas yang dimaksudkan.
Yang Dimuliakan Jurutulis
Perkara V. Usul-Usul Yang Telah Diberi Notis yang akan dicadangkan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُاَلْحَمْدُ لِلّٰهِ Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم, sahabat dan kerabat Baginda serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman. Kita bersyukur ke hadrat اللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana atas limpah kurnia dan izin-Nya jua kita dapat hadir pada Musim Permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Istiadat Pembukaan Rasmi Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ telah selamat disempurnakan kelmarin oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Dengan itu di Dewan yang mulia ini saya sukacita mencadangkan satu Usul yang berbunyi:
"Majlis ini bersetuju meluluskan satu Usul menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas keberangkatan dan limpah kurnia titah baginda bersempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Majlis Mesyuarat Negara pada hari Khamis, 23 haribulan Rejab 1443 Hijrah bersamaan dengan 24 haribulan Februari 2022 Masihi”.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Sebagaimana yang kita telah saksikan kelmarin titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam itu adalah bernas serta mengandungi banyak pedoman untuk kita jadikan panduan dan rujukan. Ia jelas mencerminkan kebijaksanaan, pandangan jauh dan keprihatinan baginda yang amat mendalam terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.
Sepertimana kita sedia maklum, antara agenda utama persidangan ini pada setiap tahun adalah meluluskan Rang Belanjawan Negara selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia setiap kementerian dan jabatan khususnya pegawai-pegawai pengawal bertanggungjawab untuk memastikan segala perbelanjaan dilaksanakan secara berhemah dan mengikut peraturan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Salah satu perkara yang terus mendapat perhatian Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah jaminan keselamatan sosial khususnya semasa zaman persaraan. Dalam hubungan tersebut, satu kajian berkaitan dengan Skim Tabung Amanah Pekerja telah selesai dilaksanakan oleh pihak Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan إن شاء الله akan mula dilaksanakan pada tahun 2023. Dalam masa yang sama usaha-usaha untuk mempromosikan program-program pengurusan kewangan peribadi dan budaya menabung hendaklah diteruskan.
Dalam usaha ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035, pelbagai inisiatif dan projek telah dan sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan. Kejayaannya memerlukan sokongan dan komitmen padu daripada semua pihak termasuk sektor awam, swasta dan orang ramai. Ia juga memerlukan pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation agar segala projek, dasar dan pembaharuan yang dilaksanakan itu memenuhi keperluan semua pihak. Salah satu strategi ke arah mencapai wawasan tersebut ialah dengan memperkembangkan ekonomi negara melalui kepelbagaian hasil. اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ projek-projek Pelaburan Asing (FDI) yang dilaksanakan beberapa tahun yang lalu sudah mula menampakkan hasil dan إِنْ شَاءَ ٱللّٰهِ akan terus berkembang.
Selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam syarikat-syarikat dan para pencari kerja tempatan terutama lepasan sekolah diseru untuk merebut peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan yang terjana dari projek-projek tersebut dengan sebaik-baiknya.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kemunculan wabak COVID-19 telah menimbulkan pelbagai cabaran baharu dan sekali gus mengubah cara kita berinteraksi, bekerja, berniaga, belajar dan sebagainya. Meskipun sedemikian salah satu yang diperolehi daripadanya ialah kepesatan transformasi digital yang membolehkan kita terus melakukan aktiviti-aktiviti tersebut dalam keadaan norma baharu.
Dalam membantu pihak-pihak yang terkesan, اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ pelbagai inisiatif dan bantuan telah dihulurkan oleh pihak kerajaan mahupun pihak swasta. Ini termasuk bantuan kepada Perusahaan-Mikrokecil dan Sederhana, bantuan kewangan bagi pekerja-pekerja swasta dan bantuan berupa peralatan pembelajaran seperti komputer untuk para pelajar.
Dalam hubungan ini, perkhidmatan internet yang pantas dan reliable adalah penting bagi memastikan tidak ada pihak yang ketinggalan. Kita juga telah melihat bagaimana penularan wabak COVID-19 ini telah menjejaskan bekalan makanan di merata dunia termasuklah negara kita sendiri.
Isu keselamatan bekalan makanan (food security) adalah salah satu isu yang perlu terus diberikan perhatian dan keutamaan kerana ia merupakan keperluan asasi bagi kelangsungan hidup. الْحَمْدُ للهِ usaha-usaha untuk meningkatkan penghasilan dan pengeluaran makanan khususnya dalam sektor pertanian, agrimakanan, perikanan dan ternakan ke arah mencapai tahap sara diri (self-efficiency) dilaksanakan dan إِنْ شَاءَ اللهُ akan mendatangkan hasil yang dihasratkan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Sebelum mengakhiri ucapan saya ini, saya sukacita menyeru kepada seluruh rakyat dan penduduk khususnya warga perkhidmatan awam dan sektor swasta untuk melipatgandakan usaha masing-masing dalam mendukung kepimpinan dan hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035. Marilah kita berdoa ke hadrat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja baginda dan seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam sentiasa dalam keadaan sihat walafiat, aman damai dan sejahtera serta dalam rahmat dan perlindungan الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى jua.
Sekian,
وبالله التوفيق والهداية و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Kita telah mendengar kenyataan daripada Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, sebelum perkara ini kita bukakan untuk dijelaskan saya meminta supaya ada Ahli Yang Berhormat yang suka untuk menyokong Usul yang telah dikemukakan sebentar tadi.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kaola menyokong sepenuhnya Usul yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sebentar tadi Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, telah membentangkan satu Usul bagi menyembahkan sepenuh-penuhnya menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan baginda ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara iaitu pada hari Khamis, 23 Rejab 1443 bersamaan 24 Februari 2022.
Kenyataan Usul itu telah disokong sepenuhnya oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Usul itu begitu jelas sekali dibentangkan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Saya kira adalah sesuai sekarang Usul ini dibukakan untuk dibahas oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Ada beberapa orang ahli yang suka untuk turut serta membahaskan Usul tersebut. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyuarakan harapan supaya kita dapat menyelesaikan perkara ini secepat-cepatnya. Maka, biarlah kenyataan-kenyataan itu tepat dan tidak memakan masa yang panjang.
Maka dengan itu, saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari untuk memulakan perbincangan ini.
Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari
Terima Kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ الْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ. اللهم صلِّ على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد،Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Di Dewan yang mulia ini dengan hormat dan penuh takzim menyembahkan menjunjung kasih yang setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan dan pengurniakan titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara 2022. Daripada beberapa banyak kurnia titah baginda yang sangat signifikan sehinggakan memberikan semangat yang tinggi bagi kaola memetik beberapa titah baginda dalam Usul Menjunjung Kasih dalam permesyuaratan ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Pertama kaola mengambil petikan titah yang berbunyi:
“...Majlis Mesyuarat Negara, sebagaimana pernah beta titahkan, adalah merupakan wadah strategik untuk membahaskan perkara-perkara yang berkebajikan untuk rakyat dan negara....”
Dari petikan titah ini kaola mengusulkan Negara Brunei Darussalam melaksanakan pemerkasaan ekonomi belia melalui latihan kemahiran jaminan pekerjaan. Salah satunya dengan bekerja sendiri menjalankan perusahaan adalah suatu pekerjaan, maka supaya belia muda ini diberikan kemudahan modal perniagaan awal (start-up business) mikro sekurang-kurangnya $30,000.00 hingga ke $50,000.00. Kemudahan kewangan mikro dengan jaminan kemahiran yang diperolehi melalui latihan yang diperolehi di pusat-pusat latihan seperti IBTE, Pusat Pembangunan Belia dan lain-lain. Maka dengan memperkasa belia selaku aset negara adalah suatu langkah masa depan negara, mereka tidak boleh cacat atau susut nilai. Jika aset cacat atau susut nilai, maka itu, bukan lagi bernama aset.
Kaola juga ingin membahaskan perkara kedai runcit yang dikuasai oleh warga asing yang sudah dibangkitkan pada perjumpaan bersama Kementerian Kewangan dan Ekonomi pada tahun 2021 dan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II pun bersetuju dan mengatakan perkara ini adalah masalah nasional. Persoalannya sejauh mana pihak tertentu membuat perancangan bagi mengatasi perkara ini dan bila ia akan dilaksanakan dan bila sepatutnya target pelaksanaan ini berjaya.
Dan seterusnya kaola memetik titah:
“...Dengan kemasukan Pelaburan Langsung Asing ke negara ini, sudah setentunya akan membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada orang-orang dan syarikat-syarikat tempatan. Ini semua memberi faedah signifikan kepada negara, termasuk menambahkan hasil pendapatan...”
Kaola menyokong penuh titah berkenaan bagi negara menerima baik pelaburan-pelaburan asing yang mendatangkan faedah dan manfaat sepertimana kurnia titah di atas. Melalui FDI kita perlu memperkasa perniagaan tempatan yang dikelolakan dan dijalankan oleh pengusaha Brunei.
Kaola ingin mengusulkan supaya pendaftaran syarikat kecil sendirian berhad yang tidak mencapai Akta Cukai Pendapatan Korporat direview semula. Maka kaola mengusulkan supaya sosioekonomi rakyat diutamakan dengan membuat reformasi syarikat sendirian berhad yang tidak mencapai ke tahap Akta Cukai Pendapatan Korporat supaya direview semula supaya tidak direbuti oleh warga asing yang menjadikan bangsa kita terpinggir.
Seterusnya kaola memetik titah yang berbunyi:
“...sementara itu, usaha meningkatkan sara diri dalam sektor pertanian, agrimakanan, perikanan dan ternakan sedang diaktifkan. Beta mengambil maklum bahawa perkara ini sedang dilaksanakan oleh kementerian berkenaan dengan meningkatkan keluaran dari sektor pertanian dan perikanan. Pengeluaran beras tempatan pada khususnya, juga sudah mula menampakkan hasilnya dengan produktiviti peningkatan kapasiti rice milling. إِنْ شَاءَ اللهُ dengan terlaksananya projek ini nanti akan membantu para petani untuk lebih fokus kepada penanaman padi masing-masing...”.
Kaola mengambil kesempatan, penubuhan Persatuan Peladang Pertanian Brunei (PPPB) juga suatu usaha memperkasa agribisnis, maka diusulkan kemudahan pinjaman kewangan modal awal (start - up business) dipermudahkan khusus bagi pengusaha agribisnes, kerana bidang agribisnes adalah suatu usaha yang dianggap oleh agensi kewangan sebagai high-risk business. Makanya usaha memajukan dalam bidang sangat memerlukan sokongan dari agensi-agensi kewangan yang ada.
Petikan titah seterusnya berbunyi,
“Akhirnya, beta berharap kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat supaya bersedia memberikan buah fikiran dan pendapat masing-masing tanpa ragu-ragu dan walang demi kebaikan semata-mata. Adapun negara, memang sentiasa menunggu idea bernas daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat.”
Kita sama-sama menjunjung harapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seperti petikan titah di atas, maka kita jangan mengambil 'resmi daun keladi, ambil resmi padi berat menunduk penuh bertunas'. Cipta 'calak' Brunei. Peneraju agensi kewangan harus 'calak' Brunei yang benar-benar tahu dan memahami keperluan rakyat ke arah memperkasa ekonomi bangsa.
Kita berkawan bukan berlawan, wujudkan solusi berpandukan titah, laksanakan succession planning dalam syarikat GLC, supaya peluang anak Brunei lebih luas mendapatkan pekerjaan.
Titah seterusnya:
“...beta mahu, supaya digunakan peluang ini untuk mengemaskan mana-mana yang belum kemas dan menambah baik mana-mana yang masih perlu diperbaiki. Inilah 'moto' persidangan kali ini. Beta ucapkan selamat bersidang...”.
Mengambil sukut kurnia titah di atas kaola suka mengusulkan supaya rakyat Negara Brunei Darussalam dikurniakan satu anugerah bagi yang menyumbang dalam bidang ekonomi, sedangkan warga asing yang menyumbang ekonomi diberikan status Penduduk Tetap yang tidak bertempoh.
Juga kaola mengambil kesempatan ini mengusulkan supaya Negara Brunei Darussalam mempunyai akses kemudahan pembayaran langsung (direct payment) bagi belia yang ingin berkecimpung sebagai YouTubers.
Di negara kita diketahui banyak YouTubers asing yang mendapat faedah dari aktiviti ini. Peluang pasaran adalah luas kerana dunia maya tiada sempadan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola suka mengambil berkat sempena pada bulan sambutan perayaan Hari Kebangsaan ini, memetik kurnia titah Pemasyhuran Kemerdekaan pada 1 Januari 1984 dan mengambil beberapa perkara signifikan daripada kurnia titah 38 tahun yang lalu. Walaupun titah ini sudah berpuluh tahun tidak akan lapuk dek zaman yang berbunyi:
“...dan bahawasanya Negara Brunei Darussalam adalah tidak pernah menjadi tanah jajahan tetapi mempunyai perhubungan-perhubungan perjanjian yang istimewa dengan United Kingdom sejak tahun 1847 dengan mana kemudian pada tahun 1888 telah dipersetujui bahawa perhubungan-perhubungan luar negeri menjadi tanggungjawab Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Queen bagi United Kingdom of Great Britain dan Northern Ireland...”.
Dari titah ini, menunjukkan kepimpinan terdahulu awal-awal lagi memikirkan kebajikan dan kepentingan rakyat dan generasi penerus bangsa dan dengan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam meneruskan usaha berkebajikan ini.
Dan titah seterusnya berbunyi:
“...dan bahawasanya satu perlembagaan yang digelar Perlembagaan Negara Brunei 1959, telah dimasyhurkan oleh Sultan sebelum beta, iaitu Maulana Sultan Sir Muda Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-28 dan menurutnyalah kerajaan negara ini disusun dan ia adalah menjadi undang-undang yang tertinggi bagi kerajaan negara ini...”.
Perlembagaan 1959 adalah hadiah terbesar kepada bangsa dan Negara Brunei Darussalam yang patut sentiasa kita teliti dan dijadikan panduan dalam usaha memajukan negara dan bangsa.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Sebelum mengundur diri, kaola sekali lagi menyembahkan menjunjung kasih yang setinggi-tingginya atas kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan merafakkan sembah dan doa ke hadrat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى supaya baginda dan ahli kerabat baginda dan rakyat Negara Brunei Darussalam sentiasa dalam rahmat الله yang membawa kepada kebahagiaan فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَبِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ
Sekian,
وَبِاللهِ التَّوْفِيقُ وَالهِدَايَةِ، وَالسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُYang Berhormat Yang Di-Pertua
Sekarang saya persilakan Yang Berhormat Menteri Pembangunan. Khabarnya Yang Berhormat akan membuat kenyataannya secara virtual.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ الْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِياءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dirahmati الله. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memberi peluang kaola untuk menyampaikan sembah menjunjung kasih walaupun tidak dapat bersama secara fizikal pada waktu ini.
Lebih dahulu sukacita kaola dengan penuh hormat dan takzim menyokong Usul yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada menyembahkan menjunjung kasih yang setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan bercemar duli dan pengurniaan titah semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara, pada hari Khamis, 23 Rejab 1443 bersamaan 24 Februari 2022.
Titah baginda sangat jelas memberi ingatan kepada kita semua bahawa persediaan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 yang hanya tinggal kira-kira 13 tahun saja lagi, perlu dirancang dengan rapi dan seawalnya untuk memastikan segala apa jua rancangan dapat dilaksanakan dengan teratur dan berjalan lancar.
Penyediaan dan pelaksanaan infrastruktur di negara ini adalah menjadi tanggungjawab Kementerian Pembangunan yang telah pun banyak dilaksanakan di bawah projek yang dirancang dalam Rancangan Kemajuan Negara. Ini membuktikan pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terus komited ke arah pembangunan infrastruktur di negara ini. Ia telah memberi impak yang besar bukan sahaja dalam menaik taraf kehidupan rakyat dan penduduk di negara ini malahan juga sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, menarik pelabur-pelabur asing untuk melabur di negara ini.
Semua ini untuk memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negara sentiasa berterusan dan terjamin. Penyediaan peta jalan (roadmap) bagi projek-projek yang perlu dimasukkan dalam Rancangan Kemajuan Negara ke-12 seperti yang disentuh di dalam Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah satu kaedah Whole Of Nation Approach dalam memastikan Wawasan Brunei 2035 tercapai.
Kementerian Pembangunan akan sentiasa bersedia berkhidmat dalam mendukung pelaksanaan strategik setiap kementerian dan jabatan yang berkenaan dalam penyediaan pembangunan infrastruktur dan إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ akan sentiasa memastikan ianya dilaksanakan mengikut keutamaan, keperluan dan pemantauan yang rapi mengikut jadual yang ditetapkan.
Di samping itu juga, Kementerian Pembangunan menjunjung tinggi titah baginda mengenai penekanan baginda dalam perbelanjaan kewangan negara hendaklah dibuat secara berhemah dan berdisiplin dengan mematuhi peraturan-peraturan kewangan yang ada dan tidak menggunakan kuasa untuk berbelanja sewenang-wenangnya serta mengikut keutamaan, keperluan, tidak membazir dan dilaksanakan dengan teratur.
Titah baginda ini akan sentiasa menjadi panduan dan ingatan bagi Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya dalam melaksanakan apa jua projek di bawah kementerian ini. إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ, pihak Kementerian Pembangunan akan terus berusaha bagi memastikan peruntukan yang diberikan adalah mengikut keutamaan kementerian dan selaras dengan Pelan Strategik Kementerian Pembangunan 2018-2023. Pihak kementerian juga akan sentiasa mereview dan meneliti semula mana-mana perkhidmatan yang perlu penambahbaikan agar ianya bertepatan dengan keperluan dan espektasi orang ramai. Pada hakikatnya, dalam melaksanakan projek-projek pembangunan infrastruktur ini, tidak semua yang dapat dilaksanakan mengikut apa yang dirancang kerana banyak halangan dan cabaran yang perlu dihadapi. Tetapi melalui pengalaman serta mengambil pengajaran dari projek-projek yang telah dilaksanakan, ianya tidak akan menghalang bagi kita untuk meneruskan apa-apa jua rancangan pelaksanaan projek-projek yang dapat menjamin kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini.
Inilah masanya untuk kita mengemaskan apa yang belum kemas dan menambah baik apa yang perlu diperbaiki seperti yang disentuh dalam titah baginda semalam. Kementerian Pembangunan sentiasa mempunyai minda yang terbuka dan menerima apa jua cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat dan jua daripada orang ramai.
Akhir sekali, kaola ingin menyembahkan sekali lagi menjunjung kasih yang setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas limpah kurnia titah baginda.
Marilah kita sama-sama berdoa semoga segala apa jua usaha yang kita rancang dan laksanakan akan sentiasa mendapat rahmat dan pertolongan dari الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى jua.
Sekian,
وَبِاللهِ التَّوْفِيقُ وَالهِدَايَةُ وَالسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُYang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.
Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيمِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya menyokong sepenuhnya akan usul yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi menyembahkan sepenuh-penuhnya usul menjunjung kasih ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah bercemar duli berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara dan berkenan mengurniakan titah pada hari tersebut.
Titah baginda penuh dengan sifat kasihkan rakyat serta penduduk Negara Brunei Darussalam, berpandangan jauh serta berwibawa dan didoakan jua semoga baginda serta kerabat diraja sentiasa di bawah rahmat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى jua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ marilah kita semua di dalam Dewan yang mulia ini mengucapkan syukur ke hadrat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى atas berkat doa kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerajaan baginda, kitani rakyat Negara Brunei Darussalam terus menikmati penjagaan serta kehidupan yang aman damai walaupun wabak COVID-19 terus menduga kitani dengan pelbagai cabaran.
إِنْ شَاءَ اللهُ dengan berkat doa dan usaha kitani, bersama-sama kita menghadapi cabaran-cabaran ini dengan sebaik-baiknya. اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, antara inti-pati titah baginda ialah mengenai Tabung Amanah Pekerja (TAP). Kita sebagai rakyat haruslah bersyukur mempunyai raja yang memeduli rakyatnya dan menjunjung kasih setinggi-tingginya kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana baginda ingin melihat pelaksanaannya dibuat secara teratur termasuk dengan Pindaan Akta Sistem Teknologi Maklumat serta pemberigaannya.
Menurut Brunei Darussalam Key Indicators pada tahun 2020, ahli-ahli aktif dalam Tabung Amanah Pekerja ialah sejumlah 98,450 orang, iaitu dalam 60% dari sektor swasta dan 40% dari sektor kerajaan. Baginda membangkitkan perkara yang sama Tabung Amanah Pekerja ini pada tahun lepas kerana ia menjadi persoalan umum untuk menjamin ahli-ahlinya yang begitu ramai menghadapi hari persaraan. Perbahasan kita mengenai Perkara TAP dan SCP ini yang dibawakan pada tahun 2018 إن شاء الله pada tahun hadapan kita akan melihat perubahan yang setentunya dinanti-nantikan oleh semua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Isu mengenai Jaminan Makanan atau Food Security serta peningkatan sara diri dalam sektor pertanian, agrimakanan, perikanan dan ternakan juga telah diberi perhatian khusus oleh baginda. Saya mengambil maklum mengenai usaha dalam bidang pendidikan mengenai perkara ini seperti program Agroteknologi di Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) malah di UNISSA juga saya difahami mempunyai sebuah Fakulti Pertanian.
Saya berpendapat usaha-usaha ini bolehlah ditingkatkan lagi pada suatu masa yang sesuai untuk kitani menubuhkan sebuah Universiti Agroteknologi. Ini akan dapat lagi mendukung hasil kitani di dalam jaminan makanan di samping mendukung salah satu priority sector iaitu makanan seperti disebut dalam Brunei Economic Blue Print yang baru dilancarkan. Malah dapat juga mendukung Digital Economy Master Plan negara dalam mengadaptasi Internet Of Thing (IOT) dan Smart Farming.
Dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah $197.8 juta Sektor Pertanian, Perhutanan dan Perikanan ini perlulah diberi perhatian khusus sebagai penyumbang besar kepada ekonomi negara dan ia memerlukan dukungan pakar dan akademik yang bakal dilahirkan dari Universiti Agroteknologi ini. Teknologi dan pendekatan baharu seperti Circular Food System, Degenerative Agriculture, Agroarcheology, fasiliti penyimpan dan logistik yang lebih efisien. Penggunaan drone dalam Agroteknologi, Smart Agriculture dan bermacam-macam lagi. Perkara ini memerlukan dukungan akademi dan profesional. Revolusi Ekonomi Ke-4 tengah merubah dunia dan kitani harus mengaplikasikannya ke dalam jaminan makanan kitani serta sumber-sumber utama yang ada di Negara Brunei Darussalam.
Terakhir sekali, kitani tidak mahu ekosistem hutan kitani dimusnahkan dan tanah ditukar kepada kegunaan pertanian yang tidak sistematik dan terkawal dan pengeluaran makanan yang dipengaruhi oleh perubahan iklim akan menghasilkan pengeluaran tidak menentu. إن شاء الله dengan penubuhan Universiti Agroteknologi ini nanti akan mampu memberi panduan kepada jaminan makanan kitani.
Sekian,
وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Terima kasih Yang Berhormat Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman.
Yang Berhormat Fdr. Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman
بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kaola menyokong sepenuhnya Usul yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi menyembahkan ucapan menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah bercemar duli berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara dan berkenan mengurniakan titah pada hari Khamis 23 Rejab 1443 bersamaan 24 Februari 2022.
Sebelum menyampaikan Usul, hamba Kebawah Duli Tuan Patik ingin merafak sembah ucapan tahniah yang setinggi-tingginya atas kejayaan Kebawah Duli Tuan Patik dan Kerajaan Kebawah Duli dalam mempengerusikan ASEAN 2021 dengan cemerlang dan melimpahkan sokongan yang tidak lekang bukan sahaja kepada rakyat dan negara malahan kepada seluruh Komuniti ASEAN.
Sokongan ini sangat dihargai, dikagumi dan tidak ternilai dalam memperkukuhkan kesiapsiagaan ASEAN. Ampun beribu ampun, dengan segala hormat dan takzimnya bagi mewakili pihak ASEAN Business Advisory Council Brunei dan sektor swasta termasuk MSME’s tempatan, hamba Kebawah Duli Tuan Patik sangat ingin menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Tuan Patik atas sokongan Kebawah Duli Tuan Patik terhadap sektor swasta selama ini. Semoga Kebawah Duli Tuan Patik serta kaum kerabat sentiasa dalam perlindungan dan rahmat اللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى dilanjutkan usia dan dalam keadaan sihat walafiat آمِينَ يَا رَبَّ العَالَمِينَ.
Yang Berhormat Yang Di-Petua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Syukur أَلْحَمْدُ للهِ kerana sepanjang lima tahun kebelakangan ini banyak kemajuan dan peningkatan positif terlihat dalam berbagai usaha dari sektor awam, sektor swasta mahupun sokongan berterusan dari masyarakat yang telah menyumbangkan dan memastikan pembangunan negara selaras dengan hala tuju Wawasan Brunei 2035 kita.
Walaupun kita masih terkesan dengan pandemik COVID-19 ia tidaklah menyekat perancangan pembangunan ekonomi semua pihak untuk mencapai fiskal negara yang berdaya tahan. Ini dapat dilihat melalui pelancaran dan pemberigaan pelan strategik, rangka kerja dan polisi terkini oleh kementerian-kementerian dalam merangka perancang demi perubahan negara yang lebih baik yang ingin dicapai berdasarkan hala tuju Wawasan Brunei 2035.
Kaola ingin merujuk titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam iaitu baginda telah menyatakan bahawa Rancangan Kemajuan Negara ke-11 akan berakhir pada Tahun Kewangan 2022-2023. Ini bererti Rancangan Kemajuan Negara ke-12 yang akan bermula pada bulan April 2023 akan ada mempunyai peta jalan yang menerapkan kaedah Whole of Government bagi projek-projek dalam RKN-12 sebagai usaha untuk memastikan Wawasan Brunei 2035 tercapai.
Jelaslah bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memberikan sepenuh kepercayaan dan harapan yang tinggi kepada semua kementerian untuk bersatu dan bekerjasama dalam melaksanakan projek-projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara untuk mencapai hasil yang optimum bagi semua pihak dengan pendekatan Whole of Government Approach.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kaola ingin mengutarakan saranan yang kaola rasa mustahak untuk dibincangkan dan diteliti melalui persidangan dalam Dewan yang mulia ini, mengenai projek-projek Rancangan Kemajuan Negara ianya seharusnya telah pun dilaksanakan dengan Whole of Government dan Whole of Nation Approach untuk negara mencapai Wawasan Negara 2035 dengan lancar dan efisien seiring dengan jangka masa RKN tersebut.
Sehubungan itu, kaola ingin merujuk titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena menyambut Awal Tahun Masihi 2022 mengenai bangunan kepunyaan kerajaan yang terbiar dan tidak digunakan lagi perlu ditangani secara holistik oleh pihak berkepentingan supaya aset-aset berkenaan dapat dimanfaatkan dan sekali gus untuk mengelak pembaziran. Baginda mengatakan semua kementerian digalakkan untuk melaksanakan kaedah shared-facilities agar perbelanjaan dapat difokuskan kepada mencapai Wawasan Brunei 2035. Ini jelas menggambarkan bahawa pihak kerajaan perlu bekerjasama dengan mengintegrasikan atau berkongsi kemudahan dan aset-aset mereka.
Setakat Januari 2021 terdapat 389 bangunan kosong dan terbiar yang dimiliki oleh pihak kerajaan. Ada juga tanah-tanah yang telah digazet tetapi belum ada sebarang perkembangan walaupun telah lama diberikan. Ini sangat menyedihkan kerana aset-aset dan tanah ini seharusnya telah pun dikembangkan dan boleh memberikan manfaat dan hasil bukan sahaja kepada masyarakat awam bahkan kepada pihak kerajaan sendiri.
Kaola ingin mengusulkan untuk aset-aset yang kosong yang terbiar ini diberikan perhatian khusus dan diperiksa semula tujuan-tujuannya ia dibina, untuk mengelakkan pembaziran aset-aset yang sangat berharga. Salah satu langkah yang boleh dilakukan ialah bagi Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 untuk menggunakan semula bangunan - bangunan tersebut (repurposing) dan digunakan sebagai shared facilities. Ini akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan di dalam Rancangan Kemajuan Negara ke-12 dengan infrastruktur-infrastruktur dan perkhidmatan yang sedia ada seperti air, elektrik, jalan raya boleh menggunakannya bagi mengurangkan perbelanjaan daripada menggunakan tanah kosong yang belum diusahakan dan belum mempunyai apa-apa infrastruktur dan perkhidmatan.
Aset-aset ini boleh dibukakan secara lease atau PPP kepada pihak yang juga berpotensi di sektor swasta. Ia juga menjana hasil yang sangat baik kepada pihak kerajaan dan dapat memberi manfaat kepada pihak-pihak yang berkepentingan. Yang paling penting dalam menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah projek-projek tersebut hendaklah melibatkan Whole of Government Approach. Satu projek melibatkan beberapa kementerian dan bukanlah hanya satu kementerian sahaja.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Terdapat isu-isu yang saya bangkitkan di Dewan mulia ini yang telah melahirkan buah fikiran atau cadangan yang telah dipertimbangkan oleh beberapa kementerian bermula dari penjimatan perbelanjaan negara seperti menjimatkan perbelanjaan kerajaan dengan menggunakan peruntukan yang diluluskan dengan cekap untuk mengelak lebih banyak permohonan Perbelanjaan Tambahan (Supplementary Supply). Pertama sekali, kaola ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kewangan dan Ekonomi atas penerapan fiscal consolidation yang nampak berkesan. Walau bagaimanapun, kaola percaya kita sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan.
Wawasan Brunei 2035 hanya tinggal 13 tahun sahaja lagi, iaitu 2 RKN sahaja yang merangkumi RKN-12 dan RKN-13.
Walau kita melihat beberapa projek bergerak progresif tetapi projek-projek ini masih kekurangan pemantauan dan pelaksanaan yang berkesan.
Terakhir sekali kaola dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sangat berharap bahawa apa yang bakal dibincangkan dan buah fikiran yang disumbangkan di dewan ini akan lebih bernas, bermanfaat dan memberikan hasil positif kepada semua.
Sekian,
وبالله التوفيق والهداية. و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُYang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola berdiri di dewan yang mulia ini bagi menyembahkan sembah junjung kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas kurnia titah baginda semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara semalam 24 Februari 2022.
Kaola menyokong penuh sembah menjunjung kasih Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam dengan sepenuhnya.
Sesungguhnya titah baginda itu amat ditunggu-tunggu oleh rakyat dan penduduk negara. Dalam kesempatan yang keemasan ini kaola sukacita memetik salah satu inti pati titah baginda, iaitu yang antaranya akan kaola sebut di bawah ini kerana yang lain-lain telah pun dan akan disebutkan oleh rakan-rakan kaola yang lain. Baginda telah menitahkan bahawa ekonomi negara masih saja bergantung pada sektor gas dan minyak sambil baginda mengambil maklum mengenai perkembangan positif usaha-usaha yang berterusan agensi-agensi yang berkaitan dalam usaha mempelbagaikan ekonomi negara.
Di sektor minyak dan gas negara kita mengambil maklum bahawa telah ada perancangan yang konkrit dalam proses pembruneian bagi menerajui tadbir urus di sektor tersebut. Perkara ini abiskaola dapati dari sesi muzakarah bersama kementerian yang berkenaan, dan abiskaola amat gembira mendengar proses tersebut masih berjalan dan akan dilaksanakan mengikut fasa-fasa yang telah ditetapkan. Kita berdoa semoga proses tersebut akan terus berjaya آمِينَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ
Sebelum kaola mengakhiri Usul Sembah Menjunjung Kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia, kaola dengan segala kerendahan hati merafakkan doa ke hadrat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى semoga baginda dan seluruh ahli kerabat baginda, kerajaan baginda, rakyat baginda akan dikurniakan kesihatan dan kemakmuran serta kekal qarar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan taufik dan hidayah الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى jua. أَمِيْن يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن
Akhirnya kaola ingin merakamkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan kerana sebelum datang permesyuaratan ini, kaola telah pun diletakkan dalam kod purple tetapi الْحَمْدُ لِلَّهِ apabila kaola diminta semak semula Kementerian Kesihatan dalam masa setengah jam mereka telah berusaha sepenuhnya dan menukar kad kaola menjadi green, syukur الْحَمْدُ لِلَّهِ terima kasih Yang Berhormat dan terima kasih Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan orang-orangnya.
Sekian, وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Awang Haji Tahamit bin Haji Nudin.
Yang Berhormat Awang Haji Tahamit bin Haji Nudin
بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاتهYang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kaola lebih dahulu ingin menyembahkan menjunjung kasih yang setinggi-tinggi kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan dan limpah kurnia titah baginda bersempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuarat Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara.
Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Dewan yang mulia ini sangat bernas dan jelas dan perlu kita junjung, teliti, kaji serta dijadikan sebagai landasan dalam bermuzakarah. Ia jelas mempamerkan bahawa baginda sentiasa peduli terhadap kesejahteraan serta kebajikan penduduk di negara ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kaola menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenaan dengan perhatian oleh pihak kerajaan dan sektor swasta dalam mendepani kadar inflasi yang disebabkan oleh beberapa sekatan perjalanan yang masih dilaksanakan oleh sebahagian negara.
Dalam menangani hal ini kaola mencadangkan akan adanya badan-badan yang menyelia dasar kecukupan dan keselamatan makanan bukan sekadar memastikan kecukupan bekalan tetapi juga memastikan harga makanan selari dengan kuasa beli penduduk di negara ini terutama sekali barangan mentah.
Kaola juga percaya dengan mengimplikasikan konsep edible garden di kediaman penduduk boleh mengurangkan kes sara hidup seharian dan memudahkan akses kepada bekalan segar tanpa penyebaran wabak COVID-19 di pasar-pasar dan pusat membeli-belah.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola seterusnya menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkaitan dengan usaha meningkatkan sara diri dalam sektor pertanian, agrimakanan perikanan dan ternakan yang sedang diaktifkan yang boleh menyumbang kepada kedayatahanan fiskal negara.
Dalam hal ini, kaola percaya peluang-peluang pekerjaan dalam kalangan belia dan graduan akan dapat diperluas dan dapat menurunkan kebergantungan pada tenaga kerja asing. Kaola percaya keterlibatan rakyat dan peniaga tempatan nanti akan dapat menyumbang kepada kemajuan perindustrian dan seterusnya ia menjadi penyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. Kaola juga percaya dengan mengembangkan lagi sektor-sektor ini, bidang keusahawanan juga dapat diperluaskan sebagai memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang ekonomi.
Untuk mencapai hasrat ini Kaola percaya beberapa strategi akan dirangka untuk mewujudkan suasana yang membolehkan sektor awam, sektor swasta, profesional berkolaborasi dengan lebih aktif. Melalui sektor ini juga diharap usaha akan dapat dipergiat untuk meningkatkan pendapatan rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk peningkatan produktiviti dengan memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan terutama latihan semula dan peningkatan kemahiran dalam bidang, agrimakanan, pertanian, ternakan, perikanan terhadap warga belia. Di samping itu Kaola percaya dengan menambah baik kurikulum pendidikan tertiary dan mengkaji program industri semula boleh meningkatkan kebolehpasaran graduan. Manakala dengan pengeluaran beras tempatan yang semakin meningkat, Kaola percaya dengan adanya penggunaan teknologi yang berinovasi tinggi serta pelaksanaan sistem yang holistik akan membantu meningkatkan industri padi dan beras tanpa meminggirkan kesejahteraan dan kebajikan pesawah sebagai tambahan bagi keselamatan makanan, kualiti penuaian padi, proses pengedaran dan beras yang diimport perlulah menerusi juruuukur kualiti tanpa menjejaskan kestabilan harga beras di negara ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kaola percaya titah baginda ini merupakan harapan baginda dalam mengukuhkan lagi kesejahteraan dan kebajikan penduduk negara ini terus terpelihara secara berterusan.
Sekian terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arshad.
Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arshad
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera. Selawat dan salam kepada Rasul Junjungan Nabi محمد صلى الله عليه وسلم suri tauladan sepanjang zaman.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang kaola saya hormati sekalian.
Kaola menyokong sepenuhnya Usul yang dicadangkan Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
الحمد لله titah baginda sungguhnya sangat relevan untuk kita ini semua junjung dan fikirkan kerana ia amat bermanfaat kepada seluruh rakyat dan negara yang mengandungi elemen nasihat dan panduan untuk menuju hasrat Wawasan Brunei 2035.
Kaola menyembah dan menjunjung kasih yang setinggi-tingginya ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Sultan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan dan limpah kurnia titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara pada hari Khamis, 23 Rejab 1443 bersamaan 24 Februari 2022.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua menyentuh kepada RKN-12, satu aspek yang penting dalam pembangunan negara adalah soal perancangan. Lebih-lebih lagi melibatkan pembangunan fizikal negara yang harus dilihat secara strategik dan holistik dari segenap sudut dan melibatkan peranan aktif dari pelbagai pihak untuk memastikan negara mampu menjadi sebuah negara makmur dan berdaya tahan dari segi ekonomi, alam sekitar dan keseimbangan sosial demi menjamin kesejahteraan negara keseluruhannya.
Antara ciri yang penting ialah untuk mengadakan satu instrumen utama bagi menarik pelaburan dengan menjadikan persekitaran yang menjurus kepada investor-friendly yang secara langsung akan dapat membuka peluang pekerjaan kepada graduan-graduan yang sudah menamatkan pengajian mereka.
Dari sudut yang lain juga akan merancakkan lagi pertumbuhan peniaga-peniaga tempatan iaitu Local Business Development. Oleh yang demikian titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang telah memperkenankan pindaan ke atas Perintah Perlembagaan (Prosedur Kewangan) (Pindaan) 2022 yang akan dikuatkuasakan pada 1 April 2022 akan dapat membantu merealisasikan pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Menyentuh sedikit mengenai merealisasikan dengan pelaksanaan hasil kajian Tabung Amanah Pekerja (TAP). Kaola sukacita ingin mencadangkan bahawa adalah diharapkan ia akan menjadi satu penyelesaian yang terbaik yang akan dapat memberikan social security kepada penerima apabila mereka bersara nanti. Sama-sama pentingnya menyusun strategi untuk mendapat kefahaman skim persaraan baharu yang dimaksudkan. Ia juga dapat memberi gambaran bahawa skim persaraan ini dapat memberikan nafas baharu yang lebih komprehensif, inklusif, mampan dan lengkap agar dapat mencapai matlamat yang dihasratkan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Food-Security merupakan antara agenda negara yang diberi perhatian. Ia bertujuan mendayaupayakan semula ekonomi negara di sektor pertanian, agrimakanan, perikanan dan ternakan. Ini termasuk melihat pendekatan fasa pandemik supaya pembukaan semula aktiviti ekonomi akan berjalan dengan selamat dan pengalaman norma baharu diberi keutamaan.
Kita dapat mencapai pelbagai nikmat dan rahmat hasil daripada perancangan dan pembangunan yang teliti. Ini adalah hasil kerja keras pihak perancang dan profesional di negara ini yang menjadi titik permulaan semula semua pengguna fiskal negara yang merangkumi secara menyeluruh dalam semua peringkat kerajaan.
Dalam kesempatan ini kaola ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua perancang dan profesional sama ada dalam perkhidmatan awam mahupun swasta, bagi yang masih berkhidmat atau yang sudah bersara abis kita semua adalah tulang belakang kepada perancangan negara yang dapat dinikmati kita semua pada hari ini.
Akhir kata, marilah kita bersama-sama memajukan negara yang kita cintai ini demi kemakmuran dan kesejahteraan Negara Brunei Darussalam.
Sekian,
وبالله التوفيق والهدایه، و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis.
Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis
Terima Kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
أَلْحَمْدُ لِلّٰهِ kita bersyukur ke hadrat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى atas rahmat dan segala nikmat yang limpahkan ke atas kita dan juga negara kita Brunei Darussalam yang aman damai hingga ke hari ini.
Kaola mewakili Zon 3 Daerah Brunei dan Muara ikut serta dalam Dewan yang mulia ini menyokong Usul yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bagi menyembahkan sembah ucapan menjunjung kasih yang setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan baginda ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara pada hari khamis, 24 Februari 2022, dan atas kurnia titah baginda dalam istiadat perasmian tersebut.
Dengan penuh kesyukuran kaola amat tersentuh hati mendengar titah baginda yang antara lain menyentuh bahawa Majlis Mesyuarat Negara merupakan wadah strategik untuk membahas perkara-perkara berkebajikan di samping berperanan untuk memikir, membahas serta membuat cadangan dan sokongan serta tempat menyampaikan dan menyuarakan idea dan pendapat mengenai perkara-perkara yang berkebajikan untuk rakyat dan negara serta seterusnya menambah baik mana-mana yang perlu diperbaiki melalui Majlis Mesyuarat Negara ini. Ini bermakna bahawa baginda amat prihatin dan memberi perhatian berat terhadap kebajikan, kesejahteraan dan keharmonian seluruh rakyat Negara Brunei Darussalam.
Dalam pada itu, baginda juga mengingatkan dan mengambil peduli supaya kerajaan baginda perlu berhemah dan berdisiplin dalam mengendalikan dan membelanjakan kewangan negara terutama dalam perbelanjaan bagi melaksanakan projek-projek kerajaan bagi kepentingan rakyat dan mempertingkatkan kemajuan negara yang menjurus kepada perbelanjaan hendaklah mematuhi Peraturan-Peraturan Kewangan yang ada sehingga baginda juga memperkenankan pindaan ke atas Perintah Perlembagaan Prosedur Kewangan (Pindaan 2022) dan Peraturan Kewangan 2022 yang akan bermula berkuat kuasa pada 1 April 2022.
Amatlah dihargai dan perlu dipatuhi oleh setiap pegawai yang diberikan amanah. Keprihatinan dan sikap baginda ini perlu dicontohi oleh semua rakyat di negara ini dalam mengawal dan mentadbir kewangan sendiri dalam kehidupan seharian.
Dalam titah baginda juga dengan jelas baginda sentiasa prihatin memikirkan dan mengutamakan kebajikan dan kebahagiaan serta keselamatan rakyatnya dalam apa jua keadaan pun. Terutama, soal kewangan rakyat apabila menjalani kehidupan dalam persaraan melalui Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP). ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ, kerajaan baginda melalui Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama Tabung Amanah Pekerja telah selesai dan sempurna membuat kajian rapi dan hasilnya akan dilaksanakan pada tahun 2023.
Kaola mewakili rakyat amat bersyukur dan menyambut baik serta menanti-nantikan perubahan ini serta berharap semoga perubahan ini akan menggembirakan dan juga semoga isu TAP ini tidak lagi berbangkit dan dipersoalkan berlarutan.
Berhubung dengan pembangunan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan baginda melalui RKN-11 yang akan berakhir pada Tahun Kewangan 2022/2023 amatlah disyukuri bahawa beberapa pembangunan dan kemudahan telah dinikmati oleh rakyat negara ini, ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ.
Dalam hubungan ini, kaola juga melihat dan mendengar Jawatankuasa Tertinggi RKN-11 mempunyai komitmen yang tinggi dan mengadakan beberapa lawatan dari masa ke semasa ke tapak-tapak projek RKN bagi memastikan kelancaran dan perkembangan projek-projek berkenaan serta sentiasa memperkemaskan dan memantau sasaran hasil khusus yang hendak dicapai.
Kaola juga menyambut baik akan RKN-12 yang akan bermula pada bulan April 2023 dan berdoa semoga RKN-12 akan tercapai dan menepati kehendak Wawasan Brunei 2035. Maka, dalam hubungan ini kita sebagai rakyat yang bernaung di bawah pimpinan baginda hendaklah bersyukur kerana dapat menikmati berbagai-bagai kemudahan-kemudahan yang telah dan akan disediakan oleh kerajaan baginda melalui RKN-12 nanti.
Berhubung dengan perkembangan Perusahaan MikroKecil dan Sederhana juga merupakan salah satu sektor penting yang mendapat perhatian khusus dan mendalam oleh baginda. Kerajaan baginda melalui agensi-agensi yang bertanggungjawab terhadapnya telah mengungkayahkan beberapa inisiatif yang bersesuaian bagi membantu memperkasa Perusahaan MikroKecil dan Sederhana termasuk pekerja-pekerjanya supaya terus berfungsi untuk berkembang maju dan bertahan dalam waktu negara dilanda coronavirus.
Bantuan kerajaan baginda ini juga amatlah dihargai dan disyukuri oleh mereka yang terlibat dan juga yang berkenaan. Rakyat juga amat bersyukur di atas tindakan dan langkah tegas baginda terhadap kerajaan baginda dalam melaksanakan kemasukan barang-barang keperluan asasi harian di waktu Negara dilanda wabak COVID-19 yang sedikit sebanyak memberikan impak kehidupan dan keperluan rakyat di negara ini yang didapati ada sesetengah peniaga telah mengambil kesempatan dalam kesempitan dengan menaikkan harga barang keperluan.
Dalam hubungan ini dipohonkan kepada pihak yang berkenaan hendaklah membuat pemantauan yang kerap kali secara menyeluruh ke seluruh premis dalam negara ini bagi memastikan kawalan harga dipatuhi dan bukan hanya secara berkala seperti waktu menjelang bulan Ramadhan dan Hari Raya atau hari-hari kebesaran yang lain.
Akibat wabak COVID-19 juga kegawatan ekonomi negara sedikit sebanyak terjejas. Walau bagaimanapun, negara masih berupaya dengan hasil pendapatan dari hasil minyak dan gas. Beberapa hasil daripada perkembangan hasil sara diri agrimakanan dan pertanian dan juga perikanan serta ternakan yang semakin bertambah maju dan aktif sehingga meningkatkan hasil pengeluaran.
Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta ahli kerabat dan rakyat Negara Brunei Darussalam beroleh rahmat, hidayah serta kesejahteraan yang berpanjangan أَمِيْن يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن.
Sekian,
وَبِاللهِ التَّوْفِيْقُ وَالْهِدَايَةُ وَالسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari.
Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Gelombang kedua dan ketiga wabak COVID-19 telah membawa pelbagai cabaran kepada masyarakat termasuklah syarikat-syarikat yang perlu ‘menggulung tikar’, mereka yang hilang pekerjaan, harga barangan yang meningkat termasuklah masalah fizikal dan juga mental, ketinggalan pelajaran dan lain-lain lagi.
Pada masa yang sama, juga mempercepatkan transformasi digital, membolehkan perkhidmatan kerajaan dan swasta untuk dibuat secara online. Namun ia juga datang dengan cabaran tersendiri apabila jurang kemiskinan semakin ketara bahawa golongan masyarakat yang kurang berkemampuan, mempunyai kesusahan mendapatkan akses peranti dan Internet. Kitani melihat perubahan dari segi program-program yang biasanya dibuat segala fizikal dapat dibuat secara atas talian. Apa yang dapat dipelajari melalui pengalaman ini ialah kitani sudah boleh meneliti kesesuaian sistem pekerjaan yang progresif iaitu remote working atau flexible hours bolehlah diperkenalkan sebagai salah satu pendekatan yang baharu di dalam pekerjaan walaupun wabak ini tidak lagi menjadi satu faktor.
Dalam kesempatan ini, kaola / saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Yang Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas pertimbangan dan pelaksanaan cadangan dan juga tindak balas terhadap isu yang kaola/ saya bangkitkan dalam lima tahun kebelakangan, ia termasuklah mental health line, review dasar belian negara, isu perubahan iklim, isu gangguan seksual di tempat kerja, penggunaan tenaga solar, isu kesedaran bagi kesihatan mental, geran projek bagi belia dan banyak lagi.
Dalam membuat persiapan bagi Permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara, Ahli-Ahli Yang Berhormat juga telah mengadakan beberapa sesi muzakarah bersama kementerian-kementerian dan sewaktu sesi-sesilah dibangkitkan isu-isu lama yang masih belum selesai ataupun belum ada jalan penyelesaiannya. Namun, seperti yang disentuh dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sewaktu Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas untuk menggunakan peluang ini untuk mengemaskan mana-mana yang belum kemas dan menambah mana-mana yang masih perlu diperbaiki.
Sememangnya masih terdapat beberapa isu yang sering dibangkitkan oleh orang ramai yang belum mendapat jalan penyelesaian yang sesuai. Salah satunya ialah mengenai payment gateway iaitu bagi membolehkan orang ramai untuk menerima pembayaran secara online dari luar negara. Ini boleh menggalakkan sektor perniagaan atas talian yang semakin menjadi minat terutama sekali para belia. Diharap perkara ini akan mendapat perhatian yang serius dari kementerian-kementerian yang terlibat memandangkan ia mampu untuk membuka pasaran bisnes yang lebih luas bagi syarikat-syarikat kitani.
Penyertaan dan penglibatan belia yang terhad disebabkan oleh faktor sosioekonomi juga masih juga menjadi satu cabaran. Mereka berisiko dari segi pencapaian akademik, pembangunan minda, masalah sosial, pekerjaan dan terperangkap dalam kitaran kemiskinan.
Isu pengangguran dan juga under employment juga satu isu yang besar apatah lagi bagi para graduan yang masih di bawah ikatan biasiswa yang telah menerima pelaburan yang besar dari pihak kerajaan.
Kaola / saya menyembahkan sepenuh-penuhnya menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kepimpinan dan keprihatinan baginda. Titah baginda menyentuh tentang kepentingan skim persaraan yang baharu bagi membantu keluarga merancang masa depan kewangan mereka dan juga projek-projek pelaburan asing yang telah dilaksanakan untuk terus berkembang dan meningkatkan ekonomi negara ini agar membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga tempatan.
Baginda juga menekankan tentang isu salah guna kuasa dan tidak amanah dan ini adalah satu penyakit yang boleh menular dan merosakkan mana-mana pengurusan pentadbiran apatah lagi mengurangkan kepercayaan orang ramai.
Kaola / saya ingin menekankan lagi sekali kepentingan ketelusan dalam tadbir urus kerajaan dan menghapuskan apa pun jenis penganiayaan. Kaola/saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada para kakitangan kerajaan, pihak swasta dan juga para sukarelawan yang telah bertungkus-lumus menyumbang tenaga dalam usaha mengurangkan penularan penyakit Covid-19 di negara ini. Setentunya kita ini tidak pernah mengalami cabaran seperti ini namun dengan berkat doa, usaha dan juga kerjasama dari semua pihak kita akan dapat melaluinya.
Sekian Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
وبالله التوفيق والهداية، و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin.
Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, terima kasih atas keizinan yang diberikan kepada kaola.
بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد وعلى اله وصحبه أجمعين.dan salam السلام عليكم ورحمة الله وبركاته sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola wakil Zon 1 dari Daerah Belait bersama Yang Berhormat wakil Zon 2 Daerah Belait amat bersyukur dengan ketulusan dan keikhlasan hati juga merafakkan sembah kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi kaola dan masyarakat Zon 1 dan Zon 2 Daerah Belait menjunjung kasih setinggi-tingginya dan menghadapkan sokongan serta taat setia yang tidak berbelah bagi kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola berdua juga sukacita menyatakan sokongan sepenuhnya atas Usul dan ucapan Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri atas Usul menjunjung kasih yang setinggi-tinggi kehadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan baginda ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara pada hari Khamis 23 Rejab 1443 bersamaan 24 Februari 2022 serta dengan limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah Istiadat Pembukaan Rasmi Majlis Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara dan seterusnya kaola menyembahkan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menjunjung kasih setinggi-tingginya dengan sepenuh-sepenuhnya.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola sukacita bersyukur kerana dengan izin اللَّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى jua hamba dan rakan sejawatan kaola dapat menyertai Majlis Mesyuarat Negara bagi tahun 2022 setelah penangguhan yang lalu. Dalam persidangan pada tahun ini juga kita masih berada dalam suasana wabak Covid-19 yang melanda kita dan dunia namun negara kita, Negara Brunei Darussalam dengan izin اللَّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى sebagai Negara Zikir, negara berpegang erat dengan ajaran Islam dengan kesungguhan berusaha dengan tidak jemu-jemu berikhtiar semaksimumnya dan bermunajat serta bertawakal kepada اللَّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى di samping berbekalkan berkat daulat Raja yang dikasihi walaupun penularan Covid-19 masih membimbangkan tetapi atas sikap kerjasama semua pihak dalam menitikberatkan rasa tanggungjawab yang jitu bersungguh-sungguh serta tidak diambil ringan kaola percaya ia dapat terkawal dengan izin إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Mengenai Rang Belanjawan Negara Tahun Kewangan 2022-2023 dan mengenai Peraturan Kewangan yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas Perintah Perlembagaan Prosedur Kewangan (Pindaan) 2022 yang akan bermula berkuat kuasa pada 1 April 2022 adalah Kaola sokong sepenuhnya.
Namun sebagaimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Perdana Menteri Negara Brunei Darussalam agar pihak-pihak berkenaan akan akur dan bersikap prihatin, berhemah dan berdisiplin dalam pengendalian kewangan negara dengan pelaksanaan yang teratur dan bersikap tidak salah menggunakan kuasa berbelanja. Semoga titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan dapat dimanfaatkan sebagai satu peringatan yang murni.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola dari Zon 1 bersama rakan sejawatan Kaola dari Zon 2 Daerah Belait amat bersyukur kepada الله kerana negara kita sekarang menuju ke arah usaha-usaha mempelbagai sumber ekonomi negara mula menampakkan hasil dengan jayanya di samping hasil yang utama negara, iaitu minyak dan gas. Sebagaimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang jumlah eksport refine fuel melalui projek Pelaburan Langsung Asing dari Januari 2021 hingga November 2021 bernilai USD 4.9 bilion dan juga kejayaan Brunei Fertilizer Industry yang terletak di Mukim Liang telah mula mengeksport sebanyak 6,200 tan metrik baja urea pada 3 Februari 2022.
Dalam bidang sumber-sumber utama seperti pertanian, agrimakanan, perikanan dan ternakan menuju peningkatan pengeluaran dan ke arah meningkatkan hasil sara diri. Di samping itu, menjadi harapan para petani yang bersawah padi di kampung-kampung terutama Daerah Belait agar sawah-sawah padi akan mendapat bantuan kemudahan asas dari kementerian berkewajiban dan terus tidak jemu-jemu menjenguk para petani dan seterusnya memeduli bagi menaikkan lagi taraf sawah-sawah padi di kampung-kampung seperti pemeliharaan saliran air dan longkang menuju ke anak-anak sungai bagi mengatasi banjir yang menenggelami sawah-sawah padi khususnya di ladang-ladang padi di Daerah Belait seperti yang pernah berlaku yang sebelum ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola dan rakan sejawatan kaola dari Daerah Belait sukacita mengongsikan beberapa sedutan perutusan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38 tahun 2022 bahawa walaupun negara banyak menghadapi berbagai-bagai cabaran telah dialami namun begitu اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terus berkongsi dengan jentera pembangunan yang menghasilkan perkembangan dan kemajuan berbagai-bagai bidang.
Salah satu projek yang terus berjalan ialah Projek Perumahan Negara yang bertujuan demi kesejahteraan rakyat. Apatah lagi yang benar-benar memerlukan. Abis kaola dari Daerah Belait dan seisi penduduknya merafakkan sembah Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam amat menjunjung kasih yang setinggi-setingginya. Kepada kementerian dan jabatan yang berkenaan di bawahnya tidak akan menyia-yiakan harapan penduduk Daerah Belait agar Rancangan Perumahan Negara di daerah berkenaan akan terlaksana lagi pembangunannya kerana dalam 8 ke 9 tahun yang lalu ini belum lagi ada dibuat pembangunan selanjutnya. Semoga jabatan yang berkenaan akan menunduki sebaik mungkin.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, melalui titah perutusan jua yang dapat kaola petik:
“ اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ dengan siapnya jambatan penghubung Daerah Temburong ia melahirkan banyak manfaat dengan tertubuhnya Autoriti Kemajuan Daerah Temburong dengan merancang berbagai-bagai pembangunan dan kemajuan yang bakal dikecapi seperti bidang pertanian, pembangunan ekonomi, pelancongan, ekopelancongan dan lain-lain. Dalam pandangan kaola, langkah-langkah penubuhan Autoriti Kemajuan Daerah adalah langkah yang tepat yang boleh satu masa nanti dilaratkan Autoriti Kemajuan ini ke daerah-daerah seterusnya supaya setiap daerah mempunyai pembangunan kemajuan yang selaras. Kaola percaya ia tidak mustahil demi kemajuan semua daerah. Yang Berhormat Yang Di-Pertua bagi mengakhiri ucapan kaola dan rakan sejawatan kaola dari Daerah Belait dalam Usul menjunjung kasih ini, kaola mengambil kesempatan sekali lagi merafakkan sembah taat setia yang tidak berbelah bahagi dan ucapan setinggi menjunjung kasih serta sokongan sepenuhnya kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Yang Berhormat Yang Di-Pertua sekian sahaja ucapan daripada kaola dan tidak lupa mengucapkan terima kasih.
وَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُYang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii.
Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kaola juga menyokong sepenuhnya atas Usul Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang telah menyembahkan ucapan menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah bercemar duli berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara dan berkenan mengurniakan titah.
Baginda dalam titah menyentuh tentang Pelaburan Langsung Asing iaitu FDI dan اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, hasil usaha setakat ini telah membagi impak kepada peningkatan aktiviti perekonomian negara dengan mengutamakan penglibatan pengusaha tempatan dan peluang perniagaan dan pekerjaan. Sejak pelaksanaan fiscal consolidation dan tema ekonomi Melabur Untuk Masa Depan (Investing For Our Future), Kaola mengucapkan syabas dan tahniah ke atas semua usaha dan kerjasama jentera kerajaan, sektor swasta dan masyarakat yang terlibat dalam membina ekonomi yang mampan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola juga menyokong segala ucapan yang disampaikan oleh rakan Ahli-Ahli Yang Berhormat pada petang ini dan bersyukur atas sumbangan sektor swasta tempatan dalam usaha meningkatkan keselamatan makanan (Food Security) dan menyumbang KDNK negara serta menyokong perjuangan mengatasi pandemik COVID-19. Jika ada perkara yang sepatutnya kita ini mengambil pelajaran dari wabak ini adalah keperluan kesepaduan dan kerjasama. Merendah diri seharusnya menjadi pendekatan penggerak untuk menghasilkan dasar.
Kesepaduan, kesepakatan dalam pembangunan negara adalah peringatan daripada titah baginda semasa memperingati Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-38. Marilah kita menggunakan resepi pandemik untuk meletakkan negara kita sebagai ekonomi inklusif dengan tujuan sosial untuk generasi yang akan datang.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Cadangan kaola adalah untuk membolehkan industri pekerja kita dibaik pulih sepenuhnya bagi membolehkan keadilan, perlindungan dan kemampanan industri pekerja bukan mengira pekerja tempatan atau pekerja asing, pekerja tetap atau tidak formal tetapi untuk membolehkan keadilan dalam pasaran industri pekerja untuk kedua-dua majikan dan pekerja boleh ditentukan oleh berbagai-bagai sektor utama. Kesesuaian dengan perubahan dan pasaran pekerja dan ekonomi keluar dari endemik, penambahbaikan dalam perundangan industri pekerja yang meliputi semua kerja bergaji tidak kira negara asal. Pastikan latihan minimum atau pembelajaran sepanjang hayat dibina dalam rangka kerja industri pekerja, meningkat proses pentadbiran digital yang end to end dan menguatkuasakan sistem arbitration yang adil antara kedua-dua majikan dan pekerja sekiranya berlaku masalah dalam perundingan. Kaola menyeru kepada jentera kerajaan untuk pertingkatkan kemaskinian polisi yang outdated dan mengubah suai kepada keadaan semasa dengan memberi kesedaran kaedah perusahaan dan sumber tenaga dari segi profesional dan pekerja.
Untuk mengakhiri saya imbas petikan dari Syair Perlembagaan Negara Brunei:
Ilmu itu pelita hati, Dapat mengira untung dan rugi Senang menduga saudara sebati, Panduan memilih elok dan keji.
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu.
Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالصَّلَاةُ
وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ
سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Lebih dahulu kaola merafakkan kesyukuran ke hadrat اللَّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana dengan izin-Nya kita dapat menghadirkan diri dalam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara.
Seterusnya kaola dengan penuh takzim merafakkan sembah menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kelapan belas Majlis Mesyuarat Negara dan berkenan mengurniakan titah. Seterusnya kaola menyokong sama atas usul menjunjung kasih yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri atas keberangkatan baginda dalam Istiadat Perasmian dan berkenan mengurniakan titah semalam.
Sesungguhnya, kurnia titah baginda tersebut telah menggariskan tujuh perkara utama yang antara lain ialah menyentuh mengenai amanah kewangan negara, Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) Rancangan Kemajuan Negara ke-12, keselamatan makanan, impak penularan wabak, harga barangan, kadar inflasi dan usaha negara meningkatkan lagi Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan meningkatkan sektor pertanian, agrimakanan, perikanan dan ternakan.
Semua itu Kaola penuh percaya dan yakin bahawa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mempunyai kepakaran, amalan-amalan yang baik, memikirkan dengan sebaik mungkin dan setulus hati dan kesinambungan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.
Kaola juga penuh percaya Baginda sentiasa terbuka untuk meneroka lebih dahulu yang baik dan kurangnya cadangan dari pelbagai pihak yang memiliki kepentingan yang sama yang boleh membawa manfaat dan memelihara kepentingan negara justeru akan dapat terus mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.
Pertumbuhan dan kelangsungan ekonomi negara juga bergantung pada kadar inflasi yang memberi kesan kepada perbelanjaan segenap lapisan masyarakat untuk menjamin kelangsungan hidup dapat diteruskan di samping menjamin akses kepada penjagaan kesihatan diri yang mencukupi serta memastikan agar kelangsungan pendidikan berjalan dengan cukup berkesan sesuai dengan nada dan rentak kemampuan masyarakat. Semua ini merupakan tulang belakang kepada penggerak Wawasan Brunei 2035 yang memerlukan rakyat supaya sihat sejahtera mental, rohani dan jasmani, berpendidikan dan berkemahiran menyumbang kepada ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli yang Berhormat.
Dalam kesempatan ini kaola berharap rakyat dan penduduk di negara ini akan terus bersatu dan terus berupaya dan diupayakan untuk meneruskan amalan saling membantu yang telah dikukuhkan dengan penularan wabak COVID-19 yang telah berusia lebih dua tahun ini. Dalam kesempatan ini kaola sukacita menyampaikan syabas dan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada semua lapisan barisan hadapan sama ada dari sektor keselamatan, pasukan beruniform, perubatan dan kesihatan dan kesukarelawanan seluruh warga perkhidmatan awam, pihak swasta dan yang lainnya yang telah berusaha segigih harapan melalui penat lelah dan pengorbanan yang tinggi dalam sama-sama membantu pihak kerajaan dan negara. Semoga segala usaha yang diberikan itu akan mendapat balasan الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى dengan setimpal.
Mengenai teknologi, kegigihan pihak-pihak berwajib mengetengahkan kemudahan teknologi digital dan alam maya ke arah matlamat Brunei Digital Economy di samping memastikan integriti keselamatan maklumat dan layanan menggunakannya pihak-pihak berwajib hendaklah sentiasa peka akan keperluan dan jurang yang perlu dirapatkan agar pengguna sasaran dalam pelbagai peringkat umur tercapai. Apa yang penting ialah meneroka inisiatif untuk mewujudkan pembantu digital yang akan memberi khidmat sokongan kepada penggunaan sesebuah perkhidmatan dan kemudahan dalam talian.
Menyentuh mengenai perubahan Tabung Amanah Pekerja (TAP) yang akan dilaksanakan dalam tahun 2023, اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, kita bersyukur ke hadrat الله atas kurnia baginda itu dan menjunjung kasih setinggi-tingginya. Ia merupakan kurnia yang selama ini ditunggu dan sudah sewajarnya nikmat yang diberikan itu disyukuri agar nikmat الله ini akan sentiasa berkekalan sesuai dengan firman الله dalam surah Ibrahim ayat tujuh yang tafsirnya: “Dan ingatlah ketika Tuhan mu memberitahu dengan sejelas-jelasnya demi sesungguhnya jika kamu bersyukur terhadap segala nikmatmu, Aku akan menambah nikmat itu kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur terhadap nikmat itu maka sesungguhnya azab-Ku adalah amat pedih”.
Marilah kita berdoa ke hadrat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى semoga negara kita dijauhkan daripada wabak penyakit dan bala bencana sebaliknya dilimpahi dengan berkat dan kemakmuran yang berpanjangan. Kita berdoa ke hadrat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja sentiasa beroleh kesejahteraan, rahmat, petunjuk serta pelindungan daripada الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى وَبِاللهِ التَّوْفِيقُ وَالْهِدَايَةُ. وَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman.
Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera. الْحَمْدُ لِلَّهِ, kaola menyokong penuh Usul Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dalam kesempatan ini kaola menyembahkan menjunjung kasih setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan baginda seterusnya mengurniakan titah dalam Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara pada hari Khamis, 23 Rejab 1443 bersamaan 24 Februari 2022.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola ikut serta merafakkan syukur ke hadrat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana dengan izin-Nya jua saat ini berkesempatan hadir berada di dalam Dewan yang mulia pada tahun ini. Untuk menunaikan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sepertimana terkandung dalam titah baginda di Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas yang menyentuh baginda berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat supaya bersedia memberikan buah fikiran dan pendapat masing-masing tanpa ragu-ragu dan walang demi kebaikan bersama. Oleh itu, kaola sebagai pemimpin akar umbi mewakili Zon 2, Daerah Brunei dan Muara akan berusaha sedaya upaya bagi melakukan dan tindakan yang terbaik bagi kesejahteraan rakyat dan penduduk.
Majlis Mesyuarat Negara tidak syak lagi berperanan besar dalam memacu pembangunan negara, membincangkan perkara-perkara untuk rakyat dan negara serta wadah strategik membahaskan dan menyelesaikan mana-mana isu yang belum selesai dan memperbaiki apa jua keperluan yang perlu diperbaiki.
Marilah kita sama-sama fokus kepada titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara yang dalam titah baginda untuk persidangan majlis kali ini, yang akan membincangkan tentang Rang Belanjawan Negara Tahun Kewangan 2022/2023 yang sudah ditunduki bersama dengan kementerian-kementerian berkenaan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Belanjawan Negara, bahawa baginda ada mengingatkan bahawa pentingnya melaksanakan secara berhemah dan berdisiplin terutamanya dalam mempertimbangkan peruntukan kewangan dan perbelanjaan negara yang menitikberatkan perbelanjaan berhemah.
Jika dipraktikkan, إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ akan membolehkan negara menjimatkan perbelanjaan yang mampu untuk menabung lebihan pendapatan bagi menampung peruntukan-peruntukan yang lebih bermanfaat. Tanggungjawab bagi pihak yang berkenaan mestilah bijak dalam mengatur kewangan mengikut prosedur yang telah ditetapkan serta perlu jua mempunyai sikap jujur, amanah dan bertimbang rasa serta adil di dalam menetapkan sesuatu keputusan.
Titah baginda juga memfokuskan kepada isu Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan baginda telah mengambil maklum bahawa kajian telah pun selesai dibuat oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama Tabung Amanah Pekerja (TAP) bagi pelaksanaan penuh yang akan bermula pada tahun 2023.
Tentang pindaan akta sistem teknologi maklumat dan termasuk pemberigaan dengan pelaksanaan yang disusun teratur itu akan dapat memberikan kefahaman kepada mereka yang terlibat dalam skim khususnya skim persaraan ini. Pelaksanaan ini merupakan komitmen tinggi kerajaan baginda akan kebaikannya demi masa depan rakyat baginda.
Baginda juga menimbulkan beberapa perkara bagi menarik perhatian majlis supaya tetap fokus kepada perkara-perkara yang besar serta mencabar dan bukannya membawa kita leka dan lupa iaitu seperti kita maklumi RKN-11 akan berakhir pada tahun 2022/2023. Setentunya RKN-12 akan mula menyusul pada April 2023 bahawa pada masa ini Sekretariat RKN di Kementerian Kewangan dan Ekonomi sedang giat menyediakan peta jalan bagi beberapa projek untuk dilaksanakan dalam RKN 12 nanti yang melibatkan kesemua kementerian dalam mencapai usaha sama ke Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga telah menghulurkan bantuan kepada Perusahaan Mikrokecil dan Sederhana yang bertujuan mengurangkan pekerja-pekerja diberhentikan dari bekerja ketika gelombang wabak COVID-19 melanda negara. Titah baginda menekankan tentang bidang pekerjaan ini, bahawa perlulah mana-mana pihak yang berkenaan mengambil perhatian untuk menggerakkan anak-anak tempatan bagi mengisikan peluang yang ada. Jangan biarkan mereka kehilangan pekerjaan walau saat pandemik khususnya golongan pekerja di sektor swasta yang terkesan. Memastikan mereka dapat menerima bantuan kewangan yang dihulurkan untuk kehidupan seharian mereka. Kita mesti mengkaji dengan teliti dan peka untuk memikirkan anak-anak tempatan kita, supaya hidup mereka terjamin pada masa depan. Ini semua tidak patut dipandang dengan sebelah mata sahaja tetapi perlu di pantau lebih dekat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Turut memerlukan perhatian majlis daripada titah baginda bahawa satu lagi perkara yang penting untuk diberikan perhatian ialah kemasukan pelabur asing ke negara ini. Ia akan membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan dan peluang perniagaan kepada para usahawan kita untuk menambah hasil pendapatan termasuklah memberikan banyak faedah kepada negara kita sendiri. Apa yang penting mengenainya, haruslah diceburi secara terbuka, bukan hanya segelintir pihak tertentu sahaja yang dapat merebut peluang tetapi biarlah ramai kerana ramai itu menampakkan adanya kemajuan.
Para usahawan mestilah bergerak mengembangkan perniagaan dan industri masing-masing tanpa terhenti, tidak separuh jalan tetapi perlu menghadapi pelbagai cabaran perniagaan sehingga sampai ke puncak atau sukses. Perlu banyak galakan yang tidak putus-putus dari pihak berkenaan kepada usaha sektor pertanian, agrimakanan, perikanan dan ternakan. Perkara tersebut mestilah sentiasa terlaksana kerana ini adalah satu keperluan negara.
Kaola ingin mengusulkan dalam Majlis Mesyuarat Negara ini serta semua pihak di dalam Dewan ini supaya lebih fokus memeduli semua permasalahan rakyat serta penduduk. Kita hendaklah mengambil perspektif yang benar-benar diyakini dan dapat menolong memajukan kehidupan mereka. Apa pun isu atau permasalahan kita tangani ia dengan baik melalui perundingan serta persetujuan bersama. Apa yang penting dari sekarang adalah fokus kepada persidangan. Kalau hari ini kita ini merancang sesuatu, hari ini juga kita berkata sesuatu dan menjanjikan kepada rakyat tentang sesuatu tetapi hari inilah kita menjanjikan tetapi hari inilah kita didengar oleh seluruh rakyat yang menantikan sesuatu yang terbaik dari kita semua dalam persidangan ini. Maka dari itu, tunaikan apa yang diperkatakan.
Isu kenaikan harga barang turut disentuh yang mendapat perhatian baginda. Begitu juga aduan dari pelbagai pihak, pemedulian baginda akan kenaikan harga barang oleh peniaga sewenang-wenangnya, supaya pihak berkenaan akan dapat memantau tentang kebenaran yang diberikan. Berlakunya kenaikan harga barang keperluan harian akan menambah kesulitan ke atas mereka yang berpendapatan rendah. Apatah lagi bagi mereka yang bekerja sendiri yang kadangkala ada yang tiada menerima pendapatan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Baginda juga menyentuh moto Majlis Mesyuarat Negara ini iaitu mengemaskan mana-mana yang belum kemas dan menambah baik mana-mana yang perlu pembaikan, merupakan kunci utama ke atas rancangan, komitmen, tindakan dan outcome oleh semua pihak dalam melaksanakan urus tadbir yang efisien dan efektif yang menjadi tanggungjawab kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Akhirnya kaola ingin sama-sama menyembahkan menjunjung kasih yang setinggi-tingginya ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas titah baginda yang amat jelas dan menunjukkan pemedulian kebijaksanaan baginda yang inginkan kesejahteraan dan kemakmuran semua lapisan rakyat.
Sekian,
وبالله التوفيق والهداية. و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Sebelum saya menjemput 3 orang ahli lagi untuk memberikan pandangannya mengenai Usul ini, saya ingin mengingatkan bahawa suhu dalam Dewan ini semakin rendah dan kita telah pun berada dalam Dewan ini lebih kurang 2 jam setengah. Jadi, saya minta kalau sekiranya Ahli-Ahli Yang Berhormat yang 3 orang itu akan dapat memendekkan ucapan masing-masing supaya kita akan dapat menyelesaikan Usul ini dengan sempurnanya petang ini juga. Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit.
Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
بسم الله الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالصَّلَاةُ
وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ
سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera dan selamat petang.
اَللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى, أَلْحَمْدُ لِلهِ, syukur ke hadrat, dalam Usul menjunjung kasih ini, kaola mewakili dari Zon 1 dan 2 Daerah Tutong, menyokong penuh Usul daripada Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Dalam ruang masa yang diberikan ini, kaola dan rakan wakil Daerah Tutong menyembah dan menjunjung kasih setinggi-tingginya ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan baginda dan seterusnya mengurniakan titah dalam Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara pada hari Khamis, 23 Rejab 1443 bersamaan 24 Februari 2022.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola dan rakan wakil Zon 1 dan 2, Daerah Tutong, turut serta merafakkan sembah syukur ke hadrat الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana dengan izin-Nya juga, dalam suasana dunia masih dilanda coronavirus tidak terkecuali negara kita juga menghadapi gelombang ketiga wabak COVID-19, yang kini semakin tinggi kes jumlah jangkitannya. Namun negara kita menghadapi dengan penuh tanggungjawab yang jitu dan bersatu padu, memerangi virus ini atas kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menerusi beberapa kementerian terutama Kementerian Kesihatan. Kini semua rakyat dan penduduk menerima 95%, 2 dos vaksinasi dan 50%, 3 dos vaksinasi secara percuma. Mudah-mudahan dos ketiga secepatnya sampai kepada sasarannya 90% ke atas.
Selain itu, sangat dijunjung tinggi ialah kerajaan baginda telah menghulurkan bantuan kewangan kepada Perusahaan Mikrokecil dan Sederhana dan juga pekerja sektor swasta untuk mengurangkan pemberhentian pekerja atau terjejas kelangsungan hidup seharian. Dalam kesempatan ini, tidak lupa kaola dan rakan wakil Daerah Tutong menyampaikan ucapan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada para pegawai, para doktor, kakitangan dan frontliners dan siapa juga yang terlibat menangani gejala wabak COVID-19 ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Dalam titah baginda ada menyentuh mengenai Rang Undang-Undang Belanjawan Negara Tahun Kewangan 2022/2023, supaya setiap perancangan strategik kementerian dan jabatan diharap dikendalikan dengan penuh berhemah dan berdisiplin mengikut keutamaan dan keperluan.
Dalam perkara ini, kaola dan rakan wakil Daerah Tutong menjunjung tinggi dengan sepenuhnya kerana ada beberapa perancangan kemajuan perlu diutamakan umpamanya mencari kawasan padi di Daerah Tutong supaya selari untuk sara hidup negara bagi menyokong Projek Padi Kandol Daerah Belait, dan begitu juga keutamaan terhadap sebahagian jalan utama di Daerah Tutong demi kesejahteraan dan keselamatan penduduk, umpamanya pengguna jalan raya Bakuru dan Jalan Keranching Mukim Rambai yang sejak sekian lama sering dilanda banjir berulang-ulang belum dapat diselesaikan. Begitu juga pembinaan Sekolah Vokasional Daerah Tutong dan pembinaan penghadang tebing susur di pantai supaya diambil perhatian akan keutamaannya.
والحمدُ لله, atas keprihatinan dan pemedulian baginda yang tidak kendur-kendur, kerajaan baginda telah melaksanakan projek pencegahan banjir di beberapa kawasan Daerah Tutong kini menampakkan hasilnya. Sebahagian dari kawasan yang dulunya sering dilanda banjir, kini sudah jarang berlaku. Apabila siapnya beberapa benteng penghadang banjir dan dua culvert tinggi laluan air banjir digunakan di Mukim Tanjung Maya, kalau banjir pun tidak memakan masa yang lama. Kini ada dua jambatan baharu sedang dalam proses pembinaan di Kampung Bukit Udal dan Kampung Sungai Damit dan penduduk Daerah Tutong yang menggunakan jalan utama sebagai perjalanan harian bersyukur kerana jalan lama dari Kampung Keriam hingga ke Kampung Kupang sudah sebahagiannya dinaik taraf dan juga dibaik pulih secara berperingkat-peringkat.
Kaola dan rakan wakil Zon 1 dan 2 Daerah Tutong mengharapkan dalam RKN-12 ini, segala apa juga projek kemajuan yang belum selesai atau perancangan kemajuan yang baharu di Daerah Tutong dapat dilaksanakan dan diperbincangkan bersama dengan kaola akan prosesnya.
Seterusnya baginda mengharapkan Ahli-Ahli Yang Berhormat supaya memberikan buah fikiran dan pendapat masing-masing tanpa ragu-ragu dengan memberikan idea yang bernas. Sehubungan titah baginda ini, kaola dan rakan wakil Daerah Tutong akan sedaya upaya menunaikan hasrat baginda dengan rasa penuh dedikasi dan tanggungjawab memberikan pandangan, pemikiran serta kerjasama dengan mana-mana jua kementerian demi kemajuan negara dan kesejahteraan penduduk. Tambahan lagi, kaola dan rakan sebagai pemimpin akar umbi yang berdamping dengan anak-anak buah mukim dan kampung sering menerima berbagai-bagai pemikiran dan aduan. Akhirnya, kaola berdoa, semoga negara kita sentiasa dalam aman makmur dan bebas daripada cengkaman wabak COVID-19 serta sentiasa dalam perlindungan الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى.
Walau bagaimanapun, kehadiran wabak COVID-19 adalah sebagai suatu dugaan atau ujian untuk kita bagaimana mengatur tadbir urus hidup secara norma baharu. Kini rakyat negara ini harus membiasakan diri iaitu kelangsungan hidup dengan fasa endemik agar aktiviti bidang pendidikan, keagamaan, ekonomi dan pentadbiran negara tidak terjejas akibat wabak COVID-19. Kesimpulannya, semua perkara yang terkandung dalam titah baginda menunjukkan pemedulian, kepimpinan dan kebijaksanaan baginda yang inginkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan penduduk negara ini. Didoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan kerabat diraja sentiasa sihat sejahtera serta sentiasa dalam perlindungan الله سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى.
Sekian,
وَبِاللهِ التَّوْفِيْقِ وَالْهِدَايَةِ، وَالسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan, Yang Berhormat Awang Haji Umarali bin Esung.
Yang Berhormat Awang Haji Umarali bin Esung
Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola menyokong penuh Usul Yang Berhormat Pehin Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bagi menyembahkan ucapan menjunjung kasih yang setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang telah bercemar duli berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara.
Kaola menjunjung kasih setinggi-tingginya atas titah baginda terutama sekali dalam soal mentadbir urus kewangan negara secara berhemah dan berdisiplin. Dalam masa yang sama, memberi penekanan di dalam menggerakkan pembangunan negara agar lebih teratur serta memberi manfaat kepada negara dan rakyat. Ini termasuklah dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat yang terkesan disebabkan wabak COVID-19.
Sehubungan dengan itu, kaola berharap di dalam rancangan peta jalan RKN Ke-12 yang akan bermula pada tahun 2023, usaha-usaha ke arah memperkasa ekonomi masyarakat melalui skim bantuan Perniagaan Mikrokecil Dan Sederhana (PMKS) dapat dilaksanakan di peringkat nasional. Ini termasuklah memperluaskan skop perniagaan norma baharu yang memberikan manfaat kepada semua golongan termasuklah memperkenalkan inisiatif-inisiatif seperti mempelbagaikan bentuk bantuan pinjaman perniagaan tanpa faedah kepada perusahaan bumiputera baharu dan juga yang lama. Menyediakan ekosistem perniagaan yang lebih menarik serta lengkap dan terkini sama ada di kawasan bandar mahupun di kawasan kampung. Menggerakkan agenda pembangunan negara dengan idea yang baharu bagi mewujudkan peluang perniagaan yang lebih menarik, memberi keutamaan kepada produk-produk keluaran tempatan sebagai pilihan dan dalam masa yang sama memperkenalkan sistem perniagaan berkonsepkan Islam sebagai asas mewujudkan ekonomi yang lebih dinamik dan penuh keberkatan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola juga tertarik dengan titah baginda berkenaan dengan jaminan makanan negara semasa wabak COVID-19 banyak memberikan kesan terutama sekali kepada sumber makanan di Negara Brunei Darussalam. Dalam perkara ini sudah tiba masanya usaha padu ke arah meningkatkan hasil keluaran produk-produk makanan tempatan terus dilaksanakan, ini termasuklah mengemaskinikan sebagai permohonan tapak seperti tanah tumpang sementara (TOL) kepada bumiputera untuk tujuan pertanian atau tapak untuk memulakan perniagaan.
Mewujudkan skim kemudahan perniagaan yang berkonsepkan perkongsian bagi mengurangkan kos operasi serta memberi kemudahan dan bantuan kepada peniaga bumiputera meningkatkan hasil produk seperti memudahkan skim taruh kongsi, mesin kongsi dan sebagainya.
Memperluaskan program-program dan projek-projek khususnya dalam memperkenalkan teknologi baharu bagi menghasilkan produk-produk makanan, memproses dan sistem pemasaran yang lebih luas seperti menghasilkan produk-produk makanan sajian beku yang kekal dan bermutu tinggi.
Dengan ini, hasrat ke arah untuk meningkatkan hasil sara diri negara akan tercapai sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan produk-produk yang diimport di luar negara seperti yang ada pada masa sekarang ini.
Sekian,
وبالله التوفيق والهداية و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Sekarang kita persilakan Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon.
Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدُ للهِ رَبِّ العَالَمِينَ والصَّلاةُ والسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ
الأَنْبِيَاءِ وَالمُرْسَلِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.
Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua, dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera. اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, dengan memanjatkan syukur ke hadrat الله سبحانه وتعالى dan atas limpah dan kurnia-Nya jua, maka kaola dapat bersama-sama dalam sidang yang mulia bagi menyokong penuh Usul yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi menyembahkan sembah ucapan menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar `Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah bercemar duli seterusnya mengurniakan titah ketika Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola amat menyanjung tinggi akan nasihat, mandat dan amanat yang telah dititahkan oleh baginda dalam memikir dan merancang perkara-perkara strategik yang memberi tumpuan kepada aspek pengurusan kewangan negara, Rancangan Kemajuan Negara dan mengembangmajukan ekonomi negara.
Kaola yakin dan penuh percaya usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan bersama agensi-agensi yang berkepentingan telah menampakkan hasilnya. Kesemua ini adalah demi menjamin kestabilan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. Justeru, kaola menyambut baik seperti apa yang telah dititahkan oleh baginda mengenai pengkajian semula Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan akan dilaksanakan sepenuhnya pada awal tahun 2023. Apa yang diharapkan nanti ialah suatu perubahan yang positif yang boleh memberikan harapan baharu kepada jaminan hidup yang lebih baik bagi bakal pesara yang rata-rata bergantung harap pada TAP dan Elaun Pencen Tua.
Dalam pada itu juga, kaola rasakan pengetahuan dan kemahiran dalam pengurusan kewangan peribadi adalah penting demi menjana kestabilan dan kesejahteraan hidup. Maka, atas asas ini pihak kerajaan telah pun memperkenalkan kursus pengurusan kewangan peribadi bagi bakal pesara agar bakal pesara bijak dalam mengurus dan mengawal kewangan mereka. Adalah dicadangkan agar kursus kewangan peribadi ini dilaksanakan secara mandatori kepada pegawai-pegawai kerajaan yang baru berkhidmat bagi memberi kemahiran dan kesedaran akan kepentingan dengan pengurusan kewangan peribadi. Bahkan kursus ini boleh saja diperkenalkan dalam program sivik bagi graduan-graduan yang tamat pengajian.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Menyentuh mengenai Rancangan Kemajuan Negara ke-12 yang akan bermula pada bulan April 2023, kaola berharap rancangan-rancangan yang akan dilaksanakan dalam lima tahun ke hadapan ini bukan hanya sekadar bisnes (as usual) bahkan menerapkan satu belanjawan menyeluruh sebagai sebuah negara yang maju ke hadapan dalam pasca COVID-19 ini termasuk menjelajahi ekonomi baharu merangkumi ekonomi digital, ekonomi industri 4.0 bahkan pendigitalan ekonomi negara boleh dilaratkan kepada sistem kewangan Islam yang mampu memainkan peranan besar dan sebagai satu instrumen bagi menyeimbangi ekonomi negara, sebagai contoh, sedekah wajib seperti zakat memainkan peranan dalam membantu ekonomi negara di bawah Strategi Jaminan Sosial yang setiap tahun hampir belasan juta telah diagihkan kepada Golongan Asnaf Fakir dan Miskin. Harapan kaola adalah supaya diberi penekanan terhadap sedekah voluntari yakni secara sukarela yang memang dituntut dalam Islam seperti wakaf dan sedekah jariah. Seperti juga instrumen kewangan Islam iaitu harta-harta baitulmal dan berunsur amanah, khairat seperti fidyah dan kifarat sewajarnya diuar-uarkan.
Kaola berharap perkara ini dapat diambil serius yang jika instrumen kewangan Islam tersebut dilaksanakan secara teratur menerusi ekonomi digital akan memberikan kesan positif dalam ekonomi negara sebagai usaha memastikan Wawasan Brunei 2035 dapat tercapai. Semoga apa yang kaola sampaikan ini dapat difikirkan dan diterima baik sebagai satu cadangan penambahbaikan. Sekian sahaja Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
وبالله التوفيق والهداية، و السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُYang Berhormat Yang Di-Pertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat. اَلْحَمْدُ للهِ Usul yang telah dibentangkan. Saya persilakan pula Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ kaola terlebih dahulu mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih banyak-banyak atas kesempatan yang diberikan ke atas kaola untuk berucap secara ringkas sebagai menyokong Usul Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Usul menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan bercemar duli dan mengurniakan titah baginda bersempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara pada hari Khamis, 23 Rejab 1443 bersamaan 24 Februari 2022.
Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam itu sesungguhnya amat berwawasan dan penuh hikmah mengandungi nasihat dan pengamatan tajam serta pandangan jauh baginda sebagai payung negara.
Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga tersirat peringatan yang mencerminkan dengan jelas keprihatinan dan kebijaksanaan baginda dalam memastikan kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam akan sentiasa dipelihara dan terjamin terutama dalam negara menghadapi dan menangani cabaran masa kini khususnya musibah penularan wabak COVID-19 dengan hakikat kehidupan dengan cara yang baharu.
Jadi, sukacita kaola menekankan tiga perkara titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seperti berikut:
-
Baginda menekankan pentingnya pelaksanaan program dan projek jabatan dan kementerian itu akan menjurus kepada memastikan sumbangan substantif kepada pembangunan ekonomi termasuk penarikan Foreign Direct Investment (FDI), Joint Venture dan sebagainya. Peningkatan hasil pendapatan termasuk food security sama ada secara off shore mahupun local atau membuka peluang-peluang pekerjaan berkualiti kepada anak-anak tempatan, memastikan keselamatan dan keharmonian negara serta merangsang peningkatan kemahiran dan produktiviti dan mengutamakan aspek pematuhan kepada peraturan-peraturan kewangan yang berjalan dalam memastikan perbelanjaan negara dikendalikan dengan penuh integriti, berhemah dan berdisiplin.;
-
Baginda juga bertitah mengenai kajian ke atas Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) yang telah selesai dijalankan dan إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ akan mula dilaksanakan pada tahun 2023. Ini jelas mencerminkan pemedulian dan pemerhatian baginda agar rakyat dan penduduk negara akan dapat menikmati kesejahteraan dan kehidupan yang mampan setelah bersara nanti.;
-
Baginda bertitah mengenai Rancangan Kemajuan Negara Ke-11 yang akan berakhir pada Tahun Kewangan 2022/2023. Sehubungan itu, peta jalan bagi projek-projek sedang giat disediakan untuk dimasukkan dalam Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 dengan menerapkan kaedah Whole of Government dalam usaha bagi mendukung pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Jabatan Perdana Menteri akan senantiasa mengukuhkan lagi tadbir urus atau Good Governance di semua peringkat dan sektor bagi memastikan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai adalah terbaik, efisien, efektif dan yang penting ialah mesra rakyat. Ini termasuklah penggunaan teknologi maklumat yang luas dalam perkhidmatan awam dalam memastikan perkhidmatan kepada orang ramai terutama semasa negara menghadapi wabak COVID-19 ianya masih saja dapat disalurkan.
Ekonomi negara tidak terkecuali daripada terkesan dengan ketidaktentuan pasaran dunia berikutan penularan wabak COVID-19. Perkara ini akan terus memberikan kepada hasil dan peruntukan Belanjawan Negara setentunya ia akan mencabar perancangan kita untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan atau sustainability dan imbangan fiskal. Untuk itu, kita semua terpanggil untuk menjadikan sektor awam agar lebih cekap dan berkesan selain pengemaskinian dasar dan peraturan inisiatif lain yang sedang dilaksanakan oleh sebuah agensi kerajaan. Dalam jangka pendek ini kita perlu mengawal imbangan fiskal negara di samping memastikan ekonomi akan dapat tumbuh secara kukuh dan konsisten. Justeru, kita perlu kepada pendekatan bersepadu (Whole of Nation) dan Whole of Government Approach yang baginda titahkan. Usaha-usaha ke arah ini hendaklah digembleng bersama oleh sektor kerajaan dan swasta serta seluruh rakyat dan penduduk. Kita ini semua memainkan peranan yang sama mustahak untuk mengayuh sama-sama mengharungi lautan yang bergelora untuk mencapai matlamat yang sama.
Dalam kata lain sektor kerajaan dan swasta serta masyarakat negara ini penting untuk berganding bahu dan bekerja sebagai satu pasukan yang ampuh dan padu agar bangsa serta negara dapat memanfaatkan cabaran-cabaran semasa sebagai peluang ke arah perubahan yang berkesan dan positif. إن شاء الله Jabatan Perdana Menteri melalui Pejabat Wawasan Brunei 2035 akan berganding bahu dengan semua stakeholders bagi memastikan segala perancangan dan projek yang dilaksanakan mendukung wawasan negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Di dalam Dewan yang mulia ini marilah kita sama-sama bermusyawarah dengan membuat perundingan secara baik mengemukakan cadangan-cadangan, saranan-saranan, syor-syor untuk dikaji dan diambil penyelesaiannya atau cara mengatasinya sepertimana jua yang dianjurkan oleh agama Islam dengan berkonsepkan Melayu Islam Beraja. Pandangan, syor dan saranan Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari sebentar tadi adalah satu contoh yang baik dan perlu difikirkan langkahnya begitu juga saranan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain selepasnya tadi. Inilah yang dimaksudkan oleh titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang menekankan bahawa dalam persidangan ini kita hendaknya mampu mengetengahkan perkara-perkara strategik yang mengukuhkan pencapaian negara demi menjamin kesejahteraan rakyat dan penduduk. Pada akhir titah baginda memberikan penekanan supaya persidangan Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini akan dapat memberikan lebih tumpuan kepada perkara-perkara yang strategik dan penambahbaikan apa yang perlu ditambah baik. Titah baginda tersebut kita junjung setinggi-tingginya dengan menekankan di Dewan yang mulia ini. Isu-isu kepentingan negara dan keharmonian serta kemaslahatan masyarakat hendaklah sentiasa dijaga dan diutamakan.
Akhir sekali, kaola ingin menyembahkan sekali lagi menjunjung kasih yang setinggi-tinggi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas limpah kurnia titah baginda.
Sekian,
وبالله التوفيق والهداية، و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
اَلْحَمْدُ للهِ dengan sumbangan ucapan yang telah dibuat oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini merupakan secara automatiknya menggulung perbincangan yang telah dibuat oleh Ahli-Ahli Dewan ini berhubung dengan satu Usul yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dengan itu saya sekarang ingin bertanya kepada semua Ahli Yang Berhormat sama ada Usul ini kita luluskan atau sebaliknya. Yang bersetuju sila angkat tangan.
(Semua Ahli mengangkat tangan tanda bersetuju)
Terima kasih, nampaknya semua ahli bersetuju maka Usul ini diluluskan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya tangguhkan mesyuarat ini dan إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهِ kita akan bersidang semula pada esok hari iaitu Sabtu 26 Februari 2022 mulai pukul 9.30 pagi.
Sekian,
وبالله التوفيق والهداية، و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.