Langkau ke kandungan utama
For Informational Purposes Only

Source: https://www.majlis-mesyuarat.gov.bn/wp-content/uploads/2025/09/Penyata-Rasmi-MMN-Ke-18-Tahun-2022.pdf

HARI KE-4 PAGI

Rumusan Bacaan

📖 Masa membaca: 126 minit
📊 Bilangan kata: 25,510 kata

27HB FEB 2022

(Mesyuarat mula bersidang pada pukul 9.30 pagi)

Yang Dimuliakan Jurutulis

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara bersidang hari ini hari yang keempat, Ahad, 26 Rejab 1443 bersamaan 27 Februari 2022, didahului dengan Doa Selamat.

DOA SELAMAT

Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustapa bin Haji Murat.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

بسم الله الرحمن الرحيم السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

اَلْحَمْدُ اللهِ kita bersyukur ke hadrat اللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى kerana dengan limpah rahmat-Nya jua kita dapat bersama-sama hadir pada pagi ini bersidang bagi hari yang keempat dalam Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara. Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita سيدنا محمد صلى الله عليه وسلم, kaum kerabat, para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Pada petang semalam, persidangan kita telah mula meneliti dan membahaskan Tajuk-Tajuk Jadual bagi Rang Undang-Undang (2022) Perbekalan, 2022/2023 yang undang-undang itu telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.

Untuk tidak membuang waktu lagi, kita sekarang perlu meneliti jadual-jadual yang berkenaan secara terperinci. Bagi membolehkan kita membuat sedemikian persidangan ini saya tangguhkan untuk dapat kita bersidang semula di Peringkat Jawatankuasa sepenuhnya.

(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)

(Mesyuarat bersidang sebagai Jawatankuasa)

Yang Berhormat Pengerusi

بسم الله الرحمن الرحيم. Ahli-Ahli Yang Berhormat, majlis sekarang bersidang di Peringkat Jawatankuasa sepenuhnya bagi menimbangkan Rang Undang-Undang (2022) Perbekalan, 2022/2023 satu per satu yang undang-undang ini dicadangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II. Sebagaimana yang kita sedia maklum, pada petang semalam kita telah pun membincangkan dan meluluskan tajuk-tajuk di bawah Jabatan Perdana Menteri dan jabatan-jabatan di bawahnya dan juga Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri. Sekarang kita menyambung semula untuk membincangkan dan membahaskan tajuk-tajuk selanjutnya.

Yang Dimuliakan Jurutulis

Tajuk SB01A hingga Tajuk SB04A - Kementerian Pertahanan.

Yang Berhormat Pengerusi

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sekarang Mesyuarat Jawatankuasa beralih kepada Kementerian Pertahanan bagi Tajuk SB01A hingga Tajuk SB04A.

Sebagaimana lazim dan yang telah kita amalkan sebelum ini, bahawa Kementerian Pertahanan juga adalah sebuah kementerian yang tertutup kerana ia berkaitan langsung dengan hal-ehwal strategik keselamatan negara dan ia tidaklah sesuai untuk dibincangkan secara terbuka. Walau bagaimanapun, saya ingin memberi laluan kepada Yang Berhormat Menteri Pertahanan II untuk memberikan mukadimahnya tentang penyediaan belanjawan bagi Kementerian Pertahanan ini. Saya sekarang mempersilakan Yang Berhormat Menteri Pertahanan II. Silakan Yang Berhormat.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan II

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera. بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيمِ الْحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ. اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبَ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

Yang Berhormat Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dirahmati Allah dan yang peramba/kaola/saya hormati. Lebih dahulu izinkan peramba/kaola/saya merakamkan ucapan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Yang Berhormat Pengerusi atas peluang yang diberikan untuk mengongsikan mukadimah dalam memberikan penerangan mengenai keutamaan-keutamaan dan objektif-objektif strategik Kementerian Pertahanan bagi Tahun Kewangan 2022/2023. Sehubungan itu, jumlah yang telah diperuntukkan ialah sejumlah $597,673,680.00.

Dalam kesempatan ini, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dengan penuh hormat dan takzim sukacita menyembahkan ucapan menjunjung kasih yang setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kurnia bagi penyediaan peruntukan Kementerian Pertahanan sebesar demikian, tahun demi tahun, sejurusnya mencerminkan komitmen kerajaan yang tinggi dan konsisten dalam mewujudkan pertahanan negara yang matang dan mampan.

Yang Berhormat Pengerusi. Seperti tahun lalu, sekali lagi kita bersidang ketika negara dan dunia sedang berjuang mengharungi arus krisis penularan wabak COVID-19. Di samping memberikan impak kepada kehidupan seharian, ancaman rentas negara ini turut mengorbankan warganegara kita. Peramba / kaola / saya bagi pihak Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ingin merakamkan ucapan takziah buat ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang akibat wabak ini.

Kementerian Pertahanan juga bersama kementerian-kementerian yang lain sukacita mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan penghargaan tulus kepada petugas-petugas barisan hadapan dan sukarelawan-sukarelawan yang tabah dan berani menghulurkan khidmat bakti dalam persekitaran pandemik yang sangat mencabar dan menakutkan ini.

Disertai tawakal dan berserah kepada اللَّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى sebaik-baik pelindung, apa yang jelas, berdasarkan pengalaman kita sejak dua tahun kebelakangan ini ialah kita perlu terus memperjuangkan usaha dan semangat pendekatan senegara atau whole of nation approach untuk memulih kualiti hidup, mengadaptasi dalam norma baharu ini. Kementerian Pertahanan memperteguhkan tekad akan terus menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan ke arah memastikan foundation persekitaran keselamatan negara yang kukuh bagi mendukung pemulihan dalam masa yang mencabar ini.

Hingga ke hari ini ancaman pandemik ini masih sukar diramal dari berbagai-bagai sudut terutama sekalinya bila ianya akan berakhir. Inilah yang dinilai sebagai manifestasi ketidakpastian ataupun uncertainty yang sering disebutkan mengenai ancaman-ancaman dan risiko-risiko keselamatan masa hadapan.

Berasaskan uncertainty seperti ini, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei sentiasa peka akan kepentingan untuk mewujudkan tahap kapasti, keupayaan kesiapsiagaan yang efektif bagi membolehkan penyelesaian dan peranan (adaptability) dan respons yang pantas kepada apa jua bentuk ancaman yang akan timbul nanti.

Yang Berhormat Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

اَلْحَمْدُ للهِ, sepertimana yang terbukti perancangan strategik dan pelaksanaan pembangunan kapasiti, keupayaan dan kesiapsiagaan dalam military medicine dan military operations other than war (MOOTW) khasnya telah meningkatkan tahap responsiveness dan membolehkan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei untuk memberikan sokongan berkesan kepada tindak balas kebangsaan dalam berhadapan ancaman pandemik di negara kita yang tercinta ini.

Semenjak bermulanya gelombang pandemik pada bulan Ogos lalu, pihak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah diberikan kepercayaan dan tanggungjawab yang lebih besar jika dibandingkan dengan fasa pertama melalui penerajuan Pusat Penyelarasan Kebangsaan bagi wabak COVID-19 atau lebih dikenali sebagai N3C19 dengan kerjasama pihak Kementerian Kesihatan.

Pusat ini berperanan sebagai nadi penggerak utama dalam menentukan keperluan pentadbiran dan merancang operasi yang berbentuk non-clinical bersama kementerian, agensi dan jabatan yang berkepentingan. Walaupun kita bukannya dalam peperangan bersama musuh dari sudut konvensional, namun elemen-elemen perancangan operasi yang sedia ada yang berlandaskan prinsip, konsep serta doktrin tentera seperti command and control dan Civil Military Cooperation (CIMIC) turut dinilai relevan dan diguna pakai dalam mengkoordinasikan respons senegara yang lebih teratur, berkesan dalam operasi yang bersifat kompleks ini.

Selain daripada N3C19, Pasukan Petugas (Task Force) wabak COVID-19 turut ditubuhkan sejak tahun 2020 untuk memberi pelbagai bantuan operasi dalam mendukung tambah kapasiti Kementerian Kesihatan melalui peranan bantuan tenaga dan kepimpinan di pusat-pusat pengasingan, bantuan logistik, ujian makmal dan saringan wabak COVID-19, pelaksanaan program vaksinasi, operasi masjid serta bantuan khidmat jenazah.

Melalui mekanisme sedia ada dan yang baru ditubuhkan ini, seramai lebih kurang dari 3,000 orang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah dikerahkan dan ke-18 lokasi di seluruh negara dalam sama-sama membendung wabak COVID-19. Sementara itu, lebih 100 orang pegawai dan kakitangan awam Kementerian Pertahanan turut menyumbang bakti kepada kerajaan bertugas sebagai frontliners dan sukarelawan di N3C19, Kementerian Kesihatan dan Pusat Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan ataupun MRS Bolkiah Garison.

Meskipun penglibatan ABDB sewaktu krisis pandemik ini kelihatan lebih menjurus kepada operasi bukan tradisional, namun kesediaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei untuk melaksanakan operasi-operasi konvensional dan operasi bantuan rutin tidak sama sekali diabaikan. Perlindungan infrastruktur-infrastruktur utama negara, operasi rondaan-rondaan keselamatan di sempadan darat dan kawasan maritim termasuk jalan-jalan tikus, pengawasan-pengawasan udara serta bantuan kemanusiaan dan bencana alam (HADR) tetap terus diadakan sepanjang masa.

Salah satu trend keselamatan yang dapat dikenal pasti sejak bermulanya pandemik 2 tahun yang lalu ialah peningkatan dalam jumlah aktiviti-aktiviti jenayah merentas sempadan termasuk penyeludupan dadah haram. Ini setentunya trend yang sangat membimbangkan, akan tetapi dengan kerjasama agensi-agensi keselamatan, penguatkuasaan serta rakyat negara ini, ٱلْحَمْدُ لِلّٰهِ, kita telah berjaya mengekang aktiviti-aktiviti haram berkenaan dengan mengendalikan lebih banyak operasi ketika keadaan yang tidak menentu ini. Pendekatan senegara atau whole of nation yang dipraktikkan ini turut melibatkan pihak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang telah meluaskan footprint operasinya di kawasan-kawasan negara ini dalam sama-sama menjayakan agenda kolektif kita ke arah memperkasa keberkesanan kerajaan membanteras jenayah merentas sempadan.

Secara keseluruhannya, keupayaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dalam memberikan sumbangan yang signifikan dalam pembendungan kecemasan atau krisis seperti wabak COVID-19 ini merupakan dividen atau pulangan kepada pelaburan besar kerajaan selama ini. Jika dinilai dari sudut keberkesanan exercise ketenteraan, kursus-kursus serta usaha berterusan dalam memupuk kerjasama awam tentera semenjak 60 tahun penubuhannya.

Dalam pada itu, pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Upacara Sovereign’s Parade Sekolah Pegawai Kadet Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada bulan Januari baru-baru ini, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei إن شاء الله akan terus secara berkeyakinan memberikan sumbangan yang bermakna dalam menangani wabak COVID-19 sejauh mana yang diperlukan. Sesungguhnya titah penghargaan seorang raja yang berdaulat dan bijaksana ini telah dan terus menyuntik semangat anggota-anggota Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ke arah pelaksanaan tugas dan tanggungjawab yang berkesan.

Yang Berhormat Pengerusi. Sebagai tunjang utama dalam melindungi dan mempertahankan keutuhan wilayah dan kedaulatan negara sudah terbukti pentingnya bagi Kementerian Pertahanan khususnya lagi pada waktu ujian seperti ini untuk wujud sebagai entiti pertahanan yang kukuh dan credible dari segi kapasiti, keupayaan, semangat mahupun komitmen. Inilah yang dizahirkan dalam visi kemas kini Kementerian Pertahanan iaitu bagi mewujudkan “Sebuah Angkatan Tentera yang Dihormati dan Rakan Kerja yang Mantap”.

Mencapai posture pertahanan yang diinspirasi ini pada sebahagian besarnya memerlukan penyejajaran dengan landskap keselamatan dan geopolitik sekeliling kita. Perkembangan-perkembangan strategik yang dinamik di dalam mahupun di luar rantau sentiasa membawa perubahan terhadap spektrum ancaman yang sejurusnya memberi implikasi terhadap pertahanan negara.

Ini antara lainnya merangkumi ketidakstabilan politik, krisis kerapuhan ekonomi, resource over demand, bencana alam, perubahan iklim serta penganasan dan ekstremisme. Perkembangan-perkembangan ini dijangka akan terus membentuk dan mempengaruhi persekitaran keselamatan kita dalam tempoh 15 tahun yang akan datang iaitu menyelusuri dan melewati tahun Wawasan Brunei 2035 dicapai nanti. Ini juga pada sebahagian besarnya akan bergantung pada pelbagai faktor pemacu seperti globalisasi, pendigitalan, automasi dan migrasi.

Walaupun perkembangan-perkembangan sedemikian turut diselubungi dengan aspek ketidakpastian (uncertainty), apa yang semakin jelas ialah kita perlu mewujudkan faktor cegah rintang (deterrence) yang efektif dan kemampuan respons pantas kepada spektrum ancaman dan cabaran yang datang dari pelbagai arah sama ada tradisional ataupun bukan tradisional seperti yang pernah hamba/kaola bentangkan dalam ucapan mukadimah dan Ucapan Penangguhan pada Musim Permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara yang lalu.

Berlatarbelakangkan tekad dan semangat, warga Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei berganding bahu meskipun dalam suasana pandemik, penilaian-penilaian rapi dan komprehensif telah dibuat dan daripadanya dihasilkan hala tuju perancangan pembangunan Kementerian Pertahanan yang lebih terancang dan terarah.

أَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, ini dimanifestasikan dalam pelancaran Kertas Putih Pertahanan 2021, “Defending The Nation’s Sovereignty: A Secure and Resilient Future” oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sempena Sambutan Jubli Intan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) pada 31 Mei yang lalu.

أَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, Yang Berhormat Menteri-Menteri telah pun diberikan taklimat mengenai kandungan Kertas Putih Pertahanan (KPP) ini pada bulan Julai tahun lalu. Berunsur forward looking, Kertas Putih Pertahanan terbaharu ini menggariskan cabaran-cabaran strategik khusus dari lensa Negara Brunei Darussalam dan seterusnya membentangkan strategi-strategi serta keutamaan-keutamaan pertahanan yang dikemas kini dari Kertas Putih Pertahanan sebelumnya berikutan tuntutan terhadap peranan pertahanan yang kian bertambah dan sesuai dengan kematangan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang telah mencapai usia 60 tahun. Turut digariskan ialah tugas-tugas pertahanan yang lebih menyeluruh berdasarkan keutamaan-keutamaan terkini termasuk antaranya:

  1. Memantau persekitaran strategik untuk memastikan pengecaman awal.;

  2. Mempertahankan negara daripada ancaman luar.;

  3. Bekerjasama dengan agensi-agensi berkepentingan dalam sama-sama melindungi kepentingan negara di kawasan maritim dan sempadan darat negara serta meningkatkan lagi keupayaan negara untuk menangani keganasan dan ancaman siber.;

  4. Memberi sokongan terhadap agensi-agensi awam terutamanya jika cabaran yang dihadapi di luar skala dan melebihi keupayaan dan kemampuan agensi awam.;

  5. Bekerjasama rapat dengan negara-negara lain melalui diplomasi pertahanan sama ada negara-negara ASEAN mahupun negara-negara di luar rantau; dan

  6. Menyokong usaha rantau dan antarabangsa yang lebih luas yang menjurus kepada kestabilan rantau secara amnya atau khusus kepada operasi pengaman dan operasi bantuan kemanusiaan di samping menimba pengalaman dan menambah pengetahuan anggota.

Tambahan ini tidak kurang pentingnya ialah review kepada perancangan strategik pertahanan yang juga telah dilaksanakan dalam memastikan persejajaran serta pencapaian matlamat-matlamat yang digariskan dalam dokumen-dokumen pertahanan berlandaskan kepada tiga tonggak pertahanan iaitu Cegah Rintang, Diplomasi Pertahanan dan Pertahanan Holistik ke arah pencapaian dan pemeliharaan key result areas pertahanan di bawah akronim IKWONDAMAI seperti yang pernah hamba kaola saya huraikan semasa sesi Majlis Mesyuarat Negara yang lalu, jika boleh kaola ulangi iaitu:

I - Integriti wilayah yang kukuh; K - Tahap Keupayaan tempur dan kesiapsiagaan yang tinggi; WON - Mendukung pendekatan Whole Of Nation; D - Diplomasi pertahanan yang efektif; A - Penglibatan pertahanan dalam Misi-Misi Antarabangsa; MA - Sumber tenaga manusia yang berkualiti tinggi; dan I - Imej pertahanan yang kredibel.

Demikian juga review pada perancangan keupayaan dan penyusunan struktur Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang sedang giat dijalankan melalui dokumen-dokumen berbentuk jangka masa sederhana dan panjang iaitu Force 2035 dan Force Structure Review seiring dengan matlamat Wawasan Brunei 2035. Berdasarkan keutamaan-keutamaan yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan 2021, rancangan menyeluruh ini dihasrat menaikkan lagi keberkesanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei melalui pengenalan landasan dan keupayaan baharu dan menitikberatkan pengisian jurang keupayaan, kaedah jointry, pembangunan keupayaan berasaskan Defence Lines of Development (DLODs) serta pemanfaatan teknologi dan inovasi moden yang bukan saja meliputi domain-domain lazim iaitu darat, udara dan maritim bahkan juga siber dan إن شاء الله angkasa lepas. Sebagai contoh, baru-baru ini kita telah berjaya mengoperasikan projek Unmanned Aerial System atau UAS berlandaskan teknologi moden untuk menjalankan tugas-tugas perjalanan bagi tujuan Perisikan (Intelligence), Pengawasan (Surveillance) dan Peninjauan (Reconnaisance) (ISR). Fasa-fasa pelaksanaan lanjut sudah pun dirancang dan adalah on track dan ia juga dihasratkan untuk menyumbang kepada keperluan nasional seperti bantuan kemanusiaan dan bencana alam, search and locate, pemadaman kebakaran, kawalan sempadan dan operasi penguatkuasaan undang-undang.

Di samping aspek keupayaan, ketidakpastian dan risiko yang dinilai semakin kompleks akibat persekitaran strategik yang lebih fragmented sejak kebelakangan ini juga memerlukan kita untuk sentiasa komited ke arah mendalamkan lagi tahap kepercayaan dan keyakinan bersama negara-negara sahabat melalui diplomasi pertahanan serta penglibatan dalam misi-misi antarabangsa. Justeru, kita juga perlu terus bergiat aktif untuk menggerakkan usaha-usaha pada peringkat pelbagai hala, sepertimana kejayaan kita menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang Ke-15 dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMPlus) yang Ke-8 pada tahun lalu, ketika Negara Brunei Darussalam menjadi Pengerusi peringkat ASEAN iaitu dalam membina ASEAN-centric security architecture yang lebih inklusif, positif dan teguh (robust) bagi menjamin masa depan ASEAN, kekal sebagai rantau yang makmur, stabil dan aman. Selaku negara yang membangun yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, pembangunan dan keselamatan kita sangat bergantung pada persekitaran luar yang sedemikian.

Yang Berhormat Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Untuk memangkin pelaksanaan dasar dan strategi pertahanan dengan berkesan, pelaksanaan program dan inisiatif di peringkat functional juga turut dititikberatkan ke arah:

i. Memantapkan perancangan keupayaan;

ii. Meningkatkan sokongan logistik;

iii. Memantapkan pengurusan dan penggunaan sumber manusia termasuk hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan anggota;

iv. Mengoptimumkan penggunaan sains dan teknologi pertahanan;

v. Meningkatan keberkesanan pembangunan dan prestasi infrastruktur; dan

vi. Memantapkan financial stewardship dalam pengurusan kewangan yang diperuntukkan.

Mengiringi keberkesanan perancangan pertahanan adalah penekanan kepada pelaksanaannya dan integriti dan tadbir urus terbaik dalam semua peringkat daripada barisan kepimpinan, keseluruh kakitangan dan anggota pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Berteraskan kepada nilai-nilai teras, Takwa, Setia, Berani dan Profesional dan nilai-nilai Maqasid Syariah yang buat julung kalinya diketengahkan dalam Kertas Putih Pertahanan yang terkini. Perhatian dan usaha akan terus dipertingkatkan, sepertimana penaiktarafan Jabatan Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei atau ringkasnya JAMA'AT dari peringkat unit ke peringkat jabatan arah sejak Mei tahun lalu, bagi menerapkan dan mengukuhkan nilai-nilai ini ke dalam karakter sebagai ciri-ciri murni dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan serta tatacara pengurusan di Kementerian Pertahanan. Kombinasi ini akan mengukuhkan lagi keyakinan dan tahap kepercayaan kepada perkhidmatan pertahanan sebagai tonggak pertahanan negara secara holistik whole of government and whole of nation.

Yang Berhormat Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Dalam kita memasuki tahun fiskal yang baharu ini peramba/kaola/saya ingin menekankan lagi bahawa kerja pembangunan pertahanan negara akan terus fokus dan dikekalkan on track menurut kerangka komprehensif perancangan pertahanan yang baru sahaja kaola kongsikan tadi.

إِنْ شَاءَ الله ini akan seterusnya membolehkan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei berupaya bergerak dengan mantap melaksanakan tuntutan peranannya untuk mempertahankan kedaulatan raja dan agama, kestabilan dan kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat, memberi ruang selamat kepada pembangunan dan kemajuan negara yang lancar dan tidak tersekat seterusnya mendukung pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035.

Dalam kesempatan mukadimah ini, peramba/kaola/saya ingin sekali lagi mengungkapkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada semua anggota perkhidmatan keselamatan negara khususnya Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang sentiasa cekal, tabah, ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara. Peramba/kaola/saya secara peribadi sentiasa berdoa semoga segala jasa dan pengorbanan mereka dalam mempertahankan agama, raja, bangsa dan negara dikurniakan ganjaran yang setimpal oleh اللَّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى jua.

Peramba / kaola / saya sukacita mengulangi antara seruan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bahawa "...pertahanan dan keselamatan adalah tanggungjawab bersama dan sesuatu yang tidak boleh sekali-kali dikompromi dan akan sentiasa diberikan keutamaan...".

Sekian Yang Berhormat Pengerusi. وبالله التوفيق والهدایه، و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Pengerusi

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Pertahanan II atas mukadimah yang telah dibentangkan dengan begitu jelas dan terperinci dan sememangnya tidaklah perlu untuk dibahas lagi, maka dengan itu saya ingin bertanya kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang bersetuju supaya Jadual ini diluluskan, sila angkat tangan.

(Semua Ahli mengangkat tangan tanda bersetuju)

Yang Berhormat Pengerusi

Terima kasih, semuanya bersetuju.

Yang Dimuliakan Jurutulis

Tajuk SB01A hingga Tajuk SB04A dijadikan sebahagian daripada Jadual iaitu Kementerian Pertahanan.

Kementerian Kewangan dan Ekonomi iaitu Tajuk SD01A hingga Tajuk SD09A.

Yang Berhormat Pengerusi

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekarang Mesyuarat Jawatankuasa beralih untuk meneliti Kementerian Kewangan dan Ekonomi beserta dengan jabatan-jabatan di bawahnya. Sebelum tajuk-tajuk kecil ini dibuka untuk dibahaskan, saya suka memberikan peluang kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II untuk memberikan perancangannya dalam penyediaan belanjawan bagi kementeriannya ini, silakan Yang Berhormat.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته dan salam sejahtera.

Kaola menerangkan secara ringkas cadangan peruntukan Kementerian Kewangan dan Ekonomi seperti berikut, secara keseluruhannya peruntukan yang disediakan berjumlah $1,11,516,668 bilion iaitu untuk membiayai:

  1. Gaji Kakitangan berjumlah $68,864,090 juta iaitu peningkatan kira-kira $1.47 juta dari Tahun Kewangan 2021/2022. Peningkatan adalah disebabkan oleh pengiraan sebenar gaji dan elaun-elaun bagi jawatan-jawatan yang telah diisikan, permintaan empat jawatan dari Printplus dan persediaan bagi penyerapan jawatan seramai 76 orang open vote dan 4 orang gaji hari.;

  2. Perbelanjaan Berulang-ulang berjumlah $931,281,030 iaitu meningkat sebanyak $86,309,621 dari peruntukan Tahun Kewangan 2021/2022.; dan

  3. Perkhidmatan Rampaian pula diperuntukkan sebanyak $790.8 juta untuk membiayai perkara yang berikut:

i. Keselamatan dan Pertahanan berjumlah $121.8 juta.;

ii. Perkhidmatan Perubatan berjumlah $30 juta.;

iii. Menangani wabak penyakit berjangkit termasuk pembelian vaksin wabak COVID-19 berjumlah $124.5 juta.;

iv. Perbelanjaan bagi menangani bencana alam seperti melaksanakan kerja-kerja perlindungan jangka masa panjang bagi tanah susur dan banjir berjumlah $15 juta.;

v. Keselamatan Awam berjumlah $3.2 juta.;

vi. Projek Teknologi Maklumat berjumlah $12.4 juta.;

vii. Kemajuan Daerah Temburong berjumlah $6.7 juta.;

viii. Program bantuan kepada pelajar-pelajar skim Miftahun Najaah dari keluarga yang kurang kemampuan iaitu bantuan ini merupakan in kind seperti seragam pakaian sekolah, buku kerja, alat tulis dan yuran sekolah berjumlah $1.5 juta dan perbelanjaan lain.; dan

ix. Manakala di bawah kategori Perbelanjaan Kemajuan pula $11,371,548 juta dengan Harga Rancangan berjumlah $295,223,991 juta untuk membiayai kajian sains, teknologi dan inovasi, banci dan kajian sosial ekonomi, sistem pengurusan sumber manusia kerajaan dan lain-lain.

Yang Berhormat Pengerusi. Memandangkan kaola telah menghuraikan keutamaan-keutamaan belanjawan termasuklah pencapaian-pencapaian yang telah dicapai oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi sepanjang Tahun Kewangan 2021/2022 tempoh hari Kementerian Kewangan dan Ekonomi akan terus komited dalam melaksanakan dan mendukung usaha-usaha yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara melalui pendekatan whole of government, penglibatan GLC dan badan-badan berkanun dan melalui Foreign Direct Investment.

Dalam masa yang sama, kaola sukacita mengambil kesempatan di Dewan yang mulia ini untuk mengucapkan penghargaan dan terima kasih yang setinggi-tingginya atas kerjasama yang diberikan dan kaola penuh percaya dan berharap bahawa projek-projek yang dalam perancangan akan dapat diungkayahkan sebagaimana yang dihasratkan.

Sekianlah yang dapat kaola kongsikan sebagai makluman dan panduan Ahli-Ahli Yang Berhormat dan sebelum kaola menutup sepertimana jua yang lazimnya dibuat pada tahun-tahun yang lalu kaola memohon izin bagi peruntukan Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam iaitu (HMSF) yang disifatkan sebagai jabatan yang tertutup untuk tidak dibincangkan.

Sekian Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya kira kenyataan yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II tentang hala tuju kementeriannya cukup jelas. Sebagaimana yang telah dimaklumi, Ahli-Ahli yang Berhormat telah pun berpeluang untuk mengadakan muzakarah dengan kementerian-kementerian yang berkenaan, termasuklah duduk bersama dengan menteri-menteri berkenaan dan membincangkan perkara-perkara secara panjang lebar. Saya harap perkara-perkara yang sudah dibincangkan bersama-sama dengan kementerian-kementerian yang berkenaan itu tidaklah payah dibawa di majlis ini oleh sebab akan memakan masa yang lama.

Walau bagaimanapun, saya sekarang ingin membuka perbahasan bagi Tajuk Kementerian Kewangan dan Ekonomi, dengan itu saya mempersilakan Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari.

Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ. Yang Berhormat Pengerusi, saya membawakan 6 perkara yang membawa di bawah Tajuk SD01A - Kementerian Kewangan dan Ekonomi:

  1. Apakah ada perancangan Negara Brunei Darussalam untuk membuat kajian jawatankuasa bagi rakyat yang di bawah paras sederhana yang memerlukan bantuan Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Majlis Ugama Islam Brunei? Daripada hasil data kaji selidik itu nanti akan terbit usaha strategi bagi meningkatkan sosioekonomi golongan ini dan akan memacu menaik taraf kehidupan mereka?

  2. Dicadangkan memberikan insentif peruntukan dan geran kepada mana-mana syarikat pelancongan pada jumlah yang ditetapkan, wujudkan pelan tindakan awal setelah dunia lepas daripada wabak COVID-19 dan industri pelancongan pulih aktif;

  1. Dicadangkan supaya dibuat peningkatan Program Subsidi Baja Pertanian khususnya tanaman padi meningkatkan hasil negara, kerana baja adalah satu medium yang penting bagi menambah nilai hasil atau yield padi selain mementingkan hybrid variety;

  2. Menyediakan sedikit peruntukan latihan yang komprehensif kepada yang berminat dengan ekonomi digital;

  3. Diharapkan sektor kewangan bekerjasama dengan kerajaan dalam membina masa depan lebih baik bagi rakyat Negara Brunei Darussalam. Bahawa sektor kewangan adalah berfungsi untuk memenuhi keperluan ekonomi, meningkatkan kehidupan dan mata pencarian. Akhirnya perkhidmatan kewangan harusnya membantu rakyat dan penjagaan mengembangkan perniagaan dan membina daya tahan. Industri kewangan diharapkan pada kedudukan yang terbaik untuk memainkan peranan yang kukuh dalam memimpin transformasi dan perubahan di peringkat industri. Sektor kewangan adalah satu agensi yang boleh membantu kerajaan menjamin pertumbuhan ekonomi rakyat jangka panjang ke arah kemakmuran; dan

  4. Masih terdapat warga asing yang ada atas jaminan syarikat enterprise lain tetapi membuat syarikat 'sendirian' berhad’, sebelum nya perkara ini terjadi dan masih ada yang seperti demikian. Walaupun syarat sekarang tidak membenarkan pemegang Kad Pengenalan Brunei warna hijau. Maka harus perkara ini diteliti dan diambil tindakan. Sebahagian tujuan mereka membuat ‘sendirian berhad’ selepas umur 55 Tahun masih boleh bertahan dan tinggal di Brunei.

Sekian, Terima kasih Yang Berhormat Pehin Pengerusi.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

Terima kasih juga kepada Yang Berhormat mengenai 6 soalan yang diajukan tadi. Sebenarnya bukan semua soalan ini terlibat di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, walau bagaimanapun Kementerian Kewangan dan Ekonomi sentiasa bekerjasama dengan kementerian-kementerian yang lain sama-sama memikirkan strategi-strategi yang terbaik bagi sama-sama memajukan usaha-usaha bagi setiap kementerian.

  1. Mengenai rancangan kajian dari segi bantuan, seperti kita semua fahami bahawa baru-baru ini kita telah melancarkan Sistem Kebajikan Negara, iaitu satu contoh Kementerian Kewangan dan Ekonomi bekerjasama dengan beberapa pihak berkepentingan seperti Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Majlis Ugama Islam Brunei dan juga Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Ini adalah satu usaha kerjasama menghasilkan Sistem Kebajikan Negara yang kita nampak sudah pada masa ini jumlah yang orang memerlukan bantuan dalam sistem itu.;

  1. Cadangan insentif bagi sektor pelancongan. Ini bukanlah satu usaha yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi. Ini mesti Kementerian Kewangan dan Ekonomi bekerjasama dengan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan. Apa strategi dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi berkenaan nanti, إن شاء الله sama-sama kitani memikiran. Ini bukan sahaja untuk Kementerian Kewangan dan Ekonomi memikirkan sama ada dihulurkan bantuan insentif dan sebagainya.;

  2. Mengenai baja untuk meningkatkan lagi hasil kitani dalam penanaman padi, pada masa ini sudah dibagi subsidi dan sebagainya, bukan baja sahaja tetapi juga termasuk alat-alatan dan sebagainya. Lagipun kaola pernah kongsikan dalam kertas pembentangan tempoh hari mengenai peruntukan disediakan membeli balik padi sejumlah $ 9.0 juta pada tahun yang akan datang.;

  3. Mengenai Digital Ekonomi perkara ini satu usaha di bawah Digital Economy Council, sama-sama memikirkan cara memajukan ekonomi digital kitani. Apa yang penting dalam usaha digital ekonomi ini, kita mesti menyediakan infrastruktur yang sesuai, jadi, itu usaha payment gateway seumpamanya. Juga beberapa usaha untuk menyediakan seperti people-hubs dan sebagainya.

Ini adalah satu perkara yang penting, bukannya saja bagi negara kita ni, di mana-mana pun sepertimana dalam Deliverable dalam ASEAN Chairmanship 2021 kita ni utamakan usaha kita ni dalam digital ekonomi ini tetapi bukan negara ini sahaja, tapi juga dalam ASEAN;

  1. Mengenai industri kewangan. Pada masa ini kita sudah jauh memajukan industri kewangan. Kalau dibandingkan dengan beberapa tahun yang lalu, kita sudah terdapat bank tempatan, beberapa buah bank tempatan dengan sendirinya dalam setiap bank, ditingkatkan lagi perkhidmatan-perkhidmatan sebagai investment fund dan sebagainya insurance dan seumpamanya. Perkara ini boleh diteruskan, إن شاء الله satu industri yang penting bagi mana-mana ekonomi; dan

  2. Soalan itu kurang kaola mendengar, yang kaola dengar, orang yang mempunyai Kad Pengenalan Hijau yang sudah lama menetap di sini yang sudah berumur 55 tahun sama ada diberikan peluang untuk meneruskan menjalankan perniagaan di Brunei. Jika begitu, tidak dinafikan banyak orang luar berniaga di dalam negara ini. Apabila sampai masanya, tidak akan selama-lamanya di sini. Kita berikan peluang kepada orang kita. Kita mesti berhati-hati agar mereka tidak selamanya di sini. Jadi mesti berikan peluang kepada orang kita ni.

Mudah-mudahan soalan yang diajukan tadi sudah kaola terjawab sebanyak إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ. Terima kasih, Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Terima kasih Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II. Saya persilakan sekarang, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman.

Yang Berhormat Fdr. Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman

بِسْمِ ٱللَّٰهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ ٱللَّٰهِ وَبَرَكَاتُهُ Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II. Saya ingin membangkitkan di bawah Tajuk SD09A, Kod 001/002 di bawah Program dan Aktiviti – Akaun (B) Perbelanjaan Berulang-Ulang - Akaun B00300 - Sewa sebanyak $115 juta.

Ia adalah mengenai sewa. الْحَمْدُ لِلَّٰهِ sehingga kini pihak kerajaan telah menyediakan berbagai-bagai kemudahan kepada rakyat terutama sekali kepada penjawat-penjawat awam. Ini termasuklah penyewaan-penyewaan rumah kerajaan kepada penjawat-penjawat awam yang berkelayakan.

Dalam usaha kita merealisasikan Wawasan Brunei 2035 kita juga harus peka dengan bidang-bidang utama yang harus ditekankan untuk mencapai semua matlamat kita. Saya ingin memfokus kepada Matlamat ke-2 dalam Wawasan Brunei 2035 iaitu Kualiti Hidup Yang Tinggi. Salah satu hasil pencapaian kebangsaan yang disasarkan ialah untuk mempunyai taraf hidup yang tinggi dengan salah satu bidang utamanya ialah untuk mempunyai kadar pemilik kediaman yang tinggi.

Dapatkah kita ini mencari alternatif lain selain penyewaan rumah-rumah kerajaan ini dalam mencapai bidang utama kita untuk mencapai kadar yang tinggi bagi rakyat yang memiliki kediaman sendiri terutama sekali bagi penjawat-penjawat awam yang berskala gaji Bahagian III dan ke bawah kerana saya percaya mereka ini sangat memerlukan kediaman sendiri.

Sehubungan itu, untuk mencari juga mekanisme iaitu mungkin untuk memperkenalkan Skim Sewa Beli Rumah ataupun (Rent to Own) dan skim ini membolehkan penyewa untuk memiliki kediaman tersebut setelah tamat tempoh penyewaan dalam jangka masa yang dipersetujui. Ini secara tidak langsung boleh membantu mengurangkan jumlah rakyat yang bergantung pada giliran untuk memiliki perumahan-perumahan di bawah Rancangan Perumahan Negara. Secara tidak langsung kita juga dapat mengurangkan perbelanjaan kita untuk pembayaran penyewaan dan digunakan bagi tujuan yang lebih bermanfaat pada penghasilan dan pembangunan negara. Dengan pengurangan ini, إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ bolehlah digunakan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif untuk pengukuhan kemajuan dan ekonomi negara dengan lebih dinamik.

Yang Berhormat Pengerusi, saya ingin meminta pencerahan juga kepada Yang Berhormat Menteri di atas soalan yang saya ajukan petang kelmarin mengenai defisit yang negara kita mengalami deficit substantive kebelakangan ini. Saya memahami beberapa strategi sedang dilaksanakan dan usaha-usaha negara yang tidak putus-putus dalam melaksanakan strategi-strategi tersebut. Namun melihat kepada keperluan dan kepentingan negara untuk bertindak dan mencapai kepada kemampanan atau sustainability.

Apakah pilihan lain yang kita ada dan bagaimana negara hendak mengatasi isu defisit jangka panjang ini? Negara juga telah mengurangkan perbelanjaan sebanyak yang boleh tetapi kita juga tidak harus menggunakan simpanan negara (reserve fund) secara berterusan.

Sekian Yang Berhormat Pengerusi, terima kasih.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. Ada dua soalan yang diajukan oleh Yang Berhormat.

Yang Pertama, mengenai perbelanjaan dalam Rampaian Sewa $115 juta, dengan menggalakkan supaya kakitangan perkhidmatan awam meningkatkan lagi pemilikan rumah dan sebagainya. Ini satu cadangan yang bagus, bukan perkara baharu, memang sejak dulu kita menggalakkan orang ramai tidak semestinya bekerja dengan kerajaan mahupun dengan pihak swasta untuk membangun rumah sendiri lebih awal. Jangan menunggu pencen. Perkara ini difikirkan oleh Jawatankuasa Fokus Perumahan di bawah Kementerian Pembangunan. Itulah jawapan kaola bagi soalan ini.

Yang kedua, mengenai usaha-usaha kita cuba mengurangkan defisit atau ada cara-cara untuk mengurangkan defisit pada masa hadapan. Seperti yang kita pernah bentangkan dari beberapa tahun sudah, usaha-usaha kita dengan tema yang kita cadangkan hari itu, iaitu melihat kepada investment in our future. Apa yang penting, apa yang dibelanjakan adalah menghasilkan manfaat kepada masa hadapan.

Setakat ini beberapa projek telah pun dilaksanakan bagi tujuan meningkatkan produktiviti. Kedua juga, mengurangkan perbelanjaan kerajaan pada masa yang akan datang. Soalan ini lebih kurang seperti yang diajukan oleh Yang Berhormat Awang Haji Abdul Wahab bin Apong tempoh hari mengenai projek-projek yang value for money.

Kalau kaola boleh secara ringkas mengongsikan beberapa projek yang kita laksanakan untuk sama-sama meningkatkan produktiviti dan menjimatkan perbelanjaan kerajaan seperti pelaksanaan projek Facility Management atas aset-aset di bawah kawalan Kementerian Pendidikan yang telah menggantikan conventional contract bagi kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan kawasan-kawasan institusi-institusi pendidikan rendah dan menengah yang telah berjalan pada tahun 2020 dengan penjimatan $6.8 juta.

Begitu juga bagi beberapa projek seperti penubuhan Syarikat Muara Maritime Services Sendirian Berhad. Iaitu sebuah syarikat usaha sama antara Darussalam Asset Sendirian Berhad dan Lürssen Internaval GmBh (Lürssen) dari Germany sebagai penyedia perkhidmatan dengan kepakaran dalam pemeliharaan, pembaikan, baik pulih kapal. Syarikat MMS ini sedang giat dalam usaha menambah baik dan mengembangkan inovasi yang akan mempromosikan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan perkhidmatan nilai tambahan kepada pelanggannya, masa terkini dan yang akan datang.

Setakat bulan September 2020, Syarikat MMS mempunyai sebanyak 250 orang kakitangan, dengan 230 orang adalah anak-anak tempatan dan 41 orang kakitangan di bawah skim i-Ready. Projek-projek lain rasanya tidak perlu kaola terangkan secara mendalam.

Tetapi sesuai barangkali kaola menamakan sahaja beberapa projek seperti Projek Scan It di bawah Kementerian Pertahanan, pelaksanaan One Common Billing System yang berhasrat untuk memudahkan pemantauan dan pembayaran bil-bil kerajaan, juga pelancaran Sistem Pengurusan Sumber Manusia dan juga beberapa projek dilaksanakan bersama Government Linked Companies antaranya pembekalan ubat-ubatan dan sebagainya dan juga beberapa projek PPP (Public Private Partnership) yang sedang dirancangkan pada masa ini.

Apa yang penting seperti yang kaola sudah kongsikan ataupun sarankan dalam kertas pembentangan kaola tempoh hari kalau dapat kaola ulangi sekali lagi. Kaola menyeru agar sektor awam dan sektor swasta untuk terus berganding bahu dalam meningkatkan lagi usaha-usaha mempelbagaikan aktiviti-aktiviti ekonomi, meningkatkan lagi pelaksanaan projek melalui Public Private Partnership dan meningkatkan lagi usaha untuk menarik lebih banyak Pelaburan Langsung Asing agar dapat meningkatkan produktiviti negara dan membuka­kan lebih banyak peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan.

Usaha-usaha ini penting bagi mengurangkan kebergantungan pada kerajaan demi kedayatahanan fiskal negara agar kemakmuran dan kesejahteraan yang kita nikmati pada masa ini akan berterusan dan dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang. Itu sahaja jawapan kaola bagi soalan yang diajukan tadi.

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Terima kasih Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II. Saya persilakan Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii.

Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera.

Kaola bertanya di bawah Tajuk SA01A - Jabatan Kementerian Kewangan dan Ekonomi. Pada Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah tentang Skim Tabung Amanah Pekerja. Saya imbas kembali sedikit kepada titah baginda.

“...Sedikit mengenai isu Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP), إِنْ شَاءَ اللهُ beta mengambil maklum bahawa kajian telah pun selesai dibuat oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan pelaksanaan penuh akan bermula pada tahun 2023...”.

Soalan kaola apakah cadangan perubahan yang dapat dikongsikan secara awal untuk skim tersebut.

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi dan terima kasih Yang Berhormat atas soalan yang diajukan mengenai Skim Persaraan yang baharu yang akan dilancarkan pada tahun 2023.

Sebelum ini kaola juga ikut merujuk dan menjunjung kasih atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara 2022 pada hari Khamis 24 Februari 2022 khususnya mengenai kajian penambahbaikan Skim TAP dan SCP. Perkara ini juga dibangkitkan oleh beberapa Ahli Yang Berhormat dalam Usul menjunjung kasih masing-masing.

Pada peringkat ini, apa yang dapat dimaklumkan objektif skim baharu ini adalah untuk mengukuhkan lagi kesejahteraan sosial para Ahli TAP semasa persaraan mereka dan mengambil kira beberapa faktor seperti pendapatan yang akan ahli-ahli terima semasa persaraan, Income Replacement Rate, inflasi semasa, menggalakkan produktiviti ahli-ahli TAP, menggalakkan pekerjaan dan juga berdayatahanan dan keterangkuman atau inclusivity.

Itulah beberapa faktor yang diambil kira dalam Skim TAP yang baharu yang dapat kaola kongsikan. Beberapa tindakan lanjut adalah dalam pelaksanaan termasuk penyediaan dan pindaan akta-akta yang berkenaan dan penambahbaikan sistem IT terutama TAP bagi memastikan pelaksanaan skim baharu ini dapat dilaksanakan dengan lancarnya.

Setelah semua tindakan yang berkenaan selesai dilaksanakan nanti struktur terperinci skim terbaharu ini akan dikongsikan dengan pekerja-pekerja Ahli TAP dan majikan-majikan seterusnya. Sekian sahaja yang dapat kaola sampaikan.

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arshad.

Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arshad

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera. Kaola ada 3 perkara yang ingin untuk dibawa di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi di bawah Tajuk SD01A – Tajuk SD09A - Kementerian Kewangan dan Ekonomi. Kaola tidak perlu jawapan pada hari ini mungkin perkara ini perlu membuat kajian dan masa.

  1. Mengenai pengauditan ke atas syarikat-syarikat yang tidak lagi aktif. Apa yang dimaksudkan syarikat-syarikat yang tidak aktif yang tidak menjalankan berpuluh tahun, ada pemiliknya yang sudah meninggal dan tidak mempunyai bank account, tidak menyimpan rekod. Pihak akauntan juga yang bertauliah seperti yang dikehendaki juga memerlukan bayaran yang tinggi. Pengusaha-pengusaha mengharapkan belas kasihan dan pertimbangan sewajarnya kerana tindakan dengan membawa ke mahkamah rasa bukanlah jalan yang terbaik dan ditakuti ke arah bankruptcy;

  2. Mengenai pinjaman perumahan dan perkhidmatan awam. Pertama sekali diucapkan ribuan terima kasih atas bantuan kementerian yang pinjaman perumahan bagi perkhidmatan awam bukan sahaja untuk memberikan pinjaman malahan telah pun memberikan kebenaran untuk membeli tanah dan rumah. Apa yang dilihat ketika ini, developer tidak berminat untuk menjual rumah kepada perkhidmatan awam disebabkan rumit dan memakan masa untuk memprosesnya. Maka dipohonkan untuk membuat kajian yang terperinci agar developer berminat menjual kepada perkhidmatan awam; dan

  3. Kalau difahami beras adalah komoditi terkawal. Ada pengusaha-pengusaha berminat untuk mengimport beras jenis seperti beras basmati, beras poni, beras dari Australia dan lain-lain dan mereka menjualnya juga bukannya subsidi, malahan mahal daripada apa yang dijual yang disubsidi oleh kerajaan. Tapi peminatnya masih banyak yang memerlukannya. Pada masa ini, hanya diberikan permit dalam 10 sen dari jumlah pembelian beras dari setiap stor. Adakah perancangan untuk memberikan peluang dengan menambah kuota atau membukanya luas kepada pengimport-pengimport. Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. Terima kasih Yang Berhormat. Ada 3 soalan kita akan cuba menjawab.

Pertama, mengenai syarikat yang tidak lagi aktif tetapi masih lagi memerlukan untuk membuat audit dan berbelanja tinggi. Sebenarnya, ini satu peraturan kalau sekiranya ada satu syarikat yang didaftar di bawah ‘sendirian berhad’ mestilah diadakan audit tahunan. Kalau syarikat itu berpuluhan tahun tidak aktif, mereka ini boleh memohon kepada ROCBN untuk dibatalkan pendaftaran. Jika tidak aktif tidak perlu ditahan-tahan dan bertahun-tahun.

Tapi kalau sekiranya ia masih lagi memerlukannya, pengauditan tidak semestinya secara komprehensif. Kalau ia tidak aktif memang senanglah diaudit tapi kalau pendaftaran itu masih lagi ada pada ROCBN itu satu peraturan mesti diadakan. Ini mesti kita adil kepada semua syarikat yang di bawah ‘sendirian berhad’.

Soalan yang kedua, pinjaman rumah. Prosesnya panjang. Perkara ini bolehlah nanti إن شاء الله Kementerian Kewangan dan Ekonomi akan meneliti sama ada benarkah panjang, apa sebabnya panjang, kita ni dalam Dewan ini mungkin tidak dapat disenaraikan apa sebab-sebabnya. إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ akan direview lagi.

Yang ketiga, beras yang diimport oleh syarikat-syarikat sendiri tidak bersubsidi. Permit hanya diberikan sedikit sahaja. Kita ni mengimport beras ini memang satu makanan asasi bagi orang ramai. Walau kita ni akan order, dulu pernah dicuba sudah oleh pihak swasta mengimport tapi usaha itu nampaknya tidak berapa sesuailah.

Dibalik semula kerajaan mengimport semua beras ini dengan volume yang kerajaan import ini mudah-mudahan harganya lebih kompetetif. Kalau pihak swasta akan import itu mereka punya jenis beras itu memang lain daripada yang selalunya diimport oleh kerajaan. Mereka punya pilihan. Itu pilihan peribadilah, yang kerajaan mengimport apa yang diperlukan oleh orang ramai, itu sahaja, basic responsibility yang dioffer oleh kerajaan. Pilihan lain yang lebih canggih beras itu, tertakluk kepada pihak swasta sendirilah tu.

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Saya mempersilakan Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit.

Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit

Terima kasih. بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera.

Yang Berhormat Pengerusi, kaola bercakap mengenai Kod 001/000 – Program Pembangunan Sumber Tenaga Manusia dan Hal Ehwal Korporat dengan jumlah keseluruhan Anggaran Perbelanjaan 2022/2023 iaitu $20,494,043 iaitu berkaitan dengan permintaan masyarakat terhadap perkhidmatan di hujung jari yang dilaksanakan oleh jabatan-jabatan dalam Kementerian Kewangan dan Ekonomi. Revolusi kecanggihan penggunaan gadget serta aplikasi dengan teknologi maklumat dan komunikasi telah banyak mempengaruhi hidup masyarakat menjadi satu element baharu dalam memudahkan berbagai-bagai urusan yang mahukan semua perkhidmatan berada di hujung jari yang melangkaui dunia tanpa sempadan.

Soalan kaola, menyedari betapa pentingnya kehendak masyarakat yang tidak gemar berkunjung menjumpai pegawai atau untuk mengisi dokumen membuat bayaran dan mengambil bayaran di jabatan-jabatan berkenaan, jadi apakah jenis-jenis perkhidmatan secara talian yang sekarang ini nampaknya sangat berkesan atau mendapat respons yang paling tinggi daripada masyarakat? Kerana suasana COVID-19 memberi kesan dan mempengaruhi cara orang berinteraksi dan bekerjasama.

Manakala itu kerajaan dan perniagaan telah menyesuaikan diri untuk bekerja dari jarak jauh dan mengintegrasikan teknologi maklumat untuk membolehkan mereka menjalankan operasi mereka secara maya termasuk juga mungkin jabatan-jabatan di Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Sekian terima kasih.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. Terima kasih Yang Berhormat atas soalannya iaitu permintaan masyarakat mengenai perkhidmatan di hujung jari, teknologi maklumat. Apakah jenis perkhidmatan secara talian yang sangat berkesan mendapat respons yang tinggi dalam masyarakat kerana kesan dari wabak COVID-19.

Pada masa ini kitani hadapi wabak COVID-19 memang banyak cabaran-cabaran yang kitani hadapi. Dari segi macam mana kitani dapat terus menghulurkan perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan kepada orang ramai. Bukan sahaja di Kementerian Kewangan dan Ekonomi tetapi juga di beberapa kementerian.

Mengenai Kementerian Kewangan dan Ekonomi ada beberapa inisiatif kitani dapat terus berikan perkhidmatan kepada orang ramai seperti yang orang ramai akan submit invoice dan sebagainya untuk pembayaran dari treasury kitani pada waktu wabak COVID-19 memudahkan orang ramai supaya mereka dapat upload sahaja invois melalui online sahaja, tidak perlu datang sendiri.

Dengan respons yang seperti biasa cepat bukannya ada delay. Jadi, yang perbelanjaan dalam teknologi maklumat ini, satu hala tuju yang penting bukan sahaja bagi Kementerian Kewangan dan Ekonomi tetapi bagi mana-mana kementerian, jadi Kementerian Kewangan dan Ekonomi bekerjasama dengan beberapa kementerian. Sama-sama mencari jalan supaya dapat kitani digitalization.

Satu projek yang kaola sudah kongsikan tadi adalah One Common Billing System. Satu sistem yang semua kementerian dapat menggunakan sistem ini. Bukannya sahaja setiap kementerian masing-masing membuat sistem sendiri. Ini satu Common Billing System yang digunakan oleh semua kementerian.

Satu lagi projek yang penting ialah Sistem Pengurusan Sumber Manusia. Ini bukannya sahaja kitani manage payroll dan sebagainya. Pada masa ini sudah kitani pakai online tapi jua cara kitani menguruskan cuti, elaun, pembayaran elaun dan sebagainya.

Inilah beberapa projek yang Kementerian Kewangan dan Ekonomi bekerjasama dengan beberapa kementerian lain untuk memudahkan supaya kitani lebih maju dalam usaha kitani menghadap kepada digitalization. Itu sahaja barangkali Yang Berhormat Pengerusi yang kaola dapat kongsikan.

Terima kasih Yang Berhormat.

Yang Berhormat Pengerusi

Saya mempersilakan Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari.

Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi, kaola / saya merujuk kepada titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai Peraturan Kewangan. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah pun memperkenankan pindaan ke atas Perintah Perlembagaan (Prosedur Kewangan) (Pindaan) 2022 dan Peraturan-Peraturan Kewangan 2022 yang akan bermula berkuat kuasa pada 1 April 2022.

Di bawah Tajuk SD01A. Saya ingin pencerahan tentang Financial Regulation yang baharu. Dari segi apakah ia berbeza dengan FR pada masa ini dan apa yang dapat diharapkan. Saya juga ingin mengambil kira isu transparency dan pelanggaran FRGO dan diharap pindaan ini akan dapat juga mengurangkan atau mengelakkan penyelewengan dalam pentadbiran urusan kerajaan.

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. Terima kasih kepada Yang Berhormat. Ini satu Ini satu soalan yang bagus jadi untuk menjawab soalan ini, kaola ingin mengongsikan antara lain pengemaskinian ini dibuat adalah mengambil kira beberapa perkara seperti yang berikut: Sebelum ini tahun terakhir Peraturan Kewangan 1983 ini diubah adalah pada tahun 1983 iaitu 38 tahun yang lalu. Jadi perlulah dikemaskan dan menetapkan lagi peraturan-peraturan dalam Peraturan Kewangan 1983 ini supaya ia lebih sesuai dengan keperluan dan keadaan semasa dan jua terdapat beberapa peraturan dan proses dalam Peraturan Kewangan 1983 itu sudah tidak lagi releven dan obsolete mengambil kira pada masa ini sudah ada proses dengan menggunakan IT supaya dapat digunakan untuk proses pembayaran dan sebagainya.

Perlulah diambil kira apa yang obsolete. Perlulah diubah secara ringkas perubahan kepada Peraturan Kewangan 1983 untuk mengemaskan Peraturan-Peraturan dalam 2 dokumen iaitu seperti:

  1. Teks utama yang hanya mengandungi dasar utama Peraturan-Peraturan Kewangan bagi kerajaan; dan

  2. Menyediakan garis panduan mengikut topik-topik yang dimuatkan dalam teks utama termasuk tatacara dan maklumat secara terperinci. Peraturan Kewangan 2022 lebih ringkas dan padat dan mudah untuk difahami. Manakala garis panduan mengikut topik-topik menggariskan dengan terperinci, tatacara, prosedur mengikut keadaan semasa seperti penggunaan IT. Garis panduan ini diklasifikasikan memang teliti dari semasa ke semasa mengikut keperluan semasa dan kalau dibandingkan apa perbezaannya, seumpamanya format dilihat dalam Peraturan Kewangan 1983 itu terlalu komprehensif dan tidak mudah difahami. Kita ‘usai’ format ini supaya ia lebih ringkas, padat dan mudah difahami. Satu yang penting mengenai tugas dan tanggungjawab Pegawai Pengawal dan Pegawai Perkiraan. Kalau dilihat dalam Peraturan Kewangan 2022 ia dinyatakan secara terperinci tugas dan tanggungjawab bagi Pegawai Pengawal dan Pegawai Perkiraan. Tetapi kalau dilihat Peraturan Kewangan 1983, tugas dan tanggungjawab tidak dinyatakan dengan jelas dan terdapat di beberapa bahagian tidak diterangkan. Jadi itulah satu shortcoming Peraturan Kewangan yang dahulu.

Kaedah-kaedah kutipan hasil dan pembayaran wang kerajaan dalam peraturan baharu ini mengambil kira kaedah kutipan hasil dan pembayaran secara elektronik. Memang Peraturan Kewangan 1983 tidak mengambil kira kaedah secara elektronik pada masa zaman dulu. Jua beberapa isu seperti takrifan Pegawai Pengawal, Peraturan Kewangan 1983 tidak menyatakan dan sekarang dimasukkan. Beberapa perkara lain seperti waran, hasil, penyimpanan barang-barang stor, annual account seperti seumpamanya.

Annual account kita menyatakan mesti disediakan tapi dalam Peraturan Kewangan 1983 tidak dinyatakan. Apa yang penting dalam perubahan Peraturan Kewangan ini ia senang difahami oleh Pegawai Pengawal, pegawai dan kakitangan yang diamanahkan untuk menguruskan wang negara maka akan dapat meningkatkan lagi pemantauan kepada peraturan-peraturan dan garis panduan kewangan secara langsungnya dapat mengukuhkan lagi pengurusan kewangan kerajaan bagi mengelakkan dan dari kesalahan penggunaan wang kerajaan. Jabatan Perbendaharaan akan membuat pemberigaan kepada kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan pada bulan Mac 2022 bagi membolehkan ia dilaksanakan bermula 1 April 2022. Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arshad.

Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arshad

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. Kaola sukacita jua untuk mengambil bahagian dalam perbahasan ini dalam seminit dua, kaola sukacita untuk bercakap di bawah Tajuk SD01A - Jabatan Kementerian Kewangan dan Ekonomi. Dalam perkara ini kaola ingin membangkitkan mengenai terdapat projek-projek iaitu membayar projek kebelakangan yang tertunggak ataupun ada masalah kerosakan dalam atau luar bangunan kerajaan ataupun masalah-masalah kerosakan yang lama yang terbiar yang patut dibaiki dengan mendapatkan peruntukan-peruntukan. Tetapi dalam perkara ini, apabila peruntukan belanjawan tahun kewangan diluluskan, projek-projek kebelakangan yang tertunggak dan belum berbayar mahupun kerosakan-kerosakan yang terbiar ini, menggunakan peruntukan belanjawan tahunan yang sudah ada perancangan. Jadi, kewangan yang telah digunakan itu terjejas kerana membayar yang tertunggak.

Adalah lebih baik kaola cadangkan supaya akan memohonkan peruntukan-peruntukan pembayaran yang tertunggak dalam peruntukan belanjawan tahun yang akan datang. Supaya pembayaran kebelakangan yang tertunggak tidak akan mendatangkan masalah pada masa akan datang. Jadi, ertinya tidak lagi timbul apabila ditanyakan kepada jabatan-jabatan berkenaan mengapa ini belum berbuat, mengapa terbiar. Perkara alasan tidak ada bajet, tidak akan timbul lagi, jika sekiranya akan dipohonkan permohonan khas untuk perkara-perkara yang kaola sebutkan itu. Tidak balik-balik dan tidak terganggu jua peruntukan tahunan. Bagaimana perkara ini dapat diatasi?

Itu saja Yang Berhormat Pengerusi. Terima Kasih, وَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. Terima kasih Yang Berhormat mengenai pembayaran kebelakangan yang belum terbayar ataupun binasa. Memang setiap tahun dalam proses menyediakan peruntukan bagi tahun kewangan yang akan datang setiap kementerian ada rancangan untuk projek baharu, kerja yang akan dibuat, jadi peruntukan disediakan. Boleh memasukkan pembayaran yang belum selesai. Itu boleh dipohonkan dalam peruntukan kewangan yang akan datang.

Ia tertakluk kepada setiap kementerian masing-masing untuk memasukkan pembayaran yang belum lagi dijelaskan tidak semestinya peruntukan yang disediakan untuk masa tahun kewangan yang akan datang khas untuk projek baharu sahaja. Boleh termasuk juga pembayaran yang belum selesai dimasukkan dalam peruntukan dalam tahun kewangan yang akan datang. Seperti contoh dari RKN dan seumpamanya kita ada menyediakan tanggungan-tanggungan yang belum dibayar, memang dimasukkan dalam RKN. Bajet tahun kewangan bagi kementerian-kementerian lain memang dimasukkan tetapi sekiranya ada yang belum cukup, terpaksa mereka pohon lagi. Tertakluk kepada setiap kementerian sewaktu kita menyediakan peruntukan bagi tahun kewangan yang akan datang.

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Terima kasih Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya kira cukuplah sudah kita berbincang mengenai Jadual Kementerian Kewangan dan Ekonomi II dan saya sekarang ingin mengundi. Ahli-Ahli yang bersetuju supaya Jadual ini kita luluskan, sila angkat tangan.

(Semua Ahli mengangkat tangan tanda bersetuju)

Terima kasih. Semua Ahli bersetuju.

Yang Dimuliakan Jurutulis

Kementerian Kewangan dan Ekonomi II iaitu Tajuk SD01A hingga Tajuk SD09A dijadikan sebahagian daripada Jadual. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri iaitu Tajuk SE01A hingga Tajuk SE12A.

Yang Berhormat Pengerusi

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Jawatankuasa sekarang beralih kepada Tajuk Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Sebelum tajuk-tajuk ini dibuka untuk dibahaskan, saya sekarang ingin memberikan peluang kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri untuk memberikan penjelasan dan keterangannya tentang penyediaan belanjawan bagi kementerian yang berkenaan ini. Saya persilakan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.

Yang Berhormat Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Lebih dahulu kaola sukacita mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Pengerusi kerana memberi peluang kepada kaola menyampaikan mukadimah bagi memandu perbincangan Anggaran Peruntukan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi Tahun Kewangan 2022/2023.

الحمد لله kaola dengan penuh hormat dan takzim sukacita lebih dahulu menyembahkan menjunjung kasih yang setinggi-tingginya atas kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memperuntukkan Anggaran Perbelanjaan sejumlah $128,343,070.00 bagi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi Tahun Kewangan 2022/2023.

Selaras dengan tema belanjawan iaitu: “Memperkasa Kesejahteraan Awam Ke Arah Sosioekonomi Yang Lebih Resilien”. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya, إن شاء الله dengan sumber yang diperuntukkan akan terus menumpukan apa jua rancangan dan pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang selaras dengan tema tersebut.

Yang Berhormat Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Dalam keadaan negara dan dunia masih berhadapan dengan wabak COVID-19, ia mengharuskan kementerian untuk membuat perubahan dari segi inisiatif, dasar, akta dan perundangan termasuklah pendekatan secara konsisten dan berterusan, penggunaan teknologi maklumat dalam pengurusan kementerian dan jabatan-jabatan dalam pemberian perkhidmatan kepada orang ramai. Pada mendukung aspirasi negara iaitu Smart Nation dan revolusi industri 4.0, perubahan-perubahan yang dilaksanakan adalah bertepatan bagi mengharungi cabaran-cabaran daripada pandemik COVID-19.

Berdasarkan tema dan fokus utama Belanjawan Negara Tahun Kewangan 2021/2022, inisiatif-inisiatif Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri adalah seperti yang berikut:

  1. Bagi memelihara keselamatan dan kesejahteraan awam, Jabatan Buruh dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan berterusan meningkatkan tahap perkhidmatan kepada orang ramai dalam berbagai-bagai perkhidmatan. Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan adalah dalam fasa terakhir pelaksanaan sistem INRS-Immigration and National Registration System yang bertujuan mengumpul dan mengintegrasi maklumat peribadi individu secara komprehensif termasuk data biometrik. Ini juga akan membolehkan perkongsian sumber data maklumat antara agensi-agensi kerajaan yang berkepentingan. Dalam hubungan itu, إن شاء الله Sistem Pengawalan Sempadan atau Border Control System (BCS) di bawah sistem Immigration and National Registration (INRS) akan mula digunakan pada bulan April 2022 ini. Ia akan mula diguna pakai di Lapangan Terbang Antarabangsa yang bertujuan memeriksa setiap pelawat yang masuk dan keluar dari negara ini dengan menggunakan sistem biometrik iaitu dengan membuat pengesanan cap jari dan gambar wajah (facial recognition). Melalui kaedah ini juga, ia akan dapat membantu mengesan rekod demographic pelawat serta mengesan pelawat yang tidak dikehendaki di negara ini dengan lebih berkesan. Sistem Pengawalan Sempadan ini nanti akan dilaratkan kepada semua pos kawalan secara berfasa.

  2. Di samping itu, Jabatan Buruh dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan akan terus meneliti dan menyelaras prosedur dan peraturan dari semasa ke semasa. Ini termasuklah pengemaskinian dan penguatkuasaan Perintah Pekerjaan 2009 dan akta atau peraturan imigresen melalui tindakan pemeriksaan dan penguatkuasaan secara berterusan dan konsisten secara bersendirian mahupun bersepadu dengan agensi-agensi berkenaan serta bantuan orang ramai dan pemimpin akar umbi. Dengan ini, ia akan dapat memastikan kawalan dari segi kemasukan warga asing atau pekerja asing dan juga pada menjaga kesejahteraan terhadap pekerja-pekerja sentiasa dipelihara dan dilindungi dan seterusnya mengambil tindakan ke atas pesalah-pesalah yang melanggar undang-undang perburuhan dan imigresen; dan

  3. Jabatan Bomba dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) pula berperanan ke arah mewujudkan masyarakat yang sentiasa siap siaga atau emergency and disaster ready. Ke arah itu, langkah-langkah bagi meningkatkan kapasiti iaitu dari segi logistik dan pembangunan kompetensi masyarakat melalui perbekalan keperluan logistik dan program-program pembangunan kompetensi masyarakat dilaksanakan secara berterusan agar mencapai objektif bagi memupuk budaya siap siaga dan menjadikan masyarakat yang berdaya tahan.

Program yang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat telah melahirkan seramai 48 orang warga masyarakat berjasa pada tahun 2021. Sehingga ini terbukti kampung-kampung yang mempunyai sukarelawan bomba yang terlatih telah dapat membantu memadamkan kebakaran kecil sebelum pasukan bomba datang ke tempat kejadian.

Selain itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat juga telah mula melaksanakan denda kompaun bagi jenis-jenis kesalahan di bawah Perintah Kesalahan Kebakaran 2016 dikenali sebagai Fire Safety Order, 2016 (FSO,2016) sejak bulan Ogos 2021. Ia diharap akan memastikan pencegahan dan pengurangan risiko berlakunya sebarang insiden kebakaran dan juga memastikan pemilik dan penyewa premis terutama sekali sektor perniagaan, mematuhi Peraturan Keselamatan Kebakaran.

Pada tahun 2021, sebanyak 142 kebakaran dicatatkan termasuk 58 buah rumah dengan jumlah kerugian sebanyak $973,000.00. Walau bagaimanapun, dari jumlah ini hanya 2.9% rumah-rumah ini sahaja yang mempunyai perlindungan insurans.

Dalam kita menghadapi ancaman pandemik COVID-19, kita juga menghadapi cabaran dan perubahan iklim. Kita telah menghadapi beberapa jenis bencana iaitu banjir, tanah susur, pokok tumbang dan angin kencang. Berdasarkan kejadian ini dan pengalaman menghadapi berbagai kejadian bencana alam, kita perlu meningkatkan sikap siap siaga dan waspada pada setiap masa.

Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan telah membuat penelitian dan pengemaskinian semula terhadap draf Rangka Kerja Dasar Strategik Pengurusan Bencana (Disaster Management Strategic Policy Framework) dan dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.

Program-program keutamaan dalam dasar ini dibentuk untuk mempromosikan keselamatan, kedayatahanan dan kemakmuran ekonomi dan alam sekitar melalui pendekatan whole of nation dalam melindungi kesejahteraan masyarakat melalui 7 program keutamaan yang mengandungi objektif-objektif selaras dengan sasaran Wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Dalam usaha kementerian ini bagi memantapkan perpaduan masyarakat, jabatan-jabatan daerah secara berterusan melaksanakan tindakan bersesuaian bagi mengukuhkan institusi mukim dan kampung. Usaha-usaha ini termasuklah pertama Projek Rezoning Mukim dan Kampung. Projek ini telah pun dilaksanakan bagi kawasan-kawasan di Kampung Air dan juga bagi mukim dan kampung di kawasan darat secara berperingkat-peringkat.

Sebahagian besar jawatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, yang terlibat dalam projek rezoning adalah dalam proses pengisian. Manakala bagi kawasan yang masih memerlukan perubahan sempadan, perkara ini dalam proses penyelerasan bersama agensi yang berkepentingan, sesuai dengan tujuan rezoning, maka ia akan dapat membantu penghulu mukim dan ketua kampung meningkatkan keberkesanan pengurusan dan pentadbiran mukim-mukim dan kampung-kampung dengan jumlah penduduk yang bersesuaian.

Kedudukan negara yang berhadapan dengan wabak COVID-19 sehingga masa ini, telah menjejaskan sedikit rancangan pengisian jawatan penghulu mukim dan ketua kampung. Dari itu, aplikasi e-Undi yang telah dilancarkan pada 2 Oktober 2021, bertujuan sebagai tambahan bagi kaedah pengundian yang sedia ada yang boleh membantu proses pengundian dan pemilihan calon penghulu dan ketua kampung berjalan lancar.

ٱلْحَمْدُ لِلّٰهِ dengan adanya aplikasi ini, di samping memudahkan cara mengundi secara online, aplikasi ini juga menyediakan maklumat dan keterangan serta manifesto calon-calon penghulu mukim dan ketua kampung yang setentunya memudahkan penduduk mukim dan kampung, mengenali calon pemimpin masing-masing.

Aplikasi yang mula dilaksanakan pada bulan Disember 2021 ini, jelas memberi impak positif yang ketara iaitu dengan meningkatnya penyertaan pengundi dari kalangan belia yang mengundi melalui sistem e-Undi iaitu dari 30% belia mengundi menggunakan kertas undi kepada 54% dengan e-Undi. Kita percaya bilangan ini akan meningkat dari semasa ke semasa.

Berasaskan data yang ada, kita juga bersyukur bahawa dari seramai calon penghulu mukim dan ketua kampung, yang telah dipilih, calon-calon yang telah diperakukan untuk pemilihan dan calon-calon dalam proses untuk diperakukan, terdapat 73% adalah mereka yang berumur di bawah 50 tahun. Dari segi kelayakan akademik pula, seramai 38 orang adalah graduan daripada institusi pengajian tinggi.

Dengan adanya peningkatan profil calon-calon ini, diharap penghulu mukim dan kampung berkenaan akan dapat menerajui kepimpinan sebuah mukim atau kampung dengan lebih berwibawa dan berusaha untuk memajukan sosioekonomi mukim dan kampung, di samping berusaha untuk memupuk dan menwujudkan masyarakat yang bersatu padu dan memeduli hal-ehwal kebajikan dan kesejahteraan anak buah mukim dan kampung.

Yang Berhormat Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Di dalam usaha kementerian memangkin sosioekonomi, Lembaga Bandaran dan Jabatan-Jabatan Daerah terus berusaha bagi meneroka rancangan-rancangan yang boleh membantu dan memberikan peluang kepada peniaga-peniaga Mikrokecil dan Sederhana mendapat mata pencarian melalui aktiviti perniagaan.

Di samping melaksanakan rancangan menyediakan tempat-tempat berniaga yang sudah dikeluarkan request for proposal, beberapa tempat lain juga sudah dikenal pasti untuk di majukan.

Sektor perekonomian di peringkat mukim dan kampung agak terkesan sejak penularan wabak COVID-19. Ia dapat dilihat dengan menurunnya pendapatan Satu Kampung Satu Produk (1K1P) daripada $800,000.00 pada tahun 2019 kepada $710,000.00 pada tahun 2020 dan $556,842.00 pada tahun 2021.

Namun, pendapatan purata 19 orang pengusaha yang terlibat dalam Projek Transformasi 1K1P dalam tahun 2021, telah berjaya meningkatkan pendapatan mereka sebanyak dan melebihi 106% sehingga ada yang memperolehi pendapatan sebanyak $5,000 hingga $7,000 sebulan. Kita bersyukur dan berbangga kerana sebahagian daripada mereka telah membuat pendekatan berani dan dengan bijak menukar cabaran-cabaran wabak COVID-19, kepada peluang. Dari itu, kita secara konsisten akan mengorak langkah bersama rakan-rakan strategik bagi meningkatkan lagi kemajuan produk-produk kampung dengan harapan bagi menembusi pasaran serantau, إن شاء الله

Selain dari menyediakan prasarana bagi memangkin sosioekonomi, kementerian ini juga akan memberikan fokus kepada tunggakan cukai bangunan yang tinggi dan meningkat dari tahun ke setahun. Kementerian ini akan melaksanakan tindakan yang lebih berkesan dalam mengurangkan dan mengelakkan tunggakan. Di samping meneruskan inisiatif-inisiatif yang sudah dilaksanakan sebelum ini, kementerian ini akan berusaha meningkatkan dan memperkesankan lagi tindakan bagi membuat tuntutan melalui prosedur mahkamah.

Kementerian ini juga dalam perbincangan dengan agensi-agensi kerajaan yang lain untuk mempersyaratkan bagi pembayaran cukai bangunan dilunaskan lebih dahulu sebelum beberapa jenis permohonan diluluskan. Dalam pada itu, kementerian ini juga sedang dalam peringkat pelaksanaan Projek Municipal Property Database (EP-TAX) di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-11 iaitu bagi mengadakan satu sistem database bagi maklumat hartanah-hartanah di kawasan perbandaran dan seterusnya membolehkan pemilik-pemilik hartanah membayar cukai bangunan secara online melalui sistem berkenaan.

Yang Berhormat Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Berdasarkan peruntukan dan inisiatif-inisiatif yang telah pun dibentangkan, dan mengambil kira suasana persekitaran yang sentiasa berubah selaras dengan kehendak dan keperluan semasa maka Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya, akan sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang dapat membantu meningkatkan kualiti kehidupan yang tinggi dan menjana ekonomi yang maju serta berdaya tahan dan dapat dinikmati oleh generasi kini dan akan datang dan seterusnya, merealisasikan matlamat negara khususnya dalam menyediakan Wawasan Brunei 2035. Sekianlah sahaja, Yang Berhormat Pengerusi.

وبالله التوفيق والهداية، والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Pengerusi

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, yang telah memberikan mukadimahnya mengenai penyediaan belanjawan bagi kementerian berkenaan.

Sekarang, saya bukakan perbincangan dengan menjemput Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.

Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad

Terima kasih, Yang Berhormat Pengerusi.

بسم الله الرحمن الرحيم والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Terus saja kepada persoalan saya. Ingin menyentuh mengenai di bawah mengenai Tajuk SE12A – Jabatan Bomba dan Penyelamat. Dua perkara:

  1. Saya ingin memohon penjelasan mengenai perkara yang disampaikan pada tahun 2017 iaitu Program Integrasi Perkhidmatan EMAS (Emergency Medical Ambulance Services) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat akan keberkesanannya dan adakah ia dijalankan?; dan
  1. Saya juga ingin mencadangkan sebuah centralised national hotline number bagi talian-talian kecemasan untuk kegunaan orang awam. Manfaat perkara ini mengurangkan masa yang digunakan daripada menghubungi satu per satu. Modaliti sudah ada iaitu talian Darussalam ‘123’, bagi non-essential services kita ini. Setentunya kebaikannya adalah penyelarasan dan whole of government approach antara perkhidmatan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Diraja Brunei serta ambulans. Menyampaikan maklum balas daripada orang ramai iaitu sekiranya terlibat dalam sebuah kemalangan kereta di lebuh raya dan ada kecederaan. Contohnya, orang ramai boleh keliru mana satukah ditelefon atau dihubungi lebih dahulu antara ketiga-tiganya dan sering terjadi pihak keselamatan yang datang pula bertanya, sudahkah dihubungi yang lain?

Terima kasih, Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri

Terima kasih, Yang Berhormat Pengerusi dan terima kasih juga kepada Yang Berhormat.

  1. Mengenai perkhidmatan Emergency Medical Ambulance Services (EMAS), yang bermula pada tahun 2017. Perkhidmatan ini masih lagi berjalan, dan apa yang berlaku pada waktu itu, satu peningkatan ialah kita menggabungkan perkhidmatan ambulans di balai-balai bomba dan kita mempunyai lebih 25 buah balai bomba dan boleh diletakkan juga ambulans. Apabila berlaku kecemasan pada masa ini, kedua-dua pihak beroperasi di tempat yang sama. Apabila berlaku suatu panggilan, seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat tadi, kemalangan kereta misalnya jadi kedua-dua pihak tersebut terus berjalan menuju ke tempat kejadian. Ini dapat dilakukan secara bersepadu; dan

  2. Mengenai rancangan talian-talian kecemasan untuk disatukan, perkara ini sedang dalam penilaian pada masa ini. إِنْ شَاءَ اللهُ ia akan diteruskan dan kita ini akan mengongsikan dengan orang ramai apabila ia sudah pada tahap-tahap pencapaiannya nanti.

Terima kasih.

Yang Berhormat Pengerusi

Terima kasih, Yang Berhormat. Saya persilakan sekarang, Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari.

Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari

Terima kasih, Yang Berhormat Pengerusi. السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

Kaola membawa 2 Tajuk sahaja:

  1. Di bawah Tajuk SE01A – Jabatan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Dicadangkan dalam memperkasa Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, pada era mendatang dengan penjawat Ketua Kampung dan Penghulu sebagai pemimpin akar umbi daripada individu muda. Dicadangkan pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri untuk melantik konsultan profesional membuat pelan strategi dan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang bagi meningkatkan kemajuan Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, dipohonkan grant atau peruntukan khas kepada setiap Majlis Perundingan Mukim dan Kampung sekurang-kurangnya bernilai $20,000.00 setahun. Ini kerana peratus pencapaian kebangsaan MPK memajukan 1K1P masih rendah. Diharapkan peruntukan ini akan mampu memperkasa Projek 1K1P. Ini pun kalau belum ada perancangan yang dibuat oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; dan

  2. Di bawah Tajuk SE05A – Jabatan Buruh. Dicadangkan supaya umur pekerja asing dibenarkan di sektor-sektor tertentu diberikan sekatan kepada umur 30 tahun ke atas kerana apa yang dilihat belia muda asing mengisi jawatan-jawatan seperti juruwang, salesman, pelayan kedai kain dan lain-lain. Sekatan ini sebagai levy umur untuk menjadikan peluang belia Brunei lebih luas dalam sektor-sektor tertentu.

Sekian terima kasih, Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri

Terima kasih, Yang Berhormat Pengerusi dan terima kasih juga kepada Yang Berhormat.

  1. Cadangan bagi Majlis Perundingan Mukim dan Kampung ini membuat peta jalannya, pelan strateginya. Mengenai peruntukan-peruntukan bagi memperkasa 1K1P, ini memang pada masa ini berjalan tertakluklah kepada perancangan mukim atau kampung-kampung itu. Mereka mesti menghadapkan projeknya dahulu. Misalnya, satu mukim yang kita lihat sudah ada kemajuannya dari segi melahirkan dan menjual produknya dan memerlukan peningkatan dari segi dapur kerana mereka ini kalau tidak tentu dapurnya, mereka akan susah untuk mendapatkan pensijilan halal. Apabila dinilai dan dilihat ada keperluan tersebut, maka projek itu akan diberikan bantuan sejumlah yang dapat mereka berikan bagi memenuhi syarat-syarat dari pensijilan dan juga meningkatkan produknya nanti.

Perkara ini ada Jawatankuasa Pandu bagi 1K1P, jadi perkara-perkara ini juga nanti dapat diteliti oleh Jawatankuasa Pandu 1K1P, bagaimana lagi kita ini akan dapat memperkasa atau meningkatkan produktiviti sesuatu mukim atau kampung yang sudah membuktikan ia punya kejayaan.

  1. Mengenai Buruh, memang pada masa ini ada had-had umur. Bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat tadi, bila membincangkan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, bagi Kad Pengenalan Hijau ertinya orang luar, lebih 55 tahun. Dari segi perburuhan memang ada had-had umur, kalau ia buruh biasa sahaja, 55 tahun. Lebih 55 tahun tidak boleh lagi bekerja di sini. Kalau ia profesional, maka ia akan ditimbangkan melebihi 55 tahun. Misalnya, para profesional sampai 58 tahun. Kalau ia teknikal boleh sampai 60 tahun. Tadi barangkali kalau pemegang syarikat itu, kalau ia menjadi partner kepada syarikat itu, boleh juga melebihi 55 tahun. Jadi, ini ada had-had umur yang sudah ditentukan dalam menimbangkan lesen pekerjaan, penyambungan bagi pekerja-pekerja asing di negara ini.

Terima kasih. Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Saya persilakan Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd. Siput.

Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd. Siput

Terima kasih. Yang Berhormat Pengerusi. بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Yang Berhormat Pengerusi, kaola lebih dahulu merakamkan penghargaan dan terima kasih serta tahniah yang setinggi-tinggi atas pembentangan serta penerangan lengkap mengenai peruntukan di bawah Peruntukan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya. Kaola suka membawa di bawah Tajuk SE07A – Pejabat Daerah Belait, Kod/Akaun 003-000 – Pembangunan luar Bandar.

Peruntukan Jabatan Daerah Belait bagi tahun 2022 hingga 2023 yang berjumlah kira-kira $4,453,010.00 itu sejajar dengan usaha Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui Jabatan Daerah Belait dalam mengekalkan dan merancang pembangunan infrastruktur serta mengemaskinikan lagi logistik di kawasan luar bandar. Kaola suka bertanya:

  1. Apakah lagi perancangan yang akan dilaksanakan bagi pembangunan luar bandar dengan bajet yang disediakan tersebut.

  2. Bagi memantapkan lagi dan sebagai usaha yang berterusan dalam mengukuhkan ekonomi penduduk kampung dan mukim di kawasan pedalaman dan bagi menyokong cadangan Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari tadi, kaola juga mengusulkan bagi jabatan-jabatan daerah melalui skim IKIP dapat mewujudkan Program Desa Lestari bagi menumpukan kepada pengukuhan aktiviti ekonomi yang dikendalikan oleh Majlis Perundingan Kampung dan Mukim berdasarkan potensi khusus mereka.

Sekian disampaikan Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri

Terima kasih. Yang Berhormat Pengerusi. Terima kasih kepada Yang Berhormat.

  1. Mengenai luar bandar di Kuala Belait. Ini diselaraskan oleh daerah-daerah. Tetapi apa yang nyata dengan bajet yang ada itu kita terpaksa membuat keutamaan (priority) bagi kawasan-kawasan yang berkenaan. Umpamanya di Kuala Belait ini ada pernah ditimbulkan masalah dengan jalan kecil. Jadi, dengan peruntukan yang ada, atas kebijaksanaan Pegawai Daerah dengan perundingan melalui Penghulu-Penghulu dan Ketua Kampung dan agensi-agensi berkenaan akan dapat berusaha menggunakan bajet atau peruntukan yang ada itu bagi tujuan-tujuan yang dikira keutamaan di kawasan-kawasan tersebut; dan

  2. Mengenai ekonomi mukim dan kampung, Program Lestari sebagaimana jua dinyatakan tadi إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهِ kita akan berusaha untuk mengenal pasti jenis-jenis program yang dapat dilaksanakan. Dalam melaksanakan program-program begini adalah mustahak kita dapat memaksimumkan kemudahan-kemudahan yang ada bukan saja dalam agensi kerajaan tetapi juga melalui juga syarikat-syarikat GLC. Umpamanya keperluan bagi daerah atau mukim itu mempunyai central kitchen. Jadi, kita sudah tahu ada di antara GLC ini mempunyai central kitchen mereka dan mempunyai kapasiti yang berlebihan yang boleh ditawarkannya kepada mukim-mukim dan kampung-kampung.

Kita tidak payah membina atau membuat central kitchen sendiri, tetapi berusaha bagaimana mereka ini menggunakan kemudahan yang sedia ada di syarikat-syarikat lain dan dengan cara ini apa jua peruntukan yang ada disediakan di kementerian akan dapat dioptimumkan bagi mengukuhkan ekonomi.

Dalam hubungan inilah, bagi 1K1P ini kita bekerjasama hari itu dengan BIBD untuk melatih pengusaha-pengusaha ini dan saya kagum dengan peserta dari Daerah Belait jauh daripada Teraja. Bayangkan jauh Teraja ke Bandar Seri Begawan untuk menghadiri woksyop pada hujung minggu, 3 hari seminggu. Bayangkan mereka ini mempunyai dedikasi. Begitu juga dengan peserta dari Kampung Mumong, Daerah Belait bukan orang muda-muda, orang yang sudah berumur lebih 50 tahun tetapi punctual hadir.

Ini memberikan cabaran kepada peserta-peserta di Daerah Brunei dan Muara yang dekat dengan tempat kita mengendalikan bengkel ini. Sebab itu, ia memerlukan komitmen dan saya kira barangkali Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dapat memperkasa komitmen, dedikasi peserta-peserta seumpama ini. Jadi, kerana itulah mereka ini berjaya yang saya nyatakan tadi, iaitu selepas mereka mengikuti transformasi. Dalam transformasi itu bukan saja mereka itu mentransform produknya tetapi juga yang penting ialah menguruskan kewangannya. Itu aspek yang penting. Satu barangkali kekurangan kita selalu hadapi ialah pengurusan kewangan. Jadi, berharap barangkali dengan sokongan penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung perkara ini akan dapat kita jayakan إن شاء الله.

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Saya persilakan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim

بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين، والصلاة
والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين
سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi kerana memberikan kaola peluang untuk membahaskan Tajuk Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Kaola akan menyentuh tajuk yang melibatkan jabatan-jabatan daerah dan juga Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, iaitu di bawah Tajuk SE06A hingga Tajuk SE09A - Pejabat Daerah Brunei dan Muara.

Kaola mengambil maklum dengan adanya Skim Baharu bagi Penghulu Mukim dan Ketua Kampung dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri sedang giat melaksanakan proses pengisian kekosongan jawatan-jawatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung. Dalam hubungan ini, Kaola suka membawakan usul agar institusi penghulu mukim dan ketua kampung sebagai pemimpin akar umbi akan lebih diperkasakan dengan menyuntikkan semangat dan nafas baharu dalam urus tadbir yang lebih cekap dan selari dengan keadaan semasa termasuk dari segi memberikan ilmu pengetahuan kepada para penghulu mukim dan ketua kampung dan mendedahkan mereka kepada ilmu pentadbiran, pengurusan dan yang berkaitan dengan mengadakan program-program khusus seperti seminar-seminar dan seumpamanya yang bersesuaian. Tidak lupa juga mengadakan program-program bagi memantapkan pengetahuan dan ilmu para pemimpin ini dalam hal-ehwal yang berkaitan dengan penghayatan falsafah Melayu Islam Beraja supaya pemimpin akar umbi ini dapat menjadi contoh kepada rakyat yang dipimpin mereka di kampung-kampung dan mukim-mukim mereka.

Perkara ini Kaola rasa amat penting kerana “kepimpinan melalui teladan” adalah sebaik-baik polisi dan akan mewujudkan suasana kepercayaan kepada pemimpin mereka daripada orang-orang kampung kerana pemimpin adalah contoh kepada anak-anak kampung. Dalam setiap apa yang dilakukan atau diperkatakan oleh pemimpin itu akan menjadi contoh mereka dan senanglah pemimpin akar umbi ini menjadi mata dan telinga kerajaan. Itu sahaja Yang Berhormat Pengerusi. Semoga dapat memberikan nafas baharu kepada institusi penghulu mukim dan ketua kampung. Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi dan terima kasih kepada Yang Berhormat atas usul atau cadangan bagi mengadakan program ataupun kursus-kursus yang boleh memperkasa, menambah ilmu pengetahuan, ilmu yang berkaitan dengan urus tadbir supaya penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung akan bertambah cekap lagi dalam melaksanakan tugas-tugas mereka di samping itu juga perlu mengamalkan dan menghayati falsafah Melayu Islam Beraja.

Sebenarnya, kursus-kursus sedemikian pernah diadakan tetapi secara berskala. Kementerian telah pun menyediakan satu program ataupun kurikulum yang lebih mantap lagi untuk diikuti oleh penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung yang baru berkhidmat dengan menyediakan modul-modul tertentu dan mereka ini dikehendaki untuk mengikuti modul-modul itu sepanjang tempoh yang ditentukan dan ini sebagaimana juga yang dicadangkan oleh Yang Berhormat mengandungi modul-modul pentadbiran, mereka mesti tahu akan General Order, tahu akan Financial Regulations, tahu akan falsafah Melayu Islam Beraja, pentadbiran menurut syariah, pelaksanaan Maqasid Syariah sebagai pemimpin.

Jadi, beberapa modul itu telah diteliti dan إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ kita ni jua akan menjemput untuk sosialise perkara ini dengan penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dan mereka yang berpengalaman untuk meneliti akan kesesuaiannya sebelum ia dilaksanakan. Ini merupakan satu penambahbaikan daripada kursus-kursus atau program-program seminar yang pernah dilaksanakan dulu sebelum ini. Terima kasih Yang Berhormat. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri menyambut baik akan cadangan tersebut. Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Akhir sekali saya persilakan Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis.

Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ, kaola ingin merujuk di bawah Tajuk SE01A – Jabatan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Dalam perkara ini sukacita mengetahui apakah bentuk perancangan baharu kementerian untuk ke hadapan bagi membantu mengurangkan sedikit sebanyak pengangguran dan menggalakkan lebih ramai lagi belia untuk berkecimpung dalam mengusahakan Satu Kampung Satu Produk (1K1P). Seterusnya bagaimana cara kementerian memastikan bekalan Satu Kampung Satu Produk (1K1P) akan berterusan menjana ekonomi pengusahanya dan bagaimana cara mengawal akan kualiti hasilnya?

Sekian sahaja Yang Berhormat Pengerusi. Terima kasih.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi dan terima kasih Yang Berhormat atas soalan yang dikemukakan.

Perkara yang berkaitan dengan masalah pengangguran itu dapat diteliti ataupun diaddress oleh beberapa agensi kerajaan dan khususnya pada masa ini ialah Manpower Employment Council. Sejauh yang berkaitan dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri memanglah hasrat kitani dulu, kalau sekiranya Program 1K1P itu berjaya sebagai satu program ekonomi mukim dan kampung. Ia sekurang-kurangnya dapat menyediakan pekerjaan kepada belia. Ini saya lihat, contohnya seperti mukim-mukim yang telah menjadikan produk pelancongan sebagai produk mereka.

Begitu juga dengan produk makanan, umpamanya di Batu Apoi, Daerah Temburong proses membuat ‘ambulung’ tetapi juga ia punya spin-off dari ‘ambulung’ ialah membuat biskut ‘ambulung’ dan sebagainya. Dalam memproses rumbia itu untuk menjadikan ia 'ambulung' itu beberapa orang belia telah pun bekerja yang sebahagiannya part time ada yang full time. Inilah yang kita harapkan. Semua ini menghendaki kerjasama sokongan bagaimana kita ini dapat melaksanakannya.

Dalam mukadimah saya tadi, saya ada menyentuh mengenai kemudahan prasarana di bandar-bandar untuk memberikan kemudahan kepada mereka yang bergiat dalam bidang perniagaan, gerai-gerai misalannya akan dapat menggunakan kemudahan-kemudahan yang ada. Masalahnya kita ini ialah untuk mengenal pasti siapa yang benar-benar berminat untuk menceburi bidang-bidang tersebut. إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ kalau ada kesepaduannya dari semua pihak yang berkenaan perkara-perkara ini akan dapat kita ini tangani bersama. Barangkali itu jawapan kaola mengenai sejauh mana kementerian dapat menyumbang ke arah menyediakan jua peluang pekerjaan kepada belia yang menganggur ini. Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Terima kasih Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang telah pun menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya kira ada baiknya sekarang tajuk ini kita undi.

Ahli-Ahli Yang Berhormat yang bersetuju supaya tajuk ini diluluskan. Sila angkat tangan.

(Semua Ahli mengangkat tangan tanda bersetuju)

Terima kasih. Nampaknya semua Ahli bersetuju.

Yang Dimuliakan Jurutulis

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Tajuk SA01A hingga Tajuk SA12A dijadikan sebahagian daripada Jadual.

Yang Berhormat Pengerusi

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya kira cukuplah kita berbincang mengenai tajuk di bawah Rang Undang-Undang (2022) Perbekalan, 2022/2023 dan dengan itu saya tangguhkan Mesyuarat Jawatankuasa ini dan kita beralih bersidang semula di Persidangan Majlis Mesyuarat Negara.

(Mesyuarat Jawatankuasa ditangguhkan)

(Majlis Mesyuarat bersidang semula)

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita telah pun bersidang dalam Jawatankuasa sepenuhnya pada pagi ini, maka saya ingin menangguhkan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara ini dan kita akan bersidang semula pada petang nanti pada pukul 2.30 petang sebagaimana biasa.

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية، و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)

(Majlis Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang)

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sebagaimana yang sedia kita maklum pada sebelah pagi tadi kita telah meneliti Rang Undang-Undang (2022) Perbekalan, (2022/2023), di Peringkat Jawatankuasa dan kita telah pun berjaya meluluskan beberapa buah tajuk. Maka bagi membolehkan kita berbincang dan meneliti tajuk-tajuk seterusnya, saya tangguhkan dahulu Majlis Mesyuarat Negara ini untuk kita balik bersidang di Peringkat Jawatankuasa.

(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)

(Mesyuarat bersidang sebagai Jawatankuasa)

Yang Berhormat Pengerusi

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، والصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Majlis sekarang bersidang dalam Peringkat Jawatankuasa sepenuhnya bagi membolehkan kita meneruskan menimbangkan Rang Undang-Undang (2022) Perbekalan, (2022/2023) satu per satu sebagaimana yang kita maklum undang-undang yang berkenaan yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II sedang dalam perbincangan kita.

Sekarang kita menyambung semula untuk membincangkan dan membahaskan tajuk-tajuk seterusnya.

Yang Dimuliakan Jurutulis

Tajuk Kementerian Pendidikan iaitu Tajuk SF01A hingga Tajuk SF06A.

Yang Berhormat Pengerusi

Ahli-ahli Yang Berhormat. Majlis sekarang selanjutnya akan membahaskan dan membincangkan Kementerian Pendidikan.

Sebelum tajuk ini saya bukakan untuk diteliti dan dibahas. Saya ingin memberikan laluan kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan untuk memberikan penjelasan tentang dasar dan objektif kementeriannya dalam penyediaan Anggaran Belanjawan Kewangan bagi kementerian yang berkenaan ini.

Saya sekarang mempersilakan Yang Berhormat Menteri Pendidikan.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ الْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ. السَّلامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera.

Yang Berhormat Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Tahun Kewangan 2021/2022 merupakan tahun yang mencabar bagi semua pihak termasuk sektor pendidikan dengan gelombang kedua pandemik COVID-19 yang bermula pada bulan Ogos 2021.

Belajar dari pengalaman gelombang pertama, Kementerian Pendidikan telah sedaya upaya berusaha untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan pelajar dan warga sekolah serta kementerian terjaga dan diberikan keutamaan dalam melaksanakan Business Continuity Plan (BCP) yang bersesuaian berdasarkan dengan keadaan semasa.

Untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan semasa penutupan sekolah, pendekatan pengajaran atau pembelajaran di rumah atau Home Base Learning secara dalam talian melalui berbagai-bagai landasan telah dilaksanakan. Kementerian Pendidikan mengambil maklum akan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh berbagai pihak semasa pelaksanaan pendekatan tersebut termasuk kemahiran dan kompetensi serta kekurangan sumber seperti alat peranti dan data Internet terutama sekali bagi keluarga yang kurang berkemampuan.

Pada masa yang sama, Kementerian Pendidikan juga mengambil maklum cabaran pengajaran secara dalam talian dari segi penggunaan data Internet dan juga kemahiran menggunakan aplikasi pengajaran yang bersesuaian.

Sehubungan dengan itu, beberapa inisiatif telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan dan salah satu daripadanya ialah usaha sama dengan pelbagai pihak bagi menyediakan peranti data Internet kepada semua guru-guru dan juga pelajar yang memerlukan.

اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, guru-guru juga telah diberikan ‘elaun tambahan’ sebanyak $20.00 setiap bulan bagi kegunaan pembelian data Internet untuk kegunaan pengajaran. Manakala pelajar-pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan telah diberikan data Internet sebanyak 10GB setiap bulan.

Usaha-usaha ini selaras dengan objektif-objektif strategik Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan kerjasama dan sokongan padu berbagai-bagai pihak berkepentingan dan juga untuk menyediakan akses yang sama dan saksama kepada pendidikan yang berkualiti.

Yang Berhormat Pengerusi dan Ahli-ahli Yang Berhormat.

Kementerian Pendidikan dan jabatan-jabatan di bawahnya mengucapkan menjunjung kasih yang setinggi-tingginya kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kepercayaan dan sokongan dalam memperuntukkan sebanyak $583,726,080.00 bagi Perbelanjaan Tahun Kewangan 2022/2023 di bawah Tajuk Kementerian Pendidikan dan jabatan-jabatan di bawahnya. Dari jumlah tersebut sebanyak $426,778,270.00 disediakan untuk gaji kakitangan sementara $140,591,250.00 untuk Perbelanjaan Berulang-ulang dan Perbelanjaan Kemajuan $16,356,560.00. Jumlah peruntukan besar yang disediakan ini jelas menunjukkan betapa pendidikan merupakan satu keutamaan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam melahirkan sumber tenaga manusia yang berkualiti tinggi, selaras dengan Matlamat 1 bagi Wawasan Brunei 2035 iaitu: Melahirkan Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya.

Dengan yang demikian, Kementerian Pendidikan akan meneruskan usahanya dalam memberikan pendidikan holistik bagi mencapai potensi sepenuhnya untuk semua. إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ, dengan peruntukan ini, Kementerian Pendidikan akan memanfaatkan dengan penuh amanah dan sebaik-baiknya dengan berbelanja mengikut keutamaan dan penghasilan impak yang terbaik.

ٱلْحَمْدُ لِلَّٰهِ, melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan dalam mengharungi pandemik COVID-19 pelaburan pendidikan ini terus membuahkan hasil yang semakin positif khususnya apabila dilihat dari segi keputusan peperiksaan-peperiksaan awam bagi sekolah-sekolah peringkat rendah dan menengah di bawah Kementerian Pendidikan.

Bagi Penilaian Sekolah Rendah (PSR) tahun 2021 sebanyak 65.81% atau seramai 2,229 orang calon telah memperoleh gred 'A' hingga 'C' dalam 5 mata pelajaran iaitu peningkatan sebanyak 3.4% dari tahun sebelumnya. Bagi peperiksaan GCE 'O' Level dan IGCSE pula 51.3% atau seramai 2,199 calon telah memperoleh sekurang-kurangnya 5 'O' Level pada tahun 2021 iaitu peningkatan 8.51% dari tahun sebelumnya.

Keputusan GCE 'A' Level telah menunjukkan sebanyak 90.43% atau seramai 1,153 calon memperolehi sekurang-kurangnya 3 'A' Level. Jumlah peratus pelajar 'A' Level yang mendapat gred 'A' dan 'C' dalam sekurang-kurangnya 3 mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan kepada 41.6% pada tahun 2021. Dalam pada itu, peratus pelajar 'A' Level yang memperolehi straight point melebihi 240 point telah juga meningkat kepada 61.28% berbanding dengan 52.93% pada tahun sebelumnya.

Pencapaian-pencapaian yang diraih ini adalah berkat hasil usaha gigih para pelajar, guru, pemimpin sekolah, ibu-bapa dan seluruh warga Kementerian Pendidikan khususnya melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik pendidikan rendah dan menengah. Di samping itu, peningkatan jumlah pembangunan profesional secara berterusan para guru di setiap kluster pendidikan sejak kebelakangan ini adalah bukti betapa guru amat peka terhadap kualiti pengajaran mereka, yang hasilnya telah dapat kita lihat melalui pencapaian prestasi para pelajar yang kian meningkat dalam peperiksaan awam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Inisiatif-inisiatif strategik yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan tidaklah hanya tertumpu terhadap peringkat rendah dan menengah sahaja bahkan ia juga merentas ke peringkat pengajian tinggi. Di peringkat universiti, Universiti Brunei Darussalam telah meneruskan lagi kecemerlangan dengan buat julung kalinya pada tahun 2021 memasuki carta The Times Higher Education (THE) di kedudukan antara 351-400 World University Ranking 2022. Dalam QS World University Ranking pula, UBD telah meningkatkan kedudukan mereka dimana UBD telah berjaya naik kedudukan 250 universiti teratas dunia pada tahun 2022.

Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah diiktiraf sebagai institusi 'Four Plus Star Rating' dalam kategori universiti gunaan berdasarkan sistem penilaian Metrik Prestasi Universiti (UPM) yang diterajui oleh Universiti Kebangsaan Vietnam kerjasama ASEAN University Network (AUN). UNISSA juga menubuhkan Fakulti Pertanian yang terletak di Kampus Sinaut UNISSA yang telah mula beroperasi pada bulan Januari 2022.

Bagi Universiti Teknologi Brunei (UTB) pencapaian yang paling ketara di peringkat antarabangsa ialah penganugerahan 'Five Plus Star Rating' bagi kecemerlangan oleh QS. UTB juga berjaya meningkatkan kedudukannya di QS World University ranking 2022 pada posisi ke 344 dan antara 27% teratas dalam ranking berkenaan. Selain itu, Program Kejuruteraan Petroleum UTB telah mencapai kedudukan 150 ke atas dan QS Subjek Ranking. Semua pencapaian ini telah membuktikan bahawa universiti-universiti tempatan juga setaraf dengan universiti-universiti antarabangsa dari segi akademik, penyelidikan, reputasi majikan, nisbah pelajaran dan sebagainya di samping ia mencerminkan kualiti pengajian tinggi negara ini setanding dengan negara-negara luar.

Di peringkat Pendidikan Teknikal pula, Politeknik Brunei (PB) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) sentiasa komited dalam mewujudkan rangkaian kerjasama dan penglibatan dengan pihak berkepentingannya khusus Manpower Planning Employment Council (MPEC), Manpower Industry Steering Committee (MISC) dan sektor industri. Usaha ini bagi memantapkan lagi kualiti-kualiti program-program latihan yang dijalankan selain bagi memastikan program-program yang ditawarkan sejajar dengan keperluan negara dan industri.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ, melalui kerjasama rapat dan sokongan dari pihak berkepentingan, kadar kebolehpasaran (Employment Rate), graduan PB dan IBTE selepas 6 bulan dari konvokesyen telah menunjukkan peningkatan sebanyak 13.8% bagi PB, iaitu 55.5% pada tahun 2019/2020 kepada 69.3% pada tahun 2020/2021. Manakala bagi IBTE peningkatan sebanyak 7.1% iaitu 67.6% pada tahun 2019/2020 kepada 74.7% pada tahun 2020-2021.

Dengan sokongan padu dari semua pihak melalui pendekatan Whole of Nation segala usaha meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran graduan di peringkat teknikal mahupun dipengajian tinggi إِنْ شَاءَ اللهُ akan dapat dilipatgandakan.

Yang Berhormat Pengerusi, Ahli-ahli Yang Berhormat.

Di sebalik pencapaian yang peramba / kaola / saya kongsikan tadi masih usaha-usaha yang perlu terus dilaksanakan dalam menghasilkan sistem pendidikan yang berkualiti tinggi yang merangkumi kualiti sumber tenaga manusia yang cemerlang, pemberian akses pendidikan yang sama dan saksama serta kerjasama erat dengan pihak berkepentingan dalam pembangunan pengajaran dan pembelajaran.

Dalam hubungan ini sukacita dikongsikan bahawa antara projek-projek yang akan dilaksanakan pada Tahun Kewangan 2022/2023 khususnya dalam mentransformasikan sumber tenaga manusia yang ada ke arah budaya yang berasaskan prestasi di bawah Objektif Strategik I, Pelan Strategik, Kementerian Pendidikan 2018-2022 ialah:

  1. Peningkatan kemahiran dan kapasiti khususnya bagi program perkembangan profesional untuk tenaga-tenaga pengajar, pemimpin-pemimpin sekolah dan tenaga kerja di jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pendidikan.;

  2. Kementerian Pendidikan melalui Akademi Kepimpinan dan Guru-Guru Brunei BDLTA bertanggungjawab dalam menyediakan dan mengendalikan program-program bagi Tenaga Pengajar dan Pemimpin Sekolah. Bagi Tenaga Pengajar, Unit Tenaga Pengajar di bawah BDLTA telah mereka bentuk Program Perkembangan Profesional yang berpaksikan dua domain iaitu Pengetahuan dan Kemahiran Profesional serta Penglibatan Profesional dan 6 standards atau piawaian pendidikan. Kursus-kursus yang disediakan bertujuan membentuk dan membangun kompetensi atau Competency based Training Modules for Signature Series yang berdasar 17 kompetensi pengajaran yang terdapat dalam Brunei Teachers Standard-Teacher Performance Appraisal 2.0.;

  3. Sementara itu, Unit Kepimpinan Sekolah di bawah BDLTA pada masa ini juga telah menyediakan dan melaksanakan 4 Tier Signature Programme bagi peringkat kepimpinan. Program-program ini direka bagi membangun kapasiti dan kompetensi pemimpin-pemimpin sekolah pada setiap tahap sepanjang karier mereka agar mereka mampu menjadi pemimpin yang berwawasan, boleh merancang dan mentadbir secara strategik, berkemampuan untuk mentadbir perubahan, mengurus sumber manusia strategik terutama sekali mampu menjadi pemimpin instruksional di sekolah masing-masing.

  4. Selain tenaga pengajar dan pemimpin sekolah, pihak BDLTA melalui Unit Kepakaran Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kerjaya juga menyediakan Program Perkembangan Profesional bagi membangun kompetensi tenaga pengajar yang dikenal pasti bagi memenuhi keperluan jabatan-jabatan dalam Kementerian Pendidikan menerusi bidang yang berkaitan dengan Perkembangan Kurikulum, Penilaian dan Peperiksaan, Penyeliaan (Kenaziran), Penyelidikan Pendidikan, Pendidikan Khas, Teknologi Pendidikan dan Pengurusan Sumber Tenaga Manusia.

  5. Di samping meningkatkan kompetensi dalam kalangan tenaga pengajar dan pemimpin-pemimpin sekolah, pihak kementerian juga mengambil maklum terhadap cabaran-cabaran yang dihadapi oleh mereka terutama apabila gelombang-gelombang wabak COVID-19 melanda yang menyebabkan ada sebahagian kalangan tenaga pengajar dan pemimpin sekolah menghadapi tekanan (stress), kemurungan dan kecelaruan yang boleh mengganggu kesihatan mental mereka. Sehubungan itu, pihak Kementerian Pendidikan telah membentuk satu unit baharu dikenali sebagai Unit Kesejahteraan Pemimpin Sekolah dan Tenaga Pengajar di bawah seliaan Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan.

  6. Di peringkat pengajian tinggi pula, pembentukan Rangka Kerja Kompetensi Pemimpin Pengajian Tinggi yang akan diasaskan dalam melaksanakan pengurusan sumber-sumber tenaga manusia di tahap yang berkualiti bagi pemimpin di institusi pengajian tinggi awam di bawah Kementerian Pendidikan akan diteruskan; dan

  7. Pembentukan Pelan Latihan dan Pembangunan IBTE yang mengandungi rangka kerja kompetensi teras IBTE bagi pemimpin pengurusan dan pengajar yang menyediakan peta jalan untuk melatih pemimpin dan pihak pengurusan tenaga akademik dan staf sokongan dalam kompetensi teras akan terus dilaksanakan melalui akademi TVET di IBTE. Rangka Kerja yang sama juga turut giat dibentuk oleh Politeknik Brunei dalam melengkapkan sumber tenaga manusia di institusi berkenaan dengan kompetensi kemahiran yang memenuhi piawaian industri.

Manakala projek-projek utama yang akan dilaksanakan bagi Tahun Kewangan 2022/2023 di bawah Objektif Strategik II iaitu untuk menyediakan akses yang sama dan saksama kepada pendidikan berkualiti seperti yang berikut:

  1. Meneruskan dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan pengeluaran aset di institusi-institusi pendidikan iaitu di sekolah-sekolah rendah, menengah, maktab dan pusat-pusat tingkatan enam termasuk juga di institusi-institusi pengajian tinggi dengan menaik taraf bangunan dan pelaksanaan pemeliharaan komprehensif melalui projek Facility Management. UBD dan IBTE juga akan melaksanakan projek Facility Management di institusi masing-masing dari Tahun Kewangan 2022/2023, dan إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ akan juga dilaratkan penggunaannya di institusi yang lain pada tahun-tahun yang datang sebagai salah satu program fiscal consolidation yang dilaksanakan secara menyeluruh di Kementerian Pendidikan; dan

  2. Pemeliharaan sistem komputer bagi sekolah-sekolah dan jabatan-jabatan. Mengambil kira penularan wabak COVID-19 dan juga inisiatif Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan Blended Learning serta mempertingkatkan kompetensi sumber manusia ke arah work and future ready. Selaras dengan Pelan Tranformasi Digital Kementerian Pendidikan, beberapa projek akan dilaksanakan seperti yang berikut:

i. Projek Perolehan Komputer melalui kontrak induk IT Central Procurement 3 daripada Pusat Kebangsaan e-Kerajaan akan terus dilaksanakan bagi tujuan penggantian semua alat peranti termasuk komputer dan desktop komputer riba di sekolah-sekolah rendah dan menengah di Kementerian Pendidikan.

ii. Projek pembekalan komputer riba serta data Internet kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dan semua tenaga pengajar dari sekolah-sekolah kerajaan agar pengajaran dan pembelajaran berasaskan rumah (home based learning) dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

iii. Projek Penaiktarafan Infrastruktur Rangkaian Kementerian bertujuan menyedia, mengurus, memelihara dan memantau prasarana rangkaian bagi jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pendidikan agar operasi kementerian akan lebih berkesan dalam melaksanakan tugas-tugas pentadbiran melalui penggunaan teknologi; dan

iv. Projek menggabungkan kandungan-kandungan video pengajaran dan pembelajaran ke dalam satu platform dalam talian bagi kegunaan guru-guru dan pelajar-pelajar agar bahan-bahan berkenaan dapat diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Ia juga akan diharapkan akan dapat menjadi sumber maklumat tambahan pada luar waktu kurikulum. Projek ini selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan dalam mengembangkan lagi pendekatan pembelajaran digital.

Projek-projek utama lain yang turut dilaksanakan pada Tahun Kewangan 2022/2023 di bawah Objektif Strategik II termasuk:

  1. Pengukuhan piawaian dan kurikulum Digital Literacy bagi memastikan pengetahuan dan kemahiran yang di pelbagai peringkat tersusun dan selaras dengan kurikulum antarabangsa; dan

  2. Memantapkan program pendidikan khas dengan terus menyediakan akses yang sama dan saksama kepada pendidikan berkualiti melalui penambahan Centre of Excellence atau Pusat Kecemerlangan yang mempunyai prasarana yang lebih sesuai bagi menampung keperluan fizikal dan kemudahan pembelajaran pelajar-pelajar berkeperluan khas.

Selain itu, dalam mengambil kira gelombang wabak COVID-19 yang telah melanda negara kita dan menyebabkan pengajaran dan pembelajaran terpaksa dilaksanakan melalui pelbagai kaedah pihak kementerian maklum mengenai implikasi perkara ini yang menyumbang ke arah Learning Deficit. Sehubungan dengan itu, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan akan terus meningkatkan kualiti dan memperkasa peraksanaan Program Learning Support. Ini merupakan satu usaha Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan kompetensi literacy dan numeracy dalam kalangan pelajar terutama sekali bagi golongan yang terkesan disebabkan pandemik.

Seterusnya, mengkaji dan menyusun semula kurikulum dan program yang sedia ada dan menawarkan program-program baru di institusi-institusi pendidikan teknikal dan pengajian tinggi agar sentiasa relevan dan memenuhi keperluan industri. Melalui kerjasama rapat MPEC dan pihak-pihak yang berkepentingan. Ini termasuk program-program NTec dan HNTec dalam jurusan Perniagaan, Teknologi Maklumat, Geomatics dan Teknologi Tani di IBTE, program-program Diploma dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi Industri di Sekolah Petrokimia, Politeknik Brunei.

Di bawah Objektif Strategik III di Kementerian Pendidikan iaitu untuk meningkatkan perkongsian akauntabiliti dengan pihak berkepentingan dalam pembangunan pengajaran dan pembelajaran, projek utama yang akan dilaksanakan pada Tahun Kewangan 2022/2023 ialah:

  1. Peningkatan hubungan dua hala dengan Kementerian Pendidikan dan institusi pendidikan luar negara serta hubungan organisasi serantau dan antarabangsa melalui kumpulan kerjasama atau joint working group. Pihak Kementerian Pendidikan akan terus menjalinkan aktiviti-aktiviti kerjasama, perbincangan dan bertukar pendapat mengenai isu-isu pendidikan dan amalan-amalan terbaik dengan negara-negara sahabat.

  2. Meningkatkan sinergi dan penglibatan pihak industri kerajaan dalam penyelidikan, inovasi dan penempatan kerja bersama institusi-institusi pengajian tinggi di bawah Kementerian Pendidikan.

  3. Mempelbagaikan program-program dan kursus-kursus peningkatan kemahiran atau upskilling dan kemahiran semula atau reskilling di pusat pembelajaran sepanjang hayat dengan kerjasama institusi-institusi pendidikan teknikal dan pengajian tinggi bersama MPEC dan pihak berkepentingan yang lain.

Yang Berhormat Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Penglibatan berterusan Ahli-Ahli Yang Berhormat, para ibu bapa penjaga dan masyarakat adalah amat diperlukan sepertimana yang dapat kita alami semasa mengharungi wabak COVID-19.

Marilah kita sama-sama mendukung misi kementerian ini: “Untuk Memberikan Pendidikan Holistik Bagi Mencapai Potensi Sepenuhnya Untuk Semua” bagi mencapai misi “Pendidikan Berkualiti Negara Dinamik”.

Sekian dan kaola mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Yang Berhormat Pengerusi kerana memberi kesempatan untuk menyampaikan mukadimah ini.

وبالله التوفيق والهداية، و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.

Yang Berhormat Pengerusi

الحمد لله, kita mengucap terima kasih kepada Menteri Pendidikan yang telah memberikan keterangan secara mendalam dan jelas tentang perancangan serta dan hala tuju bagi kementeriannya. Maka dengan itu saya sekarang ingin membuka tajuk ini supaya dibincangkan dan saya mulakan dengan mempersilakan Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari.

Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Pengerusi. Kaola membawa di bawah Tajuk SF03A - Universiti Islam Sultan Sharif Ali. Dicadangkan hendaknya Program Fakulti Pertanian UNISSA mempunyai pelan tindakan komprehensif dan menjamin kualiti program kebolehpasaran pelajar sama ada mendapatkan pekerjaan atau menjalankan agribisnes.

Melalui program fakulti ini harus pihak UNISSA dapat menjangkakan peratus penuntut sebagai tenaga mahir untuk bekerja dalam industri pertanian dan industri lain. Peratus penuntut yang berminat menyambung pengajian dan sekurang-kurangnya 10% untuk menjadi usahawan. Negara sangat beruntung mempunyai pengusaha agribisnes daripada individu yang berkualiti dan berpengetahuan Islam.

Pihak UNISSA mungkin sudah memastikan setiap program yang ditawarkan mempunyai akreditasi yang sewajarnya. Mohon transparency pihak UNISSA bagi meningkatkan maklumat kepada orang ramai khususnya para belia untuk lebih berminat untuk memasuki UNISSA dalam fakulti pertanian; dan

Di bawah Tajuk SF04A - Universiti Teknologi Brunei. Apakah peranan UTB membantu dalam pembangunan sektor pertanian dan perikanan memandangkan UTB sebuah universiti teknologi, adakah UTB sudah mereka cipta jentera yang efektif dan praktikal dalam usaha pembajakan tanah penanaman, perairan, pembajaan, penuaian padi yang menjadi sumber asasi negara? Kita mengetahui sudah banyak bijak pandai kita ni dari dalam dan luar negara yang seharusnya membuat perancangan dalam penyediaan alat teknologi praktis bagi membantu pembangunan ekonomi negara.

Sekian, terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan

Terima kasih, Yang Berhormat Pengerusi. Terima kasih, Yang Berhormat mengenai soalan tersebut. Bagi menjawab soalan pertama mengenai Fakulti Pertanian UNISSA.

  1. Fakulti Pertanian UNISSA baru ditubuhkan pada 28 Januari 2021 dan ia dalam proses pembangunan dan masa ini sedang melaksanakan Program Sains Pertanian dan agribisnes di peringkat Sarjana, Sarjana Muda dan Phd. Untuk makluman bersama, pada masa ini seramai 15 mahasiswi dan mahasiswa yang mengikuti program Bachelor Of Science In Agriculture dan Agribusiness dan juga seorang mengikut Master in Agribusiness By Research. Beberapa program lagi sedang dalam proses untuk ditawarkan dan disenaraikan dalam perancangan strategik bagi jangka masa 5 tahun akan datang. Bidang-Bidang ini termasuklah Agriteknologi, Aqua Culture, Poultry Culture, penternakan dan veterinary dalam penubuhan itu. Di samping itu juga perlu diambil kira penubuhan ini memerlukan kemudahan makmal yang sesuai bagi tujuan penyelidikan dan pembelajaran.

Kurikulum program-program yang disenaraikan di fakulti pertanian ini telah dirangka dengan melibatkan pakar-pakar dari luar negara pihak industri dan jabatan-jabatan berkenaan. Usaha ini adalah bagi memastikan kurikulum adalah sejajar dengan amalan di peringkat antarabangsa dan akan dikemas kini secara berkala dan bagi memastikan sejajarannya dengan keperluan industri dan ekonomi Negara Brunei Darussalam jua.

Selaku universiti Islam yang menjadikan Maqasid Syariah sebagai guiding principle dalam penyelidikan dan pembelajaran, adalah menjadi hasrat utama universiti dan fakulti yang masih muda ini untuk bergerak mengimbangi keperluan agama, masyarakat dan persekitaran serta perkembangan teknologi bagi menyokong perkembangan industri pertanian yang mampan. Perkembangan teknologi pertanian seperti Smart farming, Solar Farming dan juga seumpamanya memerlukan penyelidikan yang boleh memberikan faedah kepada para pengamal tempatan. Perkara-perkara ini juga akan diberikan kepada belia dan pelajar-pelajar kitani yang berminat dalam bahagian pertanian terutama yang dalam peringkat Tahun 11, 12 dan 13 dalam sistem pendidikan kitani.

Bagi menjawab soalan kedua dengan kontribusi UTB dalam sektor pertanian. Pihak UTB mempunyai program mengenai food science dan Agriteknologi dan ia telah pun melahirkan kumpulan graduan yang dalam sektor ini dan ia juga mempunyai penyelidikan yang berpaksikan kepada food science seperti packaging penyediaan makanan. Saranan daripada Yang Berhormat mengenai mungkin pihak UTB akan membuat penyelidikan dari segi pembajaan padi dan seterusnya diambil baik oleh Kementerian Pendidikan dan akan difikirkan tentang kesesuaiannya dengan pihak UBD.

Terima Kasih, Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Saya persilakan Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.

Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

بِسْمِ ٱللَّٰهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٱلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ ٱللَّٰهِ وَبَرَكَاتُهُ

Saya ingin menyentuh mengenai dua perkara untuk Yang Berhormat Menteri Pendidikan, iaitu Pengajian Tinggi. Menyentuh mengenai peruntukan yang diberikan untuk program-program agroteknologi di IBTE serta seperti yang dijelaskan Yang Berhormat Menteri Pendidikan tadi, UTB dan UNISSA menjalankan program agroteknologi:

  1. Bagaimanakah penyelarasan dilaksanakan mengenai perkara ini memandangkan kita ini ada 3 institusi pendidikan yang berlainan, menjalankan perkara yang lebih kurang sama dan mungkin hala tuju yang lebih baik ialah untuk menjadi sebuah sahaja universiti agroteknologi?; dan
  1. Menurut Akta Pendidikan, institusi pendidikan swasta khususnya pusat-pusat tuisyen perlu mempunyai sebuah premis yang sesuai dan memenuhi syarat-syarat tertentu. Namun disebabkan oleh wabak COVID-19 yang mempercepatkan lagi transformasi digital ini, apakah sudah tiba masanya untuk membenarkan pusat-pusat tuisyen ini beroperasi dalam talian sahaja bagi yang ingin menjalankan seperti cara tersebut dan tidak perlu mempunyai premis fizikal. Antara faedah-faedahnya ialah:

i. Mengurangkan kos operasi dan dapat menyediakan yuran tuisyen berpatutan dan rendah;

ii. Membuka peluang-peluang pekerjaan bagi para guru tuisyen terutama graduan-graduan baharu; dan

iii. Akses pada semua kerana tiada had fizikal seperti perjalanan untuk menghadiri kelas. Semuanya ini masih perlu ada syarat untuk mengendali dan demi memastikan kualiti penyampaian pendidikan mematuhi standard tertentu.

Terima kasih, Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi dan terima kasih Yang Berhormat mengenai dengan dua soalan tadi. Bagi menjawab soalan:

  1. Mengenai penyelarasan program dalam bidang pertanian. Pada masa ini sebanyak 15 program yang berkaitan dengan bidang pertanian dan agrimakanan termasuk agriteknologi yang ditawarkan oleh institusi-institusi pengajian tinggi awam dan institusi-institusi pendidikan teknikal. Untuk makluman bersama juga seramai 320 orang penuntut yang sedang mengikuti program NTEC, HNTEC, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana, Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pertanian dan Agrimakanan termasuk Agriteknologi di institusi-institusi pengajian tinggi ini pada sesi 2021/2022 ini.

Menyentuh penyelarasan tersebut, program-program yang ditawarkan adalah berlainan peringkat iaitu dari peringkat 3 hingga 8 sepertimana dalam rangka kerja kelulusan Brunei Darussalam punya qualification framework dan juga mempunyai berlainan fokus dan berbagai-bagai peringkat. Bagi peringkat yang sama seperti di UNISSA dan UTB, program UNISSA lebih kepada pendekatan perniagaan pertanian Islam dan UTB pula menjurus kepada sains dan teknologi pertanian dan agri makanan.

Kementerian Pendidikan akan sentiasa memantau agar tiada duplikasi dibuat di antara program-program pengajian yang ditawarkan di institusi tinggi awam di negara ini mengambil kira dari segi efficiency dalam peruntukan perbelanjaan.

  1. Mengenai sekolah tuisyen yang diadakan secara virtual. Sepertimana yang diperuntukkan dalam Akta Pendidikan dalam Penggal 210 sememangnya bagi pendaftaran sesebuah institusi pendidikan swasta perlu memenuhi beberapa kriteria bagi memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Dengan adanya penularan pandemic COVID-19 ini, pembelajaran secara dalam talian digunakan untuk memastikan pembelajaran-pembelajaran masih dapat diteruskan. Cadangan tadi adalah baik tetapi untuk menjaga kepentingan pelajar-pelajar sebagai consumer sekolah tuisyen, diperlukan juga sekolah tuisyen itu ada present secara fizikal. Jika ada sebarang perkara-perkara yang tidak diingini berlaku, pihak regulator seperti Kementerian Pendidikan akan dapat mengesan siapa-siapa yang bertanggungjawab mengenai perkara itu.

Ini sama dengan kes dalam e-commerce dalam regulate para-para peniaga dalam e-commerce itu. Itulah sebabnya diperlukan physical present. Dan sebenarnya mengenai dengan perkembangan teknologi, dua-dua sepatutnya diambil baik dan dipraktikkan agar dapat memperkembangkan juga perniagaan sekolah tuisyen ini dengan lebih dapat reach out pelajar-kepada pelajar-pelajar yang memerlukan secara virtual.

Sekian Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Saya persilakan Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon.

Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Pertama sekali tahniah setinggi-tingginya atas usaha Kementerian Pendidikan memberikan elaun kepada guru-guru dan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan untuk pembelian data Internet. Tahniah sekali lagi.

Yang Berhormat Pengerusi. Seterusnya Kaola sukacita merujuk projek-projek utama yang dilaksanakan pada Tahun Kewangan 2021/2022 di bawah Objektif Strategik II, Pelan Strategik Kementerian Pendidikan iaitu menyediakan akses yang sama dan saksama kepada pendidikan berkualiti yang telah dikongsikan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan di Dewan yang mulia ini sebelum ini.

Kurikulum dan mewujudkan kurikulum termasuk mata pelajaran teras seperti bahasa Inggeris dan matematik, dengan piawaian yang sedia ada. Kewujudan piawaian kurikulum bagi mata pelajaran sains dan penwujudan piawaian kurikulum bagi literasi kewangan dan literasi digital. Kaola ingin tahu:

i. Apakah perkembangan projek-projek yang disebutkan tadi hingga setakat ini?;

ii. Apakah perkembangan perancangan pihak terperinci pihak Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan kurikulum-kurikulum dan piawaian-piawaian baharu ini di sekolah-sekolah kerajaan di bawah Tahun Kewangan 2022/2023?; dan

iii. Jika projek-projek ini masih belum dijalankan, jangkaan bilakah pihak Kementerian Pendidikan akan melaksanakannya.

Demikian saja daripada kaola, Yang Berhormat Pengerusi, terima kasih.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi dan terima kasih juga kepada Yang Berhormat atas soalan-soalan tersebut. Mengenai projek penyemakan kurikulum ini, ianya ada delay sedikit disebabkan oleh pandemik COVID-19, di mana projek ini pada masa ini di dalam perundingan dan proses untuk appoint konsultan dan pakar-pakar yang diperlukan إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ ianya akan terjadi bulan Mac dan bulan April ini untuk proses penyemakan dan juga untuk review piawaian dan content kurikulum pada subjek-subjek yang telahpun dinyatakan tadi.

Dari segi perancangan terperinci dari Kementerian Pendidikan memang dalam proses mereview kurikulum seperti menyediakan piawaian dan juga menyemak Perisian. Ianya memerlukan pelbagai peringkat seperti diperlukan penyediaan resource-resource untuk pengajaran dan pembelajaran dan

memerlukan training kepada guru-guru dan pegawai-pegawai terlibat dalam proses review ini agar dapat kita transfer teknologinya dan juga know hownya agar di masa akan datang kita dapat membuat sendiri perkara-perkara ini.

Dan itulah yang ada dalam pelan terperinci dalam Kementerian Pendidikan di mana kaola memanggil pihak konsultan dan pakar-pakar untuk membangun kapasiti tersendiri agar dapat membuat dengan sendiri dan juga dapat membandingkan kurikulum kita dengan kurikulum-kurikulum negara-negara lain.

Untuk soalan ketiga, projek-projek ini إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ akan dapat kita laksanakan secara menyeluruh jika tiada aral, tidak berpanjangan pandemik ini pada tahun 2024. Ianya memerlukan perancangan terperinci dan tertakluk kepada segala steps dinyatakan tadi dapat dibuat agar pelaksanaannya akan teratur. Yang penting ialah perlaksanaan mengenai kurikulum dan piawaian ini akan dapat kita laksanakan secara teratur dan bersistematik.

Itu saja yang dapat dikongsikan, Yang Berhormat Pehin Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Saya persilakan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Awang Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Awang Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Penularan wabak COVID-19 membawa impak besar kepada pelbagai sektor di negara ini, dengan bidang pendidikan sama ada peringkat rendah, menengah mahupun pengajian tinggi tidak terlepas daripada kesannya.

Di Negara Brunei Darussalam, الْحَمْدُ للهِ Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Pendidikan telah berjaya mengatur beberapa strategi agar pembelajaran para pelajar dapat diteruskan melalui kaedah-kaedah pengajaran ataupun platform-platform pembelajaran secara dalam talian. Manakala pembelajaran secara fizikal pula dilaksanakan berpandukan kepada SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Kaola ingin bertanya, apakah inisiatif pihak Kementerian Pendidikan dalam memastikan tidak ada berlaku sebarang keciciran dalam kalangan pelajar dalam menerima pembelajaran mereka. Adalah dikhuatiri pelajar-pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan serta pelajar-pelajar kelainan upaya akan ketinggalan dalam sesi pembelajaran mereka atas sebab-sebab perkara yang bukan dalam kawalan mereka?

Adalah diharapkan agar para pelajar daripada golongan berkenaan akan dapat terus dipeduli supaya mereka juga dapat menikmati pembelajaran dan pendidikan yang sewajarnya baik pelajar-pelajar dalam peringkat rendah dan menengah tetapi juga termasuk pelajar-pelajar dalam peringkat pengajian tinggi peringkat teknikal dan vokasional.

Dalam pada itu, kaola juga ingin bertanya. Bagaimanakah keadaan kesejahteraan para guru sejak terjadinya gelombang kedua dan gelombang ketiga wabak COVID-19 ini?

Sememangnya dalam membudayakan norma baharu pengajaran dan pembelajaran, proses pelajaran dan pembelajaran para guru perlu bersifat dinamik, kreatif dan fleksibel. Sebarang isu dan cabaran perlulah ditangani dengan seeloknya agar ia tidak akan menjejaskan ataupun memberikan kesan negatif kepada pembelajaran dan komitmen guru-guru baik dari segi psikologi, emosi mahupun pencapaian akademik pelajar. Adalah diharapkan agar sokongan dan dukungan kepada para guru akan terus diberikan dengan sebaiknya.

وبالله التوفيق والهداية، والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Menteri Pendidikan

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi dan terima kasih juga Yang Berhormat atas soalan-soalan tersebut.

Bagi menjawab soalan mengenai inisiatif untuk mengurangkan atau menegah keciciran antara pelajar pihak Kementerian Pendidikan akan sentiasa memantau keberadaan pelajar-pelajar kita ini dalam sistem pendidikan kita ini, sebab itu juga beberapa inisiatif yang telah pun dinyatakan tadi dibuat seperti misalan kepada golongan pelajar yang kurang berkemampuan diberikan peranti dan juga data untuk mendapatkan akses yang sama dalam sistem pendidikan kita ini dan ini bukan dari segi peranti ada juga masih memberi dari segi bantuan pemakanan, ada juga diberikan kepada pelajar-pelajar yang memang dalam program harapan dan juga para guru sentiasa memantau keadaan pelajar-pelajar kita ini dan ia sentiasa dipeduli dan setiap sekolah akan diperlukan untuk memantau dan memelihara statistik yang ada agar tiada keciciran berlaku.

Dari segi pembelajaran juga telah pun disediakan beberapa program untuk memantau progress anak-anak kita ini dan juga dalam masa ini dalam peringkat rendah Kementerian Pendidikan masa ini membuat persediaan untuk menerima kembali pelajar-pelajar tahun 1 dan tahun 6 kembali ke sekolah dan ada disediakan Program Learning Support atau Program Peningkatan Pelajar untuk merangka tahap mereka pada masa ini dan diberikan penekanan atau pemantapan sebelum mereka dapat belajar mengikut kurikulum yang telah disediakan. Itulah inisiatif-inisiatif yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan agar kita ini dapat membantu pelajar-pelajar kita dari keciciran.

Mengenai dengan kesejahteraan para guru ini, terima kasih Yang Berhormat mengenai soalan itu. Ada berbagai-bagai inisiatif yang telah dibuat dan seperti yang dinyatakan tadi satu unit kesejahteraan pemimpin sekolah dan juga para guru telah pun dibuat kerana Kementerian Pendidikan menyedari akan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pemimpin sekolah dan para guru semasa pandemik ini terutama sekali dari segi kesihatan mental dan diharapkan unit ini dapat membantu para pemimpin sekolah dan para guru akan menggunakannya sebaiknya dan untuk membantu juga para guru dan pemimpin sekolah melaksanakan pekerjaan mereka sebaik mungkin. Telah pun diadakan pelbagai professional development programme untuk mereka dapat melaksanakan tugas-tugas mereka dalam suasana norma baharu terutama sekali membuat pengajaran dalam talian.

Itulah yang dapat dikongsikan buat masa ini Yang Berhormat Pengerusi. Terima kasih.

Yang Berhormat Pengerusi

Saya persilakan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد وعلى اله وصحبه أجمعين.

Yang Berhormat Pengerusi. Di bawah perbahasan Kementerian Pendidikan kaola sukacita memohonkan penjelasan dan pencerahan mengenai perkara-perkara yang berikut:

  1. Sudahkah dan berapa kerap kurikulum sekolah-sekolah rendah, menengah dan menengah atas dinilai semula?; dan

  2. Adakah kurikulum dan sukatan subjek sains dan sains sosial yang diguna pakai pada masa ini sudah dinilai semula? Adakah semasa membuat sukatan tersebut ia sudah dirujuk kepada sumber al-Quran dan hadith sebagai sumber utama falsafah Melayu Islam Beraja sebagai falsafah negara dan juga pendidikan? Persoalan ini kaola ajukan bagi memastikan kurikulum yang ada masa ini benar-benar relevan dan memenuhi aspirasi murni negara untuk menjayakan Wawasan Brunei 2035.

Sekian yang dapat kaola sampaikan untuk pencerahan Yang Berhormat Menteri Pendidikan dan kaola akhiri dengan atau kaola sedekahkan sebuah pantun untuk kitani. Senghaja kaola gunakan perkataan sedekah semoga ia bermanfaat jadi amal jariah kitani.

Buah mengkudu, buah bidara, Banyak faedah dan khasiatnya, Bersama menjayakan Wawasan Negara, Ilmu pengetahuan kunci kejayaannya.

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية. و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Menteri Pendidikan

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi dan terima kasih Yang Berhormat atas soalan-soalan ataupun permohonan pencerahan bagi soalan-soalan itu.

Bagi menjawabnya Kementerian Pendidikan akan sentiasa mengadakan penyemakan kurikulum-kurikulum sekolah itu secara berkala dan ia dibuat mengikut keperluan semasa juga dan masa ini misalnya subjek Sains dibuat penyemakannya mengambil kira perubahan zaman dan juga Revolusi Industri 4.0 dan juga subjek Sosial Sains itu juga diadakan dan mengenai adakah ia dirujuk juga mengikut kita ni punya falsafah dan juga al-Quran, Kementerian Pendidikan mengambil baik atas pandangan tersebut dan ia akan diambil kira dalam pembentukan komite dalam penyemakan subjek-subjek yang telah dimaksudkan tadi itu.

Setiap masa Kementerian Pendidikan akan terus membuat penyemakan kita ni punya kurikulum-kurikulum ini dan dalam masa yang sama juga kita ni ingin memperkasa pegawai-pegawai kita ni yang telah diamanahkan dalam membuat penyemakan kurikulum ini dan perkara-perkara ini akan dapat kita ni laksanakan dengan sempurnanya dan diharapkan apa sahaja yang telah pun dicadangkan tadi akan dapat diambil baik oleh Kementerian Pendidikan dan semoga kita dapat mencapai kehendak yang dimaksudkan.

Sekian Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu.

Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera. Terus sahaja kepada pertanyaan iaitu di bawah Tajuk SF04A – Universiti Teknologi Brunei (UTB). Pernah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah supaya program Master of Teaching dikaji semula. Ingin mengetahui tindakan dan perkembangan program berkenaan, adakah sudah dibuat penilaian dan keberkesanannya?

Seterusnya, seperti yang disampaikan oleh Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari tadi mengenai program di UTB adalah sebuah universiti teknologi sewajarnya sudah menyediakan produk bagi kemudahan masyarakat dan negara secara inovatif.

Soalannya, adakah UTB sudah membuat kajian keperluan asasi negara dan masyarakat berasaskan teknologi? Sebagai contoh alat pembuka buah-buahan, pembersih ikan, pembersih jentera, pemotong rumput untuk mencantikkan landskap dan sekitar dan lain-lainnya.

Sekian terima kasih.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi, terima kasih juga kepada Yang Berhormat. Jika tidak salah kaola juga, UTB dengan program Master of Teaching, mohon pencerahan daripada Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu sebelum abis kaola dapat menjawab tadi itu. Programnya tadi dikatakan program Master of Teaching.

Kalau itu, sebenarnya UTB belum ada program Master of Teaching, yang sebenarnya ini dilaksanakan oleh UBD (Universiti Brunei Darussalam). Pada masa ini UBD dalam peringkat penyemakan kurikulumnya dengan konsultan yang telah pun diappoint dari University of Melbourne. Prosesnya ini masa ini sedang berjalan dan diharapkan ia akan memberikan satu pembaikan dalam program itu yang dapat menepati keperluan industri pendidikan di negara kitani dan juga antarabangsa. Itu yang dapat dikongsikan Yang Berhormat Pengerusi.

Bagi soalan kedua mengenai dengan adakah UTB telah pun menghasilkan teknologi yang diperlukan untuk pembangunan ekonomi kitani seperti dalam perikanan. Buat masa ini, memang ada penyelidikan-penyelidikan dibuat dari peringkat UTB tapi untuk di peringkat ia dikomersialkan seperti yang telah pun dimaklumkan dalam permuzakarahan kitani yang lebih awal belum mencapai pada tahap itulah.

Jadinya, masih lagi dalam berbagai-bagai proses dari segi research dan juga mengetatkan dan juga commercializationnya itu. Ini satu proses yang kompleks dan juga panjang dan diharapkan nanti dalam masa terdekat ini, Universiti Teknologi Brunei akan berjaya membuat satu sumbangan yang dapat kitani banggakan pada masa yang terdekat ini.

Sekian Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit.

Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit

Terima kasih. بسم الله الرَّحْمَنِ الرَّحِيْم Kaola merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah yang setinggi-tingginya atas pembentangan mukadimah oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan yang sangat jelas dan komprehensif tadi.

Jadi, dalam Kementerian Pendidikan ini kaola bercakap di bawah Tajuk SF02A - Universiti Brunei Darussalam dengan jumlah peruntukan $77,342,530 iaitu khusus untuk Kod 003-000 - Institusi Akademik dan penyelidikan, jadi lebih kurang juga dengan Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu tapi ada pengkhususan.

Yang Berhormat Pengerusi, pertama kaola teringin hendak mengetahui kolaborasi UBD dalam penyelidikan mengenai isu biodiversiti dan alam sekitar dengan universiti-universiti terkemuka iaitu UBD sendiri yang kaola maklum menubuhkan consortium yang dinamakan e-Government Innovation Centre.

Kedua, adakah sudah kajian dilaksanakan secara saintifik terhadap herba-herba yang banyak tumbuh di negara ini untuk mengetahui khasiatnya? kerana herba-herba ini banyak berjualan di 'tamu-tamu' dan gerai-gerai tapi sayangnya masih dalam bentuk asalnya iaitu bentuk hirisan batang kayu, daun-daunan, akar dan kulit, belum diproses atau belum diketahui kandungan saintifiknya.

Jadi, kaola sarankan supaya pensyarah atau penuntut atau mana-mana jua dalam pihak kerajaan dapat bekerjasama dengan penjual-penjual herba ini bagi membantu mereka menaikan taraf produk mereka menjadi kapsul atau jus dalam botol yang menarik, disertakan dengan maklumat dalam artikel-artikel supaya ia dapat mengangkat lagi ranking UBD dalam arena antarabangsa.

Sekian, وبالله التوفيق والهداية و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Menteri Pendidikan

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi dan juga terima kasih kepada Yang Berhormat mengenai 2 soalan tersebut itu.

Bagi menjawab soalan mengenai herba-herba itu tadi, UBD memang ada membuat kajian dan juga diadakan taman herba kitani yang terdapat di kampus UBD pada masa ini. Tapi yang belum lagi dapat kitani ketengahkan ialah adakah ia dapat dikomersialkan dari penyelidikan yang dibuat ini.

Mereka pada masa ini membuat berbagai-bagai penyelidikan seperti penggunaan herba dalam mengganti penggunaan gula dan juga macam-macam lagi. Jadinya, diharapkan proses penyelidikan ini akan membuahkan produk-produk yang dapat kitani buatkan secara praktikal nanti.

Bagi soalan yang pertama mengenai kolaborasi UBD dalam isu biodiversiti, memang ada seperti yang kitani ketahui UBD ada Centre Biodiversity di Belalong, Temburong dan banyak kerjasama yang telah dibuat dengan universiti-universiti ternama di luar negara untuk accommodate penyelidik-penyelidik dari luar negara untuk membuatkan penyelidikan mengenai biodiversiti yang terdapat di dalam negara kitani, di pulau Borneo.

Kolaborasi-kolaborasi ini juga akan diteruskan dan diharapkan akan membuahkan macam-macam kolaborasi dan penyelidikan yang berguna bukan sahaja kepada negara kitani, dari seluruh dunia.

Sekian Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman.

Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ. Kaola akan menyentuh mengenai di bawah Tajuk SF01A – Jabatan Kementerian Pendidikan peruntukan yang diberikan $567,369,520. Pada fasa awal endemik ini kitani memulakan cara hidup dalam norma baharu. Melihat pada perkembangan situasi wabak COVID-19 yang masih lagi melanda negara kitani para ibu bapa pelajar khuatir tentang keadaan wabak tersebut. Maka haruslah jua kita hubaya-hubaya meskipun kita sudah pada fasa endemik. Salah satu inisiatif dan pandangan para ibu bapa demi mengurangkan peningkatan wabak COVID-19. Adalah cadangan sahaja Yang Berhormat Pengerusi untuk sementara waktu? Bolehkan kiranya para pelajar bersekolah secara fizikal pada hari Isnin, Selasa dan Rabu sahaja? Manakala hari Khamis dan Sabtu, belajar secara online.

Yang kedua, kaola ingin menyentuh mengenai dengan tajuk yang sama iaitu dalam Unit Pendidikan Khas. Adakah Unit Pendidikan Khas menyediakan peruntukan pembelian alat-alat bantuan bagi murid-murid berkeperluan khas kerana setentunya tidak sama antara satu murid dengan murid lain disebabkan oleh keperluan khas mereka, sebab melalui keluhan para guru pendidikan khas adanya kekurangan peralatan atau material ini.

اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ, guru-guru ini telah menggunakan wang sendiri demi melengkapkan keperluan agar anak-anak berkeperluan khas ini tidak ketinggalan dan beroleh pendidikan khusus. Kaola ingin bertanya apakah usaha Kementerian Pendidikan agar keperluan ini dapat disediakan tanpa menggunakan wang persendirian guru-guru?

Yang Berhormat Pengerusi. Yang ketiga kaola ingin menyentuh mengenai di bawah Tajuk SF03A dengan peruntukan yang diberikan $21,731,700. Soalan kaola antara matlamat penubuhan UNISSA ialah melahirkan ulama. Sejauh mana program UNISSA berjaya dan berkesan melahirkan ulama, berapa orangkah sudah graduan UNISSA boleh dikatakan sebagai ulama sejak penubuhannya?

Terakhir kaola menyentuh di bawah Tajuk SF02A peruntukan yang diberikan $77,342,530. Kaola ingin bertanya adakah kurikulum program-program UBD pada masa ini sudah dinilai keberkesanannya untuk keperluan dan pembangunan negara?

Sekian Yang Berhormat Pengerusi. وَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Yang Berhormat Menteri Pendidikan

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi dan juga terima kasih Yang Berhormat Mengenai 4 soalan yang diajukan. Cadangan dalam fasa endemik ini untuk persekolahan dilakukan pada hari Isnin, Selasa, Rabu secara fizikal dan juga pada hari Khamis dan Sabtu secara online. Ia akan dipertimbangkan dan juga akan dibincangkan dalam Taskforce Pendidikan dalam Jawatankuasa Pandu wabak COVID-19. Diharapkan ia akan dapat dibincangkan dengan lebih terperinci lagi buat masa ini. Terima kasih atas cadangan tersebut.

Bagi soalan kedua mengenai Unit Pendidikan Khas iaitu pembelian alat-alat bantuan khas. Memang ada peruntukan yang disediakan dan diharapkan kerjasama daripada guru-guru supaya dapat memberikan keperluan-keperluan tersebut dan akan dipertimbangkan dan jika perlu akan diberikan sebabnya. Memang ada peruntukan untuk pembelian alat-alat bantuan khas bagi Unit Pendidikan Khas.

Mengenai UNISSA dengan melahirkan ulama, kaola belum ada statistik dan mungkin akan menjawabnya secara bertulis, apakah pencapaian selama ini dari UNISSA dalam melahirkan ulama-ulama yang dimaksudkan.

Mengenai kurikulum UBD, sudahkan ia dinilai keberkesanannya, satu cara dalam kita menilai keberkesanannya ialah mengenai kajian Employer Satisfaction yang diadakan setelah 6 bulan ataupun 6 bulan dari konvokesyen yang pada masa ini pihak UBD pencapaiannya bolehlah menggalakkan.

Dari segi kurikulumnya, memang dalam proses. Universiti terdapat external examiner dari segi program-program yang mereka akan menilainya mengenai intipati kurikulum, adakah piawaiannya menepati ataupun sama dengan program-program terdapat di luar negara. Ini diadakan secara berkala.

Itu saja yang dapat dikongsikan Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Saya juga ingin menambah Yang Berhormat Menteri Pendidikan bahawa kita berbangga dengan kejayaan yang telah pun dicapai oleh UBD dalam world ranking dalam ranking universiti-universiti terkemuka di sebelah sini yang mana pencapaian ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai.

Jadi, itu memberikan kredibiliti yang sangat tinggi nilainya kepada universiti yang unggul seperti UBD. Saya juga ingin menekankan bahawa jika sekiranya kita sendiri tidak berbangga dengan universiti kita sendiri, dengan menyoalkan mengenai kedudukannya, maka apa pun yang kita buat tidak akan mencapai sasaran-sasarannya.

Yang Berhormat Pengerusi

Dipersilakan Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin.

Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Kaola juga ingin mengambil bahagian dalam permuzakarahan ini dan kaola sukacita ingin bercakap di bawah Tajuk SF01A - Jabatan Kementerian Pendidikan.

أَحْمَدُ الله sepanjang perbahasan yang telah diadakan, nampaknya Majlis Mesyuarat Negara yang mulia ini dalam Dewan ini berkisar dalam perkara pendidikan-pendidikan tinggi dan untuk mencapai ke arah tuju yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan.

Namun begitu elok juga kita melihat ke bawah, iaitu ke peringkat dasar sekolah-sekolah rendah supaya kita dapat mengingat kembali juga bagaimana sekolah-sekolah rendah pada tahun-tahun 50-an, 60-an awal 70-an dalam sekolah-sekolah dasar pendidikannya. Itu yang dikhususkan dalam bahagian pendidikan Ilmu Kejadian bak kata orang dahulu atau Ilmu Pertanian. Kalau zaman itu anak-anak sekolah mereka ini akan diberikan pendidikan-pendidikan di sekolah, belajar bertani dan sebagainya, salah satu mata pelajaran atau kegiatan setiap minggu. Namun begitu, perkara itu masa ini di sekolah-sekolah rendah tidak diadakan lagi. Sekarang kita mengenang semula bagaimana kepentingannya kepada salah satu sudut yang penting di negara kita iaitu bahagian pertanian, supaya anak-anak kita akan lebih awal berpengalaman bagaimana untuk bertani dan bercucuk tanam. Ia boleh membawa kepada peringkat ke atas lagi kerana sekarang kita sudah ada IBTE pertanian dan sebagainya. Mungkin minat itu akan menuju ke sana. Jadi, elok juga barangkali kita tunduk ke bawah semula kerana kita tinggi ke atas sudah dan selalu memandang ke atas. Tapi baik juga memandang ke bawah sedikit dan kalau dapat perkara itu dihidupkan semula sebagai salah satu untuk memberikan kemahiran awal kepada anak-anak dan negara kita supaya dapat berkecimpung dalam bahagian pertanian.

Barangkali, kaola mohon pencerahan dari pihak Kementerian Pendidikan untuk memberikan sedikit pencerahan dalam perkara ini. Yang Berhormat Pengerusi, itu saja yang kaola sampaikan.

Sekian, وبالله التوفيق والهداية، و السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Yang Berhormat Menteri Pendidikan

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi dan Yang Berhormat mengenai soalan pertanian di sekolah rendah.

Untuk makluman bersama, kurikulum kita memang ada di sekolah rendah dari subjek Sains, ada meliputi bahagian pertanian. Diajarkan sedikit sebanyak tentang pengetahuan dengan pertanian. Di sekolah-sekolah rendah juga ada mempunyai aktiviti-aktiviti pertanian sebagai niche activity. Seperti di Sekolah Rendah Sungai Liang, memang aktivitinya ada pertanian dan juga di sekolah menengah seperti di Sekolah Menengah Masin, ia punya tumpuannya ialah bahagian pertanian. Dari segi itu, ada sekolah-sekolah yang membuat pilihannya sendiri, apa aktiviti-aktiviti khusus yang mereka buat untuk menarik minat pelajar-pelajar. Selalunya ini dibuat apabila melihat persekitaran sekolah-sekolah itu yang ada komunitinya sekolah berminat dari segi pertanian dan aktiviti tersebut akan diambil kira oleh pihak sekolah jua. Itu yang dapat dikongsikan Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Saya juga ingin menambah bahawa sejak dari dulu memang penilaian standard kita tidak tertumpu dengan standard yang ada di dalam negeri sahaja. Kita biasanya membandingkan standard kita dengan standard orang yang lebih maju daripada kita. Pada misalannya baru-baru ini saya melihat bahawa Kementerian Pendidikan sudah mula mengikuti kaedah-kaedah seperti PISA yang kita membandingkan kedudukan kita dengan kedudukan negara-negara yang lain. Dapat kita lihat kedudukan kita sebenarnya dari segi mutu pendidikan yang kita sediakan untuk anak-anak yang bersekolah. Barangkali Kementerian Pendidikan terlalu agak sopan untuk menyuarakan perkara-perkara seperti ini; biarlah saya sebagai orang yang pernah duduk di Kementerian Pendidikan yang masih mengikuti perkembangan pendidikan. Saya melihat bahawa apa yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan boleh dikatakan berjaya, saya memberikan ucapan tahniah kepada mereka.

Dengan itu, saya kira cukuplah kita berunding mengenai dengan Jadual Kementerian Pendidikan ini dan masanya sudah tiba bagi kita untuk mengundi.

Ahli-Ahli yang bersetuju supaya Tajuk ini kita luluskan, sila angkat tangan.

(Semua ahli mengangkat tangan tanda bersetuju)

Terima kasih. Semua Ahli bersetuju. Tajuk Kementerian Pendidikan kita luluskan.

Yang Dimuliakan Jurutulis

Tajuk Kementerian Pendidikan iaitu Tajuk SF01A hingga Tajuk SF06A dijadikan sebahagian daripada Jadual. Tajuk Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan iaitu Tajuk SH01A hingga Tajuk SH06A.

Yang Berhormat Pengerusi

Ahli-Ahli Yang Berhormat, majlis sekarang berpindah kepada Tajuk Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan iaitu Tajuk SH01A hingga Tajuk SH06A dan sebagaimana lazimnya, saya ingin memberikan laluan dahulu kepada Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan untuk memberikan penjelasan tentang dasar dan objektif kementeriannya dalam menyediakan Anggaran Perbelanjaan yang berkenaan ini.

Saya sekarang persilakan Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين، والصلاة
والسلام على أشرف الانبياء والمرسلين
سيدنا محمد وعلى اله وصحبه اجمعين.

Yang Berhormat Pengerusi dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ dan salam sejahtera. Yang Berhormat Pengerusi. Terlebih dahulu kaola ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Pengerusi kerana memberi peluang kepada kaola untuk menyampaikan mukadimah sebelum membahaskan cadangan peruntukan bagi Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan bagi Tahun Kewangan 2022/2023.

Yang Berhormat Pengerusi, الحمد لله kaola menyambut baik peruntukan yang disediakan kepada Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan yang berjumlah $96.13 juta, iaitu termasuk sebanyak $31.38 juta sebagai Perbelanjaan Kemajuan bagi Tahun Kewangan 2022/2023.

Kaola juga mengalu-alukan cadangan bagi Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan untuk menggunakan peruntukan Perbelanjaan Berulang-Ulang sebanyak $24.61 juta, yang antara lain untuk membiayai projek-projek utama seperti berikut:

  1. Sekitar $9 juta disediakan di bawah Skim Pembelian Semula Padi, yang termasuk bagi membiayai pembelian biji benih hybrid untuk diagihkan kepada peladang-peladang padi, perkhidmatan pengeluaran benih ‘Titih’ dan lain-lain.
  1. Sekitar $1.3 juta disediakan bagi membiayai perbelanjaan bagi mendukung usaha ke arah meningkatkan hasil keluaran industri ternakan, antaranya bagi membiayai Program Pengiktirafan Akreditasi ISO/IEC 17025 bagi makmal perkhidmatan veterinar dan Program Menangani Wabak Penyakit Haiwan Berjangkit.

  2. Sekitar $1.8 juta disediakan bagi membiayai kerja-kerja pemeliharaan infrastruktur, bangunan, jentera serta peralatan pertanian, antaranya bagi membiayai kerja-kerja pemeliharaan jalan utama ladang, kerja-kerja pemeliharaan saliran dan longkang dan program pencegahan banjir dan lain-lain.

  3. Sekitar $3 juta disediakan bagi membiayai projek-projek untuk meningkatkan hasil dari industri tangkapan antaranya projek membina dan melabuh takat-takat tiruan serta ‘lawa-lawa’ di perairan negara.

Melalui perbelanjaan RKN-11 pula, kaola bersyukur kerana disediakan sebanyak $31.38 juta yang antaranya bagi membiayai projek-projek berikut:

  1. Sekitar $12.3 juta adalah Perbelanjaan Kemajuan Pertanian di bawah Program Pengeluaran Beras Negara iaitu sebanyak $10 juta untuk melaksanakan pembukaan kawasan penanaman padi fasa kedua di kawasan Kandol, Daerah Belait. Sebanyak $2.3 juta bagi membiayai projek-projek membina Skim Pengairan Tambahan Kawasan Penanaman padi seluruh daerah.;

  2. Sekitar $5 juta adalah bagi mendukung Peningkatan Keluaran Sayur-Sayuran menggunakan teknologi tinggi.;

  3. Sekitar $3 juta bagi mendukung Pembangunan Industri Ternakan.;

  4. Sekitar $7 juta bagi Perbelanjaan Kemajuan Perikanan iaitu $6 juta bagi membuka tapak-tapak bagi industri akuakultur dan $1 juta bagi membiayai Program Perkembangan Genetik dan Pembiakan Selektif Ikan bagi meningkatkan produktiviti industri akuakultur.;

  5. Sebanyak $732,000.00 adalah perbelanjaan bagi membiayai Program Penghijauan Semula Kawasan Hutan yang degraded.; dan

  6. Sebanyak $670,000.00 adalah Perbelanjaan Kemajuan Pelancongan bagi pengukuhan produk-produk pelancongan.

Yang Berhormat Pengerusi. Dalam usaha untuk mengurangkan pergantungan perbelanjaan kerajaan, ٱلْحَمْدُ لِلَّٰهِ Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan telah berjaya melaksanakan beberapa projek melalui kaedah Public Private Partnership (PPP) sebagai contoh:

  1. Dalam sektor perikanan ialah pelaksanaan Projek Pemodenan Pembangunan Semula Kompleks Pendaratan Ikan Muara yang menelan belanja sekitar $14 juta. Projek ini telah bermula pada tahun 2021, dan إن شاء الله dijangka siap pada tahun 2023;

  2. Dalam sektor perhutanan yang juga berkaitan dengan pelancongan ialah pelaksanaan projek pembangunan Restoran di Taman Rekreasi Hutan Bukit Patoi, Temburong dengan anggaran kos sekitar $450,000.00; dan

  3. Manakala dalam sektor pelancongan ialah pelaksanaan Projek Pembinaan Resort Ekopelancongan Mewah di Kampung Perdayan, yang menelan belanja sekitar $4.5 juta untuk Fasa 1. Projek ini telah siap sepenuhnya dan telah pun mula beroperasi sejak penghujung tahun lepas yang dikenali sebagai "The Abode Resort & Spa".

Yang Berhormat Pengerusi.

Dalam kesempatan ini, izinkan kaola mengongsikan pencapaian Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dalam sektor Pertanian, Perikanan, Perhutanan dan sektor Pelancongan sepanjang tahun 2021 yang lalu.

Tidak dinafikan, penularan wabak COVID-19 yang melanda negara kita sejak dari awal tahun 2020 sedikit sebanyak telah memberikan impak kepada keberkesanan serta kelicinan operasi pengurusan perusahaan dan perladangan bagi sebilangan pengusaha. Antara­nya disebabkan oleh isu berkaitan dengan mendatangkan dan memasukkan semula pekerja asing, misalannya buruh ladang, selain isu berkaitan dengan mendatangkan bahan input ladang seperti biji benih, baja dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, أَلْحَمْدُ لِلّٰهِ melalui inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak kementerian ini serta dengan dukungan padu dari pihak yang berkenaan, terutama para pengusaha, petani, peladang, penternak dan nelayan. Secara keseluruhannya, prestasi keluaran kasar dari industri Sumber-Sumber Utama telah mencatatkan peningkatan yang positif pada tahun 2021 berbanding tahun 2020, iaitu meningkat sekitar 25.8% dari $651 juta pada tahun 2020 kepada $819 juta pada tahun 2021.

Pencapaian ini secara amnya disumbangkan oleh peningkatan keluaran dari:

  1. Industri Pertanian dan Agrimakanan yang meningkat sebanyak 24.6%, iaitu daripada $471 juta pada tahun 2020 kepada $580 juta pada tahun 2021; dan

  2. Industri Perikanan yang meningkat sebanyak 37.4% itu daripada $139 juta pada tahun 2020 kepada $191 juta pada tahun 2021.

Peningkatan keluaran kasar dari industri pertanian dan industri perikanan ini berikutan adanya peningkatan keluaran bagi beberapa komoditi utama seperti yang berikut:

  1. Peningkatan jumlah keluaran ayam pedaging sekitar 22.3% iaitu daripada 26,364.82 metrik tan pada tahun 2020 kepada 30,555.79 metrik tan pada tahun 2021, iaitu tahap pengeluaran yang paling tinggi pernah dicapai oleh negara kita setakat ini.

  2. Peningkatan jumlah keluaran daging kerbau dan lembu sekitar 99.4% iaitu daripada 2,148.75 metrik tan pada tahun 2020 kepada 3,827.21 metrik tan pada tahun 2021.

  3. Peningkatan jumlah keluaran beras sekitar 6.4% iaitu dari 2,511.31 metrik tan pada tahun 2020 kepada 2,672.00 metrik tan pada tahun 2021; dan

  4. Peningkatan jumlah keluaran perikanan, termasuk udang, sekitar 18.8% iaitu daripada 16,575 metrik tan pada tahun 2020 kepada 19,699 metrik tan pada tahun 2021.

Yang Berhormat Pengerusi. Kaola seterusnya juga sukacita ingin mengongsikan mengenai pencapaian sara diri keluaran industri pertanian dan perikanan pada tahun 2021:

  1. Bagi sektor ternakan, negara secara purata hampir mencapai tahap 100% sara diri dalam bekalan ayam pedaging dan telur ayam dan sekitar 85% sara diri bagi bekalan daging kerbau dan lembu.

  2. Bagi sektor tanaman, negara mencapai sekitar 66.5% sara diri bagi bekalan sayur-sayuran tropika dan sekitar 41.9% sara diri bagi bekalan buah-buahan tropika.

  3. Bagi sektor padi iaitu dalam penghasilan beras, negara mencapai secara purata sekitar 8.71% sara diri; dan

  4. Bagi sektor perikanan, negara mencapai secara purata sekitar 87% sara diri.

Kaola mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pengusaha yang terdiri daripada para peladang, penternak, nelayan dan pengusaha agrimakanan atas kegigihan mereka dalam meningkatkan keluaran mereka, yang membantu meningkatkan tahap sara diri negara.

Adalah diharapkan lebih ramai lagi penduduk kita, terutamanya kaum belia yang berminat dan terlibat dalam usaha meningkatkan keluaran sektor pertanian, ternakan, perikanan dan agrimakanan, iaitu bagi menjamin sekuriti makanan bagi negara ini.

Yang Berhormat Pengerusi. Bagi mendukung usaha ke arah menjamin sekuriti makanan negara, selain meningkatkan keluaran dan meningkatkan tahap sara diri, strategi bagi menjamin sekuriti makanan memerlukan penglibatan semua kementerian dan jabatan-jabatan terutama yang relevan dengan bekalan makanan tempatan, bekalan import dari luar negara, kerjasama perdagangan antarabangsa, isu kesihatan awam, isu keselamatan makanan, isu logistik dan pengangkutan, sama ada melalui darat, laut atau udara, dan tidak kurang penting ialah penglibatan institusi-institusi pendidikan dalam negara. Oleh itu, perkara ini memerlukan pendekatan secara Whole of Government Approach, Whole of Nation Approach, melibatkan kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan yang relevan serta dengan pihak-pihak swasta.

الحمد لله perkara-perkara ini terkandung dalam dokumen Food Industry Roadmap yang disediakan secara bersama oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Yang Berhormat Pengerusi. Kita amat berbangga kerana semakin ramai pengusaha baharu dan muda dalam industri pertanian dan perikanan yang lebih selesa menggunakan teknologi dan teknik moden dalam operasi perladangan masing-masing, antaranya seperti menggunakan sistem teknologi reban tertutup bagi perusahaan ternakan ayam pedaging, sistem feedlot bagi perusahaan ternakan lembu, sistem aquaponic, sistem vertical farming, pengairan titis dan fertigasi dalam rumah terlindung bagi perusahaan tanaman; dan recirculating aquaculture system (RAS) bagi aktiviti perusahaan menternak ikan dalam tangki. Malah ada di antara mereka yang mengurus perusahaan mereka dengan sistem berkomputer penuh bagi memastikan pengurusan yang lebih sempurna.

Diharap agar lebih banyak lagi para pengusaha dan peladang yang menerapkan penggunaan teknologi dan teknik moden dan operasi perusahaan dan perladangan masing-masing demi meningkatkan produktiviti dan kedayasaingan produk-produk kita dan sesuai dengan hala tuju dalam mendukung ekonomi digital.

Yang Berhormat Pengerusi. أَلْحَمْدُ للهِ melalui inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan setakat ini, beberapa pengusaha belia telah bergiat aktif dalam bidang pertanian dan perikanan. Sebagai contoh:

  1. Melalui pelaksanaan Program Rintis Pertanian, dari seramai 104 orang pengusaha yang masih aktif, seramai 39 orang pengusaha terdiri daripada golongan belia dan

  2. Manakala di bawah Program Pembesaran Perusahaan, dari seramai 49 orang pengusaha yang diberikan tapak tambahan untuk membesarkan aktiviti-aktiviti perladangan, seramai 19 orang pengusaha adalah melibatkan belia dan

  3. Melalui 6 sesi Program Pendedahan Belia Pertanian, yang ditawarkan oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan sejak 2018, seramai 98 orang kaum belia telah menyertai program berkenaan yang meliputi kursus-kursus asas pertanian dan sesi lawatan ke beberapa ladang belia yang berjaya.

Yang Berhormat Pengerusi. Menyentuh mengenai perkembangan dalam sektor pelancongan, penularan wabak COVID-19 telah memberikan kesan yang ketara kepada pertumbuhan aktiviti-aktiviti perekonomian berkaitan dengan perkhidmatan pelancongan di negara ini, berikutan terjejasnya jumlah ketibaan pelancong.

Oleh itu, pihak kementerian melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan bersama dengan Lembaga Pelancongan Brunei (Brunei Tourism Board) telah melaksanakan beberapa inisiatif sebagai usaha untuk membantu merangsang aktiviti-aktiviti ekonomi berkaitan dengan perkhidmatan pelancongan di negara ini dengan mempromosikan kempen dan aktiviti pelancongan domestik.

Antaranya, melalui penganjuran aktiviti mempromosikan pakej-pakej pelancongan domestik bertemakan “Selera Bruneiku” yang menawarkan juadah-juadah tempatan sebagai tarikan utama, pakej-pakej pelancongan domestik berasaskan komuniti yang mengetengahkan keunikan serta kepelbagaian budaya dan tradisi kehidupan masyarakat setempat serta pelbagai tempat tarikan yang menawarkan perkhidmatan experiential tours yang menggabungkan pelbagai produk pelancongan primer, produk pelancongan baharu dan produk yang diungkayahkan oleh ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) serta penganjuran pelbagai aktiviti menarik melalui program Brunei December Festival, Brunei Mid-Year Conference and Exhibition (Brunei MYCE) dan sebagainya.

Inisiatif-inisiatif bagi mempromosi pelancongan domestik ini akan diteruskan lagi pelaksanaannya sepanjang tahun 2022 dan الْحَمْدُ لِلّٰهِ pelancaran pakej produk-produk pelancongan di keempat-empat daerah baru sahaja dilancarkan pada awal bulan Februari 2022.

Yang Berhormat Pengerusi. Pihak kementerian juga tidak melupakan komitmen terhadap perlindungan dan pemuliharaan sumber hutan dan alam semula jadi negara. Di bawah Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei Darussalam, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Perhutanan merupakan lead agency bagi Strategi II, iaitu “Liputan Hutan”. Strategi ini bertujuan meningkatkan penyerapan karbon (carbon sink) melalui penanaman semula hutan ataupun afforestation dan penghutanan semula (reforestation) dengan sasaran menanam sebanyak 500,000 pokok menjelang tahun 2035.

Di bawah Protokol Hijau, kementerian-kementerian juga terlibat untuk menyokong “Kempen 26,000 Pokok” sepanjang tahun 2021 yang turut disertai sama oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Green Brunei dan juga sektor swasta seperti Syarikat Minyak Shell Brunei, Hengyi Industries Sendirian Berhad dan lain-lain.

Kawasan-kawasan penanaman tersebut termasuk di kawasan Hutan Simpan Berakas, Hutan Simpan Aboretum, Hutan Simpan Keluyoh, kawasan atau zon antara lembah Sungai Tutong dan Belait Inter-Riverine Zone (IRZ).

Yang Berhormat Pengerusi.

الْحَمْدُ لِلّٰهِ pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan pengusaha-pengusaha sektor sumber-sumber utama merasa bersyukur kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pertumbuhan keluaran sektor pertanian, ternakan, agrimakanan dan sektor perikanan adalah penyumbang utama bagi pertumbuhan KDNK bagi bukan minyak dan gas.

إِنْ شَاءَ ٱللَّٰه kementerian ini akan terus komited untuk mengenal pasti serta memikirkan strategi-strategi serta inisiatif-inisiatif baharu bagi memastikan keluaran dari industri pertanian, perikanan dan juga perhutanan serta pelancongan akan terus-menerus meningkat dari tahun ke tahun dan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan KDNK.

Ini termasuklah juga untuk menggiatkan usaha bagi menarik penglibatan pengusaha-pengusaha baharu dalam bidang pertanian dan perikanan termasuk penglibatan pihak GLCs dan Pelaburan Langsung Asing, menggalakkan para pengusaha-pengusaha yang berkenaan agar sentiasa komited, progresif dan bersemangat untuk mengembangmajukan perusahaan serta aktiviti perladangan masing-masing, mengguna pakai teknologi serta teknik moden dan mengamalkan tadbir urus yang baik bagi memastikan keluaran akan terus meningkat dari tahun ke tahun dan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan KDNK.

Sekianlah sahaja yang dapat kaola sampaikan sebagai mukadimah dan sebagai maklumat asas berkenaan pencapaian serta perkembangan terkini aktiviti-aktiviti yang dikendalikan oleh kementerian ini iaitu sebagai panduan sebelum kita membahaskan peruntukan yang disediakan kepada Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Terima kasih yang setinggi-tingginya kaola ucapkan kepada Yang Berhormat Pengerusi atas peluang yang diberikan.

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية، و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Pengerusi

Terima kasih Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan baru sahaja selesai menerangkan secara mendalam tentang perancangan serta hala tuju Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Saya sekarang ingin membukakan tajuk ini untuk kita bahaskan dan saya persilakan untuk memulakannya dengan Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.

Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad

Terima kasih, Yang Berhormat Pengerusi.

بِسْمِ ٱللَّٰهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٱلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ ٱللَّٰهِ وَبَرَكَاتُهُ.

Terus saja kepada perbahasan kitani. Negara telah berusaha untuk mengawal wabak COVID-19 dalam fasa endemik sekarang, di samping memastikan pembangunan ekonomi terus meningkat. Walaupun essential travels sudah mula diperkenalkan, wabak Omicron setentunya membantutkan perancangan untuk pengangkutan antarabangsa bagi pelancongan. Namun begitu perlunya kitani untuk memulakan semula pelancongan antarabangsa. Saya juga mengambil baik usaha Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan tadi dalam mengukuhkan lagi pelancongan domestik yang dikongsikan oleh Yang Berhormat tadi.

Soalan saya, apakah ada perancangan seperti rangka kerja atau jangka masa untuk membuka pelancongan-pelancongan antarabangsa kitani semula? Ini memandangkan kitani sudah masuk fasa endemik dan negara-negara lain sudah memulakan pelancongan antarabangsa mereka kerana ia setentunya memerlukan peruntukan yang signifikan serta koordinasi pelbagai sektor kerajaan dan swasta untuk memastikan ia berjalan dengan selamat masa depan pelancong-pelancong dan mampu menjana pendapatan semula.

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan

Terima kasih, Yang Berhormat Pengerusi dan terima kasih Yang Berhormat.

Kaola rasa soalan ini sudah disuarakan semasa sesi muzakarah di Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan beberapa minggu yang lalu. Anyway kaola menjawab lagi semula. Berkenaan dengan membuka semula tourism ini kepada pelancong luar negara, ia adalah tertakluk kepada keadaan ataupun advice daripada autoriti kesihatan di Negara Brunei Darussalam. Jadi, kaola tidak dapat menjanjikan apa-apa kerana itu tertakluk kepada perkembangan dari semasa ke semasa.

Walau bagaimanapun, yang penting kita sudah bersedia kalau pelancongan sudah dibenarkan. Sejak dua tahun kebelakangan kita sedang memberi penekanan kepada perkembangan pelancongan domestik, iaitu sambil kita bersedia untuk menyambut kedatangan pelancong luar negara apabila sempadan kita dibuka semula.

Yang penting sebelum sempadan dibuka ialah produk-produk pelancongan itu mesti ada tersedia. Jadinya pada bila-bila masa pelancong luar sudah mulai tiba, produk pelancongan sama ada produk prime seperti Kampung Air, di Daerah Temburong dan Bandar Seri Begawan dan produk-produk pelancongan baharu yang dibangun di Daerah Brunei-Muara, Tutong, Belait dan di tempat-tempat lain sudah tersedia.

Dalam pada itu juga, kita mengadakan kolaborasi dengan pejabat-pejabat daerah untuk menggunakan aktiviti MPK itu sebagai satu destinasi pelancongan di semua daerah, iaitu asal saja mereka bersungguh dan konsisten dengan produk mereka dan akan kita promosikan. Produk pelancongan yang terbaharu diperkenalkan sebagai contoh adalah MICE Tourism yang berbentuk meeting dan conference. Ini popular di negara-negara lain seperti Singapura dan Hong Kong, negara-negara kecil. Kita pun sudah memulakan Mid Year Conference and Exhibition atau MYCE 2021 pada tahun lepas untuk memulakan MICE tourism ini bagi negara ini.

الْحَمْدُ لِلّٰهِ tahun lepas 8,000 pengunjung acara MYCE 2021 yang diadakan selama sebulan pada bulan Jun 2021 dan disebabkan keadaan wabak COVID-19, kebanyakan acara diadakan secara hybrid dan speakers dari luar negara dijemput, tetapi mereka attend secara virtual dan peserta negara pun ada juga hadir tetapi secara virtual.

Apabila nanti keadaan sudah pulih, asas sudah ada untuk kita mengadakan conference secara international itu secara fizikal dan kita berharap pelancongan MICE ini akan berkembang dan dapat membantu kedatangan pelancong dalam sektor berkenaan.

Pada masa yang sama kementerian juga memberi tumpuan kepada memastikan kualiti yang terbaik iaitu keselamatan dan kebersihan adalah terjamin bagi pelancong dari dalam dan luar negeri. Ini semua adalah sebagai persediaan kita untuk menerima kedatangan pelancong pada bila-bila masa apabila sempadan sudah dibuka.

Itu saja Yang Berhormat Pengerusi. Terima kasih.

Yang Berhormat Pengerusi

Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari

Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

بسم الله الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالصَّلَاةُ وََالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

Yang Berhormat Pengerusi. Kaola sentiasa menyokong penuh usaha Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dalam memajukan industri pertanian, perikanan, perhutanan dan lain-lain. Kaola membawa di bawah Tajuk SH04A – Jabatan Pertanian.

Terdapat dari isu-isu yang berbangkit daripada pengusaha tempatan yang mengusahakan projek Green House di bawah Syarikat Gropoint. Satu perjanjian dalam kontrak documents berubah dari sebelumnya. Pengusaha terpaksa mencari pembeli dan berjual sendiri hasil tanaman, memandangkan hasil tuai tidak habis dipasarkan oleh Gropoint sebagaimana dijanjikan. Hasil jualan ada yang dipotong yang dikatakan untuk perbelanjaan pembinaan Green House, harus jua disubuk-subuk sejauh mana keberkesanan dan kemajuan pengusaha di bawah projek bersama Syarikat Gropoint.

Sekian terima kasih. Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. Gropoint ini sebuah syarikat yang menanam musk melon asalnya, yang menawarkan contract farming ertinya bekerjasama dengan local farmers. Ia membeli semua musk melon itu dan dieksport ke luar negara.

Inisiatif yang terbaharu adalah contract farming dengan pekerja-pekerja daripada syarikat telekom Brunei yang merancang untuk bersara, syarikat telekom telah menyediakan funding bagi mereka untuk memulakan bisnes dan funding itu digunakan untuk membuat greenhouse – Rumah Hijau. Arrangementnya, mereka bertanam cili bersama Gropoint dan cili itu kalau memenuhi spesifikasi dan kualitinya seperti yang ditetapkan awal mengikut kontrak, maka akan dibeli oleh Gropoint.

Kaola selalu ke sana, tetapi tidak mendengar cerita ini dan kalau ada, akan diselesaikan. Sejauh ini tidak ada aduan kepada kaola, sama ada dari peladang itu ataupun Gropoint, tetapi kalau ada akan cuba diselesaikan, itu saja. Terima kasih.

Yang Berhormat Pengerusi

Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Umarali bin Esung.

Yang Berhormat Awang Haji Umarali bin Esung

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Kaola ingin menyentuh mengenai di bawah Tajuk SH06A – Jabatan Kemajuan Pelancongan. Dalam keadaan wabak COVID-19 tidak dinafikan bahawa industri pelancongan menghadapi cabaran yang cukup hebat terutama sekali dalam menggerakkan perniagaan dalam pelancongan ini termasuklah pelancongan tempatan. Dalam keadaan seperti ini kaola mengemukakan satu soalan.

Dalam hal ini, apakah pihak-pihak berkenaan mempunyai usaha dan inisiatif untuk memperkenalkan kaedah baharu berasaskan teknologi atas talian bagi memastikan industri pelancongan tempatan sentiasa berkembang dan menyumbang kepada ekonomi negara dan masyarakat setempat?

Sekian, وبالله التوفيق والهداية، و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan

Terima kasih Yang Berhormat. Memanglah kita menggunakan latest teknologi terkini dalam beroperasi mempromosi industri pelancongan Negara Brunei Darussalam ini untuk dalam ataupun di luar negara secara meluas. Kalau dulu-dulu bajet promosi sampai berjuta-juta ringgit di Jabatan Kemajuan Pelancongan, tetapi dalam tahun kebelakangan ini almost zero, kosong bajet pelancongan kerana kita menggunakan digital marketing untuk mempromosi produk-produk pelancongan negara kita, semua negara pun begitu dan mereka menggunakan Instagram, Facebook untuk promote destinasi pelancongan ataupun event-event tertentu bagi menarik orang ramai untuk menyertai ataupun mengunjungi tempat-tempat berkenaan.

Disebabkan kitani kurang pemandu pelancong yang berbahasa Mandarin, Jepun, Korea dan Perancis. Kita ada memperkenalkan melalui Projek Rintis di Royal Regalia bahawa pelancong setelah download applikasi tertentu boleh menggunakan smart phones untuk menscan apa-apa yang dipamerkan di sana. Setelah discan pameran berkenaan dengan sendirinya akan keluar maklumat sama ada secara teks ataupun sound yang akan menerangkan apakah yang sedang dipamerkan di sana itu dalam bahasa yang dipilih sama ada bahasa Mandarin ataupun bahasa Jepun ataupun bahasa Korea dan malah kalau pelancong tersebut menaiki coach ataupun jalan kaki sahaja di bandar itu, apabila melalui Masjid Omar ‘Ali Saifuddien sekiranya, akan ada signal memaklumkan berkenaan dengan sejarah Masjid Omar ‘Ali Saifuddien tersebut. Penggunaan teknologi itu sudah ke peringkat advanced dan ini akan dilaratkan kepada muzium-muzium lain pada masa-masa akan datang.

Jadi, walaupun pemandu pelancong kitani tidak boleh bertutur berbagai bahasa, namun kurang keperluan kita untuk import pemandu dari luar negara untuk menjadi guide kepada pelancong kitani, kerana ditakuti maklumat yang mereka sampaikan itu tidak tepat. Basically, kitani memang try to adapt teknologi terbaharu itu. Terima kasih.

Yang Berhormat Pengerusi

Saya persilakan Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman.

Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. Kaola ingin menyentuh mengenai di bawah Tajuk SH01A – Jabatan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, dengan peruntukan yang akan diberikan sebanyak $5,960,390.00.

أَلْحَمْدُ لِلّٰهِ merujuk kepada titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kelapan Belas Majlis Mesyuarat Negara berkaitan dengan food security negara.

أَلْحَمْدُ لِلّٰهِ sukacita kaola minta keterangan daripada Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan iaitu:

  1. Masyarakat sudah sekian lama terbiasa makan nasi dari beras import dan kurang popular dengan beras hasil tempatan. Adakah sudah dibuat penyelidikan akan pendapat masyarakat berkaitan kegemaran dan pandangan mereka dalam menaiktaraf kualiti beras tempatan?; dan

  2. Negara Brunei Darussalam dikurniakan tanah yang subur dan laut yang berpontensi dengan hasil sumber negara اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ. Kaola ingin bertanya, berapa ramai sudah pakar dari anak tempatan dalam bidang pertanian dan perikanan dan apa sudah pihak kementerian usahakan dalam menghasilkan buah, sayur, ayam, daging dan ikan dari bumi Negara Brunei Darussalam untuk mencukupi food security negara dan sumber eksport bagi perkembangan ekonomi negara?

Sekian Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. Kaola telah pun menerangkannya semasa mukadimah berkenaan output sector pertanian dan perikanan telah meningkat beberapa peratus dan status peningkatan sara diri pun telah diterangkan.

اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ kita ini mendapati sektor pertanian dan perikanan meningkat secara signifikan the last few years dan ini adalah seperti juga yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, dua hari yang lepas, adalah jelas sektor ini menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kita ni secara signifikan daripada sektor bukan minyak dan gas.

Tapi abiskaola tidak akan berasa puas dan akan terus meningkatkan lagi, bukan saja untuk memenuhi tahap sara diri malah untuk tujuan eksport dan untuk diproses. Ada ruang untuk kita ni tumbuh lebih daripada sara diri sebenarnya. Sebab itulah seperti keluaran udang, bukan sahaja untuk dalam negara tetapi untuk dieksport, keluaran ikan-ikan pun bukan sahaja untuk dalam negara tetapi untuk dieksport.

Bagi keluaran beras, kita ni masa ini mencapai 8.7% sara diri berbanding dengan 4% pada lima tahun lalu, jadinya ada kenaikan. إن شاء الله keluaran beras ini akan dinaikkan lagi setinggi-tingginya, walaupun memerlukan pelaburan yang besar. That's why Kandol itu dibuka. Masa ini sekitar 500 hektar dibangunkan untuk tanaman padi di Kandol, sekitar 200 hektar akan siap hujung tahun ini. Jadi, ada lagi 300 hektar untuk dibangunkan dan memerlukan perbelanjaan memandangkan kawasan yang besar dan memerlukan pengairan yang cukup. Perkara ini sudah disentuh pada mukadimah kaola tadi.

Berkenaan dengan beras tidak popular tiada kaola mendengar, malah beras kita selalu habis terjual, di pasar raya orang berqueue untuk membeli. Belum ada kajian dibuat sama ada popular atau tidak yang jelas ia habis terjual.

Berkenaan kepakaran dalam bidang pertanian, bidang perikanan, kebanyakan orang yang bekerja di kementerian memanglah ada qualifications dalam berbagai-bagai bidang pertanian dan perikanan, tetapi tidak semua bidang dan kita tiada ramai pegawai dan kita juga bergantung kepada kerjasama universiti-universiti, sama ada UBD, UTB dan UNISSA dalam sama-sama meningkatkan kemahiran kita ni dalam bidang ini, bagi sama-sama untuk memajukan negara kita ini إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ. Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Terima kasih. Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya kira cukuplah perbincangan kita mengenai dengan Tajuk Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan saya suka untuk bertanya kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, yang bersetuju supaya tajuk ini kita luluskan. Sila angkat tangan.

(Semua ahli mengangkat tangan tanda bersetuju)

Terima kasih, semuanya bersetuju.

Yang Dimuliakan Jurutulis

Tajuk Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, iaitu Tajuk SH01A hingga Tajuk SH06A dijadikan sebahagian daripada Jadual.

Tajuk Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Yang Berhormat Pengerusi

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sekarang kita berpindah kepada Jadual Tajuk Kementerian Hal Ehwal Ugama. Saya ingin memberikan peluang kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama untuk memberikan mukadimahnya tentang dasar dan objektif dalam penyediaan rancangan perbelanjaan kewangan bagi Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ

Yang Berhormat Pengerusi, Yang Berhormat rakan-rakan, Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kaola mengucapkan terima kasih atas kesempatan ini ada masa kita barangkali kalau untuk kementerian ini siap dalam kurang sejam mungkin kitani ada masa إِنْ شَاءَ اللهُ dan kerana itu, kaola cuba untuk meringkaskan mukadimah kaola.

اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah meluluskan sokongan menyokong peruntukan Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi Belanjawan 2022/2023 sebanyak jumlah keseluruhannya $280,936,340.00 iaitu ditolak dari Perbelanjaan Kemajuan sebanyak $19,030,000.00 menjadikan Belanja Berulang-Ulang dan Pemeliharaan termasuk Gaji Kakitangan adalah sebanyak $261,906,340.00.

إن شاء الله Kementerian Hal Ehwal Ugama cuba sedaya upaya akan mengoptimumkannya bagi melaksanakan rancangan-rancangan dalam strategi belanjawan:

  1. Memfokuskan perbelanjaan kepada pendidikan ugama untuk semua penduduk Negara Brunei Darussalam termasuk dakwah mengambil kira ia tugas utama kementerian termasuk melahirkan generasi yang berpengetahuan agama dan mengamalkan agama serta mempunyai fahaman keagamaan yang secara teratur, secara sistematik. Ertinya agama yang diajarkan di sekolah-sekolah, diamalkan dalam rumah tangga dan masjid serta didakwahkan. Dengan itu, kita ini dapat memelihara keutuhan beragama. Tidak ada yang akan melencong daripada ajaran-ajaran yang kita ini amalkan.

  2. Memfokuskan peruntukan kepada pemeliharaan aset-aset di bawah MORA yang perlu diberikan perhatian utama; dan

  3. Untuk menempatkan kakitangan secara berperingkat-peringkat di cawangan-cawangan daerah yang dikenal pasti untuk diberikan keutamaan, khasnya bagi tujuan-tujuan dakwah yang mantap dan juga mengisi beberapa jawatan untuk hal ehwal masjid di daerah-daerah dan juga dalam bidang penguat kuasa undang-undang.

Maka dengan itu, sokongan kepada belanjawannya adalah sebagaimana yang telah kaola nyatakan tadi.

الحمد لله berdasarkan kepada pengalaman tahun lepas, sekalipun keadaan kita dalam gelombang wabak COVID-19, pergerakan kita sebahagian kehidupan rutin kita agak terhad, namun perkhidmatan agama, الحمد لله dengan berkat kerjasama semua pihak dapat berjalan sesuai dengan rentak dan suasana wabak COVID-19 yang kita alami. Berpandukan daripada itu, maka belanjawan pada tahun hadapan akan juga dipergunakan bagi kegiatan-kegiatan yang dinyatakan tadi dalam rentak yang إن شاء الله dalam fasa endemik ini, mungkin akan berubah iaitu kitani akan terbiasa dengan endemik ini dan dapat melaksanakan rutin kerja, tugas kitani dalam rentak yang agak baik daripada rentak sebelumnya.

Dalam masa yang sama kaola ingin menyatakan bahawa bagi perancangan-perancangan yang sudah dirancang ini ialah mengukuhkan pencapaian-pencapaian yang sudah dicapai, umpamanya dari segi bidang pelajaran, pencapaian anak-anak murid kitani yang berada di persekolahan ugama dan di persekolahan Arab yang diukur dari pencapaian hasil peperiksaan mereka baik aliran agama iaitu Sijil Rendah Sekolah Ugama, Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB), Sijil Pelajaran Tinggi Ugama. Yang ketiga-tiganya ini adalah setara atau seiring dengan sijil-sijil dalam jurusan umum iaitu PSR, 'O' Level dan 'A' Level. Pencapaiannya الْحَمْدُ لله mencapai target yang diharapkan dan angka-angkanya mungkin dapat dilihat dari laporan-laporan yang seterusnya nanti.

Begitu juga mengenai pembangunan-pembangunan, walaupun agak terhad dengan beberapa perkara tapi permohonan yang dirancangkan terutama sekali dalam Rancangan Kemajuan Negara bagi masjid-masjid yang sudah ditetapkan dengan peruntukannya. Pada tahun lepas 2 buah masjid dalam RKN iaitu Masjid Mengkubau dan Masjid Meragang sudah pun bermula untuk dilaksanakan.

Sementara masjid-masjid yang lain masih dalam pipeline iaitu sama ada dalam tawaran untuk menunggu ketetapan tawaran ataupun dalam peringkat untuk perubahan-perubahan yang dikehendaki berikutan daripada kedudukan peruntukannya yang agak terhad.

Begitu juga dengan inisiatif-inisiatif yang lain. Pendek kata, Kementerian Hal Ehwal Ugama akan meneruskan usaha-usahanya terutama dalam perkara-perkara yang tidak melibatkan peruntukan yang diuntukkan tetapi menyumbang kepada fiskal kerajaan, umpamanya melalui Majlis Ugama Islam Brunei yang dikendalikan oleh Majlis Ugama Islam Brunei mengenai zakat dan wakaf.

Semua ini berjalan ke hadapan sedang difikirkan cara untuk meningkatkannya, iaitu kalaulah dari segi zakat sahaja ia telah menyumbang kepada fiskal kerajaan, dari segi kebajikan bagi orang ramai, tidak kurang keluarga yang ditanggung oleh zakat dari segi mereka itu, orang yang tidak berkemampuan untuk hidup beserta dengan tanggungan mereka, hampir mencapai jumlah 19,000 orang, dengan perbelanjaan untuk 2 tahun dan mencapai angka ke $80 juta.

Mujurlah hasil yang dikutip daripada zakat setiap tahun dianggarkan antara $17 juta ke $18 juta, ٱلْحَمْدُ لِلّٰهِ dan kerana itu Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) memikirkan cara-cara kutipan yang boleh menambah meningkatkan kutipan hasil sebagaimana yang telah dibuat pada tahun lepas zakat fitrah melalui online dan nampak berjaya dan إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ pada tahun ini, perancangan sudah dibuat untuk zakat harta melalui online diperkenalkan.

Maka sedemikian itu jugalah dalam wakaf. Wakaf sekarang ini sudah ada akta-aktanya yang akan disiapkan rangnya إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ dalam pertengahan tahun ini dan wakaf ini juga difikirkan bukan sahaja menyediakan undang-undangnya tetapi juga ialah bagaimana untuk memikirkan tadbir urusnya.

Zakat sudah ada ketetapan yang diperkenankan untuk sebuah jabatan fully department Zakat dan Baitulmal. Tinggal lagi pada masa ini dalam pertimbangan Jawatankuasa Tangga Gaji memikirkan struktur yang bersesuaian. Sementara wakaf ialah mesti akan dalam pemikiran-pemikiran yang akan kita lihat nanti.

إن شاء الله begitu juga dalam bidang pengajian Islam beberapa inisiatif telah dibuat dan menampakkan kejayaan yang mencapai KPI dalam wawasan. Misalannya dari segi peratus performance guru-guru dan peratus performance sekolah mencapai dalam 4 tahun peningkatan adalah terus-menerus meningkat dan semua ini berkat inisiatif daripada pegawai-pegawai muda yang berkhidmat dalam perkhidmatan-perkhidmatan pendidikan yang mereka ini adalah sebagai generasi baharu kitani yang akan meneruskan perkhidmatan agama إن شاء الله menuju matlamatnya yang sedemikian.

Begitu sahaja Yang Berhormat Pengerusi, yang dapat kaola terangkan begitu ringkas. Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.

Yang Berhormat Pengerusi

Terima kasih Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. Ahli-Ahli Yang Berhormat. Ada baiknya Mesyuarat Jawatankuasa ini kita tangguhkan dan kita akan bersidang semula di Persidangan Majlis Mesyuarat Negara.

(Mesyuarat Jawatankuasa ditangguhkan)

(Majlis Mesyuarat bersidang semula)

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita sekarang bersidang semula di Persidangan Majlis Mesyuarat Negara. Saya ingin mencadangkan supaya persidangan kita ini ditangguhkan dan kita akan bersidang semula pada hari Selasa, 1 Mac 2022 mulai pukul 9.30 pagi.

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية . والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)

Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.